BKT Mara CUS 4/30071
BAHAGIAN 3
PENGURUSAN JENAZAH UMAT ISLAM
3.1 Adab-adab menghadapi orang yang nazak dan awal Kematian
Orang yang nazak disebut dalam bahasa Arab sebagai muhtadhar. Ia bermaksud orang
yang hampir mati dan permulaan sakaratulmaut iaitu ketika roh dicabut daripada jasad.
Dalam masyarakat kita, sudah menjadi kebiasaan apabila seseorang mengalami sakit
tenat ataupun nazak, sanak saudara, jiran dan sahabat handai akan datang mengunjungi
pesakit tersebut dengan mendoakannya, membaca ayat-ayat al-Qur’an dan sebagainya.
Kebiasaan masyarakat kita ini adalah amalan yang terpuji dan sayugia ia diteruskan.
Apakah sebenarnya yang perlu dilakukan apabila menghadapi orang yang nazak ini?
Memang ada orang tidak mengetahui sepenuhnya apa yang diajarkan oleh Islam apabila
menghadapi orang yang nazak. Maka perkara ini perlu diketahui, lebih-lebih lagi kepada
ahli keluarga orang yang nazak agar tidak terpinga-pinga memikirkan apa yang perlu
dilakukan. Oleh itu, dijelaskan bagaimana cara menghadapi orang yang nazak seperti
berikut:
Islam ada mengajarkan apa yang perlu dilakukan apabila menghadapi orang yang nazak
ini, seperti berikut:
1. Mentalkin kalimah tauhid.
Sunat mentalkinkan orang yang nazak itu dengan kalimah tauhid iaitu: La Ilaha Illa Allah.
Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., Rasulullah bersabda yang
maksudnya: “Kamu talkinkanlah (sebutlah) sesiapa yang hampir mati di kalangan kamu
dengan La Ilaha Illa Allah (tidak ada Tuhan melainkan Allah).” (Hadis riwayat Muslim)
Adalah tidak disunatkan menambah Muhammadur Rasulullah selepas kalimah tauhid
tersebut, kerana mengikut zahir hadis di atas yang hanya menyebutkan kalimah tauhid
sahaja.
1
BKT Mara CUS 4/30071
Cara mentalkinkan orang yang nazak itu memadailah dengan menyebut kalimah tauhid
di sisinya sekali atau dikatakan kepadanya: “Mengingati Allah Ta‘ala itu membawa
berkat.” supaya dia ingat dan menyebut kalimah tauhid itu. Sekiranya orang yang nazak
itu belum juga menyebut kalimah tauhid maka diamlah seketika kemudian baharulah
mengulangi talkin.
Janganlah mendesak orang yang nazak dan janganlah dikatakan kepadanya: “Ucaplah
atau sebutlah atau katakanlah!” supaya tidak menyakitinya atau menimbulkan rasa
meluat.
Sekiranya orang yang nazak itu telah menyebut kalimah tauhid, maka janganlah lagi
diulangi talkin tersebut selagi orang yang nazak itu tidak berkata-kata hal lain sekalipun
zikir. Jika orang yang nazak itu berkata-kata hal lain maka ulangilah talkin itu supaya
kesudahan kata-katanya adalah kalimah tauhid. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan
oleh Mu‘az bin Jabal r.a., Rasulullah bersabda yang maksudnya:
“Sesiapa yang kesudahan (akhir) kata-katanya La Ilaha Illa Allah nescaya dia masuk
syurga.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Orang yang melakukan talkin itu sunat terdiri daripada orang lain yang bukan daripada
ahli warisnya supaya mengelak daripada tohmahan untuk menda-patkan segera harta
waris atau bukan terdiri daripada orang yang bermusuhan dengannya, orang yang
berdengkian dengannya atau seumpamanya.
2. Membaringkannya dengan memiringkan ke kanan serta menghadap kiblat.
Orang yang nazak itu sunat dibaringkan dengan memiringkannya ke kanan sepertimana
kedudukan meletakkan mayat di liang lahad. Demikian juga, sunat menghadapkannya ke
kiblat kerana ia semulia-mulia arah. Jika sukar memiringkannya ke kanan disebabkan
kawasan yang sempit atau seumpamanya, maka miringkanlah dia ke kiri. Jika yang
demikian itu pun sukar, maka baringkanlah dia dengan menelentangkannya dan
hadapkan wajah dan kedua tapak kakinya ke kiblat serta tinggikan sedikit kepalanya
dengan meletakkan sesuatu seperti bantal agar wajahnya menghadap kiblat.
2
BKT Mara CUS 4/30071
3. Membaca surah Yaasin di sisinya
Sunat membaca surah Yaasin di sisi orang yang nazak. Sebagaimana hadits yang
diriwayatkan oleh Ma‘qil bin Yasar r.a., Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang
maksudnya:
“Bacalah oleh kamu Yaasin ke atas sesiapa yang hampir mati di kalangan kamu.” (Hadis
riwayat Abu Daud)
Ia digalakkan membacanya dengan suara yang jahr (nyaring). Hikmat membaca surah
Yaasin di sisi orang yang nazak adalah supaya dia ingat akan hal-hal hari kiamat dan
hari kebangkitan. Ini kerana surah Yaasin itu terkandung dalamnya hal-hal hari kiamat,
hari kebangkitan, nikmat syurga dan azab neraka.
Menurut sebahagian ulama, digalakkan juga membaca surah ar-Ra‘d di sisi orang yang
nazak dengan suara yang sir (perlahan) bagi memudahkan keluar roh
4. Menegukkannya air
Sunat menegukkan air kepada orang yang nazak malahan wajib jika ada tanda-tanda
orang yang nazak itu berkehendak kepada air. Ini kerana pada saat nazak itu berlaku si
pesakit akan terasa dahaga yang amat sangat.
Demikian juga ditakuti pada saat dahaga itu, syaitan mengambil kesempatan untuk
menyesatkan orang yang na-zak dengan menawarkan kepadanya air, syaitan berkata
kepadanya: “Katakanlah olehmu terlebih dahulu bahawa tidak ada Tuhan melainkan aku
nescaya akan aku berikan engkau minum.” Sekiranya orang yang nazak itu berkata
demikian sepertimana yang disuruh oleh syaitan itu sedangkan dia sedar, maka mati-nya
dikhuatiri dalam keadaan tidak beriman.
3
BKT Mara CUS 4/30071
5. Mengelokkan sangkaannya dengan rahmat Allah Ta‘ala.
Sunat mengelokkan sangkaan orang yang nazak bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala
merahmatinya dan mengampuni dosa-dosanya, malahan wajib jika orang yang nazak itu
ada tanda-tanda kecewa dan putus asa. Suruhan bersangka baik terhadap Allah
Subhanahu wa Ta‘ala ini ada disebutkan dalam hadits riwayat Jabir bin ‘Abdullah r.a.,
tiga hari sebelum kewafatan Rasulullah beliau mendengar Baginda bersabda yang
maksudnya:
“Janganlah sekali-kali orang yang akan mati di kalangan kamu melainkan dia
mengelokkan sangkaan terhadap Allah ‘azza wa Jalla.” (Hadis riwayat Muslim)
Adab-adab menghadapi orang yang baru meninggal dunia
Sebaik sahaja orang yang nazak itu meninggal dunia, ada beberapa perkara yang perlu
dilakukan, seperti berikut:
1. Memejamkan matanya
Sunat memejamkan mata mayat supaya tidak kelihatan buruk pada pandangan.
Diriwayatkan daripada Ummu Salamah r.a. katanya yang maksudnya:
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengunjungi Abu Salamah (yang meninggal
dunia) dan matanya terbuka lalu Baginda memejamkannya. Kemudian Baginda
bersabda: “Sesungguhnya roh apabila dicabut nescaya mata mengikutinya…” (Hadis
riwayat Muslim)
Ketika memejamkan mata mayat itu sunat sambil membaca yang maksudnya: Ertinya:
“Dengan nama Allah dan atas syariat (agama) Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.”
4
BKT Mara CUS 4/30071
2. Menutup mulutnya
Sunat menutup mulut mayat dengan cara melilit dari bawah kedua ra-hang mulut hingga
ke atas kepala mayat dengan pembalut supaya mulut mayat itu tidak sentiasa terbuka
dan tidak dimasuki oleh serangga.
3. Melembutkan sendi anggotanya
Sunat melembut-lembutkan sendi anggota mayat iaitu dengan cara melipatkan lengan
bawah ke lengan atas kemudian kembali meluruskannya, melipatkan betis ke paha dan
dari paha ke perut kemudian kembali meluruskannya dan melembut-lembutkan jari
jemarinya. Ini bertujuan supaya mudah memandikan mayat.
Ia dilakukan sebaik sahaja orang itu meninggal dunia kerana tubuh badan manusia masih
hangat sebaik sahaja dicabut rohnya dan sendi-sendi anggotanya masih boleh dilipat-
lipat. Jika ia lambat dilakukan maka sukarlah untuk melembutkan sendi anggotanya itu.
4. Menanggalkan pakaian yang dipakainya dan menutup badannya dengan kain nipis.
Sunat menanggalkan pakaian yang dipakainya ketika mati dan menutup seluruh
badannya dengan kain yang nipis supaya mayat itu tidak hangat dan tidak cepat rosak.
Kemudian diselitkan hujung kain di bawah kepala dan di bawah kaki mayat supaya tidak
terdedah.
5. Meletakkan sesuatu yang berat di atas perutnya
Sunat meletakkan sesuatu yang berat daripada jenis besi di atas perut mayat. Jika tidak
diperolehi maka gunakan tanah yang basah dan jika tidak diperolehi juga maka gunakan
apa sahaja barang yang mudah seperti batu supaya perut mayat itu tidak kembung dan
tidak kelihatan buruk pada pandangan.
5
BKT Mara CUS 4/30071
Barang yang diletakkan di atas perut mayat itu sekurang-kurangnya seberat 20 dirham
dan tidak juga terlalu berat sekira-kira tidak menyakiti apabila diletakkan di atas perut
orang yang hidup. Jika ia terlalu berat maka hukumnya haram. Janganlah diletakkan atas
perutnya mushaf, kitab-kitab hadits dan kitab-kitab ilmu syara‘.
6. Meletakkannya di atas katil
Sunat meletakkan mayat di atas katil atau di tempat-tempat yang tinggi supaya tidak
bersentuhan dengan kelembapan tanah yang menyebabkan mayat itu cepat rosak.
Jangan diletakkan di atas tilam kerana ia boleh menyebabkan mayat itu hangat dan cepat
rosak.
7. Menghadapkan ke kiblat
Sunat menghadapkan mayat itu ke kiblat apabila terdaya sepertimana kedudukannya
ketika dalam keadaan nazak. Jika tidak ada kesukaran untuk mayat itu dibaringkan
dengan cara memiringkannya ke kanan atau ke kiri, maka sesuatu yang diletakkan di
atas perut mayat itu perlulah diikat dengan pembalut supaya tidak terjatuh.
Orang yang sepatutnya melakukan perbuatan memejamkan mata mayat, menutup mulut
mayat dan kerja-kerja seterusnya adalah mahram si mati yang terlebih kasih sayangnya.
Oleh itu, sunat bagi mahram lelaki mengurus mayat lelaki dan mahram perempuan
mengurus mayat perempuan. Jika mahram lelaki mengurus mayat perempuan dan
sebaliknya adalah harus. Demikian juga kedudukan suami isteri malahan lebih utama
suami mengurus mayat isteri dan isteri mengurus mayat suami.
Demikianlah penjelasan mengenai cara menghadapi orang yang nazak dan orang yang
baru meninggal dunia. Mudah-mudahan penjelasan ini akan menambah kefahaman
mengenainya dan menjadi perhatian terutama kepada ahli keluarga si mati supaya
bersedia dan tahu apa yang perlu dilakukan apabila berhadapan dengan orang yang
nazak dan orang yang baru meninggal dunia itu.
6
BKT Mara CUS 4/30071
3.2 Memandikan jenazah dan cara pengurusanya
Salah satu perkara yang wajib dilakukan ketika pengurusan jenazah adalah untuk
memandikan jenazah.Hukum memandikan jenazah adalah fardhu kifayah. Ini adalah
berdasarkan sabda Rasulullah saw apabila ketika ada seseorang yang meninggal kerana
terjatuh dari untanya :
“ Mandikanlah dia oleh kalian dengan air dan daun kayu gaharu ”
Namun orang yang meninggal dunia kerana mati syahid iaitu mereka yang gugur jihad fi
sabilillah akibat terbunuh oleh orang musyrik tidak perlu dimandikan dan
disembahyangkan. Mereka akan terus dikebumikan dengan luka dan darahnya. Ini
berdasarkan pada maksud hadith dari Jabir bin Abdillah r.a
“Sesungguhnya Nabi saw pernah bersabda berkaitan dengan para syuhada Perang
Uhud, “Janganlah kalian memandikan mereka kerana setiap luka atau setiap darah yang
menitis pada Hari Qiamat akan semerbak mewangi seperti bau harum minyak Kasturi.”
Dan tidaklah Nabi saw juga mensolatkan ke atas mereka. “
(Hadith Riwayat Ahmad)
Syarat memandikan Jenazah
Jenazah yang dimandikan mestilah:
i- Seorang muslim
ii- Bukan bayi yang meninggal keguguran. Menurut mazhab Syafie, iaitu yang
gugur sebelum sempurnanya kehamilan iaitu usia kandungan 6 bulan
iii- Mempunyai jasad
iv- Bukan mati syahid
7
BKT Mara CUS 4/30071
Hukum Melihat Aurat dan Menyentuh Jenazah
Wajib menutup aurat jenazah samada bagi orang yang memandikan mahupun yang
melihatnya. Bagi bahagian anggota aurat, orang yang memandikannya wajib membalut
tangannya dengan secebis kain pelapik untuk membersihkannya. Manakala bagi
bahagian yang bukan aurat, boleh disentuh dan dibersihkan tanpa pelapik kain seperti
biasa.
Cara memandikan jenazah
i- Sunat diletakkan di tempat yang tinggi seperti katil mandian khas dan
dimandikan ruangan khas yang tersembunyi supaya orang tertentu sahaja
dibenarkan untuk melihat. Sekiranya tempat mandi itu merupakan tempat
terbuka, maka wajiblah ruangan itu ditutup dengan kain atau penghadang.
ii- Jenazah dikenakan pakaian yang tipis supaya air dapat mengalir dan
memungkinkan orang yang akan memandikannya dapat membersihkannya
dari dalam
iii- Wajah mayat disunatkan dalam keadaan tertutup ketika diletakkan di tempat
pemandian
iv- Sekiranya jenazah tidak mengenakan sebarang pakaian, maka wajiblah
ditutup pada bahagian auratnya memadai dari bahagian pusat hingga lutut.
v- Membersihkan najis-najis yang berada di badan atau yang melekat pada
mayat.
Mayat diletakkan di atas tempat pembaringan dengan lemah lembut, kemudian
kakinya dilunjurkan dalam posisi duduk.
Manakala leher mayat ditahan dengan tangan orang yang memandikan dan badan
jenazah pula disandarkan agar stabil serta tidak mudah terjatuh.
Setelah itu, perut jenazah diurut keluar bagi mengeluarkan sisa-sisa najis dari
dalam agar tidak ada lagi najis yang terkeluar semasa dikafankan.
Bahagian qubul dan dubur mayat pula dibasuh dengan menggunakan sarung
tangan atau pelapik kain dalam keadaan posisi mayat dibaringkan
8
BKT Mara CUS 4/30071
vi- Bahagian mulut dan hidung dibasuh dan dibersihkan seperti mana orang yang
berwuduk berkumur dan membersihkan hidung. Pastikan kain yang baru dan
bersih digunakan
vii- Mewudukkan anggota tubuh mayat dengan sebanyak tiga kali
viii- Bahagian kepala dibasuh. Menurut mazhab Syafie, sunat membasuhnya
dengan sabun atau air daun bidara termasuklah bahagian janggut dan rambut
serta menyelati keduanya dengan lemah-lembut. Gunakan sikat yang elok
supaya rambut tidak gugur.
ix- Mandian dimulakan daripada bahagian tubuh kanan ke tubuh kiri. Iaitu bermula
daripada leher hingga ke hujung kaki
x- Selepas itu, badan mayat diangkat sedikit dan diletakkan dalam keadaan
mengiring ke arah kiri. Air disiram ke bahagian kanan belakang mayat dari aras
bahu hingga kaki. Setelah itu, lalu dibasuh pula bahagian belakang sebelah
kiri dengan mengiringkannya ke sebelah kanan.
xi- Maka lengkaplah semua langkah ini sebagai satu mandian.
xii- Sunat memandikan mayat dengan meletakkan kapur barus, wangian dan
seumpamanya pada basuhan terakhir
xiii- Sekiranya terkeluar najis selepas selesai mandian, memadailah sekadar
membuang najis tersebut tanpa perlu diulangi proses basuhan, memandikan
dan mewudhukkan semula jenazah.
xiv- Bagi memudahkan proses kafan, tulang sendi mayat dilembutkan. Kemudian
mayat dikeringkan supaya kain kafan tidak basah dan boleh bertahan dengan
lebih lama.
9
BKT Mara CUS 4/30071
3.3 Mengkafankan jenazah dan adab-ababnya
Cara mengkafankan mayat termasuklah seperti berikut
a) Jika sekiranya mayat tersebut seorang lelaki, maka elok dikafankan dengan tiga helai
kain sekurang-kurangnya untuk menutupi aurat dan seluruh tubuhnya. Jika ianya seorang
wanita, maka dengan lima helai kain putih yang panjang lebih kurang sama dengan tubuh
si mati.
b) Makruh dikafankan si mati dengan kain selain warna putih. Ini seperti yang telah
dijelaskan di dalam sebuah riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Aisyah r.a. beliau
berkata, “Rasulullah SAW telah dikafankan dengan tiga helai kain putih tanpa baju atau
serban.” Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW pernah bersabda, “Pakailah pakaian
yang berwarna putih, kerana ia adalah sebaik-baik pakaian, dan kafankanlah mayat
saudaramu dengan kain putih.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
c) Jenis kain yang digunakan sebagai kafan mestilah jenis yang boleh dipakai oleh orang
yang hidup. Oleh itu, tidak harus menggunakan kain kafan bagi mayat lelaki dengan kain
sutera kerana lelaki diharamkan memakainya.
d) Dibolehkan menabur kapur barus atau pacai di anggota badan si mati seperti tangan,
dahi dan kaki dan atas kafannya.
10
BKT Mara CUS 4/30071
3.4 Solat Jenazah dan cara perlaksanaanya
a) Sedia maklum bahwa hukum menyelenggarakan mayat dan menyembahyangkannya
ialah fardu kifayah yakni jika ada segolongan orang yang melaksanakannya maka tidak
wajib bagi orang yang lain melakukannya akan tetapi diberi pahala bagi orang yang
melakukannya. Solat jenazah ini tidak sah dilakukan melainkan sesudah mayat tersebut
sempurna dimandikan.
b) Sewaktu hendak mula menyembahyangkannya, mayat yang telah dikafankan itu
hendaklah diletakkan di hadapan orang yang mensolatkannya.
c) Bagi mayat lelaki, imam haruslah berdiri di bahagian kepala si mati manakala jika ianya
wanita maka imam haruslah berdiri di bahagian badannya.
d) Disunatkan agar mereka yang sama-sama menyembahyangkan mayat tersebut
sekurang- kurangnya membuat tiga barisan (saf) atau lebih dengan jarak antara satu
barisan dengan barisan di belakang hanya satu jengkal setengah atau dua jengkal.
Cara mengerjakan solat jenazah
Solat jenazah dapat dilakukan atas seorang mayat atau beberapa mayat sekaligus.
seorang mayat boleh disolatkan berkali-kali. Misalnya jenazah sudah disolatkan oleh
sebahagian osrang, kemudian datanglah beberapa orang lagi untuk
menyembahyangkannya dan seterusnya. Jika solat dilakukan berjemaah, maka imam
berdiri menghadap kiblat, sedang makmum berdiri dibelakangnya. Solat jenazah tidak
dengan rukuk dan sujud serta tidak ada azan dan iqamah.
a) Solat jenazah mempunyai empat takbir termasuk takbiratul ihram. Pada takbir pertama
diniatkan, “Sahaja aku sembahyangkan jenazah (hadir/ghaib) empat kali takbir fardhu
kifayah kerana Allah Taala.”
b) Takbiratul ihram, mengucapkan "Allahu akbar" bersama niat seperti yang disebutkan
di atas. Selepas takbir pertama hendaklah membaca surah al-Fatihah tanpa membaca
suah-surah lain.
11
BKT Mara CUS 4/30071
c) Setelah habis al-Fatihah maka diangkat takbir yang kedua dan membaca selawat
‘Ibrahimiyyah’ yakni selawat yang dibaca sewaktu kita bertahiyat (Allahumma salli 'ala
sayyidina Muhammad).
d) Selepas itu diangkat takbir ketiga dan disusuli dengan membaca doa ke atas mayat
sekurang-kurangnya membaca
* “Allahummaghfir lahu warhamhu” ertinya, “Ya Allah, ampunkanlah dosanya dan
limpahkan rahmatmu ke atasnya.” Lebih sempurna lagi membaca doa sebagai berikut :
"Allahummaghfir lahu warhamhu wa 'afihi wa'fu 'anhu wa akrim nuzulahu wassi'
madkhalahu wagsilhu bil-ma-i was-salji wal-baradi wa naqqihi minal-khataya kama
yunaqqas-saubul-abyadu minad-danasi wa abdilhu daran khairam min darihi wa ahlan
khairam min ahlihi wa zaujan khairam min zaujihi wa adkhil-hul-jannata wa a'izhu min
'azabil-qabri wa fitnatihi wa min 'azabin-nar".
e) Selepas itu diangkat takbir keempat diikuti dengan membaca * “Allahumma laa
tahrimna ajrahu, walaa taftinna ba’dahu waghfir lana wa lahu” ertinya, “Ya Allah,
janganlah kau halangkan pahalanya kepada kami dan janganlah kami diberi bala atau
cubaan selepasnya dan ampunkanlah kami dan dia (si mati)”.
f) Selepas itu, memberi salam ke kanan dan ke kiri seperti solat-solat yang lain dengan
ucapan, "As-salamu 'alaikum wa rahmatulahi wa barakatuh", ertinya, "Keselamatan,
rahmat dan barkah Allah semoga tetap pada kamu sekalian".Pengganti nama ‘Hu’ adalah
untuk mayat lelaki, jika mayat wanita digantikan dengan pengganti nama ‘Ha’. “Ya Allah
jadikanlah akhir kehidupan kami dengan kebaikan dan rahmat-Mu dan jangan jadikan
akhir hidup kami dengan keburukan dan kemurkaan-Mu”. Amiin.
12
BKT Mara CUS 4/30071
3.5 Proses Pengkebumian dan bidaah dalam masyarakat
Pahala mengiringi jenazah Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya pahala yang
mula-mula diberikan kepada hamba yang beriman sesudah matinya ialah semua orang
yang mengiringi jenazahnya mendapatkan keampunan (dari Allah).” (Hadis riwayat
Baihaki melalui Ibnu Abbas r.a.) Daripada Thauban maula Rasulullah SAW bersabda
bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa menyembahyangkan
jenazah, maka baginya satu qirat pahala. Dan apabila dia turut serta menyaksikan
pengebumiannya, maka baginya dua qirat pahala. (Ditanya baginda: Apakah itu qirat
wahai Rasulullah?) Sedangkan besar satu qirat itu seperti besarnya gunung Uhud.”
Diriwayatkan dari Abu Sa’id Al Khudri r.a. Rasulullah SAW pernah bersabda, “Apabila
jenazah telah siap dan para lelaki mengusungnya di atas bahunya, jenazah orang soleh
akan berkata, ‘cepatlah’. Tetapi jenazah orang yang tidak soleh akan berkata, ‘celakah !
ke mana kamu akan membawaku?’. Suaranya terdengar oleh semua alam, kecuali
manusia. Dan sekiranya manusia (dapat mendengarnya) ia akan jatuh pengsan.” Dalam
mazhab Syafie, sunnah dalam mengiringi jenazah adalah orang ramai pergi dahulu ke
kubur sebelum jenazah mengikuti dari belakang. Manakala dalam mazhab Hanafi pula,
jenazah dihantar terlebih dahulu sebelum orang ramai pergi ke kubur. Kedua-duanya
adalah sunnah Nabi dari hadith-hadith.
Sebutlah kebaikan jenazah Dari Ibnu Umar telah berkata, Rasululllah SAW bersabda
yang bermaksud, “Sebutlah kebaikan orang yang telah mati dan berhentilah dari
menyebut keburukan mereka.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi) Dari Anas r.a. katanya: Satu
jenazah diusung melalui satu tempat. Lalu orang ramai memuji bahawa itu adalah
jenazah orang yang baik. “Ya, wajib (pasti).” Berkata Rasulullah SAW menyetujuinya.
Kemudian berlalu pula usungan jenazah yang lain. Orang ramai berkata pula: “Mayat
yang jahat.” Berkata Rasulullah SAW, “Ya, wajib (pasti)!” Maka bertanya Umar bin al-
Khattab: “Apakah yang wajib (pasti) ya Rasulullah?” Jawab baginda: “Kamu katakan
mayat itu baik, maka ia pasti masuk syurga. Kamu katakan pula mayat si anu itu jahat,
pasti pula ia masuk ke neraka. Kamu semua adalah para saksi Allah di bumi.”(Hadis
riwayat Muslim)
13
BKT Mara CUS 4/30071
Biblografi
1. Al Bayumi, Muhammad Said Bin Ahmad Bin Mas’ud (1998), Maqasid Al
Syariah al Islamiyyah Wa Alaqatuha Bi Al Adillah al Syar’iyyah, Dar
al Hijrah Li Al – Nasyr Wa al Tauzi
2. An Nawawi (1992) , Kitab Syarah Shohih Muslim lin Nawawi, Dar Kutub
Ilmiah, Beirut: Dar al-Nafais
3. Kamus Dewan Edisi Ketiga (1996), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia
4. Muhammad Rawas Qal’ah Ji, Mujam Lughah Al Fuqaha, Beirut: Dar alNafais
5. Mukadimah Ibn Khaldun, Terjemahan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993 Mahyuddin Ashaari,
6. Pendidikan al-Quran menjana keupayaan berfikir. Jurnal pendidikan
Islam. Jil. 9. Bil. 4. November 2001
7. Mustafa Bugha, al Wafi Fi Syarh Al-Arbain al Nawawiyyah, Beirut, Dar al
Kalim al Tayyyib
8. Norhamisah Md Hassan (1994), Kepercayaan Masyarakat Melayu Mengenai
Kematian : Satu kajian Khusus di Hulu Terengganu
9. Rohada Said (1993), Perkara-perkara khurafat dan Bid’ah di sekitar upacara
kematian masyarakat melayu, kajian di Kuala Terengganu
10. Sharifah Fadzilon Hj Syed Ahmad Al- Attas (1987), Upacara Kematian di
Dalam Masyarakat Melayu Negeri Sembilan: Satu Kajian Tentang
Perkara-perkara yang bertentangan
11. Siti Hasnah Mohd Amin (1997), Amalan – amalan Selepas Kematian di
Kalangan Masyarakat Melayu Hulu Selangor.
14