The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

penguatkuasaan dan tajassus

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by HUSSIN ZULKIFLI, 2020-04-05 06:16:37

TAJASSUS

penguatkuasaan dan tajassus

Keywords: tajassus,khalwat

51

bentuk apa sekalipun. Dalam masyarakat Islami yang tinggi dan mulia, manusia hidup
dalam keadaan aman pada diri mereka, aman pada rumah mereka, aman pada rahsia
mereka. Tiada sebarang alasan sekalipun untuk mencerobohi kehormatan diri, rumah,
rahsia, dan keaiban. Sekalipun atas pendekatan mencari jenayah atau memastikannya
tetap tidak diterima dalam Islam pendekatan mengintip orang ramai. Hukum manusia
berasaskan apa yang zahir. Tiada hak sesiapa untuk mencari-cari rahsia orang lain.
Seseorang diambil tindakan melainkan atas kesalahan dan jenayah yang nyata dari
mereka. Demikianlah nas larangan tajassus menempatkan dirinya dalam sistem
perlaksanaan dalam masyarakat Islami. Ia bukan sekadar mendidik jiwa dan
membersihkan hati, bahkan ia telah menjadi dinding yang memagari kehormatan, hak
dan kebebasan manusia. Tidak boleh disentuh dari dekat atau jauh atau atas sebarang
pendekatan atau nama” (Kamaruddin, 2015).

3.3 Bentuk Larangan Lafaz Tajassus

Berdasarkan surah al-Hujurat ayat 12 Allah  berfirman dalam al-Quran:

ْ‫َ﴿ويَىََ َأل ُّي َه َيا ۡغٱ َتََّّ ِّليب َن َّب َءۡعا َُمضُنواْ ُكٱم ۡج َت َبنِّ ُۡبعواًْضاۚ َكثَِّأيُُٗريِّا ُّ ِّمب َنأَٱ َلح َُّدظ ِّن ُكإِّ َّۡمن َأبَ ۡعن َيَضأۡ ٱل َُّكظ َلِّن إَِّثۡ َ ۡلمٰۖٓ َم َو ََأَل ِّخََي َتهِّ َّس َم ُ ۡيس ٗتواا‬
﴾١ ‫فَ َك ّرِ ۡه ُت ُمو ُهۚ َوٱ َّت ُقواْ ٱّ َّل َلۚ إِّ َّن ٱّ َّل َل تَ َّواب َّر ِّحيم‬

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari
sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana
sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu
mengintip mencari-cari kesalahan orang dan janganlah setengah kamu
mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan
daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.
(Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu
kepada Allah. Sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani”
(Q.S. Al-Hujurat: 49: 12)

52

Menurut M. Quraish Shihab dalam tulisan Hafiz Adnan (2017) mengatakan
bahawa usaha melakukan tajassus dapat menimbulkan kerengganan hubungan sesama
manusia kerana terdapat padanya prinsip yang dilarang. Perbuatan ini sangat dilarang
oleh syarak. Selain itu, disebabkan tajassus ini mempunyai persamaan dengan
prasangka, sedangkan prasangka ada yang dibenarkan dan ada yang tidak dibenarkan.
Tajassus dapat dibenarkan dalam konteks pemeliharaan negara atau untuk menolak
kemudharatan yang bersifat umum. Oleh kerana itu, pengintip musuh atau pelanggar
hukum adalah termasuk dalam tajassus yang dibenarkan dalam Islam. Adapun
tajassus yang bertujuan untuk mengetahui rahsia seseorang secara peribadi tanpa
arahan daripada mana-mana pihak bertanggungjawab maka ini sangat dilarang.

Bentuk larangan ini berlaku pada kalimah ‘‫ ’ولا تجسسوا‬yang bermaksud

‘Janganlah kamu mencari-cari ‘aib atau kesalahan seseorang’. Di dalam Kamus Besar

Arab Melayu bahawa perkataan La )‫ (لا‬boleh membawa kepada tiga keadaan iaitu kata

Nafi, kata larangan, dan kata tambahan.

Adapun menurut Syeikh Mustafa Ghula’yi’ni, kata La (‫ )لا‬yang terdapat dalam

kalimah ini merujuk kepada La Nahiyah Jazimah iaitu larangan yang pasti yang
bermaksud sebuah larangan yang dituntut untuk ditinggalkan. Di dalam perbahasan
usul fiqh, para ulama membahaskan mengenai nahi iaitu larangan dengan cukup luas,
sebagaimana yang disampaikan oleh Ab. Latif Muda (2015) di dalam bukunya Usul
Al-Ahkam yang mana beliau mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan nahi
adalah:

‫هو طلب الكف على وجه الألزم بلفظ غير نحوكف‬

Maksudnya: Tuntutan untuk meninggalkan secara pasti tidak menggunakan
‘tinggalkanlah’ atau yang sejenisnya.

53

Beliau juga menggabungkan di dalam bukunya dengan pendapat yang jumhur

dalam memberikan maksud nahi ini adalah ‘‫ ’الأصل في النهى للتحريم‬yang bermaksud asal

dari larangan adalah untuk membawa kepada haram. Selain itu, terdapat juga hadis-
hadis yang menerangkan tentang larangan perbuatan tajassus antaranya adalah hadis
yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari di dalam kitabnya Sahih Bukhari:

‫ عن أبي‬،‫ عن همام بن منبه‬،‫ أخبرنا معمر‬،‫ أخبرنا عبد الله‬،‫حدثنا بشر بن محمد‬
‫ إياكم والظن فإن الظن أكذب‬:‫ عن النبي صلى الله عليه وسلم قال‬،‫هريرة‬
‫ ولا تباغضوا‬،‫ ولا تدابروا‬،‫ ولا تحاسدوا‬،‫ ولا تجسسوا‬،‫ ولا تحسسوا‬،‫الحديث‬
.‫وكونوا عباد الله إخوانا‬

Maksudnya: Telah menceritakan kepada kami Bisyr bin Muhammad telah
mengkhabarkan kepada kami Abdullah telah mengkhabarkan kepada kami
Ma’mar dari Hamman bin Munabih dari abu Hurairah dari Nabi Saw beliau
bersabda: “Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan
yang paling dusta, janganlah kalian saling mendiamkan, janganlah suka mencari-
cari aib, saling berdengki, saling membelakangi, saling membenci tetapi jadilah

kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara.” (H.R. Al-Bukhari: 6064)

Ibnu Hajar dalam mensyarahkan hadis ini, beliau meletakkan hadis ini dalam
bidang adab dan larangan-larangan sesama muslim. Beliau juga mengambil kata-kata
Imam Khuto’bi dengan mengatakan janganlah menyiasat daripada aib-aib manusia

dan janganlah melihat auratnya. Rasulullah melarang dan menegah agar menjauhi

prasangka buruk sesama manusia dan melarang juga untuk mencari-cari keburukan

orang lain. Hamba Allah adalah bersaudara dan menjadi kewajiban untuk menjaga

tata pergaulan dan batas-batasan lain agar tidak timbul prasangka hingga menuju
kepada mencari-cari atau memata-matai hal-hal yang boleh memburukkan hubungan
persaudaraan (Adnan, 2017).

Menurut Imam Nawawi dalam Syarah Riadhus Solihin karangan Syaikh Salim,
Hafiz Adnan (2017) juga mengatakan bahawa perbuatan mencari-cari aib dan

54

mencuri-curi perbualan orang lain dan menyangka sesuatu pada saudara mereka adalah
larangan yang bersifat haram maka ia tidak berhak seseorang untuk melakukan
perbuatan tersebut. Terdapat juga hadis yang dinukilkan oleh Imam Nawawi mengenai
perbuatan mencari-cari aib orang muslim sama seperti dia telah melakukan kerosakan
terhadap kehormatan orang tersebut berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu
Daud:

‫ إنك إن اتبعت‬:‫ سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول‬:‫ قال‬،‫عن معاوية‬
‫ أوكدت أن تفسدهم‬،‫عورات الناس أفسدتهم‬

Maksudnya: Dari Muawiyah r.a dia berkata: “Aku pernah dengar
Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya apabila kamu mencari-cari aib orang
Islam, maka kamu telah membuat mereka rosak atau hampir sahaja kamu
merosak mereka.” (H.R. Abu Daud: 4888)

Ibnu Qudamah di dalam kitab Minhajul Qashidin pada perbahasan syarat-syarat
dalam menjalankan ‘amar ma’ruf nahi munkar, beliau mengatakan bahawa seseorang
itu boleh dikatakan sebagai pelaku kemunkaran sekiranya perbuatan itu dilakukan
secara jelas. Sebagai contoh seorang kanak-kanak atau orang gila yang meminum
memabukkan seperti arak, maka seseorang yang melihat perbuatan tersebut harus
mencegahnya dengan menumpahkan arak itu atau melihat lelaki gila yang berzina
dengan wanita gila lain atau dengan binatang maka dia harus mencegahnya (Adnan,
2017).

Tambahannya lagi, kemungkaran itu haruslah berlaku secara langsung iaitu
dapat dilihat dengan mata. Oleh sebab itu, sekiranya seseorang itu melakukan
kemungkaran secara sembunyi-sembunyi didalam rumahnya dan dia menutup
pintunya, maka dia tidak dibenarkan untuk mengintip atau mematai-matai, kecuali
perbuatannya itu boleh dikenali atau diketahui oleh orang yang berada diluar
rumahnya sebagai contoh suara orang yang bermain judi yang boleh didengari dari
luar rumah (Adnan, 2017).

55
Menurut beliau, walaupun dalam keadaan untuk melakukan amar ma’ruf dan
nahi munkar, tajassus adalah perbuatan yang wajib dielakkan iaitu tidak dibenarkan
untuk mengintip, mencuri dengar perbualan atau mendengar suara-suara yang
mencurigakan. Sebagai contoh tidak dibenarkan untuk menghidu sesuatu bauan
dengan tujuan untuk mengetahui bau arak, tidak boleh meraba-raba apa yang
tersimpan didalam pakaian atau kain dan tidak boleh menjadikan tetangga sebagai
mata-mata untuk mengetahui keadaannya (Adnan, 2017).

Menurut pandangan Sayyid Qutb dalam mentafsirkan ayat ini, beliau secara
langsung menyatakan bahawa perbuatan tajassus ini adalah perbuatan yang dilarang
sama sekali, dan meletakkan hukum tajassus ini sebagai haram. Menurut beliau lagi,
manusia ini mempunyai kebebasan, hak-hak, dan segala perasaan yang perlu dijaga
dan dihormati walaupun perbuatan tajassus dilakukan secara nyata. Tajassus kadang-
kala merupakan kegiatan yang mengiringi syak wasangka. Oleh itu, seseorang tidak
boleh menentukan apa yang dilihatnya itu samada betul atau salah. Malahan perbuatan
ini kebiasaannya sebagai proses awal untuk membuka aurat dan mengetahui
keburukan seseorang. Al-Quran melarang amalan jijik ini dari segi akhlak untuk
membersihkan hati daripada kecenderungan untuk melakukan perkara yang buruk itu
(Adnan, 2017).

Selain itu, menurut beliau juga manusia ini memiliki kebebasan, kehormatan,
dan kemuliaan yang tidak boleh dilanggar dan dirampas dengan cara apa pun dan tidak
boleh disentuh dengan keadaan apa pun. Pada masyarakat Islam yang adil dan mulia,
hiduplah manusia dengan rasa aman atas dirinya, rasa aman atas rumahnya, rasa aman
atas kerahsiaannya, dan rasa aman atas aibnya. Tidak ada satu perkara pun yang
menyebabkan pelanggaran kehormatan diri, rumah, rahsia dan aib. Bahkan, jika terjadi
pembunuhan yang memberi kesan kepada penegakan hukum, maka ia tidak
dibolehkan mencari-cari kesalahan si pembunuh tersebut (Adnan, 2017).

Manusia hendaklah dipandang dan dinilai dari zahiriah. Sekiranya seseorang itu
dilihat baik pada zahirnya maka ia dinilai baik secara keseluruhannya dan begitulah
sebaliknya. Tidak ada seorang pun yang berhak menghukum atas batiniahnya.
Seseorang itu tidak dibenarkan untuk menghukum manusia kecuali berdasarkan

56
kesesatan dan kesalahan yang jelas yang dapat dilihat. Seseorang itu tidak boleh
menyiasat atau ingin mengetahui perbuatan seseorang yang dilakukan secara
sembunyi walaupun tujuannya untuk mendapatkan kepastian. Apa yang boleh
dilakukan keatas manusia adalah menghukum mereka ketika kesalahannya terjadi dan
terbukti disertai saksi yang telah ditetapkan nas berkaitan dengan kesalahannya
(Adnan, 2017).

Selanjutnya menurut Imam al-Qurtubi, perbuatan tajassus seringkali dikaitkan
dengan perkara yang buruk terhadap orang lain. Perkara ini terjadi disebabkan muncul
dalam diri seseorang sifat curiga atau tidak percaya kemudian dia melakukan tajassus
untuk memastikan kebenaran apa yang dicurigakannya itu. Antara cara yang dilakukan
adalah menyuruh orang lain untuk menyiasat atau mencuri-curi dengar daripada orang

lain. Maka Rasulullah sangat melarang kita untuk berbuat demikian (Adnan,

2017).

Menurutnya lagi, perkataan ‫ ولا تجسسوا‬Abu Raja’ dan al-Hasan membaca dengan
qiraah yang berbeza iaitu dengan huruf ha’ ‫ولا تحسس‬, para ulama berbeza pendapat

mengenai kedua perkataan tersebut samada maknanya sama atau berbeza. Al-Akhfasy
berpendapat bahawa makna dua perkataan tersebut tidak berbeza jauh. Perkataan

‫ تجسس‬bermakna, ‫ البحث عما يكتم‬iaitu berbicara tentang sesuatu yang tidak engkau
ketahui, sedangkan ‫ تحسس‬bermakna ‫ طلب الاخبار والبحث عنها‬iaitu mencari-cari sebuah

berita lalu membahasnya dan menyebarnya (Adnan, 2017).

57

3.4 Hukum Tajassus

Hukum tajassus secara umumnya adalah haram namun ia boleh berubah
bergantung kepada situasi yang berlaku. Ulama fiqh telah membahagikan hukum
tajassus ini kepada tiga iaitu haram, wajib dan harus. Asas dalil yang digunakan

berdasarkan firman Allah :

ْ‫إِّثۡمٰۖٓ َو ََل ََتَ َّس ُسوا‬ ‫َأبَ ۡعن َيَضأۡ ٱل َُّكظ َ ِلّن‬ ‫َ﴿ويَىََ َأل ُّي َه َيا ۡغٱ َتََّّ ِّليب َن َّب َءۡعا َُمضُنواْ ُكٱم ۡج َت َبنِّ ُۡبعواًْضاۚ َكثَِّأيُُٗريِّا ُّ ِّمب َنأَٱ َلح َُّدظ ِّن ُكإِّ َّۡمن‬
َ ‫َ َ ۡل َم‬
‫َم ۡي ٗتا‬ ِّ‫أ ِّخيه‬

﴾١ ‫فَ َك ِرّ ۡه ُت ُمو ُهۚ َوٱ َّت ُقواْ ٱّ َّل َلۚ إِّ َّن ٱّ َّل َل تَ َّواب َّر ِّحيم‬

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari
sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana
sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu
mengintip mencari-cari kesalahan orang dan janganlah setengah kamu
mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan
daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.
(Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu
kepada Allah, Sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani”
(Q.S. al-Hujurat: 49: 12)

Sebahagian ulama qiraat seperti Abu Raja’ dan al-Hasan membacanya dengan
‘tahassasū’ iaitu dibaca dengan huruf ha bukan dengan jim. Al-Akhfasy menjelaskan
bahawa makna diantara tahassasū dengan tajassus adalah tidak jauh beza. Tahassasū
bermaksud membahas atau meneliti perkara yang tersembunyi pada seseorang.
Sebahagian pendapat menjelaskan tahassasū ini ialah apa yang boleh dicapai oleh
pancaindera manusia. Manakala makna tajassasu adalah mengintip sesuatu.
Sebahagian pendapat mengatakan bahawa tajassasu adalah perbuatan yang dilakukan
oleh orang lain atau ditugaskan untuk mengintip sedangkan tahassasū adalah
perbuatan yang dilakukan oleh diri seseorang itu sendiri (Adnan, 2017).

58

Menurut Hafiz Adnan (2017) tajassus pada asal hukumnya adalah haram seperti
yang dinyatakan dalam surah al-Hujurat ayat 12 kerana perbuatan itu membuka aib
dan rahsia orang muslimin. Kemudian ada pula hadis yang menyokong dalil al-Quran
itu yang diriwayatkan oleh Abu Daud:

‫ يا معشر من‬-‫صلى الله عليه وسلم‬- ‫عن أبى برزة الأسلمى قال قال رسول الله‬
‫تغتابوا المسلمين ولا تتبعوا عوراتهم فإنه آمن بلسانه ولم يدخل الإيمان قلبه لا‬
‫من اتبع عوراتهم يتبع الله عورته ومن يتبع الله عورته يفضحه فى بيته‬

Maksudnya: Daripada Abi Barzah al-Aslami berkata Rasulullah bersabda:
“Wahai sekalian yang mendakwa beriman dengan lidahnya, namun iman tidak
masuk ke dalam hatinya, jangan kamu mengumpat kaum muslimin, jangan kamu
mencari-cari keaiban mereka. Sesiapa mencari-cari keaiban kaum muslimin,
maka Allah SWT akan mencari keaibannya. Sesiapa yang Allah SWT mencari
keaibannya, maka Allah SWT akan mendedahkannya sekalipun dirumahnya. .”
(H.R. Abu Daud: 4880).

Ada kalanya sesetengah keadaan yang boleh mengubah hukum tajassus ini
daripada haram kepada wajib. Ibn Majasyun mengatakan bahawa sekiranya pencuri
dan orang yang memintas atau memotong jalan orang lain, maka seseorang itu boleh
menduga atau bersangka buruk terhadap orang yang memotong jalan itu. Dia
hendaklah menduga atau menyangka perbuatan orang itu dengan cara tajassus dan
mengikuti perkhabaran mereka. Jika situasi begini, maka hukum tajassus adalah wajib.
Tujuannya adalah untuk mengelakkan kemudaratan yang lebih besar berlaku.

Jika berada di dalam situasi peperangan, kaum muslimin diharuskan untuk
melakukan tajassus. Tujuannya untuk mengintip pergerakan tentera musuh untuk
mengetahui dari sudut jumlah bilangan tentera musuh, senjata yang digunakan dan di
mana mereka berada. Sama juga situasi di mana seorang hakim yang telah membuat
keputusan bahawa di dalam rumah seseorang itu ada arak. Saksi yang memberitahu
hakim itu telah membongkar hal peribadi tuan rumah tersebut. Mengikut pendapat
yang masyhur saksi tadi diterima. Tetapi jika perbuatan tuan rumah itu dilakukan
secara tersembunyi maka ia tidak perlu untuk mengintipnya (Adnan, 2017).

59

Adapun kafir zimmi yang menjadi warganegara tetap di negara Islam atau
majoriti Islam, maka kedudukan mereka itu sama taraf dengan orang Islam di mana
hak-hak peribadi mereka dilarang untuk dicerobohi oleh orang muslim. Namun bagi
kafir harbi sama ada kafir harbi haqiqi atau hukmi hukumnya adalah harus bagi
seorang muslim atau sekumpulan muslim untuk mengintipnya. Manakala bagi
pemerintah hukumnya menjadi wajib untuk mengintip kafir harbi samada berada di
dalam negara Islam atau negaranya sendiri (Adnan, 2017).

Dalil yang digunakan adalah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Hisyam bahawa

Nabi Muhammad pernah mengutus Abdullah bin Jahsy bersama lapan orang
daripada kalangan Muhajirin. Kemudian Rasulullah memberikan sepucuk surat

kepada Abdullah bin Jahsy dan baginda menyuruhnya agar tidak melihat isinya. Ia
boleh membuka surat itu setelah berjalan kira-kira dua hari perjalanan. Setelah
menempuh dua hari perjalanan barulah Abdullah bin Jahsy membuka surat dan
membaca isinya. Isi tersebut berbunyi, “Jika engkau teleh melihat suratku ini,
berjalanlah terus sehinggga sampai kebun kurma antara Mekkah dan Tha’if. Kemudian
intiplah orang-orang Quraisy dan khabarkanlah kepada kami berita tentang mereka.”
(Adnan, 2017).

Dalam surat itu, Rasulullah memerintahkan Abdullah bin Jahsy untuk

mengintip orang-orang Quraisy dan memberitahu khabar berita tentang mereka kepada

Rasulullah . Baginda  memberi pilihan kepada sahabat lain samada untuk
mengikuti Abdullah bin Jahsy atau tidak. Tetapi Rasulullah mengharuskan bagi

Abdullah bin Jahsy untuk meneruskan perjalanan sehingga sampai ke kebun kurma
antara Mekkah dan Tha’if. Dalam riwayat ini menjelaskan bahawa baginda menyuruh
sahabat untuk melakukan intipan dan menunjukkan bahawa hukum melakukan intipan
kafir harbi adalah wajib bagi negara Islam sedangkan bagi kaum muslimin adalah
harus (Adnan, 2017).

60
Menurut Norita Kamaruddin (2015) yang merujuk kitab Mausu’ah ‘Athur al-
Fiqhiyyah al-Muyassarah telah membahagikan hukum tajassus kepada dua kategori
iaitu:

1. Tajassus keatas pihak musuh

Perintah untuk melakukan tajassus ke atas pihak musuh oleh pemerintah
Islam dan wajib dilakukan oleh pihak yang telah diarahkannya. Tujuannya
adalah untuk menyiasat sejauh mana kekuatan musuh di dalam peperangan atau
senjata yang digunakan agar pertumpahan darah yang banyak dapat dielakkan.
Hukum ini diambil daripada peristiwa perang Khandak di mana Rasulullah

telah menghantar Hudzaifah al-Yamani pada malam peperangan untuk

masuk mengintip ke tempat tentera musyrikin untuk menyiasat apa yang
dilakukan oleh mereka.

Tajassus juga boleh menjadi sunat apabila pemerintah mengarahkan supaya
menyiasat tenteranya sendiri tujuannya untuk mengetahui sejauh mana kekuatan
tenteranya, bilangan tentera yang terlibat, peralatan atau senjata yang digunakan
untuk peperangan dan sebagainya. Usaha ini dapat memudahkan pemerintah
supaya membuat persediaan yang rapi untuk berdepan dengan musuh.

2. Tajassus ke atas pihak muslimin

Melakukan tajassus ke atas pihak muslimin samada untuk maslahah
negara atau maslahah peribadi. Maslahah negara terbahagi kepada tiga iaitu
negara kafir, negara Islam, dan negara yang diperlukan untuk melakukan
tajassus.

a) Tajassus untuk maslahah peribadi terbahagi kepada dua:
1) Tajassus yang dilakukan bertujuan untuk membuka aurat dan aib
seseorang. Hukumnya jelas haram berdasarkan dari surah al-Hujurat ayat
12 samada yang dilakukan tajassus itu muslim atau kafir. Hukuman bagi
orang kafir melakukan tajassus ke atas orang Islam adalah lebih besar
daripada hukuman orang Islam melakukan tajassus ke atas orang Islam. Ini

61

kerana orang kafir yang melakukan tajassus ke atas orang Islam
berkemungkinan untuk merosakkan hubungan antara kaum muslimin.
2) Tajassus yang dilakukan untuk mengetahui di mana hak miliknya, seperti
mengintip untuk mengetahui di mana pencuri meletakkan dan
menyembunyikan harta yang telah dicuri maka hukumnya adalah harus.
Harta merupakan perkara daruriat yang perlu dijaga maka tiada masalah
untuk melakukan intipan kepada pencuri barang.

b) Tajassus untuk memulihkan negara orang kafir

Samada yang melakukan tajassus itu daripada kalangan rakyat dari negara
itu atau dari negara Islam iaitu kafir zimmi maka dia perlu dibunuh. Sekiranya
yang melakukan tajassus itu daripada kalangan orang Islam maka dia juga perlu
dibunuh kerana bersubahat untuk menubuhkan negara orang kafir. Firman

Allah:

ِِّّ‫بَِّء َاماَم ُن َوجاْآ ََءَل َتُك َّتم ِّخ ِّم ُذ َنواْٱَ َۡع َل ُدِّقوُُِّ ۡييرِّ َو ُجَعو ُد َنَّوٱل َُّكر ُۡمسوأَ َۡولِِِّلَإَآويََّءاتُ ۡل ُُقك ۡوم َأَن إنِّ َِتُۡل ِّۡهؤ ِّمم ُنبِّوٱاْلۡبَِّمٱ َوّ ََّّلدةل‬ ‫﴿يَى َأ ُّي َها ٱََّّ ِّلي َن‬
ْ‫َو َق ۡد َك َف ُروا‬

‫إِّ َِ ۡل ِّهم‬ ‫َم ۡر َضا ِِّتۚ ت ُ ِِّ ُّسو َن‬ ‫أَ ِِّ ۡعفلَن َُتس ۡبِّۚمي َِِّولَمنَوٱ َيبۡ ۡتِّف َغَعآۡل َءُه‬ ٓ‫بِّ َمَخآ َرأَ ۡج ۡخُت َفۡم ۡي ُت ۡمِّج َ َهَٰو َٗمداا‬ ‫ُكن ُت ۡم‬ ‫إِّن‬ ‫َربِّ ُك ۡم‬
‫َس َوآ َء‬ ‫ِّمن ُك ۡم َف َق ۡد َض َّل‬ ‫أَ ۡعلَ ُم‬ ۠‫َو َأنَا‬ ِّ‫بِّٱلۡ َم َو َّدة‬

﴾١ ‫ٱل َّسبِّي ِّل‬

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil
musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan
kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab
hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang
mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu;
mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah dan juga mengeluarkan kamu (dari
Tanah Suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu.
(Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada
jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu
mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku
amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan.
Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian,

62

maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan yang betul (Q.S. Al-Mumtahanah:
60: 1).

Kemudian dalam surah lain Allah  berfirman:

‫َب ۡع ٖ ۚض‬ ‫أَ ۡوِِّلَآ ُء‬ ‫َب ۡع ُض ُه ۡم‬ َۘ‫أَ ۡوِِّ َلآ َء‬ ‫َوٱلنَّ َصَٰ َر ىى‬ ‫ٱ ِۡ َل ُهو َد‬ ْ ‫َت َّت ِّخ ُذوا‬ َ ْ‫َءا َم ُنوا‬ ‫ٱََّّ ِّلي َن‬ ‫﴿۞يَى َأ ُّي َها‬
‫َل‬

﴾٥١ ‫ٱل َّٰظلِّ ِّمي َن‬ ‫ٱ ۡل َق ۡو َم‬ ‫َي ۡه ِّدي‬ َ ‫ٱّ َّل َل‬ ‫إِّ َّن‬ ِّۗ‫ِّم ۡن ُه ۡم‬ ‫َفإِّنَّ ُهۥ‬ ‫ِّمن ُك ۡم‬ ‫َي َت َولَّ ُهم‬ ‫َو َمن‬
‫َل‬

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil
orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka
menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu
yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari
golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk
kepada kaum yang berlaku zalim (Q.S. Al-Maidah: 5: 51).

Jika seseorang itu mengintip untuk kali pertama, maka hukuman akan
diserahkan kepada pemerintah muslimin. Tetapi sekiranya perbuatan mengintip
tersebut mendatangkan bahaya maka hukuman tersebut hendaklah ditajuhkan
sesuai dengan perbuatannya seperti hukuman ta’zir.

c) Tajassus untuk memulihkan negara Islam lain

Sekiranya yang melakukan tajassus itu daripada kalangan kafir zimmi,
maka hukumannya adalah bunuh. Jika orang Islam yang melakukannya, maka ia
tidak boleh dibunuh sebaliknya dikenakan hukuman berdasarkan budi bicara
pemerintah. Pemerintah sesuatu negara tidak harus untuk memberitahu keadaan
di dalam negaranya kepada pemerintah negara lain demi menjaga kemaslahatan
negara dan rakyatnya.

63
d) Tajassus untuk memulihkan negaranya sendiri dan orang yang menyiasat itu

dalam kalangan rakyatnya sendiri.

1) Sekiranya tajassus dilakukan untuk mengetahui tentang rahsia mereka,
apa yang mereka takutkan dan kesalahan mereka maka hukumnya adalah
makruh. Ini kerana dapat merosakkan hubungan silaturrahim di antara
mereka dan menghilangkan kepercayaan antara satu sama lain sehingga
saudara kandung tidak mempercayai saudaranya sendiri, anak tidak
mempercayai ayahnya dan menjauhkan hati untuk melakukan ibadah

kepada Allah  seperti yang berlaku pada hari ini. Rasulullah
bersabda:

‫ يقول إنك إن اتبعت‬-‫صلى الله عليه وسلم‬- ‫عن معاوية قال سمعت رسول الله‬
.‫عورات الناس أفسدتهم أوكدت أن تفسدهم‬

Maksudnya: sesungguhnya jika engkau mencari-cari keaiban orang ramai
nescaya engkau merosakkan mereka. (H.R. Abu Daud: 4888)

2) Maklumat yang diterima mempunyai persamaan dengan orang lain
menyebabkan berlakunya percanggahan dirumahnya dan individu lain
atau berlawanan dengan pihak penguasa maka hukumnya adalah harus.
Tujuannya adalah untuk menjalankan siasatan tentang kebenaran yang
diterima itu. Keharusan untuk menjalankan siasatan dalam situasi
tersebut adalah pilihan.

Dalam kajian Norita Kamaruddin (2015) menggunakan istilah tajassus untuk setiap
kategori hukum. Namun, kajian ini tidak dapat memastikan sama ada kitab Mausu’ah
‘Athur al-Fiqhiyyah al-Muyassarah turut menggunakan istilah tajassus dalam setiap
kategori hukum atau tidak.

64

3.5 Peranan Tajassus Dalam Amar Makruf Nahi Munkar

Dalam Islam, tugasan berdakwah adalah salah satu tanggungjawab setiap
umatnya. Tugasan ini merupakan fardhu ain bagi orang mukmin supaya mengajak
orang Islam untuk melakukan kebaikan dan mencegah kemunkaran berdasarkan hadis

Nabi:

‫ فَِإ ْن لَمْ يَ ْستَ ِط ْع‬،‫ فَِإ ْن لَمْ يَ ْستَ ِط ْع فَبِلِ َسانِِه‬،ِ‫ىَوِمذَلْنِ ُكَكْم أَُمْنْضََعكًراُففَْلايُْلِإغَيِيمَْارهُِنبِيَ ِده‬،َ‫فََمبَِْقنْلبَِرِأه‬

Maksudnya: Sesiapa dari kalangan kalian yang melihat kemungkaran maka
hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu
hendaklah dia mengubah dengan lidahnya dan sekiranya dia tidak mampu
hendaklah dia mengubahnya dengan jantung hatinya. Demikian itu (mengubah
dengan hati) adalah selemah-lemah iman. (H.R. Muslim: 184)

Menurut Norita Kamaruddin (2015) berkata al-Imam al-Nawawi dalam
syarahnya ke atas hadis ini: Adapun sifat larangan kepada perkara mungkar dan

peringkat-peringkatnya, garis panduannya adalah ucapan Nabi seperti hadis di

atas. Maka ke atas seseorang untuk mengubah kemunkaran dengan setiap bentuk yang
dia mampu. Tidak cukup sekadar memberi peringatan bagi sesiapa yang mampu
mengubah dengan tangannya. Tidak boleh juga berpada dengan membenci dari hati
bagi sesiapa yang mampu menghalang dengan lisan.

Kata al-Imam al-Nawawi lagi: Tidak boleh bagi mereka yang melakukan amar
makruf dan nahi munkar mencari-cari serta melakukan tajassus dan menceroboh ke
rumah-rumah berdasarkan sangkaan. Bahkan sekiranya dia melihat sesuatu hendaklah
dia mengubahnya (Kamaruddin, 2015).

Kata al-Imam al-Mawardi: Sekiranya berat ke atas sangkaan orang yang
melakukan hisbah (muhtasib) akan rahsia golongan yang melakukan kemungkaran
dengan tanda-tanda dan kesan-kesan yang jelas, seperti dua contoh berikut: Pada

65

perbuatan mungkar itu pencerobohan ke atas kehormatan seseorang yang kita terlepas
pandang. Seperti seseorang diberitahu oleh seorang lelaki yang dipercayai dengan
kebenarannya bahawa terdapat seorang lelaki yang sedang berkhalwat dengan lelaki
lain untuk dia membunuhnya atau dia berkhalwat dengan seorang perempuan untuk
dia berzina dengannya. Maka diharuskan untuk bertajassus dan berusaha
mendedahkan serta mengingkari maksiat tersebut. Keduanya: Apa yang lebih kurang
dari kedudukan ini, maka tidak boleh padanya untuk melakukan tajassus
(Kamaruddin, 2015).

Seterusnya, terdapat sebahagian pandangan ulama yang berpegang bahawa

peranan amar ma’ruf nahi munkar ini adalah fardhu ain. Berdasarkan firman Allah :

‫بِّٱلۡ َم ۡع ُرو ِّف‬ ْ‫َوأَ َم ُروا‬ َ‫ٱل َّز َك َٰوة‬ ْ‫َو َءاتَ ُوا‬ ‫أَقَا ُمواْ ٱل َّص َل َٰو َة‬ َۡ ‫َّم َّك ّنَٰ ُه ۡم‬ ‫﴿ٱََّّ ِّلي َن إِّن‬
﴾٤١ ِّ‫ٱ ۡۡ ُل ُمور‬ ‫ِِّف ٱۡلۡر ِّض‬ ٰۗ‫ٱلۡ ُمن َك ِّر‬ ‫َو َن َه ۡواْ َع ِّن‬
‫َوِّّ َّللِّ َعَٰ ِقّ َب ُة‬

Maksudnya: Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka
kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta
memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari
melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah
jualah kesudahan segala urusan (Q.S. Surah al-Hajj: 22: 41).

Para ulama ketika mentafsirkan ayat ini terbahagi kepada dua pandangan.
Pandangan pertama mengatakan bahawa hukum amar ma’ruf nahi munkar ini adalah
fardhu kifayah. Sekiranya terdapat satu golongan yang menyelesaikan tugas tersebut,
maka gugurlah tanggungjawab umat Islam yang lain. Ayat di atas menyuruh agar
mewujudkan satu golongan yang khusus daripada umat Islam supaya menyeru kepada

kebaikan dan mencegah kemunkaran. Huruf min dalam perkataan ‫ َّم َّك ّنَٰ ُه ۡم‬dalam ayat

diatas memberi maksud sebahagian. Jika difahami konteks zaman sekarang, maka
perlunya kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa yang berperanan khusus untuk
mencegah kemunkaran yang berlaku (Kamaruddin, 2015).

66

Imam al-Nawawi berpandangan bahawa amar ma’ruf nahi munkar adalah fardhu
kifayah. Sekiranya dilakukan untuk mencegah itu oleh sebahagian orang maka
gugurlah kewajipan tanggungjawab itu daripada orang lain. Apabila tugas ini
ditinggalkan oleh semua orang maka hukumnya berdosa sama ada orang itu mampu
atau tidak.

Pandangan kedua pula berpendapat bahawa hukum amar ma’ruf nahi munkar
adalah fardhu ain kerana maksud ayat tersebut “hendaklah ada satu kumpulan iaitu
orang-orang beriman yang menyeru kearah kebaikan dan melakukan amar ma’ruf dan

nahi munkar. Golongan ini memahami huruf min dalam perkataan ‫ َّم َّك ّنَٰ ُه ۡم‬bermaksud

jenis umat yang mesti wujud iaitu “kamu sendiri wahai orang beriman” (Kamaruddin,
2015).

Antara kedua-dua pendapat ini, yang lebih tepat dan kuat adalah pendapat yang
pertama. Berdasarkan hukum ini, umat Islam berkewajipan untuk mewujudkan satu
kelompok di dalam kalangan orang-orang beriman yang melaksanakan tugas amar
ma’ruf dan nahi munkar. Meskipun ia adalah fardhu kifayah, ada keadaan yang
menjadikannya fardhu ain. Imam al-Nawawi berkata: “Kadang-kadang ia menjadi
fardhu ain sepertimana apabila dia berada di satu tempat yang tidak mengetahui
kemunkaran tersebut melainkan dirinya sahaja atau tidak dapat menghilangkannya
melainkan dirinya sendiri dan juga seperti orang melihat isterinya atau anaknya atau
hambanya melakukan kemunkaran atau cuai dalam melakukan kebaikan maka ia
menjadi fardhu ain.”(Kamaruddin, 2015).

67

3.6 Rumusan Bab

Dalam bab ketiga ini dapat dirumuskan bahawa terdapat perbezaan pandangan
ulama dalam memahami maksud tajassus. Namun, perbezaan itu tidaklah mengubah
maksud asal tajassus yang terdapat di dalam al-Quran surah Al-Hujurat ayat ke 12
yang bermaksud mengintip atau mencari-cari aib orang lain. Setelah merujuk hadis-
hadis yang berkaitan dengan tajassus mendapati bahawa konsep tajassus ini adalah
luas. Konsep tajassus ini tidak hanya menfokuskan untuk mengintip orang melakukan
maksiat sahaja tetapi juga untuk menjaga kemaslahatan lain seperti keamanan negara.

Selain itu, hukum tajassus yang terdapat dalam al-Quran surah Al-Hujurat
menunjukkan bahawa amalan tajassus ini sangat dilarang dan haram hukumnya.
Haram melakukan tajassus bukan untuk orang Islam sahaja tetapi juga untuk orang
kafir. Kafir yang haram orang Islam untuk melakukan tajassus keatasnya adalah kafir
zimmi yang mana kafir zimmi peranannya sama dengan orang Islam. Setiap haknya
perlu dijaga oleh pemerintah dan orang Islam yang lain. Namun, apabila dikaitkan

dengan hadis-hadis yang menunjukkan ada sesetengah perkara Nabi menyuruh

para sahabat untuk melakukan tajassus maka hukum tajassus bukanlah haram mutlaq.
Ada sesetengah perkara yang memerlukan untuk melakukan tajassus bagi menjaga
kemaslahatan dan mengelakkan perkara darurat.

Secara kesimpulannya, hukum tajassus ini dapat dipisahkan kepada dua.
Pertama, haram melakukan tajassus kerana tujuan untuk mencari aib dan kesalahan
orang lain. Tajassus ini adalah yang dimaksudkan di dalam al-Quran surah al-Hujurat
ayat ke 12. Kedua, harus melakukan tajassus disebabkan keperluan-keperluan tertentu
seperti menjaga kemaslahatan yang ditetapkan oleh syarak iaitu menjaga agama, akal,
nyawa, nasab dan harta.

68

BAB IV

PROSEDUR OPERASI STANDARD (SOP) PENGUATKUASA AGAMA
NEGERI PERAK DAN PERLIS DARI ASPEK TAJASSUS

4.0 Pendahuluan

Sepertimana yang telah dibincangkan oleh kajian ini pada bab tiga iaitu konsep
tajassus menurut perspektif Islam secara umum. Walaupun sebahagian ulama’ berbeza
pandangan dalam memahami konteks tajassus, mereka masih lagi berpandukan kepada
sumber nas yang utama. Dalam bab tiga juga telah membincangkan perbuatan tajassus
dalam mencegah kemungkaran. Bab tiga mendapati bahawa umat Islam wajib untuk
mewujudkan satu kelompok atau kumpulan di dalam kalangan orang-orang beriman
yang melaksanakan tugas amar ma’ruf nahi munkar. Sepertimana yang diketahui,
tugas amar ma’ruf nahi munkar di Malaysia adalah Badan Penguatkuasaan. Oleh itu,
dalam bab keempat ini akan mengkaitkan perlaksanaan tajassus dalam operasi
pencegahan yang dilakukan oleh Badan Penguatkuasaan.

Bab yang keempat ini akan membincangkan cara perlaksanaan operasi standard
prosedur (SOP) yang diamalkan oleh pegawai penguatkuasa agama di Jabatan Agama
Negeri (JAIN) Perak dan Perlis. Selain itu, dalam bab ini juga akan membandingkan
sejauh mana perbezaan SOP bagi kedua-dua negeri tersebut. Seperti yang sedia
maklum negeri Perlis merupakan negeri yang mempunyai pendekatan yang tersendiri
dalam melakukan hal-hal yang berkaitan dengan agama. Walaubagaimanapun, negeri
Perak masih lagi terikat dengan arahan yang ditetapkan oleh Wilayah Persekutuan.
Oleh sebab itu, kajian dalam bab ini penting untuk mengetahui perbezaan SOP kedua-
dua negeri tersebut.

69

4.1 Undang-Undang Jenayah Syariah Di Malaysia

Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) telah ditubuhkan di setiap negeri
sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab menguruskan hal-hal yang berkaitan
agama. Hal-hal tersebut seperti yang telah termaktub di dalam Perlembagaan
Persekutuan di Jadual Sembilan, Senarai II-Senarai Negeri, Perenggan 1 adalah seperti
berikut:

“...hukum Syarak yang berhubungan dengan pewarisan, berwasiat dan tidak
berwasiat, pertunangan, perkahwinan, perceraian, mas kahwin, nafkah,
pengangkatan, kesahtarafan, penjagaan, alang, pecah milik dan amanah bukan
khairat; Wakaf dan takrif serta pengawalseliaan amanah khairat dan agama,
pelantikan pemegang amanah dan pemerbadanan orang berkenaan dengan derma
kekal agama dan khairat, institusi, amanah, khairat dan institusi khairat Islam
yang beroperasi keseluruhannya di dalam Negeri; adat Melayu; Zakat, Fitrah dan
Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana
tempat sembahyang awam untuk orang Islam, pewujudan dan penghukuman
kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap
perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam
Senarai Persekutuan; keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah,
yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut
agama Islam dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk
dalam perenggan ini...”

Berdasarkan perenggan di atas menunjukkan bahawa segala peraturan dan

undang-undang yang berkaitan hukum syarak bagi orang Islam tidak termasuk di

dalam Senarai Persekutuan akan ditadbir dan diurus oleh JAIN. Jumlah kesemuanya

terdapat 14 buah JAIN di Malaysia yang bertanggungjawab menguruskan perkara

yang berkaitan agama Islam (Alias Azhar, 2018).

Keseluruhan JAIN mempunyai bahagian yang hampir sama di bawah jabatan

negeri masing-masing. Bahagian tersebut termasuklah bahagian dakwah, pengurusan,

pendidikan, pengurusan masjid dan surau, penguatkuasaan, pendakwaan dan undang-

undang keluarga. Setiap bahagian ini memenuhi kehendak dan semangat yang

termaktub dalam perlembagaan (Jadual Sembilan, Perlembagaan Persekutuan).

Berdasarkan bahagian-bahagian yang tersebut dapat menunjukkan bahawa JAIN

merupakan institusi hisbah yang berperanan mengajak kebaikan dan mencegah

daripada kemungkaran. Salah satu bahagian JAIN ialah bahagian penguatkuasaan

70

yang bertanggungjawab dalam urusan mencegah kemungkaran dan penguatkuasaan
hukum syarak (Alias Azhar, 2018).

Bahagian penguatkuasaan ini diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan dan
dibantu oleh Penolong Penguatkuasa Agama (PPA). PPA merupakan staf tetap di
bawah JAIN negeri masing-masing dan dibantu Pegawai Masjid. Pegawai masjid ini
terdiri dalam kalangan Naqib Masjid, Imam, Imam Ratib, Bilal dan Pembantu Bilal
yang telah disahkan pelantikannya oleh JAIN masing-masing mengikut Arahan Tetap
Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri 2007. Pegawai-pegawai penguatkuasaan ini
dikenali sebagai Muhtasib. Setiap Muhtasib mempunyai syarat-syarat tertentu yang
perlu dipatuhi. Perkara yang sama turut dipraktikkan oleh Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (JAKIM) untuk setiap JAIN bagi memastikan setiap PPA terikat kepada
peraturan dan undang-undang (Alias Azhar, 2018).

4.1.1 Undang-undang Dan Peraturan Penguatkuasaan

Menurut Alias Azhar (2018) dalam tulisannya peraturan dan undang-undang
antaranya ialah Arahan Tetap Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri 2007, Kod Etika
Pegawai Penguatkuasa Agama Jabatan Agama Islam Negeri 2008 dan Arahan Ketua
Pendakwa Syarie 2011. Arahan-arahan ini merupakan garis panduan penguatkuasaan
undang-undang jenayah Syariah yang telah dikeluarkan oleh Bahagian Penyelarasan
Penguatkuasaan Undang-undang di bawah JAKIM hasil usaha bersama JAIN di
seluruh Malaysia.

1) Arahan Tetap Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri 2007

Arahan Tetap ini merupakan penjelasan dan huraian kepada
Akta/Enakmen/Ordinan Tatacara Jenayah Syariah yang menjadi rujukan di
negeri masing-masing. Ia merupakan arahan pentadbiran yang perlu diikuti
oleh semua pegawai penguatkuasa agama dalam menjalankan tugas harian
mereka. Arahan ini mengandungi beberapa bahagian yang terdiri daripada
bahagian pendahuluan, tatacara penerimaan maklumat, tatacara berkaitan
penyediaan kertas siasatan, penyediaan laporan kes, pengendalian benda yang

71
disita, bahagian am dan jadual pertama berkaitan cadangan kandungan kertas
siasatan.
2) Kod Etika Pegawai Penguatkuasa Agama Jabatan Agama Islam 2008

Kod etika ini merupakan satu garis panduan melalui Arahan Perkhidmatan
yang dikelolakan dan diterbitkan oleh JAKIM. Kod ini digubal dengan tujuan
memastikan penguatkuasaan undang-undang Syariah dapat dijalankan secara
lebih beretika, berdisiplin dan selari dengan kehendak undang-undang serta
bertepatan dengan hukum syarak. Kod etika hanya merupakan satu garis
panduan ringkas mengenai perilaku dan sifart yang harus diamalkan oleh
seorang penguatkuasa agama. Kod etika ini dibahagikan kepada beberapa
bahagian iaitu bahagian:

a) Nama.
b) Pemakaian.
c) Tatakelakuan umum.
d) Tatakelakuan khusus.
e) Am.

Bahagian yang paling penting dalam kod etika ini adalah tatakelakuan
umum dan khusus. Tatakelakuan umum menggariskan tentang tatakelaku bagi
setiap pegawai penguatkuasa agama sebelum menjalankan tugas dalam
kehidupan seharian mereka. Manakala tatakelakuan khusus pula menggariskan
tentang kelakuan yang perlu ada bagi setiap pegawai penguatkuasa agama
semasa menjalankan tugas al-amr bil ma’ruf nahi munkar.

3) Arahan Ketua Pendakwa Syarie 2011

Arahan Ketua Pendakwa Syarie telah diterbitkan oleh pihak JAKIM
dengan persetujuan oleh ketua pendakwa syarie negeri-negeri. Arahan ini
merupakan satu garis panduan bagi setiap tugas pendakwaan undang-undang
syariah yang dibuat untuk semua Pendakwa Syarie seluruh Malaysia.

72

Kandungan arahan ini merangkumi 8 bahagian iaitu bahagian:

a) Permulaan.
b) Penyediaan Buku Daftar dan Buku Rekod.
c) Penerimaan dan Penyemakan Kertas Siasatan.
d) Prinsip Pendakwaan.
e) Penyedian Pertuduhan.
f) Prosiding Pendakwaan dan Perbicaraan.
g) Rayuan.
h) Am.

Peranan undang-undang ini akan dimainkan oleh pegawai
penguatkuasa agama apabila menerima aduan. Aduan tersebut boleh dibuat
oleh orang awam yang mengetahui perbuatan yang tidak bermoral dan
bertentangan dengan undang-undang syariah. Aduan tersebut akan dirahsiakan
data pengadu dan tidak didedahkan kepada umum kerana aduan tersebut
dianggap sulit. Aduan tersebut boleh dibuat secara bertulis dan lisan. Pengadu
boleh datang sendiri ke Bahagian Penguatkuasaan di JAIN dan mengisi borang
aduan. Selain itu, aduan tersebut boleh juga dibuat melalui telefon, sms, surat,
emel, faksimili, laporan polis atau seumpamanya dan aduan tersebut akan
dipindahkan dalam bentuk tulisan.

73

4.2 Prosedur Operasi Standard Penguatkuasa negeri Perak

Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 telah
memperuntukkan undang-undang mengenai kuasa-kuasa siasatan yang perlu
dilaksanakan oleh pegawai penguatkuasa agama. Kuasa-kuasa siasatan yang ada
dalam Akta tersebut kepada para pegawai penguatkuasa agama mempunyai dua
bahagian:

1. Kuasa siasatan dalam kes tidak lazim tangkap
2. Kuasa siasatan dalam kes lazim tangkap

Adalah amat penting untuk membezakan kes tidak lazim tangkap daripada kes
lazim tangkap kerana terdapat perbezaan dalam prosedur penyiasatan kedua-dua jenis
kes ini. Seksyen 2(1) Akta menjelaskan kes tidak lazim tangkap adalah kes-kes
jenayah syariah yang membawa hukuman penjara kurang dari 1 tahun atau denda
sahaja yang mana pegawai penguatkuasa agama ataupun pegawai polis tidak boleh
menangkap suspek kecuali dengan adanya waran tangkap. Dalam seksyen yang sama
turut menjelaskan mengenai kes lazim tangkap yang bermaksud kes-kes jenayah
syariah yang membawa hukuman penjara 1 tahun atau lebih yang mana pegawai
penguatkuasa agama atau pun pegawai polis boleh menangkap suspek tanpa perlu
mendapatkan waran tangkap (Ahmad Azam Mohd Shariff, 2005).

Menurut salah seorang pegawai Penguatkuasa Agama Jabatan daerah Kuala
Kangsar, berkata prosedur operasi di negeri Perak mempunyai persamaan dengan
operasi yang telah ditetapkan oleh Wilayah Persekutuan. Apabila berlaku sesuatu kes
jenayah syariah maka pertama sekali mestilah terima aduan daripada pengadu terlebih
dahulu. Sesuatu siasatan akan bermula apabila pengadu membuat aduan kepada
pegawai penguatkuasa agama (Ahmad Azam Mohd Shariff, 2005). Aduan boleh
dilakukan dengan pelbagai bentuk sama ada melalui telefon, tulisan ataupun pengadu
tersebut datang sendiri ke pejabat agama daerah. Kemudian, pegawai penguatkuasa
agama akan menjeniskan kesalahan tersebut sama ada itu kesalahan tidak lazim
tangkap atau kesalahan lazim tangkap.

74

Sekiranya didapati mempunyai maklumat yang kukuh berkaitan sesuatu kes
maka segala butiran tersebut perlu dimasukkan ke dalam Borang 5. Borang 5 amat
penting bagi memudahkan pegawai penguatkuasa menjalankan siasatan. Apabila
butiran yang ditulis tidak lengkap di dalam borang 5 maka pegawai penguatkuasa
agama tidak boleh membuat apa-apa tindakan kerana itu akan menjadi kesalahan
kepada pegawai penguatkuasa agama. Segala maklumat perlu diisi ke dalam borang 5
termasuklah nama pengadu, nombor kad pengenalan, tarikh, masa, umur, jantina,
pekerjaan, alamat dan paling penting aduan yang diberi perlu diisi dengan jelas. Segala
butiran berkaitan pengadu akan dirahsiakan oleh pegawai penguatkuasa agama sebagai
menjaga keselamatan pengadu tersebut. Sekiranya butiran yang dimasukkan di dalam
borang 5 didapati lengkap maka langkah seterusnya pegawai penguatkuasa agama
akan membuat risikan berpandukan maklumat yang diberikan di dalam borang 5.

Sebagai contoh situasi di mana pengadu memberi maklumat bahawa orang yang
disiasat (OYDS) lelaki berada di dalam rumah OYDS perempuan yang bukan
mahramnya. Kereta yang dinaiki OYDS lelaki adalah berwarna kuning parkir
berhampiran rumah OYDS perempuan. Apabila pegawai penguatkuasa agama
membuat risikan terdapat kereta OYDS lelaki berwarna kuning benar-benar berada di
berhampiran rumah OYDS perempuan maka ketika itu lah pegawai penguatkuasa akan
buat tindakan. Namun, sekiranya kereta OYDS lelaki berwarna kuning tersebut tidak
ada maka pegawai penguatkuasa agama tidak akan buat tindakan. Setelah didapati
OYDS itu bersalah, langkah seterusnya pegawai penguatkuasa agama akan buka fail
kes. Dalam fail tersebut mengandungi plan lakar iaitu di mana kedudukan OYDS lelaki
dan kedudukan OYDS perempuan ketika serbuan dilakukan. Selain itu, gambar
kedudukan kedua-dua OYDS antara yang perlu ketika siasatan dilakukan. Gambar
tersebut bertujuan untuk menguatkan lagi kes. Pegawai penguatkuasa agama akan buat
tindakan sekiranya maklumat yang diberi oleh pengadu bertepatan dengan situasi
risikan yang dijalankan oleh penguatkuasa agama.

Menurut seksyen 57(1) Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah
Persekutuan) 1997 menjelaskan sekiranya kes yang diadukan itu kes lazim ditangkap
maka pegawai penguatkuasa agama diberi kuasa penuh selepas menghantar satu
laporan kepada ketua pendakwa syarie negeri dalam kes-kes yang diarahkan berbuat
demikian untuk terus pergi ke tempat kejadian untuk membuat siasatan. Bermakna

75

pegawai penguatkuasa agama boleh melakukan penggeledahan atau tangkapan tanpa
perlu memohon apa-apa waran geledah atau waran tangkap daripada Hakim
Mahkamah Rendah semasa proses siasatan kes tersebut berjalan.

Ketika proses siasatan berjalan, pegawai penguatkuasa agama akan berusaha
mencari pelbagai jenis bukti dan bahan untuk dijadikan bahan keterangan atau
maklumat yang kukuh dengan pelbagai kaedah yang telah dibenarkan oleh undang-
undang. Salah satu cara untuk mendapatkan bahan keterangan sama ada dalam bentuk
barang mahupun dokumen adalah dengan melakukan penggeledahan di tempat
kejadian. Penggeledahan itu boleh dibuat sama ada penggeledahan ke atas tempat
kejadian dan penggeledahan ke atas tubuh badan. Sekiranya sesuatu kes itu adalah kes
lazim tangkap maka tidak menjadi kesalahan kepada pegawai penguatkuasa agama
untuk melakukan penggeledahan ke atas tempat kejadian dan penggeledahan ke atas
tubuh badan. Berbeza dengan kes tidak lazim tangkap, pegawai penguatkuasa agama
perlu mendapat kebenaran daripada Hakim Mahkamah Rendah dahulu iaitu dengan
mendapat waran geledah sebelum sebarang penggeledahan dibuat.

Menurut beliau lagi sebelum tindakan penggeledahan dibuat, pegawai
penguatkuasa agama akan pergi ke tempat kejadian dengan cara yang sopan iaitu
dengan mengetuk pintu dan memberi salam sebelum masuk. Kemudian pegawai
penguatkuasa agama akan memperkenalkan diri dan memohon kebenaran memasuki
rumah untuk membuat pemeriksaan. Sekiranya tiada tanda-tanda yang mendatangkan
kes maka pihak pegawai penguatkuasa agama akan beredar dari tempat kejadian.

Setelah pemeriksaan dan penggeledahan dibuat, pihak penguatkuasa agama
akan membuat satu laporan kepada polis berkaitan tindakan pegawai penguatkuasa
agama melakukan pemeriksaan dan penggeledahan ke atas sesuatu rumah atau premis
untuk tujuan siasatan. Laporan tersebut bertujuan untuk melindungi pegawai
penguatkuasa agama yang bertugas melakukan tugas siasatan tersebut sekiranya
berlaku kemungkinan tindakan balas yang dilakukan oleh pihak yang disiasat. Laporan
polis sangat penting bagi mengelakkan pihak penguatkuasa agama daripada dituduh
melakukan pencerobohan atau merosakkan harta benda awam. Laporan polis juga
akan dibuat sama ada hasil penggeledahan dan siasatan itu akan berhasil mewujudkan
kes atau sebaliknya. Apa-apa tindakan yang dilakukan oleh pegawai penguatkuasa

76

agama perlu disertakan dengan laporan polis. Kredibiliti jawatan pegawai
penguatkuasa agama akan terjejas sekiranya ada pihak yang cuba membuat tindakan
memfitnah dan mencabul hak tugasan pegawai penguatkuasa agama tersebut.

Langkah seterusnya setelah didapati OYDS tersebut bersalah, pegawai
penguatkuasa agama akan menyimpan OYDS tersebut di dalam sel tahanan yang
terdapat disebuah sudut bangunan pejabat agama. Penyimpanan tersebut hanya
berlaku dalam tempoh 24jam sahaja. Maksudnya dalam tempoh 24jam tersebut
pegawai penguatkuasa agama perlu membebaskan OYDS sama ada bebas dengan
jaminan mulut pegawai pengutkuasa agama, melalui borang guam jamin dan perintah
daripada mahkamah. Menjadi kesalahan apabila pegawai penguatkuasa agama
menyimpan tahanan lebih daripada 24jam mengikut apa yang telah ditetapkan dalam
enakmen tatacara jenayah syariah 2006 seksyen 22 (2).

77
Carta Alir Kerja Operasi Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri Perak

ADUAN

BORANG 5

TIDAK RISIKAN WUJUD KES
WUJUD KES
TINDAKAN
LAPORAN
POLIS LAPORAN
POLIS

SIMPAN
OYDS

SELAMA
24JAM

Gambar Rajah 4.1: Carta Alir Kerja Operasi Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri
Perak

78

4.3 Prosedur Operasi Standard Penguatkuasa Negeri Perlis

Hasil temu bual bersama seorang pegawai penyiasat penguatkuasa agama negeri
Perlis berkata SOP yang diamalkan di negeri Perlis adalah sama dengan SOP yang
diamalkan oleh negeri-negeri lain. Maksudnya setiap negeri akan mengamalkan SOP
yang telah ditetapkan oleh jabatan agama Wilayah Persekutuan iaitu mengikut Arahan
Tetap Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri 2007 (Garis Panduan Penguatkuasaan
Undang-Undang Jenayah Syariah).

Bahagian Peralasan Penguatkuasaan dan Pendakwaan, Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (JAKIM) telah menghasilkan satu dasar dan garis panduan standard yang
mampu menyelaraskan tugas-tugas penguatkuasa agama ke arah yang lebih sistematik
dan tersusun. Pada November 2007, Arahan Tetap Pengarah Jabatan Agama Islam
Negeri 2007 (Garis Panduan Penguatkuasaan Undang-Undang Jenayah Syariah) telah
pun dilancarkan oleh Ketua Pengarah JAKIM hasil usaha bersama JAKIM dan
Jabatan-Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) di seluruh Malaysia. Garis Panduan
Penguatkuasaan Undang-Undang Jenayah Syariah ini dilaksanakan bertujuan untuk
dijadikan garis panduan umum dalam menguatkuasakan undang-undang kesalahan
syariah di negeri-negeri seluruh Malaysia. Ia merupakan arahan pentadbiran yang
perlu diikuti dan dirujuk oleh semua Pegawai Penguatkuasa Agama dalam
menjalankan tugas. Selain itu, Arahan Tetap ini juga merupakan penjelasan kepada
Akta / Enakmen / Ordinan Tatacara Jenayah Syariah yang berkuatkuasa di negeri-
negeri pada masa ini. Arahan ini mengandungi peruntukan berkaitan tatacara
menerima aduan/maklumat, menjalankan siasatan, menyediakan kertas siasatan,
menyediakan laporan ringkas kes dan mengendalikan barang yang disita (Siti
Zubaidah Ismail, 2008).

Draf asal Arahan Tetap ini telah disediakan oleh JAKIM dan seterusnya disemak
dan dikemaskini oleh sebuah Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan oleh Bahagian
Penasihat (Seksyen Syariah), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Polis Di
Raja Malaysia (PDRM), Jabatan-Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan,
Selangor, Perak dan Sabah serta Bahagian Pendakwaan dan Bahagian Gubalan,
Jabatan Peguam Negara (Siti Zubaidah Ismail, 2008).

79

Arahan Tetap ini kemudiannya telah dipersetujui oleh Mesyuarat Ketua
Penguatkuasa Agama dan Ketua Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia, Persidangan
Ketua Jabatan/ Majlis Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh mantan
Perdana Menteri Malaysia pada 7 Jun 2007 iaitu Abdullah Badawi untuk digunapakai
secara selaras dan seragam di seluruh Malaysia. Maka sekarang ini, boleh dikatakan
bahawa semua negeri telah mengguna pakai arahan ini bagi memantapkan lagi SOP
dan tugas penguatkuasa agama (Siti Zubaidah Ismail, 2008).

4.4 Pandangan Mufti Perak Dan Perlis Berkaitan SOP Tangkapan Khalwat

Berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh YAB Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Mujahid Yusuf Rawa dalam laporan The Star Oktober 2018 berkata:

“…Sebagai kerajaan, apa yang kamu lakukan dalam ruang peribadi bukan urusan
kami, namun sebagai orang Islam yang melihat jirannya melakukan kesalahan,
adalah tanggungjawab kamu untuk menasihati jiran itu...katakanlah anda
melakukan sesuatu maksiat secara peribadi, dalam ruangan peribadi, saya takkan
masuk campur…Sebagai contoh mengambil arak salah untuk orang Islam tetapi
kalau seseorang itu meminumnya dalam tempat peribadi maka di pihak kerajaan
saya takkan campur tangan…”

Kenyataan tersebut telah mencetuskan polemik dengan pelbagai pihak
termasuklah ahli politik, mufti dan badan bukan kerajaan (NGO) tampil mengkritik
serta menyokong kenyataannya. Antara yang menentang keras kenyataan itu
termasuklah Mufti Perak, Harussani Zakaria dan senada dengan kenyataan Mujahid
pula antaranya Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin. Seperti yang sedia maklum
kedua-dua mufti ini sering berbeza pendapat dalam membuat kenyataan berkaitan hal-
hal dalam agama.

Antara isu yang pernah menjadi perbezaan pandangan antara kedua mufti ini
adalah berkaitan dengan menentukan nasab anak tak sah taraf. Mufti Perak
mengeluarkan fatwa bahawa anak tidak sah taraf ini perlu dibinkan kepada Abdullah
kerana untuk menjaga nasab keturunan anak tersebut. Namun mufti Perlis
mengeluarkan fatwa bahawa anak tidak sah taraf ini boleh dibinkan kepada bapa

80

biologinya kerana untuk menjaga emosi anak tersebut setelah dewasa serta
mengatakan bahawa anak tidak sah taraf itu tidak berdosa. Kedua-dua fatwa ini ada
kemaslahatan masing-masing.

Kemudian isu pengaharaman tarian poco-poco. Pada tahun 2011 Jawatankuasa
Fatwa Negeri Perak mengeluarkan fatwa bahawa tarian poco-poco sebagai haram.
Perkara ini diumumkan oleh Mufti Perak, Harussani Zakaria dengan alasan tarian itu
mempunyai unsur kepercayaan Kristian dan pemujaan roh. Tetapi sebaliknya Mufti
Perlis berkata tidak ada keperluan tarian poco-poco diharamkan, sebaliknya hukum
tarian tersebut adalah harus sahaja.

4.3.1 Mufti Perak, Harussani Zakaria

Berikut kenyataan yang dikeluarkan oleh Mufti Perak dalam malaysiakini yang
bertarikh 6 Oktober 2018:

“undang-undang pencegahan maksiat yang dilaksanakan di negara ini sudah
menjangkau lebih 50 tahun… Orang berkhalwat selalunya buat di tempat
tertutuplah, kalau ada kesalahan (maksiat) di hotel boleh kita masuk… Jadi
kalau tak boleh tegah, biarlah orang buat maksiat, tak perlu undang-
undanglah…”

Kenyataan Mufti Perak, Harussani Zakaria menegaskan undang-undang yang
sedia ada berkaitan isu tangkap khalwat ini perlu dikekalkan. Undang-undang jenayah
syariah bagi kesalahan khalwat ini seperti serbuan dan intipan yang dilakukan oleh
pegawai penguatkuasa agama adalah bersesuaian dengan pencegahan yang
berlandaskan hukum syarak. Konsep amar ma’ruf nahi munkar sudah menjadi amalan
dan gerak kerja bagi institusi hisbah seperti pegawai penguatkuasa agama yang ada
sekarang. Menurut beliau lagi kerajaan pada masa kini terutamanya Menteri Agama
tidak sepatutnya mengulas dan membuat kenyataan berkaitan undang-undang yang
telah lama ditetapkan di negara ini kerana perkara ini akan mengundang persepsi
negatif kepada masyarakat awam

81

4.3.2 Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin

Berikut merupakan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mufti Perlis yang
dipetik dalam video di youtube ketika mengulas isu tangkapan khalwat:

“Kerajaan digesa memberi fokus untuk membanteras dosa yang memberi kesan
kepada masyarakat awam, berbanding memberi tumpuan kepada dosa peribadi…
pendekatan sesetengah pihak yang memberi fokus kepada dosa peribadi dan
memandang ringan dosa awam, telah menyebabkan Islam disalahfahami…
masyarakat perlu membezakan antara dosa individu dengan Allah, serta dosa
dengan tuhan namun memberi mudarat kepada pihak lain seperti rasuah,
merompak, mencuri, merogol, pecah amanah dan menyebar hadis palsu…Isu aib
peribadi diangkat dan diberikan pelbagai ulasan agama, sementara isu jenayah
awam pula golongan agamawan ramai yang mendiamkan. Ini adalah tanda
kesongsongan kita dalam memahami jenis-jenis dosa… al-Quran dan hadis
melarang perbuatan tajassus atau mengintip serta mendedahkan aib atau dosa
peribadi.”

Menurut Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin menganggap intipan dan

serbuan yang dilakukan oleh pegawai penguatkuasa agama adalah perbuatan yang

mencerobohi hak peribadi seseorang. Tambahan lagi, beliau juga berkata pihak

kerajaan sepatutnya mendahulukan pencegahan perbuatan dosa awam iaitu dosa yang

memberi kesan kepada masyarakat awam seperti membunuh, rasuah, mencuri,

merogol, pecah amanah dan penyebaran hadis palsu berbanding perbuatan dosa

peribadi. Dosa peribadi seseorang apabila dilakukan di tempat yang tersembunyi maka

tidak perlu untuk kita melakukan tajassus ke atas dosa tersebut.

Sekiranya perbuatan dosa itu akan memberi kesan kepada pihak lain, maka ia

dibenarkan untuk mendedahkan kepada umum sebagai tujuan untuk memberi

kesedaran kepada masyarakat. Namun, apabila perbuatan dosa yang tidak memberi

kesan kepada pihak lain iaitu dosa yang dilakukan secara tertutup maka kita dilarang

untuk mencari dan menyiasatnya kemudian mendedahkan kepada umum. Perbuatan

tersebut jelas bertentangan dengan al-Quran dan hadis yang melarang perbuatan

tajassus atau mengintip serta mendedahkan aib atau dosa peribadi kepada orang awam.

82

Antara dalil yang digunakan oleh Mufti Perlis ialah kisah seorang sahabat Nabi

 yang mengaku telah berzina dengan seorang perempuan di hadapan Nabi
Muhammad , namun Baginda menolak beberapa kali pengakuan zina daripada

sahabat tersebut. Dalil ini menunjukkan seseorang itu tidak disuruh untuk mengakui

dosa peribadinya sebaliknya Baginda  menyuruh untuk meyembunyikan dosa-dosa

yang dilakukan secara sembunyi. Dosa peribadi yang dilakukan oleh seseorang hanya

berhak dinilai oleh Allah sahaja. Manusia tidak berhak untuk menilai dosa yang

dilakukan secara peribadi tersebut. Menurut beliau lagi dalil ini sangat berbeza dengan
mentaliti sesetengah pihak penguasa agama yang suka mencari-cari dosa peribadi
kemudian mendedahkan kepada umum.

83

4.5 Rumusan Bab

Secara kesimpulannya dalam bab keempat ini menunjukkan amalan tajassus
dalam SOP adalah dibenarkan kerana tajassus yang diamalkan oleh PPA adalah untuk
menjaga kemaslahatan awam. Selain itu, bab ini juga menunjukkan cara gerak kerja
dan SOP pegawai penguatkuasa agama diantara Jabatan Agama Islam Negeri Perak
dan Perlis adalah sama. Hal ini kerana SOP pegawai penguatkuasa agama telah
diselaraskan di semua JAIN mengikut Arahan Tetap Pengarah Jabatan Agama Islam
Negeri 2007 (Garis Panduan Penguatkuasaan Undang-Undang Jenayah Syariah). Oleh
sebab itu, SOP yang ada sekarang ini boleh dikatakan hampir semua JAIN telah
menggunakan arahan tetap ini bagi memantapkan lagi SOP pegawai penguatkuasa
agama.

Walaupun SOP penguatkuasa agama dilihat sama di kedua-dua JAIN Perak dan
Perlis, Mufti bagi kedua-dua negeri tersebut telah memberi pandangan berbeza
berkaitan kesalahan jenayah tangkap khalwat. Seperti sedia maklum, peranan sebagai
Mufti adalah mengatur-urus hal-hal yang bersangkut-paut dengan agama Islam di
negeri masing-masing. Setiap urusan agama perlulah merujuk dan mendapat arahan
daripada Mufti terlebih dahulu sebelum sesuatu tugas dilaksanakan. Apabila Mufti
kedua-dua negeri ini melontarkan pandangan berkaitan isu tangkap khalwat, ini
bermakna pandangan yang diutarakan oleh kedua-dua Mufti tersebut mempunyai
hubungan dengan tugas pegawai penguatkuasa agama negeri masing-masing.
Maknanya, gerak kerja dan SOP pegawai penguatkuasa agama perlu berdasarkan
arahan daripada Mufti.

Mufti Perak iaitu Harussani Zakaria menegaskan bahawa SOP pegawai
penguatkuasa agama apabila menerima laporan kes khalwat, pegawai penguatkuasa
agama perlu segera membuat siasatan dan bertindak untuk mencegah kemungkaran
tersebut. Undang-undang jenayah syariah berkaitan isu tangkap khalwat ini telah lama
wujud di Malaysia. Oleh sebab itu, pegawai penguatkuasa agama perlu mengikuti SOP
yang telah sedia ada dalam melaksanakan tugas tangkapan khalwat ini.

84

Berbeza pula pandangan Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin menganggap
perbuatan serbuan dan tangkap bagi kes khalwat ini sebagai perbuatan tajassus kerana
operasi tersebut telah mencerobohi ruang peribadi seseorang. Setiap kesalahan yang
dilakukan di tempat tertutup maka tidak perlu untuk pegawai penguatkuasa agama
mencari-cari kesalahan tersebut. Walaupun pandangan beliau mengatakan operasi
khalwat yang dilakukan oleh pegawai penguatkuasa agama sebagai perbuatan tajassus
bukanlah bermakna operasi tersebut perlu dihentikan. Sebaliknya beliau menasihatkan
supaya pegawai penguatkuasa agama perlu menfokuskan kepada dosa yang dilakukan
secara terang-terangan berbanding yang tersembunyi.

85

BAB V

ASPEK-ASPEK PENAMBAH BAIKAN DALAM PROSEDUR OPERASI
STANDARD PENGUATKUASA AGAMA NEGERI PERAK DAN PERLIS

5.0 Pendahuluan

Seperti mana yang telah dibincangkan pada bab empat didapati SOP
penguatkuasa agama JAIN bagi kedua-dua negeri Perak dan Perlis adalah sama kerana
masing-masing mengikuti Arahan Tetap Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri 2007
(Garis Panduan Penguatkuasaan Undang-Undang Jenayah Syariah). Namun,
walaupun kedua-dua SOP penguatkuasa agama JAIN Perak dan Perlis adalah sama,
terdapat masih lagi wujud kelemahan di dalam melaksanakan tugasan harian mereka.

Pada bab ini pula akan membincangkan tentang beberapa aspek-aspek
penambahbaikan dalam SOP penguatkuasa JAIN Perak dan Perlis. Aspek-aspek
penambahbaikan ini merupakan hasil daripada pemerhatian dan penelitian ketika sesi
temu bual bersama pegawai penguatkuasa agama di JAIN Perak dan Perlis. Selain itu,
aspek-aspek penambahbaikan ini dapat dikenal pasti kerana hasil kelemahan yang
terdapat dalam tugasan penguatkuasa agama di kedua-dua negeri tersebut. Kelemahan
tugasan penguatkuasa agama ini bukan hanya melibatkan di JAIN Perak dan Perlis
sahaja bahkan boleh dikatakan hampir semua JAIN di seluruh Malaysia mempunyai
masalah yang sama.

Selain itu, dalam bab ini akan menyenaraikan beberapa isu yang telah berlaku di
Malaysia terhadap kesilapan pegawai penguatkuasa agama ketika menjalankan operasi
kes jenayah syariah. Hal ini adalah untuk memberikan gambaran yang jelas kepada
masyarakat betapa pentingnya garis panduan tugasan pegawai penguatkuasa agama
ketika menjalankan tugas.

86

5.1 Cabaran Yang Dihadapi Oleh Pegawai Penguatkuasa Agama

Undang-undang jenayah syariah di Malaysia pada hari ini masih lagi melalui
pelbagai bentuk cabaran. Sering kali diperkatakan tentang masalah dan cabaran yang
dihadapi oleh pegawai penguatkuasa agama apabila membincangkan tentang tugasan
dan operasi penguatkuasaam yang melibatkan kesalahan jenayah syariah. Semenjak
dahulu lagi pelbagai insiden kontroversi yang dilaporkan oleh media membabitkan
pegawai penguatkuasa agama dalam perlaksanaan tugas mereka. Sesetengah insiden
itu berlaku disebabkan ketika pelakasanaan tugas siasatan setelah menerima aduan,
namun ia menimbulkan kontroversi akibat kesilapan pegawai penguatkuasa agama dan
wujudnya campurtangan pihak yang tidak berkenaan.

Banyak masalah dan rungutan daripada masyarakat yang berkisarkan tentang
kaedah dan prosedur yang dilaksanakan oleh pegawai penguatkuasa agama yang
dilihat tidak sistematik dan sering terpesong juga melebihi bidangkuasa yang
diberikan. Selain itu, tidak dinafikan terdapat insiden yang berlaku di mana prosedur-
prosedur yang dilaksanakan seperti siasatan, tangkapan, penggeledahan dan interogasi
banyak menerima kritikan daripada masyarakat sepertimana yang pernah diwar-
warkan oleh media massa (Siti Zubaidah Ismail, 2008). Dengan adanya garispanduan
yang sistematik dan usaha penambahbaikan yang dilakukan sudah tentu perkara
sebegini dapat dielakkan dan dalam masa yang sama ia berperanan sebagai ‘quick
reference’ kepada pegawai yang baru memulakan tugas (Ismail, 2017).

Selain itu, undang-undang anti-maksiat selalu dikaitkan dengan tingkahlaku dan
standard moral yang dianggap sebagai urusan peribadi yang mana ia tidak patut
dicerobohi oleh pihak lain. Walaupun begitu, ia tetap akan menjejaskan kesucian
agama menggugat keamanan dan memberi kesan yang buruk kepada akhlak dan moral
masyarakat. Setiap kategori kesalahan jenayah syariah sama ada ia berkaitan dengan
akidah, kesucian Islam mahupun moral, pihak berkuasa dilihat seringkali berhadapan
dengan pelbagai karenah dan cabaran yang tersendiri. Sebagai contoh kesalahan
berkaitan moral, terdapat langkah-langkah untuk menangani suspek di tempat kejadian
kadangkala dilihat sebagai tidak sesuai sehingga membuatkan mereka yang terlibat
tidak menyenangkan.

87

Antara cabaran-cabaran yang pernah dihadapi oleh penguatkuasa agama ialah:

1) Pada tahun 2005, telah berlaku insiden yang melibatkan pegawai penguatkuasa
agama dalam melakukan operasi penguatkuasaan yang dikenali sebagai
Operasi di The Zouk. Operasi ini berlaku kerana tangkapan yang melibatkan
seorang penyanyi wanita yang dilakukan oleh penguatkuasa agama Jabatan
Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan beberapa pasukan uniform yang
lain sehinggakan telah mencetuskan kontroversi. Suspek yang ditahan dalam
operasi ini dikatakan telah diaibkan. Insiden ini telah membuka peluang
kritikan kepada pihak tertentu agar menyarankan supaya dihapuskan undang-
undang jenayah syariah di Malaysia. Tindakan penguatkuasa agama JAWI ini
telah dikritik hebat sehingga memaksa pihak berkuasa mengeluarkan tatacara
operasi standard (SOP) apabila melakukan operasi pencegahan jenayah syariah
(Ibrahim Deris, 2015).

2) Pada tahun 2007, masyarakat didedahkan dengan kisah seorang artis di
Wilayah Persekutuan dan seorang penyanyi kelab malam di Ipoh, Perak yang
didakwa kerana berkelakuan tidak sopan di khalayak awam. Biarpun
penguatkuasa bertindak mengikut lunas yang betul dan menggunakan
peruntukan kesalahan tidak sopan untuk memulakan tindakan, namun ianya
dikritik dan berakhir begitu sahaja tanpa sebarang tindakan (Siti Zubaidah
Ismail, 2018).

3) Pada Mei 2011, seorang bekas anggota polis maut selepas terjatuh dari tingkat
16 sebuah bangunan apabila cuba mengelak tangkapan yang dibuat oleh
pegawai JAWI. Kejadian ini berulang lagi pada tahun 2016 di mana seorang
anggota polis maut apabila terjun dari tingkat 4 sebuah pangsapuri di Pandan
Perdana, Cheras ketika penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)
melakukan serbuan (Bakar, 2016).

88

4) Kemudian pada tahun 2015 kumpulan G25 yang diketuai oleh Noor Farida
telah menggesa supaya hukuman yang dikenakan kepada pesalah khalwat
dimansuhkan. Ini kerana, perbuatan khalwat dianggap sebagai dosa peribadi
dan bukannya suatu jenayah. Bahkan menjatuhkan hukuman terhadap
kesalahan tersebut dianggap sebagai mencabuli hak kebebasan individu seperti
yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Kumpulan ini yang
meggelar diri mereka sebagai golongan profesional sebenarnya telah mencabar
undang-undang negara khususnya pegawai penguatkuasa agama. Pelbagai
pihak terutamanya golongan agamawan termasuklah mufti mengecam
kenyataan kumpulan ini supaya menghapuskan tangkapan khalwat yang
dilakukan oleh pegawai penguatkuasa agama (Mstar, 2015).

5) Seterusnya pada Februari 2017, sepasang suami isteri telah menfailkan saman
terhadap JAWI di atas dakwaan ditangkap secara salah berhubung kes khalwat
sedangkan mereka telah berkahwin secara sah. Suami tersebut yang dikenali
sebagai Ridhuan telah memaparkan gambar sijil nikah mereka kepada
pegawai-pegawai JAWI namun pegawai lelaki JAWI didakwa menyerbu
masuk juga ke bilik hotel. Walaupun Ridhuan meminta masa untuk isterinya
memakai pakaian namun mereka terus mengambil gambar dan video (Omar,
2017).

6) Pada tahun 2018, para Mufti dan ahli politik pula dikejutkan dengan kenyataan
yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Mujahid Yusuf
Rawa yang menyatakan serbuan khalwat akan dihentikan. Kata Mujahid
sekiranya perbuatan maksiat dilakukan ditempat tertutup maka ia bukan
tanggungjawab kerajaan lagi untuk mencegahnya. Kenyataan Mujahid tersebut
telah menimbulkan pelbagai reaksi dari masyarakat termasuklah Mufti-mufti
di seluruh Malaysia. Selain itu, masyarakat mula membicarakan tugas yang
dilakukan oleh PPA sehinggakan setiap operasi yang dilakukan oleh PPA
sering mendapat perhatian lebih-lebih lagi apabila melibatkan kes berprofail
tinggi (Radhi, 2018).

89

Insiden yang telah berlaku seperti ini wajar diambil pengajaran dan iktibar oleh
pihak undang-undang supaya ia tidak berulang. Kritikan yang dilontarkan terutamanya
terhadap aspek penguatkuasaan dan pendakwaan jenayah syariah perlu dikaji semula
dan sebarang kelemahan yang memerlukan penambahbaikan haruslah dipraktikkan.
Hal ini disebabkan kerana kedua-duanya mempunyai kaitan dan peranan yang sangat
penting dalam memastikan keberkesanan perlaksanaan undang-undang jenayah
syariah di Malaysia.

5.2 Kekangan dan Cadangan Penambahbaikan

Disebalik usaha untuk melaksanakan tugas-tugas operasi penguatkuasaan,
Bahagian Penguatkuasaan Agama Islam di setiap negeri seringkali dilihat berdepan
dengan beberapa kekangan. Kekangan dan masalah yang dihadapi oleh Bahagian
Penguatkuasaan ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada proses operasi
penguatkuasaan bagi kes-kes jenayah syariah bahkan kepada pegawai penguatkuasa
agama itu sendiri.

Memandangkan hayat jabatan penguatkuasaan jenayah syariah di negara ini
sudah menjangkau lebih 50 tahun, sudah tiba masanya untuk menilai kembali amalan
dan perjalanan penguatkuasaan jenayah di Malaysia. Usaha penambahbaikan ini harus
dilaksanakan secepat mungkin supaya isu dan masalah tidak berlanjutan sehingga
akhirnya memberi imej yang buruk kepada institusi agama di Malaysia. Kerjasama
semua pihak termasuklah badan-badan kerajaan yang lain seharusnya boleh
menjayakan usaha ini.

Berikut merupakan sepuluh cadangan penambahbaikan terhadap Bahagian
Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam di Malaysia:

90

1. Memperkemaskan undang-undang

Ada sesetengah pihak berpendapat bahawa undang-undang yang ada
sekarang ini sudah sesuai dan relevan dengan situasi zaman sekarang
adalah pendapat yang tidak sejajar dengan realiti yang ada. Perkara ini
disebabkan undang-undang yang ada sekarang sentiasa dalam proses
pindaan disebabkan oleh isu-isu yang selalu timbul yang mungkin menjadi
kelemahan kepada penguatkuasa agama. Sekiranya dikatakan undang-
undang yang mengaitkan kesalahan jenayah syariah yang ada ketika ini
sudah memadai, maka tidak mungkin insiden-insiden yang berlaku
sehingga mengaibkan tindakan pegawai penguatkuasa agama. Insiden yang
berlaku ini menunjukkan bahawa undang-undang jenayah syariah masih
lagi tidak menepati suasana yang ada pada zaman sekarang ini.

Oleh sebab itu, undang-undang yang sistematik antara faktor yang
utama yang dapat membantu mewujudkan penguatkuasaan lebih yang
berkesan atau dengan kata lain hanya undang-undang yang komprehensif
dapat membantu pelaksanaan penguatkuasaan. Sudah tiba masanya
undang-undang syariah ini diberi kuasa seperti mana kuasa yang telah
diberikan kepada undang-undang sivil. Ini kerana berdasarkan prinsip-
prinsip agama sering kali dicabar oleh sesetengah pihak terutamanya
golongan yang mahukan kebebasan seperti Liberalisme, G25, Feminisme,
Sister in Islam (SIS), Pluralisme, Sekularisme dan sebagainya. Golongan
ini secara tidak langsung telah memaksa pihak berkuasa untuk melakukan
perubahan terhadap undang-undang syariah di Malaysia. Dengan adanya
undang-undang yang kemas dan teratur dapatlah merungkai masalah
kesamaran undang-undang dalam status yang sedia ada.

91

2. Meningkatkan jumlah kakitangan

Apabila dilihat kepada jumlah kakitangan pegawai penguatkuasa
agama di negeri Perak dan Perlis masih lagi terdapat kekurangan
kakitangan. Kekurang kakitangan pegawai penguatkuasa agama ini bukan
sahaja berlaku ni Jabatan Agama Islam Perak dan Perlis bahkan di setiap
jabatan agama di Malaysia. Hal ini menjadi lumrah dihadapi oleh mana-
mana bahagian di Jabatan Agama bukan sahaja melibatkan Bahagian
Penguatkuasa. Jumlah kakitangan Bahagian Penguatkuasaan terutamanya
di daerah-daerah sememangnya tidak mencukupi. Bagi melaksanakan
tugas mencegah dan mengawal kemungkaran yang dilihat semakin
bertambah ketika ini tidak mampu dilaksanakan dengan jumlah kakitangan
yang sedikit apatah lagi untuk mengurangkan jumlah jenayah syariah
berkaitan moral, akidah dan sebagainya.

Jumlah kakitangan pegawai penguatkuasa agama sekiranya
ditingkatkan akan dapat membantu mengurangkan beban tugas pegawai itu
sendiri. Hasil temu bual bersama pegawai penguatkuasa agama negeri
Perak memberitahu ada kalanya satu malam akan mempunyai lebih
daripada satu kes menyebabkan operasi tangkapan seringkali gagal.
Apabila kes jenayah ini bertembung pada satu malam menyebabkan
pegawai penguatkuasa terpaksa menunda operasi pada waktu lain bagi
menyelesaikan kes mengikut turutan aduan yang diterima. Sering juga
terjadi apabila pegawai penguatkuasa agama membuat serbuan bagi kes
yang berikutnya menyebabkan maklumat yang dilaporkan oleh pengadu
tidak wujud kerana OYDS telah beredar dari tempat kejadian. Hal ini
menyebabkan kes yang diadukan itu tidak dapat diselesaikan dan besar
kemungkinan OYDS itu telah melakukan perbuatan yang menyalahi
hukum syarak seperti berzina, minum arak, pembunuhan dan sebagainya.

92

Tambahan lagi, dengan jumlah kakitangan yang ramai, tugas untuk
menjalankan kes-kes jenayah syariah dapat diatasi dan dibahagikan kepada
pegawai-pegawai penguatkuasa lain. Maknanya tugas pegawai
penguatkuasa agama tidaklah akan membebankan sekiranya berlaku lebih
daripada satu aduan. Oleh sebab itu, isu jumlah pegawai penguatkuasa
agama ini wajar diambil berat oleh kerajaan sebagai langkah penyelesaian
jangka masa panjang bagi menangani masalah-masalah yang dihadapi oleh
penguatkuasa agama ketika ini.

3. Menyediakan kepakaran dan latihan

Masalah yang selalu timbul oleh penguatkuasa agama dilihat kurang
dari segi kekurangan kualiti penguatkuasaan atau dengan kata lain kurang
menguasai kemahiran yang diperlukan untuk menguatkuasakan undang-
undang. Amat penting bagi pegawai penguatkuasa agama yang mana telah
diberi kuasa untuk menangani kesalahan jenayah syariah ini memahami
prosedur dan kaedah melaksanakan operasi dan siasatan kes jenayah
syariah. Ketidakfahaman mengenai prosedur dan kaedah operasi dalam
siasatan ini akan menjejaskan keseluruhan kes. Selain itu, pendakwa syarie
yang bertanggungjawab untuk menentukan nilai sesuatu kes tidak dapat
memutuskan sama ada boleh diteruskan ataupun tidak kerana didapati
terdapat kelompongan dan kecacatan ketika siasatan kes dijalankan.

Antara kecacatan yang timbul ketika siasatan dijalankan seperti tidak
menjalankan intipan, kegagalan dan kecuaian mematuhi prosedur siasatan,
kertas siasatan tidak sempurna dan pegawai penguatkuasa kurang terlatih
dalam pengetahuan undang-undang. Jika dilihat semula kes-kes yang
melibatkan pegawai penguatkuasa agama ketika melakukan operasi
serbuan, ternyata masih lagi terdapat pegawai penguatkuasa agama tidak
mematuhi prosedur yang ditetapkan sehingga OYDS diaibkan. Sepatutnya
maklumat OYDS ketika serbuan dilakukan adalah sulit dan perlu
dirahsiakan sehinggalah kes tersebut dibicarakan di mahkamah.

93

Tambahan lagi, apabila pegawai penguatkuasa agama yang baru
dilantik telah ditugaskan untuk melakukan operasi yang mana operasi
tersebut merupakan operasi pertama mereka dilihat tidak mampu untuk
bertindak dengan baik. Hal ini kerana, pegawai yang baru dilantik tidak
didedahkan dengan latihan dan praktikal yang secukupnya sebelum
diturunkan untuk menjalankan operasi. Mereka hanya sekadar menjadi
pembantu kepada ketua operasi dan tidak mampu untuk bertindak sendiri
sekiranya insiden-insiden yang tidak dijangka berlaku.

Oleh sebab itu, bagi menyelesaikan kelemahan-kelemahan
penguatkuasa agama pada masa ini, pihak pengurusan perlu menilai
kembali program dan latihan yang sedia ada. Berikut merupakan antara
langkah-langkah yang pernah dicadang dalam satu kajian yang dilakukan
oleh Gemok (2010) untuk memantapkan lagi gerak kerja pegawai
penguatkuasa agama:

i. Merancang program berdasarkan analisa keperluan latihan bagi
mengenal pasti kumpulan sasaran pegawai penguatkuasa agama
yang mengikut program ini. Rancangan ini meliputi sama ada
program latihan tersebut memberi penekanan kepada aspek
pengetahuan undang-undang, teknik-teknik penyiasatan atau
kemahiran dan perubahan tingkah laku kumpulan sasaran
seperti etika kerja dan pembangunan diri. Dengan cara ini,
penambahbaikan dari segi sumber tenaga manusia dapat
digunakan secara lebih produktif.

ii. Merancang modul atau kurikulum latihan dilaksanakan dalam
tempoh jangka masa tertentu bagi memastikan modul-modul ini
seiring dengan perubahan informasi dan piawaian
penguatkuasaan.

94
iii. Merancang latihan secara dalaman ‘in house training’ dan

latihan-latihan luaran seperti penempatan di agensi-agensi
penguatkuasaan sivil seperti mana yang dilakukan oleh pasukan
Polis dan lain-lain.

iv. Memastikan latihan yang diberikan secara lebih bersepadu dari
segi teori dan praktikal.

v. Menyusun latihan kepada kategori asas dan lanjutan supaya
mudah diperbaiki mana-mana kekurangan yang ada.

vi. Melatih kemahiran yang memerlukan tindakan fizikal seperti
latihan mempertahankan diri dan cara-cara tangkapan.

vii. Memberi penilaian tahap pengetahuan dan kemahiran yang
telah dirancang dengan cara diberikan ujian atau peperiksaan
mengikut modul yang telah dirancang.

Dalam kajian ini amat bersetuju dengan apa yang dicadangkan oleh
Gemok (2010). Sehubungan dengan itu, untuk melaksanakan latihan-latihan
yang tersebut perlu mewujudkan satu unit latihan bagi penguatkuasa agama yang
khusus. Unit latihan inilah yang akan menguruskan dan menyediakan tempat,
modul latihan, peperiksaan dan sebagainya seperti yang dinyatakan tadi. Dengan
wujudnya unit latihan ini dapat menumpukan perancangan latihan secara lebih
teratur.

95

4. Pelantikan pegawai yang tetap

Kesemua pegawai penguatkuasa agama yang dilantik terdiri daripada
anggota perkhidmatan awam yang sedang berkhidmat yang diisi menerusi Skim
Penjawat Awam (SPA) di dalam talian. Lantikan mereka di dalam jawatan PPA
adalah bagi memenuhi jawatan yang perlu diisi. Disebabkan itu, berlaku dimana
jawatan pegawai yang sebelumnya bertugas sebagai Pegawai Pengurusan
Dakwah misalnya apabila ada keperluan untuk beliau mengisi jawatan kosong
kerana berlaku proses pertukaran, kenaikan pangkat dan sebagainya, pegawai
tadi boleh dilantik memegang jawatan sebagai PPA. Selain itu, PPA yang sedia
ada juga akan bersedia bertukar ke bahagian lain sekiranya terlibat dalam proses
kenaikan pangkat ke gred yang lebih tinggi atau wujud kekosongan di bahagian
lain.

Hal ini terjadi sendiri ketika proses untuk mencari responden Pegawai
Penguatkuasa di Jabatan Agama Islam daerah Kuala Kangsar di mana Pegawai
yang dihubungi pada asalnya seseorang yang dikenali mahir dalam SOP operasi
siasatan. Namun, setelah pergi ke Jabatan Agama tersebut untuk menemu bual
didapati Pegawai tersebut telah bertukar jawatan ke Bahagian Pembangunan
Keluarga. Akhirnya, sesi temu bual tersebut dilakukan bersama Pegawai
Penguatkuasaan yang baru sahaja dipindahkan dari Jabatan Agama daerah Ipoh.

Masalah pegawai-pegawai yang sering bertukar jawatan di Jabatan Agama
Islam ini sering kali dilihat membelenggu Bahagian Penguatkuasaan. Oleh
kerana bahagian-bahagian yang ada dalam Jabatan Agama Islam duduk
sebumbung dengan Bahagian Penguatkuasaan, maka mereka akan terdedah
kepada pertukaran antara bahagian. Isu pertukaran bahagian ini menjadi
kembimbangan yang selalu diutarakan oleh ramai penguatkuasa agama kerana
dirasakan ia akan memberi kesan yang buruk kepada Bahagian Penguatkuasaan
itu sendiri. Perkara ini amat dirasai apabila proses pertukaran tersebut melibat
pegawai yang berpengalaman yang mana ia akan merugikan kepada sesuatu
Bahagian.

96

PPA yang baru dilantik sudah semestinya memerlukan tempoh masa yang
tertentu untuk membiasakan diri dan memahami selok-belok tugas baru. Apabila
seseorang PPA yang sudah lama berkhidmat dalam Bahagian Penguatkuasaan
bertukar ke bahagian lain, maka dengan ini segala kemahirannya dalam
penyiasatan, tangkapan dan risikan akan disia-siakan. Tambahan lagi, menjadi
satu masalah juga kepada Bahagian Penguatkuasaan untuk melatih pegawai-
pegawai yang baharu. Ketiadaan pegawai berpengalaman di dalam Bahagian
Penguatkuasaan akan menyebabkan proses-proses operasi sering kali
berhadapan dengan masalah. Seperti mana yang diketahui, tindakan
penguatkuasaan adalah berasaskan kepada aduan dan operasi. Untuk proses
siasatan sebagai contoh, bagaimanakah sesuatu siasatan yang memuaskan perlu
dan patut dilakukan. Bagi pegawai yang belum atau tidak terlatih sudah tentu
akan berhadapan dengan jalan buntu sekiranya dibiarkan tanpa panduan dan
tunjuk ajar.

Untuk menangani masalah ini, pegawai-pegawai yang berada di Bahagian
Penguatkuasaan sepatutnya terus kekal berada di dalam Bahagian
Penguatkuasaan. Bagi mengisi kekosongan jawatan di sesuatu bahagian,
seharusnya diutamakan kepada golongan yang lebih memerlukan sebagai contoh
mereka yang mengisi jawatan Gred19 dan pegawai yang lama pula akan
dinaikkan pangkat bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut dan bukannya
memberi peluang kepada pegawai yang sedang berkhidmat. Sebagai contoh,
seperti jawatan yang dipegang oleh pegawai polis, mereka tidak boleh sesekali
ditukar ke jabatan lain melainkan pertukaran jawatan akan berlaku sekiranya di
dalam ruang lingkup bahagian yang sama sahaja. Sistem seperti ini lah
sepatutnya diamalkan oleh Bahagian Penguatkuasaan kerana implikasi daripada
amalan ini boleh meningkatkan lagi profesionalisme dalam tugas-tugas
penguatkuasaan.

97

5. Penurunan kuasa bagi operasi serbuan dan tangkapan khalwat

Kuasa tangkapan yang disahkan tangkapannya oleh undang-undang adalah
tangkapan polis, PPA, ahli jawatankuasa masjid yang dilantik oleh JAIN seperti
Imam dan Bilal. Walaupun undang-undang telah memperuntukkan kuasa
tangkapan kepada tiga agensi ini, kes jenayah syariah masih lagi tidak berkurang
dan sentiasa meningkat dari semasa ke semasa. Si pelaku kes jenayah syariah
masih lagi berani melakukan kegiatan maksiat ini sehinggakan berlakunya kes
zina secara berleluasa. Jika dilihat kepada kes pembuangan bayi yang banyak
berlaku pada saat ini adalah berpunca daripada kes khalwat yang tidak
dibendung. Kebanyakan masyarakat pada hari ini apabila anak mereka terlibat
dengan perbuatan khalwat atau berzina, mereka tidak akan melaporkan kepada
pihak penguatkuasa kerana bimbang maruah keluarga akan tercemar disebabkan
gambar-gambar yang diambil serta liputan media yang tersebar. Oleh sebab itu,
pihak keluarga lebih memilih untuk menyelesaikannya sendiri tanpa mahu
melibatkan pihak penguatkuasa sebagai contoh mengahwinkan anak perempuan
mereka dengan lelaki yang telah berkhalwat dengan anaknya tersebut.

Sebagai jalan untuk menangani masalah ini, satu NGO atau pertubuhan
kecil wajar ditubuhkan bagi membantu PPA dalam melakukan tangkapan kes
jenayah syariah. Sebagai contoh satu NGO yang dikenali sebagai “Skuad Badar”
yang pernah dilakukan di Sungai Petani Kedah didapati telah berjaya
mengurangkan kes jenayah syariah seperti khalwat di kawasan tersebut. Tugas
Skuad Badar ini adalah melakukan operasi tangkapan kemudian membawa
orang yang ditangkap itu kepada keluarga masing-masing tanpa menghantar kes
ke mahkamah. Prosedur Skuad Badar ini hampir mirip dengan prosedur PPA
iaitu bermula daripada aduan sama ada secara lisan atau panggilan telefon,
siasatan, risikan dan tangkapan. Kemudian, setelah proses tangkapan dibuat
anggota Skuad Badar akan memberi tausiah kepada mangsa tersebut sebagai
pengajaran dan pemberitahuan bahawa perbuatan maksiat merupakan kesalahan
dalam Islam.

98

Menurut Presiden Skuad Badar, Azhar Mohamad ketika temu bual bersama
media “Nothing to Hide Media” dalam video di youtube menyatakan setelah
tangkapan dibuat Skuad Badar akan membawa mangsa ke kawasan perkuburan
dan di situ anggota Skuad Badar akan mentarbiahkan mereka kerana menurut
Azhar kawasan perkuburan akan menghadirkan perasaan takut dan insaf kepada
mangsa sehingga tarbiah tersebut membuatkan mereka menangis. Cara yang
dilakukan oleh Skuad Badar ini telah berjaya membuatkan orang-orang yang
berada di kawasan Sungai Petani lebih-lebih lagi golongan remaja takut untuk
melakukan gejala maksiat.

Oleh itu, bagi merealisasikan perkara ini satu enakmen perlu ditubuhkan
bagi memberi peluang dan kuasa tangkapan kepada NGO yang berdaftar.
Langkah ini sepatutnya dilakukan di setiap negeri iaitu dengan menubuhkan
NGO dan pertubuhan yang kecil bagi membantu PPA dalam menangani gejala
maksiat. NGO dan pertubuhan ini perlulah disahkan dan didaftarkan terlebih
dahulu agar ia tidak diklasifikasikan sebagai pertubuhan yang tidak sah disisi
undang-undang.

6. Menaiktaraf fasiliti ruang menyimpan bahan bukti

Antara faktor sesuatu kes jenayah syariah tidak boleh dibawa ke proses
pendakwaan adalah kerana tidak mempunyai bahan bukti. Mana-mana kes
jenayah sekali pun akan melihat kepada bahan bukti sebelum dibawa ke
mahkamah untuk perbicaraan. Oleh sebab itu, barang-barang disita yang oleh
pihak penguatkuasa ini perlu dijaga dengan rapi agar barang ini sentiasa berada
dalam keadaan baik.

Ketika menjalankan operasi serbuan dan tangkapan oleh pihak
penguatkuasa, sudah semestinya pihak penguatkuasa akan menyita barang-
barang yang digunakan oleh OYDS sekiranya perlu untuk dijadikan bahan bukti
di mahkamah dan menguatkan hujah pihak pendakwa. Namun, ada kalanya
barang-barang yang disita tersebut bersifat mudah rosak dan tidak kekal lama.
Sekiranya barang-barang yang disita ini sudah mulai rosak atau luput, maka

99

proses pendakwaan akan terjejas dan juga mungkin akan menimbulkan
keraguan. Apabila sesuatu kes jenayah berjaya menimbulkan keraguan maka
mahkamah boleh memutuskan keputusan bahawa OYDS tidak bersalah.

Sebagai contoh situasi dimana dalam operasi serbuan di pusat hiburan,
pihak penguatkuasa mendapati pengunjung yang beragama Islam didapati
sedang meminum arak. Pegawai penguatkuasa agama akan merampas botol-
botol arak tersebut untuk dijadikan sebagai bahan bukti. Kemungkinan juga
barang-barang yang dirampas itu terlalu banyak sehingga memaksa pihak
penguatkuasa mengumpulnya di suatu tempat yang khusus. Namun, oleh kerana
Bahagian Penguatkuasaan tidak mempunyai tempat yang khusus atau makmal
yang khusus untuk menyimpannya, tidak mustahil barang-barang yang disita
tersebut akan rosak.

Oleh kerana masalah ini sering kali berulang, maka pihak Jabatan Agama
Islam di setiap negeri wajar mengambil langkah untuk membina satu ruang yang
khas untuk menyimpan bahan bukti sahaja. Bahan bukti ini perlu dijaga dengan
berhati-hati dan tidak sepatutnya diletakkan di ruang yang terdedah sehingga
sesiapa sahaja boleh mencapainya.

7. Fasiliti sel tahanan perlu ditingkatkan

Setiap OYDS yang bersalah akan ditahan di sel tahanan sementara di JAIN
sebelum dibebaskan atau seterusnya di bawa ke mahkamah. Setiap OYDS akan
ditahan selama 24jam oleh JAIN sementara menunggu dibebaskan sama ada
melalui dengan borang guam jamin atau perintah daripada mahkamah. JAIN
tidak boleh menahan OYDS lebih daripada 24jam mengikut akta yang telah
ditetapkan dalam enakmen tatacara jenayah syariah 2006 seksyen 22 (2).
Disebabkan sel tahanan di JAIN adalah terhad maka ia tidak boleh menampung
sekiranya OYDS melebih daripada 2 orang.

Kemudahan bagi tempat tahanan khas bagi tertuduh yang ditangkap turut
bermasalah apabila tiada pelarasan di peringkat negeri-negeri. Bilik tahanan
sementara hanya disediakan di sesetengah negeri, namun ia tidak digazet. Sama

100

juga seperti dengan bilik menyimpan barang kes, jika ada sekalipun ia tidak
dapat dikawal dan selia dengan baik. Tambahan lagi, ada ketikanya PPA
terpaksa memohon belas ehsan lokap polis sebagai tempat tahanan sementara
bagi menyimpan suspek yang ditangkap.

Berdasarkan tinjauan ketika hadir ke JAIN daerah Kuala Kangsar, Perak
mendapati hanya dua sel tahanan yang diperuntukkan bagi menyimpan OYDS.
Satu untuk OYDS lelaki dan satu lagi untuk OYDS perempuan. Keluasan satu
sel tahanan tersebut hanya tiga kaki persegi yang mana ia boleh dimuatkan hanya
seorang sahaja. Manakala tinjauan ke JAIN daerah Arau Perlis pula mendapati
tiada sel tahanan yang diperuntukkan untuk menahan OYDS. OYDS yang
ditahan akan disimpan di balai Polis yang terdekat menurut Ustaz Ghazali salah
seorang pegawai penguatkuasa agama Perlis.

Perkara ini akan menjadi masalah sekiranya OYDS melebihi daripada dua
orang dalam satu masa. Sebagai contoh apabila pihak penguatkuasa membuat
operasi di tempat perjudian atau kelab malam yang mana operasi tersebut berjaya
menangkap sebilangan orang Islam yang berjudi dan mabuk. Pihak
penguatkuasa terpaksa menumpangkan OYDS tersebut di balai Polis untuk
sementara waktu selama dibebaskan. Oleh sebab itu, pihak JAIN seharusnya
menyediakan lebih banyak sel tahanan di setiap jabatan sebagaimana yang
dilakukan oleh pihak polis sebagai persediaan sekiranya berlaku tangkapan di
luar jangkaan. Dengan ini, JAIN tidak lagi berkongsi lokap dengan polis yang
mana lokap polis menyimpan OYDS yang terdiri daripada pelbagai kesalahan
dan turut sama kesalahan yang dilakukan oleh orang bukan Islam. Berbeza lokap
JAIN yang hanya menyimpan orang yang melakukan kesalahan jenayah syariah
dan orang Islam sahaja.

8. Menyediakan keperluan sokongan seperti kenderaan, peralatan yang
sesuai dan senjata

Seperti mana yang diketahui, pihak penguatkuasa agama sebenarnya
masih lagi kekurangan peralatan untuk membantu tugasan mereka. Peralatan


Click to View FlipBook Version