The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Zakia Mohsin, 2019-09-24 13:19:07

permainan tradisional

indoor game

Keywords: pss

PUSAT SUMBER SMK TINGGI KLANG,
JALAN MERU, 41050 KLANG,
SELANGOR DARUL EHSAN.

NO.TEL : 03-33412340 NO. FAX : 03-33440711
https://beb0102.1bestarinet.net

PERMAINAN
TRADISIONAL

(CARA BERMAIN)

DISEDIAKAN OLEH :
ZAKIA BINTI MOHSIN
GURU PERPUSTAKAAN & MEDIA

CONGKAK

Berikut merupakan peraturan permainan congkak yang paling biasa:

1. Dua orang pemain duduk berhadapan menghadap papan congkak, dimulakan
dengan kedua-dua pemain serentak mencapai buah di kampung masing-
masing dan memasukkan buah satu demi satu di dalam lubang kampung
dengan pergerakan dari kanan ke kiri hingga ke rumah dan kampung lawan.

2. Gerakan diteruskan hingga buah yang terakhir pada tangan dimasukkan dalam
kampung kosong di kawasan sendiri atau lawan dan pemain hendaklah
berhenti, sekiranya buah itu jatuh atau mati di kampung sendiri. Pemain itu
boleh menembak kampung lawan yang setentang dengan kampungnya iaitu
mengaut kesemua buah (jika ada) di dalam kampung tersebut, hanya selepas
membuat satu pusingan.

3. Pihak lawan mengambil giliran meneruskan permainan hingga buahnya mati.
Sekiranya buah terakhir jatuh di dalam rumah sendiri, pemain boleh
meneruskan permainan dengan mengambil buah yang masih banyak di mana-
mana kampung sendiri. Sekiranya buah terakhir jatuh di kampung kosong pihak
lawan, maka permainan itu mati di situ sahaja dan pihak lawan boleh
memulakan permainan seterusnya hingga mati.

4. Sekiranya tidak terdapat sebarang buah di kampung pemain sungguhpun
giliran berada dipihaknya, maka giliran untuk menggerakkan buah akan
berpindah kepada pihak lawan.

5. Setelah tamat pusingan pertama, setiap pemain mengisi semula kampung
dengan buah congkak dan jika ada kampung yang tidak cukup buah, ia
dianggap 'terbakar'. Kampung ini tidak boleh diisi apabila bermain pada
pusingan yang kedua, ketiga dan seterusnya hingga pihak lawan mengaku
kalah.

Di akhir permainan, buah congkak dikira dari rumah masing-masing. Pemenang
adalah yang memiliki buah congkak terbanyak. Sekiranya jumlah buah congkak sama
banyak, maka pemain dengan jumlah kampung terbakar terbanyak dikira kalah.

GASING

Terdapat 4 langkah mudah untuk bermain gasing:-

1)Melilit tali

Terdapat 2 cara untuk melilit tali iaitu dengan cara melilit di lengan atau melilit di jari kelingking.
Kedua-dua kaedah ini penting sebelum memulakan permainan kerana tali yang kemas dan tidak
terlalu panjang akan menghasilkan pusingan gasing yang baik. Cara yang pertama dipakai dengan
memasukkan pergelangan tali ke dalam lengan pemain dan cecincin iaitu hujung tali yang diikat
membulat akan menjadi penyimpul hidup. Ini akan memudahkan pemain kerana apabila ditarik ia
tidak mudah terurai. Pusingan tali pada lengan pula bergantung kepada pemain sama ada dililit
pada tangan kanan atau tangan kiri. Pusingan lilitan bergantung kepada pemain untuk memastikan
pemain selesa dengan lilitan tali tersebut. Lilitan tali biasanya dilakukan sendiri.

Kaedah yang kedua pula dilakukan dengan membuat lilitan pada jari kelingking pemain. Pemilihan
jari kelingking sama ada sebelah kanan atau kiri bergantung pemain. Cecincin pada hujung tali akan
dimasukkan pada jari kelingking oleh pemain seterusnya tali tadi akan dililit pada tapak tangan.
Biasanya cara ini banyak dilakukan oleh pemain yang telah berusia kerana dengan cara ini tali akan
menjadi lebih panjang dan menghasilkan cengkaman yang lebih kuat pada gasing. Untuk
memudahkan lilitan pada leher gasing, pemain perlu melilitkan kesemua tali di lengan dengan
meninggalkan beberapa sentimeter(cm) untuk memudahkan pemain mengesan kelembapan,
kelembutan dan ketegangan tali. Selepas balingan gasing dibuat, tali akan dililit pada lengan atau
tapak tangan sehingga habis bagi memudahkan tugas mengangkat atau menegak uri.

2)Memusing gasing

Terdapat berbagai-bagai gaya dalam memusing gasing. Memusing mengikut cara yang betul akan
menghasilkan pusingan yang tegak, kuat, ligat dan tetap. Untuk menghasilkan pusingan seperti ini,
langkah yang disusun hendaklah mengikut cara yang betul supaya gasing tidak jatuh mengiring,
meleret atau borot. Umumnya terdapat dua jenis pusingan yang biasa diamalkan, iaitu pusingan
sorong tarik dan pusingan sentap. Untuk pusingan sorong tarik, gasing hendaklah dipegang secara
mengiring dan dihayun ke belakang. Serentak dengan itu mata mestilah tertumpu ke arah sasaran
di hadapan. Kedudukan gasing hendaklah sentiasa mengiring semasa gerakan ini. Semasa
menghayun, gasing mestilah dalam kedudukan mengiring sehingga gasing tiba di hadapan, barulah
gasing ditegakkan sebelum dilepaskan. Kedudukan badan mestilah rendah dan kaki berada tidak
jauh dari sasaran yang hendak dipusingkan. Hayunan tangan pemain hendaklah mengikut hayunan
gasing dan badan membongkok kira-kira 45 darjah. Pusingan gaya ini agak rendah dan dekat.

Bagi pusingan sentap, gaya pusingan ini menghasilkan pusingan yang tegak, ligat dan kuat. Pemain
memegang gasing dengan kedudukan tegak, iaitu kepala gasing menghala ke atas dan diangkat
tinggi. Kedudukan tangan kira-kira 30 darjah dari paras lengan. Tangan dihayunkan ke arah sasaran
dengan kedudukan gasing tegak sehinggalah tiba ke hadapan, sebelum dilepaskan. Setelah gasing
terpacak ke bumi, sedikit sentapan dikenakan dan pastikan ia berada dalam keadaan tegak. Jika
tidak gasing akan meliuk dan pusingan akan menjadi kurang ligat. Gasing diangkat paras bahu
sebelum dilepaskan.

3)Memangkah gasing

Memangkah adalah satu gerakan yang penting dalam permainan gasing. Tumpuan, perhatian dan
hayunan hendaklah tepat mengenai sasaran supaya gasing akan menghasilkan uri yang ligat, tegak
dan kuat. Tedapat empat gaya pangkahan yang biasa digunakan oleh pemain dalam apa juga
pertandingan, iaitu pangkah totok, pangkah hentak, pangkah layang dan pangkah tebang.

4)Mengangkat gasing

Setelah gasing dipusingkan atau dipangkah, ia perlu pula diangkat ke tapak uri yang sesuai untuk
menjamin keligatannya agar terus terpelihara. Mengangkat gasing memerlukan kemahiran,
kesabaran dan kecekapan yang tinggi.

Sebelum gasing diangkat, pemain mestilah terlebih dahulu menentukan liuk arah pusingan dan
kedudukan gasing. Menentukan liuk bermakna mencari liuk atau kedudukan pusingan terendah
bahagian patak dengan bumi. Bahagian terendah inilah yang akan diangkat. Arah pusingan perlu
ditentukan untuk disesuaikan dengan arah pusingan badan ketika membawa gasing. Mengangkat
gasing dilakukan dengan menggunakan tali dan cokok. Cokok digunakan untuk gasing yang
berbentuk leper dan berat. Kedudukan gasing semasa hendak diangkat hendaklah berada dakam
keadaan tegak kerana jika kedudukannya mengiring ia akan menjejaskan keligatan gasing. Tali
yang digunakan untuk mengangkat gasing mestilah tegang dan ketika mengangkat patak akan
dielakkan dari tersentuh tali kerana ini akan mengurangkan keligatan.

BATU
SEREMBAN

Permainan batu seremban mempunyai cara bermainnya yang tersendiri. Seperti
permainan yang lain, batu seremban juga ada peringkatnya yang digelar sebagai
buah. Keseluruhannya, batu seremban mempunyai lapan peringkat yang perlu dilalui
oleh pemain sebelum dikira sebagai pemenang.

Buah Satu:
*Kesemua buah hendaklah diselerakkan, dimana kedudukan semua buah tidak
menyentuh antara satu sama lain.
*Sebiji buah akan dijadikan ibu, dan ibu itu harus dilambungkan ke udara.
*Dalam masa yang sama, sebiji buah di atas lantai harus dikutip.
*Proses ini akan berterusan sehingga semua buah di atas lantai sudah dikutip.

Buah Dua:
*Cara buah dua dimainkan ialah sama seperti buah satu.
*Hanya dua biji buah harus dikutip dengan masa yang sama.
*Ini bermakna, ibu akan dilambungkan sebanyak dua kali sahaja.

Buah Tiga:
*Buah tiga ada sedikit perbezaan.
*Pada lambungan pertama, hanya satu biji buah akan dikutip.

*Lambungan yang kedua pula, tiga biji buah akan dikutip dengan serentak.

Buah Empat:
*Buah ibu akan dilambungkan ke udara.
*Pada masa yang sama, pemain harus mengutip kesemua empat biji buah yang
berada di lantai dengan serentak.

Buah Lima:
*Buah lima akan dimainkan seperti buah empat.
*Pemain harus melambungkan buah ibu ke udara dan mengutip keempat-empat biji
buah diatas lantai dengan serentak.
*Selepas itu, buah ibu harus dilambungkan ke udara dan pada masa yang sama,
empat biji buah yang ada di dalam tangan pemain harus diletakkan di atas lantai
supaya hanya buah ibu sahaja yang akan disambut.

Buah Enam:
*Pada peringkat yang keenam, pemain akan mendapat sedikit perbezaan.
*Pada peringkat ini, pemain akan mendapat bahawa dua biji buah akan menjadi buah
ibu.
*Apabila sebiji daripadanya dilambung ke atas udara, sebiji lagi buah ibu harus ditukar
dengan buah yang lain yang terdapat di atas lantai hingga selesai.

Buah Tujuh:
*Buah tujuh adalah urutan daripada buah enam.
*Dua biji buah yang ada di dalam tangan harus dilambungkan dengan serentak.
*Selepas itu, hanya satu biji buah yang akan dikutip.
*Buah ibu hendaklah disambut dengan kedua-dua belah tangan.
*Satu di tangan kiri, dan lagi satu di tangan kanan.

*Pada akhirnya, buah ibu yang dilambung terakhir juga akan disambut.

Buah Lapan:
*Campakkan kelima-lima batu di atas lantai.
*Ahli yang lain pilih satu batu untuk dilambungkan ke atas.
*Pemain itu harus ambil batu ini tanpa menggerakkan batu yang lain.
*Pemain itu harus melambungkan batu itu dan mengutip batu-batu yang lain dengan
sekali gus

Timbang:
*Selepas seorang pemain sudah berjaya menyelesaikan Batu Lapan, dia haruslah
timbang untuk mendapat mata.
*Kelima-lima batu seremban diletakkan di atas tapak tangan.
*Semua batu seremban dilambung ke atas sambil tangan diterbalikkan.
*Batu seremban yang telah jatuh ke lantai tidak boleh dikutip semula.
*Tangkap batu seremban yang ada di tangan
Batu yang dapat ditangkap = 1 mata
Batu yang dijatuhkan = 0 mata
Selepas menimbang, pemain ulangi semuanya dan bermula dengan Batu Satu.

Tamat Permainan:
Dalam bila-bila masa pemain itu gagal untuk menghabiskan lapan peringkat ini,
pemain ini haruslah memberikan gilirannya kepada ahli yang lain.
Jika ahlinya gagal untuk menghabiskan lapan peringkat ini, pemain itu akan kembali
kepada peringkat yang tidak diselesaikan bermula daripada permulaan peringkat itu.

CEPER

Cara Bermain

1. Susun semua (5 keping) tudung botol dua ke
atas.

2. Letakkan kedua-dua ibu jari di depan dan
belakang tudung botol.

3. Gerakkan kedua ibu jari ke arah berlawanan
untuk ceraikan tutup botol.

4. Amik satu dari lima tutup botol yang telah
diceraikan.

5. Pihak lawan akan menunjuk mana yang perlu
ditembak.

6. Tembakan tutup botol hanya dengan satu
jentikan.(tutup botol bergoyang sebelum
jentikan di kire 'garib' dan mati)

7. Tembakan yang berjaya disusuli dengan
seremban tutup botol.

8. Markah dikira melalui beberapa tutup botol
yang didapati. (1 tutup botol = 2
mata/markah)

CHAPTEH

Chapteh atau Sepak Bulu Ayam merupakan sejenis permainan
tradisional yang dimainkan di Malaysia. Ia juga dikenali sebagai sebuyam.

Permainan ini boleh dimainkan secara berseorangan atau lebih. Sekiranya
ia dimainkan secara berseorangan, pemain akan cuba menyepaknya
seberapa banyak yang mungkin dan seberapa lama yang mungkin. Ini
biasanya dikenali sebagai menimang. Menimang juga boleh dimainkan
lebih daripada satu orang, dan pemain bergilir menimang bulu ayam,
sementara pemain lain mengira berapa kali sepakan dibuat.

Sekiranya ia dimainkan lebih dari satu pemain, kumpulan dengan terdiri
beberapa orang boleh dibentuk. Permainan ini adalah seperti
permainan sepak raga, tetapi bola yang digunakan adalah dari bulu ayam
yang telah dibentuk seperti sejambak bunga.


Click to View FlipBook Version