Bab 28 Koi-bito
Nek Kiah menerangkan pengertian sirih pinang dan kegunaannya kepada Dahlia secara
mendalam. Suasana di rumah Embong menjadi riuh-rendah ketika ahli keluarga sibuk
menyiapkan barang hantaran Dahlia. Nek Kiah masuk ke bilik menemui Dahlia lalu
menyerahkan seurat gelang pusaka miliknya kepada Dahlia. Dahlia menolak pemberian
neneknya itu dan akhirnya akur apabila neneknya memanggilnya dengan panggilan “cucu
nenek”. Dahlia teringat akan peristiwa perbualannya dengan Azhari berkaitan harga cincin
pertunangan yang dibeli oleh Azhari tempoh hari. Dahlia lebih suka sekiranya Azhari
membeli cincin pertunangan yang harganya lebih murah dan baki wang pembelian cincin
itu dilaburkan ke dalam Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB). Kavita dan Siti Wangi
datang ke rumah Dahlia dan menemuinya di bilik. Rombongan peminangan daripada
pihak lelaki belum muncul. Akhirnya, majlis pertunangan diadakan tanpa acara
menyarungkan cincin di jari manis Dahlia.
Dahlia terpaksa bergegas menaiki bas ke Kuala Lumpur. Tauke Lim
menasihati Dahlia supaya belajar bersungguh-sungguh dan tidak
melupakan kampung halamannya. Embong pula menasihati Dahlia
agar jangan lupa akan Tuhan dan sentiasa ingat dan patuh pada adat
dan budaya orang Melayu walau di mana dia berada kelak. Haji
Sulaiman menghantar Dahlia ke stesen bas dan menyerahkan sampul
derma daripada orang-orang kampung yang berisi RM500.00. Azhari
menemui Dahlia di stesen bas sebelum bas ekspres bertolak ke Kuala
Lumpur dan mengucapkan koi-bito kepada Dahlia. Dahlia teringat
kepada Najib berdasarkan sekeping kad yang diterimanya melalui
Kavita. Azhari menghadiahi Dahlia sehelai songket merah berbenang
emas sebagai simbol bahawa mereka ialah orang Melayu.
3. TEMA
Novel Songket Berbenang Emas bertemakan kegigihan seorang gadis
dalam menempuh berbagai-bagai cabaran dan dugaan. Berlatar
belakang Kampung Parit Haji Rais, Dahlia tidak pernah untuk
menyalahkan nasib malang yang menimpa diri dan keluarganya. Sebaliknya,
dia berusaha sedaya-upaya menempuh semua ujian tersebut dengan jiwa
dan semangat yang kental. Cabaran yang dilaluinya bermula daripada
peristiwa ibunya, Saleha yang disahkan bersikap kurang siuman dan
terpaksa dihantar ke Hospital Batu Pahat, kemudiannya dipindahkan ke
Hospital Permai di Johor Bahru untuk rawatan pemulihan. Dahlia juga
gigih mendepani cacian dan tohmahan Aton yang menuduhnya membunuh
Said dan menggelarnya perempuan murahan serta kenakalan adik lelakinya,
Abu Bakar yang lebih gemar hidup berpelesiran daripada memberikan
perhatian terhadap keluarga.
Selain itu, kegigihan Dahlia jelas dapat dilihat apabila dia berjaya menghadapi sikap
prejudis neneknya, Nek Kiah terhadap mereka sekeluarga. Nek Kiah menuduhnya
pembawa sial, perempuan murahan kerana membawa lelaki pulang, dan akhir sekali Nek
Kiah mahu menjual tanah pusaka tempat keluarganya duduk. Keadaan diburukkan lagi
dengan nasib ayahnya yang dipatuk ular tedung hingga terpaksa menerima rawatan di
Hospital Batu Pahat. Dahlia juga perlu menjaga dua hati; Azhari dan Najib yang
kedua-duanya menaruh hati terhadapnya. Dia menyelesaikan secara berhemah dengan
Azhari yang diterima sebagai tunangnya, manakala Najib dianggap sahabat sahaja. Dia
juga menghadapi cabaran apabila adik bongsunya, Anggerik sentiasa demam sedangkan
ibu dan ayahnya menerima rawatan di hospital, menyebabkan beberapa hari dia ponteng
sekolah. Walaupun begitu, dia tidak mengabaikan persediaannya menghadapi Peperiksaan
STPM. Berkat kegigihannya menghadapi cabaran, akhirnya Dahlia menerima tawaran
melanjutkan pelajaran di Jepun dalam Kursus Pengurusan Perniagaan selama empat
tahun, manakala hubungannya dengan neneknya semakin rapat. Ibu dan ayahnya pula
kembali sihat.
4. PERSOALAN
Terdapat beberapa persoalan daripada novel ini, antaranya, persoalan kasih sayang
seorang anak terhadap ibu kandung, contohnya Dahlia bergegas mendapatkan
emaknya yang sedang bercakap sendirian dan sesekali ketawa di kebun getah
setelah dimaklumkan oleh Melati. Apabila emaknya menerima rawatan di Hospital
Permai di Johor Bahru, dia datang berkunjung. Tanda kasih sayang yang utuh dalam
dirinya, dia sentiasa berdoa semoga emaknya segera pulih. Dia terus memeluk
emaknya apabila sudah pulang sesudah menerima rawatan. Seterusnya, persoalan
ketaatan seorang anak terhadap perintah ibu bapa, contohnya sebagai anak
sulung dalam keluarga, Dahlia menunjukkan sifat taat akan suruhan ibu bapanya.
Dahlia sanggup mengetepikan kepentingan diri sendiri demi kesejahteraan
adik-adiknya. Melati, Mawar, dan Kiambang juga taat akan suruhan bapa mereka
dengan bergilir-gilir menjaga Anggerik semasa ketiadaan ibunya yang sedang
menerima rawatan di hospital. Ketaatan itu juga ditunjukkan dengan memberi fokus
terhadap pelajaran kerana ibu bapa mereka mengingatkan bahawa menerusi
pendidikan nasib keluarga mereka akan berubah.
Selanjutnya, persoalan integriti dalam menjalankan tanggungjawab,
contohnya Doktor Ridhuan begitu amanah menjalankan tugasnya sebagai pegawai
perubatan kesihatan dengan berusaha mengenal pasti punca dan kaedah
penyelesaian bagi mengubati penyakit Saleha yang sedang menerima rawatan di
Hospital Permai di Johor Bahru. Selain itu, persoalan kepentingan ilmu dalam
kehidupan, contohnya sebagai murid Tingkatan Enam Atas, Dahlia, Kavita, dan Siti
Wangi bersungguh-sungguh menuntut ilmu sebagai persediaan menghadapi
Peperiksaan STPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Temenggung Ibrahim, Batu
Pahat, Johor. Dahlia pula digambarkan sebagai seorang murid yang sering kali
mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan semester dan Peperiksaan
Percubaan STPM sehingga dipilih dan ditawarkan mengikuti Kursus Pengurusan
Perniagaan peringkat ijazah pertama selama empat tahun di Jepun. Sebelum itu
Dahlia diwajibkan mengikuti kursus bahasa Jepun selama enam bulan di Universiti
Malaya, Kuala Lumpur. Dahlia digambarkan seorang yang mengesali sikap remaja
kampung yang lebih suka bekerja kilang tanpa keinginan untuk menyambung
pelajaran.
Di samping itu, persoalan keikhlasan dalam menghulurkan bantuan, contohnya Tauke Lim
ikhlas membantu Embong sekeluarga walaupun berdepan dengan berbagai-bagai tohmahan
buruk dan pandangan sinis daripada segelintir penduduk kampung. Tauke Lim sanggup
meminjamkan wang kepada Embong untuk menyelesaikan masalah pembelian tanah pusaka di
tapak rumah yang diduduki apabila mentuanya mahu menjual kepada orang lain. Selain itu,
Azhari ikhlas berkunjung ke rumah Dahlia semata-mata untuk mengambil beberapa helai baju
ibu Dahlia, Saleha untuk kegunaannya yang masih menerima rawatan di Hospital Permai di
Johor Bahru kerana dia merupakan kakitangan sementara di hospital itu. Akhir sekali,
persoalan tanggungjawab seorang anak sulung terhadap kesihatan dan
kesejahteraan ibu bapa, contohnya sebagai anak sulung dalam keluarga, Dahlia mengunjungi
ibunya, Saleha yang sedang menerima rawatan dan ditempatkan di Hospital Permai di Johor
Bahru dengan sanggup mengeluarkan wang biasiswanya untuk membeli tiket bas dan membayar
harga teksi. Dahlia juga bertanggungjawab membawa adik bongsunya, Anggerik melawat ayah
mereka yang terlantar di wad lelaki, Hospital Batu Pahat akibat dipatuk ular tedung. Dahlia juga
sanggup menjaga adiknya Anggerik yang demam semasa ketiadaan kedua-dua orang tuanya.
5. WATAK DAN PERWATAKAN
(i) Dahlia
Dahlia ialah watak utama dalam novel ini. Dia berusia 19 tahun. Dahlia merupakan anak sulung
daripada enam orang adik-beradik. Dia merupakan murid Tingkatan Enam Atas dan sedang menuntut
di Sekolah Menengah Kebangsaan Temenggung Ibrahim, Batu Pahat. Bapanya bekerja dengan
melakukan kerja-kerja kampung seperti menoreh getah dan memungut buah kelapa sawit manakala
ibunya hanyalah seorang suri rumah. Dia diterima melanjutkan pelajaran dalam Kursus Pengurusan
Perniagaan peringkat ijazah pertama selama empat tahun di Jepun. Dia merupakan tunang kepada Azhari.
Seorang yang mempunyai semangat cekal dan tabah, contohnya Dahlia cekal menempuh semua dugaan
dan masalah yang berlaku dalam keluarganya sepanjang tempoh emaknya menerima rawatan di hospital
akibat menghidap penyakit kemurungan. Dahlia juga memiliki sikap penyayang, contohnya Dahlia amat
menyayangi ibu bapa dan ahli keluarganya. Dahlia sanggup berulang alik dari rumah ke sekolah semata-mata
untuk memastikan adik bongsunya mendapat penjagaan yang sempurna sepanjang ibunya menerima rawatan
di hospital. Dia juga seorang yang memiliki sikap bertanggungjawab, contohnya sebagai anak sulung
dalam keluarga, Dahlia menyatakan kesediaannya untuk menjaga adik bongsunya, Anggerik dan adik-adiknya
yang lain sepanjang emaknya menerima rawatan di hospital.
Seterusnya, Dahlia seorang yang memiliki sikap bijaksana, contohnya Dahlia bijak
menguruskan masa dengan baik dan berkualiti, iaitu masa untuk membuat kerja-kerja di rumah
dan masa untuk mengulang kaji pelajaran. Dia juga seorang yang mempunyai sikap belas
kasihan, contohnya Dahlia amat bersimpati dengan nasib malang Aton yang kehilangan anak
lelaki tunggalnya yang meninggal dunia akibat mati lemas. Dahlia memiliki sikap rasional dalam
setiap tindakan, contohnya Dahlia menerima pelawaan Azhari untuk menghantarnya pulang dari
sekolah ke rumah memandangkan hari sudah petang dan kesukarannya mendapatkan
pengangkutan bas pada waktu itu. Dia seorang yang berpendirian tegas dalam mengambil
sesuatu keputusan, contohnya Dahlia hanya akan berkahwin dengan Azhari setelah dia berjaya
menamatkan pengajian dan membantu keluarganya yang susah. Seterusnya, dia seorang yang
memiliki sikap taat akan ibu bapa, contohnya Dahlia begitu taat akan suruhan dan perintah ibu
bapanya apabila dia akur dengan suruhan ayahnya untuk menjaga Anggerik yang demam panas
ketika ayahnya pergi bekerja dan ketika ketiadaan ibunya. Dia juga seorang yang mempunyai
sikap berani, contohnya Dahlia berani terjun ke sungai yang berkeladak dan berarus deras
semata-mata untuk menyelamatkan Said yang tenggelam ke dasar sungai tanpa memikirkan
keselamatan nyawanya.
Di samping itu, Dahlia seorang yang tahu mengenang budi, contohnya Dahlia
mengucapkan terima kasih kepada Haji Sulaiman dan penduduk kampung yang telah
membina semula rumah baharu mereka setelah rumah kayu lamanya musnah akibat
banjir. Dahlia seorang yang berpandangan jauh, contohnya Dahlia sanggup menerima
tawaran mengikuti pengajian dalam bidang pengajian perniagaan pada peringkat ijazah
pertama di Jepun sebagai bekalan masa depannya walaupun terpaksa berjauhan dengan
keluarga tercinta. Dia memiliki sikap berhemah tinggi, contohnya Dahlia melayani
setiap tetamu yang datang ke rumahnya dengan begitu sopan dan berbudi bahasa seperti
sentiasa menyalami tangan neneknya, Nek Kiah setiap kali neneknya bertandang ke
rumahnya itu. Dahlia seorang yang rajin, contohnya Dahlia rajin belajar hingga dia
sering memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan semester dan
Peperiksaan Percubaan STPM sehinggakan dipilih oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor
sebagai salah seorang pelajar yang akan mengikuti Kursus Pengurusan Perniagaan
peringkat ijazah pertama selama empat tahun di Jepun.
Selain itu, Dahlia memiliki sikap berdikari, contohnya Dahlia menaiki bas dari Batu
Pahat ke Johor Bahru seorang diri tanpa dibantu oleh sesiapa ketika ingin melawat emaknya yang
sedang menerima rawatan di Hospital Permai, Johor Bahru. Dahia juga seorang yang gigih,
contohnya Dahlia gigih mengulang kaji pelajarannya tanpa mengenal erti jemu dan putus asa
sebagai persediaannya untuk menduduki Peperiksaan STPM. Dia mempunyai sikap prihatin
terhadap orang lain, contohnya Dahlia menawarkan khidmatnya untuk membantu neneknya,
Nek Kiah setelah melihat keadaan neneknya yang terbaring di tengah rumah. Dahlia seorang
yang penyabar, contohnya Dahlia sabar menghadapi tuduhan daripada Mak Aton sebagai
pembunuh anak perempuan itu, Said kerana dia lambat menyelamatkan nyawa Said ketika lemas
di dasar sungai. Dia memiliki sikap penyimpan rahsia, contohnya Dahlia menyimpan kisah
keadaan sebenar emaknya yang sedang dirawat di Hospital Permai di Johor Bahru untuk
mengelakkan rasa sedih dan bimbang adik-adiknya. Dahlia sering mengamalkan sikap
bekerjasama, contohnya Dahlia turut menyumbang khidmatnya dalam sambutan Majlis
Maulidur Rasul di peringkat kampungnya dengan mengupas bawang, mentimun, dan kentang.
Ketika berkomunikasi, Dahlia sentiasa berhemah tinggi, contohnya Dahlia tidak membalas
dengan kata-kata yang kurang sopan apabila Aton memaki hamun dan memfitnahnya sebagai
seorang perempuan murahan.
Seterusnya, Dahia seorang yang berkeyakinan tinggi, contohnya Dahlia yakin
dan percaya bahawa suatu hari nanti adik lelakinya, Abu Bakar yang nakal dan suka
berpelesiran itu akan berubah menjadi orang yang baik dan mempunyai hala tuju yang
jelas. Dalam kehidupan seharian, Dahlia seorang yang mengamalkan sikap
berjimat-cermat, contohnya Dahlia menyarankan agar Azhari membeli cincin
pertunangan yang harganya lebih murah dan baki wang pembelian cincin itu dilaburkan
ke dalam Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB). Dia juga seorang yang baik hati,
contohnya Dahlia membantu adik-adiknya menyiapkan kerja-kerja sekolah seperti
membantu Melati menyelesaikan latihan Matematik. Seorang yang taat akan perintah
agama, contohnya Dahlia sentiasa mengerjakan solat apabila masuk waktu. Dia suka
bersikap jujur dan berterus-terang, contohnya Dahlia jujur memberitahu Siti Wangi
tentang kegagalannya mencari isi-isi penting untuk kertas kerja kumpulan mereka kerana
dia menghadapi masalah keluarga. Akhir sekali, dia seorang yang setia kawan,
contohnya Dahlia tetap berkawan dengan Najib sebagai sahabat walaupun hatinya telah
dicuri oleh Azhari.
(ii) Embong
Seorang pekerja yang hanya melakukan kerja-kerja di kampung seperti menoreh getah,
membersihkan kebun, dan memetik buah kelapa sawit. Seorang suami kepada Saleha dan bapa
kepada enam orang anaknya, Dahlia, Abu Bakar,Mawar, Kiambang, Melati, dan Anggerik.
Berasal dari Melaka dan mulanya bekerja estet getah, dan akhirnya menetap di Kampung Parit
Haji Rais, Batu Pahat, Johor. Kawan baik kepada Tauke Lim kerana bersama-sama datang dari
Melaka sebelum berhijrah ke Batu Pahat. Embong seorang yang mempunyai sikap penyayang,
contohnya Embong merasai kehilangan isterinya, Saleha yang sedang dirawat di Hospital Permai
akibat penyakit kemurungannya dengan sentiasa berdoa semoga isterinya sihat dan kembali
dengan segera ke pangkuan mereka sekeluarga. Dia seorang yang mempunyai sikap penyabar,
contohnya Embong sabar dengan tuduhan dan kata-kata fitnah Aton yang mengaitkannya
sebagai perancang kematian anak lelaki tunggalnya, Said. Dia dianggap bijaksana dalam
pengurusan masa, contohnya Embong pergi membersihkan kebun kelapa sawit di Parit Haji
Kadir setelah dia selesai menziarahi jenazah Said. Seorang yang gigih, contohnya Embong gigih
menyara keluarganya dengan mengambil upah membersihkan kebun dan memungut hasil buah
kelapa sawit.
Selain itu, Embong sSeorang yang berani, contohnya Embong berani bertarung
dengan ular sawa sebesar pahanya yang menyerangnya di kebun kelapa sawit Parit Haji
Kadir. Dia seorang yang berhemah tinggi, contohnya Embong melayani setiap tamu
yang datang ke rumahnya dengan sopan dan berbudi bahasa. Seorang bersikap pemaaf,
contohnya Embong tetap melayani ibu mentuanya, Nek Kiah dengan baik walaupun ibu
mentuanya itu bersikap prejudis dan selalu berprasangka buruk terhadap dirinya
sekeluarga. Dia juga seorang yang tabah, contohnya Embong tabah menghadapi
berbagai-bagai ujian yang melanda ahli keluarganya seperti masalah penyakit kemurungan
isterinya dan masalah anak lelaki tunggalnya, Abu Bakar yang menjadi gelandangan.
Embong seorang yang taat akan perintah Allah, contohnya Embong sentiasa menjaga
solat fardunya dengan mengerjakan solat fardu secara berjemaah atau bersendirian di
rumahnya. Dia seorang yang bertanggungjawab, contohnya sebagai seorang suami,
Embong membenarkan tiga orang kakitangan Hospital Batu Pahat membawa isterinya ke
hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut berkaitan penyakit kemurungan isterinya itu.
Di samping itu, Embong seorang yang bersikap rasional dalam setiap tindakan,
contohnya Embong tidak menyerang atau melakukan tindakan buruk apabila dia menerima
tuduhan perancang kematian anak Aton dan kata-kata kesat daripada Aton. Dia seorang
yang sentiasa bersyukur, contohnya Embong bersyukur ke hadrat Ilahi kerana majlis
pertunangan anak gadisnya, Dahlia dengan Azhari berjalan dengan lancar. Embong seorang
yang rajin, contohnya Embong akan mandi dan pergi awal ke masjid di Kampung Parit
Jelutong untuk membantu pihak masjid menyusun sejadah dan mengemas apa-apa yang
perlu sebelum solat Jumaat. Seorang yang mengamalkan semangat bermasyarakat,
contohnya Embong menziarahi jenazah Said di rumah Aton sebagai budaya hidup
bermasyarakat. Embong seorang yang mementingkan pendidikan anak-anak, contohnya
Embong tidak membenarkan berhenti kerja walaupun keluarga menghadapi masalah
kewangan, sebaliknya di mahu anaknya itu meneruskan pelajaran bekalan masa depan,
sekali gus dapat mengubah nasib keluarga. Akhir sekali, dia seorang yang dedikasi,
contohnya Embong menegaskan yang dia masih kuat untuk menyara keluarganya
kendatipun dia baru dibenarkan balik ke rumah setelah dimasukkan ke hospital akibat
dipatuk ular tedung.
(iii) Saleha
Nama penuhnya ialah Saleha binti Dahlan. Isteri kepada Embong dan ibu kepada enam
orang anaknya iaitu Dahlia, Abu Bakar, Mawar, Kiambang, Melati, dan Anggerik. Anak
jati Kampung Parit Haji Rais. Anak bongsu Nek Kiah dan adik kepada Seman. Dia
mengalami penyakit kemurungan hingga terpaksa menerima rawatan di Hospital Batu
Pahat dan Hospital Permai, Johor Bahru. Dia seorang yang bersikap bertanggungjawab,
contohnya sebagai seorang isteri dan juga ibu, Saleha menyediakan makan minum untuk
keluarganya dan melakukan kerja-kerja harian di rumah. Dia seorang yang memiliki sikap
penyayang, contohnya Saleha sangat menyayangi suaminya, Embong dan keenam-enam orang
anaknya, walaupun ibunya tidak suka akan mereka. Dia seorang yang penyabar, contohnya
sebagai seorang anak, Saleha bersabar dengan hinaan dan sikap prejudis ibunya, Nek Kiah yang
tidak menyukai perkahwinannya dengan Embong yang tidak dikenali latar belakangnya
sedangkan Haji Sulaiman menyukainya. Seorang yang berhemah tinggi, contohnya Saleha
melayani setiap tamu dan ahli keluarga Azhari yang datang ke rumahnya dengan penuh sopan.
Dia seorang yang sentiasa berprasangka baik, contohnya Saleha tidak pernah menyimpan
dendam terhadap ibunya, Nek Kiah walaupun ibunya itu memberikan layanan yang kurang
memuaskan terhadap dirinya sekeluarga.
Seterusnya, dia seorang yang teliti dalam mementingkan penampilan diri,
contohnya sewaktu muda, Saleha mengambil masa berjam-jam untuk bersiap
sebelum keluar berjumpa dengan Embong. Dia seorang yang sentiasa berfikiran
positif, contohnya Saleha menerima alasan anak gadisnya, Dahlia yang ingin
membantu keluarganya terlebih dahulu sebelum berkahwin walaupun dia sudah
pun bertunang dengan Azhari. Dia seorang yang sentiasa menjaga maruah diri,
contohnya Saleha mengingatkan Dahlia agar menjaga adab dan maruah diri ketika
keluar bersama-sama dengan Azhari. Seorang yang mementingkan pendidikan
anak-anak, contohnya Saleha meminta Dahlia tekun belajar untuk menghadapi
Peperiksaan STPM yang tinggal lagi seminggu. Akhir sekali, dia seorang yang
sentiasa mengamalkan semangat bermasyarakat, contohnya Saleha turut
membantu orang-orang kampung yang berpindah ke balai raya dengan memasak
dengan menggunakan kawah.
(iv) Nek Kiah
Berstatus janda setelah kematian suaminya, Dahlan. Ibu kandung kepada Saleha dan nenek
kepada cucunya, Dahlia, Abu Bakar, Mawar, Kiambang, Melati, Anggerik, dan emak
kepada Seman. Seorang yang bertanggungjawab, contohnya Nek Kiah pergi ke rumah Embong
untuk mengetahui perkara yang dilakukan oleh Dahlia bersama dengan Azhari. Dia seorang yang
mudah mengakui kesalahan diri, contohnya Nek Kiah sedar akan kesilapan sikap prejudisnya
terhadap Embong sekeluarga setelah menyedari bahawa anak dan menantu yang dibencinya
itulah sebenarnya yang banyak membantunya dengan bergilir-gilir menjaganya ketika dia
terlantar sakit di Hospital Batu Pahat. Dia seorang yang mempunyai sikap belas kasihan,
contohnya Nek Kiah meminta Embong sekeluarga menetap di rumahnya selepas banjir surut
disebabkan rumah kayu menantunya itu telah musnah akibat banjir. Seorang yang mengenang
budi, contohnya Nek Kiah menghadiahi Dahlia dengan seutas gelang pusaka miliknya pada hari
pertunangan Dahlia dengan Azhari sebagai tanda membalas budi baik Dahlia terhadapnya.
Seorang yang penyayang, contohnya Nek Kiah memanggil Dahlia dengan panggilan “cucu
nenek” disebabkan rasa kasihnya terhadap cucunya itu. Dia juga seorang yang berdikari,
contohnya Nek Kiah hidup seorang diri selepas kematian suaminya, Dahlan.
Selain itu, dia seorang yang suka berterus-terang, contohnya Nek Kiah meluahkan
rasa tidak puas hatinya terhadap Embong yang dikatakan membawa nasib malang
terhadap anaknya, Saleha sejak mereka berkahwin hingga mempunyai enam orang anak.
Seorang yang mempercayai kepercayaan karut, contohnya Nek Kiah telah pergi ke
rumah Embong lalu membuat tanda pangkah pada setiap pintu dengan alasan untuk
menghalang hantu-hantu daripada memasuki rumah itu daripada mengganggu penghuni
rumah itu. Seorang yang mudah menerima hasutan dan pujukan, contohnya Nek
Kiah termakan hasutan dan pujukan anak sulungnya, Seman agar menjualkan tanah
pusaka seluas lima ekar dengan harga RM15,000.00. Seorang yang mudah berprasangka
buruk terhadap darah daging sendiri, contohnya Nek Kiah menuduh cucunya,
Dahlia sebagai seorang perempuan murahan apabila mendapati cucunya itu menerima
kunjungan tetamu lelaki sewaktu ketiadaan bapanya. Akhir sekali, seorang yang
pengecut dan mudah berasa takut, contohnya Nek Kiah terkejut apabila mendapati
menantunya, Embong sudah pun kembali ke rumah dan cepat-cepat beredar apabila
menantunya itu menakut-nakutkannya dengan parang yang sedang diasahnya.
(v) Tauke Lim
Seorang pekedai yang berbangsa Tionghua. Dia berasal dari Melaka dan datang
bersama-sama Embong, akhirnya tinggal di Kampung Parit Haji Rais dengan
mengusahakan kedai runcit. Dia mempunyai seorang anak gadis yang bernama Ann
yang berumur 15 tahun. Seorang yang mempunyai sikap baik hati, contohnya Tauke Lim
membenarkan Embong sekeluarga mengambil barang runcit di kedainya dengan cara
berhutang. Seorang yang penyayang, contohnya Tauke Lim mengambil berat aspek
pelajaran anaknya dengan meminta Dahlia mengajarkan anaknya, Ann subjek Bahasa
Melayu. Seorang yang bijaksana, contohnya selain membuka kedai runcit, Tauke Lim
turut menjual ikan dari rumah ke rumah dengan menggunakan motosikalnya. Dia
seorang yang bersikap murah hati, contohnya Tauke Lim memberikan sumbangan
barang-barang runcit kepada Haji Sulaiman sebagai persediaan untuk majlis sambutan
Maljis Maulidur Rasul peringkat kampung dan menyumbangkan wang sebanyak
RM300.00 untuk membiayai perbelanjaan Dahlia di Universiti Malaya.
Selain itu, dia seorang yang bersikap berterus-terang, contohnya Tauke Lim
memberitahu Dahlia secara jujur berkenaan tindakan Seman yang ingin menjual tanah
tapak rumahnya dengan harga RM10,000.00. Seorang yang menghormati orang lain
walaupun berlainan kaum, contohnya Tauke Lim menghormati Embong, Haji
Sulaiman, Imam Deraman, dan semua penduduk Kampung Parit Haji Rais walaupun
mereka berlainan agama dan kaum. Seorang yang bersikap peramah, contohnya Tauke
Lim menyapa Dahlia yang sedang menunggu bas untuk pergi ke Hospital Batu Pahat
bersama-sama dengan Anggerik. Seorang yang setia kawan, contohnya Tauke Lim
menegaskan bahawa Embong merupakan sahabat lamanya yang sangat akrab kerana
mereka sama-sama anak perantau dari Melaka yang menetap di Kampung Parit Haji
Rais menyebabkan dia meminjamkan wangnya kepada Embong untuk menyelesaikan
tanah pusaka yang ingin dijual oleh Nek Kiah. Akhir sekali, seorang yang
mementingkan pendidikan, contohnya dia mahu Dahlia mengajarkan anaknya, Ann
cara mengarang dalam Bahasa Melayu kerana menyedari anaknya lemah dalam penulisan
mata pelajaran tersebut.
(vi) Aton
Watak antagonis dalam novel ini. Seorang janda. Mempunyai seorang
anak, Said tetapi anak tunggalnya itu mati lemas. Seorang yang
mempunyai sikap pendendam, contohnya memfitnah Dahlia
bersekedudukan dengan bapanya, Embong setelah emaknya, Saleha
dimasukkan ke Hospital Permai. Seorang yang suka memperli,
contohnya akan menyindir Dahlia pulang ke rumah kerana mahu
melihat emaknya yang dianggap tidak siuman. Akhir sekali, seorang
yang bersikap tidak berterima kasih dan membuat tuduhan melulu,
contohnya Aton menuduh Dahlia sengaja melambat-lambatkan usaha
menyelamatkan anaknya, Said daripada mati lemas, malah menuduh
Embong perancang kematian anaknya.
6. PLOT
(i) Permulaan
Pengarang memperkenalkan watak Dahlia yang sedang berlatih bola jaring
bersama-sama rakannya di padang bola jaring di sekolahnya. Semasa di padang,
Dahlia teringat akan emaknya yang bersikap pelik sejak akhir-akhir ini seperti
bercakap sendirian di bawah pokok getah dan merayau-rayau tidak tentu arah
apabila menjelangnya waktu senja. Peristiwa kedatangan Azhari yang menemui
Dahlia di kantin sekolah Dahlia untuk bertanyakan khabar dirinya, persediaannya
untuk menghadapi Peperiksaan STPM dan menyatakan hajatnya untuk membawa
keluarganya ke rumah Dahlia untuk berbincang tentang hubungan mereka secara
serius. Dahlia menyatakan pendiriannya kepada Azhari bahawa keutamaannya
adalah untuk memberikan perhatian terhadap pelajaran dan membantu
keluarganya terlebih dahulu berbanding memikirkan soal perkahwinan.
(ii) Perkembangan
Peristiwa Azhari yang menghantar Dahlia pulang dari sekolah ke rumahnya yang disambut
dengan sapaan dan sindiran daripada jirannya, Aton dan tangisan adik bongsunya, Anggerik yang
menangis lantaran keengganan adiknya minum susu cair yang dibancuh oleh Melati. Tindakan
Dahlia yang berusaha memujuk dan membawa emaknya yang sedang bercakap sendirian dan
sesekali ketawa di kebun getah agar balik ke rumah, namun menemui kegagalan. Nek Kiah
meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap Embong yang dikatakan menjadi punca nasib malang
yang menimpa terhadap anaknya, Saleha sejak mereka berkahwin hingga mempunyai enam orang
anak. Haji Sulaiman dan tiga orang kakitangan Hospital Batu Pahat yang datang ke rumah
Embong untuk membawa Saleha bagi mendapatkan rawatan lanjut atas penyakit kemurungan
yang dihidapinya. Embong meluahkan masalahnya kepada Dahlia tentang kesukarannya untuk
melakukan kerja memetik buah kelapa sawit di kebun Haji Sulaiman di kampung sebelah kerana
tiada orang untuk menjaga Anggerik. Embong memarahi Abu Bakar kerana menjadi gelandangan
dengan tidak pulang ke rumah selama tiga hari. Disebabkan rasa takut, Abu Bakar segera
meninggalkan rumah dengan menggunakan motosikal yang dipinjam daripada rakannya.
(iii) Perumitan
Dahlia tiba di Hospital Batu Pahat untuk melawat emaknya yang menerima rawatan di situ, namun Haji
Sulaiman memaklumkan kepadanya bahawa emaknya telah dipindahkan ke Hospital Permai di Johor
Bahru. Dahlia berusaha menyelamatkan Said yang tenggelam di dasar sungai, namun nyawa Said tidak
dapat diselamatkan. Aton memaki hamun dan menuduh Embong sebagai perancang kematian Said dan
Dahlia dikatakan sebagai orang yang membunuh anaknya itu menyebabkan sesetengah penduduk
kampung yang tidak tahu cerita sebenar turut terpengaruh dengan cerita palsu Aton. Dahlia membawa
Anggerik yang demam panas ke klinik dengan bantuan Najib dan Kavita yang kebetulan datang
berkunjung ke rumahnya. Seman memfitnah adik iparnya, iaitu Embong kepada ibunya, Nek Kiah yang
dikatakan menjadi punca Saleha menjadi gila, seterusnya memujuk dan mencadangkan emaknya
menjualkan tanah pusaka seluas lima ekar termasuk tapak rumah Embong. Embong mendapati dua ekor
kambingnya di kandang telah dicuri. Embong dipatuk oleh seekor ular tedung sewaktu berada di bilik
mandi di rumahnya dan terpaksa ditahan selama seminggu di wad lelaki, Hospital Batu Pahat. Nek Kiah
menyatakan kepada Dahlia bahawa tanah tapak rumahnya sudah dipersetujuinya untuk dijual.
Kedatangan Najib dan Azhari secara kebetulan ke rumah Dahlia telah mengundang rasa kurang selesa
terhadap Dahlia. Akibat dendam yang membara, Aton semakin galak menyindir dan memfitnah Dahlia
sebagai seorang gadis murahan. Abu Bakar mengakui kesalahannya yang mencuri dan menjual kambing
milik ayahnya dengan membuat pengakuan yang sebenarnya.
(iv) Klimaks
Abu Bakar menemukan dua biji telur ayam berwarna hitam yang berbau
busuk dan mengandungi jarum peniti, cincin akik, dan paku. Abu Bakar
mengandaikan telur itu digunakan oleh seseorang yang berniat untuk
memporak-perandakan keluarga mereka. Nek Kiah dimasukkan ke wad
wanita, Hospital Batu Pahat untuk menerima rawatan atas penyakitnya itu
dan sepanjang tempoh itu Embong sekeluarga bergilir-gilir menjaganya yang
menerbitkan rasa terharu dan rasa bersalah Nek Kiah selama ini terhadap
Embong sekeluarga. Banjir besar telah melanda Kampung Parit Haji Rais
menyebabkan penduduk kampung terpaksa dipindahkan ke surau dan balai
raya. Haji Sulaiman memberitahu masyarakat kampung bahawa banjir yang
berlaku di kampung mereka adalah untuk mencuci segala kekotoran yang
ada di kampung itu.
(v) Peleraian
Nek Kiah meminta Embong sekeluarga menetap di rumahnya selepas banjir berakhir
kerana rumah Embong telah musnah akibat banjir. Penduduk kampung kembali
mengamalkan budaya muafakat apabila orang lelaki bergotong-royong membina semula
rumah Embong yang baharu manakala kaum wanita bekerjasama menyediakan
hidangan. Encik Daim datang membawa khabar berita buat Dahlia yang terpilih
mengikuti Kursus Pengurusan Perniagaan peringkat ijazah pertama selama empat tahun
di Jepun. Sebelum itu, Dahlia diwajibkan mengikuti kursus bahasa Jepun selama enam
bulan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Majlis pertunangan antara Dahlia dengan
Azhari selamat dijalankan pada 30 Disember walaupun tanpa sempat dijalankan upacara
menyarung cincin disebabkan Dahlia bergegas ke stesen bas untuk ke Kula Lumpur.
Azhari menemui Dahlia di stesen bas sebelum bas ekspres bertolak ke Kuala Lumpur
dan mengucapkan koi-bito kepada Dahlia. Azhari menghadiahi Dahlia sehelai songket
merah berbenang emas sebagai simbol bahawa mereka ialah orang Melayu yang kaya
dengan adat dan budi bahasa.
7. TEKNIK PLOT
[Tidak disertakan kerana tidak
akan diajukan dalam
peperiksaan.]
8. LATAR
(i) Latar Masa
Latar masa novel ini ialah jangka masa novel ini iaitu berlaku dalam tempoh empat bulan
sebelum Peperiksaan STPM. Seterusnya, musim cuti persekolahan, contohnya pengarang
menceritakan peristiwa majlis pertunangan antara Dahlia dengan Azhari serta peristiwa Dahlia
yang berangkat menaiki bas ekspres ke Kuala Lumpur berkisah dalam musim cuti persekolahan
akhir tahun. Selanjutnya, musim hujan, contohnya pengarang menceritakan peristiwa keluarga
Dahlia dan seluruh penduduk kampung Parit Haji Rais yang terpaksa berpindah ke balai raya
dan surau akibat hujan lebat yang mengakibatkan berlakunya kejadian banjir di kampung
mereka. Selain itu, waktu siang, contohnya peristiwa Nek Kiah yang mendatangi rumah Dahlia
dan menggores pintu-pintu di rumah itu dengan tanda campur daripada kapur yang bertujuan
sebagai penghalang supaya rumah Dahlia itu tidak lagi dimasuki hantu. Cuntoh yang lain
peristiwa Cikgu Salwani yang memarahi dan menegur Dahlia kerana terlewat datang ke sekolah
sehinggakan Cikgu Salwani diperli oleh guru disiplin yang dikatakan tidak pandai menjaga anak
buah. Cikgu Salwani juga ingin mengetahui punca kelewatan sebenar Dahlia ke sekolah.
Di samping itu, pada waktu pagi, contohnya, peristiwa Dahlia memimpin tangan
adiknya, Anggerik kemudian mendukung adiknya pula dari rumah mereka ke
pondok bas untuk melawat ayah mereka yang masih dirawat di Hospital Batu
Pahat. Contoh yang lain ialah peristiwa Dahlia yang terlewat tiba di Sekolah
Menengah Kebangsaan Temenggung Ibrahim kerana bas JMBC berjalur merah
yang dinaikinya bergerak perlahan. Di samping itu, pada waktu tengah hari,
contohnya peristiwa Siti Wangi menanyakan Dahlia tentang tugasannya mencari
isi-isi bagi kertas kerja yang bakal dibincangkan pada petang itu sewaktu Dahlia
menuju ke asrama puteri. Contoh yang lain ialah peristiwa Haji Sulaiman yang
meminta orang-orang kampung berkumpul di balai raya kerana beliau ingin
menyampaikan sesuatu amanat yang penting. Selanjutnya, pada waktu petang,
contohnya peristiwa Azhari yang datang menemui Dahlia di kantin sekolah untuk
bertanyakan khabar serta persediaan Dahlia untuk menghadapi peperiksaan
STPM.
Azhari juga menyatakan hajatnya untuk membawa keluarganya ke rumah Dahlia
untuk berbincang tentang hubungan mereka secara serius. Contoh yang lain, peristiwa
Embong yang terkejut dengan kepulangan Mawar dari Sekolah Menengah Sains Johor,
di Kluang setelah sudah dua bulan tidak pulang ke rumah disebabkan sibuk mengulang
kaji bagi menghadapi peperiksaan penting di Tingkatan Tiga. Mawar bertanyakan
ayahnya mengenai emaknya ketika dia tiba di rumah. Selain itu, pada waktu senja,
contohnya peristiwa Dahlia yang pergi mendapatkan ibunya, Saleha yang sedang
bercakap sendirian dan sesekali ketawa di kebun getah. Dahlia gagal memujuk ibunya
untuk dibawa pulang ke rumah. Contoh yang lain, peristiwa Melati yang diminta oleh
Dahlia pergi ke kedai Tauke Lim dengan menunggang basikal untuk membeli susu
tepung Anggerik dan sekilogram gula pasir. Akhir sekali, pada waktu malam, contohnya
peristiwa Haji Sulaiman yang mendatangi rumah Embong bersama-sama tiga orang
kakitangan Hospital Batu Pahat untuk membawa Saleha ke hospital bagi mendapatkan
rawatan lanjut. Contoh yang lain peristiwa Embong yang mendapati dua ekor kambing
peliharaannya telah dicuri dari kandang kambing setelah mendengar suara embekan
kambingnya sayup-sayup.
(ii) Latar Tempat
Latar tempat dalam novel ini ialah rumah Embong, contohnya tempat
Embong, Saleha dan anak-anaknya (Dahlia, Abu Bakar, Mawar, Melati,
Kiambang dan Anggerik) tinggal. Contoh lain tempat keluarga Azhari
datang merisik dan seterusnya bertuang dengan Dahlia. Seterusnya, rumah
Nek Kiah iaitu tempat Seman memujuk ibunya, Nek Kiah agar menjual
tanah pusaka seluas lima ekar yang bersambung dengan tapak rumah
Saleha. Contoh lain, tempat tinggal Embong sekeluarga selepas rumah
mereka roboh akibat banjir sementara rumah baharu siap dibina. Selain itu,
rumah Aton, contohnya tempat Aton dan Said tinggal sebelum Said
meninggal dunia akibat mati lemas di sungai. Contoh lain, tempat Aton
memaki hamun dan menuduh Dahlia yang dianggap sebagai perancang
kematian anaknya, Said.
Selain itu, Hospital Permai, Johor Bahru, contohnya tempat Saleha dirawat setelah
dipindahkan dari Hospital Batu Pahat. Contoh lain, tempat Dahlia bertemu dengan Azhari
secara tidak sengaja ketika Dahlia melawat ibunya yang sedang menerima rawatan pemulihan
penyakit yang dihidapinya itu. Di samping itu, Hospital Batu Pahat, contohnya tempat Saleha
dimasukkan ke Wad 6 Wad Psikiatri sebelum dipindahkan ke Hospital Permai, Johor Bahru.
Contoh lain, tempat Embong menerima rawatan selama seminggu setelah dipatuk ular tedung.
Akhir sekali Sekolah Menengah Kebangsaan Temenggung Ibrahim, contohnya, tempat
empat Dahlia, Kavita, dan Siti Wangi menuntut ilmu sebagai murid Tingkatan Enam Atas dan
bakal menduduki Peperiksaan STPM pada penghujung tahun itu. Contoh yang lain, tempat
Dahlia melaungkan dan memanggil Cikgu Salwani untuk membuka pintu pagar yang telah
berkunci yang kebetulan sedang berjalan dari bilik warden asrama ke bilik guru akibat
kelewatannya tiba ke sekolah.
(iii) Latar Masyarakat
Latar masyarakat yang terdapat dalm novel ini ialah masyarakat yang mengamalkan nilai
kasih sayang dalam kehidupan, contohnya Dahlia amat sayang akan ibu dan bapanya. Dahlia
berusaha melawat ibunya yang sedang menerima rawatan di Hospital Permai di Johor Bahru
dengan sanggup mengeluarkan wang biasiswanya bagi menampung harga tambang
kenderaan tersebut. Contoh yang lain, Dahlia sayang akan neneknya, Nek Kiah. Walaupun
neneknya sentiasa bersikap prejudis terhadap mereka sekeluarga, namun Dahlia tetap
menghormati dan menjaga neneknya dengan baik sewaktu neneknya sakit hingga akhirnya
Nek Kiah memanggil Dahlia sebagai “cucu nenek” dan menyerahkan gelang emas pusakanya
pada hari pertunangan Dahlia akibat terhutang budi dengan kebaikan dan keikhlasan Dahlia.
Seterusnya, masyarakat yang tekun dan rajin menimba ilmu, contohnya watak Dahlia,
Kavita, dan Seri Wangi digambarkan sebagai masyarakat pelajar yang tekun dan rajin belajar
untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam Peperiksaan STPM yang bakal diduduki.
Contoh yang ;ain, berbekalkan keputusan Peperiksaan Percubaan STPM dan ujian semester
yang cemerlang, Dahlia telah terpilih oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor untuk menjadi
kumpulan rintis bagi mengikuti pengajian pada peringkat ijazah pertama dalam Kursus
Pengurusan Perniagaan yang ditawarkan di Jepun selama empat tahun.
Selain itu, masyarakat yang gigih menghadapi cabaran dan dugaan hidup,
contohnya Dahlia gigih berdepan dengan berbagai-bagai dugaan seperti peristiwa
ibunya, Saleha yang disahkan bersikap kurang siuman dan terpaksa dihantar ke Hospital
Permai untuk rawatan pemulihan dan peristiwa neneknya, Nek Kiah yang sentiasa
memandang serong terhadap mereka sekeluarga. Contoh yang lain, Dahlia gigih
menghadapi cabaran dalam pembelajarannya apabila dia terpaksa untuk tidak hadir ke
sekolah demi menjaga adik-adiknya ketika emaknya masih menerima rawatan di hospital
walaupun tahun itu dia berhadapan dengan Peperiksaan STPM. Akhir sekali,
masyarakat yang bertanggungjawab terhadap kesihatan keluarga, contohnya
Embong amat mengambil berat terhadap kesihatan isterinya, Saleha dengan
membenarkan kakitangan Hospital Batu Pahat mengambil isterinya untuk menerima
rawatan pemulihan bagi penyakitnya itu. Contoh yang lain, Dahlia bersetuju menerima
pelawaan Najib untuk membawa adiknya, Anggerik yang demam panas bagi menerima
rawatan di klinik yang terletak di pekan yang berhampiran.
9. GAYA BAHASA
[Tidak disertakan kerana tidak
akan diajukan dalam
peperiksaan.]
10. NILAI MURNI
Nilai murni yang diperoleh daripada novel ialah kasih Sayang,
contohnya kasih sayang ibu bapa terhadap anak, contohnya Embong
dan Saleha sangat menyayangi anak-anaknya (Dahlia, Abu Bakar,
Mawar, Kiambang, Melati, dan Anggerik) dan menaruh harapan yang
tinggi terhadap anak-anak berjaya dalam pelajaran kerana mereka
yakin, dengan pelajaran tinggi sahaja nasib keluarganya akan berubah.
Contoh lain ialah Dahlia bergegas mendapatkan emaknya yang sedang
bercakap sendirian dan sesekali ketawa di kebun getah setelah
dimaklumkan oleh Melati. Contoh yang terakhir, Dahlia mengambil
berat tentang kesihatan neneknya, Nek Kiah walaupun neneknya itu
menuduhnya sebagai perempuan jalang dan pernah menganggapnya
sebagai seorang cucu yang membawa sial.
Seterusnya berdikari, contohnya Embong tidak mahu menyusahkan
sesiapa, sebaliknya berasa bertanggungjawab sebagai seorang suami dengan
memastikan penyakit "gila” isterinya, Saleha dapat dipulihkan dengan cara
membenarkan Haji Sulaiman dan tiga orang kakitangan Hospital Batu Pahat
membawa isterinya menerima rawatan lanjut di Hospital Batu Pahat.
Embong juga memastikan anak-anaknya seramai enam orang mendapat
makanan dan pelajaran yang cukup, sehinggakan dia terpaksa mencari duit
lebih dengan mengambil upah membersihkan kebun dan memungut hasil
buah kelapa sawit. Contoh yang lain ialah Cikgu Hisyam dan Cikgu Salwani
bertanggungjawab memberikan pendidikan yang terbaik kepada
murid-muridnya. Malah Cikgu Hisyam sudi berkunjung ke rumah Dahlia dan
menghantar Siti Salwani ke Hospital Batu Pahat. Contoh yang terakhir ialah
Pengerusi JKKK Parit Haji Rais, contohnya Haji Sulaiman sentiasa memikirkan
usaha-usaha untuk menyemai kembali amalan kerjasama dalam kalangan
penduduk kampungnya yang semakin terhakis.
Selain itu, keberanian, contohnya Dahlia sanggup terjun ke dalam sungai yang berarus deras
dan berkeladak semata-mata untuk menyelamatkan Said daripada mati lemas tanpa sedikit pun
memikirkan soal keselamatan nyawanya. Contoh yang lain ialah sebagai seorang gadis, Dahlia
berani pergi seorang diri dari Batu Pahat ke Hospital Permai semata-mata untuk melawat
ibunya yang menerima rawatan lanjut di tempat itu. Selain itu, baik Hati, contohnya Azhari
sedaya-upaya berusaha membantu Dahlia yang berdepan dengan kesusahan akibat masalah
kesihatan ibunya yang sedang menerima rawatan di Hospital Permai dan peristiwa tragis ayahnya
yang menerima rawatan di Hospital Batu Pahat akibat dipatuk ular tedung. Contoh yang lain,
melalui bantuan Najib dan Kavita, Dahlia membawa adiknya, Anggerik ke klinik yang terletak di
pekan berhampiran untuk mendapatkan rawatan disebabkan demam panasnya itu. Seterusnya,
Tauke Lim mempunyai sikap baik hati dengan bersimpati dengan Embong yang berhadapan
dengan masalah kesihatan isterinya, masalah anak lelaki tunggalnya yang menjadi kutu rayau dan
masalah ibu mentuanya yang bersikap prejudis terhadap keluarganya itu. Contoh yang terakhir
ialah Abu Bakar bersikap baik hari dengan mempunyai perasaan simpati terhadap kakaknya,
Dahlia yang menjadi mangsa fitnah dan mulut jahat Aton dengan berusaha memujuk kakaknya
supaya bertenang. m kalangan masyarakat kampungnya sejak akhir ini dirasakan mengamalkan
sikap mementingkan diri sendiri.
Akhir sekali, hemah Tinggi, contohnya Dahlia keluar bersalam
dengan neneknya, Nek Kiah yang datang ke rumahnya sebelum bergegas
ke dapur untuk menyediakan minuman. Begitu juga ketika
rakan-rakannya datang seperti Kavita dan Najib, dia melayan dengan baik
dengan menyediakan minuman dan berhemah ketika bertutur kata.
Contoh yang lain ialah Dahlia tidak melawan atau menggunakan kata-kata
kesat apabila dia dimaki hamun dan dituduh oleh Aton sebagai orang
yang membunuh anaknya, Said. Contoh yang terakhir ialah Haji Sulaiman
berhemah dalam memberi nasihat kepada penduduk dengan meminta
penduduk kampung berkumpul di balai raya sebelum pulang ke rumah
masing-masing untuk menyelesaikan beberapa masalah yang berlaku
dalam kalangan masyarakat kampungnya sejak akhir ini dirasakan
mengamalkan sikap mementingkan diri sendiri.
11. PENGAJARAN
Pengajaran daripada novel ialah kita hendaklah menyayangi ahli keluarga kita,
contohnya kasih sayang ibu bapa terhadap anak, contohnya Embong dan Saleha
sangat menyayangi anak-anaknya (Dahlia, Abu Bakar, Mawar, Kiambang, Melati,
dan Anggerik) dan menaruh harapan yang tinggi terhadap anak-anak berjaya
dalam pelajaran kerana mereka yakin, dengan pelajaran tinggi sahaja nasib
keluarganya akan berubah. Contoh lain ialah Dahlia bergegas mendapatkan
emaknya yang sedang bercakap sendirian dan sesekali ketawa di kebun getah
setelah dimaklumkan oleh Melati. Seterusnya, Dahlia sanggup ponteng hari
persekolahan demi menjaga adik bongsunya, Anggerik yang demam panas
sehingga sembuh semasa ketiadaan emaknya yang sedang menerima rawatan
pemulihan di Hospital Permai. Contoh yang terakhir, Dahlia mengambil berat
tentang kesihatan neneknya, Nek Kiah walaupun neneknya itu menuduhnya
sebagai perempuan jalang dan pernah menganggapnya sebagai seorang cucu yang
membawa sial.
Selain itu, kita perlulah mempunyai keinginan berdikari untuk melaksanakan
tanggungjawab, contohnya tanggungjawab sebagai seorang suami, contohnya
Embong berusaha memastikan penyakit "gila” isterinya, Saleha dapat dipulihkan
dengan cara membenarkan Haji Sulaiman dan tiga orang kakitangan Hospital Batu
Pahat membawa isterinya menerima rawatan lanjut di Hospital Batu Pahat. Embong
juga bertanggungjawab memastikan anak-anaknya seramai enam orang mendapat
makanan dan pelajaran yang cukup, sehinggakan dia terpaksa mencari duit lebih
dengan mengambil upah membersihkan kebun dan memungut hasil buah kelapa
sawit. Contoh yang lain ialah Cikgu Hisyam dan Cikgu Salwani bertanggungjawab
memberikan pendidikan yang terbaik kepada murid-muridnya. Malah Cikgu Hisyam
sudi berkunjung ke rumah Dahlia dan menghantar Siti Salwani ke Hospital Batu
Pahat. Contoh yang terakhir ialah Pengerusi JKKK Parit Haji Rais, contohnya Haji
Sulaiman sentiasa memikirkan usaha-usaha untuk menyemai kembali amalan
kerjasama dalam kalangan penduduk kampungnya yang semakin terhakis.
Selanjutnya, kita haruslah berani menghadapi
cabaran, contohnya Dahlia sanggup terjun ke dalam
sungai yang berarus deras dan berkeladak
semata-mata untuk menyelamatkan Said daripada mati
lemas tanpa sedikit pun memikirkan soal keselamatan
nyawanya. Contoh yang lain ialah sebagai seorang
gadis, Dahlia berani pergi seorang diri dari Batu Pahat
ke Hospital Permai semata-mata untuk melawat
ibunya yang menerima rawatan lanjut di tempat itu.
Di samping itu, kita perlulah bersikap baik hati terhadap orang lain,
contohnya Azhari sedaya-upaya berusaha membantu Dahlia yang berdepan dengan
kesusahan akibat masalah kesihatan ibunya yang sedang menerima rawatan di
Hospital Permai dan peristiwa tragis ayahnya yang menerima rawatan di Hospital
Batu Pahat akibat dipatuk ular tedung. Contoh yang lain, melalui bantuan Najib dan
Kavita, Dahlia membawa adiknya, Anggerik ke klinik yang terletak di pekan
berhampiran untuk mendapatkan rawatan disebabkan demam panasnya itu.
Seterusnya, Tauke Lim mempunyai sikap baik hati dengan bersimpati terhadap
Embong yang berhadapan dengan masalah kesihatan isterinya, masalah anak lelaki
tunggalnya yang menjadi kutu rayau dan masalah ibu mentuanya yang bersikap
prejudis terhadap keluarganya itu. Contoh yang terakhir ialah Abu Bakar bersikap
baik hari dengan mempunyai perasaan simpati terhadap kakaknya, Dahlia yang
menjadi mangsa fitnah dan mulut jahat Aton dengan berusaha memujuk kakaknya
supaya bertenang.
Akhir sekali, kita hendaklah bersikap hemah tinggi apabila
berhadapan dengan orang, contohnya Dahlia keluar bersalam dengan
neneknya, Nek Kiah yang datang ke rumahnya sebelum bergegas ke dapur
untuk menyediakan minuman. Begitu juga ketika rakan-rakannya datang
seperti Kavita dan Najib, dia melayan dengan baik dengan menyediakan
minuman dan berhemah ketika bertutur kata. Contoh yang lain ialah Dahlia
tidak melawan atau menggunakan kata-kata kesat apabila dia dimaki hamun
dan dituduh oleh Aton sebagai orang yang membunuh anaknya, Said.
Contoh yang terakhir ialah Haji Sulaiman berhemah dalam memberi nasihat
kepada penduduk dengan meminta penduduk kampung berkumpul di balai
raya sebelum pulang ke rumah masing-masing untuk menyelesaikan
beberapa masalah yang berlaku dalam kalangan masyarakat kampungnya
sejak akhir ini dirasakan mengamalkan sikap mementingkan diri sendiri.