The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Amanat Pemimpin 2019 - Ahmad Azam Ab Rahman

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by TASKI ABIM SANDAKAN, 2020-05-14 17:42:07

Amanat Pemimpin 2019 - Ahmad Azam Ab Rahman

Amanat Pemimpin 2019 - Ahmad Azam Ab Rahman

© HAK CIPTA TERPELIHARA

Dilarang mengeluar ulang mana-mana bahagian
daripada kandungan buku ini dengan apa cara sekalipun
sama ada secara elektronik, fotokopi, mekanik, rakaman

dan lain-lain sebelum mendapat izin bertulis daripada
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
Cetakan Pertama Oktober 2019

Penerbit :
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

No 23A-2-2A, Tgk 2, Jalan Medan PB 2A,
Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi,
Selangor Darul Ehsan
Tel 603-8920 2142 Faks 603-8912 2346

[email protected] / www.wadah.org.my

Susun Atur oleh :
MOHA

Amanat Pimpinan

MENGUKUH TANZIM HARAKIY,
MEMACU AGENDA REFORMASI
DALAM PEMBINAAN BANGSA MALAYSIA.
Ahmad Azam Ab Rahman

Muktamar Nasional Ketigabelas
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
25-27 Oktober 2019 /26-28 Safar 1441
Bangi Avenue Convention Centre (BACC)

MENGUKUH TANZIM HARAKIY,
MEMACU AGENDA REFORMASI DALAM PEMBINAAN

BANGSA MALAYSIA.

Ahmad Azam Ab Rahman
Presiden

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

“Nabi Syuaib berkata: “Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu,
jika aku berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhanku, dan Ia pula
mengurniakan daku pangkat Nabi sebagai pemberian
daripadaNya, (patutkah aku berdiam diri dari melarang kamu)
sedang aku tidak bertujuan hendak melakukan sesuatu yang aku
melarang kamu daripada melakukannya? Aku hanya bertujuan
hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan
beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan
pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan
kepadaNyalah aku kembali. (Surah Hud 11:88)

1.0 MUKADIMAH
Ahlan wa sahlan wa marhaban kepada seluruh Tetamu dan
Muktamirin ke Ijtimak Harakiy ke-6 yang menghimpunkan
seluruh warga Jamaah dari Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam
Malaysia (PKPIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).

Ijtimak Harakiy kali ini amat penting dan bermakna kerana
negara kita pasca pilihanraya umum ke-14 sedang bergelut
dalam politik transisi yang sekiranya gagal ditangani dengan

Muktamar Nasional Ketigabelas WADAH

baik dan berhikmah, bakal menjerumuskan diri ke dalam
kancah perpecahan; negara yang gagal, berkecamuk dengan
pelbagai masalah dalaman yang tiada pengakhiran.
Sempena Ijtimak Harakiy kali ini, kita juga menganjurkan
Seminar Pembinaan Bangsa Malaysia sebagai inisiatif yang
berani untuk mencari formula terbaik bagi membina kesatuan
nasional dalam konteks kemajmukan bangsa, budaya dan
agama sebagai realiti kenegaraan yang mesti kita tangani.
Selamat datang dan terima kasih kita ucapkan kepada Dato’
Seri Anwar Ibrahim kerana sudi memberi Ucaputama dan
merasmikan Seminar, serta para panel dan pembicara yang
berwibawa yang sudi berkongsi buah fikiran bagi menjayakan
Seminar ini.
Muktamirin Sekalian,
2.0 UMAT ISLAM YANG TERCABAR

Membina dan mewariskan generasi baru dengan ideal and
realiti perjuangan adalah agenda dan komitmen kita yang
merentasi zaman dan tempat. Namun, agenda ini sentiasa
dipenuhi dengan pelbagai cabaran yang rencam dan kompleks.
Cabaran keilmuan adalah cabaran yang sentiasa akan
mengganggu proses pendakwahan dan pengislaman
termasuklah bagi kita di Alam Melayu. Ketika era penjajahan,
umat kita berhadapan dengan cabaran pengalaman penjajah
Barat menangani pengaruh umat Islam di rantau mereka sendiri
di Eropah pada penghujung abad ke-15. Umat Melayu
menghadapi acahan penjajah Barat yang cuba mengelirukan
pandangan hidup Islam yang telah terbina ketika itu. Proses
pendakwahan dan pengislaman tergendala akibat rempuhan
pemikiran Barat. Cabaran pemikiran inilah yang membawa

2

Amanat Pimpinan

bersamanya muatan pensekularan sebagai satu program
kefalsafahan. Proses pensekularan ini sudah terlalu banyak
mempengaruhi pemikiran umat Islam (Siddiq Fadzil, 1977: 1-
30; Syed Muhammad Naquib al-Attas, 1978: 13-46).
2.1 Cabaran Islamophobia, Bentuk Penjajahan Baru

Abad ke-21 telah membuka tirainya dengan babak-babak
berdarah yang mencabar dunia Islam. Serangan pada 11
September 2001 ke atas World Trade Centre, New York telah
disusuli dengan “perang menentang terorisme” ke atas
Afghanistan dan Iraq, lalu kemudian diperluas ke Syria, Libya
dan Yemen sehingga mengobrak-abrik negara-negara Islam ini.
Kemelut tersebut telah menyerlahkan suatu perancangan Barat
yang rapi untuk melakar peta baru Timur Tengah yang
sekaligus memperkasa kuasa Israel zionis, mengukuhkan
kepimpinan boneka Barat dan mencetuskan krisis keyakinan
terhadap Islam melalui serangan Islamofobia. Islamofobia
sebenarnya adalah usaha mengacah oleh tamadun Barat untuk
menakut-nakutkan manusia di seluruh dunia terhadap agama
Islam. Ketakutan ini dibentuk dalam rupa dan jiwa kekeliruan
pemikiran serta tindakan mencampur-adukkan kepalsuan
dengan kebenaran lalu mengakibatkan kekacauan fikiran dan
penyelewengan ilmu (corruption of knowledge), bukan sahaja
terhadap mereka yang bukan Islam, bahkan menjangkiti
pemikiran umat Islam sendiri.
Dilema umat ini akan hanya mampu ditangani menerusi
pendidikan dan pemugaran konsep ilmu yang sebenarnya.
Hanya dengan kesedaran dan keyakinan inilah jalan
penyelesaian dapat dirintis. Persoalan “bagaimana” bentuk jalan
penyelesaian tersebut akan menjadi mudah sekiranya kita
benar-benar faham tentang konsep ilmu yang menjadi teras
Tamadun Islam ini. Hasilnya kejayaan silam yang

3

Muktamar Nasional Ketigabelas WADAH

menginspirasikan umat Islam di pelbagai rantau dunia cuba
dinafikan oleh umat Islam sendiri yang sudah tercabut akar
budaya dan pemikirannya. Tidak sedikit pula yang menafikan
khazanah pengalaman, khazanah ilmu dan khazanah
ketamadunan yang wajar menjadi pedoman dan rahmat umat
manusia. Kekhuatiran ini tidak sahaja berlaku di rantau
Nusantara ini, malah turut dirasai di rantau-rantau lain.
Pengalamannya mungkin berbeza, namun modus operandinya
tetap sama. Sesungguhnya Islamophobia ini adalah satu bentuk
neo-kolonialisme penjajahan ilmu alaf baru.

2.2 Mentaliti Terkepung
Kemajmukan (atau pluraliti) yang ditandai oleh perbezaan
agama, bangsa, tamadun, pengalaman sejarah, kecenderungan
berpolitik dan seumpamanya bukanlah asing bagi umat Melayu.
Namun entah bagaimana kita kini bagaikan terkepung dan
terhimpit – merasa terancam, seperti berdiri di antara pelbagai
kebenaran. Ini merupakan satu lagi cabaran yang kita hadapi.
Keyakinan kita selama ini bagaikan tergugat sedangkan kita
sudah berilmu dan telah dimatangkan oleh pelbagai
pengalaman berjuang. Dalam keadaan mentaliti terkepung
(siege mentality) ini, kita merasa terhimbau dengan khurafat-
khurafat moden dan terbawa-bawa dengan mitos-mitos lampau
bahawa umat kini berada di hujung tanduk, dihantui oleh kuasa
yang tidak terjangkau dek akal. Punah segala keyakinan yang
kita bina selama ini. Persoalannya, apakah sanggup kita biarkan
umat kita diselubungi kekacauan jiwa sedemikian rupa –
dimain-mainkan oleh pengalaman khayali segelintir manusia
yang kebangkrapan idea?
Wajah Islam yang tampak oleh mereka ini hanyalah raut wajah
lahiriah yang sama sekali tidak mencerminkan kekuatan
batiniah yang terbina menerusi pengalaman sejarah kita. Mereka
tidak melihat jiwa dalaman yang selama ini menjana kekuatan

4

Amanat Pimpinan

umat. Kelihatannya kita mungkin berpecah; namun prinsip-
prinsip dalaman tidak pernah tergugat. Pegangannya masih
kukuh dan hikmahnya masih tebal. Keyakinannya masih
ampuh. Lalu kenapakah kita tidak melonjak dari tapak yang
kukuh ini, tetapi memilih untuk berpaut di dahan rapuh? Kita
bagaikan tidak yakin dengan kekuatan sendiri lalu takut dengan
bayang-bayang ciptaan manusiawi. Sedangkan keasingan,
kepelbagaian (al-tanawwu’) dan kemajmukan (al-ta’addudiyyah)
itu adalah kekuatan kita.
Sebagai sebuah gerakan, telah kita huraikan faham kepelbagaian
dan kemajmukan ini lebih lima tahun yang lalu di dalam
Amanat Pimpinan WADAH pada tahun 2014 di bawah tajuk
“Islam dan Masyarakat Majmuk: Cabaran Aktualisasi Rahmat Sejagat
(Rahmatan Li Al-‘Alamin)” (Siddiq Fadzil, 2016: 57-86). Kupasan
wacana dan peringatan lalu ini perlu kita telaah semula. Al-
tanawwu’ dan al-ta’addudiyyah adalah dua tonggak yang cuba
dimomokkan oleh umat kita sendiri. Tidak sedikit di antara
umat kita yang mengimpikan keseragaman (uniformity) di dalam
kemelut politik identiti ini. Tanpa memenangkan mana-mana
kelompok tertentu tidak menjadikan kita kurang islamik atau
rendah darjat bangsa. Umat terus terbela, negara tetap
terpelihara. Khurafat dan mitos ini sudah lama kita ketepikan;
namun kehadirannya tetap didambakan oleh mereka yang
sudah kehilangan keyakinan ini.

2.3 Transisi Politik yang Kritikal
Kita sekarang berada di dalam transisi politik nasional yang
sangat kritikal. Negara kita telah membuktikan kepada dunia
bahawa perubahan politik boleh berlaku secara aman melalui
pentas demokrasi tanpa menumpahkan walau setitik darah.
Buat pertama kalinya, parti pemerintah Barisan Nasional yang
berkuasa selama 61 tahun, tumbang atas kehendak rakyat,
digantikan dengan Kerajaan Pakatan Harapan yang diterajui

5

Muktamar Nasional Ketigabelas WADAH

Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP),
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Parti Amanah
Rakyat (AMANAH).
Namun demikian perubahan politik ini telah mencetuskan
fenomena ‘Right Wing Populism’ atau ‘national populism’ yang
mengandungi ‘anti-elitist sentiment, sebagaimana yang berlaku
di barat. Donald Trump, berjaya menjadi Presiden Amerika
Syarikat dengan slogan Make America Great Again (MAGA); Boris
Johnson menjadi Perdana Menteri United Kingdom dengan
kempen Brexit iaitu UK keluar dari European Union atas dasar
slogan UK First. Fenomena yang sama juga berlaku apabila Party
Far Right, yang mengutamakan kepentingan rakyat tempatan
atas semangat kebangsaan sempit telah berjaya menubuhkan
Kerajaan Baharu seperti di Australia, Italy, Hungary, Poland
dan sedang merubah landskap politik di Jerman, Perancis dan
Sweden. Barangkali fenomena Melayu terpinggir, Islam
terancam, slogan yang sedang melanda negara kini ada kaitan
dengan fenomena Politik Identiti ini.
2.4 Cabaran Penyatuan Ummah dan Muafakat Nasional
Soal perpaduan ummah sentiasa menjadi agenda utama gerakan
kita sebagaimana ABIM pernah menganjurkan Syarahan
Perdana Palestin dan Kemanusiaan yang melibatkan Tun Dr
Mahathir Mohamad, Presiden UMNO dan Ustaz Fadzil Mohd
Nor, Presiden PAS pada 8 Mei 2002. Ingin kita tegaskan bahawa
sebarang bentuk seruan atas gerakan ke arah penyatuan ummah
harus berdasarkan semangat ummatik bukan politik, inklusif
bukan eksklusif, atas landasan keikhlasan yang murni. Begitu
juga dalam soal Muafakat Nasional harus di dalam ikatan
ummah siyasah yang termaktub di dalam Perlembagaan
Persekutuan. Kita bimbang seruan Penyatuan Ummah dan
Muafakat Nasional lebih kepada tujuan politik merebut kuasa
sebagaimana fenomena Right Wing Populism di Barat.
Tuan-tuan dan Puan-puan, Muktamirin Sekalian,

6

Amanat Pimpinan

3.0 MEMACU AGENDA REFORMASI: ISLAM DALAM
REALITI KEMAJMUKAN

Kepelbagaian bangsa, agama, budaya dan bahasa di Malaysia
adalah realiti yang tidak dapat diubah lagi. Oleh itu perpaduan,
kesatuan, kerjasama adalah naratif kita bagi pembinaan Bangsa
Malaysia seperti yang terpancar dalam pelbagai polisi seperti
Dasar Pelajaran, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Rukun Negara,
Dasar kebudayaan dan Wawasan 2020. Namun amat ironis,
ketika kita menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-62,
impian ini masih gagal direalisasikan sepenuhnya. Semangat
perkauman, cauvinisme dan rasisme yang bersemarak mutakhir
ini menjadikan hasrat ini semakin kabur. Jadi, agenda reformasi
perlu dipacu dan diberi pengertian dengan jujur dan penuh
komitmen.
3.1 Maqasid Ta‘adudiyyah
Islam adalah agama fitrah iaitu agama yang sesuai dengan sifat
dan tabi‘i kejadian manusia. Fitrah dan tabi‘i kejadian manusia
ialah kepelbagaian dan kemajmukan. Islam sejak awal
mengiktiraf realiti kepelbagaian dan kemajmukan: bangsa dan
suku kaum, warna kulit, bahasa dan budaya, bahkan mengakui
wujudnya realiti kepelbagaian agama. Kepelbagaian adalah
tanda kebesaran Allah SWT. Allah SWT menjelaskan,

Di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah penciptaan langit
dan bumi dan perbezaan bahasa dan warna kulit-mu. Sungguh
pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi
orang yang mengetahui - (Surah al-Rûm 30:22)

7

Muktamar Nasional Ketigabelas WADAH

Kepelbagaian adalah juga ujian bagi manusia buat melawan ego
dan nafsu bagi mencapai maqasid ta‘addudiyyah iaitu li ta‘aarafu;
untuk kenal-mengenal. Hal ini jelas difahami daripada ayat al-
Quran berikut:

“Wahai Manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu
daripada lelaki dan perempuan, dan kami telah menjadikan kamu
pelbagai bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu saling
berkenalan. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah
dalam kalangan kamu ialah orang-orang yang paling bertakwa.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha mendalam
pengetahuan-Nya” (Surah al-Hujurat, 49:13)

Ayat di atas membuktikan bahawa Allah menciptakan manusia
daripada lelaki dan perempuan, dan menjadikan mereka
pelbagai bangsa dan puak supaya mereka saling berkenalan.
Islam mengakui realiti bahawa agama-agama Kristian dan
Yahudi sebagai pecahan dari Abrahimic Faith dan agama-agama
ini dianut berdampingan dengan agama Islam. Islam
memanggil mereka dengan panggilan yang tersendiri iaitu ahl
al-kitab (people of the Book) sebagai mengiktiraf kaitan mereka
dengan kitab-kitab samawi yang menjadi asas agama mereka.
Bahkan Islam menjadikan tatacara berinteraksi dengan ahl al-
kitab sebagai sebahagian daripada syariatnya, misalnya dalam
soal sembelihan dan perkahwinan. Penganut-penganut agama
yang lain, termasuk golongan yang masih musyrik, juga perlu
dilayani dengan baik dan adil, selagi mereka tidak memusuhi
Islam dan masyarakat Islam. Allah SWT menegaskan:

8

Amanat Pimpinan

Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap
orang-orang yang tidak memerangi kamu dalam urusan agama
dan tidak mengusir kamu dari kampung halamanmu.
Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil
(Surah al-Mumtahanah: 60:8).

3.2 Sahifah Madinah: Model Bangsa Malaysia
Dasar dan nilai yang diangkat oleh al-Quran ini telah
diterjemahkan dengan jelas apabila Rasulullah SAW
mengundang orang-orang Yahudi dan Kristian untuk sama-
sama membina sebuah negara berasaskan prinsip dan nilai
keadilan dengan jaminan keamanan dan kebebasan serta
pemeliharaan hak kaum dan agama masing-masing. Daripada
komitmen ini, pada tahun 622 Masehi, terbentuklah dokumen
bertulis Sahifah Madinah atau Piagam Madinah, iaitu yang
pertama seumpamanya di dunia, yang menetapkan asas-asas
penting bagi membina sebuah masyarakat dengan jaminan
hidup sejahtera dan damai, walaupun dalam kepelbagaian
bangsa, agama dan budaya.
Daripada sahifah ini lahirlah sebuah kesatuan masyarakat atau
satu ummah yang padu dan tersendiri (ummatun wâ%idah min
duninnâs) yang terdiri daripada orang-orang Quraisy iaitu
orang-orang Muhajirin serta golongan Ansar, bersama-sama
dengan kaum Yahudi, Nasrani dan mereka yang masih musyrik.
Sahifah dibangunkan atas prinsip hidup bersama secara damai,
hormat menghormati dan semangan bertanggungjawab
berasaskan kebebasan, keadilan dan persamaan. Sahifah
menjamin hak asasi semua pihak termasuk hak mengamalkan
ajaran agama dan budaya masing-masing tanpa diganggu.

9

Muktamar Nasional Ketigabelas WADAH

Piagam ini membuktikan bahawa sejak awal lagi Islam telah
menyediakan kerangka yang praktikal bagai memenuhi
keperluan masyarakat yang pluralistik berasaskan musyawarah
dan prinsip-prinsip demokrasi. Ini menunjukkan ciri Islam
sebagai agama rahmah yang penuh toleran, mengutamakan
kedamaian dan kasih sayang serta mera‘ikan kepelbagaian
dengan penuh keterbukaan.
Sejarah Islam yang masyhur tentang bina’ al-ummah (nation-
bulding), tasâmuh dan ta‘âyush seperti yang tergambar dalam
Sahifah Madinah di zaman Rasulullah SAW, zaman pemerintah
Khulafa’ al-Rashidin (terutama zaman‘Umar al-Khattab) dan
zaman-zaman gemilang dari sejarah Umayyah dan ‘Abbasiah,
zaman keemasan semasa Islam memerintah Semenanjung
Iberia, tidak ditelaah dan ditekuni sewajarnya. Siyâsah shar‘iyyah
dirujuk secara kaku tanpa mengambil kira suasana dan keadaan
masyarakat yang telah mengalami berbagai-bagai perubahan.
Kerangka dhimmiy-harbi yang tidak lagi relevan, masih dipegang
oleh beberapa tokoh agama (Islam) dalam mentakrifkan
hubungan muslim dan non-muslim.
Isu-isu mengenai pelantikan dan peranan nonmuslim dalam
pentadbiran dan pemerintahan masih menjadi perkara panas
yang didebatkan - walaupun perkara tersebut telah selesai dan
telah diputuskan secara tuntas oleh ulama. Suasana hari ini
menuntut satu gerakan tarbiyyah yang menyeluruh, bertujuan
mencerdaskan umat dengan ilmu dan mengangkat
kebijaksanaan mereka ke tahap yang lebih tinggi. Untuk tujuan
tersebut, para cerdik-pandai, ‘alim ulama’ dan intelektual
mestilah tampil ke lapangan terbuka memainkan peranan
mereka sebagai murabbi pendidik umat – mendidik umat dengan
ilmu dan hikmah, mendorong mereka mencapai kemuliaan atau
‘izzah sebagaimana yang dijanjikan Allah SWT. Tanpa ilmu dan
kebijaksanaan kita hanya mampu bernostalgia. Kegemilangan

10

Amanat Pimpinan

masa lalu yang ingin kita ulangi hanya menjadi impian yang
tidak pernah kesampaian.

Dalam kekusutan kita mendepani rasisme, cauvinisme dan
kebencian antara kaum yang semakin meningkat, kita menyeru
semua pihak, terutama pimpinan negara dan pimpinan politik
supaya memanfaatkan Sahifah Madinah sebagai model yang
viable dalam membina masyarakat harmonis, damai dan
sejahtera sesuai dengan harapan dan cita-cita murni membina
Malaysia Baru.

3.3 Menolak Rasisme dan Radikalisme Agama
Rasisme mendorong sikap prejudis, tindakan diskriminatif,
pemencilan, pendakwaan terpilih dan semangat mendominasi
berasaskan kaum atau etnik. Gejala rasisme antaranya tergambar
dalam amalan politik kebencian (politics of hate), tindakan
mengapi-apikan pertentangan, mengangkat retorik tentang
ketuanan, membunuh peribadi (character assissination), sikap
tidak toleran dan perbuatan memburuk dan merendah-
rendahkan kaum berbanding dengan kaum yang lain. Keadaan
demikian berhujung dengan terhakisnya sikap simpati dan
toleransi, terhapus perasaan kasih sayang antara kaum dan
akhirnya menatijahkan polarisasi, perpecahan, permusuhan dan
tragedi pergaduhan dan pertumpahan darah.
Rasisme tidak semestinya ideological dengan kepercayaan
bahawa satu kaum lebih superior berbanding dengan kaum yang
lain, seperti dalam kes white supremacy. Tanpa dasar ideologi
sekalipun, seseorang atau satu kaum boleh sahaja bersikap rasis
terhadap kaum yang lain apabila pendirian dan tindakan
disertai sikap prejudis, diskriminatif dan berunsur keganasan.
Keadaan pelbagai kaum di Malaysia memberi ruang mudah bagi
tercetusnya semangat rasisme. Atas alasan didiskriminasi,
ditindas dan mempertahankan hak, masing-masing tampil
secara agresif ‘berjuang’ bagi mengangkat kepentingan kaum
masing-masing dengan menafikan hak dan keadilan, perasaan

11

Muktamar Nasional Ketigabelas WADAH

kemanusiaan, konteks dan realiti sejarah, Hal ini diburukkan
oleh parti-parti politik yang dibentuk berasaskan kaum.
Walaupun parti-parti ini mendakwa bahawa mereka ‘berjuang
untuk semua rakyat Malaysia’, hakikatnya mereka masih terikat
kuat dengan sentimen kaum dan kelompok. Pemimpin parti-
parti politik sering tampil di khalayak masing-masing, tanpa
segan dan silu, mengumandangkan retorik perkauman bagi
mendapat dokongan. Parti-parti politik saling bersaing
mengadakan perhimpunan atas nama penyatuan dan
pemeliharaan maruah, sedangkan mereka sebenarnya ingin
menjadi juara kelompoknya dengan memainkan sentimen kaum
dan bangsa.
Rasisme menjadi lebih berbahaya apabila agama dipergunakan
untuk menjustifikasi sikap yang demikian. Dengan menuduh
kelompok yang lain anti-agama (atau anti-Islam) dan
menggambarkan mereka sebagi musuh, maka segala tindakan
terhadap mereka dianggap jihad yang diperkenan oleh agama.
Ujaran kebencian (hate speeches), pembohongan dan fitnah,
melabel dan memburukkan peribadi seseorang atau kelompok
bagai dihalalkan. Rasisme yang mengeksploit agama boleh
menukar manusia menjadi fanatik dan radikal dengan tendensi
memusuhi kelompok yang berbeza pandangan dan pendirian.
Islam menolak sikap cauvinistik dan perkauman yang
menganggap satu kaum lebih tinggi martabatnya berbanding
dengan kaum lain. Islam menegaskan bahawa hanya rasa
kehambaan dan ketundukan kepada Allah SWT, iaitu ketaqwaan
sebagai satu-satunya faktor yang mengangkat martabat
seseorang melebihi orang yang lain dan bukannya faktor bangsa
atau warna kulit. Setiap manusia diangkat martabatnya oleh
Allah SWT dengan kemuliaan (karamah insaniah). Tiada hak
untuk manusia merendahkan martabat manusia yang telah
Allah SWT berikan kepadanya dan Islam melarang
penganutnya daripada berfahaman bahawa bangsa, kaum
dengan warna kulit tertentu sebagai penentu tinggi-rendah

12

Amanat Pimpinan

martabat satu kaum berbanding yang lain. Emosi marah
terhadap seseorang atau terhadap satu kaum tidak boleh dibiar
meruntun kita keluar dari prinsip kebenaran dan nilai keadilan.
Al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah SAW telah menegaskan
hal ini.

Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam,
Kami angkut mereka di daratan dan lautan, kami beri mereka
rezeki yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan
yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah kami
ciptakan (Surah al-Isra’ 17:70).

Wahai manusia, sesungguhnya Tuhan kamu satu dan
sesungguhnya Bapak (Adam) kamu adalah satu. Ketahuilah
bahawa sesungguhnya tiada kelebihan orang Arab ke atas yang
bukan Arab. (Demikian juga) tiada kelebihan orang yang bukan
Arab ke atas Arab. Tiada kelebihan mereka yang berkulit merah
atas yang berkulit hitan dan tiada kelebihan mereka yang berkulit
hitam atas yang berkulit merah kecuali kerana taqwa – Riwayat
Imam Ahmad dan Thabrani.

Daripada Anas RA, katanya: “Rasulullah SAW bersabda:
“Hendaklah kamu semua mendengar dan patuh (terhadap
pemerintah) sekalipun yang diangkat menjadi pemerintah itu
seorang keturunan hamba Habsyi (berkulit hitam) dan kepalanya
itu (kelihatan hodoh) seperti kerdutan kismis. “ (Hadis Riwayat
Bukhari).

Bahkan emosi (perasaan benci) semata-mata tidak boleh dibiar
hingga menjejaskan keadilan. Firman Allah SWT:

13

Muktamar Nasional Ketigabelas WADAH

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua
sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana
Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali
kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu
melakukan ketidakadilan (terhadap mereka). Hendaklah kamu
berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir
kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya
Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu
lakukan - (Surah al-Mâidah 5:8)

3.4 Peranan Pemimpin Dalam Pencerdasan Umat
Para pemimpin, sama ada pemimpin politik, pemimpin agama,
pemimpin budaya dan kaum intelektual mestilah berani tampil
mengangkat dan memperjuangkan prinsip-prinsip yang luhur
lagi adil seperti yang dianjurkan Islam. Sikap para pemimpin
politik yang mengetepikan prinsip-prinsip kebenaran dan nilai-
nilai murni, hanya kerana ingin mendapat pengaruh dan
dokongan para pengikut dan memancing sokongan orang ramai
adalah mereka yang muflis iman dan akhlak. Mereka hanya
melihat kepentingan survival diri dan kelompok untuk jangka
masa pendek tetapi telah mengorbankan kepentingan negara
dan kesejahteraan generasi akan datang. Anggota masyarakat
yang sedar perlu mengecam sikap demikian dan pemimpin
yang bertindak demikian wajar disingkir dari persada
kepimpinan.
Para pemimpin politik, agamawan dan cerdik pandai Islam
perlu mengambil langkah proaktif dalam satu gerakan yang
bersungguh-sungguh (rigorous) bagi mendidik masyarakat Islam
agar mengangkat nilai dan prinsip luhur Quraniy dan
menghayatinya serta menunjukkan contoh-contoh terbaik
dalam interaksi kehidupan dengan kaum dan bangsa-bangsa

14

Amanat Pimpinan

yang lain. Tindak tanduk yang buruk oleh satu pihak akan
mengundang tindakan yang sama dari pihak yang lain
(backlashes and counterbacklashes). Sekiranya fenomena ini
dibiarkan berpanjangan, ia akan menjadi time-bomb yang bakal
memakan korban. Putaran ini perlu diberhentikan. Ini
memerlukan tindakan ikhlas dan berani yang perlu diambil oleh
sekurang-kurangnya satu pihak. Sekiranya niat baik ini dapat
diyakinkan, prasangka dapat dihapuskan dan kebencian dapat
dipadamkan, kita percaya langkah ini akan mencipta reaksi yang
positif dari pihak-pihak yang terlibat dan kehidupan yang lebih
damai dan harmonis antara kaum dapat diciptakan. Prasangka
dan dendam akan mengundang prasangka dan dendam. Tapi
keikhlasan dan keramahan mampu mengundang kelapangan
dan keterbukaan.

Dan tidaklah sama (kesannya) perbuatan yang baik dan perbuatan
yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditunjukan kepadamu)
dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian
maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu,
(dengan serta merta akan) menjadi seolah-olah seorang sahabat
karib (Surah Fussilat 41:34).

3.5 Pembangunan kesejahteraan rakyat
Pembangunan bangsa dan negara juga adalah pembangunan
kesejahteraan rakyat dan pembanterasan salah laku. Gejala
rasuah misalnya yang begitu endemik perlu dibenteras dengan
kesetiaan dan keteguhan kepada idealisme perjuangan.
Kefasadan dan kebejatan ini hendaklah diperangi dan dibasmi.
Melalui tekad dan keazaman baru, idealisme memperjuangkan
integriti mesti diterjemahkan kepada sistem dan budaya
ketelusan dan akauntabiliti yang jitu dan komprehensif. Sistem
governan memerlukan hanya mereka yang berintegriti tinggi
untuk mengambil posisi-posisi beramanah. Tidak boleh lagi

15

Muktamar Nasional Ketigabelas WADAH

dibiarkan mana-mana pemimpin politik atau orang berkuasa
mempengaruhi, campur tangan atau menghalang sebarang
siasatan salah laku. Hukuman keras mesti dikenakan kepada
pemberi dan penerima rasuah agar keadilan terlaksana dan
pembenterasan berlaku secara menyeluruh.

Kepimpinan negara perlu menerajui pembaharuan ekonomi,
mempamerkan prestasi cemerlang kerajaan dan menyelesaikan
masalah rakyat. Segala bentuk tekanan dan penindasan secara
langsung atau tidak langsung ke atas rakyat jelata melalui
tindakan semua pihak sama ada agensi berkuasa, korporat dan
institusi kewangan mesti dihentikan dan dibetulkan. Reformasi
tidak bererti pihak berkuasa tempatan mesti menaikkan kadar
perkhidmatan semata-mata kerana tidak mampu melakukan
kecekapan dan penjimatan dalaman. Menaiktaraf sesuatu lokasi
kepada sebuah bandaraya tidak seharusnya membebani rakyat
dengan kadar-kadar caj yang lebih tinggi tanpa apa-apa nilai
tambah. Kos utiliti elektrik dan air tidak boleh dinaikkan
sewenang-wenangnya sementara pemegang saham dan staf
menikmati pulangan serta bonus berganda-ganda.

3.6 Pembinaan Bangsa Melalui Sistem Pendidikan
Pembinaan bangsa Malaysia tidak dapat dilepaskan daripada
system pendidikan dan persekolahan. Pendidikan tidak sahaja
memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran-
pemikiran positif. Pendidikan perlu meyampaikan ilmu yang
benar dan mempersiap generasi baru dengan kesedaran dan
tanggungjawab membangunkan masyarakat dan negara.
Rukunegara dan Wawasan Negara telah menetapkan cita-cita
bersama untuk membentuk Bangsa Malaysia. Bagaimanapun,
sistem pendidikan negara dan institusi-institusi pendidikan,
ternyata tidak memberi tumpuan yang cukup untuk mendidik
dan mempersiapkan generasi muda khususnya para pelajar
untuk merealisasikan cita-cita murni ini. Penekanan diberi lebih
banyak kepada kecermelangan akademik dan penguasaan

16

Amanat Pimpinan

kemahiran hingga mengesampingkan nilai-nilai sosial yang
diperlukan untuk berinteraksi dan hidup di tengah-tengah
masyarakat berbilang kaum - secara harmonis dan damai.
Sejarah negara, serta realiti kepelbagaian bangsa dan agama,
bukan sahaja perlu difahami tetapi juga perlu dira‘i, dihargai
dan dihayati oleh generasi muda. Untuk tujuan tersebut satu
kurikulum baru yang lebih komprehensif perlu diperkenalkan
bagi mendidik generasi baru anak bangsa dengan kesedaran
yang kuat tentang nilai-nilai kebersamaan dan toleransi serta
rasa tanggungjawab dalam membina Bangsa Malaysia yang
bersatu, saling membantu dan bebas daripada konflik yang
menggugat keharmonian.
Pembinaan sistem satu aliran persekolahan kebangsaan dapat
memupuk perpaduan dan membangunkan bangsa Malaysia
yang bersatu padu pada masa depan. Namun, pembinaan satu
sistem persekolahan nasional hanya akan berjaya dengan
keberanian moral dan keazaman politik berkeyakinan – politics
of conviction. Sebaliknya politik populis yang cuba meraih
sokongan dengan melayani perasaan dan sentimen kelompok-
kelompok berkepentingan akan hanya menambahkan
kepincangan sistem pendidikan dan menimbulkan konflik
perkauman.

3.7 Peranan Media Perdana dan Media Sosial
Dalam dunia yang semakin bergantung kepada teknologi
informasi, media memainkan peranan yang semakin penting
dalam usaha memupuk persefahaman antara kaum.
Kebanyakan media massa meletakkan kepentingan perniagaan
dan keuntungan lebih daripada peranan penting mereka iaitu
menyampaikan maklumat yang benar dan adil, mendidik dan
membentuk pemikiran-pemikiran positif dalam kalangan
masyarakat. Sebahagian daripada media menjadi alat politik
bagi mempromosi tokoh dan parti politik tertentu dengan

17

Muktamar Nasional Ketigabelas WADAH

membelakangi etika serta akhlak dan tanggungjawab sosial
terhadap masyarakat dan negara.
Membina Bangsa Malaysia memerlukan usaha yang sungguh-
sungguh dengan gemblengan pelbagai pihak yang menjadi
tunggak-tunggak penting masyarakat. Media adalah salah satu
tunggak penting dalam pembentukan dan pembinaan bangsa.
Dengan dorongan rasa tanggungjawab sosial yang tinggi, media
mestilah berani tampil bagi mendidik masyarakat terutama
dalam usaha suci menyemai nilai-nilai hidup bersama antara
pelbagai kaum dan bangsa. Inlah sumbangan paling bererti yang
dimainkan oleh media terhadap cita-cita murni pembentukan
Bangsa Malaysia.
4.0 MENGUKUHKAN TANZIM HARAKIY
Firman Allah dalam surah al-Taubah ayat 41:

“Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan mahupun dengan
rasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah.
Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”

4.1 Memugar Ruh al-Jihad dalam perjuangan
Pejuang dakwah yang tulen adalah mereka yang meletakkan
jihad sebagai teras perjuangan demi mengangkat martabat
Islam. Tidak kira dalam suasana tenang ataupun penuh dengan
masalah. Itulah lumrah perjuangan dakwah yang tidak lekang
dengan cabaran dan tribulasi. Namun jika kita telusuri sirah
perjuangan Rasulullah SAW, para sahabat, dan para tabiin
sebelumnya ternyata ia sangat dekat dan tinggi dan amat mulia.
Jihad pada era sirah rasulullah SAW adalah berpaksikan

18

Amanat Pimpinan

penyuburan benih perjuangan aqidah dalam sanubari umat.
Namun perjuangan inilah yang perlu kita semua perjuangkan
bagi memastikan Islam terus mantap.

Perjuangan jihad fi sabilillah ini adalah kemuncak kepada
kesungguhan para penggerak dakwah bagi melunaskan agenda
perjuangan yang merupakan medan sebenar kepada perjuangan
Islam. Berapa ramai kalangan para pejuang dakwah yang gugur
dan syahid hanya semata-mata mempertahankan kesucian
Islam. Begitu juga berapa ramai yang terpaksa berdepan dengan
tindakan undang-undang yang menyebabkan mereka
merengkok dalam tahanan semata-mata mempertahankan
kebenaran. Bahkan tidak kurang daripada itu mereka yang
terpaksa menggadaikan darah dan airmata demi sebuah
perjuangan yang suci. Namun perjuangan seorang mujahid
dakwah yang tulen adalah sesuatu yang tinggi di sisi Allah .
Mereka memang mati dan gugur dalam medan peperangan
namun mereka sebenarnya hidup di sisi Allah. Ini diungkap
oleh Allah lewat firmannya surah al-Imran 169.

“Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang
terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka
tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi
Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.”

Ruhul Jihad fi sabilillah hendaklah subur dalam kalangan
penggerak dakwah hari ini. Ini bukan bermakna semata-mata
terjun dalam peperangan mengangkat senjata tetapi berperang
dalam konteks ilmu dan kesarjanaan serta menguasai teknologi
masa hadapan. Perjuangan gerakan dakwah tidak lagi hanya
dengan mengangkat senjata dan peralatan perang tetapi
keupayaan menguasai ilmu dan ketamadunan serta
mempertahankan maruah bangsa dan tanahair. Sudah tentu

19

Muktamar Nasional Ketigabelas WADAH

semangat jihad yang disemat dalam jiwa setiap penggerak
dakwah adalah berteraskan prinsip kerahmatan dan kesejagatan
serta kekuatan menempuh cabaran yang mendatang. Menurut
Imam Syahid Hassan al-Banna beliau mengatakan
“Sesungguhnya umat yang mengetahui bagaimana meraih kematian
yang mulia, Allah pasti akan memberikan kehidupan yang mulia di
dunia dan nikmat yang kekal di akhirat.
Apalah ertinya perjuangan dakwah yang kita tanggung selama
ini tanpa nilai dan Ruh Jihad yang tinggi dan bermakna. Setelah
lebih berdekad bersilat dan merempuh perjuangan menegakkan
dakwah Islam sejak era 70-an, melawan pemikiran golongan
sekular, mendepani kelompok liberal, mengenengahkan
pemikiran Islam yang tinggi berdepan dengan cabaran era
globalisasi, Wadah seharusnya memiliki kebijaksanaan dan
kekuatan dalaman yang tinggi untuk menerusan jihad fi
sabilillah untuk mengangkat martabat ummah ke persadanya.
Jihad yang kita tanggung ini bukanlah suatu perjuangan kecil
demi sebuah kehidupan yang kekal diakhirat nanti, namun kita
tidak pernah gundah dan gulana untuk untuk terus mengorak
langkah mempersiapkan generasi masa hadapan bagi
memartabatkan Islam. Semangat dan perjuangan inilah yang
semestinya terus suburkan kerana perjuangan ini tidak akan
terhenti setakat memimpin sebuah organisasi. Semua kita di
kalangan para pejuang dakwah seharusnya memikirkan agenda
pembangunan ummah dengan lebih serius apatahlagi dalam
mendepani cabaran era Malaysia Baharu.
Berjihad dan berkorbanlah untuk memartabatkan dakwah
Islam. Berjihad dan berkorbanlah untuk membina generasi
cemerlang demi masa hadapan. Semangat berkorban dan
berjihad dalam gelanggang dakwah adalah suatu citra yang
sangat murni. Pengorbanan yang hendak kita ketengahkan
termasuklah pengorbanan wang ringgit, pengorbanan minda,
jiwa dan masa untuk sama-sama melihat gerakan Islam yang

20

Amanat Pimpinan

kita dukungi ini terus cemerlang dan gemilang. Setelah
berdekad berjuang dalam lapangan dakwah apa yang ingin kita
lihat bukan sahaja jenama gerakan ini terus menerus berjuang
namun kita juga perlu sama-sama berkorban wang ringgit, masa
dan tenaga bagi memastikan perjuangan ini terus gagah
dipersadanya.
4.2 Kesatuan Kepimpinan, Wala’ dan Ketaatan
Kepimpinan adalah perkara yang saling berkait dengan ketaatan
para anggotanya kerana tanpa ketaatan maka tidak akan ada
kepimpinan dan tanpa kepimpinan tidak akan ada organisasi.
Jika ketiga-tiga perkara ini tidak wujud, maka tiadalah amal
Islami dan amal jama’ie sedangkan amal jama’ie dalam
melaksanakan objektif Islam yang besar adalah sesuatu yang
wajib ke atas umat Islam . Inilah tarbiyyah asas yang telah kita
terima daripada para pengasas sejak awal terjun dalam gerakan
murni ini. Justeru, kesatuan kepimpinan dalam jamaah seperti
kita adalah amat penting dalam memastikan penerusan usaha
dakwah serta misi dan visi nya berada dalam kerangka yang
sebaiknya.
Tidak ada suatu kejayaan yang bakal dirangkul tanpa sebuah
kesatuan dan kekuatan yang lahir daripada kemuncak
kepimpinan yang dihormati sehingga seluruh kepimpinan di
negeri-negeri dan daerah. Sudah tentu kesatuan ini akan diikat
melalui ketaatan dan wala’ yang berpaksikan kepada Al-Quran
serta prinsip-prinsip yang betul melalui panduan islam. Setelah
hampir mencecah 50 tahun dalam harakah di Malaysia bermula
melalui Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia kemudian
Angkatan Belia Islam Malaysia, kita tidak pernah berada dalam
kancah dan ribut kepimpinan yang membeku namun jamaah
diikat dengan semangat kesatuan, wala’ dan kasih sayang serta
tidak berebut dalam menagih jawatan.

21

Muktamar Nasional Ketigabelas WADAH

Ketaatan dan Wala’ adalah juga elemen penting dalam
mengemudi jamaah dengan lebih baik menuju kejayaan.
Menurut Said Hawwa bahawa taat adalah sebahagian daripada
maksud al-wala’. Memberi al-wala’ samalah maksudnya dengan
memberi ketaatan. Bagi menentukan kejayaan dalam konteks
harakah yang kita dokongi ini elemen wala’ merupakan unsur
penting memastikan harakah ini terus kukuh dan mantap bagi
mendepani cabaran masa hadapan. Setiap anggota dalam
harakah seharusya memahami peri pentingnya konsep wala’
dan kepimpinan kerana tanpa kefahaman ini boleh membawa
kepada kehancuran gerakan masa hadapan. Berapa ramai dalam
sejarah perjuangan gerakan ini yang telah memperlihatkan
anggota yang khianat akan perjuangan gerakan. Berapa ramai
individu yang tidak menghormati kepimpinan serta menolak
kesepakatan jamaah yang akhirnya menimbulkan
pertelingkahan berlanjutan. Apa yang lebih menyedihkan lagi
keterlibatan anggota yang terjun dalam agenda fitnah dan adu
domba yang boleh merosakkan maruah gerakan yang
dianggotainya selama ini.

4.3 Semangat Amal Jamaiyy
Bagi mendepani cabaran masa hadapan untuk memastikan
gerakan tercinta ini terus relevan dalam era baru, kita
seharusnya bersatu hati dan jiwa untuk bersama membawa
wadah ini ke persada kejayaan. Sebagai pimpinan utama
gerakan wadah kami dengan penuh tawaduk menyeru seluruh
anggota gerakan ini agar menyematkan tekad untuk memberi
kepercayaan sesungguhnya bagi mendepani cabaran akan
datang. Semua anggota jamaah sewajibnya memberi kesetiaan
yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan untuk
mengemudi pergerakan secara ikhlas serta ruang perbicangan
sentiasa terbuka bagi memantapkan jamaah. Tiada ruang
diberikan kepada sesiapa yang mengambil kesempatan dalam
kerangka jamaah untuk menyalurkan usaha individu tanpa
disepakati dalam syura dan kesepakatan bersama.

22

Amanat Pimpinan

Inilah inti perjuangan jamaah kita yang semakin hari semakin
mencabar. Para anggota di seluruh negara seharusnya
menggunakan ruang mengukuhkan jamaah dengan memberi
kesetiaan melalui saluran yang betul dan tidak memperlekeh
setiap perancangan jamaah. Apa maknanya sebuah perjuangan
dalam negara yang penuh dengan tribulasi jika para anggotanya
mengetepikan tanzim atau disiplin dalam jamaah yang dicintai
ini. Tanzim haraki yang telah kita sepakati seharusnya menjadi
teras kekuatan kepemimpinan wadah kita. Jauhi daripada sifat
membenci sesama anggota jamaah bahkan jauhi diri daripada
memperlekeh segala agenda perjuangan yang telah diputuskan
oleh kepimpinan. Kita berpegang kepada kesepaduan syura dan
perbincangan dalam konteks amal jamaei. Sesungguhnya
kesatuan wadah perjuangan berteraskan konsep syura
merupakan teras pengukuhan kepemimpinan wadah
perjuangan kita. Firman Allah dalam surah al-Syura 42:38

Orang yang menerima (mematuhi) seruan Rabnya dan mendirikan
solat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan mesyuarat
(syura) antara mereka, dan mereka membelanjakan daripada
rezeki yang kami berikan kepada mereka.

5.0 MEMBINA ARKIB KEBANGKITAN ISLAM PASCA
KOLONIALISME: PERJUANGAN 50 TAHUN ABIM
(1971-2021)

Kebangkitan Islam dan kepeloporan anak muda lahir daripada
kesedaran mendalam sejumlah anak-anak muda terpelajar
tentang nasib umatnya setelah melalui zaman Merdeka dari
penjajahan fizikal bangsa Eropah. Setelah lebih 10 tahun
Merdeka, nasib umat bagaikan tidak terbela. Yang miskin terus

23

Muktamar Nasional Ketigabelas WADAH

menjadi miskin tanpa pembelaan – terpinggir di dalam arus
kemajuan yang mulai menjenguk sebuah negara muda yang
sedang mencari arah; tersudut oleh sebuah sistem ekonomi
laissez faire yang kononnya mampu bergerak sendirian tanpa
pengawasan (Siddiq Fadzil, 1991). Pilihanraya 10 Mei 1969
menyerlahkan apa yang selama ini terpendam di lubuk jiwa
ketika itu. Psyche umat terbanyak bagaikan terkepung.

5.1 Awal Penubuhan dan Asas Pemikiran
Beberapa peristiwa penting dalam sejarah umat Islam ketika
itu banyak membantu pembinaan dan pengukuhan kesedaran
kehendak anak-anak muda ini. Maka ketika ABIM ditubuhkan,
rata-rata pimpinan perintis itu baru berusia di sekitar awal 20-
an. Presiden ABIM pertama, yang paling tua di antara mereka,
Ustaz Razali Nawawi pun baru berusia 32 tahun. Dibekalkan
dengan pengalaman gerakan Islam di pelbagai pelosok dunia,
dengan nasihat para pimpinan terkemuka seperti Pak Natsir,
dengan pengarahan intelektual dari pemikir terkemuka di Dunia
Islam seperti Profesor Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas,
ABIM menapak selangkah demi selangkah – mengharungi dan
mengawali suatu proses kebangkitan umat yang terangkai
bersama fenomena penting sejarah dunia. Medan tumpuan
operasi usaha dakwah ABIM tetap di bumi Malaysia.
Fenomena Kebangkitan Semula Islam (sahwah Islamiyyah) ini terus
dikaji sehingga kini – punca-puncanya dan implikasi-
implikasinya (Muhammad Abu Bakar, 2018: 3-33, 473-506). Jalur-
jalur pemikiran dan perlakuan dalam melanjutkan gelombang
kebangkitan Islam ini juga berbagai. Ada yang menganggap
penglibatan di dalam arus kebangkitan ini hanyalah satu
escapism sekumpulan anak-anak muda yang psychologically
inferior yang “melarikan” diri dari arus kehidupan – tidak dapat
bersaing secara aktif. Namun kemaraan ABIM menafikan
kesemua tanggapan ini. Anak-anak muda terpelajar ini adalah

24

Amanat Pimpinan

di antara the cream of the cream – berpemikiran matang,
professional, berpendidikan tinggi, dan artikulatif. Mereka
tampil dengan keyakinan baru yang jauh berbeza dari generasi
lampau.
Wacana-wacana ilmiah yang banyak membentuk pemikiran
gerakan anak-anak muda ini yang tercerna di dalam usrah,
tamrin dan muktamar termasuklah wacana penyahbaratan
(dewesternisasi) yang dinukilkan oleh almarhum Profesor Dr
Syed Hussein Alatas dan Profesor Dr Syed Muhammad Naquib
al-Attas, proses pendakwahan seperti yang dianjurkan di dalam
Capita Selecta, gerakan kempen Islam as a Way of Life, dan
seumpamanya (Siddiq Fadzil, 1977; Siddiq Fadzil, 1991). Islam
harus dilihat secara kaffah – bukan lagi secara terpisah-pisah
ataupun secara juz’iyyah.
5.2 Realiti Kemajmukan Bangsa dan Agama

Apakah keyakinan baru kita ketika itu? Untuk menelusuri
keyakinan ini, kita perlu menilai dimensi yang selama ini
membelenggu umat kita selama ratusan tahun selepas kejatuhan
Melaka. Fenomena kemajmukan bangsa dan agama ini
bukanlah sesuatu yang asing bagi umat kita. Umat kita bukanlah
umat yang xenophobic! Penerimaan umat tanpa prasangka
terhadap kehadiran armada Barat di awal abad ke-16 diambil
kesempatan dengan serangan dan penaklukan – satu demi satu
sehingga berkurun-kurun. Kini kita telah dididik tentang identiti
Tamadun dan Kebudayaan Barat (Syed Muhammad Naquib al-
Attas, 1978: 1-46; Syed Muhammad Naquib al-Attas, 2001: 14-
29).
Menurut Profesor Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas di
dalam tulisan beliau Risalah Untuk Kaum Muslimin yang ditulis
pada 1963, apa yang dimaksudkan dengan Kebudayaan Barat,

25

Muktamar Nasional Ketigabelas WADAH

yang dibawa oleh bangsa-bangsa yang pernah menjajah kita
selama lebih 400 tahun, adalah “hasil warisan yang telah
dipupuk oleh bangsa-bangsa Eropah dari Kebudayaan Yunani
Kuno yang kemudian diadun pula dengan campuran
Kebudayaan Rumawi dan unsur-unsur lain dari hasil cita-rasa
dan gerak-daya bangsa-bangsa Eropah sendiri, khususnya dari
suku-suku bangsa Jerman, Inggeris dan Peranchis. Dari
Kebudayaan Yunani Kuno mereka telah meletakkan dasar-dasar
falsafah dan kenegaraan serta pendidikan dan ilmu
pengetahuan dan kesenian; dari Kebudayaan Rumawi
Purbakala mereka telah merumuskan dasar-dasar undang-
undang dan hukum serta ketatanegaraan” (Syed Muhammad
Naquib al-Attas, 2001: 18).
5.3 Membina keyakinan baru dengan worldview Islam dan
penyahbaratan

Fahaman dewesternisasi bukanlah agenda xenophobic, tetapi
kesedaran bahawa pemikiran Islam umat rantau Alam Melayu
ini perlu dijernihkan dan dimurnikan semula – dikikiskan karat
penjajahannya. Tegasnya kita harus kembali (devolve) kepada
wajah dan citra sebenar dan fitrah asal. Pengembalian kepada
fitrah asal inilah keyakinan baru kita – meneruskan kehidupan
kita bermasyarakat dan bernegara menurut perpektif dan
pandangan hidup (worldview) asal kita, menurut acuan kita
sendiri! Kesejajaran dengan ajaran-ajaran agama-agama besar
dan tamadun-tamadun yang lain harus diraikan.
Setelah 50 tahun berkecimpung di tengah gelanggang, kita perlu
terus melangkah dengan keyakinan baru ini. Keberanian
intelektual memecahkan kebuntuan masa lampau perlu kita
titipkan kepada generasi akan datang, mengukuhkan
penerimaan umat terhadap kemajmukan yang tidak pernah
asing buat kita di rantau ini. Gerakan menjernihkan dan

26

Amanat Pimpinan

memahamkan pandangan hidup Islam terhadap para aktivis
gerakan ini dan pemerataannya terhadap umat kita perlu
dimantapkan menerusi pelbagai anjuran.
6.0 KHATIMAH
Sudah tibalah masanya kita bertekad secara tuntas untuk
mengorak langkah maju ke hadapan ke arah pembinaan Bangsa
Malaysia, tanpa perasaan apologetik dan ragu-ragu. Kita telah
ditakdirkan mendapat kemerdekaan secara rundingan dan
secara aman. Kita juga telah ditakdirkan merdeka sebagai
sebuah negara berbilang kaum dan agama yang terikat dengan
konteks sosial di dalam Perlembagaan yang telah dipersetujui
bersama.
Soal Pembinaan Bangsa Malaysia harus dilihat dari perspektif
sejarah, inisiatif penggubalan Rukun Negara, Perpaduan
Nasional, Wawasan 2020 dan slogan Satu Malaysia yang
kesemuanya menuju ke arah pembentukan Bangsa Malaysia
yang Bersatu padu. Maka gagasan Islam sebagai Rahmatan Lil
‘Alamin, Negara rahmat adalah di dalam kerangka pembinaan
Bangsa Malaysia yang aman dan damai.
Pembinaan Bangsa Malaysia harus mempunyai asas yang kukuh
dan dipersetujui oleh semua pemegang taruh (stake holder)
secara muafakat:

 Semangat Perlembagaan dengan jaminan kedudukan
Islam, Raja Berpelembagaan, kedudukan istimewa orang
Melayu, Bahasa Melayu harus kekal dipertahankan.

 Menerima realiti negara ini merdeka secara aman
sebagai Negara berbilang kaum dan agama.

27

Muktamar Nasional Ketigabelas WADAH

 Mempertahankan sistem demokrasi berparlimen.
Perubahan kerajaan pada 9 Mei 2018 terbukti berjaya
melalui PRU ke-14 dengan aman tanpa menumpahkan
setitik darah.

 Mengamalkan politik muafakat, politik konsensus
bukannya politik adu domba dan politik kalah mati.

 Menolak dengan tegas sebarang bentuk politik
cauvinisme, rasisme, dan radikal Agama.

Akhirnya marilah kita merapatkan saf, mengukuhkan Tanzim
Harakiy, membulatkan muafakat bagi menjayakan Malaysia
sebagai model negara demokratik yang Islami menjadi teladan
bagi dunia Islam untuk seluruh dunia. Kita juga menyatakan
solidariti kita dengan umat yang tertindas di Palestin, Kashmir,
Yemen, Uyghur di Turkistan Timur, Syria, Rohingya di Arakan
dan seluruh masyarakat yang masih tertindas. Semoga Allah
memberi jalan keluar dari kemelut kemanusiaan ini.

Apa tanda pinang berbuah
Banyak burung menyeri mayangnya
Apa tanda generasi bertuah
Bijak menghitung hari depannya
Apalah tanda batang beremban
Daunnya panjang ditenun sari
Apalah tanda orang budiman
Dadanya lapang, mengenali diri
Selamat bermuktamar. Selamat berseminar.

28

Amanat Pimpinan

RUJUKAN:

Ahmad Azam Abdul Rahman (2019) Islam dan Bahasa Melayu
Nusantara: Cabaran dan Masa Depan. Pembentangan
kertaskerja di Muktamar Ilmuan Patani Nusantara 2019,
anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Yala pada 15
September 2019.

Arnold, T. W. (1913) The Preaching of Islam: A History of the
Propagation of the Muslim Faith. London: Constable & Co. Ltd.
Second Edition. Laman web https://www.muslim-
library.com/dl/books/
english_The_Preaching_Of_Islam.pdf (Diakses pada 30
September 2019)

Ibnu Hazm al-Andalusi (2002) Intisari Sirah Nabawiyah: Kisah-Kisah
Penting dalam Kehidupan Nabi Muhammad. Jakarta: PT
Pustaka Alvabet.

Muhammad Abu Bakar (2018) Penghayatan Sebuah Ideal: Suatu
Tafsiran Tentang Islam Semasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka. Edisi kedua.

Pedro Banos (2017) How They Rule The World: The 22 Secret Strategies
of Global Power. London: Ebury Press

Siddiq Fadzil (1977) Kebangkitan Umat: Kenyataan dan Harapan.
Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
(YADIM).

Siddiq Fadzil (1991) Gerakan Islam Dekad 1990-an: Visi dan Strategi.
Ucapan Dasar Muktamar Sanawi ke-20 ABIM. Kuala
Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

29

Muktamar Nasional Ketigabelas WADAH

Siddiq Fadzil (2016) Pembinaan Bangsa: Kepelbagaian Dalam Bingkai
Kesatuan. Shah Alam: IDE Research Centre Sdn Bhd.

Syed Muhammad Naquib al-Attas (1978) Islam and Secularism.
Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Syed Muhammad Naquib al-Attas (2001) Risalah Untuk Kaum
Muslimin. Kuala Lumpur: Institut Antarabangsa Pemikiran
dan Tamadun Islam.

30

Amanat Pimpinan

BIODATA: AHMAD AZAM ABDUL RAHMAN

Ahmad Azam Abdul Rahman ialah seorang
tokoh pemimpin NGO yang sangat aktif
berperanan di peringkat tempatan dan
antarabangsa. Dengan bermula sebagai
pemimpin gerakan pelajar semasa di universiti
pada tahun awal 1980-an, beliau kini sebagai
Presiden Wadah Pencerdasan Umat
Malaysia (WADAH), iaitu sebuah NGO yang
bertujuan memperkasa umat dengan cara
meningkatkan kesedaran dan kecerdasan daya fikir mereka melalui
pengembangan literatur yang bermutu, perbahasan dan wacana ilmu
yang berkualiti serta pernyataan pandangan yang jelas dan tegas.

Ahmad Azam Ab Rahman baharu saja dipilih sebagai Pesuruhjaya
Hak Asasi Manusia [Independent Permanent Human Rights
Commission (IPHRC)-OIC] untuk sesi 2019-2022.

Ahmad Azam juga telah dipilih menganggotai jawatankuasa penaja
Union of NGOs in the Islamic World (UNIW) organisasi yang beribu
pejabat di Istanbul, Turki sejak Mei 2005. Penubuhan UNIW
bertujuan untuk menyatukan umat Islam di dunia ini. Pengasas
UNIW berpendapat bahawa usaha penyatuan lebih mudah
dilakukan melalui gerakan NGO oleh kerana pendekatan kerja
NGO tidak mempunyai banyak kerenah birokrasi. Bagi
memastikan NGO-NGO Muslim yang terdapat di mana-mana
pelusuk dunia ini bersatu maka ia perlulah digabungkan di bawah
naungan kesatuan ini (UNIW). Ahmad Azam Abdul Rahman telah
dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Agung UNIW mewakili
kawasan Asia Pasifik untuk sesi 2015-2017 dan dipilih sekali lagi
untuk sesi 2017 – 2020. Beliau juga telah disambung khidmat sebagai
Ahli Majlis Amanah Munazzamat Dakwah (Sudan) untuk sesi 2018
-2022.

31

Ahmad Azam telah dijemput bertemu Presiden Turki, Recep Tayyib
Erdogan pada 18 Ogos 2016 mewakili UNIW Asia Pasifik bagi
mendapatkan maklumat sebenar berkaitan cubaan rampasan kuasa pada
15 Julai 2016 dan kesannya kepada geo-politik dunia Islam. Lanjutan
dari pertemuan itu Ahmad Azam telah menulis buku Erdogan Bukan
Pejuang Islam?.

Sebagai pengiktirafan kepada projek-projek membangunakan
masyarakat Islam khususnya pendidikan di Kemboja melalui Global
Peace Mission (GPM) Ahmad Azam telah dianugerahkan “Royal
Order of Monisaraphon Moha Sena oleh Kerajaan Kemboja pada
26 September 2015 dan “The Royal Order of the Kingdom of
Cambodia of Commander (Thipden)” pada November 2012.

Sebagai pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan beliau dalam
pembangunan belia dalam dan luar negara, Menteri Belia dan Sukan
Malaysia telah melantik beliau sebagai Ahli Majlis Perundingan Belia
Negara bagi tahun 2003-2004. Beliau juga telah dianugerahkan Pingat
Bakti Belia Malaysia (P.B.B.M) oleh Majlis Belia Malaysia pada 12
Ogos 2005.

Ahmad Azam lahir pada 21hb Jun 1960 di Gombak, Selangor. Beliau
mendapat pendidikan di St John Institution dan kemudian meneruskan
pengajiannya ke ITM dalam bidang Pentadbiran Awam. Mendapat
Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dan MBA dari universiti
di Amerika Syarikat. Beliau pernah bertugas sebagai Pegawai MARA
Daerah Seberang Perai Utara, Pengurus Latihan, Institut Kajian Dasar,
Pengarah Latihan P&Q Consult Sdn Bhd, serta Pensyarah di Institut
Pengajian Ilmu-Ilmu Islam.


Click to View FlipBook Version