1 SINOPSIS: Seorang juruterbang yang bosan hidup sebagai orang dewasa, terkandas di Gurun Sahara akibat kerosakan pesawat. Seorang lelaki kecil berpenampilan luar biasa, muncul dari entah mana dan meminta lukisan biri-biri. Mereka bertemu, berkongsi kisah, dan bersahabat. Lalu si juruterbang belajar melihat kehidupan dari sudut berbeza, melalui pengembaraan menakjubkan Putera Kecil ke beberapa asteroid sehingga tiba di bumi. Putera Kecil adalah naskhah agung Antoine de Saint-Exupéry yang diraikan oleh kanak-kanak dan dihargai oleh orang dewasa di seluruh dunia. Sastera klasik ini telah diterjemahkan ke dalam lebih 300 bahasa dan dialek, juga tersenarai dalam lima buku terlaris di dunia sepanjang zaman. Kini diterjemahkan semula ke dalam Bahasa Melayu dengan mengekalkan ilustrasi asal.
2 1 Semasa berusia 6 tahun, saya terjumpa gambar yang menakjubkan di dalam buku tentang hutan dara yang berjudul “Kisah-Kisah Benar”. Gambar ular boa yang telah menelan seekor binatang liar. Ini Salinan gambar itu. Deskripsi pada buku itu menyatakan bahawa ular boa menelan keseluruhan mangsanya tanpa dikunyah terlebih dahulu. Kemudian, ia tidak mampu bergerak dan hanya tidur sepanjang proses penghadaman selama enam bulan. Maka saya berfikir Panjang tentang hal-hal yang berlaku di dalam hutan. Lalu dengan menggunakan pensel warna, saya berjaya menghasilkan lukisan pertama dalam hidup saya. Lukisan No. 1. Beginilah rupanya: Saya tunjukkan karya agung it kepada beberapa orang dewasa dan bertanya, apakah lukisan itu membuatkan mereka takut? Mereka membalas, “Mengapa pula topi menakutkan?” Yang saya lukis itu bukannya topi.Itu ular boa yang sedang menghadam gajah.Kemudian saya lukis pula isi perut ular boa itu, supaya orang dewasa faham. Mereka sentiasa perlukan penjelasan lanjut.Ini rupa Lukisan No.2 saya:
3 Orang-orang dewasa itu menyuruh saya berhenti melukis ular boa,sama ada rupa luaran,mahupun rupa dalam perutnya.Sebaliknya tumpukan sahaja kepada geografi sejarah,aritmetik,dan tatabahasa. Demikianlah,pada usia 6 tahun,saya telah berputus asa daripada menjadi pelukis yang hebat.Semangat saya dipatahkan oleh kegagalan lukisan nombor satu dan dua.Orang dewasa tidak pernah mampu untuk memahami sendiri tentang apa pun,maka kanakkanak menjadi bosan kerana tidak habis-habis terpaksa menjelaskan semua hal kepada mereka. Oleh sebab itu,saya terpaksa memilih kerjaya lain.Saya belajar memandu kapal terbang.Saya terbang ke serata dunia.Dan ya,geografi berjasa besar kepada saya.Saya kini mampu mengenali China ataupun Arizona dengan sekilas pandang.Kemahiran ini amat berguna sekiranya kita tersesat pada waktu malam. Sepanjang hidup,saya mengenali banyak manusia yang serius.Saya hidup dalam kalangan orang dewasa.Saya lihat mereka dari dekat dengan mata saya sendiri.Namun,tetaplah persepsi saya terdahap mereka tidak bertambah baik. Apabila saya bertemu dengan orang dewasa yang tampak sedikit cerdik,saya tunjukkan Lukisan No.1 yang masih disimpan sejak dahulu.Saya mahu tahu,mampukah mereka memahaminya? Namun,mereka sentiasa memberikan respons, “Itu topi.” Selepas itu,saya tidak lagi bercakap apa-apa tentang ular boa,hutan dara,mahupun bintang-bintang.Saya samakan sahaja tahap pemikiran saya dengan mereka.Saya mula bercakap tentang jambatan,golf,politik,dan tali leher.Orang-orang dewasa itu begitu menyenangi saya yang sama cara fikirnya dengan mereka.
4 2 Demikianlah saya hidp bersendirian tanpa teman untuk benarbenar berbual,sehinggalah pesawat yang saya terbangkan mengalami kerosakan di Gurun Sahara,enam tahun lalu. Ada masalah pada enjinnya.Disebabkan tiada penumpang lain apatah lagi mekanik yang bersama-sama saya pada waktu itu,saya gigih cuba membaiki sendiri enjin pesawat walaupun terlalu rumit.Situasi saya ketika itu antara hidup dengan mati kerana bekalan air minuman yang ada cukup-cukup untuk seminggu sahaja. Malam itu,malam pertama saya tidur di padang pasir yang jaraknya beribu batu dari mana-mana tempat yang berpenghuni. Kedudukan saya jauh lebih terpencil berbanding mangsa kapal karam yang terapung-apung di atas rakit di tengah lautan. Maka,bayangkan betapa terkejutnya saya apabila menjelang subuh,satu suara kecil yang lucu mengejutkan saya daripada tidur.Katanya,“ Tolong lukiskan bir-biri untuk saya.” “Hah?” “Lukisan biri-biri untuk saya.” Saya terlompat seperti disambar petir. Saya gosok mata berkali-kali. Saya perhatikan betul-betul.Di depan saya,lelaki yang luar biasa kecil sedang merenung saya dengan wajah serius. Inilah gambar terbaik dia yang mampu saya lukiskan. Tetapi lukisan saya tentu sahaja tidak semenarik orang sebenarnya. Itu bukan salah saya. karier impian saya sebagai pelukis telah dileburkan oleh orang dewasa semasa usia saya 6 tahun,dan saya tidak pernah belajar apa-apa ilmu melukis selain ular boa dengan perut tertutup dan ular boa dengan perut terbuka.
5 Saya memandang makhluk itu dengan penuh takjub.Jangan lupa bahawa saya sedang berada beribu-ribu batu jauhnya dari manamana wilayah yang berpenghuni,dan si kecil itu pula sedikit pun tidak kelihatan seperti sedang sesat,letih,haus,mahupun dalam kerakutan. Dia langsung tidak seperti kanak-kanak yang tersesat di tengah-tengah gurun yang berjarak ribuan batu dari Kawasan berpenduduk. Akhirnya,apabila saya telah kembali mampu bersuara, saya bertanya kepada dia,“Kamu buat apa di sini?” Dan dia masih mengulang permintaannya dengan begitu elegan, seolah-olah itu sesuatu yang amat serius,“Tolong lukiskan biribiri untuk saya.” Apabila berdepan sesuatu yang amat menakjubkan, kita jadi tidak berani untuk berkata tidak. Meskipun terasa sangat tidak masuk akal,dan ia berlaku kepada saya di lokasi beribu-ribu batu jauh dari penempatan manusia, malah sedang berdepan dengan maut, tetaplah saya keluarkan pen dan selembar kertas dari poket.Namun saya teringat yang saya cuma belajar geografi, sejarah, aritmeik, dan tatabahasa.Lalu saya beritahu si kecil itu (dengan sedikit jengkel) yang saya tidak tahu melukis.
6 Dia membalas,“Tak kisahlah. Lukiskan saja biri-biri untuk saya.” Disebabkan saya tidak pernah melukis biri-biri,saya lukiskan sahaja salah satu objek yang saya mampu iaitu ular boa dengan perut yang tertutup.Dan saya tergamam apabila mendengar si kecil berkata,“Bukanlah! Bukan ini! Saya tak mahu lukisan gajah di dalam perut ular boa. Ular boa sangat bahaya dan gajah pula terlalu besar. Tempat saya sangat sempit. Saya perlukan biribiri. Lukiskan biri-biri!” Saya pun lukis. Dia meneliti lukisan itu,dan kemudian,“Tak mahu! Biri-biri ni macam berpenyakit kronik. Buat yang lain!” Saya Lukis. Dia tersenyum sinis.“Awak tengok sini.Ini bukan biribiri.Ini kambing jantan,ada tanduk.” Saya lukis lagi.
7 Dia masih menolak,sama seperti sebelumnya.“Ini dah terlalu tua. Saya perlukan biri-biri yang mampu hidup lama.” Lalu,dengan kesabaran yang semakin menipis kerana saya perlu segera mula membaki enjin kapal terbang,terus saya lukiskan ini Saya campakkan kertas itu kepada dia.“Nah! Ambil kotak ni. Biri-biri yang kamu mahukan itu ada di dalamnya.” Alangkah terperanjat saya dibuatnya apabila wajah si kecil terus berseri-seri! “Beginilah yang saya mahu! Awak rasa, biri-biri ni perlukan banyak rumput tak?” “Mengapa?” “Tempat saya sangat kecil.” “Tentu cukup.Saya berikan kamu biri-biri yang paling kecil.” Dia tunduk dan merenung lukisan itu. “Taklah kecil sangat...oh! Tengok! Dia tertidur!” Demikianlah titik mula perkenalan antara saya dengan Putera Kecil.
8 3 Saya mengambil masa yang lama untuk menghadam asal usulnya. Putera Kecil yang bertanya begitu banyak soalan kepada saya, langsung tidak pernah menghiraukan soalan saya kepada dia. Hanya daripada kata-kata yang dia sebutkan, secara tidak langsung membongkar sedikit demi sedikit hal tentang dirinya. Misalnya,ketika dia melihat kapal terbang saya buat pertama kali (saya tidak akan lukis gambar pesawat itu,terlalu sukar),dia bertanya,“Apa benda ni?” “Ini bukan benda.Ini boleh terbang.Ini kapal terbang.Kapal terbang saya.” Saya bangga menceritakan yang saya mampu terbang.Kemudian dia berteriak,“Apa? Awak jatuh dari langit?” “Ya,”jawab saya dengan rendah diri. “Ah,itu kelakar ...” Lalu ketawa Putera Kecil meledak, terbahak-bahak. Ketawanya sangat menyakitkan hati saya. Saya mahu orang memandang serius kemalangan yang menimpa saya ini. Kemudian dia menambah, “Jadi, awak juga datang dari langit. Dari planet mana?” Tiba-tiba sahaja misteri asal usulnya sedikit tercerah, lalu saya terus bertanya, “Jadi, kamu datang dari planet lain?” Namun, dia tidak menjawab. Dia cuma mengangguk-angguk perlahan sambal merenung kapal terbang saya. “Melihatkan pesawat ini, jelas yang awak tidak mungkin datang dari jauh.” Dia langsung tenggelam dalam lamunan yang panjang. Kemudian, dia mengeluarkan biri-biri tadi dari dalam poket lalu menatap harta kecilnya itu lama-lama. Cubalah anda bayangkan, betapa terpancingnya saya oleh secebis maklumat tentang “planet-planet lain” ini. Maka saya
9 berusaha untuk mengorek lebih lanjut. “Dari mana kamu datang, wahai sahabat kecil? Di mana ‘tempat’kamu itu? Ke mana kamu mahu bawa biri-biri saya?” Selepas beberapa detik berdiam diri, dia berkata, “Yang bagusnya,kotak yang awak beri itu dapat jadi rumahnya pada waktu malam.” “Sudah tentu. Dan jikalau kamu baik hati, saya boleh berikan tali untuk menambat dia pada waktu siang. Pancangnya pun saya boleh beri.” Cadangan itu nampaknya membuatkan si Putera Kecil begitu terkejut. “Tambat? Kelakarnya idea awak.” “Kalau tak ditambat, nanti dia merayau ke sana ke sini dan tak jumpa jalan balik.” Meledak sekali lagi ketawa sahabat saya itu. “Awak rasa dia mahu pergi ke mana?” “Ke mana-mana sajalah yang dia nampak di depan matanya.” Kemudian, si Putera Kecil berkata dengan serius, “Tak mengapa. Tempat saya sangat kecil.” Dan dengan nada sedikit sayu, dia menyambung, “Kalau jalan terus ke depan pun, bukannya boleh pergi jauh.”
10 4 Perkara penting kedua yang saya dapat tahu ialah saiz planetnya lebih kecil daripada sebuah rumah! Tetapi, itu sebenarnya tidaklah terlalu mengejutkan saya. Saya tahu, selain planet-planet besar yang telah diberikan nama seperti Bumi, Musytari, Marikh, dan Zuhrah, ada ratusan lagi planet lain. Bahkan ada yang sangat kecil sehingga begitu sukar untuk dilihat melalui teleskop. Apabila ada ahli astronomi yang menemukan salah satu daripadanya, dia akan menamakan planet itu dengan nombor. Contohnya, “Asteroid 3251”. Saya ada alasan kukuh untuk mengatakan yang planet asal Putera Kecil ialah asteroid B 612. Asteroid ini hanya pernah dilihat sekali pada tahun 1909 oleh seorang ahli astronomi Turki melalui teleskop. Beliau kemudiannya membuat pembentangan yang mengagumkan tentang penemuan itu di Kongres Astronomi Antarabangsa. Namun, tiada sesiapa pun yang percaya, hanya kerana cara beliau berpakaian. Demikianlah orang dewasa.
11 Reputasi B 612 bernasib baik apabila seorang diktator Turki mengerahkan rakyatnya berpakaian ala orang Eropah, dan sesiapa yang ingkar akan dijatuhi hukuman mati. Ahli astronomi itu pun mengemukakan dapatannya sekali lagi pada tahun 1920 dengan berpakaian sangat elegan. Dan kali ini, semua orang bersetuju dengan pendapatnya. Orang dewasa adalah punca saya menceritakan semua tentang B 612 ini, termasuk menyebut nombornya. Orang dewasa suka pada angka. Apabila kita bercerita tentang kawan baharu, mereka tidak pernah bertanya soalan-soalan asas. Mereka tidak akan bertanya, “Bagaimana bunyi suaranya?”, “Permainan apa yang dia suka?”, “Apakah dia suka mengumpul rama-rama?”. Sebaliknya, mereka akan bertanya, “Berapa umurnya?”,“Dia ada berapa adikberadik?”, “Berapa berat badan dia?”, “Berapa gaji bapanya?”, dan kemudian mereka berlagak seperti sudah sangat mengenali kawan kita itu. Sekiranya kita katakan kepada orang dewasa, “Saya pernah tengok rumah yang diperbuat daripada batu bata merah jambu yang cantik, dengan bunga geranium menghiasi jendela dan burungburung merpati yang hinggap di bumbungnya ...,” mereka tidak akan dapat membayangkan rumah itu. Kita perlu katakana kepada mereka, “Saya pernah tengok rumah yang berharga ratusan ribu franc.” Barulah mereka akan berkata, “Cantik sungguh rumah itu!”
12 Jadi, sekiranya kita beritahu mereka, “bukti kewujudan Putera Kecil ialah dia menawan, dia ketawa, dan dia mahukan biri-biri. Hanya makhluk yang wujud dan bernyawa mampu meminta biri-biri,”mereka akan menjongket bahu dan mengatakan kita kebudak-budakan. Tetapi jikalau kita beritahu mereka, “Dia datang dari planet B 612,” barulah mereka akan percaya dan tidak akan membebankan kita dengan pelbagai soalan. Mereka memang begitu. Kita tidak boleh salahkan mereka. Kanak-kanak mesti sentiasa memaafkan orang dewasa. Tetapi, bagi kita yang memahami kehidupan, tentu sekali kita tidak peduli pun tentang angka-angka! Saya lebih selesa memulakan kisah ini dengan ayat seperti permulaan cerita dongeng. Saya mahu tuliskan begini: “Pada zaman dahulu, ada Putera Kecil tinggal di planet yang besarnya lebih sedikit sahaja berbanding tubuhnya, dan dia perlukan kawan ...” Bagi golongan yang memahami kehidupan, ayat begini kedengaran lebih realistik. Saya tidak mahu orang membaca buku saya sambalewa. Saya berasa amat sayu setiap kali mengenangkan memori ini. Telah enam tahun berlalu sejak sahabat kecil saya menghilangkan diri bersama biri-biri. Apabila saya bercerita tentang dirinya di dalam buku ini,itu bertujuan agar saya tidak melupakan dia. Terlupa tentang sahabat sendiri adalah sesuatu yang menyedihkan. Tidak semua orang memiliki sahabat. Dan kalaulah saya terlupakan dia,mungkin saya akan jadi seperti orang-orang dewasa yang tidak lagi berminat pada apa pun kecuali angka.
13 Demi tujuan itu,sekali lagi,saya beli sekotak cat berwarna dan beberapa pensel. Agak sukar untuk kembali melukis pada usia saya sekarang,apatah lagi sejak umur 6 tahun saya tidak pernah melukis apa-apa selain ular boa dengan perut tertutup dan ular boa dengan perut terbuka. Saya mesti berusaha sedaya upaya, supaya potret yang akan saya lukiskan ini kelihatan benar-benar mirip dia. Tetapi,saya tidak yakin pada hasilnya.Satu lukisan berjaya sepenuhnya,satu lagi tidak mirip langsung. Saya juga buat beberapa kesilapan,antaranya ketinggian Putera Kecil itu. Ada lukisan yang dia nampak sangat tinggi,ada pula lukisan yang dia kelihatan terlau pendek. Dan saya agak ragu-ragu tentang warna pakaiannya. Jadi,saya terus mencuba sebaik mungkin.Kadang-kadang menjadi,kadang-kadang tidak. Tetapi anda perlu maafkan saya. Sahabat saya itu tidak pernah menerangkan apa-apa tentang dirinya. Mungkin,dia menganggap saya sama seperti dia. Malangnya,saya tidak dapat melihat biri-biri melalui celahan kotak. Agaknya,saya sudah hampir menyerupai orang dewasa. Agaknya,saya sudah semakin tua.
14 5 Saban hari,ada sahaja hal baharu yang saya ketahui tentang planet Putera Kecil. Mengenai keberangkatannya dan juga pengembaraannya. Semuanya dia ceritakan sedikit demi sedikit tanpa sengaja. Demikianlah pada hari ketiga,saya mendapat tahu tentang isu pokok baobab. Terima kasih kepada biri-biri itu sekali lagi kerana tiba-tiba sahaja Putera Kecil bertanya kepada saya dengan wajah seakan-akan sedang mengalami keraguan yang serius,"Betul,kan? Biri-biri makan pokok renek?” “Ya,betul.” “Oh,lega rasanya!” Saya tidak faham mengapa hal biri-biri makan pepohon renek ataupun tidak itu sesuatu yang sangat penting bagi dia.Tetapi kemudian,Putera Kecil bertanya lagi,"Jadi, maknanya,biri-biri juga makan baobab?” Saya jelaskan bahawa baobab bukanlah pokok renek,tetapi pokok gergasi setinggi gereja. Jika dia membawa sekawan gajah sekalipun,haiwan-haiwan itu tidak akan mampu menumbangkan walau sebatang pokok baobab.
15 Perumpamaan saya yang menggunakan gajah itu,disambut dengan ketawa. “Terpaksalah mereka berdiri di atas satu sama lain.” “Tapi,sebelum pokok baobab menjadi sebegitu tinggi,ia bermula kecil juga.” Dia kembali serius. “Itu sangat benar! Tapi,mengapa kamu mahu biri-biri itu makan anak pokok baobab?” Dia membidas,“Eh,tanya pula!”Seolah-olah jawapan kepada soalan itu sesuatu yang sepatutnya saya ketahui. Dan saya memerlukan kepintaran luar biasa untuk mencari sendiri jawapan itu. Fakta sebenarnya ialah di planet Putera Kecil,ada pokok yang elok dan ada juga pokok yang tidak elok. Sama sahaja seperti di planet-planet lain. Benih yang baik datang daripada pokok yang baik,manakala benih yang buruk datang daripada pokok yang buruk. Tetapi benih-benih ini tidak kelihatan. Ia tidur lena, jauh di dalam tanah sehinggalah ada yang mula bangun, menggeliat,lalu dengan malu-malu mendorong tunas kecil tumbuh menghadap matahari. Jika ia tunas lobak putih ataupun pokok mawar, kita boleh biarkan sahaja ia tumbuh sendiri dengan aman. Tetapi jika yang tumbuh itu tunas pokok yang buruk,sebaik sahaja ia dikenal pasti,kita perlu terus mencabutnya. Sekarang sudah ada benih-benih yang menggerunkan di planet Putera Kecil,iaitu benih pokok baobab. Tanah planet itu kini dipenuhi oleh benih baobab. Sekiranya dibiarkan terlalu lama, selama-lamanya mereka tidak akan mampu memusnahkan pokok baobab dan ia akan melitupi keseluruhan planet. Akarnya akan mencengkam dasar planet. Maka,disebabkan planet itu sangat kecil dan ada banyak pula pokok baobab yang dibiarkan membesar,planet itu akan musnah.
16 “Itu soal disiplin,”jelas Putera Kecil. “Seperti setiap pagi,selepas kita selesai menggunakan tandas,kita perlu bersihkan tandas dengan rapi.Jadi,begitu juga kita perlu berdisiplin mencabut baobab ketika ia masih muda, dan mesti berhati-hati kerana ia sangat mirip pokok mawar. Kerja ni memang membosankan,tapi tak susah pun.” Lalu dia meminta saya menghasilkan satu lukisan secantik mungkin bagi menerangkan hal ini kepada kanak-kanak di tempat asal saya. “Boleh jadi lukisan itu akan berguna apabila mereka keluar mengembara suatu hari nanti,” katanya. “Ada masanya,tak mengapa jika kita tangguhkan sesuatu kerja. Tetapi tidak untuk pokok baobab,ia perlu dicabut serta-merta. Jika tidak,bencana akan menimpa. Saya tahu tentang planet yang didiami oleh pemalas. Dia pernah mengabaikan tiga pokok renek dan....”
17 Daripada gambaran yang diberikan oleh Putera Kecil itu,saya melukis planet seperti yang dimaksudkan. Saya tidak mahu menjadi pendekar moral,tetapi sangat sedikit manusia yang menyedari ancaman pokok baobab dan ini boleh membahayakan orang yang tersesat di mana-mana asteroid. Maka saya memilih untuk membuat pengecualian,sekali ini sahaja. Saya tulis, “Wahai kanak-kanak! Ambil perhatian tentang pokok baobab!” Bertungkus lumus saya menyiapkan lukisan itu, demi memberi amaran kepada kawan-kawan saya tentang bahaya yang telah sekian lama berada di sekitar mereka, dan juga saya,tanpa disedari. Pengajaran yang saya berikan ini amat bermanfaat. Anda mungkin tertanya-tanya, mengapa di dalam buku ini tidak ada lukisan lain sehebat lukisan pokok baobab? Jawapannya mudah sahaja. Saya sudah cuba,tetapi tidak berjaya. Berbeza daripada lukisan lain, saya Berjaya melukis pokok baobab kerana didorong oleh keperluan yang mendesak ketika melukis.
18 6 Oh, Putera Kecil! Sedikit demi sedikit saya mula dapat membayangkan kehidupan kamu yang murung. Sejak sekian lama, yang menceriakan kamu hanyalah keindahan matahari ketika terbenam. Hal ini saya ketahui pada pagi hari keempat, apabila kamu berkata, “Saya suka matahari terbenam. Mari kita pergi tengok matahari terbenam.” “Tapi, kita perlu tunggu.” “Tunggu apa?” “Tunggu matahari turun dululah.” Pada mulanya, kamu kelihatan terkejut. Namun kemudian kamu mentertawakan diri sendiri lalu berkata,“Ah, saya selalu terlupa yang saya sekarang berada di tempat lain!” Benar.Seperti yang kita tahu, pada waktu tengah hari di Amerika, matahari sedang terbenam di Perancis. Jikalau kita mampu ke Perancis dalam sekelip mata, bolehlah kita lihat matahari terbenam pada waktu itu. Malangnya, Perancis terlalu jauh dari Amerika. Tetapi, di planet kecil kamu, hanya perlu duduk dan pusingkan sahaja kerusi untuk menyaksikan ketibaan senja pada bila-bila masa yang kamu mahu. “Pernah satu hari, saya tengok empat puluh empat kali matahari terbenam!” Selepas beberapa ketika, kamu menyambung,“Awak tahu, apabila seseorang sedang sangat...sangat sedih, dia suka lihat ,matahari terbenam.” “Dan apakah kamu berasa sangat...sangat sedih pada hari kamu melihat empat puluh empat kali matahari terbenam?” Putera Keci hanya mendiamkan diri.
19 7 Pada hari kelima, terima kasih sekali lagi kepada biri-biri itu kerana membuatkan saya dapat tahu rahsia Putera Kecil yang seterusnya. Tiba-tiba sahaja dia bertanyakan soalan yang seolaholah telah begitu lama bermain dalam fikirannya, “Kalau biribiri makan pokok renek, ia makan bunga jugakah?” “Biri-biri makan apa saja yang muncul di hadapannya?” “Walaupun pokok yang berduri?” “Ya, Walaupun pokok itu berduri.” “Apa fungsinya duri kalau begitu?” Saya pun tidak tahu. Saya sedang sibuk membuka bolt di dalam enjin. Saya sangat susah hati kerana baru menyedari bahawa kerosakan pesawat itu sebenarnya begitu serius, dan air minuman yang saya ada semakin berkurangan. Saya takut memikirkan keadaan paling buruk yang mungkin berlaku. “Duri itu...untuk apa?” Sekali Putera Kecil sudah bertanya, dia akan biarkan soalan itu berlalu tanpa jawapan. Saya yang berasa jengkel pada bolt degil itu terus sahaja menjawab,“Duri tak ada fungsi. Ia cuma sifat jahat pokok!” “Oh!” Namun selepas beberapa ketika, dia membalas dengan nada bengang, “Saya tak percaya cakap awak! Bunga-bunga semuanya lemah. Naif. Mereka cuba membina keyakinan diri sebaik mungkin dengan mempercayai yang duri-duri itu mampu menggerunkan musuh.” Saya tidak membalas. Saya sedang berfikir,“Kalau aku tak dapat juga buka bolt itu, aku akan pecahkan saja guna tukul besi.” Sekali lagi Putera Kecil mencelah,“Awak fikir, bungabunga...”
20 “Tidak! Tidak! Saya tak fikirkan apa-apa! Saya main jawab saja tadi. Sya ada hal yang lebih serius untuk difikirkan sekarang!” Berkerut keningnya memandang saya. Pandangan yang keliru. “Hal serius?” Dia merenung tajam ke arah saya yang sedang memegang tukul besi dengan jari-jemari yang bersalut minyak hitam, dan menyandarkan tubuh pada objek yang sangat buruk pada pandangnnya. “Awak bercakap macam orang dewasa!” Itu membuatkan saya rasa agak malu. Dengan bengang dia menyambung, “Awak buat kacaulah! Awak campur adukkan semuanya!” Sakit betul hatinya. Rambut keemasnnya dikibas-kibas. “Ada satu planet didiami oleh Tuan Merah Tua. Dia tak pernah mencium bau bunga. Dia tak pernah memerhati bintangbintang. Dia tak pernah menyayangi sesiapa. Dia tak pernah melakukan kerja selain mengira. Dan sepanjang hari, dia mengulang-ulang ayat serupa macam yang awak cakap, ‘Saya ini serius! Saya serius!’Dan itu menjadikan dadanya busung kerana angkuh. Tetapi dia bukan manusia. Dia cendawan butang!” “Dia...apa?” “Cendawan butang!” Ketika itu, wajah Putera Kecil merah padam kerana berang.
21 “Sudah berjuta tahun bunga-bunga menghasilkan duri. Sudah berjuta tahun biri- biri makan bunga tanpa durinya. Dan awak pula tak peduli langsung untuk memahami secara serius mengapa bunga-bunga bersusah payah menghasilkan duri yang bermanfaat. Awak fikir, peperangan antara biri-biri dengan bunga itu tak penting? Bukankah jelas ia lebih serius dan penting berbanding si merah tua gemuk dengan kira-kiranya? Dan saya pula mengenali sekuntum bunga yang sangat unik, yang tidak ada di tempat selain planet saya, yang bila-bila masa saja si biri-biri kecil itu boleh memakannya tanpa sengaja. Tidakkah itu penting?” Dengan wajah yang masih merah padam, dia menyambung, “Sekiranya seseorang menyayangi bunga yang wujud hanya sekuntum dalam sekian juta bintang, melihatnya saja sudah cukup untuk membuatkan dia rasa bahagia. Dia katakana kepada diri sendiri, ‘Bunga kesayangan saya berada nun jauh di sana...’Tetapi kemudian biri-biri kecil memakan bunga itu. Serta-merta dia terasa seolah-olah bintang di seluruh semesta berhenti bersinar. Tidakkah itu penting?” Suaranya tersangkut di kerongkong. Dia tidak mampu lagi untuk menyambung kata. Dia menangis semahu-mahunya. Malam tiba. Saya sudah simpan semua peralatan. Saya sudah tidak peduli pada tukul besi, bolt, rasa dahaga, mahupun kematian. Di sebuah bintang, di sebuah planet, planet saya, Bumi, ada Putera Kecil yang perlu ditenteramkan. Saya memeluk bahunya dan cuba memujuk dengan berkata, “Bunga yang kamu sayang itu tidak akan terdedah kepada bahaya. Saya akan lukiskan berangus untuk biri-biri kamu. Saya akan lukiskan juga pagar buat melindungi bunga kamu. Saya... saya...” Saya kehilangan kata-kata. Saya berasa amat canggung. Saya tidak tahu lagi cara lain untuk memujuk dia. Sesungguhnya, alam air mata amatlah tidak terjangka.
22 8 Saya memperoleh lebih banyak maklumat tentang bunga itu dalam tempoh yang singkat. Di planet Putera Kecil, memang telah sedia ada sejenis bunga yang sederhana. Ia mempunyai selapis kelopak sahaja, tidak memakan ruang, dan tidak pula mengganggu apa-apa di sekitarnya. Ia tumbuh di celahan rumput pada waktu pagi, dan menghilang menjelang malam. Tetapi pada suatu hari, bunga yang satu ini tumbuh daripada benih yang entah dari mana datangnya. Putera Kecil mengawasi pucuk yang lain daripada yang lain itu dengan ketat. Boleh jadi ia spesies pokok baobab yang baru. Namun, pokok renek itu berhenti membesar tidak lama kemudian dan mula mengeluarkan bunga. Memerhatikan perkembangan kuntum bunga yang besar, Putera Kecil menjangka ada keajaiban yang akan berlaku. Tetapi bunga itu tidak pernah berhenti mempersiapkan diri untuk menjadi cantik di dalam bilik hijau tempat dia berlindung. Dia begitu teliti memilih warna untuk diri sendiri. Dia menyarung pakaian perlahahn-lahan,dan menyusun kelopaknya satu per satu. Dia tidak mahu tampil kusut seperti bunga popi. Dia hanya mahu tampil indah dan berseri-seri. Ah,ya! Dia begitu menggoda. Persiapannya yang misteri itu berlangsung selama berharihari. Sehinggalah pada suatu pagi, seiring terbitnya matahari, dia pun memunculkan diri.
23 Si Bunga, yang telah bekerja cukup teliti, menguap sambil berkata,“Ah...saya baru saja bangun...Maaf...saya masih belum begitu kemas...” Putera Kecil yang tidak dapat menahan rasa kagum, langsung berkata,“Awak sangat cantik” “Ya,kan?”kata Si Bunga dengan lemah lembut. “Dan saya lahir pada waktu yang sama dengan matahari terbit.” Putera Kecil mendapati, bunga itu bukanlah sejenis yang merendah diri, tetapi keindahnnya memang benar-benar menyentuh hati. “Sudah tiba waktu sarapan, agaknya?”kata Si Bunga lalu menyambung, “Sudikah awak mengambil berat tentang saya?” Putera Kecil berasa malu, lalu pergi mencari bekas penyiram, mengisi air bersih ke dalamnya sehingga penuh, lalu menyiram Si Bunga.
24 Tidak lama selepas itu, Si Bunga mula mendera emosi Putera Kecil dengan sifat angkuh dan barannya. Contohnya, pada suatu hari, ketika membicarakan tentang empat durinya, dia berkata, “Panggil harimau datang dengan kukunya.” “Tak ada harimau di planet saya,”bantah Putera Kecil. “Dan, harimau tak makan rumput.” “Saya bukan rumput,”balas Si Bunga dengan lembut. “Maaf” “Saya tak takut langsung pada harimau, tapi saya tak boleh tahan angin yang dingin. Kamu tak ada pelindung, ya?” “Tak tahan angin dingin...malanglah nasib kau,’bisik Putera Kecil dalam hati. ‘Rumit betul bunga ini.’ “Pada waktu malam, kamu perlu letakkan saya di bawah kubah kaca. Planet kamu ni terlalu sejuk. Tak lengkap langsung. Di tempat asal saya...” Kata-katanya terhenti. Dia lahir daripada biji benih, manalah dia ada pengetahuan tentang dunia lain? Sudah termalu sendiri kerana ketahuan menipu seperti budak-budak, dia purapura batuk beberapa kali untuk membuat Putera Kecil rasa bersalah. “Macam mana dengan pelindung, ada?”
25 “Saya nak pergi cari, tapi awak asyik bercakap kepada saya!” Sekali lagi Si Bunga berpura-pura batuk, demi meraih simpati Putera Kecil. Walaupun Putera Kecil mencintai Si Bunga dan sangat mahu menggembirakannya, namun kini dia ragu. Kata-kata Si Bunga menyakitkan hatinya dan membuatkan dia tidak gembira. “Saya tak patut dengar cakap bunga tu,”akui dia kepada saya pada satu hari. “Kita tak perlu dengar cakap bunga. Kita hanya perlu menatap dan mencium baunya.Bunga saya mengharumkan planet,tapi saya tak dapat menikmatinya langsung.Cakap-cakapnya tentang kuku itu sangat menjengkelkan, sedangkan ia sepatutnya membuatkan saya lembut hati. Dan dia berkata lagi, “Saya gagal memahami dia ketika itu.Saya sepatutnya menilai dia daripada tindakan, bukan kata-kata.Dia melengkapi hidup saya dengan haruman dan serinya. Tak sepatutnya saya melarikan diri! Sepatutnya saya sedar yang dia sebenarnya sangat mengambil berat tentang saya di sebalik helah-helahnya yang mengaru. Bunga sangat sukar untuk difahami. Tetapi ketika itu saya masih terlalu muda,tak tahu cara yang betul untuk mencintai dia.”
26 9 Saya percaya bahawa dia melarikan diri dengan mengambil kesempatan pada burung-burung liar yang berhijrah. Pada pagi hari keberangkatan,dia mengatur dan memastikan semua perkara di planetnya dalam keadaan baik. Dia membersihkan lohong gununggunung berapi dengan cermat. Ada dua gunung berapi aktif di situ yang amat berguna untuk memasak sarapan pada setiap pagi. Ada juga sebuah gunung berapi yang sudah tidak aktif. Tetapi, sebagaimana yang selalu dia katakan, “Manalah tahu!” Maka, dibersihkan juga lohong gunung berapi yang tidak aktif itu. Apabila lohong gunung berapi dibersihkan dengan rapi,apinya akan membakar perlahan,stabil dan tidak akan meletus. Letusan gunung berapi sama seperti api cerobong. Lain halnya di Bumi,jelas yang kita tidak punya upaya untuk membersihkan lohong gunung beerapi kita.Itulah sebabnya gunung-gunung itu kerap memberi masalah kepada kita. Putera Kecil juga mencabut saki-baki pucuk baobab yang tinggal. Dalam fikirannya,dia tidak akan kembali lagi. Bagaimanapun pada pagi itu,kerja-kerja rutinnya terasa manis dan membahagiakan. Dan selepas dia menyiram Si Bunga buat kali terakhir,ketika mahu menudungnya semula dengan kubah kaca,dia berasa sebak. “Selamat tinggal,”ucapnya kepada Si Bunga. Bunga itu tidak membalas. “Selamat tinggal,”ulangnya lagi. Si Bunga batuk-batuk.Tetapi bukanlah kerana dia demam.
27 “Saya bodoh,”akhirnya dia bersuara. “Maafkan saya. Sekarang, berbahagialah.” Terkejut Putera Kecil kerana Si Bunga tidak merungut seperti biasa. Dia berdiri pegun di situ. Kubah pelindung yang dipegang, tergantung. Keliru dia mendengar kata-kata manis bunga yang begitu tenang. “Ya, saya cintakan awak,”kata Si Bunga. “Awak langsung tak tahu, dan itu salah saya. Tak mengapalah. Tapi awak pun sama bodoh macam saya. Berusahalah untuk hidup gembira selepas ini. Letakkan saja kubah itu di situ, saya tak mahukan ia lagi.” “Macam mana dengan angin ...?” “Deman saya tak teruk sangat. Udara malam yang segar akan sembuhkan saya. Saya kan bunga.” “Haiwan-haiwan pula ...? “Saya perlu bertabah dengan seekor dua ulat beluncas jika saya mahu lihat rama-rama. Saya dengar, rama-rama sangat cantik. Kalau tidak, siapalah yang akan datang menjenguk saya? Awak dah pergi jauh. Tentang haiwan ganas pula, saya tak takut. Saya ada ‘kuku sendiri,’kata Si Bunga sambal dengan naif menunjukkan empat durinya.” Kemudian dia menyambung, “Berhentilah melilau di sini. Jengkel saya dibuatnya. Awak dah pun buat keputusan, pergi sajalah.” Sebenarnya, dia tidak mahu Putera Kecil melihat dia menangis. Sememangnya, dia bunga yang tinggi egonya.
28 10 Putera Kecil berada di wilayah asteroid 325,326,327,328,329 dan 330. Dia mula mengunjungi asteroid-asteroid itu satu per satu demi mencari kerja dan menambah ilmu. Asteroid pertama dihuni oleh seorang raja. Dengan tubuh bersarung mantel bulu cerpelai warna ungu, dia bersemayam di singgahsana yang sederhana namun memukau. “Ah! Ada rakyat datang!” teriak Raja apabila ternampak kelibat Putera Kecil. Putera Kecil tertanya-tanya,‘Macam mana dia boleh kenal saya, padahal dia tak pernah nampak pun saya sebelum ni?’ Dia tidak menyedari bahawa pada sudut pandang raja-raja, dunia ini mudah sahaja. Semua orang selain mereka adalah rakyat. “Datang dekat sikit supaya beta boleh nampak kamu dengan jelas,”kata Raja yang nampak bangga dapat menjadi raja kepada seseorang. Melilau Putera Kecil mencari tempat untuk duduk, tetapi planet itu dilitupi sepenuhunya oleh mantel cerpelai yang menakjubkan. Jadi, dia berdiri sahaja. Namun, kerana keletihan, dia mula menguap. “Menguap di hadapan raja adalah perbuatan yang tidak beradab,” kata Raja. “Beta tidak perkenankan.”
29 “Patik tak boleh tahan,”balas Putera Kecil dalam kebingungan. “Patik telah berjalan jauh dan tak dapat tidur langsung.” “Kalau begitu,” kata Raja, “beta perintahkan kamu menguap. Sudah bertahun-tahun beta tidak tengok orang menguap. Menguap adalah hal yang menarik bagi beta. Sila menguap lagi. Ini adalah titah beta.” “Okey, sekarang patik rasa malu pula. Patik dah tak boleh menguap,” kata Putera Kecil dengan wajah merona merah. “Hmm! Hmm!” dengus Raja. “Jika begitu, beta...beta perintahkan kamu untuk sesekali menguap dan sesekali...” Dia sedikit tergagap dan terlihat jengkel. Hal yang penting bagi Raja ialah supaya kuasanya dihormati. Dia tidak boleh menerima tindakan ingkar perintah. Dia adalah raja mutlak. Namun disebabkan dia berhati baik, perintahperintahnya munasabah. “Kalau beta arahkan...” adalah ayat yang selalu dia katakan. “Kalau beta arahkan seorang jeneral bertukar menjadi burung laut dan dia tidak mematuhinya, ia bukanlah salah jeneral itu, sebaliknya silap beta sendiri.” “Bolehkan patik duduk?” tanya Putera Kecil malu-malu. “Beta titahkan kamu duduk.” balas Raja, lalu dengan elegan menarik sedikit mantelnya. Putera Kecil berasa kagum. Planet itu sangat kecil. Apa sahajalah yang dapat diperintah oleh Raja? “Tuanku,” katanya, “patik memohon ampun kerana mahu bertanya...” Laju-laju Raja berkata, “Beta titahkan kamu bertanya.” “Tuanku...tuanku memerintah siapa?” “Semua,” jawab Raja dengan selamba.
30 “Semuanya?” Dengan gaya bijaksana, Raja menuding ke arah planetnya, planet-planet lain, dan bintang-bintang. “Tuanku memerintah semua itu?” soal Putera Kecil. “Ya, semua itu,” balas Raja. Nampaknya dia bukan sahaja raja mutlak, malah raja alam semesta. “Apakah bintang-bintang itu patuh pada tuanku?” “Sudah tentu,” jawab Raja. “Mereka patuh dengan segera. Beta tidak bertolak ansur dalam hal disiplin.” Kagum sungguh Putera Kecil pada kekuasaan sedemikian. Dia fikir, kalaulah dia mempunyai kuasa sehebat itu, tentu dia bukan sahaja dapat lihat empat puluh empat, malah tuluh puluh dua, bahkan seratus, bahkan dua ratus kali matahari terbenam dalam sehari tanpa perlu memusingkan kerusi! Dan rasa sayu merindu planet kecilnya yang ditinggalkan, mendorong dia menberanikan diri untuk memohon belas daripada Raja. “Patik ingin melihat matahari terbenam. Mohon tuanku perintahkan metahari untuk terbenam...demi patik.” “Sekiranya beta menitahkan seorang jeneral untuk terbang dari bunga ke bunga seperi rama-rama, ataupun menuliskan tragedi, ataupun menjelma sebagai burung laut, dan dia ingkar perintah yang diterma, siapa yang bersalah? Dia ataupun beta?” “Tuanku yang bersalah,” jawab Putera Kecil dengan tegas. “Tepat. Apabila meminta sesuata daripada seseorang, perlulah minta yang dalam kemampuannya sahaja,” sambung Raja. “Kekuasaan perlu berasaskan akal. Jika kamu mengarahkan rakyat terjun ke dalam laut, mereka akan memberontak. Beta layak
31 menuntut ketaatkan rakyat kerana titah perintah beta semuanya masuk akal.” “Jadi, bagaimana dengan matahari terbenam patik?” Putera Kecil mengingatkan. Seperti biasa, sekali dia bertanya, dia tidak akan melepaskannya selagi belum mendapat jawapan. “Kamu akan dapat matahari terbenam. Beta akan titahkan. Tetapi, menurut kebijaksanaan beta, beta perlu menantikan saat yang paling sesuai.” “Bila?” soal Putera Kecil. ‘Ehem! Ehem! Balas Raja sambil merujuk pada kalendar gergasi. “Ehem! Ehem! Ia akan berlaku sekitar... sekitar ...petang ini, dalam 20 minit sebelum pukul 8.00 malam. Dan nanti kamu akan saksikan sendiri titah beta dipatuhi.” Putera Kecil menguap. Dia kecewa kerana terlepas menyaksikan matahari terbenam. Lagipun, dia sememangnya sudah bosan. “Taka da apa-apa lagi yang boleh patik lakukan di sini,” katanya kepada Raja. “Patik nak berangkat semula.” “Jangan pergi,” balas Raja yang berbangga mempunyai seorang rakyat. “Jangan pergi. Beta akan lantik kamu jadi menteri.” “Menteri apa?” “Menteri...keadilan!” “Tapi tak ada sesiapa pun di sini untuk dihakimi!” “Manalah tahu,” kata Raja, “Beta belum pernah melawat ke seluruh pelosok kerajaan beta. Beta sudah sangat tua. Planet ini tidak ada ruang untuk kenderaan, dan berjalan kaki pula akan memenatkan beta.“Oh! Tapi patik dah lihat semuanya,” kata Putera Kecil sambil meninjau sedikit ke sisi planet sebelah satu lagi. “Di situ pun tak ada orang.”
32 “Jadi, kamu akan hakimi diri sendiri,” balas Raja. “Itu hal yang paling sukar. Jauh lebih sukar untuk seseorang menghakimi diri sendiri, berbanding menghakimi orang lain. Sekiranya kamu berjaya menghakimi diri sendiri dengan baik, maka kamu benar-benar bijaksama.” “Patik...,” kata Putera Kecil, “... patik boleh saja menghakimi diri sendiri di mana-mana. Tak semestinya patik perlu tinggal di sini.” “Ehem! Ehem!” kata Raja. “Beta pasti ada tikus tua di sini. Beta selalu dengar bunyinya pada waktu malam. Kamu boleh menghakimi tikus tua itu. Dari semasa ke semasa, kamu akan jatuhkan hukuman mati kepada dia. Dengan cara itu, hidupnya akan bergantung pada keputusan pengadilan kamu. Tetapi kamu perlu ampunkan dia pada setiap perbicaraan, supaya dia sentiasa hidup. Sebab hanya ada dia seekor di sini.” “Patik...,” balas Putera Kecil, “... patik tidak suka jatuhkan hukuman mati kepada sesiapa pun, jadi patik fikir memang patutlah patik pergi dari sini.” “Jangan,” kata Raja. Putera Kecil bersiap sedia untuk berangkat, tetapi dia tidak mahu menyakiti hati si raja tua. “Sekiranya mahu titah tuanku dipatuhi, tuanku perlu berikan patik titah yang masuk akal. Contohnya, titahkan patik supaya pergi dari sini dalam kiraan satu minit. Syarat itu sangat mudah untuk patih patuhi.” Raja tidak membalas. Putera Kecil teragak-agak seketika. Namun kemudian, dia melepaskan keluhan lalu berangkat pergi. “Beta akan jadikan kamu duta!” tergesa-gesa Raja berteriak. Dia memang memiliki aura kekuasaan yang hebat. ‘Orang dewasa memang sangat aneh,’ Putera Kecil berbisik sendiri lalu meneruskan perjalanan.
33 11 Planet kedua didiami oleh seorang kaki berlagak. “Ah!Ah!Ada peminat datang melawat! teriak Si Berlagak dari jauh sebaik ternampak Putera Kecil. Manusia kuat berlagak sentiasa menganggap semua orang yang mereka temui adalah peminat. “Hai”sapa Putera Kecil. “Topi awak kelakarlah”. "Topi ini gunanya untuk diangkat semasa saya menerima penghormatan, balas Si Berlagak. “Saya angkat topi ini apabila orang beri tepukan kepada saya. Tapi malangnya,belum pernah ada sesiapa pun yang melintas di sini.” "Benarkah?"tanya Putera Kecil, kurang faham. "Cuba awak tepuk tangan,” arah Si Berlagak. Putera Kecil pun bertepuk tangan. Lalu Si Berlagak tunduk sambil mengangkat topi dengan sopan.
34 ‘Ini lebih seronok berbanding melawat raja tempoh hari,’ kata Putera Kecil dalam hati. Lalu dia bertepuk tangan sekali lagi. Si Berlagak juga tunduk sekali lagi, dengan mengangkat topi. Selepas lima minit bertepuk tangan, Putera Kecil mula bosan. “Apa yang perlu saya buat supaya awak menurunkan topi tanda hormat pula?” dia bertanya. Tetapi Si Berlagak tidak mendengarnya. Golongan berlagak tidak mendengar perkara selain pujian. "Kamu benar-benar mengagumi saya?" dia bertanya kepada Putera Kecil. “Apa maksud ‘mengagumi’?” "Mengagumi bermaksud mengakui bahawa saya adalah lelaki paling tampan, bergaya, kaya, dan bijaksana di planet ini.” “Tapi,awak seorang saja penghuni planet ni.” "Kamu kagum sajalah pada saya,gembirakan hati saya.” "Saya kagum pada awak,"kata Putera Kecil sambil menjongketkan bahu."Tapi,kenapa itu penting sangat bagi awak?” Lantas Putera Kecil beredar dari situ. ‘Orang dewasa memang sangat pelik,’ kata Putera Kecil dalam hati lalu meneruskan pengembaraan.
35 12 Planet berikutnya dihuni oleh seorang pemabuk. Kunjungan Putera Kecil kali ini amat singkat, namun membuatkan dia berasa amat hiba. “Awak buat apa di sini?”dia menegur Si Pemabuk yang duduk diam di hadapan sejumlah botol. Ada yang masih berisi,ada yang telah kosong. “Saya minum arak," balas Si Pemabuk dengan nada suram. "Kenapa awak minum arak?"tanya Putera Kecil lagi “ Untuk melupakan,” jawab Si Pemabuk. "Melupakan apa? soal Putera Kecil yang sudah mula berasa kasihan kepada lelaki itu. "Untuk melupakan yang saya malu,” akui si lelaki pemabuk lalu tunduk. "Malu tentang apa?" tanya Putera Kecil yang kini berasa sangat ingin membantu. “Malu kerana mabuk!” Si Pemabuk menamatkan kata-kata,dan terus tidak bersuara lagi. Putera Kecil berlalu dari situ dalam keadaan keliru. 'Orang dewasa memang amat aneh,’ bisik Putera Kecil sendirian lalu meneruskan perjalanan.
36 13 Planet keempat dimiliki oleh Ahli Perniagaan. Lelaki ini sangat khusyuk bekerja sehingga langsung tidak mengangkat muka ketika Putera Kecil tiba. “Hai,”sapa Putera Kecil. “Api rokok awak dah terpadam.” “Tiga campur dua, jadi lima. Lima dan tujuh, dua belas. Dua belas dan tiga, lima belas. Hai. Lima belas dan tujuh, dua puluh dua. Dua puuh dua dan enam, dua puluh lapan. Saya tak sempat nak nyalakan semula. Dua puluh enam dan lima,tiga puluh satu Fuh! Jumlah keseluruhannya,lima ratus satu juta enam ratus dua puluh dua ribu tujuh ratus tiga puluh satu.” “Lima ratus satu juta apa?” “Ya? Eh,kamu masih ada di sini? Lima ratus satu juta... saya tak ingat...saya ada banyak sangat kerja! Saya ini orang yang sangat sibuk, tak ada masa nak berlehah-lehah. Dua dan lima,tujuh....” “Lima ratus satu juta apa?” ulang Putera Kecil yang tidak pernah melepaskan satu soalan pun yang ditanya, selagi tidak berjawab. Ahli Perniagaan mengangkat kepala.
37 “Sepanjang lima puluh empat tahun saya tinggal di planet ini,saya hanya pernah diganggu sebanyak tiga kali. Kali pertama, dua puluh dua tahun lalu seekor tebuan yang entah dari mana datangnya. Bunyinya begitu bising, sehingga empat kali saya tersalah kira. Kali kedua, sebelas tahun lepas,saya diserang reumatisme. Otot badan saya sakit-sakit kerana tak cukup bersenam. Saya tidak ada masa untuk melepak-lepak. Saya serius. Dan kali ketiga, inilah dia! Jadi,saya katakan lima ratus juta...” “Juta apa?” Ahli Perniagaan itu menyedari sudah tidak ada harapan untuk mereka berdamai. “Berjuta-juta benda kecil yang kadang-kadang kamu nampak di langit.” “Lalat?” “Bukan. Benda kecil yang bersinar”. "Lebah?” “Bukan.Benda-benda kecil bernilai tinggi, yang para pemalas selalu angankan. Tetapi saya orang yang serius. Tak ada masa untuk berangan.” “Oh! Bintang?” “Ya. Bintang-bintang.” Jadi,Apa yang awak buat dengan lima ratus juta bintang?” “Lima ratus satu juta enam ratus dua puluh dua ribu tujuh ratus tiga puluh satu. Saya serius, saya memang sentiasa mengira dengan tepat" “Jadi,apa yang awak buat dengan bintang-bintang itu?” “Apa yang saya buat?” “Ya”
38 “Tak ada apa-apa.Saya pemilik bintang-bintang itu." “Bintang-bintang itu awak punya?” “Ya.” “Tapi,saya jumpa raja yang...” “Raja tak memiliki. Raja cuma memerintah. Itu sangat berbeza.” “ Apa gunanya awak memiliki bintang-bintang itu?” “la menjadikan saya kaya.” “Apa gunanya jadi kaya?” “Saya dapat beli lebih banyak bintang apabila ada orang menemui bintang lain.” ‘Alasan lelaki ini lebih kurang sama macam Si Pemabuk,’ getus hati Putera Kecil. Bagaimanapun, dia tetap mengajukan soalan, “Macam mana pula awak boleh memiliki bintang?” “Bintang-bintang itu siapa punya?" tanya Ahli Perniagaan dengan geram. “Entah.Tak ada sesiapa punya.” “Jadi,saya punyalah,sebab saya orang pertama yang berfikir untuk memilikinya.” “Macam tu saja?” “Tentulah. Apabila kamu menemui berlian yang tidak bertuan, maka ia milik kamu. Apabila kamu menemui pulau yang tidak bertuan,maka ia milik kamu. Apabila kamu orang pertama yang memikirkan suatu idea, kamu patenkan, ia jadi milik kamu. Maka saya memiliki bintang-bintang, kerana tidak ada sesiapa pun yang terfikir untuk memilikinya sebelum saya.” “Betul juga,” kata Putera Kecil, “Lalu, awak buat apa dengan bintang-bintang tu?”
39 “Saya uruskan. Saya kira semuanya berulang kali,”kata Ahli Perniagaan. “Ini kerja berat, tapi saya serius!” Putera Kecil masih tidak berpuas hati. “Kalau saya ada selendang,saya boleh pakai di leher. Kalau saya ada bunga,saya boleh petik dan bawa bersama ke manamana. Tapi awak tak boleh petik bintang!” “Betul,tapi saya boleh simpan bintang di dalam bank” “Apa maksudnya?” “Maksudnya, saya boleh tuliskan pada kertas, jumlah bintang yang saya miliki. Kemudian, saya simpan kertas itu di dalam laci dan kunci.” “Macam tu saja?” “Macam tu saja sudah cukup!" ‘Lawaknya,’ fikir Putera Kecil. Bunyinya puitis ... tapi tak seserius mana pun.’ Apa sahaja yang berkaitan “perkara serius”, Putera Kecil sentiasa memikirkannya dengan cara yang jauh berbeza berbanding orang dewasa. “Saya ada bunga yang saya siram setiap hari. Saya ada tiga gunung berapi yang saya bersihkan lohongnya setiap minggu, termasuk satu yang sudah tidak aktif. Manalah tahu, kan. Saya sebagai tuan kepada gunung-gunung berapi dan bunga itu, ada juga manfaatnya kepada mereka. Tetapi awak langsung tak ada manfaat kepada bintang-bintang itu.” Ahli Perniagaan itu membuka mulut untuk berkata sesuatu, tetapi gagal menemui hujah untuk diucapkan. Putera Kecil pun berlalu pergi. ‘Orang dewasa memang lain macam betul’, getus hatinya lalu meneruskan pengembaraan.
40 14 Planet kelima amat mengundang tanda tanya. Ia paling kecil antara planet yang ada. Cukup-cukup memuatkan sebatang tiang lampu dan Si Penyala Lampu. Putera Kecil tidak dapat memahami keperluan menyediakan lampu dan Si Penyala Lampu untuk planet yang langsung tiada rumah dan tidak berpenghuni. Namun, tetaplah dia bersangka baik dengan berkata, “Mungkin lelaki ini kekurangan akal. Bagaimanapun, dia masih lebih berakal berbanding Raja,Si Berlagak, Ahli Perniagaan, dan Si Pemabuk. Sekurang -kurangnya, kerja yang dia lakukan ini masuk akal juga.” Apabila menyalakan lampu, dia bagai melahirkan bintang baharu ataupun bunga baharu. Apabila memadamkan lampu pula, dia seperti mendodoikan bunga dan bintang itu untuk tidur. Ini kerja yang amat bagus. Kerja ini sangat bermanfaat kerana ia begitu indah. Ketika Putera Kecil menghampiri planet itu, dia menyapa Si Penyala Lampu dengan penuh hormat,“Selamat pagi. Mengapa awak baru padamkan lampu?” “Itu aturannya,"balas Si Penyala Lampu. “Selamat pagi” “Apa tujuannya?” “Untuk memadamkan lampu. Selamat malam.”Si Penyala Lampu. menyalakan semula lampu itu.
41 “Tapi, kenapa awak nyalakan semula?” “Itu memang aturannya,”jawab Si Penyala Lampu. “Saya tak faham,”kata Putera Kecil. “Tak ada apa-apa yang perlu difahami”kata Si Penyala Lampu. “Aturan adalah aturan. Selamat pagi”Dia padamkan lampu kembali. Kemudian,dia mengesat dahi dengan sapu tangan merah bercorak kotak-kotak. “Kerja saya ini,susah betul. Dulu senang saja. Saya cuma perlu padamkan lampu pada waktu pagi,dan nyalakan semula menjelang malam.Saya dapat berehat pada waktu siang dan tidur yang cukup pada waktu malam.” “Sekarang,aturan awak telah berubah?” “Aturan itu tak pernah berubah pun,”kata Si Penyala Lampu. “Tapi tu masalahnya! Setiap tahun, planet ini berputar semakin laju,tetapi aturan itu tetap tak berubah!” “Jadi?”kata Putera Kecil. “Jadi,sekarang planet ini berputar sekali dalam seminit. Saya langsung tak dapat masa untuk berehat. Saya nyalakan lampu,dan seminit kemudian saya perlu padamkan semula.” “Kelakarnya! Cuma ada seminit dalam sehari di planet awak!” “Tak kelakar langsung,”kata Si Penyala Lampu. “Kita ni pun sebenarnya dah berbual selama sebulan.” “Sebulan?” “Ya,tiga puluh minit.Tiga puluh hari! Selamat malam.” Lalu dia kembali menyalakan lampu. Putera Kecil memerhatikan Si Penyala Lampu.Dia suka pada lelaki itu yang begitu taat menjalankan tugas. Dia mengenangkan
42 matahari terbenam di planetnya yang selalu disaksikan dengan cuma perlu memusingkan kerusi. Lalu dia berasa ingin membantu lelaki itu. Saya rasa... saya boleh carikan jalan untuk berehat apabila awak mahu.” “Saya nak berehat sepanjang masa,”kata Si Penyala Lampu. Aneh sungguh. Seseorang boleh jadi begitu taat bekerja dan berasa malas dalam masa yang sama. Putera Kecil menyambung kata, “Planet awak sangat kecil. Tiga langkah saja sudah habis satu pusingan. Awak hanya perlu berjalan perlahan-lahan supaya awak sentiasa berada pada waktu siang. Apabila awak mahu berehat,berjalanlah...dan waktu siang akan berlangsung selama yang awak mahukan.” “Itu tak berapa membantu,”kata Si Penyala Lampu.“Saya paling suka tidur” “Malanglah kalau begitu.”kata Putera Kecil. “Malanglah kalau begitu,”kata Si Penyala Lampu.“Selamat pagi.”Dan dia memadamkan lampu. Putera Kecil meneruskan perjalanan sambil memikirkan tentang semua yang dia temui: Raja, Si Berlagak, Si Pemabuk,dan Ahli Perniagaan. Mereka pasti akan memandang rendah kepada si Penyala Lampu. ‘Tetapi, dialah satu-satunya orang yang tak mengarut. Mungkin kerana dia mengambil berat tentang sesuatu selain dirinya sendiri.’ Putera Kecil mengeluh kesal dan berfikir, ‘Lelaki ini satu-satunya yang boleh jadi kawan saya. Tetapi planetnya kecil sangat.Tidak cukup untuk dua orang duduk.’ Hakikatnya,ada satu hal yang Putera Kecil tidak berani akui dengan jujur kepada dirinya sendiri,iaitu tarikan utama planet itu ialah matahari terbenam sebanyak seribu empat ratus empat puluh kali dalam masa dua puluh empat jam!
43 15 Planet keenam,saiznya sepuluh kali ganda lebih besar.Ia dihuni oleh lelaki tua yang menulis buku-buku besar. “Wah,wah...penjelajah!”teriak lelaki tua itu sebaik sahaja ternampak Putera Kecil. Putera Kecil duduk di atas meja dan mengatur nafas. Sudah jauh betul dia mengembara! “Kamu datang dari mana?”tanya lelaki tua. “Buku apa yang besar tu?”tanya Putera Kecil. “Awak buat apa?” “Saya Ahli Geografi,”jawab lelaki tua. “Ahli geografi itu apa?” “Ilmuwan yang tahu letak duduknya lautan,sungai-sungai, kota-kota, gunung-gunung,dan gurun-gurun.” “Menarik betul,”kata Putera Kecil.“Barulah saya temui pekerjaan yang sebenar!”Lalu dia memandang ke sekeliling planet Ahli Geografi.Belum pernah dia menjejaki planet yang begitu menakjubkan.
44 “Planet awak sungguh cantik. Ada laut di sini?” “Saya tak tahu,”kata Ahli Geografi. “Oh!” Putera Kecil kecewa. “Bagaimana dengn gunung?” “Saya tak tahu,”kata Ahli Geografi. “Bagaimana dengan kota, sungai dan gurun?” “Itu pun saya tak tahu,”kata Ahli Geografi. “Tapi,awak ahli geografi!” “Betul,”kata Ahli Geografi, “ tetapi saya bukan penjelajah. Saya sangat memerlukan ramai penjelajah. Bukan kerja ahli geografi untuk mengira kota-kota, sungai-sungai, gununggunung,laut,lautan,dan gurun. Darjat ahli geografi terlalu tingg,tidak sesuai untuk keluar menjelajah sendiri ke sana ke mari. Ahli geografi tidak pernah meninggalkan meja kerja.Tetapi penjelajahlah yang datang menemui dia. Dia akan menyoal para penjelajah itu dan mencatatkan memori-memori mereka. Dan jika salah seorang daripada mereka memberitahu sesuatu yang menarik, ahli geografi akan menyiasat latar belakangnya.” “Mengapa?” “Kerana penjelajah yang memberi maklumat palsu akan mendatangkan malapetaka kepada buku-buku geografi. Begitu juga jika penjelajah itu sedang mabuk.” “Mengapa?” “Pada penglihatan orang yang sedang mabuk,satu benda akan kelihatan berganda. Lalu ahli geografi pun mencatatkan ada dua gunung, padahal faktanya cuma ada satu gunung” “Saya kenal seseorang yang boleh jadi penjelajah seteruk itu,”kata Putera Kecil.
45 “Itu tak mustahil. Jadi,apabila ada penjelajah yang beretika pula, kami siasat penemuannya.” “Awak pergi tengok sendiri?” “Tidak.Itu terlalu rumit. Kami akan minta penjelajah itu kemukakan bukti.Contohnya,apabila dia mendakwa menemui gunung yang besar,kami minta dia bawa pulang batu-batu besar” Tiba-tiba Ahli Geografi menjadi teruja. “Tapi kamu datang dari tempat yang jauh! Kamu penjelajah! Beritahu saya tentang planet kamu!” Lalu Ahli Geografi membuka laci meja dan mengasah pensel Maklumat daripada penjelajah dicatat menggunakan pensel untuk catatan pertama. Sebaik sahaja penjelajah itu mengemukakan bukti penemuan,barulah maklumat itu ditulis menggunakan dakwat. “Jadi?”tanya Ahli Geografi. “Oh,tak ada apa-apa yang menarik sangat di planet saya,” kata Putera Kecil. “Saiznya kecil.,Saya ada tiga gunung berapi. Dua masih aktif dan satu sudah mati. Tapi,itulah, kita takkan tahu.” “Kita takkan tahu,”kata Ahli Geografi. “Saya juga ada sekuntum bunga.” “Kami tak merekodkan bunga,”kata Ahli Geografi. “Mengapa pula? Bungalah yang paling cantik dalam dunia ni!” “Kerana bunga bersifat efemeral”.
46 “Apa maksud ‘efemeral'?” “Buku geografi adalah buku yang paling penting.”kata Ahli Geografi. “Kandungannya tak pernah basi.Terlalu jarang berlaku, gunung beralih kedudukan.Terlalu jarang berlaku,air lautan kering. Kami hanya mencatatkan fakta-fakta yang kekal.” “Tapi,gunung berapi yang sudah mati pun tetap boleh aktif kembali,”sampuk Putera Kecil. “Apa maksud ‘efemeral’?” “Gunung berapi,sama ada mati aaupun hidup, tak ada bezanya pada kami,”kata ahli Geografi. “Apa yang penting pada kami ialah gunung itu sendiri. Ia tak berubah.” “Tapi apa maksud ‘efemeral’?"ulang Putera Kecil yang semestinya tidak akan melepaskan soalan tanpa dijawab. “Maksudnya,‘mungkin akan mati tidak lama lagi.’" “Apakah bunga saya mungkin akan mati tidak lama lagi?” “Tentulah.” ‘Bunga saya efemeral,’getus hati Putera Kecil. ‘Dan dia hanya punya empat duri sebagai perlindungan diri! Dan saya pula pergi meninggalkan dia bersendirian! Itulah kekesalan pertamanya. Tetapi dia memperoleh semangat baharu. “Pada pandangan awak, planet mana yang patut saya kunjungi?”tanya Putera Kecil. “Planet Bumi,”jawab ahli Geografi. “Kami terima banyak laporan bagus tentang Bumi.” Putera Kecil pun beredar, sambil memkirkan bunganya.
47 16 Maka,planet ketujuh ialah Bumi. Bumi bukan sekadar sebuah planet tua. Bumi memiliki seratus sebelas raja,tujuh ribu ahli geografi,sembilan ratus ribu ahli perniagaan,tujuh setengah juta pemabuk,dan tiga ratus sebelas juta kaki berlagak. Ringkasnya, ada kira-kira dua bilion orang dewasa. Bagi memudahkan anda membayangkan saiz Bumi, biar saya beritahu satu contoh,iaitu sebelum tenaga elektrik ditemukan, seramai empat ratus enam puluh ribu lima ratus sebelas tentera penyala lampu diperlukan di kesemua enam benua. Apabila dilihat darijauh, pemandangan yang terhasil begitu menakjubkan. Pergerakan tentera ini diatur koreografinya seumpama penari-penari balet dalam pementasan opera. Giliran pertama ialah penyala lampu New Zealand dan Australia. Selepas menyalakan lampu, mereka tidur. Kemudian, giliran penyala lampu China dan Siberia tampil menari. Setelah selesai, mereka juga akan kembali ke belakang pentas. Tiba pula giliran penyala lampu Rusia dan India. Seterusnya Afrika dan Eropah. Kemudian, Amerika Selatan. Selepas itu Amerika Utara. Dan tidak pernah sekali pun mereka tersilap giliran. Sungguh hebat. Hanya,satu-satunya penyala lampu yang menjaga satu-satunya lampu di Kutub Utara,dan rakannya yang juga satu-satunya penyala lampu di Kutub Selatan, hidup dalam kemalasan dan tidak hiraukan apa-apa pun,kerana mereka bekerja cuma dua kali dalam setahun.
48 17 Ada kalanya,apabila seseorang mahu dilihat pintar,dia akan mereka-reka cerita. Saya tidak jujur sepenuhnya dalam cerita tentang penyala lampu tadi. Saya berisiko memberi maklumat salah tentang planet kita kepada orang yang belum mengenalinya. Sebenarnya, manusia mengambil ruang yang sedikit sahaja di Bumi. Jika dua bilion manusia yang menghuni Bumi berdiri tegak dan rapat-rapat,mereka cuma mengambil ruang sebesar dataran awam yang panjangnya 32 km dan lebarnya 32 km. Seluruh umat manusia akan muat dihimpunkan di pulau paling kecil di Lautan Pasifik. Tentunya orang dewasa tidak akan percayakan hal ini. Mereka sangka, mereka memakan ruang yang lebih besar. Mereka sangka, mereka sebesar pokok baobab. Jadi, kita berikan mereka kirakira. Mereka sukakan angka. Tetapi anda janganlah buang masa melakukan kerja ini. Tidak perlu. Percayalah cakap saya. Sebaik sahaja Putera Kecil tiba di Bumi, dia begitu terperanjat kerana tidak nampak manusia langsung. Dia mula risau kalau-kalau tersalah planet. Ketika itulah dia ternampak suatu lingkaran berwarna seperti bulan bergerak-gerak di dalam pasir.
49 “Selamat malam,”ucap Putera Kecil sebaik sahaja berpeluang. “Selamat malam,”jawab si ular.. “Saya jatuh di planet mana ni?”tanya Putera Kecil. “Ini Bumi. Di Afrika,”balas ular. “Oh! Jadi,tak ada manusiakah di Bumi?” “Ini gurun. Tak ada manusia di gurun. Bumi sangat luas,” kata ular. Putera Kecil duduk di atas batu lalu merenung ke langit. “Saya tertanya-tanya,” katanya, apakah bintang-bintang itu menyala supaya suatu hari nanti setiap orang dapat menemui bintang mereka sendiri? Lihat planet saya. Betul-betul di atas kita... tapi tengoklah betapa jauhnya ia!” “Cantik,”balas ular.“Kamu buat apa di sini?” “Saya ada masalah dengan bunga,”kata Putera Kecil. “Oh!”kata ular. Mereka diam.
50 Putera Kecil memecah suasana, “Di mana semua manusia berada? Sunyi pula gurun ni.” “Sesama manusia pun sunyi juga,”kata ular. Lama Putera Kecil merenung si ular. “Awak ni makhluk yang aneh,”dia berkata akhirnya. “Nipis macam jari...” “Tapi saya lebih kuat berbanding jari raja,”kata ular. Putera Kecil tersenyum. “Awak tak kuat sangatlah...kaki pun tak ada...nak berjalan pun tak boleh...” “Saya boleh bawa kamu lebih jauh berbanding kapal,”kata ular lalu melilitkan tubuhnya pada tumit Putera Kecil,bagaikan gelang kaki emas. “Semua yang saya sentuh, akan kembali ke tanah tempat asalnya. Tetapi kamu suci,dan kamu berasal dari bintang.” Putera Kecil tidak menjawab. “Saya kasihankan kamu. Kamu sangat lemah dibumi granit ini,” kata ular. “Jika kamu merindui planet kamu suatu hari nanti, saya boleh bantu kamu.Saya boleh...” “Oh! Saya sudah benar-benar faham sekarang,”kata Putera Kecil. “Tapi, kenapa awak asyik bercakap macam teka-teki?” “Semua teka-teki itu, saya selesaikan,”kata ular. Dan mereka diam kembali.