The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by TADABBUR AL QURAN 30 JUZUK, 2020-05-23 03:34:18

TADABBUR RINGKAS 30 JUZUK

TADABBUR RINGKAS 30 JUZUK

*AL-QURAN*
*TADABBUR RINGKAS 30 JUZUK
RAMADAN 1441 H BERSAMAAN 2020 M*

* Sumber: Ust Abdullah Bukhari *
Diolah: Asyraf Salleh

*TADABBUR RINGKAS JUZUK 1 (SURAH AL-FATIHAH & SURAH
AL-BAQARAH AYAT 1-141)*

_10 Points_

1. Dinamakan Surah Al-Fatihah kerana menjadi pembuka kepada Al-Quran dan merupakan teras kepada
113 Surah selepasnya.

2. Terdapat 2 bahagian iaitu: Pujian kepada ALLAH, dan pengakuan seorang hamba yang lemah yang
perlu bergantung kepada ALLAH.

3. Dinamakan Surah Al-Baqarah kerana di dalam surah ini berkait dengan kerenah Bani Israil yang tidak
mahu beriman dan taat kepada Nabi Musa A.S.

4. ALLAH menceritakan sifat orang beriman di dalam 5 ayat pertama Surah Al-Baqarah, kemudian sifat
orang kafir (6-7) dan orang munafiq (ayat 8 dan seterusnya).

5. Dalam Juz 1 ini juga ALLAH menceritakan tentang pertembungan di antara 2 golongan yang disebut di
dalam surah Al-Fatihah (Golongan yang diberi Nikmat vs Golongan yang dimurkai)

6. Pertembungan berlaku dalam 2 bentuk; Individu (Nabi Adam vs Iblis), Generasi (Nabi Musa vs Bani
Israil) dan hampir keseluruhan Juz 1 ALLAH menceritakan tentang jenayah orang-orang Yahudi yang

bermula dari ayat 40 sehingga ayat 120.

7. Antara yang menarik adalah kisah permusuhan orang Yahudi dengan Malaikat Jibril A.S. Mereka
menolak untuk menerima ISLAM kerana mereka beranggapan RASULULLAH SAW dibimbing oleh Jibril

A.S. dan mereka menganggap Jibril sebagai musuh.

8. Pada ayat 102 surah ini diceritakan tentang asal usul sihir yang mana orang Yahudi beranggapan
bahawa Nabi Sulaiman A.S. berkuasa kerana adanya sihir, bukan kerana Mukjizat yang dikurniakan

kepada Baginda. Dalam ayat ini ALLAH memberitahu bahawa sihir berasal dari Harut & Marut, 2
Malaikat yang dihantar ke Babil (Babylon), bukan berasal dari Nabi Sulaiman A.S.

9. Di bahagian akhir Juz 1 ini ALLAH menceritakan bagaimana Nabi Ibrahim A.S. diuji dengan pelbagai
ujian dan akhirnya baginda berjaya melepasi kesemua ujian tersebut. Di sana juga ada kisah pembinaan

Kaabah oleh Nabi Ibrahim A.S. bersama dengan anaknya, Nabi Ismail A.S.

10. Di bahagian akhir Juz 1 juga diceritakan tentang wasiat Nabi Yaakub A.S. kepada anak-anak Baginda,
iaitu supaya berTUHANkan ALLAH SWT.

Sumber: Ust Abdullah Bukhari & Ust Syaari Abd Rahman

*TADABBUR RINGKAS JUZUK 2 (SURAH AL-BAQARAH AYAT
142-252)*

_10 Points_

1. Antara isu yang disentuh di dalam Juzuk 2 adalah berkaitan peralihan Kiblat dari Baitul Maqdis ke
arah Kaabah di Mekah (Ayat 142-150).

2. Ini bagi membuka mata orang kafir Quraisy bahawa ISLAM tidak menafikan kehebatan & kemuliaan
Mekah.

3. Ia juga membina cara fikir baru kerana masyarakat Mekah memandang tinggi terhadap orang Yahudi
sehingga menjadikan mereka tempat rujukan. Dan pertukaran kiblat ini memalingkan fokus mereka dari

Bani Yahudi kepada Bani Ismail.

4. Antara perkara lain yang popular dalam Juzuk ini adalah ayat berkenaan kepentingan Solat, Sabar dan
Lafaz Istirja’ (Ayat 153-157).

5. Juzuk 2 banyak menceritakan tentang hukum-hakam. Antaranya berkenaan dengan hukum Qisas dan
kepentingan wasiat (Ayat 178-182), kepentingan berpuasa dan hukum berkaitannya (Ayat 183-187),
hukum hakam berkaitan Haji (Ayat 196-203), dan antara isu besar yang dibincangkan adalah berkaitan
nikah, cerai, Iddah wanita yang bercerai dan kematian suami, adab-adab meminang wanita yang
kematian suami, tidak boleh secara terang, tetapi mesti bersyarat atau menggunakan bahasa kiasan
(Ayat 221-242).

6. Di dalam ayat 201, ALLAH memberitahu tentang doa yang terbaik untuk diamalkan dan dibaca, iaitu
doa yang bukan sahaja meminta kebaikan di dunia, bahkan kebaikan di akhirat.

7. Bahagian akhir Juzuk 2 adalah berkaitan kisah selepas zaman Nabi Musa A.S. yang mana Bani Israil
ditindas oleh seorang raja (Jalut). Lalu Bani Israil meminta pertolongan seorang Nabi untuk membantu

mereka.

8. Disebut oleh para Ulama’ tafsir bahawa Nabi itu adalah Nabi Samuel yang mendapat petunjuk dari
ALLAH SWT untuk memilih orang yang selayaknya (berilmu pengetahuan dan gagah perkasa) menjadi

pemimpin dan raja iaitu Talut, walaupun pada awalnya beliau ditolak oleh kaumnya kerana tidak
memiliki harta dan kuasa.

9. Maka Talut memimpin Bani Israil untuk mengalahkan Raja Jalut. Dan pada waktu inilah munculnya
watak Nabi Daud A.S. yang berjaya membunuh Raja Jalut, dan kemenangan berpihak kepada Bani Israil.

10. Mesej utama di dalam kisah terakhir pada Juzuk 2 ini menekankan bahawa ISLAM lebih
mementingkan kualiti berbanding kuantiti.

*Sumber: Ust Abdullah Bukhari & Tadabbur Centre*

*TADABBUR RINGKAS JUZUK 3 (SURAH AL-BAQARAH 253-286
& SURAH ALI-IMRAN 1-91)*

_10 Points_

1. Mengandungi 2 Surah, iaitu bahagian akhir Surah Al-Baqarah dan bahagian awal Surah Ali-Imran.

2. Ayat Kursi yang selalu dibaca berada di dalam Juzuk ini (Ayat 255). Ayat ini diiktiraf sebagai ayat yang
paling agung di dalam Al-Quran kerana di dalam ayat ini sahaja, mengandungi 17 kali pengulangan nama

ALLAH SWT.

3. Di dalam Juzuk ini terdapat 2 kisah berkenaan orang yang mati dan dihidupkan semula iaitu; i)
seorang lelaki yang tidur selama 100 tahun (Ayat 259), ii) Eksperimen yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim

untuk diyakini bahawa ALLAH mampu menghidupkan kembali makhluk yang dah mati.

4. Juzuk 3 juga menceritakan berkenaan Sedekah (Ayat 261-274). Antaranya ialah satu sedekah
digandakan pahalanya sehingga 700 kali ganda, siapa yang selayaknya menerima sedekah dan sedekah

perlu diberikan dalam keadaan terbaik.

5. Seterusnya, hukum berkaitan riba dan hutang dibincangkan pada Ayat 275-282. Yang menariknya,
mengikut kebanyakan ulama’ Tafsir, ayat 281 merupakan ayat yang terakhir diturunkan manakala ayat

282 adalah ayat yang terpanjang di dalam Quran yang menceritakan perihal hutang dan bagaimana
mendokumentasinya (Perjanjian, Saksi dsb).

6. Di dalam Surah Ali-Imran banyak diceritakan tentang keluarga dan makhluq pilihan ALLAH seperti
keluarga Imran, Maryam, Nabi Isa, Nabi Zakaria dan Nabi Yahya (Ayat 35-55).

7. ALLAH mengajar doa bagi pasangan berkahwin yang masih belum dikurniakan cahaya mata untuk
mengamalkan doa Nabi Zakaria (Ayat 38).

8. Pada Ayat 55 dinyatakan dalil yang mengatakan bahawa Nabi Isa A.S. diangkat oleh ALLAH SWT ke
langit.

9. Terdapat juga kisah berkenaan Mubahalah di antara NABI SAW dengan kaum Nasrani dari Najran
(Ayat 61-62). Mubahalah adalah perdebatan di antara 2 pihak yang masing-masing mendakwa benar,
dan masing-masing berdoa kepada ALLAH untuk tunjukkan mana yang benar dan mana yang salah.

Tetapi Mubahalah ini tak jadi kerana pihak Nasrani menarik diri kerana hakikatnya mereka tahu
RASULULLAH SAW berada di pihak yang benar.

10. Ayat 63 mengisahkan perintah ALLAH SWT kepada NABI SAW untuk mengajak Ahli Kitab agar
bersatu dengan kalimah Tauhid yang sama iaitu menyembah ALLAH yang SATU manakala pada Ayat 69-
79 diberitahu tentang sifat Ahli Kitab, ada yang positif dan banyak yang negatif. Mesej utama di dalam
kisah ini adalah orang yang diberikan agama (ISLAM), sepatutnya menjadi orang yang Rabbani (Orang

yang paling berakhlaq dan menjadi pendidik untuk diri, keluarga dan masyarakat).

*Sumber: Ust Abdullah Bukhari*

*TADABBUR RINGKAS JUZUK 4 (SURAH ALI-IMRAN 92-200 &
SURAH AN-NISA’ 1-23)*

_15 Points_

1. Juzuk 4 mengandungi sebahagian besar bahagian kedua Surah Ali-Imran dan bahagian awal Surah An-
Nisa’.

2. Ayat 92 ALLAH menceritakan tentang sedekah yang paling baik iaitu sedekah sesuatu yang paling kita
sukai. Antara kisah di sebalik ayat ini adalah kisah sedekah kebun kurma oleh Abu Talhah R.A. yang
mana kebun ini adalah kebun yang paling disayangi dan kebun ini adalah antara kebun yang paling
mahal nilainya yang ada di Madinah pada ketika itu.

3. Dalam Ayat 93 ALLAH menceritakan tentang asal-usul makanan haram bagi Bani Israil, bagaimana
pengharaman daging unta bagi mereka disebabkan Nazar yang dibuat oleh Nabi Yaakub A.S.

4. Ayat 96-97 adalah mengenai rumah ibadat yang pertama dibina dalam sejarah peradaban manusia,
iaitu Kaabah dan ayat ini juga berkenaan dengan pensyariatan Haji.

5. Ayat 103 pula ALLAH memberitahu kepentingan berpegang dengan tali ALLAH (Agama ALLAH)
manakala di dalam ayat 110 umat ISLAM dinobatkan sebagai Umat Terbaik dengan syarat mestilah

melaksanakan Amar Makruf Nahi Munkar dan beriman kepada ALLAH SWT.

6. Menariknya, Perang Uhud diceritakan secara terperinci di dalam Juzuk ini (Ayat 121-158). Antaranya
berkenaan punca kekalahan, post-mortem Perang Uhud, teguran ALLAH kepada Umat ISLAM dsb.

7. Apa yang paling menarik adalah berkenaan ayat 144 yang turun ketika Perang Uhud, memberitahu
bahawa RASULULLAH SAW adalah manusia biasa yang pasti akan menemui ajalnya pada suatu hari
nanti. Ayat ini juga dibaca oleh Khalifah Abu Bakar As-Siddiq ketika kewafatan NABI SAW sebagai

teguran kepada para sahabat yang pada waktu itu tidak dapat menerima hakikat tersebut.

8. Di dalam ayat 154 dibincangkan bagaimana ALLAH menghantar rasa mengantuk kepada tentera
ISLAM sebagai satu ketenangan apabila mereka kalah di dalam Perang Uhud dan ketika rasa mengantuk

itu hilang, semangat mereka kembali pulih.

9. ALLAH juga menceritakan mengenai kelebihan orang yang mati syahid, di mana mereka sebenarnya
kekal hidup di sisi ALLAH (Ayat 169-171).

10. Kisah di sebalik ayat 173 adalah berkenaan Perang Hamraul Asad, yang mana tentera ISLAM terus
menyusuri tentera Abu Sufyan setelah Peperangan Uhud. Ketika Abu Sufyan melihat tentera ISLAM
masih mampu menyusuri mereka walaupun setelah luka parah, beliau mengupah satu rombongan yang
sedang lalu di kawasan itu untuk menakutkan tentera ISLAM, namun Tentera ISLAM tetap nekad untuk

menggempur musuh dengan lafaz “Cukuplah bagi kami, ALLAH sebagai pembantu”.

11. ALLAH menekankan perihal kepentingan berfikir (Ayat 190-194) yang mana setiap penciptaan ALLAH
di alam semesta ini mempunyai sebab dan musabbab tersendiri.

12. Di dalam Ayat 199, ALLAH SWT memuji sebahagian Ahli Kitab yang beriman kepada ALLAH. Kisah di
sebalik ayat ini adalah berkenaan berita kemangkatan Raja Habsyah (An-Najashi) yang beriman kepada

ALLAH, lalu NABI SAW terus melakukan Solat Jenazah Ghaib. Dan inilah Solat Ghaib pertama yang
dilakukan dalam sejarah umat ISLAM.

13. Di dalam ayat pertama Surah An-Nisa’ diceritakan asal-usul manusia yang berasal dari Nabi Adam
A.S. dan juga Hawwa’, kemudian berkembang sehingga hari ini.

14. Bermula ayat 2 sehingga 23 diceritakan berkenaan anak yatim, poligami, pembahagian Faraidh dan
juga mahram perkahwinan (Orang yang diharamkan berkahwin).

15. Ayat berkenaan Mahram Perkahwinan disebut secara khusus di dalam Ayat 22-23. Ia boleh
dibahagikan kepada 3 kategori iaitu; i) Haram kerana hubungan darah, ii) Haram kerana susuan, iii)

Haram kerana perkahwinan.

*_Sumber: Ust Abdullah Bukhari_*
*TADABBUR RINGKAS JUZUK 5 (SURAH AN-NISA’ 24-147)*

_15 Points_

1. ALLAH SWT melarang memakan harta orang lain secara salah (Ayat 29) manakala di dalam ayat 31-32
diceritakan tentang kelebihan meninggalkan dosa besar, antaranya ialah diampunkan segala dosa kecil
dan larangan untuk kita berhasad dengki dengan kelebihan yang diberikan kepada orang lain, bahkan

ALLAH menggalakkan kita meminta dari NYA agar dikurniakan kelebihan tersebut.

2. Ayat 34-35 membincangkan tentang lelaki sebagai pemimpin di dalam rumahtangga. Dan ALLAH
memberi panduan kehidupan berumahtangga dan cara mendamaikan pasangan yang berkelahi.

3. Ayat 43 pula adalah fasa kedua pengharaman arak sebelum ianya diharamkan secara mutlak dalam
fasa ketiga. Tambahan pula, di dalam ayat ini juga diceritakan tentang hukum berkaitan tayammum.

4. Apa yang menarik di dalam ayat 56 adalah ALLAH menceritakan tentang fungsi kulit yang padanya
terdapat elemen yang menyebabkan kita boleh merasa kesakitan bilamana diberitakan tentang balasan

neraka bagi orang kafir dan ganjaran syurga bagi orang beriman (Ayat 56-57).

5. Ayat 58 berkaitan amanah yang mesti diserahkan kepada ahlinya. Ayat ini diturunkan di dalam Kaabah
ketika NABI SAW ingin memasuki Kaabah pada Hari Pembukaan Kota Mekah. Kunci Kaabah dipegang

oleh Uthman bin Talhah dari Bani Syaibah. Dan NABI SAW meminta kunci daripada beliau, lantas ALLAH
menurunkan ayat ini supaya diserahkan kembali kunci Kaabah kepada beliau. Sehingga ke hari ini. Kunci

Kaabah dipegang oleh Bani Syaibah.

6. ALLAH SWT mengajar kita agar sentiasa kembali kepada ALLAH dan RASULULLAH dalam apa jua
perselisihan yang berlaku dalam kalangan kita (Ayat 59) manakala pada ayat 69 dikisahkan tentang
kelebihan orang yang mentaati ALLAH dan RASUL-NYA akan ditempatkan di Akhirat nanti bersama para
Nabi, orang yang benar, para syuhada dan orang soleh, yang mana tempatnya adalah yang tertinggi di
Alam Barzakh (Rafiqul A’la). Dan ayat 69 merupakan ayat yang terakhir dibaca oleh NABI SAW sebelum

baginda wafat.

7. Ayat 74-78 adalah berkenaan dengan jihad dan kenapa perlu berjihad. ALLAH SWT menegur segelintir
kaum muslimin di dalam ayat 77 kerana mereka dahulunya bersungguh melawan kafir ketika ditindas di

Mekah, tetapi menjadi pengecut selepas berada di zon selesa di Madinah.

8. ALLAH SWT mengajar cara yang sebaiknya untuk menjawab salam dan membalas penghormatan yang
diberikan kepada kita (Ayat 86). Samada kita membalas dengan cara yang lebih baik atau yang setara
dengannya.

9. Ayat 95-96 menceritakan perbezaan di antara orang mukmin yang keluar berjihad dan yang tidak
keluar berjihad tanpa keuzuran yang dibenarkan (keuzuran ini ditujukan pada orang seperti Abdullah Bin

Ummi Maktum, yang buta matanya).

10. Ayat 97-100 mengisahkan berkenaan hijrah, menceritakan tentang segelintir Umat ISLAM di Mekah
yang tidak mahu keluar berhijrah walaupun mereka mampu, dan akhirnya mereka mati terbunuh di
pihak musyrikin di dalam Perang Badar. Kelak mereka akan dihumban ke neraka.

11. Dalam juzuk ini diceritakan berkenaan solat Qasar yang asalnya dibenarkan ketika perang (Ayat 101)
dan Solat Khouf (Solat ketika berasa takut dan gentar) yang dibuat secara berjemaah ketika perang (Ayat

102). Berdasarkan ayat ini, para ulama’ meletakkan kewajipan solat berjemaah ketika aman.

12. Terdapat 3 bisikan yang dibenarkan di dalam ISLAM kerana secara umumnya bisikan itu negatif (Ayat
114) manakala diceritakan juga berkenaan peranan syaitan dan bentuk godaannya seperti menghasut
manusia untuk mengubah ciptaan ALLAH (Ayat 116-121).

13. Ayat 128 menceritakan tentang nusyuz si suami ketika mana dilihat seorang suami itu semakin tidak
menyukai isterinya, si isteri dibolehkan meminta untuk mengurangkan haknya di dalam rumahtangga

seperti gilirannya dilepaskan (bagi yang berpoligami) dan sebagainya.

14. Ayat 129 pula memberitahu tentang sukarnya seorang suami untuk berlaku adil apabila berpoligami
kerana ianya di luar kawalan manusia. Adil di sini merujuk kepada hati & perasaan, bukan fizikal kerana

secara fizikalnya, suami wajib berlaku adil.

15. Akhir sekali, diceritakan tentang celaan ALLAH SWT kepada orang munafiq. Kerana Munafiq juga
cuba untuk menipu ALLAH SWT dan ALLAH akan membalas tipudaya mereka di Akhirat kelak (Ayat 137-

147).

_*Sumber: Ust Abdullah Bukhari*_
*TADABBUR RINGKAS JUZUK 6 (SURAH AN-NISA’ 148-176 & SURAH AL-MAIDAH 1-81)*

_15 Points_

1. Juzuk ini mengandungi bahagian hujung Surah An-Nisa’ dan sebahagian besar Surah Al-Maidah.

2. Pada ayat pertama Juzuk ini, ALLAH SWT tidak menyukai apabila kita bercerita mengenai orang lain
secara terang-terangan melainkan apabila kita dizalimi untuk mendapatkan keadilan (Ayat 148).

3. Pada ayat terakhir Surah An-Nisa’ dibincangkan berkenaan Hukum Faraidh bagi Al-Kalalah (iaitu
Faraidh bagi orang yang tiada ibu bapa dan anak-anak), jadi ke mana hartanya akan pergi (Ayat 176).

4. Dinamakan Surah Al-Maidah yang bermaksud Hidangan Makanan kerana ini adalah mukjizat yang
diberikan oleh ALLAH SWT kepada Nabi Isa A.S. Hidangan diturunkan dari langit untuk Bani Israil selepas

mereka memintanya dari Baginda.

5. Khalifah Umar Al-Khattab ada mengatakan, _‘Ajarkanlah lelaki di kalanganmu Surah Al-Maidah dan
perempuan di kalanganmu Surah An-Nur’_. Ini kerana terdapat banyak hukum yang relevan dengan

orang lelaki di dalam Surah Al-Maidah seperti menyempurnakan sumpah dengan berjanji, tidak
menganiaya orang lain dan sebagainya (Ayat 1-2).

6. Ayat 3 menjadi kebanggaan kita sebagai umat ISLAM. Di awal ayat disebut tentang makanan haram
bagi umat ISLAM manakala di bahagian akhir ayat ini adalah berkenaan penyempurnaan pensyariatan
agama ISLAM. Ayat ini diturunkan ketika NABI SAW berada di Padang Arafah tahun ke 10 Hijri. Dengan

turunnya ayat ini, maka ISLAM telah sempurna. Tidak boleh dikurangkan atau ditokok tambah isi
kandungannya.

7. Ayat 8 Surah Al-Maidah seiring dengan Ayat 135 Surah An-Nisa’ yang mana ALLAH SWT mengajar kita
supaya berlaku adil dan jangan disebabkan kebencian kita kepada sesuatu pihak menyebabkan kita tidak

berlaku adil.

8. Kisah berkaitan Bani Israil dan Nabi Musa A.S. banyak diceritakan pada ayat 12-26. Contohnya kisah
Nabi Musa A.S. melantik 12 orang dalam kalangan mereka sebagai Naqib bagi memudahkan urusan
Baginda (Ayat 12).

9. Kisah sedih Nabi Musa A.S. diceritakan pada ayat 20-26 ketika mana Baginda mengarahkan Bani Israil
memasuki Palestin, tetapi 10 kaum dalam kalangan mereka mengingkarinya. Bukan itu sahaja, bahkan

mereka bersikap biadap terhadap Baginda dengan melemparkan kata-kata penghinaan (Ayat 24).

10. Kisah pembunuhan pertama dalam sejarah manusia (Ayat 27-31) iaitu melibatkan 2 anak Nabi Adam
A.S. Pada ayat ini tidak disebutkan nama anak Baginda.

11. ALLAH SWT menggalakkan kita bertawasul (menggunakan sesuatu sebagai perantara) dengan amal
ibadat kita yang baik (Ayat 35).

12. Ayat 41-50 diceritakan berkenaan Bani Israil, bagaimana mereka diberikan Kitab Taurat. Dan
padanya diulang sebanyak 3 kali dengan 3 akibat bagi sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum
ALLAH SWT. Akibatnya adalah termasuk dalam golongan yang kafir (Ayat 44), golongan zalim (Ayat 45)

dan golongan yang fasiq (Ayat 47).

13. ALLAH SWT menceritakan berkenaan dengan segolongan umat ISLAM yang murtad, dan akan
digantikan oleh ALLAH SWT dengan kumpulan lain yang mempunyai 6 kriteria (Ayat 54).

14. ALLAH SWT mengarahkan NABI SAW menyampaikan ISLAM dan Baginda tidak boleh
menyembunyikannya (Ayat 67).

15. Ayat 72-81 adalah berkenaan celaan ALLAH SWT kepada Ahli Kitab terutamanya Nasrani. Contohnya
Bani Israil dicela oleh Nabi Isa A.S. dan Nabi Daud A.S. kerana mereka tidak mencegah perkara mungkar

yang berlaku dalam kalangan mereka.

*Sumber: Ust Abdullah Bukhari*
*TADABBUR RINGKAS JUZUK 7 (SURAH AL-MAIDAH 82-120 & SURAH AL-AN’AM 1-110)*

_15 Points_

1. Juzuk ini mengandungi bahagian hujung Surah Al-Maidah dan sebahagian besarnya adalah Surah Al-
An’am.

2. ALLAH SWT menceritakan tentang perbezaan Nasrani, Yahudi dan Musyrikin di awal Juzuk ini (Ayat
82-85) yang mana Yahudi dan Musyrikin sangat kuat permusuhannya dengan umat ISLAM manakala
Nasrani lebih erat hubungannya. Antara sebab turunnya ayat ini adalah ketika mana para pendeta dan
An-Najasyi mendengar ayat Quran yang dibacakan oleh Ja’far bin Abi Talib lalu mereka menangis terharu

kerana dapat merasakan kebenaran pada ayat Al-Quran.

3. Ayat 87-88 adalah teguran kepada umat ISLAM supaya tidak mengharamkan apa yang dihalalkan oleh
ALLAH SWT. Kisah di sebalik ayat ini adalah berkenaan 3 orang sahabat yang ingin melakukan sesuatu
yang di luar normal manusia iaitu tidak berkahwin, tidak tidur dan berpuasa tanpa berbuka.

4. Kaffarah (denda) bagi orang yang melanggar sumpah disebut di dalam ayat 89 manakala ayat 90-91
adalah merupakan fasa akhir yang mengharamkan arak dan judi secara mutlak. Disebut juga bahawa

syaitan sangat menyukai perkara yang ALLAH haramkan berdasarkan ayat ini.

5. Mukjizat Nabi Isa A.S. diceritakan di dalam ayat 110-120 surah Al-Maidah. Di sini juga terdapat kisah
golongan Hawariyyun meminta Nabi Isa A.S. berdoa agar diturunkan makanan daripada langit lalu doa

tersebut dimakbulkan.

6. Dinamakan Surah Al-An’am (Binatang Ternak) kerana di dalam surah ini diceritakan mengenai 4 jenis
binatang ternak dan zakat berkaitan dengannya. Dikatakan surah yang mempunyai 165 ayat ini
diturunkan sekaligus kepada NABI SAW di Mekah.

7. Ayat 19 menceritakan tentang persaksian yang paling besar iaitu persaksian ALLAH SWT terhadap
kebenaran RASULULLAH SAW manakala di dalam ayat 20 diceritakan bahawa ahli kitab mengenali

Baginda melalui kitab mereka melebihi mereka mengenali anak-anak mereka sendiri.

8. Ayat 27-30 adalah kisah Akhirat mengenai ahli Neraka yang meminta agar mereka dikembalikan ke
dunia dan sudah pasti ianya ditolak oleh ALLAH SWT kerana tempoh mereka telah pun tamat. Ini juga
boleh dijadikan dalil bahawa roh manusia tidak boleh kembali ke dunia pada bila-bila masa sekalipun

samada bulan Ramadhan, malam Jumaat dan sebagainya.

9. Apa yang menarik, ayat 38 berkaitan dengan ilmu zoologi (Alam Haiwan) di mana para haiwan turut
mempunyai kelompok-kelompok struktur sosial, kehidupan, bahasa dan budaya seperti manusia tetapi
dicipta bersesuaian dengan alam haiwan. Bahkan kesemua haiwan juga akan dibangkitkan di Mahsyar

nanti untuk mendapatkan keadilan, cumanya tiada pengakhiran samada di Syurga ataupun Neraka
kerana di akhirnya mereka akan menjadi tanah.

10. Di dalam surah ini juga dibincangkan berkenaan larangan meminggirkan orang miskin (Ayat 52-54).
Kisah di sebalik ayat ini adalah ketika mana musyrikin Mekah meletakkan syarat kepada RASULULLAH
SAW, untuk mereka beriman, Baginda mestilah meminggirkan para sahabat yang miskin kerana mereka

tidak tahan dengan situasi para sahabat yang miskin.

11. Ayat 59 menceritakan tentang ilmu pengetahuan ALLAH SWT yang sangat luar biasa. Hanya DIA yang
memegang kunci kepada 5 perkara ghaib yang disebut di akhir Surah Luqman. Betapa hebatnya ilmu
ALLAH SWT apabila diumpamakan tiada sehelai daun yang gugur di bumi melainkan kesemuanya di
dalam pengetahuan-NYA.

12. Larangan untuk bersama dengan mereka yang mempersendakan Al-Quran dibincangkan di dalam
ayat 68.

13. Kisah dakwah Nabi Ibrahim A.S. juga diceritakan di dalam surah ini (Ayat 74-87) seperti bagaimana
Baginda berdakwah kepada ayah sendiri dan kepada kaum Baginda yang menyembah bulan, bintang
dan matahari. Antara keistimewaan Nabi Ibrahim A.S. adalah mempunyai keturunan yang terdiri dari

para Anbiya’ (Ayat 84-87).

14. ALLAH SWT mencela orang-orang seperti Musailamah Al-Kazzab yang berdusta di atas nama ALLAH
dan NABI (Ayat 93). Ini termasuk mereka yang suka menyebarkan sesuatu di atas nama ALLAH dan
RASULNYA tanpa disemak kesahihannya terlebih dahulu.

15. ALLAH SWT juga melarang kita menimbulkan provokasi agama (Ayat 108) kerana mereka yang
diprovok akan bertindak balas dan mencela ALLAH SWT sedangkan mereka tidak mengenali siapakah

ALLAH SWT. Kita sebagai umat ISLAM perlulah berdakwah secara tenang dan ilmiah.

_*Sumber: Ust Abdullah Bukhari*
*TADABBUR RINGKAS JUZUK 8 (SURAH AL- AN’AM 111-165 & SURAH AL-A’RAF 1-87)*

_15 Points_

1. Di dalam ayat 112 Surah Al-An'am, ALLAH menceritakan tentang musuh para Nabi terdiri daripada
Syaitan Manusia & Jin. Mereka bersatu untuk menipu dengan cara halus iaitu membisikkan kata-kata

yang indah dengan tujuan menipu dan menghasut untuk melakukan perkara terlarang.

2. ALLAH SWT memberitahu bahawa memakan binatang sembelihan yang disembelih secara sah adalah
sebahagian daripada iman (Ayat 118-120).

3. Pada ayat 122, ALLAH SWT menceritakan berkenaan 2 keadaan manusia iaitu orang yang mati jiwanya
kemudian dihidupkan dengan ISLAM dan orang yang berkekalan dalam kesesatan. Para ulama’ tafsir
mengatakan bahawa ayat ini mengisahkan tentang Khalifah Umar Al-Khattab R.A. Di dalam ayat 125
pula ALLAH SWT menceritakan tentang 2 keadaan lain iaitu orang yang dilapangkan dada untuk
menerima ISLAM dan orang yang sempit dadanya serta menolak ISLAM. Menariknya, teori Altitude
bertepatan dengan ayat ini.

4. ALLAH SWT mengatakan bahawa manusia diutuskan Rasul dalam kalangan mereka untuk memberikan
peringatan. Sementelah itu, dalam kalangan jin terdapat pendakwah yang melakukan kerja amar makruf

nahi mungkar (Ayat 130). Perincian kisah ini boleh didapati di dalam Surah Al-Ahqaf dan Surah Al-Jin.

5. Ayat 138-140 menceritakan tentang amalan rekaan yang ditambah dan diada-adakan oleh masyarakat
Arab Jahiliah manakala ALLAH menceritakan tentang makanan yang haram dimakan oleh umat ISLAM
(Ayat 145) dan Ahli Kitab, khusus kepada orang Yahudi (Ayat 146).

6. ALLAH SWT menyatakan tentang 5 suruhan dan 5 larangan di dalam ayat 151-152 dan para ulama’
tafsir berpandangan inilah _Ten Commitments_ yang dinyatakan di dalam Kitab Taurat.

7. Ayat 160 memberitahu berkenaan satu kebajikan yang dibalas dengan 10 kali ganda pahala, manakala
pengisytiharan tauhid terdapat pada ayat 162-163. Inilah yang kita selalu baca di dalam Doa Iftitah pada

setiap rakaat pertama Solat Fardhu.

8. Al-A’raf bermaksud Tempat Yang Tertinggi yang mana ALLAH SWT meletakkan sementara orang
beriman yang mempunyai timbangan amal baik dan buruk yang sama berat. Kemudian takdir mereka

akan ditentukan oleh ALLAH selepas itu.

9. Kisah Nabi Adam A.S. ditipu oleh syaitan diceritakan di dalam permulaan surah ini (Ayat 11-25). ALLAH
SWT mengajar doa yang dibaca oleh Nabi Adam A.S. dan Hawwa’ setelah mereka melakukan kesilapan

(Ayat 23).

10. ALLAH SWT memuliakan kita dengan 3 bentuk pakaian yang mana kita perlulah memenuhi ketiga-
tiganya (Ayat 26). Pakaian pertama adalah pakaian yang menutup aurat. Kedua, adalah tidak salah
memakai pakaian yang cantik asalkan berpada-pada dan ketiganya adalah yang paling penting dan
paling baik, iaitu pakaian Taqwa (Akhlaq).

11. ALLAH SWT memberi peringatan agar kita tidak tertipu dengan hasutan syaitan dan iblis lagi dan DIA
memberitahu bahawa syaitan dan kaumnya boleh melihat manusia manakala manusia tidak boleh
melihat mereka (Ayat 27). Ini adalah dalil yang jelas bahawa manusia yang sihat tidak akan mampu
melihat jin dan syaitan dalam rupa yang zahir manakala jika ada seseorang mendakwa boleh melihat

makhluq ini, terdapat 3 andaian padanya; i) Dia mengalami gangguan jin, ii) Dia mengalami sakit yang
memerlukan rawatan dan, iii) Dia berbohong. Maka rujuklah pada Al-Quran dan Sunnah.

12. Ayat 31 adalah pesanan ALLAH SWT supaya kita tidak berlebihan dalam makanan dan minuman kita
manakala ayat 38-39 menceritakan tentang pergaduhan di dalam Neraka di antara para pengikut dan

ketua mereka.

13. ALLAH SWT memberikan perumpamaan kepada orang yang berdusta dan sombong dengan ayat-
ayat ALLAH yang mana pintu langit tidak akan dibuka untuk amal kebaikan mereka dan mereka tidak
akan dimasukkan ke dalam Syurga sehinggalah unta dapat memasuki jarum, yang mana ianya adalah

mustahil untuk berlaku (Ayat 40).

14. Ayat 43 menceritakan tentang dendam sesama ahli Syurga yang dicabut dan betapa bersyukurnya
mereka diberikan hidayah oleh ALLAH SWT manakala pada ayat 44-50 menceritakan berkenaan dialog di

antara ahli Syurga dan ahli Neraka. Ia juga menceritakan tentang dialog penghuni Al-A’raf yang dapat
melihat nikmat Syurga dan balasan neraka lalu timbul di hati mereka perasaan rindu untuk ke Syurga

dan takut dihumban ke Neraka.

15. Bermula ayat 59 sehingga ke akhir Juzuk, diceritakan berkenaan kisah-kisah Nabi A.S. bersama
dengan kaum mereka.

*Sumber: Ust Abdullah Bukhari*

TADABBUR RINGKAS JUZUK 9 (SURAH AL- A’RAF 88-206 & SURAH AL-ANFAL 1-40)
13 Points

1. Sebahagian besar Juzuk ini adalah Surah Al-A’raf manakala bahagian kedua adalah permulaan Surah
Al-Anfal (Harta Rampasan Perang).

2. Kisah para Nabi A.S. diceritakan di permulaan Juzuk ini (Ayat 88-169) dan sebahagian besarnya adalah
kisah Nabi Musa A.S. Apa yang menarik, ALLAH SWT mengatakan bahawa jika penduduk di sesuatu

negeri beriman dengan ALLAH SWT, nescaya akan dibuka pada negeri tersebut rezeki yang melimpah-
ruah dan keberkatan pada langit serta buminya (Ayat 96). Jadi bagi memastikan kita mempunyai
ekonomi yang kuat, pertamanya adalah menjaga hubungan dengan Sang Pencipta.

3. Pada ayat 138-145 diceritakan berkenaan kisah Bani Israil. Kisah ini berlaku selepas mereka selamat
menyeberangi lautan dan Firaun. Lalu mereka menemui satu kaum yang sedang menyembah berhala.
Jadi Bani Israil menampakkan kedegilan mereka apabila meminta Nabi Musa A.S. mencipta satu tuhan

seperti kaum tersebut. Ternyata permintaan ini telah menimbulkan kemarahan Baginda.

4. Nabi Musa A.S. dipanggil oleh ALLAH SWT untuk bermunajat dan mengambil Kitab Taurat (Ayat 142-
143). Pada mulanya Baginda berpuasa selama 30 malam, kemudian ditambah lagi 10 malam. Ketika
bermunajat dan berdialog dengan ALLAH SWT, Nabi Musa A.S. memohon untuk melihat ALLAH, lalu
ALLAH menjawab kamu tidak akan mampu melihat-KU ketika di dunia. ALLAH menunjukkan
kebesaranNYA pada gunung yang berdekatan dengan Bukit Tursina, tempat Baginda bermunajat, lalu

gunung tersebut hancur berkecai kerana gentarkan kekuasaan ALLAH SWT. Setelah itu, Nabi Musa A.S.
pengsan.

5. Sepeninggalan Nabi Musa A.S. untuk bermunajat, Bani Israil telah menyembah berhala, iaitu patung
anak lembu. Apabila Baginda mengetahui akan hal ini, lantas Baginda turun dengan perasaan yang
marah dan mengambil tindakan ke atas mereka. Perincian kisah ini akan diulas pada Juzuk 16 nanti.

6. Pada ayat 160, diceritakan bahawa Bani Israil berpecah kepada 12 kumpulan. Diceritakan juga kisah
berkenaan penduduk di sebuah perkampungan nelayan yang melanggar arahan ALLAH untuk beribadat

pada hari Sabtu (Ayat 163-166). Lalu mereka disumpah bertukar menjadi kera.

7. Ayat 172 Surah Al-A’raf adalah merupakan perjanjian awal kita dengan ALLAH SWT yang mana
kesemua anak Adam A.S. pernah dikumpulkan di Alam Roh dan bersaksi bahawa ALLAH adalah satu-
satunya TUHAN. Ayat ini selari dengan Hadis NABI SAW yang mengatakan setiap anak yang dilahirkan

adalah dalam keadaan fitrah (ISLAM).

8. ALLAH SWT menyuruh kita berdoa dengan nama-namaNYA (Ayat 180). Kita boleh bertawasul dan
menggunakan nama ALLAH sebagai perantaraan untuk memohon hajat pada-NYA manakala ALLAH SWT
menyuruh NABI SAW bertegas mengatakan bahawa Baginda tidak mengetahui apa pun berkaitan Alam
Ghaib (Ayat 188). Hanya ALLAH SWT yang tahu berkenaan Alam Ghaib dan DIA akan mendedahkannya
hanya kepada Malaikat dan para Nabi untuk tujuan tertentu melalui wahyu. Justeru itu, tiada manusia

yang boleh mengetahuinya.

9. Ayat 204 menceritakan tentang adab kita dengan Al-Quran. Apabila mendengar Al-Quran dibacakan,
kita diajar supaya dengar dengan penuh perhatian dan senyap. Kesilapan yang sering berlaku dalam
masyarakat adalah bilamana Al-Quran di pasang di restoran dan premis perniagaan untuk tujuan
tarikan. Ini bercanggah dengan Adab dengan Al-Quran yang diajar di dalam ayat ini.

10. Keseluruhan Surah Al-Anfal di dalam Juzuk ini menceritakan tentang Perang Badar. Menariknya,
ALALH SWT seolah-olah ‘memakbulkan’ doa Abu Jahal (Ayat 19). Sebelumkeluar berperang, beliau
berdoa di hadapan Kaabah supaya ALLAH memenangkan pihak yang benar. Ternyata, RASULULLAH SAW

dan tentera ISLAM yang mencapai kemenangan.

11. Ayat 24 adalah berkaitan panggilan untuk orang beriman untuk menyahut seruan ALLAH dan Rasul-
NYA, bilamana keduanya memanggil ke arah sesuatu yang menghidupkan. Ayat ini menjadi moto utama

kepada penulisan kitab Tafsir Al_Munir karangan Profesor Wahbah Zuhaili.

12. Tambahan kepada ayat ini, ALLAH SWT yang membatasi dan merupakan pemilik hati manusia
biarpun ianya berada di dalam tubuh badan manusia.

13. Ayat 32-33 menceritakan kebiadaban musyrikin Mekah yang mendoakan supaya RASULULLAH SAW
ditimpakan bala jika Baginda membawa kebenaran. Lantas ALLAH SWT menjawab, bala tidak akan
diturunkan di sesuatu tempat jika padanya terdapat salah satu dari 2 perkara; i) Padanya ada
RASULULLAH SAW, ii) Terdapat orang yang sentiasa beristighfar memohon keampunan ALLAH.

Sumber: Ust Abdullah Bukhari
Diolah: Asyraf Salleh

TADABBUR RINGKAS JUZUK 10 (SURAH AL- ANFAL 41-75 & SURAH AT-TAUBAH 1-93)
15 Points

1. Juzuk ini mengandungi bahagian akhir Surah Al-Anfal dan sebahagian besarnya adalah Surah At-
Taubah.

2. Ayat 41 adalah kisah mengenai ghanimah dan khumus. Khumus adalah 1/5 harta rampasan perang
yang dikhususkan untuk RASULULLAH SAW. Di dalam ayat ini juga terdapat kisah Al-Quran diturunkan

ketika berlakunya Perang Badar, iaitu bersamaan 17 Ramadhan. Walaupun begitu, terdapat juga
beberapa pandangan lain berkaitan hal ini. Pada ayat 42-43 pula diceritakan berkenaan mimpi

RASULULLAH SAW pada malam sebelum berlakunya Perang Badar.

3. Ayat 47-48 adalah berkenaan hasutan iblis kepada orang Mekah. Iblis menjelma dalam bentuk
seorang lelaki bernama Suraqah bin Malik, yang turut bersama membakar semangat musyrikin Mekah
untuk melawan Baginda SAW. Namun, ketika Perang Badar berlaku, iblis melarikan diri. Ramai ulama’
menjadikan ayat ini sebagai dalil bahawa jin, syaitan dan ibis boleh menjelma di dalam bentuk manusia

jika diizinkan ALLAH SWT.

4. ALLAH SWT menyuruh kita supaya sentiasa mempunyai persiapan ketenteraan yang baik dan
mengikut kemampuan kita (Ayat 60). Ayat ini sangat relevan dengan kekuatan ketenteraan dari dulu

sehingga sekarang.

5. ALLAH SWT menegur RASULULLAH SAW disebabkan Baginda SAW bersikap lemah lembut terhadap
musuh dan menerima cadangan Abu Bakar As-Siddiq R.A. supaya tawanan Perang Badar diambil sebagai
tebusan, sedangkan Umar Al-Khattab mencadangkan supaya kesemua tawanan tersebut dibunuh (Ayat

67-69).

6. Dinamakan sebagai Surah At-Taubah kerana ALLAH SWT menerima taubat sekumpulan sahabat NABI
SAW yang tidak menghadirkan diri di dalam Perang Tabuk. Terdapat 2 isu besar yang dibincangkan di
dalam surah ini iaitu, i) pekung orang munafiq yang dibuka oleh ALLAH SWT satu persatu dan, ii) kisah
berkenaan Perang Tabuk yang berlaku pada 9 Hijri.

7. Perang Tabuk berlaku ketika mana NABI SAW mengerahkan umat ISLAM sekitar Madinah untuk pergi
ke sempadan Tabuk kerana Baginda SAW mendapat berita bahawa Tentera Rom ingin menyerang Kota
Madinah. Peperangan ini sangat mencabar kerana ia berlaku pada musim panas dan ramai orang ISLAM

yang berkemampuan cuba memberi alasan untuk tidak hadir, terutamanya golongan munafiq.

8. Sekembalinya RASULULLAH SAW dari Tabuk, Baginda SAW berhasrat untuk menunaikan Haji tetapi
terhalang. Tujuannya adalah kerana masih ramai masyarakat Arab Jahiliah menunaikan Haji selepas
Pembukaan Kota Mekah pada tahun ke-8 Hijri. Lalu Baginda SAW menghantar satu rombongan Haji
diketuai oleh Abu Bakar As-Siddiq untuk membacakan Surah At-Taubah kepada orang Arab Jahiliah dan

melarang mereka yang masih belum memeluk ISLAM untuk memasuki Masjidil Haram.

9. Haji Akbar (Besar) diceritakan di dalam ayat ke-3. Terdapat banyak pandangan berkenaan hal ini.
Pendapat yang paling tepat adalah Haji Akbar adalah Haji manakala Haji Asghar (Kecil) adalah Umrah.
Ada juga pendapat yang mengatakan dinamakan Haji Akbar kerana rombongan Haji yang dihantar oleh
NABI SAW dipimpin oleh sahabat yang agung. Adapun pandangan bahawa Haji Akbar adalah Haji yang

Hari Wuqufnya jatuh pada Hari Jumaat adalah pandangan yang paling lemah.

10. Ayat 18 menceritakan tentang orang beriman adalah orang selayaknya mengimarahkan masjid
manakala ayat 23-24 ALLAH SWT melarang kita mengambil saudara-mara yang jelas menentang ISLAM
sebagai teman dan sekutu. Di dalam ayat 25-26 pula adalah berkenaan kisah Perang Hunain di mana

umat ISLAM terpedaya dengan jumlah mereka yang besar, lalu mereka telah diserang hendap.

11. Menariknya, kisah Hijrah RASULULLAH SAW ketika bersembunyi di Gua Tsur diceritakan di dalam
ayat 40 surah ini. Di dalam ayat ini lah terdapatnya kata-kata yang hebat, “Janganlah kamu bersedih,

sesungguhnya ALLAH bersama kita”.

12. Kisah orang munafiq yang berdolak dalih dan mearasa berat hati untuk bersama NABI SAW
menyertai Perang Tabuk diceritakan di dalam ayat 46-47 manakala ayat 60 menyebut secara khusus
berkenaan 8 golongan asnaf yang layak menerima zakat, dan ianya adalah ketetapan yang ditentukan

oleh ALLAH SWT.

13. Ayat 75-77 adalah berkenaan orang munafiq yang mungkir janji seperti berjanji akan bersedekah jika
diberikan harta yang banyak. Malangnya, dalam kebanyakan tafsir dimasukkan kisah Sa’labah yang
dikatakan menjadi Munafiq selepas diberikan kekayaan. Kisah ini adalah kisah yang tidak benar sama
sekali. Ianya sangat bercanggah dengan fakta sejarah kerana Sa’labah telah syahid di medan Uhud
manakala di dalam kisah tidak sahih tersebut adalah sehingga zaman Khalifah Uthman bin ‘Affan.

14. Ayat 80-93 surah ini menceritakan berkenaan orang munafiq, seperti; i) hasutan mereka terhadap
umat ISLAM supaya tidak keluar ke Perang Badar (Ayat 81) dan, ii) kisah kematian Ketua Munafiq iaitu
Abdullah bin Ubay. ALLAH SWT melarang Baginda SAW menunaikan Solat Jenazah di atas kematiannya
(Ayat 84). ALLAH SWT juga memberi peringatan kepada kita semua agar memperbanyakkan menangis

dan mengurangkan ketawa kerana banyak ketawa boleh mematikan hati (Ayat 82).

15. ALLAH SWT menceritakan tentang kualiti para sahabat (Ayat 91-92) yang mana mereka tidak dapat
menyertai RASULULLAH SAW di dalam Perang Tabuk kerana kemiskinan mereka, lalu mereka menangis

teresak-esak. Mereka (dikatakan 7 orang) digelar sebagai Al-Bakka’ kerana menangis tidak dapat
menyumbang untuk ISLAM. Namun mereka dipuji oleh ALLAH SWT di dalam ayat ini.

Sumber: Ust Abdullah Bukhari
Diolah: Asyraf Salleh

TADABBUR RINGKAS JUZUK 11 (SURAH AT- TAUBAH 94-129, SURAH YUNUS 1-109 & SURAH HUD 1-5)
10 Points

1. Juzuk ini mengandungi bahagian akhir Surah At-Taubah, keseluruhan Surah Yunus dan awal Surah
Hud.

2. Ayat 107-110 adalah berkaitan peristiwa Masjid Dhirar yang mana ianya dibina oleh orang munafiq
untuk tujuan memecah-belahkan umat ISLAM. Mereka meminta NABI SAW solat di sana sebagai

upacara perasmian, lalu ALLAH memberitahu Baginda SAW bahawa masjid itu asasnya adalah munafiq.
Kemudian NABI SAW mengarahkan para sahabat untuk membakar masjid tersebut.

3. ALLAH SWT melarang orang beriman untuk mendoakan pengampunan bagi mereka yang telah mati
dalam keadaan kafir (Ayat 113-114). Dikatakan ayat 113 diturunkan untuk menegur NABI SAW yang

mendoakan ayah saudara Baginda SAW, Abu Talib yang mati dalam keadaan kafir.

4. Di akhir surah ini disebut mengenai kisah penerimaan taubat segolongan sahabat NABI SAW yang
gagal menyertai Perang Tabuk. Peperangan ini sangat menguji minda dan fizikal yang mana Baginda
SAW telah mengerahkan para sahabat dan penduduk Madinah untuk keluar berjalan kaki sejauh 960 km

ke sempadan Tabuk untuk menghalang kemaraan tentera Rom.

5. Di dalam kesibukan ini, terdapat sekumpulan sahabat yang terlepas dari menyertai peperangan
walaupun mereka berkemampuan. Lalu mereka bertaubat dan ALLAH SWT menerima taubat mereka

(Ayat 117-118).

6. Dinamakan Surah Yunus kerana di akhir surah ini diceritakan berkenaan kisah Nabi Yunus A.S. Ayat
57-58 menerangkan tentang intipati utama penurunan Al-Quran. ALLAH menggunakan frasa wahai
manusia di awal ayat ini bagi merujuk kepada keseluruhan manusia tanpa mengira agama. Tiga tujuan
Al-Quran diturunkan adalah sebagai peringatan dari Tuhan, ubat kepada hati dan menjadi petunjuk

serta rahmat bagi orang beriman.

7. Ayat 62-63 menceritakan tentang wali ALLAH SWT. Berdasarkan ayat ini, sesiapa sahaja boleh menjadi
Wali ALLAH, asalkan memenuhi 2 karakter, iaitu i) orang yang beriman dan, ii) sentiasa bertaqwa.
Janganlah kita menyempitkan makna wali itu hanya kepada orang yang diberikan karamah dan
kelebihan luar biasa oleh ALLAH SWT.

8. ALLAH SWT merakamkan doa Nabi Musa A.S. agar dihancurkan firaun dan sekutunya (Ayat 88). Doa
tersebut dimakbulkan ALLAH SWT (Ayat 90).

9. Diceritakan di dalam ayat ini (Ayat 90) bagaimana Firaun telah bertaubat sebanyak 3 kali apabila
ditimpakan azab kepadanya (ditenggelamkan air di tengah lautan), namun ALLAH SWT tidak menerima
taubat tersebut kerana ketika itu Firaun baru hendak bertaubat sedangkan sebelumnya dia adalah orang

yang membuat kerosakan (Ayat 91).

10. Di dalam ayat 92 pula ALLAH SWT menceritakan bagaimana jasad Firaun diselamatkan-NYA sebagai
pengajaran kepada kita semua. Sehingga ke hari ni jasad tersebut masih disimpan di sebuah muzium di

Mesir. Allahu a’lam.

Sumber: Ust Abdullah Bukhari
Diolah: Asyraf Salleh

TADABBUR RINGKAS JUZUK 12 (SURAH HUD 6-123 & SURAH YUSUF 1-52)
15 Points

1. Juzuk ini mengandungi keseluruhan Surah Hud dan bahagian awal Surah Yusuf. Dinamakan sebagai
Surah Hud kerana di dalamnya terdapat banyak kisah para Nabi A.S. termasuk kisah Nabi Hud A.S.

2. Pada ayat 13, ALLAH SWT mencabar para penentang RASULULLAH SAW untuk mencipta 10 surah
yang setaraf dengan surah di dalam AL-Quran. Pada mulanya ALLAH SWT mencabar mereka mencipta

satu Al-Quran (Ayat 88 Surah Al-Isra’) dan mereka gagal.

3. Lalu ALLAH menurunkan tahap cabaran menjadi 10 surah seperti di dalam ayat ini, tetapi mereka
tetap gagal. Kemudian ALLAH menurunkan cabaran agar mereka mencipta hanya satu surah (Surah Al-
Baqarah & Yunus), tetapi mereka masih gagal. Ini adalah bukti bahawa Al-Quran benar-benar datang

dari ALLAH SWT, bukan rekaan NABI SAW.

4. Kisah Nabi Nuh A.S. dirakam di dalam surah ini (Ayat 25-49). Nabi Nuh A.S. menyatakan bahawa
Baginda tidak memiliki kekayaan ALLAH SWT dan tidak mengetahui perkara ghaib (Ayat 31). Ini adalah

petunjuk mudah bagi kita, para Nabi pun tidak mengetahui kisah ghaib, apatah lagi kita. Manakala ayat
41-43 mengisahkan bagaimana Nabi Nuh A.S. mula naik ke atas bahtera dan anak Baginda enggan
mengikutinya, lalu mati lemas.

5. Ayat 50-60 adalah berkenaan Kisah Nabi Hud A.S. Diceritakan juga berkenaan kepentingan istighfar
dan taubat di mana ianya boleh membuka pintu langit, hujan dan memurahkan rezeki (Ayat 52).

6. Kisah Nabi Soleh A.S. diceritakan di dalam ayat 61-68 manakala ayat 69-76 adalah kisah Nabi Ibrahim
A.S. yang didatangi sekumpulan malaikat yang membawa 2 berita gembira iaitu; i) Nabi Ibrahim A.S.
akan dikurniakan anak bernama Ishak, ii) Malaikat akan berjumpa dengan Nabi Lut A.S. dan

mengarahkan Baginda A.S. untuk keluar dari Negeri Sadom kerana penduduk di situ akan dimusnahkan
ALLAH SWT kerana mengamalkan seks songsang.

7. Ayat 84-95 menceritakan kisah Nabi Syuaib A.S. dan kaumnya yang suka menipu di dalam urusan
perniagaan manakala kisah Nabi Musa A.S. dan firaun diceritakan pada ayat 96-99.

8. Penurunan ayat 112 Surah Hud telah menyebabkan RASULULLAH SAW beruban rambutnya kerana
beratnya suruhan ALLAH SWT pada ayat tersebut iaitu untuk terus ISTIQAMAH di dalam suruhan ALLAH

SWT dan tidak melampau.

9. Ayat 118-119 menceritakan bagaimana manusia dicipta mempunyai perbezaan pendapat. Ayat inilah
menjadi asas di dalam perbincangan perbezaan mazhab. Ianya adalah fitrah manusia.

10. Surah Yusuf secara ringkasnya menceritakan bagaimana Nabi Yusuf A.S. diuji dengan hasad dengki
10 saudara Baginda, kemudian dibuang di dalam perigi dan dijual di Mesir. Baginda A.S. juga digoda oleh

isteri Al-Aziz (Pembesar) yang akhirnya menyebabkan Baginda dimasukkan ke dalam penjara.

11. Pengajaran pertama dari kisah Nabi Yusuf A.S. yang digoda oleh isteri Al-Aziz, Baginda diberi 2 pilihan
samada dimasukkan ke dalam penjara atau melakukan perkara tak baik bersama perempuan tersebut.

Sudah tentu Baginda memilih untuk dimasukkan ke dalam penjara.

12. Ayat ini difahami oleh para ulama’, bahawa musibah terdiri daripada 2 jenis, i) Musibah dunia
(mendapat kesusahan seperti dipenjarakan), ii) Musibah agama (agama kita rosak kerana melanggar

perintah ALLAH SWT). Di dalam kisah ini, Nabi Yusuf A.S. memilih untuk menjaga agamanya walaupun
ditimpa musibah dunia.

13. Pengajaran kedua adalah kisah Nabi Yusuf A.S. bersama dua orang teman sepenjara yang mana
Baginda menafsirkan mimpi salah seorang dari keduanya akan dibebaskan. Nabi Yusuf A.S. meminta

agar beliau menceritakan kisah Baginda yang dianiaya kepada Raja supaya Baginda dibebaskan.

14. Setelah dibebaskan, kawan tersebut dilupakan ALLAH untuk menceritakan perihal tersebut, lalu
Baginda kekal berada di penjara selama beberapa tahun. Ulama’ menafsirkan bahawa ALLAH SWT
menegur Baginda kerana bergantung kepada pertolongan manusia kerana sebelum ini ALLAH SWT yang

menyelematkan Baginda dari bahaya perigi dan terjebak dengan zina dsb.

15. Pengajaran terakhir adalah berkaitan kisah tafsiran mimpi Raja oleh Nabi Yusuf A.S. untuk bercucuk
tanam selama 7 tahun dan tidak diasingkan hasil tanaman dari tangkainya untuk digunakan pada 7
tahun berikutnya. Ini adalah berkaitan dengan kitaran ekonomi yang mempunyai pasang surutnya.

TADABBUR RINGKAS JUZUK 13 (SURAH YUSUF 53-111, SURAH AR-RA’D 1-43 & SURAH IBRAHIM 1-52)
14 Points

1. Juzuk ini mengandungi tiga surah iaitu bahagian akhir Surah Yusuf, Surah Ar-Ra’d (Guruh) dan Surah
Ibrahim.

2. Juzuk 13 Surah Yusuf adalah Fasa Bahagia Nabi Yusuf A.S. yang mana Baginda dikeluarkan dari penjara
dan menjadi Menteri Kewangan Mesir. ALLAH SWT mengajar kita doa yang baik untuk diamalkan (Ayat
64). Ketika kemarau berlaku, Nabi Yusuf A.S. didatangi oleh 10 saudara Baginda yang pernah membuang

Baginda ke dalam perigi. Nabi Yusuf A.S. mengatur strategi dengan meletakkan syarat bahawa
kedatangan mereka kali kedua mestilah dengan membawa bersama adik mereka iaitu Bunyamin.
Apabila disampaikan perkara ini kepada ayah mereka iaitu Nabi Yaakub A.S., Baginda terus teringat akan
nasib anaknya Nabi Yusuf, lalu Baginda menyerahkan segalanya kepada ALLAH. Bahagian akhir ayat ini
boleh dijadikan doa, “Maka ALLAH adalah sebaik-baik penjaga, dan DIA lah yang Pengasih antara yang

pengasih”.

3. Sebelum mereka bertolak untuk bertemu dengan Menteri Kewangan Mesir dan membawa bersama
Bunyamin, Nabi Yaakub A.S. meminta mereka bersumpah dan memberi pesanan supaya mereka tidak

memasuki Mesir melalui satu pintu, bahkan masuklah melalui beberapa pintu (Ayat 67). Sesetengah
ulama’ menafsirkan perkara ini agar anak-anak Baginda tidak terkena penyakit ‘ain (panahan mata yang
jahat yang boleh menyebabkan sakit). Ini kerana kesemua saudara Nabi Yusuf memiliki rupa paras yang

menarik dan sedikit berlainan dengan wajah orang Mesir.

4. Ayat 88-89 menceritakan tentang perjumpaan kali ketiga saudara-saudara Nabi Yusuf A.S. dan rayuan
mereka agar menyerahkan Bunyamin yang diarahkan untuk ditinggal ketika perjumpaan kedua, lalu
pada ketika inilah Baginda mendedahkan identiti Baginda iaitu adik kepada mereka semua. Mereka
terkejut lantas memohon kemaafan berkaitan perbuatan mereka suatu ketika dahulu.

5. Di dalam ayat 92 pula menunjukkan bagaimana Nabi Yusuf A.S. mengajar kita agar memberi kemaafan
walaupun ketika mampu membalasnya. Baginda A.S. memaafkan mereka semua di atas apa yang telah

mereka lakukan. Ayat ini juga dibacakan oleh RASULULLAH SAW kepada penduduk Mekah ketika
Pembukaan Kota Mekah. NABI SAW mencontohi akhlaq mulia Nabi Yusuf A.S.

6. Apabila pulang ke rumah, saudara-saudara Nabi Yusuf A.S. menceritakan kisah yang berlaku kepada
ayahanda mereka dan memohon kemaafan di atas kesalahan mereka pada suatu ketika dahulu (Ayat
97). Mereka juga meminta Nabi Yaakub A.S. memohon agar ALLAH SWT mengampunkan dosa mereka.
Baginda menangguhkan doa tersebut sehingga pada waktu sahur (Ayat 98). Ini antara dalil bahawa

waktu Sahur adalah waktu ketuhanan di mana banyaknya rahmat ALLAH pada masa ini.

7. Ayat 11 Surah Ar-Ra’d menceritakan tentang Malaikat yang menjaga manusia di depan dan belakang.
Pada manusia itu terdapat 4 malaikat iaitu kanan dan kiri sebagai pencatat amalan manakala yang
menjaga manusia secara berganti-ganti berada di depan dan belakang. Malaikat yang berganti ini
bertukar waktu ketika 2 waktu solat iaitu Solat Subuh dan Asar.

8. Pada ayat 11 ini juga terdapat ayat yang sentiasa dibaca ketika program motivasi agar peserta
program tersebut mengubah keadaan diri mereka ke arah yang lebih baik. Ini adalah tafsiran yang tidak

tepat untuk ayat ini. Tafsiran sebenarnya adalah ALLAH SWT tidak akan mengubah kejayaan,
kecemerlangan dan kehebatan sesuatu kaum yang berpegang teguh dengan ISLAM, sehinggalah mereka
memilih ideologi selain ISLAM, lalu mereka jatuh merudum selepas meninggalkan ISLAM. Ini bermakna

ayat ini menceritakan perubahan dari yang baik kepada yang buruk.

9. Contoh mudah ayat 11 ini adalah kisah Perang Uhud di mana ketika para pemanah mendengar arahan
NABI SAW agar terus berada di atas bukit, mereka mencapai kemenangan. Lalu ketika mana harta

ghanimah menjadi tumpuan mereka dan mengingkari arahan NABI SAW, mereka tewas di dalam perang
tersebut.

10. Di dalam surah Ibrahim, ALLAH SWT menggambarkan situasi di Akhirat. Ayat 21 surah ini
menceritakan tentang para pengikut yang memarahi pemimpin mereka kerana diazab di dalam Neraka.

Lalu para pemimpin itu menempelak kembali pengikut mereka dengan berkata, kenapa dahulunya
kalian mengikut kami?

11. Kemudian para pengikut ini berjumpa dan menyalahkan syaitan yang menyebabkan mereka
dimasukkan ke Neraka (Ayat 22). Lalu syaitan membalas, ALLAH dahulu telah menjanjikan kamu dengan
janji yang benar. Aku juga berjanji tetapi aku tidak akan tunaikan janjiku. Aku juga tidak berkuasa ke atas
kalian melainkan aku hanya mengajak kalian dengan seruanku, lantas kalian mengikutiku. Jadi, jangan

salahkan aku tetapi salahkan dirimu sendiri.

12. Berdasarkan ayat 22 ini, sebenarnya tipu daya hasutan syaitan adalah lemah. Jika kita tidak melawan
hasutan tersebut, maka kita akan terjerumus ke dalamnya. Ayat ini juga ditafsirkan oleh ulama’ bahawa

jin dan syaitan sebenarnya tidak boleh merasuk tubuh dan akal manusia. Mereka sekadar boleh
membisikkan hasutan-hasutan jahat. Namun terdapat juga pendapat lain berkenaan hal ini.

13. Ayat 35-41 menceritakan kisah Nabi Ibrahim A.S. selepas pembinaan Kaabah. Baginda berdoa
dengan beberapa doa. Antara mukjizat yang kekal sehingga hari ini adalah doa pada ayat 37. Doa ini
dibacakan ketika Baginda diarahkan ALLAH SWT meninggalkan Hajar dan Nabi Ismail A.S. yang masih
kecil di Mekah. Di dalam doa ini terdapat ayat “Jadikanlah hati SEBAHAGIAN manusia cenderung ke

Mekah”. Ibnu Abbas menafsirkan ‘sebahagian’ di sini bermaksud orang ISLAM.

14. Jika tiada perkataan ini di dalam doa Baginda A.S., nescaya Mekah & Kaabah akan menjadi rebutan
kesemua manusia. Dan kerana itulah umat ISLAM yang telah pergi ke Mekah akan berasa untuk ke sana
lagi dek kerana makbulnya doa Nabi Ibrahim A.S. yang menjadikan hati orang ISLAM cenderung ke arah

sana. Allahu a’lam
TADABBUR RINGKAS JUZUK 14 (SURAH AL-HIJR 1-99 & SURAH AN-NAHL 1-128)

12 Points

1. Juzuk ini mengandungi dua surah secara keseluruhan iaitu Surah Al-Hijr (Kawasan Berbatu tempat
tinggal Nabi Soleh A.S. di utara Madinah) dan Surah An-Nahl (Lebah).

2. Ayat 9 Surah Al-Hijr adalah merupakan jaminan ALLAH SWT untuk menjaga Al-Quran. Ini merupakan
bukti mukjizat dan kehebatan Al-Quran yang masih mengekalkan keasliannya walaupun sudah 1400
tahun diturunkan. Hujung ayat ini merujuk kepada para penghafaz Al-Quran serta para ulama’ yang
berterusan mengkaji Al-Quran yang mana ianya adalah salah satu cara ALLAH SWT menjaganya.

3. Kedegilan kaum musyrikin Quraisy untuk menerima ISLAM diceritakan di dalam ayat 14, yang mana
jika dibuka pintu langit untuk ditunjukkan kebenaran sekalipun, mereka tetap akan ingkar kepada seruan

NABI SAW. Prof. Wahbah Zuhaili mengatakan kemungkinan teori black hole ada kaitan dengan ayat ini
bilamana ALLAH menyebut berkenaan Pintu Langit. Allahu a’lam.

4. ALLAH menceritakan pelbagai nikmat yang diberikan, antaranya tentang fungsi angin pada ayat 22
yang mana disebut bahawa angin itu sebagai ejen pembawa hujan, debunga awan dan sebagainya.

5. Ayat 26-42 adalah kisah berkenaan permusuhan Iblis dengan Nabi Adam A.S., sama seperti kisah di
dalam Surah Al-Baqarah. Pada ayat 51-75 pula adalah kisah berkenaan Malaikat yang datang sebagai
tetamu Nabi Ibrahim A.S. yang membawa 2 misi, i) Nabi Ibrahim A.S. akan mendapat anak bernama
Ishak, ii) Mengarahkan Nabi Lut A.S. meninggalkan negeri Baginda kerana ianya akan dimusnahkan

akibat maksiat yang dilakukan oleh kaum Baginda.

6. ALLAH SWT menyebut perihal firasat di dalam ayat 75. Ini bermakna ilmu firasat ada disebut di dalam
Al-Quran dan kisah firasat yang benar ada diceritakan di dalam Surah Al-Qasas (Juzuk 20). Selain itu,

Surah Al-Hijr juga ada menceritakan tentang Surah Al-Fatihah (Ayat 87) manakala ALLAH SWT mengajar
NABI SAW untuk menunaikan solat bagi mengatasi keresahan jiwa apabila berhadapan dengan kaum
musyrikin (Ayat 97-99). Perkataan ‘Al-Yaqin’ pada ayat 99 adalah kematian, bukan ‘keyakinan’ seperti
yang difahami oleh sesetengah orang.

7. Surah An-Nahl ada menceritakan berkenaan ilham secara fitrah diberikan kepada lebah dalam
mencari makanan. Surah ini juga digelar sebagai Surah An-Ni’am (Nikmat yang banyak) kerana di
dalamnya banyak diceritakan tentang nikmat-nikmat NYA yang dianggap kecil, tetapi disebut secara

terperinci.

8. Ayat 43 menceritakan tentang lantikan sebagai utusan ALLAH SWT kepada laki-laki yang diberikan
wahyu. Bahagian kedua ayat ini mengatakan bahawa ‘Tanyalah orang yang berpengetahuan jika kamu
tidak mengetahui’. Orang yang berpengetahuan dalam konteks ayat ini merujuk kepada ahli kitab yahudi
dan nasrani di Madinah. Ini kerana pertikaian yang sering ditimbulkan oleh musyrikin Mekah adalah

NABI SAW itu manusia biasa, bukan malaikat. Sedangkan di dalam kitab para ahli kitab tersebut
dinyatakan kesemua Rasul yang diutuskan sebelum ini adalah dari kalangan manusia.

9. Faedah asas berkaitan Hukum Istihalah boleh didapati melalui ayat 66. Istihalah ialah perubahan sifat
pada sesuatu perkara yang boleh membawa kepada perubahan hukum. Ayat 68-69 pula menceritakan
tentang bagaimana ALLAH SWT memberi ilham kepada lebah untuk mengumpul madu. Tambahan pula,

disebut di dalam ayat ini, madu tersebut menjadi ubat kepada manusia.

10. Ayat yang paling lengkap menceritakan tentang suruhan dan larangan ALLAH SWT di dalam Al-Quran
berada pada ayat 90. Dikatakan juga ayat ini menceritakan secara lengkap isi tentang ISLAM manakala

ALLAH SWT mengajar kita agar sentiasa mematuhi janji di dalam ayat 91-92.

11. Suruhan agar memulakan bacaan Al-Quran dengan Lafaz Isti’azah disebut di dalam ayat 98 manakala
ayat 106 menceritakan kepentingan menjaga nyawa apabila berada di dalam keadaan terpaksa. Kisah di

sebalik ayat 106 ini adalah berkenaan Ammar bin Yasir yang dibunuh seluruh keluarganya dan beliau
diseksa serta dipaksa untuk murtad. Lalu Ammar mengisytiharkannya. Kemudian beliau berjumpa NABI
SAW dalam keadaan menangis dan Baginda SAW mengatakan bahawa menjaga nyawa pada ketika itu

lebih utama.

12. Ayat 125 menceritakan tentang kepentingan berdakwah yang diajar melalui 3 kaedah; i) Dengan
bijaksana, ii) Peringatan yang baik, iii) jika perlu berdebat, berdebat dengan cara yang terbaik (menjaga

akhlaq, tidak beremosi dan tidak menyerang peribadi pihak lawan). ALLAH SWT mengingatkan pada
bahagian akhir ayat tersebut bahawa hanya DIA yang mengetahui siapakah yang sesat dan mendapat

petunjuk. Allahu a’lam.

TADABBUR RINGKAS JUZUK 15 (SURAH AL-ISRA’ 1-111 & SURAH AL-KAHFI 1-74)

12 Points

1. Juzuk ini mengandungi dua surah iaitu Surah Al-Isra’ dan Surah Al-Kahfi. Kedua-dua surah ini saling
berkait antara satu sama lain. Musyrikin Mekah berjumpa dengan Yahudi Madinah untuk memberitahu

tentang NABI SAW dan bertanyakan padanya tentang soalan yang tidak akan diketahui jawapannya oleh
Baginda SAW.

2. Yahudi tersebut memberitahu tiga soalan; i) Pertanyaan tentang roh, ii) Siapakah lelaki penakluk
dunia, iii) Kisah pemuda yang tidur lama di dalam gua. Apabila ditanyakan hal ini kepada NABI SAW,
Baginda memberitahu akan menjawabnya pada keesokan hari tanpa mengucapkan ‘InsyaALLAH’.
Kemudian wahyu terputus selama beberapa hari dan ALLAH SWT akhirnya memberi jawapan kepada

Baginda SAW berkenaan tiga soalan tersebut.

3. Ayat pertama Surah Al-Isra’ adalah berkenaan kisah perjalanan malam Baginda SAW (Isra’) dari
Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa di Palestin manakala ayat 13-15 menceritakan peristiwa Akhirat yang

mana akaun amalan kita semua akan diaudit dan kita sendiri yang akan membacanya. Ayat 15
menerangkan secara jelas tiada orang yang akan menanggung dosa orang lain seperti suami tidak

menanggung dosa isteri dan sebagainya.

4. Ayat 23-37 adalah merupakan beberapa contoh akhlaq mulia dan suruhan serta larangan yang
diberikan oleh ALLAH SWT secara jelas seperti doa yang terbaik untuk ibu bapa (Ayat 24). Di dalam ayat
44 pula mengatakan bahawa semua makhluk di alam ini bertasbih memuji ALLAH SWT mengikut bahasa

masing-masing.

5. Ayat 53 penting untuk kita fahami bagi menjaga hubungan sesama manusia. Antaranya bercakap
dengan kata-kata yang terbaik samada pada lidah yang bercakap ataupun tangan yang menulis. Sekali
lagi diceritakan berkenaan peristiwa pertama permusuhan di antara Nabi Adam A.S. dan iblis (Ayat 60-
65) manakala beberapa arahan ALLAH SWT kepada NABI SAW diceritakan di dalam ayat 78-84 seperti
suruhan solat dan sebagainya. Solat Subuh yang disebut di dalam ayat 78 adalah sangat istimewa kerana

ia disaksikan oleh para malaikat.

6. Al-Quran diturunkan sebagai ubat dan penyembuh kepada orang beriman (Ayat 82). Penyakit yang
dirujuk di dalam ayat ini adalah penyakit batin yang ada di dalam hati dan jiwa manusia.

7. Ayat 85 adalah jawapan kepada soalan pertama musyrikin Mekah. Roh adalah urusan ALLAH SWT dan
kita tidak boleh mengatakan selain apa yang disampaikan oleh ALLAH SWT. Roh yang sudah memasuki

Alam Barzakh tidak akan kembali lagi ke dunia.

8. Ayat 111 adalah merupakan ayat yang sering dibaca oleh imam seusai memberikan salam di dalam
Solat Fardhu. Ayat ini adalah Ayat Keagungan yang menceritakan tentang keagungan ALLAH SWT. Ibnu
Katsir mengatakan bahawa NABI SAW mengajar ayat ini kepada kanak-kanak Bani Hasyim yang baru

boleh bercakap agar mereka dibiasakan dengan kalimah Tauhid.
9. Terdapat 4 kisah yang diceritakan di dalam Surah Al-Kahfi. Pertama, kisah pemuda yang tertidur di
dalam gua selama 309 tahun (Ayat 9-26). Ayat 22-23 adalah teguran ALLAH SWT kepada NABI SAW
kerana Baginda tidak menyebut Insya-ALLAH dan menyebabkan wahyu terputus selama beberapa hari.
Jadi kita perlu menjiwai sebutan Insya-ALLAH ini kerana ia banyak digunakan oleh para Nabi di dalam
kisah mereka. Bukan menggunakan perkataan ini sebagai alasan untuk tak buat apa yang kita janjikan.

10. Keduanya adalah kisah 2 orang lelaki, iaitu seorang kafir yang sombong dan kaya dan seorang lelaki
soleh dan merupakan wali ALLAH SWT (Ayat 32-44). Si kaya berbangga dengan harta kepunyaannya dan

beranggapan ianya adalah hasil titik peluhnya sendiri. Lalu lelaki soleh itu menegurnya supaya beliau
banyak memuji ALLAH SWT kerana semuanya hanya berlaku dengan izin-NYA (Ayat 39).

11. Ayat 50 adalah merupakan kisah permusuhan di antara Iblis dan Nabi Adam A.S. buat kesekian
kalinya. Dua perkara yang disebut di dalam ayat ini ialah; i) Iblis yang tidak sujud adalah termasuk dalam

kalangan jin, ii) Iblis juga mempunyai zuriat keturunan.

12. Kisah ketiga adalah kisah pengembaraan Nabi Musa A.S. dan muridnya mencari seorang lelaki (Ayat
60-74). Di dalam Al-Quran tidak disebut siapakah nama lelaki tersebut, tetapi nama Nabi Khidir disebut

di dalam Hadis Sohih Bukhari. Matlamat utama kisah pengembaraan ini adalah bertujuan untuk
mengajar kita tentang adab menuntut ilmu dan ujian bagi penuntut ilmu. Allahu a’lam.

TADABBUR RINGKAS JUZUK 16 (SURAH AL-KAHFI 75-110, SURAH MARYAM 1-98 & SURAH TOHA 1-135)
14 Points

1. Juzuk ini mengandungi tiga surah iaitu bahagian akhir Surah Al-Kahfi, Surah Maryam dan Surah Toha.

2. Sambungan dari kisah ketiga Surah Al-Kahfi, sebelum berpisah, Nabi Khidir memberitahu Nabi Musa
hikmah di sebalik tiga tindakannya yang menimbulkan persoalan pada hemat Nabi Musa.

3. Menariknya, pada ayat 82 Nabi Khidir menceritakan sebab Baginda menegakkan dinding yang runtuh
adalah kerana ianya milik anak yatim yang di bawahnya terdapat harta peninggalan bapa mereka yang

soleh. Ulama’ menafsirkan bahawa ALLAH menghantar Nabi Khidir dan Nabi Musa A.S. untuk
menyelamatkan harta anak yatim tersebut kerana solehnya bapa mereka. Ini menjadi bukti, kesolehan

kita akan memberikan manfaat kepada anak, cucu, cicit dan generasi kita pada masa akan datang.

4. Kisah terakhir di dalam Surah Al-Kahfi adalah berkenaan Zulqarnain dan pengembaraan beliau. Secara
umumnya, ALLAH SWT menyampaikan mesej bahawa empat ujian besar akan dihadapi oleh umat ISLAM
di akhir zaman iaitu i) Ujian Kepercayaan (Aqidah), ii) Ujian Harta, iii) Ujian Ilmu dan iv) Ujian Kekuasaan.

5. Bermula ayat pertama sehingga ayat 58 Surah Maryam menceritakan kisah-kisah para Nabi A.S. Ia
dimulakan dengan kisah Nabi Zakaria A.S.dengan doanya, Nabi Yahya A.S., Maryam yang melahirkan
Nabi Isa A.S., Nabi Isa A.S. yang boleh bercakap ketika bayi dan Nabi Ibrahim A.S. bersama ayahnya.
Menariknya, ayat 31 menceritakan bagaimana Nabi Isa A.S. diperintahkan untuk solat. Ini membuktikan

bahawa para Nabi pun diwajibkan untuk solat, apatah lagi kita semua.

6. Bahagian akhir Surah Maryam menceritakan perihal peristiwa Akhirat dan penegasan bahawa ALLAH
SWT tidak mempunyai anak.

7. Ayat 1-5 Surah Toha menceritakan bahawa Al-Quran diturunkan untuk memberi manfaat kepada
manusia dan bukan untuk menyusahkan. Dikatakan juga bahawa Umar Al-Khattab menjadi lembut

hatinya setelah adiknya, Fatimah membacakan ayat 1-5 surah ini. Namun, terdapat banyak
perbincangan mengenai riwayat kisah ini.

8. Bermula ayat 9-98 menceritakan kisah Nabi Musa A.S. Baginda diperintahkan untuk membuka selipar
ketika berada di Lembah Suci Tuwa (Ayat 12). Para ulama’ membahaskan kenapa arahan tersebut
diberikan, antaranya kerana selipar Baginda A.S. pada ketika itu diperbuat daripada kulit yang

mempunyai najis. Lalu diperintahkan Nabi Musa A.S. untuk membukanya bagi menjaga kesucian Lembah
Tuwa.

9. Ayat 17 merupakan soalan ALLAH SWT kepada Nabi Musa A.S. iaitu “apakah yang berada di tanganmu
wahai Musa?” dan Baginda A.S. memberikan jawapan yang panjang (Ayat 18). Terdapat dua hikmah di

sini iaitu, i) Ini menunjukkan bahawa Nabi Musa A.S. sentiasa bertangan kanan dan ia merupakan
Sunnah para Nabi, ii) Nabi Musa A.S. memberikan jawapan yang panjang kerana Baginda ingin
memanjangkan tempoh bersama ALLAH SWT.

10. Nabi Musa A.S. diarahkan untuk bertemu dengan Firaun, seorang maharaja dunia yang kejam (Ayat
24), lalu timbul rasa takut di hati Baginda. Berkat doa Baginda A.S. (Ayat 25-28), Nabi Musa dapat

menjalankan tugas ALLAH SWT dengan jayanya. Tambahan pula, ketika Baginda dan Nabi Harun A.S.
diperintahkan untuk bertemu Firaun, mereka juga diarahkan untuk menggunakan bahasa yang baik
(Ayat 42-44). Ini menunjukkan bahawa penggunaan bahasa yang kasar dan sentap walaupun kepada
musuh adalah kurang manfaatnya kerana bahasa yang lembut lebih membekas pada jiwa manusia.

11. Ayat 83-98 adalah kisah Bani Israil yang disesatkan oleh Samiri ketika Nabi Musa bermunajat di Bukit
Tursina dan diserahkan urusan pemerintahan kepada Nabi Harun A.S. Namun Nabi Harun tidak mampu
mengawal lagi Bani Israil yang dihasut oleh Samiri. Samiri membuat patung anak lembu dari emas yang
dicuri dan dicairkan, lalu diletakkan di dalam mulut patung tersebut segenggam tanah dari tapak kaki

kuda Jibril A.S (Ayat 96). Lalu patung tersebut mengeluarkan bunyi seperti lembu. Dikatakan bahawa
Nabi Jibril muncul sebagai lelaki berkuda ketika Nabi Musa A.S. membelah lautan dalam misi
menyelamatkan diri dan Bani Israil dari cengkaman Firaun.

12. Seterusnya, ayat 115-123 menceritakan kisah Nabi Adam A.S. DI dalam Syurga, Baginda diarahkan
untuk menjauhi sebatang pokok. ALLAH SWT tidak pernah menamakan pokok tersebut sebagai pokok
khuldi (Kekal), namun ianya adalah nama yang dicipta oleh iblis untuk menipu Baginda A.S., bahawa

dengan memakannya, Baginda akan kekal di dalam Syurga dan menjadi malaikat. Kita boleh lihat
bagaimana iblis menghasut manusia untuk mencipta produk palsu untuk menyesatkan manusia yang

lain.

13. Bahagian akhir Surah Toha adalah berkenaan suruhan ALLAH SWT kepada NABI SAW agar menyuruh
keluarga Baginda SAW menunaikan solat dan sabar menunaikannya (Ayat 132). ALLAH SWT menegaskan
pada sambungan ayat ini bahawa DIA tidak perlu pun kepada solat kita, bahkan kita yang memerlukan

ALLAH kerana DIA yang memberi rezeki.

14. Melalui ayat 132 ini, ulama menafsirkan bahawa dikira sebagai dosa besar pada orang yang sibuk
bekerja sehingga lupa menunaikan solat kerana orang tersebut menjadikan majikan dan dunia ini
sebagai tuhan. Allahu a’lam.

TADABBUR RINGKAS JUZUK 17 (SURAH AL-ANBIYA’ 1-112 & SURAH AL-HAJJ 1-78)
14 Points

1. Ayat 7 Surah Al-Anbiya’ adalah pemberitahuan oleh ALLAH SWT bahawa sekalian Rasul adalah terdiri
dalam kalangan manusia, bukan malaikat. Kisah di sebalik ayat ini apabila timbulnya ketidakpuasan hati
musyrikin Mekah ketika mana mengetahui NABI SAW dilantik menjadi Rasul. Apa yang mereka mahukan
adalah Rasul itu daripada malaikat. Lantas ALLAH menyuruh mereka bertanyakan kepada ahli kitab di

Madinah (Ahlaz Zikri) adakah ada Rasul sebelum ini dari kalangan malaikat? Sudah tentu tiada.

2. Ayat 30 pula menceritakan perihal kejadian langit dan bumi yang asalnya adalah satu, kemudian
dipisahkannya dan terjadilah alam semesta. Menariknya, teori Big Bang sangat berkaitan dengan ayat

ini.

3. Pihak musyrikin Mekah tidak berpuas hati dengan perkembangan dakwah RASULULLAH SAW, lalu
mereka mengharapkan agar Baginda SAW dimatikan secepatnya agar dakwah ISLAM terhenti. Lalu
ALLAH SWT memberikan respon bahawa tiada manusia yang akan hidup kekal, dan jika NABI SAW wafat,

takkanlah musyrikin itu akan kekal? (Ayat 34).

4. Ayat 50-91 adalah kisah para Nabi yang bermula dengan kisah Nabi Ibrahim A.S. bersama kaumnya
sehingga Baginda dihukum untuk dibakar. Lalu ALLAH SWT memerintahkan api tersebut menjadi sejuk,

selamat dan nyaman untuk Baginda A.S. (Ayat 69).

5. Seterusnya adalah kisah pergaduhan di antara pemilik kebun dengan pengembala biri-biri yang mana
hasil tanaman kebun dirosakkan oleh biri-biri (Ayat 78-79). Kemudian mereka meminta Nabi Daud A.S.
agar mengadili kes mereka, lalu Nabi Daud A.S. memutuskan bahawa biri-biri pengembala dirampas dan

diberikan kepada pemilik kebun sebagai ganti rugi.

6. Namun begitu, Nabi Sulaiman A.S. menegur keputusan tersebut dan mencadangkan agar ditukar hak
milik secara sementara. i) Baginda mencadangkan agar hasil tanaman yang rosak diganti dengan hasil

ternakan biri-biri dan, ii) Pengembala perlu menanam semula tanaman yang baru dan bila ianya
sempurna, ditukar kembali hak milik. Hikmah di sebalik kisah ini adalah berkaitan dengan konsep
pemindahan teknologi. Di akhirnya, pengembala tahu cara untuk bercucuk tanam dan pemilik kebun

sedar banyak sumber rezeki datang dari binatang ternak.

7. Ayat 83 adalah doa Nabi Ayub A.S. yang baik untuk diamalkan ketika kita ditimpa kesakitan manakala
ayat 87-88 adalah merupakan tasbih Nabi Yunus A.S. ketika berada di dalam kesusahan. Seterusnya
adalah doa Nabi Zakaria A.S. agar dikurniakan zuriat (Ayat 89-90). Sedikit kekeliruan dalam kalangan
masyarakat apabila menjadikan doa Nabi Zakaria ini untuk mencari jodoh. Ianya kurang tepat
berdasarkan konteks ayat tersebut.

8. Ayat 96 menceritakan kisah pecahnya benteng yang mengurung yakjuj dan makjuj apabila dunia
hampir mendekati kiamat. Lalu mereka keluar dan membuat kerosakan serta bermaharajalela di
segenap penjuru dunia. Pada bahagian akhir Surah Al-Anbiya’, ALLAH SWT mengatakan bahawa NABI

SAW diutuskan sebagai rahmat dan kasih sayang-NYA untuk sekalian alam (Ayat 107).

9. ALLAH SWT memberitahu di awal Surah Al-Hajj bahawa Hari Kebangkitan boleh berlaku kerana ALLAH
jualah yang mencipta manusia secara berperingkat dan melalui fasa yang kompleks, takkanlah DIA tidak
mampu untuk membangkitkan kembali manusia (Ayat 5). Ayat ini juga secara tidak langsung menyentuh

perihal ilmu embriologi.

10. Semua makhluq sujud dan tunduk patuh kepada ALLAH SWT dalam sistem alam termasuk
termasuklah pokok-pokok, gunung-ganang, binatang dan sebagainya (Ayat 18) manakala ayat 19 pula
menceritakan tentang dua pihak yang bertelagah tentang tuhan mereka. Ayat 19 ini diturunkan sebelum
bermulanya Perang Badar yang mana sebelum peperangan bermula, adanya Perang Tanding yang setiap

pihak menghantar 3 wakil untuk berlawan. Inilah yang dimaksudkan dengan ayat 19 Surah Al-Hajj.

11. Ayat 26-37 menceritakan tentang Haji dengan bermulanya kisah Nabi Ibrahim A.S. diberikan tempat
oleh ALLAH SWT untuk membina Kaabah. Ayat 27 adalah seruan yang dibuat oleh Baginda A.S. yang
memanggil manusia dari segenap penjuru untuk menunaikan haji.

12. Prinsip utama di dalam berpolitik dinyatakan di dalam ayat 41 Surah Al-Hajj yang mana apabila
seseorang diberikan kuasa, dia perlulah melakukan 4 perkara, i) Mendirikan solat, ii) Menunaikan zakat,
iii) Menyuruh kepada kebaikan, iv) Mencegah kemungkaran. Bagi sesiapa yang terlibat di dalam politik,

jadikanlah empat perkara ini sebagai matlamat utama.

13. ALLAH SWT menceritakan logik kenapa berhala tidak boleh disembah (Ayat 73). Berhala itu tidak
mampu untuk mencipta walaupun seekor lalat sekalipun mereka bergabung. Namun jika lalat tersebut

memudaratkan berhala, ianya tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Jadi tersangat lemah lah orang yang
meminta (penyembah berhala) dan dipinta (berhala).

14. Ini adalah kiasan ALLAH SWT yang sangat menarik untuk diperhatikan. Oleh kerana berhala tidak
mampu untuk berbuat apa-apa kepada lalat, lebih baik mereka menyembah lalat yang sudah pastinya

mereka menolaknya keran beranggapan bahawa lalat adalah seekor binatang yang lemah. Jadi,
selemah-lemah lalat pun berhala tidak mampu untuk memberi kesan, alangkah ruginya mereka. Allahu

a’lam.

Sumber: Ust Abdullah Bukhari
Diolah : Asyraf Salleh

TADABBUR RINGKAS JUZUK 18 (SURAH AL-MUKMINUN 1-118, SURAH AN-NUR 1-64 & SURAH AL-
FURQAN 1-20)
15 Points

1. Juzuk ini mengandungi tiga surah iaitu Surah Al-Mukminun (Orang Beriman), Surah An-Nur (Cahaya)
dan bahagian awal Surah Al-Furqan (Pembeza).

2. Ayat 1-11 Surah Al-Mukminun menceritakan berkenaan sifat orang beriman dan kesudahan akhir
mereka yang mendapat Syurga Firdaus. Berdasarkan ayat-ayat ini, dapat difahami bahawa beriman

adalah syarat minimum untuk ke syurga.

3. Ayat 13-16 adalah kisah mengenai keadaan manusia yang bermula dari persenyawaan di dalam rahim
seorang ibu, memasuki alam dunia sehinggalah dibangkitkan semula di alam barzakh nanti manakala
ayat 14 sama seperti ayat di dalam Surah Al-Hajj iaitu berkenaan ilmu embriologi (Peringkat Kejadian
Manusia).

4. Kisah para Nabi juga disebut di dalam Surah Al-Mukminun (Ayat 23-53), yang bermula dengan kisah
Nabi Nuh A.S. Nabi Hud A.S. dan sebagainya. Ayat 53 mengatakan bahawa semua orang dari semua
agama merasakan dirinya berada di pihak yang benar. Sebagai seorang pendakwah, perkara ini perlu

difahami sebaiknya dan menjaga sensitiviti semua orang. Sampaikan lah ISLAM dengan cara yang paling
baik, logik dan tidak menyerang secara semberono.

5. ALLAH SWT memberitahu berkenaan sifat ahli syurga (Ayat 57-61). Di dalam ayat 60 dinyatakan
bahawa salah satu sifat ahli syurga adalah hatinya merasa bimbang, tidak selesa dan resah tentang
amalannya diterima ALLAH SWT atau tidak. Ayat 71 pula menyatakan tentang bahayanya nafsu manusia.

Jika kebenaran perlu mengikut nafsu manusia, sudah pasti akan musnah lah alam semesta.

6. Ayat 91 menegaskan bahawa alam ini tidak boleh mempunyai lebih dari satu tuhan kerana setiap
tuhan akan membawa cara masing-masing dan pastinya alam semesta ini akan hancur binasa manakala
ayat 96-98 adalah berkenaan cara untuk menghindari gangguan dan kehadiran syaitan manusia serta

syaitan jin.

7. Di dalam ayat 99-100 jelas menyatakan bahawa manusia yang telah mati tidak akan kembali ke dunia.
Ayat ini menceritakan tentang rayuan mereka yang telah mati untuk dikembalikan ke dunia tetapi
ditolak oleh ALLAH SWT kerana masa mereka telah pun tamat.

8. Ayat 115-118 adalah antara ayat yang popular digunakan untuk merawat orang yang terkena sihir jin.
Melalui satu riwayat, diceritakan bahawa Abdullah bin Mas’ud membacakan ayat ini untuk

menyembuhkan penyakit sihir seorang lelaki. Lalu kisah ini sampai kepada RASULULLAH SAW dan
Baginda bertanya kepada Ibnu Mas’ud ayat apakah yang dibaca. Setelah menceritakan perihal tersebut,

Baginda SAW bersabda dengan mafhumnya apabila ayat Al-Quran dibacakan oleh orang beriman
dengan penuh keyakinan kepada gunung, nescaya gunung pun akan hancur berkecai.

9. Terdapat di dalam satu riwayat yang menukilkan kata-kata Umar Al-Khattab, ”Ajarkanlah perempuan
dalam kalangan kamu Surah An-Nur” kerana sangat berkaitan dengan mereka. Ayat 1-10 surah ini
menceritakan tentang hukum hudud seperti zina dan li’an (menuduh orang berzina tanpa saksi)

manakala ayat 11-26 adalah berkenaan kisah ‘Aisyah R.A. difitnah. Antara pengajaran dari kisah ‘Aisyah
R.A. adalah sentiasa mendahulukan bersangka baik apabila mendengar berita yang tidak baik (Ayat 12)
dan bijak dalam mengurus berita dan serta memberikan komen terhadap sesuatu isu yang berlaku (Ayat

16). Sikap-sikap seperti ini adalah perangkap syaitan untuk menipu manusia.

10. Ayat 22 menceritakan tentang kelebihan Abu Bakar As-Siddiq R.A. kerana beliau seringkali
membantu sepupunya yang bernama Mistoh bin Uthathah yang miskin sejak berada di Mekah lagi.
Namun, apabila beliau mendapat tahu Mistoh terlibat dalam menyebarkan fitnah ke atas ‘Aisyah R.A.,
beliau menghentikan bantuan ke atas Mistoh. Lalu ALLAH SWT meminta Abu Bakar R.A. memaafkan

Mistoh dan memberi jaminan pengampunan. Lalu Abu Bakar R.A. kembali menyambung bantuan dan
silaturrahim dengan Mistoh.

11. Adab untuk memasuki rumah orang diceritakan di dalam ayat 27-29 yang mana perlu mendapatkan
keizinan tuan rumah terlebih dahulu manakala ayat 30-31 berkaitan dengan menjaga mata,

menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Ayat 31 khusus menceritakan berkaitan aurat
seorang perempuan.

12. Di antara kesilapan yang biasa dilakukan oleh kaum perempuan adalah memakai tudung dengan
tidak menutup bahagian dada kerana jelas di dalam ayat ini mengatakan bahawa tudung kepala mesti

menutup dada. Pada bahagian akhir ayat ini adalah berkenaan larangan menghentakkan kaki untuk
membunyikan gelang kaki. Ini menjadi prinsip asas ke atas sebarang tindakan perempuan yang boleh

mengundang fitnah.

13. Ayat 58 pula menceritakan tentang adab untuk memasuki bilik suami isteri. Keizinan perlulah
diminta terlebih dahulu terutamanya pada 3 waktu, i) Sebelum subuh, ii) Pada waktu tengahari dan, iii)
Selepas Isya’, ini kerana ketiga-tiga waktu ini adalah waktu berehat dan aurat terdedah. Menariknya,

ALLAH SWT menyebut tiga waktu yang diiktiraf sebagai waktu untuk manusia berehat dan tidur.

14. Ayat 62-63 menceritakan berkenaan adab dengan RASULULLAH SAW seperti tidak dibenarkan
memanggil NABI dengan panggilan biasa.

15. Ayat 14 Surah Al-Furqan menceritakan tentang ahli neraka yang menjerit dan meminta agar
dicepatkan kematian apabila diazab di neraka. Lalu ALLAH SWT mengatakan bahawa minta mati sekali,

bahkan minta lah agar dimatikan beberapa kali kerana dahsyatnya azab neraka.

Sumber: Ust Abdullah Bukhari
Diolah: Asyraf Salleh

TADABBUR RINGKAS JUZUK 19 (SURAH AL-FURQAN 21-77, SURAH AS-SYU’ARA’ 1-227 & SURAH AN-
NAML 1-55)
12 Points

1. Juzuk ini mengandungi tiga surah iaitu bahagian kedua Surah Al-Furqan (Pembeza antara Kebenaran &
Kebatilan), Surah As-Syu’ara’ (Para Penyair) secara lengkap dan bahagian awal Surah An-Naml (Semut).

2. Ayat 27-29 Surah Al-Furqan menceritakan tentang penyesalan ahli neraka kerana tersilap memilih
teman. Kisah di sebalik ayat ini adalah berkenaan dengan seorang lelaki bernama Uqbah Bin Abi Mu’aid
yang awalnya memeluk Islam tetapi kemudiannya meninggalkan Islam kerana ingin menjaga hubungan

dengan kawannya.

3. Ayat 45-46 pula menceritakan tentang fungsi bayang matahari di mana ALLAH SWT menjadikan
matahari itu sebagai petunjuk iaitu petunjuk kepada waktu solat dan sebagainya.

4. ALLAH SWT juga menceritakan tentang sifat hamba-NYA yang dipuji (Ayat 63-77), seperti tidak
melayan kerenah si jahil, berbelanja secara sederhana, berdoa agar dikurniakan isteri dan zuriat yang

menjadi penyejuk mata dan penenang hati dan sebagainya.

5. Kisah para Nabi banyak diceritakan di dalam Surah As-Syu’ara’ seperti kisah Nabi Musa A.S. dan Firaun
serta Nabi Ibrahim A.S. dan kaumnya. Ayat 80 mengisahkan perihal Nabi Ibrahim A.S. ketika menentang

kaumnya yang mana Baginda mengisytiharkan bahawa ALLAH itu adalah Tuhannya dan antara fungsi
ALLAH SWT adalah sebagai Tuhan yang menyembuhkan penyakit.

6. Antara kisah lain yang disebut adalah kisah Nabi Nuh dan kaumnya (Ayat 105-122) dan Nabi Hud A.S.
(Ayat 123-140). Pada ayat 130 diceritakan mengenai kejahatan Kaum A’ad yang suka memukul tawanan

mereka. Terdapat sesetengah masyarakat yang menjadikan ayat ini sebagai penyembuh untuk sakit
pinggang, sakit urat dan sebagainya.

7. Antara mukjizat Al-Quran adalah sebagai penyembuh penyakit, namun kita perlulah memahami Al-
Quran mengikut konteks yang dikehendaki oleh ALLAH SWT kerana ia adalah adab yang perlu dijaga.

Mesej sebenar yang ingin disampaikan di dalam ayat 130 Surah As-Syu’ara’ ini adalah apabila kita
diberikan kekuatan, maka janganlah kekuatan itu digunakan pada jalan yang salah seperti membuli

orang dan sebagainya.

8. Ayat 214 merupakan antara ayat terawal diturunkan kepada NABI SAW yang mana diarahkan kepada
Baginda untuk berdakwah kepada kaum keluarga yang terdekat. Selepas ayat ini diturunkan,

RASULULLAH SAW naik ke Bukit Sofa dan Baginda SAW memanggil semua ahli keluarganya dan
bertanya jika dibelakang Baginda itu ada sekumpulan tentera yang ingin menyerang kota Mekah, adakah

mereka akan percaya? Mereka mengatakan bahawa mereka tahu RASULULLAH SAW tidak pernah
menipu.

9. Dinamakan sebagai Surah An-Naml yang membawa maksud semut kerana Nabi Sulaiman A.S.
mendengar kata-kata Ratu Semut yang sedang memberi arahan kepada rakyatnya supaya masuk ke

dalam sarang mereka agar tidak dipijak oleh Nabi Sulaiman dan tentera Baginda A.S. (Ayat 18).

10. Mengikut kebiasaan, apabila Nabi Sulaiman A.S. keluar mengembara bersama para tentera Baginda
A.S., antara keperluan asasi yang perlu dipenuhi adalah bekalan air. Hal ini berkaitan dengan ayat 20 di

mana Baginda mencari Burung Hudhud.

11. Berdasarkan tafsiran ulama’, persoalan berkaitan kenapa Nabi Sulaiman A.S. mencari Burung
Hudhud adalah kerana Hudhud merupakan sejenis haiwan yang mempunyai kelebihan yang boleh

mengesan lokasi air di dalam bumi. Tafsiran ini diambil berdasarkan ayat 25. Burung Hudhud
menjelaskan bahawa kelewatannya adalah kerana ia singgah di sebuah tempat (Saba’) yang mana

penduduknya menyembah matahari (Ayat 23-24).

12. Ayat 40 menceritakan kisah seorang lelaki yang diberikan ilmu pengetahuan yang mampu membawa
istana Balqis dengan sekelip mata sahaja dan dikatakan bahawa lelaki ini adalah seorang wali ALLAH
SWT. Berdasarkan ayat ini, wali ALLAH mestilah menjadi seorang yang berilmu pengetahuan. Jika kita
berjumpa dengan orang yang mempunyai kelebihan tetapi dia adalah seorang yang jahil dan tidak

mengamalkan Sunnah NABI SAW, janganlah kita tersalah anggap bahawa itu adalah wali ALLAH SWT. Ini
kerana jelas berdasarkan ayat ini, wali ALLAH SWT mestilah berilmu pengetahuan. Allahu a’lam.

Sumber: Ust Abdullah Bukhari
Diolah: Asyraf Salleh

TADABBUR RINGKAS JUZUK 20 (SURAH AN-NAML 56-93, SURAH AL-QASAS 1-88 & SURAH AL-‘ANKABUT
1-45)

15 Points

1. Juzuk ini mengandungi tiga surah iaitu bahagian kedua Surah An-Naml (Semut), Surah Al-Qasas (Kisah)
secara lengkap dan bahagian awal Surah Al-‘Ankabut (Labah-labah).

2. Ayat 65 Surah An-Naml menjadi prinsip utama dalam ISLAM yang mana semua perkara ghaib mestilah
berdasarkan dalil jelas dari Al-Quran dan As-Sunnah. Jika ada orang menceritakan perihal perkara ghaib
tanpa mendatangkan dalil dan hujah yang nyata dari Al-Quran dan Hadith, maka tolaklah ia. Di dalam
ayat 82 pula menceritakan kisah akan keluarnya sejenis binatang dari perut bumi yang boleh bercakap

apabila dunia sudah menghampiri Kiamat.

3. Ayat 88 mengisahkan tentang gunung-ganang yang bergerak. Ramai saintis mengatakan bahawa ayat
ini bertepatan dengan Teori Pergerakan Plat Tektonik di dalam Ilmu Geologi. Namun begitu,

‘pergerakan’ di dalam ayat ini sebenarnya bermaksud pergerakan ketika berlakunya kiamat nanti yang
mana gunung-ganang ini akan bergerak seperti kapas (Ayat 5 Surah Al-Qari’ah). Jadi sangat tidak tepat

menjadikan ayat ini sebagai sokongan kepada Teori Pergerakan Plat Tektonik.

4. Surah Al-Qasas banyak menceritakan tentang kisah Nabi Musa A.S. dan Firaun yang bermula dari ayat
4 sehingga ayat 48. Antara kisah di dalam surah ini adalah kisah bagaimana Nabi Musa A.S. tertumbuk
orang tanpa sengaja sehingga menyebabkan kematian, lalu Baginda diburu dan lantas melarikan diri

sehingga ke Madyan yang mana di sana Baginda terus menghulurkan bantuan kepada dua orang
perempuan yang memerlukan pertolongan pada ketika itu (Ayat 15-23). Sikap itsar (mendahulukan
orang lain) ini adalah akhlaq mulia yang ditunjukkan oleh Baginda biarpun masih dalam keletihan.

5. ALLAH SWT merakamkan doa Nabi Musa A.S. di dalam ayat 24 ketika mana Baginda merasa berada di
dalam kesulitan. Doa ini sangat baik untuk diamalkan dan ia membawa maksud, “Wahai Tuhanku,

sesungguhnya aku sangat memerlukan kebaikan-kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku”. Selepas
Baginda berdoa dengan doa ini, ALLAH SWT menghantar bantuan kepada Nabi Musa satu persatu.
Antaranya ialah Baginda dipanggil oleh bapa kepada dua perempuan yang dibantu tadi, kemudian
diberikan kerja dan dijodohkan dengan salah seorang perempuan tersebut (Ayat 25-27).

6. Ayat 26 memberitahu bahawa benarnya firasat isteri Nabi Musa A.S. yang meminta ayahnya
mengambil Baginda untuk bekerja kerana melihat dua karakter yang baik pada diri Baginda iaitu seorang
yang kuat dan bertanggungjawab. Abdullah bin Mas’ud R.A. ketika menghuraikan ayat ini mengatakan

jika ingin melihat firasat yang betul, maka lihatlah pada ayat 26 Surah Al-Qasas.

7. Ayat 29-35 pula menceritakan kisah Nabi Musa A.S. yang pulang semula ke Mesir dan ketika di dalam
perjalanannya, Baginda melihat terdapat cahaya api yang jauh di padang pasir yang sejuk. Di dalam ayat

29, Nabi Musa A.S. menunjukkan akhlaq budiman yang menjalankan tanggungjawab sebagai ketua
keluarga dengan meminta keluarganya menunggu di situ dan beliau yang pergi melihat api tersebut

secara lebih dekat.

8. Di situlah Nabi Musa A.S. diberikan wahyu oleh ALLAH SWT yang didahului dengan pelbagai suruhan
dari ALLAH SWT seperti mencampakkan tongkat dan menyeluk tangan sehingga keluar cahaya (Ayat 32).
Sebagai manusia biasa, Baginda akan ketakutan menghadapi situasi ini. Lantas di dalam ayat ini ALLAH

SWT mengajar Baginda agar memekap tangan ke dada untuk menghilangkan ketakutan tersebut.

9. ALLAH SWT memuji Ahli Kitab di dalam ayat 52-55 yang mana mereka beriman dengan Nabi Musa A.S.
dan Nabi Isa A.S. Kemudian para Ahli Kitab ini menyambung keimanan mereka kepada Kenabian

RASULULLAH SAW lalu diberikan kepada mereka dengan ganjaran pahala sebanyak dua kali ganda (Ayat
54) manakala di dalam ayat 56 memberitahu bahawa hidayah itu secara mutlaknya adalah milik ALLAH

SWT. Dikatakan oleh para ulama’ tafsir bahawa ayat ini ditujukan kepada RASULULLAH SAW kerana
Baginda SAW sangat berharap ayah saudara Baginda, Abu Talib memeluk ISLAM dan meninggal dunia

dalam keadaan beriman.

10. Ayat 71-73 menceritakan nikmat yang jarang disyukuri iaitu nikmat siang dan malam. ALLAH SWT
memberikan dua Persoalan; i) Apakah akan terjadi sekiranya malam berterusan sehingga Kiamat dan

siapakah yang mampu membawa cahaya? ii) Apa akan terjadi sekiranya siang berterusan sehingga
Kiamat dan siapa yang mampu membawa malam untuk berehat? Semoga dengan persoalan ini mampu

menerbitkan rasa syukur kepada ALLAH SWT di atas dua nikmat ini.

11. Kisah Qarun dan keangkuhannya diceritakan di dalam ayat 76-82. ALLAH SWT memberikan mesej
bahawa pentingnya menjadi orang berilmu kerana tatkala orang awam sangat kagum dan

mengharapkan agar memiliki kekayaan seperti Qarun, orang berilmu melihat perkara itu hanya perkara
yang kecil jika dibandingkan dengan Akhirat. Ayat 82 menceritakan penyesalan dan kesedaran orang

jahil tentang apa yang dikatakan oleh orang berilmu selepas kematian Qarun. Jelas berdasarkan ayat ini
bahawa orang berilmu akan sentiasa melihat sesuatu itu beberapa langkah ke hadapan. Maka,
berusahalah kita agar menjadi orang yang berilmu.

12. Ayat 85 merupakan motivasi dan janji yang diberikan kepada RASULULLAH SAW ketika mana
Baginda berhijrah keluar dari Mekah dan menyebabkan timbul rasa rindu yang teramat kepada tanah

kelahiran Baginda SAW.

13. Dinamakan Surah Al-‘Ankabut kerana di dalamnya ALLAH SWT memberi perumpamaan pegangan
(Aqidah) orang yang menyembah selain-NYA sangat rapuh seperti rapuhnya sarang labah-labah. Surah
ini juga dikenali sebagai Surah Ujian kerana di dalamnya terdapat dua kisah Nabi yang menerima ujian

yang lebih berat berbanding ujian terhadap RASULULLAH SAW.

14. Ayat 2-4 Surah Al-‘Ankabut memberitahu bahawa ujian itu pasti akan dirasai oleh setiap dari kita
semua. Kisah pertama adalah ujian yang dihadapi oleh Nabi Nuh A.S. yang dihantar untuk bersama
kaumnya selama 950 tahun (Ayat 14). Ini sangat banyak jumlahnya jika dibandingkan dengan 23 tahun
NABI SAW diuji untuk menyempurnakan tugasan Baginda SAW. Kisah kedua adalah ujian yang menimpa

Nabi Ibrahim A.S. yang dibakar lalu diselamatkan oleh ALLAH SWT (Ayat 24).

15. Ayat 45 merupakan suruhan ALLAH SWT supaya kita membaca Al-Quran dan mendirikan solat. Dua
perkara ini perlulah bergerak seiring kerana solat itu mencegah perkara yang keji dan mungkar. Jika kita

menjaga solat kita, insyaALLAH ia akan menjaga diri kita dari perbuatan mungkar. Allahu a’lam.

Sumber: Ust Abdullah Bukhari
Diolah: Asyraf Salleh

TADABBUR RINGKAS JUZUK 21 (SURAH AL-‘ANKABUT 46-69, SURAH AR-RUM 1-60, SURAH LUQMAN 1-
34, SURAH AS-SAJDAH 1-30 & SURAH AL-AHZAB 1-30)
13 Points

1. Juzuk ini mengandungi lima surah iaitu bahagian kedua Surah Al-‘Ankabut, Surah Al-Rum, Surah
Luqman, Surah As-Sajdah dan bahagian awal Surah Al-Ahzab.

2. Ayat 46 Surah Al-‘Ankabut menceritakan adab-adab berinteraksi dengan ahli kitab manakala ayat 48
ALLAH SWT membuktikan bahawa NABI SAW tidak mencipta Al-Quran, tidak pernah membaca mana-

mana kitab dan tidak menulis dengan tangan kanannya. Daripada ayat 48 ini, boleh juga difahami
bahawa NABI SAW sentiasa mengutamakan yang kanan berbanding kiri. Begitu juga yang diamalkan

oleh Nabi-Nabi yang lain seperti Nabi Musa A.S., Nabi Ibrahim A.S. dan sebagainya.

3. ALLAH menceritakan di dalam Surah Ar-Rum berkenaan Pasukan Rom yang pada awalnya tewas
kepada Parsi tetapi selepas beberapa tahun Rom akan kembali menang menewaskan Parsi. Kisah di
sebalik surah ini, sewaktu NABI SAW berada di Mekah, Parsi telah mengalahkan Rom dan kekalahan
Rom itu menyebabkan umat Islam bersedih manakala musyrikin Quraisy bergembira kerana Parsi
merupakan sekutu mereka manakala Rom pula memiliki Aqidah seakan-akan sama seperti umat Islam

iaitu aqidah Tauhid yang bersandarkan kitab dari langit.

4. Perkataan “beberapa tahun” di dalam ayat 4 bermaksud antara 3-9 tahun. Diceritakan bahawa ketika
Abu Bakar As-Siddiq mendengar ayat ini, beliau bertaruh dengan seorang lelaki Quraisy, iaitu Ubai Bin

Khalaf bahawa Rom akan kembali menang selepas beberapa tahun. Ternyata selepas 7 tahun, Rom
benar-benar berjaya mengalahkan Parsi dan ini membuktikan kebenaran Al-Quran.

5. Ayat 20-23 menceritakan tentang kuasa ALLAH SWT pada alam, manusia, dan semua makhluq di alam
dunia ini. ALLAH SWT memberitahu bahawa perbezaan bahasa, bangsa dan warna kulit juga adalah di
antara tanda-tanda kekuasaan ALLAH SWT (Ayat 22). Ayat 41 pula menceritakan bahawa alam ini
musnah disebabkan oleh tangan-tangan manusia.

6. Tahap kejadian manusia diceritakan di dalam ayat 54, yang mana manusia diciptakan pada awalnya
bersifat lemah, kemudian menjadi kuat, dan kembali menjadi lemah kembali dan beruban. Itulah fitrah

kejadian manusia.

7. Di dalam Surah Luqman terdapat dua perkara utama. Pertamanya, pada ayat 12-15 adalah nasihat
Luqman kepada anaknya yang mengandungi aspek Aqidah, Akhlaq dan sosial. Keduanya, pada ayat
terakhir surah ini, terdapat lima perkara ghaib yang tiada siapa pun boleh mengetahuinya (Ayat 34) iaitu
i) Pengetahuan yang tepat tentang Hari Kiamat, ii) Bila diturunkan hujan, iii) Apa yang terjadi di dalam
Rahim ibu yang mengandung, iv) Apakah hari esok kita akan melakukan perkara baik atau buruk, v) Di

manakah kita akan mati.

8. Seterusnya, Surah As-Sajdah dinamakan begitu kerana terdapat satu ayat di dalam surah ini yang
menceritakan tentang orang beriman bilamana mendengar ayat-ayat Tuhan, mereka akan sujud kepada

ALLAH SWT (Ayat 15) manakala di dalam ayat 17 pula ALLAH SWT menceritakan sifat Syurga sebagai
balasan bagi mereka yang mengerjakan amal soleh.

9. Ayat 23 memberitahu NABI SAW agar tidak timbul keraguan di dalam hati Baginda kerana Baginda
akan diberikan Al-Kitab (Al-Quran) sama seperti yang diberikan kepada Nabi Musa A.S. (Taurat) sebagai

petunjuk dan panduan.

10. Surah Al-Ahzab bermaksud Pasukan Bersekutu. Surah ini menceritakan tentang Perang Ahzab yang
mana Baginda SAW berhadapan dengan saat genting. Tentera Islam dikepung oleh musyrikin Quraisy

dan pengkhianat dari Yahudi Bani Quraizah.

11. Ayat 4-5 surah ini menceritakan perihal anak angkat yang mana diharamkan bagi anak angkat untuk
ber’bin’kan dengan nama ayah angkat kerana itu adalah hak nasab yang ALLAH SWT peruntukkan untuk
ibu bapa mereka. Di dalam ayat 4, ALLAH memberitahu bahawa DIA tidak menjadikan lelaki mempunyai

dua jantung. Ini sebagai sindiran kepada seorang lelaki yang sangat bijak di Mekah yang mengaku
kebijakannya adalah kerana mempunyai dua jantung. Persoalan lain yang timbul, kenapa hanya disebut

lelaki di dalam ayat ini? Hal ini kerana kaum lelaki tidak akan pernah mengandung. Kaum perempuan
akan mempunyai lebih dari satu jantung apabila mereka mengandung. Subhanallah, inilah mukjizat

kehebatan Al-Quran.

12. Kisah Perang Ahzab diceritakan di dalam ayat 9-25. Menariknya, di dalam lingkungan ayat ini,
terdapat satu ayat yang memberitahu bahawa diri RASULULLAH SAW itu contoh teladan yang baik (Ayat

21). Ayat ini turun semasa di dalam peperangan yang mana Baginda SAW pada ketika itu bersikap
tenang dan mampu menghadapi situasi tekanan yang kuat dari pihak musuh.

13. Ayat 26-27 menceritakan tentang Perang Yahudi Bani Quraizah. Selepas tentera bersekutu Ahzab lari
pulang ke Mekah kerana dipukul ribut, ALLAH SWT mengarahkan NABI SAW memerangi Yahudi Bani
Quraizah kerana mengkhianati perjanjian dengan Baginda SAW dan bergabung dengan tentera
musyrikin Quraisy.

Sumber: Ust Abdullah Bukhari

Diolah: Asyraf Salleh

TADABBUR RINGKAS JUZUK 22 (SURAH AL-AHZAB 31-73, SURAH SABA’ 1-54, SURAH FAATHIR 1-45 &
SURAH YASIN 1-27)

15 Points

1. Juzuk ini mengandungi empat surah iaitu bahagian kedua Surah Al-Ahzab, Surah Saba’, Surah Faathir
dan permulaan awal Surah Yasin.

2. Bahagian kedua Surah Al-Ahzab menceritakan perihal rumahtangga NABI SAW. Pada ayat 31-34,
ALLAH SWT memberi teguran dan peringatan kepada para isteri Baginda SAW seperti tidak dibenarkan

keluar rumah tanpa sebab, tidak dibenarkan berhias berlebih-lebihan dan sebagainya.

3. Ayat 37 menceritakan mengenai perkahwinan Zaid Bin Harithah dengan Zainab Binti Jahsh. Apabila
tiada sekufu di antara keduanya, Zainab telah diceraikan oleh Zaid dan ALLAH SWT mengarahkan

Baginda SAW berkahwin dengan Zainab Binti Jahsh. Terdapat dua keistimewaan pada ayat ini. Pertama,
apabila turunnya ayat ini, ALLAH SWT sendiri yang mengahwinkan Zainab dengan NABI SAW setelah
habisnya tempoh ‘iddah Zainab (Bahagian kedua ayat 37). Keduanya ialah nama Zaid merupakan satu-
satunya nama sahabat yang disebut di dalam Al-Quran.

4. Antara sebab ALLAH memasukkan nama Zaid Bin Harithah adalah kerana sebelum itu, beliau telah
diambil menjadi anak angkat NABI SAW dan dinamakan sebagai Zaid Bin Muhammad. Lalu turunnya
awal Surah Al-Ahzab yang melarang menamakan anak angkat dengan nama bapa angkat tetapi mesti

memanggilnya dengan nama ayah mereka sendiri (Ayat 5). Dikatakan oleh ulama’ tafsir, bagi
menggantikan kesedihan Zaid yang perlu ditukar namanya dari bernasabkan NABI SAW kepada nasab
yang asal, ALLAH SWT meletakkan nama beliau di dalam Surah Al-Ahzab. Ini adalah keistimewaan Zaid

R.A. yang tiada pada sahabat lain.

5. Pada ayat 50 diceritakan mengenai empat jenis wanita yang boleh dikahwini oleh NABI SAW iaitu; i)
dikahwinkan secara normal seperti mempunyai mahar, wali dan sebagainya, ii) bekas hamba, iii)

sepupu-sepupu Baginda SAW, tetapi dengan syarat mereka mesti berhijrah dan iv) wanita yang datang
menyerah diri kepada NABI SAW. Ini hanya dikhususkan untuk NABI SAW sahaja. Walaupun begitu,

daripada empat jenis wanita yang disebut, NABI SAW hanya menggunakan dua sahaja iaitu perkahwinan
secara normal dan hamba abdi seperti Sofiyyah Binti Huyay dan Maryatul Qibtiyah.

6. Ayat 51 memberitahu bahawa NABI SAW tidak terikat dengan keadilan dalam rumahtangga poligami.
Ini bermaksud Baginda SAW boleh memilih dengan siapapun baginda nak tinggal dan bermalam tanpa

perlu ada giliran. Namun begitu, walaupun mempunyai kelebihan ini, Baginda SAW tidak
menggunakannya malah berlaku adil terhadap isteri-isteri Baginda SAW.

7. ALLAH SWT melarang NABI SAW menambah isteri yang lain setelah turunnya ayat 52 manakala ayat
53 menceritakan tentang adab-adab apabila dijemput ke rumah NABI SAW setelah Baginda SAW

membuat sedikit kenduri di atas perkahwinan dengan Zainab Al-Jahsh. Ayat 56 pula adalah arahan agar
kita berselawat kepada NABI MUHAMMAD SAW.

8. Dinamakan dengan Surah Saba’ kerana ALLAH SWT menceritakan mengenai sebuah empayar di
selatan Tanah Arab yang dikenali sebagai Empayar Saba’ yang mana pernah muncul sebagai empayar

dunia tetapi dimusnahkan oleh ALLAH SWT dek kerana kedegilan mereka sendiri.

9. Ayat 10-14 menceritakan tentang kisah Nabi Sulaiman dan Nabi Daud A.S. yang mana mereka
mempunyai mukjizat yang tidak diberikan kepada orang lain. Antara kehebatan Nabi Sulaiman yang
tidak disebut pada surah lain ialah Baginda A.S. meninggal dunia ketika sedang memerhatikan para jin
yang sedang bekerja (Ayat 14). Ayat ini juga boleh dijadikan dalil bahawa jin pun tidak tahu tentang
perkara ghaib. Jadi manusia yang bertanya kepada jin mengenai alam ghaib adalah orang bodoh yang
diperbodohkan oleh jin. Ayat 31-33 Surah Saba’ pula adalah dialog di antara pengikut dan pemimpin di

dalam Neraka di akhirat kelak.

10. Surah Faathir membawa maksud ‘Pencipta Tanpa Contoh’ di mana ALLAH SWT mencipta alam
semesta tanpa ada sesiapa pun yang pernah menciptanya sebelum ini. Surah ini juga dinamakan sebagai
Surah Al-Malaikat kerana pada ayat pertama surah ini, ALLAH menceritakan sifat malaikat yang bersayap

dua, tiga dan empat. DIA juga boleh menambah pada ciptaan-NYA apa yang dikehendaki-NYA samada
membuat sayap malaikat, menjadikan manusia mempunyai akal yang tinggi dan rendah, fizikal yang
berbeza dan sebagainya. Ayat 2 pula menceritakan tentang kuasa mutlak ALLAH SWT yang memberi
manfaat dan mudarat hanya pada DIA sahaja. Apa sahaja rahmat yang dibuka oleh ALLAH SWT, tiada
sesiapa pun boleh menghalangnya manakala apa sahaja yang ditahan-NYA, tiada sesiapa pun boleh

melepaskan halangan tersebut.

11. Ayat 6 Surah Faathir merupakan suruhan ALLAH SWT supaya kita berperang dengan syaitan dan iblis.
Kita juga tidak boleh menganggap syaitan dan iblis sebagai kawan malah mesti melawan mereka. ALLAH
SWT menceritakan mengenai biji kurma pada ayat 13 yang mana ALLAH SWT mengatakan orang-orang

yang menyembah selain ALLAH tidak ada kuasa sedikit pun walaupun sekadar selaput putih pada biji
kurma yang disebut sebagai qitmir.

12. Pada ayat ke 18, ALLAH SWT menyebut seseorang itu tidak akan menanggung dosa orang lain
manakala ALLAH menceritakan pada ayat 36-37 bagaimana Ahli Neraka diseksa tanpa mati. Di akhirat
nanti, kematian tidak lagi wujud kerana ianya sudah dimatikan oleh ALLAH. Apabila diseksa tanpa mati,
Ahli Neraka meraung-raung dan mengharapkan agar dapat kembali semula ke dunia. Lalu ALLAH SWT

menempelak mereka kerana tidak menggunakan umur yang diberikan di dunia untuk mengambil
peringatan yang disampaikan oleh pemberi peringatan (para Nabi, Ulama’, uban di kepala dan
sebagainya).

13. Ayat terakhir Surah Faathir menceritakan jika ALLAH SWT ingin menghukum manusia di atas segala
kejahatan yang dilakukan mereka, sudah pasti DIA akan menghancurkan alam yang tidak akan ada satu

pun makhluk yang boleh hidup lagi. Ayat ini menunjukkan betapa luasnya rahmat ALLAH SWT
berbanding dengan azab-NYA (Ayat 45).

14. Ayat 13-27 Surah Yasin menceritakan tentang sebuah negeri di mana telah diutuskan kepada
penduduk negeri ini tiga Rasul dan mereka tidak menerimanya. Kemudian mereka didatangi seorang
lelaki lain yang diberi gelaran Habibunnajar (Ayat 20) yang menyokong tiga Rasul tersebut, lalu beliau
dibunuh dan dikira sebagai syahid. Selepas beliau syahid, ALLAH memerintahkan beliau agar masuk ke

dalam syurga (Ayat 26-27).

15. Menurut tafsiran beberapa ulama’, Habibunnajar adalah seorang yang sangat bagus kerana beliau
menasihati kaumnya ketika hidup (Ayat 21-25) dan selepas beliau meninggal dunia (Ayat 26-27). Itulah
yang dilakukan oleh para ulama’ yang mana ketika mereka hidup dan selepas mereka meninggal dunia,
masih tetap menasihati manusia dengan meninggalkan legasi keilmuan mereka melalui karya dan tulisan
mereka. Oleh sebab itu, kita harus membina legasi ilmu supaya kita boleh menasihati umat Islam ketika

masih hidup dan juga selepas mati. Allahu a’lam.

Sumber: Ust Abdullah Bukhari
Diolah: Asyraf Salleh

TADABBUR RINGKAS JUZUK 23 (SURAH YAASIN 28-83, SURAH AS-SAFFAT 1-182, SURAH SODD 1-88 &
SURAH AZ-ZUMAR 1-31)
12 Points

1. Juzuk ini mengandungi empat surah iaitu bahagian kedua Surah Yaasin, Surah As-Saffat, Surah Sodd
dan Surah Az-Zumar.

2. Ayat 28-31 Surah Yaasin menceritakan tentang kesudahan penduduk sebuah negeri (dikatakan
sebagai Antoqiah, Turki) yang mengingkari arahan Rasul yang diutus kepada mereka lalu mereka
dimusnahkan oleh ALLAH SWT dengan satu jeritan kuat oleh Jibril A.S. Di dalam surah ini juga ALLAH

SWT menceritakan tentang kuasa-NYA pada bumi, tanaman, kapal di lautan dan sebagainya.

3. Ayat 51-54 ALLAH SWT menceritakan mengenai peristiwa Akhirat seperti berlakunya tiupan
sangkakala lalu manusia terkejut dan mereka mempersoalkan siapa yang mengejutkan mereka daripada

tidur yang lama (Ayat 52). Ayat 55-58 pula adalah mengenai dialog Ahli Syurga yang menyatakan
kegembiraan mereka berada di dalam syurga kerana mendapat buah-buahan dan semua hajat yang
mereka kehendaki. Dan ALLAH SWT juga mengatakan ucapan kesejahteraan daripada Tuhan Yang Maha
Pengasih. Ini berlaku ketika para Ahli Syurga sedang menikmati pelbagai nikmat di Syurga, lalu ALLAH
SWT datang kepada mereka dengan memperlihatkan wajah-NYA kepada mereka. Sesungguhnya ini

adalah nikmat yang paling tingggi di dalam Syurga.

4. Di akhir Surah Yaasin ini ALLAH SWT menceritakan tentang seorang lelaki biadap pada zaman NABI
SAW (dikatakan namanya adalah Ubai Bin Khalaf) yang membawa tulang hancur berjumpa dengan NABI

SAW. Baginda ditanyakan siapa yang mampu menghidupkan tulang tersebut sedangkan ianya sudah
hancur berkecai di dalam tanah lalu ALLAH SWT menjawab bahawa jika ALLAH mampu mencipta tulang
yang pada asalnya tiada, maka tidak mustahil bagi-NYA untuk menghidupkan kembali tulang yang sudah

hancur itu (Ayat 77-83).

5. Dinamakan dengan Surah As-Saffat sebagai merujuk kepada para malaikat yang berada di dalam sof
yang teratur kerana melaksanakan arahan ALLAH SWT. Ayat 1- 10 menceritakan mengenai sifat para
malaikat dan langit yang dekat dihiasi dengan bintang-bintang sebagai perhiasan langit kepada manusia.
Ia juga menjadi penjaga daripada pencerobohan jin dan syaitan. Disebabkan itulah kebanyakan orang
yang mempelajari Ruqyah akan membaca 10 ayat ini kerana disebut di dalamnya bagaimana jin dan

syaitan yang cuba mencuri khabar dari langit akan dikejar tahi bintang.

6. Pada ayat 11-74 diceritakan mengenai peristiwa Akhirat di mana para Ahli Neraka saling menyalahi
antara satu sama lain manakala diceritakan juga mengenai nikmat Ahli Syurga. Perkara yang menarik di
dalam ayat ini adalah bagaimana ahli syurga bersosial sesama mereka dan mereka cuba mencari teman

mereka yang dahulu sewaktu di dunia kufur kepada ALLAH SWT. Lalu ALLAH menawarkan kepada
mereka untuk mencari teman-teman mereka yang berada di tengah-tengah neraka Jahannam (Ayat 54).

7. Bermula ayat ke 76 hingga akhir surah ini diceritakan mengenai kisah para Nabi seperti Nabi Nuh,
Nabi Ibrahim, Nabi Ishak, Nabi Ilyas dan sebagainya. Ayat 79 merupakan pujian kepada Nabi Nuh A.S.

oleh semua makhluk di alam semesta kerana Baginda merupakan bapa kedua manusia yang
bertanggungjawab menyelamatkan zuriat manusia. Ada yang menggunakan ayat ini untuk mengelakkan

bahaya dari binatang berbisa seperti ular dan kala jengking. Namun, di sana terdapat doa yang lebih
sahih daripada NABI SAW yang terlebih dahulu sepatutnya diamalkan untuk mengelakkan diri dari

bahaya makhluq jahat termasuk binatang berbisa.

8. Ayat 83 menceritakan mengenai Nabi Ibrahim A.S. yang memusnahkan berhala, kemudian Baginda
dibakar oleh musuh dan diselamatkan ALLAH SWT. Lalu Baginda lari menyelamatkan diri dan berdoa
agar dikurniakan zuriat yang soleh (Ayat 100). Kemudian, Nabi Ibrahim A.S. diberikan arahan untuk
menyembelih anaknya sendiri yang akhirnya digantikan dengan sembelihan yang lain (Ayat 102-107).

9. Ayat 139-148 adalah cerita berkenaan Nabi Yunus A.S. yang mana terdapat dua perkara menarik di
dalam kisah ini; i) ALLAH SWT memberitahu kenapa doa Nabi Yunus A.S. ketika berada di dalam perut

ikan dimakbulkan (Ayat 143). Ayat ini bermaksud sejauh mana ALLAH SWT akan memakbulkan doa
ketika di dalam kesusahan adalah bergantung sebanyak mana ingatnya kita kepada ALLAH SWT ketika di

dalam kesenangan. ii) Selepas Nabi Yunus A.S. dimuntahkan oleh ikan, Baginda jatuh sakit, kemudian
ditumbuhkan sejenis pokok untuk melindungi Baginda (Ayat 145-146). Timbul persoalan di sini kenapa

ALLAH SWT menurunkan dua ayat tersebut secara berturutan.

10. Di dalam Surah Sodd juga terdapat kisah para Nabi, antaranya Nabi Daud A.S. yang menyelesaikan
pertikaian antara dua pihak yang bertelagah (Ayat 21-26). Nasihat Nabi Daud A.S. pada ayat 24 relevan
sehingga sekarang terutama sebagai peringatan kepada mereka yang membuat perkongsian perniagaan

yang boleh melakukan kezaliman sesama mereka kecuali orang yang beriman dan saling menjaga
amanah.

11. Kisah Nabi Sulaiman A.S. juga disebut di dalam surah ini, bagaimana Baginda diuji dan Baginda
berdoa agar diberikan kerajaan dan kelebihan yang tidak akan diberikan kepada mana-mana manusia
lain selepasnya (Ayat 35). Ketika menafsirkan ayat ini, para ulama’ mengaitkannya dengan kisah di mana
NABI SAW diganggu oleh iblis (dikatakan Jin Ifrit), lalu Baginda menangkapnya dengan izin ALLAH SWT
dan bercadang untuk mengikatnya pada tiang Masjid Nabawi agar semua manusia boleh mengenali
bagaimanakah rupa iblis. Namun Baginda SAW bersabda, kalau bukan kerana doa Nabi Sulaiman pada

ayat 35 Surah Sodd ini, pastinya manusia boleh mengenali rupa jin dan syaitan.

12. Surah Az-Zumar yang bermaksud rombongan-rombongan merujuk kepada Ahli Syurga dan Ahli
Neraka yang berada di dalam rombongan masing-masing untuk ke destinasi mereka (disebut di akhir


Click to View FlipBook Version