The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

e-Prosiding Seminar Penyelidikan Pendidikan Pelajar Semester Akhir PISMP Sains Ambilan Jun 2017

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Muhd Fariz Ismail, 2021-10-17 23:58:23

Seminar Penyelidikan Pendidikan PISMP Ambilan Jun 2017

e-Prosiding Seminar Penyelidikan Pendidikan Pelajar Semester Akhir PISMP Sains Ambilan Jun 2017

Keywords: prosiding,ipgkpt,seminar semester 8

FOKUS KAJIAN

Berdasarkan refleksi pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan, fokus kajian tindakan saya
adalah berkaitan tentang kelemahan saya iaitu semasa mengendalikan aktiviti berkumpulan di mana
tidak semua murid menunjukkan penglibatan sepenuhnya sewaktu aktiviti kumpulan. Oleh itu, saya ingin
menambah baik cara meningkatkan penglibatan murid dalam aktiviti kumpulan dengan menggunakan
aplikasi Jamboard.

Aplikasi Jamboard adalah salah satu aplikasi papan putih atas talian yang berupaya meningkatkan
komunikasi, kolaborasi, pemikiran kritis dan kreativiti dalam kalangan murid (Vecchione, 2019). Menurut
kajian Hernandez (2020), menyatakan bahawa aplikasi Jamboard yang digunakan sewaktu aktiviti
berkumpulan dapat meningkatkan kolaborasi murid sewaktu pembelajaran atas talian dijalankan. Oleh
itu, saya ingin menggunakan aplikasi Jamboard untuk melibatkan murid secara aktif sewaktu aktiviti
berkumpulan semasa PdPR Sains. Kajian ini memerlukan kolaborasi antara saya dan guru pembimbing.
Ini kerana penglibatan guru pembimbing sebagai guru pakar diperlukan untuk membantu menilai
pengajaran saya apabila menggunakan aplikasi Jamboard serta sebagai pakar rujuk dalam kajian ini.
Kajian ini juga mudah ditadbir di rumah kerana aplikasi Jamboard boleh dilaksanakan secara atas talian
menggunakan telefon pintar masing-masing. Melalui aplikasi Jamboard murid dapat berbincang di dalam
kumpulan walaupun berada di lokasi yang berbeza. Seterusnya, kepentingan kajian ini adalah memberi
alternatif kepada para guru umumnya dan guru sains khususnya cara melaksanakan aktiviti kumpulan
semasa PdPR melalui aplikasi papan putih atas talian supaya setiap murid dapat melibatkan diri secara
aktif sewaktu aktiviti PdPR dijalankan.

Oleh itu, aplikasi Jamboard dijangkakan berupaya menambah baik amalan pengajaran saya dalam
meningkatkan penglibatan murid dalam aktiviti kumpulan. Pengendalian aktiviti kumpulan dengan
menggunakan aplikasi Jamboard dijangka dapat meningkatkan penglibatan murid dalam aktiviti
kumpulan semasa PdPR apabila setiap murid boleh berinteraksi, berkolaborasi dan berbincang secara
serentak melalui telefon pintar masing-masing walaupun berada di lokasi yang berbeza.

OBJEKTIF KAJIAN
Objektif kajian ini adalah untuk menambah baik cara saya mengendalikan aktiviti kumpulan semasa
PdPR Sains dengan menggunakan aplikasi Jamboard supaya meningkatkan penglibatan murid dalam
aktiviti kumpulan.

SOALAN KAJIAN
• Bagaimanakah saya dapat menambah baik cara pengendalian aktiviti kumpulan semasa PdPR
Sains dengan menggunakan aplikasi Jamboard?
• Bagaimanakah penglibatan murid dalam aktiviti kumpulan dapat ditingkatkan apabila saya
menggunakan aplikasi Jamboard semasa melaksanakan PdPR Sains?

PESERTA KAJIAN
Peserta kajian terdiri daripada murid Tahun 5 seramai 45 orang murid terdiri daripada 20 murid lelaki dan
25 murid perempuan. Pencapaian akademik bagi Subjek Sains mereka adalah secara heterogeneous.
Selain itu, semua murid di kelas Tahun 5 merupakan bangsa melayu, yang memudahkan untuk murid
melakukan aktiviti perbincangan dan memahami arahan yang diberikan oleh saya. Akhir sekali, murid
kelas Tahun 5 mempunyai latar belakang sosio ekonomi yang pelbagai.

100

TINDAKAN YANG DIJALANKAN
Saya telah memilih Model Kurt Lewin (1946) untuk melaksanakan kajian tindakan ini dan kajian ini hanya
dilaksanakan dalam satu lingkaran seperti Rajah 1. Kitaran ini akan berterusan ke kitaran yang
seterusnya yang melibatkan merancang semula, bertindak, memerhati dan mereflek bagi menghasilkan
kitaran baru.

Merancang

Refleksi Tindakan

Pemerhatian

Rajah 1: Model Penyelidikan Tindakan Kurt Lewin (1946).

LANGKAH-LANGKAH TINDAKAN
Terdapat lima langkah yang digunakan oleh saya sewaktu menggunakan aplikasi Jamboard bersama
murid. Antara langkahnya ialah fasa persediaan guru, fasa penerangan guru, fasa pembahagian
kumpulan oleh guru, fasa fikir bersama dan fasa jawab..

KAEDAH PENGUMPULAN DATA
Bagi mengumpul data, saya menggunakan tiga kaedah pengumpulan data iaitu temu bual, senarai
semak pemerhatian dan refleksi kendiri. Data yang diperolehi daripada ketiga-tiga kaedah tersebut
adalah data kualitatif.

1. Temu bual
Saya telah memilih 4 orang murid secara rawak untuk ditemu bual untuk mengumpul data dan dianalisis
dengan menggunakan kaedah kualitatif. Alat rakaman telah digunakan untuk merakam temu bual
bersama murid supaya dapat mengulang jawapan murid dan mengekalkan keasliaan. Seterusnya saya
mengekod data yang diperoleh dan mengkategorikan data bagi mengenal pasti tema-tema yang muncul.

2. Senarai Semak
Melalui pemerhatian, saya dapat melihat tingkah laku dan penglibatan murid sewaktu aktiviti kumpulan
dijalankan melalui senarai semak yang diberikan. Guru pembimbing akan memerhatikan perubahan
tingkah laku murid sewaktu PdPR. Melalui senarai semak yang digunakan oleh saya telah memudahkan
saya untuk menganalisis data yang diperoleh kerana semua data direkodkan pada borang senarai
semak.

3. Refleksi kendiri
Kaedah refleksi kendiri untuk mengetahui secara terperinci amalan saya sewaktu menggunakan aplikasi
Jamboard ketika PdPR. Melalui refleksi kendiri yang dilakukan oleh saya selepas habis PdPR, saya
telah merekod data dengan menulis secara terperinci mengenai penglibatan dan tingkah laku murid
sepanjang aktiviti kumpulan dijalankan menggunakan aplikasi Jamboard

DAPATAN KAJIAN

Hasil daripada triangulasi data melalui tiga kaedah berbeza iaitu temu bual murid, senarai semak guru
pembimbing dan refleksi PdP guru menunjukkan bahawa saya telah berjaya menambah baik cara
pengendalian aktiviti kumpulan serta penglibatan murid sewaktu PdPR Sains menggunakan aplikasi
Jamboard juga telah dapat ditingkatkan.

101

Hasil pengumpulan data dan selepas dianalisis melalui tiga kaedah iaitu temu bual, senarai semak
pemerhatian dan refleksi kendiri telah menunjukkan bahawa penggunaan aplikasi jamboard telah berjaya
meningkatkan meningkatkan penglibatan murid semasa pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR)
sains. Berdasarkan semua data yang dikumpulkan, selepas menjalankan triangulasi data saya
mendapati ketiga-tiga bentuk data yang dikumpulkan adalah saling menyokong antara satu sama lain.
Secara tidak langsung tema yang telah dikenal pasti telah berjaya menjawab soalan kajian. Melalui
analisis dan interpretasi data, terdapat beberapa dapatan kajian yang berjaya diperoleh.

Dapatan kajian pertama adalah pengendalian aktiviti kumpulan oleh saya telah dapat ditambahbaik. Saya
dapat simpulkan pengendalian aktiviti kumpulan yang diaplikasi oleh saya adalah berkesan kerana
sumber PdP iaitu aplikasi jamboard yang digunakan mudah dikendalikan, pembahagian kumpulan yang
dilakukan oleh saya adalah secara heterogen dan saya memberikan bimbingan berterusan kepada murid
untuk memotivasikan murid belajar serta melibatkan diri sewaktu aktiviti kumpulan. Jelaslah bahawa
terdapat tiga tema yang telah dikenal pasti bagi menjawab soalan kajian pertama iaitu sumber PdP,
peluang yang adil dan bimbingan berterusan. Oleh itu, saya dapat menjawab persoalan kajian saya yang
pertama.

Seterusnya, dapatan kajian yang kedua adalah penglibatan murid sewaktu PdPR Sains dengan
menggunakan aplikasi Jamboard telah meningkat. Saya dapat simpulkan penglibatan murid dalam
aktiviti kumpulan telah dapat ditingkatkan kerana kolaborasi antara murid telah berlaku sewaktu aktiviti
kumpulan dijalankan pada paparan Jamboard kerana mereka berbincang bersama - sama, murid juga
telah memberikan tumpuan sewaktu aktiviti kumpulan dan motivasi murid telah dapat diterapkan. Hal ini
menyebabkan murid telah melibatkan diri secara aktif kerana mereka menunjukkan tingkah laku yang
positif. Oleh itu, saya dapat menjawab persoalan kajian saya yang kedua.
Sebagai kesimpulannya, saya telah berjaya meningkatkan penglibatan murid apabila menggunakan
aplikasi Jamboard semasa mengendalikan aktiviti kumpulan dari segi sumber PdP, peluang yang adil,
bimbingan, kolaborasi murid, fokus murid dan motivasi murid.

REFLEKSI

Berdasarkan kajian yang telah dilakukan, saya telah dapat menambah baik pengendalian aktiviti
kumpulan untuk meningkatkan penglibatan murid sewaktu aktiviti kumpulan. Saya dapat melaksanakan
aktiviti berkumpulan walaupun murid berada di lokasi berlainan iaitu di rumah masing-masing dengan
berbantukan aplikasi Jamboard. Walaupun tidak bersemuka, interaksi dua hala telah berlaku antara
murid dan guru serta antara murid dan murid.

Semua murid telah menunjukkan kerjasama dalam satu kumpulan tanpa meminggirkan rakan mereka
bagi melengkapkan tugasan yang diberikan kerana pembahagian kumpulan yang dilakukan adalah
secara heterogen. Tambahan pula, aplikasi Jamboard yang mudah dikendalikan juga telah menarik minat
murid sewaktu aktiviti dijalankan. Murid telah menunjukkan reaksi yang gembira apabila saya
menggunakan aplikasi ini kerana mereka dapat memberikan respons secara serentak.
Seterusnya, murid yang pandai juga tidak lagi mendominasi tugasan kumpulan kerana saya telah
memberikan peluang kepada semua murid untuk melakar jambatan pada paparan Jamboard. Maka,
saya berasa gembira kerana pelaksanaan aktiviti kumpulan yang dilakukan oleh saya melalui kajian ini
tidak berlakunya dominasi oleh murid yang sama kerana semua murid telah dapat melibatkan diri
sewaktu aktiviti kumpulan. Saya percaya melalui peluang sama rata yang diberikan kepada semua murid
dapat menggalakkan murid untuk melibatkan diri sewaktu aktiviti kumpulan kerana semua murid
berpeluang untuk mengambil bahagian dalam aktiviti pembelajaran.

Akhir sekali, saya merasa gembira kerana semua murid telah memberikan tumpuan sepenuhnya
sewaktu aktiviti dijalankan yang mendorong mereka melibatkan diri sewaktu aktiviti kumpulan dijalankan.
Saya juga telah menyedari motivasi kepada murid juga penting diberikan supaya murid lebih berminat
dan memberikan tumpuan sewaktu PdP. Saya telah memberikan peneguhan positif kepada murid
sewaktu murid membantu rakan mereka dan melengkapkan tugasan kumpulan yang diberikan. Murid
yang mempunyai motivasi untuk belajar akan secara sendirinya terdorong supaya lebih fokus terhadap
apa yang diajar oleh guru. penggunaan aplikasi Jamboard sebagai sumber PdP telah menarik minat

102

murid dan mendorong mereka untuk memberikan tumpuan sewaktu aktiviti kumpulan. Ini disokong dalam
keratan akhbar Berita Harian Online (2020) menyatakan murid dapat memberikan tumpuan sewaktu
pembelajaran apabila guru menggunakan bahan pembelajaran yang menarik.

Saya percaya melalui kajian ini saya telah dapat menambah baik cara saya mengendalikan aktiviti
kumpulan semasa PdPR Sains dengan berkesan dan setiap murid telah dapat melibatkan diri secara
aktif dalam aktiviti kumpulan. Justeru, sesi PdPR juga telah menjadi lebih seronok dan berjalan dengan
lancar kerana mereka melibatkan diri secara aktif sewaktu aktiviti kumpulan.

CADANGAN TINDAKAN SUSULAN

Hasil daripada kajian yang telah dijalankan, terdapat beberapa penambahbaikan yang boleh dilakukan
untuk kajian seterusnya. Antaranya ialah dengan mengintegrasikan sistem ganjaran sewaktu
melaksanakan aktiviti pada paparan Jamboard. Melalui sistem mata kumpulan yang diaplikasikan akan
meningkatkan lagi penglibatan murid serta menggalakkan murid untuk menunjukkan tingkah laku yang
positif sewaktu pembelajaran dijalankan.

Selain itu, penambahbaikan yang boleh dilakukan adalah memberikan peranan kepada murid dan
mengaplikasikan teknik panggil nombor. Secara tidak langsung, melalui nombor yang diberikan akan
menyebabkan murid melibatkan diri secara aktif di dalam kelas kerana mereka mengetahui mereka
mempunyai peranan di dalam kumpulan dan bertanggunjawab atas peranan yang diberikan.
Tambahan pula, penambahbaikkan yang boleh dilakukan adalah dengan memberikan tugasan berbentuk
pembelajaran berasaskan masalah atau pembelajaran berasaskan projek pada paparan Jamboard
kepada murid. Ini kerana, dapat melatih murid untuk berbincang dengan rakan mereka bagi
menyelesaikan tugasan yang lebih menggalakkan mereka berfikir bersama serta meningkatkan
penglibatan murid.

Akhir sekali, saya bercadang untuk menggunakan aplikasi Jamboard ini bagi mata pelajaran yang lain
untuk menarik perhatian murid serta guru juga boleh menggunakan aplikasi ini sekiranya PdPR
dilanjutkan pada masa akan datang. Ini kerana, penggunaan aplikasi Jamboard ini membolehkan guru
untuk mengenal pasti sama ada murid dapat memahami konsep yang dipelajari secara terus walaupun
tidak bersemuka serta guru dapat membimbing murid. Hal ini akan membolehkan murid untuk
berkolaborasi walaupun mereka berada di rumah masing – masing serta penglibatan murid juga dapat
ditingkatkan sewaktu pembelajaran kerana aplikasi yang menarik.

RUJUKAN

Nor Hasliza, M. (2012). Penglibatan Pelajar Dalam Pembelajaran Koperatif Di Sekolah Menengah
Vokasional. Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Palmieri, K. (2020). Back in My Classroom, Jamming with Jamboard . Diakses pada 3 Februari 2021
daripada middlewab: https://www.middleweb.com/44102/back-in-my-classroom-jamming-with-
jamboard/.

Mullaney, T. (2019). Clearing Up Google Jamboard Confusion. Diakses pada 11 Februari 2021 daripada
tommullaney: https://tommullaney.com/2019/04/22/google-jamboard-confusion.

Vecchione, M. (2019). Learn about Google Jamboard. Diakses pada 14 Januari 2021 daripada Brown
Cis It Services Center : https://ithelp.brown.edu/kb/articles/learn-about-google-jamboard.

.

103

PENGGUNAAN MULTIMEDIA DALAM MENINGKATKAN KEMAHIRAN PENYAMPAIAN
KONSEP SAINS GURU BAGI TAJUK CAHAYA TAHUN 5

Siti Nurnajwa Binti Shahimi
Ling Pick Ying

[email protected]
[email protected]

Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik, Bandar Enstek
Negeri Sembilan.

ABSTRAK
Sains merupakan satu subjek yang memerlukan pelbagai pendekatan guru untuk memastikan murid memahami
subjek ini. Namun, penyampaian guru yang lemah dalam konsep Sains menyebabkan murid tidak tertarik dan tidak
memahami sesuatu topik. Oleh itu, kajian tindakan ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran penyampaian
konsep Sains saya dan meningkatkan tahap kefahaman murid dalam tajuk Cahaya dengan menggunakan
multimedia. Tindakan penambahbaikan ini dilaksanakan bagi tajuk Cahaya Tahun 5. Seramai 30 orang murid
daripada sebuah sekolah di Negeri Sembilan telah terlibat dalam kajian ini. Data bagi kajian ini dikumpul melalui
empat kaedah iaitu dengan menggunakan temu bual, senarai semak pemerhatian, soal selidik dan ujian pra-pasca.
Tiga kaedah iaitu temu bual, senarai semak pemerhatian dan soal selidik digunakan untuk objektif pertama iaitu
kemahiran penyampaian guru. Melalui analisis ketiga-tiga data yang dikumpul, di dapati bahawa penggunaan
multimedia dapat meningkatkan kemahiran penyampaian saya dengan cara penggunaan gambar yang jelas, video
dan audio yang mempunyai pelbagai animasi serta dapat didengari dengan baik, penggunaan warna yang
menyerlah, teks yang ringkas selain penggunaan slaid bagi membantu intonasi guru dan kelancaran PdPc. Manakala
tiga kaedah iaitu temu bual, soal selidik dan ujian pra-pasca digunakan untuk objektif kedua iaitu pemahaman murid.
Penggunaan multimedia juga membantu pembelajaran murid di mana murid lebih faham dan mengingati konsep
Sains yang diajar serta menarik minat murid untuk mengikuti pembelajaran Sains di dalam bilik darjah.

Kata Kunci: multimedia, kemahiran penyampaian guru, tahap pemahaman murid, tajuk Cahaya, Murid Tahun Lima

PENGENALAN

Sistem pendidikan berkembang pesat mengikut arus pemodenan dan globalisasi. Perkembangan ini
dapat dilihat melalui penggunaan kaedah pengajaran dan pembelajaran berasaskan Teknologi Maklumat
dan Komunikasi (TMK) seperti penggunaan multimedia. Penggunaan multimedia dapat memberikan
keyakinan dan keseronokan dalam menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran yang berbantukan
komputer. (Mahyudin & Hasnisham, 2011) Kajian ini membuktikan bahawa penggunaan multimedia
dapat membantu murid-murid membina pemahaman dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.
Penggunaan multimedia yang menggunakan aneka gambar, audio dan video menyebabkan murid lebih
tertarik terhadap isi kandungan pengajaran yang disampaikan oleh guru.

Penggunaan multimedia dapat meningkatkan kemahiran penyampaian konsep Sains seseorang guru.
Hal ini kerana pembelajaran menggunakan multimedia lebih berkesan dan sesuai diaplikasikan dalam
pendidikan, malah mudah digunakan untuk menerangkan suatu pembelajaran yang ingin di sampaikan
(Azizi et. al., 2009). Penyampaian yang baik dapat menimbulkan minat murid-murid terhadap subjek
Sains dan murid-murid akan sentiasa berasa bersemangat untuk belajar subjek ini.

Kepesatan pembangunan penggunaan TMK dalam pendidikan serta kelebihan penggunaan multimedia
terhadap kemahiran penyampaian konsep Sains guru telah memangkin keinginan saya dalam
menggunakan multimedia dalam kelas. Saya merupakan seorang guru pelatih di bawah Program Ijazah
Sarjana Muda Perguruan (PISMP) ambilan Jun 2017 di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan
Teknik, Negeri Sembilan. Saya menjalani latihan perguruan bagi Opsyen Sains. Pada semester 5, saya
telah menjalani praktikum fasa 1 di sebuah sekolah dalam daerah Seremban Saya
dipertanggungjawabkan untuk mengajar murid-murid Tahun 5.

Ketika sesi pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dalam topik Cahaya, saya telah menggunakan
kaedah eksperimen secara berkumpulan. Murid-murid kelihatan seronok dan terlibat secara aktif

104

sepanjang eksperimen berjalan. Menurut Gyllenpalm & Wickman (2011), pembelajaran Sains merupakan
pembelajaran secara hands-on yang melibatkan aktiviti seperti menguji hipotesis, mencari perkaitan,
mendapatkan hubungan antara pemboleh ubah serta mengkaji perubahan dalam suatu sistem dan
kesannya. Selepas fasa mengeksperimen, saya meneruskan proses pengajaran dan pemudahcaraan
(PdPc) melalui teknik chalk and talk. Namun saya mendapati murid-murid kurang memahami tajuk
tersebut. Ketidak fahaman murid-murid ini dapat dikesan melalui sesi soal jawab serta latihan yang
diberikan di dalam kelas. Penyampaian guru bertumpu kepada komunikasi satu hala dengan bantuan
bahan bantu mengajar berbentuk teks menyebabkan murid kurang faham mengenai topik tersebut.
Menurut Nik Ahmad (2015) murid mudah berasa bosan apabila guru mengamalkan pengajaran sehala
yang langsung tidak memberi peluang kepada murid untuk menyuarakan pendapat mereka. Bagi
mengatasi masalah ini, saya terdorong untuk menjalankan kajian tindakan bagi meningkatkan kemahiran
penyampaian konsep sains saya dengan menggunakan multimedia. Saya percaya dan yakin multimedia
dapat meningkatkan kemahiran penyampaian konsep sains saya di samping membantu meningkatkan
penguasaan murid-murid terhadap topik cahaya ini.

Pengumpulan Data Awal
Data awal dikumpulkan melalui pemerhatian saya ke atas murid semasa sesi soal jawab kepada semua
murid sewaktu sesi PdPc topik cahaya. Soalan yang diajukan kepada murid-murid pada akhir sesi PdPc
menunjukkan bahawa murid-murid masih tidak menguasai topik ini. Selain itu, pemerhatian juga
dilakukan ke atas saya sebelum PdPc menggunakan multimedia ini digunakan
.
Jadual 1 : Senarai semak pemerhatian

Bil Perkara Ya Tidak Komen
/
1. Guru menimbulkan pelbagai persoalan
berkenaan konsep

2. Guru mempamerkan gambar yang /
jelas kepada murid-murid mengenai
konsep atau aplikasi prinsip cahaya. /

3. Guru menyampaikan konsep cahaya
dan aplikasinya dalam kehidupan
dengan jelas

4. Guru untuk menekankan kata kunci /
konsep Sains
/
5. Guru menyampaikan konsep Sains
dengan suara yang jelas dan /
bersemangat

6. Pengajaran guru terhadap konsep
Sains tersusun dan lancar

Daripada senarai semak pemerhatian yang telah ditanda oleh pemerhati menunjukkan kemahiran
penyampaian konsep Sains saya dalam tajuk Cahaya ini lemah. Kelemahan ini menyebabkan konsep
Sains tidak dapat diterima baik oleh murid-murid. Maka objektif pembelajaran tidak tercapai dan murid
tidak dapat memahami topik Cahaya ini dengan baik. Selain itu, daripada analisis dokumen iaitu refleksi
kendiri saya juga menunjukkan bahawa kemahiran penyampaian saya lemah.

105

Rajah 1: Refleksi PdPc

FOKUS KAJIAN

Kaedah penyampaian saya sebelum ini yang hanya menggunakan pengajaran konvesional serta
eksperimen menyebabkan murid-murid kurang faham terhadap isi pembelajaran. Menurut Asl (2015)
murid berasa bosan belajar menerusi kaedah pengajaran konvensional kerana dalam proses
pembelajaran, murid hanya mengambil nota daripada guru. Menurut kajian Azizi (2009), pembelajaran
menggunakan multimedia lebih berkesan dan sesuai diaplikasikan dalam mana-mana mata pelajaran
malah amat mudah digunakan oleh guru untuk menerangkan sesuatu pembelajaran. Ini membuktikan
bahawa penggunaan multimedia di dalam kelas semasa sesi PdPc dapat membantu guru meningkatkan
kemahiran penyampaian konsep Sains yang pelbagai dan tidak membosankan. Selain daripada itu,
penggunaan multimedia juga dapat menjadi medium komunikasi yang positif dan efektif kerana teks,
audio, video serta animasi yang pelbagai warna dan corak mampu dipaparkan di atas sebuah skrin pada
masa yang sama (Vaughan, 2014).

Objektif Kajian
Kajian ini bertujuan untuk memenuhi objektif-objektif berikut:

1. Meningkatkan kemahiran penyampaian konsep Sains guru dalam PdPc Sains Tahun 5 topik
Cahaya dengan penggunaan multimedia

2. Meningkatkan tahap kefahaman murid tahun 5 dalam topik Cahaya dengan penggunaan
multimedia dalam PdPc.

Soalan Kajian
Berdasarkan objektif kajian, soalan-soalan kajian adalah seperti berikut:

1. Bagaimanakah penggunaan multimedia dapat meningkatkan kemahiran penyampaian konsep
Sains guru dalam PdPc Sains Tahun 5 topik Cahaya?

2. Adakah pembelajaran menggunakan multimedia dalam PdPc dapat meningkatkan tahap
kefahaman murid-murid tahun 5 dalam topik Cahaya?

Peserta kajian
Saya sebagai guru yang menjalankan PdPc dengan menggunakan multimedia ini. Multimedia ini
digunakan sepanjang kelas berlangsung dan sesi PdPc ini dirakam sebagai bahan bukti. Jumlah peserta
kajian saya adalah seramai 30 orang yang terdiri daripada murid yang mempunyai tahap pencapaian
akademik dan aras kognitif yang berbeza iaitu cemerlang, sederhana dan lemah. 30 peserta kajian ini
merupakan murid tahun lima. 28 orang murid-murid ini merupakan murid beragama Islam dan berbangsa
Melayu manakala dua orang murid ini merupakan murid berbangsa India dan beragama Hindu. 14
daripada 30 orang murid ini merupakan murid perempuan manakala 16 lagi murid lelaki.

Pelaksanaan Tindakan
Dalam Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang disediakan, saya telah memasukkan penggunaan
multimedia semasa sesi PdPc. Penggunaan multimedia ini dimasukkan dalam rancangan pengajaran
harian sebagai bahan bantu mengajar. Penggunaan bahan bantu mengajar (BBM) dalam kalangan guru

106

di sekolah memberi kesan yang positif terhadap kecemerlangan akademik pelajar dan kaedah
pengajaran guru itu sendiri.

Pemilihan bahan media yang sesuai mengikut topik

Multimedia dipersembahkan

Penerangan kepada murid oleh guru di setiap sela muka paparan multimedia

Soalan atau kuiz diberikan di akhir multimedia

Minta murid untuk membuat kesimpulan

Rajah 2: Langkah pelaksanaan tindakan

Semasa peringkat pemilihan bahan media yang sesuai mengikut topik, saya memilih mengikut sub topik
yang terdapat dalam topik Cahaya seperti cahaya bergerak lurus
Pada peringkat seterusnya, multimedia ini dipaparkan sepanjang sesi PdPc dan juga dipaparkan ketika
saya memberi arahan semasa eksperimen dijalankan. Penggunaan multimedia adalah berselang-seli
dengan aktiviti lain seperti eksperimen pembiasan cahaya dan eksperimen penghasilan pelangi.
Kemudian disusuli dengan penerangan guru menggunakan multimedia ini
Setelah selesai sesi eksperimen dan penerangan, soalan diberikan kepada murid-murid di akhir paparan
multimedia. Pada peringkat penamat, saya menjalankan perkongsian kelas dengan membincangkan
dapatan sesi PdPc yang telah dijalankan menggunakan multimedia ini.

Kaedah Mengumpul Data dan Kaedah Menganalisis Data

Jadual 2 menunjukkan cara mengumpul data dan cara untuk menganalisis data tersebut

Jadual 2: Kaedah mengumpul data dan kaedah menganalisis data.

Kaedah Mengumpul Data Kaedah Menganalisis Data

Senarai semak pemerhatian Senarai semak pemerhatian dianalisis melalui cara

naratif. Data-data ulasan senarai semak dianalisis

secara pengekodan dan kemudian ditemakan.

Temu bual Temu bual dianalisis melalui cara naratif. Data-data

ulasan senarai semak dianalisis secara pengekodan dan

kemudian ditemakan.

Soal selidik Data temu bual dianalisis secara peratus bagi setiap

skala mata likert dan dicarikan min bagi setiap item.

Interpretasi data adalah berdasarkan interpretasi skor

min kajian terdahulu

Ujian pra-pasca Markah ujian dikumpulkan dan direkodkan secara

peratus dan gred. Perbandingan dilakukan antara gred

ujian pra dan pasca

107

Kaedah Penyemakan Data
Triangulasi Data Kajian
Setelah membuat penelitian terhadap keempat-empat kaedah pengumpulan data, terdapat perkaitan
yang dapat saya simpulkan melalui triangulasi data. Perkaitan ini dapat dilihat berdasarkan tema-tema
yang dapat dianalisis bagi menjawab kedua-dua soalan kajian ini. Triangulasi dibuat untuk mendapatkan
kesahan dan kebolehpercayaan data serta pengumpulan data. Untuk objektif pertama, instrumen temu
bual, senarai semak pemerhatian dan soal selidik menghasilkan satu triangulasi. Untuk objektif kedua,
instrumen temu bual, soal selidik dan ujian pra-pasca menghasilkan satu triangulasi data lagi

DAPATAN KAJIAN

Penggunaan multimedia dalam meningkatkan kemahiran penyampaian konsep Sains guru
Dapatan kajian yang pertama ialah gambaran yang jelas. Multimedia yang digunakan dalam pengajaran
membantu saya menyampaikan konsep Sains dengan memberikan gambaran yang jelas dan kukuh.
Gambaran secara visual yang digambarkan oleh murid dapat dikukuhkan oleh saya melalui penyampaian
dalam kelas dibantu oleh gambar dan video. Perkara ini diperkukuhkan melalui hasil senarai semak
pemerhatian di mana para pemerhati telah memberikan ulasan seperti murid dapat memahami konsep
cahaya dengan bantuan saya berdasarkan gambar yang mempamerkan contoh yang jelas. Gambar yang
dipamerkan memudahkan murid untuk memahami setiap penerangan saya. Gambaran yang jelas juga
dapat dilihat hasil daripada analisis temu bual seperti di bawah:

Gambar yang cikgu tunjukkan menunjukkan gambaran konsep yang jelas macam cahaya bergerak lurus.
(TB1/B18-19)

Gambar rajah aplikasi cahaya tu saya jelas sebab ada perkaitan dengan konsep
(TB3/B15-16)

Hasil analisis soal selidik mengukuhkan dapatan kajian ini lagi apabila min yang diperolehi bagi
kemahiran penyampaian guru iaitu gambaran yang jelas pada tahap yang tinggi iaitu 4.27 dan 4.17 untuk
item 1 dan item 2. Gambar yang baik den jelas dapat membantu guru menyampaikan isi kandungan
pembelajaran dengan baik. Menurut Nurul Atiqah (2013) grafik dan animasi dapat mengilustrasikan
perhubungan antara maklumat secara lebih jelas.
Penggunaan bahan multimedia juga dapat meningkatkan kemahiran penyampaian guru dari aspek
penerangan yang jelas. Penggunaan video dan audio membantu saya untuk menerangkan konsep Sains
dengan menggunakan bahasa yang ringkas dan tersusun. Sepertimana hasil analisis melalui kaedah
senarai semak, para pemerhati menyatakan bahawa saya menjelaskan konsep dalam video tersebut
dalam bentuk yang mudah difahami serta penerangan guru selepas audio adalah baik. Ini disokong oleh
hasil temubual murid-murid yang menyatakan bahawa saya dapat menerangkan konsep dalam video
dan audio dalam bentuk yang lebih tersusun serta lebih ringkas namun lengkap dengan konsep seperti
di bawah:

Saya faham video tersebut tapi bila cikgu terangkan selepas video tersebut dengan lebih ringkas
(TB1/B29-30)

Cikgu terangkan konsep yang disampaikan dalam video itu dengan lebih tersusun membuatkan saya
lebih jelas terhadap konsep tersebut.

(TB3/B25-28)

Hasil soal selidik turut menyokong bahawa kemahiran penyampaian guru dari aspek penerangan yang
jelas ini meningkat. Min yang diperolehi dari hasil soal selidik bagi tema ini iaitu untuk item 3 dan 5 adalah
4.30 dan 4.23, pada tahap yang tinggi. Dalam kajian Brecht (2012) pembelajaran memerlukan
rangsangan visual dan auditori, terutamanya apabila penggunaan teknologi untuk menggalakkan
pemprosesan kognitif. Video dan audio merupakan salah satu bahan bantu mengajar yang dapat
membantu guru menyampaikan isi pembelajaran dengan jelas.
Dapatan kajian yang seterusnya adalah kemahiran penyampaian guru dalam menekankan isi penting
dalam konsep. Dalam mengajar atau menyampaikan konsep, amat penting untuk guru mengenal pasti
kata kunci. Melalui senarai semak pemerhatian, para pemerhati menyatakan bahawa teks yang
digunakan adalah ringkas dan mudah difahami. Penggunaan warna untuk menekankan kata kunci

108

konsep memudahkan saya untuk fokus kepada isi penting konsep Sains. Hasil temu bual bersama murid-
murid turut menyokong dapatan ini seperti berikut:

Warna tulisan pada slaid tersebut membuatkan cikgu hanya menerangkan mengenai kata kunci terhadap
konsep cahaya

(TB2/B32-34)
Tulisan dan warna tulisan tersebut membuatkan cikgu dapat membezakan isi penting setiap prinsip
cahaya.

(TB5/B34-35)

Ini juga disokong hasil analisis soal selidik yang menunjukkan min untuk kemahiran penekanan isi penting
semasa penyampaian guru adalah pada tahap yang tinggi iaitu 4.47. Menurut Mariam dan Faiz (2013)
warna dapat membantu untuk meningkatkan tahap perhatian mereka terhadap sesuatu maklumat. Maka
dengan penggunaan teks berwarna ini, guru dapat memfokuskan isi utama konsep.
Dapatan kajian yang diperolehi dalam kemahiran penyampaian konsep Sains ini ialah suara dan intonasi.
Penggunaan slaid multimedia dapat membantu saya sentiasa bersemangat dalam penyampaian.
Berdasarkan analisis senarai semak pemerhatian, para pemerhati menyatakan bahawa slaid ini
membantu guru fokus kepada konsep yang hendak disampaikan. Maka, suara saya menjadi jelas dan
bersemangat semasa penyampaian pengajaran. Kenyataan ini turut disokong daripada hasil analisis
temu bual murid-murid. Murid-murid menyatakan bahawa suara guru jelas dan didengari serta
penerangan guru mempunyai pelbagai intonasi seperti guru sedang bercerita.

Saya suka suara cikgu yang jelas dan sentiasa bersemangat mengajar walaupun satu jam
(TB4/ B46-47)

Suara cikgu sekejap macam biasa, sekejap tinggi, macam bercerita pon ada waktu mengajar.
(TB1/B51-53)

Min hasil daripada analisis soal selidik juga menunjukkan bahawa kemahiran suara dan intonasi dalam
penyampaian guru adalah pada 4.53 iaitu pada tahap yang sangat tinggi. Menurut Noraini Idris (2005),
guru perlu menekan dan meninggikan suara untuk memberikan kefahaman kepada murid.
Dapatan kajian berkenaan kemahiran penyampaian konsep Sains guru seterusnya ialah kelancaran
dalam proses PdPc dikenalpasti. Kelancaran dalam proses PdPc dipengaruhi oleh kelancaran
penyampaian guru terhadap isi pembelajaran atau konsep. Hasil analisis senarai semak pemerhatian
dan temu bual, para pemerhati dan murid-murid bersetuju bahawa penggunaan slaid multimedia
membantu melancarkan pengajaran saya.

Cikgu mengajar dengan tersusun setiap satu konsep.

(TB1/B68)

Ini juga disokong dengan dapatan min daripada analisis soal selidik iaitu 4.73, pada tahap yang sangat
tinggi. Menurut Alizah dan Zamri (2019) Alat Bantu Mengajar (ABM) berasaskan teknologi maklumat atau
multimedia seperti pengunaan slaid membantu melancarkan pengajaran dan pembelajaran.
Kemahiran penyampaian guru yang seterusnya adalah mencetus idea. Para pemerhati dan murid-murid
yang ditemu bual bersetuju bahawa dengan penggunaan multimedia iaitu gambar semasa awal sesi
PdPc atau set induksi, saya dapat mencungkil idea atau pengetahuan sedia ada murid melalui pelbagai
persoalan yang diajukan seperti penyataan murid-murid di bawah:

Soalan cikgu banyak menimbulkan idea kepada saya tentang konsep cahaya seperti cahaya boleh
menembusi lubang kecil kerana cahaya bergerak lurus.

(TB4/B9-11)

Menurut Abdul Rasid, Norhashimah dan Samsudin (2016), penggunaan multimedia bukan sahaja
memberi pengetahuan malahan menggerakkan minda murid supaya tercetusnya idea terhadap
pengetahuan.

109

Tahap kefahaman murid terhadap konsep Sains dengan penggunaan multimedia semasa PdPc.
Maklum balas yang diterima daripada temubual menyatakan murid-murid dapat faham dengan mudah
setelah saya menggunakan multimedia sepanjang proses PdPc di dalam kelas.

Apabila cikgu ajar selepas video tersebut dengan cara yang lebih tersusun, saya lebih faham.
(TB2/B25-27)

Nilai min bagi soal selidik tahap kefahaman murid terhadap konsep Sains tajuk Cahaya dengan
penggunaan multimedia adalah pada tahap yang tinggi iaitu pada item 1 dengan nilai min 4.23, nilai min
item 2 adalah 4.30 dan nilai min item 6 adalah 4.47. Ini disokong dengan hasil analisis ujian pra-pasca
yang telah dijalankan.

Rajah 3: Markah ujian pra-pasca

Min ujian pra adalah 45% iaitu pada gred C dengan dua orang murid mendapat gred D dan lima orang
murid mendapat gred E manakala min ujian pasca adalah 82% iaitu pada gred A atau cemerlang. Dalam
ujian pasca, tiada murid yang mendapat gred D dan gred E, hanya seorang murid yang mendapat gred
C. Kajian yang telah dibuat oleh Che Suriani dan Fariza (2014) juga telah membuktikan bahawa
multimedia ini dapat memudahkan pemahaman pelajaran.
Selain daripada faham, murid-murid juga dapat mengingat kata kunci yang dipamerkan semasa
penggunaan multimedia semasa sesi PdPc dijalankan. Hasil analisis daripada dapatan temu bual, murid
menyatakan bahawa mereka dapat mengingat kata kunci yang dipersembahkan oleh saya dalam
multimedia.

Ini membuatkan saya lebih ingat dan faham setiap isi utama dalam setiap prinsip cahaya.
(TB5/B35-37)

Penggunaan teks berwarna dapat meningkatkan daya ingatan murid-murid dalam mengingati kata kunci
konsep. Ini turut disokong oleh data soal selidik yang menunjukkan jumlah min yang tinggi 4.47 bagi item
3 iaitu murid dapat mengingati kata kunci atau konsep Sains yang diajar. Penerangan secara visual dapat
memudahkan murid untuk memahami dan mengingat konsep pembelajaran yang kompleks (Chtouki,
Harroud, Khalidi, & Bennani, 2012)
Selain itu, penggunaan multimedia ini juga meningkatkan pemahaman murid melalui aspek multimedia
yang menarik perhatian. Terdapat kepelbagaian animasi dalam multimedia ini serta warna yang
digunakan bagi setiap media menyerlah.. Ini dibuktikan melalui temu bual murid seperti di bawah:

Ada pelbagai watak seperti mentol bercakap. (TB3/B63-64)
Warna dalam video tu terang dan jelas (TB1/B62-63)

Ini turut disokong oleh analisis data soal selidik mengenai multimedia dapat menarik minat murid
terhadap konsep Sains tajuk Cahaya yang diajar oleh guru iaitu item 4 dan item 5 pada tahap tinggi, 4.27
dan 4.47. Menurut Reningger, Hidi dan Krapp (2014) murid akan belajar dengan lebih baik apabila bahan

110

pengajaran yang digunakan dapat menarik minat mereka dan bukannya bahan yang menimbulkan
masalah.
Seterusnya, ekspresi yang dinyatakan oleh murid-murid dalam temu bual ini menunjukkan bahawa
penggunaan multimedia ini mampu menimbulkan rasa seronok dan gembira dalam diri murid-murid.
Maka ini dapat meningkatkan keinginan murid-murid untuk belajar topik ini dan memahami konsep Sains
ini. Ini dibuktikan oleh temu bual saya dengan murid-murid seperti berikut:

Saya berasa seronok belajar dengan cikgu. (TB4/B66-67)
Saya rasa gembira bila cikgu mengajar guna gambar dan video ini. (TB3/B73-74)

Menurut Shaffe et, al., (2011) aspek emosi yang dapat diwujudkan melalui amalan pembelajaran
menyeronokkan terhadap murid dapat meningkatkan kefahaman murid dalam pembelajaran.
Secara keseluruhannya, kajian ini menunjukkan bahawa saya telah berjaya meningkatkan kemahiran
penyampaian konsep Sains saya dalam tajuk Cahaya melalui penggunaan multimedia semasa PdPc dan
meningkatkan tahap kefahaman murid dalam topik ini.

REFLEKSI

Setelah saya berjaya melaksanakan kajian tindakan ini, banyak perkara dan pengalaman baharu yang
saya pelajari serta perolehi. Pengalaman dari praktikum fasa 1 menjadi titik tolak kepada saya untuk
membuat perancangan awal bagi menjalankan kajian tindakan ini. Saya mencari ilmu pengetahuan dan
meminta pendapat daripada para guru yang berpengalaman dan pensyarah pembimbing bagi
meningkatkan kemahiran penyampaian konsep Sains saya di dalam bilik darjah. Bahan multimedia yang
telah saya bina mengalami proses penambahbaikan terhadap bahan pengajaran yang saya gunakan
dalam kajian ini dari masa ke masa mengikut kesesuaian masa dan kepelbagaian murid.

Daripada analisis data dan dapatan kajian yang telah dilakukan, saya berpendapat bahawa kemahiran
penyampaian guru dalam konsep Sains ini perlu ada dalam diri setiap guru Sains. Kajian ini menunjukkan
bahawa penggunaan multimedia dapat meningkatkan kemahiran penyampaian guru dalam konsep Sains
tajuk Cahaya seperti dengan gambar yang jelas, video dan audio yang mempunyai pelbagai animasi
serta dapat didengari dengan baik, penggunaan warna yang menyerlah, teks yang ringkas selain
penggunaan slaid bagi membantu intonasi guru dan kelancaran PdPc. Selain itu, penggunaan
multimedia ini juga dapat meningkatkan juga tahap pemahaman murid terhadap tajuk Cahaya Ini. Oleh
yang demikian, penggunaan teknologi seperti multimedia perlu dimanfaatkan bagi meningkatkan kualiti
pengajaran guru (Murtiyasa, 2015)

Semestinya terdapat cabaran yang saya hadapi dalam melaksanakan kajian tindakan ini. Salah satunya
adalah sesi persekolahan secara bersemuka ditutup kerana pandemik Covid-19 yang melanda Malaysia
dan dunia. Hal ini menyebabkan saya mencari alternatif lain dalam melaksanakan kajian dan mengumpul
data. Saya melaksanakan pembelajaran di atas talian iaitu secara Google Meet bersama-sama murid.
Kesimpulannya, saya merasakan penambahbaikan kemahiran penyampaian konsep Sains dengan
penggunaan multimedia yang saya lakukan ini patut saya amalkan dalam PdPc saya bagi topik lain
secara berterusan. Hal ini kerana saya yakin bahawa penggunaan teknologi seperti multimedia amat
relevan dan penting dalam pembelajaran pada era moden ini dalam pada masa yang sama membantu
guru dalam menyampaikan isi kandungan pembelajaran. Teknologi juga menjadikan proses PdPc lebih
bermakna dan menarik

CADANGAN TINDAKAN SUSULAN

Pada kajian ini, saya telah memfokuskan untuk menambahbaik kemahiran penyampaian konsep Sains
tajuk Cahaya tahun 5 dengan menggunakan multimedia. Sebagai tindakan susulan yang dapat
dilaksanakan daripada kajian ini, saya bercadang untuk memasukkan permainan digital atau kuiz ringkas
dalam multimedia ini bagi menguji tahap kefahaman murid terhadap sesi pengajaran guru. Dari

111

permainan digital atau kuiz ringkas ini, guru dapat mengenal pasti kekurangan yang wujud semasa sesi
PdPc berlangsung.

Selain itu, saya bercadang untuk memberi fokus kepada penggunaan gambar dan teks. Hal ini
disebabkan, penggunaan teks kurang ditekankan dalam multimedia yang saya gunakan ini
menyebabkan ada murid yang keciciran maklumat. Maka dengan itu, penggunaan teks berwarna
disertakan dengan gambar dapat meningkatkan kemahiran penyampaian guru menjelaskan konsep
Sains. Gambar yang jelas juga dapat memperluaskan lagi penyoalan guru. Soalan yang diajukan juga
perlulah lebih meluas dan mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) agar dapat mengembangkan
idea murid terhadap konsep.
Seterusnya, saya bercadang untuk menggunakan kaedah pengumpulan data temu bual untuk
pengumpulan data awal. Hal ini adalah bagi mendapatkan data yang lebih tepat mengenai permasalahan
yang wujud semasa sesi PdPc melibatkan kemahiran penyampaian guru.

RUJUKAN

Abdul Rasid Jamian, Norhashimah Hashim & Shamsudin Othman. (2012). Multimedia interaktif
mempertingkatkan pembelajaran kemahiran membaca murid-murid PROBIM. Jurnal Pendidikan
Bahasa Melayu – JPBM. 2 (2). 46-53

Alizah Lambri & Zambri Mahamood (2019). Penggunaan Alat Bantu Mengajar dalam Pengajaran Bahasa
Melayu Menggunakan Pendekatan Pembelajaran Berpusatkan Pelajar. International Journal of
Education, Psychology and Counseling, 4 (33), 78-94.

Asl, Esmaeil Heydari (2015). Comparative Study of Grammar Translation Method (GTM) and
Communicative Language Teaching (CLT) in Language Teaching Methodology. International
Journal of Science and Research Methodology. Vol 1(3), 16-25

Brecht, H. David (2012). Learning from online video lectures. Journal of Information Technology
Education: Innovations in Practice.11(1),pp. 227-250.

Che Suriani Kiflee, & Fariza Khalid. (2014). Keberkesanan Kaedah Multimedia dalam Pengajaran dan
Pembelajaran Terhadap Pelajar Pintar. International Seminar On Global Education II: Education
Transformation Towards a Developed Nation, 135 – 159.

Chtouki, Yusra , Harroud, Hamid., Khalidi, Mohammed. & Bennani, Samir. (2012) "The impact of
YouTube videos on the student's learning," 2012 International Conference on Information
Technology Based Higher Education and Training (ITHET), 1-4, doi:
10.1109/ITHET.2012.6246045. 10.09.2020

Mariam Adawiah Dzulkifli & Faiz Mustafar. (2013). The influence of colour on memory performance: A
review. Malaysia Journal of Medical Sciences, 20(2), 3-9

Gyllenpalm, Jakob. & Wickman, Per-Olof. (2011). “Experiments” and the inquiry emphasis conflation in
science teacher education. Science Education. Volume 95. Issue 5. 771-960

Mahyuddin Arsat & Hasnisham Khalip (2011) Penggunaan perisian multimedia dalam pengajaran guru-
guru teknikal. Journal of Science & Mathematics Education . pp. 1-10.

Nurul Atiqah Zulkharnain (2013). Reka bentuk Grafik dan Animasi Sistem Ujian Saringan Pendengaran.
(Tesis sarjana). Universiti Kebangsaan Malaysia. Tidak diterbitkan.

Shaffe Mohd Daud, Ramli Basri, Roselan Baki, Sahandri Ghani Hamzah & Mokhtar Nawawi (2011)
Pengaruh Amalan Jenaka Terhadap Pengajaran Dan Pembelajaran Murid. Asia Pacific Journal
of Educators and Education, Vol. 26, No. 1, 125–144, 2011

112

InstitutPen didikanGuruKampus
PendidikanTeknik

K o m p l e ks P e n d id i ka n Ni l ai,
7 1 7 6 0 B an d ar E n s te kN e g e
ri S e m b i l an D aru l K h u s u s

Tel: 06 - 7979600
Fax: 06 - 7979699
Emel:[email protected]
La m an web :http ://ip gkp t .m o e .edu .m y

113


Click to View FlipBook Version