TEKNOLOGI KERETA HIBRID MENGATASI PENCEMARAN DAN PENGGUNAAN
PETROL
01 PENGENALAN TEKNOLOGI HIJAU
Menurut Universiti Sains Malaysia, teknologi hijau merujuk kepada pembangunan dan aplikasi
produk, peralatan serta sistem untuk memelihara alam sekitar dan alam semula jadi dan
meminimumkan atau mengurangkan kesan negatif daripada aktiviti manusia.
Terdapat empat tonggak kelestarian Dasar Teknologi Hijau Kebangsaan yang terdiri daripada
aspek tenaga, ekonomi, sosial dan alam sekitar. Antara tonggak tersebut adalah untuk
mempromosikan kecekapan tenaga dan mencari ketidakbergantungan tenaga, meningkatkan
ekonomi negara melalui penggunaan teknologi serta meningkatkan kualiti hidup untuk semua.
Matlamat teknologi hijau bagi jangka panjang adalah untuk menerapkan teknologi hijau dalam
budaya Malaysia. Selain itu, adalah untuk meluaskan penggunaan teknologi hijau untuk
mengurangkan penggunaan sumber secara keseluruhan di samping mengekalkan
pertumbuhan negara.
Teknologi hijau penting bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar dalam tempoh jangka masa
panjang. Inovasi dalam teknologi hijau ini dapat membantu untuk mengurangkan
kebergantungan kepada sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui seperti petroleum.
Sebahagian besar petroleum digunakan untuk menampung keperluan petrol bagi kenderaan.
Hal ini akan menyebabkan peningkatan permintaan terhadap petrol dan secara tidak langsung
akan menjejaskan keberlangsungan tenaga tersebut.
2.0 MAKSUD PRODUK HIJAU
Menurut Fabien Durif, Caroline Boivin dan Charles Julien (2021), produk hijau dapat ditakrifkan
sebagai produk yang berfungsi atau mempunyai hubungan dengan proses untuk mendapatkan
semula bahan, pengeluaran, penjualan penggunaan dan rawatan sisa tersedia untuk kitar
semula, mengurangkan pencemaran dan penjimatan tenaga.
Menurut Abiodun Elijah Obayelu (2016), produk hijau merupakan produk yang memenuhi salah
satu kritera untuk memiliki kualiti yang akan melindungi alam sekitar, menggantikan bahan
tiruan dengan bahan semula jadi atau produk yang bukan toksik, cekap tenaga dan air, tidak
berbahaya kepada alam sekitar, boleh dikitar semula dan terbiodegradasi.
Menurut Nishata Royan (2020), produk hijau adalah produk yang direka untuk meminimumkan
kesan alam sekitar sepanjang kitaran hayatnya. Produk ini biasanya mempunyai dua matlamat
utama. Salah satu matlamat tersebut adalah untuk mengurangkan sisa dan juga
pemaksimuman kecekapan sumber. Nishata juga mengatakan bahawa produk hijau dibuat
menggunakan komponen yang bebas daripada toksik dan penggunaan teknik yang mesra
alam.
3.0 ISU PENCEMARAN
PENGGUNAAN PETROL
Menurut Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (2020), Input bahan api ke stesen janakuasa
mengikut jenis bahan api (KTOE) menunjukkan jumlah peningkatan yang banyak dari tahun ke
tahun. Sehingga tahun 2016, jumlah keseluruhan penggunaan bahan api menunjukkan jumlah
sebanyak 35,348 KTOE. Laporan berita harian yang bertarikh 23 Januari 2020 juga melaporkan
bahawa jumlah penggunaan petrol RON95 negara adalah sekitar 14.4 bilion liter setahun. Hal
ini jelas menunjukkan bahawa penggunaan dan kebergantungan petrol masih berada dalam
paras yang tinggi bagi sektor pengangkutan.
Perkara ini akan memberi impak yang besar kepada bekalan tenaga petroleum pada masa
akan datang sekiranya tiada langkah proaktif dilakukan untuk mengurangkan penggunaan
tenaga ini. Hal ini dapat dijangkakan kerana pertambahan bilangan kenderaan tahun demi
tahun. Setakat Januari 2021, peratusan kenderaan motokar menunjukkan peningkatan
sebanyak 3.60% dan memiliki jumlah sebanyak 15,276,772 buah kenderaan pada tahun 2021
berbanding tahun 2020 iaitu sebanyak 14,745,615. peningkatan jumlah kenderaan jalan raya
menyebabkan peningkatan permintaan minyak bagi sektor jalanan. Menurut Organisation For
Economic Co-operation and Development (OECD) (2020), sebanyak 48.6% permintaan minyak
OECD digunakan untuk sektor jalanan.
Rajah 3.1 dipetik dari Buletin Statistik Kementerian Pengangkutan Malaysia siri 02/2021
PENCEMARAN UDARA
Kenderaan bermotor ini menjadi salah satu punca utama kepada pencemaran udara kerana
kebanyakan daripadanya menggunakan bahan bakar seperti petrol dan juga diesel.
Penggunaan bahan bakar tersebut akan menyebabkan pelepasan gas yang berbahaya. Gas
beracun seperti karbon monoksida, nitrous oksida dan hidrokarbon yang dilepaskan oleh
kenderaan bermotor juga akan menyebabkan kesan sampingan kepada rumah hijau. Menurut
laporan yang dikeluarkan oleh BERNAMA (2022) juga, lebih kurang 90% pengangkutan di jalan
raya adalah berasaskan penggunaan minyak seperti petrol atau gas asli dan pengangkutan
darat adalah merupakan diantara penyumbang terbesar terhadap pembebasan gas rumah
hijau.
Rajah 3.2 kesan rumah hijau
Tahap pencemaran udara bergantung kepada kepekatan gas dalam udara. Semakin tinggi
tahap kepekatan, semakin teruk tahap pencemaran yang berlaku. Sebagai bukti, bacaan purata
kepekatan harian karbon monoksida (CO) menunjukkan bacaan tertinggi sehingga melepasi
kadar 1.4 ppm sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan akibat wabak
Covid-19. Kadar pencemaran udara menunjukkan bacaan yang lebih tinggi pada kawasan
bandar berbanding kawasan lain seperti Shah Alam yang mencatatkan nilai bacaan CO
tertinggi, melebihi 1.4 ppm dan diikuti dengan negeri Pulau Pinang yang melebihi paras bacaan
0.8 PPM.
Rajah 3.3 keratan laporan status kualiti udara sebelum dan sepanjang
tempoh PKP oleh Jabatan Alam Sekitar.
Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa penggunaan kenderaan bermotor secara meluas
mengakibatkan peningkatan kadar gas karbon monoksida di dalam udara. Kandungan gas
tersebut berkurangan semasa tempoh PKP kerana pengurangan penggunaan kenderaan
kerana sekatan yang dijalankan.
4.0 PRODUK TEKNOLOGI HIJAU
TEKNOLOGI KERETA HIBRID
KEBAIKAN
Menurut Prof Madya Dr. Sawal Hamid Md Ali (2022), pengangkutan hijau melibatkan peralihan
penggunaan kenderaan berasaskan bahan api fosil kepada penggunaan pengangkutan hijau
yang mesra alam yang menggunakan tenaga diperbaharui (RE) seperti solar, biofuel, hidro dan
angin perlu digerakkan secara lebih agresif.
Oleh hal yang demikian, sebuah teknologi baru yang dikenali sebagai teknologi hibrid telah
diperkenalkan melalui aspek pengangkutan hijau untuk mengatasi masalah isu pencemaran
dan mengurangkan penggunaan bahan bakar petrol. Teknologi hibrid merupakan hasil
gabungan dua atau lebih teknologi dengan tujuan untuk mencapai sistem yang lebih efisyen.
Teknologi ini juga menggunakan pelbagai gabungan daripada produk elektrik dan unit
pengumpulan untuk memenuhi permintaan komuniti. Antara gabungan tersebut adalah terdiri
daripada wind-solar photovoltaic (PV) hybrid systems, wind-diesel hybrid systems, fuel cell-gas
turbine hybrid systems dan wind-fuel cell hybrid systems.
Kereta hibrid berfungsi dengan menggunakan tenaga elektrik dan juga bahan bakar fosil.
Teknologi ini menggunakan dua jenis enjin iaitu enjin petrol dan enjin yang mempunyai elektrik
serta bateri. Kereta hibrid ini berfungsi dengan menggunakan pembakaran enjin dalaman
bersama motor elektrik yang menggunakan tenaga yang terdapat dalam bateri. Bateri akan
dicas melalui brek regeneratif dan juga pembakaran enjin dalaman. Dalam konteks ini, brek
regenatif membawa kelebihan untuk mendapatkan semula tenaga yang hilang semasa
pemandu membrek kenderaan dan akan menyimpan tenaga tersebut sebagai elektrik dalam
bateri. Hal ini membantu untuk mengecas semula bateri dengan mudah.Bateri akan bertindak
untuk membekalkan tenaga elektrik bagi menghidupkan motor ketika kenderaan sedang
berjalan. Teknologi kereta hibrid ini kebiasaannya menggunakan bateri nickel-metal-hydride
(NiMH). Namun kapasiti bateri dapat ditambah sekiranya bateri tersebut ditukar dengan
menggunakan bateri lithium-ion (Li-ion).
Rajah 4.1.1 proses brek regenatif berfungsi
Teknologi pengangkutan hijau kereta hibrid ini dapat dibahagikan kepada empat jenis yang
berbeza. Antara jenis tersebut adalah Series Hybrid car yang menggunakan motor elektrik bagi
menghasilkan elektrik dan mengecas bateri. Jenis teknologi ini membenarkan dua sumber
kuasa digunakan. Enjin bateri akan digunakan untuk jarak pemaduan yang dekat. Sekiranya
bateri menjadi lemah, enjin bateri akan ditukar kepada enjin petrol. Enjin petrol juga hanya
digunakan untuk pemanduan yang pantas. Jenis seterusnya adalah Parallel Hybrids di mana
enjin petrol digunakan untuk menjana kuasa kereta. Enjin petrol digunakan bersama motor
elektrik untuk menggerakkan kereta.
Rajah 4.1.3 perbandingan enjin Parallel Hybrid dan Series Hybrid
Selain itu, terdapat juga teknologi series-parallel hybrids. teknologi ini menggabungkan series
hybrid dan juga parallel hybrids. Dalam konteks ini, kereta bergerak sama ada menggunakan
enjin petrol, enjin elektrik atau kedua-duanya serentak. Bateri dicas melalui enjin petrol sama
seprti series hybrid. Sumber kuasa utama terdiri daripada enjin petrol. Bateri akan digunakan
semasa kenderaan bergerak perlahan.
Rajah 4.1.3 kereta model Toyota Prius Hybrid merupakan contoh bagi Series-Parallel Hybrids
Jenis kereta hibrid yang terakhir adalah menggunakan teknologi plug-in hybrid atau dikenali
juga sebagai plug-in hybrid electric vehicle (PHEV). teknologi ini membenarkan bateri di cas
sama ada menggunakan enjin petrol atau menggunakan sumber luaran seperti stesen
pengecasan. Teknologi ini juga membenarkan kereta untuk membuat pemanduan jauh hanya
dengan menggunakan bateri tanpa bergantung kepada enjin petrol.
Rajah 4.1.4 kereta model Audi A7 Sportback 55 TFSI merupakan contoh bagi Plug-In-Hybrid.
Bateri bagi setiap jenis hibrid ini dicas dengan menggunakan kaedah yang berbeza. Parallel
hybrids mengecas dengan menukarkan tenaga elektrik daripada lebihan tenaga manakala
series dan plug in hybrids melakukan pengecasan bateri dengan menggunakan enjin petrol.
Disebabkan teknologi hibrid ini menggunakan bateri, hal ini juga membantu untuk
mengurangkan pelepasan gas beracun ke udara serta mengurangkan kebergantungan
terhadap penggunaan sumber asli petrol. Kereta hibrid hanya memerlukan kuantiti petrol yang
sedikit kerana telah digantikan dengan tenaga elektrik daripada bateri. Hal ini dapat membantu
untuk mengurangkan pelepasan gas toksik ke ruang udara kerana petrol tidak lagi menjadi
sumber utama untuk menggerakkan enjin kereta dan sekaligus mengurangkan pembakaran
petrol yang berlaku.
KEBURUKAN
Walau bagaimanapun, teknologi kenderaan hibrid ini juga turut mempunyai keburukan yang
tersendiri. Teknologi yang bermutu tinggi ini cenderung untuk mempunyai kos yang tinggi
kerana mempunyai kos insurans yang lebih tinggi berbanding kenderaan yang biasa. Hal ini
terjadi kerana penjimatan petrol akan menyebabkan pengguna untuk memandu dengan jarak
yang jauh secara tidak langsung menjadikan kos insurans yang lebih tinggi meskipun kos dapat
dikurangkan melalui penjimatan minyak. Perkara ini akan menjadi faktor utama pengguna untuk
membeli kereta hibrid kerana harga kereta biasa yang lebih rendah.
Rajah 4.2.1 Data Keseluruhan Jumlah Pendaftaran EV Dan Hibrid Mengikut Tahun.
Berdasarkan hasil data yang diperoleh, hal ini cukup menjelaskan bahawa penggunaan kereta
hibrid masih tidak meluas dan menunjukkan pengurangan yang ketara pada tahun 2019.
Masalah ini akan menjadi penghalang utama untuk mempromosikan penggunaan kereta hibrid
kepada pengguna.Selain itu, kenderaan hibrid ini juga turut mempunyai risiko elektrik. Hal ini
kerana bateri yang digunakan oleh kereta hibrid ini mempunyai nilai voltan yang tinggi. Sebuah
kereta konvensional biasa menghasilkan voltan sebanyak 12 hingga 14 volts namun dengan
kenderaan hibrid, jumlah nilai voltan mampu mencecah 12 sehingga 650 volts. Ini akan
meningkatkan risiko kepada pengguna semasa berlakunya kemalangan untuk terkena renjatan
elektrik. Kekurangan kereta hibrid yang seterusnya adalah kekurangan kuasa. Enjin yang
terdapat pada kereta hibrid tidak dapat berfungsi seperti enjin kereta biasa kerana penggunaan
dual-engine. Kapasiti enjin petrol yang terdapat pada kenderaan hibrid adalah lebih kecil
berbanding kereta biasa. Oleh disebabkan sumber utama kuasa berkapasiti kecil, kenderaan ini
hanya sesuai digunakan untuk pemanduan biasa dan bukan pecutan.
5.0 CADANGAN KAEDAH LAIN
Selain daripada penggunaan kereta hibrid, kereta elektrik atau juga dikenali sebagai plug-in
electric cars boleh dijadikan sebagai alternatif lain bagi mengatasi masalah pencemaran udara
dan penggunaan minyak petrol. Teknologi ini berbeza dengan teknologi kereta hibrid kerana
hanya menggunakan tenaga elektrik semata-mata tanpa melibatkan sebarang penggunaan
minyak petrol mahupun diesel. Tenaga elektrik tersebut juga akan disimpan di dalam bateri
untuk menggerakkan motor elektrik. Kereta elektrik ini boleh dicas sama ada menggunakan
pengecas di rumah ataupun di mana mana stesen pengecasan yang berdekatan. Sebagai
contoh, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan air (KeTTHA) telah melancarkan stesen
pengecas kenderaan elektrik (ChargeEV) di Stesen Petronas Solaris, Sedang Selangor dan
masih terdapat sebanyak 10 stesen pengecas kenderaan elektrik di Semenanjung Malaysia.
Bukan itu sahaja, sebanyak 66 stesen baharu juga bakal diwujudkan bagi menyediakan
kemudahan kepada pengguna kereta elektrik.
Kereta elektrik juga turun memberi manfaat kepada alam sekitar. Menurut EDF Energy (2022),
dalam lebih setahun, hanya sebuah kereta elektrik di jalan raya boleh menjimatkan purata 1.5
juta gram karbon dioksida dalam udara. Selain itu, European Environment Agency (2018) juga
turut melaporkan bahawa pelepasan karbon kereta elektrik adalah sekitar 17%-30% lebih
rendah daripada memandu kereta petrol atau diesel. United States Environmental Protection
Agency (2021) juga melaporkan bahwa kereta elektrik mempunyai kadar jejak karbon yang
lebih rendah berbanding dengan kereta gasolin. Pihak EV (electric cars) bertanggungjawab
untuk tahap pelepasan tahap gas rumah hijau (GHG) yang lebih rendah daripada purata kereta
petrol baharu.
Rajah 5.1 kiraan jumlah pelepasan GHG bagi model kereta elektrik Nissan Leaf (40 kW-hr
battery pack)
Berdasarkan rajah di atas, hasil kiraan mendapati bahawa kereta elektrik mempunyai kadar
pelepasan GHG yang rendah berbanding purata kenderaan gasolin baru. Penggunaan kereta
gasolin juga turut menunjukkan bacaan kandungan pelepasan GHG yang tinggi berbanding dua
jenis kereta yang lain. Contoh ini jelas menunjukkan bahawa kereta elektrik sangat membantu
untuk mengurangkan pelepasan gas berbahaya ke dalam udara. Menurut Julio A. Sanguesa,
Vicente Torres-Sanz, Piedad Garrido, Francisco J. Martinez dan Johann (2021) kelebihan
kereta elektrik ini adalah tidak membebaskan karbon dioksida dan nitrogen dioksida dan lebih
mesra alam.
6.0 KESIMPULAN
Secara tuntas, teknologi hijau memainkan peranan yang sangat besar dalam memelihara alam
sekitar. Penggunaan kereta hibrid dan elektrik merupakan salah satu langkah yang sangat
efisien bagi menangani masalah pencemaran udara dan juga penggunaan petrol. Dalam meniti
arus moden pada hari ini, kereta merupakan aset penting bagi pengguna untuk menjalankan
rutin harian. Pertambahan bilangan kenderaan dari masa ke masa akan menjejaskan
persekitaran pada masa akan datang. Penggunaan petrol bukan digunakan untuk sektor
pengangkutan sahaja. Dengan memperkenalkan kenderaan hibrid dan elektrik, Perkara ini
mampu untuk mengurangkan hampir separuh daripada penggunaan petrol yang sepatutnya
digunakan oleh kereta biasa serta mengurangkan kebergantungan terhadap sumber asli. Dalam
masa yang sama, kelemahan teknologi ini juga haruslah sentiasa dipertingkatkan agar dapat
bergerak setanding dengan kelebihan yang ada pada kereta biasa. Selain daripada penghasilan
teknologi hijau yang maju, kesedaran pengguna juga turut memainkan peranan penting agar
usaha untuk menjaga alam sekitar ini berjaya. Pengguna harus sedar keburukan penggunaan
kereta biasa. Teknologi yang membangun memerlukan pengguna yang bijak untuk menilainya.
7.0 RUJUKAN
E V Kiseleva, N S Kaminskiy & V A Presnykov.(2020). Study of Fuel Efficiency of Hybrid
Vehicles. IOP Conference Series : Earth and Environmental Science.
European Environment Agency. (2018). Electric Vehicles From Life Cycle and Circular
Economy Perspectives. Luxembourg: Publications Office of The European Union.
Kementerian Pengangkutan Malaysia (2019). Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030.
Kementerian Pengangkutan Malaysia (2021). Buletin Statistik Kementerian Pengangkutan
Malaysia Siri 02/2021
Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (2021). Fuel Input to Power Stations by Fuel Type.
Kementerian Alam Sekitar dan Air (2020). Status Kualiti Udara Sebelum dan Sepanjang
Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Oleh Jabatan Alam Sekitar.
Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (2021). Kenderaan Elektrik Hibrid 2010 2019.
Department of Energy (2019). Electric Vehicle Benefits and Considerations. Vehicle
Technologies Office.
UN Climate Technology Centre & Network. (2020). Hybrid Technology. UNFCCC Technology
Mechanism.
U.S Department of Energy. Greenhouse Gas Emission from Electric and Plug-in Hybrid
Vehicles- Result. United States Environmental Protection Agency.
Kurniawati Kamarudin. (2020, Oktober 17). Tingkatkan Pengangkutan Hijau Untuk Rakyat.
Bernama.
EDF Group. (2018). Benefits of Electric Cars on The Environment. Retrieved from
https://www.edfenergy.com/for-home/energywise/electric-cars-and-environment