HASIL KARYA CERPEN
AKHIRNYA AKU
BERJAYA
Anjuran Program
Lestari Cendekiawan Muda
Members of Diploma Accountancy (MeDIA)
✅Aku sudah Berjaya Melawan Kemurungan
Moto hidupku ialah "masalah untuk dihadapi bukan lari". Hari-hariku sentiasa dipenuhi dengan
dugaan dan cabaran dan setiap hari juga aku belajar untuk tabah dan kentalkan diri. Hampir
berapa kali aku cuba menamatkan nafas dengan tangan sendiri namun dalam setiap cubaan
Tuhan hadirkan manusia-manusia yang membimbing aku ke arah kebenaran. Nama diberi Zian
Humaira yang merupakan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan masih menunggu
keputusan keluar. Ketika umur yang masih berdarah panas, yang menginginkan kebebasan dan
berfoya-foya di dunia bersama remaja lain, aku diuji dengan kehilangan ahli keluarga dalam
kemalangan jalan raya. Kereta dipandu ayahku dirempuh oleh treler ketika merancang untuk
mengambil aku yang usai bekerja sambilan di sebuah pasaraya. Siapa sangka semua ahli
keluarga aku maut di tempat kejadian meninggalkan aku yang masih terpingga-pingga mencari
erti kehidupan. Aku merupakan seorang yang extrovert mampu berubah sekelip mata apabila
kemurungan menguasai diri. Kehidupan aku hanya tinggal diri aku yang masih keanak-
anakkan dan tidak matang.
"Opah tahu Zian penat. Opah tahu hidup Zian sulit. Tapi Zian, ingatlah Allah sentiasa ada
dengan hambaNya dan Allah suka mendengar doa hambaNya. Opah nak Zian ambil wudhuk
dan solatlah. Allah pasti bantu" salah satu kata-kata semangat daripada opahku membuatkan
aku masih semangat berdiri sehingga kini.
"Allah berfirman, 'janganlah kamu berfikir bahawa kamu telah beriman sedangkan kamu
belum diuji', tafsiran surah al-Ankabut ayat dua dibacakan oleh atukku kepada aku ketika
hampir sebulan aku mengurungkan diri di dalam bilik melayan perasaan murung. Setelah
perdebatan yang berlaku antara opah dan atuk aku dengan bapa saudara aku, aku membuat
keputusan untuk memekakkan telinga dan membutakan mata daripada segala keperitan dunia.
"Zian tahu? Hamba Allah yang beriman sentiasa diuji dan makhluk yang paling berat ujiannya
ialah Nabi kita. Sedangkan Nabi, seindah-indah ciptaan Allah.Manusia yang paling agung dan
telah dijamin syurga pun diuji bahkan lebih teruk, apatah lagi kita manusia biasa yang imannya
masih turun naik? Bukan hanya Zian yang rasa kehilangan, atuk sebagai ayah pun rasa
kehilangan. Atuk tahu kepenatan hidup ni tapi Zian kena ingat, biarlah kelelahan hidup di dunia
untuk kumpulkan banyak amal kebaikan dan kelak dibalas dengan syurga indah di sana. Allah
uji sebab sayang" ayat motivasi daripada atuk aku juga sedikit sebanyak membuatkan aku sedar
bahawa tujuan hidup aku sebagai hamba.
"Kau tahu Zian? Setiap yang bernyawa pasti akan kembali. Aku tahu benda ni berat untuk kau
tapi bukan macam ni cara nak hadapi semua ni" suara sahabatku, Afra Naila bermain diingatan.
Ketika cubaan kedua aku untuk mengakhiri hidupku, Allah hadirkan seorang sahabat yang
tidak ternilai kebaikkannya untuk menyelamatkanku.
"Ap-apa kau tahu? Apa yang kau tahu tentang aku?!Or-orang..orang y-yang aku sayang..semua
tinggalkan aku .." aku membentak dalam tangisan. Aku kehilangan ibu, ayah dan kakakku
sekelip mata tanpa sempat aku ucapkan rasa kasih aku pada mereka. Setiap hari yang aku
hadapi selepas kehilangan mereka terasa seperti 'neraka' untukku. Lebih menyedihkan apabila
semua ayah saudara aku melepaskan tanggungjawab untuk memelihara aku. Mereka dibutakan
dengan harta faraid yang ditinggalkan dan mengabaikan keperluan hidupku. Hanya tinggal
opah dan atukku yang masih mengambil berat dan menyayangi aku namun aku masih belum
dapat menerima kenyataan bahawa aku akan melihat sendiri kekejaman saudara mara terhadap
diriku. Tidak terperi sakitnya kehilangan jadi aku menganggap sahabatku ini tidak layak untuk
menasihati aku mengenainya.
"Mak nak jaga Zian buat apa? Mak dah tua, jaga diri mak dengan abah sudah lah. Hal Zian
tu boleh je hantar ke rumah anak yatim bukan susah pun!" bentakkan paklongku masih segar
diingatan. Mana tidaknya, aku baru kehilangan keluarga namun mereka sudah berbincang
untuk 'mengusir' aku daripada hidup mereka. Aku terfikir, layakkah mereka digelar manusia?
"Apa kau mengarut ni Along? Zian tu anak saudara kau jugak! Dah jadi tanggungjawab kau
nak jaga dia. Sudah kau dengan Angah tak mahu biar aku je lah yang jaga dia."jelas kelihatan
opah tidak bersetuju dengan kenyataan anak sulungnya. Siapa sangka anak yang dibesarkannya
kini mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.
"Mak tu bukan sihat sangat. Nanti kalau stress jaga budak tu, darah tinggi naik siapa susah?
Abang Yus juga nak ulang alik dari KL ke Ipoh nak jaga mak!"suara maklong menyampuk
membuatkan hati aku seperti disiat-siat dengan belati. Terlintas di benakku adakah aku ini
‘beban’ yang menyusahkan mereka?!
"Aku sakit ke tak ke kau peduli apa?! Aku dah buat keputusan nak jaga cucu aku! Abah kau
pun dah setuju nak jaga Zian.Kau orang yang taknak tu balik je lah ke rumah korang tu!Buat
sakit kepala dan hati aku je pandang muka kau laki bini!" Opah mengakhiri perbualan dengan
memberikan keputusan muktamad untuk menjaga aku sebelum dia meninggalkan meja makan
di mana tempat mereka berbincang.
Aku yang menguping perbualan mereka terfikir, adakah aku perlu gembira kerana opah
menangkan aku ataupun tidak kerana dianggap menyusahkan?
"Janganlah kau bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita"tafsiran surah at-taubah ayat ke-
40 membuatkan aku menangis teresak-esak. Harini, aku membuat cubaan untuk lemaskan diri
di sungai namun gagal kerana Afra sahabatku sentiasa bersama aku. Dia mengaku yang dia
tidak tahu apa masalah yang dihadapiku dan dia tidak pernah meminta aku untuk
menceritakannya, namun Afra sentiasa menenangkan dan memujukku untuk mengingati Sang
Pencipta. Ayatnya kalini entah mengapa mengusik jiwaku. Aku menangis semahunya di
pelukkannya. Otakku terfikir untuk mencari tikar sejadah lalu bersujud dan memohon ampun
dan pertolongan daripadaNya namun masih ragu-ragu, layakkah aku setelah berkali-kali
cubaan menarik nyawa sendiri?
Afra masih setia memeluk dan menenangkanku. Mulutnya tidak henti membacakan selawat di
telingaku.Aku tidak tahu mengapa dan bagaimana, tapi pelukkannya sangat menenangkan. Dia
sahabat kiriman Tuhan yang terindah buatku. Walaupun berkali-kali aku mengusirnya daripada
hidup aku, dia tetap teguh berdiri di sampan aku memberi kata-kata semangat dan menyedarkan
aku bahawa masih ada orang yang menyayangi aku.
Aku termangu di beranda rumah atuk, menikmati keindahan malam yang diceriakan dengan
suara unggas dan cengkerik. Pernah terlintas dibenakku bahawa pilihan untuk berseorangan
merupakan perkara yang terbaik namun tanggapan aku salah. Aku memilih untuk bersendirian
dan mengelak untuk bertemu orang menyebabkan aku terasa tersisih. Aku menganggap tiada
siapa yang pedulikan aku jadi keputusan untuk menarik nyawa sendiri merupakan keputusan
yang 'terbaik'. Aku menganggap aku merupakan punca kepada semua masalah. Keluarga aku
kemalangan ketika mahu menjemput aku pulang dari bekerja. Adik beradik ayahku berperang
mulut dengan atuk dan opah disebabkan keputusan mereka untuk memelihara aku.
Semua porak peranda yang berlaku adalah disebabkan aku muncul dalam kehidupan mereka.
Afra pernah menyoalku, "Mengapa sampai bunuh diri? Mengapa aku terfikir hendak lenyap
daripada dunia ini? Mengapa pilih untuk bersendiri?"
Waktu itu aku hanya mampu tersenyum nipis seraya membalas." Aku penat. Aku anggap bila
aku mati semuanya jadi mudah. Aku harap aku mati sebab nak jumpa family aku tapi opah kata
aku silap. Kalau aku ambil nyawa sendiri tiada apa yang menguntungkan aku. Buat apa pergi
daripada dunia yang memenatkan ini namun diseksa di dunia lain? Tak berbaloi" ayat opah aku
sedikit sebanyak menghidupkan hati aku semula.
Selama ni aku berfikir jika aku sendiri aku tenang, tapi sangkaan aku meleset jauh. Bilamana
aku sendiri, aku sukar nak kawal perasaan, aku terlalu diselebungi rasa kesedihan sampai aku
berasa hidup ini tidak bermakna.
Namun sebagai sahabat yang baik,Afra berpesan, "Tiada manusia yang tidak diuji di dunia ni.
Dia kaya pun satu ujian, dia miskin pun satu ujian. Dia sihat pun satu ujian hatta dia sakit pun
itu satu ujian. Bila mana dia kaya, Allah uji dia bagaimana dia nak uruskan hartanya untuk
Allah dan Islam. Bilamana dia sihat, Allah uji dia adakah dia masih bersujud pada Allah pada
waktu dia sihat dan sempurna? Kita selalu pandang ujian pada perkara yang susah tapi kita tak
sedar, keindahan yang Allah berikan juga satu ujian. Zian, bersyukurlah Allah uji kau.
Sekurang-kurangnya Allah masih nampak kau sebagai hamba. Allah masih buka pintu taubat
untuk kau. Aku tahu semuanya perit untuk kau tapi kau kena ingat, tak semua manusia
hidupnya indah. Jangan sentiasa pandang ke langit tapi tundukkan pandangan ke bumi. Waktu
itu kau akan sedar masih ada yang senasib dengan kau bahkan lebih teruk"
Aku tersenyum sendirian memikirkan tindakan-tindakan bodoh yang pernah cuba aku lakukan.
Aku melakukan kesilapan dengan berfikir bersendirian boleh selesaikan semua perkara tapi
disebabkan perkara tersebut aku menghadapi kemurungan yang kronik sehingga nyawa
dianggap tiada nilai. Jahilnya aku ketika itu hanya Tuhan yang mengetahui namun Sang
Pencipta tidak pernah kejam dengan hambaNya. Dia hadirkan orang-orang yang sentiasa
sokong dan bersama aku untuk hadapi semua masalah.
Atuk mengeluarkan wang simpanannya untuk membantu aku merawat masalah kemurungan
yang dihadapi. Setiap hari atuk dan opah serta Afra tidak henti memberikan dorogan dan
semangat untuk aku teruskan hidup. Mereka sentiasa bersama aku membuatkanku tersedar,
kemurungan bukan satu penyakit yang ringan. Pakar kaunseling berkata bahawa kemurungan
aku masih dapat dikawal kerana hati aku masih mahu menerima teguran dan nasihat yang
diberikan oleh orang di sekelilingku. Setelah hampir tiga bulan aku menjalani terapi untuk
memulihkan semula kehidupan sosialku, aku berjaya keluar daripada lembah gelap
kemurungan. Segala sokongan positif daripada orang sekitarku membangkitkan semula
semangat aku untuk teruskan hidup.
“…Jika kamu telah membuat keputusan, letakkan kepercayaan kepada Allah.Semestinya,
Allah menyayangi sesiapa yang meletakkan kepercayaan mereka kepadaNya” (3:159)
Aku berpegang kepada ayat tersebut dan kini aku berjaya menjadi seorang kauselor. Aku
berniat untuk membantu semua yang menghadapi masalah yang sama seperti aku dan aku yakin
pada Allah bahawa setiap masalah akan ada jalan penyelesaian dan Allah ialah sebaik-baik
petunjuk.
“Allah tidak akan uji hambaNya melebihi kemampuan” – Al-Baqarah,286
(Kejayaan setelah mendapat keputusan SPM2019)
Peluh di dahi Aina lap sebelum dia menyambung kerja pembersihannya. Setiap ruang
di sapu dan di mop bersih oleh Aina tanpa meninggalkan apa apa kotoran. Memang begitu
sikapnya, bersungguh dalam membuat sesuatu hal. Walaupun gaji yang ditawarkan tidak
seimbang dengan senarai tugas yang perlu dia laksanakan, namun dia tetap bersyukur diberi
peluang bekerja. Untuk dia, yang setakat memegang kelulusan SPM agak sukar dalam bertegas
sedikit soal wang ringgit. Lebih baik raih sedikit daripada tiada lansung.
“Aina, ni bawah meja ni ada sampah lagi!” jerit Danish dari belakangnya. Entah apa
yang Aina buat pada mata dia semuanya salah. Aina lantas mengangguk sebelum bergerak
membersihkan ruangan yang ditunjuk Danish. Puan Siti yang dari tadi memerhati kemudian
menggelengkan kepala. “Budak tu kerja overtime dari pagi, ni esok pun kerja pagi jugak. Kau
tu pandai menyuruh je, pergi ambik penyapu la tolong” herdiknya. Memang kecil besar kecil
besar dia mencerlung kearah Danish, pekerja lama dia seorang ini memang makin menjadi jadi
perangai lebih lebih lagi apabila melibatkan Aina.
Aina sedikit terkejut mendengar suara Puan Siti yang agak kuat. Jarang sungguh
pemilik kedai makan itu bersuara lebih lebih lagi memarahi pekerja nya. Dia menoleh sekejap
kearah Danish yang sedang menunjukkan reaksi tidak puas hati. Mungkin dia marah akan Puan
Siti yang suka membela Aina. Bukan kemahuan Aina untuk dibela namun sesiapa yang lihat
situasi tadi pasti akan berpihak pada Aina. “Tidak mengapa Puan, ini memang kerja saya” jelas
Aina tidak ingin Danish terheret sama.
Setelah proses menutup kedai itu diselesaikan, Aina mengunci pintu kedai dan
menyimpan kunci ke dalam tas bahunya. Ingin sahaja dia bekerja lebih masa hari hari. Jika itu
yang mampu dia lakukan untuk tidak berseorang. Berseorangan? Ya dia tak suka seorang diri.
Banyak betul hal yang bermain di fikiran sehingga dia takut dia bertindak di luar kawalan.
Tambahan dia perlu banyak wang untuk menanggung diri dan ibu.
Jalan sejauh 3km itu menjadi laluan hari-harinya. Tak dan untuk menaiki grab atau
teksi. Padanya membuang duit, dia juga dapat berjalan memenatkan diri. Mudah, balik boleh
lansung tidur. Insomnia berat yang dihadapinya semakin lama kian teruk. Mungkin dengan
cara menggunakan segala kerah tenaga yang dia ada, Badannya dapat memberi reaksi untuk
dia tidur lebih awal dari yang sepatutnya.
Satu persimpangan akhir, dan dia sudah sampai di rumah. Daun pintu yang agak
berkarat skrunya menghasilkan bunyi yang kuat. Cukup untuk menyedarkan isi rumah ada
sosok yang membuka pintu. “Assalamualaikum, ibu. Aina dah balik” tercari cari mana pelangi
hidupnya berada. Dia bergerak ke ruang dapur. Tiada. ‘ tak pernah ibu keluar tanpa beritahu
aku dulu’ bisik hatinya perlahan. Setiap bilik Aina teroka mencari ibu. Biliknya, bilik ibu,
sehingga ke stor. Tetap tiada. Bergegas ke pintu rumah semula melihat sekeliling rumah.
Sambil berteriak Aina memanggil ibu. Jantungnya laju. Kemana pula ibu pergi pada waktu
waktu begini runsingnya. Cukup risau betul dia dengan orang tua yang satu itu.
‘Ibu, aduhai’ cemas Aina dapat dilihat dari riak muka nya. Hari kian gelap, kelibat ibu
nya masih belum tampak. Jam dilirik sejenak. 6.59 petang. Jantungnya makin laju apabila
bayangan bayangan yang mungkin berlaku pada ibu bersiar di kepala. ‘Nauzubillah min zalik’
geleng Aina. Tak baik beranggapan buruk seperti itu.
Bunyi bukaan pintu belakang rumah menggegaskan Aina untuk ke belakang. Terlihat
wajah tua Puan Milah terpapar membawa beberapa bungkusan plastik. “Ibuuu..” jerita Aina
lansung memeluk ibu erat. “Ibu pergi mana, penat Aina cari ibu. Nak dekat maghrib ibu tak
balik balik lagi. Ibu kalua nak pergi mana mana tunggu la Aina balik dulu teman ibu. Lutut ibu
bukan kuat sangat nak berjalan jauh jauh,” bebel Aina yang masih lagi merisaukan ibunya.
Puan Milah mengukir segaris senyuman. “Sorry Aina, ibu ke rumah Cik Rubi sekejap dia minta
ibu urutkan menantu dia yang baru bersalin tu. Ni dia ada bagi sawi dengan kangkong sikit
buat masak”
Aina menggeleng. Dalam kesihatan yang tidak seberapa itu pun ibu masih lagi gagah
membantu orang orang kampung. Bukan dia tidak kenal, sesiapa yang hulur duit pasti ibu tola
katas alasan ibu ikhlas. Bukan Aina marah, cumanya ramai yang suka mengambil kesempatan
atas kebaikan ibunya. Lebih lebih lagi mereka yang mengata ibu itu ini, tetapi tanpa segan silu
meminta ibu urutkan untuk mereka. “Ibu nak tunggu Aina balik, tapi Aina tak balik balik.
Mungkin banyak kerja dekat kedai. Itu yang ibu pergi dulu,” tambah ibu lagi
“Iyalah, Aina minta maaf ya ibu. Tadi Aina kena kerja lebih masa sikit tu yang balik
lambat. Dah lepasni kalua ibu nak pergi mana mana tolonglah beritahu Aina dulu ya ibu. Aina
risaukan ibu” matanya di pejam sambil pelukan dieratkan lagi. Tidak pernah terlintas di fikiran
apa akan jadi, jika berlaku apa apa pada nyawa dia ini.
‘sometimes the one who loves you is the one who hurts you the most’ – Lily Blooms,
Novel It Ends With Us karya Colleen Hoover itu ditutup. Entah kenapa watak pemain
utama berkait rapat sungguh dengan hidupnya. Itulah bahagian kegemaran tika dia mendalami
cerita cerita yang dibaca. Ibarat ada mereka juga yang melalui nasib yang sama dan dia tidak
lah berseorangan. Siling kayu itu ditenung. Kadang kesian pada diri sendiri yang telah kerah
lebih dari yang dia mampu. Mahu tak mahu ini lah jalan hidup dia yang ya mungkin di luar
kuasa pemilihan dia.
Setiap insan yang ditemukan pasti ada hikmah dan musabab yang mungkin dia sendiri
yang perlu mencari jawapannya. Bukan dia persoalkan takdir, namun baginya kadang ujian
yang diterima ini dia sendiri tidak mampu untuk menganggung. Atas sebab adanya ibu yang
buat dia bertahan. Sumber dari segala kekuatan yang dia peroleh sehingga masih mampu
bernafas tika ini.
Teringat akan watak Lily dalam buku yang baru sedari tadi dia baca. Kata Lily, kadang
insan yang paling kita kasihi adalah mereka yang berpeluang menyakiti kita sedalam-
dalamnya. Dimana, kita sendiri tidak boleh meletakkan harapan pada mereka untuk rasa apa
yang kita rasa terhadap mereka. Secara jelasnya, kita tidak boleh memaksa mereka memberi
kebaikan sebagaiman baiknya kita kepada mereka. Inilah hakikat dunia. Tampak kejam namun
lebih kejam bagi mereka yang merasainya.
Adil? Pada Aina tidak ada adilnya apabila sebut soal dunia. Pada satu sudut, hanya satu
sisi yang puas dengan hidupnya tanpa mereka ingat bahawa perbuatan dari mereka mampu
memberi konsequensi jahat pada yang lain. Yang kaya, hidup sejahtera bahagia itulah yang
dapat pandang mata dunia. Yang miskin, kedana dari segala macam, mereka ibarat tuli mata
tuli hati buat buat tidak nampak apa yang sedang berlaku. Namun, ukur baju di badan sendiri.
Aina tahu dia tidak punya kuasa apa apa untuk merubah situasi. Padanya, cukup dia dan ibu
punya tempat tinggal dan makanan cukup.
Bincang soal ayah. Entah sosok itu mengaku dia anaknya apa bukan. Sangat rumit
apabila membincangkan isu yang dia harap tiada siapa buka. Mungkin kerana itu dia tidak
punya kawan. Aina si perahsia lebih lebih lagi soal keluarga. Jika sesiapa bertanya, pasti dia
terus beredar dari menjawab soalan yang dia sendiri tidak tahu apa bentuk jawapan yang perlu
diberi. Buah mulut orang kampung yang sering mengatakan ibu melahirkan Aina yang bukan
dari benih bapanya itu sudah lali dia dengar. Mulut tempayan boleh ditutup, mulut manusia
apakan daya Aina. Tuduh mereka, kerana itu lah ayah benci akan ibu, lansung tidak mengaku
Aina adalah darah dagingnya. Reaksi ayah apabila mendengar omongan palsu itu? Dia sendiri
kadang tidak membantah malah malu mempunyai kami berdua. Jika dia di beri peluang untuk
membalas dendam pada satu manusia yang sudah merosakkan hidupnya, ada satu nama yang
dia sentiasa genggam dalam hati.
“Milah!!” satu teriakan kuat didengari dari arah pintu. Daun pintu dihempas kasar.
Lebih kasar dari sebelum-sebelumnya. Jantung Aina sedikit luruh mendengar jeritan ayahnya.
“Milah keluar kau sini!” jerit ayah lagi. Aina buka sedikit pintunya, sekadar cukup satu bebola
matanya untuk memerhati apa yang sedang terjadi. Muka ibu yang berpisat bangun itu,
digagahkan juga dirinya ke pintu hadapan. “Ya abang kenapa ni jerit jerit?” tanya ibu perlahan.
Muka ayah yang bengis itu tampak lebih menakutkan apabila dia sendiri terkial mencari nafas.
Terlalu marah sangka Aina.
Tanpa sebarang kata balas, ayah terus mengangkat tangan tinggi sebelum ditamparkan
pada wajah tua ibu. Pap! Ibu jatuh tersungkur ke lantai kayu. “Kau cakap dengan aku, kau pergi
rumah jantan mana tadi. Orang kampung cakap dengan aku kau berjalan-jalan bila tiada orang
dekat rumah!," bengis ayah. Ibu kian tunduk memandang tanah, sebelah tangannya memegang
pipi merah yang mungkin kebas akibat tamparan ayah. Ibu diam perlahan sebelum suara
tangisannay memenuhi isi rumah.
Aina menekup mulutnya bimbang suaranya didengari ayah. Dia tahu jika mereka
berdua mengetahui kehadiran Aina, pasti ayah melulu ke bilik tidak menyambung amarahnya
di hadapan Aina. Entah Aina rasa kehadiran dia adalah kebaikan atau pun penangguhan atas
keseksaan yang bakal disambung di dalam bilik mereka. Kata ibu, selagi Aina belum lena
selagi itu ayah bakal menahan amarahnya. Sehingga Aina terbiasa berjaga hingga ke pagi
akibat takut ibu dipukul. Mungkin bermula dari itu juga dia menjadi penghidap insomnia berat
yang dia sendiri pendamkan. Sekadar membaca tentangnya di laman web dan majalah. Ubat
tidur yang dibeli tanpa preskrepsi doktor itu lah satu-satunya harapan untuk dia mengecas
tenaga.
Tangisan ibu semakin perlahan apabila kepalanya disandarkan pada kayu sofa.
Mungkin ibu tidak berdaya lagi untuk membalas kata ayah. Ibu makin lemah, ibu makin sakit.
Laju mengalir air jernih dari kelopak matanya. Ayah masih tidak berhenti menengking ibu.
Segala tohmahan dan perkataan kasar keluar dari mulut ayah. Menuduh ibu itu ini, terlalu
mepercayai orang kampung. Pada Aina, ayah sekadar melepaskan rasa marahnya pada ibu. Inti
yang disebut ayah bagai tidak masuk akal dan ayah sengaja mencari sebab untuk memuaskan
hatinya memarahi ibu.
Pap! Ibu ditampar sekali lagi. Aina terduduk Ketika menyaksikan aksi kasar ayah.
Pipinya habis kebasahan dek air mata yang tidak berhenti turun dari tadi. ‘Sampai bila ibu?’
bisiknya. Sungguh dia tidak faham akan ibu yang masih lagi bertahan dengan sikap amarah
ayah. Pada Ain itu bukan marah, itu seksaan kejam. Kejam dari segi mental dan fizikal. Ayah
dera mental ibu, ayah sakitkan fizikal ibu. Namun kata ibu, ayah nya baik. Rasa sayang ibu
pada ayah lebih besar dari segalanya. Itu yang membuatkan Aina bertambah benci akan
manusia kejam itu.
Dia tertunduk sejenak. Segala memori silam dari kecil hingga Aina besar, Segala
momen ibu dipukul, ditendang, ditampar, dimaki mulai bermain di fikiran Aina. Setiap
tangisan ibu, setiap erangan sakit tika Aina ingin merawat luka ibu, semua itu berlayar
berselang-seli di imaginasinya. Dada Aina semakin sebak. Dia tidak dapat menahan lagi semua
rasa yang ditahan selama ini. Berat pada dia jauh lagi berat pada ibu yang merasainya sendiri.
“Kenapa Ya Allah ibu perlu menanggung semua ini, kenapa ibu Ya Allah” Dada Aina
semakin sempit. Lebih lebih lagi diselitkan dengan tangisan ibu dan bunyi pukulan ayah.
Nafasnya tersekat – sekat dek menahan sebak. Berusaha dia mencari nafas walaupun ia agak
sukar bagi Aina pada keadaan itu. Sejak dari kecil Aina perlu berhadapan dengan situasi ini.
Cuma, malam ini. Malam ini dia sudah tidak dapat menanggung lagi apa yang dihidangkan di
hadapan mata.
Dalam sukar mencari nafas, Aina menggagahkan diri untuk keluar dari bilik. 1001 rasa
amarah mulai mendominasi setiap ruang yang ada pada diri Aina. Kaki mengorak langkah
dengan kasar menuju ke pintu hadapan. Mata Aina kabur, dikaburkan dek air mata yang
menebal. Dikelipkan sekali lantas pandangannya kembali jelas.
Riak muka ayah tampak tegang setegang baliknya dia ke rumah tadi. Melihat sosok
Aina, ibu turun mengesot ke arah Aina meminta Aina untuk berhenti. Cukup ibu sahaja yang
terkait dengan situasi.
“Cukup ayah cukup!!” jerit Aina sambal menekupkan tangan pada telinganya. “Aina
dah penat ayah! Apa yang ayah buat pada ibu ni dah cukup kuatkan Aina untuk buang ayah
dari Aina. Ayah benci kami, ayah tak sayang kami. Kami taknak hidup dengan ayah. Ayah
boleh keluar dan cari cara hidup yang ayah nak. Ayah malu kerana kami berdua kan? Jadi Aina
minta tolong pada ayah jangan kacau hidup Aina dengan ibu!. Ibu dah cukup terseksa, sekarang
ayah nak seksa lagi. Sampai bila ayah? Sampai ibu mati?” jerit Aina sambil menahan tangis.
Matanya memandang tepat ke arah ayah.
“Jangan campur urusan ayah!” mata ayah terbeliak memandang Aina. Sungguh berani
anak kecil ini menentangnya. “Jangan campur? Urusan apa yang mengharuskan ayah pukul
ibu, urusan apa yang membenarkan ayah memaki ikut suka tanpa fikir sikit pun perasaan ibu.
Jika ayha tidak mampu melayan ibu seperti isteri ayah, sekarang Aina jalankan tugas Aina
untuk mempertahan ibu seperti ibu! Dia lah ibu Aina dia lah ayah Aina. Dan Aina tidak akan
benarkan sesiapa sakitkan ibu Aina termasuk ayah. Apa? Pada mata ayah Aina masih kecil?
Ayah memang silap. Aina yang pada mata ayah ibarat budak kecil inilah yang masih mampu
membezakan manusia dan binatang!. Bukan macam ayah, layan ibu macam binatang!” cukup
dia menghabiskan ayat itu, satu lagi tamparan di hinggap ke pipi Aina.
Ayah sudah sampai ke tahap amarahnya yang paling tinggi. “Kau memang ikut
perangai mak kau, sikit pun tak tahu macam mana cara nak hormat orang tua!” tempiknya.
“Manusia macam ayah tidak layak dapat hormat dari sesiapa. Aina doakan ayah dapat
balasan yang setimpal atas apa yang ayah dah buat pada kami. Aina berkerah tenaga untuk ibu,
Aina berkorban untuk ibu, dan Aina akan terus hidup untuk ibu. Kalau ayah tak sayang kami,
ayah jangan ganggu hidup kami. Aina boleh jaga ibu lebih dari ayah jaga ibu!”
Ayah lantas mencapai pasu kecil di tepi pintu dan dibaling kasar tanda marah. “Kau
jangan harap aku akan jejak kaki lagi dalam rumah neraka ini. Semua orang nak naikkan darah
aku” dia menapak keluar tanpa menghiraukan keadaan pasu pecah akibat perbuatannya.
Ibu menangis memeluk Aina, disambut dengan tangisan Aina. “Maafkan ibu nak,
maafkan ibu Aina tak dapat kasih sayang seorang ayah. Maafkan ibu, kerana ibu Aina terpaksa
hadap semua ini. Aina tanggung sakit sama macam mana yang ibu rasa. Ibu minta maaf ibu
bertahan dengan ayah sejauh ini. Cukup ibu ada Aina, ibu tidak ingin sesiapa lagi dalam dunia
ibu. Maafkan ibu ya nak.” Sesal ibu.
“Ibu, Aina minta maaf Aina lambat bertindak. Jika dari awal Aina seyakin ini pasti ibu
takkan sakit lagi. Aina penakut ibu, Aina takut nak pertahankan ibu. Aina gagal jaga ibu,” Aina
memeluk ibu erat.
“Aina sayang ibu. Aina janji akan jaga ibu macam nyawa Aina sendiri. Lelaki itu tidak
akan mampu sakiti ibu lagi, Aina janji” Aina menekup muka dalam rasa lega. Lega atas
keberaniannya. Tidak akan ada lagi insan yang boleh menganggu hidup mereka berdua dan
andai kata ada, dia akan bertarung nyawa dalam membahagiakan ibu.
“Aina, anak ibu sayang. Jika kejayaan Aina diukur dengan kebahagiaan ibu. Cukup
Aina tahu, Aina dah berjaya buat ibu bangga dan bahagia atas Tindakan Aina tadi. Ibu bahagia
Aina sanggup buat semua itu demi ibu. Aina berjaya buat ibu kuat untuk bertahan hidup. Ibu
hidup untuk Aina, Aina hidup untuk ibu. Kita berdua bahagia sama sama ya,” kata ibu tersedak
sedak dalam kata.
Aina membalas pelukan ibu erat. Ibarat segala bebannya diangkat selepas mendengar
kata kata ibu. Ibu. Satu satunya insan yang dia akan berjuang bermati-matian. Aina berjanji
pada dirinya sendiri. Selagi dia hidup, dia akan sentiasa memberi kebahagiaan pada ibu,
seterusnya melupakan segala sakit yang pernah ditanggung. Aina lantas berbisik sendiri
memanjat kesyukuran dalam hati ‘Terima kasih Ya Allah. Terima kasih kerana akhirnya aku
berjaya mengeluarkan ibu dari luka. Ya, aku berjaya”
___Azmar___
(Azmar binti Amran)
Kata-kata dari penulis
Bersyukur ke hadrat Illahi, sehingga hari ini masih dapat menyempurnakan nafas Bersama
segala rahmat dan kebaikan-Nya. Terima kasih juga buat pihak Media yang sudi
menganjurkan pertandingan seperti ini di mana secara lansungnya dapat mencungkil minat
dan bakat para pelajar dalam dunia penulisan.
Penulisan pada sesi kali ini, berikutan dengan satu isu berat yang saya sendiri agak gusar
ingin membawa topik ini ke dalam pertandingan menulis cerpen yang disediakan oleh pihak
Media. Hal ini kerana, mungkin pada sesetengah pihak ia agak sensitif dan emosi. Namun
hari demi hari, apabila perkara ini dimenungkan beberapa ketika, ditapiskan kronologi dan
diubah suai mengikut keselesaan bersama, seakan itu saya sedar. Kadang kita perlu berpijak
pada dunia realiti. Bukan dimensi dongeng yang sentiasa tenang sejahtera setiap masa. Ya,
tidak dapat dinafikan agak sukar untuk diterima, namun terkadang kita sebagai manusia perlu
biasa kan apa yang tak terbiasa dalam terma mengadapatasi diri sendiri mengikut situasi
semasa.
Aina. Si gadis polos, yang cuba mencari bahagianya, dan pada akhirnya Bahagia itu terletak
pada bahagianya ibu. Aina seorang anak gadis yang dipaksa dewasa oleh keadaan. Yang
mana dia terkadang terpaksa mengutip saki baki kekuatan untuk berdiri semula sekali lagi,
Buat si pembaca, selamat membaca serta sedikit pesanan ringkas buat diri dan semua.
Simpan satu misi dalam hati. Bahagiakan ibu selagi ada, berikan semua tenaga buat ibu selagi
ada. Kerana memang fitrah amali dunia, dipinjamkan seketika lalu akan dipulangkan semula.
Dan semuanya bergantung pada kita, memberi yang sepenuhnya, lantas tidak ada yang
namanya penyesalan di kemudian hari. Selamat membaca!
AKHIRNYA AKU BERJAYA
Kelihatan matahari pada hari ini bersinar cerah dan indah menghiasi langit-langit biru di
bumi Melaka. Jalan raya sesak dek kerana dipenuhi dengan kenderaan yang rata-rata
pemandunya sedang bergegas menuju ke tempat kerja masing-masing. Hidup ini ibarat roda.
Kadang kala kita di atas dan kadang kala kita di bawah. Inilah perumpamaan yang sesuai
untuk menggambarkan kehidupan aku. Bukan sahaja aku, malah aku yakin perumpamaan ini
juga sesuai untuk menggambarkan kehidupan insan lain di dunia ini. Tidak kira apa jua
halangan yang mendatang, hidup tetap perlu diteruskan. Ini lah kata-kata yang bermain di
fikiranku pada ketika ini. Sambil menarik nafas yang panjang, aku yang sedang duduk di
kerusi penumpang sebelah pemandu melemparkan pandangan ke arah pohon-pohon hijau dan
bangunan-bangunan tinggi yang ada di sepanjang jalan. Kisah hitam yang hampir
menggagalkan aku untuk meneruskan pembelajaran ku ke peringkat diploma masih segar
mengais-ngais di dalam fikiranku. Aku tidak datang daripada keluarga yang senang. Ibuku
hanya berniaga nasi lemak dan kuih-muih setiap pagi dan ayahku pula sekadar membantu
ibuku berniaga. Ayahku tiada pekerjaan yang tetap disebabkan oleh faktor usianya. Jadi boleh
dikatakan ibuku lah yang menjadi sumber utama pendapatan keluarga kecil aku. Aku juga
mempunyai seorang adik lelaki yang jarak usianya denganku hanya berbeza satu tahun.
“ Kakak termenung apa tu? ” ayahku yang sedang memandu melihat ku lalu menyapa
dengan mesra.
“ Tiada termenung apa-apa pun abah.” kataku.
“ Kakak anak abah. Abah kenal kakak macam mana. Kalau diam tu memang
termenung lah jawabnya. Kalau tak sekarang ni mulut tu dah macam burung murai. Asyik
berceloteh itu ini dengan abah.” ayahku berseloroh.
“ Lah abah ni. Kakak cuma teringat kisah lama.” balasku kepada ayahku.
1
Sebenarnya, aku dan ayahku sekarang sedang dalam perjalanan untuk ke universiti ku.
Alhamdulillah, jarak rumahku ke universiti tidak lah terlalu jauh. Aku bersyukur kerana dapat
menempatkan diri di universiti yang berdekatan dengan rumah. Kalau cuti, boleh lah aku
ulang-alik ke rumah menjenguk ayahku yang tinggal berseorangan setelah kematian ibuku.
Adikku sekarang sedang melanjutkan pengajian di peringkat diploma juga di salah sebuah
IPTA di Perak. Disebabkan adikku terlalu jauh, maka dia jarang pulang ke rumah melainkan
jika cuti panjang. Ayahku sekarang hanya mampu melakukan kerja-kerja kampung. Kami
sekeluarga hidup ibarat kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Secara tiba-tiba,
teringat aku akan permulaan peristiwa yang hampir menggagalkan aku untuk menyambung
pengajian ke peringkat universiti.
Kisah hitam itu bermula di saat aku masih lagi di Tingkatan 5 di sebuah sekolah
menengah di Melaka pada tahun 2019. Aku merupakan seorang pengawas koperasi di
sekolahku. Apa yang menarik tentang menjadi pengawas koperasi ini ialah setiap kali
bertugas di koperasi pasti akan mendapat upah. Jadi, upah yang aku dapat itu aku gunakan
untuk belanja di sekolah. Disebabkan jarak rumahku ke sekolah terlalu jauh, maka aku
berjaya menempatkan diriku untuk menduduki asrama yang disediakan oleh sekolahku.
Semuanya bermula pada bulan puasa pada tahun 2019 tersebut. Ibuku yang telah lama
bertahan dengan sakit batuk-batuknya dikejarkan ke wad di Hospital Besar Melaka. Aku
masih ingat lagi ketika itu, aku di sekolah dan sedang menjalani peperiksaan pertengahan
tahun. Ibuku dimasukkan ke wad pada hari Isnin. Aku hanya dibenarkan pulang ke rumah
seminggu sekali pada bulan puasa. Jadi pada hari Jumaat minggu yang sama, barulah aku
tahu akan hal tersebut. Ibuku bertegas untuk tidak memberitahu hal itu kepada aku lebih awal
kerana bimbang perkara itu akan menjejaskan diriku untuk menjalani peperiksaanku.
Setibanya aku di hospital, doktor yang bertugas menjaga ibuku memberitahu bahawa
paru-paru ibuku dipenuhi dengan air sehingga menyebabkan doktor itu perlu menebuk
bahagian tepi badan ibuku untuk mengeluarkan air itu. Doktor juga mendapati ada
ketumbuhan di bahagian belakang jantung ibuku dan paru-paru sebelah kanan ibuku sudah
mengecut serta tidak mampu berfungsi. Tiga minggu persekolahan di bulan puasa, aku hanya
mampu menjaga ibuku di hospital pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad sahaja. Sebaik sahaja
sekolah memulakan cuti selama dua minggu untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri, aku mula
menjaga ibuku hari-hari. Ibuku sangat mudah untuk dijaga dan tidak banyak ragamnya.
Disebabkan ibuku di tempatkan di wad wanita, maka aku dibenarkan untuk bermalam di
hospital dan menjaga segala keperluannya. Seminggu sebelum menyambut Hari Raya
2
Aidilfitri, ibuku dipindahkan ke wad ICU atas sebab kesihatannya yang semakin merosot.
Sejak dimasukkan ke wad itu, ibuku tidurkan dan diberi pakai alat sokongan pernafasan. Jadi,
aku tidak dapat lagi bermalam di hospital untuk menjaga ibuku. Dipendekkan cerita, pada
hari Ahad, 2 Jun 2019 bersamaan dengan 27 Ramadhan, berbaki tiga hari lagi sebelum umat
Islam menyambut kedatangan bulan Syawal, ibuku menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Sehingga kini, masih terngiang-ngiang lagi diingatanku akan nasihat dan pesanan
terakhir dari ibuku.
“ Kakak, bila mak dah tiada nanti jaga adik dengan abah tau. Kakak kene belajar rajin-
rajin ya sayang. Tak kisah berapa banyak masalah yang datang, kakak kena kuat ya nak.”
Itulah pesanan yang sentiasa berada dalam fikiranku. Setelah habisnya cuti Hari Raya
Aidilfitri, aku meneruskan sesi persekolahanku seperti biasa. Hari pertama untuk pulang
semula ke asramaku agak janggal kerana ketiadaan ibuku. Hanya bertemankan oleh ayahku,
aku tetap melangkah menuju ke asramaku untuk meneruskan sesi persekolahan pada
keesokkan harinya.
Syukur Alhamdulillah, aku berjaya menamatkan zaman persekolahanku dengan
jayanya. Keputusan SPM yang cemerlang berjaya ku perolehi. Dengan keputusan yang
cemerlang itu, aku mendapat tawaran untuk menyambung pengajian ke peringkat diploma di
UiTM dalam bidang perakaunan. Atas faktor ekonomi keluargaku, aku pada awalnya
menolak tawaran tersebut. Aku bercadang untuk bekerja dahulu bagi menampung perbelajaan
persekolahan adikku. Adikku masih banyak berhutang dengan pihak sekolah dek kerana ada
banyak tunggakan yuran persekolahan. Jauh di sudut hati, aku berasa sedih dan tertekan
kerana impianku untuk menyambung pelajaran terpaksa ditangguhkan. Namun, aku sanggup
untuk berkorban apa sahaja asalkan adikku dapat habiskan persekolahannya sama seperti aku.
Aku berjaya habiskan persekolahanku atas bantuan guru-guru ku yang sengat memahami
keadaanku pada ketika itu. Dalam masa yang sama, aku tidak mahu membebankan lagi
ayahku. Dia sudah tidak mampu untuk melakukan kerja-kerja berat lagi. Ayahku juga tidak
mempunyai sebarang pencen. Jadi, aku harus bekerja untuk menampung keluargaku.
3
Namun sebaik-baik perancangan adalah perancangan Allah SWT. Impian aku untuk
menyambung pengajian ke peringkat IPTA yang terpadam kini bercahaya kembali apabila
aku mendapat tawaran biasiswa daripada JPA. Aku melakukan sujud syukur lalu menangis
kegembiraan. Akhirnya, aku bakal menjejakkan kaki ke alam universiti. Aku lihat ayahku
yang sedang berehat di ruang tamu itu lalu mendekatinya.
“ Abah, kakak dapat tawaran biasiswa daripada JPA “
“ Iya ke? Alhamdulillah syukur kakak. Abah sedih tengok kamu tepaksa lepaskan
tawaran sambung belajar haritu. Sekarang Allah dah tolong kamu kakak. Kakak sambung
belajar ya nak? “ kata ayahku kegembiraan.
“ Iya abah. Kakak akan sambung belajar. Kakak akan belajar rajin-rajin macam apa
yang arwah emak pernah pesan dahulu.” kataku kepada ayahku.
Benarlah seperti kata-kata mutiara bahawa rezeki itu tak pernah salah alamat. Rezeki
juga sampai di saat yang tepat. Alhamdulillah, aku tidak lama lagi bakal menamatkan
pengajianku di peringkat diploma ini. Segala ujian pasti akan ada jalan penyelesaian. Dan aku
yakin, setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Jangan cepat berputus asa dengan
impian kita. Ini lah cerita ringkas hidupku tentang akhirnya aku berjaya mencapai impianku
iaitu impian untuk menyambung pembelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Penulis: Nasihah Binti Ibrahim
Nombor pelajar: 2020829146
4
AKHIRNYA AKU BERJAYA
Aku gagal mendapatkan anugerah dekan semester pertama. Aku masih ingat lagi betapa
menyesalnya aku semasa mendapat keputusanku. Aku tidak memikirkan untuk memandang kelas
secara alam maya sebagai suatu cabaran kerana seluruh ujianku adalah secara buka buku.
Fikiranku menetapkan bahawa ujian secara buka buku adalah mudah kerana aku boleh mencari
jawapannya di dalam buku. Latihan dan ulangkaji jarang kulakukan kerana tiada kawan di sebelah
untuk aku bertanya dan mendapatkan motivasi. Sepanjang pengalamanku sebagai pelajar semester
satu, aku tidak punya tanggung jawab selain sebagai pelajar biasa dan seharusnya aku tiada
masalah untuk mendapatkan keputusan yang baik bagi semester itu. Namun begitu, aku
memandang remeh akan hal yang boleh membantuku.
Semasa aku masih di sekolah menengah, aku bercita-cita mahu memasuki universiti di dalam
bidang perakaunan serta mendapatkan dekan setiap semester. Aku membayangi kehidupanku
sebagai seorang pelajar universiti, di mana aku masih dekat dengan pelajar lain sepertimana
kehidupan harianku di sekolah menengah. Tambahan lagi, aku pelajar yang menduduki asrama di
mana aku terbiasa belajar secara berkumpulan di mana kami akan membincangkan soalan-soalan
yang kami tidak dapat selesaikan bersama-sama dan berjaga hingga lewat malam untuk ulang kaji
bersama. Alangkah terkejutnya diri ini apabila perlu berada di rumah untuk menjalani kelas secara
alam maya tanpa seorang kawan berdekatan, jaringan internet yang tidak memberansangkan
sehingga mengganggu tumpuan belajarku dan diri yang tidak berdisiplin kerana kerap melihat
telefon bimbit sepanjang kelas memandangkan pensyarah tidak tahu akan apa yang kulakukan di
sebalik komputer ribaku. Sehingga hari ini aku masih menyesal akan perbuatanku yang sangat
memalukan itu.
Sebelum memasuki semester kedua, aku telah dilantik sebagai setiausaha bagi suatu kelab di
universitiku. Sungguhnya aku sangat terkejut kerana aku hanya mencuba nasib semasa kelab itu
sedang mencari ahli baru. Aku juga hanya hadir ke temu duga kelab itu tanpa sebarang niat yang
teguh untuk menjadi ahli kelab dan menjawab segala pertanyaan yang diberi. Semasa aku melihat
video pelantikan ahli jawatankuasa terbaharu, gambarku tiada dipertengahan pertama video
tersebut sehingga aku merasakan bahawa aku telah ditolak. Namun begitu, gambarku terpapar di
bahagian setiausaha baru. Perasaan aku bercampur antara gembira dan takut. Aku gembira
mendapat jawatan yang bagus serta takut aku tidak dapat menjalankan tanggung jawabku dengan
baik. Walau bagaimanapun, aku tetap menerima jawatan itu dengan sepenuh hati.
Setelah itu, semester baharu iaitu semester yang kedua telah tiba. Aku tekad untuk membetulkan
diriku dan cuba yang terbaik agar diriku mendapat anugerah dekan. Aku membuat notaku sendiri
sepanjang kelas dan membuat latihan yang diberi serta latihan sampingan buat diriku. Aku juga
menyertai kumpulan belajar secara maya. Bertanya semasa dan selepas kelas menjadi rutinku di
semester itu. Aku sangat takut untuk mengulangi kesilapanku di semester satu yang disebabkan
oleh pemikiranku yang sempit semasa itu.
Jika dilihat daripada sudut yang lain, aku bukanlah hanya pelajar biasa di semester dua tetapi aku
merupakan pelajar yang mempunyai jawatan di dalam sebuah kelab. Bukanlah mudah untuk aku
mengimbangi masaku untuk belajar dan melibatkan diri secara aktif di dalam kelab tersebut, tetapi
oleh kerana hentakan yang sangat kuat semasa semester satu aku, aku tetap tekad untuk
meneruskan dan tidak membiarkan ia menjadi satu halangan buat diriku.
Bukan itu sahaja, aku masih kurang selesa dengan cara pembelajaran secara alam maya semasa
aku berada di semester dua. Tekanan apabila aku terkeluar daripada kelas maya dan tekanan yang
diriku terima daripada persekitaranku sendiri sangat mengujiku. Tekanan itu membuatkanku
mengalami serangan panik yang sudah lama aku tidakku alami. Aku tiada kawan yang tinggal
berdekatan kerana asrama yang diduduki aku bukanlah di dalam negeriku. Perkara ini
mengakibatkan diriku hidup di rumah dan tidak menjelajah dunia luar. Aku tidak dapat merehatkan
mental dan fizikalku daripada belajar serta menjalankan tugasku sebagai setiausaha kelabku.
Sejujurnya, sepanjang aku menduduki ujian di semester satu hingga dua, tidak pernah aku berani
untuk berbincang jawapan. Ada juga rakan kelasku yang bertanyakan soalan semasa ujian, namun
aku tidak menghantar sebarang balasan kerana merasakan perkara itu sangat salah. Biarpun aku
tahu ada segelintir pelajar yang berbincang semasa ujian, aku tetap dengan pendirianku untuk tidak
berbincang dengan sesiapa. Aku mahu kejayaanku atau kegagalanku adalah disebabkan diriku.
Aku masih berpendirian sebegini hingga semester yang sedang kujalani sekarang iaitu semester
empat dan tidak akan aku ubah hingga habis pelajaranku.
Aku berusaha dan berusaha bagi setiap ujian dan kuiz di sepanjang semester dua biarpun aku diberi
tugasan oleh kelab serta menghadapi tekanan oleh persekitaranku. Semasa bulan peperiksaan
akhirku, tidur lambat untuk mengulangkaji menjadi rutinku kerana aku tidak mahu terlepas waktu
belajarku. Aku meneruskan rutin ini sehingga aku selesai ujianku yang terakhir. Aku berehat
selama seminggu selepas peperiksaan tamat sebelum meneruskan tanggung jawabku sebagai ahli
kelab. Aku fokus dengan aktiviti kelab sepanjang cuti semesterku sehinggaku tidak sedar akan
tarikh keluarnya keputusan semester. Aku hanya sedar apabila aku sedang melayari aplikasi twitter
kerana perkataan “tahniah” dan “uitm” sangat hangat dibicarakan.
Aku melayari laman sesawang universitiku pagi itu untuk menyemak keputusanku. Kepalaku
kerap mengulangi “janji dekan” sepanjang aku mengisi butir di laman sesawang itu. Kemudian,
setelah aku menekan butang semak keputusan, keputusanku terpampang di skrin komputer ribaku.
Terkejut, sangat terkejut. Tangisan kegembiraanku keluar, setelah segala penat lelahku di semester
dua itu tidak sia-sia. Berlariku ke ibu bapaku untuk menunjukkan keputusanku. Benarlah orang
kata “hasil tidak mengkhianati usaha”. Setelah segala yang aku lakukan, keputusan yang hanya
dipenuhi “A” dan empat perpuluhan kosong kosong menjadi milikku. Setelah aku jatuh di semester
satu, aku berusaha dengan sepenuhnya di semester dua dan akhirnya aku berjaya.
DIKARYA OLEH
N.A.S
AKHIRNYA AKU BERJAYA MENGHADAPI MASA SILAMKU
Hidupku yang dulunya tenang tanpa sebarang masalah, kini dihanyut oleh arus
kemaksiatan yang melanda diriku pada usia yang sangat muda dan aku tidak boleh
menyalahkan sesiapa kerana aku yakin dan pasti semuanya adalah salah diriku sendiri. Aku
yang tidak dapat menghindari perkara ini sejak daripada awal lagi dan kini aku berazam untuk
tidak melakukannya lagi. Aku kira ianya hanyalah seketika dan tanpa aku sedari aku sudah
terjebak dengan perkara itu selama 5 tahun dan usaha aku untuk berubah hanyalah sia sia.
Semuanya bermula ketika aku berusia 14 tahun. Sewaktu hari raya, kami sekeluarga pulang ke
kampung halaman untuk meraikan lebaran bersama sanak saudara. Tanpa aku sedari disitulah
bermulanya sejarah hitam dalam hidupku yang kian membelenggu hidupku. Ketika itu, aku
disuruh ibu saudaraku untuk kejutkan abang saudaraku yang sedang lena tidur di biliknya dan
aku pun tanpa berfikir panjang terus memasuki biliknya kerana aku sememangnya rapat dengan
semua saudaraku. Aku terus ke katil saudaraku itu dan mengejutkan dia tetapi tiada respon.
Barangkali tidur yang sangat nyenyak. Aku tiba tiba terdengar suara yang aneh datang daripada
telefon milik saudaraku itu. Aku terus mencari telefon itu kerana perasaan ingin tahu aku tinggi
ketika itu dan aku sangat menyesalinya sehingga kini. Pepatah inggeris menyatakan “curiosity
killed the cat” dan aku yang tidak mengetahui apa apa terus mencari telefon itu sehingga
ketemu. Aku terlihat video aneh yang tidak pernah kulihat sebelumnya. Aku dengan perasaan
ingin tahu ketika itu terus menonton video itu sehingga akhir. Ketika di akhir video itu, abang
saudaraku tiba tiba terjaga dan terus merampas telefon itu daripada tanganku. Aku yang sudah
muka mengenal dunia digital terus menekan butang homescreen sebelum saudaraku sempat
untuk mengambilnya. “Inara buat apa dengan phone abang ni?” Soal abang saudaraku. “Inara
nak kejutkan abang Zack la sebab maklong suruh. Inara masuk je nak tutup phone abang Zack,
terus abang Zack bangun” autaku. Aku tahu video yang aku tonton tadi tidak sepatutnya untuk
aku lihat. “Inara ada nampak apa apa ke?” soal abang Zack lagi inginkan kepastian. “Tak
sempat nak tengok pun phone abang Zack tu” bohongku. “Tak apa Inara keluar dulu, nanti
abang Zack bangun. Beritahu maklong abang Zack dah bangun tau” arah abang Zack kepadaku
dan aku hanya menurut. Selepas itu, aku menjalani hariku seperti biasa dan aku tidak terfikir
langsung tentang perkara itu sehinggalah aku pulang kerumah. Ketika itu, aku keseorangan
kerana kedua ibu bapaku kerja dan abangku bermain futsal. Jadi tinggallah aku sendirian. Tiba
tiba terlintas di kepalaku tentang video yang aku tonton ketika di kampung tempoh hari. Aku
dengan perasaan ingin tahu yang lebih tinggi, lantas aku mencari laman web yang aku sempat
lihat pada telefon abang Zack ketika itu. Pada awalnya, aku hanyalah menontonnya kerana
perasaan ingin tahu yang tinggi. Tetapi pada akhirnya, ianya telah menjadi kebiasaan untukku.
Menonton video sebegitu adalah menjadi ketagihanku. Aku tidak mampu untuk berfikir
tentang buruknya kelakuan itu kepadaku. Mula mula aku menontonnya hanyalah ketika
ketiadaan orang tuaku serta abangku dirumah. Akan tetapi, aku kian berani untuk menontonnya
ketika mereka berada dirumah. Aku sering mengurung diri di dalam bilik, berseorangan dan
aku membiarkan diriku hanyut di dalam lembah kemaksiatan. Menonton video pornografi
sangatlah tidak asing bagiku ketika itu. Aku langsung tidak memikirkan dosa yang akan aku
tanggung selepas itu. Setahun telah pun berlalu dan aku kini semakin galak menonton video
video seperti itu. Tiada sekalipun rasa ingin berubah pada ketika itu kerana perasaan ketika itu
bercampur baur. Pada suatu hari, sekolah aku mengadakan program yang bertajuk ‘Islam itu
mudah, jangan dibuat buat mudah dan jangan pula dibuat susah’. Sekolah aku menjemput
penceramah bebas untuk menyampaikan ceramah kepada seluruh warga sekolah. Penceramah
tersebut ada menyentuh soal keburukan menonton video pornografi dan aku agak terkesan
dengan semua itu. Salah satu kesan dan akibat menonton video lucah yang sangat terkesan
bagiku adalah hilang fokus ketika belajar dan dapat mematikan otak. Aku sedar pada ketika itu,
pelajaranku agak merosot dan ianya berpunca daripada ketagihanku menonton video lucah
tersebut dan daripada situ aku mencuba untuk keluar daripada semua ini. Aku bertekad untuk
berubah. Ketika aku pulang kerumah, seperti biasa dirumah itu hanya ada aku seorang sahaja
kerana ibu bapaku sibuk dengan pekerjaan mereka masing masing. Abangku pula keluar
bersama sama dengan rakannya. Ketika aku cuba untuk menahan diri daripada menonton video
tersebut, dugaan semakin banyak. Iklan di mana mana sahaja menunjukkan gambar gambar
yang tidak senonoh dan perasaanku rasa terganggu dengan perkara sebegitu. Aku ingin berubah
tetapi ada saja cabaran yang aku perlu hadapi. Aku ada cuba mencari bagaimana cara cara
untuk berhenti daripada melakukan perkara tersebut dan aku juga cuba untuk melakukan solat
taubat serta solat tahajjud untuk meminta maaf dan ampun daripada Allah SWT atas segala
perkara yang telah aku lakukan. Tetapi insafku hanyalah seketika. Apabila malam menjelma,
aku berasa ketagihan ingin menonton video sebegitu. Aku tidak berfikir panjang, terus aku
membuka laman web yang selalu aku tonton dan begitulah kehidupanku. Bertaubat, tetapi
melakukan hal yang sama atas alasan aku boleh bertaubat lagi, pintu taubat sentiasa terbuka,
dan bermacam macam lagi. Sehinggakan aku berasa penat untuk hidup seperti ini. Aku benar
benar ingin berubah dan aku tidak boleh terus menerus melakukan hal seperti ini. Aku tidak
boleh terus hidup dibelenggu kemaksiatan. Aku cuba meluahkan segala yang terbuku dihati
dengan seorang sahabat baikku yang bernama Nabila yang juga merupakan anak kepada salah
seorang ustazah yang mengajar disekolah kami. Aku berasa sangat malu ketika
menceritakannya dan aku seperti membuka aibku sendiri tetapi aku sejujurnya ingin berubah
dan tidak mahu lagi terjebak dengan pornografi. Barangkali aku boleh meminta nasihat
daripada rakan baikku. Nabila mendengar dengan penuh khusyuk dan agak terkejut pada
awalnya kerana aku tidak kelihatan sebegitu. Luranku tidak menampakkan aku seperti
ketagihan dengan video video lucah akan tetapi, aibku hanya Allah yang tahu dan sekarang aku
terpaksa menceritakan kepada rakan baikku untuk meminta pendapat dan nasihat. Nabila
berpesan kepadaku jika ingin melakukan hal sedemikian, pergilah ke tempat tempat yang ramai
manusia dan elakkan duduk bersendirian kerana ketika kita bersendirian, syaitan akan terus
menerus menghasut kita untuk melakukan kemungkaran kerana itu adalah kerja mereka, untuk
menyesatkan umat manusia. Nabila juga berpesan agar aku tidak berhenti melakukan solat
taubat dan banyakkan mengaji serta berzikir. Aku tahu bahawa doa adalah senjata umat islam
dan aku sememangnya selalu berdoa agar Allah SWT membantuku untuk berubah. Aku cuba
mengikuti apa yang disarankan oleh Nabila kepadaku dan alhamdulillah aku beransur ansur
untuk tinggalkan semua itu. Kini, aku berusia 19 tahun dan alhamdulillah dengan izin Allah
SWT dan juga bantuan daripada Nabila, aku berjaya keluar daripada lembah kemaksiatan
tersebut. Akhirnya aku berjaya menghadapi masa silamku yang sangat gelap bagiku dan aku
bertekad untuk tidak melakukannya lagi dan aku akan berusaha untuk menjadi hamba Allah
SWT yang taat pada perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
*gambar sekadar hiasan
to
Pagi ini tenang dan mendamaikan. Burung burung berkicau riang. Hanis menghirup
udara yang segar. Sambil itu matanya ralit memerhatikan keindahan alam ciptaan Tuhan.
Kedua belah telinganya disumbat dengan fon telinga. Sesekali badannya digerakkan mengikut
rentak lagu yang dimainkan.
Alwanie melangkah perlahan-lahan ke arahnya. Dia ingin mengejutkan Hanis yang
sedang leka itu. Penat sahaja dia menyuruh adiknya bangun pagi. Alih-alih adiknya cuma
duduk di taman itu.
“Arghhhh!” Hanis menjerit apabila terasa ada seseorang memegang bahunya. Lagu
yang sedang bermain segera dihentikan.
“Hahaha! Kelakarlah adik ni. Kenapa? Adik ingat lelaki ya yang buat macam tu?”
Alwanie ketawa sambil menekup mulutnya sesudah meluahkan pertanyaan.
“Apa akak ni? Nasib baik jantung adik sihat lagi.” Hanis mengurut-urut dadanya.
“Tulah, asyik dengar lagu dari tadi. Akak ajak adik datang sini untuk teman jogging,
bukannya lepak duduk je,” bibirnya dicebik sedikit.
“Huh? Apa-apa ajelah. Akak kejutkan adik bangun pagi sebab nak suruh teman akak
pergi jogging je kan. Bukannya akak suruh adik jogging. Kan lain maksudnya tu,” rungut
Hanis.
“Wah, bukan main lagi sekarang ya? Dah pandai merungut pula. Siapa yang ajar ni?”
Alwanie berpura-pura garang.
“Akak lah yang ajar, hahaha!” Hanis segera melarikan diri usai meghabiskan ayatnya.
Hanis tahu jika kakaknya dapat mengejar, pasti habis seluruh tubuhnya digeletek. Dia
mesti pulang dahulu ke rumah, sekurang-kurangnya dapat juga dia meminta pertolongan dari
ibu dan ayah. Alwanie hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya melihat telatah
adiknya.
“Macam budak kecil. Tapi takpalah asalkan bahagia,” Alwanie senyum sendiri sebelum
turut berlari menuju ke rumah.
****
“Fuhh, selamat!” Hanis melepaskan lelahnya setelah berjaya mengunci pintu bilik.
Jauh di sudut hati, Hanis tahu kakaknya itu berniat baik. Pasti seluruh ahli keluarga
yang lain juga sedang risau akan perubahan dirinya semenjak pandemik COVID-19 melanda.
Pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengembalikan dirinya agar ceria seperti dahulu.
Namun, masalah keyakinan diri memang sukar untuk dipulihkan jika tiada daya penolak yang
mampu mendorong ke arah kemajuan diri.
Siapa sangka semakin usia meningkat, semakin sukar untuk mencapai kejayaan. Jika
dahulu, bila berjaya tersenarai dalam sepuluh teratas yang cemerlang dalam peperiksaan, itu
sudah merupakan kejayaan yang cukup besar bagi seorang Hanis Alya. Kemudian berjaya
melanjutkan pelajaran ke menara gading merupakan pencapaian yang cukup dibanggakan
kerana tidak semua orang berkesempatan untuk menikmati peluang menyambung pelajaran di
peringkat tinggi. Setelah bergraduasi, haluan seterusnya pastilah untuk menceburi kerjaya yang
berkaitan dengan apa yang dipelajari. Namun, perkara itu tidaklah semudah yang difikirkan.
Masalah graduan yang terlalu ramai sudah lama menjadi beban di negara ini tetapi
masih belum ada penyelesaian yang benar-benar tepat untuk memastikan peluang pekerjaan
bagi setiap rakyat dapat disediakan. Ditambah pula dengan masalah pandemik yang tiba-tiba
sahaja melanda dunia, banyak syarikat terpaksa memberhentikan para pekerja lantas
menyukarkan lagi graduan baru untuk mendapatkan kerjaya yang diingini kerana perlu
bersaing dengan lebih ramai orang.
Maka tidak peliklah untuk Hanis semakin hilang semangat untuk mencapai cita-citanya
sehingga dia ‘menghilangkan’ diri supaya tiada rakan sesiapa dapat menghubunginya selain
keluarga terdekat untuk menjaga kesihatan mentalnya sendiri. Siapa yang sanggup seringkali
disoal tentang pekerjaan seolah-olah tidak pernah berusaha walhal tiada satu pun permohonan
yang berjaya. Sudahlah cita-cita semakin jauh dari gapaian, ada juga sesetengah orang kurang
mempunyai sifat empati. Maka, jalan terbaik ialah mengasingkan diri dari dunia luar agar tiada
yang akan berasa hati. Mujurlah hidup di zaman moden ini sudah banyak aplikasi media sosial,
sekurang-kurangnya tidaklah hidup seperti katak di bawah tempurung.
“Bosannya Twitter hari ini. Tak habis-habis isu sama dibincangkan. Macam tak ada
kerja selain bergaduh tentang perkara yang sama,” bebel Hanis sambil tangannya masih lagi
menatal skrin telefon pintarnya.
“Eh, kultus matahari? Apa pula ni? Takkan masih ada yang sembah matahari lagi
zaman sekarang.” Laju-laju Hanis klik untaian yang berjaya menarik perhatiannya.
Setelah selesai melakukan pembacaan melaui beberapa pautan yang disediakan dalam
untaian ditemuinya, Hanis seakan tertarik untuk mencari lebih banyak sumber dan mencuba
kaedah yang dipopularkan oleh Dr. Jack Kruse, seorang pakar bedah saraf di Amerika Syarikat.
Isi-isi penting dalam kaedah tersebut agak mudah untuk difahami kerana ia mengajak manusia
kembali kepada alam semulajadi dan fakta sains yang menyokong kaedah tersebut mudah
untuk dihadam Hanis kerana mempunyai kaitan dengan ijazah yang dimilikinya.
“Mungkin aku patut cuba berjemur ikut garis panduan dalam infografik ni. Mana tahu
menjadi. Cara pun takda lah rumit sangat cuma perlu berhenti ambil gula putih dan makanan
yang diproses. Oh, paling penting kena kurangkan penggunaan sinar biru. Okey ni memang
susah nak buat tapi takpa, kita kena cuba. Mana boleh mengalah sebelum mencuba,” bisik
Hanis.
Maka bermulalah perjalanan Hanis sebagai pengikut ‘ajaran’ Dr. Jack Kruse yang telah
disusun semula oleh Dr. Marina yang merupakan pengasas Kultus Matahari atau Sinanjung
Suria di Malaysia untuk disesuaikan dengan demografik tempatan. Setelah enam bulan
mengikuti modul tersebut, perubahan Hanis agak memberangsangkan dan disaksikan oleh
seluruh ahli keluarganya. Walaupun tidak selalu meluangkan masa untuk bersenam secara
konsisten, berat badan Hanis turun dengan cepat. Masalah kabut otak juga pulih kerana kini
pemikiran Hanis lebih jelas dan yang paling penting keyakinan dirinya juga semakin
meningkat.
Walaupun masih belum berjaya mendapatkan pekerjaan yang diidamkan, Hanis tidak
lagi sedih dengan keadaan itu dan cuba untuk menceburi bidang lain untuk sementara waktu.
Bagi Hanis, mungkin ini merupakan satu peringatan dari Tuhan bahawa kejayaan dalam hidup
tidaklah terhad kepada beberapa perkara sahaja. Hakikatnya, apa-apa sahaja boleh
diklasifikasikan sebagai kejayaan sekiranya ia memberi nilai tambah dalam kehidupan kita.
Akhirnya, Hanis menyedari betapa menghargai sekecil-kecil nikmat diperoleh juga merupakan
satu kejayaan dalam hidup.
“AKHIRNYA AKU BERJAYA”
Alkisah ini bermula dengan seorang pemuda kampung yang diberi nama Mazlan. Dia berumur
19 tahun yang hanya memiliki lepasan sijil SPM sahaja. Dia tinggal bersama ibunya dan
mengusahakan ladang kelapa milik arwah bapanya.
“Lan, ini duit kelapanya,” ujar Abang Ramlee sambil menghulurkan wang kepada Mazlan.
“Hah, terima kasih Bang Ram,” balas ujaran Mazlan kepada Abang Ramlee sambil menyambut
wang yang dihulurkan olehnya.
“Banyak betul abang borong kelapa,” kata Mazlan kepada Abang Ramlee.
“Abang jual dekat pasar. Ramai yang nak beli buah kelapa, Sebenarnya Lan, Aku betul-betul
kagum dengan kau,” ucap Abang Ramlee.
“Kagum?” balas Mazlan.
Riak wajah yang terkejut terukir di wajah Mazlan kerana dia hairan dengan kata ‘kagum’ yang
dilontarkan oleh Abang Ramlee. Mazlan pula menyambung katanya dengan nada yang
perlahan kepada Abang Ramlee bahawa dia bukanlah orang yang terkenal kerana dia sedar
bahawa dia hanya bekerja di ladang kelapa sahaja.
“Abang maksudkan anak muda sekarang ni lebih suka bekerja di bandar sebab nak gaji lebih.
Tak ramai macam kamu yang bekerja di ladang ni,” jelas Abang Ramlee.
Terukir senyuman kecil di wajah Mazlan.
“Oh, faham. Saya ingatkan apa tadi. Bagi pandangan saya, masing-masing mempunyai halatuju
dalam hidup ni. Lagipun bang, saya selesa bekerja dekat ladang milik arwah ayah saya ni,” ujar
Mazlan.
“Okeylah tu, Lan. Yang penting rezeki yang kau peroleh tu halal. Syok sangat berborak sampai
terlupa janji abang dengan client. Abang minta diri dulu ya sebab nak hantar kelapa dekat pasar.
Assalamualaikum,” ucap Abang Ramlee kepada Mazlan.
“Waalaikumussalam,” balas Mazlan salam dari Abang Ramlee sambil menganggukkan
kepalanya.
Tengah hari sudah menjelang, tiba masanya untuk dia pulang ke rumah. Cuaca pada hari ini
sangat panas. Jadi, dia membuat keputusan untuk singgah di Warung Pak Haji bagi
menghilangkan dahaganya dengan membuat pesanan air Milo ais.
“Kau dari kebun kelapa ke, Lan?” tanya anak Pak Haji, Amir kepada Mazlan sambil
menghulurkan air Milo ais.
“Ya!” balas Mazlan sambil menganggukkan kepalanya.
“Kau tak bosan ke Lan asyik kerja dekat kebun tu?” tanya Amir.
Sebaliknya, Mazlan hanya membisukan diri sahaja sambil minum air Milo ais.
“Dah rezeki aku dekat ladang tu, Mir. Lagipun, aku pun senang kerja dekat ladang kelapa tu.
Alhamdulillah. Banyak jugak hasil yang aku dapat,” kata Mazlan.
“Yelah. Maksud aku, takkan sampai ke tua kau nak kerja dekat ladang tu. Lagipun, banyak
mana je yang kau dapat. Kau kena fikir jugak fasal masa depan kau,” balas Amir.
Lagi sekali, Mazlan hanya mendiamkan diri selepas perbualan tersebut. Di samping itu,
terjentiknya niat buruk di hati Amir dengan merancang untuk mengenakan Mazlan iaitu
menemukan Mazlan dengan satu agensi.
“Lan. Aku kenal satu agensi ni. Kau cuba melabur dekat agensi ni. Nanti, dia akan tolong
luaskan perniagaan ladang kau. Nak tak?” tanya Amir kepada Mazlan.
Pada awalnya, Mazlan menolak tawaran Amir kerana pengetahuannya yang cetek. Tetapi,
Amir tidak putus asa dengan rancangan jahatnya. Jadi, dia memaksa Mazlan untuk berjumpa
dengan agensi tersebut terlebih dahulu dan baru membuat keputusan. Lalu, Mazlan pun
menganggukkan kepalanya tanda setuju dengan cadangan Amir. Secara tak langsung,
senyuman sinis terukir di wajah Amir tanda rancangannya berjaya selepas Mazlan
meninggalkan Warung Pak Haji.
Angin bertiup perlahan. Suasananya bagai angin meniup lembut. Irama yang sungguh
menghiburkan jiwa apabila daun-daun bergeseran antara satu sama lain. Akhirnya, Mazlan tiba
di tempat kediamannya dengan selamat. Sebelum memasuki rumah, dia mencedok air di dalam
tempayan untuk membasuh kakinya dengan menggunakan batok.
“Lambat kau balik hari ni, Lan,” tegur ibunya sebaik sahaja Mazlan memasuki rumah.
“Tadi singgah dekat Warung Pak Haji,” ujar Mazlan.
“Oh. Jadi, macam mana dengan ladang kita tu?” soal ibunya.
“Alhamdulillah, ibu. Banyak tadi Abang Ramlee borong kelapa. Katanya nak jual dekat
pelanggannya dekat pasar tu,” kata Mazlan.
“Syukur alhamdulillah. Rezeki hari ini. Hah, pergilah mandi, Lan. Lepas solat Zohor nanti
boleh makan sama-sama nanti,” jelas ibunya.
“Baiklah, ibu,” balas Mazlan dengan senyuman yang manis sambil menganggukkan kepalanya.
Beberapa hari kemudian, bermulalah rancangan Amir bersama rakan subahatnya untuk menipu
Mazlan. Pada ketika itu, Mazlan berada di perkarangan rumah sambil menikmati air kelapa
yang sejuk disebabkan cuaca yang panas terik. Kemudian, dia mulai perasan bahawa sebuah
kereta mewah memasuki halaman rumahnya. Pada awalnya, dia tidak mengetahui wajah-wajah
di sebalik tingkap kaca hitam kereta tersebut. Rupa-rupanya Amir dan rakannya iaitu orang
daripada agensi yang diperkatakan oleh Amir. Amir pun memperkenalkan rakannya kepada
Mazlan Selesainya sesi perkenalan, mereka terus berbincang di perkarangan rumah.
Akhirnya, Mazlan pun terhasut dengan kata-kata Amir dan rakannya. Jadi, Mazlan pun
memberi wang sejumlah sebanyak RM 10 000 kepada mereka tanda perjanjian yang telah
dipersetujukan. Amir dan rakan subahatnya mendabik dada atas rancangan jahat mereka berdua
berjaya. Selepas kejadian tersebut, Mazlan menunggu mereka berdua untuk datang kembali.
Tiga hari menjadi seminggu, seminggu menjadi dua minggu. Tetap mereka tidak kembali.
Malah, Mazlan baru sedar bahawa dia telah ditipu oleh mereka.
Rentetan itu, Mazlan berasa kesal kerana mempercayai mereka. Lagi membuat dia kesal
apabila dia tidak memberitahu ibunya tentang perkara tersebut. Jadi, dia membuat keputusan
untuk memberitahu ibunya. Dia memanggil ibunya di perkarangan rumah untuk memberi
perkara sebenar. Setitis air mata mengalir keluar dimata ibunya apabila ibunya mengetahui
perkara sebenar. Ia betul-betul menikam sanubari ibunya. Akan tetapi, perasaan ibunya tidak
kekal lama malah hanya menasihati Mazlan.
Pada waktu itu, Abang Ramlee datang untuk berjumpa dengan Mazlan.
“Assalamulaikum,” ucap Abang Ramlee.
“Waalaikumussalam.” jawab Mazlan dan ibunya secara serentak.
“Hah! Ada apa Ramlee?” soal ibu Mazlan.
“Ouh. Aku datang nak borong kelapa. Ramai customer nak order kelapa dekat pasar tu.” kata
Abang Ramlee.
“Alhamdulillah, rezeki,” jawab ibu Mazlan.
Sebenarnya, Abang Ramlee sedar dari awal lagi bahawa Mazlan dan ibunya kelihatan sedih
dan kesal di wajah mereka berdua. Itu membuatkan Abang Ramlee berasa kesian dan tertanya-
tanya mengapa mereka kelihatan sedih. Dengan rasa ingin tahu yang membuak, dia pun
bertanya kepada mereka. Setelah mengetahui perkara sebenar, Abang Ramlee berasa kesal
terhadap mereka. Jadi, dia membuat keputusan untuk membantu Mazlan supaya menjadi
pengusaha ladang yang berjaya.
“Okay, macam ni, Lan. Kau cuba sertai kursus perniagaan ni. Ramai kawan-kawan abang
berjaya sebab join kursus ini. Semua perbelanjaan, abang tanggung,” cadang Abang Ramlee
kepada Mazlan.
“Betul ke ni, Ramlee?” soal ibu Mazlan.
“Betul makcik. Ramai berjaya. Kursus ni ajar cara-cara mengembangkan perniagaan dalam
pasaran dan macam-macam lagi,”
“Alhamdulillah, Lan. Abang Ramlee tolong kita. InshaAllah Lan, mana tahu rezeki kau
bermula dari sini,” ujar ibunya.
Pada awalnya, riak wajah yang terkejut terpancar di wajah Mazlan disebabkan kesudian Abang
Ramlee dalam membantu Mazlan sepanjang kursus tersebut. Dia berasa terharu sangat
sehinggakan Mazlan memeluk Abang Ramlee. Mazlan berjanji kepada Abang Ramlee bahawa
dia tidak akan sia-siakan peluang ini. Dia juga mempercayai dengan peribahasa ‘Jika tidak
dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.’
Selepas beberapa bulan, Mazlan berjaya menubuhkan syarikatnya sendiri yang bernama
MINERVA Sdn Bhd. Kejayaan Mazlan dibuktikan menerusi keupayaannya memanifestasikan
fikirannya yang diperoleh daripada kursus yang dia sertai. Dia bersyukur sangat dengan
kejayaan yang dia peroleh serta Abang Ramlee juga yang telah banyak menghulurkan bantuan
demi melihat Mazlan berjaya. Dia juga bersyukur kepada Tuhan Maha Pencipta kerana jika
ketiadaan-NYA, siapakah dia serta doa-doa yang dilafazkan oleh ibunya.
Muhammad Najmi Bin Zulkafli
AKHIRNYA AKU BERJAYA
Ahmad adalah seorang jejaka yang baik. Dia berumur 17 tahun dan tinggal bersama keluarga
yang hidup sederhana. Namun Ahmad tetap bersyukur atas nikmat yang telah diberikan oleh
Allah s.w.t kepadanya. Ahmad adalah seorang anak tunggal yang sering mendengar kata ibu
bapanya. Dia tidak pernah melawan kerana dia tahu bahawa perbuatan itu adalah dosa.
Ahmad adalah seorang yang mementingkan pelajaran. Pada tahun ini, dia akan
menghadapai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Oleh itu, Ahmad berazam untuk mencapai
kejayaan 8A dalam SPM. Dia tidak ingin mengecewakan kedua ibu bapanya yang telah
mendidiknya sejak kecil lagi.
“Ahmad, kamu belajarlah bersungguh-sungguh nak, Tanamkan azam dalam diri
kamu untuk mencapai kejayaan lapan A dalam SPM”. Pesan ibunya.
“Insyallah ibu, Ahmad akan belajar bersungguh-sungguh. Ahmad tidak akan
mengecewakan ibu dan ayah” janji Ahmad kepada ibunya.
Di sekolah, Ahmad mempunyai ramai teman. Mereka sering membuat perbincangan
tentang pelajaran. Mereka sentiasa bersikap serius ketika guru sedang mengajar kerana mereka
tahu bahawa sekiranya mereka tidak serius ketika guru sedang mengajar mereka tidak dapat
menumpukan sepenuh perhatian dalam pelajaran.
“Baiklah pelajar-pelajar, dua minggu lagi kamu semua akan menghadapi Pra SPM.
Saya harap kamu sudah membuat persediaan yang secukupnya untuk peperiksaan tersebut dan
tolong ingat pesan saya, usaha adalah tangga kejayaan. Jadi kamu semua berusahalah
bersungguh-sungguh. Jangan kecewakan kedua ibubapa yang telah mendidik dan menjaga
kamu sejak kecil”. Kata cikgu Razak kepada Ahmad dan rakan-rakan sekelasnya.
Sejak itu, Ahmad dan rakan sekelasnya yang lain mula membuat persediaan untuk
peperiksaan yang akal menjelang. Mereka sering membuat perbincangan bersama di dalam
kelas. Cikgu Razak juga sering membuat kelas tuisyen untuk mereka demi kejayaan mereka
bersama.
“Saya tidak mahu kamu semua gagal dalam peperiksaan ini. Saya mahu kamu semua
berjaya dan kerana itulah saya sanggup korbankan masa untuk kamu semua dengan
mengadakan kelas tuisyen”. Kata cikgu Razak kepada anak-anak murid yang disayanginya.
Akhirnya, Pra SPM telah pun berlalu. Keputusan juga telah diberikan, semua rakan
Ahmad telah lulus dalam peperiksaan tersebut tetapi Ahmad berasa terkejut dengan keputusan
yang diperolehnya. Dia benar-benar tidak menduga dengan keputusan yang diperoleh dari Pra
SPM tersebut. Ahmad berasa sangat sedih. Dia telah mengecewakan kedua ibu bapanya dengan
begitu juga dengan cikgu Razak.
“Ya, Allah apakah ini satu ujian untukku?. Ya Allah, sesungguhnya aku telah
berusaha dengan bersungguh-sungguh, tetapi mangapa aku gagal?. Astaghfirullahalazim. Ya
Allah, engkau tenangkanlah hatiku dan berikan aku kekuatan. Jauhilah aku dari sifat berputus
asa”, Doa Ahmad dalam hati sambil menangis.
“Ahmad, awak janganlah bersedih. Awak kena terima semua ini dengan hati yang
tenang, Ahmad. Awak tidak boleh salahkan takdir. Ini semua ujian dari Allah. Dia nak awak
terus berusaha untuk mencapai kejayaan. Masih belum terlambat lagi”. Kata cikgu Razak
kepada Ahmad.
“Saya faham cikgu, tapi saya dah kecewakan ibu dan ayah. Saya tak sanggup hendak
tunjukkan keputusan saya kepada mereka. Tentunya mereka akan memarahi saya nanti, kan
cikgu?”, jawab Ahmad.
“Ahmad, tak baik awak berkata begitu. Setiap ibu bapa tidak akan pernah membenci
anaknya sendiri. Awak perlu yakin bahawa awak pasti akan berjaya”, tambah cikgu Razak
kepada Ahmad.
“Baiklah cikgu, mulai saat ini, saya akan berusaha lagi dengan lebih bersungguh-
sungguh untuk berjaya dalam SPM yang bakal saya dan rakan-rakan hadapi tidak lama lagi”,
jawab Ahmad.
Sebaik sahaja tiba di rumah, Ahmad terus menangis di pangkuan ibunya. Dia tidak
sanggup untuk memberitahu keputusan peperiksaan kepada ibu dan ayahnya.
“Kenapa ni sayang?”, tanya ibunya.
“Ibu, maafkan Ahmad yang telah kecewakan ibu dan ayah, maafkan Ahmad” jawab
Ahmad sambil menangis.
“Sayang, itu semua adalah takdir Allah. Tidak mengapalah nak, gagal tidak bererti
akan gagal untuk selamanya. Ibu harap dalam SPM sebenarnya nanti kamu akan mencapai
kejayaan yang kamu inginkan selama ini”, kata ibunnya.
“Ibu, Ahmad janji, Ahmad akan buktikan kepada ibu dan ayah yang Ahmad boleh
berjaya”, kata Ahmad.
Semenjak itu, Ahmad sering membuat latihan tambahan di rumah. Ibunya sering
memberikan sokongan dan dorongan kepadanya. Ahmad juga sering bertanya kepada guru
sekiranya dia tidak memahami sesuatu tajuk. Ahmad tidak pernah berhenti membuat latihan.
Dia tetap berusaha bersungguh-sungguh. Ahmad tidak pernah jemu membuat latihan kerana
dia tahu bahawa dengan membuat latihan, dia akan dapat mengukuhkan lagi kefahaman
terhadap sesuatu mata pelajaran.
Pada suatu pagi di dalam bilik darjah tiga Irsyad, selepas loceng masa ke-4 yang
menandakan waktu rehat bagi semua pelajar menengah rendah. Kelihatan rakan-rakan kelas
Ahmad bergegas keluar kelas untuk menjamu selera di kantin sekolah. Suasana mula hiruk-
pikuk dengan suara pelajar-pelajar yang tidak sabar dengan urusan masing-masing.
“Ahmad, aku cukup bangga dengan engkau. Walaupun kau gagal dalam Pra SPM
namun kau tidak pernah berputus asa. Malah engkau terus berusaha bagi mencapai kejayaan
yang sudah lama diidamkan itu”, kata Syakir teman baik Ahmad kepadanya.
“Aku tidak akan pernah putus asa. Aku tak nak kecewakan ibu dan ayah aku lagi.
Aku nak buktikan kepada mereka yang aku akan berjaya”, kata Ahmad kepada Syakir.
Sebulan selepas peristiwa itu, esok merupakan hari penting bagi Ahmad bersama
rakan-rakan sekelasnya. Mereka akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia.
“Ya Allah, engkau berkatilah segala usaha yang telah aku lakukan. Berikan kejayaan
kepadaku Ya Allah” Doa Ahmad dalam solat subuhnya pagi itu. Selesai memakai pakaian
seragam sekolah, Ahmad terus menuju ke dapur rumah untuk bersarapan bersama ayah dan
ibunya. Ahmad terus duduk di meja makan bersebelahan dengan ibunya. Mereka berpesan agar
Ahmad sentiasa fokus dalam menjawab soalan-soalan SPM nanti.
Akhirnya, selepas seminggu SPM telah pun berlalu. Ahmad dan rakan-rakannya
berasa cukup lega kerana mereka telah pun menghadapi ujian yang penting. Mereka telah pun
berusaha dengan bersungguh-sungguh. Kini mereka hanya mampu bertawwakal kepada Allah
supaya mereka mendapat kejayaan yang cemerlang dalam SPM.
Kira-kira tiga bulan selepas mereka menduduki SPM, keputusan SPM akan
diumumkan. Seramai 30 orang pelajar SMK. Dato’ Haji Sail telah berjaya mendapat keputusan
cemerlang. Kesemua mereka berjaya mendapat keputusan 8A. Dia tidak menyangka bahawa
dia telah berjaya mendapat keputusan cemerlang 8A. Ahmad berasa sangat gembira, segala
usahanya yang telah dilakukannya selama ini tidak sia-sia.
“Ya Allah, aku benar-benar bersyukur kepadaMu, terima kasih Ya Allah”, doa
Ahmad.
Ahmad pulang dengan penuh perasaan gembira. Dia ingin berkongsi
kegembiraannya bersama ibu dan ayahnya.
“Ibu! Ayah! Ahmad dah berjaya. Ahmad telah mendapat kejayaan yang Ahmad
inginkan”, jerit Ahmad sekuat hati tanda gembira. Ibu dan ayahnya keluar setelah mendengar
jeritan Ahmad.
“Alhamdulilah, akhirnya anak ibu dah berjaya”, luah hati ibu sambil memandang
tepat kepada wajah suaminya.
“Ibu! Ayah!, Ahmad dah berjaya, Ahmad dah buktikan kepada ibu dan ayah”, kata
Ahmad kepada kedua ibu dan ayahnya.
“Ya nak, kamu telah berjaya. Jadi selepas ini kamu akan melanjutkan pelajaran di
sekolah berasrama penuh”, kata ayahnya pula. Ahmad dan ibunya tersenyum mendengar kata
ayahnya.
Akhirnya, Ahmad telah berjaya melanjutkan pelajaran di sekolah berasrama penuh
di Universiti Teknologi MARA. Ibu dan ayahnya berbangga dengannya kerana walaupun dia
pernah gagal dalam Pra SPM, namun dia tidak pernah berputus asa. Ahmad tetap terus berusaha
demi kejayaan. Bak kata pepatah “nak seribu daya, tak nak seribu dalih”. Mereka tidak
menyangka anak mereka yang selama ini mereka didik telah berjaya dengan cemerlang dalam
SPM. Mereka sentiasa mendoakan agar Ahmad terus berjaya dalam kehidupannya kelak.
ZIKRI
AKHIRNYA AKU BERJAYA
“Fatin!” jerit Cikgu Maimunah apabila melihat anak muridnya masih berada di luar kelas
ketika sesi pengajaran dan pembelajaran sudah bermula. Siapa sahaja yang tidak mengenali
Fatin, gadis bertubuh kecil, rambut ikal mayang dan sering melakukan pelbagai masalah.
Kenakalan yang dilakukan olehnya sentiasa membuat orang disekelilingnya tidak keruan.
“Ring, ring, ring, ring...” kedengaran bunyi siren kebakaran bergema di kawasan sekolah.
“Keluar! Keluar! Semua keluar! Pergi ke tempat berkumpul kecemasan sekarang!” Cikgu
Ali berteriak kepada semua pelajar yang sedang berlumba-lumba menuruni anak tangga.
Semua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Murni berkumpul di bawah sinaran
matahari yang berdiri tegak di atas kepala sambil menunggu pihak bomba tiba di kawasan
perhimpunan.
“Cikgu! Kelas kami tak cukup seorang!” kata Muaz selaku ketua kelas 5 Petronas dan juga
rakan sekelas Fatin. Fatin yang tidak memasuki kelas selepas rehat tengah hari tidak lagi
kelihatan di barisan kelasnya. Cikgu Maimunah menegaskan bahawa dia ternampak susuk
tubuh Fatin di belakang makmal sains setelah sesi rehat selesai. Namun, Cikgu Maimunah
gagal untuk mengejar Fatin yang laju menghilangkan diri disebalik blok-blok sekolah.
Setelah pihak bomba selesai melakukan pemeriksaan, terdapat kebakaran di makmal sains
atas sebab penyalahgunaan penunu bunsen. Pihak bomba juga menjumpai seorang pelajar
yang terperangkap di dalam makmal sains. Kelihatan Fatin yang berjalan dengan muka yang
meminta belas kasihan agar tidak dihukum hanya mampu membuat semua orang mengeluh.
Tidak hairan lagi jika susuk tubuh kecil itu yang melakukan masalah.
“Saya cuma mahu mencuba eksperimen yang sedang viral sekarang, tidak tahu pula akan
jadi sampai macam ni,” kata Fatin dengan suara yang memohon belas kasihan sambil muka
dicemekkan dan memandang ke arah pengetua sekolah. Tanpa berfikir panjang, pengetua pun
meminta semua pelajar untuk masuk ke dalam kelas dan meneruskan pelajaran seperti biasa.
Manakala, Fatin pula diminta untuk masuk ke bilik disiplin untuk tindakan yang selanjutnya.
Ya tuhan, penat sungguh hari ini, gumam Cikgu Hamzah sendirian sambil mengeluh kesal
dengan kelakuan Fatin sebentar tadi. “Kamu ada percubaan dua bulan lagi betul?” tanyanya
kepada Fatin. Anggukan Fatin itu membuat Cikgu Hamzah tahu bahawa anak muridnya itu
sedang dalam ketakukan akan hukuman yang bakal menimpanya nanti. Fatin yang nakal itu
tidak pernah lagi dihukum dengan hukuman yang berat kerana kenakalan yang dibuat tidak
setanding dengan apa yang terjadi sebentar tadi. Walaupun kenakalannya itu membuatkan
orang disekelilingnya tidak keruan, dia ialah seorang pelajar yang sering prihatin terhadap
rakan-rakan dan guru-gurunya ketika dalam kesusahan. Hanya kerana keluarganya yang tidak
mampu memberikan kasih sayang yang sempurna kepadanya, Fatin cuba melakukan perkara-
perkara yang boleh mendapatkan perhatian agar dirinya tidak berasa keseorangan.
“Kalau macam itu, saya lepaskan awak, tapi dengan satu syarat.” Kata Cikgu Hamzah
kepada Fatin. Terlopong mulut Fatin dibuatnya. Tak pernah Cikgu Hamzah baik begini,
gumam Fatin di dalam hati. Menghiraukan kekeliruan Fatin, Cikgu Hamzah pun
mengemukakan syaratnya. Dengan hati yang berat, Fatin menerima syarat itu dan berharap
kes ini akan berakhir sampai di sini sahaja.
Sebaik sahaja dia keluar dari pintu bilik yang digeruni oleh semua pelajar itu, susuk tubuh
gadis yang berkulit sawo matang dan tinggi lampai menerjah di hadapan mukanya. “Hei
Fatin! Macam mana tadi?” kata Alya. Sejurus soalan itu didengari di telinganya, Fatin seraya
menarik keluhan berat kerana dia tahu gadis itu bakal memberinya seribu satu soalan.
“Macam biasalah kena buat kerja kebajikan”. Pantas Alya menepuk tangan kerana dia sangat
teruja apabila Fatin tidak dikenakan hukuman yang berat. “Tapi ada syarat...”. Kata Fatin
sambil berlalu pergi dan membiarkan Alya melopong keseorangan. “Apa syaratnya?” jerit
Alya di kaki lima itu sambil terkinja-kinja ingin tahu. “Tunggu dan lihatlah.” Dan susuk
tubuh Fatin pun lenyap dari mata Alya.
Termenung ke luar jendela dengan khusyuknya membuatkan Fatin terkejut apabila rakan-
rakan karibnya menerjah dari belakang. Sudah di agak, Alya pasti memberitahu rakannya
yang lain berkaitan hukuman tersebut. Setelah dipujuk beribu kali dengan pujukan yang dapat
meluruhkan hati, Fatin akhirnya memberitahu bahawa syaratnya adalah dia perlu membuat
semua orang tersenyum dan bangga terhadapnya dengan cara, dia perlu mengetuai majlis hari
guru dan sambutan hari raya. Melopong mulut rakan karibnya apabila perkataan mengetuai
itu didengari di kuping mereka. Bukan mereka tidak tahu, yang Fatin itu tidak pernah sesekali
mewakilkan dirinya dalam apa sekalipun acara apatah lagi mengetuai sesuatu program.
Hari semakin hari berlalu pergi, Fatin yang resah gelisah kerana dia risau akan
perancangannya terhadap program-program tersebut akan ditolak secara mentah-mentah oleh
ketua pengawas sekolah. Bukannya dia tidak tahu bahawa ketua pengawas yang bernama
Rohaizat itu sangat membencinya. Namun demi untuk menyakinkan kepada semua orang
bahawa dia sedar atas kesalahannya, dia gagahkan juga dirinya untuk berkompromi bersama
Rohaizat. Rohaizat menjemputnya ke bilik pengawas untuk membincangkan hal tersebut.
Tidak disangka-sangka Rohaizat terima pandangannya itu tanpa membantah satu hal
sekalipun. “Izat, kau pasti ke tiada apa yang nak bantah?” soal Fatin ragu-ragu. Izat
menjawab dengan tenang, bahawa dia pasti akan terima apa sekali pandangan yang dia dapat
jika ia sangat relevan. Maka, Fatin pun menarik nafas lega, tuhan sahaja tahu bagaimana
perasaanya ketika itu.
Maka sambutan hari guru yang disambut bersama sambutan hari raya telah tiba. Suasana pagi
yang dingin bersama bunyi burung yang berkicauan mengiringi langkah kakinya yang
ketakutan dan fikirannya yang penuh dengan segala kemungkinan yang dia takut bakal
terjadi. “Fatin, semoga berjaya, aku tahu kau mampu lakukan semua ini. Tenang Fatin hari
ini sahaja, lepas ini kau akan terlepas dari segalanya.” Nasihat Izat yang diberi ketika dia
melangkahkan kaki di pintu masuk sekolah terngiang-ngiang di kuping telinganya. Fatin
hanya tawakal kepada Ilahi setelah pelbagai usaha telah diberikannya.
Semasa upacara perasmian berlangsung, tiba masanya untuk gimik yang mendebarkan hati
Fatin. Aku harap semuanya berjalan dengan lancar, resah Fatin dalam hatinya. Gimik yang
telah memakan beberapa minggu dan peluh keringat beberapa orang pelajar yang dipaksa
Fatin untuk menolongnya. Selang beberapa minit, majlis dirasmikan oleh pengetua SMK Seri
Murni, En. Md Arif Wan Samsudin.
Sambutan hari guru yang bertemakan “Disney Wonderland” itu membuatkan guru-guru
berasa teruja kerana dapat mengenakan pelbagai kostum watak Disney, sekaligus menaikkan
keterujaan warga SMK Seri Murni. Gelak tawa mereka mengisi ruang Dewan Syahbandar
ketika guru-guru melangkahkan kaki ke dalam dewan. Usai sahaja upacara perasmian, secara
tiba-tiba lampu terpadam. Keadaan dewan menjadi gelap-gelita, membuatkan setiap individu
terperanjat dan kedengaran juga bunyi jeritan perlahan daripada para pelajar. Dalam
kegusaran warga SMK Seri Murni, dewan tersebut dihiasi dengan fairy lights yang kini
menyinari suasana. Sedang mereka asyik mengamati lampu berwarna kuning itu, tiba-tiba
salji palsu turun menutupi lantai dewan. Kemudian, lampu LED memancarkan projektor
filem berbentuk kepingan salji dan keindahan bima sakti, serta dihiasi langit malam yang
berselimutkan bintang.
Melihat keterujaan warga SMK Seri Murni, Fatin berasa lega apabila upacara perasmian dan
gimik berlangsung dengan jayanya. Suasana dewan bertukar meriah dengan tepukan gemuruh
oleh setiap penghuni dewan. Gimik diakhiri dengan pengacara majlis yang meneruskan
upacara sambutan hari guru. Setelah sambutan hari guru selesai, Fatin dikerumuni oleh rakan
–rakannya yang menumpang bangga akan kelancaran program sulungnya itu. Fatin! panggil
Cikgu Hamzah. Fatin mengalihkan pandangannya kearah gerangan suara. Kelihatan Cikgu
Hamzah tersenyum bangga akan kejayaan majlis. Mata Fatin menakung air matanya yang
ditahan agar tidak jatuh membasahi pipi. Fatin kini faham akan pengajaran yang diajar oleh
Cikgu Hamzah yang ingin mengajarnya cara yang betul untuk menarik perhatian orang selain
menimbulkan masalah. Akhirnya aku berjaya membanggakan guruku, bisik hati kecil Fatin
dengan bangga.
CERPEN :
AKHIRNYA AKU BERJAYA
OLEH : NURUL FATIHAH BINTI ABU HASSAN
MAC1104F (2020882622)
AKHIRNYA AKU BERJAYA
Jeritan kegembiraan dapat didengari tatkala kaki menjejaki kawasan
perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Undang Haji Adnan. Pelajar-
pelajar tingkatan lima berpusu-pusu keluar dari dewan peperiksaan dengan pelbagai
reaksi muka. Sedih,Gembira. Namun,apa yang pasti, perasaan lega mengatasi apa jua
emosi yang dirasai. Hal ini kerana hari ini merupakan hari terakhir bagi peperiksaan Sijil
Pelajaran Malaysia yang merupakan titik permulaan bagi setiap pelajar untuk
melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi. Ada yang berpelukan berkongsi
memori selama lima tahun di situ. Ada yang merungut membincangkan soalan yang
dijawab sebentar tadi. Ada yang tertawa sambil membahaskan kehidupan yang bakal
dilalui mereka. Situasi yang ditonton seorang tua bernama Shahrin Nabil itu
mengundang senyuman di wajahnya yang berkedut dek usia tua. Dia dapat merasakan
bahagian pipinya terasa kejang akibat senyuman yang tak lekang sejak dia berada di situ.
Pelbagai fikiran mula menerjah mindanya. Perlahan-lahan senyuman di wajahnya pudar.
Melihat suasana tersebut membuatkan hatinya mula membuahkan perasaan yang
bercampur baur. Perasaan yang membuatkan dirinya ingin mengulang kembali masa
lalunya hanya kerana satu sebab.
“Ayah..?”Suara tersebut membuatkan Shahrin menoleh ke belakang.Seorang lelaki
berkemeja putih dan berseluar hitam serta berkaca mata sambil memegang sekotak
kertas memandang Shahrin tepat di matanya.Mata Shahrin seterusnya melirik ke tag
nama yang terlekat kemas di bahagian kiri dada pemuda tersebut.Hazim.Anak bongsu
Shahrin yang kini baru memulakan kerjayanya sebagai seorang guru di sekolah tersebut.
“Ayah buat apa dekat sini?”sambung Hazim selepas panggilannya tidak disahut
Shahrin. “Ayah bosan lah duduk dekat rumah.Saja nak tengok budak-budak ni habis
exam. Seronok” jawab Shahrin sambil tersengih menampakkan lompong-lompong
kosong giginya.
Hazim jalan melepasi ayahnya untuk menuju ke keretanya.Pintu belakang keretanya
dibuka kemudian kotak yang dipenuhi dengan kertas itu diletak dengan kemas.Wajahnya
kembali fokus menghadap Shahrin.Satu keluhan keluar dari mulutnya.Tangan kanannya
diangkat mengurut dahinya.
“Hazim bukan tak suka ayah asyik datang sini.Lagi-lagi bila ayah datang sini
jalan kaki.Dengan panasnya lagi..Hazim risau lah ayah..”ujarnya.
Shahrin tertawa kecil mendengar luahan hati anaknya itu.
“Tak ada benda nak dirisaukannya,Ayah ni memanglah nampak tua,tapi jiwa ini
tetap muda!”balas Shahrin sambil menepuk-nepuk dadanya.
Hazim tersenyum sambil menggelengkan kepalanya.
“Lagipun,ayah datang sini sebab rasa rindu.Rindu nak sekolah,rindu nak jumpa
kawan-kawan.Jadi,ini jelah caranya nak lepas perasaan”sambung Shahrin sambil
melihat kembali ke perkarangan sekolah yang kini semakin berkurangan jumlah
pelajarnya.Hazim memeluk ayahnya dari tepi.
“Jom balik,ayah? Nanti kita singgah mana-mana kedai untuk makan,okay?”ujar
Hazim kemudian dibalas dengan anggukan daripada Shahrin.
Shahrin mula mengorak langkah memasuki kereta anaknya itu sebelum kereta
tersebut mula bergerak meninggalkan kawasan sekolah tersebut.Shahrin memandang ke
luar tingkap menghayati pemandangan luar.Tanpa disedari,mindanya mula membuka
kisah silam yang cuba dibuang sekian lama.Detik demi detik kisahnya mula berputar
kembali di dalam benak fikirannya.
-Tahun 1980-
“SHAHRIN!!!!”
Shahrin mengangkat kepalanya apabila mendengar teriakan namanya.Dari jauh
dia melihat rakan karibnya,Adlan berlari mendekatinya.Wajah Shahrin berkerut melihat
reaksi Adlan yang terlalu teruja.
“Kau kenapa?Menang loteri ke?”seloroh Shahrin.
Pertanyaan mengarut Shahrin dibalas dengan tepukan yang kuat di belakangnya
menyebabkan Shahrin mengadu kesakitan.
“Banyak lah kau.Cuba jangan fikir benda mengarut je.”ujar Adlan.Shahrin
tertawa mendengar kata Adlan.“Habis tu?Apa yang suka sangat ni?”tanya Shahrin
kembali.Adlan tersengih sambil bermain dengan jarinya.
“Kasih”jawabnya.Kening Shahrin bercantum.“Kenapa dengan Kasih?”ujar
Shahrin kurang jelas dengan jawapan sahabatnya itu.“Kasih..Dia setuju nak keluar
dengan aku hujung minggu ni!Kau lupa ke yang aku berhasrat nak jadikan dia teman
wanita aku?”tanya Adlan sambil mengerutkan kening.
Shahrin terdiam buat seketika.Mulutnya tidak mampu mengeluarkan sebarang
perkataan bagi menyahut pertanyaan Adlan.Mindanya mula memaparkan wajah manis
Kasih.Senyuman yang tak pernah hilang daripada wajahnya.Suaranya yang lembut tiap
kali dia bertanyakan soalan kepadanya selalu membuatkan Shahrin tersenyum-
senyum.Ya.Kasih memang boleh menambat hati sesiapa sahaja termasuk Shahrin.
“Aku lupa yang kau betul-betul sukakan dia.Tapi tahniah lah akhirnya dapat juga
wanita idaman kau tu”balas Shahrin.
Ucapan Shahrin itu membuatkan Adlan tersipu malu.Shahrin turut tersenyum
melihat kawannya gembira sebelum menguatkan genggamannya di bukunya.
“Eh,sebelum aku lupa.Kau dah buat latihan Cikgu Azhar?”tanya Adlan.
“Sudah.Kenapa?”tanya Shahrin kembali.
Adlan tersengih bagai kerang busuk mendengar jawapan Shahrin.Shahrin
menjulingkan matanya sebaik sahaja tahu motif senyuman rakannya itu.
“Nanti aku bagi pinjam”balas Shahrin pendek.
“Sebab inilah aku sayang kau!Kau memang terbaik!Aku doakan kau cemerlang SPM
tahun ini!AAMIN YA ALLAH!”ujar Adlan sambil memeluk sisi Shahrin.
Shahrin hanya mampu tertawa mendengar kata-kata rakannya.Cukuplah ada
Adlan di sisinya yang sentiasa menyokong dirinya walaupun dia terpaksa merelakan
perasaannya terhadap Kasih.Kerana tiada yang mampu menandingi posisi Adlan sebagai
sahabatnya.
******
Meja makan mula dipenuhi seorang demi seorang warga rumah tersebut.Pak
Halim,ayah Shahrin duduk di tengah sambil memerhati isterinya,Mak Zaidah yang
mula menyenduk nasi ke pinggannya.Perlahan-lahan matanya melirik ke arah Shahrin.
“SPM lagi dua bulan,Shahrin.Ayah harap kamu buat yang terbaik.Barulah dapat
bekerja dalam pejabat macam orang putih tu”kata Pak Halim.
Shahrin mengangkat wajahnya yang sedang khusyuk menatap makanan
memandang ayahnya.Meja makan kayu yang berbentuk bulat itu sangat kecil namun
cukup untuk memuatkan tiga beranak tersebut.Jari jemari Shahrin bermain dengan
hujung bajunya.Gementar apabila ayahnya mula membuka topik berkaitan pelajaran.
“Shahrin cuba,ayah.Susah juga sebab ini tahun pertama kan,debar rasa bila
fikir”balas Shahrin.“Ayah bukan apa.Ayah cuma nak yang terbaik untuk kamu.Kamu
taknak jadi petani macam ayah bukan?”kata Pak Halim lagi.
Kata-kata ayahnya itu membuatkan hati Shahrin tersentak.Rasa sebak mula
menyelubungi dirinya.Lantas,dia menundukkan wajahnya kembali fokus kepada
hidangan yang disediakan ibunya.
Lahir sebagai anak tunggal bukanlah satu perkara yang mudah bagi
Shahrin.Dibesarkan dengan kehidupan yang kais pagi makan pagi,kais petang makan
petang membuatkan Shahrin gigih ingin mengubah nasib keluarganya.Shahrin
meletakkan kepercayaan sepenuhnya bahawa pendidikan antara faktor utama kejayaan
dalam kehidupan seseorang.Oleh itu,dia cuba sedaya upaya untuk memastikan peluang
yang ada mampu merealisasikan impiannya.Dan Shahrin yakin dengan usaha dan
doa,semua boleh diatasi.
******
Dua minggu berlalu sejak perbualan terakhir Shahrin dan Adlan.Apa yang
menghairankan,sejak detik itu Shahrin tidak bersua muka sama sekali dengan sahabat
karibnya.Dan hal itu membawa Shahrin mengatur langkah ke rumah Adlan selepas tamat
waktu persekolahan.
“Assalammualaikum,Adlan!”jerit Shahrin.Matanya melilau memerhati
perkarangan rumah Adlan.Adlan merupakan anak kepada pemilik ladang getah di daerah
itu dan sudah tentu kehidupannya jauh berbeza dibandingkan dengan
Shahrin.Namun,itulah yang menambat hati Shahrin untuk berkawan dengan Adlan yang
tidak memilih kawan berdasarkan status mahupun darjat seseorang.
“Adlan!”jerit Shahrin lagi.Kakinya mula mengorak langkah mengelilingi rumah
tersebut.Kosong.Kesemua tingkap rumah tersebut tertutup rapat dan tiada tanda terdapat
penghuni di dalam rumah itu.Shahrin menggaru kepalanya.Dia keliru akan kehilangan
Adlan secara tiba-tiba.Dia mula mengelilingi kawasan rumah Adlan.
Aneh.
Itulah perasaan yang dialami Shahrin ketika itu.Beberapa minit
menunggu,Shahrin mengambil keputusan untuk beredar.Di fikirannya,hanya ada
seorang sahaja yang mampu menjawab segala persoalan yang tiada jawapannya.Dengan
itu,dia memulakan langkahnya.
*****
Air mata yang turun dikesat dengan cepat apabila seruan salam didengari.Kasih
dengan cepat menuju ke pintu utama untuk melihat individu yang berada di hadapan
rumahnya.
“Shahrin?” ujar Kasih terkejut tatkala matanya bertentangan dengan Shahrin saat
pintu rumahnya dibuka.
“Kasih,maaf mengganggu.Aku nak tanya,Adlan ada bagitahu apa-apa pasal dia
tak?Dah masuk dua minggu dia tak ke sekolah.Kau kan kekas-”
“Shahrin...”
Pertanyaan Shahrin terpotong gara-gara panggilan namanya oleh Kasih.
Kasih menundukkan wajahnya.Anak mata Shahrin turut bergerak memandang raut
wajah Kasih.Titisan air mata dapat dilihat dengan jelas di wajahnya.
“K-Kasih,kenapa ni?Aku ada salah cakap ke?”tanya Shahrin risau
kemunculannya yang mengejut menjadi punca reaksi Kasih sebegitu rupa.
“Shahrin..Adlan lari...Dia lari dari aku,,Shahrin!”jawab Kasih sambil tersedu
akibat tangisannya yang semakin kuat.
Dahi Shahrin berkerut mendegar jawapan Kasih.Lari?Adlan?
“Apa maksud kau?”tanya Shahrin.
Namun pertanyaan itu tidak diendahkan.Air mata mengalir sederasnya di wajah
Kasih.Tangan Kasih menggenggam tombol pintu rumahnya dengan kuat bagi
menampung dirinya yang semakin lemah dek kerana perasaan yang berat utnuk
ditangani itu.Perlahan Shahrin memegang tangan Kasih.Matanya memandang tepat ke
anak mata Kasih.Simpati mula menerjah hati Shahrin kerana walaupun Adlan
merupakan sahabatnya,dia tidak mampu menahan dirinya daripada menyukai Kasih.
“Kasih,cakap dengan aku.Kenapa?Apa yang terjadi?Adlan lari ke
mana?”pelbagai soalan keluar dari mulut Shahrin.
Kasih mengeratkan genggamannya di tangan Shahrin.Air mata yang tadinya
mengalir tanpa henti kini mula terasa kering di wajahnya.Jantungnya berdetak dengan
laju.Wajah Shahrin ditatap kembali.
“Aku mengandung,Shahrin.Adlan bapanya.”ujar Kasih perlahan namun setiap butir
perkataan dapat didengari dengan jelas oleh Shahrin.
Shahrin terdiam.Perlahan-lahan genggamannya di tangan Kasih dilepaskan.
Tangisan Kasih mula kedengaran semula tatkala Shahrin tidak mampu mengeluarkan
walau sebutir perkataan.
Adlan?Kasih?
Otaknya tidak mampu berfikir dengan baik.Tanpa disedari air mata mula
bergenang di kelopak matanya.
“Shahrin,macam mana ni?SPM tinggal berapa bulan.Aku tak boleh ke sekolah
dengan keadaan macam ni.” kata Kasih.
Shahrin menumpukan pandangan kepada wajah Kasih.Air matanya mula
berjujuran menghiasi wajahnya.Perlahan kepalanya digelengkan cuba menafikan
kenyataan yang disampaikan Kasih sebentar tadi.
“Aku minta maaf,Kasih.Aku tak mampu buat apa-apa”kata Shahrin sebelum
kakinya cepat diatur sebelum meninggalkan Kasih yang akhirnya jatuh ke tanah kerana
beban yang diangkatnya kini tak mampu diusung lagi.
*****
Rona langit yang menghitam ditenung sedalam mungkin oleh
Shahrin.Sejujurnya,apa yang berlaku di antara Adlan dan Kasih berada di luar
jangkaannya.