Si Tanggang
Watak
Si
Tanggang
Si
Deruma
Si Talang
Si Talang dan Si Deruma mempunyai
seorang anak lelaki bernama Si Tanggang.
Kehidupan mereka sekeluarga amatlah
miskin. Si Tanggang selalu berkhayal untuk
menjadi kaya dan terkenal.
Pada suatu hari, Si Tanggang terlihat sebuah
kapal besar berlabuh di muara sungai yang
berhampiran dengan rumahnya. Si
Tanggang pergi berjumpa dengan Nakhoda
kapal itu dan meminta untuk dijadikan anak
kapalnya. Nakhoda kapal itu terus bersetuju
kerana telah melihat kecekapan Si Tanggang
bersampan dan bekerja.
Walaupun Si Talang dan Si Deruma amat
keberatan untuk melepaskan Si Tanggang
belayar mengikut kapal Nakhoda itu,
mereka terpaksa mengalah. Si Tanggang
berjanji akan kembali ke kampung setelah
menjadi kaya.
Si Tanggang melakukan apa sahaja kerja
yang diperintahkan oleh Nakhoda. Nakhoda
amat suka dengannya kerana dia rajin
bekerja. Lalu, Si Tanggang pun diambil
sebagai anak angkat. Apabila Nakhoda
menjadi uzur, maka Si Tanggang dilantik
menjadi nakhoda baru. Dia dipanggil
Nakhoda Tanggang.
Si Tanggang cekap dan pandai berniaga.
Namanya menjadi terkenal. Oleh itu dia
dijemput oleh Sultan ke istana. Tidak lama
kemudian, Si Tanggang pun berkahwin
dengan puteri Sultan. Si Tanggang
membawa isterinya berlayar ke banyak
tempat di merata negeri.
Pada suatu hari, kapal Si Tanggang berlabuh
di muara sungai kampung asal-usulnya.
Orang kampung mengetahui nakhoda kapal
itu Si Tanggang. Mereka pun memberitahu
kepada orang tuanya.
“ Anak kita sudah pulang. Marilah kita pergi
tengok” kata Si Talang.
“ Ya, aku rindukan Si Tanggang. Khabarnya
dia sudah kaya sekarang, “ kata Deruma
dengan gembira.
Si Talang dan Si Deruma pun pergilah
berkayuh sampan menuju ke kapal
Nakhoda Tanggang. Si Deruma membawa
makanan kegemaran Si Tanggang, iaitu
pisang salai.
Apabila tiba di kapal, seorang anak kapal
melarang mereka naik. Seketika kemudian,
Si Tanggang muncul dengan isterinya.
“ Siapakah kedua-dua orang tua ini?” tanya
Si Tanggang kepada anak kapalnya.
“ Mereka mengaku sebagai ibu bapa tuan,”
jawab anak kapal itu.
“ Betulkah mereka ini ibu bapa kanda ?”
tanya isteri Si Tanggang.
Si Tanggang berasa malu untuk mengaku
orang tua itu ibu bapanya. Kesusahan dan
kemiskinan membuat Si Talang dan Si
Deruma kelihatan begitu uzur dan daif
sekali.
“ Ibu bapa kanda? Oh, tidak! Kanda tidak
mempunyai ibu bapa lagi. Mereka bukan
ibu bapa kanda. Jangan benarkan kedua
pengemis ini naik ke kapal !” herdik Si
Tanggang. Mukanya merah padam kerana
malu dan marah.
“ Oh, anakku, Si Tanggang! Aku ibumu. Ibu
ada bawakan pisang salai kegemaranmu,
nak “ kata Si Deruma.
“ Pergi! “ tengking Si Tanggang. Dia
memukul jari ibunya yang bergayut pada
bahagian tepi kapal. Pisang salai yang
dibawa ibunya, dibuang ke laut.
Si Talang dan Si Deruma berasa terlalu
sedih dan kecewa. Sungguh tidak disangka
anak kesayangan mereka telah berubah.
Mereka pun berdayung ke tepi.
Apabila tiba di daratan, Si Deruma
memandang ke langit. Sambil mengangkat
kedua-dua belah tangan dia berseru “ Oh,
Tuhan! Tunjukkanlah kepada Si Tanggang
bahawa akulah ibu kandungnya.”
Tiba-tiba petir berdentum. Angin bertiup
kencang. Kapal yang sedang berlabuh itu
terumbang-ambing. Ketika itulah, Si
Tanggang berasa kesal. Dia sedar Tuhan
telah memperkenankan doa ibunya. Dia
akan menerima balasannya kerana telah
menderhaka.
“ Oh, ibu! Ampunkanlah Tanggang.
Tanggang mengaku, Tanggang anak ibu!'
teriak Si Tanggang.
Akan tetapi, Si Tanggang sudah terlambat.
Gelombang yang kuat memecahkan
kapalnya. Apabila ribut reda, kapal Si
Tanggang menjadi batu. Semua anak kapal
juga bertukar menjadi batu. Si Tanggang
dan isterinya turut menjadi batu.