TERJEMAHAN AL-QURAN
Daripada Mike Pojan
1
Surah Al-Faatihah - الفاتحة سورة
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan
Mentadbirkan sekalian alam
Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat)
Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada
Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
Tunjukanlah kami jalan yang lurus.
Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada
mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan
bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.
2
Surah Al-Baqarah - البقرة سورة
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Alif, Laam, Miim.
Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan
tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak)
bertaqwa;
Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan
(mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari
rezeki yang Kami berikan kepada mereka.
Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan
kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu,
serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).
Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-
orang yang berjaya.
Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada
mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran,
mereka tidak akan beriman.
(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta
pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka
pula disediakan azab seksa yang amat besar.
3
Dan di antara manusia ada yang berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan kepada
hari akhirat"; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.
Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka
hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.
Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad
dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan
beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan
mendustakan kebenaran).
Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan
kerosakan di muka bumi", mereka menjawab: " Sesungguhnya kami orang-orang yang
hanya membuat kebaikan".
Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya
membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.
Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang
itu telah beriman". Mereka menjawab: "Patutkah kami ini beriman sebagaimana
berimannya orang-orang bodoh itu?" Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-
orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: "
Kami telah beriman ", dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka,
4
mereka berkata pula:" Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami
hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)".
Allah (membalas) memperolok-olok, dan membiarkan mereka meraba-raba dalam
kesesatan mereka (yang melampaui batas itu).
Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk;
maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk
hidayah.
Perbandingan hal mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang
menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan
cahaya (yang menerangi) mereka, dan dibiarkannya mereka dalam gelap-gelita, tidak
dapat melihat (sesuatu pun).
Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka
tidak dapat kembali (kepada kebenaran).
Atau (bandingannya) seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit,
bersama dengan gelap-gelita, dan guruh serta kilat; mereka menyumbat jarinya ke
dalam telinga masing-masing dari mendengar suara petir, kerana mereka takut mati.
(Masakan mereka boleh terlepas), sedang (pengetahuan dan kekuasaan) Allah meliputi
orang-orang yang kafir itu.
5
Kilat itu pula hampir-hampir menyambar (menghilangkan) penglihatan mereka; tiap-
tiap kali kilat itu menerangi mereka (dengan pancarannya), mereka berjalan dalam
cahayanya. Dan apabila gelap menyelubungi mereka, berhentilah mereka (menunggu
dengan bingungnya). Dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya dihilangkanNya
pendengaran dan penglihatan mereka; sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu.
Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan
kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-
orang yang) bertaqwa.
Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta
segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya
air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan
yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah,
sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang
Maha Esa).
Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada
hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang
sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh
menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.
Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat
membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan
bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk
orang-orang kafir.
6
Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh,
sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai;
tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu,
mereka berkata: "Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu"; dan mereka
diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan
untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih
suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.
Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk
hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya), iaitu
kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan
itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan
berkata: "Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?" (Jawabnya):
Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan
menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan
menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik;
(Iaitu) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah
diperteguhkannya, dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya
diperhubungkan, dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi.
Mereka itu ialah orang-orang yang rugi.
Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati
(belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu,
7
kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu
dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).
Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia
menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh
langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku
hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat
ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak
menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah
(berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan
mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang
kamu tidak mengetahuinya".
Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya,
kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu
nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar".
Malaikat itu menjawab: "Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai
pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau
jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".
Allah berfirman: "Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada
mereka". Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka,
8
Allah berfirman: "Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku
mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu
nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?".
Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat)
kepada Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis;
ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.
Dan kami berfirman: "Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga,
dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan
janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan
menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim".
Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan
menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya
dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada
sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta
mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)".
Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata
pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya
Allah, Dia lah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.
Kami berfirman lagi: "Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang
kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan
kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada
kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak
akan berdukacita".
9
Dan orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat keterangan kami, mereka itu ialah
ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
Wahai Bani Israil! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Kuberikan
kepada kamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku
sempurnakan perjanjianKu dengan kamu; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu
merasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain).
Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (Al-Quran) yang mengesahkan
benarnya Kitab yang ada pada kamu, dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang
mula-mula kafir (ingkar) akan dia; dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu
(sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya; dan
kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa.
Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu
sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.
Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu
semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.
Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan
diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan
sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-
orang yang khusyuk;
(Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan
mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.
10
Wahai Bani Israil! Kenangkanlah nikmat-nikmatKu yang Aku telah kurniakan kepada
kamu, dan (ingatlah) bahawasanya Aku telah melebihkan (nenek-moyang) kamu (yang
taat dahulu) atas orang-orang (yang ada pada zamannya).
Dan peliharalah diri kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya seseorang
tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun (dari balasan azab), dan
tidak diterima syafaat daripadanya, dan tidak pula diambil daripadanya sebarang
tebusan; dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan.
Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya,
yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka
menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan
kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang
besar dari Tuhan kamu.
Dan (kenangkanlah) ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana
melarikan diri dari angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami
tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.
Dan (kenangkanlah) ketika kami berjanji kepada Nabi Musa (untuk memberi Taurat
kepadanya sesudah ia bersiap selama) empat puluh malam. Kemudian, setelah ia pergi,
kamu menyembah (patung) anak lembu, dan kamu sebenarnya orang-orang yang zalim
(terhadap diri sendiri).
Kemudian sesudah itu kami maafkan kesalahan kamu, supaya kamu bersyukur.
11
Dan (kenangkanlah) ketika Kami turunkan kepada Nabi Musa kitab (Taurat) dan
keterangan-keterangan (yang terkandung di dalamnya, yang membezakan antara yang
benar dengan yang salah), supaya kamu mendapat petunjuk.
Dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: " Wahai kaumku!
Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri dengan sebab kamu
menyembah patung anak lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang
menjadikan kamu; iaitu bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu
di sisi Allah yang menjadikan kamu, supaya Allah menerima taubat kamu itu.
Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha
Mengasihani".
Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: "Wahai Musa! Kami tidak akan beriman
kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala
kami)". Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya.
Kemudian kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati (atau pengsan dari sambaran
petir itu), supaya kamu bersyukur.
Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di padang pasir)
dan Kami turunkan kepada kamu "Mann" dan "Salwa", (serta Kami berfirman):
"Makanlah dari makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada
kamu". Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu),
tetapi sebenarnya mereka adalah menganiaya diri sendiri.
Dan (kenangkanlah) ketika Kami berfirman: "Masuklah kamu ke bandar ini, kemudian
makanlah dari benda-benda yang ada di dalamnya dengan sepuas-puasnya, apa sahaja
yang kamu sukai. Dan masuklah kamu melalui pintunya dengan tunduk (merendah diri);
dan (mintalah ampun dengan) berkata: ' Ya Allah ampunilah dosa kami '; supaya kami
ampunkan kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami akan tambah pula pahala orang-orang
yang berbuat baik".
12
Kemudian orang-orang yang zalim (penderhaka) itu mengubah perkataan (perintah
kami) yang dikatakan kepada mereka dengan melakukan sebaliknya; maka Kami
turunkan ke atas orang-orang yang zalim itu bala bencana dari langit, dengan sebab
mereka sentiasa berlaku fasik (menderhaka).
Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka
Kami berfirman: "Pukulah batu itu dengan tongkatmu", (ia pun memukulnya), lalu
terpancutlah dari batu itu dua belas mata air; sesungguhnya tiap-tiap satu puak (di
antara mereka) telah mengetahui tempat minumnya masing-masing. (Dan Kami
berfirman): "Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah kamu
merebakkan bencana kerosakan di muka bumi".
Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: "Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah jemu)
dengan makanan yang semacam sahaja; maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk
kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi; dari
sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas (kacang dalnya),
serta bawang merahnya". Nabi Musa menjawab: "Adakah kamu mahu menukar sesuatu
yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik? Turunlah kamu ke bandar
kerana di sana kamu boleh dapati apa yang kamu minta itu". Dan mereka ditimpakan
dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan
dari Allah. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka kufur (mengingkari) ayat-ayat
Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat yang membuktikan kebesaranNya);
dan mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang benar. Yang
demikian itu ialah disebabkan mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa
menceroboh.
13
Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang
Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman
kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka
pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya
kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil perjanjian setia kamu semasa Kami angkatkan
Gunung Tursina di atas kamu (sambil Kami berfirman): "Terimalah Taurat yang telah
Kami berikan kepada kamu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh, dan
ingatlah (jangan lupakan) apa yang tersebut di dalamnya, supaya kamu bertaqwa.
Kemudian sesudah itu kamu membelakangkan perjanjian setia kamu itu (tidak
menyempurnakannya); maka kalau tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas
kasihanNya kepada kamu (dengan membuka pintu taubat), nescaya menjadilah kamu
dari golongan orang-orang yang rugi.
Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang
di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada
mereka: "Jadilah kamu kera yang hina".
Maka Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi orang-
orang yang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, dan suatu
pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
14
Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Sesungguhnya Allah
menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina". Mereka berkata: "Adakah
engkau hendak menjadikan kami ini permainan?" Nabi Musa menjawab: "Aku
berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil
(yang melakukan sesuatu yang tidak patut)".
Mereka berkata pula: "Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya
diterangkanNya kepada kami bagaimana (sifat-sifat) lembu itu?" Nabi Musa menjawab:
"Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu yang
tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda, pertengahan (umurnya) di antara itu; maka
kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada kamu melakukannya".
Mereka berkata lagi: "Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya
diterangkanNya kepada kami apa warnanya?" Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya
Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua
warnanya, lagi menyukakan orang-orang yang melihatnya".
Mereka berkata lagi: "Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya
diterangkanNya kepada kami lembu betina yang mana satu? Kerana sesungguhnya
lembu yang dikehendaki itu kesamaran kepada kami (susah kami memilihnya), dan
kami insya Allah akan mendapat petunjuk (untuk mencari dan menyembelih lembu
itu)".
Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: Sebenarnya (lembu yang
dikehendaki itu) ialah lembu betina yang tidak pernah digunakan untuk membajak
tanah (sawah bendang), dan tidak pula (digunakan mengangkut air) untuk menyiram
tanaman; ia juga tidak cacat dan tidak ada belang pada warnanya". Mereka berkata:
"Sekarang baharulah engkau dapat menerangkan sifat-sifatnya yang sebenar". Maka
mereka pun menyembelih lembu yang tersebut, dan hampir-hampir mereka tidak dapat
menunaikan (perintah Allah) itu.
15
Dan (ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia, kemudian kamu tuduh-
menuduh sesama sendiri tentang pembunuhan itu, padahal Allah tetap melahirkan apa
yang kamu sembunyikan.
Maka Kami (Allah) berfirman: "Pukulah si mati dengan sebahagian anggota lembu
yang kamu sembelih itu" (Mereka pun memukulnya dan ia kembali hidup).
Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan
kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya, supaya kamu memahaminya.
Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras
lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai
daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air
daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah;
sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.
(Sesudah kamu - wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu - mengetahui tentang
kerasnya hati orang-orang Yahudi itu) maka bolehkah kamu menaruh harapan bahawa
mereka akan beriman kepada seruan Islam yang kamu sampaikan itu, padahal
sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang mendengar Kalam Allah (Taurat),
kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka
memahaminya, sedang mereka mengetahui (bahawa perbuatan itu salah)?
16
Dan apabila mereka (orang-orang Yahudi pada zaman Rasulullah) bertemu dengan
orang-orang yang beriman, mereka berkata: "Kami telah beriman"; dan apabila mereka
berjumpa sesama sendiri, mereka berkata: "Patutkah kamu ceritakan kepada mereka
(orang-orang Islam) dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah kepada kamu (di
dalam Kitab Taurat mengenai kebenaran Nabi Muhammad) untuk menjadikannya
hujah (bukti) yang dapat mengalahkah kamu di sisi Tuhan kamu? Tidakkah kamu
berakal?"
(Mereka berani berkata demikian) dan tidakkah mereka ketahui bahawasanya Allah
mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka lahirkan?
Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang buta huruf, mereka tidak mengetahui
akan isi Kitab Taurat selain dari penerangan-penerangan bohong (dari ketua-ketua
mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja.
Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka
(lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata:
"Ini ialah dari sisi Allah", supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli
keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa
yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang
mereka usahakan itu.
Dan mereka berkata: "Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali
beberapa hari yang tertentu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu sudah
mendapat janji dari Allah supaya (dengan itu) Allah tidak akan menyalahi janjiNya,
atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu yang tidak kamu
mengetahuinya?"
17
(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar), sesungguhnya sesiapa yang berbuat
kejahatan dan ia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli
neraka, mereka kekal di dalamnya.
Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka
kekal di dalamnya.
Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani
Israil (dengan berfirman): "Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat
baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-
orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik;
dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat". Kemudian kamu berpaling
membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan
sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.
Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu: "(Bahawa)
janganlah kamu menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama sendiri, dan
janganlah kamu usir-mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing".
Kemudian kamu telah berikrar mematuhi perjanjian setia itu, dan kamu sendiri pula
menjadi saksi (yang mengakui kebenarannya).
18
Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan
kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya; kamu pula saling bantu-
membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan
penganiayaan; padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan,
kamu tebus mereka; sedang perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu.
Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab
Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang
yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia,
dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan
(ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.
Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan
kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa
kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa
mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan.
Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami
iringi kemudian daripadanya dengan beberapa orang Rasul, dan Kami berikan kepada
Nabi Isa Ibni Maryam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan
Ruhul-Qudus (Jibril). Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul
membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu
(dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu
kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?
19
Dan mereka (kaum Yahudi) berkata pula: "Hati kami tertutup (tidak dapat menerima
Islam)". (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah melaknatkan
mereka disebabkan kekufuran mereka, oleh itu maka sedikit benar mereka yang
beriman.
Dan ketika datang kepada mereka sebuah Kitab dari Allah (Al Quran), yang
mengesahkan apa yang ada pada mereka (Kitab Taurat), sedang mereka sebelum itu
sentiasa memohon (kepada Allah) kemenangan atas kaum kafir musyrik (dengan
kedatangan seorang Nabi pembawa Kitab itu). Setelah datang kepada mereka apa yang
mereka sedia mengetahui kebenarannya (Nabi Muhammad dan Al Quran), mereka
mengingkarinya; maka (dengan yang demikian), laknat Allah menimpa orang-orang
yang kafir ingkar itu.
Sejahat-jahat perkara (yang mereka lakukan) ialah perbuatan mereka membeli
kesenangan dirinya sendiri dengan mengingkari Al-Quran yang telah diturunkan oleh
Allah, kerana dengki bahawa Allah menurunkan dari limpah kurniaNya (wahyu)
kepada sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya (iaitu Nabi
Muhammad s.a.w). Dengan sebab itu sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan
Allah bertalu-talu, dan orang-orang yang kafir itu akan beroleh azab sengsara yang
menghinakan.
Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu kepada apa yang telah
diturunkan oleh Allah (kepada Nabi Muhammad)", mereka menjawab: "Kami hanya
beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kami (Taurat)". Dan mereka
ingkarkan (Kitab) yang lain yang diturunkan kemudian daripadanya, padahal Al-Quran
itu benar lagi mengesahkan Kitab Taurat yang ada pada mereka. Katakanlah (wahai
Muhammad): "Jika demikian mengapa kamu membunuh Nabi-nabi Allah pada masa
yang lalu kalaulah kamu benar-benar orang-orang yang beriman?".
20
Dan sesungguhnya telah datang kepada kamu Nabi Musa membawa keterangan-
keterangan (mukjizat) kemudian kamu menyembah (patung) anak lembu
sepeninggalannya, dan kamu (dengan perbuatan itu) adalah orang-orang yang zalim.
Dan (ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa Kami
angkatkan bukit Tursina itu ke atas kamu (sambil kami berfirman): "Ambilah (dan
amalkanlah ajaran Kitab Taurat) yang Kami berikan kepada kamu itu dengan
bersungguh-sungguh, dan dengarlah (apa yang diperintahkan kepada kamu dengan
mematuhinya)". Mereka menjawab: "Kami dengar, dan kami menderhaka". Sedang
kegemaran menyembah (patung) anak lembu itu telah mesra dan sebati di dalam hati
mereka, dengan sebab kekufuran mereka. Katakanlah (wahai Muhammad):" Amatlah
jahatnya apa yang disuruh oleh iman kamu itu kalaulah kamu orang-orang yang
beriman".
Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum Yahudi): "Kalau syurga negeri akhirat itu
telah menjadi hak istimewa untuk kamu pada sisi hukum Allah, tidak boleh dicampuri
oleh orang-orang lain (seperti yang kamu dakwakan itu), maka cita-citakanlah mati
(supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang yang benar".
Dan sudah tentu mereka tidak akan mencita-citakan mati itu selama-lamanya, dengan
sebab dosa-dosa yang telah mereka lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui akan
orang-orang yang zalim itu.
21
Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu setamak-
tamak manusia kepada hidup (yang lanjut masanya), dan (lobanya mereka kepada
hidup itu) melebihi loba orang-orang kafir musyrik. Tiap-tiap seorang dari mereka suka
kiranya ia boleh hidup seribu tahun, padahal umur panjang yang demikian, tidak akan
dapat melepaskannya dari azab (yang disediakan oleh Allah). Dan (ingatlah), Allah
sentiasa melihat akan apa yang mereka lakukan.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah
kerana Jibril itu menurunkan Al-Quran ke dalam hatimu dengan izin Allah, yang
mengesahkan kebenaran Kitab-kitab yang ada di hadapannya (yang diturunkan
sebelumnya), serta menjadi petunjuk dan memberi khabar gembira kepada orang-orang
yang beriman".
Sesiapa memusuhi Allah (dengan mengingkari segala petunjuk dan perintahNya) dan
memusuhi Malaikat-malaikatNya dan Rasul-rasulNya, khasnya malaikat Jibril dan
Mikail, (maka ia akan diseksa oleh Allah) kerana sesungguhnya Allah adalah musuh
bagi orang-orang kafir.
Dan sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) ayat-ayat
keterangan yang jelas nyata (Al-Quran), dan tidak ada yang akan mengingkarinya
melainkan orang-orang yang fasik.
Patutkah (mereka ingkarkan ayat-ayat keterangan itu) dan patutkah tiap-tiap kali
mereka mengikat perjanjian setia, dibuang dan dicabuli oleh segolongan dari mereka?
Bahkan kebanyakan mereka tidak beriman.
Dan apabila datang kepada mereka seorang Rasul dari sisi Allah (Nabi Muhammad
s.a.w), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka, sebahagian dari orang-orang
yang telah diberikan Kitab itu melemparkan Kitab Allah ke belakang mereka, seolah-
olah mereka tidak mengetahui (kebenarannya).
22
Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang
dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal
Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi
puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang
mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut
dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang
pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: "Sesungguhnya kami ini
hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir
(dengan mempelajarinya)". Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari
mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan
isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau
membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan
sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak
memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu)
telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi
mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang
mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.
Dan kalau sebenarnya mereka itu tetap beriman dan bertaqwa (nescaya mereka akan
mendapat pahala); sesungguhnya pahala dari sisi Allah itu adalah lebih baik, kalau
mereka mengetahui.
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengatakan: "raaina", (ketika
kamu berkata-kata dengan Nabi Muhammad), sebaliknya katakanlah: "unzurna", dan
dengarlah kamu (segala perintah dengan sebulat hati menerimanya); dan (ingatlah,
bahawa) orang-orang kafir itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
23
Orang-orang kafir dari Ahli kitab, dan juga dari orang-orang musyrik, tidak suka
kiranya diturunkan kepada kamu sedikit dari kebaikan (atau wahyu) dari Tuhan kamu
Padahal Allah berhak menentukan rahmatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya;
dan Allah (jualah Yang) mempunyai limpah kurnia yang amat besar.
Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan), atau yang Kami
tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau
yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha
Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?
Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala
alam langit dan bumi? Dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun yang dapat
melindungi dan yang dapat memberi pertolongan.
Adakah kamu pula hendak meminta dari Rasul kamu sebagaimana diminta dari Nabi
Musa (oleh kaumnya) dahulu? Dan sesiapa yang menukar iman dengan mengambil
kekufuran, maka sesungguhnya ia telah sesat dari jalan yang lurus.
Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat
mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul
dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad
s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah
datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
24
Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang
kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan
pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu
kerjakan.
Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: "Tidak sekali-kali akan masuk Syurga
melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani". Yang demikian itu
hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah
kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan
itu, jika betul kamu orang-orang yang benar".
(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya
kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya,
maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari
berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan
berdukacita.
Dan orang-orang Yahudi berkata: "Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai sesuatu
pegangan (agama yang benar)"; dan orang-orang Nasrani pula berkata: "Orang-orang
Yahudi tidak mempunyai sesuatu pegangan (agama yang benar)"; padahal mereka
membaca Kitab Suci masing-masing (Taurat dan Injil). Demikian juga orang-orang
(musyrik dari kaum Jahiliyah) yang tidak berilmu pengetahuan, mengatakan seperti
yang dikatakan oleh mereka itu. Maka Allah akan menghukum (mengadili) di antara
mereka pada hari kiamat mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.
25
Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi
dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah
di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang
yang demikian, tidak sepatunya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan
rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu).
Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak
mereka mendapat azab seksa yang amat besar.
Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan
diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah;
sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa
Mengetahui.
Dan mereka (orang-orang musyrik) berkata: "Allah mempunyai anak". Maha Suci
Allah (dari apa yang mereka katakan itu), bahkan Dia lah Yang memiliki segala yang
di langit dan di bumi, semuanya itu tunduk di bawah kekuasaanNya.
Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan
apabila Ia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Ia hanya berfirman kepadanya:
"Jadilah engkau!" Lalu menjadilah ia.
Dan (orang-orang musyrik) yang tidak berilmu pengetahuan, berkata: "Alangkah
eloknya kalau Allah berkata-kata dengan kami (mengenai kebenaran Muhammad) atau
datang kepada kami sesuatu keterangan (mukjizat)?" Demikian pula orang-orang (kafir)
yang terdahulu dari mereka pernah berkata seperti yang dikatakan oleh mereka; hati
mereka (sekaliannya) adalah bersamaan (degil dan kufur). Sesungguhnya Kami telah
pun menerangkan ayat-ayat keterangan (yang menjadi dalil dan bukti) kepada kaum
yang mahu percaya dengan yakin.
26
Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan
kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang
beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Dan (setelah engkau
sampaikan semuanya itu), engkau tidak akan diminta (bertanggungjawab) tentang ahli
neraka.
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu
(wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong
itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah
petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa
nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu
(tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang
dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.
Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya
dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka
itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka
mereka itulah orang-orang yang rugi.
Wahai Bani Israil, kenanglah akan limpah kurnia nikmatKu yang telah Kuberikan
kepada kamu, dan Aku telah melebihkan (datuk nenek) kamu (yang taat dahulu) atas
umat-umat yang lain (yang ada pada zamannya).
Dan peliharalah diri kamu dari (huru-hara) hari kiamat (yang padanya) seseorang tidak
dapat mengganti atau melepaskan orang lain sedikitpun, dan tidak akan diterima
daripadanya sebarang tebusan, dan tidak akan memberi manfaat kepadanya sebarang
syafaat; dan orang-orang yang salah itu tidak akan ditolong (dari azab sengsara).
27
Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah
(suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu)
Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan)
bagi umat manusia". Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: "(Ya Tuhanku!)
Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)".
Allah berfirman: "(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh
orang-orang yang zalim."
Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi
umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh Kamu
Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim
dan Nabi Ismail (dengan berfirman): "Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjid Al-
Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan
orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk
dan sujud".
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku!
Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari
berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman
kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka". Allah berfirman:" (Permohonanmu itu
diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-
senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya
(dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali".
28
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan
asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata:
"Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah
yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui;
"Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri)
kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri)
kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan
terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha
Mengasihani;
"Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka
sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan
mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan
membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya
Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".
Tidak ada orang yang membenci agama Nabi Ibrahim selain dari orang yang
membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim
(menjadi nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak tetaplah dari
orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya).
(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: "Serahkanlah diri (kepadaKu wahai
Ibrahim)!" Nabi Ibrahim menjawab: "Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan
Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam".
29
Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan
(demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: "Wahai anak-
anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu,
maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam".
(Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai
orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia
berkata kepada anak-anaknya: "Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?"
Mereka menjawab: "Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim
dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami
berserah diri (dengan penuh iman)".
Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang
mereka telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan
kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka
lakukan.
Dan mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) berkata: "Jadilah kamu pemeluk agama
Yahudi atau pemeluk agama Nasrani, nescaya kamu akan mendapat petunjuk".
Katakanlah (wahai Muhammad: "Kami orang-orang Islam tidak akan menurut apa yang
kamu katakan itu) bahkan kami mengikut agama Nabi Ibrahim yang tetap di atas dasar
Tauhid, dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik".
30
Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): "Kami beriman kepada Allah, dan
kepada apa yang diturunkan kepada kami (Al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan
kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-
anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa
(Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; kami tidak
membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu - Yahudi
dan Nasrani - membeza-bezakannya); dan kami semua adalah Islam (berserah diri,
tunduk taat) kepada Allah semata-mata".
Maka kalau mereka beriman sebagaimana kamu beriman (dengan Kitab-kitab Allah
dan Rasul-rasulnya), maka sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk; dan jika
mereka berpaling (serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman) maka
sesungguhnya mereka akan tinggal berkekalan dalam perbalahan dan permusuhan
(dengan kamu); oleh itu (janganlah engkau khuatir wahai Muhammad) kerana Allah
akan memeliharamu (dan umatmu) dari kejahatan mereka; dan Dia lah jua Yang Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: "Agama Islam, yang kami telah sebati
dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan
corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap
percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat".
Katakanlah (wahai Muhammad): "Patutkah kamu (hai kaum Yahudi dan Nasrani)
membuat bantahan terhadap kami mengenai pilihan Allah dan pengurniaanNya ?
Padahal Dia lah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami (faedah) amal kami dan bagi
kamu pula (faedah) amal kamu (kalau diikhlaskan), dan kami adalah (mengerjakan
amal dengan) ikhlas kepadaNya;
31
"Atau patutkah kamu mengatakan, bahawa Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi
Ishak, dan Nabi Yaakub beserta anak-anaknya, mereka semua adalah orang-orang
Yahudi atau Nasrani, (padahal agama mereka telahpun ada sebelum adanya agama
Yahudi atau agama Kristian itu)?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu
yang lebih mengetahui atau Allah? Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang
menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya?"
Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan.
Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang
telah mereka usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan
kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang mereka telah
lakukan.
Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: "Apa sebabnya
yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya
selama ini?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Timur dan barat adalah kepunyaan
Allah - (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita
mematuhiNya); Allah yang memberikan petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang
dikehendakiNya ke jalan yang lurus".
32
Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami
jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu
layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang
benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang
menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan
tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad),
melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah
yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang
berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah
kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah
diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman
kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada
orang-orang (yang beriman).
Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke
langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai.
Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah);
dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan
sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka
mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari
Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.
Dan demi sesungguhnya! Jika engkau bawakan kepada orang-orang (Yahudi dan
Nasrani) yang telah diberikan Kitab, akan segala keterangan (yang menunjukkan
kebenaran perintah berkiblat ke Kaabah itu), mereka tidak akan menurut kiblatmu, dan
engkau pula tidak sekali-kali akan menurut kiblat mereka; dan sebahagian dari mereka
juga tidak akan menurut kiblat sebahagian yang lain. Demi sesungguhnya! Kalau
engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka setelah datang kepadamu pengetahuan
(yang telah diwahyukan kepadamu), sesungguhnya engkau, jika demikian, adalah dari
golongan orang-orang yang zalim.
33
Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta
mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal
anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha
menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang
demikian).
Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan
Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu jangan
sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.
Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu
berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada
maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk
menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka
hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan sesungguhnya perintah
berkiblat ke Kaabah itu adalah benar dari Tuhanmu. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-
kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan.
Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka
hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan di mana sahaja kamu
berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi (sebarang)
alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali orang-orang yang zalim di
antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan alasan). Maka janganlah kamu takut
kepada (cacat cela) mereka, dan takutlah kamu kepada Ku (semata-mata); dan supaya
Aku sempurnakan nikmatKu kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk
hidayah (mengenai perkara yang benar).
34
(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti
(nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu
Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan
kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab
(Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu
ketahui.
Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu),
supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan
janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).
Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi
susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan
dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong)
orang-orang yang sabar
Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan
membela Agama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang
hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada
musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari
harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-
orang yang sabar:
(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka
berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami
kembali."
35
Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari
Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk
hidayahNya.
Sesungguhnya "Safa" dan "Marwah" itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang)
agama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau
mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang-
alik) di antara keduanya. Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan,
maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui.
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari
keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada
manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian
makhluk.
Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta
menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima
taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.
Sesungguhnya orang-orang yang kafir, dan mereka mati sedang mereka tetap dalam
keadaan kafir, mereka itulah orang-orang yang ditimpa laknat Allah dan malaikat serta
manusia sekaliannya.
Mereka kekal di dalam laknat itu, tidak diringankan azab sengsara dari mereka dan
mereka pula tidak diberikan tempoh atau perhatian.
36
Dan Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (Yang berhak disembah)
selain dari Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang;
dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang
bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari
langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya,
serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada)
peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara
langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang
membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan
rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.
(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah
(untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan
mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman
itu lebih cinta (taat) kepada Allah. Dan kalaulah orang-orang yang melakukan
kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak,
bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan
bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, (nescaya mereka tidak
melakukan kezaliman itu).
37
(Iaitu) ketika ketua-ketua yang menjadi ikutan itu berlepas diri dari orang-orang yang
mengikutnya, sedang kedua-dua pihak melihat betapa ngerinya azab seksa itu, dan
(ketika) terputusnya segala hubungan di antara mereka.
Dan (pada masa yang mengecewakan itu) berkatalah orang-orang yang menjadi
pengikut: Alangkah eloknya kalau kami (dengan itu dapat kami berlepas diri daripada
mereka sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami (pada saat ini)!" Demikianlah
Allah perlihatkan kepada mereka amal-amal mereka (dengan rupa yang mendatangkan)
penyesalan yang amat sangat kepada mereka, dan mereka pula tidak akan dapat keluar
dari neraka.
Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan
janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah
musuh yang terang nyata bagi kamu.
Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan
(menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui
(salah benarnya).
Dan apabila dikatakan kepada mereka" Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh
Allah" mereka menjawab: "(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami
dapati datuk nenek kami melakukannya". Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun
datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara agama), dan
tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?
38
Dan bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir (yang tidak mahu
beriman itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak
dapat memahami selain dari mendengar suara panggilan sahaja; mereka itu ialah orang-
orang yang pekak, bisu dan buta; oleh sebab itu mereka tidak dapat menggunakan
akalnya.
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal)
yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu
hanya beribadat kepadanya.
Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah,
dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka
sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak
pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa.
Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa
keterangan Kitab Suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya
keuntungan dunia yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka
selain dari api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari
kiamat, dan Ia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh
azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk
(agama Allah), dan (membeli) azab seksa neraka dengan meninggalkan keampunan
Tuhan. Maka sungguh ajaib kesanggupan mereka menanggung seksa api neraka itu.
39
(Segala balasan yang buruk) itu adalah dengan sebab Allah telah menurunkan Kitab
dengan mengandungi kebenaran (tetapi mereka berselisih padanya); dan sesungguhnya
orang-orang yang berselisihan mengenai (kebenaran) kitab, itu sebenarnya mereka
adalah dalam keadaan berpecah-belah yang jauh (dari mendapat petunjuk hidayah
Allah).
Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan
barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat,
dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang
akan hartanya sedang ia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim
dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-
orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya
seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang
yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan
orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga
dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian
sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan);
dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.
40
Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman "Qisas"
(balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang
merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan
perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari
saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu)
mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula)
hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang
demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan.
Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka
baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang
yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.
Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan
harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara
yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang
bertaqwa.
Kemudian sesiapa yang mengubah mana-mana wasiat sesudah ia mendengarnya, maka
sesungguhnya dosanya hanya ditanggung oleh orang-orang yang mengubahnya;
sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Tetapi sesiapa yang mengetahui bahawa orang yang berwasiat itu tidak adil atau
melakukan dosa (dalam wasiatnya), lalu ia mendamaikan antara mereka (waris-waris,
dengan membetulkan wasiat itu menurut aturan agama), maka tidaklah ia berdosa.
Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
41
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana
diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara
kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia
berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-
orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu
memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan
(bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya;
dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah),
kalau kamu mengetahui.
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya
diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi
keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara
yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan
anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan
sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah
ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan
ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia
tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan
bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana
mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.
42
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu
kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku
perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka
hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah
mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.
Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-
isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula
sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri
sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang
setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi
kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih
(cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian
sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu
setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas
larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan
ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.
Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu
dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi
rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian
dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).
43
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak
bulan. Katakanlah: "(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan
dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji. Dan bukanlah perkara kebajikan: kamu
memasuki rumah dari bahagian belakangnya (ketika kamu berihram) akan tetapi
kebajikan itu ialah perbuatan orang yang bertaqwa; dan masuklah ke rumah (Kamu) itu
melalui pintunya, serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya."
Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-
orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan
peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang
menceroboh.
Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati
mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu; dan
(ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan
janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid Al-Haraam sehingga mereka
memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka
bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir.
Kemudian jika mereka berhenti memerangi kamu (maka berhentilah kamu); kerana
sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah
agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah
ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.
44
(Mencabuli) bulan yang dihormati itu ialah dengan (sebab membalas pencabulan dalam)
bulan yang dihormati; dan tiap-tiap perkara yang dihormati itu (jika dicabuli), ada
balasannya yang seimbang. Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap
kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang
dilakukannya kepada kamu; dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah:
Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.
Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan
janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan
(dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan)
perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha
memperbaiki amalannya.
Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu
dikepong (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram,
maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati; dan
janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu
sampai (dan disembelih) di tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat
sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia
membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam. Kemudian
apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu
45
menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan
itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian
wajiblah ia) menyembelih Dam yang mudah didapati. Kalau ia tidak dapat
(mengadakan Dam), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan
Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya
itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal
menetap (di sekitar) masjid Al-Haraam (Makkah). Dan hendaklah kamu bertaqwa
kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya
(terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya).
(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh
yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan)
ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat,
dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan
yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal
dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri
(dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang
berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).
Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan
meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji). Kemudian apabila kamu bertolak
turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan
doa,"talbiah" dan tasbih) di tempat Masy'ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah
kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk
hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-
orang yang salah jalan ibadatnya.
Selain dari itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang
ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun),
sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
46
Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka
hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya)
sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan
dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa
dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia". (orang-orang
ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.
Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami,
berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab
neraka".
Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka
usahakan; dan Allah amat cepat hitunganNya.
Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji) dalam
beberapa hari yang tertentu bilangannya. Kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan
Mina) pada hari yang kedua, maka ia tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan
(meninggalkan Mina) maka ia juga tidaklah berdosa; (ketiadaan dosa itu ialah) bagi
orang yang bertaqwa dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan ketahuilah
sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadanya.
Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia,
menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah dengan
mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal ia
adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu).
47
Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk
melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan
(binatang ternak dan manusia; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.
Dan apabila dikatakan kepadanya: "Bertaqwalah engkau kepada Allah" timbulah
kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu
padanlah ia (menerima balasan azab) neraka jahannam dan demi sesungguhnya,
(neraka jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.
Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah
semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.
Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan
mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah
Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
Maka kalau kamu tergelincir (dan jatuh ke dalam kesalahan disebabkan tipu daya
Syaitan itu), sesudah datang keterangan-keterangan yang jelas kepada kamu, maka
ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(Orang-orang yang ingkar itu) tidak menunggu melainkan kedatangan (azab) Allah
kepada mereka dalam lindungan-lindungan awan, bersama-sama dengan malaikat
(yang menjalankannya), padahal telahpun diputuskan perkara itu (balasan azab yang
menimpa mereka); dan kepada Allah jua kembalinya segala urusan.
48
Bertanyalah kepada Bani Israil, berapa banyak keterangan-keterangan yang telah Kami
berikan kepada mereka (sedang mereka masih ingkar)? dan sesiapa menukar nikmat
keterangan Allah (dengan mengambil kekufuran sebagai gantinya) sesudah nikmat itu
sampai kepadaNya, maka (hendaklah ia mengetahui) sesungguhnya Allah amat berat
azab seksaNya.
Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada
(pandangan) orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang
rendah kepada orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertaqwa (dengan
imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada hari kiamat
kelak. Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya
dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturanNya).
Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi
setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi
khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan
pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan
Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi
keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia
mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan
perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci
itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, -
mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah
memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang
diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa
memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang
lurus (menurut undang-undang peraturanNya).
49
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum
sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang
yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan
hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh),
sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya:
Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah
itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan
(dan kepada siapakah)? Katakanlah: "Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu
belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak
yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan
(ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah
sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).
Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu
ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia
baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu.
Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak
mengetahuinya.
50