BUKU SKRAP
ELEKTRONIK
KARANGAN KSSM
DISEDIAKAN OLEH PELAJAR 4 STEM 1
AHLI KUMPULAN
LEE JUN HAO LEE WEN QUA KOO CHEN FENG
KOK JUN HONG CHAN ZHI CHAO
ISI KANDUNGAN
• CIRI-CIRI KARYA YANG DAPAT MENARIK MINAT MASYARAKAT UNTUK
MEMBACA
• USAHA-USAHA YANG PERLU DILAKUKAN UNTUK MENGGALAKKAN
KEDATANGAN PARA PELANCONG KE MALAYSIA
• PERANAN PRODUKTIVITI DALAM KEHIDUPAN KITA
• LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENJAGA KESIHATAN DIRI
• PERANAN PELBAGAI PIHAK DALAM USAHA UNTUK MELESTARIKAN ALAM
SEKITAR
• PERSIAPAN-PERSIAPAN YANG PERLU ANDA LAKUKAN UNTUK
MEREALISASIKAN IMPIAN ANDA
• PERSEDIAAN YANG PERLU ANDA LAKUKAN UNTUK MENCEBURI BIDANG
PEKERJAAN
ISI KANDUNGAN
• KELEBIHAN-KELEBIHAN PENGANGKUTAN AWAM KEPADA ANGGOTA
MASYARAKAT DI NEGARA KITA
• USAHA-USAHA UNTUK MENINGKATKAN SEMANGAT PATRIOTIK DALAM
KALANGAN MASYARAKAT DI NEGARA KITA
• CIRI-CIRI KEPIMPINAN YANG PERLU DIMILIKI OLEH SESEORANG
REMAJA SEBAGAI BAKAL PEMIMPIN MASA DEPAN NEGARA
01
CIRI-CIRI SESEBUAH KARYA SASTERA YANG DAPAT MENARIK
MINAT MASYARAKAT UNTUK MEMBACA
KARANGAN FAKTA
SOALAN KARANGAN 1
Amalan membaca dalam
kalangan masyarakat
semakin hari semakin
berkurangan apatah lagi
karya sastera
Huraikan ciri-ciri
sesebuah karya sastera
yang dapat menarik minat
masyarakat untuk membaca
CONTOH KARANGAN 1 ( 1 )
Mari kawan, kita membaca,
Mari rakan, timba ilmu dengan membaca,
Itulah perjuangan, sahutlah seruan,
Jadikan membaca gaya wawasan.
Bait lagu di atas jelas menunjukkan betapa pentingnya budaya mambaca dalam kalangan masyarakat.
Walaupun begitu, ramai pihak terutamanya pencinta karya sastera meluahkan rasa kekesalan mereka kerana
bahan bacaan terutamanya karya sastera kini semakin dipinggirkan dan diabaikan berbanding bahan bacaan
picisan yang melambak di pasaran ‘’bak cendawan tumbuh selepas hujan’’. Fenomena ini sangat
membimbangkan lantaran hasil karya sastera yang berkualiti daripada penulis-penulis tersohor seperti A.
Samad Said, Usman Awang, Othman Puteh, dan Keris Mas bagaikan tiada nilainya pada pandangan masyarakat.
Walau bagaimanapun, kebangkitan penulis-penulis baharu yang menampilkan gaya kontemporari dalam hasil
penulisan mereka seperti Nisah Haji Haron, Faisal Tehrani, Ramlee Awang Murshid, dan Hashim Latif telah
berjaya mencuri hati pembaca, terutamanya golongan remaja. Karya mereka yang menarik menyebabkan bahan
sastera kembali menjadi bahan bacaan yang digemari. Apakah keistimewaan dan ciri-ciri hasil karya mereka
sehingga berjaya mengubah fenomena tersebut?
CONTOH KARANGAN 1 ( 2 )
Pada pandangan saya, hasil karya sastera yang menarik pasti dapat meninggalkan kesan yang mendalam
pada hati pembaca. Ciri-ciri sebuah karya sastera yang berkualiti dapat dilihat dari beberapa sudut. Kajian yang
dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka mendapati bahawa golongan yang mendominasi bahan bacaan ialah
golongan remaja. Oleh itu, bagi menarik minat mereka untuk membaca sesebuah karya haruslah menampilkan
tema permasalahan remaja. Konflik dalam percintaan, persahabatan, dan kekeluargaan haruslah dibangkitkan
berserta dengan revolusinya agar pembaca dapat mengaplikasikan apa-apa yang dipelajari melalui bahan bacaan
tersebut dalam kehidupan seharian mereka. Remaja sangat menggemari bahan bacaan yang bertepatan dengan
gaya hidup mereka. Karya seperti ‘’Puteri Kampus’’ oleh Aisya Sofea jelas mencerminkan gaya hidup remaja yang
sering memberontak apabila dikongkong oleh keluarga. Jadi tema sesebuah karya pasti dapat menarik minat
pembaca seandainya bertepatan dengan jiwa mereka kerana mereka akan dapat menyelami perwatakan watak
semasa membaca karya tersebut dan menjiwainya sehingga akhirnya meninggalkan kesan yang mendalam.
CONTOH KARANGAN 1 ( 3 )
Pada masa yang sama, sesebuah karya itu akan menarik apabila jalan cerita yang ditampilkan tidak terlalu
meleret-leret dan menimbulkan beberapa unsur kejutan atau peristiwa yang tidak diduga. Karya yang terlalu
panjang dan meleret akan menimbulkan kebosanan kepada pembaca sehingga akhirnya berkemungkinan mereka
akan melangkau sesetengah muka surat semata-mata untuk mengetahui pengakhiran cerita. Kesuntukan masa
menyebabkan mereka menolak untuk membaca kerana menganggap bahan bacaan tersebut mengambil masa
yang lama untuk dihabiskan. Penambahan unsur tragis atau saspens merupakan perencah dalam sesebuah karya.
Hal ini demikian kerana sifat remaja yang gemar akan cabaran menyebabkan mereka tertarik untuk menduga
jalan cerita bagi sesebuah karya. Perbezaan tersebut akan menyebabkan remaja semakin berminat untuk
meneruskan pembacaan mereka sehingga helaian terakhir. Dengan cara ini, barulah hasrat untuk membudayakan
pembacaan karya sastera dalam kalangan remaja akan terlaksana sekali gus sisipan pengajaran akan meresap
ke jiwa mereka. Oleh itu, sesebuah karya yang menarik haruslah mempunyai jalan cerita yang menarik dan tidak
membosankan.
CONTOH KARANGAN 1 ( 4 )
Seterusnya ciri-ciri sesebuah karya sastera yang menarik ialah mengandungi unsur-unsur imaginasi. Dalam era
sains dan teknologi ini, saya dapat mengesan bahawa unsur tahyul dan imaginasi masih menjadi pilihan pembaca.
Jika kita lihat, sinetron ‘’Bawang Putih Bawang Merah’’ yang ditayangkan oleh stesen televisyen TV3 telah
mencapai tahap yang tertinggi dalam senarai rancangan televisyen yang paling diminati. Pada ghalibnya,
masyarakat Malaysia pada hari ini gemar sesuatu yang bertentangan dengan kehidupan normal. Gaya penceritaan
seperti ini banyak terdapat dalam hasil karya Nisah Haji Haron dan Ramlee Awang Murshid. Sebagai contoh,
cerpen ‘’Annyss Sophillea’’ karya Nisah Haji Haron memuatkan kisah kehidupan manusia dari dua latar tempat
yang berbeza, ditambah dengan kehidupan haiwan mistik seperti unicorn. Karya Ramlee Awang Murshid pula lebih
menampilkan unsur surealisme seperti dalam karya ‘’Rahsia Perindu’’ dan ‘’Tombiruo’’. Hasil karya seperti inilah
yang sering menjadi pilihan remaja pada hari ini kerana ada kelainannya. Oleh hal yang demikian, penghasilan
karya yang mempunyai jalan cerita yang unik atau lain daripada yang lain pasti akan lebih menarik minat
masyarakat untuk menjadi santapan minda mereka.
CONTOH KARANGAN 1 ( 5 )
Selain itu, hasil karya yang menarik haruslah menampilkan gaya bahasa yang indah dan mudah
difahami. Karya sastera yang menggunakan laras bahasa klasik sangat tidak digemari oleh
pembaca, khususnya remaja kerana gaya bahasanya sukar dimengerti. Penggunaan ayat yang
mudah lebih meninggalkan kesan dalam hati pembaca berbanding ayat yang panjang walaupun
gramatis. Nisah Haji Haron contohnya, sering menggunakan istilah sains dan teknologi dalam hasil
penulisannya. Walaupun begitu, istilah yang digunakan ialah istilah mudah yang sering terdapat
dalam mata pelajaran Sains di sekolah. Hal yang demikian menyebabkan remaja gemar membaca
hasil karya penulis ini kerana dapat mempelajari teknik pengaplikasian istilah sains dalam
penulisan. Maka tidak hairanlah apabila karya yang menggunakan gaya bahasa yang indah dan
laras bahasa yang mudah lebih mendapat tempat dalam hati pembaca.
CONTOH KARANGAN 1 ( 6 )
Di samping itu, nilai dan pengajaran dalam sesebuah karya juga perlu diberi penekanan bagi menghasilkan karya
yang menarik dan bermutu tinggi. Karya sastera yang seronok dibaca tetapi tidak meninggalkan sebarang
pengajaran kepada pembaca tidak ubah seperti bahan picisan yang sekadar menjadi hiburan murahan. Sesebuah
karya haruslah menampilkan nilai-nilai murni yang dapat memberikan kesan kepada pembaca dan seterusnya
secara tidak langsung membentuk jati diri pelajar bermoral tinggi dalam usaha melahirkan modal insan yang
berminda kelas pertama. Karya seperti ‘’Pewaris’’ oleh Rahimidin Zahari sarat dengan nilai-nilai Islamik yang
tinggi. Nilai seperti ketaatan, keinsafan, kejujuran, dan keikhlasan yang ditampilkan mampu menyedarkan
pembaca betapa langit itu tinggi atau rendah. Pembaca dapat menghayati kebesaran dan kekuasaaan Tuhan
melalui Bagia Shaeif selaku watak utama dalam novel ini. Justeru, para penulis haruslah menitikberatkan mesej
yang ingin disampaikan kepada pembaca , bukan sekadar untuk berhibur, menitiskan air mata, atau berkhayal di
alam fantasi sahaja tanpa berpijak di bumi nyata. Dengan itu,sesebuah karya perlulah mengandungi nilai-nilai
yang baik supaya dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian pembaca.
CONTOH KARANGAN 1 ( 7 )
Sebagai intiha, dapatlah dikatakan bahawa tidak mudah untuk mendapatkan karya sastera yang menarik.
Penulis-penulis muda yang semakin prolifik mengasah mata pena mereka kini sewajarnya lebih peka akan kualiti
bahan penulisan yang bakal diterbitkan untuk dijual dalam pasaran. Seyogia, yang baik dijadikan teladan, yang
buruk dijadikan sempadan. Seandainya lebih banyak karya sastera yang menarik dan berkualiti dihasilkan, maka
sudah pasti budaya membaca dalam kalangan generasi muda akan terus bercambah dan hasrat kerajaan untuk
mewujudkan masyarakat yang berpengetahuan menjelang tahun 2020 tidak hanya tinggal impian atau ‘’menanti
kucing bertanduk’’. Perkara ini tidak mustahil untuk dicapai sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-
masing dan tidak hanya berpeluk tubuh mengharapkan sesuatu keajaiban berlaku dengan sendirinya.
02
USAHA-USAHA YAG PERLU DILAKUKAN UNTUK MENGGALAKKAN
KEDATANGAN PARA PELANCONG KE MALAYSIA
KARANGAN FAKTA
SOALAN KARANGAN 2
PELANCONGAN DIANGGAP
SEBAGAI SATU INDUSTRI
YANG MENGUNTUNGKAN NEGARA
KEMUKAKAN USAHA-USAHA
YANG PERLU DILAKUKAN
UNTUK MENGGALAKKAN
KEDATANGAN PARA PELANCONG
KE MALAYSIA
CONTOH KARANGAN 2 ( 1 )
Memang tidak dapat dinafikan bahawa sektor pelancongan telah menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara
Malaysia. Pihak kerajaan pernah menjelaskan bahawa sektor pelancongan akan terus menawarkan peluang
pekerjaan dengan pendapatan yang tinggi melebihi daripada jumlah yang dijangkakan. Berdasarkan hakikat itu,
usaha-usaha perlu ditingkatkan lagi oleh semua pihak supaya setiap perancangan yang diatur terhadap industri
pelancongan dapat berjalan dengan lancar.
Keistimewaan Malaysia dapat diperhatikan melalui budaya dan etika kerja penduduknya, bangunan dan
perusahaannya, tempat-tempat sejarah yang unik, dan keindahan alam semulajadinya seperti bukit-bukau yang
menghijau, rangkaian pulau yang cantik, air terjun yang bertingkat-tingkat, dan pantainya yang putih bersih.
Keistimewaan-keistimewaan tersebut menjadi faktor pendorong kepada kedatangan pelancong ke negara kita.
Untuk menggalakkan lagi kedatangan mereka, langkah-langkah yang wajar dan program terancang harus
dilaksanakan, seperti membuka tempat-tempat rekreasi yang baru dan berpotensi, dan melaksanakan
pembangunan di kawasan pelancongan. Ini termasuklah menyediakan prasarana dan kemudahan penginapan
untuk kegiatan pelancongan, serta mengekalkan tempat-tempat bersejarah. Projek pembangunan semula jadi
juga dapat mendatangkan pulangan yang besar kepada ekonomi negara.
CONTOH KARANGAN 2 ( 2 )
Kita juga dapat mengembangkan aktiviti pelancongan melalui usaha-usaha politik seperti menjalinkan hubungan
baik dengan negara-negara luar yang boleh dilakukan melalui misi-misi lawatan rasmi. Di samping itu, pihak
Perbadanan Pelancongan Malaysia boleh memajukan industri pelancongan dengan cara mengedarkan risalah
tentang keistimewaan-keistimewaan yang terdapat di Malaysia, misalnya tempat-tempat pelancongan yang
menarik, tempat-tempat yng bersejarah, pelbagai kebudayaan kaum, makanan masyarakat setempat, dan
sebagainya. Usaha-usaha promosi boleh dijalankan menerusi penayangan filem-filem rencana tentang keindahan
negara Malaysia. Agensi-agensi pelancongan juga boleh memainkan peranan dengan cara menawarkan pakej
pelancongan yang berpatutan agar pelancong mudah tertarik dan tidak menghadapi masalah untuk berkunjung ke
negara kita.
Di samping kestabilan politik, pihak kerajaan juga harus memastikan perkembangan ekonomi negara terus
meningkat. Oleh itu, pengeluaran pelbagai barangan tempatan dan industri desa seperti kraf tangan, batik, dan
barangan makanan perlu ditingkatkan. Seterusnya, kemudahan tempat membeli-belah dan kawasan bebas cukai
harus disediakan untuk menampung keperluan pelancong. Dengan itu, kemudahan-kemudahan tersebut akan
menjadikan tarikan kepada pelancong untuk berkunjung ke negara kita. Satu perkara lagi ialah pihak kerajaan
perlu memastikan nilai mata wang negara terus berkeadaan stabil.
CONTOH KARANGAN 2 ( 3 )
Masyarakat atau penduduk tempatan juga boleh berusaha untuk menarik minat pelancong. Mereka boleh
mengamalkan corak hidup yang harmoni, beramah mesra, bersopan santun, dan bertoleransi dengan para
pelancong. Sikap biadab dan karenah buruk penduduk tempatan akan memberikan persepsi negatif kepada
pelancong. Para pelancong akan bertindak lebih drastik dengan melaporkan kepada mana-mana media yang
akhirnya menjatuhkan imej negara. Oleh itu, untuk meningkatkan lagi imej negara, kebersihan setempat juga
harus dijaga.
Kesimpulannya, industri pelancongan merupakan satu projek atau program pembangunan yang
menguntungkan negara daripada pelbagai sudut. Sebagai satu industri yang menguntungkan, faktor-faktor
semula jadi yang menarik dalam negara harus dikekalkan. Manakala semua pihak sama ada yang terlibat secara
langsung hendaklah mengambil tahu tentang industri ini. Orang awam sekurang-kurangnya boleh memainkan
peranan dengan cara bertegur sapa dengan para pelancong atau sekadar mengukir senyuman sebagai tanda
persahabatan.
03
PERANAN PRODUKTIVITI DALAM KEHIDUPAN KITA
KARANGAN FAKTA
SOALAN KARANGAN 3
PRODUKTIVITI MERUPAKAN
ELEMEN YANG VITAL UNTUK
MELICINKAN PENTADBIRAN
DAN MENINGKATKAN KUANTITI
SERTA KUALITI HASIL
PENGELUARAN DALAM
KEHIDUPAN MANUSIA
BINCANGKAN PERANAN
PRODUKTIVITI DALAM
KEHIDUPAN KITA
CONTOH KARANGAN 3 ( 1 )
Dasawarsa ini, ramai orang yang ingin menjadi produktif dalam menyiapkan segala urusan kehidupan. Bahkan
dalam sebuah organisasi, produktiviti merupakan elemen yang vital untuk melicinkan pentadbiran dan
meningkatkan kuantiti serta kualiti hasil pengeluaran. Produktiviti boleh didefinisikan sebagai nilai atau kualiti
output yang dapat dihasilkan oleh satu unit input. Dalam zaman pascakemerdekaan ini, negara Malaysia telah
muncul sebagai kuasa ekonomi yang disanjungi di persada antarabangsa. Di samping mempunyai golongan
penduduk yang dedikasi, kita juga mempunyai infrastruktur yang mampu meningkatkan produktiviti dalam
pelbagai sektor. Lantas, kita sebagai rakyat Malaysia harus mengelakkan budaya "automasi" dan mengamalkan
fikiran kritis dan konstruktif untuk meningkatkan produktiviti dalam semua aspek kehidupan.
Antara peranan produktiviti adalah peningkatan produktiviti dalam sektor perindustrian. Barang yang dihasilkan
dengan menggunakan komputer bukan sahaja lebih banyak dan lebih cepat, tetapi juga lebih menjimatkan masa
berbanding dengan keupayaan semula jadi manusia. Alat teknologi dapat menjamin kualiti barangan yang
dikeluarkan dengan mengaji mutu barangan dengan tepat dan cepat. Robot digunakan untuk memasang kereta
atau menjalankan kerja-kerja yang terdedah kepada bahan pencemaran dan radioaktif.
CONTOH KARANGAN 3 ( 2 )
Selain itu, kemunculan penggunaan laser turut memajukan produktiviti dalam bidang perindustrian. Laser
merupakan alat pemecah dan pemotong yang termoden. Laser dapat memotong batu permata, intan, kaca, malah
kepingan logam tanpa mengeluarkan haba, bunyi dan sisa kotoran. Maka jelaslah produktiviti dalam sektor
perindustrian merupakan hasil daripada penggunaan alat-alat berteknologi seperti jentera canggih dan robot-
robot.
Di samping itu, peningkatan produktiviti dalam sektor pertanian. Melalui kepakaran dalam teknologi, teknik dan
teknologi pertanian akan mengalami transformasi. Teknik-teknik moden yang efektif dalam bidang penanaman,
penternakan dan penuaian akan membantu meningkatkan produktiviti. Bioteknologi juga akan membantu dalam
penghasilan baka, benih dan racun bagi memajukan sektor pertanian. Pertanian yang berorientasi intensif
teknologi bukan sahaja meningkatkan kualiti makanan tetapi juga menjamin kelangsungan makanan. Lantas,
usaha berterusan dalam penyelidikan dan pembangunan dapat membantu memelihara ekologi tanaman yang
akan meningkatkan kualiti hidup manusia. Kini, bioteknologi memacu negara ke arah pembangunan. Bidang
kejuruteraan makanan ubahsuaian genetik mempunyai ciri-ciri terbaik seperti tahan lama, sedap dan bermutu,
murah serta dapat meningkatkan produktiviti pengeluaran tanaman.
CONTOH KARANGAN 3 ( 3 )
Seterusnya, peningkatan produktiviti sistem telekomunikasi. Maklumat dari sesuatu kawasan boleh dihantar ke
seluruh dunia dalam masa beberapa saat sahaja melalui satelit. Kita tidak perlu menggunakan kaedah kuno
seperti melepaskan asap sebagai tanda isyarat atau memukul kompang untuk menghantar mesej. Sebaliknya,
sesuatu acara sukan atau pertandingan boleh disiarkan secara langsung ke semua pelosok dunia dengan pantas.
Penciptaan telefon bimbit dapat menghantar SMS dan MMS kepada orang lain dengan mudah dan cepat. Syarikat
Celcom, Digi dan Maxis dengan bantuan satelit dapat membantu pengguna telefon bimbit untuk menghubungi
sesiapa sahaja dalam kehidupan seharian. Penciptaan teknologi laser turut memainkan peranan penting kerana
mengganti peranan kabel dengan optik fiber. Jalur laser yang lebih luas membenarkan maklumat seperti bunyi
dan suara dihantar dengan lebih cepat dan tepat serta meminimumkan risiko kehilangan data.
CONTOH KARANGAN 3 ( 4 )
Selanjutnya, peningkatan produktiviti sektor penyelidikan. Pelancaran satelit dapat mengumpul data, data penting
mengenai persekitaran bumi dengan pantas. Maklumat ini kemudian dianalisis dengan segera oleh komputer
untuk menghasilkan keputusan kajian yang tepat tentang keadaan cuaca, seperti hala tuju angin dan kelembapan
sesuatu kawasan. Ramalan kaji cuaca ini dapat membantu manusia untuk bersiap sedia menghadapi sebarang
ancaman malapetaka seperti banjir dan taufan. Berbanding dengan zaman dahulu, ramalan cuaca dilaksanakan
dengan memerhatikan kedudukan matahari pada waktu siang dan bintang-bintang pada waktu malam. Kaedah ini
kurang produktif kerana kedudukannya tidak tertentu. Hal ini membuktikan bahawa perkembangan pesat dalam
tahap teknologi telah merancakkan peningkatan produktiviti dalam sektor penyelidikan..
Produktiviti dalam bidang pendidikan juga dipengaruhi. Murid-murid yang menganggap proses pembelajaran
sukar untuk difahami pastinya akan berminat apabila komputer digunakan untuk menyampaikan pengajaran
dalam bentuk grafik yang berwarna-warni. Teknik pengajaran sebegini direalisasikan apabila munculnya
kemudahan alat ICT di kebanyakan sekolah di Malaysia. Pada zaman sekarang, para murid dapat menelaah
pelbagai isu semasa dunia dengan hanya menekan papan kekunci. Mereka tidak lagi menjadi katak di bawah
tempurung. Murid didedahkan kepada pengetahuan am yang bukan dari buku teks sekolah sahaja. Sebagai
kesan murid-murid mampu meluaskan il u pengetahuan mereka dan menjadi insan yang berilmiah dan
berkualiti. Lantas, produktiviti dalam pendidikan pun dapat ditingkatkan.
CONTOH KARANGAN 3 ( 5 )
Selain itu, peningkatan produktiviti di klinik dan hospital. Doktor boleh membuat diagnosis sesuatu penyakit
dengan menggunakan komputer untuk memproses butir-butir peribadi mengenai pesakit dan seterusnya
mendiagnosis jenis penyakit yang dihadapinya. Dalam rawatan kesihatan khususnya semasa pembedahan,
teknologi memberikan sumbangan yang besar dari segi melicinkan kerja pembedahan. Umpamanya bacaan
denyutan jantung dan analisis gambar sinar - x pesakit boleh dibuat dengan serta-merta dengan peralatan
canggih. Cara ini dapat membantu menjamin keselamatan dan kejayaan sesuatu pembedahan. Lagipun, pakar-
pakar perubatan dapat menghasilkan ubat yang lebih berkesan. Mereka dapat mencipta peralatan canggih untuk
membanteras pelbagai penyakit berbahaya pada masa kini. Penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari,
diabetis dan tekanan darah tinggi dapat dikesan lebih awal melalui peralatan moden dalam bidang perubatan.
Dengan cara ini, langkah pemulihan akan dapat dilakukan dengan segera. Oleh hal yang demikian, perkembangan
dalam bidang perubatan telah meningkatkan produktiviti dan jangka hayat rakyat kita.
CONTOH KARANGAN 3 ( 6 )
Tuntasnya, dengan adanya inovasi dan perkongsian, produktiviti meningkat kerana inovasi adalah jantung,
berkongsi adalah hati. Maka, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia
meletakkan 'inovasi' sebagai salah satu mekanisma dalam agenda transformasi pembangunan negara. Beliau
telah memperuntukkan bajet yang positif dan Belanjawan 2013 untuk merancakkan kegiatan inovasi, peningkatan
produktiviti dan keusahawan. Lantas, setiap lapisan masyarakat haruslah menggembleng tenaga dan berganding
usaha untuk mempromosikan produktiviti kehidupan. Dengan ini, kita dapat membina masyarakat yang berminda
kelas pertama, seterusnya aspirasi negara kita untuk mencapai Wawasan 2020 mampu diimplimentasikan dan
dilestarikan.
04
LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENJAGA KESIHATAN DIRI
KARANGAN FAKTA
SOALAN KARANGAN 4
KESIHATAN AMAT PENTING
DALAM KEHIDUPAN KITA.OLEH
ITU , KITA PERLULAH
MENJAGA KESIHATAN AGAR
BERADA DALAM KEADAAN YANG
BAIK.
BERIKAN PENDAPAT ANDA
TENTANG LANGKAH-LANGKAH
UNTUK MENJAGA KESIHATAN
DIRI
CONTOH KARANGAN 4 ( 1 )
Kesihatan amat penting dalam kehidupan kita sehari-hari. Dengan memiliki tubuh badan yang sihat, seseorang
dapat melaksanakan aktiviti harian tanpa halangan. Anak-anak dapat ke sekolah menimba ilmu dan ibu bapa
dapat mencari rezeki untuk keluarga. Bagi sesetengah orang, nikmat kesihatan hanya disedari apabila mereka
diserang penyakit. Mereka sanggup menghabiskan wang membeli ubat dan makanan kesihatan untuk mengubati
penyakit yang dihadapi. Tambahan pula, pelbagai ubat dan produk makanan kesihatan wujud di pasaran sekarang
seperti “Cendawan tumbuh selepas hujan”. Oleh sebab peri pentingnya nikmat ini dalam kehidupan, beberapa
langkah perlu diambil agar kesihatan kita terjamin.
Salah satu langkah yang perlu kita beri perhatian untuk menjaga kesihatan adalah dengan menjaga kebersihan
persekitaran tempat tinggal. Keadaan di dalam dan di luar rumah hendaklah bersih daripada sampah sarap dan
tempat-tempat air bertakung. Perkara ini akan dapat menghapuskan tempat pembiakan agen-agen penyakit
seperti lalat, tikus, nyamuk dan lain-lain. Kita perlulah menyahut seruan kempen yang dilancarkan oleh Majlis
Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam iaitu kempen “Jumpa Sampah Kutip” dan kempen “Memerangi LILATI
(lipas,lalat dan tikus).” Oleh itu, sampah perlu dibakar, dikambus atau dibuang di tempat khas. Pasu-pasu bunga
dan longkang perlu diperiksa agar air tidak bertakung dan menjadi tempat pembiakan nyamuk. Dengan demikian,
penyakit-penyakit bawaan vektor seperti taun, malaria, dan denggi dapat dielakkan.
CONTOH KARANGAN 4 ( 2 )
Selain itu, pemeriksaan kesihatan amat wajar dilakukan untuk memastikan kesihatan kita berada dalam keadaan
baik. Mengikut saranan pakar perubatan, seseorang perlu melakukan pemeriksaan kesihatan sekurang-
kurangnya dua kali setahun atau enam bulan sekali. Pemeriksaan ini meliputi tekanan darah, paras gula dalam
darah, tahap kolesterol dan lain-lain lagi. Tujuan pemeriksaan dibuat untuk memastikan tahap kesiahatan kita
berada dalam keadaan sihat dan dapat mengesan penyakit kronik dengan lebih awal seperti penyakit darah tinggi,
kencing manis dan sebagainya. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, “Mencegah lebih baik daripada
mengubatinya”. Bagi pesakit yang telah diserang penyakit ini, keadaannya akan boleh dikawal sebelum menjadi
serius seperti peribahasa,“cegah sebelum parah”. Pendek kata, kesihatan seseorang akan berada dalam keadaan
baik jika kita secara berdisiplin menjalani pemeriksaan kesihatan diri di hospital-hospital secara berjadual.
CONTOH KARANGAN 4 ( 3 )
Mengamalkan pemakanan seimbang tidak kurang pentingnya sebagai langkah menjaga kesihatan kita. Amalan
pemakanan berkait rapat dengan kesihatan seseorang. Hal ini bertepatan dengan peribahasa Inggeris tentang
amalan pemakanan iaitu “What you are, is what you eat”. Boleh dikatakan seseorang yang mengamalkan
pemakanan yang seimbang akan memperoleh kesihatan yang baik. Mengamalkan pemakanan seimbang
bermakna seseorang mengambil makanan yang berkhasiat dan berzat sesuai dengan keperluan tubuh badan
seseorang. Seseorang individu memerlukan makanan yang sesuai berdasarkan usia, pekerjaan dan keperluan-
keperluan lain. Sebagai contohnya, seorang bayi memerlukan lebih kalsium berbanding orang dewasa yang
memerlukan lebih protein. Untuk lebih jelas, seseorang perlu merujuk kepada piramid makanan sebagai panduan
untuk mendapatkan gizi seimbang. Sehubungan dengan itu, makanan ringan dan minuman bergas perlu dielakkan
kerana boleh memudaratkan kesihatan kita. Pendek kata, langkah terbaik untuk mencapai tahap kesihatan adalah
dengan mengamalkan diet makanan seimbang.
CONTOH KARANGAN 4 ( 4 )
Seterusnya, kesihatan kita akan lebih terjamin jika kita melakukan kegiatan riadah. Amalan riadah seperti
berenang, joging, menunggang basikal dan kegiatan sukan lain adalah baik untuk kesihatan. Pensyarah Sains
Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr. Zulkifli Abdul Kadir, menyarankan setiap individu
melakukan kegiatan riadah selama 30 minit dua kali seminggu bagi mendapatkan tahap kesihatan yang optimum.
Kegiatan riadah ini akan menjadi kebiasaan jika setiap hari kita melakukannya dengan penuh disiplin dan
istiqamah sesuai dengan peribahasa, “Alah bisa tegal biasa.” Dengan melakukan kegiatan riadah, otot-otot tubuh
akan lebih bertenaga dan kecergasan badan akan bertambah baik. Di samping itu, seseorang dapat menghirup
udara segar semasa melakukan senaman di taman-taman permainan serta dapat mengurangkan tekanan atau
stress selepas seharian penat bekerja di pejabat. Seyogia disarankan agar kita dapat melakukan kegiatan
senaman secara untuk memperoleh kesihatan yang baik.
CONTOH KARANGAN 4 ( 5 )
Amalan gaya hidup sihat merupakan langkah yang tidak kurang pentingnya untuk mendapatkan kesihatan yang
baik. Kini, kita dikejutkan dengan bermacam-macam amalan hidup yang negatif telah menular dalam masyarakat
kita. Antara gaya hidup yang negatif ialah amalan seks rambang dan bebas, melanggani pelacur, penagihan dadah
dan pil-pil khayal, ketagihan arak serta lain-lainnya. Begitu juga amalan merokok yang masih menjadi sebahagian
cara hidup muda-mudi dan remaja dalam masyarakat kita seolah-olah kempen “Katakan Tak Nak Pada Rokok”
giat dijalankan. Sudah tentu, gaya hidup tidak sihat akan mengundang penyakit seperti Sindrom Kurang Daya
Tahan Penyakit (AIDS), siflis dan lain-lain. Amalan-amalan sebegini perlu dijauhkan seterusnya mengamalkan
cara hidup sihat berdasarkan norma-norma agama dan budaya timur kita. Lantaran itu, beralihlah kepada cara
hidup sihat bagi mendapatkan kesihatan yang baik sebagaimana kempen “Gaya Hidup Sihat” yang diuar-uarkan
oleh kerajaan.
CONTOH KARANGAN 4 ( 6 )
Sebagai kesimpulannya, penjagaan kesihatan perlu menjadi agenda dan keutamaan dalam hidup kita seharian.
Pelbagai langkah boleh diambil untuk memperoleh kesihatan yang baik. Antaranya, menjaga kebersihan diri dan
persekitaran, mengambil pemakanan seimbang dan melakukan kegiatan riadah. Kita haruslah lebih prihatin dan
mengambil berat tentang kesihatan diri agar dapat menjalani kehidupan yang berkualiti. Individu yang sihat akan
mampu memberi sumbangan kepada pembangunan dan kemakmuran negara selaras dengan slogan, “Rakyat
Sihat Negara Sejahtera”.
05
PERANAN PELBAGAI PIHAK DALAM USAHA UNTUK KELESTARIAN
ALAM SEKITAR
KARANGAN FAKTA
SOALAN KARANGAN 5
KITA BARU SAHAJA MERAIKAN
SAMBUTAN HARI ALAM SEKITAR PADA
TANGGAL 5 JUN YANG LALU.SETIAP
TAHUN ADA HARI TERSEBUT,SELURUH
DUNIA MERAIKAN HARI ALAM
SEKITAR UNTUK MEMPERTINGKATKAN
TINDAKAN DAN PENGLIBATAN MEREKA
TERHADAP SEBARANG PERUBUHAN
YANG BERLAKU KEPADA ALAM
SEKITAR
BERDASARKAN PERNYATAAN
DIATAS,JELASLAH BAHAWA SEBAGAI
SEORANG RAKYAT MALAYSIA YANG
PRIHATIN,KITA HARUSLAH MENJAGA
DAN MELESTARIKAN ALAM
SEKITAR.HURAIKAN PERANAN PIHAK
DALAM USAHA UNTUK MELESTARIKAN
ALAM SEKITAR
CONTOH KARANGAN 5 ( 1 )
Alam sekitar merupakan sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia tidak kira bangsa mahupun
negara. Hal ini termasuklah tumbuhan hijau, udara serta air seperti sungai dan laut. Manusia dikurniakan
akal fikiran supaya bertanggungjawab untuk memelihara alam sekitar. Namun demikian, mutakhir ini, arus
modenisasi menderaskan lagi pembangunan negara sehingga tidak sedar bahawa ia telah menjejaskan
ekosistem ini. Lantaran itu, semua pihak haruslah memainkan peranan yang efektif untuk memelihara
anugerah ciptaannya kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi.
Salah satu usaha dalam penjagaan alam sekitar ialah pihak kerajaan perlu menggalakkan penanaman
tanaman hijau kepada semua rakyat. Hal ini berlaku demikian kerana tumbuhan hijau berupaya
mengeluarkan bahan oksigen yang sangat banyak dan ini dapat menjamin keseimbangan alam sekitar serta
dapat mengekalkan hutan negara kepada generasi seterusnya. Sebagai contoh, pihak kerajaan boleh
menganjurkan kempen penanaman pokok di setiap negeri bagi memulihara alam sekitar ini. Sekiranya
kawasan tadahan hujan yang dapat mengelakkan berlakunya hakisan tanah. Ringkasnya, aktiviti
penanaman tanaman hijau perlu dijalankan agar ekosistem negara terus dipelihara kerana persis kata
mutiara, sediakan payung sebelum hujan.
CONTOH KARANGAN 5 ( 2 )
Selain itu, masyarakat mestilah menjaga kebersihan sungai yang merupakan sumber bekalan air yang utama
kepada manusia mahupun haiwan. Untuk memastikan sungai ini terpelihara daripada sebarang aktiviti
pencemaran, semua anggota masyarakat perlulah memperkasakan usaha serta menyokong kempen ‘Cintailah
Sungai Kita’ yang dianjurkan oleh pihak berautoriti. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakt perlu
mempunyai kesedaran dan meningkatkan ilmu mengenai kesan pencemaran sungai kepada mereka. Sebagai
contoh, sekiranya terdapat pencemaran sungai yang berlaku, anggota masyarakat haruslah melaporkan kepada
Jabatan Alam Sekitar secepat yang mungkin supaya sungai tersebut boleh dirawat dengan berkesan. Hukuman
juga boleh dikenakan kepada individu yang telah mencemarkan sungai agar dia sedar betapa pentingnya sungai
kepada kehidupan ini. Usaha sebegini mampu mengelakkan daripada berlakunya bencana alam seperti banjir kilat
kepada kita. Jelaslah bahawa masyarakat perlu sentiasa bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam memlihara
sungai kerana Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
CONTOH KARANGAN 5 ( 3 )
Seterusnya, media massa juga merupakan perkara yang penting dalam usaha melestarikan alam sekitar. Hal ini
dikatakan demikian kerana media massa mendatangkan pengaruh yang mendalam kepada semua lapisan
masyarakat. Sebagai contoh, dengan membuat pengiklanan tentang pengalam konsep 5R iaitu Refuse(menolak),
Reduce(mengurangkan), Reuse(kitar semula), dan Recovery(pemulihan diperbaharui) di siaran televisyen, radio
dan sebagainya akan dapat membangkitkan kesedaran sivik dalam diri mereka. Hal ini sudah pasti dapat
menjimatkan kos untuk pelupusan sampah serta menggalakkan penggunaan sumber asli dalam kehidupan
seharian. Dengan kata lain, media massa turut terlibat dalam usaha mengekalkan kelestarian alam sekitar di
negara ini kerana hal ini bersesuaian dengan cogan kata ‘Negara Bersih, Rakyat Sihat’.
CONTOH KARANGAN 5 ( 4 )
Di samping itu, pihak swasta sewajarnya menggunakan teknologi moden dalam mengurangkan pencemaran alam
sekitar. Hal ini dikatakan dimikian kerana alat teknologi moden seperti Boom Vane dapat mengawal dan
mengurangkan berlakunya pencemaran dengan lebih cepat dan efektif. Misalnya, penapis udara yang dipasang
pada ekzos kenderaan dan sebagainya dan dapat mengurangkan kadar gas karbon monoksida yang dilepaskan.
Kesannya, pencemaran udara di negara kita dapat dikurangkan. Tegasnya, penggunaan teknologi moden harus
dipraktikkan agar kita dapat menghirup udara yang segar sepanjang masa.
Konklusinya, pelbagai langkah boleh dijayakan sekiranya semua pihak memainkan peranan serta
memandang serius terhadap perkara ini. Oleh itu, marilah kita bersama-sama bekerjasama dalam mengekalkan
kelestarian dan keindahan alam sekitar kerana ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.
06
PERSIAPAN-PERSIAPAN YANG PERLU ANDA LAKUKAN UNTUK
MELESTARIKAN IMPIAN ANDA
KARANGAN FAKTA
SOALAN KARANGAN 6
SETIAP INDIVIDU MEMPUNYAI
IMPIANNYA TERSENDIRI.SEBAGAI
SEORANG PELAJAR YANG
BERWAWASAN,ANDA MEMPUNYAI
IMPIAN UNTUK MENCAPAI
KECEMERLANGAN DALAM
PELAJARAN.
JELASKAN PERSIAPAN-PERSIAPAN
YANG PERLU ANDA LAKUKAN UNTUK
MEREALISASIKAN IMPIAN ANDA
CONTOH KARANGAN 6 ( 1 )
Sebagai insan yang masih berdenyut, kita tidak boleh sekadar berdiam diri dan memasang impian dan cita-cita
dalam kehidupan ini. Begitu juga dengan saya, hidup ini mesti dihias dengan impian, harapan dan cita-cita barulah
sempurna. Tahun demi tahun, rekod kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia telah dapat dicipta dan dipecahkan.
Suatu waktu dahulu, ada calon yang berjaya memperoleh 16A1, yakni suatu pencapaian yang belum pernah dicapai.
Akan tetapi beberapa tahun kemudian rekod ini telah dapat dipecahkan oleh Saudari Nur Amalina yang berjaya
memperoleh 17A1. Pada SPM 2008 pula, Saudara Azli Azlan dapat mencipta rekod dengan memperoleh kesemua
21A1 bagi subjek yang diambil oleh beliau. Sebagai pelajar yang berwawasan, saya mempunyai impian untuk
mencapai kecemerlangan dalam dunia akademik saya. Persiapan-persiapan awal amatlah mustahak sebagai
persediaan untuk mencapai kejayaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
CONTOH KARANGAN 6 ( 2 )
Pertama-tama, saya perlu menetapkan suatu matlamat yang jelas sama ada dalam jangka masa pendek atau
jangka masa panjang. Saya perlu belajar memahami diri dari segi kecenderungan, kemampuan, kekuatan dan
kelemahan supaya saya dapat menepati matlamat diri. Manusia tidak merancang untuk gagal tetapi sebenarnya
mereka gagal merancang dek tidak mempunyai hala tuju atau impian masa depan yang cemerlang. Kebanyakan
pelajar pada milenium ini mengadu bahawa mereka tidak mempunyai masa yang mencukupi kerana mereka
terlalu sibuk akan pelbagai aktiviti selain pelajaran. Istilah tidak ada masa bukan merupakan alasan yang jujur
kerana pada dasarnya kita semua memiliki masa 24 jam setiap hari. Yang perlu ditingkatkan sebenarnya ialah
usaha kita untuk membahagikan masa dengan lebih cermat dan berhemah. Kita digalakkan membuat jadual waktu
dan menuruti jadual itu tanpa gagal agar perjalanan hidup seharian kita sistematik, berdisiplin dan seimbang. Kita
perlu membahagikan masa kita untuk membuat ulang kaji, beriadah atau bersenam, dan berinteraksi dengan ahli
keluarga secara seimbang. Jadual waktu kita tidak semestinya penuh dengan aktiviti ulang kaji dan kelas
tambahan, sebaliknya kita perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan pelbagai akitiviti yang dapat
mengurangkan tekanan hidup seperti bersenam, menyertai kem, menonton televisyen dan sebagainya.
CONTOH KARANGAN 6 ( 3 )
Selain itu, semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, saya perlu memberikan perhatian penuh
tanpa kompromi. Pada masa yang sama, saya perlu membuat nota ringkas untuk memudahkan saya membuat
ulang kaji pada bila-bila masa. Mungkin setiap orang mempunyai cara belajar yang tersendiri dan berbeza tetapi
bagi saya kaedah perbincangan antara rakan sebaya atau belajar secara berkumpulan merupakan kaedah yang
terbaik untuk kita mengingati fakta. Setiap ahli kumpulan mesti bersifat tegas, berdedikasi dan berdisiplin untuk
memastikan tiada perkara lain yang dibincangkan selain intipati pelajaran. Debat dan perbincangan boleh
diadakan sesama sendiri untuk memahami sesuatu topik. Maklumat yang dikongsi bersama juga mampu
mendatangkan impak yang positif kepada setiap individu.
CONTOH KARANGAN 6 ( 4 )
Antara amalan lain yang boleh saya amalkan termasuklah rajin menimba ilmu dan pengalaman. Pada hemat
saya, membaca buku dapat meningkatkan daya fikir dan ilmu pengetahuan bak kata peribahasa membaca
jambatan ilmu. Saya suka memilih buku-buku yang bertema berat dan berkaitan dengan kecemerlangan hidup.
Buku-buku yang dikarang oleh Barack Obama, Presiden Amerika Syarikat yang terunggul pada abad ini misalnya
menjadi pilihan saya pada masa santai. Bagi saya, pelajar yang menginginkan kecemerlangan tidak boleh malas
membaca. Selain itu, saya juga perlu menjadi pendengar yang baik. Sama ada orang yang sedang bercakap itu
guru mahupun rakan-rakan, saya tetap akan setia mendengar jika perkara yang diperkatakan itu mendatangkan
kebaikan. Sebagai insan pelajar, kita tidak harus bersikap angkuh ketika menimba ilmu. Sikap rendah diri secara
positif ibarat padi semakin berisi semakin tunduk wajar kita amalkan dalam kehidupan sehari-hari.
.
CONTOH KARANGAN 6 ( 5 )
Bersesuaian dengan era globalisasi, saya tetap tidak akan ketinggalan menggunakan prasarana teknologi
maklumat dan komunikasi secara positif untuk menimba ilmu. Saya sentiasa melayari Internet di rumah bagi
mendapatkan pelbagai maklumat. Antara laman web yang saya layari termasuklah portal pelajaran dan berita
tentang hal ehwal dunia semasa. Kadang-kadang saya turut bersembang siber dengan sahabat pena dan kini
sahabat siber, sama ada dari negara kita atau dari luar negara untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris
saya lagi. Kami juga sering bertukar-tukar pendapat di dalam blog dan media sosial masing-masing. Prasarana
Internet amat membantu saya untuk menambahkan ilmu dan kemahiran tanpa perlu kita menyalahgunakan
kemudahan canggih tersebut.
Akhirulkalam, kejayaan tidak akan dapat direalisasikan oleh manusia yang asyik leka dan malas tanpa hala tuju
hidup yang jelas dan berwawasan. Sebaliknya, sebagai insan yang dahaga akan ilmu, pengalaman, dan kejayaan,
kita perlu senantiasa bersikap tekun, gigih dan tabah berusaha tanpa putus asa. Yang paling penting, kita perlu
pasrah, berdoa dan mendapat keberkatan daripada Tuhan, ibu bapa, dan guru-guru sebelum menduduki
peperiksaan agar usaha kita senantiasa diberkati dan berjaya.
07
PERSEDIAAN YANG PERLU ANDA LAKUKAN SEBELUM MENCEBURI
BIDANG PEKERJAAN
KARANGAN FAKTA
SOALAN KARANGAN 7
ANDA MEMINATI SESUATU BIDANG
KERJAYA YANG MENCABAR DAN
BERISIKO.OLEH ITU,PERSEDIAAN
AWAL AMAT PENTING SEBELUM
ANDA MENCEBURI BIDANG
PEKERJAAN TERSEBUT.
BINCANGKAN PERSEDIAAN-
PERSEDIAAN YANG PERLU ANDA
LAKUKAN SEBELUM MENCEBURI
BIDANG PEKERJAAN
CONTOH KARANGAN 7 ( 1 )
Era penyejagatan pada masa ini semakin hari semakin berkembang pesat ekoran sikap manusia yang sentiasa berusaha
untuk mencapai dan mendominasi kejayaan dalam kehidupan. Manusia juga sanggup melakukan apa-apa sahaja tanpa
berputus asa untuk memperoleh kejayaan, bak kata pepatah Melayu, genggam bara api biar sampai jadi arang. Saya
meminati sesuatu bidang kerjaya yang amat mencabar dan berisiko. Oleh itu, persediaan awal adalah amat penting
sebelum saya dapat menceburi bidang pekerjaan ini. Saya perlulah melakukan beberapa persediaan yang sewajarnya
kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.
Persediaan yang afdal yang wajar saya lakukan termasuklah melengkapkan diri saya dengan kemahiran insaniah
yang meliputi beberapa aspek, iaitu kemahiran berkomunikasi, mempunyai pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan
masalah, kemahiran kerja berpasukan, pembelajaran sepanjang hayat dan pengurusan maklumat, kemahiran
keusahawanan, etika dan moral profesional serta kemahiran kepimpinan. Kemahiran insaniah sangat penting untuk
melahirkan modal insan yang kamil dan yakin untuk berhadapan dengan sebarang cabaran yang mendatang. Sebagai
contoh, semasa berada di alam persekolahan dan pengajian tinggi, saya perlulah menggunakan peluang yang ada untuk
bergerak aktif sama ada dalam aktiviti kemasyarakatan, sukan atau kebudayaan. Hal ini adalah kerana kemahiran insaniah
dapat mempersiapkan diri saya dengan kemahiran yang boleh diaplikasikan pada masa hadapan terutamanya semasa
berada dalam alam pekerjaan. Oleh itu, usaha untuk memiliki kemahiran insaniah amat penting agar saya dapat
berkecimpung dalam bidang yang saya minati itu.