The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

5.12 Novel Zon 1 Songket Berbenang Emas.pptx

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by adauiahrobiatul, 2021-10-12 22:44:35

Songket Berbenang Emas

5.12 Novel Zon 1 Songket Berbenang Emas.pptx

SONGKET
BERBENANG

EMAS

Karya Khairuddin Ayip

1. SINOPISIS
Novel Songket Berbenang Emas mengisahkan kegigihan seorang gadis dalam
menempuh berbagai-bagai cabaran dan dugaan. Berlatar belakang Kampung Parit Haji
Rais, Dahlia tidak pernah menyalahkan nasib malang yang menimpa diri dan
keluarganya. Sebaliknya, dia berusaha sedaya-upaya menempuh semua ujian tersebut
dengan jiwa dan semangat yang kental. Cerita novel ini dimulakan dengan kisah Dahlia
yang sedang berlatih bola jaring bersama- sama rakan-rakannya di padang bola jaring di
sekolahnya. Semasa di padang, Dahlia teringat akan emaknya yang bersikap pelik sejak
akhir-akhir ini seperti bercakap sendirian di bawah pokok getah dan merayau tidak
tentu arah apabila menjelangnya waktu senja.

Azhari yang menemui Dahlia di kantin sekolah Dahlia untuk bertanyakan khabar
dirinya, persediaannya untuk menghadapi peperiksaan STPM, dan menyatakan hajatnya
membawa keluarganya ke rumah Dahlia untuk berbincang tentang hubungan mereka
secara serius. Dahlia menyatakan pendiriannya kepada Azhari bahawa keutamaannya
adalah untuk memberikan perhatian terhadap pelajaran dan membantu keluarganya
terlebih dahulu berbanding memikirkan soal perkahwinan.

Seterusnya, Azhari yang menghantar Dahlia pulang dari sekolah ke rumahnya
disambut dengan sapaan dan sindiran daripada jirannya, Aton dan tangisan adik
bongsunya, Anggerik yang menangis lantaran keengganan adiknya minum susu cair yang
dibancuh oleh Melati. Tindakan yang dilakukan Dahlia dengan memujuk dan membawa
emaknya yang mengalami masalah kemurungan dengan sedang bercakap sendirian dan
sesekali ketawa di kebun getah balik ke rumah menemui kegagalan. Nek Kiah meluahkan
rasa tidak puas hatinya terhadap menantunya, Embong yang dikatakan menjadi punca
nasib malang yang menimpa terhadap anaknya, Saleha sejak mereka berkahwin hingga
mempunyai enam orang anak.

Cabaran yang dilaluinya bermula daripada peristiwa ibunya, Saleha yang mengalami
penyakit kemurungan dan terpaksa dihantar ke Hospital Batu Pahat untuk rawatan
pemulihan. Embong meluahkan masalahnya kepada Dahlia tentang kesukarannya untuk
melakukan kerja memetik buah kelapa sawit di kebun Haji Sulaiman di kampung sebelah
kerana tiada orang untuk menjaga Anggerik. Pada hari yang lain, Embong memarahi Abu
Bakar kerana menjadi gelandangan dengan tidak pulang ke rumah selama tiga hari.
Disebabkan rasa takut, Abu Abu Bakar segera meninggalkan rumah.

Cerita diteruskan apabila Dahlia tiba di Hospital Batu Pahat untuk melawat emaknya
yang menerima rawatan di situ. Namun Haji Sulaiman memaklumkan kepadanya bahawa
emaknya telah dipindahkan ke Hospital Permai di Johor Bahru, Johor. Disebabkan adik
bongsunya demam panas, Dahlia memutuskan untuk tidak hadir ke sekolah bagi menjaga
adiknya yang sakit itu di rumah. Dahlia berusaha menyelamatkan Said yang tenggelam di
dasar sungai tetapi menemui kegagalan. Aton memaki hamun dan menuduh Embong
sebagai perancang kematian Said dan Dahlia dikatakan sebagai orang yang membunuh
anaknya itu menyebabkan sesetengah penduduk kampung yang tidak tahu cerita
sebenar turut terpengaruh dengan cerita palsu Aton.

Dahlia membawa Anggerik yang demam panas ke klinik dengan bantuan Najib dan
Kavita yang kebetulan datang berkunjung ke rumahnya. Sementara itu, Seman
memfitnah adik iparnya, iaitu Embong kepada ibunya, Nek Kiah yang dikatakan menjadi
punca Saleha menjadi gila selain memujuk dan mencadangkan emaknya menjualkan
tanah pusaka seluas lima ekar termasuk tapak rumah Embong. Seterusnya, Embong
mendapati dua ekor kambingnya telah dicuri.

Embong dipatuk oleh seekor ular tedung sewaktu berada di bilik mandi rumahnya
dan terpaksa ditahan di wad lelaki Hospital Batu Pahat selama seminggu. Nek Kiah
menyatakan kepada Dahlia bahawa tanah tapak rumahnya sudah dipersetujuinya untuk
dijual. Kedatangan Najib dan Azhari secara kebetulan ke rumah Dahlia telah
mengundang rasa kurang selesa terhadap Dahlia. Akibat dendamnya yang membara,
ketika bersama-sama penduduk kampung bergotong-royong untuk menyiapkan
hidangan bagi Majlis Sambutan Maulidur Rasul di kampungnya, Aton semakin galak
menyindir dan memfitnah Dahlia sebagai seorang gadis murahan.

Kata-kata fitnah Aton itu telah mengundang rasa marah Abu Bakar yang cuba
untuk menyerang Aton tetapi berjaya dihalang oleh Haji Sulaiman. Ketika di rumah,
Abu Bakar memujuk kakaknya yang sedang menangis dan bersedih atas tohmahan dan
fitnah Aton itu. Abu Bakar juga mengakui kesalahannya yang mencuri dan menjual
kambing milik ayahnya dengan membuat pengakuan yang sebenar kepada ayahnya.

Abu Bakar menemukan bekas yang berbalut kain merah mengandungi
telur busuk menyebabkan dia yakin kesusahan keluarganya akibat dibuat
orang, namun Dahlia tidak mempercayainya. Seterusnya, Nek Kiah
dimasukkan ke wad wanita, Hospital Batu Pahat untuk menerima rawatan
atas penyakitnya itu dan sepanjang tempoh itu Embong sekeluarga
bergilir-gilir menjaganya yang menerbitkan rasa terharu dan rasa bersalah
Nek Kiah selama ini terhadap Embong sekeluarga.

Banjir besar telah melanda Kampung Parit Haji Rais menyebabkan para
penduduk kampung terpaksa dipindahkan ke surau dan balai raya. Haji
Sulaiman memberitahu masyarakat kampung bahawa banjir yang berlaku di
kampung mereka adalah untuk mencuci segala kekotoran yang ada di
kampung itu.

Nek Kiah meminta Embong sekeluarga menetap di rumahnya selepas banjir
berakhir kerana rumah Embong telah musnah akibat banjir. Penduduk kampung
kembali mengamalkan budaya muafakat apabila kaum lelaki bergotong-royong
membina semula rumah Embong yang baharu, manakala kaum wanita bekerjasama
menyediakan hidangan. Encik Daim datang membawa khabar berita buat Dahlia apabila
dia terpilih untuk mengikuti Kursus Pengurusan Perniagaan peringkat ijazah pertama
selama empat tahun di Jepun.

Sebelum itu, Dahlia diwajibkan mengikuti kursus bahasa Jepun selama enam
bulan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Majlis pertunangan antara Dahlia dengan
Azhari selamat dijalankan pada 30 Disember walaupun tanpa upacara menyarungkan
cincin. Azhari menemui Dahlia di stesen bas sebelum bas ekspres bertolak ke Kuala
Lumpur dan mengucapkan Koi-bito kepada Dahlia. Pada akhir cerita, Azhari
menghadiahi Dahlia sehelai songket merah berbenangkan emas sebagai simbol bahawa
mereka ialah orang Melayu yang kaya dengan adat dan budi bahasa.

2. SINOPISIS BAB DEMI BAB
Bab 1 Kalaulah Engkau Mengerti
Dahlia dan rakan-rakannya sedang berlatih bola jaring di padang bola jaring di sekolahnya. Ketika itu,
Dahlia teringat akan emaknya yang bersikap pelik sejak akhir-akhir ini seperti bercakap sendirian di bawah
pokok getah dan merayau tidak tentu arah apabila menjelangnya waktu senja. Siti Wangi menanyakan
Dahlia berkaitan kertas kerja subjek Pengajian Am yang diajar oleh Cikgu Hisyam. Kavita datang menemui
Dahlia untuk menyampaikan pesanan seseorang yang ingin bertemu dengan Dahlia di kantin sekolah. Di
kantin sekolah, Azhari menunggu kehadiran Dahlia dengan perasaan resah.

Setibanya Dahlia di kantin sekolah, Azhari bertanyakan khabar dirinya dan persediaannya untuk
menghadapi peperiksaan STPM. Azhari juga menyatakan hajatnya untuk membawa keluarganya ke rumah
Dahlia untuk berbincang tentang hubungan mereka secara serius. Dahlia menyatakan secara jujur bahawa
keutamaannya kini adalah untuk memberikan perhatian terhadap pelajaran dan membantu keluarganya
terlebih dahulu berbanding memikirkan soal perkahwinan. Azhari menyatakan persetujuannya bahawa dia
sesekali tidak menghalang hasrat Dahlia untuk menyambung pelajaran dan membantu keluarganya.
Seterusnya Azhari menyatakan hasratnya untuk menghantar Dahlia pulang ke rumahnya pada petang itu.

Bab 2 Detik-detik Hati Tersentuh
Azhari menghantar Dahlia balik ke rumahnya hingga ke jalan utama
kampung. Dahlia terpaksa menyingsing kain untuk mengelakkan diri
daripada tergelincir akibat jalan masuk ke rumahnya yang becak selepas
hujan. Aton yang sedang mencabut pokok ubi menyapa Dahlia yang
melintasi di hadapan halaman rumahnya dengan kata-kata sindiran kerana
pulang dari asrama mahu melihat emaknya yang dianggap "tidak betul"
otaknya.

Setibanya di rumah, Dahlia mendengar tangisan adik bongsunya,
Anggerik. Melati memberitahu Dahlia bahawa emaknya keluar dari rumah
dan belum balik sejak tadi dan Anggerik menangis kerana tidak mahu
minum susu cair yang dibancuh oleh Melati. Di dapur, Dahlia mendapati tin
susu Anggerik sudah kosong dan meminta Melati ke kedai runcit Tauke
Lim untuk membeli susu tepung Anggerik dengan cara berhutang.

Sementara Dahlia memasak di dapur, Kiambang yang baru terlelap
tidur akibat keletihan pulang dari sekolah diminta menjaga Anggerik. Melati
memberitahu Dahlia bahawa emaknya ada di kebun getah. Dahlia
mendapatkan emaknya, Saleha yang sedang bercakap sendirian dan sesekali
ketawa di kebun getah. Dahlia berusaha memujuk dan membawa emaknya
balik ke rumah tetapi ditolak oleh emaknya hingga dia terjatuh ke tanah yang
becak.

Dahlia menangis kerana dia terlalu sebak dan dia tidak mampu
berbuat apa-apa untuk membawa emaknya balik ke rumah. Embong muncul
di kebun getah dan berusaha memujuk isterinya, Saleha untuk balik ke
rumahnya. Saleha berjaya melarikan diri daripada pandangan Embong dan
Dahlia.

Bab 3 Jangan Tinggalkan Kami
Doa Dahlia selepas solat Isyak terganggu dengan suara emaknya yang
bermantera di ruang pojok rumah dan suara neneknya, Nek Kiah yang
muncul di halaman rumahnya. Dahlia mendapatkan neneknya untuk
bersalam sebelum bergegas ke dapur untuk memanaskan air untuk
neneknya. Nek Kiah mempersoalkan tindakan Embong yang mengikat
tangan dan kaki Saleha di pojok rumah.

Embong memberi alasan bahawa dia terpaksa berbuat demikian
untuk memastikan Saleha tidak melarikan diri. Nek Kiah meluahkan rasa
tidak puas hatinya terhadap Embong yang dikatakan membawa nasib
malang terhadap anaknya, Saleha sejak mereka berkahwin hingga
mempunyai enam orang anak. Dahlia teringat akan kata-kata sindiran
neneknya yang menyindirnya sewaktu menghidangi neneknya dengan air
kopi yang dirasainya pahit sewaktu ketika dahulu.

Haji Sulaiman, selaku Ketua Kampung dan juga Pengerusi Jawatankuasa
Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), mendatangi rumah Embong
bersama-sama tiga orang kakitangan Hospital Batu Pahat untuk membawa Saleha
ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut. Embong keberatan membenarkan
Haji Sulaiman dan kakitangan Hospital Batu Pahat untuk membawa isterinya ke
hospital dengan alasan penyakit isterinya tidak merebak dan tidak akan
menjangkiti sesiapa.

Setelah dipujuk oleh Haji Sulaiman, Embong akur dengan hasrat murni Haji
Sulaiman itu walaupun mendapat bantahan daripada ibu mentuanya, Nek Kiah,
dan anak-anaknya. Saleha meronta-ronta dan menjerit sewaktu dia diusung
masuk ke dalam van oleh Haji Sulaiman dan kakitangan Hospital Batu Pahat.
Embong meminta Dahlia menjaga adik-adiknya kerana dia akan mengikut Haji
Sulaiman bagi menghantar isterinya mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Batu
Pahat.

Bab 4 Dibuai Kenangan Indah
Dahlia membantu Melati menyelesaikan latihan Matematik, menyiapkan
beberapa kerja sekolahnya, dan menyelesaikan sedikit kerja rumah selepas
menidurkan dan menyelimutkan tuala ke tubuh Anggerik. Tangisan Anggerik
yang bergema kembali menyebabkan Dahlia terpaksa merebahkan tubuhnya
di sisi adiknya hingga adiknya kembali tidur nyenyak.

Dahlia teringat kembali akan peristiwa Azhari yang mengungkapkan
bait-bait pantun yang tidak difahami maksudnya sewaktu menghantarnya
pulang ke rumah pada petang Khamis yang lalu. Dahlia juga teringat
peristiwa Azhari menghantarnya pulang dari asrama dengan meminta Azhari
menurunkannya di tepi jalan masuk ke Kampung Parit Haji Rais untuk
mengelakkan orang kampung bercerita tentang perkara yang tidak benar
mengenai dirinya bersama-sama Azhari.

Dahlia terkejut daripada lena apabila namanya diseru oleh
ayahnya. Dahlia berbincang dengan ayahnya perihal
persekolahannya. Ketika Embong duduk di tangga rumahnya, dia
teringat akan kata-kata yang pernah diluahkan terhadap isterinya
perihal ibu mentuanya yang tidak menyukai keluarganya yang hidup
susah dan tidak berharta. Embong juga teringat akan
perbincangannya dengan Saleha tentang harapan mereka terhadap
masa depan anak-anak. Embong juga teringat kembali akan
kata-kata Saleha yang memberitahunya tentang bayang-bayang yang
pernah mengejarnya dan suara-suara pelik yang mengganggu
hidupnya.

Dahlia menanyakan ayahnya tentang keadaan emaknya di Hospital Batu
Pahat yang dilawatinya pada petang itu. Ketika Embong menidakkan
kata-kata Dahlia bahawa isterinya dibuat orang, dia teringat kembali
peristiwa isterinya yang menjerit, meraung, dan menunduk kepala sewaktu
berada di bilik kurungan. Seterusnya, Embong menyatakan kesukarannya
untuk melakukan kerja memetik buah kelapa sawit di kebun Haji Sulaiman
di kampung sebelah kerana tiada orang untuk menjaga Anggerik. Ketika
Embong dan Dahlia sedang berbincang, Abu Abu Bakar pulang ke rumah
dengan selamba setelah tiga hari menghilangkan dirinya. Dengan nada yang
marah, Embong menanyakan Abu Bakar sebab dia tidak pulang selama
tiga hari. Ketika Embong cuba mendapatkan anak lelaki tunggalnya itu,
Abu Bakar telah kembali berlari ke jalan yang becak dalam kepekatan
malam.

Bab 5 Kata Setajam Pedang
Bas JMBC berjalur merah yang dinaiki Dahlia untuk ke sekolah sarat dengan
penumpang. Dahlia berasa resah kerana kelewatannya tiba di sekolah pada
pagi itu. Dahlia teringat akan peristiwa ayahnya yang sanggup menjaga
adiknya, Anggerik yang menangis kerana memberi laluan kepadanya ke
sekolah. Dahlia juga teringat akan hasrat ayahnya supaya Dahlia belajar
bersungguh- sungguh dan tidak menghampakan harapannya. Dahlia teringat
kembali akan kata-kata Siti Wangi yang memintanya mencari isi untuk
dibincangkan dalam kertas kerja yang diberikan oleh Cikgu Hisyam. Dahlia
mengenang kembali peristiwa Azhari yang pernah mengungkapkan kalimat
tentang kesediaannya untuk membantu Dahlia sekiranya dia berada dalam
kesusahan.

Apabila tiba di sekolah, Dahlia memanggil Cikgu Salwani apabila mendapati pintu
pagar sekolahnya telah dikunci ekoran kelewatannya tiba di sekolah. Dahlia hanya
mendiamkan diri ketika Cikgu Hisyam mengajar di kelas. Siti Wangi menanyakan Dahlia
tentang isi-isi kertas kerja yang perlu dicarinya. Dahlia memberitahu Siti Wangi bahawa
dia gagal mencari isi-isi penting untuk menyiapkan kertas kerja dan pada petang itu dia
akan ke hospital untuk melawat emaknya yang sakit. Dahlia membayangkan kekecewaan
Siti Wangi terhadapnya yang gagal menyediakan isi-isi untuk kertas kerja dengan
memberikan alasan tentang masalah kesihatan emaknya.

Dahlia juga membayangkan perbualannya dengan emaknya berkaitan penyakit yang
ditanggung oleh emaknya itu. Dahlia teringat akan kata-kata rayuan Melati yang
memintanya pulang ke rumah untuk menjaga Anggerik yang asyik menangis. Setibanya
di Hospital Batu Pahat, Haji Sulaiman yang berada di pondok telefon memanggil nama
Dahlia ketika Dahlia memasuki perkarangan hospital. Haji Sulaiman mengajak Dahlia
balik ke rumahnya kerana emaknya tiada di Wad 6. Dahlia berasa hendak pitam setelah
Haji Sulaiman memaklumkan kepadanya bahawa emaknya, Saleha telah dipindahkan ke
Hospital Permai, Johor Bahru.

Bab 6 Ditelan Arus Deras
Dahlia memerhatikan gelagat kanak-kanak yang sedang mandi di sungai yang
arusnya berkeladak dan bergerak deras. Dahlia membersihkan halaman rumahnya
yang bertaburan dengan ranting kayu. Dahlia teringat peristiwa dia berbual dengan
ayahnya mengenai emaknya yang dihantar menerima rawatan lanjutan di Hospital
Permai, Johor Bahru. Haji Sulaiman memberitahu Embong sebab-sebab dia bersetuju
membenarkan pihak hospital Batu Pahat menghantar Saleha ke Hospital Permai.
Embong berasa agak terkilan kerana Haji Sulaiman tidak memaklumkan kepadanya
terlebih dahulu tetapi terpaksa akur kerana urusan rawatan pemulihan isterinya telah
diserahkan kepada Haji Sulaiman. Embong meluahkan rasa sedihnya kerana hidupnya
sekeluarga sentiasa dirundung malang tetapi ditenangkan oleh Haji Sulaiman agar dia
reda dengan ujian Tuhan. Nek Kiah datang ke rumah Embong. Dengan menggunakan
kapur, dia menggores pintu dengan tanda campur yang bertujuan mengelakkan hantu
masuk ke dalam rumah. Nek Kiah melarang Dahlia daripada memadam tanda campur
daripada kapur yang ditandakan di pintu rumah.

Seterusnya, Dahlia bergegas ke tebing sungai apabila mendengar jeritan
bahawa Said tenggelam di dasar sungai. Dahlia berusaha mencari dan
menyelamatkan Said yang tenggelam di dasar sungai daripada mati lemas
walaupun arus sungai deras. Dahlia menemukan Said yang tenggelam di
dasar sungai yang berselut. Seorang anak muda telah mengangkat Said ke
tebing sungai lalu memeriksa degupan jantung Said. Nek Kiah tiba di
sungai dan mengarahkan anak muda itu segera mengangkat Said dan dibawa
keliling rumah sebanyak tujuh kali untuk memastikan Said kembali
bernyawa namun usaha itu ternyata gagal. Dahlia berasa sangat kecewa dan
masih berendam di dalam sungai ketika anak muda itu berusaha
sedaya-upaya bagi menyelamatkan nyawa Said.

Bab 7 Berbudi Dibalas Nista
Embong melihat Dahlia masuk ke bilik dengan tangisan. Sebagai jiran,
Embong ke rumah Aton bagi menziarahi jenazah Said yang mati lemas.
Embong dimaki hamun oleh Aton yang menuduhnya sebagai perancang
kematian Said. Sesetengah penduduk kampung yang tidak tahu cerita
sebenar turut terpengaruh dengan cerita palsu Aton lantas mencaci dan
menghina Embong yang dituduh sebagai perancang kematian Said. Hal ini
menyebabkan Embong segera pulang ke rumah. Tauke Lim memuji Dahlia
yang berani terjun ke sungai yang berarus deras untuk menyelamatkan Said
ketika mereka bertembung di pertengahan jalan. Dalam bermonolog,
Embong berasa marah dan kesal dengan tuduhan Aton terhadap Dahlia
walaupun anaknya itu sanggup berkorban nyawa bagi menyelamatkan Said.

Memandangkan hari masih pagi, Embong memutuskan untuk
memetik buah kelapa sawit di kebun kelapa sawit Parit Haji Kadir. Ketika
Embong hendak memulakan kerja memetik buah kelapa sawit di Parit Haji
Kadir, Embong terserempak dengan ular sawa bersaiz sebesar pahanya
yang sedang melingkari pokok kelapa sawit. Embong bergegas ke kebun
getah bersebelahan kebun kelapa sawit untuk mencari sebatang buluh yang
boleh digunakan untuk membunuh ular sawa. Embong kembali ke pokok
kelapa sawit tadi. Dia mendapati ular sawa itu telah tiada. Tanpa diduga,
ular sawa itu sudah bergantung pada pokok lain dan menjuntaikan kepala
ke arahnya menyebabkan dia terjatuh. Ular sawa itu telah menjatuhkan
tubuhnya dan menuju ke arah Embong yang terjatuh.

Bab 8 Bayang-bayang Kecelakaan
Dahlia bermimpi ular membelit badannya. Sementara itu, demam panas Anggerik
semakin melarat. Dahlia teringat kembali tentang peristiwa orang kampung yang
memperlekeh usahanya yang dikatakan lambat untuk menyelamatkan nyawa Said hingga
menyebabkan Said mati lemas ketika dia berada di rumah Aton. Dahlia juga teringat
peristiwa Aton memaki hamun dan menuduhnya membunuh anak lelaki tunggalnya,
Said. Di tebing sungai, Dahlia memetik daun-daun muda pokok ubi untuk dibuat lauk
nasi. Di dapur, Dahlia memasakkan lauk dan nasi untuk hidangan tengah hari ayah
dan adik-adiknya. Dahlia teringat semula perbualannya bersama dengan Melati yang
tidak mahu ke sekolah kerana malu apabila emaknya dituduh sebagai “gila”. Embong
pulang dari kebun kelapa sawit dengan membawa bangkai ular sawa yang telah mati.
Dahlia berwajah pucat, menggeletar, menjerit ketakutan, dan menangis apabila
melihatkan bangkai ular sawa itu. Ketika Embong berada di tebing sungai, dia
ternampak seolah-olah Said melambai-lambaikan tangannya. Najib dan Kavita datang ke
rumah Dahlia untuk bertanyakan khabar Dahlia yang tidak hadir ke sekolah.
 

Bab 9 Apabila Tamak Menguasai Diri
Najib dan Kavita berkunjung ke rumah Dahlia. Dahlia menghidangi air bujang
kepada tetamunya. Najib memerhatikan persekitaran ruang tamu dan keseluruhan
rumah Dahlia. Najib teringat semula akan peristiwa Dahlia yang sentiasa menolak
keinginannya untuk berkunjung ke rumah Dahlia dengan memberikan
berbagai-bagai alasan. Tahulah kini dia keadaan hidup Dahlia yang serba
kekurangan. Kemudian, Najib menawarkan kepada Dahlia untuk membawa
Anggerik yang demam ke klinik. Di rumah Nek Kiah, Seman memfitnah adik
iparnya, iaitu Embong kepada ibunya, Nek Kiah yang dikatakan membela ilmu
hitam menjadi punca Saleha menjadi gila. Seman memujuk dan mencadangkan
emaknya menjualkan sebahagian tanah pusaka yang bersambung dengan tanah
yang diduduki keluarga Saleha seluas lima ekar. Mak Kiah bersetuju dengan
cadangan Seman untuk menjualkan tanah pusaka yang diduduki keluarga Saleha
seluas seekar dengan harga RM15,000.00.

Bab 10 Selamat Tinggal, Asrama Puteri!
Di bilik warden asrama, Cikgu Salwani menanyakan Dahlia punca
kelewatannya ke sekolah tempoh hari. Dahlia menerangkan kepada Cikgu
Salwani bahawa emaknya sakit. Dengan tegas, Dahlia mengambil keputusan
untuk keluar dari asrama. Tindakan nekad Dahlia itu menyebabkan Cikgu
Salwani terkejut. Dia kemudian ke perpustakaan dan di bilik itu, Dahlia
menenangkan jiwanya. Dahlia terbayang akan wajah emaknya di ruang mata
yang seolah-olah menjerit dan memanggilnya datang ke Hospital Permai.
Dahlia juga terbayang akan wajah adiknya, Anggerik yang ketiadaan tempat
bermanja setelah emaknya menerima rawatan di Hospital Permai, Johor
Bahru. Kavita datang menemui Dahlia untuk menyampaikan pesanan Cikgu
Hisyam selaku guru kelasnya yang ingin berjumpanya di bilik kerjaya pada
waktu itu.

Cikgu Hisyam ingin mengetahui punca kepada masalah yang
sedang dihadapi oleh Dahlia. Dahlia teringat kembali akan rentetan
peristiwa yang baru ditempuhinya sepanjang minggu itu seperti
menjaga adiknya yang sakit, peristiwa dia gagal menyelamatkan
Said yang mati lemas, dan peristiwa dia menghantar Anggerik ke
klinik untuk kali kedua. Cikgu Hisyam menasihati Dahlia agar
memikirkan tentang pelajaran dan masa depannya selepas
Peperiksaan STPM. Dahlia berjanji kepada Cikgu Hisyam bahawa
dia akan memastikan masalah yang dihadapinya itu tidak akan
mengganggu tumpuan perhatiannya terhadap pelajaran walaupun
dia tidak tinggal di asrama.

Bab 11 Pedihnya Melayan Kerenah Anak
Di halaman rumah, Abu Bakar membasuh motosikal Honda Cub 90 cc milik kawannya
yang dipinjaminya selama dua hari. Abu Bakar terbayangkan betapa mudahnya dia
bergerak dan melakukan sebarang aktiviti jika memiliki motosikal sendiri. Abu Bakar
juga membayangkan betapa beruntungnya nasib kawan-kawannya yang hidup
senang-lenang berbanding dirinya. Abu Bakar mengomel apabila kambing mengembek
akibat kelaparan di kandang. Abu Bakar memarahi Melati yang tidak pandai menjaga
adiknya, Anggerik yang sedang menangis. Abu Bakar kembali membayangkan
rancangannya pada malam nanti untuk pergi menyaksikan pertunjukan pentas kumpulan
rock yang akan datang. Melati membebel kepada abangnya, Abu Bakar kerana bunyi enjin
motosikal yang kuat menyebabkan Anggerik tidak boleh tidur dengan lena. Abu Bakar
berasa tercabar dan cuba menampar pipi Melati namun niatnya itu terhalang apabila
ayahnya tiba-tiba pulang. Abu Bakar segera meninggalkan rumah sebelum diambil
tindakan oleh ayahnya.

Kemudian, Embong menyuruh Melati membawa basikal ke sekolah
lantaran kelewatannya untuk ke sekolah agama. Embong bermonolog
dalaman dengan Saleha tentang sikap anak-anaknya terutamanya Abu Bakar.
Embong terbayang akan ular sawa yang dibunuhnya telah menyebabkan
anak-anak ular itu kehilangan ibunya. Mawar pulang ke rumah dan
bertanyakan emaknya. Di kandang kambing, Embong memberikan dua ekor
kambingnya makan dengan memberikannya rumput yang disabit dan
dimasukkan ke jaring kayu. Embong terbayangkan kambing sebanyak dua
belas ekor yang sanggup dibelanya dan kini kambingnya hanya tinggal dua
ekor sahaja yang akan dijual pada waktu sesak suatu hari nanti. Sekali lagi
Mawar menanyakan ayahnya tentang emaknya yang tiada kelihatan di dapur
rumah mereka.

Bab 12 Air Mata Menitis di Hospital Permai
Dahlia tiba di Hospital Permai di Johor Bahru dengan menaiki teksi dari Stesen Bas
Johor Bahru. Dahlia membayangkan peristiwa dia bersembang dengan emaknya dengan
mesra dan sangat baik. Dahlia dipanggil ke bilik Doktor Ridhuan. Mereka berbincang
tentang punca penyakit emaknya dan cara penyelesaiannya. Pertemuan secara tidak
sengaja antara Dahlia dengan Azhari di Hospital Permai. Azhari memberitahu Dahlia
bahawa dia baru dua minggu bertugas sementara di hospital itu.

Di bilik Nombor 16, Dahlia menemui emaknya yang dikurung dalam bilik seluas 3
X 5 meter dan dipagari dengan jaring sebesar ibu jari. Dahlia terkejut melihat keadaan
emaknya itu. Dia membayangkan emaknya menerima rawatan dengan terbaring di katil
dan mendapat layanan yang penuh istimewa. Saleha tidak mengenali Dahlia sewaktu
Dahlia memanggil nama emaknya sebaliknya menganggap kehadiran Dahlia sebagai
pemungut hutang daripadanya. Azhari menenangkan perasaan Dahlia yang terkejut dan
sedih atas kejadian yang menyayat hati itu. Dahlia pengsan kerana terlalu terkejut dan
tidak menyangka bahawa tahap kurang siuman emaknya serius.

Bab 13 Pahitnya Menelan Kenyataan
Embong bermonolog tentang harapannya terhadap kesihatan Saleha yang
dirasakan sudah sembuh sepenuhnya dan akan pulang ke pangkuan keluarganya
dalam masa terdekat. Embong juga bermonolog supaya Saleha bersabar untuk
sehari dua lagi dengan mematuhi nasihat doktor dan akur untuk makan ubat
sekiranya masih sakit. Dia amat yakin bahawa penyakit isterinya tidaklah serius.
Embong menyabit rumput lembu untuk dua ekor kambingnya.

Haji Deraman menyapa Embong ketika dia leka menyabit rumput dan
menanyakan sebab Embong lama tidak ke surau. Azhari menghantar Dahlia
pulang ke rumahnya dengan sebuah kereta berwarna putih. Fikiran jahat Embong
telah menyangka yang anaknya telah pergi berpelesiran dengan pemuda itu tetapi
dia yakin akan anaknya tahu menjaga maruah diri. Embong menanyakan Dahlia
tentang kesihatan isterinya. Dahlia hanya mengangguk apabila ayahnya
mengandaikan ibunya telah sihat.

Di rumah, Embong bersolat jemaah dengan anak-anaknya.
Dahlia membohongi ayah dan adik-adiknya dengan mengatakan
bahawa emaknya sihat. Embong bermonolog lagi tentang Saleha.
Dahlia memberitahu ayahnya tentang keputusan tekadnya keluar
dari asrama. Dahlia juga memerihalkan keadaan sebenar penyakit
ibunya kepada ayahnya. Embong teringat kembali peristiwa isterinya
yang pernah menghalau Aton yang masih menagih hutang daripada
isterinya yang telah dijelaskannya. Embong terdengar suara
embekan kambingnya sayup-sayup. Di kandang kambing, Embong
mendapati dua ekor kambingnya telah dicuri.

Bab 14 Hilang dari Kandang
Tauke Lim melaungkan ikan yang dijualnya di halaman rumah Embong. Dahlia membeli
ikan sardin sekilogram dengan cara berhutang. Kemudian, Tauke Lim mendapatkan
Embong yang sedang memotong kayu dengan menggunakan kapak. Tauke Lim
menyatakan hasratnya untuk membeli kambing milik Embong. Di kandang kambing,
Tauke Lim mendapati kandang itu telah kosong. Embong menceritakan kejadian
kambingnya dicuri orang selepas waktu maghrib semalam kepada Tauke Lim.

Seterusnya, Dahlia teringat akan Azhari yang memujuknya agar bersabar dengan
dugaan demi dugaan yang ditempuhinya itu. Dahlia juga teringat akan kata-kata Azhari
yang memaklumkan bahawa keluarganya akan datang ke rumahnya untuk merisik Dahlia.
Dahlia membayangkan keresahan dan kebimbangannya terhadap keluarga Azhari yang
tidak menyukai keluarganya yang miskin. Dahlia juga membayangkan sikap ibu Azhari
yang akan menolak Dahlia disebabkan dia tinggal di rumah buruk dan kemudian dia
membayangkan berlaku pertikaman lidah antara mereka.

Bab 15 Ingin Disunting Bunga Di Taman
Rombongan keluarga Azhari yang terdiri daripada ibu, kakak sulung, abang ipar,
nenek, datuk dan sepupunya telah bertandang ke rumah Dahlia untuk urusan
merisik. Ibu Azhari menyampaikan salam suaminya yang berada di Kuala Lumpur
kerana menghadiri mesyuarat persatuannya. Ibu Azhari memberitahu kerjayanya
sebagai seorang guru. Azhari melihat Dahlia di dapur. Dahlia menghidangkan kuih
lapis dan air kopi untuk tetamu. Selepas itu, Azhari duduk di kerusi panjang di
anjung dan bermonolog tentang dirinya dan Dahlia.

Setelah keluarga Azahari pulang, Embong meminta Dahlia mengambil
cincin yang ada di atas meja jika dia bersetuju. Embong juga terbayang jika
isterinya ada bersama-sama pada waktu itu alangkah bahagianya. Setiap kali solat
Jumaat, Embong awal ke masjid untuk menyusun sejadah dan mengemas apa-apa
yang patut. Jadi, hari itu dia mahu segera ke masjid. Sewaktu berada di bilik mandi
yang dihadang dengan atap rumbia, seekor ular tedung telah mematuk paha
Embong.

Bab 16 Bisa Ular Tedung
Dahlia memujuk Mawar agar balik ke asrama. Dahlia mengingatkan Mawar tentang janji
Mawar terhadap ibunya untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. Dahlia bermonolog
agar Allah memberikan kekuatan kepada adiknya menghadapi pelajaran. Dahlia
terserempak dengan Kavita dan Cikgu Hisyam yang datang untuk melawat Siti Wangi
yang masih tidak sedarkan diri akibat pengsan semasa latihan bola jaring. Dahlia
membawa Cikgu Hisyam dan Kavita melawat ayahnya yang sedang tidur. Cikgu Hisyam
bersimpati dengan nasib yang menimpa Dahlia dan meminta Kavita agar membuat
fotokopi nota-nota yang tertinggal.

Dahlia teringat akan pesanan ayahnya semalam yang menyerahkannya wang
sebanyak RM60.00 untuk perbelanjaan di rumah. Nek Kiah dan Seman melawat
Embong di Wad 4 Lelaki, Hospital Batu Pahat. Nek Kiah percaya bahawa rumah
Embong berhantu selepas seorang demi seorang ditimpa sakit. Embong terjaga daripada
tidur apabila terdengar jeritan Dahlia. Nek Kiah memberitahu Embong mengenai
cadangannya untuk menjual tanah pusaka yang mempunyai rumah Embong. Embong
membisu dengan pemberitahuan Nek Kiah itu dengan menutup matanya.

Bab 17 Kupertahankan Tanah Sekangkang Kera
Dahlia menelaah subjek Sejarah di rumah, Dahlia teringat akan teman-teman di
kelas yang sedang belajar. Dahlia juga teringat akan Siti Wangi yang diziarahinya
petang semalam. Abu Bakar balik ke rumah, masuk ke bilik tukar pakaian lalu
beredar dan menghilangkan diri semula. Dahlia memberitahu Abu Bakar tentang
ayah dan emaknya yang kini berada di hospital. Dahlia menjumpai dompet Abu
Bakar yang mengandungi wang sebanyak RM120.00.

Di halaman rumah, Azhari datang bersama-sama temannya untuk
mengambil beberapa helai pakaian emak Dahlia sebelum mereka pulang ke Johor
Bahru. Azhari terkejut apabila Dahlia memaklumkan bahawa ayahnya menerima
rawatan di Hospital Batu Pahat akibat dipatuk ular tedung. Nek Kiah datang ke
rumah Embong dan duduk di anak tangga. Nek Kiah menyatakan kepada Dahlia
bahawa tanah tapak rumahnya sudah dipersetujuinya untuk dijual. Nek Kiah
meminta Dahlia bersetuju jika orang bertanya pasal penjualan tanah itu.

Bab 18 Budi Tanpa Mengira Warna Kulit
Dahlia memimpin Anggerik berjalan dari rumahnya hingga ke pondok bas. Anggerik mengadu
kepenatan kerana penat berjalan. Di pondok menunggu bas, Tauke Lim menegur Dahlia yang
dilihat sedang menunggu bas. Tauke Lim menanyakan Dahlia berkaitan persetujuannya untuk
berpindah dari tapak asal rumahnya ke baruh. Menurut Tauke Lim, Seman yang
memberitahunya bahawa Dahlia bersetuju berpindah dari rumah yang didudukinya kini. Dahlia
terkejut apabila dimaklumkan bahawa tanah itu mahu dijual dengan Tauke Lim dengan harga
RM10,000.00, sedangkan dengan keluarganya dijual dengan harga RM15,000.00.

Tauke Lim berhasrat membantu Dahlia sekeluarga kerana menganggap ayah Dahlia,
Embong seperti saudaranya sendiri kerana mereka sama-sama merantau dari Melaka. Tauke Lim
sanggup membantu menyelesaikan masalah kewangan tersebut dengan syarat Dahlia
mengajarkan karangan bahasa Melayu kepada anaknya, Ann yang bakal menduduki peperiksaan
penting. Kemudian, Tauke Lim dan Dahlia melihat Abu Bakar menunggang motosikal masuk ke
jalan kampungnya. Perbualan Tauke Lim dan Dahlia dikejutkan dengan Kavita yang melaungkan
nama Dahlia dari dalam kereta Honda Civic yang dipandu oleh Cikgu Hisyam.

Bab 19 Apabila Dua Jejaka Bertemu
Dahlia teringat akan pujukan dan kata-kata nasihat Cikgu Hisyam yang
memintanya agar kembali ke sekolah. Begitu juga dengan Kavita yang juga
berusaha memujuk Dahlia agar kembali ke sekolah. Najib bertandang ke rumah
Dahlia. Dia melihat dua orang pekerja sedang mengukur tanah bersama-sama
Nek Kiah. Najib bersedia membantu Dahlia berkaitan urusan pembelian tanah
yang akan dijual oleh Nek Kiah, tetapi Dahlia menolak dengan cara baik kerana
tidak mahu termakan budi.

Tidak lama kemudian, Azhari datang ke rumah Dahlia. Azhari dan Najib
berkenalan antara satu sama lain. Nek Kiah datang ke rumah Dahlia dengan
memaki hamun dan menuduhnya sebagai perempuan tidak baik. Dengan tegas,
Nek Kiah memberi amaran kepada Dahlia agar segera berpindah dari tapak sedia
ada ke tanah lain kerana tanah itu akan dijual. Ketika Dahlia berbual dengan Nek
Kiah, tiba-tiba Azhari pulang tanpa memaklumkan kepada Dahlia akibat
berselisih faham dengan Najib tentang hubungan dengan Dahlia.

Bab 20 Ingin Kujunjung Langit
Embong berhasrat mahu bekerja tetapi badannya masih lemah akibat bisa daripada
patukan ular tedung. Dahlia menceritakan kepada ayahnya perihal neneknya yang
menyuruh mereka sekeluarga berpindah dari rumah yang diduduki mereka kini.
Embong mengasah parang pendek untuk memotong dahan pokok yang patah. Nek
Kiah datang dan memarahi Dahlia yang belum berpindah. Nek Kiah terkejut dengan
kehadiran menantunya, Embong di rumah.

Embong mengasah parang pendek dan cuba menakut-nakutkan ibu mentuanya,
Nek Kiah. Embong berbual dengan Dahlia. Dia menegaskan tentang kepentingan
pendidikan kepada Dahlia untuk bekalan masa depan dan untuk mengubah nasib
keluarga. Embong menegaskan yang dia masih kuat untuk menyara keluarganya.
Tauke Lim datang ke rumah Embong dan berjanji akan menyelesaikan isu tanah yang

telah dijual itu. Tauke Lim membantu sambutan Majlis Maulidur Rasul dengan

memberikan sumbangan kepada Imam Deraman.

Bab 21 Hijrah Remaja Harapan
Dahlia tiba di balai raya Kampung Parit Haji Rais untuk sama-sama
bergotong-royong bagi sambutan Majlis Maulidur Rasul. Haji Sulaiman
meminta Dahlia mengupas bawang, mentimun, dan kentang. Haji Sulaiman
melahirkan kekesalannya terhadap penduduk kampung yang masih kurang
datang membantu bagi sambutan majlis itu. Aton mempersoalkan status
halal barang runcit yang disumbangkan oleh Tauke Lim. Haji Sulaiman
menempelak Aton yang hanya pandai mengkritik tetapi tiada menghulurkan
derma untuk sambutan Majlis Maulidur Rasul kali ini. Aton menyindir dan
memfitnah Dahlia sebagai seorang gadis yang rendah akhlak sebagai buah
kelapa yang telah ditebuk oleh tupai. Abu Bakar yang kebetulan turut berada
di situ berasa marah atas tuduhan itu dan cuba menyerang Aton yang
bermulut jahat itu.

Haji Sulaiman berjaya mengawal keadaan yang tegang itu. Di
rumah, Dahlia menghumbankan dirinya ke katil sambil menangis.
Disebabkan faktor kasihan, Abu Bakar pulang ke rumah bagi
memujuk kakaknya sehingga mendatangkan kehairanan kepada
ayahnya, Embong. Embong menanyakan Abu Bakar perihal
kelakuan aneh kakaknya itu. Abu Bakar menjelaskan kepada
ayahnya tentang fitnah yang ditaburkan oleh Aton terhadap
kakaknya, Dahlia. Dahlia mengatakan yang dia tabah berdepan
dengan semua cacian dan tohmahan penduduk kampung
terhadapnya. Abu Bakar insaf dan mendedahkan perkara sebenar
kepada ayahnya tentang perbuatan jahatnya yang telah mencuri dan
menjual kambing milik ayahnya.

Bab 22 Kain Merah yang Reput
Abu Bakar menanyakan kakaknya, Dahlia sama ada ayahnya memarahi atas
perbuatan jahatnya mencuri dan menjual kambing ayahnya itu. Dahlia mengatakan
ayahnya pasti marah tetapi tidak boleh berbuat apa-apa disebabkan
kambing-kambing itu sudah pun terjual. Abu Bakar teringat akan kata-kata
kawan-kawannya yang menempelak dirinya kerana asyik menumpang kesenangan
dan wang ringgit mereka. Abu Bakar sedar akan kesilapannya, berasa insaf, dan
berjanji yang akan berubah sikap selepas ini. Sementara itu, Dahlia teringat akan
kata-kata Cikgu Hisyam bahawa dia ialah calon 5A menerusi Peperiksaan STPM
sekolahnya. Dahlia bertanyakan Abu Bakar dan Melati sama ada mereka ternampak
nenek mereka, Nek Kiah kerana pintu rumah neneknya tertutup. Dahlia masih
hormat akan neneknya walaupun neneknya itu sentiasa memandang serong
terhadapnya dan adik-adiknya.

Sementara itu, Abu Bakar mengemas bawah rumah yang berselerak
selepas memotong dan menyusun kayu-kayu. Abu Bakar menemukan dua
biji telur ayam berwarna hitam yang berbau busuk dan mengandungi jarum
peniti, cincin akik, dan paku. Abu Bakar mengandaikan telur itu digunakan
oleh seseorang yang berniat untuk memporak-perandakan keluarga mereka.
Dahlia meminta Abu Bakar membuang telur-telur busuk itu ke dalam
sungai. Dahlia ke rumah neneknya untuk meninjau sama ada neneknya ada
di rumah. Dahlia teringat akan kisah sembilan tahun lalu sewaktu datuknya
masih hidup, dia, dan adik-adiknya bebas bermain dan berada di rumah itu.
Menerusi ruang tingkap, Dahlia mengintai dan mendapati neneknya
terbaring di ruang tengah. Dahlia cuba membantu neneknya yang kurang
sihat, sebaliknya Nek Kiah menghalau kedatangannya yang dianggap sebagai
pembawa sial.

Bab 23 Sinar Kebahagiaan
Kehadiran Dahlia ke sekolah menyebabkan rakan sekelasnya terkejut tetapi gembira. Kavita
memberitahu Dahlia bahawa Najib dan keluarganya akan ke rumah Dahlia untuk merisik, tetapi
Dahlia menolak hasrat tersebut dengan harapan Najib memahami erti persahabatan. Cikgu
Hisyam memberikan kata-kata semangat kepada Dahlia dan rakan-rakan sekelasnya agar gigih
belajar sebagai persediaan untuk menghadapi Peperiksaan STPM yang kian hampir. Dahlia
teringat akan kata-kata Azhari yang ingin meminangnya. Dahlia mengagak dengan berbagai-bagai
soalan ketika dia dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumahnya.

Dari kejauhan, Dahlia melihat ada sebuah van ambulans di halaman rumahnya
menyebabkan dia berlari-lari anak kerana tidak sabar untuk mengetahui kejadian sebenar yang
berlaku. Dahlia terkejut apabila diberitahu oleh ayahnya bahawa emaknya telah balik dari Hospital
Permai tetapi sedang berehat di bilik. Dahlia masuk ke bilik kerana merindui emaknya sekali gus
ingin melihat keadaan emaknya itu. Kehadirannya menyebabkan emaknya yang sedang tidur
terjaga dan mereka berpelukan. Dahlia berbincang dengan Azhari perihal masa depan hubungan
mereka. Azhari mengikut Dahlia ke rumah Nek Kiah. Dahlia mendapati Nek Kiah sakit dengan
hanya terbaring di tilam.

Bab 24 Runtuhnya Tembok Kesombongan
Di wad wanita, Hospital Batu Pahat, Dahlia sekeluarga bergilir-gilir menjaga
neneknya yang sakit dan menerima rawatan di situ. Nek Kiah berasa terharu
atas kesungguhan Embong sekeluarga menjaganya ketika dia dirawat di
hospital dan dia sedar akan kesilapannya terhadap Embong sekeluarga
selama ini. Selepas keluar dari hospital, Nek Kiah tinggal di rumah Embong
dan dijaga oleh Saleha dan anak-anaknya. Hujan lebat sejak sehari sebelum
itu telah menyebabkan kawasan rendah di kampung mereka mula dinaiki
air. Embong meminta Abu Bakar ke kedai runcit Tauke Lim untuk membeli
beras tetapi terpaksa berpatah balik dalam keadaan basah kuyup kerana
jambatan kayu telah hanyut. Abu Bakar juga memaklumkan kepada ayahnya
bahawa ramai orang kampung telah berpindah ke balai raya dan surau
akibat banjir.

Embong sekeluarga termasuk Nek Kiah berkemas barang-barang penting sebagai
langkah persediaan untuk berpindah. Kiambang tertindih kayu akibat tiang dapur
patah menyebabkan dapur yang beratap rumbia telah roboh. Air banjir semakin
naik hingga menenggelamkan anak-anak tangga rumah Embong. Dalam saat-saat
kecemasan, Nek Kiah dan Embong sekeluarga telah berjaya diselamatkan dengan
bot ke pusat pemindahan banjir di balai raya. Di balai raya, ramai penduduk
kampung bersungut kerana tidak selesa. Dahlia dan emaknya, Saleha membantu
orang-orang kampung yang turut berpindah ke balai raya memasak dengan
menggunakan kawah. Haji Sulaiman memberitahu masyarakat kampung bahawa
banjir yang berlaku di kampung mereka adalah untuk mencuci segala kekotoran
yang ada di kampung itu. Haji Sulaiman mahu penduduk kampung itu agar
kembali menjadi orang Melayu yang sebenar sesudah banjir itu berakhir.

Bab 25 Inilah Kampungku!
Dahlia bermonolog tentang masalahnya menelaah pelajaran di balai raya
berbanding tinggal di asrama sekolah. Embong memberitahu Dahlia bahawa
rumah mereka telah musnah akibat banjir. Ahli Parlimen Sri Gading dan
wakil peribadi Yang Berhormat, Encik Daim telah melawat mangsa banjir
yang ditempatkan di balai raya. Encik Daim yang merupakan bekas guru
Dahlia telah memuji kegigihan dan kerajinannya yang masih bersemangat
untuk belajar walaupun berada di pusat pemindahan banjir di balai raya.
Hujan telah berhenti dan langit mulai kembali cerah pada hari yang keempat.
Nek Kiah meminta Embong sekeluarga menetap di rumahnya kerana rumah
Embong telah musnah akibat banjir. Haji Sulaiman meminta penduduk
kampung berkumpul di balai raya sebelum mereka pulang ke rumah
masing-masing.

Dalam perjumpaan bersama dengan penduduk kampung, Haji
Sulaiman membangkitkan isu sikap mementingkan diri-sendiri dalam
kalangan masyarakat kampung sehingga menghakis budaya
tolong-menolong. Haji Sulaiman berterus-terang bahawa dia berasa
terkilan dan kecewa dengan sikap penduduknya sejak akhir-akhir itu.
Penduduk kampung yang terdiri daripada kaum lelaki
bergotong-royong membina semula rumah Embong yang baharu
manakala kaum wanita bekerjasama menyediakan hidangan. Haji
Sulaiman cukup gembira dengan perubahan sikap penduduk
kampungnya yang kembali bersatu dan mengamalkan konsep
bantu-membantu. Tauke Lim juga berasa seronok dan Dahlia pula
berasa terharu atas kerjasama penduduk kampung membina rumahnya
semula.

Bab 26 STPM, Akan Kugapai Kecemerlangan
Saleha meminta Dahlia tekun belajar untuk menghadapi Peperiksaan STPM
Yang tinggal lagi seminggu. Dahlia teringat akan peristiwa dia menemui
Cikgu Salwani untuk memohon tinggal semula di asrama dan Cikgu Salwani
mengizinkannya dengan hati Yang terbuka. Azhari datang dengan ibunya,
Cikgu Zalina ke rumah Dahlia untuk menetapkan tarikh pertunangan.
Embong dan Dahlia bersetuju dengan tarikh pertunangan yang akan
diadakan pada 30 Disember memandangkan Dahlia telah selesai
menduduki Peperiksaan STPM dan mempunyai masa secukupnya untuk
membuat persiapan bagi majlis pertunangan kelak. Dahlia berjaya
mengharungi Peperiksaan STPM dengan kertas terakhirnya, iaitu Pengajian
Am Kertas 1 pada 13 November itu setelah tiga minggu berhadapan
dengan peperiksaan tersebut.

Dahlia sebak untuk meninggalkan rakan-rakan
sekolahnya. Dahlia teringat kepada Azhari tentang tarikh
pertunangan mereka. Siti Wangi menanyakan Dahlia
tentang kerja sementara menunggu keputusan peperiksaan
STPM. Dahlia, Kavita dan Siti Wangi ke kantin sekolah
selepas berakhirnya kertas terakhir hari itu tetapi mereka
terlupa yang kantin sekolah ditutup. Dahlia meminta Kavita
menyimpan rahsia tentang majlis pertunangannya kelak
daripada pengetahuan sesiapa dan meminta Kavita
menunggu sahaja kad undangan daripadanya nanti.

Bab 27 Bunga-bunga Kejayaan dalam Genggaman
Azhari yang berjanji membawa Dahlia ke Bandar Penggaram
untuk membeli cincin pertunangan mereka belum tiba. Dahlia
cuma bersiap ala kadar untuk keluar dengan Azhari. Saleha
teringat akan zaman mudanya dahulu akan mengambil masa
berjam-jam untuk bersiap. Dahlia memberitahu emaknya
bahawa dia ingin bekerja dahulu sebelum berkahwin. Dahlia
juga teringat akan kata-kata Azhari yang bersikap terbuka dan
memberikan kebenaran kepada Dahlia belajar walaupun
mereka sudah bertunang.

Tiba-tiba Encik Daim datang ke rumah Dahlia sehinggakan
mengundang berbagai-bagai pertanyaan tujuan kedatangannya itu.
Encik Daim datang menemui Dahlia untuk memaklumkan tentang
kejayaan Dahlia terpilih untuk mengikuti Kursus Pengurusan
Perniagaan peringkat ijazah pertama selama empat tahun di Jepun.
Sebelum itu Dahlia diwajibkan mengikuti kursus bahasa Jepun
selama enam bulan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Dahlia
berasa sangat gembira atas pemilihannya yang mewakili calon
STPM daripada Bahagian Sri Gading oleh Jabatan Pendidikan
Negeri Johor. Kebetulan, Azhari bertandang ke rumah Dahlia.
Azhari dimaklumkan tentang berita itu dan dia menyatakan
kesanggupannya menunggu Dahlia selama empat tahun.


Click to View FlipBook Version