Sepi Syawal Tanpa Bonda
Rasa sendu
terkilan
kecewa
dan duka
semuanya terjaring
dalam relung hati
membiaskan lahar kesyahduan dan kesunyian
lalu terpancar pada arca wajah.
Kedamaian tiada lagi
sedang dahulunya
tika alunan bergema
akulah insan paling ceria
merenung redup matanya sebening embun pagi
menatap raut wajahnya setulus sinar mentari
betapa di dada tuanya
teranyam kelongsong kesabaran
di hati penuh makna.
Sunyi membungkam dalam diri
sepi diri tanpa bonda
kepiluan melamar jua
Ibu,
kau masih dalam ingatan
memoriku sepi tanpa ibu.
(Pusara Sepi, Lorong Sejahtera, Kangar)
Amylia Hussain
Pohon Tradisi, 2012
Gapeniaga Sdn. Bhd.
Maksud Rangkap 1
Penyajak merasa sedih dan pilu, terkilan, kecewa serta duka cita yang terperangkap dalam kalbunya.
Semuanya itu membayangkan rasa syahdu dan sunyi yang terpancar pada riak wajah penyajak.
Maksud Rangkap 2
Sekarang penyajak merasakan hidupnya tidak damai berbanding dahulu. Saat bila bergema takbir
raya, dialah insan paling gembira. Penyajak merenung mata ibunya yang jernih. Penyajak menatap
wajah ibunya yang ikhlas, bersih dan suci. Meskipun, ibu penyajak cukup sabar namun apa yang
terkandung dalam hatinya penuh bermakna.
Maksud Rangkap 3
Sunyi membuatkan diri penyajak tidak bersuara. Penyajak merasa kesunyian tanpa kehadiran
ibunya dan sering diselebungi kesedihan. Penyajak menegaskan bahawa ibu tetap dalam ingatannya.
Kenangan masa lalu penyajak dirasakan sepi tanpa ibu disisi.
Mencintai Tanah Ini
Siapakah berani merobek angin musim sentosa ini
Sayapnya menebar jauh hingga ke lereng bukit
dan denai-denai desa
Siapakah berani memancung damai negeri bertuah
ini
Dengan pedang terhunus dendam
berpercikan silau kebencian.
Sejarah pertiwi masih cermat tersimpan
Dalam album purbanya
ngilu hiris cengkam penjajah
Berganti silih
Mencakar sukma ibunda
Hari ini pun terasa lagi akan pedih siatnya.
Degup ingin anak-anak bangsa
Masih kental mengisi mimpi
Membenteng tanah yang sesusuk ini
Dengan harga cinta tak tertawarkan
Dengan anyam kasih tak tercelakan.
Kemerdekaan yang kita genggam bukan kata hiasan
Seperti kedaulatan bukan hanya seuntai slogan
Telah berjanji kita atas nama bumi pusaka
Sepakat rela kita julang menjunjungnya
ke puncak persada.
Marilah kita tentang perobek angin musim sentosa
Hingga luluh sayapnya melayang
Ke gurun-gurun yang saujana
Marilah kita lestarikan limpah rahmat
bernafaskan kasih luhur
Dengan jiwa paling bening tunduk dan syukur.
Lim Swee Tin
Cakerawala Kemerdekaan, 2007
Citra Kurnia Enterprise
Maksud;
Rangkap 1
Penyajak mencabarr pihak yang cuba menggugat keamanan dan kesejahteraan negara ini.
Penyajak mempersoalkan pihak yang sentiasa menyebar pengaruh dan meracuni pemikiran rakyat
dengan unsur-unsur negative di seluruh negara.
Rangkap 2
Penyajak mengingatkan tentang tersimpannya sejarah perjuangan rakyat mempertahankan tanah air
daripada penjajahan yang bersilih ganti.Kesannya amat sukar untuk dilupakan.
Rangkap 3
Penyajak menjelaskan bahawa rakyat sentiasa berharap dan teguh untuk mempertahankan tanah air
yang tercinta tanpa berbelah bagi.
Rangkap 4
Penyajak mengingatkan kita bahawa kemerdekaan dan kedaulatan negara sangat bermakna dan
bernilai.Kita sebagai rakyat sepakat berikrar untuk menjulang nama negara di peringkat dunia.
Rangkap 5
Penyajak mengajak rakyat menentang musuh yang mengancam keamanan dan keharmonian negara
sehingga terhapus pengaruhnya.
Penyajak mengajak rakyat mengekalkan kenikmatan yang dikecapi sekarang dengan rasa kasih yang
agung serta jiwa bersih,ikhlas dan syukur kepada Allah SWT.