201 Tuhan mengajar manusia melalui nilai-nilai yang ada pada diri manusia sendiri. Manusia wujud, hidup, mendengar, melihat, berkata-kata, berkehendak dan berpengetahuan. Melalui nilai-nilai tersebut Tuhan mengatakan Dia Wujud, Hidup, Mendengar, Melihat, Berkata-kata, Berkehendak dan Berilmu. Oleh kerana manusia memiliki unsur seni yang diistilahkan sebagai roh, maka Allah s.w.t menggunakan istilah roh juga agar mudah manusia memahami tentang roh urusan Tuhan. Tetapi manusia jangan lupa apa yang dinisbahkan kepada Tuhan melampaui segala sesuatu, melampaui bahasa dan pengetahuan, melampaui penyifatan dan ibarat dan tidak ada sesuatu yang serupa dengan apa yang dinisbahkan kepada-Nya. Tuhan bukakan ilmu mengenai ini sedikit sahaja, hanya sekadar mencukupi untuk membuat manusia beriman mengenainya. Roh manusia yang ada perkaitan dengan tiupan Roh Allah s.w.t adalah sesuatu yang sangat unik dan istimewa. Adam a.s yang diciptakan daripada tanah berkeadaan seperti mayat sehinggalah beliau a.s menerima tiupan Roh Allah s.w.t. Kesan daripada tiupan Roh Allah s.w.t dinamakan Roh Insan yang padanya terkumpul segala bakat-bakat yang diperlukan oleh manusia, seperti bakat-bakat mendengar, melihat dan lain-lain. Tiupan Roh Allah s.w.t menjadikan manusia hidup dan mempunyai daya dan upaya. Tiupan Roh Allah s.w.t juga melahirkan nafsu dan akal yang berguna bagi mengarahkan perjalanan kehidupan dan penggunaan bakat-bakat yang ada dengan manusia. Apabila keupayaan untuk hidup, bakat-bakat, nafsu dan akal berkumpul dan bersatu dengan jasad jadilah ia seorang manusia yang cukup sifat dan sempurna kejadiannya. Ia menjadi makhluk yang berjasad dan berhati nurani atau dikatakan juga manusia yang memiliki aspek zahir dan aspek batin. Aspek zahir manusia umpama mayat dan aspek batinnya umpama malaikat. Ketika Adam a.s berada di dalam syurga aspek zahirnya tidak menyerlah, kurang pengaruhnya. Pada tahap itu kedudukan Adam a.s sama dengan malaikat. Setelah Adam a.s dihantar ke dunia aspek zahirnya berada di dalam suasana yang sesuai dengannya. Aspek zahir menjadi kuat dan cuba mempengaruhi aspek batin agar tunduk kepada keinginannya. Manusia
202 pada aspek mayat tidak lagi menumpang aspek malaikat, malah ia cuba menggunakan aspek malaikat untuk memenuhi kepentingan dan keperluannya. Mungkin juga kerana ia menyedari yang ia akan kembali menjadi mayat, sedangkan aspek malaikat akan terus hidup, maka apa sahaja yang dia ingini mesti diperolehi sekarang, jangan bertangguhtangguh lagi. Bakat-bakat manusia seperti mendengar dan melihat dimiliki oleh keduadua aspek manusia iaitu zahir dan batin. Oleh kerana pengaruh zahir lebih kuat maka bakat aspek batin tidak mampu digunakan oleh manusia. Hijab zahiriah terlalu kuat sehingga manusia tidak mampu menyaksikan perkara-perkara ghaib, apa lagi hal-hal ketuhanan. Manusia seperti ini tidak dapat merasakan kehadiran Tuhan. Apabila terhijab daripada kehadiran Tuhan, amal ibadat yang dilakukan tidak memberi kesan dan tidak mampu melindungi manusia daripada terjerumus ke dalam kejahatan. Manusia dapat mengalami suasana Hadrat Tuhan (kehadiran Tuhan) apabila bakat-bakat rohnya berfungsi. Roh manusia sangat istimewa. Roh yang Tuhan kurniakan kepada manusia menyebabkan manusia boleh mengenal Tuhan apabila Tuhan mengajar mereka mengenali-Nya melalui bakat-bakat dan nilai-nilai yang ada dengan mereka sendiri. Keajaiban yang dimiliki oleh roh menyebabkan ada manusia yang salah mengerti tentang roh mereka. Mereka beranggapan roh itulah Tuhan, penjelmaan Tuhan atau Tuhan adalah batin (nyawa) kepada roh. Diri, roh dan Tuhan dikatakan yang sama. Fahaman ini adalah sesat dan kufur. Tuhan mengajar manusia mengenali-Nya melalui nilai-nilai yang ada dengan manusia bukan untuk menyesatkan manusia dengan akal dan khayalan mereka. Manusia mempunyai sifat melihat. Tuhan mengatakan Dia Melihat. Penglihatan manusia dan juga penglihatan roh bukanlah Penglihatan Tuhan. Ke dua-duanya tidak sama dan tidak serupa. Penglihatan manusia dan juga penglihatan roh adalah ciptaan Tuhan. Tuhan boleh menciptakan penglihatan untuk manusia dan roh kerana Dia
203 memiliki Penglihatan. Oleh kerana Dia yang memiliki Penglihatan maka Dia tahu bagaimana mahu menciptakan penglihatan. Tuhan berpengetahuan dalam menciptakan penglihatan untuk makhluk-Nya. Jika Tuhan tidak memiliki Penglihatan maka Tuhan menciptakan penglihatan makhluk dalam kejahilan. Keadaan ini adalah mustahil bagi Tuhan. Tuhan Maha Tahu tentang apa yang diciptakan-Nya kerana setiap nilai dan bakat yang diciptakan-Nya dimiliki-Nya sendiri secara Mutlak. Nilai Mutlak yang dimiliki oleh Tuhan menyebabkan Dia boleh mengadakan nilai-nilai tersebut yang tidak Mutlak. Oleh kerana itu tiada hujah bagi manusia mengatakan Tuhan tidak melihat perbuatan mereka kerana Tuhan memiliki Penglihatan Mutlak. Penglihatan Mutlak menyaksikan apa sahaja yang dipandang oleh penglihatan yang tidak Mutlak. Tidak mungkin penglihatan yang tidak Mutlak memandang tanpa penyaksian Penglihatan Mutlak. Tuhan juga memiliki Roh Mutlak, lantaran itu Dia boleh mengadakan roh yang tidak Mutlak untuk manusia. Pendengaran, Penglihatan dan lain-lain adalah bakat Roh Mutlak. Roh tidak Mutlak juga memiliki bakat-bakat mendengar, melihat dan lain-lain. Keadaan yang demikian menyebabkan orang sufi sering mengatakan insan diciptakan dengan bayangan arRahman. Ungkapan yang demikian melahirkan kefahaman yang insan adalah bayangan Tuhan. Sebenarnya bakat manusia tidak boleh dihubungkan dengan bakat Tuhan seperti menghubungkan bayang dengan yang empunya bayang. Wujud manusia dan sifat manusia tidak bertembung dengan Wujud Tuhan dan sifat Tuhan. Roh manusia bukanlah Roh Tuhan. Roh menggambarkan bakat-bakat yang banyak berkumpul dalam kesatuan. Bakat-bakat mendengar, melihat, berkatakata, berkehendak, berkuasa, berpengetahuan dan hidup adalah bakat yang satu iaitu roh. Apabila disebut roh ia meliputi semua bakat dan nilai. Apabila Bakat-bakat yang demikian dilihat pada suasana ketuhanan, maka suasana tersebut dinamakan Kudrat. Istilah Roh Tuhan adalah satu bentuk pengajaran Tuhan kepada manusia melalui nilai yang ada dengan manusia sendiri, supaya mudah manusia memperolehi kefahaman. Orang yang menyamakan rohnya dengan Roh Tuhan dan menyamakan dirinya
204 dengan Tuhan wajiblah bertaubat sebelum nyawa sampai di halkum. Yakinlah hamba tetap hamba dan Tuhan tetap Tuhan, tidak ada kamil berkamil, satu bersatu, sama menyama. Bertaubatlah daripada iktikad yang salah! Suasana Hadrat yang di alami oleh hati nurani dikenali sebagai hakikat atau hal ketuhanan. Hakikat dialami dalam dua keadaan. Dalam keadaan yang pertama orang yang mengalaminya tidak sedarkan kewujudan dirinya dan dalam keadaan yang ke dua pula pengalaman hakikat tidak mencabut kesedaran dan kehambaannya. Misalnya, dalam satu pengalaman hakikat, orang yang hilang kesedaran mengucapkan: “Ana alhaq! (Akulah Tuhan)”, tetapi orang yang menetap dalam kesedaran dan kehambaan yang mengalami hakikat yang sama mengucapkan: “Hua alHaq! (Dia jualah Tuhan)”. Jenis pertama merasakan dia menjadi Tuhan. Jenis ke dua mengenali apa yang dimaksudkan sebagai Tuhan. Yang pertama hilang kesedaran diri lalu mengaku menjadi Tuhan. Yang ke dua pula mengenali Tuhan sebagai Tuhan dan hamba sebagai hamba. Jenis pertama dikurung oleh bayang dan mendapati sukar untuk melepasi peringkat itu. Jenis ke dua menetap di atas kenyataan yang benar dan lebih mudah untuk sampai kepada Kebenaran Hakiki. Allah s.w.t mempunyai satu Hadrat bernama ar-Rahman. Orang yang hilang kesedaran masuk kepada bayangan ar-Rahman lalu merasakan dirinya adalah ar-Rahman. Dia merasakan dirinya sangat pemurah, mahu mengabulkan apa sahaja yang orang minta. Tetapi ‘ar-Rahman’-nya hanyalah bayangan. Oleh itu apa yang boleh diberinya juga adalah bayangan iaitu pengharapan dan angan-angan. Orang yang menemui Hadrat ar-Rahman dalam kesedaran mengalami hal yang berbeza. Dia tidak diganggu oleh bayangan. Dia mengalami suasana kesucian yang Maha Suci, kebesaran yang Maha Besar, keagungan yang Maha Agung. Pada ketika itu dia merasakan setiap zarah kewujudannya sama seperti debu tepung. Apabila berhadapan dengan Tuhan ar-Rahman dia merasakan setiap zarah kewujudannya relai seumpama debu tepung ditiup angin kencang. Bila dia keluar daripada pengalaman tersebut dia
205 mendapat pengertian tentang keagungan Tuhan ar-Rahman. Dia mengerti keadaan hancurnya Gunung Thursina tatkala Tuhan hadapkan keagungan-Nya ke sana. Dia mengerti maksud perkataan Jibrail a.s: “Jika aku melangkah satu langkah lagi cahaya keagungan Allah s.w.t akan membakar daku”. Dia mengerti maksud perkataan Rasulullah s.a.w: “Cahaya di mana-mana, bagaimana aku boleh melihat-Nya”. Orang yang menetap dalam kehambaan mengalami hakikat dan memperolehi makrifat melalui pengalaman, bukan sekadar melalui ilmu. Ketika merasakan zarah kewujudannya tertanggal satu-satu dia mengenal Tuhan yang boleh dikenal. Setelah zarah-zarah kewujudannya ‘diterbangkan angin kencang’ dan ‘hilang’, dia mengenali Tuhan yang melampaui segala pengenalan. Lalu dia mendapat pengertian bahawa yang benar-benar kenal Tuhan adalah Tuhan sendiri. Hanya Dia yang mengenali Diri-Nya. Kami mengenali-Nya melalui-Nya, sekadar yang Dia izinkan kami mengenali-Nya. Pengalaman hakikat cara demikian menggabungkan tahu dengan tidak tahu, faham dengan tidak faham dan kenal dengan tidak kenal. Perkara yang sering menimbulkan kekeliruan orang ramai adalah persoalan Qadak dan Qadar. Qadak dan Qadar berhubung dengan Ilmu Tuhan atau suasana Pentadbiran Tuhan. Ada orang yang Tuhan izinkan ‘masuk’ ke dalam suasana Ilmu-Nya. Apa yang ditemui pada Hadrat Ilmu Tuhan adalah hakikat-hakikat yang menguasai perjalanan alam. Hakikat atau urusan Tuhan yang berhubung dengan manusia dinamakan Hakikat Insan. Urusan Tuhan yang berhubung dengan alam dinamakan Hakikat Alam. Urusan yang mencakupi segala perkara dinamakan hakikat kepada hakikat-hakikat atau hakikat yang menyeluruh. Pengalaman hakikathakikat pada Hadrat Ilmu Tuhan membawa seseorang kepada jalan yang menggabungkan dua jalan iaitu jalan nabi dan jalan asma’. Jalan nabi adalah syariat iaitu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Tuhan dan mengabdikan diri kepada-Nya.
206 Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu. ( Ayat 56 : Surah adz-Dzaariyaat ) Jalan asma’ adalah menyaksikan Rububiah (ketuhanan) pada setiap masa dan dalam semua suasana. Sesungguhnya aku bertawakal kepada Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu. Tidak ada satu pun yang melata melainkan Dia jualah yang memegang ubun-ubunnya. Sesungguhnya Tuhanku adalah di atas jalan yang lurus. ( Ayat 56 : Surah Hud ) Bukan kamu yang membunuh mereka tetapi Allah jualah yang membunuh mereka. Dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar tetapi Allah jualah yang melempar. ( Ayat 17 : Surah alAnfaal ) Jalan syariat memperbaiki amal dan jalan asma’ atau jalan hakikat adalah menyaksikan Hadrat Ilahi dalam segala perkara dan pada semua suasana. Bila dua jalan berpadu lahirlah amal zahir dan amal batin yang sesuai dengan peraturan dan kehendak Allah s.w.t, mengambil Qadak dan Qadar melalui nilai-nilai yang ada dengan manusia, berusaha dan beramal, dan pada masa yang sama beriman dan bertawakal kepada Tuhan yang memegang perjalanan segala urusan. Tidak ada sesuatu yang bebas daripada hakikat ketuhanan yang menguasainy
207 18: KAMI DATANG DARI ALLAH, KEPADA ALLAH KAMI KEMBALI Apabila Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan kepadanya daripada Roh-Ku …… ( Ayat 72 : Surah Saad ) Roh diumpamakan sebagai tubuh. Keupayaan yang menghidupkan roh dipanggil nyawa. Apabila ia hidup ia mempunyai keupayaan untuk melahirkan berbagai-bagai bakat. Keupayaan yang melahirkan kehendak dinamakan nafsu. Keupayaan untuk melahirkan pengetahuan dinamakan akal. Roh yang satu boleh dilihat melalui empat aspek. Aspek roh yang melahirkan bakat-bakat seperti mendengar, melihat dan lain-lain dinamakan roh juga. Aspek roh yang melahirkan kehendak dinamakan nafsu. Aspek roh yang melahirkan pengetahuan dinamakan akal. Aspek roh yang melahirkan kehidupan dinamakan nyawa. Tuhan mengajar manusia mengenali-Nya melalui sifat atau nilai yang ada dengan manusia sendiri walaupun sifat manusia bukan sifat Tuhan. Dalam persoalan roh, aspek roh yang menghasilkan bakat-bakat dikaitkan dengan sifat Kudrat. Nafsu pula dikaitkan dengan sifat Iradat. Akal dikaitkan dengan sifat Ilmu. Nyawa dikaitkan dengan sifat Hayat. Kudrat Allah s.w.t yang memberikan keupayaan kepada roh. Roh berperanan membekalkan bakat-bakat, keupayaan serta tenaga. Kebolehan mendengar, melihat, berkata-kata, bergerak dan lain-lain adalah merupakan pekerjaan roh. Roh mempastikan setiap bakat itu pergi kepada alat atau pancaindera yang sesuai dengannya. Roh menghantarkan bakat melihat kepada mata, mendengar kepada telinga, berkata-kata
208 kepada lidah dan bakat-bakat lain dihantar kepada pancaindera yang sesuai untuk masing-masingnya. Roh dikaitkan dengan urusan Allah s.w.t. Sebab itu pekerjaan roh adalah tepat dan sempurna. Roh tidak membuat silap, seperti meletakkan bakat melihat kepada kaki atau bakat mendengar kepada lutut. Dalam syariat roh diistilahkan sebagai malaikat. Malaikat yang menjaga matahari, bulan, bintang dan planet-planet lainnya akan mengheret masing-masing itu pada falak yang telah ditentukan oleh Tuhan dan maklumatnya telah dibekalkan kepada malaikat atau roh masing-masing. Malaikat menjalankan perintah Tuhan dengan tepat, tanpa kegoncangan yang datang daripada nafsu dan akal. Roh atau malaikat secara semulajadinya mempunyai sifat hanya mentaati perintah Allah s.w.t tanpa berfikir atau memilih. Malaikat angin yang diperintahkan Allah s.w.t supaya membinasakan sesebuah negeri akan berbuat demikian tanpa kasihan belas walaupun anak dipisahkan daripada ibu bapa, isteri dipisahkan daripada suami dan banyak nyawa terkorban serta harta benda yang rosak. Malaikat atau roh yang menghantar bakat melihat kepada mata akan terus berbuat demikian walaupun mata itu digunakan untuk melihat sesuatu yang dimurkai Allah s.w.t, melainkan jika Allah s.w.t memerintahkannya memberhentikan penghantaran bakat tersebut. Jadi, roh pada aspek bakat-bakat adalah serupa dengan malaikat yang menjalankan tugas tanpa rangsangan nafsu dan pertimbangan akal. Pada roh yang ditentukan untuk manusia ada aspek yang dipanggil nafsu. Nafsu menjadi faktor yang membezakan manusia dengan malaikat. Nafsu melahirkan kemahuan, perasaan, timbang rasa dan seumpamanya. Nilainilai yang ada pada nafsu mempengaruhi haluan roh menggunakan bakatbakatnya. Jika tidak ada pengaruh nafsu, roh akan hanya menggunakan bakat-bakatnya untuk perkara-perkara kebaikan yang diredai Allah s.w.t. Peranan nafsu menyebabkan bakat roh boleh digunakan untuk kebaikan atau kejahatan berdasarkan nilai-nilai yang menguasai nafsu. Tabiat nafsu yang berbagai-bagai menyebabkan ia dikenali dengan berbagai-bagai nama, berdasarkan kadar kebaikan atau kejahatan yang menjadi tabiat nafsu itu. Pada tahap nafsu bertabiat paling buruk ia dikenali sebagai
209 nafsu ammarah. Pada tahap ia berkemampuan membezakan yang baik daripada yang buruk ia dinamakan nafsu lawwamah. Pada peringkat nafsu lawwamah, mengenali dan mengakui keburukan tidak menghilangkan sepenuhnya tabiat buruk itu daripada nafsu. Apabila tabiat buruk itu sudah hilang sepenuhnya daripada nafsu ia dinamakan nafsu mulhamah. Nafsu mulhamah, walaupun sudah tidak memiliki tabiat buruk tetapi ia masih belum menetap dan boleh kembali dipengaruhi oleh tabiat buruk. Jika ia sudah menetap, teguh dan tabiat buruk tidak sampai kepadanya lagi, ia dinamakan nafsu muthmainnah. Nafsu yang berada dalam suasana muthmainnah merupakan nafsu yang diredai Allah s.w.t dan dijamin syurga untuknya. Nafsu yang bertaraf ahli syurga ini akan mengarahkan bakat-bakat roh kepada perkara-perkara kebaikan sahaja. Aspek roh yang berkait rapat dengan keupayaan membuat pilihan, selain nafsu, adalah akal. Jika nafsu menjadi pembeza di antara manusia dengan malaikat, akal pula menjadi pembeza di antara manusia dengan haiwan. Akal memiliki keupayaan untuk berfikir, mengingat, menimbang, berangan-angan dan seumpamanya. Bakat akal yang demikian berpusat pada otak. Ia berguna bagi menguruskan perkara-perkara lahiriah seperti bidang sains dan teknologi, sosial dan lain-lain bidang kehidupan. Akal jenis ini mampu bergerak dalam sekop fitrah kemanusiaan tetapi tidak berupaya melonjak kepada fitrah Muslim kerana ia lemah dalam perkara yang berkaitan dengan ketuhanan. Akal yang berpusat pada otak disempadani oleh logik sedangkan Tuhan tidak ada sempadan. Bakat-bakat roh, nafsu dan akal boleh dibahagikan kepada dua kategori. Kategori pertama adalah kemanusiaan dan yang keduanya kehambaan kepada Tuhan. Bakat-bakat roh, nafsu dan akal yang berfungsi memenuhi keperluan hidup manusia secara lahiriah dinamakan kemanusiaan. Bakat yang digunakan untuk beribadat kepada Allah s.w.t dan berbuat bakti kepada makhluk Allah s.w.t kerana-Nya dinamakan kehambaan (ubudiah). Akal yang berpusat pada otak adalah akal kemanusiaan. Ia tidak mampu menghayati kebesaran, keagungan dan kebijaksanaan Allah s.w.t. Akal yang berguna bagi pengajian tentang ketuhanan adalah akal
210 yang berhubung dengan hati nurani, yang bersuluhkan cahaya petunjuk Tuhan. Dan demikianlah Kami wahyukan kepada engkau satu roh dari urusan Kami. Padahal (jika tidak demikian) tidaklah engkau tahu apa itu kitab dan apa itu iman. Kami jadikan ia nur yang Kami beri petunjuk kepada barangsiapa yang Kami kehendaki daripada hamba-hamba Kami. ( Ayat 52 & 53 : Surah asy-Syura ) Aspek bakat-bakat roh, nafsu dan akal yang ada perkaitan dengan roh urusan Tuhan itulah yang mampu menyatakan kehambaan kepada Tuhan. Nur atau cahaya roh urusan Tuhan menjadikan alam ghaib terang benderang sehingga bakat-bakat roh boleh melakukan ibadat kepada Allah s.w.t, nafsu boleh mengasihi Allah s.w.t dan akal pula dapat merenungi bidang ghaib sehingga mendapat pengetahuan tentang Tuhan. Roh dengan bakat-bakatnya, nafsunya dan akalnya tidak boleh berfungsi jika tidak ada penghidupan atau nyawa. Allah Yang Maha Hidup mengurniakan penghidupan kepada roh urusan-Nya dan roh urusan Tuhan menggerakkan Roh Insan untuk hidup. Penghidupan atau nyawa roh itu, yang juga diistilah sebagai roh, bukanlah Hayat Allah s.w.t. Allah s.w.t memiliki Hayat yang Mutlak sebab itu Dia berkuasa menciptakan penghidupan atau nyawa yang tidak Mutlak untuk makhluk-Nya. Nyawa Insan (roh) hanyalah makhluk ciptaan Allah s.w.t bukan sifat Hayat Allah s.w.t. Walaupun begitu kejadian roh (nyawa) ini mengatasi segala kejadian yang lain kerana apa juga bentuk kewujudan hanya boleh berfungsi setelah digerakkan oleh nyawa. Nyawa (roh) yang istimewa ini adalah nyawa bagi roh, bukan nyawa bagi jasad. Ciptaan roh bernyawa (hidup) dikaitkan dengan tiupan Roh Allah s.w.t. Sebelum ada roh, tidak ada bakat-bakat, tidak ada malaikat. Sebelum ada nyawa tidak ada
211 penghidupan. Dalam suasana tidak ada malaikat sebagai pemangkin atau penghijab dan tidak ada penghidupan sebagai penggerak, Tuhan menciptakan roh yang bernyawa. Roh itu menjadi bernyawa kerana tiupan Roh Allah s.w.t. Ciptaan roh bernyawa ini merupakan ciptaan secara langsung tanpa perantaraan malaikat. Pada ciptaan yang paling istimewa ini perantaraan hanyalah hijab ketuhanan atau sifat Tuhan. Roh bernyawa yang berhijabkan sifat Tuhan inilah yang diistilahkan sebagai tiupan Roh Allah s.w.t. Roh yang berhijabkan hijab ketuhanan itu merupakan ciptaan Tuhan yang paling murni, paling istimewa dan paling mulia. Setelah roh yang paling murni itu diciptakan ia berfungsi pula sebagai pemangkin atau penghijab kepada ciptaan-ciptaan Tuhan yang lain. Jadi, roh yang paling murni itu adalah ciptaan kelas pertama dan kejadian yang lain adalah ciptaan kelas kedua. Roh yang paling murni atau latif itu lebih murni daripada cahaya malaikat. Malaikat tidak berupaya menyaksikannya. Kedudukan roh yang paling latif itu satu tingkat lebih tinggi daripada tingkat terakhir yang dipijak oleh Jibrail pada malam Israk dan Mikraj. Walaupun Jibrail merupakan salah satu makhluk bangsa nur yang latif tetapi kelatifan nur Jibrail lebih rendah daripada kelatifan roh yang paling latif itu. Sebab itu Jibrail tidak dapat memasuki medan nur roh yang paling latif itu. Roh yang paling latif itu adalah roh Nabi Muhammad s.a.w atau biasanya di kalangan ahli tasauf dipanggil Roh Muhammad. Kelatifan roh baginda s.a.w itulah yang menjadi hijab melindungi baginda s.a.w melalui pergeseran alam ghaib, sehingga baginda s.a.w sampai kepada Arasy iaitu medan nur roh yang paling latif itu. Nabi Muhammad s.a.w kembali ke tempat asal roh baginda s.a.w, tempat yang tidak ada makhluk lain kecuali nur yang latif itu. Tuhan berkehendak mengadakan kenyataan kepada roh yang paling latif itu dan untuk itu Dia ciptakan jasad Adam a.s. Setelah jasad Adam a.s sempurna diciptakan, Tuhan ‘hubungkan’ roh yang paling latif itu dengan jasad tersebut. Hubungan itu menyebabkan Adam a.s menjadi hidup dengan mempunyai rohnya sendiri, yang ‘menumpang’ bakat kehidupan
212 kepada roh yang latif. Walaupun jasad Adam a.s dijadikan daripada tanah tetapi rohnya berkait dengan roh yang paling latif, malah roh Adam a.s atau Roh Insan adalah bakat roh yang paling latif itu. Tidak putus hubungan roh individu dengan roh yang menjadi sumber kepada kewujudan roh-roh. Roh yang paling latif, roh Nabi Muhammad s.a.w, sumber kepada Rohroh Insan, berkedudukan sebagai khalifah Allah s.w.t, utusan-Nya atau urusan-Nya yang melaksanakan perintah Allah s.w.t. Ia menyimpan segala maklumat mengenai segala yang Tuhan mahu ciptakan. Roh urusan Tuhan itulah yang bertugas dengan tepat memastikan apa yang Tuhan kehendaki itu terlaksana dengan tepat. Dan tidak Kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam. ( Ayat 107 : Surah al-Anbiyaa’ ) Bakat kekhalifahan roh yang paling latif itu hanya menjadi kenyataan setelah Adam a.s diciptakan. Adam a.s dan keturunan beliau a.s menjadi bekas menterjemahkan bakat-bakat khalifah Allah s.w.t yang menjadi urusan Allah s.w.t. Roh Insan yang diterangi oleh roh yang paling latif, yang hanya dihijabkan oleh hijab ketuhanan, dibekalkan dengan kebolehan untuk mengalami suasana Hadrat Ilahi, merasai kehadiran Tuhan serta mengenali Tuhan dalam aspek yang ada hubungan dengan makhluk dan Tuhan dalam aspek yang melampaui segala bentuk perhubungan dengan makhluk. Roh Insan yang diterangi oleh roh yang paling latif mengenali Allah s.w.t secara tasybih dan tanzih. Hadrat Ilahi atau hakikat yang dialami oleh Roh Insan diistilahkan sebagai Rahsiarahsia Allah s.w.t. Rahsia-rahsia Allah s.w.t yang dikurniakan kepada Roh Insan tidak diketahui oleh makhluk yang lain. Oleh yang demikian makhluk yang lain mesti akur dengan kedudukan insan sebagai khalifah
213 Allah s.w.t. Oleh kerana Adam a.s yang menyatakan kekhalifahan itu maka sekalian makhluk mesti akur dengan kedudukan Adam a.s sebagai ciptaan Tuhan yang menanggung Rahsia Allah s.w.t yang paling mulia. Sekalian makhluk mesti tunjukkan bukti penerimaan tersebut dengan cara sujud menghormati Adam a.s. Intipati kepada roh adalah aspeknya yang melahirkan penghidupan, yang diistilahkan sebagai nyawa, seumpama air yang mengalir kepada seluruh tubuh, menggerakkan semua bakat-bakat. Atas dasar perkaitan roh dengan jasad, aspek nyawa itu dinamakan Nyawa Insan. Ada juga yang menamakannya Insan Batin. Ada juga yang memanggilnya Insan Rahsia Allah s.w.t, bagi menggambarkan hubungannya dengan Hadrat Ilahi (Rahsia Allah s.w.t). Selain itu ada pula yang memanggilnya diri yang sebenarnya. Oleh kerana kedudukan hubungannya dengan Hadrat Tuhan maka dialah yang benar-benar bertaraf hamba Tuhan, yang tahu melakukan kehambaan kepada Tuhan sebagaimana yang Tuhan kehendaki. Jika dia berhenti bekerja maka semua bakat-bakat akan berhenti berfungsi. Jika dia menyembah Allah s.w.t maka semua bakatbakat menyembah Allah s.w.t. Roh mempunyai keupayaan untuk menghidupkan jasad dan menggerakkan bakat-bakat yang ada pada jasad. Kesan daripada tindakan roh, jasad menjadi hidup dan keupayaan yang menghidupkan jasad itu dinamakan nyawa bagi jasad. Nyawa yang menghidupkan jasad ini biasanya dipanggil Roh Haiwani. Roh yang menggerakkan Roh Haiwani itu dinamakan Roh Insani. Roh Haiwani menghidupkan jasad. Roh Insani pula memperolehi kehidupan daripada Insan Sirullah (Insan Rahsia Allah s.w.t). Apabila Roh Insani berhenti ‘membekalkan’ Roh Haiwani, jasad akan mengalami kematian, tetapi Roh Insan tidak mati walaupun jasad sudah mati. Oleh sebab itu kematian jasad tidak menyelamatkan manusia daripada soal-jawab di dalam alam kubur. Alam kubur merupakan salah satu daripada pintu syurga atau pun pintu neraka. Insan yang hidup di dalam kubur akan memandang kepada salah satu tempat kesudahannya, sama ada syurga atau neraka. Wap bahagia atau celaka sudah dapat
214 dirasakan oleh ahli syurga sekalipun kiamat belum berlaku. Roh Haiwani atau nyawa kepada jasad bekerja melalui pernafasan, iaitu udara yang keluar masuk melalui hidung dan mulut dan juga aktiviti turun naik di dalam jantung yang mengalirkan darah ke seluruh tubuh. Roh Haiwani dan aktiviti jasad berkait rapat. Jika pengaliran udara ke dalam jasad ditahan atau aktiviti jantung diberhentikan, Roh Haiwani tidak berupaya lagi menghidupkan jasad. Jadi, nyawa jasad dan jasad saling bergantungan, saling perlu memerlukan. Tubuh yang sihat dengan jangka hayat nyawa jasad ada kaitan. Kesatuan bakat-bakat roh, nafsu, akal dan nyawa dinamakan rohani atau hati nurani yang bertaraf hamba Tuhan yang sebenarnya. Dalam keadaan yang asli, tanpa pengaruh alam jasad dan alam benda, rohani berkedudukan sebagai insan yang sempurna. Rohani dikuasai oleh sifat Wahdaniah, iaitu rohani menyaksikan keesaan Allah s.w.t, tidak menyengutukan-Nya dengan sesuatu apa pun. Kecenderungan rohani hanya satu iaitu melakukan ubudiah atau kehambaan kepada Allah s.w.t. Dan (ingatlah) tatkala Tuhan engkau mengambil dari anak-cucu Adam dari tulang-tulang punggung mereka, dan Dia jadikan mereka saksi atas diri mereka sendiri: “Bukankah Aku Tuhan engkau?” Semua menjawab: “Memang, kami menyaksikan”. Supaya jangan kamu berkata di hari kiamat: “Sesungguhnya kami lalai dari ini”. Atau supaya tidak kamu katakan: “Yang musyrik itu hanyalah bapa-bapa kami yang dahulu
215 sedangkan kami ini hanyalah keturunan sesudah mereka. Maka apakah Engkau akan membinasakan kami lantaran apa yang dikerjakan oleh orang-orang yang berbuat salah?” Dan demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat itu supaya mereka kembali. ( Ayat 172 – 174 : Surah alA’raaf ) Sebelum bercantum dengan jasad semua keturunan Adam yang masih dalam keadaan rohani yang suci murni, yang menyaksikan keesaan Tuhan, telah dihadapkan oleh Tuhan dengan ikrar ubudiah (kehambaan). Sekalian mereka menyaksikan dan memperakui ketuhanan Allah s.w.t. Rohani menyaksikan yang demikian kerana mereka bermakrifat tentang keesaan Allah s.w.t dan ketuhanan-Nya. Rohani yang telah bermakrifat tentang Allah s.w.t itulah diri manusia yang sebenarnya, sementara jasad adalah alat baginya membuktikan kehambaannya kepada Tuhan. Oleh yang demikian mereka tidak ada alasan kelak untuk mengatakan bahawa mereka tidak diberi pengetahuan tentang Tuhan. Mereka juga tidak boleh memberi alasan menurut hukum lahiriah yang berhubung dengan pertalian jasad dengan mengatakan mereka menjadi musyrik kerana ibu bapa mereka musyrik. Sebelum ada kaitan dengan jasad menurut nasab keturunan, manusia yang sebenar (rohani) sudah mendapat keterangan yang jelas tentang Tuhan. Tuhan kurniakan jasad kepada manusia rohani supaya mereka membuktikan kebenaran ikrar kehambaan yang mereka telah buat dengan Tuhan. Manusia rohani berkewajipan mencari jalan kembali ketika mereka masih mengenderai jasad kerana jasad itu nanti yang akan menjadi saksi ke atas mereka. Manusia rohani ‘masuk’ ke alam jasad untuk melakukan pekerjaan yang diamanahkan oleh Tuhan. Pekerjaan itu adalah menjadi khalifah, mentadbir kehidupan berjasad menurut perintah dan peraturan Tuhan. Apabila dikeluarkan daripada alam jasad habislah tempuh yang dibenarkan untuk bekerja. Datanglah tempuh perkiraan dan pemberian ganjaran atau hukuman.
216 Percantuman rohani dengan jasad menyebabkan manusia mempunyai dua jenis diri. Jasad dinamakan diri zahir dan rohani dinamakan Diri Batin. Diri zahir menjadi sarang atau bekas kepada Diri Batin. Jasad yang pada mulanya berkedudukan sebagai mayat bertukar menjadi hidup dan mempunyai nilai-nilai kehidupan setelah ia bercantum dengan diri rohani. Diri rohani pula yang pada mulanya tidak dapat mempamerkan bakatbakat dan nilai-nilai yang ada padanya, telah boleh menjadi nyata dan mempamerkan apa yang ada dengannya. Percantuman dengan Diri Batin melahirkan pada diri zahir nyawanya, bakat-bakatnya, nafsunya dan akalnya. Alam diri zahir adalah jasadnya dan alam kebendaan yang nyata. Diri zahir berkehendakkan apa yang menggembirakan jasadnya daripada benda-benda dan perkara-perkara yang nyata. Diri zahir juga menggunakan akalnya pada perkara yang nyata. Nafsu dan akal diri zahir akan mengarahkan segala bakat dan kekuatannya kepada benda dan perkara yang zahir. Tidak ada keinginannya untuk melakukan ibadat kepada Allah s.w.t dan melakukan kebaktian kepada-Nya. Tidak lahir pengetahuannya tentang Tuhan. Tidak ada kasih sayangnya kepada Tuhan. Tidak ada renungannya kepada kebesaran dan kebijaksanaan Tuhan. Segala-gala yang pada diri zahir adalah yang zahir juga. Tidak ada urusan kehambaan kepada Tuhan pada diri zahir. Keadaan diri zahir adalah matanya tertutup daripada melihat kepada sesuatu tentang Tuhan, telinganya tuli daripada mendengar peringatan kepada Tuhan, mulutnya terkunci daripada bercakap tentang Tuhan dan bakat-bakat anggotanya terikat daripada melakukan kehambaan kepada Allah s.w.t. Diri Batin atau manusia rohani berkewajipan membuka tutupan daripada mata diri zahir agar ia boleh melihat sesuatu tentang Tuhan, membuka penyumbat telinganya agar ia boleh mendengar sesuatu tentang Tuhan, membuka kunci mulutnya agar ia boleh bercakap sesuatu tentang Tuhan dan membuka ikatan anggotanya agar ia boleh melakukan sesuatu kerana Tuhan. Pekerjaan manusia rohani sangat berat. Manusia zahir menjadi ujian bagi manusia rohani. Kebanyakan manusia rohani tertarik kepada keelokan manusia zahir dan ghairah dengan kepuasan yang dinikmati oleh
217 manusia zahir. Manusia rohani yang sepatutnya menjadi khalifah kepada manusia zahir telah berubah menjadi alatnya. Adam a.s merupakan manusia zahir yang pertama ‘bersanding’ dengan manusia rohani. Tugas Adam a.s adalah meramaikan manusia-manusia zahir kerana ramai manusia-manusia rohani mahu menyatakan diri mereka. Adam a.s diciptakan daripada anasir tanah yang asli. Sesungguhnya Aku hendak jadikan manusia daripada tanah. ( Ayat 71 : Surah Saad ) Ciptaan pertama yang daripada tanah itu diberikan keupayaan untuk melahirkan keturunan. Keturunan Adam a.s membiak melalui percantuman unsur bapa dengan unsur ibu. Kedua-dua unsur tersebut bercantum di dalam perut ibu dalam suasana yang diuruskan oleh Tuhan yang dinamakan ‘rahim’. Rahim ini dinisbahkan kepada nama Tuhan arRahim, Yang Pengasih dan Penyayang. Cantuman unsur ibu dengan unsur bapa, setelah melalui beberapa proses, akhirnya membentuk satu bentuk kewujudan yang bernama manusia zahir. Apabila manusia zahir sudah berumur di antara 120 hingga 145 hari, manusia zahir yang di dalam perut ibu itu ‘dikahwinkan’ dengan manusia rohani oleh urusan Tuhan yang bernama ar-Rahim itu. Apabila menjangkau usia sembilan bulan sepuluh hari, manusia yang sudah bercantum unsur zahir dengan unsur rohani dan telah dicelup di dalam kilang pencelupan ar-Rahim, melunsur keluar dari alam kandungan ibu kepada alam dunia. Manusia masuk ke dunia, setelah menerima pencelupan daripada ar-Rahim, membawa bekal sesuatu yang sangat murni, sebagaimana dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah”. Percantuman dengan manusia zahir, terikat dengan darah, daging dan tubuh seluruhnya, diselimuti pula oleh hijab yang tebal, iaitu dunia,
218 menyebabkan manusia rohani lupa kepada asal usulnya dan lupa kepada ikrar yang telah dibuatnya dengan Tuhan. Pengetahuannya tentang Tuhan juga tertutup. Mereka lupa kepada jalan kembali ke tempat asal mereka. Walaupun lupa tetapi benih fitrah masih tersembunyi di dalam ‘bumi’nya. Tuhan Yang Maha Penyayang, Maha Pengampun menghantarkan Kitabkitab Suci dan Rasul-rasul untuk ‘menyiramkan’ fitrah suci itu agar ia tumbuh dan keluar dari bumi yang gelap gelita untuk menyaksikan kebenaran yang sudah ada dengannya. Dan sesungguhnya telah Kami utuskan Musa dengan ayat-ayat Kami: “Bahawa engkau keluarkan kaum engkau dari gelap gelita kepada terang benderang, dan peringatkanlah mereka dengan hari-hari Allah”. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah tanda-tanda bagi tiaptiap orang yang sabar dan bersyukur. ( Ayat 5 : Surah Ibrahim ) Rasul-rasul memberi peringatan kepada manusia rohani tentang harihari Allah s.w.t, iaitu suasana asal mereka yang mengenal Tuhan dan mengabdikan diri kepada Tuhan, disaksikan oleh ikrar mereka sendiri. Katakanlah: “Inilah jalanku, yang aku dan orang-orang yang mengikuti daku seru (manusia) kepada Allah dengan basirah (pandangan yang jelas). Dan Maha Suci Allah! Dan bukanlah aku ini dari golongan orang musyrikin”. ( Ayat 108 : Surah Yusuf ) Rasul-rasul, Nabi-nabi dan orang yang mewarisi mereka melihat kebenaran dengan basirah, iaitu mata rohani mereka. Basirah
219 menyaksikan yang benar sebagaimana yang telah disaksikan oleh rohani sebelum berkahwin dengan jasad. Basirah dapat menembusi benteng jasad dan dunia untuk melihat kepada jalan yang terbentang luas menuju Tuhan. Semua ilmu dalam dunia ini tidak berupaya mendatangkan basirah. Ilmu membuat kapal angkasa, ilmu membuat komputer, ilmu membina bangunan yang tinggi-tinggi, ilmu kedoktoran dan lain-lain ilmu dalam dunia tidak berupaya menghasilkan basirah, tidak mampu melihat kepada hakikat ketuhanan. Seseorang memerlukan ilmu yang datangnya dari alam ghaib yang tersembunyi, ilmu yang lahir daripada kesedaran terhadap Tuhan. Dia turunkan Roh dari urusan-Nya kepada siapa yang Dia kehendaki daripada hamba-hamba-Nya untuk memberi peringatan tentang hari pertemuan. ( Ayat 15 : Surah al-Mu’min ) Dan demikianlah Kami wahyukan kepada engkau satu Roh dari urusan Kami. Padahal (jika tidak demikian) tidaklah engkau tahu apa itu Kitab dan apa itu Iman. Kami jadikan ia nur yang Kami beri petunjuk kepada barangsiapa yang Kami kehendaki daripada hamba-hamba Kami. ( Ayat 52 & 53 : Surah asy-Syura ) Maka mereka dapati seorang hamba di antara hamba-hamba Kami yang telah Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami dan telah Kami ajarkan kepadanya yang langsung dari Kami. ( Ayat 65 : Surah al-Kahfi )
220 Orang yang mahu mencari jalan pulang perlu kepada bimbingan orang yang sudah ada basirah, iaitu orang yang hampir dengan Allah s.w.t dan berupaya menyaksikan kemutlakan atau mengalami suasana Hadrat Ilahi. Orang yang demikian berkedudukan sebagai khalifah kerohanian. Bergabung dan mendapat bimbingan khalifah kerohanian perlu bagi mencari jalan pulang. Pengembara pada jalan ini semakin berkurangan dan pembimbing pada jalan tersebut lebih berkurangan lagi. Pada satu masa nanti pemandu yang mahir sangat sukar didapati. Ketika itu orang yang terperangkap dalam dunia dan alam jasad mereka sendiri tidak dapat menemui jalan lagi. Manusia yang terperangkap dengan dunia putus hubungan kemanusiaanya dengan kemurnian rohaninya. Pengetahuannya tidak menghala kepada Ilmu Tuhan. Dia hanya boleh berfikir tentang kehidupan duniawi sahaja. Dia boleh menjadi saintis yang bijak atau pemimpin yang handal, tetapi akalnya tidak berupaya menyingkap Rahsia ketuhanan yang tersembunyi di sebalik yang nyata. Nafsunya tidak menghala kepada Iradat Tuhan. Dia tidak ada selera untuk mengingati Tuhan, tidak ada rasa kasih sayang kepada Tuhan dan tidak takut atau malu kepada Tuhan. Keinginannya semata-mata tertumpu kepada kesenangan dan keseronokan duniawi. Nafsu yang bertaraf begini menjadi istana iblis. Nyawanya pula hanyalah sedutan dan hembusan nafas serta peredaran darah yang hampa. Tidak ada kelazatan bermunajat kepada Allah s.w.t. Anggota tubuhnya tidak digunakan untuk berbakti kepada Allah s.w.t. Segala daya dan upayanya ditujukan untuk memperolehi kemewahan dan menikmati kesenangan hidup di dunia semata-mata. Setiap anasir alam mengenakan tarikan kepada orang yang seperti ini. Unsur zahirnya menjadi bertambah kuat sehingga keupayaan unsur rohaninya terkunci dan terpenjara. Orang yang seperti ini berkedudukan seperti haiwan yang pandai berfikir dan pandai berkata-kata. Tidak ada bezanya taraf haiwan cerdik ini dengan haiwan lain yang tidak berakal. Manusia rohani yang dapat membebaskan dirinya daripada fitnah yang datang daripada manusia zahir akan dapat menghadap kepada Tuhan,
221 berbakti kepada-Nya dan menjalankan perintah-Nya dengan menggunakan manusia zahir dan lain-lain anasir zahir. Nafsunya menghadap kepada Iradat Tuhan. Lahirlah rasa kasih sayang kepada Tuhan. Keinginan untuk menghampiri Tuhan sangat kuat dalam jiwanya. Semangat untuk berbakti kepada Tuhan sentiasa berada pada tahap yang tinggi. Akalnya menghadap kepada Ilmu Tuhan. Kelihatanlah kepadanya kebesaran, keagungan dan kebijaksanaan Tuhan. Digunakannya akalnya untuk menguruskan kehidupan harian agar sesuai dengan kehendak Tuhan. Apabila nafsu dan akal sudah menjurus ke jalan Tuhan, maka semua bakat-bakat yang ada pada dirinya tidak lagi digunakan untuk berbuat sesuatu yang dimurkai Tuhan. Kebaktiannya kepada makhluk Tuhan merupakan kebaktiannya kepada Tuhan kerana dia berbuat demikian demi menjunjung perintah Tuhan. Manusia rohani yang nafsu, akal dan anggotanya berjalan pada jalan Tuhan, nyawanya atau Diri Batinnya yang paling seni akan merasakan kelazatan bermunajat kepada Tuhan dan dapat mengalami suasana Hadrat Tuhan. Mengalami suasana Hadrat Tuhan dikatakan mengenali Tuhan melalui jalan rahsia kerana pengalaman yang demikian tidak boleh disamakan dengan apa juga bentuk pengalaman yang lain. Diri Batin yang sampai kepada suasana tersebut digelarkan Insan Sirullah (Insan Rahsia Allah s.w.t). Rahsia Allah s.w.t bukanlah Allah s.w.t. Tidak benar jika dikatakan Allah s.w.t yang menjadi batin kepada Insan Batin atau Allah s.w.t adalah nyawa kepada manusia rohani. Perkaitan Allah s.w.t dengan manusia bukanlah hubungan secara langsung dalam nyata atau ghaib. Ia bukan hubungan seperti kulit dengan daging atau roh dengan jasad. Ia juga tidak seperti hubungan roh dengan roh. Tuhan mengatakan roh adalah amr (urusan) Tuhan. Kedudukan Insan Batin, roh atau rohani hanyalah seperti kedudukan amr Tuhan, bukan tubuh kepada Tuhan, bukan bekas yang mengalir di dalamnya sifat atau bakat Tuhan. Apa sahaja yang selain Tuhan adalah ciptaan Tuhan bukan Tuhan.
222 Kelatifan Diri Batin, roh atau rohani menyebabkan mudah timbul sangkaan yang menyamakannya dengan Tuhan atau memperhubungkannya secara langsung dengan Tuhan. Bunyi seruling bukanlah bunyi suara orang yang meniup seruling. Seruling menjadi hijab yang menceritakan bahawa ada orang yang meniup seruling. Suara seruling membawa perutusan daripada peniupnya. Suara seruling membawa ‘kehadiran’ peniupnya. Kehadiran tersebut adalah rahsia peniup seruling dan rahsia seruling itu sendiri. Orang arif mengenali peniup seruling dengan mendengar suara seruling. Orang arif juga mengenali jenis seruling melalui bunyinya. Perkenalan itu menjadi mungkin kerana di antara peniup seruling dan seruling ada rahsia atau ‘kehadiran’ yang bercerita. Rahsia atau ‘kehadiran’ itulah hubungan di antara peniup seruling dengan seruling dan bunyi seruling. Hubungan Tuhan dengan Insan Batin, roh atau rohani lebih unik daripada hubungan peniup seruling, seruling dan bunyi seruling. Hadrat (kehadiran) Tuhan atau Rahsia Tuhan lebih unik daripada kehadiran peniup seruling. Hadrat Tuhan dirasai oleh batin manusia dalam suasana tiada berhuruf, tiada bersuara, tiada berupa dan tiada upaya untuk menceritakannya. Sebab itulah suasana tersebut menjadi rahsia di antara Tuhan dan Insan Batin. Insan batin itu dinamakan Insan Sirullah (Insan Rahsia Allah s.w.t). Ia bermaksud insan diberi keupayaan oleh Allah s.w.t untuk menanggung Hadrat-Nya, Rahsia-Nya, amanah-Nya dan nur-Nya. Apa juga istilah yang digunakan ia membawa maksud yang sama iaitu keadaan Tuhan dan yang berkaitan dengannya dinamakan urusan Tuhan. Roh sebagai ciptaan Tuhan yang paling unik, istimewa dan luar biasa, dalam keadaan keasliannya yang murni berfungsi sebagai perutusan yang membawa urusan Tuhan. Matlamat perjalanan manusia rohani adalah kembali kepada kedudukannya yang asal, yang bertaraf amr Tuhan. Manusia rohani yang kembali kepada taraf amr Tuhan itulah yang benar-benar mengenali Tuhan. Dalam mencari jalan pulang manusia rohani mesti membawa bersamasamanya ‘rakan-kongsinya’ iaitu manusia zahir. Setelah manusia rohani dan manusia zahir bercantum bersama, maka segala urusan adalah
223 bersama. Ketika manusia rohani belum bercantum dengan manusia zahir, ia adalah suci, murni dan tulin, tidak memikul sebarang beban. Setelah memikul beban ia berkewajipan membawa beban itu kepada jalan yang benar bersama-samanya. Jika manusia rohani berjaya memimpin manusia zahir kepada jalan yang lurus itu tandanya ia berada pada jalan yang benar, benar menanggung amanah Tuhan. Apabila sampai kepada satu peringkat manusia rohani dan manusia zahir akan menjadi bersesuaian di antara satu sama lain. Apa yang lahir kepada zahir itulah yang ada pada rohani. Lidah tidak mengeluarkan perkataan melainkan apa yang ada dalam hati yang suci bersih. Segala perbuatan dan kelakuan zahir adalah baik-baik belaka kerana aspek zahir telah tunduk kepada aspek rohani. Keadaan demikian dikatakan diri zahir dengan Diri Batin berkamil, zahirnya adalah batinnya dan batinnya adalah zahirnya. Tidak ada perbezaan lagi di antara zahir dengan batin. Aspek zahir manusia mestilah tunduk kepada syariat zahir dan aspek batin tunduk kepada syariat batin. Rangsangan dan tarikan tubuh badan serta anasir alam mestilah diharmonikan di bawah payung syariat. Syariat memperakukan keperluan zahir seperti makan, minum, tempat tinggal, pakaian, pendidikan, kesejahteraan hidup dan lain-lain. Berjalan pada jalan kerohanian tidak mewajibkan meninggalkan pekerjaan, isteri-isteri, anak-anak, masyarakat, makanan, minuman, pakaian dan lain-lain yang diharuskan oleh syarak. Syariat meletakkan peraturan dalam segala aspek kehidupan. Peraturannya adalah jelas dan mudah diikuti. Jika aspek zahir manusia tunduk kepada peraturan syariat zahir sehingga menjadi bersesuaian dengannya, aspek rohani akan memperolehi kecemerlangan dalam syariat batin. Baharulah benar seorang itu masuk ke jalan kerohanian. Orang yang boleh terbang ke dalam daerah kerohanian adalah orang yang memiliki dua sayap. Sayap pertama adalah syariat zahir dan sayap kedua adalah syariat batin. Kedua-dua sayap tersebut dinamakan syariat, tidak lagi digunakan istilah syariat zahir dan syariat batin. Bila zahir dan batin sudah berkamil, tidak ada lagi perbezaan di antara zahir dengan batin. Tiada lagi perpisahan di antara syariat zahir
224 dengan syariat batin. Setiap amalan sentiasa ditemani oleh ‘kerana Allah Ta’ala’. Bagi membawa syariat zahir berkamil dengan syariat batin, seseorang bukan sekadar melakukan kebaikan, malah kebaikan itu perlu dilakukan dengan cara yang betul. Perbuatan sembahyang mestilah menurut syarat dan rukunnya, bukan sekadar bersembahyang sahaja. Melakukan pekerjaan yang halal mestilah dengan cara yang betul agar kemanfaatannya maksima dan kemudaratan boleh dielakkan daripada pekerjaan tersebut. Begitu juga dalam urusan mendidik anak-anak dan lain-lain. Setiap ahli syariat (Muslim) berkewajipan mempelajari cara yang betul dalam melakukan apa juga pekerjaan dan amalan yang baik yang perlu dilakukannya. Orang yang mahu kembali kepada jalan Tuhan perlulah faham bahawa dia tidak ada hak untuk mengubah apa yang telah dihukumkan oleh Tuhan. Apa yang Tuhan katakan benar mesti diterima sebagai benar. Apa yang Tuhan katakan salah mesti diterima sebagai salah. Tidak ada sesiapa yang berhak meminda apa yang Tuhan telah tentukan. Tidak ada sesiapa yang boleh mengubah waktu sembahyang lima waktu atau bulan yang difardukan berpuasa. Tidak ada sesiapa yang boleh menghalalkan zina, arak, judi dan riba, atas apa alasan sekalipun. Perbuatan yang Tuhan haramkan tetap haram walaupun dibuat sebagai lakunan atau main-main. Segala perbuatan manusia akan digantung di lehernya sendiri. Dan tiap-tiap manusia Kami gantungkan (catatan) amalannya pada tengkuknya, dan Kami akan keluarkan baginya pada hari kiamat satu kitab yang dia akan menemuinya dengan terbuka. ( Ayat 13 : Surah Bani Israil )
225 Bila kehidupan dalam dunia ini diharmonikan menurut peraturan syariat, dunia ini tidak lagi menjadi dunia yang dibenci, malah ia menjadi taman untuk menanam tanaman akhirat. Ia menjadi medan untuk mempertajamkan kerohanian. Orang yang benar-benar mencari jalan kerohanian dalam dunia ini akan menemuinya. Tuhan sediakan dalam setiap kaum dan puak orang-orang pilihan yang berkemampuan membimbing orang ramai kepada-Nya. Manusia pilihan itu adalah para arifbillah, insan sejati yang menjadi khalifah-Nya. Orang arif, walaupun rohani mereka sangat elok, tetapi ia ditutupi oleh keadaan luar yang sangat sederhana dalam segala segi dan mereka terdiri daripada orang-orang yang tidak terkenal. Namun, orang yang demikian adalah umpama air wangi Tuhan di dalam dunia, boleh dicium keharumannya oleh orang-orang yang beriman, benar dan jujur sahaja. Orang yang mencium keharuman itu akan mengikuti baunya. Keharuman yang muncul dari orang arif melahirkan rasa rindu kepada Tuhan dalam hati orang yang beriman. Rasa rindu menarik kaki orang yang beriman untuk berjalan pada jalan Tuhan, kembali kepada kedudukannya yang asli. Orang yang boleh berjalan dengan mudah kepada Tuhan adalah orang yang lebih sempurna kedudukan syariatnya. Hakikat atau kebenaran sejati tidak muncul dengan baik sebelum syariat betul kedudukannya. Hakikat yang tidak sesuai dengan syariat adalah kebenaran bayangan semata-mata, bukan kebenaran sejati.
226 19:KEHIDUPAN DUNIA Roh Insan yang sangat suci hanya menyata apabila ia dibaluti oleh jasad dan bakatnya hanya menonjol apabila ia ditempatkan di dalam dunia. Ketika Adam a.s mendiami syurga bakat kekhalifahannya tidak menyata. Setelah dimasukkan ke dalam dunia baharulah nyata Adam a.s sebagai khalifah Tuhan. Keturunan Adam a.s juga menanggung kewajipan kekhalifahan itu di dalam dunia ini juga. Di dalam dunia yang sangat luas ini Adam a.s dan keturunannya ditempatkan pada satu tempat yang bernama bumi. Kehidupan di dunia dengan kehidupan di bumi adalah perkara yang sama bagi Adam a.s dan keturunannya. Kehidupan dunia ini adalah satu-satunya peluang untuk manusia. Manusia tidak diberi peluang yang kedua kali. Dan barangsiapa yang buta di sini, maka di akhirat pun dia buta dan lebih sesatlah jalannya. ( Ayat 72 : Surah al-Isra’ ) Bukan buta mata di kepala tetapi buta mata pada hati. Jika ketika hidup di dalam dunia tidak menemui jalan kembali kepada Tuhan, sesudah matinya pun tidak menemui jalan. Kesesatan jalan di akhirat lebih menggerunkan daripada buta mata di dunia. Apa juga yang manusia mahu usahakan maka dunia inilah kebunnya. Kehidupan dalam dunia inilah yang menentukan nasib manusia ketika sakratul maut, dalam alam kubur, di Padang Mahsyar, di Hisab, di atas jambatan menyeberangi neraka dan pada kehidupan yang abadi. Perbezaan di antara dunia dan akhirat hanya satu sahaja, iaitu di akhirat ada peluang untuk melihat Tuhan secara terang-terangan, sementara di dunia melihat Tuhan melalui hijab-hijab.
227 Urusan Islam, iman, tauhid dan makrifat selesai di dalam dunia ini juga. Apa yang diperolehi di dunia ini itulah yang akan dibawa ke akhirat. Tugas menjadikan dunia sebagai kebun akhirat bukanlah mudah. Suasana semulajadi dunia menjadi cabaran kepada petani-petani akhirat. Dan tatkala Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Aku hendak menciptakan khalifah pada bumi”, mereka berkata: “Adakah Engkau mahu jadikan padanya makhluk yang akan berbuat bencana padanya dan akan menumpahkan darah? Padahal kami berbakti dengan memuji Engkau dan memuliakan Engkau”. Dia berfirman: “Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui”. ( Ayat 30 : Surah al-Baqarah ) Para malaikat sudah dapat membayangkan kehidupan dunia yang akan dijalani oleh makhluk berbangsa manusia sebelum lagi manusia pertama diciptakan. Sifat kehidupan dunia yang ada dalam pengetahuan malaikat adalah huruhara dan pertumpahan darah. Dunia adalah ibu, sementara huruhara dan pertumpahan darah adalah anak-anaknya. Kelahiran huruhara dan pertumpahan darah adalah sesuatu yang sesuai dengan suasana dunia itu sendiri secara semulajadi. Manusia sebagai khalifah bertugas membersihkan dunia daripada huruhara dan pertumpahan darah itu. Khalifah tidak seharusnya membiarkan dunia terus melahirkan anak-anak jahat dan nakal. Tuhan memperjelaskan lagi keadaan huruhara penghidupan dunia:
228 Tuhan berfirman: “Pergilah kamu (Adam dan Hawa). Sebahagian daripada kamu (manusia) jadi musuh kepada sebahagiannya. Dan adalah bagi kamu di bumi itu tempat ketetapan dan bekalan hingga satu masa (mati dan kiamat)”. ( Ayat 24 : Surah al-A’raaf ) Kehidupan dalam dunia membawa manusia bermusuhan sesama sendiri. Dalam dunia yang huruhara, penuh dengan permusuhan dan pertumpahan darah itulah manusia menetap sehingga sampai ajal mereka dan sehingga berlaku kiamat. Tuhan mengajar manusia supaya mengambil bekalan semasa hidup di dunia. Tuhan mengajar manusia supaya menghargai tempuh singkat yang Tuhan berikan kepada mereka di dunia ini. Dia berfirman: “Padanya (bumi) kamu hidup dan di situlah kamu akan mati dan daripadanya kamu akan dikeluarkan. ( Ayat 25 : Surah alA’raaf ) Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati. Dan tidak akan disempurnakan balasan kamu melainkan pada hari kiamat. Lantaran itu barangsiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke
229 dalam syurga maka selamatlah dia, kerana penghidupan dunia ini tidak lain melainkan menipu-daya. ( Ayat 185 : Surah a-Li ‘Imran ) Alam dihukumkan dengan kiamat dan setiap yang hidup dihukumkan dengan mati. Manusia hidup dalam dunia, mati dalam dunia dan dibangkitkan daripada dunia. Dunia yang dikenali sebagai medan asbab akan melahirkan berbagai-bagai usaha dan tindakan. Sifat dunia tidak mengizinkan usaha dan tindakan melahirkan hasil yang sempurna. Banyak daripada pokok yang ditanam tidak sempat berbuah atau buahnya tidak semanis yang dijangkakan. Tuhan memperingatkan bahawa apa juga yang manusia tanam di dunia buah yang sempurna muncul di akhirat. Buah yang manis, masam atau beracun akan dirasai dengan sempurna setelah berlaku kiamat. Apa yang diperolehi di dalam dunia lebih banyak bersifat bayangan yang menipu-daya. Manusia terdiri daripada dua jenis anasir iaitu tubuh zahir dan hati seni. Gabungan anasir zahir yang kasar dengan anasir rohani yang seni membuat manusia boleh berfungsi sebagai cermin yang membalikkan wajah yang memandang kepadanya. Tubuh kasar umpama muka cermin yang gelap di sebelah belakang dan rohani pula umpama muka cermin yang terang di hadapan. Susunan manusia yang demikian menyebabkan manusia boleh menerima suluhan cahaya Ilahi. Kebolehan ini dinamakan mengenal Tuhan melalui mata hati. Makhluk yang mempunyai satu jenis badan sahaja tidak memiliki kebolehan yang demikian. Malaikat yang hanya memiliki badan yang terang dan haiwan yang hanya memiliki badan yang kasar tidak boleh berfungsi sebagaimana manusia. Malaikat hanya mengenal Tuhan dalam satu aspek sahaja iaitu aspek tanzih. Haiwan pula tidak mengenal Tuhan. Hanya manusia yang boleh mengenal Tuhan dalam aspek tanzih dan tasybih, iaitu Tuhan yang tidak serupa dengan sesuatu dan Dia yang memperkenalkan Diri-Nya melalui sifatsifat-Nya. Sifat semulajadi manusia yang mampu menerima suluhan cahaya Ilahi itu tertutup kerana manusia hidup di dalam dunia. Dunia menjadi anasir
230 yang merosakkan gabungan badan yang gelap dengan rohani yang cerah. Dalam dunia ini wujud satu jenis makhluk yang diciptakan daripada cahaya api, dinamakan syaitan berbangsa jin. Cahaya api syaitan ini boleh menyelinap masuk ke dalam badan manusia yang gelap dan menjadikannya lutsinar, menyebabkan suluhan yang datang dari alam ghaib tidak melekat pada cermin hati. Peringatan yang di sampaikan oleh nabi-nabi tidak berbekas pada hati. Sekalipun nabi-nabi memperlihatkan mukjizat namun hati tetap tidak dapat melihat kebenarannya. Beginilah yang terjadi kepada manusia yang hidup di dalam dunia dan diganggu oleh cahaya api syaitan. Badan cahaya api syaitan menjadi tembok menghalang cahaya kebenaran daripada masuk ke dalam hati. Apabila cahaya kebenaran tidak melekat pada hati maka hati tidak mengenal apakah yang benar. Hati yang sudah jahil itu menjadi kain putih yang menerima apa sahaja yang ditayangkan oleh syaitan. Syaitan mengadakan berbagai-bagai gambaran dan dihantarkannya kepada hati. Hati menyangkakan bentuk yang dihantar oleh syaitan itulah kebenaran. Hasilnya muncullah penjelmaan mengambil alih tempat kebenaran. Penjelmaan gubahan syaitan itulah yang diterima oleh manusia sebagai yang benar. Manusia yang di dalam keadaan sedemikian beramal menurut gubahan syaitan tetapi menyangkakan mereka berada di atas jalan yang lurus. Lahirlah keyakinan yang dibina di atas asas yang sesat. Ada manusia menyembah batu dengan menyangkakan itulah jalan yang benar. Ada manusia membunuh diri dengan keyakinan mereka mati syahid. Amalan sesat telah menjadi kepercayaan yang suci lantaran mereka diperdayakan oleh syaitan. Dunia yang dihuni oleh syaitan melahirkan berbagai-bagai tipu daya. Semua bidang kehidupan manusia diresapi oleh tipu daya syaitan. Syaitan membina jalan yang selari dan hampir dengan jalan yang lurus dan diperhiaskan jalan itu sehingga apa sahaja yang ada padanya kelihatan bersesuaian dengan jalan yang lurus. Akibat perhiasan yang dipamerkan oleh syaitan, fitrah manusia hilang kekuatan untuk melonjak kepada fitrah Muslim. Mereka berpuas hati dengan berpegang kepada fitrah kemanusiaan sahaja dan dalam keadaan yang demikian fitrah
231 kemanusiaan tidak berkekuatan menyekat tarikan syaitan. Akibatnya nilai-nilai murni kemanusiaan dicampur adukkan dengan nilai-nilai palsu yang datang dari syaitan. Ramai daripada penganut agama Islam sendiri mencampur adukkan nilai Islam dengan nilai syaitan. Di sana sini banyak terjadi orang yang bersembahyang tetapi masih melakukan perbuatan zina dan meminum arak. Orang yang menunaikan fardu haji masih melakukan rasuah. Orang yang berpuasa tetapi masih mencuri dan menipu. Orang yang mengucapkan dua Kalimah Syahadah masih juga pergi ke kuburkubur kerana meminta nombor toto. Perilaku orang yang mengaku beragama Islam tidak berbeza dengan orang yang ternyata kafir. Semua itu terjadi kerana warna syaitan melindungi warna kebenaran. Orang yang telah menerima dan mengguna-pakai warna syaitan itu dinamakan ahli dunia. Dalang yang mengarahkan perjalanan ahli dunia adalah raja syaitan iaitu iblis. Iblis adalah sumber kejahatan dan syaitan adalah penyebar kejahatan iblis itu. Iblis sentiasa mengheret manusia supaya menyalahi ubudiah kepada Tuhan. Iblis memasukkan sifat-sifatnya kepada manusia bagi menyekat atau melengah-lengahkan mereka menunaikan perintah Tuhan. Sifat iblis adalah kufur atau engkar kepada kebenaran. Apabila sifat iblis membaluti hati manusia ia akan bertindak sebagai tenaga yang menghalang apa juga kebenaran yang mahu masuk ke dalam hati. Walaupun akal boleh menerima sesuatu kebenaran itu namun tenaga yang muncul daripada sifat iblis menghalang hujah akal daripada diterima oleh hati. Sebab itu orang yang mengenal dan mengakui kebenaran masih juga menolak kebenaran itu dan berbuat yang tidak benar. Orang yang mengakui berzina adalah berdosa tetapi masih juga melakukannya. Orang yang mengakui rasuah itu berdosa masih juga berbuat rasuah. Bahkan orang-orang yang menggubal undang-undang berdasarkan kebenaran yang diperolehi melalui akalnya masih juga melanggar undang-undang tersebut. Akal mengakui kewajipan bersembahyang dan anggota melakukan perbuatan sembahyang tetapi hati yang dikuasai oleh sifat iblis tidak mampu lari daripada kemaksiatan.
232 Syaitan menjadi ejen yang menghantar sifat-sifat iblis kepada manusia. Syaitan masuk ke dalam tubuh manusia melalui perjalanan darah. Darah yang dimasuki oleh syaitan akan menerbitkan rangsangan atau dorongan yang mengajak manusia melakukan kejahatan. Syaitan hanya mampu memberi rangsangan tetapi tidak mampu menggerakkan anggota manusia untuk melakukan sesuatu. Nafsu manusia sendiri yang bertindak menggerakkan anggotanya supaya melakukan kejahatan sebagaimana yang dirangsang oleh syaitan. Nafsu adalah umpama tuan rumah dan syaitan umpama pendatang haram. Tuan rumah sendiri yang mengizinkan pendatang haram memasuki rumahnya dan membiarkannya memerintah di dalam rumah itu. Syaitan bertindak sebagai pengajar dan nafsu yang menerima pengajaran syaitan bertindak sebagai pelaku. Nafsu yang jahat, seperti tuan rumah yang jahat, melakukan kejahatan di dalam rumahnya walaupun kejahatan daripada luar tidak masuk. Nafsu yang rendah memang cenderung kepada kejahatan walaupun tidak menerima rangsangan syaitan. Rangsangan syaitan ditujukan kepada perkara yang menyalahi ubudiah, kederhakaan kepada Tuhan, berbuat syirik dan kufur terhadap kebenaran. Apabila manusia menolak satu rangsangan jahat, syaitan dengan cepat mencadangkan kejahatan yang lain. Asal sahaja kejahatan dilakukan syaitan sudah berasa senang dan puas. Jika syaitan gagal merangsang manusia supaya meninggalkan sembahyang, syaitan akan berpindah kepada merangsang agar manusia bersembahyang dengan lalai. Jika manusia berjaya meneruskan sembahyangnya sehingga selesai, syaitan beralih kepada merangsang agar manusia berasa riak dengan sembahyangnya. Sikap nafsu berbeza dengan sikap syaitan. Nafsu gemar kepada perkara-perkara yang menyeronokkan, suka kepada kebesaran dan kemuliaan dan cenderung kepada yang melalaikan. Tabiat nafsu, jika ia inginkan sesuatu, ia akan mengejar atau menanti sesuatu itu. Ia tidak mahu menyerah kalah sebelum ia mendapatkannya. Ia boleh mendiamkan diri walaupun bagi tempuh yang lama. Bila ada kesempatan ia akan muncul semula, selagi keinginannya belum tercapai. Cita-cita merupakan bakat nafsu. Mencitai kesejahteraan hidup adalah bakat nafsu yang baik. Banyak pula bakat nafsu yang tidak
233 baik. Nafsu yang menginginkan seorang perempuan cantik tidak berhenti mengingininya walaupun perempuan itu sudah menjadi isteri orang lain. Sebab itulah nafsu yang tidak dikawal oleh iman sanggup merosakkan rumah tangga orang lain demi mencapai keinginannya. Begitu juga keinginan nafsu kepada kereta mewah. Ketika tidak mampu ia mendiamkan diri. Sebaik sahaja ada kemampuan, kereta mewah yang diingininya itulah yang pertama sekali dibelinya. Keinginan dan cita-cita nafsu tidak mudah berubah, tetapi rangsangan syaitan mudah berubah daripada satu kejahatan kepada kejahatan yang lain. Nafsu yang rendah merosakkan nilai-nilai murni kemanusiaan dan syaitan pula merosakkan kehambaan kepada Tuhan. Gabungan keduanya menjadikan manusia golongan yang engkar dan berbuat maksiat. Banyak sekali kerosakan yang berlaku kerana nafsu. Al-Quran menceritakan sebahagian daripadanya. Sesungguhnya nafsu ammarah sangat mengheret kepada kejahatan. (Ayat 53 : Surah Yusuf ) Nafsu pada peringkat yang paling rendah dan paling buruk dinamakan nafsu ammarah. Ammarah adalah sifat nafsu yang berkongsi dengan sifat syaitan, iaitu nafsu yang warnanya diresapi oleh warna syaitan. Nafsu pada peringkat ammarah berkedudukan sama dengan syaitan. Inilah nafsu yang sesat.
234 Tidakkah engkau perhatikan orang yang mengambil nafsunya sebagai tuhan dan dia disesatkan oleh Allah kerana Allah mengetahui (kejahatan hatinya), lalu ditutup Allah akan pendengarannya dan penglihatannya tertutup. ( Ayat 23 : Surah al-Jaathiyah ) Bahkan mereka mempertuhankan jin. ( Ayat 41 : Surah Saba’ ) Kesesatan nafsu boleh sampai kepada peringkat mempertuhankan jin. Syaitan adalah bangsa jin. Jin yang berbangsa syaitan inilah yang dipertuhankan oleh nafsu manusia. Bila nafsu lari dari sumbernya, iaitu roh yang suci murni dan ia bersyarikat pula dengan syaitan dari bangsa jin, berlakulah kerosakan pada akidah dan akhlak manusia. Dari segi akidah manusia boleh mempertuhankan nafsunya atau mempertuhankan jin atau mempertuhankan kedua-duanya sekali. Nafsu manusia dengan diri manusia (ego) adalah perkara yang sama. Mempertuhankan nafsu dan mempertuhankan ego diri adalah yang sama. Firaun dan Namrud mengaku menjadi tuhan. Mereka mempertuhankan nafsu. Qarun mengaku menjadi tuhan harta. Qarun juga mempertuhankan nafsu. Sebahagian manusia mempertuhankan roh. Mereka juga mempertuhankan nafsu. Ramai manusia menolak peraturan Allah s.w.t kerana mahu memuaskan nafsu mereka. Mereka juga termasuk di dalam golongan yang mempertuhankan nafsu. Pertuhanan nafsu yang paling halus adalah sifat riak, melakukan kebaikan untuk mendapat pujian orang ramai demi menaikkan ego nafsunya. Nafsu yang mempersekutukan dirinya dengan Tuhan itulah yang mengundangkan pertuhanan jin. Nafsu yang boleh masuk ke dalam alam khayal ciptaan syaitan mengambil bentuk-bentuk tuhan yang digubah oleh syaitan. Jin suka menjelma dalam bentuk haiwan seperti ular, gajah putih, kera dan lain-lain. Penjelmaan jin dalam bentuk haiwan itu dalam keadaan luar biasa, seperti ular berkepala tujuh, gajah bergading emas, kera sakti dan lain-lain yang menguatkan sangkaan manusia jahil bahawa itulah tuhan. Mereka yang menerima tuhan-tuhan yang demikian memanggilnya sebagai dewa-dewi, ratu,
235 puteri dan lain-lain. Itu semua adalah jin yang mengenakan tipu daya kepada manusia yang jahil tentang Tuhan. Kerosakan akidah yang berlaku kepada umat manusia berpunca daripada iblis yang memusuhi bangsa manusia sejak manusia yang pertama diciptakan oleh Allah s.w.t. Iblis telah bersumpah untuk menyesatkan keturunan Adam a.s. Al-Quran menceritakan: (Iblis) berkata: “Beri tempuh akan daku wahai Tuhanku, kerana aku akan menyesatkan mereka hingga hari kiamat.” Tuhan berfirman: “Kamu diberi tempuh.” Iblis berkata: “Oleh kerana aku telah sesat, maka aku akan halang mereka daripada jalanMu yang lurus. Aku datang kepada mereka dari hadapan, belakang, kanan dan kiri dan Engkau dapati kebanyakan mereka tidak mensyukuri Engkau. ( Ayat 14 – 17 : Surah al-A’raaf ) Hasil daripada gerakan iblis dan kuncu-kuncunya, iaitu syaitan, dan tewasnya nafsu manusia kepada mereka, maka terjadilah apa yang diceritakan oleh al-Quran:
236 Dalam hati mereka ada penyakit lalu ditambah Allah penyakit mereka dan bagi mereka azab yang pedih akibat dusta mereka. ( Ayat 10 : Surah al-Baqarah ) Dan sesungguhnya Kami telah sediakan untuk neraka jahanam beberapa ramai dari jin dan manusia. Mereka mempunyai hati tetapi tidak mengerti, mempunyai mata tetapi tidak melihat, mempunyai telinga tetapi tidak mendengar. Mereka adalah seperti haiwan bahkan lebih hina daripada itu dan mereka adalah orang-orang yang lalai. ( Ayat 179 : Surah al-A’raaf ) Kami jadikan manusia dalam bentuk yang paling baik kemudian kembalikan dia ke tempat yang paling rendah. ( Ayat 4 & 5 : Surah at-Tiin ) Dikunci Allah akan hati mereka dan pendengaran mereka dan penglihatan mereka tertutup. ( Ayat 7 : Surah al-Baqarah ) Manusia yang sudah parah dijangkiti oleh penyakit iblis akan mengikuti iblis kepada kedudukan yang paling buruk.
237 Itulah orang-orang yang dilaknat oleh Allah, maka ditulikan pendengaran mereka, dibutakan penglihatan mereka. Tidakkah mereka merenung al-Quran? Bahkan dalam hati mereka terdapat kunci-kunci. ( Ayat 23 & 24 : Surah Muhammad ) Azazil yang telah berbuat ibadat kepada Tuhan selama beribu tahun, apabila mendapat laknat dari Tuhan, bertukarlah keadaannya, terhapus semua ibadatnya yang telah lalu dan dia berubah menjadi iblis. Jika Tuhan melaknati seseorang manusia dia akan bertukar menjadi syaitan berbangsa manusia. Iblis, syaitan berbangsa jin dan syaitan berbangsa manusia akan menjadi penghuni neraka jahanam. Mereka kekal di dalamnya. Fitnah dan tipu daya yang menanti manusia di dalam dunia sangat besar dan bahaya. Setiap kelahiran keturunan Adam a.s akan disambut oleh syaitan yang menjadi bakat iblis. Cahaya syaitan akan mewarnai cermin hati manusia. Apa yang singgah pada hati akan berubah keasliannya. Hati manusia akan terlindung daripada menyaksikan yang benar. Hanya satu sahaja yang sangat berkesan memelihara dan membersihkan cermin hati daripada warna syaitan. Itulah syariat!
238 20: SYARIAT MENYELAMATKAN MANUSIA Sesudah itu Adam terima beberapa kalimat dari Tuhannya, lalu Dia ampunkannya kerana sesungguhnya Allah itu Pengampun dan Penyayang. Kami berkata: “Pergilah kamu sekalian dari (syurga) itu, kemudian jika datang petunjuk (agama) daripada-Ku dan sesiapa yang ikut petunjuk itu tidaklah ada ketakutan atas mereka dan tidaklah mereka berdukacita”. ( Ayat 37 & 38 : Surah al-Baqarah ) Hai Bani Adam! Sesungguhnya Kami telah turunkan atas kamu pakaian untuk menutup kemaluan kamu dan pakaian perhiasan dan juga pakaian takwa, ini lebih baik. Yang demikian itu adalah tanda-tanda (kurnia) Allah supaya kamu ingat. ( Ayat 26 : Surah al-A’raaf ) Nabi Adam a.s hanya dipakaikan dengan syariat apabila beliau a.s masuk ke dalam dunia. Beliau a.s tidak dibebankan dengan syariat sewaktu beliau a.s berada di dalam syurga. Syariat menjadi pakaian kebal yang dengannya keturunan Adam a.s boleh selamat daripada fitnah dan tipu daya dunia. Dunia adalah umpama racun dan syariat adalah penawarnya. Sesiapa yang masuk ke dalam dunia tanpa memakai syariat akan ditelan oleh dunia dan diheret kepada alam syaitan.
239 Syariat adalah peraturan atau sistem yang digubal oleh Allah s.w.t untuk dipatuhi oleh manusia dalam mengadakan perhubungan dengan Tuhan, dengan sesama manusia dan dengan makhluk lain dalam alam maya ini. Syariat sampai kepada umat manusia melalui manusia pilihan Tuhan yang berkedudukan sebagai nabi-nabi. Nabi-nabi bertanggungjawab menerima, memahami, mengamalkan dan menyebarkan syariat yang diturunkan oleh Allah s.w.t. Dasar syariat adalah taat kepada Allah s.w.t dengan mematuhi perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Peraturan yang terdapat dalam syariat yang dibawa oleh seorang Nabi harus ada perbezaan dengan peraturan yang terdapat dalam syariat yang dibawa oleh Nabi yang lain. Walaupun ada perubahan pada peraturan syariat tetapi tuntutan mentaati syariat tidak berubah. Syariat Nabi Daud a.s mengizinkan lelaki berkahwin seberapa ramai yang mereka mampu tetapi syariat Nabi Muhammad s.a.w menghadkan setakat 4 orang isteri sahaja dalam satu masa. Haram bagi umat Nabi Muhammad s.a.w berkahwin lebih daripada empat orang dalam satu masa, walaupun umat Nabi Daud a.s boleh berbuat demikian. Umat Nabi Muhammad s.a.w tidak boleh bersandar kepada syariat Nabi Daud a.s bagi berkahwin lebih daripada empat orang. Jika diperhatikan kepada tuntutan mentaati syariat yang dibawa oleh Nabi bagi satu-satu umat, dapatlah difahamkan bahawa dosa dan pahala yang dikatakan oleh syariat bukanlah kerana tidak melakukan atau melakukan peraturan semata-mata. Hukum dosa dan pahala bergantung kepada tidak mentaati atau mentaati Allah s.w.t berhubung dengan peraturan yang Dia tetapkan. Orang munafik boleh melakukan perbuatan sembahyang dengan sempurna, tetapi ia tidak disertakan dengan ketaatan kepada Allah s.w.t, maka perbuatannya itu tidak mendatangkan pahala. Darjah pahala bergantung kepada kekuatan taat dan dalam melakukan peraturan syariat itu dituntut supaya melakukannya dengan cara yang betul, tidak boleh membuat cara sendiri yang menyalahi peraturan syariat.
240 Bagi setiap umat telah Kami tetapkan upacara ibadat (syariat) yang mereka akan lalui. Maka janganlah sekali-kali mereka membantah engkau dalam perkara ini; dan serulah kepada Tuhan engkau. Sesungguhnya engkau adalah di atas petunjuk yang lurus. ( Ayat 67 : Surah al-Hajj ) Umat satu nabi wajib berpegang kepada syariat yang dibawa oleh nabi tersebut, tidak boleh lari kepada syariat nabi yang lain, melainkan telah datang nabi lain yang membawa syariat yang lebih lengkap dan sempurna. Apabila datang Nabi Muhammad s.a.w sekalian umat manusia wajib berpegang kepada syariat yang dibawa oleh baginda s.a.w. Umat Nabi Muhammad tidak boleh meninggalkan syariat baginda s.a.w kerana mahu mengikuti Nabi-nabi yang terdahulu. Umat Nabi Muhammad s.a.w wajib berpegang kepada firman Allah s.w.t: Hari ini Aku sempurnakan agama kamu bagi kamu dan Aku cukupkan atas kamu nikmat-Ku. Dan Aku reda Islam menjadi agama (syariat) kamu. ( Ayat 3 : Surah al-Maa’idah ) Umat Nabi Muhammad s.a.w sangat bertuah kerana Allah s.w.t telah kurniakan kepada mereka nikmat yang lengkap iaitu agama Islam, sehingga mereka tidak perlu lagi merujuk kepada apa yang telah diturunkan terdahulu. Allah s.w.t menjamin bahawa Dia reda menerima Islam sebagai agama bagi umat Nabi Muhammad s.a.w. Jaminan Allah s.w.t itu sudah cukup bagi orang yang benar-benar mencari keredaan
241 Allah s.w.t untuk tetap berjalan di atas landasan yang telah dibina oleh Islam. Islam adalah perlembagaan yang cukup lengkap, mencakupi perkara zahir dan juga perkara batin. Islam telah menjelaskan apa yang mesti dibuat dan apa yang mesti tidak dibuat dan bagaimana mahu bertindak menghadapi sesuatu perkara. Umat Islam tidak perlu bertengkar tentang penyelesaian sesuatu masalah. Segala penyelesaian sudah dibentangkan, hanya tegakkan iman dan rujukkan kepada Islam itu sendiri, nescaya segala kemusykilan akan terjawab. Setiap umat Islam dituntut supaya beriman kepada peraturan yang Tuhan telah tetapkan, mempelajarinya, mengamalkannya dan menyebarkannya sekadar kemampuan masing-masing. Hubungan kaum Muslimin dengan syariat Islam adalah percaya, mempelajari dan melaksanakan. Oleh kerana darjat zahir dan rohani manusia tidak serupa maka terdapatlah perbezaan tahap kepercayaan, pengetahuan dan kekuatan melaksanakannya. Perbezaan tersebut menyebabkan umat Islam mudah bersepakat dalam perkara pokok, bertolak ansur pada perkara cabang dan tidak bersefahaman pada perkara ranting. Kegoncangan pada ranting tidak seharusnya menggoncangkan pokok perpaduan umat Islam. Perbezaan pada tumpuan pelaksanaan tidak seharusnya menyekat kerjasama sesama Muslim. Masalah khilafiah tidak seharusnya menjarakkan kumpulan yang berlainan mazhab. Al-Quran yang sampai kepada kita sekarang ini mengandungi 6,666 ayat. Tidak mungkin ada orang Islam masa ini yang mampu menyesuaikan dirinya dengan 6,666 ayat tersebut sekaligus, dengan serta merta atau dalam jangka masa yang singkat. Rasulullah s.a.w membawa pengikutpengikut baginda s.a.w ‘ke dalam’ al-Quran secara berperingkat-peringkat dan baginda s.a.w mengambil masa lebih daripada dua puluh tahun untuk membawa mereka ‘berjalan di dalam’ 6,666 ayat tersebut. Allah s.w.t dan Rasul-Nya sangat berhikmah di dalam mendidik umat manusia. Pada masa berlaku peperangan Badar arak masih belum diharamkan. Sebahagian daripada syuhada Badar terdiri daripada mereka yang kuat
242 meminum arak tetapi Allah s.w.t, dengan kasihan belas dan rahmat-Nya, menerima sekalian ahli Badar sebagai ahli syurga. Rasulullah s.a.w memberi tumpuan kepada akidah, diikuti oleh akhlak. AlQuran mengajarkan beriman, kemudian beramal salih. Allah s.w.t memperingatkan bahawa Dia mengampunkan segala dosa, termasuk dosa zina, meminum arak dan sebagainya tetapi Dia tidak mengampunkan dosa syirik. Umat manusia harus diselamatkan daripada dosa yang tidak diampunkan Tuhan terlebih dahulu sebelum dosa yang Tuhan ampunkan. Golongan Muslim yang berilmu berkewajipan menyelamatkan golongan Muslim yang jahil daripada lembah syirik. Dalam berbuat demikian perbezaan fahaman tidak boleh dijadikan penghalang. Puak yang berkuasa dan puak yang berilmu sama-sama akan disoal oleh Tuhan nanti apakah yang mereka buat bagi membersihkan akidah umat manusia. Puak berilmu tidak boleh memberi alasan yang puak berkuasa tidak menerima nasihat. Tanggungjawab ahli ilmu tidak terlepas dengan alasan yang demikian. Dengan sedikit ‘suntikan’ daripada puak yang berilmu akan menjadikan puak yang berkuasa boleh melakukan berbagai-bagai perkara demi kebaikan syariat Tuhan. Dengan sedikit tolak-ansur daripada puak yang berkuasa akan membolehkan puak yang berilmu menyampaikan banyak perkara demi syariat Tuhan. Muslim yang mempunyai kesedaran dan kemampuan haruslah mengkaji dengan mendalam apakah yang terlebih terdesak diperlukan oleh umat Islam masa kini. Setelah mengetahui penyakit semasa yang melanda umat Islam itu puak berilmu dan puak berkuasa sama-sama berkewajipan mencari penawar di antara 6,666 ayat al-Quran. Penawar yang diperlukan dengan segera itulah yang mesti dihulurkan kepada orang ramai terlebih dahulu. Mengubati penyakit secara bersistematik lebih berkesan daripada mengubati semua jenis penyakit sekaligus. Syariat telah menyediakan segala jenis ubat untuk semua jenis penyakit. Ahli ilmu dan pemerintah haruslah faham menyusun jadual pengubatan umat.
243 Kita perlu menjiwai Islam untuk merasai nikmat Islam yang Tuhan kurniakan. Orang Islam bukan sahaja mendukung Islam untuk dirinya sahaja malah dia juga mendukung Islam untuk ahlinya, saudara-saudara Muslim yang lain dan juga umat manusia seluruhnya. Kewajipan manusia adalah melakukan apa yang Tuhan aturkan dengan penuh ketaatan kepada-Nya, sementara hak mengatur diserahkan kepada Allah s.w.t. Sekiranya Allah s.w.t mengaturkan seseorang itu menjadi alim dan mendapat kuasa ketika masyarakat Islam sedang menghadapi ancaman perang, orang alim dan berkuasa itu berkewajipan membuka syariat bahagian jihad, keperluan memperkuatkan ketenteraan, strategi peperangan dan lain-lain yang bersangkutan dengan perang, terlebih dahulu daripada bahagian syariat yang lain. Mengajar cara pembahagian harta pusaka kepada orang yang sedang bersiap ke medan perang adalah kurang sesuai. Dalam tabligh (menyampaikan), bukan sahaja perlu ada siddik dan amanah, malah perlu juga ada fatanah (kebijaksanaan). Rasulullah s.a.w bertabligh secara siddik, amanah dan fatanah. Setelah berjaya menawan Makkah baginda s.a.w memaafkan secara beramairamai orang Makkah yang pernah berperang menentang baginda s.a.w. Baginda s.a.w tidak ghairah melakukan hukum qisas. Beberapa orang yang baginda s.a.w telah umumkan untuk dibunuh pun kemudiannya baginda s.a.w maafkan. Kemaafan daripada baginda s.a.w telah menarik orang-orang yang bersalah itu kepada Islam. Sekiranya baginda s.a.w telah melakukan hukuman bunuh tentu ramai daripada orang Makkah yang mati sebagai orang kafir musyrik. Kebijaksanaan baginda s.a.w telah menyelamatkan ramai manusia daripada azab neraka. Allah s.w.t menghargai orang alim yang menggunakan kebijaksanaan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat Islam. Pelaksanaan peraturan Tuhan kepada umat manusia yang tidak mengerti haruslah dengan kasih sayang, belas kasihan dan simpati. Bukankah Rasulullah s.a.w telah mendoakan bagi penduduk Taif yang mengkasari baginda s.a.w dengan doa yang baik: “Wahai Tuhan. Maafkan mereka kerana mereka tidak mengerti”.
244 Rasulullah s.a.w mengerti setakat mana pengikut baginda s.a.w mampu memikul beban. Baginda s.a.w tidak meletakkan beban melebihi keupayaan mereka. Sebab itulah dakwah baginda s.a.w berjaya. Baginda s.a.w telah memberi contoh, ketika berdakwah di Makkah, bilangan kaum Muslimin masih sangat sedikit. Baginda s.a.w tidak menggerakkan kaum Muslimin supaya berperang dengan kaum musyrikin. Jika baginda s.a.w berbuat demikian tentu sahaja kaum Muslimin akan terhapus sebelum agama Islam sempat berkembang di atas muka bumi. Umat Islam dituntut melaksanakan syariat Tuhan secara bijaksana. Serahkan urusan mentadbir kepada Tuhan. Kaum Muslimin perlu bertindak sesuai dengan pentadbiran Tuhan. Umat Islam yang tinggal di negeri yang sering dilanda banjir dituntut menyediakan kelengkapan banjir, tidak dituntut menyediakan kelengkapan gempa bumi. Dalam menguruskan hal-ehwal kaum Muslimin secara bijaksana, Muslim yang ditakdirkan berkuasa dengan Muslim yang ditakdirkan berilmu wajib bekerjasama demi mencari keredaan Allah s.w.t. Syariat mengajarkan prinsip satu untuk ramai kerana Allah s.w.t. Lelaki bertanggungjawab menyelamatkan dirinya dan ahlinya daripada api neraka. Orang yang berharta berkewajipan mengeluarkan zakat bagi membantu orang miskin. Orang yang memiliki makanan yang cukup perlu mempastikan jirannya tidak tidur dalam kelaparan. Orang yang berilmu berkewajipan mengajar orang yang jahil. Orang yang berkuasa berkewajipan melindungi orang yang lemah. Setiap anggota masyarakat perlu menyumbangkan sesuatu untuk kesejahteraan masyarakatnya. Syariat Islam mengajarkan supaya menyebarkan yang makruf dan mencegah yang munkar. Muslim diajar supaya mengasihani orang yang dizalimi dan juga orang yang berbuat kezaliman. Mengasihani orang yang dizalimi adalah dengan cara menyelamatkannya daripada kezaliman dan mengasihani orang yang berbuat zalim adalah dengan cara menyekatnya daripada berbuat kezaliman atau setidak-tidaknya menasihatinya. Dalam menyebarkan yang makruf dan mencegah yang munkar tidak ada istilah ‘menjaga tepi kain orang lain’.
245 Satu perkara yang sangat diberati oleh syariat adalah perbuatan menzalimi diri sendiri. Tuhan memberi ancaman yang keras terhadap mereka yang melakukan kezaliman terhadap diri mereka. Syariat Islam melarang kaum Muslimin sengaja mencampakkan diri mereka kepada kebinasaan walaupun atas alasan berserah kepada takdir. Rasulullah s.a.w menyuruh kaum Muslimin mengikat unta mereka terlebih dahulu baharulah bertawakal. Umar al-Khattab melarang orang ramai memasuki kampung yang sedang dilanda wabak taun dan pergi ke kampung yang tidak ada taun. Lari daripada takdir yang memudaratkan dan pergi kepada takdir yang mensejahterakan masih lagi dalam medan takdir. Maksud menzalimi diri sendiri sangat luas. Zalim adalah lawan kepada adil. Maksud adil adalah meletakkan sesuatu pada kedudukan yang benar dan layak baginya. Jika meletakkan sesuatu pada kedudukan yang tidak benar dan tidak layak, ia dinamakan zalim. Menggunakan pancaindera yang dikurniakan Tuhan untuk melakukan perbuatan yang dilarang oleh Tuhan adalah melakukan kezaliman kepada pancaindera atau diri sendiri. Kezaliman yang paling besar dilakukan oleh hamba Tuhan adalah meletakkan Tuhan pada taraf yang tidak benar dan tidak layak bagi-Nya. Ketuhanan Allah s.w.t meliputi bidang penyembahan, pematuhan, pemujaan, penyayangan dan kebaktian. Ada batas yang mesti dipelihara agar tidak terjadi perbuatan yang menurunkan taraf ketuhanan Allah s.w.t daripada yang sepatutnya. Batas tersebut juga dipelihara agar apa sahaja yang selain Tuhan tidak sampai kepada taraf tersebut. Jangan sekali-kali terjadi penyembahan, perhambaan, ketaatan, pemujian dan penyayangan hak ketuhanan Allah s.w.t turun daripada taraf ketuhanan-Nya dan jangan pula yang selain Tuhan naik kepada taraf ketuhanan. Jika percerobohan dilakukan maka perbuatan yang demikian dikatakan menzalimi hak ketuhanan Allah s.w.t dan ia diistilahkan sebagai syirik. Syirik adalah menyengutukan hak ketuhanan Allah s.w.t dengan sesuatu yang lain. Meletakkan taraf Isa al-Masih sebagai anak Tuhan adalah syirik. Menganggap Uzair sebagai anak Tuhan adalah syirik. Mengiktikadkan Nur Muhammad sebagai penjelmaan Tuhan atau Tuhan sendiri adalah syirik.
246 Nur Muhammad bukanlah Allah s.w.t sebagaimana Isa al-Masih (zahirnya atau rohaninya iaitu nurnya) bukan anak Allah s.w.t. Mematuhi guru dengan sepenuh jiwa raga sehingga perkara haram dihalalkan dan perkara halal diharamkan masih juga dipatuhi, pun termasuk di dalam perbuatan syirik. Mencari rezeki yang baik tetapi dengan meninggalkan hak ketuhanan Allah s.w.t yang wajib dilaksanakan juga berunsur syirik. Kasih sayang sesama makhluk yang menyebabkan tenggelam hukum dan peraturan Tuhan juga berunsur syirik. Besar atau kecilnya syirik itu bergantung kepada sejauh mana hak ketuhanan Allah s.w.t dicerobohi. AlQuran menceritakan beberapa keadaan syirik. Dan berkata orang-orang Yahudi: “Uzair anak Allah”. Dan berkata orang-orang Nasrani: “Al-Masih anak Allah”. Demikian itulah kata-kata mereka dengan mulut mereka; menyerupai perkataan orang-orang kafir yang dahulu. Diperangi Allah akan mereka. Bagaimana mereka dapat dipalingkan? Telah mereka ambil guru-guru mereka dan pendetapendeta mereka menjadi Tuhan selain Allah dan (juga) al-Masih anak Maryam; padahal tidaklah mereka diperintahkan melainkan supaya menyembah kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa, tidak ada Tuhan melainkan Dia. Maha Suci Dia dari apa yang mereka sekutukan. ( Ayat 30 & 31 : Surah at-Taubah )
247 Bahkan mereka mempertuhankan jin. ( Ayat 41 : Surah Saba’ ) Tidakkah engkau perhatikan mereka yang mempertuhankan nafsu mereka? Maka apakah engkau boleh jadi pemelihara atas mereka? ( Ayat 43 : Surah al-Furqaan ) Selain yang dinyatakan di atas al-Quran juga menceritakan beberapa perkara yang boleh menggelincirkan manusia kepada syirik. Katakanlah: “Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, isteri-isteri kamu, kaum keluarga kamu, harta yang kamu dapati, perniagaan yang kamu takut akan mundur dan tempat kediaman yang kamu sukai, lebih tercinta kepada kamu daripada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad pada jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan ketentuanNya. Dan Allah itu tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang fasik”. ( Ayat 24 : Surah at-Taubah ) Syirik adalah kezaliman yang paling besar boleh dilakukan oleh seseorang kepada dirinya sendiri, bukan kepada Tuhan. Tuhan tidak cedera lantaran
248 manusia berbuat syirik dan tidak beruntung Tuhan jika manusia berbakti kepada-Nya. Apa yang manusia lakukan memberi keuntungan atau kerugian kepada dirinya sendiri, bukan kepada Tuhan. Syirik adalah kerugian manusia yang paling besar kerana Allah s.w.t sangat tegas menghadapi orang yang berbuat syirik. Oleh itu tugas seseorang Muslim adalah menghapuskan syirik pada dirinya dan juga pada saudara-saudara Muslimnya yang lain. Tugas utama penguasa Muslim dan ulama Muslim juga demikian. Syirik adalah musuh utama umat manusia. Di dalam berjihad menentang kemusyrikan kaum Muslimin mestilah bersatu sekalipun mereka tidak boleh bersatu dalam bidang yang lain. Selain syirik, syariat juga menekankan soal perbuatan munkar. Kerosakan akidah dinamakan syirik dan kerosakan akhlak dinamakan perbuatan munkar. Dalam soal kemunkaran, rujukannya secara umum adalah fitrah kemanusiaan, nilai-nilai murni kemanusiaan yang dipersetujui oleh syarak. Fitrah kemanusiaan yang sejati sangat hampir dengan fitrah Muslim, tetapi jarang yang sampai kepada tahap kesedaran fitrah yang sejati kerana bakat fitrah mereka dihijab oleh kemampuan berfikir yang terhad, pengaruh pendidikan, pengalaman dan sebagainya. Sekalipun manusia boleh sampai kepada tahap kesedaran fitrah yang sejati namun, ia belum boleh dikatakan fitrah Muslim kerana ia tidak berkeupayaan menyingkap tentang Tuhan. Ia mesti tunduk kepada perkhabaran yang datang daripada Tuhan baharulah fitrah kemanusiaan yang sejati itu beroleh kedudukan sebagai fitrah Muslim. Fitrah kemanusiaan yang sejati hanya memerlukan iman untuk menjadikannya fitrah Muslim. Nilai-nilai murni kemanusiaan yang disertai iman menjadi rujukan dalam menentukan sesuatu perkara itu munkar atau tidak. Perbuatan munkar adalah perbuatan yang menyalahi akhlak Muslim. Perbuatan yang sesuai dengan akhlak Muslim dan dilakukan dengan disertai iman, dinamakan perbuatan makruf. Perbuatan makruf termasuk dalam kategori amal salih. Amal yang tidak salih itulah yang munkar.
249 Amal yang tidak salih secara automatiknya adalah amal yang munkar, tetapi amal yang pada zahirnya kelihatan salih belum tentu ianya salih. Ia hanya menjadi salih jika ia disertai oleh iman. Tidak ada amal salih tanpa iman. Sebab itulah sistem yang digubal oleh cerdik pandai bukan Islam, walaupun sesuai dengan nilai-nilai murni kemanusiaan, jika diambil bulat-bulat ia tidak mampu melahirkan amal salih kerana tidak ada dasar iman padanya. Itulah punca kegagalan badan dunia menyebarkan perkara makruf dan mencegah yang munkar. Umat Islam sendiri jika menggubal sistem yang tidak berlandaskan iman akan menemui kegagalan yang serupa. Kemunkaran hanya boleh dihancurkan oleh kekuatan iman. Fitrah kemanusiaan yang tidak disertakan iman tidak dapat melihat rasional di sebalik kebanyakan peraturan syariat, terutamanya dalam bidang penghakiman dan penghukuman terhadap orang yang melakukan jenayah. Penghukuman menurut syarak biasanya dipandang sebagai keterlaluan, di luar peri kemanusiaan. Fitrah kemanusiaan hanya memandang kepada sekop kehidupan dunia sahaja, sedangkan syarak mengenakan hukuman yang berat di dalam dunia bagi menyelamatkan pesalah daripada hukuman berat di akhirat. Syarak melihat dunia sebagai kehidupan yang sangat singkat sementara akhirat adalah kehidupan yang abadi. Menderita dalam tempuh yang singkat lebih baik daripada menderita berkekalan. Tuhan tidak suka menghukum hamba-Nya dua kali. Hamba-Nya yang telah menjalani hukuman menurut syarak tidak perlu lagi dihukum di akhirat. Atas dasar inilah hukuman menurut syarak dipandang berat menurut nilai kemanusiaan sejagat. Syariat memberi penumpuan kepada penyucian akidah dan akhlak. Akidah yang bersih daripada syirik menjadi dasar syariat. Akhlak yang mulia menjadi pengapit kepada akidah yang benar. Apabila dua perkara ini sudah teguh baharulah perkara-perkara lain boleh berdiri dengan tegap. Selama tiga belas tahun berdakwah di Makkah Nabi Muhammad s.a.w menumpukan soal akidah dan akhlak. Bidang syariat yang lain banyak dipraktikkan setelah baginda s.a.w berhijrah ke Madinah.
250 Bidang syariat yang paling penting adalah pengajaran tentang Tuhan dan pengabdian kepada-Nya. Syariat mengajarkan bahawa Allah s.w.t adalah Tuhan Yang Maha Esa. Dia adalah pergantungan sekalian makhluk, tidak ada makhluk yang merdeka daripada-Nya. Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan. Tidak ada sesiapa boleh mendakwakan bahawa dirinya adalah sebahagian daripada Tuhan. Dia tidak serupa dengan sesuatu dan Dia Mendengar serta Melihat. Dia menguasai seluruh alam maya. Syariat memperkenalkan Tuhan dalam dua aspek penting. Dalam aspek pertama syariat menceritakan bahawa Tuhan adalah Maha Kaya dari seluruh alam. Tuhan tidak memerlukan apa-apa daripada sesiapa pun. Tuhan tidak bergantung kepada sesuatu. Tuhan tidak ditanya tentang apa yang Dia lakukan tetapi makhluk ditanya tentang apa yang mereka perbuat. Syariat juga mengajarkan bahawa jika manusia bersyukur maka kebaikan syukur itu pergi kepadanya, bukan kepada Tuhan. Jika manusia kufur ia memudaratkan diri manusia sendiri, tidak menjejaskan ketuhanan Allah s.w.t. Dalam aspek kedua syariat memperkenalkan Tuhan sebagai pergantungan sekalian makhluk, Dia melakukan apa yang Dia kehendaki kepada makhluk-Nya. Dia meletakkan ketentuan kepada setiap yang Dia ciptakan. Semua makhluk tidak berupaya mengubah ketentuan yang telah Tuhan tetapkan pada azali. Semua makhluk tunduk patuh kepada ketentuan-Nya. Gabungan dua aspek tersebut menceritakan bahawa Allah s.w.t adalah Tuhan Yang Maha Kaya dari segala sesuatu, tidak berkehendakkan apa-apa pun daripada sesiapa pun, tetapi sekalian makhluk bergantung, berhajat dan berkehendak kepada-Nya. Begitulah dasar akidah seorang Muslim yang disimpulkan dengan kalimah: Bagi menghuraikan dasar akidah tersebut diadakan pengajian sifat dua puluh. Sifat dua puluh dan apa jua sifat yang dinisbahkan kepada Allah s.w.t, termasuklah nama-nama-Nya, tertakluk kepada dasar: