The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by pssskkpersik22, 2022-11-30 08:40:07

antologi cerpen

antologi cerpen

Antologi Cerpen

Aku Anak
KAMPUNG

Dr. Abd Halim Mat Desa
Ahmad Noh

Antologi Cerpen

Aku Anak

KAMPUNG

Dr. ABD HALIM MAT DESA
AHMAD NOH
2021

2

Terbitan Ogos 2021
Teks © Penulis Asal
Reka bentuk dan susun atur : Ahmad Noh

Hak Cipta Terpelihara. Tidak dibenarkan mengeluar ulang
dalam apa juga bentuk dan dengan cara apa jua sama ada
secara elektronik, fotokopi, rakaman atau cara lain mana-
mana bahagian buku ini sebelum mendapat izin bertulis
daripada penulis. Walau bagaimanapun, keizinan diberikan
untuk mana-mana bahan dalam buku ini digunakan asalkan

untuk tujuan kebaikan.

3

KANDUNGAN

DR. ABD. HALIM MAT DESA
1. – Ramadanku Nanti
2. – Indahnya Menanti Lebaran
3. – Nak Duit Raya
4. - Ais krim Malaysia
5. – Hidup Di Bumi FELDA

AHMAD NOH
6. - Aku Anak Kampung
7. - Sebuah Kereta Kecil
8. - Pohon Besar Di Tepi Jalan
9. – Pondok Usang Di Tengah Bendang
10. - Anak Kampung ke Sebuah Kota

4

PRAKATA

Assalamualaikum wbt.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha
Mengasihani, segala pujian bagi Tuhan Maha Agung yang
memiliki segala dan setiap kekuasaan. Selawat dan salam ke
atas junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w, pemimpin
agung ummah akhir zaman.

Syukur kehadrat Allah s.w.t. kerana dengan limpah
kurniaNya maka Antologi Cerpen : AKU ANAK KAMPUNG
telah dapat dibukukan. Alhamdulillah. Karya ini kami
bukukan sebagai kenangan dan pengalaman untuk dikongsi
bersama sahabat pembaca.

Garapan cerita pendek ini lebih kepada untuk kami
mengimbau kembali detik-detik bersama insan tersayang
yang pernah menghiasi diari hidup kami sepanjang kami
bergelar kanak-kanak. Seluruh kisah yang dihasilkan adalah
merupakan kisah benar yang berlaku dalam hidup kami.
Hanya terdapat sedikit olahan dari sudut penyampaian

5

cerita bagi memudahkan pembaca untuk memahami jalan
cerita. Sesungguhnya banyak pengalaman suka, duka,
jenaka, gembira yang kami kecapi ketika itu. Namun
semuanya itu rupanya pengalaman hidup yang cukup
berharga apabila kami menginjak ke usia remaja dan
seterusnya menjadi dewasa. Ujian hidup yang serba
kekurangan itulah telah banyak mendidik erti kuat
semangat, tabah, tidak putus asa, berani untuk berubah.

Terima kasih buat insan kesayangan ibu, bapa, datuk, nenek
dan adik beradik yang berperanan membina hidup kami.
Terima kasih juga buat kawan-kawan dan terima kasih
sesiapa sahaja yang ada bersama tika kami mula mengatur
jejak di dunia ini. Jasa kalian pasti tak mampu untuk kami
balas. Kami hadiahkan karya AKU ANAK KAMPUNG dengan
bacaan bait Al Fatihah buat kalian insan kesayangan yang
telah pergi dulu mengadap Ilahi dan akan kami teruskan
kesinambungan cara kalian berbakti pada masyarakat.
Insha Allah.

DR. ABD HALIM MAT DESA & AHMAD NOH

6

1 RAMADANKU NANTI

Hari esok bulan Ramadan kembali semula. Fikiranku kembali
teringatkan sewaktu zaman kanak-kanak menyambut bulan
mulia itu. Sekitar tahun 70an ketika itu aku baru berumur
5 tahun. Kami sekeluarga baru berpindah dan menetap di
Felda Bukit Mendi, Triang, Pahang.

Saat ketibaan bulan Ramadan bagaikan satu pesta
terutamanya bagi kanak-kanak seperti aku dan rakan
sebaya. Bulan Ramadan adalah bulan rahmat kerana dapat
merasai makanan yang enak yang dimasak oleh emak. Setiap
petang juadah untuk berbuka puasa adalah istimewa kerana
terdapat kuih-kuih tradisional seperti tepung bungkus, seri
muka, cucur badak, ketayap adalah menu yang digemari.

Rasa letih dan penat serta dahaga memang ada tapi yang
menyeronokkan ialah lagi 15 minit berbuka sudah berada di
depan juadah sambil menunggu waktu azan Maghrib. Ketika

7

itu tiada lagi bazar Ramadan seperti sekarang. Hendak
makan juadah sedap-sedap kena tunggu bulan Ramadan.

“Ni ha….ada sikit rezeki untuk berbuka….Mak Ngah buat
tadi…” Aku teringat jiran sebelah rumah kami iaitu Mak
Ngah Che Ah yang sering menyumbang juadah sepiring
kuih dangai atau karas.

“ Mak Ngah lain kali berilah lebih sikit…kuih Mak Ngah
sedappp….tak cukuplah….,” aku sering berseloroh dengan
Mak Ngah.

“Yelah….Ye lah….nanti Mak Ngah buatkan lagi yerr….,”jawab
Mak Ngah dengan senyuman manis melihat telatahku.

Begitulah amalan dan semangat kejiranan yang sangat kuat
mengisi ruang-ruang hidup kami sebagai masyarakat di
kawasan rancangan FELDA.

Masih aku teringat lagi sesiapa yang habis puasa penuh
harian akan dapat duduk bersama di tempat makan dan

8

menikmati masakan yang enak. Bagi sesiapa yang tidak
berpuasa tidak boleh makan bersama. Kena duduk jauh-
jauh dan kena buat kerja–kerja lain seperti menutup
tingkap dan pasang pelita. Selepas orang lain selesai
berbuka barulah dia boleh makan.

Aku masih ingat kami duduk bersila di atas lantai
beralaskan tikar mengkuang. Mengelilingi juadah masakan
yang dimasak oleh emak yang diterangi dengan pelita ayam.
Aku terlalu gembira sekali dengan juadah yang dihidangkan.
Oleh itu kami sentiasa berlumba-lumba untuk
menghabiskan berpuasa dan takut tidak mendapat baju
raya. Begitu cantik dan indahnya emak dan ayah
mentarbiyah aku dan adik-adik yang lain.

Meskipun hidup di FELDA ketika itu agak susah tetapi
ibadat puasa tetap diteruskan dengan gembira. Ketika itu
tiada elektrik hanya diterangi oleh cahaya pelita ayam
sahaja. Dan juga ketiadaan bekalan air paip bersih tidak
sekali-kali melunturkan semangat untuk berpuasa.

9

Ketika hendak berbuka agak sukar untuk mengetahui waktu
berbuka kerana tiada laungan azan dari masjid atau surau
kerana tiada elektrik juga tiada jam, radio dan TV. Agak
baik juga kerana arwah ayah ada seutas jam tangan
berjenama Seiko yang di bawa dari kampong. Dengan jam
itulah aku adik beradik dapat tahu masa berbuka puasa.

Waktu persekolahan pula berjalan seperti biasa walaupun
di bulan Ramadan. Aku pergi ke sekolah hanya berjalan kaki
sahaja yang jaraknya kira-kira 1 kilometer sahaja. Pada
suatu hari kerana keletihan dan cuaca panas yang melampau
aku ke bilik mandi dengan alasan hendak mandi tapi
sebenarnya mandi sambil menelan sedikit air untuk
menghilangkan dan membasahkan tekak yang dahaga. Bila
sudah siap mandi buat muka selamba dan tak bersalah
sahaja.

Pada setiap petang aku sibuk untuk membeli ais ketul di
kedai. Ketika cuaca panas air batu memang menjadi perkara
yang wajib. Teringat aku membeli ais ketul di Kedai MARA
ketika itu, di mana air batu disimpan di dalam habuk papan

10

atau kayu. Air batu seketul berharga 20 sen. Nak bawa
balik awal tiada tempat simpan bukanya ada peti ais pun,
beli lewat nanti habis pula. Kalau hendak beli terpaksalah
tempah awal.

Seingat aku seketul air batu itu di bungkus dengan kertas
surat khabar dan diliputi oleh habuk kayu atau papan untuk
mengelakkan air batu itu menjadi cair. Kaedah unik agar air
batu tidak mudah cair. Apa yang kelakarnya ialah air batu
yang diselaputi habuk kayu dan papan itu sangat sedikit dan
apabila ditanam dalam tanah sementara menunggu waktu
berbuka. Apa yang terjadi ialah air batu itu menjadi cair
apabila di korek kembali hanya yang tingal ialah habuk
papan dan kayu sahaja yang sedikit membaluti air batu tadi.
Kadang-kadang terasa sedih juga bila mengenangkan kisah
tersebut.

“Jangan lupa kita ke surau malam ni yerr….,”kataku
mengingatkan kawan-kawanku Keria Hasanianuar ketika
berjumpa pada suatu petang di Kedai MARA.

11

“Mana boleh lupa…rugilah…juadah more banyak tuuuu…,”
Keria menjawab sambil gelak besar.

“Ye la kamu Halim…,”sahut Hasanianuar pula. Kami gelak
beramai-ramai.

Malam itu seperti dijanjikan kami hadir ke surau.
Menunaikan solat terawih di surau pasti tidak akan kami
lupakan. Apabila selesai sahaja solat terawih, kami
beramai-ramai berkumpul untuk menikmati juadah more
bihun sup, laksa, bubur kacang, nasi daging yang dibawa
oleh jemaah tadi. Ketika itu bagi kanak-kanak ialah juadah
more juga penting seperti solat terawih yang dikerjakan.
Itulah masa yang ditunggu-tunggu. Pastikan balik dengan
perut yang kenyang.

12

2 INDAHNYA MENANTI LEBARAN

“Ayahhh…nak duit sikit…nak beli kad raya…” Aku meminta
duit dengan ayah untuk membeli kad raya. Biasanya ayah
jarang menghampakan permintaanku.

Tiba saja bulan Ramadan akan ada orang jual kad raya. Aku
mulalah menyenaraikan nama-nama yang hendak di hantar
kad raya. Selalunya aku hantar kepada sepupu, mak saudara
dan bapa saudara serta kawan-kawan. Aku beli kad raya
yang bersaiz kecil sahaja mengikut baget dan duit yang ada
sebab nanti hendak beli setem lagi. Gambar pada kad raya
selalunya aku akan beli bercorak ketupat dan kartun. Aku
berikan juga kepada kekawan yang rapat kerana tidak perlu
guna setem dan selalunya dalam itu disertakan juga duit
raya sebanyak 10 sen atau 20 sen. Indahnya zaman itu.

Masa berlalu begitu pantas. Bulan Ramadan akan
meninggalkan dan Syawal pula akan menjelma. Buat kuih

13

raya adalah satu aktiviti yang ditunggu-tunggu. Bermulalah
aku menolong emak membuat kuih dan menjaga api dapur
oven. Aktiviti buat kuih ini diadakan secara bergotong-
royong. Aku teringat emak selalunya berkongsi membuat
kuih bahulu dengan Kak Yah Mat Isa. Emak dengan Kak Yah
akan membuat kuih seminggu lagi nmenjelang raya. Aktiviti
ini dibuat di waktu pagi hingga ke petang.

Pada masa itu menjadi pembantu iaitu tukang angkat kuih
yang dimasak dan jadi tester kerana tak puasa. Antara kuih
yang akau suka tolong buat dan rasa ialah kuih bahulu dan
semperit. Jika ada kuih yang rosak sikit-sikit atau hangit
akan menjadi bahan rasa dan masuk dalam mulut aku la.

Kuih tradisi yang paling popular ialah kuih loyang. Kuih ini
juga dibuat secara bergotong-royong dengan Kak Yah Mat
Isa kawan baik emak. Aku akan menolong menyusun dan
masukkan ke dalam tin biskut besar. Bila sudah selesai dan
siap Kak Yah akan bawa balik seorang setin biskut yang
penuh dengan kuih Loyang ke rumah masing-masing. Aku
sebagai kanak-kanak hanya menolong mengisi kuih loyang ke

14

dalam tin dengan berhati-hati kerana kuih loyang ini mudah
pecah. Kenangan ini sangat menyeronokkan kerana ikatan
ukhwah antara emak dan jiran tetangga sangat erat. Waktu
ini tidaklah berkira sangat berapa banyak kuih yang
dihasilkan tapi ikatan persahabatan emak dengan kekawan
emak.

“Hari ni bersiap yer…kita nak ke pekan….” Pesan ayah pada
suatu paginya.

“Nak ke mana ayah….nak beli baju raya kannn…,” jawabku
sepertinya sudah dapat mengagak tujuan ayah.

“Horeyyyyy…..”aku dan adik-adik melompat gembira. Ayah
hanya tersenyum melihat telatah kami.

Ayah akan bawa kami pergi ke Bandar Bahau dan Simpang
Durian kerana kedai di sana agak murah dan banyak pilihan.
Bila sampai di rumah dengan tidak sabar-sabar untuk
mencuba walaupun hari raya jauh lagi. Hati mula menjadi
tidak senang asyik nak mencuba baju, seluar dan kasut baru

15

sampaikan tidur pun nak pakai. Sekejap-sekejap nak try
baju raya dan sekeja-sekejap nak try pakai kasut baru.
Apabila tiba malam raya lagi la tak senang duduk
sehinggalah nak tidur pun susah. Bukannya apa tak sabar
nak tunggu siang nak pakai baju baru yang ayah beli. Ayah
akan membeli setiap orang hanya dua pasang sahaja dan aku
teringat lagi kasut yang dibeli adalah kasut warna putih
yang boleh digunakan pergi ke sekolah. Bila sudah kenakan
baju raya baru selepas balik sembahyang raya aku pun mula
menziarahi rumah jiran-jiran yang dekat sahaja. Dan
apabila memasuki sekolah menengah sudah tidak berapa
kisah lagi tentang itu semua.

Setiap tahun mesti ada ketupat palas. Bab ini aku hanya
tolong buka daun palas untuk memudahkan emak membalut
daun palas dengan beras pulut. Aku Cuma tengok saja dan
sesekali cuba satu dua tapi tidak menjadi. Masa zaman
kanak-kanak dahulu emak selalu buat dan tidak miss tapi
zaman sekarang tidak lagi buat dan balut sendiri lagi hanya
beli atau tempah saja.

16

Perkara yang menyeronokkan pada malam raya ialah main
mercun dan bunga api. Tapi bagi aku tidaklah terlalu
ghairah sangat hanya satu dua sahaja. Pada kekawan jiran
sebelah rumah memang menjadi kewajiban. Bagi aku
tidaklah dan merasai itu perkara wajib, aku hanya jadi
pemerhati sahaja. Aku hanya pasangkan pelita itu pun satu
dua sahaja. Aku jadi tidak minat nak bermain mercun dan
bunga api sebab tidak ajar oleh ayah dengan benda-benda
seperti itu.

Balik kampong memang perkara yang wajib bagi setengah
orang. Dulu-dulu masa ada arwah ayah ada kami sering balik
kampung di Perak. Kami tidak balik sebelum raya tapi kami
balik pada pagi hari raya.

“ Pakaian semua dah masuk beg…?” Tanya mak untuk
memastikan semua persiapan berjalan dengan lancar.

“Pastikan semua lengkap yer….,” kata mak terus
mengingatkan kami adik-beradik.

17

Kami akan bersiap dua tiga hari sebelum balik kampong
dengan beg masing-masing. Kami balik menggunakan kereta
ayah iaitu Datsun 120Y yang dikenali dengan nama Datsun
Tonggek. Selalunya kami bertolak selepas sembahyang hari
raya dan sampai di kampung ayah sudah malam kerana
ketika itu tiada lebuhraya utara selatan kerana terpaksa
melalui jalan lama yang agak sibuk ketika itu. Kami berada
di kampung tidaklah lama sangat hanya lebih kurang
seminggu sahaja.

Kenangan berhari raya ini telah menjadi kenangan dan tidak
akan dapat diulang lagi. Suasana beraya sekarang sudah
berubah dengan norma-norma baharu. Bila sudah dewasa
semuanya mahu berada di rumah sahaja sambil makan-
makan dan berbual-bual dengan adik beradik sahaja.
Suasana kemeriahan hari raya sudah hilang dan kadang-
kadang jiran-jiran sebelah pun tidak kenal lagi.

18

3 NAK DUIT RAYA

Hari raya merupakan hari yang sangat besar ertinya buat
kanak-kanak seperti aku. Banyak pengalaman manis semasa
zaman kanak yang tidak boleh dilupakan hingga hari ini bila
tiba hari raya. Aku tidak pasti zaman anak cucu aku
menyambut hari raya. Apa yang aku nampak ialah konsep
menziarahi sudah makin pupus hanya yang tahu ialah duduk
dalam rumah melihat tv dan main game saja.

Apa yang aku lihat ialah apabila pakai baju baharu saja yang
tahu ambil gambar dan melihat hand phone daripada pergi
menziarahi jiran-jiran. Melalui cerita ini aku hendak
berkongsi cerita dan pengalaman menyambut hari raya. Aku
sangat merindui zaman kanak-kanak tapi apa kan daya
zaman indah kanak-kanak tidak dapat diulang lagi. Hanya
kenangan indah sahaja yang dapat diingati.

19

Bila tiba hari raya objektif utama ialah mengumpul duit
raya seberapa banyak yang boleh. Acara mengumpul duit
raya akan dijalankan selepas sembahyang raya di waktu
pagi manakala menziarah akan dilakukan di waktu petang
pada hari raya pertama. Aku akan pergi beraya ke rumah
jiran-jiran yang dekat dahulu. Aku akan pergi rumah yang
aku kenal kerana akan dapat duit raya lebih sikit.

“ Jom petang ni kita pergi beraya sama-sama yer…,” aku
mengajak sahabatku Ya, Din, Dudy, Cek Ma dan Kirah.

“Nak pergi…nak pergi…,”sampuk Kirah dengan suara yang
manja. Kami ketawa melihat telatah Kirah yang mengada-
ngada itu. Tapi dikalangan kami memang cukup mengenali
sifatnya yang memang begitu. Tapi itulah yang menjadi
hiburan kami berlima.

Apabila pergi beraya setiap rumah mereka akan memberi
duit raya yang berbeza-beza jumlahnya dan juga ada yang
tidak memberi duit raya. Hanya dijamu dengan kuih raya
sahaja dan jika nasib tak baik hanya dijamu dengan air oren

20

sahaja. Ketika pergi beraya dari rumah ke rumah sahabatku
Ya akan jadi tukang tanya kepada tuan rumah sama ada duit
raya atau tak dan berapa dapat. Selalunya tukang tanya
kena marah dengan tuan rumah.

“Nak datang beraya ke nak cari duit…”Tukang tanya selalu
akan dimarahi oleh tuan rumah kerana belum makan kuih
raya dan beraya sudah bertanya duit raya berapa boleh
dapat.

“Tak baik tau buat macam tuu…”

“Raya ni kan untuk kita ziarah menziarahi…,” nasihat kakak
di sebuah rumah itu pada kami sambil tersenyum. Sewaktu
zaman kanak-kanak bila kena marah tidak merasai apa-apa.
Tapi walaupun dimarahi oleh tuan rumah duit raya tetap
dapat.

Apa yang melucukan ialah apabila tuan rumah itu berikan
duit raya lebih aku dan rakan-rakan aku sanggup pergi
beraya untuk kali kedua. Jika pergi beraya kali kedua ke

21

rumah yang telah kita pergi kalau kantoi nasib la. Aku
tidaklah pergi beraya jauh-jauh sehingga petang. Purata
dapat duit raya adalah kira-kira RM10-RM20 sahaja.
Jumlah ini sangat memadai dan mencukupi bagi seorang
kanak-kanak seperti aku.

Setelah mengumpul duit maka tibalah saat untuk
membelanjakan duit raya yang dapat dikumpul. Dalam
fikiran berbagai perancangan apa yang hendak dibeli. Aku
teringat kekawan aku berjalan kaki ke bandar Triang untuk
menonton wayang tapi aku tidak mengikut dia orang sebab
terlalu jauh sangat dan melalui kebun getah Cina.

Zaman sekarang sudah berubah walau bagaimanapun kanak-
kanak tetap mendapat kegembiraan ketika menyambut hari
raya. Aku tak pasti kanak-kanak zaman sekarang
menyambut hari raya mungkin banyak perubahan yang
dilalui. Walau apa pun kanak-kanak layak mendapat
kegembiraan dan kenangan yang indah ketika menyambut
hari raya. Aku selaku orang dewasa dan tua sangat merindui
zaman kanak-kanak ketika menyambut hari raya

22

4 AISKRIM MALAYSIA

Aku suka makan aiskrim sehingga kini sudah berumur pun
aku suka makan aiskrim. Jika aku ke bandar aku tidak akan
lupa untuk beli aiskrim. Isteri aku sering berkata setiap
kali abang pergi bandar abang mesti beli aiskrim. Aku bagi
tau dia bahawa aku memang suka makan aiskrim sejak dari
zaman kanak-kanak lagi lantas dia tersenyum mendengar
jawaban aku.

Kanak-kanak zaman sekarang kurang mengenali apa itu
aiskrim Malaysia. Zaman kini terlalu banyak jenama aiskrim
di pasaran tidak seperti dulu. Aku teringat zaman kanak-
kanak dulu iaitu ketika pulang dari sekolah pasti singgah
kedai untukk beli ais krim Malaysia ini. Jika kita bawa
seringgit kita akan dapat sepuluh batang jenis aiskrim
Malaysia dengan pelbagai perasa. Ada perasa milo, asam
boi, bandung, coklat dan susu adalah perisa aiskrim yang di
bawa balik ke rumah.

23

Untuk membuka ikatan aiskrim itu tak perlu menggunakan
gunting hanya gigit dengan gigi dan memusing-musingkan
ikatan saja. Untuk menikmat kelazatan aiskrim itu tidak
perlu menonton rancangan televisyen hanya duduk bawah
pokok bersama-sama rakan lain yang makan aiskrim.

Suatu petang aku menceritakan kembali kenangan
menikmati aiskrim Malaysia di zaman kanak-kanak kepada
anak-anak. Sambil menikmati minum petang itu aku seperti
kembali ke zaman itu. Mengingat kembali kisah di zaman
kanak-kanak ketika itu sungguh bermakna membuatkan aku
tersenyum sendiri. Hanya harga aiskrim itu RM 0.10 sen
sudah membuat rasanya cukup nikmat bagi menghilangkan
dahaga ketika pulang dari sekolah berjalan kaki dengan
kawan-kawan.

“Murahnya…,”sahut anak bongsuku bila aku menceritakan
harga aiskrim Malaysia pada ketika itu. Dia memandang
wajah isteriku yang turut sama tekun mendengar.

24

“ Ya ke ayah?…macam tak logik je…”Kelihatan riak muka
anakku seperti tidak percaya. Tapi kelihatan anak-anakku
asyik memberi tumpuan kepada cerita zaman kanak-kanak
yang aku sampaikan.

Kenangan ini masihku ingat sehingga kini walaupun sudah
berkeluarga. Anak-anak aku juga suka membeli aiskrim
untuk aku. Lantas aku berfikir alangkah bagusnya jika
kanak-kanak zaman sekarang mengalami dan merasai
pengalaman seperti yang aku alami.

“ Kalau nak ais krim…hari ni kena tolong mak….bole…?” kata
emak menarik perhatian kami sambil tersenyum.

Aku masih segar teringatkan bagaimana hendak
mendapatkan dan makan aiskrim Malaysia itu. Aku terpaksa
membuat kerja-kerja rumah dan kerja-kerja membantu
emak dan ayah menyapu sampah, jaga adik dan lain-lain
kerja serta rajin pergi mengaji Quran.

25

Bila semua kerja telah dibuat dengan baik hingga selesai
senanglah untuk meminta duit untuk membeli ais krim.
Dengan ganjaran yang diberi oleh emak dan ayah itu amat
memberi kesan pada diri aku. Pengajaran yang aku dapat
ialah bukan senang untuk mendapat sesuatu tanpa
melakukan apa-apa kerja dan usaha. Apa yang paling
berharga ialah kenangan zaman kanak-kanak tidak boleh
ditukar dan dikembalikan semula.

Hidup dan membesar dengan kenangan aiskrim Malaysia
yang mempunyai nilai RM 0.10 sen memang amat berharga.
Tapi keadaan sudah berubah di mana aiskrim-aiskrim
sekarang berada dalam peti sejuk moden di pasar raya juga
di kedai-kedai runcit. Rasa dan rupanya yang lebih sedap
rasanya dengan pelbagai perisa juga harga yang mahal yang
diisi dalam bekas-bekas yang cantik. Walau pun sekarang
banyak jenis aiskrim terdapat di pasar raya namun aiskrim
Malaysia banyak membawa banyak kenangan.

26

5 HIDUP DI BUMI FELDA

Aku termenung pagi ini di jendela. Burung-burung telah
mula galak berterbangan. Entah mengapa kotak fikirku
teringat akan kisah lalu. Aku dilahirkan di Batu Kurau,
Perak bukanlah dalam keluarga yang senang. Masa ini ayah
aku hanya seorang drebar bas Omin Bus Taiping sebelum
berpindah ke Bukit Mendi, Triang Pahang.

Bermula saat itu ayah aku bergelar sebagai seorang
peneroka dan emak adalah suri rumah sepenuh masa sambil
membantu ayah di ladang. Masa mula-mula ayah masuk
Rancangan Tanah FELDA ini belum ada kemudahan yang
banyak lagi. Pada masa itu tanah ladang masih lagi ada
kesan memerun dan masih terbakar.

Namun pada masa itu pokok sawit belum lagi dapat dituai
jadi kami sekeluarga makan apa sahaja yang ada dan
mendapat bantuan makanan dari kerajaan. Pada masa itu

27

agak susah hendak mendapat bahan makanan seperti ayam,
daging dan ikan yang segar. Kalau ada rezeki lebih dapatlah
makan ikan kembung. Pada masa itu hanya aku dan adik
perempuan sahaja manakala adik-beradik lain lahir pada
awal 70an dan 80an. Keadaan kami masa itu agak kurus dan
kecil saja.

Aku pernah membantu Makcik Ani menjual kuih di Sekolah
Latihan Pegawai di hadapan rumah. Kuih yang dijual ialah
kuih karipap yang berharga 20 sen satu. Setiap hari
jualanku memang laku.

“ Halim….nah ni upah untuk hari ni….,” kata Makcik Ani
sambil menghulurkan wang syiling 20 sen kepadaku.

“ Rajin Halim menolong Makcik Ani….esok datang lagi yer…,”
sambung Makcik Ani memujiku. Aku hanya senyum
menerima. Bagiku itulah rezeki walaupun sedikit.

Pada masa itu aku tidak merasa apa-apa hanya terima
sahaja. Rupanya aku ada pengalaman berniaga tetapi aku

28

tidak menceburinya. Teringat juga bagaimana ayah
membawa balik biji buah kelapa sawit untuk diasingkan
daripada kulit dan dikumpul hingga banyak. Kemudian
hasilnya dapatlah ayah jualkan untuk menambah
perbelanjaan keluarga. Sekurang-kurangnya hasil tersebut
melegakan tabung perbelanjaan kami.

“Nah ambik…simpan dalam tabung…..Nanti lama-lama jadi
banyak…,” ayah menghulurkan beberapa keping syiling hasil
jualan untuk disimpan. Begitulah tabiat ayah yang mendidik
kami untuk berjimat dan membuat simpanan.

Sukarnya hidup di bumi FELDA ketika itu kami lalui dengan
penuh ketabahan. Perkara yang paling penting menjadi
keutamaan ayah dan emak adalah berkaitan dengan
pelajaran kami.

“Biar susah sekarang…Ayah tak nak kamu adik beradik
susah macam ayah sekarang….,” pesan ayah pada suatu
malam sambil melihat kami adik beradik menyiapkan kerja
sekolah.

29

“Sebab tu rajinlah belajar….Pasal duit jangan
fikir…pandailah ayah usahakan…,” sambung ayah lagi untuk
terus membakar semangat kami.

“Dalam kesukaran pasti ada sinar yang menanti di hujung
jalan…” Masihku ingat kata suci yang pernah keluar dilafaz
oleh emak. Kata-kata itulah yang sentiasa aku pegang dalam
mendepani segala ujian kehidupan ketika itu.

“ Kalau kita rasa susah….ada orang lain yang lebih susah
daripada kita…Ingat tuuu….” Emak sentiasa memberi
nasihat dan perangsang buat kami adik beradik.

Kematian itu pasti tidak kira muda atau pun tua. Cuma aku
teringatkan kenangan yang dilalui ketika zaman kanak-
kanak. Ayah aku Mat Desa Bin Pandak meninggal dunia pada
tanggal 27. 10. 2006 seminggu lagi hendak menyambut hari
raya puasa. Ketika itu arwah ayahku berumur 62 tahun.
“Innalillahiwwainnailhirrojiun” Satu kehilangan yang cukup
member kesan dalam hidupku.

30

Aku adalah anak sulung daripada 6 orang adik-beradik.
Arwah ayah sempat mengubahsuai rumah dan membina yang
baharu. Alhamdulillah syukur arwah ayah aku sempat
mendudukinya walaupun tidak siap sepenuhnya. Ini adalah
secebis kisah aku yang berasal dari kampung yang dapat
memberikan kekuatan dan semangat untuk mengharungi
hari-hari muka. Hidup ini ada berbagai warna dan penuh
dengan cabaran serta dugaan. Hanya kita yang mampu
mencorakkan dengan izin Yang Maha Esa kerana kita hanya
mampu merancang. Namun perancangan tuhan itu adalah
yang terbaik.

31

6 AKU ANAK KAMPUNG

Aku hanya anak kampung. Ibu bapaku bukanlah anak
seorang kakitangan perkhidmatan kerajaan seperti cikgu,
kerani, polis, tentera atau peniaga ataupun seseorang
berkerjaya yang agak terjamin masa depan pada pandangan
mata kasar. Aku sekadar anak tukang kayu. Bapaku yang
lebih mesra aku dan adik-beradik lain panggil sebagai Apak.
Gelaran yang lekat pada namanya adalah Pak Daud Tukang.
Semua orang kampungku dan kampung sekitar mengenalinya
dengan nama tersebut.

Apak memang seorang yang gigih berusaha demi sesuap
nasi bagi keluarga besar kami. Pekerjaan Apak tidak
menentu. Ada kerja adalah hasilnya. Raut wajah Apak
kuingat lagi sentiasa tenang sama ada tika senang mahupun
susah. Apak memang seorang yang cukup redha dengan
rezeki yang ditentukan Tuhan. Jika tiada kerja mengambil
upah bertukang rumah, Apak akan berkebun.

32

“ Di mana-manapun ada rezeki , Mat…..yang penting rajin
usaha,” ujar Apak sambil memegang cangkul di tangannya.

Aku memang sering bersama Apak ke kebun. Biarpun pada
usia 7 tahun apalah sangat yang mampu aku buat. Seingat
aku lebih banyak bermain daripada membantu Apak. Tapi di
celah-celah pohon serai, kunyit, halia, lengkuas dan pisang
aku dapat mengutip pengalaman. Pengalaman itu tanpa ku
sedar membantu aku melalui hari-hari yang mendatang
sebagai kanak-kanak yang melalui kehidupan sekadar cukup
apa yang ada sahaja.

Apak begitu pentingkan pelajaran buat anak-anaknya.
Walaupun tidak berpendidikan tinggi namun caranya
bertanya tentang pelajaran membuat aku kagum.

Masih terdengar lagi di corong telingaku Apak pernah
berkata…”Belajarlah rajin-rajin….Pelajaran itulah nanti
yang akan mengubah hidup kau pada masa depan”. Amanat
itu bagiku cukup besar maknanya.

33

Namun nakalku sama sahaja dengan kanak-kanak lain.
Pantang jauh dipandangan mata Amak dan Apak aku akan
bersama kawan-kawan menjelajah ke seluruh pelusuk
kampong. Bermain getah, galah panjang, baling tin. Itulah
permainan kami yang mungkin asing bagi anak-anak bandar
yang lebih moden. Hingga terkadang seperti lupa makan,
lupa pagi atau petang. Asyik sungguh…

Aktiviti yang paling menjadi tumpuan pastinya bermandi-
manda di sungai. Sungai yang merentangi di tengah
kampung, di situ syurga tempat aku dan kawan-kawan
bersuka ria. Hingga kadang-kadang kami berkelah dengan
membawa bekalan makanan mentah yang diambil tanpa
pengetahuan dari rumah masing-masing untuk dimasak.

“Mohhhhh…kita mandi sungai….terjunnnn…,”sahut antara
kami keseronokan tika kaki menjejaki tebing sungai.
Seronoknya tak mampu dilafaz dengan kata-kata macam
dunia ini kami yang punya.

34

Setelah penat bermain maka pulanglah aku dan kawan-
kawan ke rumah. Tapi ceria aku bertukar kan derita. Yang
menantiku adalah sekujur tubuh Apak yang dengan muka
begitu bengis sedang berdiri membatu. Matanya tepat
memandang mukaku yang mula terasa gerunnya. Di
tangannya seperti sedang memegang sesuatu tetapi tidak
jelas kelihatan kerana terlindung di bahagian belakang
tubuh Apak.

“Alamak……,”aku mula merasai bahangnya. Mukaku mulai
pucat dan terdiam seribu bahasa.

“Ke mana kau tadi…????...petang baru nampak rumah”
sergah Apak seiring dengan tangannya menghayun pantas
sesuatu dari balik belakangnya.

“Aduhhhhh…..sakit Pakkkk………” rintihku bila libasan yang
ku lihat berupa tali pinggang tebal berwarna hitam yang
dilepaskan Apak telah memberi kesan berbirat merah di
pehaku yang berseluar pendek ketika itu.

35

“Kerja sekolah tak buat…Kau nak jadi apa bila besar
nanti…duduklah rumah bolehlah juga siapkan kerja
sekolah...boleh tolong-tolong Amak kau…ni asyik nak main
sampai lupa dunia….,” Apak terus membebel tidak puas hati
dengan kenakalanku sambal terus berlalu pergi
meninggalkan aku yang teresak menangis menahan
kesakitan.

Setelah Apak pergi dengan diiringi tangisan aku membelek
peha yang terasa pedih. Tanpa aku sedari dalam masa yang
singkat itu mungkin 4 atau 5 libasan tali pinggang singgah di
peha ku kerana jumlah kesannya jelas kelihatan.

Berhari-hari peristiwa itu masih terbayang di ruang mata.
Akal kecilku masih tidak mengerti sepenuhnya tambahan
pula kesakitan menyebabkan aku tak dapat berfikir dengan
baik. Minggu berlalu, akhirnya kejadian itu rupanya tanpa
ku sedar memberikan kesan dalam kehidupanku. Aku tidak
salahkan Apak. Hukuman yang Apak buat kerana
tanggungjawabnya sebagai seorang seorang bapa demi
melihat aku tidak terus hanyut dalam keseronokan.

36

7 SEBUAH KERETA KECIL

Zaman kanak-kanak pasti tidak dapat lari daripada amat
menyukai barang permainan. Barangan permainan yang
paling aku sukai adalah kereta mainan yang saiznya kecil
sahaja.

Kenangan yang paling aku tidak dapat lupakan adalah ketika
aku mengikuti arwah Apak dan arwah Amak pergi ke pasar
malam di Batu 6 Jalan Kuantan Gambang. Kehidupan kami
sekeluarga memang agak susah. Apak hanya memiliki beca
roda tiga untuk bergerak ke mana-mana. Sebelum itu Apak
pernah memiliki sebuah motorsikal namun terpaksa dijual
kerana tuntutan hidup yang memerlukan Apak berbelanja
untuk perkara yang lebih penting iaitu demi pendidikan
anak-anak.

“Takpelah….ada rezeki lebih nanti kita beli pulak...,” itulah
alasan yang diberikan Apak pada Amak yang sememangnya

37

amat memahami. Boleh dikatakan tidak pernah aku
mendengar Apak dan Amak bertelegah berkaitan dengan
masalah perbelanjaan atau kewangan keluarga.
Apak, Amak dan aku menaiki beca roda tiga yang agak uzur.
Namun itu cukup memberikan keselesaan kepada kami
untuk ke mana sahaja. Kami bersyukur kerana masih
mempunyai kenderaan untuk memudahkan pergerakan kami
berbanding dengan sesetengah orang kampong yang
terpaksa menapak sahaja jika ingin kemana sahaja.

Melalui malam gelap yang hanya diterangi beberapa lampu
jalan yang disediakan oleh kerajaan. Namun lampu beca
Apak turut membantu menerangi perjalanan kami. Zaman
penghujung 70 an itu kenderaan di jalan raya masih boleh
dibilang dengan jari. Turut bersama kami adalah kakak dan
seorang rakannya. Mereka berdua menaiki basikal masing-
masing. Perjalanan mengambil masa lebih setengah jam.

Peristiwa pada malam itu memang kenangan tak mungkin
aku lupakan. Ketika berlegar di sekitar pasar malam

38

mengikut Amak yang membeli sedikit barang keperluan
dapur.

Apak pula entah melencong pergi ke mana. Mungkin Apak
melekat disuatu sudut terdapat ramai orang berkerumun
mendengar sepertinya menjual ubat. Sebab kedengaran
suara si penjual agak kuat menggunakan pembesar suara.
Memang betul, kelihatan kelibat Apak sempat mencelah
antara puluhan orang ramai yang memenuhi kawasan itu.
Aku lihat dari jauh di situ terdapat pertunjukan ular
beserta dengan jualan ubat dan juga parang. Apak memang
berminat terutama berkaitan dengan parang. Mungkin
itulah tujuan Apak turut bersama di situ.

“ Mat…nak beli apa,” lamunanku tersentak bila kedengaran
sayup suara Amak menyapa. Keasyikanku melihat kelibat
Apak terhenti serta merta.

Aku hanya menggelengkan kepala. Setakat ni aku akur
dengan apa yang telah dibelikan oleh Amak. Kelihatan Amak
memegang beberapa bungkusan yang kelihatan makanan.

39

Biasanya aku ni tak cerewet bab makanan. Apa yang ada
nanti aku makan sahaja.

Aku dan Amak terus bergerak di celah-celah gerai jualan.
Sempat melihat telatah peniaga melariskan jualan.
Kelihatan juga gelagat pelanggan yang cuba tawar menawar
harga dengan peniaga.

Tiba-tiba…Pandangan mataku terpaku pada deretan kereta

mainan kecil yang tersusun rapi di atas sebuah meja

peniaga. Susunannya cukup menarik

perhatianku…Terbayang di benak fikirku cerita-cerita

Hollywood yang pernah ku tonton di kaca televisyen.

Bergayanya hero dengan kereta ‘sport’ yang begitu cantik

sekali.

Kepelbagaian warna kereta kecil menyebabkan aku semakin
menggila. Ada biru, merah, hitam dan putih…Semuanya
berkilat. Aku tekad nak beli.

40

Aku dah berangan. Boleh ajak kawan main bersama-sama.
Boleh main di atas rumah mahupun di luar rumah. Kalau
kotor aku akan basuh keretaku itu.

“Wahhhh…cantiknya kereta kamu Mat…berkilat…tentu
mahal ni…,”sapa rakanku memuji hingga menyebabkan aku
berasa begitu teruja memiliki kereta tersebut. Sempat
juga angan menyelit ketika itu.

“Amak……nak tu,” aku bersuara sambal menarik tangan
Amakku seraya menunjukkan kereta mainan yang berada
berhampiran dengan tempat kami berjalan.

“Amakkkk…nak beli tuuuu…..”, aku terus merengek.

Amak tidak menunjukkan apa-apa riaksi pada muka dan
suaranya. Namun tangan Amak merentap kasar tanganku
menunjukkan bahawa permintaan aku tidak diterima.

Amak terus menghela tanganku untuk bergerak
meninggalkan pandangan ke arah kereta mainan tadi. Aku

41

cukup hampa. Berderailah air mataku membasahi pipi
kerana apa yang aku hajati tidak tertunai.

“Beli kereta tu boleh makan…boleh kenyang ke...???” Amak
mula meninggikan suara bila bosan melihat karenahku. Aku
terus merengek meminta simpati Amak. Namun nasib tidak
menyebelahiku.

Aku terus menangis. Namun tangisanku langsung tidak
mempengaruhi sesiapa. Sehinggalah tiba waktu pulang
keadaanku masih terus teresak mengenangkan apa yang
dihajati tidak dapat aku miliki.

Malam itu susah untuk aku melelapkan mata kerana masih
teringatkan cantiknya kereta mainan di pasar malam tadi.
Aku sedar bahawa Apak dan Amak bukan tidak mahu
membeli tetapi dengan nilai sebanyak harga kereta mainan
itu mampu membeli makanan yang boleh mengenyangkan.
Aku pasrah. Kehidupan yang susah membataskan untuk aku
memilikinya.

42

8 POHON BESAR DI TEPI JALAN

“Dah dekat seratus tahun pokok pelam niii….,”masih aku
ingat arwah datuk bercerita padaku. Masa itu arwah datuk
masih mampu berjalan sendiri ke mana-mana walaupun
keadaannya agak uzur.

“ Tengoklah pokoknya…tinggi…rasa buahnya pun manis…tak
sama dengan buah mempelam lain, “ datuk terus bercerita
dengan yakin padaku tanpa jemu. Aku hanya menganggukkan
kepala tanda faham dan menghormatinya.

Memang usia yang diberitahu oleh arwah datuk sesuai
dengan sebatang pohon mempelam yang saiz batangnya
sahaja lebih tiga pemeluk orang dewasa. Tingginya pula
menjangkau hampir setinggi bangunan 3 tingkat. Sayup
mata memandang.

Tertegak betul-betul di tepian jalan raya yang
menghubungkan laluan dari pekan Gambang menuju ke

43

pusat bandar Kuantan. Namun kehadirannya di situ tidaklah
memberi apa-apa gangguan kepada pengguna jalan raya.
Sebab itulah apabila musim mempelam tiba maka pohon
besar ini menjadi tumpuan orang ramai. Di persekitaran
tanah arwah datuk kebanyakannya tinggal saudara mara
kami sahaja. Namun di situ ada juga anggota tentera yang
tinggal di rumah sewa yang dibina oleh orang-orang
kampung. Anggota tentera ini berkhidmat di kem tentera
yang terletak tidak jauh dari situ. Merekapun sedia maklum
tentang popularnya pohon dan rasa mempelam yang
dihasilkan oleh pohon gergasi tersebut. Sehinggakan cerita
itu turut menjadi perbualan dikalangan seluruh orang
Kampung Batu 7 tempat di mana arwah datuk tinggal dan
kampung-kampung yang berhampiran.

Kebiasaannya apabila tiba musim berbuah pohon besar itu
menjadi tumpuan. Orang yang lalu lalang di situ sama ada
secara berjalan kaki, berbasikal mahupun yang
bermotosikal pastikan mendongak ke atas. Mereka tekun
melihat. Tak tahu apa yang mereka fikirkan. Mungkin
terpesona dengan saiz pohon tersebut. Mungkin juga

44

menghitung hari menunggu buah mempelam tersebut masak
dan gugur ke bumi seterusnya dapat dinikmati.

“ Kalau dah jumpa buah gugur tu ambik je….rezeki…harap-
harap pohonnya terus subur dan berbuah semakin banyak
setiap tahun…bole la kita rasa rezeki Allah sama-sama….”
Itulah pendirian datuk terhadap pohon besar itu. Sebab
itulah aku lihat pohon besar tua walaupun sudah tua namun
hidupnya subur dan sentiasa lebat berbuah bila tiba
musimnya.

Rezeki kongsi sama-sama. Sebab itu orang kampong yang
lalu lalang di bawah pohon besar tersebut pasti dapat
merasai kelazatan buah mempelam dari pohon besar
tersebut.

Ketika hari Jumaat pula deretan pelajar-pelajar berpakaian
baju melayu putih dan bersamping dari sebuah sekolah
berasrama penuh yang berhampiran akan berjalan kaki
melaluinya apabila pergi dan balik bagi menunaikan solat
Jumaat. Di situ adalah satu-satunya laluan untuk pergi ke

45

satu-satunya masjid yang ada ketika itu. Jaraknya lebih
kurang 2 kilometer atau pada masa itu popular lebih kurang
1 batu setengah.

Apabila balik dari masjid biasanya mereka akan singgah di
gerai usang Amak yang terletak berhampiran pohon besar.
Amak dibantu kakak menjual air batu campur, keropok dan
pisang goreng. Sambil membeli anak-anak sekolah tersebut
berbual diiringi gelak ketawa. Entah apa yang menggelikan
hati mereka. Alam remaja semuanya seronok.

Sedang mereka asyik berbual, minum dan menjamah
keropok dan pisang goreng ….tiba-tiba kedengaran buah
mempelam gugur ke tanah. Kelihatan gelagat seorang
daripada mereka bingkas berlari dengan pantas. Yang lain
pun turut berkejaran sambil bertolak-tolakkan. Berebut.
Hingga ada yang kelihatan tersembam jatuh. Riuh dengan
gelak ketawa.

Aku, Amak dan kakak juga ketawa kecil melihat telatah
mereka.

46

“ Saya dapat … Saya dapat…,” jerit seorang sambil
melonjak gembira dengan mengangkat tangan yang ada dua
biji mempelam digenggaman. Air mukanya menggambar dia
cukup bangga sekali. Lebar ketawanya.

“mak cik…saya ambik yer…,” sahutnya meminta izin.

“takpe…rezeki kamu…makanlah…,” sahut Amak sambil
menganggukkan kepala tanda mengizinkan bagi pihak arwah
datuk.

“oiii…..takkan nak makan sorang je…hulurlah sebiji….” salah
seorang daripada mereka kedengaran bersuara.

“makan sorang nanti sakit perut…,” kedengaran lagi ada
suara yang meraih simpati sambil mengusik. Keheningan
petang itu tenggelam bila mendengar riuh suara anak-anak
sekolah ini.

47

Salah seorang daripada mereka datang meminjam pisau
daripada Amak untuk membuang kulit dan memotong buah
mempelam tersebut. “Pinjam yer mak cik…,” kata salah
seorang mereka dengan sopan sambil mengambil pisau yang
dihulurkan oleh Amak.
“Sikit sama-sama sikit kita rasa…,”salah seorang mereka.

“Ha…ha…ha…,” diiringi hilai ketawa kawan-kawan yang lain.
Pandangan masing-masing setia terarah menunggu untuk
buah mempelam itu siap dipotong.

Kelihatan mereka begitu gembira makan bersama-sama
dengan menikmati rezeki daripada pohon besar di pinggir
jalan milik arwah datuk itu. Walaupun dua biji sahaja namun
kewujudan buah mempelam itu seperti menyatukan mereka
semua.

Seronok aku lihat cara mereka. Bukan sekadar berkawan.
Itulah sahabat. Ketawa bersama apabila senang dan
sanggup juga akan menangis bersama apabila susah
hendaknya

48

9 PONDOK USANG DI TENGAH
BENDANG

Kenangan menemani Apak dan Amak mengusahakan sawah
padi merupakan pengalaman begitu bermakna dalam hidup
aku. Namun disebalik itu akupun kurang pasti bagaimana
bermulanya Apak terlibat di dalam aktiviti tersebut. Apa
yang aku difahamkan Jabatan Pertanian ketika itu cukup
menggalakkan mana-mana penduduk kampong untuk sama-
sama melibatkan diri dalam projek penanaman padi bagi
meningkatkan pengeluaran hasil beras disamping tidak
terlalu bergantung kepada keperluan beras yang dibeli.

Ketika itu aku baru memasuki alam persekolahan Darjah 1.
Balik sahaja dari sekolah aku akan terus singgah di pondok
yang tersergam indah bagiku berada betul-betul di tengah
sawah Apak. Kebetulan sawah tersebut terletak antara
laluan ke sekolahku.

49

Tibanya di hamparan petak sawah itu angin yang bertiup
menampar pipi kecilku sungguh nyaman sekali. Rambut
halusku bergerak kiri dan kanan mengikut rentak angin
yang tidak tentu arah tiupannya. Kebiasaannya begitulah
rutinku untuk singgah di bendang dari hari Isnin hingga
Khamis.

Pemandangannya sungguh indah sekali. Tersusun petak-
petak bendang dipenuhi pepohon padi yang telah subur
tunduk berbuah. Kelihatan juga orang-orang yang dibina
untuk menakutkan camar yang datang mengganggu tanaman
padi.

Pada kebiasaannya apabila aku singgah di pondok tersebut
pasti yang setia menunggu aku adalah Amak. Perkara yang
aku nanti-nantikan adalah untuk menjamah masakan tengah
hari yang telah disediakan oleh Amak. Maklumlah perut aku
memang dah mengalunkan irama keroncong. Berjalan kaki
pulang dari sekolah di bawah terik matahari makin
menyebabkan perut aku kosong. Lapar…

50


Click to View FlipBook Version