The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by jhlee167834, 2021-09-29 03:10:27

BUKU SKRAP KARANGAN

BUKU SKRAP KARANGAN

CONTOH KARANGAN 7 ( 2 )

Jika dilihat dari dimensi yang lain pula, saya perlu mempunyai daya saing yang tinggi kerana saya
merupakan golongan pemuda-pemudi yang bakal berhadapan dengan dunia yang kian mencabar ini.
Sesungguhnya remaja di Malaysia amat berbeza dengan remaja di negara lain. Mereka sememangnya sudah
diajar berdikari sejak kecil lagi manakala remaja di negara kita masih ditatang bagai minyak yang penuh. Jadi,
tidak hairanlah mereka lebih matang dan daya saing mereka lebih tinggi daripada remaja di negara kita.
Menyedari hakikat ini, saya perlu kental dan tidak mudah berputus asa apabila berhadapan dengan pelbagai
rintangan. Sebagai contoh, Abraham Lincoln pernah mengalami 13 kegagalan besar dalam bidang politik sebelum
beliau dipilih menjadi Presiden Amerika Syarikat yang ke-16 pada usia 51. Kecekalan Abraham Lincoln ini perlu
saya contohi kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Saya juga mesti membekalkan diri saya dengan
semangat juang yang tinggi untuk mencapai matlamat saya. Saya perlu berupaya untuk menghasilkan teknologi
dan robotik yang setanding dengan remaja yang lain. Jelaslah membuktikan bahawa seseorang yang ingin
mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburi perlulah memiliki daya saing yang tinggi.

CONTOH KARANGAN 7 ( 3 )

Selain itu, saya juga perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam terhadap bidang pekerjaan yang bakal
saya ceburi itu. Hal ini adalah kerana ketinggian ilmu yang saya miliki dapat memastikan jati diri saya tidak mudah
rapuh. Sejak kecil lagi, rakyat Jepun telah didedahkan dengan amalan membaca kerana mereka percaya
bahawa membaca itu jambatan ilmu. Hanya dengan membaca, mereka berupaya memajukan negaran mereka
dengan pelbagai teknologi moden yang canggih. Jadi, saya perlu banyak membaca buku-buku yang berkaitan
dengan bidang yang saya minati. Saya percaya bahawa ilmu pengetahuan yang tinggi mampu mematangkan saya
untuk mengatur setiap langkah kehidupan. Sememangnya pelangi hari ini tidak mampu berjanji untuk muncul
pada hari keesokan. Oleh hal yang demikian, saya perlulah meningkatkan pengetahuan dan keyakinan saya bagi
merealisasikan impian saya untuk menceburi bidang kerjaya yang mencabar dan berisiko.

CONTOH KARANGAN 7 ( 4 )

Seperkara lagi, saya perlulah sentiasa sensitif dan prihatin terhadap isu semasa. Saya tidak mahu
menjadi seperti katak di bawah tempurung. Hal ini adalah supaya saya lebih peka terhadap masalah yang kian
menular seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan sama ada di negara kita atau di luar negara. Dewasa ini,
banyak jenayah yang berlaku di negara kita. Sebagai contoh, kes pembunuhan Datuk Sosilawati, seorang jutawan
dan rakan-rakannya yang telah dibunuh tanpa perikemanusiaan. Sebagai iktibar, saya perlu lebih berhati-hati
dalam mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba ini terutamanya ketika menceburi bidang kerjaya yang lebih
mencabar dan berisiko. Jadi, saya mestilah memiliki semangat inkuiri yang kuat dan tinggi supaya saya sentiasa
lebih sensitif dan peka terhadap isu-isu yang berlaku di sekeliling saya. Hal ini dapat dicapai sekiranya saya rajin
membaca surat khabar dan melayari internet untuk mengetahui isu-isu semasa. Dengan cara ini, saya berupaya
untuk menangkis sebarang cabaran ketika saya bekerja dalam dunia pekerjaan yang berisiko dan mencabar.

CONTOH KARANGAN 7 ( 5 )

Persediaan yang seterusnya ialah saya perlu mempunyai minda yang kreatif dan inovatif. Hal ini dikatakan
demikian kerana seseorang yang dapat berfikir di luar kotak dan berani melakukan anjakan paradigma mampu
untuk menongkah arus dan mendepani cabaran semasa. Sebagai seorang pelajar, kejayaan akademik memang
merupakan satu kepentingan untuk berjaya dalam kehidupan tetapi tidak dapat disangkalkan juga bahawa
mempunyai nilai tambah diri seperti nilai kepimpinan dan berfikir secara kreatif serta kritis juga signifikan untuk
berjaya dalam kerjaya yang mencabar dan berisiko. Oleh itu, pemikiran saya yang kreatif dan inovatif dapat
menangani cabaran-cabaran yang bakal saya tempuhi kelak terutamanya pada era globalisasi ini. Saya juga dapat
mengemukakan idea-idea yang bernas yang dapat meningkatkan kualiti kerja saya kelak. Tuntasnya, kemampuan
untuk berfikir secara kreatif dan inovatif dapat membantu saya ketika melibatkan diri dalam kerjaya yang saya
idamkan.

CONTOH KARANGAN 7 ( 6 )

Konklusinya, persediaan-persediaan inilah yang wajar saya lakukan sebagai prasyarat untuk mencapai
kejayaan dalam pekerjaan saya nanti. Oleh itu, saya perlulah menitikberatkan kemajuan diri saya dalam semua
aspek sama ada dalam aspek jasmani, rohani, emosi, intelek dan sosial. Dengan cara ini, saya pasti dapat
menangkis segala dugaan yang mendatang kerana saya percaya bahawa hendak seribu daya, tak hendak seribu
dalih. Semoga impian saya akan menjadi realiti dengan keizinan Tuhan yang Maha Esa.

08

KELEBIHAN-KELEBIHAN PENGANGKUTAN AWAM KEPADA ANGGOTA
MASYARAKAT DI NEGARA KITA

KARANGAN FAKTA

SOALAN KARANGAN 8

ANGGOTA MASYARAKAT DIGALAKKAN
UNTUK MENGGUNAKAN
PENGANGKUTAN AWAM KERANA
BANYAK KELEBIHANNYA
HURAIKAN KELEBIHAN-KELEBIHAN
PENGANGKUTAN AWAM KEPADA
ANGGOTA MMASYARAKAT DI NEGARA
KITA

CONTOH KARANGAN 8 ( 1 )

Dunia sentiasa mengalami perubahan dalam sistem pengangkutan dari semasa ke semasa. Dalam era globalisasi
ini, pelbagai jenis kenderaan yang moden telah dicipta bagi menggantikan kenderaan yang konvensional. Pada
masa ini, terdapat pelbagai jenis kenderaan awam seperti monorel, ERL, komuter, bas, teksi, kapal terbang dan
sebagainya. Pengangkutan awam yang moden itu pula mampu untuk memainkan peranan yang penting kepada
sesebuah negara untuk mencapai kemajuan. Dengan perkataan lain, pengangkutan awam yang terdapat di negara
kita juga tidak kurang pentingnya kerana terdapat pelbagai kelebihan yang akan diperoleh apabila masyarakat
menggunakannya.

Pengangkutan awam dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibu kota atau bandar-bandar besar yang lain.
Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan rakyat Malaysia gemar menggunakan kenderaan sendiri
terutamanya ketika ingin menuju ke tempat kerja. Di samping itu, mereka kebiasaannya bersikap bagai enau di
dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing ketika berada di jalan raya. Perkara ini akhirnya
mengakibatkan kesesakan jalan raya yang serius. Oleh itu, pengangkutan awam seperti komuter, monorel, ERL
( Express Rail Link ), LRT ( Light Rail Transit ) dan sebagainya dapat memainkan peranan yang penting untuk
membendung masalah kesesakan jalan raya yang semakin kronik di ibu negara kita.

CONTOH KARANGAN 8 ( 2 )

Dengan menggunakan pengangkutan awam, orang ramai dapat menjimatkan masa dan kos perjalanan. Sebagai
contohnya, ERL dapat memendekkan masa perjalanan jika dibandingkan dengan penggunaan kereta. Tambang
pengangkutan awam seperti komuter dan LRT juga amat berpatutan jika dibandingkan dengan masa
perjalanannya yang telah disingkatkan. Oleh itu, jika dibandingkan antara pengangkutan awam dengan kenderaan
biasa, anggota masyarakat akan mendapat manfaat sekiranya menggunakan pengangkutan awam. Harga petrol
yang tidak menentu di pasaran global telah memberikan impak yang negatif kepada rakyat yang menggunakan
kenderaan peribadi. Oleh hal yang demikian, banyak perbelanjaan boleh dijimatkan sekiranya orang ramai
menggunakan pengangkutan awam.

Pengangkutan awam juga akan memudahkan perjalanan seseorang untuk ke sesuatu destinasi. Dengan adanya
pengangkutan awam seperti ERL dan LRT, sistem pengangkutan yang lebih efisien berbanding dengan kenderaan
persendirian dapat diwujudkan tambahan pula banyak tempat di ibu kota yang termasuk dalam jaringan
pengangkutan awam tersebut. Perkara ini sekali gus dapat meningkatkan kadar ketepatan atau kepantasan
seseorang untuk sampai ke sesuatu destinasi. Hal ini seharusnya diberikan pertimbangan oleh anggota
masyarakat agar mereka menggunakan kenderaan awam untuk ke sesuatu destinasi. Oleh itu, kenderaan awam
sepatutnya menjadi pilihan utama masyarakat kerana kelebihannya banyak sekali.

CONTOH KARANGAN 8 ( 3 )

Pengangkutan awam yang lebih mesra alam pula akan dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.
Pengangkutan awam seperti monorel, LRT dan ERL ialah kenderaan awam yang mesra alam kerana kenderaan
tersebut tidak mengeluarkan asap. Hal ini secara langsung dapat membendung pencemaran alam sekitar
terutamanya pencemaran udara di negara kita. Perkara yang di sebaliknya pula akan berlaku jika seseorang
menggunakan kenderaan persendirian mereka seperti kereta atau motosikal yang terbukti menyebabkan
pencemaran alam sekitar. Jadi, perkara ini membuktikan bahawa penggunaan pengangkutan awam dapat
menangani penemaran udara yang semakin serius pada masa ini.

Sebagai kesimpulannya, penggunaan pengangkutan awam memang banyak kelebihannya jika hendak
dibandingkan dengan penggunaan kenderaan persendirian. Oleh itu, anggota masyarakat digalakkan untuk
menggunakan pengangkutan awam jika hendak pergi ke sesuatu destinasi. Sekiranya saranan ini tidak diikuti
sudah tentu banyak masalah yang terpaksa dihadapi oleh anggota masyarakat akibat pencemaran alam yang
berpunca daripada asap kereta dan motosikal. Jadi, kita perlulah menyokong langkah kerajaan yang
menggalakkan penggunaan pengangkutan awam melalui kempen kongsi kereta atau "car pool" untuk ke tempat
kerja. Hal ini menyebabkan pencemaran udara dikurangkan dan anggota masyarakat dapat menyedut udara yang
segar dan hidup dalam keadaan yang sihat dan sejahtera.

09

USAHA-USAHA UNTUK MENINGKATKAN SEMANGAT PATRIOTIK
DALAM KALANGAN MASYARAKAT DI NEGARA KITA

KARANGAN FAKTA

SOALAN KARANGAN 9

SEMAKIN HARI SEMAKIN
TERSERLAH SIKAP MASYARAKAT
YANG SUDAH KURANG RASA CINTA
AKAN NEGARA
BINCANGKAN USAHA-USAHA UNTUK
MENINGKATKAN SEMANGAT
PATRIOTIK DALAM KALANGAN
MASYARAKAT DI NEGARA KITA

CONTOH KARANGAN 9 ( 1 )

Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini seperti yang
didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri yang
menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka, perkara yang penting dalam
hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan
pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak
mempedulikan sambutan hari kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera
Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, kita berharap agar semangat
patriotik dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.

Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan
masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya adalah dengan memberikan penekanan tentang proses
pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati
dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sekiranya semangat
patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan
hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta
akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.

CONTOH KARANGAN 9 ( 2 )

Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan penekanan tentang
aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini
dilakukan, murid-murid akan memahami dan menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari
dalam mata pelajaran tertentu. Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas,
diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat
patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-murid hinggalah selepas mereka menamatkan persekolahan
atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi.

Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaran melalui media massa.
Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat
tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita Oleh itu, Kementerian
Penerangan Malaysia, di samping media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk
menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain,
televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat
patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media elektronik
itu juga hendaklah menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan
semangat cinta akan negara.

CONTOH KARANGAN 9 ( 3 )

Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang bersesuaian dengan
usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat agar dapat memupuk semangat ini.
Aktiviti tersebut boleh dijalankan di kampung-kampung dan juga di kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti
sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Di samping itu,
Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan
menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang memperjuangkan
semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik
malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.

Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan
pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat
akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para pemimpin
perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil
perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh
hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai
bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati
sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang.

CONTOH KARANGAN 9 ( 4 )

Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan sepanjang masa
tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat patriotik ini penting untuk melahirkan warganegara yang cinta
akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri.
Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan
negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju
yang lain. Skiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka tidak ada
perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding
bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam
kalangan masyarakat.

10

CIRI-CIRI KEPIMPINAN YANG PERLU DIMILIKI OLEH
SESEORANG REMAJA SEBAGAI BAKAL PEMIMPIN MASA DEPAN

NEGARA

KARANGAN FAKTA

SOALAN KARANGAN 10

UNGKAPAN “PEMUDA HARAPAN
BANGSA,PEMUDI TIANG
NEGARA”KUMRAH DISEBUT KEPADA
GOLONGAN REMAJA UNTUK
MEMBERIKAN SEMANGAT SUPAYA
MEREKA MENGAMBIL BAHAGIAN
AKTIF DALAM PEMBANGUNAN
NEGARA.
HURAIKAN CIRI-CIRI KEPIMPINAN
YANG PERLU DIMILIKI OLEH
SESEORANG REMAJA SEBAGAI
BAKAL PEMIMPIN MASA DEPAN
NEGARA

CONTOH KARANGAN 10 ( 1 )

“Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Sudah terang lagi bersuluh bahawa pemuda-pemudi dalam
negara kita merupakan individu yang bakal memacu pentadbiran negara pada masa hadapan. Dalam mencapai
status negara maju pada tahun 2020, pelbagai cabaran dan konkurensi yang sengit yang harus ditempuhi oleh
negara dan hal-hal ini perlu dipikul oleh golongan belia dalam negara kita kerana merekalah merupakan nadi
kepada bangsa Malaysia. Oleh yang demikian, saya sebagai remaja, haruslah menyiapkan diri dalam pelbagai aspek
sebelum saya menggalas tugas sebagai pemimpin negara pada masa akan datang. Persoalannya, apakah ciri-ciri
yang harus saya miliki sebagai belia yang akan menjadi tonggak negara pada masa hadapan?

Terdapat peribahasa Melayu yang berbunyi, “Ibarat keris panjang sekeluk, ke mana pergi ke mana elok” yang
bermaksud seorang pemimpin yang baik akan tetap berguna kepada rakyat walau di mana-mana dia berada.
Seorang pemimpin yang baik hendaklah mempunyai pedagogi ataupun pendidikan yang tinggi. Pendidikan
merupakan wahanayang tepat kerana pendidikan mampu mematangkan pemikiran seseorang. Dengan adanya
pemikiran yang matang, buah fikiran yang baik untuk mencetuskan pembangunan negara mampu dicetuskan. Saya
dan belia-belia lain hendaklah menggunapakaikan pendidikan dengan sebaik-baiknya kerana sebuah bangsa yang
tidak mempunyai pendidikan merupakan sebuah bangsa yang tidak akan pernah maju. Oleh itu, sebagai pemacu
pentadbiran negara pada masa hadapan, saya haruslah menjadi seseorang yang berpendidikan kerana persis
mutiara kata “ Ilmu lebih mulia daripada harta kerana ilmu menjaga manusia sedangkan harta dijaga oleh manusia”.

CONTOH KARANGAN 10 ( 2 )

Seterusnya, ciri-ciri yang perlu dimiliki adalah patuh kepada ajaran agama. Ajaran agama merupakan akses
fundamental kepada keperibadian yang lebih sempurna dan mulia. Hal ini demikian , ajaran yang disampaikan oleh
agama dapat dipraktikkan oleh masyarakat dalam kehidupan harian. Hasilnya ialah, sebuah komuniti yang lebih
bertamadun dapat diwujudkan. Selain itu, dengan adanya ajaran agama, remaja dapat menggelakkan diri daripada
terjebak dalam kancah sosial di luar rumah. Hal ini disebabkan oleh kemurniaan ajaran sesebuah agama dapat
mematangkan pemikiran seseorang. Dengan berbekalkan pemikiran yang matang, seseorang itu dapat membezakan
perkara yang baik dan yang buruk. Oleh itu, tidak dapat dinafikan bahawa ajaran agama amat penting dalam
menyediakan seseorang individu untuk menjadi pemimpin masa hadapan.

Bukan itu sahaja, untuk menjadi tonggak negara pada masa hadapan , remaja hendaklah melengkapkan diri
dengan pelbagai kemahiran. Kemahiran-kemahiran seperti kemahiran komunikasi di hadapan umum, kemahiran
bersosial dan sebagainya perlu dikuasai untuk menambahkan keyakinan diri. Seseorang pemimpin perlulah
mempunyai keyakinan diri dalam menjalankan tugas mereka. Dengan itu, mereka akan sentiasa disanjungi dan
dihormati oleh masyarakat yang dipimpin oleh mereka. Selain itu, saya hendaklah mempunyai
motivasi ekstrinsik dan instrinsik bagi membolehkan saya bersemangat dan dapat mendorong remaja ke arah yang
lebih maju kerana lebih banyak motivasi diri seseorang itu, lebih terdorong juga seseorang itu untuk memajukan
dirinya.

CONTOH KARANGAN 10 ( 3 )

Riwayat Muslim ada mengatakan “sedarlah, bahawa setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu
bertanggungjawab terhadap kepimpinan kamu”. Riwayat ini jelas menyatakan bahawa seseroang pemimpin haruslah
mempunyai nilai bertanggungjawab dalam diri mereka. Hal ini demikian kerana tanggungjawab dalam kepimpinan,
mustahil kita dapat menggembalakan manusia. Ibu bapa dan para guru di sekolah hendaklah mempraktikkan nilai ini
didalam diri anak-anak mereka dengan menunjukkan sikap yang bertanggungjawab dalam setiap perlakuan mereka.
Golongan ini haruslah ingat bahawa anak-anak akan memerhatikan dan mengikuti semua jejak orang yang lebih dewasa
dan mereka persis mutiara kata “Guru kencing berdiri, murid kencing berlari”. Tuntasnya seseorang pemimpin perlu
mempunyai nilai bertanggungjawab dalam dirinya.

CONTOH KARANGAN 10 ( 4 )

Selain itu, pemimpin negara pada masa hadapan hendaklah meletakkan agenda perpaduan negara sebagai yang
terpenting. Agenda perpaduan tersebut melebihi segala agenda penting yang diperlukan dalam membangunkan
negara yang maju. Sekiranya seseorang pemimpin tidak mengetengahkan perpaduan dalam membangunkan
negara, pasti pembangunan negara tidak akan dapat mencapai matlamatnya. Selain itu, saya juga perlu
mempraktikkan perpaduan sesama rakan-rakan di sekolah. Dengan modus operandi yang sebegini, saya dapat
menonjolkan jati diri sebagai seorang pemimpin yang berkaliber pada masa hadapan. Bukan itu sahaja, saya juga
bersedia memperjuangkan kemerdekaan tanah air supaya tidak dijajah buat kali yang kedua kerana kemerdekaan
sesebuah negara yang tidak mudah dicapai, bak kata Tun Dr Mahathir “..bukan kecil tugas kita untuk meneruskan
perjuangan kemerdekaan kerana mengisi kemerdekaan itu lebih sengsara”.

CONTOH KARANGAN 10 ( 5 )

Natijahnya, menjadi seorang pemimpin bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan. “Kurangkan
bercakap, lebihkan tindakan” merupakan prinsip seseorang pemimpin yang baik. Saya sedar bahawa sebagai
seorang belia yang bakal memegang tonggak negara pada masa hadapan perlulah seimbang dari semua aspek dan
tidak seharusnya bersikap seperti segelintir pemimpin yang hanya makan gaji dan bersikap materialistik namun
tidak melakukan apa-apa yang mendatangkan faedah buat masyarakat. Selain itu, saya hendaklah bijak memanfaat
setiap peluang yang terbuka untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan. Oleh yang demikian, belia pada zaman
pascakemerdekaan ini tidak seharusnya hanyut dibawa arus kemodenan kerana belia pada hari ini adalah
cerminan negara pada masa yang akan datang.

THANKS

CREDITS: This presentation template was created by Slidesgo, including icons by
Flaticon, and infographics & images by Freepik


Click to View FlipBook Version