MKE Books
  • 47
  • 4
Pengantar Fonetik dan Fonologi
Huraian dalam buku ini tertumpu pada pemerian dua buah bidang utama dalam ilmu Linguistik iaitu bidang Fonetik dan Fonologi. Secara umumnya, penjelasan aspek fizikal dan fisiologikal bunyi-bunyi bahasa dalam Fonetik adalah berasaskan kepada tiga jenis kajian yang bersifat khusus tetapi saling berkaitan antara satu sama lain, iaitu kajian fonetik artikulatori (berdasarkan penghasilannya oleh organ pertuturan manusia atau artikulator), fonetik akustik (berdasarkan sifat atau ciri-ciri akustik gelombang bunyi yang bergerak di antara penutur dan pendengar), dan fonetik auditori (berdasarkan kesan fizikal gelombang bunyi ke atas telinga pendengar dan mekanisme yang berhubungan dengannya). Buku ini, justeru, mengungkapkan secara terperinci ruang lingkup kajian Fonetik Artikulatori khususnya yang melibatkan aspek fisiologi pertuturan dan transkripsi ujaran manusia.
Pada hakikatnya, pertuturan adalah ungkapan yang bersifat kontinum oleh seseorang, yang bermula dan berakhir dengan kesenyapan. Kontinum merujuk kepada sifat berterusan, bersambung-sambung atau tidak terputus-putus. Namun, andaian teoritis bagi seorang ahli fonologi ialah pertuturan boleh direpresentasikan sebagai urutan entiti yang terpisah. Dengan kata lain, pertuturan yang kontinum itu boleh disegmentasikan (dipenggal-penggalkan kepada unit yang terpisah yang dinamakan segmen). Berasaskan hakikat ini maka buku ini turut membicarakan kehadiran segmen-segmen (i.e. bunyi-bunyi) ini secara individu dalam sesebuah ujaran. Dalam bahagian Fonologi, pemerian segmen seperti vokal dan konsonan dipaparkan di bawah topik Fonem Segmental, manakala unit bahasa yang tidak boleh disegmentasikan (misalnya, tekanan dan nada) dibicarakan di bawah topik Fonem Suprasegmental. Pemerian ini melibatkan huraian mendalam bunyi-bunyi bahasa yang distingtif sifatnya, di samping menjelaskan secara terperinci bagaimana bunyi-bunyi berkenaan disusun, diatur dan distrukturkan bagi membentuk sistem bahasa berkenaan.
View Text Version Category : 47
  • Follow
  • 0
  • Embed
  • Share
  • Upload
Related publications