Ganim mengandaikan isterinya yang menyayangi kucing sudah tentu akan
menyukai binatang bertelinga panjang dan gigi jongang ke depan ini kerana dua-
duanya pun berbulu. Digendong arnab liar itu di tangannya sepanjang dalam perjalan
balik kerumah. Terbit juga sedikit rasa hairan dalam kepala Ganim saat itu kerana
memikirkan arnab liar yang berada dalam gendongannya ini langsung tidak berusaha
untuk meloloskan dirinya.
“Mungkin arnab jinak kali ni. Bagus la kalau jinak, inda juga payah lagi mau
dikasi ajar jadi jinak nanti.” Ganim mengomel sambil tangannya tak henti-hentinya
mengusap bulu lembut arnab putih ini.
Dari jauh lagi Ganim mencari kelibat isterinya di dapur kayu api, namun tidak
ditemukan. Gara-gara kepenatan berjalan, diatas tangga kayu dapur itu Ganim
dudukkan punggungnya. Tangannya masih setia memegang arnab liar itu. Menyedari
isterinya tidak memunculkan diri, membuatkannya sedikit resah.
“Ding? Ading?” Ganim memanggil nama isterinya.
Ading ketika itu menyambung jahitan pada sarungnya yang terkoyak kemarin.
Hampir saja jarum itu menusuk jarinya saat mendengar namanya dipanggil. Jarum
yang masih berikat dengan benang dicucuk pada kain sarung yang dijahitnya lalu
diletakkan diatas kerusi rotan. Dia segera berjalan ke dapur dan membuka kunci pintu
lalu melihat suaminya yang sedang duduk hanya menunjukkan belakangnya diatas
tangga.
“Bila lagi kau tesampai? Enda pula aku tadangar bunyi-bunyi.” Ading menyoal.
“Baru-baru juga. Nah kau tengok ni. Tadi aku jumpa dia di hutan.” Ganim
memalingkan tubuhnya dan menunjukkan arnab liar itu pada isterinya.
Sungguh bersinar mata Ading ketika melihat arnab yang masih dipegang oleh
suaminya. Tidak perlu dijemput lagi, Ading terus sahaja mengelus perlahan bulu arnab
51
itu. Sudah tidak dihiraukan lagi cendawan yang masih menunggu giliran untuk dibawa
keluar oleh Ading.
Sekilas Ading terpandang beg tekiding yang berisi dua plastik besar. Tangannya
cepat membawa keluar plastik itu lalu dibuka ikatannya dan benar sekali tekaan Ganim.
Ading sememangnya menunjukkan reaksi terkejut dan teruja melihat sayur
kegemarannya yang sangat banyak.
“Waaaaa. Punya banyak!” Sebahagian jarinya menutupi mulutnya yang terbuka
kerana terkejut.
“iya. Baru la puas makan. Kalau kita inda habis, buli kasi diurang inai Ambar
sama amai Tiot.” Ganim memandang wajah isterinya untuk mencari persetujuan.
“Ngam juga tu. Tu hari kan sudah diurang kasi kita kunyit. Ni kali, kita la kasi
diurang sayur.” Balas Ading dengan jarinya yang masih mengelus bulu arnab liar yang
ditangkap suaminya.
“Ba. Pigi la kau kasi sedia ini sayur mau masak nanti. Aku mau bikin dulu kali
kurungan untuk ini arnab.” Dia sudah mengangkat tubuhnya berdiri dan memindahkan
arnah itu ke dalam sebuah kotak yang sudah dipotong sedikit untuk memberi ruang
udara masuk.
***
“Kasi sauk aku nasi lagi sikit ba.” Ganim meminta isterinya untuk
mencedokkannya nasi. Setiap kali suapan masuk ke dalam mulut, Ganim tetap akan
berkata, “hmm. Sedapnya.” Atau pun, dia akan menunduk kepala dengan matanya
yang tertutup seakan menikmati rasa lauk itu dengan penuh intimasi. Tidak pernah
sekali pun Ganim terlepas untuk memuji masakan isterinya yang sememangnya sedap.
“Tu arnab, di mana kau simpan?” Tanya Ading yang masih menunggu suaminya
habis makan.
52
“Kasi simpan ja kali di luar tu. Senang nanti mau kasi bersih tai dia. Kasi buang
ja terus dibawah, inda payah lagi mau cuci.”
“Inda apa-apa ka tu. Inda ka kena kacau kara nanti?”
“Ah, indala tu. Mana kara tu masuk rumah kalau ada urang dia nampak.” Balas
Ganim.
“Jadi kalau hujan, indakan mau kasi biar ja dia ni di luar?” Tanya Ading lagi.
“Bila hujan sajala kita baru kasi masuk pigi dalam rumah.”
***
“Kau betul-betul berani sini saturang?” Soal Ganim pada Ading dengan kedua-
dua tangannya diletakkan pada pipi isterinya yang tembam.
“Iya. Berani juga. Kalau ada apa-apa pun, pandai la aku nanti pigi tempat inai
Ambar.” Sengaja Ading melentokkan wajahnya di atas tangan suaminya.
“Kalau mau petang, pigi la mandi awal-awal. Jangan tunggu telampau gelap.”
Suaranya lembut menasihati Ading.
Berat hati Ading untuk membenarkan suaminya pergi, namun, dia mencuba
untuk memahami dan tidak ingin membebankan lagi Ganim.
“Aku dua hari saja sana. Lepastu aku capat-capat pulang.” Ganim membuat janji.
Hanya sebuah senyuman tawar yang mampu dihadiahkan Ading setelah
mendengar janji suaminya. Sebelum benar-benar berangkat, Ganim sempat berpamitan
dengan isterinya. Sungguh, hati juga berat untuk meninggalkan isterinya berseorangan
di rumah. Sehingga mengecil lalu menghilang sosok tubuh suaminya dari pandangan,
baru Ading memanjat tangga rumah mereka.
53
Semua tingkap dan pintu sudah ditutup. Arnab yang diletakkan diluar sengaja
dibawa masuk olehnya supaya kesunyiannya semasa Ganim tiada terubat sedikit. Belum
ada keberaniannya untuk membenarkan arnab itu keluar dari kurungannya, dia hanya
mampu menyentuh bulu dan hidung arnab itu dari celah-celah lubang kurungan kayu
yang dibuat Ganim tengahari tadi.
Terlintas di fikirannya ketika itu untuk memberi nama kepada arnab liar itu. Dia
duduk termenung di hadapan kurungan memerhati gelagat arnab itu.
“Purak la nama kau. Mau? Sebab bulumu mepurak.” Ading mempamerkan wajah
tersenyumnya layak seperti seorang kanak-kanak yang baru dibelikan jajan.
Arnab itu seolah-olah mengerti kata-kata Ading. Dia berlari melompat-lompat
saat dia dinamakan Purak. Mulai itu, Ading memanggilnya sebagai Purak sahaja.
Dia berjalan masuk ke dapur lalu menyelongkar buah pisang yang sudah
diperam empat hari di dalam kotak. Sebiji pisang Sa’ba dipetik daripada sikatnya
kemudian Ading berjalan balik ke kurungan Purak.
Kulit yang membaluti buah pisang itu segera dikupas oleh Ading. Sedikit demi
sedikit dia memasukkan isi buah pisang itu ke dalam kurungan Purak. Arnab itu terus
sahaja mendekati cebisan pisang yang dijatuhkan lalu menghidu-hidunya. Setelah puas
menghidu, Purak pun menggigit-gigit isi buah pisang itu di dalam mulut.
Ading tak tertahan tawanya melihat tingkah comel Purak semasa sedang makan.
Hatinya dari tadi lagi sudah meronta-ronta untuk mendukung arnab itu, tetapi dia juga
tidak menginginkan haiwan berbulu yang baru sahaja diberikan nama hilang begitu
sahaja.
Selepas selesai membersihkan diri, perutnya terasa lapar, dan mulai
berkeroncong. Dia menyegerakan pergerakannya memakai pakaian. Terus sahaja
langkah menuju ke dapur lalu mengambil sudu makan dan piring kosong dan
menyendokkan sesudu nasi ke atas piringnya. Lauk cendawan tumis dan lebihan ikan
54
goreng semalam diletakkan diatas meja bersama-sama dengan nasi yang baru saja di
sendok. Semakin cahaya matahari ditelan malam, terbit pula rasa seram dihati Ading.
Dia berehat sebentar diberanda rumahnya setelah selesai makan memerhati
perubahan dari senja ke malam gelita. Tatkala perutnya rasa selesa, dia pun mula
merasakan tilam di biliknya sedang menyerunya datang ke sana. Tidak lagi ditunggu
lama, Ading masuk ke dalam rumah, lalu mengunci pintu utama itu.
Masih juga diselubungi dengan rasa takut yang tidak melampau, dia
menggagahkan juga langkahnya ke dapur untuk memastikan pintu dan tingkapnya
sudah berkunci. Fikiran yang cuba menakutkan dirinya sendiri ditepis sejauh mungkin.
Ading mula merasa rindu terhadap suaminya. Dia merasa takut dan ingin dipujuk
oleh lelaki kesayangannya itu. Namun, harus dia ingatkan dirinya, dia punya lagi sehari
setengah untuk tinggal berseorangan sebelum Ganim pulang. Dia baru mengerti satu
hal yang sebelum ini belum di sedarinya. Mempunyai Ganim disisinya membuatkan
Ading merasa selamat dan dilindungi, namun saat mereka tidak bersama, membuatkan
dia ketakutan dan kesunyian.
Di tilam nipis itu, Ading membaringkan tubuhnya. Bersumberkan dengan cahaya
dari lampu pelitanya yang agak malap-malap mengaktifkan lagi otaknya untuk
memikirkan sesuatu yang seram dan memomokkan dirinya sendiri.
Ading memaksa menutup matanya. Terus sahaja dalam bayangannya makhluk
yang sedang memandang tepat ke arah wajahnya jika dia membuka mata.
Tanpa disedari, dia sudah pun diulit mimpi yang baginya agak aneh.
Keesokannya, sewaktu bangun dari tidur, Ading cuba untuk mengingat semula
mimpinya tentang Ganim. Di dalam mimpi itu, Ganim baru pulang dari memburu,
namun, apabila Ading terpandang di kaki suaminya, dia melihat Ganim berkaki ayam,
dan kuku kakinya teramat panjang. Tidak sempat mimpinya dihabiskan, perutnya terasa
memulas. Bingkas Ading bangun dari perbaringannya dan berlari anak-anak ke tandas.
55
Mimpi melihat Ganim berkaki ayam dan berkuku panjang juga segera luput dari
fikiran Ading.
***
Dua hari pun berlalu pergi. Ading sudah tidak sabar menanti kepulangan
suaminya yang sudah dua hari tak dilihatnya. Pagi sebelum Ading memasak makanan
tengahari, dia duduk di kerusi rotan biasa didudukinya untuk menunggu suaminya,
namun tiada sosok lelaki itu. Dia mengoptimistikkan dirinya dan menyemai benih fikiran
tentang suaminya yang mungkin akan balik waktu makan tengahari.
Ading pun menyediakan lauk cendawan tumis dan lauk ikan goreng kesukaan
Ganim. Dia setia menunggu suaminya pulang dan tidak menjamu sedikit pun
masakannya yang sudah sedia terhidang. Selera makannya hilang mengikut suaminya
yang masih berada di hutan.
Puas menunggu, perut pun mulai memberontak, Ading terus sahaja menyuapkan
nasi dan lauk itu ke dalam mulutnya. Terasa hampa dengan Ganim yang sudah berjanji
akan pulang ke rumah setelah dua hari. Hatinya merajuk.
Meski dirinya disinggahi dengan kehampaan, tetap sahaja dia masih mau
merasakan kehangatan kasih dari suaminya. Dia masih setia menunggu suaminya yang
tak kunjung-kunjung tiba.
Di balik cahaya senja, Ading tertangkap satu sosok kelibat manusia. Dia mula
dihimpit rasa cemas, dan seluruh tubuhnya menggeletar saat melihat sosok itu semakin
mendekati rumahnya.
Dia berlari masuk ke dalam rumah dan mencapai parang yang sudah sedia
disisipkan oleh suaminya di belakang pintu. Mata parang yang baru saja diasah itu
dihunus di hadapan pintu utama itu. Kakinya diberi ruang terkangkang sedikit untuk
memudahkannya bergerak nanti.
56
Paak. Paak. Paak. Bunyi tangga kayu diluar dipijak oleh seseorang. Tiada
keberanian Ading untuk mengintip orang yang berada di luar rumahnya. Saat bunyi
tapak kaki itu sudah betul-betul berada dihadapan pintunya, parang yang digenggam
erat oleh Ading diangkat ke atas, tinggal tunggu dihayun kepada orang yang dituju.
Tuk-tuk-tuk. Pintu rumah yang diperbuat daripada kayu diketuk. Ading sengaja
tidak ingin menjawabnya. Tuk-tuk-tuk. Orang itu mengetuk lagi. Kali ini diikuiti dengan
suara garau yang memang Ading tahu pemiliknya.
“Ading! Ading! Mana kau? Buka pintu. Aku pulang sudah.”
Ading menekup wajahnya dan menangis kerana dikuasai oleh ketakutan dan
gementar dalam dirinya, namun semua perasaan itu segera runtuh setelah mendengar
suara suaminya yang sudah pulang rumah.
Terus sahaja parang itu dijatuhkan ke lantai dan tangannya membuka kunci
rumah lalu menguak pintu itu. Benar-benar sosok lelaki yang dicintainya sudah pulang
ke rumah.
“Kenapa ni menangis?” Ada nada kerisauan pada ton suaranya.
“Kenapa kau lambat balik? Kau bilang kau balik ini hari. Aku fikir tadi tu urang
jahat mau masuk rumah.” Tangisannya pecah.
Ganim memeluk isterinya seerat mungkin. Tangannya mengusap-usap belakang
Ading untuk menenangkannya.
“Memang kami mau balik ini hari, tapi itulah, hujan kuat disana tadi, jadi
telambat kami jalan.” Jelas Ganim kepada isterinya.
Ading mengangkat wajahnya untuk memandang muka suaminya yang sudah tak
dilihat untuk dua hari. Ganim mengelap air mata Ading yang sudah membasahi pipi
tembamnya.
57
“Kau jahat. Kau bilang inda mau kasi nangis aku.” Kata Ading dengan nada suara
merajuk.
“Iya, inda suda aku buat begitu lagi.” Jarinya mencubit lagi pipi isterinya.
Pasangan ini berjalan beriringan ke dapur. Ading memberhentikan langkahnya
dan melihat bakul beras berisi daging mentah yang dijinjing oleh Ganim diletakkan di
atas sinki. Ading menghampiri suaminya untuk melihat daging itu dengan jelas. Masih
ada darah yang menitis keluar dari isi yang dipotong.
“Daging apa ni?” Ading menyoal suaminya.
“Daging kijang. Amai Pilik tembak semalam. Kami bebagi tiga.” Ganim
menjelaskan pada isterinya.
“Besar juga?” Tanya Ading seolah-olah tak mempercayai.
“Kalau yang dia seekor, besarnya betul-betul macam anak gajah.” Anak matanya
membesar saat menceritakan saiz binatang itu pada isterinya.
“Hah? Macam mana buli?” Ading masih tidak mempercayai.
“Biarla. Aku saja yang urus ini. Nanti kau tekana lagi darah dia. Sudah kau mandi
kan.” Jawab Ganim.
Akhirnya Ading menuruti kata-kata suaminya dan sekadar membantu yang
ringan-ringan sahaja. Muncul juga rasa bersalah dalam dirinya kerana suaminya yang
baru balik dari berburu perlu lagi melakukan kerja dapur.
Tetap juga Ading berdegil untuk membantu dan akhirnya Ganim berputus asa
untuk melarang dan membiarkan isterinya memasukkan daging yang dipotong halus ke
dalam bekas tin biskut yang besar. Baru juga Ganim menyedari bahawa pasangan yang
membuat kerja bersama-sama terasa lebih menyeronokkan.
58
Ading menghidangkan sepinggan nasi putih bersama lauk-pauk yang telah
dimasaknya. Kegelojohan Ganim makan pada malam itu membuatkan Ading terkejut.
“Mungkin dia telampau lapar, di hutan inda dapat makan betul-betul.” Ading
bermonolog dalam hati tanpa berhenti memerhati suaminya.
“Sedap betul. Pandai kau masak.” Puji Ganim.
Namun, tidak diketahui puncanya, Ading merasa pelik dengan pujian suaminya.
Biasanya, Ganim hanya akan menganggukkan kepalanya atau sekadar mengucapkan
‘sedap’. Kerakusan Ganim itu menimbulkan wasangka pada diri Ading, namun lebih
Ading memilih untuk tidak menghirau perasaan itu.
Seperti biasanya, Ganim menuju ke beranda rumah selepas makan malam dan
sudah tentu bau sigup kirai menusuk masuk ke dalam hidung Ading, namun berbeza
untuk malam itu. Timbul syak wasangka dalam diri Ading setelah melihat
ketidakbiasaan suaminya yang ditonjolkan sejak kepulangannya petang tadi.
Kawan baik Ganim iaitu pemetik api cap Aladdin dan sigup kirai tidak lagi
menemaninya malam itu, hanya suara-suara sumbang unggas saja yang menjadi
penghiburnya.
Lelaki ini duduk diatas kerusi rotan dengan diselubungi kegelapan malam yang
menenggelamkan sosoknya. Cahaya lampu pelita yang ketika itu berdiri kaku diatas
meja semakin malap dan ditelan pekat gelita malam.
“Ada masalah apa dia ni sampai mau begalap-galap begini?” Bisik Ading dalam
hatinya.
Langkahnya semakin menghampiri Ganim yang ketika itu masih duduk di dalam
kegelapan. Cahaya dari lampu pelita dalam genggaman Ading di hala ke arah suaminya
untuk menguji jangkaannya tentang suaminya yang mungkin sedang dalam masalah.
59
Tidak terpamer pun reaksi negatif di wajah suaminya ketika itu, malah, sengaja
Ganim mendekatkan wajahnya dengan wajah Ading seolah-olah ingin mengucupinya.
Ading terpana dengan tindakan Ganim dan tersipu-sipu malu.
Belum sempat Ading melabuhkan punggung diatas kerusi rotan bersebelahan
Ganim, selamba tangannya ditarik dan lalu tubuhnya diangkat pada bahu sasa Ganim.
Ading perlahan-lahan menumbuk berulang kali belakang suaminya minta dilepaskan
namun cubaanya tidak gagal. Rontaannya juga tidak dilayan.
Akhirnya Ading berputus asa dan merelakan dirinya diangkat oleh Ganim hingga
ke kamar tidur mereka.
Makhluk nokturnal menjadi saksi cinta kepada pasangan pengantin baru dan
dinding rumah sebagai pendengar setia mereka pada malam itu.
Subuh itu, Ading terjaga disebabkan aroma kopi hitam yang kuat memasuki
rongga hidungnya. Dia menggeliat sedikit diatas tilamnya. Dengan kantuk yang masih
tersisa, dia tegakkan badannya. Tangannya sebelah menggosok-gosok matanya.
Bingkas dia bangun dan melihat kelibat suaminya di dapur sedang membuat air kopi.
Kakinya melangkah ke tandas untuk membersihkan dirinya. Percikan air yang
menyentuh kulitnya membuatkan seluruh tubuhnya menggeletar sehingga bulu
romanya tegak. Lenyap rasa lemah dan lesu yang awalnya menguasai diri Ading setelah
tubuhnya disirami dengan air tadahan tempayan. Dia merasa lebih segar.
Kakinya menginjak masuk ke dalam dapur. Matanya terus tertumpu pada sosok
Ganim menghidangkan beberapa ketul ubi kayu rebus diatas pinggan bersama dua biji
gelas berisi air kopi yang masih hangat.
Tanpa harus dipelawa, Ading segera mendekati meja makan bulat yang boleh
memuatkan 4 orang dan mengisi kerusi kosong di sebelah suaminya. Sepohon kayu Jati
yang telah dihadiahkan kepada Ganim dari bapa mertuanya sebagai hadiah
60
perkahwinan mereka dibina oleh Ganim menjadi sebuah set meja makan yang
memuatkan empat orang.
Pantas Ading memanjangkan tangannya untuk mencapai seketul ubi kayu paling
besar. Hampir saja ubi kayu rebus itu terlepas dari tangannya kerana masih terlalu
panas. Perlahan-lahan dia meniup ubi kayu rebus itu kemudian disuap kedalam
mulutnya.
Sudah serik dengan rasa melecur, air kopi bikinan suaminya itu dihirup Ading
dengan penuh berhati-hati. Bagi Ading, ubi kayu rebus bersama air kopi hangat ialah
kombinasi makanan yang hebat.
Selesai mereka bersarapan, Ganim terus turun ke tangga dan menyarungkan
kakinya ke dalam kasut getahnya. Ading yang menyedari suaminya hendak keluar terus
berlari anak-anak mengekori suaminya.
“Mau pigi mana?” Soal Ading dengan sedikit kerut di keningnya.
“Indada. Mau pigi besambang cari binatang.” Ganim tidak menolehkan wajahnya
ke arah Ading yang berada di belakangnya saat itu.
“Besambang? Jadi, kenapa indada kau membawa sinapang kau sama barang
minuman?” Ading mencekak pinggang sambil menunggu jawapan suaminya.
“Aku mau pigi tingu saja jarat aku pasang kemarin masa aku pulang. Manatau
ada isi suda.” Jelas Ganim.
Ganim mengangkat bontotnya dan pamit dari isterinya. Bayangan Ganim
semakin mengecil dan lama-kelamaan hilang dari pandangan Ading. Dia pun
kemudiannya berfikiran untuk mencuci pakaian kotor mereka suami isterinya.
Dimasukkan ke dalam baldi kain-kain kotor itu dan dicuci di sungai kecil berdekatan
rumah mereka.
61
Sambil-sambil tangannya sibuk menggosok pakaian Ganim yang terpalit lumpur,
bibirnya ikut sibuk menyanyi. Suaranya yang begitu merdu dan mendayu-dayu sudah
tentu akan menggamit rasa kekaguman sesiapa yang mendengarnya. Nyanyian kecilnya
ketika itu turut membuatkan burung-burung yang mendengarnya ikut bersiul mengikut
rentak nyanyian Ading seakan merekalah penyanyi latar Ading. Angin pun seolah-olah
ingin menunjukkan dirinya yang menyokong nyanyian Ading dan mahu bertiup sepoi-
sepoi bahasa sahaja.
Diceluplah kain-kain yang sudah di sabunkan ke dalam air sungai berparas lutut
Ading itu lalu dimasukkan kembali ke dalam baldi. Dia membengkokkan sedikit
tubuhnya saat tangannya ingin mencapai pemegang baldi itu. Baldi berisi kain itu
dijinjingnya. Sekejap-sekejap langkah sengaja diberhentikan kerana tangannya mula
merasa lenguh mengangkat baldi yang agak berat itu.
Sesampai sahaja dia di rumah, segera baldi itu diletakkan diatas tanah dan
langkahnya pantas menuju ke dapur mencari air masak. Gara-gara tekaknya terasa
kering dan haus, habis diteguknya dua gelas penuh berisi air masak hingga dia merasa
senak di perut.
Diselongkar lagi di bawah kolong rumah mereka untuk mencari tali rapia untuk
dijadikan tali sidaian di hadapan rumah. Tajam matanya memerhati sekeliling bawah
kolong itu dan dapat anak matanya menangkap objek yang dicari sedang bersisip di
celah tiang rumah.
Kuat tangan Ading memerah pakaian mereka yang masih menitik dengan air.
Sebelum ia dijemur, Ading mengibarkannya terlebih dahulu lalu mengepitkannya.
Dibawah matahari terik itu, kelihatan manik-manik peluh di dahi Ading jatuh
berguguran ke tanah. Dirasainya juga peluh itu meluncur laju ke bawah, dan tangkas
juga tangannya digerakkan untuk mengesat.
Selesai usahanya menjemur, sempat ia berdiri memandang semua pakaian yang
di sidainya dengan perasaan bangga. Satu senyuman kecil terukir di wajahnya ketika
62
itu. Kulitnya sudah tak tertahan lagi dengan bahang matahari yang semakin memedih,
dia lekas-lekas berlari masuk ke dalam rumah dan melabuhkan punggungnya di atas
kerusi dia duduki pada pagi tadi ketika bersarapan dengan suaminya.
Matanya memandang lebihan ubi kayu rebus diatas meja itu. Fikirannya
menghasut untuk makan, dan perutnya seakan ikut menyebelahi. Diangkat tinggi
tudung saji mengkuang lalu tangan kanannya mengambil sebiji ubi kayu rebus itu.
Tekstur ubi kayu yang kering dan kasar membuatkan Ading merasa ia tersangkut di
tekaknya. Laju tangannya menuang air kopi ke dalam gelas. Glup-glup-glup. Sekejap
saja air kopi itu diteguknya.
Ading kemudian mengusap perlahan dadanya untuk melegakan rasa tersangkut
di tekaknya. Gelas bekasnya terus sahaja dibilas di sinki. Setelah merasa lebih baik, dia
turun ke bawah rumah dan menyarungkan kasut getah di kakinya yang lebar dan
pendek itu.
Dia memperhati bekas daun-daun yang dipijak suaminya tempoh hari semasa
memetik cendawan. Dengan berhati-hati dia menelusuri bekas jalanan suaminya
dengan tangannya kanannya yang bekerja menebas rumput di sekelilingnya.
Dihadapannya ketika itu sebuah pohon besar yang tumbang. Dia seakan melihat syurga
cendawan. Hatinya sangat teruja. Kakinya seolah bergerak sendiri menghampiri pokok
itu. Matanya menjadi rambang melihat sayur kesukaannya.
Pantas tangannya memetik cendawan-cendawan dan dimasukkan ke dalam beg
Tekiding yang disandang sehingga hampir penuh. Dia menahan ketamakannya yang
ingin memetik kesemua cendawan yang tumbuh diatas pokok itu, namun disedarinya
juga, mereka berdua suami isteri mana mungkin dapat menghabiskan kesemua sayur
itu dalam sehari saja.
Dia mengatur langkahnya balik ke rumah dengan perasaan gembira. Di dapur
kayu api itu, Ading menurunkan sebatang kayu api yang besar sebagai alas duduknya.
Cendawan hasil petikannya tadi dipotong dan dibersihkan lalu dimasak tumis bersama
63
dengan sekeping ikan masin yang dibawakan ibunya tempoh hari. Aroma masakannya
menjadikan bunyi keroncongan dalam perutnya sudah tidak terkawal lagi.
Lauk itu dibawa masuk ke dapur lalu ditutup dengan tudung saji mengkuang.
Dalam fikirannya, sementara menunggu kepulangan Ganim dari berburu, dia patut
menyambung menjahit sarungnya yang belum habis dijahit lagi.
Sejam, dua jam, Ading sudah tidak tertunggu lagi. Dia meletakkan kain sarung
yang dijahitnya diatas bangku yang diduduki lalu menuju ke dapur. Dua senduk nasi
diletakkan pada piringnya. Berselera sungguh Ading makan, walaupun harus mengisi
perutnya berseorangan tanpa suaminya. Ading menjadi tertanya-tanya mengapa
suaminya belum pulang lagi sedangkan waktu sudah melepasi makan tengahari.
Selesai mengisi perutnya yang tadi sungguh lapar, Ading membasuh piring yang
dipakainya lalu disusun di rak piring. Tapak tangannya yang masih basah dilap pada
kain sarungnya.
Tiba-tiba, matanya terasa mengantuk. Sudah juga Ading cuba melawan, namun
dia merasakan kantuknya mata terlalu berat. Angin petang yang lembut menebalkan
lagi rasanya untuk tidur. Akhirnya, lantai papan itu disapu dan ditebarkan sebidang tikar
mengkuang sebagai alasnya. Dilentokkan kepalanya diatas tangannya dan tak lama
kemudian, Ading sudah berada di dunia mimpi.
***
Tubuhnya tersentak. Dia bingkas bangun dari perbaringannya. Dalam keadaan mamai,
dia terdengar bunyi tapak kaki berjalan di bawah rumahnya. Ading betul-betul
mengamati bunyi tapak kaki itu. Tak lama kemudian, dia menangkap lagi bunyi
hempasan kasut pada benda yang keras.
“Hmm. Ganim baru tepulang.” Bisiknya di dalam hati.
64
Lekas kakinya berjalan ke dapur. Dibukakan kunci pintu dapur lalu dikuak luas.
Berdiri seorang lelaki yang dia gelar suami di hadapannya sedang meletakkan kasut
getahnya di tepi dinding.
“Suda kau makan?” Soal Ganim pada isterinya yang masih berdiri di tepi pintu.
“Suda. Tadi lagi. Aku tunggu-tunggu kau pulang tapi inda suda aku tahan lapar
jadi aku duluan makan.” Jarinya menguis-guis tangannya dengan mempamerkan
sebuah senyuman bersalah.
“Inda apa. Tapi, lepas ni, kau misti kasi kawan aku makan.” Sengaja Ganim
mengenyitkan matanya apabila pandangan mata mereka terkunci.
Pandangan Ading berhenti pada beg karung yang diletakkan di sisi kaki Ganim.
Dia ingin sekali mengetahui isi beg karung itu. Segera beg karung itu diangkat Ganim
ke dapur setelah perasan mata isterinya yang memerhati beg karung itu. Sengaja dia
berjalan meninggalkan Ading dengan rasa ingin tahu.
“Ui besarnya!!” Ading teruja melihat paha khinzir yang sangat besar dikeluarkan
Ganim dari beg karung itu.
“Aku timbak semalam. Ngam-ngam masa aku pigi kencing, aku dingar bunyi ‘gik-
giik-gii’ di samak. Aku belari terus pigi ambil sinapang aku, aku timbak. Nah, tetimbak
aku mamanya. Anak-anaknya amai Tiot ambil mau piara dia blg.” Jelas Ganim dengan
perasaan bangga.
Namun, Ading seolah-olah tidak menangkap bualan Ganim soal khinzir yang
ditembaknya semalam. Dia masih terkejut melihat paha khinzir sebesar ini. Bersama-
sama pasangan ini membersihkan daging khinzir itu. Rindu Ganim yang telah
disimpannya setelah tidak berjumpa dengan isterinya untuk 3 hari lunas tatkala
mendengar suara dan tawa Ading.
65
Sebelum makan malam, Ganim mengangkat tudung saji diatas meja makan
mereka, lalu pandangan jatuh pada sepinggan ubi kayu rebus yang sudah dingin.
Perutnya berkeroncong hebat. Lekas tangannya dipanjangkan lalu menyuap sedikit
demi sedikit ubi rebus itu ke dalam mulutnya. Tekaknya mula terasa kering. Mulut jug
itu bersentuhan dengan mulut cawan saat Ganim menuangkan air kopi.
“Hmmmm. Sedapnya.” Kepalanya diangguk-anggukkan seakan sedang khusyuk.
Ading sekadar melihat suaminya makan dengan penuh selera. Perutnya belum
terasa kenyang. Dia meminta isterinya menambahkan lagi dua senduk nasi ke
piringnya. Lauk yang tadinya memenuhi ruang piring habis licin dimakan Ganim yang
hanya meninggalkan sedikit sisa-sisa kuah. Disandarkan belakangnya pada bangku
yang diduduki dan tangannya direhatkan diatas perutnya. Tak lama kemudian,
dilepaskan sendawa besar dari mulutnya. Matanya terus memandang mata isterinya.
Ading tertawa sambil menggeleng-gelengkan kepalanya melihat tingkah suaminya itu.
Ganim membantu isterinya membersihkan piring bekas dipakai sebagai tanda
terima kasihnya untuk Ading yang sudah menyediakan makan malam yang sedap.
Ading menolak awalnya. Dia tidak mahu menambah kepenatan suaminya. Suaminya
berkeras dan Ading hanya menurutkannya saja.
Lampu pelita diatas meja makan diangkat Ganim lalu dibawakan ke beranda
rumah. Ading membontotinya dari belakang. Masing-masing sudah mengisi kerusi.
Seperti biasanya, Ganim mengeluarkan sehelai daun kirai dari plastik hitam dan mencuit
segugus sigup kasar yang kemudiannya disusun kemas dalam perut daun kirai itu.
Dicelah bibirnya kirai itu diletakkan, sambil jarinya memetik mancis Aladdin lalu
didekatkan api dengan mulut kirai.
“Huuuwaii.” Ading menguap.
“Aik. Mengantuk suda?” Soal Ganim sambil mengunci pandangannya pada
isterinya.
66
“Macam lamas-lamas aku rasa badan aku ni hari. Inda tau la kenapa.” Rungut
Ading.
“Ba, tidurlah kita mari.”
Ganim menghulurkan tangannya di hadapan Ading dengan harapan tangannya
disambut. Sebelah tangannya memegang botol lampu pelita. Dalam cahaya yang
malap, pasangan ini berjalan menuju ke kamar tidur.
Keesokannya, Ganim bangkit awal dari isterinya. Ading tidur dengan sangat
nyenyak pagi itu. Kedinginan subuh mencengkam hingga ke tulang. Matanya kuyu. Dia
merebahkan semula badannya ke tilam. Posisi tubuhnya di ubah menghadap isterinya.
Anak rambut yang terjatuh di wajah Ading dikepilkan ke belakang telinga isterinya.
Lembut jarinya mengoles dari kening Ading hingga ke bibirnya.
Merasa seperti wajahnya disentuh seseorang, lekas matanya terbuka. Sedikit
tersentak Ading ketika melihat wajah suaminya betul-betul menghadapnya ketika itu.
Masih dalam keadaan mamai, Ading mengomel-omel namun Ganim tidak
memahaminya.
“Kenapa tuuu? Apa kau tengok-tengok aku?” Soal Ading dengan matanya yang
belum terbuka habis.
Ganim tersenyum-senyum menyaksikan isterinya yang masih mamai.
Dilentokkan kembali kepalanya di atas bantal. Matanya ditutup semula. Dia merasa
selesa rambutnya dimain-mainkan. Tak lama kemudian, Ganim bingkas meninggalkan
kamar tidur mereka dan membasuh mukanya.
“Nim. Nimm?” Ganim mendengar namanya diseru dari arah kamar tidur. Segera
langkahnya berlari masuk ke bilik itu. Dia melihat Ading mengurut-urut kepala dan
dadanya. Risau mulai menyelubungi dirinya. Mulutnya terkumat-kamit mengatakan
sesuatu namun suaranya terlalu kecil untuk didengari. Lantas, Ganim duduk berlutut di
67
hadapan isterinya lalu mendekatkan telinganya pada bibir Ading untuk menangkap
kata-kata yang cuba diucapkan isterinya.
“Sakit kepala aku sama nda bagus rasa perut aku sekarang. Macam mau
muntah.” Masih tangannya mengurut-urut ulu hatinya.
“Anu kali kau, dugal?” Soal Ganim lagi.
“Inda la kali ni. Bukan juga tantu dugal. Aku kemarin inda juga lambat pula.”
Ganim sememangnya sudah mengetahui Ading mempunyai masalah perut
sensitif sejak awal perkenalan mereka lagi, berasa bertanggungjawab sebagai seorang
suami, Ganim keluar dari kamar tidur dan terus ke dapur untuk memasak bubur.
Hatinya ikhlas ingin memasakkan isterinya makanan tanda cinta dan sayangnya pada
wanita itu. Sedang tangannya tak berhenti mencincang daging khinzir yang dibawa
pulang kemarin, kedengaran bunyi orang sedang berlari cemas. Segera pisau di
tangannya diletakkan diatas papan pemotong daging dan mengejar isterinya yang
sudah turun ke tandas.
Dia menunggu isterinya di depan pintu tandas. Hatinya dilanda keresahan. Pintu
dikuak perlahan. Ading berdiri di belakang pintu itu dengan wajah yang memucat
seakan tiada darah mengalir di tubuhnya. Lingkaran gelap di bawah matanya terserlah.
Ganim memapah isterinya masuk hingga ke dalam kamar tidur. Dia membaringkan
Ading lalu membalutnya dengan selimut setelah isterinya mengadu kesejukan.
Ganim menyalakan api di dapur kayu. Mancis Aladdinnya membakar getah
sekerap hingga menampakkan kepulan asap hitam dan terus sahaja Ganim
menyisipkannya di sebalik susunan kayu api. kemarakkan api semakin tinggi dan besar.
Periuk yang sudah sedia berisi segenggam beras, air mentah dan hirisan daging khinzir
di letakkan diatas besi pemanggang.
Meski penatnya dari balik berburu masih bersisa, tetap kakinya digagahkan
untuk menjenguk isterinya yang tercinta di bilik berulang-alik. Aroma bubur daging
68
memenuhi semua ruangan dapur. Dicedok perlahan-lahan bubur daging itu dari periuk
ke dalam mangkuk dan meletakkannya di atas meja. Sengaja Ganim mencedokkan
hirisan daging khinzir lebih di dalam bubur isterinya. Dia melangkah masuk ke dalam
kamar tidur, dan mengejutkan Ading dengan lembut.
“Ada suda aku masak bubur di dapur. Mari la pigi makan dulu. Supaya bagus
perutmu.” Ganim memujuk.
Ading setia dengan posisi bergelungnya. Hanya mata dan mulutnya saja yang
digerakkan.
“Nda mau la aku makan. Nanti ja aku makan bila aku rasa lapar.” Kata Ading
dengan tidak bermaya.
“Mari la. Kasi isi dulu sikit perut kau. Mari la, bangun kita. Nanti sejuk tu bubur.”
Ganim berkeras.
Ading sekadar menuruti kata-kata suaminya. Tanpa tergesa-gesa, Ading berjalan
ke dapur dengan diekori Ganim di belakangnya. Di kerusi tempat dia selalu duduk
menjadi pilihannya untuk melabuhkan punggungnya. Sebelum Ganim mendekatkan
mangkuk bubur itu pada Ading dia sempat meniupkannya. Gara-gara lidahnya terasa
tawar, Ading mencapai botol kicap manis yang ketika itu berada di sebelahnya lalu
menuang ke buburnya. Dari bubur yang tadinya berwarna putih sudah berubah menjadi
sedikit keperang-perangan.
***
Tiga hari kemudian, Ading masih dalam keadaan yang sama. Tubuhnya lemah
dan selera makannya juga tiada. Melihat keadaan Ading sedemikian menjadikan
kegusaran di hati Ganim semakin bermaharajalela. Pagi itu, Ganim menyarungkan
selipar jepunnya berjenama Tai Sing dan bergegas berjalan ke rumah Amai Pilik.
69
“Ba, kau pula ni Nim. Ba, masuk dulu ba.” Amai Pilik mempelawanya masuk ke
dalam rumah.
Ganim pun mengusai posisi duduknya di kerusi kosong berhadapan dengan Amai
Pilik. Mendengar suara suaminya berbual dengan seseorang membuatkan inai Ambar
tertanya-tanya tetamu yang mengunjungi rumahnya pagi itu. Air kopi di dalam bekas
gelas keluli yang sengaja direndam dalam piring berisi air agar tidak dimasuki semut
diangkat oleh inai Ambar bersama beberapa keping biskut kering untuk dihidangkan
kepada tamunya.
“Nah, kau pula ni Nim.” Inai Ambar membengkokkan tubuhnya untuk
meletakkan minuman hidangannya di atas meja.
Amai Pilik yang dari tadi lagi memerhati Ganim seperti orang tidak keruan seperti
sedang meresahkan sesuatu terus mempersoalkan tujuannya datang kemari dengan
nada yang sopan dan lembut.
“Napa tu Nim? Ada apa masalah kita tu situ rumah?” Soal Amai Pilik pada Ganim
sambil matanya tidak pernah jatuh memandang ke tempat lain. Inai Ambar
memandang suaminya lalu memandang Ganim semula.
“Nai, buli ka aku minta tulung kau tingu dulu apa sakit biniku tu dirumah. Ni hari
sudah ketiga hari dia nda bagus rasa. Malar muntah-munta. Inda mau makan.
Kepalanya sama dadanya sakit la bilangnya. Risau aku meningu bini ku sekarang.”
Rintih Ganim dihadapan pasangan suami isteri ini.
“Naaah. Napa inda dari awal kau membagi tau sama aku. Jadi sekarang surang
ka Ading tu dirumah?” Inai Ambar menyoal kembali. Amai Pilik hanya menjadi
pendengar setia sahaja.
“Iya, surang la dia dirumah. Tadi suda juga aku membagi tau dia aku kemari
mau bejumpa sama inai. Mau mengasi ubat dia aku bilang.” Jelas Ganim lagi.
70
“Ba, ba. Minum la kupi mu tu dulu. Bejalan la kita sekarang. Tunggu aku dulu
skijap aku mau betukar pakaian dulu.” Bingkas inai Ambar berdiri lalu mengambil baju
yang disangkut pada tiang rumah dan disarungkan pada badannya.
Sesampai mereka berdua di hadapan rumah Ganim, mereka berdua menyaksikan
Ading bergegas ke sinki dengan tangan yang menekup mulutnya. Segera Ganim
mengusap-usap belakang isterinya untuk menenangkannya. Ganim kemudian memapah
Ading untuk duduk di atas kerusi yang selalu ia gunakan.
Ganim memanjangkan kepalanya untuk mengintai inai Ambar yang masih berada
di beranda rumahnya. Disebabkan rasa hairan, dia terus berjalan ke luar dan melihat
inai Ambar sedang memandang arnab liar dalam kurungan itu tanpa mengedipkan
matanya.
“Napa nai?” Soal Ganim.
Inai Ambar tersentak dengan teguran Ganim. Dia langsung tidak menyedari
kehadiran lelaki muda itu di belakangnya.
“Mana suda Ading?” Tanya inai Ambar sambil matanya melilau mencari kelibat
Ading.
“Aku kasi duduk dia di dapur. Baru lagi muntah.”
“Nai.” Ading menyapa inai Ambar dengan tidak bermaya, namun digagahi juga
tangannya untuk menyalam wanita pertengahan umur itu.
Salamnya disambut dengan lembut. Inai Ambar mengusap-usap belakang Ading
membuatkan Ading teringatkan ibunya yang selalu mengusap belakangnya sebelum
tidur. Dia merasakan seperti sedang diusap oleh ibunya lagi hanya saja, tangan itu
bukan milik ibunya sebenar.
“Ba, mari kita ni pigi bilik kamu kali ngam. Ada aku mau tengok perut mu.” Jelas
inai Ambar.
71
Segugus sigup kasar disumbatkan ke dalam mulut Ading. Lalu, tangannya
mengusap-usap perut milik wanita itu sambil membaca-bacakan sesuatu.
“Kau rasa itu sigup macam mana? Pahit ka padas?” Kata inai Ambar pada Ading
yang sedang berbaring diatas tilam.
Ganim hanya mendengar perbualan dua orang wanita ini dari luar bilik sahaja.
Inai Ambar tidak membenarkannya untuk berada di dalam ruangan bilik yang sama.
Hatinya gugup menanti jawapan dari wanita separuh usia yang dikenali dengan
kebolehannya untuk mengubati orang sakit.
“Manis nai.” Balas Ading.
“Ada isi ba perut kau ni sekarang.” Tangannya tidak lagi mengusap perut Adign
setelah mengatakan itu.
“Hah?” Ading terkejut mendengar penjelasan ringkas inai Ambar ketika itu.
Dalam kepalanya masih mengingat kali terakhir dia dan suaminya ‘bersama’. Didalam
ingatan Ading, mereka ‘bersama’ pada dua hari yang lalu. Sedikit mustahil bagi Ading
untuknya mengandung sedangkan dia dan suaminya baru sahaja ‘bersama’.
“Kita tengok dulu la macam mana. Sebab isi dalam perut kau macam lain saja ni
aku tengok.” Balas inai Ambar selamba.
“Apa maksud inai ni isi perut aku lain.” Ading berbisik dalam hatinya.
Inai Ambar menurunkan semula baju dipakai Ading untuk menutup bahagian
perutnya lalu keluar dari kamar itu. Wajahnya serius saat itu. Dia sekadar memberitahu
kepada Ganim bahawa isterinya sedang mengandungkan anak sulung mereka.
Ganim berasa sangat gembira dan terlihat air matanya yang meluncur jatuh ke
pipinya. Dia terus sahaja masuk ke dalam kamar tidur mereka dan memeluk isterinya
seerat-eratnya. Dia merasa sungguh bahagia apabila dikhabarkan dia bakal menjadi
seorang ayah. Emosi Ading ketika itu bercampur-aduk. Dia merasa gembira kerana
72
bakal menjadi ibu, namun hatinya juga risau setelah mendengar kata-kata inai Ambar
tentang isi perutnya yang lain.
Kata-kata inai Ambar masih lagi terngiang-ngiang di telinga Ading. Dia benar-
benar tidak dapat memahami maksud yang cuba dikatakan oleh wanita separuh usia
itu.
Ganim memandang inai Ambar sekali lagi mengerling ke arah arnab liar milik
mereka dengan tenungan yang tajam. Mulutnya terkumat-kamit seperti sedang
mengatakan sesuatu dan terus turun ke bawah untuk menyarungkan selipar
dipakaianya.
“Ba, kau tengok-tengok saja tu bini kau. Andang la tu kalau urang mengandung
ni, ada-ada ja sakit dia rasa.” Sempat inai Ambar meninggal pesan kepada Ganim yang
masih menemaninya pulang.
“Dimana kamu pigi ambil dia tu?” jari inai Ambar ketika itu menunjuk pada arnab
liar dalam kurungan.
“Ohh, aku jumpa dia di hutan tu hari waktu aku mencari kulat. Jadi aku mabil la
dia bawa pulang rumah.” Kata Ganim dengan mempamerkan sedikit senyuman tawar di
wajahnya.
“Patutla.” Suara inai Ambar ketika sangat kecil dan tak dapat ditangkap oleh
Ganim. Apabila Ganim memintanya untuk mengulang semula, inai Ambar berlagak
seperti tidak mengatakan apa-apa. Perbuatan wanita itu telah menimbulkan syak
wasangka dalam diri Ganim.
Ganim kembali ke kamar tidur mereka dan menghadiahkan isterinya sebuah
senyuman lebar yang menampilkan barisan giginya yang rapi. Ading kemudian
membalas senyuman suaminya itu.
73
Seharian itu, Ganim tidak ingin membuat kerja yang jauh dari kawasan
rumahnya kerana tidak ingin membiarkan isterinya berseorangan. Pekerjaan rumah
juga dia yang uruskan. Baginya, Ading hanya perlu menjaga kesihatan dirinya dan bakal
anak sulung mereka.
***
Hari yang ditunggu-tunggu oleh pasangan ini telah pun tiba. Petang itu, Ganim
sempat menunaikan permintaan isterinya yang ingin meminum sup Khinzir. Tanpa
rungutan, Ganim menuruti selera isterinya. Ading memindahkan sebuah kerusi lalu
diletakkan di tepi pintu dapur. Punggungnya mengisi ruangan kerusi itu. Matanya
memerhati sosok suaminya yang sedang memasak di dapur kayu api.
Perasaanya saat itu agak pelik. Dia cuba mendalami perasaannya, seolah-olah
dia sudah boleh merasakan kelahiran bayi mereka dalam masa yang terdekat. Aroma
buah kundur yang dimasukkan suaminya ke dalam sup benar-benar menusuk hingga ke
rongga hidung Ading.
“Wangi eh.” Puji Ading.
“Mistila. Mau kasi bini makan kan.” Ganim menayangkan senyuman bangga
setelah mendapat pujian.
“Aku rasa, macam inda lama lagi aku mau besalin.”
Ading mengusap lembut perutnya seolah sedang berkomunikasi dengan anak
dalam perutnya. Ganim terus mendekati isterinya dan turut menyentuh perut isterinya.
“Cepat-cepat la lai kau keluar dari perut mamamu ni. Bapa inda sabar mau
jumpa anak bapa ni.” Telinga ditekup pada perut Ading seperti menunggu jawapan dari
bayi dalam perut.
Ading mengambil tangan suaminya dan meletakkan pada perutnya. Ganim
memandang wajah isterinya dengan mata yang bersinar-sinar.
74
“Kau rasa dia menandang tadi?” Soal Ading pada suaminya yang belum menarik
tangannya dari perut Ading.
“Aku rasa dia pun misti inda sabar mau jumpa kita.” Suara Ganim kedengaran
lebih ghairah saat mengucapkannya.
Setelah selesai memasak, Ganim menghidangkan dua piring nasi dan semangkuk
sup daging khinzir diatas meja makan. Pandangan Ading tidak pernah lepas dari sup
daging yang dimasakkan untuknya.
Belum sempat Ading menghabiskan nasinya, dia mula merasa kesakitan pada
perutnya. Mukanya memerah padam menahan kesakitan. Ganim menjadi panik. Satu
imej wanita yang terlintas di fikirannya saat itu ialah inai Ambar. Dari hadapan pintu
rumahnya, dia menghantar signal dengan menyalakan lampu suluh ke rumah inai
Ambar.
Hatinya masih gusar jika signalnya tidak dilihat oleh pasangan suami isteri yang
sudah berusia setengah abad itu.
“Inaaaaaaaaai!! Maaaaaaaaai!!! Tulungggggg!!! Ading mau beranaaaaaaak!!!!!”
Dia menjerit sekuat mampu. Dirasakan anak tengkaknya ketika itu hampir terkeluar
mengikut suara yang dilantunnya.
Tak lama kemudian, Ganim melihat sepasang cahaya suluh bergegas keluar dari
rumah itu. Hatinya berasa lega.
“Ba, kau kasi sedia aku air suam sama kain balut bersih.” Arah inai Ambar
kepada Ganim. Kakinya laju melangkah mengambil barang yang disebutkan oleh wanita
itu.
“Nak, kau kasi buka kakimu ah. Tarik nafas kau. Jangan takut.” Ucapnya lembut
pada Ading yang ketika itu sudah dibasahi peluh-peluh dingin.
75
Sedang Ganim mendidihkan air panas, dia terdengar bunyi kurungan arnab yang
ditendang-tendang. Disebabkan rasa ingin tahu, perlahan-lahan langkahnya menuju ke
beranda rumah.
Disitu Ganim melihat amai Pilik berbual dengan arnabnya. Tiba-tiba, mata arnab
itu memandang tepat ke matanya. Mata Ganim membulat. Hati berdegup kencang.
Mata arnabnya sudah bukan berwarna merah, tetapi berubah kepada sepasang mata
berwarna hitam pekat. Apabila arnab itu berpaling, Ganim melihat sendiri tersembunyi
satu lagi wajah seakan wajah bayi yang menyeramkan di belakang kepala arnab itu.
Kaki mengundur.
Amai Pilik terus menarik tangan Ganim masuk ke dalam rumah. Dia memandang
wajah Ganim seperti ingin memberitahu sesuatu. Tetapi mulutnya tetap dikunci.
“Ba, cepat kau. Tu na air panas masak suda. Nanti ja baru aku kasi terang kau.”
Amai Pilik menolak bahu Ganim.
Kakinya lemah saat melangkah masuk ke dalam kamar tidur mereka untuk
menghantar air suam dan tuala.
Inai Ambar seolah sudah boleh meneka apa yang terjadi dari riak wajah yang
ditunjukkan Ganim. Wanita pertengahan abad ini sudah menyusun ayat yang bakal
dikatakannya untuk menjelaskan keadaan sebenar.
Ading berteriak saat meneran anaknya. Dia merasa satu kesakitan terhebat yang
pernah ia rasakan. Dia tercungap-cungap menahan sakit. Ganim menggengam erat
tangan isterinya. Sekejap-sekejap dia mengelap peluh pada wajah Ading.
Tak lama kemudian, suara tangisan bayi pun kedengaran menandakan Ading
sudah melahirkan anak. Bayi itu disambut oleh inai Ambar lalu dibaluti dengan tuala
bersih. Ketakutan yang dialami Ganim tadi lesap saat melihat anak sulungnya sudah di
dalam gendongan inai Ambar.
76
Saat Ganim mendekati bayinya, kakinya tiba-tiba terasa lemah, matanya
berpinar-pinar lalu pandangannya mula kabur, dan dia jatuh pengsan. Tangisan
isterinya membangunkan Ganim dari pengsannya.
“Kenapaa? Kenapa ni?” Soal Ganim.
Satu-satu wajah bermula dari Ading, inai Ambar dan amai Pilik dipandang Ganim
mengharapkan penjelasan dari mereka. Ading masih menangis sambil tangannya
menekup wajah. Inai Ambar dan amai Pilik berpandangan seolah sedang berkomunikasi
secara telepati.
Amai Pilik berdehem. Riaknya ketika itu sangat serius.
“Aku ni mau tanya kau dulu, dimana kau dapat itu arnab diluar?” Soal amai Pilik
pada Ganim.
“Itu hari masa aku mencari kulat di hutan, aku nampak dia.”
“Jadi kenapa kau membawa dia pulang kemari?”
“Sebab aku tingu macam jinak. Aku fikir lagi Ading suka arnab, jadi aku tangkap
bawa pulang.”
“Nah, itu ba silapmu. Sembarang-sembarang membawa pulang barang dari
hutan kan.”
“Buli kau kasi tau saja yang betul-betul ka mai apa ba yang kau mau cakap
sebenarnya ni?” Dahi Ganim berkerut.
“Ini aku minta maap saja la aku punya cakap ni mungkin bikin kamu laki bini
nanti begaduh.”
Ganim menggaru kepalanya yang tak gatal. Dia seolahnya mahu orang tua itu
berterus-terang padanya tanpa harus berjela-jela. Perasaannya ketika itu kuat
mengatakan semua ini berkaitan dengan Ading dan kandungannya.
77
“Kasitau ja la ba.” Desak inai Ambar pada suaminya.
“Sebenarnya, anak tadi yang kena kasi lahir binimu, bukan anak kau. Tapi anak
hantu. Anak penjaga ini kampung!” Suara amai Pilik kedengaran sedikit tinggi saat
mengatakan ucapannya yang terakhir.
“Kenapa? Apa pula hantu? Hantu apa kamu cakap ni ah? Ading? Apa yang kau
inda kasitau sama aku?” Dia mencari wajah isterinya yang masih bertekup. Ganim
menurunkan tangan isterinya.
“Aku inda tau. Aku inda taau juga baaaa.” Ading menangis teresak-esak.
“Ih kau ni pun satu, bila becakap bukan mau cakap betul-betul.” Sempat inai
Ambar memarahi suaminya.
“Itu arnab yang kau bawa pulang sini tu sebenarnya itulah penjaga ini kampung.
Dia pigi masuk jadi arnab, ngam-ngam kau pigi bawa dia balik rumah. Jadi, bila dia
sudah nampak bini mu cantik, muda lagi, dia pun mau. Dia suka sama si Ading.” Jelas
inai Ambar pada Ganim yang kelihatan masih mencerna bait-bait kata wanita tua itu.
“Jadi, macam mana anak tu bukan anak aku? Hahh?” Ganim benggang.
“Itu hari kau janji kau pigi besambang 2 hari saja kan, tapi kau tiada pulang
masa hari kedua.”
***
Ading terimbas kembali saat dia mula menyedari tentang jelmaan suaminya yang
pulang pada hari kedua mereka berburu.
“Bagus juga rasa ni ubi kayu. Dari mana ni?” Ganim bertanya pada isterinya
dengan mulutnya masih mengunyah ubi kayu rebus.
“Eh, ndakan kau lupa sudah? Kau juga bawa kemarin.” Saat mengucapkannya,
dia merasakan dirinya diperhati oleh seseorang dari luar rumahnya. Dia memalingkan
78
tubuh menghadap pintu ke beranda, kemudian melihat arnabnya sedang memanadang
tepat anak matanya. Hatinya merasa tidak sedap. Dia seperti merasakan sesuatu yang
tidak kena pada dirinya.
“Apa pula aku membawa kemarin. Baru juga aku tepulang ni hari ni. Kau
terlampau rindu aku ba tu kali, tulah kau pun lupa-lupa.” Ganim sengaja mengusap
kepala isterinya.
Saat suaminya turun ke bawah untuk membersihkan diri, Ading sembunyi-
sembunyi membuka bekas menyimpan daging khinzir semalam. Alangkah terkejutnya
dia tatkala melihat daging yang kemarin masih segar sudah bertukar hitam dan busuk.
Ading merasa mual dan berlari ke sinki ketika merasakan isi perutnya sudah hendak
keluar melihat daging buruk itu.
Malam itu, kepalanya sesak memikirkan lelaki yang menyerupai suaminya
kemarin. Waktu itu, ingatan dia dan ‘suaminya’ telah ‘bersama’ pada malam itu
menghantui dirinya. Dia berasa jijik dan bersalah pada suaminya, Ganim. Ading merasa
seolah-olah telah mengkhianati Ganim.
Ading menenangkan fikiran dan hatinya. Dia cuba menarik nafas dan
menghembus, tetapi, tetap fikirannya masih terperangkap di ingatan itu. Tiba-tiba,
lantai rumah mereka berbunyi seperti dipijak oleh seseorang. Bunyi tapak kaki itu
mengarah ke kamar tidur mereka.
Ading ketakutan. Dia memeluk tubuh suaminya dari belakang. Mukanya ditekup
dibelakang Ganim. Matanya ditutup rapat. Dirasakan saat itu, tangan yang cuba
merangkulnya dari belakang perutnya. Dia ingin berteriak memanggil suaminya, namun
tiada suara dapat dikeluarkan. Tangan itu mengusap-usap perut Ading. Di tengkuk
Ading, dapat dirasakan hembusan nafas seseorang.
Tanpa disedarinya, dia tertidur dengan terbawa-bawa ketakutannya ke dalam
mimpi. Dalam mimpinya itu, seorang lelaki tinggi, dengan wajah yang tidak kelihatan
79
jelas mendekai Ading. Apabila mereka berhadapan, lelaki itu mengusap perut kemudian
menekupkan telinganya pada perut Ading.
Ading ingin menolak lelaki itu daripada menyentuhnya, namun dia seperti kaku
dan tidak dapat berbuat apa-apa. Dia terjaga dari mimpinya itu apabila terdengar
suaminya berjalan keluar dari kamar.
Dia mengatakan sesuatu pada Ganim, namun suaminya tidak mengerti
ucapannya. Ading ketika itu merasa perutnya sakit, dan loya. Inai Ambar datang ke
rumah mereka setelah diberitahu Ganim tentang keadaanya yang sudah sakit selama 3
hari. Wanita itu mengatakan Ading sedang hamil.
***
“Kenapa kau tidak pernah kasitau saya!” Tinggi suara Ganim ketika itu. Amai Pilik
menenangkannya dengan mengusap-usap belakangnya.
“Aku takut. Aku tida tau pun itu bukan kau.” Hampir suaranya tidak didengari
oleh mereka bertiga.
“Ini semua salah aku! Salah aku! Kalau aku inda ikut tu hari, inda jadi begini!”
Ganim mula menyalahkan dirinya atas kejadian yang berlaku.
Ading memeluk suaminya. Ganim terus-menerus mengatakan dirinya suami yang
tidak berguna. Dia merasa gagal menjadi suami Ading kerana tidak dapat
melindunginya. Jatuh air mata jantannya. Amai Pilik dan inai Ambar menjadi saksinya.
Ganim meleraikan pelukan isterinya lalu membaringkan Ading. Dia mulai merasa
tenang semula. Bayi yang diletakkan di sisi Ading diamatinya. Dia mula jatuh hati saat
melihat bayi itu yang mempunyai mata seperti isterinya. Ingatannya tentang bayi itu
hilang dari fikirannya.
80
Angin ribut tiba-tiba menggoncangkan rumah itu. Amai Pilik dan inai Ambar
sudah menjangkakan kejadian ini dari awal. Bayi baru lahir itu sepertinya memahami
erti ketakutan. Dia menangis sekuatnya saat kejadian itu.
Amai Pilik bingkas mengambil bayi itu dan membawanya keluar. Ganim
mengekori lelaki itu atas rasa ingin tahu. Inai Ambar cuba menahannya daripada pergi,
namun, tiada dayanya untuk menghalang lelaki muda itu.
Disitu Ganim melihat Amai Pilik mengangkat bayi seperti sedang mengagung-
agungkan. Berdiri satu mahkluk besar dan tinggi ingin menyambut bayi belum bernama
itu.
“Anak aku!” Kata makhluk itu sambil tangannya sudah hampir mencapai bayi itu.
Ganim bertindak berlari ke arah makhluk itu dan merampas bayi itu dari tangan
amai Pilik. Hampir bayi itu terjatuh ke lantai akibat perasaan terkejut amai Pilik ketika
bayi itu dirampas dari tangannya.
Bayi itu digendong erat dalam rangkulan Ganim. Makhluk bermata hitam itu
mencekik leher Ganim hingga dia hampir terkorban.
Ading merasakan ketakutan dan dia menggagahkan juga kakinya untuk berjalan
ke arah suami dan amai Pilik. Tangannya mencapai leher makhluk itu lalu mencekiknya.
Perlahan-lahan Ganim dilepaskan. Mengejut mereka semua yang menyaksikan saat itu,
makhluk itu meletup dan meninggalkan sisa debu di lantai.
Merasa makhluk itu sudah benar-benar mati, Ading terduduk lemah di lantai.
Ganim sempat menyambut isterinya.
“Ading saja yang dapat kasi mati itu hantu sebab ada teikut sikit-sikit kuasa itu
hantu sama si Ading masa dorang ‘bersama’.” Jelas amai Pilik pada Ganim.
81
“Jangala kau telampau marah sama bini kau. Dia pun bukan tau tu itu bukan
kau. Kalau hatinya inda sayang kau, lama sudah dia kasi tinggal kau pigi ikut sama tu
hantu.” Inai Ambar sempat menasihati Ganim.
“Aku fikir, bagus kamu pindah pigi tempat lain. Sebab kalau kamu disini, mau
kasi besar lagi anak kamu tu, takut nanti ada ‘barang’ lain yang dapat hidu ‘darahnya’.
Mengerti kau aku bilang ni?” Amai Pilik menepuk bahu Ganim.
“Kamu laki bini fikirla bagus-bagus. Kami bukan usir kamu. Tapi, aku rasa kamu
pun faham juga kan?” Soal inai Ambar lagi.
“Kalau itu saja jalan bagus, nanti aku bincang dulu sama Ading.” Ganim
menjawab ringkas.
***
Kini, 18 tahun sudah berlalu. Bayi yang hampir diambil diberikan pada makhluk
menggerikan itu sudah besar. Diberi nama kepada anak lelaki ini sebagai Ison. Ganim
dan Ading membawa Ison menjenguk wanita yang menyambutnya ketika bayi, inai
Ambar.
“Ganim?! Ading?!” Tanya inai Ambar terkejut.
Pasangan ini terus menyalam tangan wanita itu. Saat inai Ambar mengamati wajah
Ading dan Ganim, jatuh bertitisan air matanya.
“Amai mu, lama suda indada.” Ucapnya dengan suara yang perlahan.
Mendengar ucapan wanita tua itu, Ading terus memeluknya erat-erat. Saat dia
meleraikan, dia memperkenalkan anak lelakinya, Ison yang pernah disambung oleh inai
Ambar ketika dia lahir.
Riak muka inai Ambar ketika mendengar kata-kata Ading terus berubah 360
darjah. Dia seolah-olah ketakutan. Matanya melilau melihat sekeliling.
82
“Kamu kenapa bawa dia balik sini lagi!” Soal inai Ambar seakan berbisik.
Secara tiba-tiba ribut datang bagai ingin menghancur seisi rumah. Lekas tangan
inai Ambar menarik Ison ke dalam rumah. Ading dan Ganim mengekori dari belakang
mereka.
“Nah. Dia datang sudah. Dia datang sudah.” Kata inai Ambar dengan suara yang
perlahan seakan berbisik.
-TAMAT-
83
OGON PONGOU
Ahad subuh, pintu kamar Izmah diketuk kuat bagai nak roboh. Jantungnya berdetak
kencang. Suaminya bangun dan mereka serentak berpandangan. Di luar, mereka
mendengar pekikan puteri sulung mereka, Soraya.
“Ibuuuu. Ibuuu. Teman kakak bu. Kakak nak pegi balai polis.”
Jari-jari gempal Mustafa, menyentuh tombol pintu kamar mereka, lalu
menguaknya luas. Di hadapan mereka, berdiri Soraya dengan rambut yang tak terurus
dan mata yang bengkak.
“Shuuush. Shuuusshh.” Izmah memeluk Soraya erat dan mengusap-usap
belakang puterinya berharap agar anaknya kembali tenang.
Mustafa hanya mampu melihat dua anak-beranak ini. Terbit dalam lubuk hatinya
untuk memeluk anak sulungnya itu, namun perasaan segan menghalangnya apabila
teringat Soraya sudah menjadi anak dara sunti.
“Ade ape dengan Soraya nak pergi balai polis? Soraya bagi cerita dekat ibu dulu
ye nak?”
Izmah mengepil anak rambut Soraya yang berjuntaian di belakang telinganya.
Tangisannya yang tadi memenuhi seluruh ruangan kesunyian sudah semakin perlahan.
Hatinya terasa lebih tenang, dan ringan saat dipujuk oleh bondanya. Tak lama
kemudian, Adawiyahtul, Inas dan Yaqob turut keluar dari bilik setelah mendengar
pekikan kakak sulung mereka.
“Ibu, kakak takut. Kakak nampak semuanya. Kakak…. Kakaaaak…” Ayatnya
terputus. Tangisannya lebih kuat. Mukanya ditekup dengan jari-jarinya yang runcing.
“Akak, akak nak cerite ibu tak ape yang berlaku. Ibu ade sini, untuk dengar
kakak. Kakak jangan takut ye nak.”
84
Izmah mendongakkan dagu puteri sulungnya dan mencari-cari anak mata coklat
milik anaknya itu. Dia menggenggam erat tangan anaknya. Setelah Izmah berasa
Soraya sudah bersedia membukakan hatinya untuk meluah, dia merangkul bahu
anaknya hingga ke kamar tidur mereka.
Tangannya sengaja dilimbai tanda tidak mahu diganggu oleh Mustafa mahupun
anak-anaknya yang lain. Pintu kamar itu dikunci Izmah sementera Soraya sudah
melabuhkan punggungnya diatas katil empuk milik pasangan suami isteri yang sudah
berusia hampir 50 tahun.
“Kakak, kakak ade nak kongsi dengan ibu pasal camping haritu? Ibu tunggu
kakak bagitau ibu. Kalau kakak tak ready lagi nak bagitau ibu, takpe. Take your time.
Ibu faham.” Izmah memujuk Soraya, tetapi yang sebenarnya, dalam hatinya membuak-
buak perasaan ingin tahu.
“Ibuuuu. Kakak bersalah ibu. Kakak sebenarnya nampak buuu. Kakak nampak
‘bende’ tu buuu.” Berjuraian air matanya di pipi.
“Ibu nak tau, ape maksud ‘bende’ tu nak? Kakak nampak ape?”
Sebelum membalas pertanyaan ibunya, Soraya memandang sekelilingnya,
seolah-olah merasa dirinya diperhati.
“Kakak, kakak selamat. Kakak jangan risau eh? Ibu ade dengan kakak ni.”
Lembut suara ibunya memujuk.
“Kakak masih ingat bu muke ‘bende’ tu bu. Die menyeringai tengok kakak. Kakak
takut.”
***
“I’m here to remind you guys, please, come early tomorrow, because the bus will be
arriving at 6.30 AM yea, not 6.30 PM. The bus will start moving at 7 AM sharp, and we
will probably arrive at Kuala Penyu at 9 AM something. Alright, everyone. See you
85
tomorrow. Bye-bye.” Jurulatih kelab Pengakap Kelana sempat memberi peringatan
kepada para pelajarnya.
“Wei, korang dah ke beli stok makanan untuk camping ni?” Soal Soraya pada
Hanan dan Charmaine, dua rakannya rapatnya sejak sekolah menengah.
“Tak lagi. Rase nak gi hari ni. Korang jom ah pegi same.” Ajak Hanan.
“Eh, jom ahh. Lepas kelas Mandarin kite gi ehh? Nak makan ayam Borenos.”
Charmaine tersengih-sengih melihat rakannya.
“Engkau ni. Borenos je la dalam kepala kau tu. Kau kawin je la dengan owner
Borenos tu tak pun anak die ke. Hari-hari dapat makan Borenos.” Kata Hanan sambil
menolak lembut pipi gebu Charmaine.
“Ah tuu. Dah sampai dah bas tu. Ready korang, nak rebut bas ni. Kalau korang
masuk dulu, reserve tau seat aku.” Sempat Soraya menitip pesan pada Charmaine dan
Hanan yang tangkas dan bersemangat kompeten dalam hal merebut tempat duduk bas.
***
“Okay everyone, I will call your name, and say ‘I’m here’! then you can get inside the
bus.”
35 orang ahli kelab Pengakap Kelana telah disebutkan namanya oleh jurulatih
Edmund. Semangat entusiastik boleh dirasai dalam ruangan bas yang dipinjamkan
Universiti Malaysia Sabah untuk menghantar para pelajarnya ke Kuala Penyu untuk
berkhemah.
Soraya dan Hanan duduk bersama, sementara Charmaine duduk sebaris dengan
rakannya dan ditemani oleh teman lelakinya, Marshall.
Setelah dua jam berlalu, mereka akhirnya menjejakkan kaki di Sunset Villa yang
terletak di jauh di pedalaman Kuala Penyu. Resort Sunset kelihatan seperti resort tipikal
86
tetapi kemasannya tidak dapat dinafikan, dengan pokok-pokok Ru yang berdiri megah
dan pasir putih yang berkilauan menambahkan keindahan Villa Sunset.
Ruangan tidur lelaki dan perempuan dipisahkan oleh jurulatih Edmund, yang
dipanggil oleh para pelajarnya sebagai Skip Edmund. Ruangan tidur pelajar perempuan
di tingkat 3 dan tingkat 2 untuk pelajar lelaki.
Selesai mempersiapkan diri, Skip Edmund memberi arahan untuk aktiviti mereka
pada hari tersebut. Pagi itu, mereka hanya melakukan aktiviti tipikal bagi ahli Pengakap
Kelana. Mereka dibahagi-bahagikan kepada 3 kumpulan. Namun, tiga sahabat ini
terpisah kerana, Charmaine ditempatkan dalam kumpulan yang sama dengan Soraya.
Pada waktu petang, Skip Edmund memberi para pelajarnya ruang untuk
bersantai. Mereka semua berpakat untuk masuk ke dalam air laut yang biru dan
berkilau-kilauan.
Tanpa membuang waktu, pelajar lelaki terus sahaja membuka baju dipakai
mereka dan membuangnya di pasir lalu berlari anak-anak ke dalam air laut. Soraya dan
Hanan sengaja memilih tempat yang agak jauh dari pelajar lelaki kerana merisaukan
aurat mereka, sementara Charmaine bersama dengan Marshall.
Tiba waktu makan malam. Perut semua orang sudah mula mengeluarkan bunyi
‘kruuk.. kruuukk’ tanda lapar. Walau perut sudah berkeroncong, pelajar Muslim tetap
menggunakan tenaga tersisa dari aktiviti berenang untuk menunaikan solat maghrib
beramai-ramai di ruang tamu vila. Solat pada malam itu dipimpin oleh Faiz, pelajar
tahun 1 dari program Sejarah.
Selesai mendirikan solat, sebuah kereta Hilux hitam yang dipandu oleh pemilik
vila, Ambrose dan isterinya, Maria datang membawa makan malam untuk mereka
semua. Lauk malam itu dimasak sendiri oleh Maria, dan semua orang amat menyukai
air tangannya kerana sedap dan sungguh menyelerakan, walau lauk yang disediakan
87
hanyalah seringkas ikan goreng, sayur tumis, mi goreng, nasi putih dan daging masak
kicap.
Sebelum mereka semua mula menyantap, Ambrose memberi peringatan kepada
mereka semua untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan mereka dan menghormati
kepercayaan di tempat itu. Salah satu peraturan yang disebutnya ketika itu sangat
menghairankan bagi anak-anak muda yang kebanyakannya berasal dari kawasan
bandar.
“Angkol mau kasitau kamu semua satu benda ah angkol harap kamu buli faham
dan ikutkan saja. Angkol mau, kalau kamu disini, jangan sesekali kamu makan begalap-
galap, tiada lampu. Sama, sebelum makan atau waktu makan, kamu jangan kasi tinggal
itu sudu ka, garfu ka sumpit ka diatas makanan kamu. Buli kamu faham kan? Besar-
besar sudah kamu ni semua angkol tingu. He. he. he.”
Ambrose dan Maria yang masing-masing membahasakan diri mereka sebagai
‘angkol’ dan ‘auntie’ dihadapan pelajar Pengakap Kelana menimbulkan impresi mesra,
dan bersifat kekeluargaan. Kebanyakkan pelajar lelaki dan sesetengah pelajar
perempuan selesa untuk mendekati dan berbual dengan pasangan ini kerana merasa
seolah-olah mereka mempunyai perkaitan darah.
Lauk-pauk yang dihidangkan tadi berjaya menjinakkan perut mereka yang
tadinya ganas dan memerlukan makanan.
Malam itu tenang dan mendamaikan bagi hati orang bandar yang terbiasa
dengan kesibukan kota, ruangan pemandangan yang dipenuhi bangunan pencakar
konkrit dan hiruk-pikuk kota.
Pelajar lelaki lebih memilih relaks di tepi pantai, dengan mendendangkan telinga
mereka deruan ombak dan menghirup bayu malam yang menyegarkan. Beberapa
pelajar lelaki yang ketika itu sedang menghisap rokok segera menyembunyikannya di
88
belakang mereka sebaik kedatangan Skip Edmund. Tidak satu pun dari mereka yang
menyedari kehadiran lelaki itu disitu.
“Jangan la kamu mau tapuk-tapuk sana. Bukan saya inda tau, kamu bersigup
kan.” Sindir Skip Edmund.
Masing-masing menunjukkan riak cemas. Apakah yang bakal terjadi pada
mereka? Akankah mereka didenda oleh jurulatih itu, atau lebih teruk lagi dibuang dari
kelab. Debaran di dada semakin terasa.
Alangkah terkejutnya mereka yang berada disitu ketika itu, apabila melihat lelaki
separuh usia itu mengeluarkan sebatang pemetik api Crickets dan sekotak rokok
Marlboro Lights dari kocek seluarnya. Sebatang rokok dari kotak Marlboro klasik
dikeluarkan lalu dinyalakannya.
“Ba, mana suda sigup kamu. Tida paya la tapuk lagi.” Ucap Skip Edmund sambil
menghembuskan asap rokok dari mulutnya.
Tersenyum-senyum mereka setelah mendengar kata-kata Skip Edmund yang
seakan-akan memberi ‘lampu hijau’ kepada mereka untuk merokok.
Rahsia tentang rokok pada malam itu hanya diketahui oleh Skip Edmund dan
pelajar lelaki, dan kisah itu tamat disitu sahaja tanpa pengetahuan pelajar perempuan
lagi.
Sementara di tingkat 3, semua pelajar perempuan duduk berkumpul menonton
Running Man di kaca Smart Tv Samsung yang berukuran 43 inci. Pecah tawa mereka
saat menonton bahagian yang menggelikan hati hinggakan pelajar lelaki dan Skip
Edmund yang ‘lepak’ di tepi pantai mendengar suara tawa mereka.
Sekitar 4.30 pagi, semua pelajar Muslim bangkit untuk menunaikan solat subuh.
Semasa mengambil wudhu, Soraya menghampiri Hanan lalu membisikan di telinganya,
89
“aku tak dapat solat. Period.” Setelah mengatakannya, dia beredar masuk kembali ke
kamar dan menyambung tidurnya. Solat subuh itu masih dipimpin oleh Faiz.
Selesai sahaja menunaikan solat, mereka mula mempersiapkan diri untuk aktiviti
hiking di bukit Kumodou. Semua masih dalam keadaan layu dan tak bersemangat
kerana terlalu ‘kepagian’ dan tidak mendapat tidur yang cukup. Tengah malam itu,
selepas pelajar lelaki balik dari tepi pantai, mereka menyambung aktiviti ‘lepak’ mereka
di ruang tamu tingkat pertama.
Aroma masakan pelajar lelaki yang kelaparan waktu itu mengejutkan beberapa
orang pelajar perempuan. Gara-gara ingin tahu, mereka pun turun untuk menyiasat.
“Wei, Sam, jom la join. Kite tengok movie ni.” Ajak Saiful.
Sam atau nama sebenarnya Samantha dikenali dengan perangainya yang agak
kelelakian dan kasar. Pelajar lelaki suka bergaul dengannya disebabkan perangainya
yang ‘masuk air’ ‘santai’, sementara pelajar perempuan juga selesa bergaul dengannya
kerana sifatnya yang bukan hipokrit.
“Ehh, jom la jomlah. Movie apa wei?” Soal Sam sambil mengisi tempat kosong di
sebelah Saiful.
“Entah. Tak decide lagi ni. Kau nak tengok movie ape?” Saiful bertanya lalu
memandang wajah teman-temannya berharap diberikan jawapan.
“Ape kate kite tengok cite hantu-hantu nak tak? Tu movie yang Valak tu, yang
baru released tu. Ape ntah tajuk die, The Nun ke kalau tak silap aku.”
“Aku on je. Korang camne?” Saiful memandang lagi wajah teman-temannya
menanti jawapan.
“Nana! Anis! Mel! Jom la tengok sekali. Teman aku wei.” Ajak Sam.
“OK jom!” Balas mereka bertiga serentak.
90
“Eh, korang tadi aku bau wangi gile masak. Ape yang korang masak?” Muncul
kembali dalam ingatannya tentang sebab sebenarnya untuk turun ke bawah.
“Marshall bagi panas lauk yang dorang Auntie Maria hantar tadi. Lapar dia.”
Balas Faiz sambil menunduk bermain dengan permainan di telefon bimbitnya.
Sedang semua asyik menonton filem seram barat itu, Sam telah menegur
sesuatu bau yang tiba-tiba datang mendekat. Padanya, bau itu tidak terlalu kuat,
namun lama-kelamaan semakin menggangu hidungnya.
“Bau ape ni wei? Korang tak hidu ke?” Sam bertanya kasar.
Semua pun berpandangan. Masing-masing binggung dengan jawapan yang perlu
mereka katakan bagi menjawab soalan Sam.
“Dah la wei, hati aku rasa lain macam. Pasang la lampu tu. Bagi lampu sikit. Dah
lah tu dorang Marshall tengah makan. Karang terciduk hah baru ingat dunia.” Bebel
Saiful pada rakan-rakannya yang ingin menonton filem dalam keadaan yang gelap
gelita.
“Takut eh?” Nana berkata sambil senyum sinis melihat Saiful. Terbit rasa malu
dalam dirinya kerana merasakan dia diejek.
“Kamu ni. Dengar ja ba cakap Si Saiful. Betul la ba tu, nanti kau tersedak tulang
ayam ka nah baru kau tau. Sudah la hospital jauh ni.” Faiz menyokong Saiful.
Sam pun berdiri lalu berjalan menghampiri suis lampu. Ketika sedang melihat
dirinya di dalam pantulan tingkap yang berhadapan dengan tempat mereka menonton
wayang, Sam perasaan satu makhluk berketinggian lelaki dewasa sedang duduk diatas
meja yang digunakan Marshall untuk meletakkan makannya. Lebih mengejutkan Sam
tatkala melihat, makhluk itu memasukkan lidahnya yang amat panjang ke dalam
mangkuk Marshall.
91
Matanya digosok-gosok kerana tak mempercayai penglihatannya. Dia berandaian
kemungkinan dirinya sudah penat dan mengantuk hingga menyebabkannya dia
berkhayal. Apabila dia memandang kembali, makhluk yang dilihatnya sudah tiada.
“Baik aku gi tido. Dah ngantuk sangat sampai nampak bende bukan-bukan.”
Bisiknya dalam hati.
Lampu pendafluor yang dihidupkan Sam menerangi seluruh ruangan tengah
rumah itu. Tak lama kemudian, Marshall bersama rakannya yang makan bersamanya,
menuju ke sinki untuk membasuh piring mereka. Diatas piring Marshall, tersisa
sepotong isi daging yang tidak dihabiskannya. Sedang lelaki berketurunan Cina ini
menuju ke dapur, potongan daging dalam piringnya tiba-tiba terjelepok jatuh ke lantai
tiles.
Marshall berasa hairan bagaimana potongan daging yang berada elok diatas
piringnya boleh jatuh? Menyaksikan kejadian itu, rakannya, Jefferson menegurnya.
“Uik, kalau urang tua-tua bilang, kalau makanan kita jatuh, maksudnya kena
minta.” Kata Jefferson selamba.
“Ih, ada-ada ja kau ni. Percaya la kau tu benda-benda merepek macam tu.”
Marshall menafikan kata-kata rakannya kerana kedengaran merepek padanya.
“Nda apala kalau kau inda percaya. Tapi kita ni kan di tempat urang, bukan
tempat sendiri. Lagipun itu daging tu bukan kau mau makan lagi kan. Kasi buang sijala
tu di luar.” Balas Jefferson dengan perasaan sedikit tersinggung dengan kata-kata yang
diucapkan Marshall padanya.
Marshall menuruti kata-kata Jefferson. Dia mengutip semula potongan daging di
lantai lalu membuangnya keluar dari jendela. Sempat lagi mulutnya mengatakan, “ba,
tu na saya buang sudah tu untuk kau. Pigi kau capat-capat ambil sebelum kena rabut
anjing.”
92
Jefferson menggeleng-gelengkan kepalanya melihat kedegilan rakannya itu.
Sejurus sahaja daging itu dilempar, kedengaran bunyi anjing melolong di luar rumah
mereka.
“Ha. Ha. Ha.” Entah kenapa, Marshall merasa terhibur mendengar bunyi lolongan
anjing yang kebetulan berlaku semasa dia selesai menyebut soal berebut makanan
dengan anjing.
“Kau ni, kalau betul-betul tu hantu, jagala kau dia membalas.” Jefferson
menjeling matanya kerana merasa Marshall menjengkelkannya.
Malam itu, mereka menonton filem seram The Nun dengan lampu yang
dipasang. Walaupun rasa seram itu tidak ‘sampai’ sangat, namun mereka tetap gembira
dapat meluangkan waktu bersama-sama dengan rakan mereka.
Mengingat kembali aktiviti mereka malam tadi menimbulkan rasa kekesalan
dalam diri beberapa orang pelajar lelaki. Mereka merasakan waktu yang diluangkan
mereka untuk menonton filem seram yang sepatutnya boleh membuatkan mereka
merinding namun tidak, kerana lampu yang dipasang tidak membuat mereka menyesal
kerana lebih memilih untuk menonton berbanding tidur.
Bukit Kumodou dinaiki oleh semua orang dan diketuai oleh Skip Edmund dan
ditemani oleh seorang lelaki berusia sekitar 30 tahun yang berasal dan menetap di
kampung itu. Skip Edmund memperkenalkan lelaki itu kepada pelajarnya sebagai Skip
Trevor yang bertanggungjawab untuk membimbing mereka semua hingga ke puncak
Bukit Kumudou dan balik ke Vila.
Soraya yang baru hari pertama mengalami darah haid kerap berhenti untuk
memberi dirinya ruang untuk bernafas. Hanan, Charmaine dan Marshall berjalan
seiringan dengan Soraya, namun disebabkan dia berhenti-henti, dia ketinggalan dari
rakan-rakannya yang sudah berada jauh di hadapannya.
93
Tiba-tiba, pandangannya terasa kabur dan peluh dingin mulai membasahi
belakangnya hingga ke wajahnya. Tanpa disedarinya, dia pengsan dan jatuh ke tanah.
Faiz dan Saiful yang kebetulan berjalan di belakang Soraya terkejut melihat dia
terjatuh. Mereka berlari menghampirinya lalu memanggil-manggil jurulatih mereka
dengan suara yang paling kuat.
Skip Edmund dan Skip Trevor yang ketika itu sudah berada di hadapan, berhenti
dan berlari-lari anak menuju ke tempat Soraya pengsan. Hanan, Charmaine dan
Marshall yang memerhati jurulatih mereka berlari ke belakang terasa hairan.
“Kenape tu Soraya?” soal Hanan.
Disebabkan tiada suara Soraya menyahut soalannya, dia memalingkan wajahnya
di sebelah dan terkejut melihat Soraya tidak ada di sisinya.
“Eh? Mana Soraya? Korang nampak tak?” Kedengaran suara sedikit cemas.
“Tadi dia bukan sebelah kau eh?” Charmaine memandang wajah Hanan.
“Aku rase pun die sebelah aku tadi. Bile mase pula la die ni tertinggal?” Hanan
menggaru kepalanya yang tak terasa gatal pun.
“Hanannnnn!!!!!!! Oh Hanannnn!” Kedengaran suara garau memanggil namanya
dari belakang. Serentak mereka bertiga berpandangan lalu berpaling ke belakang.
Mereka melihat sekujur tubuh yang terbaring dengan kepalanya disangkut pada
tangan Saiful dan dikelilingi oleh Skip Edmund dengan Skip Trevor.
“Aku rasa itu Soraya la. Die tadi pakai baju pink kan?” Soal Charmaine dengan
jarinya menggaru pipinya.
Tidak menunggu lama, mereka pun bergegas ke tempat Saiful dan dari jauh lagi
mereka sudah boleh meneka tubuh yang sedang terbaring itu milik Soraya.
94
Hanan berlari menghampiri rakan baiknya itu dan memandang wajah Skip
Edmund menanti jawapan darinya.
“Kamu tau ka kalau-kalau dia ada penyakit lain?” Soal Skip Edmund pada tiga
orang rakan Soraya ini.
“Takde Skip. Die tak pernah mention dengan saye die ade sakit.” Balas Hanan.
Hanan berpaling lagi pada Charmaine seolah sedang menanti jawapan darinya
pula.
“Ade ke die bagitau kau die ade sakit ape-ape?” Tanya Hanan pada Charmaine
yang berketurunan Cina Baba Nyonya.
“Eh, takde la, tak pernah die gitau saye die ade sakit.” Charmaine
menggelengkan kepala tanda tak tahu.
“Hmm. Tida apa kalau begitu, kita kasi rehat dulu dia sekejap. Mungkin dia panat
ba ni saja.” Ujar Skip Edmund.
“Tapi Skip,..” Belum sempat Hanan menghabiskan kata-katanya, dia sudah
menjadi perhatian dalam perkumpulan itu dan membuatkan kata-katanya terhenti.
“Ah, kenapa?” Skip Edmund memberinya ruang untuk menghabiskan bicaranya.
“Tadi subuh, Soraya ade bagitau saye, dia period hari ni. Baru first day.” Kata
Hanan dengan suara yang agak kecil mungkin kerana merasa segan untuk bercakap
soal hal keperempuanan dalam kalangan lelaki.
“Astaga! Kenapa tidak bagitau dari awal. Masa period pertama mimangla tidak
bertenaga. Patutnya dia stay saja dirumah, inda payah ikut. Aduui.” Skip Edmund
menepuk dahinya.
Tak lama kemudian, Soraya membukakan kelopak matanya perlahan-lahan.
Cahaya matahari yang tegak berdiri diatasnya benar-benar menyilaukan matanya.
95
“Nah, kau minum dulu air.” Skip Edmund memberinya sebotol air mineral yang
baru dibukanya.
“Bah, kau pigila ikut tu student pigi atas. Biar saya saja la turun sama dia dengan
kawan-kawan dia.” Cadang Skip Trevor pada Skip Edmund.
Skip Edmund melangkah pergi meninggalkan Skip Trevor, Soraya, Hanan,
Charmaine dan Marshall. Saiful dan Faiz pula mengikut jurulatih mereka kembali
memanjat bukit itu.
“Ada kamu makanan yang manis-manis ka kamu bawa?” Tanya Skip Trevor
kepada mereka berempat.
Soraya sekadar memandang Skip Trevor dengan pandangan lemah dan tak
peduli. Terbit di benak fikiran Hanan, Charmaine dan Marshall mengapa lelaki itu tiba-
tiba bertanya tentang makanan manis.
Charmaine memeriksa beg sandangnya dan menghulurkan satu paket coklat
Kitkat kepada Skip Trevor. Coklat itu disambut dengan senyuman manis.
Dia membukakan plastik coklat itu dan menyuakan kepada Soraya yang sudah
duduk bersandar di bahu Hanan.
“Makan dulu sikit ni coklat. Supaya kau ada tenaga balik.” Kata Skip Trevor pada
Soraya yang masih tidak menunjukkan tanda-tanda dia akan memakan coklat itu.
Hanan mengambil coklat itu dari tangan Skip Trevor dan mendekatkan pada
bibirnya Soraya.
“Makanlah, kalau kau tak makan macam mane kau nak jalan wei. Aku dah la tak
larat nak pikul kau.” Pujuk Hanan dengan meletakkan sedikit unsur menghibur pada
kata-katanya.
96
Sekali lagi, Hanan menyuakan coklat Kitkat itu pada rakannya. Dia tidak
menganjakkan tangannya dari depan wajah Soraya.
Soraya membuka kecil mulutnya, dan Hanan mematahkan sedikit coklat Kitkat
itu kepada bahagian kecil dan memasukkannya ke dalam mulut Soraya. Perlahan-lahan
Soraya mengunyah coklat itu.
Setelah mendapatkan tenaganya semula, Soraya bangun dengan dipapah oleh
Hanan dan Charmaine. Beg sandangnya dibawakan oleh Skip Trevor hingga ke Sunset
Vila, sementara Marshall hanya mengikuti mereka sahaja.
Sesampai sahaja mereka di Sunset Vila, Soraya terus dibaringkan diatas sofa
berbentuk L yang diletakkan di ruang tengah rumah, tingkat pertama.
Sebaik dibaringkan, Soraya menutup matanya kerana dia mula merasakan
pandangannya kembali berpinar-pinar. Tangannya direhatkan diatas perutnya.
Hanan dan Charmaine menuju ke dapur dan menyediakan sarapan ringan untuk
teman mereka yang tidak sihat itu. Marshall dan Skip Trevor pula duduk berbual di
ruangan kaki lima yang berdepan dengan pantai.
Pemandangan yang disajikan kepada mereka berdua ketika itu cukup
mengagumkan mereka. Hempasan ombak yang memecah di gigi pantai, kicauan
burung camar yang berterbangan di ruang angkasa luas, sekali-sekali hinggap pada
dahan pohon.
Hanan memasukkan 2 gelas beras yang dibawakan Auntie Maria semalam ke
dalam periuk nasi. Dimasukkan juga sayur sejuk beku dan ketulan-ketulan isi ayam
bersama perencah dan digaul sekali.
Sementara menunggu bubur itu siap dimasak, Hanan meminta Charmaine untuk
menghantarkan segelas air kosong kepada Soraya. Dia melihat mata Soraya yang masih
97
tertutup rapat, menerbitkan rasa bersalah dalam dirinya untuk membangunkan
rakannya yang tidak sihat.
Menyedari kehadiran seseorang di sisinya, dia membuka matanya dan melihat
Charmaine sedang berdiri di sampingnya dengan membawakan segelas air kosong.
“Kenape Chem?” Soal Soraya dengan suara yang masih sedikit lemah.
“Eh, tak. Saye ade bawakan kau air ni. Hanan suruh kau minum.” Sempat
matanya mengerling ke arah Hanan yang sedang menggaul bubur dimasaknya.
“Oh, terima kasih. Tapi, sekarang aku belum haus lagi. kau letak je dekat atas
meje tu, nanti aku pandai la tu minum kalau aku rasa haus eh?” Tangannya menarik
Charmaine dan mengajak rakannya itu untuk duduk ditepinya.
Mendengar suara rakan-rakannya yang lain sudah kembali, Soraya lekas
mengatur tudungnya yang senget dan menampakkan anak-anak rambutnya.
Dia bingkas berdiri dan naik ke bilik dengan adanya Charmaine membontotinya
dari belakang. Charmaine berasa risau jika rakannya itu akan jatuh pengsan lagi.
Mereka berdua berehat di bilik itu dan tak lama kemudian, Hanan menguak pintu
dengan membawa dulang berisi satu mangkuk bubur ayam dan air kosong. Dia
mengambil tempat di sebelah tilam Soraya lalu menyuap rakannya itu.
Soraya sungguh merasa terharu dengan kebaikan Hanan dan Charmaine kepada
dirinya.
“Thank you, Ann, Chem. Thank you sangat-sangat sebab ade waktu aku sakit.
Aku berhutang budi dengan korang.” Dia berlakon seolah-olah sedang mengesat air
matanya di pipi sedangkan pipinya kering. Dipeluknya dua orang rakannya itu tanda
bersyukur kepada mereka.
“Ee, busukla kau. Dahlah tak mandi lagi.” Kata Hanan bergurau.
98
“Alaah, korang pun belum mandi kan. Ape bezenye?” Balas Soraya.
Mereka bertiga terhibur dengan kata-kata Soraya.
Soraya mula berasa bertenaga semula sejak makan tengahari. Perutnya yang
tadi sakit disebabkan oleh senggugut kian tak dirasai. Dia kembali bersemangat untuk
mengikuti aktiviti seterusnya.
***
Angkol Ambrose dan Auntie Maria menghantar lagi makanan ke Vila Sunset.
Kedengaran sahaja bunyi kereta Hilux Angkol Ambrose masuk ke pekarangan rumah,
berlari semua pelajar lelaki ke luar untuk melihat pasangan itu.
Segera mereka membantu untuk menurunkan lauk yang dimasak oleh Auntie
Maria ke dalam rumah.
Auntie Maria telah memasakkan mereka nasi hujan panas, bersama dengan
rendang ayam, ulam-ulaman dengan sambal belacan, dan makanan tradisi di Kuala
Penyu, Ambuyat juga disajikan.
Sengaja wanita itu menghidangkan makanan tradisi mereka untuk memberi
peluang kepada pelajar yang berasal dari luar Sabah untuk merasai sendiri makanan
unik itu.
Soraya, Hanan dan Charmaine yang masing-masing berasal dari semenanjung
tak melepaskan peluang untuk merasai makanan itu. Meski hakikatnya mereka
merasakan tekstur Ambuyat itu pelik, mereka tetap menjaga tutur dan adab untuk tidak
menyinggung perasaan Angkol Ambrose dan Auntie Maria yang sudah bekerja keras
menyediakan makanan itu untuk mereka.
Setelah selesai makan tengahari, mereka semua berjalan kaki menuju ke sekolah
rendah Kilomboi. Mereka masing-masing sudah mempunyai tugas yang perlu
99
dijalankan. Soraya, Hanan, dan Charmaine memilih untuk menjadi satu kumpulan yang
bertugas menghias ruang bilik darjah pelajar tahun 1.
Saat kaki mereka melangkah masuk ke dalam bilik darjah itu, terimbas kembali
kenangan mereka semasa bersekolah rendah. Banyak perbezaan di antara sekolah ini
dengan sekolah di bandar yang dilihat oleh mereka bertiga.
Papan tulis masih digunakan dalam bilik darjah itu sedangkan di sekolah sudah
mempunyai projektor yang disambung dari komputer riba.
Soraya mula menyalahkan kerajaan yang gagal dalam menjaga kebajikan
rakyatnya. Diatas sebuah bangku kerusi itu Soraya melabuhkan punggungnya. Dia
mengelamun. Fikirannya diisi dengan perbandingan sekolah ini dengan sekolah diluar.
“Oi. Dah dah la berangan. Aku nak pulang cepat ni. Tak tahan habuk pun nak
tebal seinci. Hidung aku dah rasa nak tercabut sebab habuk-habuk.” Rungut Hanan
pada rakan-rakannya.
“Dah tau hidung tu sensitif dengan habuk, nape kau gatal-gatal ambil nak
bersihkan sini akaakk?” Charmaine menyoalnya kembali.
Soraya memilih untuk menjadi pendengar mereka sahaja. Sengaja dia tidak
memberi respon, kerana sudah dijangkanya perbalahan itu makin bertambah jika dia
menyampuk sekali. Dia masak dengan perangai rakannya dua orang yang sudah
dikenalinya dari tingkatan 3.
Beberapa jam pun berlalu, pelajar Pengakap Kelana berkumpul di tapak
perhimpunan untuk mendengarkan ucapan terima kasih dari guru besar sekolah itu
sebelum bergerak menuju ke Sunset Vila semula.
Meski tubuh terasa penat dan fikiran dihantui dengan imej-imej tilam empuk di
bilik yang memanggil-manggil mereka, tetap perjalanan balik mereka itu dipenuhi
dengan tawa riang.
100