Adab Membaca al-Quran
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
ِْسمِ اللِ ال َّر ْحم ِن ال َّرح ْيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi
Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti
baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Al-Quran adalah kitab suci yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada Rasulullah S.A.W melalui
perantaraan malaikat Jibril. Al-Quran di turunkan sedikit demi sedikit hingga sempurna 30
juzuk.
Untuk menghidupkan al-Quran dalam jiwa kita, kita perlu membaca, melihat makna dan
tafsirnya dan cuba sedaya upaya untuk menghayati di dalam kehidupan sehari-hari, kerana
akhlak Rasulullah S.A.W adalah al-Quran seperti mana Siti Aisyah menyatakan bahawa akhlak
Rasulullah adalah al-Quran.
Dalam hadis Rasulullah S.A.W. baginda ada menyebut tentang orang yang tidak ada
langsung membaca al-Quran dan rongga mulutnya kosong dengan ayat-ayat al-Quran
seperti rumah yang kosong dari penghuni.
Hadis dari Rasulullah S.A.W. maksudnya :
"Sesungguhnya orang yang tidak ada pada rongganya sedikitpun daripada al-Quran seperti
rumah yang ditinggalkan kosong."
Seseorang yang membaca Al-Quran seolah-olah ia berada di sisi Allah S.W.T dan bermunajat
kepadaNya maka hendaklah menjaga adab-adab yang tertentu yang layak di sisi Tuhan Yang
Maha Agong lagi Maha Mulia. Ulama-ulama muktabar telah menggariskan beberapa adab
sebagai panduan sepeti berikut:
1. Hendaklah sentiasa suci pada zahir dan batin kerana membaca al-Quran adalah zikir yang
paling afdal (utama) dari segala zikir yang lain.
2. Hendaklah membaca di tempat yang suci dan bersih yang layak dengan kebesaran Yang
Maha Agong dan ketinggian al-Quranul Karim. Para Ulama berpendapat sunat membaca al-
Quran di Masjid iaitu tempat yang bersih dan mulia di samping dapat menambah kelebihan
pahala-pahala iktiqaf.
3. Hendaklah memakai pakaian yang bersih, cantik dan kemas.
4. Hendaklah bersugi dan membersihkan mulut. Melalui mulut tempat mengeluarkan suara
menyebut ayat al-Quran. Hadis Rasulullah S.A.W. berbunyi:
"Sesungguhnya mulut-mulut kamu adalah merupakan jalan-jalan lalunya al-Quran maka
peliharalah dengan bersugi."
Berkata Yazid bin Abdul Mallek: "Sesungguhnya mulut-mulut kamu adalah merupakan jalan-
jalan lalunya al-Quran maka peliharalah dengan bersugi."
5. Hendaklah melahirkan di dalam ingatan bahawa apabila membaca al-Quran seolah-olah
berhadapan dengan Allah dan bacalah dalam keadaan seolah-olah melihat Allah S.W.T.
Walaupun kita tidak dapat melihat Allah sesungguhnya Allah tetap melihat kita.
6. Hendaklah menjauhkan diri dari ketawa dan bercakap kosong ketika membaca al-Quran.
7. Jangan bergurau dan bermain-main ketika sedang membaca al-Quran.
8. Hendaklah berada dalam keadaan tenang dan duduk penuh tertib. Jika membaca dalam
keadaan berdiri hendaklah atas sebab yang tidak dapat dielakkan adalah harus.
9. Setiap kali memulakan bacaan lebih dahulu hendaklah membaca Istiazah:
(A'uzubillahiminasy-syaitannirrajim).
Kerana memohon perlindungan dari Allah dari syaitan yang kena rejam.
10. Kemudian diikuti dengan membaca basmallah: (Bismillahirrahmanirrahim).
Hendaklah membaca Bismillah itu pada tiap-tiap awal surah kecuali pada surah At-Taubah.
11. Hendaklah diulang kembali membaca Istiazah apabila terputus bacaan di luar daripada
al-Quran.
12. Hendaklah membaca dengan Tartil (memelihara hukum tajwid). Secara tidak langsung
menambah lagi minat kepada penghayatan ayat-ayat yang dibawa dan melahirkan kesan
yang mendalam di dalam jiwa.
Firman Allah S.W.T maksudnya : "Kami membaca al-Quran itu dengan tartil."
(Surah Al-Furqan ayat 32)
"Hendaklah kamu membaca Al-Quran dengan tartil."
(Surah Al-Muzammmil ayat 4)
Pengertian Tartil pada bahasa: Memperkatakan sesuatu perkara itu dengan tersusun dan
dapat difahami serta tanpa gopoh-gopoh. Menurut Istilah Tajwid ialah membaca al-Quran
dalam tenang dan dapat melahirkan sebutan huruf dengan baik serta meletakkan bunyi
setiap huruf tepat pada tempat-tempatnya. Saydina Ali k.w berkata: "Pengertian tartil ialah
mentajwidkan akan huruf-huruf al-Quran dan mengetahui wakaf-wakafnya."
13. Hendaklah berusaha memahami ayat-ayat yang dibaca sehingga dapat mengetahui
tujuan al-Quran diturunkan oleh Allah S.W.T.
Allah S.W.T. berfirman maksudnya : "Inilah al-Quran yang memimpin jalan yang lurus. (Surah
Al-Israi’ ayat 9)
Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Kami turunkan Al-Quran sesuatu yang menjadi penawar
dan rahmat bagi orang mukminin."
(Surah Al-Isra’ ayat 82)
Firman Allah S.W.T. lagi maksudnya : "Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu
dengan penuh barakah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat
pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.
(Surah Sad ayat 29)
14. Hendaklah menjaga hak tiap-tiap huruf sehingga jelas sebutannya kerana tiap-tiap satu
huruf mengandungi sepuluh kebajikan. Hadis dari Rasulullah S.A.W. berbunyi:
Diriwayatkan dari Tirmizi dari Abdullah bin Masud daripada Rasulullah S.A.W. telah bersabda
maksudnya : "Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran) maka
baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan
Alif Laam Miim satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf."
15. Hendaklah membaca al-Quran mengikut tertib mashaf. Dilarang membaca dengan cara
yang tidak mengikut susunan kecuali diceraikan surah-surah dengan tujuan mengajar kanak-
kanak adalah diharuskan.
16. Hendaklah berhenti mambaca apabila terasa mengantuk dan menguap kerana seseorang
yang sedang membaca al-Quran ia bermunajat kepada Allah dan apabila menguap akan
terhalang munajat itu kerana perbuatan menguap adalah dari syaitan.
Berkata Mujahid: Apabila kamu menguap ketika membaca al-Quran maka berhentilah dari
membaca sebagai menghormati al-Quran sehingga selesai menguap.
17. Hendaklah meletakkan al-Quran di riba atau di tempat yang tinggi dan jangan sekali-kali
meletakkannya di lantai atau di tempat yang rendah. Sabda Rasulullah S.A.W.:
Ubaidah Mulaiki r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : “Wahai
kaum ahli-ahli al-Quran jangan gunakan al-Quran sebagai bantal tetapi hendaklah kamu
membacanya dengan teratur siang dan malam.”
18. Hendaklah memperelokkan bacaan dan menghiaskannya dengan suara yang baik.
Sabda Nabi S.A.W. dalam sebuah hadis: Telah bersabda Nabi Muhammad S.A.W maksudnya :
"Hiasilah al-Quran dengan suara-suara kamu."
19. Setiap bacaan hendaklah disudahi dengan membaca:
(Sadaqallahul’azim).
20. Disunatkan berpuasa di hari khatam al-Quran dan diikuti dengan mengumpul ahli
keluarga dan sahabat handai bersama-sama di dalam hari khatam al-Quran. Dalam sebuah
hadis ada menjelaskan kelebihan orang yang telah khatam al-Quran menerusi sebuah hadis
yang berbunyi:
Telah bersabda Nabi Muhammad S.A.W maksudnya : "Sesiapa yang telah khatam al-Quran
baginya doa yang dimakbulkan."
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita membaca al-Quran, meneliti terjemahannya dan melihat tafsirnya
supaya al-Quran itu hidup dalam hati kita. Oleh itu jadikan bacaan al-Quran ini rutin harian
kehidupan kita untuk mencari keredaan Allah S.W.Ta. sebaik-baiknya membaca 1juzuk sehari,
jika tidak mampu cuba pastikan sehari membaca satu muka surat, semoga dengan ini akan
jadilah al-Quran itu sebagai satu cara hidup kita.