The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by pssskkpersik22, 2022-11-30 08:40:07

antologi cerpen

antologi cerpen

Di sekolah aku hanya dapat makan keropok untuk mengalas
perut. Belanja yang aku dapat setiap hari sebanyak 30 sen
pada ketika itu menyebabkan aku tidak dapat makan
bermewahan seperti kawan-kawan yang lain.
Namun aku tetap bersyukur kerana masih diberikan belanja
oleh Apak untuk ke sekolah.

“Moh kita makan dulu…,”suara Amak secara tiba-tiba
menghentikan lamunanku pada urusan belanja sekolah.

“Jap mak…nak basuh muka dulu…panas niii…,”jawabku
dengan segera sambal meletakkan beg sekolah di lantai
pondok. Aku terus segera ke tepi petak sawah yang betul-
betul terletak di tepi pondok untuk membasuh tangan dan
muka.

“Wahhhh…sejuknya…lega,” aku berkata sendiri di dalam
hati sambal mengusap air ke mukaku.

Kelihatan Amak menyiapkan nasi dan lauk-pauk yang ada.
Bila kakiku melangkah ke atas pondok mataku terus terarah

51

kepada hidangan makan tengah hariku hari ini. Nasi putih
dari beras hasil penat lelah kami terhidang. Gulai pisang
muda beserta ikan sepat siam goreng berlada membuatkan
aku tidak sabar untuk menimatinya.
“Jangan lupa baca doa dulu…makan tu perlahan-lahan..,”
nasihat Amak apabila melihat aku dah menunjukkan gelagat
gelojoh ketika itu.
Selesai berdoa aku tanpa berlengah lagi terus
menikmatinya.

“Sedapnya…,” sempat aku memuji masakan Amak sambil
terus pantas menghayun suapan.

Amak hanya tersenyum meleret melihat anak bongsunya
yang memang terkenal dikalangan adik-beradik seorang
yang kuat makan. Entah mengapa selera aku berganda pula
pada hari itu. Berbeza daripada kebiasaannya. Dua kali aku
tambah nasi.

Seusai makan aku berehat sebentar sebelum pergi ke parit
berhampiran untuk mandi dan berwuduk. Parit itu tidaklah

52

dalam paras airnya sekadar paras pinggang aku sahaja.
Seterusnya tanpa berlengah aku bersiap untuk solat Zohor
di atas pondok usang itu. Tugas aku jika berada di bendang
setiap hari adalah untuk memastikan tiada burung-burung
yang datang berkawan menikmati padi-padi yang telah
menguning ketika itu. Padi yang telah menguning itu adalah
bukti penat lelah Apak dan Amak di tengah perit mentari
mengusahakannya. Sekurang-kurangnya Apak dapat
menjimatkan perbelanjaan keluarga untuk membeli beras.

Biasanya aku akan menarik tali yang diikat di pondok yang
menghubungkan ke beberapa tiang di seluruh penjuru
bendang kami. Di setiap tiang itu pula akan diletakkan tin-
tin kosong bagi mengeluarkan bunyi kuat apabila ditarik.
Bunyi tin kosong itu lah dijadikan cara untuk menghalau
burung-burung yang sememangnya cukup berminat
menikmati buah padi yang hampir masak.

Kalau nak harapkan patung orang-orang untuk menakutkan
si burung, aku yakin burung langsung tak takut pun.

53

“ Burung pun dah cerdik…pergi sekolah kot…,” ketawaku
sendirian dalam hati. Aku tenang melihatkan suasana itu.

Apabila petang agak redup aku dapat melihat betapa cekal
Amak untuk membantu Apak dalam menguruskan kawasan
bendang tersebut. Kebiasaannya Amak dan Apak akan
datang secara bergilir ke bendang. Waktu pagi biasanya
Amak berada di rumah membasuh pakaian dan kemudiannya
memasak untuk makan tengah hari.

Apabila selesai memasak dan bersiap Amak akan membawa
bekalan ke bendang untuk aku dan Apak makan. Kadang-
kadang Apak juga terpaksa tinggalkan kerja di bendang
demi mencari pendapatan tambahan membaiki rumah orang
kampung. Alhamdulillah rezeki sentiasa ada dan tidak
putus. Orang kampung pun suka memberikan kerja kepada
Apak. Mungkin Apak seorang yang teliti kerjanya dan
hasilnya memuaskan hati orang kampung. Berat mata
memandang, Berat lagi bahu Apak yang memikul
tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Semoga segala
usaha Apak diberi ganjaran syurga oleh Yang Maha Esa.

54

10 ANAK KAMPUNG
KE SEBUAH KOTA RAYA

“Jangan lupa ya Bang Daud dan Ongah datang…Bawak
semua anak-anak tu…Sambil-sambil tu bole jalan-jalan
Kuala Lumpur.” Bersungguh Pakcu Yunus menjemput kami
sekeluarga untuk datang ke rumahnya yang terletak di
Kelang, Selangor.

Petang Sabtu itu kelibat Pakcu Yunus muncul mengunjungi
kami di rumah kampung usang milik kami.. Biasanya setiap
kali pulang bercuti ke kampong Pakcu Yunus tak pernah lupa
untuk singgah menjenguk kami. Beliau cukup rapat dengan
Apak dan Amak yang dipanggilnya Bang Daud dan Ongah.

Selepas puas berbual panjang Pokcu Yunus pun meminta izin
untuk pulang. Kehadirannya kali ini adalah untuk menjemput
kami sekeluarga menghadiri majlis perkahwinan anak
lelakinya. Abang Rahmat anak lelaki Pakcu Yunus yang akan
berkahwin itu memang kami sekeluarga cukup kenali. Baik

55

orangnya. Peramah pula. Dia bekerja di salah sebuah bank
di Kelang dan merupakan seorang yang aktif bermain bola
sepak hingga pernah mewakili Negeri Selangor ketika itu.
Aku yang minat sukan bola sepak juga cukup mengkagumi
kehebatannya. Jemputan Pakcu Yunus tersebut cukup
mengujakan kami sekeluarga. Bagi aku memang cukup
istimewa.

“Maklum la…aku budak kampung…Seronok jugak kalau dapat
jalan-jalan di Kuala Lumpur tuuu…,” hatiku juga berkata-
kata kerana cukup gembira apabila perkhabaran itu
diceritakan oleh Amak pada malam itu.

“Tentu besar Kuala Lumpur tu kan…,”hatiku tersenyum dan
terus berbisik sendiri. Lamunanku tidak tamat di situ.
Malam tersebut aku rasakan aku dah tak sabar untuk
menuju ke sebuah kotaraya.

“ Aku boleh tengok bangunan yang tinggi. Aku boleh jalan-
jalan di pasar raya. Boleh melihat Parlimen. Nak tengok
juga Tugu Negara…Nak tengok Stadium Merdeka, Stadium

56

Negara…tak lupa nak singgah di Masjid Negara….Selama ini
semuanya aku hanya dapat tengok dalam buku teks sekolah
je…Tentu seronok…,” lamunan aku berlarutan ketika
membaringkan diri sebelum tidur.

Malam itu mataku seperti tidak mahu tertutup untuk lena.
Asyik memikirkan keseronokkan untuk ke sebuah kota dua
minggu lagi.

“ Amak…jadi tak kita nak pergi Kuala Lumpur tuuu…,”
tanyaku dengan bersemangat pada suatu hari.

“Apak kata semalam jadi pergi…,” balas Amak. Jawapan
yang aku nanti-nantikan. “ Yeayyyy…,” aku bersorak
gembira. Tak sabar rasanya menunggu saat untuk ke sana.
Kerana terlampau teruja aku dah mencanang ceritaku untuk
ke Kuala Lumpur pada kawan sepermainanku.

“Seronoklah engkau Mat…boleh jumpa Mokhtar Dahari,”
usik Sa yang merupakan sahabat karibku. Kami ketawa
bersama.

57

Menjelang seminggu hendak pergi kami sekeluarga telah
membuat persiapan. Apak telah membelikan setiap kami
adik beradik sehelai baju dan sehelai seluar baru. Hanya itu
yang Apak mampu. Itupun dah cukup menggembirakan aku.
Aku difahamkan oleh Apak dan Amak yang tiket bas untuk
kami ke sana telahpun di beli. Semua perbelanjaan tiket
bas ditanggung sepenuhnya oleh sepupuku Abang Rahmat.
Dia cukup bersungguh-sungguh agar kami dapat
memeriahkan majlis perkahwinannya.

Tibanya hari yang dinanti, kami akhirnya menaiki bas
ekspres yang akan membawa kami ke Kelang. Bas bewarna
biru gelap yang sebelum ini hanya dapat kulihat melalui
jalan raya di depan sekolah sahaja akan membawa kami ke
suatu tempat yang jauh.

Perjalanan kami cukup lama. Kerana terlalu seronok aku
abaikan segala kepenatan. Matlamatku hanya satu iaitu
melihat dengan mata sendiri rupa Bandaraya Kuala Lumpur.

58

“Alhamdulillah…sampai juga semua ke KL…Terima kasihlah
kerana sudi datang yerrr…,” Abang Rahmat menyambut
ketibaan kami di stesen bas Pekeliling.

“Esok Mat bawa semua …kita ronda-ronda KL yer…,” Janji
Abang Rahmat tersebut membuatkan kepenatan kerana
perjalanan yang jauh kami terasa hilang kerana cukup
seronok. Maklumlah macam rusa masuk kampung.

Pengalaman selama 5 hari di kota itu cukup bermakna
padaku. Banyak pengalaman yang aku kutip. Ketika di sana
terasa aku kehidupan di kampong terlalu jauh ketinggalan
dari arus pemodenan Negara. Sekembalinya ke kampung
setiap hari aku bercerita dengan kawan-kawanku
sepermainanku Sa, Anol, Yaakub dan Yali akan
pengalamanku itu. Merekapun cukup seronok mendengarnya.
Memang aku akui aku anak kampong tidak pernah ke kota
raya.

59

BIODATA PENULIS

Dr Abdul Halim Mat Desa dilahirkan di Batu Kurau, Perak. Beliau
dibesarkan di FELDA Bukit Mendi, Triang, Pahang. Pernah berkhidmat
sebagai seorang guru. Kini beliau bertugas sebagai seorang Pensyarah

Kanan Unit Pengurusan Perniagaan di Kolej Matrikulasi Labuan.

Ahmad Noh dilahirkan di Kampung Sri Damai, Kuantan, Pahang.
Dibesarkan sebagai anak seorang anak tukang kayu. Berkhidmat
sebagai seorang guru selama 15 tahun, pegawai akademik PPD selama
3 tahun, Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar selama 2 tahun, dan
kini masih bertugas sebagai Pensyarah Unit Pengajian Am Matrikulasi

di Kolej Matrikulasi Pahang.
60


Click to View FlipBook Version