surah ini). Ayat 17-18 surah ini menceritakan bagaimana ALLAH SWT memberikan khabar gembira
kepada mereka yang mendengar percakapan manusia, lalu memilih apa yang terbaik darinya. Mereka ini
adalah golongan yang mendapat hidayah ALLAH SWT dan diberikan akal yang bijak. Berdasarkan ayat
ini, kita mesti menjadi orang yang pandai memilih yang terbaik dan ayat ini boleh dijadikan doa untuk
kita semua amalkan. Allahu a’lam.
Sumber: Ust Abdullah Bukhari
Diolah: Asyraf Salleh
TADABBUR RINGKAS JUZUK 24 (SURAH AZ-ZUMAR 32-75, SURAH GHAFIR 1-85 & SURAH FUSSILAT 1-46)
13 Points
1. Juzuk ini mengandungi tiga surah iaitu bahagian akhir Surah Az-Zumar, Surah Ghafir (Allah Maha
Pengampun) dan Surah Fussilat (Dijelaskan Segala-galanya).
2. Ayat 42 Surah Az-Zumar adalah mengenai keajaiban jiwa dan roh manusia. ALLAH SWT memberitahu
bahawa DIA yang memegang jiwa manusia ketika manusia tidur dan mati. Oleh sebab itu, NABI SAW
mengajar kita doa sebelum tidur dan selepas bangun dari tidur ada kaitannya dengan hidup dan mati.
Ayat ini juga sangat luas perbincangannya terutama berkaitan dengan roh dan otak manusia.
3. Ayat 53-55 memberitahu kita supaya tidak berputus asa dengan rahmat ALLAH SWT. Ayat 53
merupakan ayat yang mempunyai harapan paling tinggi kerana padanya terdapat panggilan ALLAH SWT
terhadap hamba-hamba yang melampaui batas supaya tidak berputus asa dengan rahmat-NYA. Ayat ini
boleh digunakan sebagai memberi harapan kepada hamba yang melakukan dosa dan kesalahan agar
kembali bertaubat kerana pintu taubat sentiasa terbuka.
4. Kisah berkenaan Ahli Neraka dan Ahli Syurga yang dikumpulkan bersama rombongan masing-masing
diceritakan pada bahagian akhir Surah Az-Zumar (Ayat 71-75). Rombongan Syurga mendapat
penghormatan daripada malaikat dan dibawa ke Syurga manakala rombongan Neraka menerima
penghinaan dan dibawa ke Neraka.
5. Surah Ghafir mempunyai dua maksud iaitu; i) Maha Pengampun (Ayat 3), ii) Dikenali juga sebagai
Surah Mukmin kerana padanya terdapat kisah orang beriman yang menyembunyikan imannya (Ayat 28).
6. Ayat 7-9 menceritakan tentang Malaikat Pemikul ‘Arash yang sentiasa bertasbih kepada ALLAH SWT
dan mendoakan keampunan bagi orang beriman. Antara doa para malaikat adalah kita dimasukkan ke
dalam Syurga bersama ahli keluarga kita yang soleh dan dijauhkan dari azab Neraka. Inilah kelebihan
orang beriman yang sentiasa didoakan oleh para malaikat walaupun ketika tidur. Semoga kita semua
tergolong di dalamnya.
7. Ayat 23-46 pula adalah berkenaan kisah Nabi Musa A.S. dan Firaun. Menariknya, di dalam kisah ini,
terdapat cerita mengenai seorang lelaki beriman yang menyembunyikan imannya dalam kalangan
bangsa Firaun, yang cuba mempertahankan Nabi Musa A.S. daripada dibunuh (Ayat 28). Namun, nyawa
beliau juga turut terancam dan ALLAH SWT menyelamatkannya dari kejahatan bangsa Firaun (Ayat 45).
8. Namun, keberanian Abu Bakar As-Siddiq lebih hebat dari lelaki ini. Pada suatu ketika, Ali R.A. pernah
menceritakan bahawa NABI SAW diganggu ketika berada di Kaabah. Tiada siapa yang berani
mempertahankan NABI SAW pada waktu itu melainkan Abu Bakar As-Siddiq. Beliau mendekati NABI
SAW dan melindungi Baginda SAW daripada dipukul oleh kaum musyrikin Quraisy. Abu Bakar As-Siddiq
menggunakan dialog sama yang digunakan oleh lelaki beriman di dalam ayat 28 Surah Ghafir, “Patutkah
kamu membunuh lelaki ini semata-mata kerana dia mengatakan Tuhannya adalah ALLAH?” Namun, Abu
Bakar As-Siddiq lebih berani dari lelaki beriman tersebut kerana Abu Bakar As-Siddiq mengisytiharkan
imannya manakala lelaki tersebut menyembunyikan imannya.
9. Ayat 47-52 menceritakan tentang peristiwa Akhirat yang mana ahli keluarga Firaun dipertontonkan
dengan azab pagi dan petang.
10. Dinamakan sebagai Surah Fussilat kerana di dalam Al-Quran dijelaskan semua perkara sebagai
panduan kepada umat manusia. Pada ayat 9-12 diceritakan mengenai peringkat penciptaan alam
semesta seperti diciptakan bumi dalam tempoh dua masa, diciptakan gunung padanya dan diberikan
keberkatan, diciptakan langit sebanyak tujuh lapisan dalam tempoh dua masa yang lain dan sebagainya.
11. Ayat 13-18 menceritakan tentang kisah dua umat manusia yang pernah wujud di dunia iaitu kaum
‘Aad dan kaum Tsamud manakala ayat 30 adalah mengenai kelebihan orang yang Istiqamah dan
konsisten dalam keimanannya. Mereka mendapat khabar gembira dalam beberapa ketika iaitu; i) ketika
meninggal dunia, ii) ketika berada di Alam Barzakh, iii) ketika berada di Akhirat.
12. ALLAH SWT mengajar kita tentang cara menghindari kejahatan syaitan manusia yang sentiasa ingin
melakukan kejahatan (Ayat 34-35). Caranya adalah dengan membalas kejahatan tersebut dengan
kebaikan walaupun sukar untuk dilakukan, namun ianya amat berkesan. Kejahatan untuk menghindari
kejahatan syaitan jin adalah dengan meminta perlindungan dari ALLAH SWT (Ayat 36).
13. Pada ayat 37 terdapat prinsip saintifik yang perlu jelas pada diri orang beriman, iaitu walaupun
terdapat kehebatan pada penciptaan malam, siang, langit dan bumi, ALLAH SWT jualah yang selayaknya
disembah. Janganlah kita terlalu kagum pada kanvas alam ini yang menakjubkan, kerana ALLAH SWT
adalah pelukis dan penciptannya.
Sumber: Ust Abdullah Bukhari
Diolah: Asyraf Salleh
TADABBUR RINGKAS JUZUK 25 (SURAH FUSSILAT 47-54, SURAH AS-SYURA 1-53, SURAH AZ-ZUKHRUF 1-
89, SURAH AD-DUKHAN 1-59 & SURAH AL-JATSIAH 1-37)
15 Points
1. Juzuk ini mengandungi lima surah iaitu muka surat terakhir Surah Fussilat, Surah As-Syura
(Mesyuarat), Surah Az-Zukhruf (Perhiasan), Surah Ad-Dukhan (Asap) dan Surah Al-Jatsiah (Orang yang
berlutut).
2. Ayat 53 Surah Fussilat menceritakan tentang tanda-tanda kebesaran ALLAH SWT yang akan
didedahkan sedikit demi sedikit pada tubuh badan manusia dan di ufuk alam maya (gelombang, wifi dsb)
bersesuaian dengan perkembangan ilmu manusia. Ayat ini memberikan galakan untuk membuat kajian-
kajian ilmiah yang boleh memberikan manfaat kepada manusia dan membuktikan kebesaran ALLAH
SWT.
3. Dinamakan As-Syura bersempena dengan ayat 38 surah ini yang menyatakan bahawa antara sifat
orang beriman adalah sentiasa melakukan syura (mesyuarat) untuk mencari keputusan yang terbaik.
Pada bahagian hujung ayat 11, ALLAH SWT menyatakan bahawa tiada suatu pun yang boleh menyerupai
ALLAH SWT. Justeru itu, kita sangat dilarang untuk menyamakan ALLAH SWT dengan apa jua makhluk
yang ada di alam ini.
4. Ayat 21 Surah As-Syura menyatakan larangan mencipta syariat baru di dalam agama. Orang yang
mencipta syariat baru ini sedang mencabar kuasa ALLAH SWT kerana seolah-olah DIA telah
mewahyukan kepada orang tersebut untuk mencipta sebarang syariat baru. Di dalam ayat 23, kita
disuruh supaya berlaku baik kepada Ahlil Bait RASULULLAH SAW manakala di dalam ayat 27-28
diceritakan mengenai rahsia rezeki yang mana ada manusia yang dilapangkan rezeki dan ada yang
disempitkan rezeki. Kesemua itu berlaku dengan hikmahnya yang tersendiri. Ayat ini juga merupakan
dalil jelas yang memberitahu bahawa hujan adalah rahmat dari ALLAH SWT (Ayat 28). Di atas sebab itu
jugalah, antara doa yang mustajab adalah ketika turunnya hujan.
5. Ayat 29 menceritakan tentang adanya makhluq yang melata di langit dan bumi. Prof. Dr. Wahbah
Zuhaili mengatakan bahawa terdapat makhluq selain manusia manakala malaikat tidak termasuk di
dalam kategori ini kerana ALLAH menggunakan perkataan ‘Ad-Dabbah’ yang mana ianya merupakan
spiesis seperti manusia dan haiwan. Justeru, ia menjadi persoalan kepada kita untuk membuat kajian
selanjutnya yang lebih mendalam, adakah terdapat makhluq lain (yang kita namakan sebagai makhluq
asing), di planet selain Bumi? Allahu a’lam.
6. ALLAH SWT memberitahu bahawa segala musibah yang menimpa diri manusia itu adalah disebabkan
kesalahan manusia itu sendiri seperti masalah kesihatan yang berpunca dari kelalaian kita yang tidak
menjaganya dengan baik. Namun begitu, menurut seorang Tabiin yang bernama Adhaq, seorang
penghafaz Quran ditimpa musibah melupai Al-Quran disebabkan oleh diri sendiri yang tidak
mengulangkaji hafazan yang telah dihafaz (Ayat 30).
7. Di dalam ayat 49-50 dinyatakan mengenai ujian ALLAH SWT kepada hamba-NYA. Ada yang diberikan
anak yang berbeza jantina seperti yang diinginkan dan ALLAH lah yang menentukan jantina tersebut
mengikut kehendak-NYA. Ada yang sudah ditentukan oleh ALLAH SWT tentang jodohnya dan ada yang
dijadikan mandul seperti Nabi Zakaria A.S. pada awalnya sehinggalah Baginda dikurniakan anak.
8. Ayat 51 Surah As-Syura menceritakan tentang sifat manusia yang tidak boleh melihat ALLAH SWT dan
hanya boleh bercakap dengan-NYA melalui wahyu. Ketika peristiwa Mikraj yang mana NABI SAW naik ke
langit, sesetengah sahabat R.A. mengatakan Baginda SAW melihat ALLAH SWT, namun Aisyah R.A.
menafikan perkara tersebut dengan membawakan beberapa dalil dari Al-Quran, antaranya ialah ayat 51
surah ini dan ayat 103 Surah Al-An’am. Di dalam ayat 52 pula menyatakan bahawa NABI SAW tidak
pernah menyangka Baginda akan diberikan wahyu oleh ALLAH SWT.
9. ALLAH SWT menceritakan tentang pemberian nikmat-NYA yang pelbagai kepada manusia seperti
kenderaan yang disebut di dalam ayat 12-14 Surah Az-Zukhruf. Pada ayat 13-14 terdapatnya doa yang
sesuai diamalkan sebelum menaiki kenderaan. Ayat 18-19 pula adalah tempelak ALLAH SWT kepada
kaum musyrikin yang mengatakan bahawa malaikat itu adalah anak perempuan ALLAH SWT.
Berdasarkan ayat ini, para ulama’ tafsir mengatakan bahawa anak perempuan dibolehkan untuk
memakai perhiasan, tidak pada anak lelaki.
10. Kisah Nabi Ibrahim A.S. diceritakan pada ayat 26-32 yang mana menceritakan bagaimana Baginda
A.S. meletakkan kalimah Tauhid sebagai kalimah yang kekal untuk zuriat keturunan Baginda (Ayat 28)
manakala diceritakan juga mengenai kisah Nabi Musa A.S. dan Firaun pada ayat 46-56.
11. Ayat 57 Surah Az-Zukhruf boleh disalah tafsir jika tidak difahami dan dibaca bersama ayat 98 Surah
Al-Anbiya’. Ketika NABI SAW membacakan ayat 98 Surah Al-Anbiya’ kepada kaum musyrikin, mereka
berasa gementar dan berdiam diri. Namun, datang seorang penyair, Ibnu Ziba’ri mencabar NABI SAW
dengan mengatakan bahawa Nabi Isa A.S. juga termasuk sembahan selain ALLAH yang disembah oleh
orang Nasrani, adakah Nabi Isa A.S. juga akan dimasukkan ke neraka jika berdasarkan ayat 98 tersebut?
Apabila kaum musyrikin mendengar hujah ini, lalu mereka pun bersorak gembira (seperti yang
dinyatakan di dalam ayat 57 Surah Az-Zukhruf).
12. Hujah tersebut adalah hujah yang sangat rapuh kerana perkataan “wa ma” di dalam ayat 98 Surah
Al-Anbiya’ adalah merujuk kepada sesuatu yang tidak berakal seperti berhala, patung dsb sedangkan
Nabi Isa A.S. itu adalah seorang manusia.
13. Ayat 67 menceritakan tentang teman rapat kita di dunia ini akan menjadi musuh di Akhirat kelak
melainkan orang yang bertaqwa kerana persahabatan orang bertaqwa adalah persahabatan sejati yang
kekal sehingga ke Akhirat. Di dalam ayat 71 pula diceritakan tentang nikmat syurga yang akan diberikan
kepada orang yang beriman. Menariknya, apabila Al-Quran menceritakan tentang nikmat syurga kepada
kaum lelaki, biasanya disebut perihal bidadari syurga, namun ayat 71 memberitahu nikmat syurga secara
umum yang diberikan kepada kaum perempuan. Mengapa? Ini kerana kehendak lelaki lebih tertumpu
kepada wanita manakala kehendak wanita adalah lebih luas skopnya seperti suka kepada emas, perak,
kain dan sebagainya. Ini bermakna ALLAH SWT sangat adil dalam meraikan fitrah manusia yang pelbagai.
Subhanallah!!
14. Asap yang diceritakan di dalam Surah Ad-Dukhan bukanlah asap akhir zaman, tetapi ia merujuk
kepada asap disebabkan oleh kemarau panjang yang menimpa musyrikin di Mekah sebagai bala ALLAH
SWT kepada mereka. Ayat 12 surah ini adalah merupakan doa kaum musyrikin agar dihindarkan azab
tersebut barulah mereka akan beriman kepada ALLAH dan Rasul-NYA. Kisah kematian Firaun yang tidak
diterima dan ditangisi pun oleh langit, bumi serta penduduknya diceritakan pada ayat 29. Hal ini berbeza
dengan orang beriman yang akan ditangisi kematiannya oleh langit dan bumi.
15. Dinamakan sebagai Surah Al-Jatsiah bersempena dengan kisah manusia yang dikumpulkan di
Mahsyar kelak, mereka berada dalam keadaan ketakutan yang teramat sangat tatkala melihat azab
ALLAH SWT. Lalu mereka jatuh berlutut di atas lutut mereka dan tidak mampu lagi berdiri dek kerana
terlampaunya rasa takut yang menimpa diri mereka. Mesej utama surah ini adalah pada ayat 23 yang
mengatakan bahawa nafsu boleh menjadi tuhan sembahan manusia yang gila. Nafsu hanyalah sebagai
pelengkap di dalam kehidupan manusia. Tanpa nafsu, manusia mungkin tidak akan berkembang, namun
keterlaluan mengikut nafsu menjadikan manusia lebih teruk berbanding haiwan. Allahu a’lam.
Sumber: Ust Abdullah Bukhari
Diolah: Asyraf Salleh
TADABBUR RINGKAS JUZUK 26 (SURAH AL-AHQAF 1-35, MUHAMMAD 1-38, AL-FATH 1-29, AL-HUJURAT
1-18, QAF 1-45 & ADZ-DZARIYAT 1-30)
15 Points
1. Juzuk ini mengandungi enam surah iaitu Surah Al-Ahqaf (Bukit Pasir), Surah Muhammad, Surah Al-
Fath, Surah Al-Hujurat, Surah Qaf & Surah Adz-Dzariyat.
2. Surah Al-Ahqaf bermaksud bukit pasir. Ia adalah tempat tinggal Kaum ‘Aad, bertempat di Yaman yang
diutuskan kepada mereka Nabi Hud A.S. Ayat 4 surah ini mempunyai satu perkataan yang perlu dibaca
dengan cara yang unik dan tidak mengikut kaedah yang biasa ( ). Ayat 9 pula adalah penegasan NABI
SAW bahawa Baginda tidak mengetahui perkara ghaib manakala ayat 15 adalah perbincangan tentang
tanggungjawab seorang anak untuk berlaku baik terhadap ibu bapa.
3. Ayat 15 ini menekankan untuk berbakti kepada ibu dek kerana tempoh kandungan dan susuannya
adalah selama 30 bulan. Di dalam ayat 223 Surah Al-Baqarah dinyatakan bahawa tempoh penyusuan
lengkap selama 2 tahun lengkap. Jadi, tempoh minimum mengandung adalah selama 6 bulan.
Berdasarkan fakta inilah, para ulama’ berfatwa, kandungan yang berusia 6 bulan dan ke atas dikira
sebagai anak sah taraf. Ayat ini juga membincangkan umur dewasa bagi seorang lelaki adalah 40 tahun.
Jadi, dinasihatkan kepada mereka yang telah mencapai umur ini agar segera bermuhasabah tentang diri
sendiri dan mentaati ALLAH SWT.
4. Ayat 20 pula ALLAH menyatakan tentang hari di mana orang kafir didedahkan dengan azab neraka,
lalu hilanglah semua kenikmatan yang mereka rasai ketika di dunia dulu. Para sahabat sangat bimbang
perkara ini berlaku ke atas mereka ketika membaca ayat ini.
5. Menariknya, pada ayat 29-32, terdapat kisah mengenai sekumpulan jin yang dihadapkan oleh ALLAH
SWT kepada RASULULLAH SAW untuk diperdengarkan bacaan Al-Quran. Lalu para jin ini pulang dan
berdakwah kepada bangsa mereka. Adab supaya fokus dan diam apabila mendengar Al-Quran
dibacakan disebut di dalam ayat 29 Surah Al-Ahqaf ini sama seperti ayat 204 Surah Al-A’raf.
6. Dinamakan Surah Muhammad bersempena dengan nama NABI SAW kerana di awal surah ini disebut
mengenai Baginda SAW. Ayat 4 surah ini menceritakan tentang apa yang perlu dilakukan semasa dan
selepas peperangan. Ayat ini sering disalah fahami oleh sesetengah golongan ekstrem yang mengatakan
bahawa Islam memberi kebenaran untuk umatnya memenggal kepala orang kafir. Walhal, ayat 4 ini
perlu difahami di dalam konteks peperangan.
7. Ayat 15 Surah Muhammad menceritakan tentang empat batang sungai yang ajaib di dalam Syurga
iaitu; i) Sungai dari air bersih yang tidak berubah warna dan rasa, ii) Sungai dari susu yang tidak berubah
warna dan rasa, iii) Sungai dari arak yang boleh diminum dan iv) Sungai dari madu yang bersih.
8. Di dalam ayat 19 pula, NABI SAW diminta agar berdoa untuk keampunan di atas dosa yang dilakukan
dan memohon keampunan untuk seluruh orang beriman. Dua perkara menarik di dalam ayat ini; 1)
ALLAH SWT mengajar NABI SAW supaya bersikap rendah diri, walaupun Baginda adalah seorang yang
maksum (dilindungi dari melakukan dosa), Baginda SAW pun digalakkan untuk berdoa, ii) Selitkan
bersama doa memohon keampunan untuk seluruh orang beriman, lelaki dan perempuan di dalam doa.
9. Ayat 37-38 adalah nasihat ALLAH SWT kepada umat Islam supaya bersedekah. Sesungguhnya sedekah
yang diminta itu cumalah sedikit kerana ianya boleh menyebabkan kamu menjadi bakhil dan
menimbulkan kemarahan, dengki dan sebagainya. Inilah hikmah pengeluaran zakat yang mana ianya
dapat membersihkan jiwa dan hati manusia dari sifat buruk.
10. Surah Al-Fath bermaksud Pembukaan atau Kemenangan. Secara umumnya surah ini adalah kisah
mengenai kemenangan Umat Islam selepas Perjanjian Hudaibiyah dan surah ini sangat menggembirakan
hati RASULULLAH SAW.
11. Pada ayat 27, ALLAH SWT membenarkan mimpi yang dilihat oleh NABI SAW yang mana Baginda
bermimpi menunaikan umrah bersama-sama dengan para sahabat R.A. Berikutan mimpi tersebut, NABI
SAW keluar menuju ke Mekah untuk menunaikan umrah pada tahun ke-6 Hijri. Namun, Baginda SAW
dihalang dan termeterai lah Perjajian Hudaibiyah.
12. Surah Al-Fath turun sekembalinya NABI SAW dari Hudaibiyah. ALLAH SWT memberikan jaminan
kemenangan dan kejayaan untuk umat Islam seluruhnya. Para ulama’ mentafsirkan, jika tidak terjadinya
Perjanjian Hudaibiyah dan umat Islam tidak dihalang, sudah tentu kemenangan Islam dalam menakluki
semula Mekah pada tahun ke-8 Hijrah tidak akan berlaku.
13. Surah Al-Hujurat yang bermaksud bilik-bilik, membincangkan tentang adab-adab bersosial. Surah ini
sangat sesuai untuk difahami dan dihayati pada era penggunaan media sosial yang tiada sempadan
seperti hari ini. Berita disebar tanpa disemak kesahihannya, ejek-mengejek sesama manusia, sindir-
menyindir berlaku, berburuk sangka, mengumpat secara besar-besaran dan sebagainya. Semua adab
dan sikap yang sepatutnya diamalkan ketika bersosial sesama manusia, diajar dan diberitahu di dalam
Surah Al-Hujurat. Ianya juga boleh menjadi benteng penghalang dari terlibat di dalam dosa-dosa sosial
yang berlaku tanpa kita sedari.
14. Surah Qaf yang merupakan Surah Makkiyyah (diturunkan di Mekah) menceritakan perihal Akhirat. Di
dalam ayat 18 surah ini, ALLAH SWT menyatakan bahawa setiap perkataan yang kita sebut akan dicatat
oleh malaikat samada yang baik mahupun yang buruk. Pada zaman media sosial yang berleluasa, segala
tulisan yang ditulis oleh tangan juga akan dicatat dan dipertanggungjawabkan di Akhirat kelak.
15. Ayat 22 pula menceritakan perihal Hari Kebangkitan di mana manusia dibangkitkan semula dan
diperlihatkan suasana Akhirat yang dahulunya mereka tidak percaya dan beriman dengannya. Allahu
a’lam.
Sumber: Ust Abdullah Bukhari
Diolah: Asyraf Salleh
TADABBUR RINGKAS JUZUK 27 (SURAH ADZ-DZARIYAT 31-60, AT-TUR 1-49, AN-NAJM 1-62, AL-QAMAR
1-55, AR-RAHMAN 1-78, AL-WAQI’AH 1-96, AL-HADID 1-29)
15 Points
1. Juzuk ini mengandungi tujuh surah bermula dari surah ke-51 iaitu Surah Adz-Dzariyat sehingga Surah
Al-Hadid.
2. Adz-Dzariyat bermaksud angin yang bertiup. Ayat 56 surah ini membincangkan tentang tujuan utama
jin dan manusia diciptakan iaitu untuk beribadat kepada ALLAH SWT. Ayat ini perlu difahami sebaiknya
dengan menghayati ayat-ayat seterusnya di mana ALLAH mengatakan bahawa DIA tidak sekali pun
memerlukan makhluq, bahkan makhluq lah yang memerlukan ALLAH SWT kerana DIA yang Maha
Pemberi Rezeki dan Maha Kukuh kekuasaan-NYA (Ayat 57-58). Berdasarkan tiga ayat ini, para ulama’
menafsirkan bahawa ALLAH SWT sangat marah pada hamba-NYA yang sibuk mencari rezeki sehingga
lupa menunaikan solat kerana ianya seolah-olah menjadikan majikannya sebagai tuhan yang memberi
rezeki.
3. Dinamakan dengan nama At-Tur kerana di awal surah ini ALLAH SWT bersumpah dengan Gunung
Tursinai. ALLAH SWT juga bersumpah dengan beberapa perkara lain di dalam surah ini selain Gunung
Tursinai, iaitu seperti bersumpah dengan Kaabah di Mekah dan lautan yang mempunyai api di dalamnya.
4. Di dalam Surah At-Tur juga diceritakan tentang balasan bagi orang yang menentang ALLAH SWT dan
ganjaran bagi mereka yang beriman dengan-NYA. Menariknya, ALLAH SWT berjanji bahawa orang
beriman akan dikumpulkan bersama dengan zuriat keturunan mereka di Syurga kelak, dengan syarat
mereka semua beriman kepada ALLAH SWT (Ayat 21). Ayat 25-28 adalah perkumpulan semula (reunion)
ahli Syurga yang mana mereka saling berkata tentang amalan mereka di dunia yang menyebabkan
mereka diberikan ganjaran syurga.
5. Peristiwa menarik di dalam Surah An-Najm (Bintang) adalah berkaitan dengan kisah NABI SAW naik ke
langit di dalam peristiwa perjalanan Isra’ dan Mikraj. Bukti NABI SAW Isra’ (bergerak dari Masjidil Haram
ke Masjidil Aqsa) berada pada ayat pertama Surah Al-Isra’ manakala Mikraj NABI SAW (naik ke langit)
diceritakan di dalam Surah An-Najm bermula ayat pertama sehingga ayat 18 yang mana berkaitan
dengan apa yang telah disaksikan oleh Baginda SAW di langit.
6. Ayat 32 Surah An-Najm adalah teguran ALLAH SWT kepada manusia supaya tidak memuji diri sendiri
kerana bersih dari segala dosa kerana hanya DIA yang tahu siapakah yang bertaqwa dalam kalangan
hamba-NYA. Larangan ini bermaksud kita tidak boleh beranggapan bahawa diri kita lebih baik dan lebih
suci dari dosa berbanding orang lain. Menariknya, sekali lagi prinsip di dalam Islam diceritakan pada ayat
38-39 yang mana tiada sesiapa yang akan menanggung dosa orang lain melainkan dosanya sendiri.
ALLAH SWT memberitahu ketawa dan menangis itu adalah bukti kekuasaan-NYA (Ayat 43). Namun
begitu, kita tidak dibenarkan untuk ketawa secara berlebihan kerana ianya boleh menyebabkan hati kita
mati dan memudharatkan kesihatan rohani.
7. Surah Al-Qamar (Bulan) menceritakan tentang kisah-kisah Nabi A.S. seperti Nabi Nuh, Nabi Hud, Nabi
Soleh, Nabi Lut dan sebagainya. Di awal surah ini, diceritakan tentang NABI SAW yang diberikan mukjizat
membelah bulan (Ayat 1-2). Ayat 44-45 diturunkan di Mekah dan Aisyah R.A. pada ketika itu masih lagi
seorang kanak-kanak. Namun kedua-dua ayat ini dibaca semula oleh NABI SAW di dalam Perang Badar
selepas Baginda SAW berdoa. Ini menunjukkan bukti kekuasaan ALLAH SWT yang mengetahui apa yang
akan berlaku pada masa hadapan kerana ayat ini diturunkan sebelum berlakunya peristiwa tersebut.
8. Surah Ar-Rahman bermaksud ALLAH SWT yang Maha Pemurah dan kemuncak sifat Pemurah ALLAH
SWT disebut di dalam ayat 1-2 yang mana surah ini dimulakan dengan menyebut AL-Quran. Ini
menunjukkan bahawa Al-Quran adalah bukti ALLAH SWT Maha Pemurah. Dengan adanya Al-Quran,
semua perkara wujud. Di dalam surah ini diulang sebanyak 31 kali ayat sama yang menyoal sekalian
manusia dan jin, apakah nikmat ALLAH SWT yang hendak didustakan?
9. Di dalam Surah Ar-Rahman ini juga terdapat kisah ahli Neraka (Ayat 35-45) dan ahli Syurga (46-78).
Terdapat dua jenis syurga diceritakan di dalam surah ini iaitu Syurga Kelas Tinggi dan Syurga Kelas
Rendah.
10. Sebahagian ulama’ tafsir membuat empat pecahan pada 31 ayat sama yang diulang-ulang dalam
surah ini, iaitu (8-7-8-8); i) Lapan pengulangan yang pertama adalah berkenaan pelbagai nikmat ALLAH
SWT berikan, nikmat yang manakah manusia dan jin akan beriman? ii) Tujuh pengulangan yang
berikutnya diulang kepada ahli Neraka, kerana pada Neraka itu terdapat tujuh pintu, iii) Lapan
pengulangan yang berikutnya apabila menceritakan tentang nikmat Syurga Kelas Tinggi dan, iv) Lapan
pengulangan yang terakhir apabila diceritakan tentang nikmat Syurga Kelas Rendah. Lapan kali
pengulangan ini kerana pada Syurga itu terdapat lapan pintu.
11. Pecahan ini juga bermaksud, sesiapa yang beriman dengan lapan nikmat yang pertama, akan
dihindarkan dari tujuh yang kedua (iaitu Neraka) dan akan dimasukkan pada salah satu lapan yang ketiga
(Syurga Kelas Tinggi) atau lapan yang keempat (Syurga Kelas Rendah). Ini antara contoh keajaiban Surah
Ar-Rahman.
12. Surah Al-Waqi’ah menceritakan perihal peristiwa Kiamat. Jadi, kurang tepat untuk mengatakan
bahawa sesiapa yang membaca surah ini akan dimurahkan rezeki kerana tiada dalil yang sahih
mengatakan begitu. Isi kandungan sebenar surah ini menceritakan tentang tiga kumpulan yang
terbentuk apabila berlakunya kiamat. Kumpulan Pertama adalah golongan yang mempunyai keimanan
yang tinggi terhadap ALLAH SWT dan Rasul-NYA (Ahli VIP Syurga). Kumpulan Kedua adalah golongan
yang menerima buku amalan dengan tangan kanan (Ahli Syurga) manakala Kumpulan Ketiga (Ahli
Neraka) adalah golongan yang menerima buku amalan dengan tangan kiri. Apabila membaca surah ini,
berdoalah supaya dimasukkan bersama Kumpulan Pertama dan Kedua dan dihindarkan dari menjadi
Golongan Ketiga.
13. Pada awal Surah Al-Hadid (Besi) diceritakan tentang kelebihan bersedekah (Ayat 7), yang mana
ALLAH SWT mengatakan harta yang ada di sisi kita adalah milik ALLAH SWT dan kita hanyalah pemegang
amanah sahaja. Ayat 10 menceritakan tentang perbezaan ganjaran yang diterima oleh para sahabat
yang bergantung pada ketika mana mereka beriman samada sebelum atau selepas Pembukaan Kota
Mekah. Ayat 22-23 menceritakan tentang segala yang berlaku di bumi tidak terjadi dengan kebetulan
melainkan ianya telah berada di dalam pengetahuan ALLAH SWT. Ayat 25 mnceritakan tentang asal-usul
kejadian besi yang mana asalnya adalah daripada langit.
14. Dalam ayat 25, diturunkan dua perkara kepada Rasul yang diutuskan oleh ALLAH SWT, iaitu Kitab
yang mempunyai neraca timbangan ilmu dan besi. Ulama’ berpendapat bahawa kedua-dua perkara itu
(Kitab dan Besi) adalah bagaimana Islam yang akan dibawa oleh para Rasul dan ianya adalah kiasan yang
membawa maksud; i) Kitab sebagai hujah dan, ii) Besi itu adalah Peperangan yang berlaku untuk
mempertahankan diri dan mesti diikuti bersama dengannya Adab Berperang.
15. Dalam pendapat lain pula, ALLAH SWT menggunakan perkataan (Kami Turunkan) untuk kedua-dua
perkara tersebut untuk menjaga keaslian dan kehebatan Bahasa Al-Quran. Kemudian hujah ini dikuatkan
dengan mengatakan bahawa segala perkara yang ada di bumi adalah sebenarnya berasal dari langit
seperti air dan juga besi (di dalam ayat ini) dan ianya berlaku ketika fasa awal penciptaan alam semesta.
Allahu a’lam.
Sumber: Ust Abdullah Bukhari
Diolah: Asyraf Salleh
TADABBUR RINGKAS JUZUK 28 (SURAH AL-MUJADALAH, AL-HASHR, AL-MUMTAHANAH, AS-SOFF, AL-
JUMU’AH, AL-MUNAFIQUN, AT-TAGHABUN, AT-TALAQ, AT-TAHRIM)
15 Points
1. Juzuk ini dimulakan dengan kisah utama di dalam Surah Al-Mujadalah, iaitu berkenaan seorang wanita
yang telah diziharkan oleh suaminya lalu beliau mengadu kepada NABI SAW. Aisyah R.A. mengatakan
bahawa ALLAH SWT memang Maha Mendengar dan Maha Melihat kerana ketika wanita tersebut
mengadu kepada NABI SAW dalam keadaan berbisik, Aisyah R.A. hanya mendengar secara sayup-sayup
sahaja. Selepas itu, turun beberapa ayat awal surah ini menceritakan perihal zihar dan hukum
berkaitannya (Ayat 1-4).
2. Ayat 10 menceritakan tentang bisikan yang umumnya mengandungi elemen negatif seperti
mengumpat, membuat perancangan jahat dan sebagainya. Ianya adalah hasil daripada hasutan syaitan.
Ayat 11 pula menceritakan tentang adab di dalam majlis seperti melapangkan tempat di dalam sesuatu
majlis supaya lebih ramai boleh masuk, memenuhi ruang kosong dan sebagainya. Adab ini adalah seruan
untuk orang-orang beriman.
3. Surah AL-Hashr (Pengusiran) adalah kisah berkaitan dengan pengusiran kaum Yahudi Bani Nadhir dari
Madinah kerana mereka cuba untuk membunuh NABI SAW (Ayat 2-7). Di dalam surah ini juga
diceritakan berkenaan kualiti beberapa kategori sahabat NABI SAW R.A. seperti golongan Ansar yang
disebut oleh ALLAH SWT di dalam ayat 9 kerana mempunyai sifat terpuji iaitu itsar (mengutamakan
orang lain melebihi diri sendiri). Bulan Ramadhan mengajar kita untuk menanam sifat ini di dalam diri.
Ayat 11-16 adalah mengenai persekutuan yang wujud antara Yahudi di Madinah dan golongan munafiq.
4. Ayat 21-24 menceritakan tentang bagaimana bukit akan hancur jika diturunkan Al-Quran padanya
kerana takutkan ALLAH SWT dan kalam-NYA (Al-Quran). Di dalam ayat-ayat ini juga disebut beberapa
nama ALLAH SWT yang menggambarkan sifat-NYA dan sangat bagus untuk kita masukkan di dalam doa
kita.
5. Surah Al-Mumtahanah (Wanita yang Diuji) turun selepas Perjanjian Hudaibiyah yang ditandatangani
pada tahun ke-6 Hijrah. Di antara isi Perjanjian tersebut adalah orang Mekah yang lari ke Madinah,
hendaklah dihantar pulang manakala orang Madinah yang murtad dan pergi ke Mekah tidak perlu
dihantar semula. Ada seorang wanita Muslim yang lari ke Madinah dari suaminya yang kafir di Mekah
dan mengikut perjanjian ini, wanita tersebut perlu dihantar pulang. Namun, ALLAH SWT menurunkan
ayat 10-11 surah ini, memberikan pengecualian kepada wanita itu kerana perjanjian yang disebut di atas
hanya tertakluk kepada kaum lelaki. Bagi kes wanita tersebut, orang Madinah perlu membayar mahar
perkahwinan kepada bekas suaminya yang kafir.
6. Kisah menarik di dalam Surah Al-Mumtahanah adalah berkenaan Hatib bin Abi Balta’ah, seorang
sahabat NABI SAW dan merupakan Ahli Badar. Apabila RASULULLAH SAW membuat perancangan untuk
menggempur Kota Mekah pada tahun ke-8 Hijrah, Hatib secara senyap-senyap mengirim surat kepada
keluarganya di Mekah supaya bersiap sedia. Lalu ALLAH SWT menyampaikan berita tersebut kepada
NABI SAW melalui Malaikat Jibril A.S. dan kemudiannya Baginda SAW menghantar 3 orang sahabat
untuk menyekat pembawa surat dan mengambil surat tersebut.
7. Apabila sampai surat itu kepada RASULULLAH SAW, Baginda bertanya kepada Hatib mengapa
bertindak demikian. Lalu Hatib menjawab, beliau tidak berniat untuk membocorkan rahsia perancangan
RASULULLAH SAW, namun beliau bimbang akan keselamatan keluarganya kerana tiada penjaga.
Walaupun Umar Al-Khattab ingin membunuh Hatib dek kerana tindakannya yang boleh memusnahkan
rancangan RASULULLAH SAW, Baginda menghalang Umar kerana Ahli Badar mempunyai kedudukan
istimewa di sisi ALLAH SWT.
8. ALLAH SWT menurunkan ayat 1-3 Surah AL-Mumtahanah sebagai teguran kepada orang beriman agar
tidak mengambil musuh yang memusuhi Islam sebagai teman rapat. Di dalam ayat 8-9 diceritakan
berkenaan dua kategori orang kafir, iaitu yang tidak memusuhi Islam (Kafir Zimmi) dan yang memusuhi
Islam (Kafir Harbi).
9. Surah As-Soff (Bersaf-saf) menceritakan bagaimana ALLAH SWT sangat menyukai orang yang ingin
berjuang di jalan ALLAH dalam saf-saf tertentu yang diumpamakan dengan sebuah binaan yang kukuh
(Ayat 4). Terdapat juga kisah Nabi Musa A.S. yang disakiti oleh Bani Israil (Ayat 5) dan Nabi Isa A.S. yang
memberi khabar gembira akan datang seorang Nabi selepasnya yang bernama Ahmad (Ayat 6). Ini
adalah petanda yang disebut di dalam Kitab Taurat dan Injil tentang kelahiran Nabi akhir zaman iaitu
RASULULLAH SAW.
10. Diceritakan tentang teguran ALLAH SWT kepada Yahudi Madinah di dalam Surah Al-Jumu’ah kerana
merasakan mereka adalah wali (ayat 6). Diceritakan juga tentang kepentingan Solat Jumaat dan suruhan
ALLAH SWT agar keluar mencari rezeki (Ayat 9-11).
11. Surah Al-Munafiqun pula kisah mengenai orang munafiq. Apa yang menarik adalah pada ayat 10
yang menceritakan perkara yang akan kita kesali selepas kita mati, iaitu sedekah kerana tidak sempat
melakukannya ketika hidup di dunia. ALLAH SWT menyuruh kita bersedekah daripada apa yang telah
direzekikan kepada kita. Maka bersedekah lah pada waktu sekarang, bukan mengharap ketika ajal
datang.
12. Surah At-Taghabun menceritakan tentang Hari Kiamat sebagai hari penyesalan. Ayat 14 adalah
peringatan bahawa isteri dan anak-anak boleh menjadi musuh kepada diri kita yang menghalang dari
melakukan kebaikan. Kisah di sebalik ayat ini adalah berkenaan beberapa orang Muslim yang memeluk
Islam di tangan NABI SAW ketika di Mekah. Apabila diberikan arahan agar berhijrah ke Madinah,
golongan ini enggan berhijrah kerana sayangkan anak dan isteri mereka, lalu ALLAH SWT menurunkan
ayat ini sebagai teguran kepada mereka.
13. Surah At-Talaq mengisahkan perihal cerai, tempoh iddah, hak wanita dan sebagainya. Ayat yang
paling popular dalam kalangan masyarakat Melayu terdapat pada bahagian akhir ayat 2 dan keseluruhan
ayat 3, yang dikenali sebagai Ayat Seribu Dinar. Secara konteksnya, di awal ayat kedua, ALLAH
menceritakan apabila telah habis tempoh iddah seorang isteri, maka suami mempunyai dua pilihan
samada bercerai ataupun merujuk kembali isterinya. Kemudian ALLAH SWT memberikan jaminan
bahawa jika kita bertaqwa kepada-NYA, maka akan ditunjukkan pilihan yang terbaik kepada kita. Secara
umumnya, berdasarkan ayat ini, jika kita bertaqwa kepada ALLAH SWT, maka ALLAH akan memudahkan
rezeki kita.
14. Surah At-Tahrim (Pengharaman) menceritakan teguran ALLAH SWT kepada NABI SAW yang
bersumpah untuk mengharamkan apa yang dihalalkan oleh ALLAH demi menjaga hati isteri-isteri
Baginda SAW (Ayat 1). ALLAH SWT juga memberi amaran kepada isteri-isteri Baginda bahawa mereka
boleh diceraikan atas arahan ALLAH SWT dan menggantikan mereka dengan wanita yang lebih baik
(Ayat 4-5). ALLAH SWT memerintahkan ketua keluarga agar menjaga isteri dan anak-anak dari diazab di
Akhirat kelak (Ayat 6).
15. ALLAH SWT juga memberikan suruhan agar kita bertaubat dengan taubat yang sungguh-sungguh
(Taubat Nasuha) kerana taubat ini akan memasukkan kita ke dalam Syurga ALLAH SWT (Ayat 8). Ayat 10
menceritakan tentang isteri yang berada di bawah dua orang soleh (Nabi Nuh dan Nabi Lut), namun
keduanya mengkhianati suami mereka, lalu mereka dihumban ke dalam neraka. Ini menjadi salah satu
dalil bahawa suami tidak akan menanggung dosa isteri melainkan akan hanya menanggung dosa kerana
tidak mendidik isteri. Allahu a’lam.
Sumber: Ust Abdullah Bukhari
Diolah: Asyraf Salleh
TADABBUR RINGKAS JUZUK 29 (SURAH AL-MULK, AL-QALAM, AL-HAQQAH, AL-MA’ARIJ, NUH, AL-JIN, AL-
MUZZAMMIL, AL-MUDDATTSIR, AL-QIYAMAH, AL-INSAN, AL-MURSALAT)
15 Points
1. Juzuk ini mengandungi 11 surah yang bermula dengan Surah Al-Mulk dan berakhir dengan Surah Al-
Mursalat.
2. Di awal Surah Al-Mulk (Kerajaan), diceritakan tentang kekuasaan ALLAH SWT (Ayat 1). ALLAH meminta
kita ulang pandang ke langit untuk mencari kecacatan ciptaan Tuhan (Ayat 3-4) yang mana sudah
pastinya kita tidak akan menemuinya. Sesetengah ulama’ berpandangan perkataan ‘ulang pandang’
pada ayat ini bersamaan dengan prinsip kajian ilmiah sesuatu perkara yang bermula dengan persoalan
dan akhirnya menemui jawapan yang meyakinkan.
3. Pada ayat 6-7 Surah Al-Mulk, ALLAH menceritakan bagaimana Neraka menjerit kerana marah
terhadap ahli Neraka yang dicampakkan ke dalamnya. Terdapat ahli Neraka yang menyesal tidak
mendengar dan berfikir tentang peringatan yang diberikan kepada mereka ketika hidup di dunia (Ayat
10). ALLAH SWT juga menceritakan tentang kuasa-NYA yang boleh menarik kembali air yang telah
diberikan kepada manusia (Ayat 30). Maka bersyukurlah dengan kurniaan air yang telah ALLAH berikan
kepada kita.
4. Dinamakan dengan Surah Al-Qalam (Pena) kerana ALLAH SWT telah bersumpah dengannya di awal
surah ini (Ayat 1). Qalam adalah antara makhluq awal yang diciptakan dan diperintah kepadanya untuk
menulis taqdir yang akan berlaku di dunia. Ayat 16 adalah kisah mengenai lelaki Quraish yang dicela oleh
ALLAH SWT (dikatakan namanya adalah Al-Walid bin Mughirah). Di dalam ayat ini ALLAH SWT berkata
akan meletakkan tanda di atas hidungnya. Buktinya, ketika mayatnya ditemui selepas Perang Badar,
hidungnya telah terputus akibat dipotong oleh tentera Islam.
5. Di dalam surah ini juga terdapat kisah beberapa pemilik kebun yang mengelak dari mengutip hasil
kebun pada waktu biasa bagi mengelakkan dari bertemu dengan orang miskin yang menunggu untuk
meminta sedekah, lalu ALLAH memusnahkan kebun mereka dan mereka menyesal (Ayat 17-27).
6. Surah Al-Haqqah adalah nama lain bagi Kiamat, iaitu hari yang pasti akan terjadi. Di dalam surah ini
diceritakan peristiwa Kiamat seperti adanya golongan yang diberikan kitab amalan dengan tangan
kanan, ada yang terima dengan tangan kiri dan sebagainya (Ayat 19 & 25). ALLAH SWT juga menegaskan
bahawa NABI SAW tidak sekali-kali mencipta Al-Quran, bahkan DIA memberi amaran kepada NABI SAW
agar tidak mereka-reka sesuatu atas nama ALLAH, kerana balasannya akan dipotong urat jantung
Baginda SAW (Ayat 44-47). Sehingga Baginda SAW wafat, Baginda tidak pernah dipotong urat jantung
dan ini membuktikan kebenaran NABI SAW dan ajarannya.
7. Surah Al-Ma’arij (Tempat Naik) menceritakan tentang amalan manusia yang dibawa oleh malaikat
naik ke langit pada setiap hari (Ayat 4). Diceritakan juga di dalam surah ini tentang sifat manusia yang
keluh-kesah kerana kesusahan dan bersikap kedekut, lalu ALLAH SWT memberitahu cara mengubati sifat
ini adalah dengan menunaikan solat, membayar zakat, beriman dengan Hari Akhirat dan sebagainya (19-
34).
8. Surah Nuh adalah kisah berkenaan Nabi Nuh A.S. dari awal sehingga ke akhir surah. Di hujung surah
ini, Nabi Nuh A.S. mendoakan agar kaumnya dimusnahkan kerana sudah tiada harapan lagi untuk
mereka beriman kepada ALLAH SWT.
9. Surah Al-Jin diturunkan secara lengkap menceritakan perihal jin. Dunia jin adalah salah satu perkara
ghaib yang tidak kita ketahui melainkan dengan panduan dari Al-Quran dan Hadis NABI SAW. Para jin
mula beriman dengan RASULULLAH SAW setelah kumpulan pertama jin mendengar bacaan Al-Quran
Baginda SAW (Ayat 1-3). Sebelum kebangkitan NABI SAW, para jin ini biasanya akan naik ke langit dan
mencuri dengar berita langit. Namun selepas Baginda SAW dilantik menjadi Nabi, mereka tidak lagi
mampu mengetahui berita langit kerana dijaga oleh ALLAH SWT (Ayat 8-10).
10. Ayat 11 menceritakan terdapatnya golongan soleh dan sebaliknya dalam kalangan jin. Pada bahagian
akhir ayat ini dikatakan para jin mempunyai jalan yang berbeza-beza. Ulama’ mentafsirkan ayat ini
bahawa di dalam dunia jin juga wujudnya pelbagai agama, mazhab, tahap keimanan, budaya dan
sebagainya. ALLAH SWT juga menegaskan bahawa hanya DIA yang mengetahui perihal ghaib dan
perkara itu tidak akan didedahkan kepada sesiapa melainkan orang tertentu (Para Nabi dan Rasul).
11. Surah Al-Muzzammil (Orang Berselimut) adalah di antara surah awal yang diturunkan kepada NABI
SAW yang mana Baginda dikejutkan oleh ALLAH SWT untuk bangun menunaikan solat malam
(Qiamullail). Kelebihan malam adalah kerana pada waktu itu suasana lebih tenang dan lebih fokus untuk
beribadat kepada ALLAH SWT (Ayat 6). Surah ini juga memberitahu kepentingan untuk membaca Al-
Quran secara tartil dan bertajwid bersama dengan penghayatan terhadap ayat-ayat Al-Quran (Ayat 2).
12. Surah Al-Muddattsir juga bermaksud Orang Berselimut. Apa yang berbeza adalah di dalam Al-
Muzzammil, RASULULLAH SAW dikejut untuk menunaikan solat malam manakala di dalam Surah Al-
Muddattsir, Baginda SAW dikejut untuk bangun memberikan peringatan. Baginda dilantik sebagai Nabi
dengan turunnya Surah Al-‘Alaq (Ayat 1-5) manakala Baginda SAW dilantik sebagai Rasul apabila
turunnya Surah Al-Muddattsir (Ayat 1-2).
13. Antara kisah lain di dalam surah ini adalah bilangan Malaikat yang berada di dalam Neraka sebanyak
19 Malaikat (Ayat 30). Angka yang unik ini menjadi persoalan yang membingungkan kaum musyrikin
Mekah, namun ia menjadi penyebab berimannya para Ahli Kitab kerana bilangan yang sama diceritakan
di dalam Kitab Taurat.
14. Surah Al-Qiyamah banyak menceritakan peristiwa di Hari Akhirat kelak. Antaranya, wajah Ahli Syurga
yang berseri-seri kerana melihat wajah Tuhan mereka (Ayat 22-23). Ini adalah nikmat yang paling tinggi
yang akan kita perolehi apabila dimasukkan ke Syurga nanti. Insya-ALLAH. Surah Al-Insaan juga
menceritakan peristiwa Hari Akhirat yang mana ia banyak membincangkan tentang nikmat yang akan
dinikmati oleh Ahli Syurga seperti pakaian yang diperbuat dari sutera, dihiasi dengan perhiasan dan
diberikan minuman yang suci (Ayat 21).
15. Surah terakhir di dalam juzuk ini iaitu Surah Al-Mursalat (Angin yang bertiup secara berterusan) juga
membincangkan peristiwa Hari Akhirat yang mana manusia nanti akan dibahagikan kepada dua; Ahli
Syurga dan Ahli Neraka. Di dalam ayat 25-26, ALLAH SWT menceritakan fungsi Bumi iaitu tempat
simpanan orang hidup (di atas Bumi) dan yang mati (di dalam Bumi). Berdasarkan ayat ini, ulama’
bersepakat menyatakan hukum di atas Bumi adalah sama dengan hukum di dalamnya. Contohnya, jika
seseorang itu disabitkan dengan kesalahan mencuri, akan dipotong tangannya (berdasarkan ayat
Hudud) manakala hukum yang sama terpakai kepada pencuri kain kafan yang mencurinya daripada
mayat-mayat yang ditanam di dalam Bumi. Allahu a’lam.
Sumber: Ust Abdullah Bukhari
Diolah: Asyraf Salleh
TADABBUR RINGKAS JUZUK 30
10 Points
1. Juzuk terakhir ini mengandungi 37 surah bermula dari Surah An-Naba’ sehingga surah terakhir iaitu
Surah An-Naas.
2. Kebanyakan surah di dalam juzuk ini menceritakan berkenaan Kiamat seperti Surah An-Naba, An-
Nazi’at, Surah ‘Abasa, Surah At-Takwir, Al-Infitor, Al-Insyiqaq, Surah Al-Ghashiyah dan sebagainya.
3. Terdapat sedikit kisah berkenaan Nabi Musa dan Firaun di dalam Surah An-Nazi’at yang mana Firaun
mengaku dirinya sebagai tuhan pada ayat 15-26 manakala pada bahagian awal Surah ‘Abasa adalah
teguran ALLAH SWT kepada NABI SAW kerana Baginda berpaling dan tidak melayan soalan seorang
sahabat yang buta, iaitu Abdullah bin Umi Maktum ( ayat 1-12 ).
4. Ayat 8-9 Surah At-Takwir adalah berkenaan bayi yang ditanam hidup-hidup. Sebahagian dari kita akan
mengaitkan ayat ini dengan kisah Umar Al-Khattab sebelum beliau memeluk Islam yang mana popular di
kalangan kita, beliau membunuh anaknya hidup-hidup. Tiada riwayat yang sahih untuk kisah tersebut
dan ianya adalah tidak benar serta merupakan fitnah terbesar ke atas diri sahabat NABI SAW tersebut.
Isteri NABI SAW yang bernama Hafsah adalah anak sulung Umar Al-Khattab, jadi anak yang manakah
dibunuh oleh beliau?
5. Diceritakan berkenaan orang yang menipu di dalam Surah Al-Mutoffifin yang mana mereka diancam
dengan azab yang amat berat di Akhirat kelak. Bermula ayat 7 sehingga akhir surah adalah kisah
berkenaan kitab amalan dan tempat akhir bagi Ahli Syurga dan Ahli Neraka. Menariknya, pada ayat 29
surah ini, ALLAH SWT menempelak kembali orang musyrikin yang dahulunya mentertawakan orang
beriman, dan di Akhirat kelak, mereka akan ditertawakan oleh orang beriman yang telah mendapat
nikmat Syurga.
6. Di dalam Surah Al-Buruj, terdapat kisah berkenaan parit yang dipenuhi dengan api yang besar. Ianya
dibuat oleh seorang raja di satu negeri yang taksub dengan agamanya sendiri dan membakar rakyat
negerinya yang beriman kepada ALLAH SWT ( ayat 4-10 ).
Kisah ini diceritakan secara panjang lebar di dalam Hadis NABI SAW dan terkenal dengan tajuk ‘Ghulam
Dakwah’ (Kanak-kanak yang Berdakwah).
7. Surah At-Toriq menceritakan tentang Kiamat dan kejadian manusia manakala Surah Al-A’la adalah
berkenaan ALLAH yang Maha Tinggi dan suruhan supaya bertasbih kepada-NYA.
Surah Al-Fajr menceritakan tentang bagaimana manusia diuji dengan kesenangan dan kesusahan.
Manusia yang buta mata hatinya beranggapan bahawa ujian kesusahan itu sebagai satu penghinaan
manakala ujian kesenangan itu adalah satu kemuliaan, sedangkan ianya terpesong dari maksud sebenar
yang disampaikan di dalam surah ini ( ayat 15-16 ). Di hujung Surah Al-Fajr diceritakan tentang panggilan
ALLAH SWT kepada orang beriman dan mempunyai hati yang tenang untuk kembali kepada Tuhan
dalam keadaan yang berbahagia ( ayat 27-30 ).
8. Surah Al-Balad menceritakan sifat manusia dan bumi Mekah. ALLAH SWT menekankan bahawa
manusia diberikan dua mata, dua bibir dan satu lidah untuk mereka menunaikan tanggungjawab agama
yang tertentu ( ayat 8-10 ).
Surah As-Syams dan Al-Lail adalah berkenaan sumpah ALLAH SWT kepada beberapa makhluknya seperti
matahari, bulan, waktu malam dan sebagainya. Di dalam Surah As-Syams juga diceritakan tentang
kepentingan menjaga nafsu dari merosakkan diri manusia ( ayat 7-10 ).
9. Surah Al-‘Alaq adalah surah pertama yang diturunkan kepada NABI SAW. Di dalam surah ini terdapat
celaan kepada Abu Jahal apabila dia mengganggu NABI SAW menunaikan solat dan ALLAH SWT
menyuruh Baginda SAW untuk tetap menunaikan solat secara sempurna tanpa mempedulikannya ( ayat
9-17 ). Ayat terakhir surah ini ( ayat 19 ) adalah salah satu dalil yang mengatakan bahawa sujud adalah
waktu yang paling hampir dengan ALLAH SWT dan pada ketika ini jugalah adalah waktu dimakbulkan
doa kita.
10. Kemuncak Islam berada pada Surah Al-Ikhlas kerana keseluruhan surah ini adalah berkenaan Tauhid
dan ia menyamai 1/3 AL-Quran. Mesej dan tema utama Al-Quran terbahagi kepada tiga, iaitu; i) Aqidah
kepada ALLAH SWT, ii) Kisah para Nabi dan umat terdahulu sebagai pengajaran dan, iii) Hukum-hakam di
dalam Islam.
Allahu a’lam.
Sebagai penutup kepada Tadabbur RIngkas 30
Juzuk Al-Quran, kita mestilah berinteraksi
dengan Al-Quran melalui 2 kaedah iaitu;
i) KUANTITI:
Bacalah Al-Quran sebanyak mungkin dan
jadikan ia sebagai aktiviti seharian kerana satu
huruf Al-Quran yang dibaca bersamaan dengan
10 ganjaran pahala,
ii) KUALITI:
Tadabbur dan memahami ayat Al-Quran secara
lebih mendalam dan berperingkat-peringkat.
Sumber: Ust Abdullah Bukhari
Diolah: Asyraf Salleh