The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Otakreatif Solutions, 2022-05-11 00:46:21

PUISI COVID19 (E-BOOK)

PUISI COVID19 (E-BOOK)

Antologi Puisi Menghadapi Covid-19

Covid-19

Covid-19, aku membaca tentangmu dari media sosial.
Aku mendengar tentangmu dari corong radio dan muka televisyen.
Aku merasai kewujudanmu pada persekitaranku.
Hadirmu Covid-19 memberiku sejuta rasa yang bukan biasa.
Kami menjalani kehidupan luar norma.
Anak-anakku tidak lagi bisa menimba ilmu di sekolah.
Denganmu Covid-19 aku belajar peri pentingnya cara baru teknologi
masa kini.
Bersemuka di alam maya cuma
Ilmu tetap perlu dikuasai walau setitik dari luasnya lautan ilmu.
Covid-19, keranamu aku melihat dermawan-dermawan berhati
mulia,
Walaupun onak duri perlu ditempuh.
Niat suci dan usaha terpuji tetap dipermudahkan.
Covid-19, hadirmu membuat aku berterima kasih.
Kepada barisan hadapan negaraku, yang tidak jemu,
Yang tidak kenal erti lelah walau nyawa jadi taruhan.
Di depan muka televisyen, aku menungu ayahanda.
Ayahanda penuh lembut memberi pesan supaya kekal di rumah.
Ayahanda berjanji tiada yang akan tertinggal dari perhatiannya.
Ayahanda menyebut nama Cik Kiah yang kini tular.
Ayahanda berpesan jimat cermat dan cari hiburan sendiri.
Masak apa tak jadi tidak perlu dirapati tetapi boleh dikongsi.
Keranamu Covid-19, aku sedar, kekayaan bukannya diukur dari
banyaknya wang.
Kekayaan dan kebahagiaan sebenar adalah nikmat kesihatan dan
kebebasan.
Di dalam lubuk hatiku yang paling dalam aku berdoa,
Semoga semuanya baik baik saja.

Nukilan:
Nik Siti Amanah Zuhri binti Nik Omar

101

84

Antologi Puisi Menghadapi Covid-19

Semalam, Hari Ini, Esok

Semalam,
Warna biru pada langit masih cerah,
Bumi turut tersenyum indah,
Manusia terus mengukir kisah,
Saat itu, kau mula menjengah.

Hari ini,
Tidak sama seperti semalam,
Kau datang disaluti kejam,
Umpama sembilu yang hujungnya tajam,
Menghunus ke dasar dalam,
Sehingga senyuman kian terpadam,
Kabus kelam meliputi alam,
Segala-galanya jadi diam.
Lantas, medan perang ini harus ditempuhi,
Agar tidak lenyap apa yang disayangi,
Usah jadi enau yang pentingkan diri,
Ada yang sedang berjuang, jangan dikhianati.

Esok,
Nasib bumi yang malang ini akan hilang,
Kau turut akan lenyap, tidak lagi datang,
Lorong hitam yang lohong itu tidak panjang,
Penghujungnya nanti akan ada cahaya terang,
Dan, gelap tidak lagi pulang,
Moga langit yang cerah mampu ditatap tenang.

Nukilan:
Noraini binti Abd Halim

102

85

Antologi Puisi Menghadapi Covid-19

Hari-Hari Mendebarkan
Tiba-tiba sinar mentari berubah mendung
alam riuh-rendah suara kengerian
musuh-musuh tanpa rupa menceroboh
setiap ruang dan peluang.

Penghuni alam masih bertelingkah
antara petaka atau kelalaian
musuh-musuh tidak pernah leka
setiap detik adalah habuan.

Hari-hari semakin mendebarkan
liang lahad semakin banyak digali
katil-katil sakit semakin sarat berpenghuni.

Para pejuang terus bangkit menggalas ilmu
mengatur strategi bersembunyi di kubu sendiri.
Virus Covid-19 kehilangan laluan
mencari musuh yang patuh arahan.

Musuh usah dibiarkan menyerang lagi
kebiasaan baharu harus diikuti
bersalaman bukan lagi amalan
menganggukkan kepala memohon kemaafan
penjarakan sosial adalah satu keperluan.

Nukilan:
Noridin bin Saad

103

86

Antologi Puisi Menghadapi Covid-19

Untuk Sehari Lagi
Hari tenggelam timbul
Aku tidak ingat hari apa
Sejak jajahan wabak bermahkota
Aku meraikan saat menjadi tahanan
Tahanan yang terlupa pada waktunya

Manusia tidak lagi meriah di jalanan
Sekarang berkicau di alam maya
Debu berterbangan bersama angin liar
Suaraku bersipongang tanpa bersua
Mengira dinding di ruang kamar

Adakah dunia rindu padaku?
Tidak, aku rindu pada kebiasaanku
Tapi dunia sudah tidak seperti dahulu
Perpisahan dan kurungan ini mengajarku
Makna kebiasaan baharu

Kudengar alam menyembuh ceria
Ciap burung berterbangan bebas
Sekarang aku yang terkurung sepi
Mengira manusia yang berangkat pergi
Aku menunggu wabah meninggalkan kami

Dan aku terus mengira di dalam penjara
Sehari lagi, untuk sehari lagi

Nukilan:
Nur Azshieldha binti Sahran

104

87

Antologi Puisi Menghadapi Covid-19

Menghadapi Covid-19
Bumi yang dulu penuh kicau kereta dan sesak merata
Kini sunyi tiada penghuni di jalan raya
Datangnya ia tidak terduga
Perginya pula entah belum tahu bila.

Ada keluarga yang makan pakainya penuh terisi
Tidak perlu takut menghadapi hari
Ada keluarga kais pagi makan pagi
Kais petang belum pasti lagi.

Hubungan keluarga tidak semuanya harmoni
Kasihani mereka yang duduk di rumah hanya untuk dimarahi
Risaukan keadaan yang bersandarkan ekonomi
Bingung mencari tidak tahu di mana ada rezeki lagi.

Hari berganti hari masa terus berjalan
Pejam celik kini tiba masa menyambut Ramadhan
Tahun 2020 tidak sama suasana sepertinya ada sempadan
Jarak satu meter perlu sentiasa dikekalkan.

Semua yang terjadi kini penentu masa hadapan
Bezanya lain orang lain cara bertahan
Semoga tiada lagi korban
2020 tahun penuh kesedaran.

Nukilan:
Nur Shahira Irwani binti Amran

105

88

Antologi Puisi Menghadapi Covid-19

Rencana Si Corona

Saat Corona mengatur rencana
pegun seluruh penghuni dunia
segalanya sesak
lelah menahan gigilan
seram sejuk bertukar panas dalam.

Besar rencana Si Corona
serangan gerila ini bagai menggugur nikmat
didarab bahagi berganda banyaknya
meratah makhluk bernama insan
perisai utama imun dan iman.

Ayuh beruzlah di syurga idaman
kembali mengukuh tiang syurga yang condong
mengasah papan cinta yang berkerikil
bangkitlah dari lelap
anak sulong sudah bergigi
anak bongsu tidurnya sekali
raut bidadari tatap dan renungi.

14 hari bakal bersambung
sejarah corona belum bernokhtah
patuh dan ampuhlah sesama kita
menyuci dan menjarak jasmani
namun jiwa engkau dan aku masih mengalun cinta
mengait ukhuwah berbenang perpaduan.

Jihad ini berserta doa
berselang sifir-sifir harapan dan keinsafan
ketahuilah kau Si Corona kami masih punya Tuhan.

Nukilan:
Nurazlen binti Hasanuddin

106

89

Antologi Puisi Menghadapi Covid-19

Kerana Kau Korona
Kerana kau,
Masjid dipandang sepi,
Hilang punca keringat kami,
Tawa dan gembira lenyap begitu sekali,
Secangkir rinduku yang lesu ini,
Menjadi bencana yang kau syukuri,
Paradoks mimpi,
Bukti cinta dari Illahi.

Kerana kau,
Waktu kencana sirna,
Aku mungkin telah jauh mengembara,
Daya patah derita,
Resah di dada,
Mencengkam atma jiwa.

Kerana kau,
Semesta juga bersedih,
Bumi dirobek pedih,
Alam kian membeku,
Tuli dan bisu,
Manusia tersungkur rebah,
Menyembah tanah.

Nukilan:
Nurin Najwa Irdina binti Hamshah

107

90

Antologi Puisi Menghadapi Covid-19

Rintihan Keranamu Covid-19

Covid-19,
Kau hadir melitupi sinar bahagia,
Gelaranmu digeruni umat bumi,
Kau ragut nyawa membekas hati yang lara,
Kau usung tangisan meleret serata dunia,
Kau makhluk yang merampas keriangan tanpa rasa pilu.

Covid-19,
Hadirmu Tiadalah pinta,
pelosok dunia buntu terkena panahanmu ,
Gelora jiwa bergolak merintih kudrat membendung penularan
Pewira negara tidak henti berjuang
Pertahankan nyawa rakyat tidak berdosa.

Dengarlah
Hasrat dan harapan negara,
Kawalan pergerakan, Penjarakan sosial, Jangan diingkari
Meski dunia mengongkong nikmat kebebasan
Fahamilah ikhtiar akhir ini.

Covid-19,
Pergilah kau jauh dari muka bumi ini,
Kau tinggalkan luka yang cukup besar,
Kau hadirkan kesedaran yang penuh syukur,
Kau tautkan persaudaran utuh,
Kau bersihkan alam dari kegelapan,
Kau wujudkan kebersamaan umat manusia
Bahawa hidup ini ada batasnya .

Nukilan:
Lyana Ezani

108

91

Antologi Puisi Menghadapi Covid-19

Kota Sepi
Ironi kebiasaan itu
bagai dilanda taufan semalaman.
Kota yang penuh rakus kemajuan,
kini lengang tak bertuan.
Rimbunan bata yang dulu hangat
bercahaya terang gemilang,
tinggal kelam diteman bulan.
Hiruk pikuk warga yang membanjiri,
Kini hening tak bersaksi.
Pengunjung kota itu,
sedang diam di teratak sendiri.
Akur patuh perintah yang diberi,
bagi menghenti wabak menjangkiti.
Covid-19, wahana sepi ini.
Aku menyaksikan,
Kota yang hingar, kini terbiar.
Kosong, kota itu sepi.

Nukilan:
Nurul Azarina binti Zolkepli

109

92

Antologi Puisi Menghadapi Covid-19

Hikmah Corona

Sejak kehadiran wabak
warna hidup berubah
alam kembali indah.

Taman botani pulih segar
burung girang bersarang

Sungai-sungai pulih jernih
ikan riang berenang

Hutan-rimba pulih menghijau
haiwan galak membiak

Pantai landai pulih permai
pasir bersih memutih

Kota metropolitan pulih aman
udara bersih nyaman

Jalan raya pulih tenang
permai damai harmoni

Keluarga renggang pulih kasih
ibu ayah mesrai anak

Kekasih berjarak pulih bertaut
menjalin cinta abadi.
Bersedia tanpa wabak
hidup bahu membahu
memeluk kebiasaan baharu.

Nukilan:
Ramlee bin Wahab

110

93

Antologi Puisi Menghadapi Covid-19

Pemutus Rutin

Duhai si wabak kerdil,
Seantero tersebar tidak memencil,
Panggilan Covid-19 mencetus panik,
Tatkala sekalian alam isytihar pandemik.

Taksub engkau berpindah-randah,
Terkena jangkitan insan gundah,
Bermaharajalela mewarisi zuriat keturunan,
Menawar musibah terkena jangkitan.

Engkau makhluk persis halimunan,
Ligat merebak melangkaui sempadan,
Hiruk-pikuk bertukar kesunyian,
Susulan Perintah Kawalan Pergerakan.

Insan sinonim salam bercumbu,
Kini sudah kebiasaan baharu,
Saling bertegur cetus meriah,
Amalan berkumpul sudah ditegah.

Penjagaan kesihatan amat diutamakan,
Sering diingati membasuh tangan,
Penjualan topeng laris sambutan,
Waspada penjarakan sosial diamalkan.

Seruan semboyan lantang berbunyi,
Menggembleng kudrat menabur bakti,
Seirama barisan hadapan berjuang,
Ayuh putus rantaian jangkitan.
Kita Jaga Kita!

Nukilan:
Rosliza binti Mohd Safar

111

94

Antologi Puisi Menghadapi Covid-19

Pejuang Negara- Merapat Saf Hadapan

Ketika kita nyenyak di perbaringan atas tilam empuk
mereka ke hulu ke hilir membawa nota lapor
terselit risau bimbang mangsa itu ujiannya positif atau negatif
tetapi mereka masih berwajah manis
tetap menahan tangis penat juga cuba ditepis
saban hari kelopak mata memberat tajam merenung dari kejauhan
siapa selepas ini bakal pulang ke rumah atau dibawa terus menghuni
tanah?
biar bukan saudara, bukan siapa-siapa mereka menjaga dengan rela
siap siaga
berkorban masa hampir juga pertaruh nyawa
naluri insaniah terpupuk dengan penuh kasihan terbentuk
saf hadapan merapat, tekad berjuang walau diunjam penat dan
kantuk

Di tengah hujan panas sana, tercatuk pemilik uniform biru, celoreng
hijau
bengis tidak tunjuk walau panas melampau-lampau
siapa ingkar tidak kira tetap akan dipantau
kita banyak setuju ada juga mengherdik buat tidak tahu
yang mereka berpanas hujan menjaga laluan
berperang dengan kedegilan insan-insan seolah pandemik ini
mainan
apakah kita ingin lihat kematian di hadapan mata
barulah kita tabik mereka ini betul-betul buat kerja?
Inilah saf hadapan, terkadang sinis dipandang orang
sengaja menghalang, menyekat keinginan
tanpa tahu, mereka juga terdedah dengan bahang
wabak-wabak yang bergentayangan

Kuatlah wahai saf hadapan
meskipun kalian menangis dalam diam

Nukilan:
R’zie Ibrahim

112

95

Antologi Puisi Menghadapi Covid-19

Kita Dan COVID-19

Baru kini kelihatan…
Air sungai yang jernih tanpa longgokan sampah-sarap,
Air parit dan longkang mengalir deras tanpa tersumbat,
Si Kunani berkokok sahut menyahut tanpa berhenti – henti
menanti kelibat manusia,
Jalan raya bersih tanpa limpahan plastik dan pembalut makanan.

Adakah ini semua imaginasi aku atau hakikat sebenarnya?
Adakah keadaan ini disebabkan oleh manusia yang telah
mula sedar akan kepentingan memelihara alam semulajadi?
Tidak! Tidak sama sekali! COVID-19 puncanya!!

Dulu, kita diasuh untuk bersalam-salaman tanda hormat,
Kini, bersebelahan pun menjadi larangan.
Dulu, kita suka ditemani oleh sahabat handai,
Kini, kita belajar mendampingi keluarga sendiri.
Dulu, kita rajin mengunjungi restoran dan gerai,
Kini, kita berulang-alik masuk ke dapur sendiri.
Keluarga dan rumah sudah menjadi syurga kita.

Tatkala ini…
Kita bagai berada di medan pertempuran,
sentiasa gentar akan musuh yang tidak berwajah itu,
yang mungkin akan menyerang jika kita terleka,
walaupun untuk seketika.

Bilakah ketakutan ini akan berakhir?
Tiada yang dapat memberi kepastian,
Kita hanya mampu berserah….kepadaNya…

Nukilan:
Shiela S. Seenivasan

113

96

Antologi Puisi Menghadapi Covid-19

Ke Mana Hilangnya Keriuhan?

Tatkala pecah khabar
Covid 19 membolosi tanahairku
Spontan bergentayangan rasa bimbang
lantas berhamburan memenuhi ruang fikir.
Berdetik hati – apakah ini musibah?
Harga yang terpaksa kubayar atas setiap kelalaian.
Atau bayaran belajar untuk mensyukuri nikmat hidup ini.
Berbisiklah hati memohon agar Corona Virus berpaling pergi.

Namun hari demi hari tambah kuat kedengaran erang pesakit
Covid 19
sehingga ada yang terputus nafasnya tanpa sempat mengucapkan
selamat tinggal.
Tiada lagi suasana hiruk-pikuk di warung tepian jalan.
Seolah-olah keriuhan telah pergi tanpa pamit, tanpa jejak dan suara.
Aku masih bertabah di ruangan ini – mengintai keindahan alam dari
kaca jendela.
Mengikuti setiap perkembangan dengan rasa gementar.
Amat sukar untuk aku belajar daripada kesunyian ini.

Hari ini aku menemukan jawapannya
Covid 19 mengajar aku mengenali diri sendiri.
Belajar erti tanggungjawab terhadap masyarakat.
Memahami erti kerinduan yang tiada tergapai.
Menghargai kebebasan yang hakiki.
Covid 19 nyah kau dari muka bumi ini.
Berikan kami peluang untuk kembali menyusun langkah
untuk menyelusuri dunia yang indah ini.

Nukilan:
Siti Aishah binti Sulaiman

114

97

Antologi Puisi Menghadapi Covid-19

Barisan Hadapan Negara
Hari ini,
Barisan hadapan negara
Bertaruh nyawa,berkorban tenaga
Menjeruk rasa ingin bersama-sama keluarga
Namun segalanya telah kau lupakan
Demi menyelamatkan sebuah kehidupan

Hari ini,
Barisan hadapan negara
Keringat yang kau titiskan
Jasad yang kau kerahkan
Air mata yang kau tumpahkan
Pengorbanan yang telah dikau curahkan
Tiada galang gantinya
Tidak terbalas segunung intan
Tidak terbalas emas selautan
Terima kasih barisan hadapan negara
Terima kasih atas perjuangan kalian
Tabahlah,kuatlah,tenanglah
Allah pasti bersama-sama kalian.

Nukilan:
Siti Mariam binti Daud

115

98

Antologi Puisi Menghadapi Covid-19

Keranamu Covid-19

Keranamu Covid-19,
Kepada yang menanti bertemu menahan terpisah,
Betapa hati merindu menunggu penuh resah,
Semuanya engkau sapu hingga dunia sungkur mengalah.

Keranamu Covid-19,
Sejenak Muslim terhenti memandang mihrab,
Demi mencegah tular wabak berdarab,
Engkau menyerang halus jemaah hingga tempias penuh azab.

Keranamu Covid-19,
Barisan pejuang berpulun menyeru saran,
Menghulur bantuan penuh tertib aturan,
Sedang engkau datang tanpa awal amaran.

Keranamu Covid-19,
Barangkali ada yang emosi terkurung sengsara,
Mencari nafas bebas terjerat murung berjela,
Menahan jeritan dalaman kian terbuku di dada.

Namun keranamu Covid-19,
Detik bahagiaku bersama insan tercinta,
Tidak pernah tersia cambah kasihnya,
Menyantuni keluarga tiada terhitung nilainya.

Dan keranamu Covid-19,
Bumi ini yang dahulunya hampir terbenam lumpuh,
Oleh segelintir tangan yang tidak henti mencucuh,
Dan kini bumi sedang menghela nafas sembuh.

Nukilan:
Siti Najwa Nizam

116

99

Antologi Puisi Menghadapi Covid-19

Menghadapi Covid-19

Langit masih membiru nan indah seperti selalu,
Mentari masih bersinar cemerlang,
Angin tetap bertiup menyapa lembut helaian dedaunan,
Memperlihatkan ketenangan.

Namun, di daratan tidak seperti selalu,
Kehadiran corona virus makhluk bersaiz micro merubah segalanya.
Seluruh manusiawi menjadi gundah,
Segala episod rutin harian berubah,
Yang giat mencari rezeki,
Kini terhenti,
Dek kerana perintah untuk tetap tinggal di dalam rumah.

Tika gawatnya negara dengan rebakkan wabak,
Tidak semua nasib rakyat itu terbela,
Ada yang kehilangan punca rezeki,
Namun, masih ada insan berhati insaniah.

Sumbangan demi sumbangan diagihkan,
Meringankan bebanan yang menimpa diri,
Keprihatinan menjadi tunjang perpaduan,
Mengeratkan ikatan persaudaraan,
Tanpa mengira agama dan bangsa,
Tanpa mengira usia dan darjat.

Bersabarlah dengan ujian Tuhan,
Suatu saat corona virus ini kecundang jua,
Teruslah bersatu hati,
Patuhi setiap perintah yang diisytiharkan,
Semoga kembali sejahtera.

Nukilan:
Siti Nazirah binti Muhammad

117

100

Antologi Puisi Menghadapi Covid-19

Tempur di Kota Lumpur
Kota ini kota lumpur,
tapi semangatnya tidak pernah lebur.

Kota ini seakan lumpuh,
tapi aku tetap ingin ia bangun dan kembali ampuh.

Kota ini mungkin penuh noda dan daki,
tapi ini medan juang untuk aku dan rezeki.

Kota ini kelmarin pentas tarian ekonomi,
tapi hari ini kian menyepi.

Saat ini kita di medan tempur.
Kini apapun langkah pejuang atur kita turut akur.

Strategi kita tidak lagi kabur,
kali ini kita lebih kemas dan teratur.

Marhaen walau tidak di barisan hadapan,
tetap teguh mendukung dengan penuh harapan.

Setelah ramai yang berkorban,
dan
setelah ramai yang terkorban,
tanamkan dalam hati di lubuk yang paling dalam,
Kita wajib menang!

Nukilan:
Siti Norziyana binti Kassim

118

101

Antologi Puisi Menghadapi Covid-19

Hentikan Berita Palsu

Apakah tiada kerja
Lalu berbuat begitu
Apakah tak takut dosa
Menyebar berita palsu
Apakah mata hati buta
Tidak mahu ambil tahu
Apakah merasa bangga
Apabila rakyat jadi keliru

Berita palsu tersebar
Segera pula jadi tular
Dalam era media sosial
Masih ramai yang cetek akal
Ada yang merasa amat teruja
Menjadi penyampai pertama
Ingat… Tak pasti jangan kongsi
Nasihat bagai mencurah air di daun keladi

Covid-19 suatu musibah
Seluruh dunia resah gelisah
Rebutlah peluang bermuhasabah
Hentikan kerja jelek tidak berfaedah
Jangan sampai diheret ke mahkamah
Sabit kesalahan diri sendiri yang susah
Tiada guna dah terantuk baru tengadah
Beringatlah sebelum barah menjadi parah

Nukilan:
Siti Salamah binti Mohd Shihab

119

102

Antologi Puisi Menghadapi Covid-19

Covid-19 Untuk Manusia Mengerti
Hari ini ada wabak melanda
Hari ini jiwa manusia tersiksa
Pergerakan disekat
Agar wabak tidak melarat
Terjangkit menjadi sakit
Tenat membawa ke mati

Hari ini juga bumi berkata
Mengapa manusia seolah buta
Selama ini aku sengsara
Biarlah aku berehat seketika

Langitku sudah lama pudar
Udaraku sudah lama cemar
Hutan dan bukitku sudah lama gondol
Laut dan sungaiku sudah lama keruh dan tohor
Hatiku sudah lama hancur
Jiwaku telah lama lebur

Dengarlah wahai manusia
Semua ini tak akan lama
Tuhan hanya menguji kamu
Tuhan juga menyayangi aku
Tuhan maha mengetahui
Kita sama-sama diadili

Nukilan:
SZSH

120

103

Antologi Puisi Menghadapi Covid-19

HIKMAH DISEBALIK PKP
(Perintah Kawalan Pergerakan)

Ada yang merasa
Rimas!
Kehidupan terganggu, bagaikan terhenti
Tidak dapat ke sana ke sini
Bosan!
Menyusahkan!
Memeritkan!

Jalan-jalan menjadi lengang
Kedai-kedai bagaikan tiada barang jualan
Bandaraya yang dahulu gah dengan hiruk pikuk metropolitan
Kini sunyi sepi, ibarat bandar mati kehilangan seri.

Namun
Andai semua itu diambil positif
Ia bagaikan satu nikmat berganda
Bumi kini mampu menguntum senyuman
Tiada lagi asap kilang, yang menyesakkan dada
Tiada lagi deruman bunyi kereta, yang membingitkan telinga
Sungai-sungai juga jernih berkilauan
Ikan-ikan tersenyum riang, berenang-renang mengocak suasana

Bila semua optimistik
Susah akan menjadi senang
Benci kini bertukar cinta
Semua diraikan atas satu rasa
Itulah hikmah Perintah Kawalan Pergerakan
Yang sedang dijalankan.

Nukilan:
Zailah Hj Bujang

121

104

Antologi Puisi Menghadapi Covid-19

Tabah Manusia

Wahai manusia,
Hidup ini perlu waspada
kerna bahaya tidak terzahir di mata.
Melihat mereka yang semakin sengsara, peranan manusia semakin
didamba.

Wahai manusia,
Hentikan kepentingan diri,
Hentikan kekosongan ini,
Hentikan helah permainan hati,
Demi menjaga sebuah negara harmoni.

Virus bersinergi semakin berpergi,
Kerna manusia semakin percaya teknologi
Kerna manusia saling mempercayai
Bukan kerana dipaksa, bukan juga dengan rela
Namun kita sedar bahaya di mana-mana.
Kita boleh hentikannya.

Kuatlah wahai manusia,
Demi melawan virus durjana
Demi menjaga nama negara,
Demi menjamin bahagia keluarga.

Percayalah kita kepada-Nya,
Yang Maha Mengetahui Segalanya.
Reda kita dengan ketentuan-Nya.
Tabah sang manusia.

Nukilan:
Zarina binti Saad

122

105

Antologi Puisi Menghadapi Covid-19

Biodata Juri

S.M. Zakir nama penuhnya Syed Mohd Zakir bin Syed
Othman, dilahirkan pada 4 Februari 1969 di Kota Bharu,
Kelantan serta dibesarkan di Pulau Pinang dan Selangor.
Lulusan Institut Teknologi MARA jurusan Computer
Programming dan Bussiness Studies dari Institute of
Commercial Management. Mula menulis pada tahun
1990 dan sehingga sekarang telah menerima puluhan
anugerah sastera kebangsaan termasuk Hadiah Sastera
Perdana kategori Buku Kumpulan Cerpen 1994/95
(Merengkuh Langit), Anugerah Sastera Kelantan kategori
Buku Kumpulan Cerpen (Sekuntum Kembang di Sayap
Jibril), Hadiah Sastera MASTERA kategori Buku Kumpulan Cerpen 2012 (Serigala
dan Sekuntum Tulip), Hadiah Sastera Perdana kategori Buku Kumpulan Cerpen
2010/11 (Serigala dan Sekuntum Tulip). Beliau menerima Anugerah Sasterawan
Muda Mastera 2010 dari Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) di Jakarta,
Indonesia. Beliau menerima Anugerah SEA Write Award 2011 dari S.E.A Write
Council di Bangkok, Thailand. Antara anugerah sastera lain ialah Hadiah Sastera
Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Sastera Utusan-
ExxonMobil, Hadiah Sastera DBP-Maybank, Hadiah Sastera 100 tahun Kuala
Lumpur DBP-DBKL, Hadiah Formula Malaysia, Anugerah Sastera Negeri Kelantan,
Anugerah Buku Negara 2018 dan Anugerah Gaffim (kritikan filem). Sehingga kini
telah menghasilkan empat buah novel, sembilan buah kumpulan cerpen, empat
buah kumpulan sajak, sebuah buku biografi dan tujuh buah kumpulan esei
sastera, budaya, teater, filem, falsafah dan politik. Beliau kini penulis bebas di
samping menjalankan penerbitan sendiri.

MOHD AMRAN BIN DAUD dilahirkan di Kampung Buloh
Poh, Ketereh, Kelantan pada 18 April 1968. Mendapat
pendidikan di Sekolah Menengah Ketereh sebelum
melanjutkan pengajiannya di UPM (1987) dan kemudian
menyambung pengajian di USM.
Beliau merupakan seorang penulis puisi, esei dan cerpen.
Banyak menghasilkan antalogi puisi semenjak tahun
1994 sehingga kini. Puisi beliau turut dimuatkan dalam
Antalogi KOMSAS Tingkatan 2, Gema Sepi gadis Genius,
terbitan tahun 2010.Beliau juga terlibat secara langsung
menjadi juri dan hakim pertandingan Pantun Antara
Universiti, Pesta Pantun Antara Kementerian, Pesta Pantun Bestari dan Pantun
Institut Pendidikan Guru Malaysia. Selain aktif dalam persatuan penulis seperti

106

123

Antologi Puisi Menghadapi Covid-19

PENA, PPK, PPS, KEMUDI dan kelab sastera, beliau juga terlibat membentang
ketas kerja, menjadi penilai manuskrip, penyunting buku, serta menyelenggara
beberapa buah buku terbitan luar atau DBP. Kini beliau bertugas sebagai Pegawai
Perancang Bahasa di Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Dewan Bahasa dan
Pustaka Kuala Lumpur.

RUSDI ABD RAHMAN dilahirkan di Kuala Terengganu dan
mendapat pendidikan menengah di SMK Sultan Sulaiman,
Kuala Terengganu.Seterusnya melanjutkan pelajaran
Ijazah Sarjana Muda Pengajian Media di Universiti Malaya.
Berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka sejak tahun
1997. Bekelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang
Pengajian Media di Universiti Malaya. Menulis karya kreatif
dan bukan kreatif khasnya genre puisi, berita dan ilmiah
dalam bidang sastera dan bahasa yang tersiar dalam
majalah dan akhbar seperti Dewan Sastera, Tunas Cipta,
Dewan Siswa, Dewan Bahasa, Pelita Bahasa, Mingguan
Malaysia, Berita Harian, Berita Minggu dan Jendela Selatan. Menyelenggarakan
dan menerbitkan buku antologi puisi dan cerpen terbitan DBP Wilayah Selatan
iaitu ‘Potret’, ‘Daksina’, Melaka Segalanya Di Sini’, ‘Malam Puisi Alam’, ‘Di Padang
Kasih Bermula’, ‘Pusaka Bangsa’, ‘Jaring Harapan’, dan ‘Pengorbanan’ sejak tahun
2001.
Sejak tahun 2001 sering dilantik selaku hakim, juri dan penilai dalam
bidang sastera, bahasa, budaya dan persuratan Melayu peringkat sekolah,
daerah, negeri dan kebangsaan melibatkan pertanfingan peringkat DBP, jabatan,
kementerian dan persatuan-persatuan penulis di seluruh negeri.

DR. SHAMSUDIN OTHMAN dilahirkan di Tangkak, Johor.
Mendapat pendidikan awal di daerah kelahiran sebelum
melanjutkan pelajaran di ITM, Shah Alam (1985-86),
Maktab Perguruan Lembah Pantai, Kuala Lumpur (1987-
1989), Institut Bahasa, Kuala Lumpur (1994) dan Universiti
Malaya (Kelas Pertama – 1998) sehingga memperoleh
Ijazah Doktor Falsafah pada tahun 2011 di Akademi
Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Pernah memenangi lebih daripada 35 anugerah dalam
pelbagai sayembara sastera peringkat kebangsaan dan
antarabangsa. Antaranya, Hadiah Sastera Perdana
Malaysia (HSPM), Anugerah Sastera BH-ITBM, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan
(HSKU), Anugerah Sastera Darul Ta’zim (ASD), Anugerah Sastera Tun Razak
Negerawan Ulung, Hadiah Esso-GAPENA, dan lain-lain. Kini bertugas sebagai

107

124

Antologi Puisi Menghadapi Covid-19

seorang Pensyarah Kanan di Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan,
Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia. Antara karya yang teleh
diterbitkan ialah kumpulan puisi berjudul Taman Percakapan (DBP: 2006), Tanah
Nurani (PIB: 2009), Taman Maknawi (ITBM: 2013), Taman Insaniah (DBP: 2015),
Kudus Kesturi (ITBM: 2015), Apresiasi Sastera (DBP: 2014), Kesusasteraan Melayu
Komunikatif (Oxford Fajar: 2016), Islam dalam Kebudayaan Melayu (OUM: 2015) dan
lain-lain.

108

125






Click to View FlipBook Version