The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Keistimewaan Malaysia sebagai Destinasi Pelancongan

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by g-ipg004590, 2021-07-06 16:09:04

Keistimewaan Malaysia sebagai Destinasi Pelancongan

Keistimewaan Malaysia sebagai Destinasi Pelancongan

Keistimewaan Malaysia sebagai Destinasi Pelancongan

Salah satu sektor yang menyumbang kepada kerancakan ekonomi di Malaysia adalah
sektor pelancongan. Saban hari, jumlah pelancong yang masuk ke dalam negara semakin
meningkat dari tahun ke tahun. Industri pelancongan negara kini menjadi penyumbang
keenam terbesar kepada ekonomi negara dengan sumbangan sejumlah RM 161 bilion atau
14.9 peratus berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2014
berdasarkan petikan akhbar Berita Harian Online bertarikh 17 Oktober 2015. Angka tersebut
telah melebihi jangkaan 8.1 juta orang pelancong yang diramalkan akan datang ke Malaysia
pada tahun tersebut. Statistik tersebut menunjukkan bahawa pelancongan mempunyai
potensi yang besar untuk dikembangkan dan kekal menjadi penyumbang kepada ekonomi
negara. Persoalannya, apakah sebab-sebab para pelancong memilih Malaysia sebagai
destinasi pelancongan mereka?

Antara sebab utama Malaysia menjadi pilihan dalam kalangan pelancong khususnya
pelancong asing adalah kerana kekayaan semula jadi yang terdapat di serata negara. Tanah
air kita terletak di garisan khatulistiwa yang memberikan iklim berbeza berbanding negara-
negara di Eropah, Amerika dan Asia Barat. Kebanyakan mereka gemar mengunjungi
Malaysia pada musim sejuk atau musim panas kerana cuaca di Malaysia memberikan
suasana yang disukai oleh mereka. Kerajaan Malaysia bertindak proaktif dengan mewartakan
taman-taman negara yang kaya dengan keindahan alam semula jadi serta menjadi
penyumbang kepada industri pelancongan. Pengunjung dari luar negara akan melancong di
taman-taman negara seperti Taman Negara Pahang yang merangkumi hutan belantara,
gunung-ganang, sungai serta pelbagai flora dan fauna. Di samping menikmati keindahan alam
yang tidak didapati di negara lain, pelancong dapat melakukan pelbagai aktiviti seperti
mendaki gunung, memancing, berkhemah dan pelbagai lagi. Pengalaman menghabiskan
masa dikelilingi alam semula jadi menjadi antara tarikan utama pelancong ke Malaysia.

Sebab lain pelancong memilih Malaysia sebagai negara yang ingin dikunjungi adalah
dikelilingi dengan pulau-pulau serta pantai yang indah. Kekayaan alam semula jadi di tanah
air kita bukan sahaja terletak di daratannya sahaja malah di kawasan laut juga memberikan
pelbagai kecantikan alam semula jadi yang kita boleh nikmati. Misalnya, Pulau Tioman di
Pahang dan Pulau Sipadan di Sabah yang menjadi tumpuan pelancong kerana keindahan
pantai serta terumbu karang yang menjadikan aktivti menyelam atau skuba lebih menarik.
Bahkan di Malaysia, mereka bukan sahaja boleh mengunjungi dua atau tiga pulau tetapi
mereka boleh melawat hampir 30 buah pulau yang memberikan suasana pelancongan yang
menarik. Selain itu, pantai-pantai di sekeliling Semenanjung Malaysia tidak kurang cantiknya.
Pelancong dapat menikmati angina sepoi-sepoi bahasa sambil memakan juadah tradisional
masyarakat Malaysia seperti Ikan Celup Tepung dan Sata yang popular di negeri pantai timur.

Dari sudut pandang yang lain, Malaysia menjadi pilihan pelancong adalah kerana
kemudahan infrastruktur yang kondusif. Sebelum memilih destinasi pelancongan, mereka
tentunya mencari kaedah pengangkutan yang selesa dan menawarkan perkhidmatan yang
terbaik. Pujian harus diberi kepada industri pengangkutan negara seperti syarikat-syarikat
penerbangan yang berjaya menjadi ejen keunikan negara di mata dunia. Dengan
perkhidmatan mereka yang bertaraf dunia, pelancong berasa selesa melancong dan sampai
ke destinasi yang ditujui dengan selamat. Jaringan lebuh raya dan rel seperti sistem transit
aliran ringan (LRT), komuter, dan monorel juga menyenangkan mobiliti para pelancong.
Tambahan pula, jaringan komunikasi yang menyediakan perkhidmatan internet di kawasan
tumpuan pelancong juga memberikan nilai tambah kepada kawasan tersebut. Pelancong
boleh berehat dan juga tidak ketinggalan dengan urusan kerja di mana internet merupakan
sumber utama jaringan komunikasi ke seluruh pelusuk dunia. Hasil infrastruktur yang kondusif
dan bertaraf dunia, lebih ramai pelancong akan datang berkunjung ke kawasan-kawasan
pelancongan di seluruh negara.

Pelancong-pelancong gemar melancong di Malaysia adalah kerana kekayaan budaya
dan sejarah masyarakat berbilang kaum yang kita miliki. Umum sedia maklum, kemajmukan
masyarakat Melayu, Cina, India dan lain-lain hidup bersama menjadi satu tarikan kepada para
pelancong kerana kebanyakan budaya yang dikongsi bersama. Tamsilnya, penganjuran
rumah terbuka pada hari perayaan menjadi simbol perpaduan masyarakat di Malaysia seperti
ketupat, rendang, hidangan kaum India seperti kari, tosei sehingga hidangan Cina seperti yee
sang dan kuih bulan. Pelancong juga dapat mengunjungi muzium dan memorial untuk
mengenali dengan lebih mendalam mengenai sejarah, budaya dan tradisi masyarakat
tempatan. Tidak dinafikan, keramahan dan budi bahasa tinggi yang ditunjukkan oleh
masyarakat Malaysia dijadikan sebagai nilai tambah kepada industri pelancongan negara
menyebabkan pelancong gemar untuk berkunjung ke negara ini.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai sebab utama yang menjadikan Malaysia sebagai pilihan
pelancong khususnya pelancong asing. Siapa sangka aktiviti makan angin yang ditawarkan
di kawasan perkampungan turut menjadi penyumbang utama ekonomi negara. Oleh itu, pihak
kerajaan seharusnya menyusun dasar dan strategi terbaik dalam mengembangkan industri
pelancongan di samping memelihara kekayaan alam semula jadi. Penganjuran Tahun
Melawat Malaysia juga merupakan inisiatif yang baik untuk dianjurkan kerana ia
menggalakkan pemain industri ini untuk turut bersama dalam menaikkan nama negara di
persada dunia. Ibarat peribahasa Melayu, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat
sagunya.


Click to View FlipBook Version