AGIHAN REZEKI ALLAH SANGAT UNIK DAN MISTERI
PREVIEW
USTAZ,
KENAPA REZEKI
KITA BERBEZA?
DR HAPIZ KODIANG
AGIHAN REZEKI ALLAH SANGAT UNIK DAN MISTERI
PREVIEW
USTAZ,
KENAPA REZEKI
KITA BERBEZA?
DR HAPIZ KODIANG
Penafian dan Hakcipta
Penerbitan Pertama: Ogos 2021©Copyright 2021.
E-BOOK ini karya asal oleh:
Dr Mohd. Hapiz Mahaiyadin
Sebarang pendapat dan pengalaman yang dikongsi adalah dari
koleksi penulis sendiri. Sebarang pengulangan dalam apa jua
bentuk samada secara elektronik, fotokopi, mekanik, rakaman
atau apa sahaja dari mana-mana bahagian e-book ini adalah tidak
dibenarkan tanpa izin penulis. Penulis tidak menjamin isi yang
terkandung dalam e-book ini adalah sesuai atau tidak kepada
pembaca kerana semua isi dan kandungan adalah melalui
pemahaman dan pengetahuan penulis sendiri.
Diterbitkan oleh:
Excelligent Resources
50 Jalan Yakut 7/13
Seksyen 7
40000 Shah Alam Selangor
019-3337677
Reka Bentuk Kulit : Mohd Hapiz Mahaiyadin
Susun Atur : Mohd Hapiz Mahaiyadin
Isi Kandungan
Antara isi kandungan ebook ini nanti ;
Pendahuluan
Kenapa Rezeki Tidak Sama
Bagaimana Kita Melihat Kekayaan dan Kemewahan
Dunia
Kena Faham Terlebih Dahulu Konsep Rezeki
Maksud Rezeki
Jenis-jenis Rezeki
Kita Percaya Rezeki Daripada Allah
Kita Percaya Rezeki Telah Ditakdirkan
Bagaimana Allah Mengagihkan Rezeki
Agihan Rezeki antara Mukmin dan Fasik
Kisah-kisah Menarik Tentang Agihan Rezeki
Kata-kata Hikmah Tentang Rezeki
Rujukan
Biodata Penulis
Dr. Mohd Hapiz Bin Mahaiyadin berasal dari Kodiang,
Kedah. Bertugas sebagai pensyarah Kanan & Ketua Pusat
Pengajian Pengurusan Industri Halal, Akademi Pengajian
Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA Shah
Alam, Selangor. Meminati bidang fiqh dan usul, fatwa,
kajian hukum semasa.
Merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri
Kedah Darul Aman (2018-sekarang) dan Negeri Pulau Pinang
(2020-sekarang). Selain itu, turut menganggotai Jawatankuasa
Pusat, Persatuan Ulama Malaysia (PUM).
Pandangan beliau boleh dilihat melalui paparan posting dan
komentar di Facebook #Hapiz Kodiang dan Page #Dr Mohd
Hapiz Mahaiyadin. Emel : [email protected]
Penghargaan
SEGALA PUJIAN BAGI ALLAH SWT berserta solawat dan salam ke
atas Nabi Muhammad SAW yang membimbing manusia ke jalan yang
benar. Doa kesejahteraan dititipkan ke atas kaum keluarga serta
sahabat Baginda yang menyinari dunia ini dengan kebenaran. Amma
Ba’d.
Dengan rendah hati, saya akan menerbitkan ebook Ustaz, Kenapa
Rezeki Kita Berbeza? bagi menjelaskan kepada masyarakat segenap
lapisan mengenai konsep rezeki dan hikmah Allah SWT dalam
pengagihan rezeki yang tidak sama kepada sekalian hambaNya.
Dengan wacana bersifat santai dan menggunakan laras bahasa yang
mudah, ebook ini diharap dapat meningkatkan keyakinan pembaca
terhadap rezeki Allah dan sentiasa bersangka baik terhadap setiap
kurniaan nikmat yang dikecapi sama ada banyak atau sedikit.
Terima kasih diucapkan kepada seluruh pasukan Master Shiro Global
Academy (MSGA) yang membantu penerbitan semua ebook saya.
Tidak lupa kepada Ellis Elliza Md Ali, isteri tercinta yang memberikan
sokongan sepenuhnya.
Akhir sekali, dengan rasa sendah diri, saya mengharapkan preview
ebook ini memberikan manfaat kepada pembaca semua dan sebagai
pahala jariah saya di akhirat kelak.
Yang benar,
Dr. HK
11/7/2021
Preview ebook
E-book ini cuba mengutarakan wacana mengenai konsep rezeki
yang merupakan salah satu daripada empat rahsia takdir Allah
SWT kepada manusia selain ajal, pengakhiran yang baik atau
buruk dan penempatan di syurga atau neraka. Apa yang menjadi
rahsia Allah membukti kekuasaanNya sebagai Tuhan yang
menciptakan sekalian makhluk dan mengetahui segala keperluan
mereka. Dengan sifatNya Maha Adil, Maha Pemurah dan
Pemberi rezeki, Allah SWT telah menjaminkan kepada setiap
hambaNya akan bahagian dan kadar rezeki masing-masing yang
berputar dalam kerangka peraturan alam dan hukum syarak yang
ditetapkannya.
Misteri kurniaan dan agihan rezeki tersebut dijelaskan dalam al-
Quran dan hadis Rasulullah SAW agar umat Islam tidak bersalah
sangka terhadap keadilan Allah SWT. Perlunya takrifan rezeki
difahami dengan betul dan hikmah pengagihannya pula dianalisis
secara lebih menyeluruh agar semua manusia berkongsi pelbagai
sumber alam ini dengan baik berasaskan prinsip berusaha dengan
komited, bertasamuh, saling berkerjasama, melakukan kebajikan
dan tidak melakukan pembaziran.
Jika semua itu diamalkan, pengagihan hasil mahsul bumi ini
akan dikecapi semua manusia tanpa wujud jurang ekonomi dan
kekayaan yang nyata. Ternyata sikap manusia yang mewujudkan
sistem kisaran dan agihan rezeki tidak seimbang yang menzalimi
sebahagian sesama mereka. Hakikatnya, Allah menurunkan
rezeki daripada langit tetapi manusia yang tidak
membahagikannya dengan saksama.
Bagi umat Islam, usaha mencari rezeki adalah berteraskan hukum
syarak sebagai panduan mengumpulkan nikmat Allah agar
diberkati. Usaha tersebut disusuli dengan sikap tawakal dan
bersangka baik bahawa Allah SWT akan mengurniakan rezeki
dan nikmat pada setiap masa mengikut kadar yang telah
ditetapkan.
Pendahuluan
Perbezaan rezeki yang dimiliki oleh setiap manusia merupakan
satu persoalan yang sangat menarik dan misteri. Kenapa menarik
dan misteri? Ia menarik bagi saya kerana agihan rezeki dari Allah
kepada kita semua memang tidak sama kadarnya malah jenis-
jenis rezeki juga pelbagai. Ini ini disebabkan setiap kurniaan
nikmatNya ialah rezeki. Saya menyatakan misteri, kerana soal
rezeki termasuk dalam rahsia Allah SWT yang telah
menetapkannya kepada setiap manusia semasa mereka
diciptakan. Tiada siapa dapat mengagak kadar dan jenis rezeki
yang dia perolehi nanti semasa hidup.
Namun demikian, Baginda SAW mengajarkan kepada kita agar
berfikiran positif terhadap rezeki Allah SWT dengan mengambil
langkah-langkah terbaik dalam usaha sebagai seorang hamba
yang beriman kepada Allah, Tuhan Maha Pemurah dan Maha
Pemberi Rezeki.
Kenapa Rezeki Tidak Sama
Seorang teman pernah mempersoalkan sekadar berseloroh, kalau
benar Allah itu Maha Adil, kenapa Dia menjadikan rezeki orang
baik dengan orang ‘tidak baik’ berbeza-beza?
Contohnya, kita sering melihat seorang muslim yang kuat
beribadat, melaksanakan segala perintah dan menjauhi
laranganNya serta berusaha mengelakkan diri daripada unsur-
unsur kesetanan sewaktu menjalankan tugas dan amanah, namun
kehidupannya sangat sederhana dengan sumber pendapatan yang
tidak seberapa.
Manakala seorang lagi menjalani perniagaan yang terlibat
dengan perkara-perkara haram, mengisi masa terluang dengan
hiburan, arak, wanita dan perjudian tetapi hidupnya dipenuhi
kemewahan dan penuh dengan kegembiraan. Malah ramai di
kalangan hartawan yang berjaya terdiri daripada orang-orang
bukan Islam.
Seolah-olah rezeki Allah hanya tertumpah kepada gedung orang
bukan Islam, perasuah dan korupsis. Bagaimana keadilan sosial di
kalangan masyarakat Islam boleh wujud dan boleh mengatasi
masalah kemiskinan kerana kutipan zakat dan sedekah datangnya
daripada hartawan muslim yang prihatin sedangkan ramai
hartawan bukan beragama Islam?.
Katanya teman itu lagi, padahal Allah telah berjanji dalam al-
Quran, Dia tidak akan mensia-siakan usaha orang mukminin.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 143 yang bermaksud ;
“Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya
Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-
orang (yang beriman)"
Sepatutnya Allah memberikan kekayaan dunia ini kepada umat
Islam sahaja kerana merekalah yang menyembah Allah dan
mempertahankan kesucian agamaNya berbanding golongan yang
lain.
Memandangkan persoalan di atas diajukan dengan sokongan nas
syarak, maka saya memberikan respon secara ilmiah menurut
fahaman saya terhadap nas-nas al-Quran dan hadis. Maksudnya,
apa yang saya faham mengenai perbezaan rezeki Allah SWT
berdasarkan kalam Allah sendiri dan sabda Rasulullah SAW yang
menjelaskan perkara tersebut. Bagi saya, kita mungkin menilai
sesuatu perkara (dalam hal ini ialah rezeki) menerusi perspektif
yang berbeza, lantaran itu menghasilkan keputusan berbeza yang
mana ia membentuk persepsi dan kepercayaan kita.
Saya mulakan dengan menyatakan bahawa oleh kerana rezeki itu
Allah yang punya dan Dia yang mengagihkan kepada kita, maka
mahu tidak mahu kita perlu meneliti secara holistik pengurusan
rezeki di sisiNya.
Pertama ; sememangnya Allah SWT Maha
Adil dalam mengagihkan rezeki kepada
seluruh hamba-Nya termasuk haiwan dan
tumbuhan. Al-Quran dan hadis
menjelaskan bahawa memang Allah
membahagikan rezeki kepada manusia
khususnya secara berbeza-beza kerana
mempunyai hikmat yang sangat
bijaksana. Kerana itu, nasib dan rezeki
manusia tidak sama. Firman Allah dalam
surah Al Imran ayat 23 yang bermaksud ;
“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan
yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah
yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa
yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang
mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang
Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang
memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan
Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau
kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja
adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau
Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”
Ia menunjukkan bahawa rezeki adalah
milik Allah dan terpulang pada-Nya
untuk melakukan tanpa sesiapa pun
berhak mempertikaikan keputusan-Nya.
Kedua ; menyentuh tentang kaedah
pembahagian dan tujuan rezeki pula,
Allah menegaskan dalam firmanNya yang
bermaksud :
“Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala
keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini,
(setengahnya Kami jadikan kaya raya dan
setengahnya miskin menderita) dan juga Kami telah
menjadikan darjat setengah mereka tinggi dari
darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu)
supaya sebahagian dari mereka senang mendapat
kemudahan menjalankan kehidupannya dari
(bantuan) setengahnya yang lain dan lagi rahmat
Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan
akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan
keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan”
[Al-Zukhruf : 32].
Berdasarkan dua kenyataan di atas,
perbezaan rezeki antara manusia
hendaklah dipandang dari sudut positif di
mana dari situ akan terbitnya nilai kasih
sayang dalam kalangan manusia
khususnya umat Islam dan akan saling
membantu di antara satu dengan yang
lain.
Ketiga ; Allah menjadikan manusia
sebagai khalifah untuk mengimarahkan
bumi ini yang termasuk di antaranya
mengurus sumber kekayaan dan
menyamarakannya kepada seluruh
manusia. Oleh itu manusia selalu
diingatkan bahawa kurniaan pangkat,
darjat dan kekayaan merupakan ujian
Allah terhadap mereka yang ditangani
dengan penuh kebijaksanaan.
Firman Allah dalam surah al-An'am ayat
165 yang bermaksud :
“Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di
bumi dan meninggikan setengah kamu atas
setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Dia
hendak menguji kamu pada apa yang telah
dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya
Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya dan
sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani”
Al-Quran memperbetulkan persepsi umat Islam terhadap
kekayaan dan kemewahan hidup seperti berikut ;
ii. Kekayaan dan kemewahan hidup di dunia bersifat murahan,
rapuh dan tidak bernilai jika ia dijadikan matlamat utama oleh
manusia. Kekayaan duniawi sikit pun tidak bernilai di sisi Allah
s.w.t. dengan anugerah ukhrawi kepada orang-orang yang
bertaqwa. Ini dinyatakan dalam ayat 196-197 surah Al Imran yang
bermaksud :
“Jangan sekali-kali engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh usaha
gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa
keuntungan-keuntungan kepada mereka).(Semuanya) itu hanyalah
kesenangan yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat
kembali mereka Neraka Jahanam dan itulah seburuk-buruk tempat
ketetapan” [Al Imran : 196-197].
i. Amalan soleh dan kebaikan merupakan asset kekayaan sebenar
iaitu di hari akhirat kelak kerana satu-satunya tiket untuk
mengecapi kesenangan yang abdi. Firman Allah yang bermaksud :
Maksudnya “Harta benda dan anak pinak itu, ialah
perhiasan hidup di dunia dan amal-amal soleh yang kekal
faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala
balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan”
[Al-Kahf : 46]. “Dan janganlah engkau menujukan pandangan
kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah
Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang
kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan
kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya;
sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan
lebih kekal” [Taha : 131]
Daripada huraian al-Quran di atas, ternyata bagi
seseorang muslim, di hadapannya terdapat dua kehidupan
; kehidupan dunia yang singkat dan kehidupan akhirat
yang abadi. Kedua-duanya sangat penting dan saling
berhubung antara satu dengan yang lain. Hidup kita
sebenarnya adalah persaingan mencipta amal soleh dan
kerja yang berprestasi. Lihatlah firman Allah dalam ayat 2
surah al-Mulk yang bermaksud :
“Dialah [Allah] yang menjadikan mati dan hidup untuk
menguji kamu, siapa di antara kamu yang terbaik amalnya”
[al-Mulk : 2].
Dunia merupakan laluan menuju ke akhirat. Kerana itu,
seseorang muslim tidak seharusnya terseleweng kepada
dunia dan segala isinya.
Ini tidak bermakna Islam melarang kita daripada
menikmati keindahan dan memiliki kesenangan duniawi
sebagai satu anugerah Allah dan limpahan rahmat-Nya
kepada manusia. Allah berfirman, maksudnya :
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda
yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu dan janganlah
kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana
sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”.
[Al-Maidah : 87].
“DAN TUNTUTLAH DENGAN HARTA KEKAYAAN
YANG TELAH DIKURNIAKAN ALLAH KEPADAMU
AKAN PAHALA DAN KEBAHAGIAAN HARI
AKHIRAT DAN JANGANLAH ENGKAU MELUPAKAN
BAHAGIANMU (KEPERLUAN DAN BEKALANMU)
DARI DUNIA DAN BERBUAT BAIKLAH (KEPADA
HAMBA-HAMBA ALLAH) SEBAGAIMANA ALLAH
BERBUAT BAIK KEPADAMU (DENGAN PEMBERIAN
NIKMATNYA YANG MELIMPAH-LIMPAH) DAN
JANGANLAH ENGKAU MELAKUKAN KEROSAKAN
DI MUKA BUMI; SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK
SUKA KEPADA ORANG-ORANG YANG BERBUAT
KEROSAKAN.”
AL-QASAS : 77
“Kemudian setelah selesai
sembahyang, maka
bertebaranlah kamu di muka
bumi (untuk menjalankan
urusan masing-masing) dan
carilah apa yang kamu hajati
dari limpah kurnia Allah, serta
ingatlah akan Allah banyak-
banyak (dalam segala keadaan),
supaya kamu berjaya (di dunia
dan di akhirat).”
AL-JUMU'AH : 10
Mengingati Allah dalam konteks pencarian rezeki boleh
dimaksudkan sebagai kewaspadaan terhadap nilai-nilai
dan hukum-hukum Tuhan. Segalanya harus bertolak dari
niat yang ikhlas mencari keredaan Allah, diiringi
kesedaran yang mendalam tentang batas-batas halal dan
haram.
Sesungguhnya kekayaan seseorang muslim akan diberkati
apabila ia diperolehi dengan cara yang sebetulnya.
Rasulullah s.a.w. bersabda : “Alangkah berkatnya harta yang
baik apabila dimiliki oleh hamba yang baik” [HR Tabrani].
Dalam sebuah hadith yang lain, Baginda menegaskan :
“Sesungguhnya dunia ini suatu kenikmatan yang menghijau.
Sesiapa yang memperolehinya dengan cara selayaknya, ia akan
mendapat keberkatan daripada Allah” [HR Tabrani].
Saya merumuskan penjelasan panjang di atas dengan
menyatakan adakalanya kita menganggap nikmat yang
diperolehi dengan cara yang tidak sah, penuh syubhat dan
meragukan itu sebagai ‘rezeki’ Allah kepada kita kerana
kalau bukan rezeki kenapa ia datang kepada kita. Malah
ada sebahagian lagi terpaksa menggunakan saluran yang
kotor dan keji untuk memperolehinya setelah
menggunakan pelbagai cara yang sah tetapi tidak berjaya.
Antara alasan mereka yang terjebak dengan maksiat
seperti pelacuran dan perniagaan haram ialah bagaimana
mereka dapat menyara hidup keluarga sekiranya tidak
melakukan perbuatan tersebut. Dalam hal ini, Rasulullah
s.a.w. pernah menyatakan :
“Sesungguhnya tidak akan mati setiap jiwa (manusia) sehingga
ditetapkan rezeki dan ajalnya. Maka bertaqwalah kalian
kepada Allah dan carilah rezeki dengan cara yang baik.
Janganlah disebabkan terlambatnya rezeki datang, kamu
menuntutnya dengan menderhakai Allah kerana rezeki Allah
tidak boleh diperolehi melainkan dengan mentaatinya”. [HR
Ibnu Hibban, Ibnu Majah dan al-Hakim].
Ini antara penjelasan awal saya mengenai pengurusan
rezeki Allah SWT yang mana kita sering melihat
agihannya tidak sama di sisi manusia. Insya Allah,
perbincangan mengenai rezeki akan dilanjutkan dalam
sub-subtajuk seterusnya.
Saya mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan
rezeki yang halalan tayyiban kepada kita semua!
bookstore penulis
Dapatkan senarai e-book di
ebookstore penulis ;
www.drhapizkodiang.biz
PEMBERITAHUAN PENTING
Dapatkan senarai e-book PERCUMA dan
dengan HARGA MENARIK di
ebookstore penulis ;
www.drhapizkodiang.biz
PEMBERITAHUAN PENTING
Dapatkan e-book TERBARU ini di
ebookstore penulis ;
www.drhapizkodiang.biz