TAJUK ANALISIS NOVEL MENITI BADAI KARYA SOLEHAH ABD. HAMID KOD DAN NAMA KURSUS LHE 3152 PENGAJARAN PROSA MELAYU AHLI KUMPULAN MUHAMMAD ZAFRI BIN AZMI (215933) MUHAMMAD IZZUDDIN BIN SUHAINUL BALQIAH (215868) BERNICE PHUAH SHYE THONG (215016) SEMESTER DAN PROGRAM PENGAJIAN SEMESTER 1, 2023/2024 BACELOR PENDIDIKAN BAHASA MELAYU DENGAN KEPUJIAN NAMA PENSYARAH DR. HALIS AZHAN BIN MOHD HANAFIAH
1.0 SINOPSIS – ringkasan keseluruhan cerita yang dibuat untuk mendapatkan gambaran umum tentang sesuatu cerita atau perkara dalam sesebuah cerita Novel Meniti Badai mengisahkan kehidupan sepasang suami isteri yang tinggal di sebuah kampung, iaitu Pak Uteh dan isterinya Mak Iti. Dalam kesempitan hidup, Pak Uteh tetap sabar menjaga isterinya, Mak Iti yang tidak waras sambil menanti kepulangan anak tunggalnya, Sabariah yang melanjutkan pengajiannya di luar negara. Orang kampung selalu memperkatakan tentang tindakan Pak Uteh yang masih setia dengan isterinya, Mak Iti walaupun Mak Iti berada dalam serba kekurangan. Namun begitu, Pak Uteh tetap berdiam diri dan meneruskan kehidupannya seperti biasa. Walaupun Pak Uteh menghadapi kehidupan yang berliku, dia tetap mendapat perhatian dan keprihatinan daripada keluarga Haji Samad. Selepas penantian yang cukup lama, Sabariah pulang jua ke kampung halamannya setelah menamatkan pengajian di luar negara. Kepulangan Sabariah telah membawa khabar gembira buat ibu dan ayahnya yang sudah lama menanti kepulangannya. Akan tetapi, Sabariah berada dalam dilema untuk menerima tawaran kerja sebagai seorang pegawai bank di Kuala Lumpur atau menjaga ibu bapanya di kampung. Keadaan bertambah buruk apabila Sabariah mendapat perkhabaran bahawa Pak Uteh menghidap penyakit kronik.
2.0 PLOT DAN SUBPLOT – susunan peristiwa dalam sesuatu cereka dengan berdasarkan hukum sebab dan akibat Bahagian ini akan menerangkan binaan plot, subplot, dan teknik-teknik plot yang digunakan oleh pengarang dalam novel Meniti Badai. 2.1 PERMULAAN – bahagian yang memaparkan watak-watak, latar, dan masalah atau konflik yang wujud Pak Uteh tinggal di sebuah kampung bersama isterinya, Mak Iti yang tidak waras. Mereka menjalani kehidupan dengan penuh dugaan apabila sentiasa menjadi buah mulut orang kampung. Pak Uteh sabar melayan kerenah Mak Iti yang banyak menimbulkan masalah kepada Pak Uteh. Walaupun Mak Iti tidak waras, namun dia masih mengingati anaknya, Sabariah yang melanjutkan pengajian di luar negara. Hampir setiap hari Mak Iti bertanya kepada Pak Uteh tentang kepulangan Sabariah ke kampung halaman. Apabila Mak Iti teringat akan anaknya, segala kerja akan tertangguh dan tidak sempurna. Kendatipun Pak Uteh dihujani dengan hinaan orang kampung kerana masih setia dengan isterinya yang tidak waras, Pak Uteh mengabaikan hinaan tersebut dan meneruskan kehidupan dengan penuh sabar sambil menanti kepulangan anaknya, Sabariah ke kampung halaman. Walaupun keadaan mental Mak Iti yang kurang sempurna, cinta Pak Uteh terhadap Mak Iti tidak pernah pudar.
2.2 PERKEMBANGAN – bahagian yang memaparkan perkembangan cerita dan wujudnya watak-watak yang lain Emosi Pak Uteh ada pasang surutnya. Ada ketika, Pak Uteh tidak sengaja memarahi Mak Iti yang sering menimbulkan masalah kepada Pak Uteh kerana keletihan, ada kalanya Pak Uteh hanya berniat untuk mengusik Mak Iti. Hal ini membuatkan Mak Iti merajuk dan mengalirkan air mata lantas teringat akan Sabariah. Demi menjaga hati Mak Iti, Pak Uteh tetap mengalah dan meminta maaf kepada Mak Iti. Ketika di sawah, Haji Samad mengajukan pertanyaan tentang hari kepulangan Sabariah ke kampung kepada Pak Uteh. Lantas Pak Uteh menyatakan bahawa Sabariah akan pulang ke kampung dalam masa dua minggu. Dalam perjalanan ke rumah Haji Samad, Mak Iti berhenti dan duduk di tepi jalan kerana keletihan berjalan. Tiba-tiba, Senawi menegur Mak Iti. Mak Iti terperanjat dengan sergahan tersebut dan menggeleng-gelengkan kepalanya sambil memandang Senawi. Mak Iti membisu dan tidak menjawab sebarang pertanyaan Senawi. Lantas Senawi marah sambil merengus dan melontarkan perkataan ‘gila’ kepada Mak Iti.
2.3 PERUMITAN/KONFLIK – bahagian yang memaparkan pertentangan atau pertikaian antara watak dengan dengan watak lain, antara watak dengan dirinya, ataupun antara watak dengan persekitarannya Senawi seolah-oleh tidak berpuas hati dengan Pak Uteh dan terus mencaci Pak Uteh dan isterinya, Mak Iti. Pak Uteh tertanya-tanya punca yang menyebabkan Senawi membencinya. Walaupun teruk dihina oleh Senawi, Pak Uteh tetap sabar menerima herdikan daripada Senawi itu. Cacian Senawi itu sampai ke telinga ketua kampung. Ketua kampung menyergah Senawi dan menyebelahi Pak Uteh. Ketua kampung kesal akan perbuatan Senawi. Senawi tidak mengendahkan ketua kampung dan hal ini menyebabkan dendamnya terhadap Pak Uteh semakin menebal. Zali, anak kepada Senawi sangat kecewa dan malu akan sikap ayahnya tetapi enggan berterus terang kerana ayahnya itu bersikap panas baran. Pak Uteh seakan-akan tidak mesra lagi dengan Zali kerana bimbang Zali akan menjadi mangsa panas baran ayahnya itu. Namun, Zali tetap berkeras dan masih menemui Pak Uteh. Mengetahui Zali sentiasa ke rumah Pak Uteh, Senawi berang akan sikap anaknya itu dan sebuah penampar hinggap di pipi Zali. Dalam kesakitan yang dialami, Zali terus membuka langkah seribu meninggalkan rumahnya. Hubungan antara Zali dan ayahnya, Senawi menjadi semakin renggang. Zali enggan pulang ke rumahnya dan memprotes dengan tidur di surau selama beberapa hari.
2.4 KEMUNCAK/KLIMAKS – bahagian yang memaparkan keadaan yang kritikal, cemas, ngeri, gembira, atau mendebarkan akibat daripada pertentangan antara watak Akhirnya Sabariah pulang ke kampung setelah menamatkan pengajiannya di luar negara. Kepulangan Sabariah disambut gembira oleh ibu dan ayahnya yang sekian lama menunggu kepulangannya. Setelah beberapa hari di kampung, Sabariah mengenangkan tawaran kerja sebagai pegawai bank yang ditawarkan oleh Encik Syamsul kepadanya. Perkara ini diketahui oleh Zali terlebih dahulu sebelum Pak Uteh. Pak Uteh menjadi pilu kerana Zali lebih mengetahui rancangan Sabariah itu daripada dirinya sendiri. Pak Uteh berasa agak terkilan dan menyimpulkan bahawa dia tidak berhak untuk mencampuri urusan anaknya. Sabariah diselubungi oleh dilema apabila Pak Uteh menghidap penyakit kencing manis. Hal ini bersarang di dalam fikiran Sabariah sama ada dia perlu menerima tawaran kerja itu atau sebaliknya menjaga ibu dan ayahnya di kampung. Namun, Sabariah tetap menerima tawaran kerja itu kerana dia ingin membahagiakan dan membalas jasa ibu dan ayahnya. Selang beberapa hari, Pak Uteh dimasukkan ke hospital. Mendengar perkhabaran itu, Sabariah bergegas pulang bersama Encik Syamsul dan terpaksa menebalkan muka dengan meminta cuti daripada Encik Syamsul untuk menjaga ayahnya di hospital.
2.5 PELERAIAN/PENGAKHIRAN – bahagian yang memaparkan masalah telah menemukan penyelesaian Mak Iti tidak sengaja menumpahkan minyak tanah ke atas lantai ketika ingin menuang minyak tanah ke dalam perut pelita untuk dinyalakan. Tiba-tiba, Mak Iti tersepak pelita minyak tanah di sisinya. Api merebak dengan sangat cepat dan menghampiri tubuhnya. Akhirnya, Mak Iti meninggal dunia akibat terperangkap dalam satu kebakaran ketika bersendirian di rumahnya. Pada masa yang sama, Pak Uteh dimasukkan pula ke hospital. Setelah beberapa hari di bilik rawatan kecemasan, doktor yang merawat Pak Uteh memanggil tuk ketua dan mengesahkan kematian Pak Uteh. Mengetahui hal tersebut, lantas tuk ketua memaklumkan kepada Haji Samad bahawa Pak Uteh telah meninggal dunia disebabkan keracunan getah pokok ipoh. Setelah mendapat perkhabaran tentang kematian kedua-dua ibu bapanya, Sabariah seperti orang hilang akal menghadapi kenyataan yang sungguh memilukan itu. Dia seolah-olah sukar untuk menerima hakikat bahawa dia sudah berpisah selamalamanya dengan ibu bapanya. Harapannya untuk membawa Pak Uteh dan Mak Iti ke Mekah tidak kesampaian. Apabila berita tentang kematian Pak Uteh tersebar, Senawi menjerit seperti orang gila. Dia menyesali perbuatannya terhadap Pak Uteh dan Mak Iti kerana dia tidak pernah berniat untuk menjadi pembunuh, dia cuma hanya ingin membalas dendamnya atas kisah silamnya bersama Mak Iti. Lantas Senawi mengakui kesalahannya terhadap Pak Uteh dan Mak Iti sambil menjerit dan melutut di hadapan Sabariah.
2.6 SUBPLOT – plot sampingan yang terdapat dalam sesebuah cerita Ketika Sabariah dalam perjalanan ke rumah Haji Samad, dia terserempak dengan Senawi yang berkopiah lusuh dan beg di tangan. “Dah lama kau balik dari Kuala Lumpur?” Pak Senawi bertanya. Seolah-olah mengambil berat. Sabariah cuba mengangguk. Senawi melihat lenggang-lenggok anak gadis itu dari belakang. Puas dia merenung. Ruang ingatannya menebar sejarah silam. Dia rasa lenggok Sabariah saling tidak tumpah seperti Iti. Masih tergambar di kepalanya, ketika Iti menerima lamaran Pak Uteh. Senawi seperti kehilangan arah. Dia rasa kosong. Dia rasa tercabar walaupun rahsianya menggilai Iti tiada sesiapa yang tahu. Sejak itu, ada dendam yang terperuk di dalam dadanya. Dendam kepada kedua-dua manusia itu. Walau apa cara sekalipun, dia tetap ingin memenuhi dendamnya itu. Tetapi biarlah corak dendamnya orang tidak tahu. Senawi harap, segala yang berlaku tidak ada sesiapa yang sedar. Naluri dendamnya mengatasi segalanya. Sepanjang hidupnya, Senawi sentiasa menghina dan mencaci kehidupan Pak Uteh dan Mak Iti. Dikatanya Mak Iti hanya mencari masalah kerana mengahwini Pak Uteh yang miskin sehingga dibuang oleh keluarganya yang kaya. Sehinggalah Mak Iti disahkan mengalami penyakit mental, Senawi berasa puas hati dan menganggap dendamnya terbalas. Namun, jauh di sudut hatinya Senawi hendak menyiasat angkara siapa yang menyebabkan Mak Iti menjadi sasau. Disebabkan keegoannya, Senawi masih menyimpan dendam terhadap mereka berdua. Mendengar berita kematian Mak Iti dan Pak Uteh yang tersebar itu, Senawi menyesali atas segala perbuatannya. Dia tahu, dendamnya terbalas tetapi niatnya tidaklah sampai menyebabkan kematian. Menyesali kesalahannya itu, Senawi melutut di hadapan Sabariah mengakui bahawa dia telah berbuat dosa terhadap Pak Uteh dan Mak Iti.
2.7 TEKNIK PLOT – cara yang digunakan oleh pengarang untuk mengembangkan plot supaya ceritanya menarik 2.7.1 PEMERIAN – gambaran sesuatu perkara atau peristiwa secara langsung Contoh: Malam itu, awan berarak selepas langit gelap hitam. Titik-titik hujan yang keras menimpa bumbung rumah. Angin bertiup agak kencang. Sesekali api pelita terlintuk-lintuk dibuai angin yang mencuri masuk melalui celah-celah dinding. Sesekali juga bunyi daun kelapa mengguris bumbung tatkala angin kencang menerjah telinga Pak Uteh. 2.7.2 DIALOG – percakapan atau pertuturan antara dua watak atau lebih daripada dua watak Contoh: “Terima kasih, Zali. Tak payahlah. Biar kakak balik sahaja. Tak berani naik basikal buruk kau tu. Tak pasal-pasal nanti dapat sakit pula!” Sabariah mengusik. Zali terkekeh-kekeh ketawa menyambut usikan daripada Sabariah. 2.7.3 IMBAS MUKA – bayangan awal atau ramalan tentang sesuatu peristiwa yang akan berlaku kesan daripada aksi-aksi watak dalam cerita berkenaan Contoh: Pak Uteh tahu, semua orang ada bawa bekalan masing-masing untuk makan beramai-ramai selepas atau sewaktu membersihkan kubur di pinggir surau kampung itu esok. Pak Uteh puas berfikir apa yang boleh dibawanya. Hendak bawa kuih apa? Apa yang ada? 2.7.4 IMBAS KEMBALI – mengenang semula peristiwa yang pernah dialami Contoh: Sabariah tiba-tiba teringat suatu malam dahulu ketika dia baru pulang dari mengaji Quran di rumah ketua kampung, Pak Nawi usik dia. Pak Nawi kata ada orang bunian nak melarikannya. Kecut perutnya waktu itu. 2.7.5 MONOLOG DALAMAN – kata hati atau pengucapan batin sesuatu watak Contoh: “Tidak banyak bezanya kampung ini,” bisik hati Sabariah.
2.7.6 MONOLOG – tutur kata atau pengucapan watak secara sendirian Contoh: “Aku tidak akan meninggalkan kau, Iti. Kalau aku mahu, sudah lama aku mencari gantinya. Buat apa aku mahu, jadi bodoh dengan mensia-siakan hayatku. Namun, demi kesetiaan yang pernah kita padukan, aku tidak rela berpisah dengan kau selagi hayat dikandung badan. Aku tidak sanggup, Iti! Tidak!” Desah Pak Uteh bersendirian. 2.7.7 SASPENS – keadaan tertanya-tanya atau perasaan ingin tahu tentang peristiwa yang akan berlaku selanjutnya Contoh: Sedang Pak Uteh melayan perasaannya, Pak Uteh terdengar ada orang memberi salam. Pak Uteh menyuruh Mak Iti melihat siapa di luar dan Mak Iti akur. Pak Uteh pula menolak daun tingkap dan menjengah keluar melihat siapa yang datang. Rasa-rasanya Pak Uteh kenal dengan suara yang memberi salam itu. 2.7.8 KONFLIK – pertentangan antara dua pihak atau dua kekuatan dalam urutan plot Contoh: Konflik antara watak Zali dengan bapanya, Senawi. Konflik ini tercetus apabila bapanya mengetahui anaknya telah menziarahi Pak Uteh di hospital tanpa kebenarannya. Selain itu, Zali juga kerap ke rumah Pak Uteh tanpa pengetahuannya. Hal ini telah membuatkan Senawi yang panas baran telah menampar Zali pada mukanya menyebabkan Zali tidak pulang ke rumah selama dua malam berturut-turut dan tidur di surau. 2.7.9 KEJUTAN – perubahan dalam urutan peristiwa yang berlaku secara tibatiba Contoh: Senawi yang dahulunya membenci Mak Iti kini telah berubah dan menginsafi segala perbuatannya. Senawi melangkah ke tengah rumah. Dia mula membaca alQuran untuk dihadiahkan kepada manusia yang pernah bertempat di hatinya itu.
Janjinya pada diri, untuk menyiasat angkara siapa yang menyebabkan Mak Iti jadi sasau, telah dibawa bersama perginya manusia yang pernah digilainya itu. Kesal hatinya tidak terhingga, tetapi dia tetap menerima segalanya sebagai takdir.
3.0 TEMA DAN PERSOALAN Bahagian ini akan membincangkan tema dan beberapa persoalan yang terdapat dalam novel Meniti Badai. 3.1 TEMA – persoalan utama yang diungkapkan dalam sesuatu karya, sama ada secara langsung (eksplisit) atau secara tidak langsung (implisit) Novel Meniti Badai bertemakan ketabahan Pak Uteh menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran dalam hidupnya. Tema ini dapat dibuktikan melalui kisah Pak Uteh yang menghadapi pelbagai rintangan dalam menjaga isterinya yang tidak waras, Mak Iti dalam pada masa yang sama dihujani oleh buah mulut orang sekeliling kerana masih setia dengan isteri yang dianggap sudah ‘gila’. Walaupun penat bekerja setiap hari, Pak Uteh tidak pernah lupa mencurahkan kasih sayangnya kepada Mak Iti. Kehidupan Pak Uteh kadangkala tertekan apabila sering diherdik dan dicaci oleh Senawi walaupun tidak mengetahui puncanya. Walaubagaimanapun, Pak Uteh hanya berdiam diri dan meneruskan sisa-sisa kehidupan dengan penuh tabah. Dalam meniti kehidupan yang berliku, terselit perasaan rindu terhadap anak tunggalnya, Sabariah yang melanjutkan pengajian di luar negara. Hampir setiap hari Pak Uteh menanti kepulangan anak tunggalnya itu tanpa jemu.
3.2 PERSOALAN – perkara-perkara yang lebih kecil yang ada hubungan dengan tema a. Persoalan kasih sayang seorang suami terhadap isteri Pak Uteh amat menyayangi isterinya walaupun Mak Iti tidak waras dan sering menimbulkan masalah kepadanya. Buktinya, Pak Uteh tetap melayani Mak Iti dengan penuh kasih sayang walaupun penat bekerja seharian. Selain itu, Pak Uteh tetap setia hidup bersama Mak Iti walaupun menerima cemuhan dan sindiran daripada orang kampung terutamanya Senawi. Di samping itu, Pak Senawi juga sentiasa membelikan barang-barang kesukaannnya serta memasakkan lauk kegemaran Mak Iti seperti kerabu pucuk paku, ikan kembung bakar, dan ikan goreng sebagai lauk tengah hari. b. Persoalan kasih sayang seorang anak terhadap ibu bapa Sabariah amat menyayangi ayahnya, Pak Uteh dan ibunya, Mak Iti. Buktinya, Sabariah berjanji akan membawa ibu dan bapanya ke Mekah setelah jika wang sudah mencukupi. Selain itu, Sabariah sanggup memohon cuti daripada Encik Syamsul untuk menziarahi ayahnya di hospital walaupun baru sahaja dua hari menjawat jawatan sebagai pegawai bank. Di samping itu, Sabariah juga mengail ikan di sungai bersama Kak Hawa dan Zali bagi memenuhi permintaan ayahnya iaitu gulai masak lemak ikan keli. Sabariah sentiasa membantu Pak Uteh dan Mak Iti memasak lauk tengah hari, mengangkat air, dan membuat kerja rumah bagi meringankan beban orang tuanya. Sabariah juga kadangkala pergi ke sawah untuk membantu Pak Uteh mengetam padi kerana dia tidak sampai hati melihat ayahnya hidup melarat, bekerja dengan tulang empat kerat.
c. Persoalan kepentingan pendidikan demi masa hadapan Sabariah sendiri pada mulanya enggan belajar di luar negara kerana tidak sanggup meninggalkan Mak Iti. Walaubagaimanapun, demi memenuhi cita-cita dan harapan Pak Uteh, Sabariah akur juga untuk melanjutkan pengajian ke luar negara. Dia pergi melanjutkan pengajian dengan segunung harapan agar segala pengorbanan ayahnya itu dapat dihargai. Setelah beberapa tahun, Sabariah berjaya menamatkan pengajian dan mendapat tawaran kerja daripada seorang pegawai tinggi sebuah bank terkemuka di Kuala Lumpur, Encik Syamsul. Selepas beberapa hari, Sabariah menerima tawaran kerja itu dan menjawat jawatan sebagai seorang pegawai bank di Bank Usaha Maju yang terletak di Kuala Lumpur. d. Persoalan kepentingan pegangan agama dalam kehidupan Walaupun berada dalam kesempitan hidup, Pak Uteh tidak pernah lupa tanggungjawabnya kepada Allah. Buktinya, Pak Uteh kerap menunaikan solat Subuh secara berjemaah di surau. Selain itu, Pak Uteh akan membaca Quran dan kitab-kitab lamanya di ruang tamu rumahnya jika ada masa yang terluang. Di samping itu, Pak Uteh tidak jemu-jemu mengingatkan Mak Iti agar tidak meninggalkan solat. Sekiranya Pak Uteh tidak terlalu sibuk di kebun getah Haji Samad atau tidak mengambil upah mengopek kelapa ketua kampung, Pak Uteh akan mengajar Mak Iti menghafaz ayatayat di dalam Muqaddam. Pak Uteh juga sentiasa mengajar Mak Iti untuk berpuasa.
e. Persoalan keinsafan terhadap kesilapan diri sendiri Senawi sentiasa mencaci dan menghina Pak Uteh dan Mak Iti sepanjang hidupnya. Senawi sentiasa mengatakan Mak Iti seorang wanita yang ‘gila’ dan menghina Pak Uteh yang masih setia dengan Mak Iti yang dikatakannya ‘gila’ itu. Setelah berita tentang kematian Pak Uteh dan Mak Iti tersebar ke seluruh kampung, Senawi seolaholah tidak dapat menerima hakikat dan menjerit seperti orang gila. Selama ini, dia hanya berdendam sahaja dengan Mak Iti yang menolak cintanya dan Pak Uteh yang dikatakan ‘merampas’ Mak Iti daripadanya suatu ketika dahulu. Sebaliknya, dia tidak pernah berniat untuk menjadi pembunuh. Menyesali akan tindakannya itu, Senawi melutut di hadapan Sabariah dan mengakui kesalahannya terhadap Pak Uteh dan Mak Iti. f. Persoalan sikap keprihatinan terhadap orang lain Walaupun hidup Pak Uteh dalam serba kekurangan, dia sentiasa mendapat perhatian dan kasih sayang daripada keluarga Haji Samad. Buktinya, anak Haji Samad, iaitu Hawa sentiasa membawakan makanan ke rumah Pak Uteh. Sebagai contoh, Hawa pernah membawakan gulai tempoyak dan kuih bingka ubi kepada Pak Uteh dan Mak Iti. Selain itu, Hawa juga tidak pernah lokek menghulurkan sedikit juadah ketika menjelangnya hari raya. Di samping itu, Hawa juga sentiasa mempelawa Mak Iti untuk tinggal di rumahnya semasa ketiadaan Pak Uteh di rumah. Haji Samad juga mengambil Pak Uteh sebagai pekerjanya di sawah dengan tujuan memberikan sumber pendapatan buat Pak Uteh sekeluarga. Kadangkala ketua kampung juga ada memberikan upah kepada Pak Uteh untuk mengopek kelapa di rumahnya.
4.0 WATAK DAN PERWATAKAN – pelaku dalam karya yang menggerakkan cerita serta pelukisan tentang watak dari aspek luaran dan dalaman Bahagian ini akan menerangkan watak dan perwatakan yang terdapat dalam novel Meniti Badai. a. Pak Uteh Pak Uteh merupakan suami kepada Mak Iti dan bapa kepada Sabariah. Pak Uteh melakukan kerja-kerja di kampung seperti bersawah, menoreh getah, dan mengopek kelapa bagi menampung kehidupan. Pak Uteh bersikap penyayang, sabar, gigih, rajin, berani, dan tabah dalam kehidupan. Selain itu, Pak Uteh juga taat akan perintah agama. Pak Uteh juga sering mengamalkan semangat bermasyarakat di kampung. Akhir sekali, Pak Uteh amat mementingkan pendidikan anaknya walaupun dihimpit kemiskinan. b. Mak Iti Mak Iti merupakan isteri kepada Pak Uteh dan ibu kepada Sabariah. Mak Iti merupakan seorang anak daripada keluarga yang kaya namun dibuang keluarga apabila mengahwini Pak Uteh. Mak Iti mengalami penyakit sasau sehingga menyebabkan dia menjadi tidak waras. Namun begitu, dia tetap menyayangi Pak Uteh dan Sabariah. Selain itu, Mak Iti taat akan perintah suaminya, Pak Uteh walaupun ditimpa penyakit sasau. Akhir sekali, emosinya mudah tersentuh sekiranya merindui anaknya, Sabariah. c. Sabariah Sabariah merupakan anak tunggal bagi Pak Uteh dan Mak Iti. Dia melanjutkan pelajarannya di luar negara. Dia merupakan seorang anak yang sangat menyayangi ibu dan bapanya. Dia gigih menuntut ilmu kerana sanggup berjauhan dengan ibu bapanya di kampung bagi menggapai impian yang dihajati. Berkat
segala pengorbanannya sepanjang melanjutkan pelajaran, kini Sabariah merupakan seorang pegawai bank di Kuala Lumpur. d. Hawa Hawa merupakan anak kepada Haji Samad. Dia merupakan seorang yang sangat prihatin terhadap nasib yang ditimpa oleh Pak Uteh dan Mak Iti. Dia merupakan seorang yang penyayang kerana hampir setiap hari dia menghantar juadah seperti gulai tempoyak dan bingka ubi ke rumah Pak Uteh dan Mak Iti. Selain itu, Hawa juga seorang yang mengambil berat tentang keadaan yang menimpa Pak Uteh sekeluarga. e. Haji Samad Haji Samad merupakan rakan sebaya Pak Uteh. Dia sangat prihatin terhadap nasib yang menimpa rakannya, Pak Uteh. Haji Samad mempunyai semangat setia kawan yang tinggi kerana sanggup mengambil Pak Uteh bekerja di sawahnya supaya Pak Uteh dapat menjana pendapatan. Selain itu, Haji Samad amat menitikberatkan perintah agama kerana sering solat berjemaah di surau. Haji Samad juga mengamalkan semangat bermasyarakat di kampungnya. f. Senawi Senawi merupakan bapa kepada Zali. Dia tidak disenangi oleh penduduk kampung kerana sikapnya yang panas baran dan mementingkan diri sendiri. Dia juga merupakan seorang yang suka merendah-rendahkan orang lain terutamanya Pak Uteh dan Mak Iti. Selain itu, dia juga merupakan seorang yang pendendam kerana menyimpan dendam terhadap Mak Iti yang menolak cintanya suatu ketika dahulu. Senawi juga merupakan seorang bapa yang tidak bertanggungjawab kerana pernah menampar muka anaknya di muka.
g. Zali Zali merupakan anak kepada Senawi. Dia juga amat prihatin terhadap nasib yang menimpa Pak Uteh dan Mak Iti. Dia amat menyayangi Pak Uteh dan menganggap Pak Uteh seperti bapanya sendiri. Zali juga seorang yang menghormati orang lain yang lebih tua daripadanya. Dia juga mengamalkan semangat kemasyarakatan di kampung. Walaupun begitu, Zali juga merupakan seorang yang penyabar kerana dia tabah menghadapi buah mulut penduduk kampung terhadap ayahnya yang panas baran itu. Zali tidak pernah melawan kata-kata ayahnya itu sebaliknya hanya bersabar dan berdiam diri. h. Tuk Ketua Tuk Ketua merupakan seorang ketua kampung. Dia juga amat prihatin terhadap nasib yang menimpa Pak Uteh dan Mak Iti. Dia sering mengupah Pak Uteh untuk mengopek kelapa supaya Pak Uteh dapat menjana pendapatan. Selain itu, Tuk Ketua juga merupakan seorang pemimpin yang berpendirian tegas kerana dia menggalakkan penduduk kampung untuk membina perpaduan melalui aktiviti kemasyarakatan di kampung. Tuk Ketua juga merupakan seorang yang taat akan perintah agama kerana sering solat berjemaah di surau. i. Leman Leman merupakan anak kepada Haji Samad dan abang kepada Hawa. Dia merupakan seorang askar yang beroperasi di hutan. Leman merupakan seorang yang tidak lupa diri kerana masih mengingati Pak Uteh yang menegurnya. j. Encik Syamsul Encik Syamsul merupakan seorang pegawai tinggi di Bank Usaha Maju di Kuala Lumpur. Encik Syamsul berumur 35 tahun dan masih membujang. Dia mempunyai banyak pengaruh di bank tersebut kerana pandangannya sering didengari
disebabkan dia tidak korup ketika menjalankan tugas. Dia seorang yang amat berpandangan jauh kerana menawarkan Sabariah tawaran kerja walaupun Sabariah masih belum menamatkan pelajarannya. Selain itu, Encik Syamsul juga seorang yang bertimbang rasa kerana membenarkan Sabariah pulang ke kampung untuk menziarahi ayahnya di hospital. k. Puan Noor Hazati Puan Noor Hazati merupakan setiausaha Encik Syamsul yang ikut serta ke konvokesyen di luar negara. Dia sudah memiliki dua orang anak. l. Ali Gemuk Ali Gemuk merupakan seorang pemilik kedai runcit di kampung tersebut. m. Mokhtar/Utan Utan merupakan anak saudara Senawi yang bekerja di Jabatan Orang Asli dekat sempadan Perak. n. Mak Aji Timah Mak Aji Timah merupakan isteri kepada Haji Samad. Mak Aji Timah juga merupakan seorang yang prihatin terhadap keluarga Pak Uteh dan Mak Iti. o. Mek Som Mek Som merupakan anak perempuan kepada Tuk Ketua. Dia sentiasa patuh akan arahan ayahnya untuk melakukan sesuatu.
5.0 LATAR – keterangan yang berkaitan dengan watak, ruang, masa, tempat, dan suasana terjadinya cerita dalam sesuatu karya Bahagian ini akan membincangkan latar tempat, latar masa, dan latar masyarakat yang terdapat dalam novel Meniti Badai. 5.1 LATAR TEMPAT – latar berlakunya peristiwa dalam cerita a. Atas tangga Mak Iti duduk menopang dagu sambil melihat Pak Uteh pulang dengan sebiji buah tembikai dan surat khabar di tangan lalu tersengih gembira. b. Dapur Sesudah sembahyang, Mak Iti teringat akan tembikai yang dibawa pulang oleh Pak Uteh lalu terhiris tangannya ketika hendak memotong tembikai yang merah menyala isinya itu. c. Surau Zali tidur di surau selama dua malam berturut-turut kerana enggan pulang ke rumah setelah dimarahi oleh ayahnya, Senawi. d. Reban ayam Mak Iti meninjau-ninjau anak ayam yang baru menetas lalu menyambar seekor anak ayam yang berdecip-decip di sisi ibunya. Mak Iti membelai anak ayam yang sedang berada di dalam tangannya. e. Sawah Haji Samad Pak Uteh mengambil bunga kenanga yang tumbuh mekar di sebelah sawah Haji Samad untuk diberikan kepada Mak Iti yang sedang merajuk dengannya. f. Tepi parit Mak Iti melabuhkan punggungnya kerana keletihan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari kebun.
g. Rumah Haji Samad Haji Samad melemparkan senyuman apabila terpandang Mak Iti yang duduk bertimpuh di atas tikar mengkuang di tepi bendul sambil menjamah pisang goreng yang dihidangkan oleh Hawa. h. Rumah ketua kampung Mek Som, anak ketua kampung memberitahu Pak Uteh bahawa Zali telah dimarahi oleh ayahnya, Senawi. i. Kedai runcit Ali Gemuk Tempat Pak Uteh singgah untuk membeli akhbar Utusan Melayu dan sedikit ikan tamban kering untuk dijadikan lauk tengah hari. j. Tepi telaga Pak Uteh mencabut beberapa biji ubi kayu untuk direbus, dicicah dengan gula, dan dibawa ketika gotong-royong membersihkan kubur di pinggir surau. k. Bawah pokok kemboja putih Pak Uteh melihat Zali sedang bekerja membersihkan perkarangan kubur bersama beberapa orang anak muda yang lain. l. Tepi bilik air surau Pak Uteh terdengar perbualan antara isteri Senawi dan Mek Som yang sedang berbual tentang penyakit kencing manis sambal mencuci pinggan mangkuk yang telah digunakan. m. Hospital Doktor menasihati Pak Uteh sewaktu menerima rawatan tentang beberapa pantang yang harus dielak oleh Pak Uteh supaya penyakitnya tidak melarat.
n. Rumah Pak Uteh Zali datang untuk menyampaikan surat yang dikirim oleh Sabariah kepada Pak Uteh lalu meminta Zali untuk membaca surat itu kerana Pak Uteh sudah mengalami rabun jauh yang agak teruk. o. Sungai Pak Uteh menjala ikan dengan Haji Samad dan Zali. p. Tepi pondok buruk Pak Uteh terserempak dengan kambing Haji Samad yang sedang rakus meragut rumput semasa berjalan pulang ke rumah. q. Kuala Lumpur Sabariah ingin pergi ke Kuala Lumpur untuk menemui Encik Syamsul bagi menerima tawaran kerja sebagai pegawai bank. Selain itu, Sabariah ada juga bertanya kawankawannya tentang cara mengubati penyakit kencing manis.
5.2 LATAR MASA – masa atau tempoh berlakunya sesuatu peristiwa yang digambarkan dalam sesuatu cerita a. Pukul 2:00 petang Pak Uteh turun ke tanah dan menuju ke telaga hendak berwuduk selepas selesai makan tengah hari. b. Bulan Ramadan Walaupun Mak Iti tidak begitu waras, dia tidak pernah ketinggalan untuk berpuasa walaupun kadang-kadang hanya separuh hari. c. Waktu malam Pak Uteh segera bangun mencapai selimut yang agak lusuh dan terus menyelimutkan badan Mak Iti yang kesejukan hingga paras bahu. d. Waktu pagi Pak Uteh mengingatkan Mak Iti untuk memasak nasi sebelum pergi ke sawah Haji Samad. e. Waktu tengah hari Hawa, anak Haji Samad membawakan gulai tempoyak untuk Mak Iti sebagai lauk tengah harinya. f. Pukul 9:00 pagi Pak Uteh menuju ke kubur di pinggir surau berbekalkan sebatang cangkul dan ubi kayu rebus. g. Selepas Sembahyang Jumaat Ketua kampung menyampaikan ucapan agar seluruh penduduk kampung melibatkan diri dalam majlis keramaian, memahami tanggungjawab masing-masing, dan samasama membina perpaduan.
h. Selepas Sembahyang Zuhur Pak Uteh baring-baring sambil mengingatkan kata-kata Ali Gemuk sewaktu dia pergi membeli akhbar sebelum pulang tengah hari tadi. i. Selepas Sembahyang Subuh Pak Uteh ke belakang rumah untuk mencabut ubi kayu yang ada kerana dia hendak menyambut kepulangan Sabariah dengan hidangan ubi kayu rebus. j. Pukul 10:00 malam Sabariah membuka tingkap lalu mengintai ke bawah sambil kerisauan kerana Pak Uteh masih tidak pulang dari surau. k. Musim padi masak Pak Uteh keluar sewaktu bulan masih ada sebesar bentuk sabit untuk membuka gelung air di Sawah Haji Samad kerana tanah sawah perlu kering agar tidak merumitkan kerja-kerja menuai. l. Pukul 5:00 pagi Kokokan ayam jantan telah mengejutkan lena Pak Uteh dan Mak Iti. m. Waktu Maghrib Mak Iti naik ke rumah dan mengisi pelita dengan minyak tanah sambil menunggu kepulangan Pak Uteh daripada mencari ikan di sungai.
5.3 LATAR MASYARAKAT – keadaan atau citra masyarakat di tempat cerita berkenaan berlaku a. Masyarakat yang bertanggungjawab terhadap keluarga Walaupun dalam kesempitan hidup, Pak Uteh tidak pernah melupakan tanggungjawabnya kepada Mak Iti. Buktinya, Pak Uteh bekerja di sawah Haji Samad dan mengambil upah mengopek kelapa daripada ketua kampung untuk menyara kehidupan. Selain itu, Pak Uteh juga akan menyediakan lauk tengah hari dan melakukan kerja-kerja rumah selepas pulang daripada bekerja. b. Masyarakat yang prihatin terhadap kesusahan orang lain Keluarga Haji Samad sangat prihatin terhadap kesusahan yang dialami oleh Pak Uteh dan Mak Iti. Buktinya, Hawa, anak Haji Samad sering menghantar juadah seperti gulai tempoyak dan kuih bingka ubi di rumah Pak Uteh. Selain itu, Hawa juga sering mengajak Mak Iti ke rumahnya ketika ketiadaan Pak Uteh di rumah kerana bimbang Mak Iti duduk berseorangan di rumah. Di samping itu, Haji Samad juga pernah membawa Pak Uteh ke hospital setelah disengat oleh ikan keli. c. Masyarakat yang tekun dan rajin menimba ilmu Sabariah sangat rajin menuntut ilmu. Buktinya, Sabariah telah melanjutkan pelajarannya di luar negara walaupun pada mulanya dia enggan meninggalkan ibu dan bapanya di kampung. Namun begitu, kesusahan hidup tidak menghalang Sabariah untuk meneruskan impiannya dan membawa harapan Pak Uteh dan Mak Iti yang sudah banyak berkorban untuk dirinya.
d. Masyarakat yang tabah menghadapi kesulitan hidup Pak Uteh sangat tabah menghadapi liku-liku dalam kehidupan. Buktinya, Pak Uteh tekad meneruskan kehidupannya walaupun dicaci dan dihina oleh orang kampung terutamanya Senawi. Selain itu, Pak Uteh juga sabar menjaga Mak Iti yang tidak waras dan mempunyai pelbagai kerenah. Di samping itu, Pak Uteh tetap bekerja walaupun ditimpa sakit kronik demi menyara keluarganya. e. Masyarakat yang mengamalkan sikap dendam Senawi menyimpan dendam terhadap Pak Uteh dan Mak Iti di dalam hatinya. Buktinya, Senawi sering memperlekehkan Pak Uteh kerana masih setia dengan Mak Iti yang tidak waras. Selain itu, Senawi juga sentiasa merendah-rendahkan Pak Uteh di hadapan khalayak ramai. Di samping itu, Senawi juga sering menggelar Mak Iti sebagai ‘orang gila’. Hal ini berlaku kerana Senawi berdendam dengan Pak Uteh dan Mak Iti kerana Mak Iti pernah menolak cinta Senawi dan memilih untuk hidup bersama dengan Pak Uteh. f. Masyarakat yang insaf dan sedar akan kesilapan lalu Senawi insaf akan perbuatannya terhadap Pak Uteh dan Mak Iti. Buktinya, Senawi menyesal akan kesalahannya apabila mendengar berita tentang kematian Mak Iti dan Pak Uteh. Senawi kesal kerana tidak sempat untuk menebus kesalahannya ketika Pak Uteh dan Mak Iti masih hidup. Ketika jenazah Mak Iti berada di rumah Haji Samad, Senawi mengambil al-Quran lalu membacakannya untuk Mak Iti buat kali terakhir. Senawi juga melutut mengakui kesalahannya di hadapan Sabariah supaya Sabariah dapat memaafkan segala perbuatan kejinya terhadap Pak Uteh dan Mak Iti.
g. Masyarakat yang tidak bertanggungjawab terhadap keluarga Senawi dilihat tidak bertanggungjawab terhadap keluarganya. Buktinya, Senawi yang bersikap panas baran itu pernah menampar anaknya, Zali tepat pada mukanya sehingga kemerah-merahan. Senawi berbuat demikian selepas mengetahui Zali menziarahi Pak Uteh di hospital dan sering ke rumah Pak Uteh. Hal ini telah membuatkan hubungan Senawi dengan anaknya, Zali semakin renggang dan menyebabkan Zali malu dengan sikap ayahnya yang sering diperkatakan oleh penduduk kampung. h. Masyarakat yang taat akan perintah agama Walaupun berada dalam kesempitan hidup, Pak Uteh tidak pernah lupa tanggungjawabnya kepada Allah. Buktinya, Pak Uteh kerap menunaikan solat Subuh secara berjemaah di surau. Selain itu, Pak Uteh akan membaca Quran dan kitab-kitab lamanya di ruang tamu rumahnya jika ada masa yang terluang. Di samping itu, Pak Uteh tidak jemu-jemu mengingatkan Mak Iti agar tidak meninggalkan solat. Sekiranya Pak Uteh tidak terlalu sibuk di kebun getah Haji Samad atau tidak mengambil upah mengopek kelapa ketua kampung, Pak Uteh akan mengajar Mak Iti menghafaz ayat-ayat di dalam Muqaddam. Pak Uteh juga sentiasa mengajar Mak Iti untuk berpuasa.
6.0 SUDUT PANDANGAN – cara seseorang pengarang mempersembahkan plot cerita kepada pembaca Bahagian ini akan menerangkan sudut pandangan pengarang dalam novel Meniti Badai. 6.1 SUDUT PANDANGAN ORANG PERTAMA – pengarang terlibat secara langsung dalam sesebuah cerita dan berperanan sebagai salah seorang watak dalam cerita a. Ah! Aku cuma mengusik takkan sanggup aku mengotakannya. Kata-kataku sekadar kata-kata gurauan tetapi kenapa mesti aku melahirkan kata-kata itu sedangkan sebenarnya tiada hasrat itu di dalam niatku? b. Kenapa aku harus tunggu dan dengar segala caci maki ini? Kenapa aku tidak pulang saja? Untuk apa aku tadahkan telinga semata-mata mendengar kutukan orang yang tidak tahu tentang anak biniku. Untuk apa juga aku disakiti oleh orang yang tidak pernah jemu mencampuri urusan hidupku? c. Sudah tua benar aku, sudah sepatutnya aku menjadi datuk dan menimang cucu. Kalau aku banyak duit, sudah lama aku bergelar Haji Uteh. Tapi aku belum ada cucu yang boleh memanggil aku Atuk Uteh atau lebih singkat lagi Tuk Teh. Kalau aku ramai anak, agaknya sudah lama aku dikelilingi oleh cucu-cucu? Kalau aku banyak duit juga atau paling tidak, ada juga duit yang dapat menampung aku pergi ke Mekah, setidak-tidaknya aku sudah boleh dipanggil Haji Uteh. d. Apalah yang hendak dikesalkan pada nasib, sudah begini suratan takdir. Seharusnya aku bersyukur dengan apa yang ada. Aku tidak pernah meminta-minta untuk meneruskan sisa-sisa hidup ini. Ya…, aku bersyukur. Iti jadi sewel pun aku bersyukur juga. Aku tahu dan aku pasti ada rahmat dari Allah! Allah Yang Maha Mengetahui setiap perjalanan hidup hamba-Nya.
6.2 SUDUT PANDANGAN ORANG KETIGA – pengarang berperanan sebagai pencerita dan menyampaikan segala peristiwa serta tindak-tanduk watak dalam cerita tanpa melibatkan dirinya 6.2.1 PENCERITA SERBA TAHU – pengarang sebagai pencerita mengetahui serba-serbi peristiwa serta watak-watak dalam cerita dan dapat menceritakan secara terperinci segala-galanya tentang watak termasuk fikiran, perasaan, dan tingkah laku watak tanpa batasan a. Sepanjang perjalanan pulang itu dia terasa amat letih, namun, matanya tetap tidak mahu pejam. Dia begitu ghairah melihat alam yang pernah ditinggalkannya. Negaranya sudah banyak berubah. Dan perubahan itu semuanya mengarah kepada kemajuan. Tapi bagaimana dengan kampungnya, tempat dia pernah bermain tarik upih pinang waktu zaman anak-anak dulu? b. Khayalan dan kenangannya hilang apabila pemandu teksi meminta kepastian ke arah mana tujuannya yang sebenar. Dia sendiri kurang ingat. Tiba-tiba dia mengarahkan pemandu teksi itu menurunkan dia di tempat yang menjadi kebiasaan orang-orang kampung itu turun apabila pulang dari bandar. c. Akhirnya dia sampai juga ke rumah. Dia memberi salam. Sekali saja mengucapkan kalimah Allah itu, salamnya sudah bersambut. Pak Uteh sekali menjenguk ke tingkap dan sekali pandang saja dia sudah mengenali anak kesayangannya. d. Dia tidak kisah sangat kalau hidungnya berair dek kepulan asap sewaktu meniup bara api di dapur. Dia juga tidak peduli kalau dia terpaksa angkut air telaga atau tolong belahkan kayu api. e. Selepas menuai nanti, dapatlah dia mencari ikan air tawar. Lebih-lebih lagi ikan keli yang sangat diharapkan oleh isterinya. Hari ini dia berjanji dengan Haji Samad dan Zali untuk pergi menjala ikan di sungai.
6.2.2 PENCERITA TERBATAS – pengarang hanya memilih watak-watak tertentu sahaja dan penceritaan bertumpu kepada watak tersebut tetapi penceritaan terhadap watak-watak tersebut adalah terhad atau terbatas a. Senawi sudah seminggu ke Negeri Sembilan. Senawi pergi dengan anak saudaranya yang bekerja di Jabatan Orang Asli dekat sempadan Perak. Anak saudaranya, Mokhtar atau ‘Utan’ beria-ia mengajak Senawi ke sana. b. “Macam tu lah biasanya. Kita sebagai rakyat terpaksa patuh setiap kata-kata golongan atasan ni, pak cik.” Sampuk seorang lelaki yang duduk di sebelah pemandu. c. Pak Uteh singgah di kedai runcit Ali Gemuk. Sesudah Ali Gemuk menghulurkan akhbar yang dikehendakinya dan membeli sedikit ikan tamban kering yang lebih terkenal dengan nama ikan tamban ‘tergeliat’. Pak Uteh terus balik. d. Pernah juga doktor menasihati Pak Uteh sewaktu menerima rawatan di hospital dulu tentang beberapa pantang yang harus dielak oleh Pak Uteh supaya penyakitnya tidak melarat. e. Sabariah mendapat maklumat itu daripada setiausaha Encik Syamsul sendiri yang ikut serta ke konvokesyen di luar negara dulu, Puan Noor Hazati yang sudah ada anak dua. f. “Mak Iti, nanti Awa hantarkan nasi ke sini! Mak Iti janganlah sedih, Awa tahu Mak Iti tidak sengaja!” Pujuk Hawa bagaikan memujuk anak saudaranya, Bibi, anak Abang Fuad yang kadang-kadang suka benar merengek-rengek. g. Pak Uteh telah lama tahu tentang adanya ‘jentera besar’ itu. Cuma peluang untuk melihat dan menggunakannya saja yang belum tiba. Pak Uteh tahu itu semua melalui kunjungan ke rumah saudaranya di Tanjung Karang.
7.0 GAYA BAHASA – alat atau wahana untuk menyampaikan pemikiran atau pandangan terhadap sesuatu tema dan persoalan Bahagian ini akan membincangkan beberapa gaya bahasa yang terdapat dalam novel Meniti Badai. a. Simile Simile ialah perbandingan secara tidak langsung antara satu benda yang sama dengan menggunakan kata bandingan. Contoh simile yang terdapat dalam novel Meniti Badai adalah seperti yang berikut: Mak Iti tersengih macam kerang busuk. (Halaman 36) Pak Uteh berleter macam perempuan mengandung sembilan bulan. (Halaman 40) Mak Iti muntah-muntah macam perempuan baru ‘lekat perut’. (Halaman 52) Macam duduk dalam neraka! (Halaman 91) Senawi menjerit macam orang gila apabila... (Halaman 122) b. Hiperbola Hiperbola ialah sejenis bahasa kiasan yang digunakan untuk menyatakan sesuatu secara berlebih-lebihan daripada maksud sebenarnya. Contoh hiperbola yang terdapat dalam novel Meniti Badai adalah seperti yang berikut: …wajah dengan kedut seribu itu tidak memandangnya. (Halaman 2) …suaranya menusuk ke telinga Mak Iti. (Halaman 2) Kata-kata yang menikam jantung kalbunya itu... (Halaman 4) Bau gulai tempoyak yang menyumbat hidungnya… (Halaman 11) …dia sudah dihanyutkan oleh mimpi. (Halaman 15)
c. Metafora Metafora ialah perbandingan terus yang menggabungkan satu perkataan konkrit dengan satu perkataan abstrak. Contoh metafora yang terdapat dalam novel Meniti Badai adalah seperti yang berikut: Kalau ombak rindu datang menyerang jiwa… (Halaman 3) d. Personifikasi Personifikasi ialah gaya bahasa ‘perorangan’ iaitu pemberian sifat manusia kepada objek untuk menggambarkan keadaan tertentu. Contoh personifikasi yang terdapat dalam novel Meniti Badai adalah seperti yang berikut: …awan berarak selepas langit gelap hitam. (Halaman 9) Sepi pun bermukim di teratak tua itu! (Halaman 26) Persoalan itu menari-nari di kepala Pak Uteh. (Halaman 32) Tidak perlu jam loceng menjerit di telinga. (Halaman 92) Petang sudah menjenguk malam. (Halaman 97) e. Perlambangan Perlambangan ialah gaya bahasa yang membawa maksud tersirat untuk menerangkan sesuatu benda, keadaan atau peristiwa. Contoh perlambangan yang terdapat dalam novel Meniti Badai adalah seperti yang berikut: Hidupnya akan benar-benar kosong jika… (Halaman 1) – kosong melambangkan suasana yang sangat sunyi dan sepi Zali akan jadi tunggul kayu bernyawa bila berdepan dengan ayahnya… (Halaman 47) – tunggul kayu bernyawa melambangkan seseorang yang diam tidak berkata apa-apa
f. Bahasa Arab Antara penggunaan bahasa Arab yang terdapat dalam novel Meniti Badai adalah seperti yang berikut: Alhamdulillah! (Halaman 1, 66, dan 95) Assalamualaikum! (Halaman 13) Insya-Allah! (Halaman 13 dan 85) …sambutan Maulidur Rasul… (Halaman 44) Astagfirullah… (Halaman 95) Innalillah…! (Halaman 122) g. Bahasa Inggeris Antara penggunaan bahasa Inggeris yang terdapat dalam novel Meniti Badai adalah seperti yang berikut: Aku bagi warning pada dia… (Halaman 46) h. Sinkope Sinkope ialah singkatan sesuatu perkataan. Antara penggunaan sinkope yang terdapat dalam novel Menti Badai adalah seperti yang berikut: Tak payah tunggu di akhirat. (Halaman 4) Kalau awak nak tinggalkan saya… (Halaman 15) Iti tu mana tahu lama mana dua minggu! (Halaman 21) Iti, ayam ni dah makan? (Halaman 35) Lebih-lebih lagi kita pun dah tua! (Halaman 45)
i. Peribahasa Peribahasa ialah suatu susunan kata dalam bentuk kiasan dan berlapik yang mempunyai pengertian tersirat. Contoh peribahasa yang terdapat dalam novel Meniti Badai adalah seperti yang berikut: Sabariah dipeliharanya bagai menatang minyak yang penuh. (Halaman 3) …anak kambing itu lari lintang-pukang. (Halaman 31) Sekangkang kera tapak rumah itu pun mujur baik ada. (Halaman 39) Panas barannya sekali-sekala datang juga. (Halaman 40) …dengan ayahnya yang panas baran membuta tuli. (Halaman 47)
8.0 NILAI DAN PENGAJARAN Bahagian ini akan menerangkan nilai dan pengajaran yang diperoleh daripada novel Meniti Badai. 8.1 NILAI – perlakuan atau tingkah laku positif seseorang yang dapat memberikan kesan baik dan teladan kepada orang lain a. Nilai kasih sayang Pak Uteh tetap menyayangi Mak Iti walaupun isterinya itu tidak waras. Pak Uteh melayani Mak Iti dengan penuh kasih sayang meskipun penat bekerja. Pak Uteh juga sentiasa membelikan barang-barang dan makanan kegemaran Mak Iti. b. Nilai kegigihan Pak Uteh bekerja keras demi menyara Mak Iti. Pak Iti bekerja di sawah Haji Samad, menorah getah, dan mengambil upah mengopek kelapa daripada ketua kampung walaupun mengalami sakit kronik. c. Nilai kerjasama Pak Uteh dan Haji Samad bekerjasama dengan penduduk kampung membersihkan kubur di pinggir surau kampung. d. Nilai bertanggungjawab Sabariah yang baru sahaja bekerja sebagai pegawai bank di Kuala Lumpur terus pulang ke kampung apabila mendapat perkhabaran bahawa Pak Uteh telah dimasukkan ke hospital. Lantas Sabariah menebalkan mukanya meminta izin Encik Syamsul untuk pulang ke kampungnya bagi menziarahi ayahnya di hospital. e. Nilai kesyukuran Pak Uteh tetap memanjatkan syukurnya kepada Tuhan walaupun hidupnya dibelenggu kemiskinan, menerima cacian dan hinaan daripada Senawi, dan mengalami penyakit kencing manis.
8.2 PENGAJARAN – perutusan, amanat, peringatan, dan pedoman yang hendak diberitahu oleh pengarang kepada pembaca a. Kita hendaklah saling menyayangi antara ahli keluarga Pak Uteh tetap menyayangi Mak Iti walaupun isterinya itu tidak waras. Pak Uteh melayani Mak Iti dengan penuh kasih sayang meskipun penat bekerja. Pak Uteh juga sentiasa membelikan barang-barang dan makanan kegemaran Mak Iti. b. Kita haruslah gigih dalam menjalani dugaan dalam kehidupan Pak Uteh bekerja keras demi menyara Mak Iti. Pak Iti bekerja di sawah Haji Samad, menorah getah, dan mengambil upah mengopek kelapa daripada ketua kampung walaupun mengalami sakit kronik. c. Kita mestilah menjalinkan kerjasama dalam kalangan masyarakat Pak Uteh dan Haji Samad bekerjasama dengan penduduk kampung membersihkan kubur di pinggir surau kampung. d. Kita perlulah bertanggungjawab terhadap ibu dan bapa Sabariah yang baru sahaja bekerja sebagai pegawai bank di Kuala Lumpur terus pulang ke kampung apabila mendapat perkhabaran bahawa Pak Uteh telah dimasukkan ke hospital. Lantas Sabariah menebalkan mukanya meminta izin Encik Syamsul untuk pulang ke kampungnya bagi menziarahi ayahnya di hospital. e. Kita sewajarnya bersyukur dengan segala pemberian Tuhan Pak Uteh tetap memanjatkan syukurnya kepada Tuhan walaupun hidupnya dibelenggu kemiskinan, menerima cacian dan hinaan daripada Senawi, dan mengalami penyakit kencing manis.