The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Achmad Solahudin, 2023-04-09 04:57:14

KEBENARAN HAKIKI Lengkap

ALL Kitab KEBENARAN HAKIKI

301 Allah s.w.t yang melampaui segala sesuatu tetapi memiliki Hadrat-Nya, Nama-nama-Nya dan Sifat-sifat-Nya, menyata kepada Roh Islam, iaitu Roh yang lebih tulen dan seni daripada semua roh-roh yang lain. Itulah roh yang telah menemui Kebenaran Hakiki. Pada roh tersebut bercantum tahu dengan tidak tahu, kenal dengan tidak kenal, nafi dengan isbat. Roh Islam itulah yang benar-benar mengerti maksud nafi dan isbat pada Kalimah Tauhid: “La ilaha illa Llah”. Dia turunkan Roh dari urusan-Nya kepada siapa yang Dia kehendaki daripada hamba-hamba-Nya untuk memberi peringatan tentang hari pertemuan. ( Ayat 15 : Surah al-Mu’min Roh Islam yang mengenderai hati Islam dan memiliki nafsu Islam, akal Islam dan pancaindera Islam kembali kepada kehidupan dunia untuk mengajak dan membimbing orang lain kepada Yang Haq, Kebenaran Hakiki. Roh Islam mengeluarkan yang Islam sahaja. Jiwanya Islam, perkataannya Islam, perbuatannya Islam, diamnya Islam, tidurnya Islam dan segala-gala yang mengenainya adalah Islam. Roh Islam yang paling sempurna adalah roh Nabi Muhammad s.a.w. Baginda s.a.w merupakan contoh tauladan Islam yang paling sempurna, paling baik. Zikir memainkan peranan yang penting dalam melahirkan Roh Islam. Bagi orang yang inginkan kebenaran dan melihat kebenaran, menjadi kewajipan baginya mengingati Allah s.w.t sebanyak mungkin.


302 Lantas apabila kamu telah selesaikan sembahyang (sembahyang di waktu perang ) itu, maka hendaklah kamu ingat kepada Allah s.w.t sambil berdiri, dan sambil duduk, dan sambil (berbaring) atas rusukrusuk kamu. Tetapi apabila kamu telah tenteram, maka hendaklah kamu dirikan sembahyang (seperti biasa), kerana sesungguhnya itu adalah bagi Mukminin satu kewajipan yang ditentukan mwaktunya. ( Ayat 103 : Surah an-Nisaa’ ) Yang mengingati Allah sambil berdiri dan sambil duduk dan sambil berbaring, dan memikirkan tentang kejadian langit-langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Engkau tidak jadikan (semua) ini dengan sia-sia! Maha Suci Engkau. Lantaran itu peliharakanlah kami daripada seksa neraka”. ( Ayat 191 : Surah a-Li ‘Imran ) Setiap Muslim seharusnya mencari kehidupan berzikir; berzikir sambil duduk dan sambil berbaring; bekerja di dalam berzikir; berehat di dalam


303 berzikir dan tidur di dalam berzikir. Lidah berzikir, anggota tubuh berzikir dan hati berzikir. Tentera Islam yang sedang berperang dengan musuh pun dituntut berzikir, apa lagi kaum Muslimin yang berada dalam suasana aman. Muslim sejati sentiasa berzikir, mengingati dan mentaati Allah s.w.t.


304 25: Salik Dan Suluk Salik adalah orang yang menjalani latihan kerohanian secara bersuluk. Suluk pula adalah sistem latihan kerohanian yang digunakan bagi tujuan mendekatkan diri kepada Tuhan. Semasa bersuluk seseorang itu mengasingkan diri daripada orang ramai. Bila dia tidak ada bersama orang ramai, maka mereka terselamat daripada gangguan yang mungkin datang daripadanya dan juga dia terselamat daripada gangguan yang mungkin datang daripada mereka. Pengasingan tersebut boleh menyelamatkan ahli suluk itu daripada anasir yang boleh merosakkannya melalui ego dan nafsunya. Dalam pengasingan itu juga dia melatihkan diri bagi memperolehi perkembangan kerohanian. Dia melatihkan diri agar terpisah daripada sifat-sifat yang tercela dan digantikan dengan sifat-sifat yang terpuji. Semasa bersuluk itu amal ibadat seperti bersembahyang, berpuasa, berzikir dan lain-lain dilakukan dengan banyaknya. Dorongan hawa nafsu dikurangkan dengan cara menyedikitkan makanan, tidur dan berkata-kata. Bila kurang berkata-kata hati menjadi tidak lalai dalam mengingati Tuhan. Orang yang mahu memasuki suluk mestilah mempunyai azam yang kuat. Perkara-perkara yang sering menghalang seseorang daripada memasuki suluk adalah dunia, makhluk, syaitan dan hawa nafsu. Kebanyakan manusia tidak sanggup memisahkan diri buat seketika dengan dunia dan makhluk. Tipu daya syaitan dan kesenangan hawa nafsu berada dengan makhluk. Oleh sebab itu agak sukar bagi kebanyakan orang memisahkan dirinya daripada orang ramai. Jika dia berjaya melepaskan halangan tersebut dia mungkin berhadapan dengan halangan lain semasa bersuluk. Halangan semasa bersuluk adalah tuntutan mencari rezeki, kebimbangan tidak akan menemui apa yang dicari, kemungkinan ditimpa penyakit dan juga masalah keluarga yang berbagai-bagai. Seseorang salik perlu


305 memperkuatkan sifat sabar dan bertawakal jika dia mahu jika dia mahu melepasi rintangan yang menghalangnya meneruskan amalan suluk. Dia juga perlu mengawasi perkara-perkara yang boleh merosakkan pencapaian rohaninya. Perkara-perkara tersebut adalah sifat-sifat takabur, ujub, riak dan samaah. Suasana hati yang ingin diperolehi melalui bersuluk adalah: “Ilahi! Engkau jua maksud dan tujuanku dan keredaan Engkau yang aku cari”. Salik yang berhasrat memperolehi hasil yang baik perlu menjaga sopan santun semasa bersuluk. Perlu yang perlu dijaga adalah: a) mengikhlaskan kasih kepada Allah s.w.t dan melakukan ibadat sematamata kerana Allah s.w.t bukan kerana mahukan kasyaf dan keramat. b) Amal ibadat yang dilakukan hendaklah sesuai dengan peraturan yang ditentukan oleh syariat, tidak boleh mengubahnya sehingga bercanggah dengan syariat. c) Salik perlu melepaskan ilmu-ilmu yang boleh melalaikannya dan boleh menarik cita-citanya kepada yang selain Allah s.w.t. Ilmu-ilmu seperti ilmu kebal, ilmu pengasih, ilmu menarik harta dari bumi, ilmu yang berkait dengan khadam dan yang seumpamanya hendaklah dilepaskan kerana ilmu yang demikian menutup mata hati. d) Ketika menjalani amalan suluk fikiran hendaklah dibebaskan daripada memikirkan dan mengangankan sesuatu yang di dalam dunia. e) Hati hendaklah dipisahkan daripada sifat-sifat yang keji, seperti sifat haiwan, syaitan dan dorongan hawa nafsu. f) Memenuhkan masa bersuluk dengan kegiatan yang mengingatkan hati kepada Allah s.w.t. Sebahagian manusia lebih dituntut bergiat dalam kehidupan harian daripada mengasingkan diri. Pertama adalah orang alim yang ilmunya diperlukan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh orang ramai. Termasuk di dalam ilmu yang diperlukan oleh orang ramai adalah pengajarannya, fatwanya dan karangannya. Orang yang seperti ini


306 penyebaran ilmu merupakan ibadat khusus bagi mereka selepas ibadat fardu. Selepas urusan sembahyang lima waktu, lebih afdal baginya menyebarkan ilmu dan membasmikan kejahilan dalam masyarakat daripada mengasingkan diri dan membenamkan diri ke dalam perkara yang sunat. Golongan kedua adalah pengusaha yang mempunyai kepakaran yang diperlukan oleh orang ramai, seperti doktor, pembuat roti, tukang kayu dan sebagainya. Mereka perlu berkhidmat kepada orang ramai dan memakmurkan bumi ini. Masa lapang mereka perlu diisi dengan ibadat dan membaca al-Quran. Golongan ke tiga adalah pemerintah yang bertugas membawa kebajikan kepada orang ramai. Mereka lebih dituntut menegakkan keadilan di dalam masyarakat dan menyebarkan kesejahteraan hidup daripada mengasingkan diri. Masa lapang mereka perlu diisi dengan ibadat dan pada malamnya diperbanyakkan wirid. Ada dua jenis manusia, secara sifat semulajadi mereka, sangat cenderung memasuki jalan suluk. Jenis pertama adalah orang yang cenderung untuk menjadi abid atau ahli ibadat. abid tidak mempunyai sebarang pekerjaan kecuali beribadat kepada Allah s.w.t. Golongan ini seolah-olah tidak ada kemahiran untuk melakukan sesuatu yang lain daripada beribadat. Mereka hanya memperolehi manfaat dengan menggunakan masa untuk beribadat. Golongan ini dikuasai oleh suasana hati yang sangat takut meninggalkan ibadat untuk melakukan sesuatu pekerjaan, kerana dia takut tidak akan dapat menyempurnakan kebaktiannya kepada Allah s.w.t. Mereka sangat takutkan dunia kerana mereka melihat kekacauan di dalam dunia menjadi fitnah yang merosakkan hubungan mereka dengan Tuhan. Meninggalkan ibadat membuat mereka merasakan berjauhan dengan Tuhan. Rasa berjauhan dengan Tuhan menjadikan mereka tidak bermaya dan tidak berupaya berbuat apa-apa. Hanya ibadat boleh memberi kekuatan kepada mereka. Mereka seolah-olah tidak ada pilihan kecuali hidup beribadat dalam pengasingan. Jenis kedua dinamakan muwahhid iaitu orang yang terikat sepenuhnya dengan Allah s.w.t. Kecintaan mereka


307 kepada Allah s.w.t sangat kuat menyebabkan hati mereka ‘pecah’ dan tidak berupaya lagi mengasihi sesuatu yang selain Allah s.w.t. Kebahagiaan mereka hanyalah bersama-sama Allah s.w.t, tidak ada tempat lagi untuk makhluk. Hati mereka tidak melihat kepada makhluk, oleh itu kehadiran makhluk tidak diperlukan. Orang yang ditakdirkan menjadi salah satu daripada dua golongan tersebut sangat cenderung memasuki jalan suluk sebagai persediaan untuk mereka mencapai kesempurnaan pada jalan abid atau muwahhid. Selain golongan yang menuju kepada suasana abid dan muwahhid, orang yang cenderung memasuki jalan suluk adalah muta’allim, iaitu orang yang belajar semata-mata kerana Allah s.w.t. Mereka merupakan golongan yang mencari kebenaran. Mereka tidak merasa puas dengan apa yang ditemui pada jalan pembelajaran biasa. Mereka memasuki suluk dengan harapan akan menemui apa yang tidak mereka temui sebelum bersuluk. Mereka percaya kebenaran yang sejati hanya boleh ditemui oleh hati yang suci murni dan cara yang paling baik menyucikan hati adalah dengan bersuluk. Golongan ini memerlukan bimbingan guru tarekat yang arif. Guru hendaklah tahu kedudukan murid dan tahu kadar ilmu yang boleh dibukakan kepada murid berkenaan. Bagi muta’allim (orang yang belajar) yang tidak memasuki jalan suluk, haruslah memberi tumpuan kepada mempelajari ilmu. Menghadiri majlis ilmu lebih utama daripada ibadat sunat dan berzikir yang boleh dilakukan pada masa lapangnya. Muta’allim yang memasuki suluk lebih terdorong untuk mengalami suasana kerohanian yang diistilahkan sebagai muttakhaliq, iaitu orang yang mengalami perubahan sifat. Ada dua jenis muttakhaliq. Jenis pertama mengalami suasana mereka menjadi alat dan Allah s.w.t Pengguna alat. Mereka melihat perbuatan dan kelakuan mereka berlaku tanpa mereka rancang dan mereka tidak berdaya menahannya. Mereka melihat apa yang terjadi pada mereka terjadi tanpa kehendak mereka sendiri, tanpa usaha, tanpa tadbir dan tanpa ikhtiar memilih. Muttakhaliq


308 jenis kedua pula adalah orang yang melihat Allah s.w.t meletakkan sifat dan bakat pada diri mereka dan mereka menjadi pelaku kepada sifat dan bakat tersebut. Jenis pertama melakukan sesuatu dalam suasana ‘dengan kehendak Allah s.w.t’ dan jenis kedua dalam suasana ‘dengan izin Allah s.w.t.’ Ahli suluk, sesudah melalui berbagai-bagai pengalaman kerohanian, kembali semula kepada kesedaran biasa dinamakan mutahaqqiq. Golongan ini kembali kepada jalan kenabian, memegang tugas sebagai khalifah Allah s.w.t yang meneruskan perjuangan Nabi-nabi. Golongan ini kembali kepada kesedaran kemanusiaan bagi membolehkan mereka menguruskan hal-ehwal manusia. Latihan kerohanian yang dilakukan semasa bersuluk berkemungkinan membawa salik memperolehi kasyaf, iaitu terbuka perkara ghaib kepada pandangan mata hatinya. Kasyaf ada dua jenis, iaitu kasyaf kecil dan kasyaf besar. Kasyaf kecil termasuklah terbukanya pandangan untuk melihat kepada Alam Barzakh, melihat roh orang yang sudah meninggal dunia, melihat syurga dan neraka, melihat makhluk halus dan lain-lain. Kasyaf besar pula adalah terbukanya pandangan hati kepada hakikat sesuatu dan membuka ingatan dan penghayatan kepada Allah s.w.t. Dalam perjalanan kerohanian, kasyaf kecil tidak penting bahkan kasyaf kecil sering menjadi benteng yang menghalang salik meneruskan perjalanannya. Keasyikan menyaksikan perkara ghaib membuat salik berhenti dan menyangkakan dia sudah sampai kepada Yang Haq, sedangkan perjalanannya masih jauh lagi. Apa yang penting adalah kasyaf besar atau terbukanya hakikat sesuatu. Pembukaan tentang hakikat boleh menyelamatkan salik daripada tipu daya syaitan yang bersembunyi di sebalik berbagai-bagai rupa, bentuk dan keadaan. Salik yang dikurniakan kasyaf besar tidak tertipu dengan syaitan walaupun syaitan datang dalam rupa guru yang alim dan warak. Salik juga boleh mengenali malaikat sekalipun malaikat datang tanpa berupa. Rasulullah s.a.w melihat rupa


309 malaikat Jibrail a.s dalam rupanya yang asli hanya dua kali sahaja, tetapi setiap kali Jibrail a.s datang Rasulullah s.a.w mengenalinya, sekalipun Jibrail a.s memakai rupa manusia atau tidak berupa. Kasyaf yang mengenali hakikat inilah sangat penting bagi salik yang berjalan kepada Tuhan. Kasyaf seperti ini diperolehi apabila rohani kembali kepada kesuciannya yang asal. Rohani yang demikian mengenali syaitan walaupun syaitan mengenderai manusia atau suasana dan rohani itu juga mengenali malaikat walaupun malaikat tidak menjelma di hadapannya. Contoh kasyaf besar adalah, apabila seorang salih didatangi oleh seseorang yang menyuruhnya berbuat kejahatan, maka dengan segera orang salih itu berkata: “Pergi kamu syaitan!” Orang salih itu menyedari atau melihat dengan kasyafnya yang orang yang mendatanginya itu sedang digunakan oleh syaitan untuk mengenakan tipu dayanya. Kasyaf yang demikian, walaupun tidak memperlihatkan rupa syaitan yang sebenarnya, tetapi syaitan itu tidak dapat bersembunyi. Kasyaf membawa salik kepada zauk iaitu mengalami suasana yang berhubung dengan Tuhan. Zauk membawa salik mengalami suasana Hadrat Tuhan. Suasana Hadrat Tuhan yang menguasai salik itu membentuk keperibadiannya. Bidang zauk sangat luas. Zauk biasanya diperolehi oleh salik yang terus menerus membenamkan dirinya di dalam zikir. Tenaga zikir memberi kekuatan kepada rohaninya untuk menghadap kepada hakikat ketuhanan. Kesan daripada pengalaman menghadap kepada hakikat ketuhanan yang dirasakan oleh hati itulah dinamakan zauk. Misalnya, hati salik berhadap kepada hakikat Tuhan Yang Maha Keras. Dia akan dikuasai oleh perasaan takut kepada Tuhan, takut kerana dosa-dosa yang telah dilakukannya, takut kerana ibadat yang dilakukannya tidak sempurna dan bermacammacam ketakutan lagi. Pengalaman yang demikian dinamakan pengalaman hakikat dan ia membuatnya mengenali Tuhan Yang Maha


310 Keras atau dia dikatakan memperolehi makrifat tentang Tuhan Yang Maha Keras. Salik juga mungkin mengalami hakikat kenabian. Mungkin salik mengalami suasana Nabi Adam a. s diciptakan dan diturunkan ke bumi. Salik tersebut dikatakan mengalami Hakikat Adamiyah dan ia membuatnya lebih mengerti tentang kenabian Adam a.s. Pengalaman yang demikian tidak mengubahnya menjadi Nabi Adam a.s atau bersatu dengan beliau a.s. Jika ada penyatuan pun hanyalah dalam zauk atau alam perasaan, bukan penyatuan yang sebenarnya. Hakikat Adamiyah adalah suasana pentadbiran Tuhan yang berhubung dengan kejadian Adam a.s. Ia bukan anasir alam dan bukan berada dalam hati salik yang mengalaminya. Ia adalah suasana yang Tuhan gubah bagi memperkenalkan apa yang Dia mahu kenalkan kepada hati hamba-Nya. Begitu juga dengan pengalaman salik berhubung dengan hakikat Nabi Muhammad s.a.w atau dikenali sebagai Hakikat Muhammadiah. Salik tidak bertukar menjadi Nabi Muhammad s.a.w atau bersatu dengan baginda s.a.w. Salik diberi kesempatan mengenali Nabi Muhammad s.a.w dalam suasana pentadbiran Tuhan atau urusan Tuhan. Apa sahaja yang Tuhan mahu ciptakan telah ada pada sisi-Nya, dalam Ilmu-Nya, termasuklah Nabi Adam a.s dan Nabi Muhammad s.a.w. Tuhan bentukkan misal bagi suasana yang pada sisi-Nya yang melampaui segala misalan, dan misal gubahan Tuhan itu dihantarkan kepada hati salik. Salik yang menetap dalam kehambaan menyaksikan Hakikat Adam, Hakikat Muhammad dan Hakikat Tuhan. Salik yang terbalik pandangannya menjadi orang yang merasakan menjadi Nabi Adam a.s, menjadi Nabi Muhammad s.a.w dan menjadi Tuhan atau pun mereka merasakan suasana penyatuan dengan hakikat-hakikat tersebut. Penyatuan tersebut hanya berlaku dalam bayangan ilmu, bukan penyatuan yang sebenarnya. Apabila salik melepasi peringkat bayangan, dia masuk kepada hal yang sebenar, yang tidak serupa dengan bayangan ilmu itu.


311 Manusia yang ciptaannya digabungkan unsur rohani dengan unsur jasmani berkemampuan menerima bayangan Tuhan atau menerima sinaran Nur-Nya. Bayangan tetap bayangan. Zat Tuhan Yang Maha Tinggi tetap tinggal diselubungi oleh selimut ghaib yang Mutlak lagi amat perkasa, tidak mungkin diruntuhkan oleh kasyaf yang bagaimana pun. Nur bukanlah Zat, tetapi hanyalah satu ayat, tanda atau bukti tentang Tuhan dan juga satu Hijab daripada sekalian banyak Hijab-hijab ketuhanan, juga satu nama daripada sekian banyaknya nama-nama Tuhan. Kebodohan, ketidak-upayaan mengenal-Nya adalah tabir penutup yang asli dan tidak mungkin tersingkap hakikat Zat Tuhan melainkan pada hari kebangkitan, suasana yang Tuhan berkehendak memperlihatkan Diri-Nya secara nyata. Sebelum itu penyaksian merupakan penglihatan akal dan mata hati atau melihat Nur-Nya. Dalam fana salik mencapai Wajibul Wujud sifat bukan Wajibul Wujud Zat. Zat Ilahiat melampaui perbatasan Wajibul Wujud, mumkinul wujud atau apa sahaja yang dikaitkan dengan wujud atau tidak wujud. Salik yang mencapai Wajibul Wujud sifat mencapai kedudukan kewalian iaitu dia menjadi alat Allah s.w.t, bukan menjadi Allah s.w.t. Allah s.w.t memperkenalkan Hadrat-Nya melalui sifat dan nilai yang ada dengan manusia. Sifat dan nilai yang ada pada wali-Nya memperkenalkan-Nya dengan lebih berkesan daripada orang lain. Semakin sempurna kewalian seseorang itu semakin menyerlah keupayaan yang dikurniakan Allah s.w.t kepadanya dalam memperkenalkan-Nya sebaik mungkin. Bakat atau keupayaan memperkenalkan Tuhan yang dikurniakan kepada wali itu dinamakan tajalli Rahmani (kenyataan Tuhan). Wali yang di dalam fana mengucapkan “ Ana al-Haq! (Aku adalah Tuhan!)” memperkenalkan sifat Kalam Tuhan. Tuhan yang mengatakan demikian melalui lidah wali-Nya. Wali yang tidak di dalam fana pula mengatakan “Hua al-Haq! (Dia jualah Tuhan!)”. Ucapan wali yang di dalam fana dan ucapan wali yang di dalam kesedaran itu membawa maksud yang serupa.


312 Wali yang di dalam fana tidak menjadi Tuhan dan demikian juga wali yang di dalam kesedaran. Satu jenis tajalli lagi dinamakan tajalli rohani (tajalli roh). Roh yang asli yang mengenal Tuhan dibungkus atau dihijab oleh bakat roh yang mendatang yang padanya terdapat berbagai-bagai sifat buruk yang menghijab Latifah Rabbaniah. Dalam tajalli roh kumpulan atau penyatuan hijab-hijab itulah yang menyata sebagai roh yang memiliki sifat Rabbaniah (ketuhanan). Orang yang mengalami tajalli roh mengatakan juga “Ana al-Haq!” dan pada ucapan tersebut ada pengakuan tentang ketuhanan rohnya. Dia benar-benar merasakan rohnya itulah Tuhan dan dia melihat sekalian makhluk tunduk kepada keagungan, kebesaran dan kemuliaan rohnya. Orang yang mudah terjatuh ke dalam medan tajalli roh ini adalah mereka yang sejak awal perjalanan lagi memang mempercayai dan berpegang kepada fahaman wahdatul wujud dan mereka sengaja mencari penyatuan dengan Tuhan. Segala usaha ditujukan bagi menghapuskan kemanusiaan mereka dan melahirkan ketuhanan diri mereka. Mereka berpegang kepada fahaman bahawa diri mereka, Adam, Muhammad dan Allah s.w.t adalah yang satu (kami berlindung kepada Allah s.w.t daripada iktikad yang sesat itu). Ibadat dan zikir bukan ditujukan kerana mencari keredaan Allah s.w.t sebaliknya digunakan bagi melahirkan kesedaran menurut apa yang telah mereka iktikadkan. Penyatuan Adam, Muhammad, Allah s.w.t dan diri mereka dialami pada makam roh. Sejak mula lagi, walaupun menyebut nama Allah s.w.t tetapi tumpuan dan penghayatan mereka adalah roh. Mereka memulakan sembahyang dengan memukau diri sendiri agar meyakini bahawa perbuatan mereka adalah Perbuatan Tuhan, sifat mereka adalah Sifat Tuhan, wujud mereka adalah Wujud Tuhan dan zat mereka adalah Zat Tuhan. Kalimah “La ilaha illa Llah” yang bermaksud “Tiada Tuhan melainkan Allah” mereka menghayatinya sebagai “La maujud illa Llah ” yang bermaksud “ Tidak ada yang ada melainkan Allah”. Mereka gunakan ucapan orang yang di dalam zauk untuk membentuk kefahaman mereka di


313 dalam sedar. Setelah ditekankan beberapa lama bahawa perbuatan, sifat, wujud dan zat mereka sama dengan Tuhan maka keyakinan yang demikian terpahat dalam jiwa mereka. Bila sampai kepada satu tahap keyakinan hati mereka merasakan sekalian makhluk tunduk kepada ketuhanan mereka. Ketika itu keluarlah dari mulut mereka ucapan “ Ana al-Haq!”. Walaupun mengucapkan yang demikian seperti yang diucapkan oleh salik yang di dalam fana namun hati salik yang menerima tajalli Rahmani berbeza daripada hati mulhid yang menerima tajalli roh. Dalam tajalli roh tidak ada fana. Apa yang disangkakan fana di situ adalah pelepasan secara menyeluruh pengakuan kehambaan dan penerimaan secara menyeluruh bahawa rohnya adalah Tuhan atau Tuhan yang menjadi nyawa kepada rohnya. Bila orang ini kembali semula kepada kesedaran, ego diri dan sifat-sifat kebinatangan bertambah kuat menguasai mereka. Mereka menjadi orang yang takabur, berani mempersendakan Tuhan, nabi-nabi dan amalan agama (Ya Allah! Lindungi kami daripada perbuatan sesat itu.) Dari kalangan mereka timbul ungkapan bahawa ilmu Tuhan belum sempurna. Keegoan diri bertambah dan syariat dibuang begitu sahaja. Mereka menyahut seruan azan dengan ucapan meremehkannya. Mereka melihat ibadat yang orang lain lakukan sebagai sia-sia sahaja kerana kononnya orang ramai tidak mengenal Tuhan seperti mereka. Bagi mereka sembahyang yang sebenar adalah menyembah diri sendiri. Mereka inilah kumpulkan yang sesat, menyebarkan kesesatan dengan berselindung di sebalik ajaran tarekat tasauf dan ahli sunnah wal jamaah. Setiap Mukmin yang menjalani tarekat yang benar berkewajipan menghancurkan gerakan kumpulan tarekat yang sesat itu. Jangan terpedaya orang sesat yang boleh mengeluarkan kebolehan yang luar biasa. Mahaguru ajaran sesat, iblis laknatullah, lebih lagi luar biasanya. Dalam tajalli Rahmani keegoan salik binasa dan dia mencapai fana. Dalam kefanaan sifat kemanusiaannya lenyap bersama-sama kekotoran hatinya.


314 Bila dia sedar semula dia sudah menjadi bersih dan hatinya penuh dengan keikhlasan. Ego tidak kembali kepadanya. Dia sentiasa merendahkan diri kepada Tuhan dan sesama manusia. Dia mematuhi perintah-Nya dan peraturan-Nya dan berjalan di atas muka bumi dengan tawaduk dan takwa. Seseorang yang ingin menjadi salik sangat perlu melepaskan fahaman wahdatul wujud dan keinginan kepada sesuatu yang selain Allah s.w.t seperti kasyaf, kekeramatan, kewalian, sesuatu ilmu dunia dan lain-lain yang boleh menjadi hijab. Masuklah ke dalam suluk bersama-sama syariat, sebagai hamba Tuhan, yang inginkan makam sebagai hamba Tuhan semata-mata tidak hamba kepada yang selain-Nya, mahu menyembah Tuhan semata-mata, tidak mempersekutukan-Nya dengan sesuatu baik yang nyata mahupun yang ghaib, berharap, bergantung dan berhajat kepada-Nya semata-mata, tidak kepada yang lain. Orang yang baharu memasuki bidang tarekat tasauf gemar memerhatikan martabat nafsu. Mereka sering mengintai-intai diri mereka apakah sudah berada pada martabat nafsu yang tinggi. Jika mereka merasakan terdapat tanda ketinggian nafsu mereka maka mereka akan merasakan kejayaan. Orang salik dan juga orang yang berminat kepada tasauf perlulah sedar bahawa martabat nafsu bukanlah matlamat. Huraian di dalam buku-buku, daerah nafsu-nafsu dinyatakan dengan jelas. Dalam perjalanan yang sebenarnya tidak ada sempadan yang jelas di antara satu daerah nafsu dengan daerah nafsu yang berikutnya. Perubahan sifat nafsu berlaku tanpa disedari, tidak ada isyarat yang mengsahkan yang mereka sudah berpindah kepada daerah nafsu yang lain. Keinginan kepada pertukaran makam nafsu merupakan tipu daya yang halus. Orang yang memasuki suluk perlu membuang kehendak diri sendiri dan tunduk kepada kehendak Tuhan. Jika masih lagi mengintai makam nafsu bermakna kehendak diri masih lagi kuat. Walaupun dia melihat tanda nafsunya sudah ada pada makam yang tinggi, tetapi keinginannya kepada makam


315 nafsu yang tinggi itu menunjukkan kehendaknya masih belum menyerah kepada kehendak Tuhan. Itu bermakna dia belum mencapai makam nafsu yang tinggi itu walaupun dia merasakan sudah mencapainya. Makammakam nafsu hanyalah panduan di dalam perjalanan, berguna bagi guru yang membimbing muridnya dalam menyusun latihan berperingkatperingkat. Permulaan tarekat adalah syariat dan penghabisan tarekat adalah juga syariat. Kebenaran dalam syariat dipermulaan jalan tidak jelas. Setelah sampai di penghujung jalan kebenaran yang dinyatakan oleh syariat menjadi jelas. Pengalaman fana yang paling tinggi dalam nafsu radhiah tidak dapat menandingi satu sembahyang fardu yang dilakukan kerana Allah s.w.t menurut peraturan syariat. Baqa bersama-sama Allah s.w.t di dalam makam nafsu mardhiah tidak dapat menandingi baqa (kekal) di dalam Sunah Rasulullah s.a.w. Kesempurnaan nafsu pada makam kamaliah tidak dapat menandingi kesempurnaan menjalankan perintah Allah s.w.t, terutamanya dalam bidang berdakwah membimbing umat manusia kepada jalan Allah s.w.t. Makam-makam nafsu hanyalah alat atau jalan, bukan matlamat. Zikir yang dilakukan sendirian selama 24 jam tanpa berhenti tidak dapat menandingi zikir yang melibatkan perkataan, perbuatan dan perasaan yang dilakukan dalam masyarakat dan memanfaatkan makhluk Tuhan. Tarekat haruslah dijadikan alat untuk menyempurnakan syariat bukan untuk sesuatu tujuan yang lain. Salik perlu tahu bahawa latihan kerohanian yang sebenar hanya bermula apabila dia diheret oleh kuasa ghaib dan dia dapat merasakan yang dia diberi bimbingan, tunjuk-ajar serta panduan. Pada masa yang sama dia merasakan jalan menuju Tuhan semakin terang dan rasa kehampiran dengan Tuhan semakin bertambah. Salik perlu sedar bahawa tidak ada satu jalan pun daripada hamba kepada Tuhan. Semua jalan kepada Tuhan adalah dihulurkan daripada Tuhan kepada hamba. Selagi Tuhan tidak menghulurkan jalan selagi itulah hamba tidak menemui jalan kepada-Nya.


316 Latihan kerohanian yang dilakukan oleh salik bertujuan mempersiapkan salik agar bersedia memasuki jalan Tuhan apabila Tuhan membuka jalan tersebut. Sekiranya dia tidak bersedia jalan tersebut akan ditutup kembali. Rasulullah s.a.w berkhalwat di Gua Hiraa sebagai persiapan menerima kedatangan wahyu. Khalwat yang baginda s.a.w lakukan itu tidak berupaya memanggil wahyu turun. Wahyu datang daripada Allah s.w.t, menurut kehendak-Nya namun, Allah s.w.t menghantarkan wahyu setelah baginda s.a.w bersedia dan mampu menerima kedatangan wahyu itu. Begitu juga dengan kedatangan warid. Ia dihantarkan kepada salik yang bersedia menerimanya. Setelah mengakui tidak ada jalan atau tangga yang boleh dibina oleh hamba untuk mencapai Tuhan maka hamba tidak ada pilihan kecuali bersandar kepada Tuhan dan berserah diri kepada-Nya. Ilmu dan amal hanya mampu membawa salik kepada makam berserah diri kepada Tuhan dengan sepenuh jiwa raga. Makam berserah diri adalah medan di mana dihulurkan jalan atau tangga yang membawa seseorang hamba kepada Tuhan. Penyerahan yang sebenar itu adalah Islam. Hanya Islam sahaja yang menjadi agama yang diredai Allah s.w.t dan kepada orang yang benar-benar Islam sahaja dikurniakan nikmat kehampiran dengan Allah s.w.t Yang Maha Tinggi. Tidak dinamakan Islam tanpa syariat Islam. Oleh sebab itu tarekat yang putus dengan syariat Islam tidak akan menemukan seseorang dengan Allah s.w.t. Islam merupakan satu-satunya jalan bagi seseorang hamba menghampiri Tuhan. Tidak ada jalan lain lagi. Allah s.w.t telah menyatakan perkara ini dengan tegasnya di dalam al-Quran:


317 Hari ini Aku sempurnakan agama kamu bagi kamu dan Aku cukupkan atas kamu nikmat-Ku. Dan Aku reda Islam menjadi agama (syariat) kamu. ( Ayat 3 : Surah al-Maa’idah )


318 27: Ciri-ciri Dan Doktrin Nabi Palsu Nabi Muhammad s.a.w terkenal di seluruh Tanah Arab, sampai ke Yamamah. Baginda s.a.w dikenali sebagai Utusan Allah dan seorang pemimpin yang agung menguasai sebuah kerajaan yang besar dan kuat. Kemuliaan dan kebesaran baginda s.a.w bertapak dalam hati orang ramai. Salah seorang yang mengagungkan kebesaran Nabi Muhammad s.a.w itu adalah Musailima bin Habib dari Banu Hanifah yang tinggal di Yamamah. Musailima bukanlah seorang yang berkedudukan mulia dalam puaknya. Dia lebih merupakan orang suruhan yang melakukan kerja-kerja menurut arahan golongan atasan dalam puaknya. Ketika rombongan Banu Hanifah berangkat ke Madinah untuk berjumpa dengan Nabi Muhammad s.a.w, Musailima dibawa bersama. Dia ditugaskan mengangkat barang-barang dan menjaga serta memberi makan haiwan tunggangan. Rombongan Banu Hanifah berhenti di luar kota Madinah. Musailima tinggal menjaga barang-barang sementara ahli rombongan yang lain memasuki kota Madinah untuk menemui Rasulullah s.a.w. Rombongan Banu Hanifah itu telah memeluk Islam di hadapan Rasulullah s.a.w. Sebagai tanda persahabatan Islam, Rasulullah s.a.w memberikan mereka beberapa hadiah. Mereka juga telah menceritakan tentang salah seorang daripada mereka yang berada di luar kota Madinah menjaga barang-barang mereka. Rasulullah s.a.w berkenan juga memberikan hadiah kepada orang Banu Hanifah yang menjaga barang-barang itu sambil baginda s.a.w bersabda yang maksudnya: “Dia bukan lebih hina daripada kamu”. Rasulullah s.a.w secara lembut menegur orang-orang Banu Hanifah bahawa tidak baik jika salah seorang daripada mereka yang merdeka diberi layanan sebagai budak suruhan. Mereka tidak seharusnya merendahkan sesama sendiri.


319 Setelah kembali ke tempat barang-barang ditinggalkan, mereka yang telah berjumpa dengan Rasulullah s.a.w telah memberikan hadiah kiriman baginda s.a.w kepada Musailima. Mereka menceritakan apa yang telah dikatakan oleh baginda s.a.w. Pemberian hadiah, diiringi oleh kata-kata yang baik daripada seorang pemimpin yang sangat agung telah menimbulkan kejutan dalam jiwa Musailima yang selama ini tidak pernah dipandang mulia oleh kaumnya. Hatinya mengulangi kata-kata baik yang diucapkan mengenainya itu. Dia merenung dirinya sendiri yang mendapat perhatian daripada seorang Rasul dan pemerintah yang begitu mulia. Tentu sekali perhatian diberikan kepadanya kerana dia juga seorang yang mulia. Semakin dia merenung dirinya semakin dia menjadi asyik dengan dirinya. Rasa kemuliaan diri timbul dalam dirinya, semakin lama semakin kuat. Musailima menjadi asyik mahsyuk dengan dirinya sendiri. Keasyikan kepada diri sendiri merupakan pintu masuk kepada alam gelap yang membentuk misal diri yang mulia. Musailima telah dibawa kepada penggoda-penggoda alam gelap dan akhirnya dia menemui apa yang telah ditemui oleh Petrus, penganut agama Nasrani. Petrus telah ditabalkan oleh iblis menjadi nabi. Musailima juga menerima pertabalan tersebut. Petrus bersekutu dengan Isa al-Masih. Musailima bersekutu dengan Nabi Muhammad s.a.w. Petrus menerima ‘wahyu’ dari iblis. Musailima juga menerima yang demikian. Petrus mengaku menjadi nabi. Musailima juga mengaku menjadi nabi. Bertambahlah bilangan nabi-nabi palsu yang ditabalkan oleh iblis. Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w selain Musailima ada dua orang lagi yang mengaku menjadi nabi. Mereka adalah Thulaihah al-Asadi dan seorang wanita Banu Tamim bernama Sajjah. Tiga orang nabi-nabi palsu itu diperangi oleh Khalifah Abu Bakar as-Siddik kemudian hari nanti. Kaum Muslimin mengetahui bahawa mereka adalah nabi-nabi palsu, tetapi ke tiga-tiga mereka tidak tahu yang diri mereka adalah nabi-nabi palsu. Mereka benar-benar percaya bahawa mereka adalah nabi.


320 Musailima yakin bahawa dirinya bersekutu dan bersatu dengan Nabi Muhammad s.a.w dan dia lebih mulia daripada Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali. Bermula dengan keasyikan dengan diri sendiri Petrus, Musailima, Thulaihah dan Sajjah membangkitkan keegoan roh haiwani mereka. Satu medan alam ghaib di bawah bumbung langit dunia terbuka kepada roh haiwani mereka yang dikenderai oleh ego diri. Mereka masuk ke dalam Alam Misal gubahan iblis. Dalam Alam Misal tersebut mereka menyaksikan keagungan, kemuliaan dan kesempurnaan diri mereka sendiri melebihi segala kewujudan. Apabila mereka sudah merasakan diri mereka melebihi daripada segala sesuatu mereka pun ditabalkan oleh iblis menjadi nabi-nabi, iaitu utusan iblis bagi menyebarkan ajaran sesat kepada umat manusia. Tuhan mereka adalah diri mereka sendiri dan syariat mereka adalah hawa nafsu. Nabi-nabi iblis itu akan menanggalkan kehambaan, menghalalkan arak, judi dan zina. Mereka menggugurkan kewajipan sembahyang lima waktu, puasa dan zakat. Apa sahaja yang dinamakan syariat Islam bagi mereka adalah kosong, tidak ada faedahnya. Amalan agama yang mereka bawa sangat bersesuaian dengan kehendak hawa nafsu. Nabi-nabi iblis akan muncul dari masa ke masa. Mereka akan merombak peraturan syariat dan Sunah. Mereka membawa cerita-cerita ganjil yang mengelirukan. Mereka meletakkan al-Quran di bawah tapak kaki mereka dan meletakkan ceritera daripada iblis di atas kepala mereka. Sifat yang nyata lahir daripada mereka adalah ujub dan riak. Mereka mendakwa bahawa merekalah yang paling benar, paling bermakrifat. Nabi palsu berbeza daripada orang munafik. Orang munafik memutarbelitkan agama tanpa membawa satu bentuk kepercayaan khusus sebagai alternatif. Orang munafik tidak mempunyai pendirian yang tetap. Asal sahaja mereka dapat memesungkan yang benar mereka sudah berpuas hati. Nabi palsu pula membawa agama alternatif dengan menggunakan


321 istilah agama yang sudah ada. Mereka mempunyai kepercayaan dan pegangan yang khusus. Ada amalan tertentu yang mereka titik beratkan. Munafik hanya bersandar kepada hukum akal dan logik lahiriah. Nabi palsu pula menutup pintu akal dan membuka prinsip mengimani sumber ghaib yang berhubungan dengan mereka. Munafik memperbanyakkan hujah. Nabi palsu membentuk kepercayaan tanpa hujah. Setiap munafik bebas meminda agama menurut kehendak individu. Pengikut nabi palsu pula berpegang bulat kepada apa yang dikatakan oleh ketua mereka yang dipercayai sebagai nabi itu. Kedua-dua golongan tersebut akan membina jalan-jalan yang selari dengan jalan yang lurus dan mereka akan mencuba menarik umat Islam supaya masuk kepada jalan mereka. Orang yang tergelincir kepada jalan munafik dan jalan nabi palsu masih merasakan yang dia berada pada jalan yang lurus. Gerakan Musailima tidak mendapat pengaruh ketika Nabi Muhammad s.a.w masih hidup. Setelah Rasulullah s.a.w wafat puak yang ingin lari daripada pemerintahan Madinah telah memberi sokongan kepada Musailima tetapi mereka dapat dikalahkan oleh kaum Muslimin yang dipimpin oleh Saidina Abu Bakar as-Siddik.


322 28: Ciri-ciri Dan Doktrin Munafik Gerakan munafik bermula di Madinah di bawah pimpinan Abdullah bin Ubai. Abdullah bin Ubai, sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w ke Madinah, merupakan seorang yang sangat berpengaruh di sana sebagaimana kedudukan Abu Sufyan di Makkah. Selepas Perang Bu’as tamat penduduk Madinah (nama asalnya Yasrib) sudah sepakat untuk melantik Abdullah bin Ubai sebagai raja di Madinah, malah mahkotanya pun sudah siap dibuat. Masyarakat Madinah bersetuju melantik Abdullah bin Ubai menjadi raja menunjukkan dia memiliki sifat-sifat yang menyebabkan dia dihormati dan dimuliakan. Sebelum Nabi Muhammad s.a.w berhijrah ke Madinah, kaum Yahudi sudah lama bertapak di sana. Kaum Yahudi dikenali sebagai ahli Kitab, orang beragama yang memiliki peradaban yang mulia. Kaum Yahudi juga menguasai bidang ekonomi dan mempunyai kekuatan dalam bidang ketenteraan. Kaum Yahudi yang dikenali sebagai ahli agama, ahli ilmu, ahli ekonomi dan ahli ketenteraan menyebabkan mereka dipandang tinggi oleh orang Arab Madinah. Orang Arab Madinah memandang kaum Yahudi sebagai manusia yang berjaya dan disegani. Kedudukan kaum Yahudi yang demikian menyebabkan orang Arab Madinah suka meniru peradaban Yahudi tetapi mereka tidak memeluk agama Yahudi. Bagi orang Arab agama Yahudi dilihat sebagai khusus untuk orang Yahudi sahaja. Walaupun tidak menerima agama Yahudi tetapi banyak daripada nilai-nilai moral Yahudi diterima pakai oleh orang Arab Madinah. Golongan Arab Madinah yang berilmu merupakan orang yang paling banyak menceduk peradaban Yahudi dan meng-Arabkan peradaban tersebut. Di antara mereka adalah Abdullah bin Ubai. Kumpulan Abdullah


323 bin Ubai mempraktikkan nilai-nilai moral yang lebih tinggi daripada orang Arab Madinah yang lain. Oleh kerana itu mereka dipandang tinggi dan dihormati. Ketika Perang Bu’as hampir berlaku di antara dua puak terbesar di Madinah, kumpulan Abdullah bin Ubai menentang suku-suku mereka yang mahu berperang itu. Bila peperangan berlaku juga Abdullah bin Ubai tidak ikut serta dalam peperangan tersebut. Sikap berkecualinya itulah yang menyebabkan dia dicadangkan untuk menjadi raja setelah kedua-dua pihak yang berperang itu berdamai. Walaupun menimba dari telaga Yahudi namun ahli fikir Arab Madinah mempertahankan ke-Araban mereka. Sikap yang demikian menyebabkan terbentuk aliran pemikiran yang kabur. Ia bukan Yahudi dan bukan juga Arab. Mereka menganggap diri mereka setaraf dengan orang Yahudi yang berilmu dan mereka lebih mulia daripada umat Arab yang jahil. Oleh kerana apa yang terbentuk dalam aliran pemikiran mereka tidak jelas, maka tidak ada satu bentuk kepercayaan atau akidah yang mereka pertahankan. Mereka mempertahankan satu perkara sahaja, iaitu merekalah golongan Arab yang paling pintar dan apa sahaja yang datang daripada orang Arab yang lain tidak sama dengan apa yang ada dengan mereka. Apabila agama Islam datang ke Madinah dibawa oleh orang Arab Makkah, kumpulan Abdullah bin Ubai itu sudah ada keputusan sejak awal-awal lagi untuk menolaknya. Mereka menganggap apa yang baharu datang itu lebih rendah daripada apa yang ada dengan mereka. Mereka menjadi golongan yang tidak mempertahankan sebarang kepercayaan dan juga tidak ada satu kepercayaan yang mereka terima. Sebagaimana puak Yahudi yang menganggap semua bangsa di dunia lebih rendah daripada mereka, begitu juga kumpulan Abdullah bin Ubai yang meminum air daripada telaga Yahudi menganggap semua orang Arab lebih rendah daripada mereka. Mereka memandang rendah apa sahaja yang datang daripada orang Arab yang lain. Mereka adalah puak yang sudah ada keputusan untuk mengunci mata, telinga dan hati mereka daripada segala agama yang datang kepada mereka.


324 Arus perkembangan Islam melanda Madinah dengan deras dan menyeluruh. Dalam masa kurang daripada satu tahun hampir keseluruhan penduduk Madinah sudah memeluk agama Islam. Segala aktiviti berpusat kepada Nabi Muhammad s.a.w dan agama Islam. Kumpulan Abdullah bin Ubai yang memandang diri mereka sebagai lebih mulia itu tidak ada pilihan melainkan ikut serta di dalam rentak perkembangan Madinah, jika tidak mereka akan tersisih. Penyertaan mereka di dalam arus tersebut juga bertujuan mencari jalan merampas semula kekuasaan di Madinah sebagaimana sebelum kedatangan agama Islam dan Nabi Muhammad s.a.w ke sana. Mereka mahu orang-orang Makkah meninggalkan Madinah. Oleh kerana mereka tidak mempunyai satu bentuk kepercayaan yang jelas dan tidak ada satu agama yang mereka pertahankan, maka mereka boleh bergerak cergas dalam apa juga medan kepercayaan atau agama. Istilah dosa, pahala, syurga, neraka, hari kiamat, halal dan haram tidak ada pada mereka. Akhirat tidak ada dalam pandangan mereka. Apabila tidak ada agama yang diperjuangkan dan tidak ada kepercayaan kepada perkara ghaib, kumpulan tersebut menyertai kegiatan agama orang lain dalam keadaan yang dipanggil munafik. Mereka memakai baju agama padahal mereka tidak ikhlas berbuat demikian dan tidak merelakannya. Munafik berbeza daripada kafir. Orang kafir tidak percaya kepada agama Islam kerana mereka mempunyai kepercayaan sendiri dan mereka pertahankan kepercayaan tersebut. Penentangan mereka terhadap Islam adalah jelas. Orang munafik pula di samping tidak beriman kepada agama Islam, mereka tidak mendatangkan kepercayaan yang menjadi alternatif dan mereka tidak menyebarkan sebarang bentuk kepercayaan. Oleh yang demikian mereka boleh menyertai kegiatan Islam seolah-olah mereka adalah orang Islam sejati dan mereka boleh menentang Islam seolah-olah mereka adalah orang kafir tulin. Mereka menganggapkan Islam sebagai baju yang boleh dipakai dan ditanggalkan menurut keadaan yang


325 membawa keuntungan kepada mereka. Al-Quran menceritakan keadaan puak munafik: Dan sebahagian daripada manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan Hari Kemudian”. Padahal mereka bukan orang-orang yang beriman. Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang yang beriman, padahal mereka tidak perdayakan melainkan diri mereka sendiri sedangkan mereka tidak sedar. Di hati mereka ada penyakit, lalu Allah tambahkan penyakit kepada mereka dan adalah bagi mereka seksaan yang pedih sebab mereka telah berdusta. Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat kerosakan di bumi”, mereka menjawab: “Kami tidak lain melainkan orang yang membuat kebaikan”. Ketahuilah bahawa mereka itu adalah orang yang membuat kerosakan tetapi mereka tidak sedar. Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Berimanlah sebagaimana orang yang telah beriman”. Mereka berkata, “Apakah harus kami beriman seperti orang-


326 orang bodoh itu beriman?” Ketahuilah mereka itulah orang-orang yang bodoh tetapi mereka tidak ketahui. Dan apabila mereka bertemu dengan orang yang beriman mereka berkata, “Kami telah beriman”. Apabila bersendirian dengan syaitan-syaitan mereka, mereka berkata, “Kami beserta kamu. Kami tidak lain melainkan memperolok-olokkan (orang yang beriman)”. ( Ayat 8-14 : Surah al-Baqarah ) Yang tuli, yang bisu, yang buta. Lantaran itu mereka tidak akan kembali. ( Ayat 18 : Surah al-Baqarah ) Orang munafik sangat berbeza daripada orang kafir. Orang kafir dengan tegas menyatakan tidak beriman baik secara terang atau pun secara bersembunyi. Ancaman azab neraka dan pujukan nikmat syurga tidak menarik orang kafir kepada iman. Orang munafik pula mengucap dua Kalimah Syahadah dengan lidah mereka dan tidak keberatan menyertai amalan ibadat bersama-sama orang Islam yang lain, tetapi ucapan dan ibadat yang dilakukan itu tidak berbekas pada hati mereka. Mulut mereka mengatakan beriman kepada Allah s.w.t dan hari akhirat tetapi hati mereka kufur. Mereka adalah orang yang Islam pada zahir tetapi kafir pada hati. Perbuatan zahir mereka sesuai dengan perbuatan orang yang beriman kerana mereka mahu menyembunyikan apa yang ada dalam hati mereka. Ada kepentingan diri yang mereka mahu jaga. Puak munafik tidak mengakui kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Bagi mereka Nabi Muhammad s.a.w hanyalah seorang lelaki Arab yang sama dengan lelaki Arab yang lain, yang tergolong dalam kalangan bangsa Arab yang mereka pandang lebih rendah daripada mereka. Mereka menolak kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. Mereka mahu agar baginda s.a.w mengikuti kepimpinan mereka. Mereka juga tidak mempunyai perasaan hormat kepada Nabi Muhammad s.a.w. Oleh kerana mereka


327 menganggapkan Nabi Muhammad s.a.w, maka mereka tidak menerima kedudukan wahyu sebagai Kalam Allah s.w.t. Mereka menganggap wahyu hanyalah perkataan Nabi Muhammad s.a.w yang sama dengan perkataan orang lain yang boleh dihujah dan ditolak. Puak munafik, dengan kerjasama kaum Yahudi, sangat aktif di dalam mempertikaikan wahyu dan hadis Nabi Muhammad s.a.w. Tuhan memperingatkan Rasulullah s.a.w supaya berwaspada terhadap puak munafik yang akan mencuba untuk membawa baginda s.a.w tunduk kepada pemimpin mereka. Baginda s.a.w diperingatkan bahawa puak munafik itu tidak suka kepada baginda s.a.w. Wahai Nabi! Berbaktilah kepada Allah dan jangan engkau taat kepada kafir-kafir dan munafik-munafik, sesungguhnya Allah adalah Mengetahui, Bijaksana. ( Ayat 1 : Surah al-Ahzaab ) Dan jangan engkau tunduk kepada orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan biarkanlah gangguan mereka. Dan berserah dirilah kepada Allah kerana cukuplah Allah sebagai Pengawal. ( Ayat 48 : Surah al-Ahzaab )


328 Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Marilah kepada apa yang diturunkan oleh Allah kepada Rasul-Nya”, kamu melihat orang munafik berpaling daripadamu sungguh-sungguh. (ayat 61 : Surah an-Nisaa’ ) Dan dari kalangan mereka ada yang menyakiti Nabi dan mereka berkata, “Dia itu pendengar!” (Maksudnya mengiyakan sahaja apa yang orang lain kata). Katakanlah: “Dia memang pendengar kebaikan kamu, dia beriman kepada Allah dan dia percaya kepada mereka yang beriman, dan jadi rahmat bagi orang yang beriman di antara kamu”. Dan mereka yang menyakiti Rasul Allah bagi mereka azab yang pedih. ( Ayat 61 : Surah at-Taubah ) Sangat sukar menangani puak munafik kerana secara terangnya mereka mengaku beriman walaupun hati mereka menolak. Mereka juga sanggup bersumpah bagi menegakkan benang basah.


329 Mereka akan bersumpah dengan Nama Allah kepada kamu untuk menyenangkan kamu, padahal Allah dan Rasul-Nya yang lebih patut mereka sukakan jika adalah mereka orang yang beriman. ( Ayat 62 : Surah at-Taubah ) Oleh kerana puak munafik hidup dalam kepura-puraan mereka sangat takut jika rahsia mereka diketahui oleh orang lain. Amat takut orang munafik itu bahawa akan diturunkan atas mereka suatu surah yang mengkhabarkan kepada mereka apa yang ada dalam hati mereka. Katakanlah: “Perolok-olokkanlah! Sesungguhnya Allah akan mengeluarkan apa yang kamu takutkan itu”. (Ayat 64 : Surah at-Taubah ) Apabila tembelang mereka pecah puak munafik itu akan berdalih secara selamba dan mudah. Bila bertembung dengan kebenaran yang tidak dapat dielakkan puak munafik tidak akan mempertahankan kesesatan dan kebohongan yang mereka telah lakukan.


330 Dan jika engkau tanyakan kepada mereka tentu mereka akan berkata, “Kami ini hanya bergurau senda dan bermain-main”. Katakanlah: “Apakah dengan Allah dan ayat-ayat-Nya dan (dengan) Rasul-Nya kamu hendak berolok-olok?” ( Ayat 65 : Surah at-Taubah ) Puak munafik menyebarkan ajaran yang menyalahi syariat Islam. Apabila syariat meletakkan peraturan amal makruf dan mencegah yang munkar, puak munafik akan menilai yang makruf sebagai keuntungan duniawi dan yang munkar pula sebagai kerugiannya. Mereka menganggap zakat dan sedekah sebagai bukan amal makruf kerana ia merugikan dari segi keduniaan. Laki-laki munafik dan perempuan munafik yang sebahagian mereka adalah dari yang sebahagian, mereka menyuruh yang munkar dan melarang dari yang makruf dan mereka genggamkan tangan mereka (bakhil). Mereka telah melupakan Allah dan Allah pun melupakan mereka. Sesungguhnya orang munafik itu adalah orang yang fasik (melewati batas). ( Ayat 67 : Surah at-Taubah )


331 Puak munafik pandai berdolak-dalih. Mereka berani menggunakan nama Allah bagi menutup kesesatan dan kekufuran mereka. Tuhan memerintahkan Nabi s.a.w agar berjihad memerangi orang munafik kerana mereka adalah orang yang kufur. Wahai Nabi! Berjihadlah terhadap kaum kafir dan munafik dan berlaku keraslah terhadap mereka. Tempat kembali mereka adalah jahanam dan itulah yang seburuk-buruk kesudahan. Mereka akan bersumpah dengan Nama Allah bahawa mereka tidak pernah berkata, padahal mereka pernah mengatakan kalimat kufur dan mereka telah kafir sesudah Islam dan mereka sangat mengingini apa yang tidak dapat mereka capai. Dan tidaklah kebencian mereka itu melainkan kerana Allah dan Rasul-Nya telah memperkayakan orang yang beriman dengan kurnia-Nya. Tetapi jika mereka bertaubat adalah baik bagi mereka dan jika mereka


332 berpaling, Allah akan azabkan mereka dengan satu azab yang pedih di dunia dan di akhirat; dan tidak ada bagi mereka pembantu di bumi dan tidak ada penolong. ( Ayat 73 – 74 : Surah at-Taubah ) Al-Quran memberi peringatan tentang ancaman puak munafik terhadap keselamatan dan kepercayaan orang yang beriman. Tuhan menamakan satu surah al-Quran dengan nama surah al-Munafiqun, bagi menyedarkan kaum Muslimin betapa bahayanya kehadiran puak munafik di dalam masyarakat kaum Muslimin. Tuhan menggesa Nabi Muhammad s.a.w dan kaum Muslimin semua zaman agar berwaspada terhadap tipu daya dan fitnah yang datang daripada puak munafik. Apabila orang munafik datang kepada kamu mereka akan berkata, “Kami mengakui bahawasanya kamu Rasul Allah,” padahal Allah mengetahui bahawasanya engkau pesuruh-Nya dan Allah menyaksikan bahawasanya kaum munafik itu adalah orang yang berdusta. Mereka jadikan sumpah-sumpah mereka sebagai perlindungan, lalu mereka halangi manusia dari jalan Allah. Sesungguhnya jelek apa yang telah mereka kerjakan. Yang demikian (adalah) lantaran beriman kemudian


333 mereka kufur, lalu dimetrai atas hati mereka; oleh itu mereka tidak dapat memahami. ( Ayat 1 – 3 : Surah al-Munafiquun ) Dan apabila engkau lihat mereka, menghairankan kamu tubuh-tubuh mereka; dan jika mereka berkata-kata, engkau dengarkan perkataan mereka. Mereka seolah-olah kayu yang disandarkan. Tiap-tiap teriakan mereka sangka buat membahayakan mereka. Mereka adalah musuh; maka hendaklah engkau awasi mereka. Allah laknati mereka! Ke manakah mereka dipalingkan? ( Ayat 4 : Surah al-Munafiquun ) Tuhan memperingatkan sungguh-sungguh kepada Nabi s.a.w dan kaum Muslimin sekaliannya pada semua zaman, supaya jangan membiarkan racun yang ditabur oleh golongan munafik memusnahkan umat. Sekali lagi Tuhan memberi peringatan! Wahai Nabi! Berjihadlah menentang kaum kafir dan munafik dan berlaku keraslah terhadap mereka dan tempat kembali mereka itu adalah jahanam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali. ( Ayat 9 : Surah at-Tahrim )


334 Tuhan memberi peringatan kepada kaum Muslimin, sekiranya kegiatan puak munafik yang mencampur adukkan kesesatan dan kekufuran ke dalam akidah Islam tidak dibendung, nescaya umat Islam akan menemui kehancuran. Setiap umat Islam mestilah berwaspada terhadap orang munafik yang berada di tengah-tengah mereka. Tanda munafik mudah dikenal melalui keengganan mereka berjuang pada jalan Allah s.w.t. Dan supaya dibuktikan-Nya pula keadaan orang-orang munafik. Dikatakan kepada mereka: “Marilah berperang pada jalan Allah atau pertahankanlah.” Mereka menjawab, “Kalau kami tahu berperang nescaya kami ikut kamu (berperang).” Mereka itu pada hari tersebut lebih hampir kepada kufur daripada kepada iman. Mereka berkata dengan mulut mereka apa yang tidak ada dalam hati mereka. Dan Allah lebih Mengetahui apa-apa yang mereka sembunyikan. (Adalah) mereka yang berkata kepada saudara-saudara mereka sambil mundur, “Kalau mereka ikut kami tentu mereka tidak terbunuh.” Katakanlah: “Kalau


335 begitu tolakkanlah kematian daripada kamu jika memang kamu orang yang benar.” ( Ayat 167 – 168 : Surah a-Li ‘Imraan ) Kemunafikan lebih ketara melalui amalan yang mereka lakukan sambil lewa sahaja, semata-mata sebagai pameran. Orang munafik menipu Allah dan Allah pun (balas) menipu mereka. Dan apabila mereka berdiri kepada sembahyang mereka berdiri dalam keadaan malas. Mereka menunjuk-nunjuk kepada manusia dan tidaklah mereka mengingati Allah kecuali sedikit. Keadaan mereka terumbang ambing di antara yang demikian itu, tidak kepada mereka itu, tidak kepada mereka ini; kerana barangsiapa disesatkan oleh Allah maka tidak akan engkau dapat satu jalan (keselamatan) baginya. ( Ayat 142 – 143 : Surah an-Nisaa’ ) Tuhan memberi amaran yang keras kepada orang munafik:


336 Sesungguhnya jika tidak berhenti juga orang munafik itu dan orang yang dalam hatinya ada penyakit dan pengacau-pengacau di Madinah, nescaya Kami akan kerahkan engkau terhadap mereka. Kemudian itu tidaklah mereka akan bertetangga lagi dengan engkau di situ kecuali bagi masa yang singkat. Mereka di dalam keadaan terkutuk di mana sahaja mereka dijumpai dan mereka akan dibunuh sampai semusnahmusnahnya. Sunah Allah yang telah berlaku pada orang-orang yang terdahulu. Dan sekali-kali tidak akan didapati bagi Sunnatullah itu satu pengganti. ( Ayat 60 –62 : Surah al-Ahzaab ) Al-Quran telah memberi gambaran yang jelas tentang orang munafik. Rasulullah s.a.w dan kaum Muslimin mengenali puak munafik yang ada di dalam masyarakat mereka. Mereka dapat menunjukkan dengan jelas bahawa Abdullah bin Ubai adalah pemimpin puak munafik. Keterangan yang telah diberikan oleh al-Quran memberi manfaat bagi kaum Muslimin dalam mengawasi pergerakan puak munafik agar perpaduan, keselamatan dan kesejahteraan kaum Muslimin dapat dipelihara. Umat Islam yang datang kemudian mestilah memerhatikan petunjuk daripada al-Quran bagi mengenali musuh-musuh mereka. Abdullah bin Ubai telah pun mati. Markas puak munafik, sebuah masjid yang dibina di Zu Awan, sudah pun dibakar oleh kaum Muslimin pada


337 zaman Rasulullah s.a.w. Tetapi kaum Muslimin perlu berwaspada kerana racun munafik masih berjalan hingga ke hari ini. Puak munafik terdiri daripada orang-orang yang sangat licik. Mereka hidup bersama-sama orang Islam, mengaku sebagai orang Islam dan melibatkan diri dalam kegiatan kaum Muslimin, malah mereka merasakan yang mereka lebih Islam daripada orang-orang Islam yang lain. Memang sukar untuk mengenali hati yang munafik, sedangkan mulutnya mengucapkan dua Kalimah Syahadah dan anggotanya melakukan ibadat bersama-sama kaum Muslimin yang lain. Orang munafik bergerak di dalam masyarakat orang Islam, sebagai orang Islam dan menggunakan ajaran Islam. Orang munafik melakukan apa yang sudah dibuat oleh kaum Yahudi dan Nasrani, iaitu mengubah maksud kitab Allah dan meminda syariat Islam. Mereka mengadakan tafsiran al-Quran menurut cara mereka sendiri. Puak munafik adalah ilmuan yang mengeluarkan alQuran tiruan dan Hadis palsu, terutamanya dalam soal yang bersangkutan dengan akidah dan kebatinan. Daripada puak yang demikianlah muncul istilah kebudayaan Islam yang ditampalkan kepada kegiatan maksiat yang berlawanan dengan syariat Tuhan. Lahir pula persatuan Islam pada nama tetapi bergiat memecah-belahkan perpaduan umat Islam. Ada pula istilah seni bina Islam diletakkan pada bangunan yang digunakan sebagai sarang perjudian dan pelacuran. Lebih buruk lagi timbul akidah syirik yang dikatakan sebagai akidah Islam yang sebenarnya. Racun yang dikeluarkan oleh Abdullah bin Ubai dan kawan-kawannya sudah meresap ke dalam darah daging umat Islam di seluruh dunia pada masa kini. Hanya bimbingan daripada Allah s.w.t dapat menyelamatkan umat Islam daripada fitnah puak munafik itu. Orang munafik tidak mempunyai kepercayaan dan pegangan yang jelas. Mereka sendiri tidak pasti apakah yang mereka pegang dan imankan. Mereka bergerak berlandaskan kepercayaan dan pegangan orang lain dengan mengadakan perubahan kepada yang asli, tetapi mereka tetap


338 menggunakan label yang asli, seperti lembu yang mati di tepi jalan diletakkan label halal. Orang munafik bergerak di dalam masyarakat orang Islam, bercakap pasal Islam, tetapi apa yang mereka bawa adalah perkara yang sudah diselewengkan. Orang yang berilmu dapat melihat penyelewengan tersebut tetapi orang jahil akan keliru kerana si munafik bercakap tentang Allah s.w.t dan agama Islam. Lebih-lebih lagi si munafik itu pandai menggunakan hujah keagamaan, terutamanya secara usul yang tidak ada kesudahan. Mereka suka menggunakan cara berteka teki yang sukar dimengerti. Lebih mengelirukan lagi apabila si munafik berhujah dengan menyandarkan kepada Hadis Nabi s.a.w, perkataan sahabat dan wali-wali yang mereka gubah sendiri, yang tidak diketahui oleh orang jahil. Si munafik boleh bersumpah bohong dengan menggunakan nama Allah bagi memerangkap orang yang jahil. Orang Islam yang jahil mudah terperangkap dengan ajaran sesat orang munafik. Kegiatan orang munafik menjadi lebih mudah setelah berlaku proses asimilasi agama-agama lain seperti Buddha, Hindu dan Keristian ke dalam agama Islam. Setiap kaum Muslimin yang insaf berkewajipan menyelak setiap hamparan dan membongkar setiap tutupan bagi mencari racun munafik yang bersembunyi di dalam kalangan umat Islam. Racun tersebut mestilah dikeluarkan. Inilah jihad kaum Muslimin zaman ini!


339 29: Kaum Sufi Di Zaman Rasulullah s.a.w Ahli suffah merupakan satu kumpulan sahabat Rasulullah s.a.w yang daripada mereka dikatakan bermulanya aliran sufi atau tasauf. Mereka dikenali sebagai golongan miskin yang menumpang tinggal di beranda masjid Rasulullah s.a.w di kota Madinah. Perbelanjaan mereka ditanggung oleh orang ramai. Mereka terdiri daripada golongan yang tidak memiliki apa-apa, lemah dan tiada kemahiran dalam urusan kehidupan harian. Walaupun keadaan ahli suffah yang demikian kaum Muslimin tidak menganggapkan mereka sebagai beban. Kaum Muslimin yang berkemampuan dengan ikhlas hati memberi bantuan kepada golongan yang lemah itu. Apabila perkembangan Islam telah pesat ternyata peranan ahli suffah sangat penting. Tindakan Rasulullah s.a.w menyediakan tempat di beranda masjid baginda s.a.w untuk satu puak yang menjadi ahli masjid merupakan satu tindakan yang sangat berhikmah. Ahli suffah yang juga ahli masjid Rasulullah s.a.w merupakan kumpulan yang paling hampir dengan baginda s.a.w. Mereka yang mula-mula mendengar pengajaran Rasulullah s.a.w. Mereka sentiasa hadir di dalam majlis baginda s.a.w. Mereka mempelajari al-Quran secara langsung daripada Rasulullah s.a.w. Peranan mereka adalah umpama kutubkhanah yang menyimpan segala macam pengajaran Nabi Muhammad s.a.w. Mereka hanya menceburi satu bidang sahaja dalam kehidupan ini, iaitulah bidang ilmu Rasulullah s.a.w. Dari kalangan mereka terdapat orang-orang yang sangat mendalam pengetahuan mereka tentang agama Islam. ‘Khazanah ilmu agama’ itulah yang memainkan peranan penting sebagai mubaligh yang menyampaikan ajaran Islam kepada kaum Muslimin yang tidak sempat hadir di dalam majlis Rasulullah s.a.w dan juga kepada mereka yang baharu memeluk agama Islam. Ahli suffah, ahli masjid Nabi s.a.w atau ahli sufi pada zaman


340 Rasulullah s.a.w merupakan golongan yang bekerja di dalam bidang ilmu sepanjang masa. Mereka merupakan gedung ilmu dan juga penyebar ilmu. Al-Quran memberikan perhatian istimewa kepada ahli suffah, ahli masjid Nabi s.a.w, ahli sufi atau ahli ilmu itu. Allah s.w.t memperakui kepentingan sumbangan mereka kepada perkembangan agama-Nya. Untuk orang-orang faqir yang telah terikat pada jalan Allah, yang tidak sanggup lagi berusaha pada bumi, disangka oleh orang-orang yang tidak tahu bahawa mereka adalah puak yang berada, dari sangat mereka menahan diri. Engkau dapat mengenal mereka daripada tanda mereka. Mereka tidak meminta-minta kepada manusia dengan memaksa-maksa. Maka apa pun harta yang kamu belanjakan sesungguhnya Allah amat Tahu. ( Ayat 273 : Surah al-Baqarah )


341 Dan tidaklah (patut) orang-orang yang beriman itu turut (ke medan perang) semuanya. Tetapi alangkah baiknya keluar dari tiap-tiap golongan itu, di antara mereka satu kelompok; supaya mereka memberi ancaman kepada kaum mereka apabila mereka kembali kepada kaum mereka, supaya mereka berhati-hati. ( Ayat 122 : Surah at-Taubah ) Ahli suffah atau ahli sufi pada zaman Rasulullah s.a.w merupakan orang yang tidak memiliki apa-apa dan tidak berkehendakkan apa-apa kecuali Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Mereka dikenali sebagai faqir yang terikat pada jalan Allah s.w.t. Jalan Allah s.w.t bukan semata-mata berperang mengangkat senjata. Memelihara al-Quran dan al-Hadis juga merupakan jihad yang besar. Perkembangan Islam yang pesat memerlukan tenaga yang khusus dalam bidang tersebut. Urusan memelihara ilmu agama sangat penting. Jika tenaga khusus itu disalurkan kepada bidang pekerjaan harian maka urusan pemeliharaan ilmu agama akan terjejas, sedangkan ianya sangatlah penting bagi perkembangan agama. Al-Quran menganjurkan agar sebahagian daripada umat Islam tidak keluar berperang. Jihad bagi golongan yang dibenarkan tidak keluar ke medan perang itu adalah memperdalamkan dan mengembangkan ilmu agama. Tuhan telah memberikan garisan pembahagian tugas dalam pembangunan masyarakat dan perkembangan agama. Berperang mengangkat senjata dan berjuang mengembangkan ilmu agama samasama mendapat penghargaan dari Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Manusia yang paling hampir dengan darjat Kenabian adalah ahli ilmu. Ahli ilmu menunjukkan kepada manusia apa yang dibawa oleh Rasul. Ahli jihad pula berjuang dengan pedang mereka membawa apa yang dibawa oleh Rasul”. Baginda s.a.w juga bersabda yang bermaksud: “Pada hari kiamat tinta ulama ditimbang dengan darah syuhada”. Ahli sufi pada zaman Rasulullah s.a.w merupakan orang-orang yang menyediakan diri mereka semata-mata untuk Allah s.w.t dan Rasul-Nya.


342 Mereka berfungsi sebagai penyimpan ilmu al-Quran dan Hadis dan juga segala jenis ilmu agama. Mereka memancarkan ilmu-ilmu tersebut ke seluruh pelusuk muka bumi. Inilah dasar yang perlu diperhatikan dalam memperkaitkan ahli suffah dengan ahli sufi yang datang kemudian. Jihad yang paling besar adalah jihad mengangkat senjata dan orang yang mati kerananya memperolehi syahid. Pekerjaan yang begitu besar dan mulia dikecualikan daripada ahli ilmu sepenuh masa, apa lagi pekerjaan yang berhubung dengan urusan mengisi perut. Pada zaman Rasulullah s.a.w, puak yang bekerja khusus dalam bidang ilmu agama itu ditanggung oleh pemerintah, iaitu Rasulullah s.a.w sendiri. Oleh kerana ahli ilmu itu tidak melibatkan diri dalam urusan mencari rezeki, maka mereka tidak dapat mengecapi kemewahan dan kesenangan. Mereka hidup di dalam kefaqiran. Mereka faqir pada pandangan dunia tetapi kaya dengan ilmu Tuhan dan Rasul-Nya. Lidah dan pena mereka adalah pedang jihad mereka. Ilmu yang mereka pelajari dan sebarkan itulah darah syahid mereka. Rasulullah s.a.w memperakui bahawa golongan demikian sebagai kumpulan yang paling hampir dengan darjat kenabian. Ilmu mereka adalah percikan ilmu nabi-nabi. Rohani mereka adalah cermin jernih yang menerima pancaran cahaya kenabian. Golongan seperti ini akan dihantarkan Tuhan dari masa ke masa pada setiap zaman. Tugas mereka adalah memperbaiki kerosakan yang berlaku pada ilmu agama, terutamanya dalam perkara akidah. Kerajaan Islam yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w bermula di Madinah. Semakin besar kerajaan Islam semakin besar dan berat tugas yang dipikul oleh Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w dibantu oleh empat orang ‘Menteri Kanan’. Mereka adalah Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali. Siapa pula ‘kakitangan kerajaan’ yang membantu Rasulullah s.a.w dan ‘Menteri-menteri’ baginda s.a.w? Mereka adalah ahli suffah yang bekerja sepenuh masa untuk Rasulullah s.a.w. Kebanyakan daripada masa baginda s.a.w dihabiskan di dalam masjid. Pengajaran, perancangan,


343 strategi, polisi, wawasan dan lain-lain keluar daripada Rasulullah s.a.w dan disebarkan oleh ahli suffah. Mereka menyampaikan berita yang Rasulullah s.a.w mahu sampaikan kepada kaum Muslimin. Ahli suffah yang bergerak mempastikan latihan ketenteraan berjalan dengan teratur sebagai persiapan mempertahankan agama dan negara Islam. Ahli suffah yang mengatur pembuatan senjata-senjata perang seperti baju besi dan pedang. Ahli suffah juga menggerakkan kaum Muslimin mempersiapkan unta dan kuda mereka supaya apabila diperlukan semuanya berada dalam keadaan siap sedia. kehadiran ahli suffah, ahli masjid Nabi s.a.w atau ahli sufi itulah yang memudahkan Rasulullah s.a.w mentadbir negara Islam dari dalam masjid baginda s.a.w. Ketika bilangan tentera Islam masih sedikit, ahli suffah ikut serta berperang. Jadi, ahli suffah adalah satu kumpulan yang sangat aktif bekerja untuk Allah s.w.t dan Rasul-Nya tanpa gaji. Apa yang Rasulullah s.a.w berikan itulah bahagian mereka bagi menyara kehidupan mereka. Mereka reda dengan yang demikian. Mereka lebih suka nama mereka tidak dikenali kerana mereka tidak mencari nama dan kebesaran. Apa yang mereka cari hanyalah keredaan Allah s.w.t dan Rasul-Nya.


344 30: Tarekat Kehidupan Harian Setiap orang yang hidup dalam dunia ini membina kehidupan masingmasing berdasarkan dorongan naluri semulajadi seperti keinginan berkeluarga, mencari rezeki, memiliki tempat tinggal dan sebagainya yang mensejahterakan kehidupan di dalam alam ini. Hasilnya seseorang itu berjaya memiliki sesuatu seperti pekerjaan yang baik, tempat tinggal yang selesa dan kemudahan asas yang lain yang diperlukan. Masing-masing juga sudah berkeluarga, hidup bahagia bersama isteri dan anak-anak. Bukan mudah mahu membina kehidupan yang selesa dan bahagia itu. Seseorang itu perlu melalui kesusahan dan pengorbanan bagi memperolehinya. Adakah jika seseorang itu mahu memasuki bidang kerohanian dia mesti meninggalkan atau membuang apa sahaja yang telah dimilikinya itu? Patutkah dia meninggalkan pekerjaan, rumah tangga, isteri, anak-anak dan masyarakat lalu lari ke hutan dan gua? Orang yang cenderung kepada aliran tarekat tasauf gemar menjadikan kehidupan wali-wali yang dibaca daripada buku-buku sebagai contoh tauladan. Aspek kewalian yang paling menarik perhatian adalah kekeramatan. Kekeramatan dianggap sebagai bukti ketinggian makam seseorang wali itu. Kebolehan wali mengeluarkan kekeramatan dikaitkan dengan sifat zuhud dan bertawakal penuh yang dimiliki oleh wali tersebut. Orang yang berminat kepada tarekat tasauf itu mengandaikan jika mahu memperolehi pangkat kewalian dan boleh mengeluarkan kekeramatan, perlulah dia memilih hidup bertajrid sepenuhnya dengan meninggalkan ikhtiar dan dia perlu bertawakal sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Sikap melulu bertajrid membuat seseorang meninggalkan pekerjaan, isteri, anak-anak, masyarakat dan dunia seluruhnya. Dia lari ke hutan, ke puncak gunung dan ke gua-gua. Dia mengasingkan dirinya daripada segala-galanya yang dia anggap boleh menghalang perkembangan


345 kerohaniannya. Ketika di dalam pengasingan itu dia meniru cara hidup wali-wali. Dia memaksa dirinya supaya menjadi kuat beribadat dan berzikir. Tidak memperdulikan keselamatan dirinya dan tidak mengambil tahu apa yang berlaku di sekelilingnya. Biasanya orang yang bertajrid secara melulu ini tidak dapat bertahan lama. Kesabarannya tidak cukup kuat untuk menanggung kesusahan yang mendatanginya semasa dalam pengasingan. Kerinduan kepada anak-anak selalu mengganggu jiwanya. Kecemburuan terhadap isteri yang jauh di mata merisaukan fikirannya. Harta yang banyak ditinggalkan mungkin sudah direbut oleh orang lain. Dia pula tidak dapat makan dengan mencukupi, tidurnya juga tidak selesa. Tubuhnya menjadi lemah dan semangatnya juga lemah. Akhirnya dia tidak tahan lagi menanggung penderitaan dan kegelisahan. Dia lari daripada alam pengasingan dan kembali kepada kehidupannya yang lama. Setelah kembali dia melihat kerugian yang sudah dialaminya selama dia lari ke hutan. Kerugian perlu dituntut ganti. Kali ini dia menggunakan apa juga cara untuk menebus semula masa dan peluang yang telah terlepas daripadanya. Kelakuannya menjadi lebih buruk daripada sebelum dia lari ke dalam alam pengasingan dahulu. Bertajrid secara melulu memberi kesan yang tidak baik kepada orang yang mencintai jalan kerohanian. Tidak mungkin seseorang yang baharu mahu memulakan latihan tarekat kerohanian beramal seperti wali-wali yang sudah berpuluh-puluh tahun melatihkan diri. Tindakan mencampakkan segala-galanya yang dimilikinya secara tergesa-gesa membuatkan dia berhadapan dengan cabaran dan dugaan yang menggoncangkan imannya dan boleh menyebabkan dia berputus asa. Dia tidak seharusnya meniru secara melulu kehidupan wali-wali yang sudah mencapai makam keteguhan. Seseorang perlu melihat kepada dirinya sendiri; mengenalpasti kedudukannya, kemampuannya dan daya tahannya.


346 Ketika masih di dalam makam asbab dia perlu bertindak sesuai dengan hukum sebab akibat. Dia harus bekerja untuk mendapatkan rezekinya. Dia juga perlu mengadakan sebab bagi mensejahterakan kehidupannya. Sebagai persediaan memasuki bidang kerohanian dia terlebih dahulu perlu bergerak di atas landasan sebab musabab yang boleh memperkuatkan daya tahan dan kesabarannya. Dia masih lagi terikat dengan sifat-sifat kemanusiaan. Dia masih melihat tindakan makhluk mempunyai kesan dan pengaruh. Oleh yang demikian adalah wajar jika dia juga mengadakan tindakan menurut hukum sebab musabab dengan menggunakan bakat kemanusiaannya demi mengatur perancangan dengan rapi agar apa yang dia hajati boleh tercapai. Jika niatnya benar dan baik, perjalanan sebab musabab akan membantunya menuju ke arah yang dihajatinya. Tanda seseorang itu diletakkan di dalam sempadan asbab sebagai kenderaannya menuju matlamat, adalah urusan dan tindakannya menurut peraturan sebab musabab tidak menyebabkannya mengabaikan kewajipannya terhadap tuntutan agama. Dia tetap berasa mudah untuk berbakti kepada Allah s.w.t, tidak menggunakan cara yang diharamkan oleh Allah s.w.t, tidak gelojoh dengan nikmat dunia dan tidak dengkikan nikmat yang Allah s.w.t kurniakan kepada orang lain. Apabila ahli asbab berjalan menurut hukum sebab musabab yang tidak menyalahi syarak, jiwanya akan berkembang dengan baik dan teratur, tanpa menghadapi kegoncangan yang dia tidak berdaya menanggungnya. Rohaninya akan menjadi kuat sedikit demi sedikit dan menolaknya ke dalam suasana tajrid secara teratur dan selamat. Akhirnya dia mampu bertajrid sepenuhnya. Dalam kehidupan harian ada juga orang yang dipaksa oleh takdir supaya terjun ke dalam lautan tajrid. Orang ini asalnya tergolong di dalam kumpulan ahli asbab yang hidup menurut hukum sebab musabab seperti orang ramai. Kehidupan dalam daerahasbab itu tidak menambahkan kemantapan rohaninya. Dia memerlukan perubahan bidang kehidupan baharulah rohaninya boleh berkembang maju. Bagi tujuan menambahkan


347 kekuatan kerohaniannya takdir memisahkannya daripada apa sahaja yang menghalangnya daripada berjalan kepada Tuhan. Pada peringkat permulaan menerima kedatangan takdir yang demikian, sebagai seorang yang masih terikat dengan hukum sebab akibat, dia akan berusaha sedaya upayanya untuk menahan takdir yang tidak diingininya itu. Bila dia tidak berdaya menolong dirinya sendiri dia akan meminta pertolongan dengan orang lain yang mempunyai kuasa. Kuasa yang ada dengan manusia tidak mampu juga menolongnya menyekat kemaraan takdir yang mendatanginya itu. Dia boleh mengadakan sebab tetapi akibat yang diharapkan tidak berlaku. Dia menghadapi keadaan di mana hukum sebab akibat tidak berdaya menembusi benteng takdir. Setelah puas berusaha dan meminta pertolongan orang lain, dia tidak ada pilihan lagi kecuali lari kepada Tuhan. Dia merayu sambil menangis, memohon Tuhan menolongnya, melepaskannya daripada takdir yang menimpanya itu. Walau bagaimana sekalipun dia merayu namun tangan takdir yang mencengkamnya tidak juga terlepas. Akhirnya dia tidak berkuasa melawan lagi. Dia mengaku kalah dan tunduk kepada perjalanan takdir yang menguasainya. Redalah dia dengan apa juga takdir yang menimpanya. Dia tidak lagi merayu kepada Tuhan, sebaliknya dia menyerah bulat-bulat kepada-Nya. Tidak ada lagi ikhtiar, pilihan dan kehendak diri sendiri. Jadilah dia seorang hamba Allah s.w.t yang bertajrid sepenuhnya. Bila seseorang hamba benar-benar bertajrid maka Allah s.w.t akan menguruskan kehidupannya. Beberapa banyak binatang yang melata yang tidak sanggup membawa rezekinya. Allah yang menjamin rezekinya, juga terhadap kamu. Dia


348 Maha Mendengar Maha Mengetahui. ( Ayat 60 : Surah al-‘Ankabut ) Makhluk Tuhan seperti burung, ikan, ulat, semut, kuman dan berbagaibagai lagi tidak memiliki kebun dan kilang makanan. Mereka adalah ahli tajrid yang dijamin rezeki mereka oleh Tuhan. Manusia tajrid juga dijamin rezekinya oleh Tuhan. Bukan sekadar rezeki yang dijamin oleh Tuhan, malah segala aspek kehidupannya diuruskan oleh Tuhan. Tuhan mencabut kehendak dirinya yang lama dan digantikan-Nya dengan kehendak yang lain yang sesuai dengan kehendak-Nya. Tuhan memeliharanya daripada melakukan apa yang Dia murkai. Apa sahaja yang Dia mahu hantarkan kepada hamba-Nya yang bertajrid, ditapis-Nya agar ia tidak merosakkan iman dan iktikadnya. Dia memelihara hambaNya yang demikian daripada gangguan manusia lain yang tidak mengerti. Dia yang membela hamba-Nya yang demikian yang teraniaya. Penjagaan Tuhan terhadap hamba-Nya yang bertajrid melebihi penjagaan seorang ibu terhadap anaknya yang masih bayi. Allah s.w.t menghalang tangan manusia yang kotor dan aniaya daripada sampai kepada hamba-Nya yang menyerahkan urusan kepada-Nya. Tanda Allah s.w.t meletakkan seseorang hamba-Nya itu dalam daerah tajrid adalah Dia memudahkan baginya rezeki dan penyelesaian masalahnya dengan cara yang tidak disangkanya. Jiwanya dijaga agar sentiasa tenteram walaupun berlaku kekurangan rezeki atau dia ditimpa oleh kesusahan. Allah s.w.t membela hamba-Nya yang bertajrid secara langsung atau dihantarkan-Nya makhluk-Nya untuk membantu hambaNya itu. Orang yang berperang dengan hamba Allah s.w.t yang bertajrid sebenarnya berperang dengan Allah s.w.t kerana hamba tersebut telah menyerahkan segala urusannya kepada Tuhannya dan Tuhan menghantarkan tentera-Nya yang tidak kelihatan bagi melindungi hambaNya yang bertajrid itu.


349 Seseorang hamba perlulah menerima dengan rela kedudukan yang Tuhan kurniakan kepadanya. Berserahlah kepada Allah s.w.t Yang Maha Mengerti dan Maha Mentadbir. Apa yang penting dilakukan bukanlah mengubah dengan serta merta bentuk kehidupan yang sedang dimiliki. Tumpuan awal hendaklah ditujukan kepada mengubah suasana hati walaupun suasana kehidupan belum berubah. Ketika masih dalam daerahasbab tidaklah wajar jika seseorang mencampakkan segala-galanya. Mulailah dengan kehidupan yang sedia ada tetapi dengan suasana hati yang berbeza. Hati hendaklah dipaksakan supaya sentiasa mengingati Allah s.w.t, ada hubungan dengan-Nya. Segala sesuatu dan segala perkara hendaklah dilihat sebagai ada pertalian dengan urusan dan pentadbiran Tuhan. Tidak ada sesuatu yang bebas bergerak sendiri tanpa tadbir Ilahi. Beriman kepada Qadak dan Qadar memainkan peranan yang penting dalam tarekat kehidupan harian. Qadak dan Qadar adalah urusan Tuhan. Apa sahaja yang dinisbahkan sebagai urusan Tuhan walaupun boleh dijelaskan melalui bakat dan nilai yang ada dengan manusia tetapi maksud yang sebenar melampaui penjelasan tersebut. Beriman kepada Qadak dan Qadar mengandungi penyerahan tanpa takwil terhadap apa yang tidak mampu dihuraikan secara terperinci melalui kekuatan akal, logik dan dalil. Walau bagaimana pun bolehlah dikatakan Qadak dan Qadar adalah suasana Ilmu Tuhan mengenai segala perkara yang Dia berkehendak menciptakan. Suasana dalam Ilmu Tuhan adalah awalnya itulah akhirnya dan zahirnya itulah batinnya, tidak ada perpisahan. Penciptaan manusia pertama dengan penciptaan manusia terakhir tidak ada jarak masa, ruang dan zaman dalam Ilmu Tuhan, tetapi perkara tersebut ada pada penciptaan yang nyata atau makhluk. Oleh sebab itu Tuhan mengetahui hal-ehwal manusia pertama dan terakhir sekaligus. Tuhan mengetahui yang azali dan yang abadi sekaligus. Tidak ada sesuatu yang melindungi sesuatu yang lain pada pengetahuan Tuhan. Tuhan mengetahui roh seseorang dan pada masa yang sama juga Dia mengetahui jasadnya. Tidak akan berlaku keadaan Tuhan tersalah meletakkan roh


350 kepada jasad yang bukan untuknya. Roh adalah urusan Tuhan. Segala maklumat yang berhubung dengan penciptaan sesuatu makhluk itu telah disimpankan pada roh urusan-Nya itu. Roh urusan-Nya akan bergerak menurut ketentuan yang Tuhan letakkan padanya dan ia mengheret yang di bawah jagaannya menurut ketentuan yang sama. Dengan cara yang demikian apa yang Tuhan telah tentukan pada Ilmu-Nya berlaku dalam alam makhluk. Qadak dan Qadar memperkenalkan Kudrat, Iradat dan Ilmu Tuhan yang menguruskan segala perkara mengenai makhluk seperti penciptaan, keutuhan sebagai ciptaan yang mampu mengeluarkan kesan dan ciptaan itu menjadi asas kepada kewujudan di dunia dan di akhirat. Medan takdir menjadi cermin yang padanya manusia dapat melihat sesuatu mengenai Tuhan dan melaluinya manusia mengenal Tuhan. Beriman kepada Qadak dan Qadar mempereratkan hubungan hamba dengan Hadrat Tuhan yang “Dia beserta kamu walau di mana kamu berada”; “ Ke mana kamu hadapkan muka kamu di sana ada Wajah Tuhan (perihal tentang Tuhan”; “Tidak ada daya dan upaya melainkan beserta Allah”. Tanpa iman kepada Qadak dan Qadar tidak boleh wujud hubungan yang erat di antara hati hamba dengan Tuhan. Beriman kepada Qadak dan Qadar juga membuatkan manusia mengakui keberkesanan bakat-bakat yang Tuhan kurniakan kepadanya menyertai penciptaannya. Pengakuan tersebut membuat manusia menghargai bakatbakat kurniaan Tuhan itu dan menggunakannya menurut peraturan Tuhan demi mencari keredaan-Nya. Beriman kepada Qadak dan Qadar cara begini membuat manusia melihat bakat-bakat dirinya sebagai alat yang Tuhan amanahkan kepadanya untuk dijaga dan digunakan sebaik mungkin. Alat-alat tersebut akan diserahkan kembali kepada Tuhan, Pemilik sebenar yang akan memerikasanya. Dalam perjalanan takdir seseorang manusia, muncul kehendak diri kepada sesuatu. Bakat-bakat diri digerakkan bagi mendapatkan apa yang


Click to View FlipBook Version