The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by 948-6-aina, 2022-12-16 02:19:49

Sasterawan Negara

tutorial 1b

SASTERAWAN
NEGARA

UNIT X 8

14 ORANG SASTERAWAN NEGARA

KERIS MAS SHAHNON AHMAD

S. OTHMAN KELANTAN ABDULLAH HUSSAIN

A. SAMAD SAID ANWAR RIDHWAN
RAHMAN SHAARI

KEMALA ZURINAH HASSAN
SITI ZAINON ISMAIL BAHA ZAIN
ARENA WATI
NOORDIN HASSAN

MUHAMMAD HAJI SALLEH

KERIS MAS

LATAR BELAKANG KERIS MAS
Keris Mas atau nama sepenuhnya Kamaluddin Muhamad dilahirkan pada 10 Jun
1922 di Kampung Ketari, Bentong Pahang. Beliau merupakan seorang tokoh dalam
bidang penulisan serta kesusasteraan yang pertama kalinya dianugerahkan gelaran
Sasterawan Negara. Beliau menerima anugerah tersebut pada 26 April 1981 di
Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen. Beliau telah dipilih oleh Urusetia Panel
Anugerah Sastera Negara berdasarkan kepada kewibawaan beliau dalam bidang
kesusasteraan tanah air terutama dalam bidang penulisan cerpen.

Melalui karya-karya seni cerpennya jelas menunjukkan kegigihan beliau sebagai
seorang nasionalis yang berwawasan, pejuang keadilan sosial, pengawal dan
pengukir bahasa dan sastera bermutu serta pemikir kesusasteraan yang tajam.
Sebelum itu, beliau juga pernah dianugerahi Anugerah Pejuang Sastera pada tahun
1976 oleh pemerintah kerajaan Malaysia.

KARIER KERJAYA
Beliau pernah bertugas sebagai Pegawai Penerangan bagi Parti Kebangsaan Melayu
Malaya (PKMM) dan Pengarang Penerbitan Utusan Melayu di Singapura. Beliau
banyak berjasa dan memberi sumbangan dalam memajukan majalah Mastika dan
akhbar Utusan Zaman. Selepas itu, beliau pernah berkhidmat dengan Warta
Negara sehingga tahun 1956. Beliau adalah salah seorang tokoh ASAS 50 yang
aktif dan terkenal dan pernah berkhidmat sebagai Pengarang Umum di Dewan
Bahasa dan Pustaka pada tahun 1956.

Sebelum beliau bersara pada 10 Jun 1977, beliau memegang jawatan Ketua
Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera. Selepas bersara, beliau
menjadi Penulis Tamu di Universiti Malaya dan di Dewan Bahasa dan Pustaka.
SUMBANGAN
Sumbangan utama beliau ialah dalam lapangan cerpen. Karya pertama beliau
berjudul Wasiat Orang Bangsawan, tersiar dalam Suluh Malaya pada 1 Jun 1946.
Sehingga akhir tahun 1960, sebanyak 60 buah cerpen telah dihasilkan.
Cerpen-cerpennya itu kini telah dimuatkan dalam beberapa buah antologi seperti:

 Mekar dan Segar (1959)
 Dua zaman (1963)

 Patah Tumbuh (1963)
 Pertentangan (1968)

Keris Mas juga turut menghasilkan novel. Antaranya ;

Pahlawan Rimba Malaya (1946) & Korban Kesuciannya (1949)

Anak Titiwangsa (1967)

Saudagar Besar dari Kuala Lumpur (1983)

Rimba Harapan (1985)
SUDUT SEJARAH KESUSASTERAAN
Beliau muncul sebagai tokoh penulis cerpen dari ASAS 50 yang mempunyai
pengaruh begitu kuat dalam perkembangan cerpen, terutama sehingga tahun-tahun
1960-an. Karya-karya beliau begitu jelas dan kuat kesan penyuaraan keadilan sosial
dengan watak-watak manusia yang hidup. Dengan begitu beliau dapat dianggap
penulis yang berjaya mematangkan genre cerpen dan mengukuhkan tradisinya.
Bagi menghargai jasa dan sumbangan Keris Mas dalam bidang penulisan dan
kesusasteraan tanah air, beliau telah dianugerahkan Anugerah Pejuang sastera
(1976) dan Anugerah Sastera Negara pada 26 April 1981. Beliau telah meninggal
dunia pada tahun 1992.

SHAHNON AHMAD

LATAR BELAKANG SHAHNON AHMAD
Shahnon Ahmad atau nama sebenarnya Dato' Haji Shahnon bin Ahmad dilahirkan
pada 13 Januari 1933 di Kampung Banggol Derdap, Sik, Kedah. Beliau adalah
seorang penulis Malaysia. Beliau mendapat gelaran Sasterawan Negara yang
dianugerahkan pada tahun 1982 dan merupakan seorang Profesor Emeritus di
Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Shahnon juga merupakan bekas Ahli
Parlimen dan ahli parti pembangkang PAS. Dalam Pilihanraya Umum Malaysia 1999,
beliau bertanding di kerusi parlimen Sik (P.13) dan menang.

KELUARGA
Ayah Shahnon Ahmad merupakan seorang posmen yang bernama Haji Ahmad bin
Haji Abu Bakar yang berasal dari Medan, Sumatera, dan meninggal dunia pada tahun
1981. Haji Ahmad telah mengembara sewaktu mudanya dan telah berkahwin
dengan ibu Shahnon lalu menetap di Sik. Haji Ahmad pernah menjadi perisik di era
Perang Dunia Kedua kepada pihak British bagi mencari maklumat-maklumat rahsia
tentang gerakan-gerakan pihak Jepun. Seterusnya, ibu Shahnon iaitu Hajah Kelsum
binti Haji Mohd Saman, berasal dari Kampong Poseng, Pattani, Thailand. Dia
merupakan generasi kedua daripada keturunan Pattani yang berpindah dan
bermastautin di Kampung Banggul Derdap. Semua penduduk di kampung itu adalah
kaum keluarganya sendiri. Seperti juga kaum keluarganya, Mak Kelsum bekerja
sebagai petani di sawah pusaka tinggalan bapanya.

PENDIDIKAN
Dato’ Shahnon Ahmad mendapat pendidikan asas di Sekolah Melayu Sik pada tahun
1941. Setelah lulus Darjah V (1946), beliau menuntut pula di Maktab Sultan Abdul
Hamid, Alor Setar sejak dari tahun 1947 hingga 1953. Pada tahun 1954, Shahnon
bekerja sebagai guru dan bertugas di Grammer English School di Kuala Terengganu.
Dari tahun 1955 hingga 1956 beliau mendapat latihan sebagai Pegawai askar Melayu
Di Raja, Port Dickson, Negeri Sembilan. Oleh kerana tidak berkelayakan, beliau
kembali bertugas sebagai guru bahasa Inggeris di Sekolah Melayu Gunung dan
Sekolah Bukit Besar,Kedah (1957-1959).

ZAMAN KANAK-KANAK DAN REMAJA
Pada zaman kanak-kanaknya, Shahnon menjalani kehidupannya di Kampung Derdap.
Shahnon dikenali sebagai kanak-kanak yang pendiam, pemalu dan tidak suka
bercampur gaul dengan orang lain. Aktiviti yang sering dilakukan adalah mengikut
ibunya ke sawah setiap hari. Semasa memasuki sesi persekolahan di Sekolah
Melayu Sik, Shahnon terpaksa menyesuaikan diri dalam suasana persekolahan yang
penuh dengan keriuhan, perlumbaan dan cabaran. Pada zaman remajanya,
Shahnon bersekolah di Kolej Sultan Abdul Hamid yang merupakan tempat yang
berlainan sekali dengan suasana di kampung atau sekolah asalnya. Di sini, beliau
bertemu lagi dengan mereka yang pelbagai kaum dan dari beberapa daerah di
seluruh Kedah. Pada zaman persekolahan ini, Shahnon tidak menunjukkan
kecenderungan pada kesusasteraan, tetapi lebih suka berlawak jenaka sahaja.
Perwatakannya sebagai orang yang datang dari ‘hulu ‘ dan cara bertuturnya pelat
Pattani menjadi bahan ketawa dan sindiran rakan sekolahnya. Secara psikologi,
ejekan dan sindiran itu menambahkan keyakinan diri, dan apabila hal itu sudah
menjadi sebati, ini dijadikan pula sebagai bahan jenakanya.

PEKERJAAN SEBELUM BERGELAR SASTERAWAN
Pada tahun 1968, beliau berangkat ke Canberra, Australia dan bertugas sebagai
pegawai penyelidik di Australian National University (ANU). Beliau mengambil
kesempatan itu untuk terus menuntut di ANU sehingga memperoleh ijazah Sarjana
Muda pada tahun 1971. Sekembalinya ke tanah air, Shahnon menjadi Pensyarah di
Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim dan tidak lama selepas itu, ditawarkan
berkhidmat di Universiti Sains Malaysia sebagai pensyarah dalam tahun 1974. Di
sinilah beliau memperoleh Sarjana Sastera pada tahun 1975. Shahnon kemudiannya
dilantik menjadi Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan sejak awal tahun 1979.
Mulai Jun 1980, Shahnon dilantik sebagai Profesor Sastera Universiti Sains Malaysia.

Pada tahun 1982, Shahnon dilantik pula menjadi profesor penuh di universiti yang
sama.
SEBAHAGIAN KARYA SHAHNON AHMAD

Anjing-anjing (1964)

Debu merah(1965)

Rentong (1965)

Terdedah(1965)
Ranjau Sepanjang Jalan (1966)

Protes(1967)
Perdana (1969)

Srengenge (1973)
Sampah(1974)

S. OTHMAN KELANTAN

LATAR BELAKANG S. OTHMAN KELANTAN
Dilahirkan pada 13 November 1939 di Kampung Tebing Tinggi, Kemumin, Kota Bharu
dan dinamakan sebagai Syed Othman bin Syed Othman Al Yahya. Beliau lebih
dikenali sebagai S.Othman Kelantan dalam dunia penulisan. Beliau aktif dalam
lapangan penulisan pada tahun 1953 dengan menulis cerita pendek serta novel
sehingga tahun 2000 beliau sebanyak 175 cerpen beliau telah diterbitkan dan
beberapa novel beliau juga menjadi fenomena hingga diterjemahkan kepada
beberapa bahasa asing seperti Jepun, Perancis, Inggeris, Russia dan China.

PENDIDIKAN
Beliau mula menerima pendidikan formal di Sekolah Melayu Sabak sehingga darjah V
pada 1950 dan menyambung pelajaran di Sekolah Rambutan Rendang sehingga
lulus darjah IV. 1964 beliau telah lulus dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia
dan pada 1971 beliau telah meraih Sijil Tinggi Persekolahan. Setelah itu, S. Othman
Kelantan telah menyambung pelajaran pada peringkat Sarjana Muda secara luar
kampus dengan Universiti Sains Malaysia sehingga meraih Ijazah Sarjana Muda
Sastera pada 1979. Semangat beliau untuk belajar tidak terhenti setakat itu,beliau
melanjutkan pelajaran pada peringkat Sarjana pula dan pada 1982 beliau telah
dianugerahkan Sarjana dalam bidang sastera pada 1982 juga dari Universiti Sains
Malaysia. Kata pepatah, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal
lengan, S. Othman Kelantan telah menyambung lagi pembelajaran beliau pada
peringkat PhD dan pada 1995, Universiti Kebangsaan Malaysia telah
menganugerahkan gelaran Doktor Falsafah kepada beliau.

KERJAYA
S. Othman Kelantan sebenarnya adalah seorang guru sekolah sebelum beliau
bertukar kerjaya sebagai pensyarah pada 1983. Beliau berkhidmat sebagai guru
hanya di Kelantan dengan Sekolah Rendah Gaal, Pasir Putih sebagai sekolah
pertama dan Sekolah Menengah Sultan Ismail, Kota Bharu sebagai sekolah terakhir
beliau. Setelah beliau mendapat Ijazah Sarjana dari USM, beliau telah berkhidmat
sebagai Pensyarah Penyelidikan di Institusi Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan
Melayu (IBKKM) sehinggalah beliau bersara.

PENULIS DAN PENGARANG
Pada peringkat awal penulisan, beliau menghasilkan puisi dan cerpen untuk Utusan
Kanak-kanak dan Tunas serta majalah Hiburan, Mutiara. Dua majalah ini lebih
kepada maklumat hiburan dan dari sinilah S. Othman Kelantan membina keyakinan
untuk terus menghasilkan karya kreatif yang lebih bersifat dinamik dan akhirnya karya
beliau diterima penerbit yang besar seperti Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada
peringkat pembabitan beliau dalam menulis karyanya lebih bercorak hiburan ringan
dengan memuatkan tema penyiasatan dan ala-ala Cowboy dan mengembangkan
penulisan dengan menyentuh persoalan yang lebih besar mencakupi isu
kemasyarakatan, politik, agama dan falsafah.

Beliau sebenarnya lebih terkenal sebagai Cerpenis dengan cerpen yang menjadi
ingatan hingga saat ini iaitu “Pahlawan Lembu”. Hasil penulisan beliau telah
membawa beliau memenangi hadiah RM100.00 untuk cerpen pilihan akhbar Berita
Harian dan Majalah Mastika. Panel Hadiah Karya Sastera juga telah memilih
beberapa buah cerpen beliau sebagai cerpen terbaik untuk tahun 1972,1973 dan
1975. Penglibatan beliau dalam penulisan novel bermula apabila novel Pelangi
memenangi hadiah sagu hati dalam Peraduan Mengarang Novel anjuran Dewan
Bahasa dan Pustaka pada 1962. Kejayaan inilah mendorong beliau untuk
menghasilkan novel sulungnya iaitu Pengertian pada 1968. Bagaimanapun ia
mengambil masa untuk diterima masyarakat umum, setelah novelnya yang ketiga
bertajuk Angin Timur Laut barulah penulisan beliau dalam novel mendapat sambutan
dari pembaca.

PERSATUAN
Sepanjang terlibat dalam dunia penulisan, S. Othman Kelantan pernah diangkat
sebagai ketua dalam beberapa persatuan yang berteraskan kemasyarakatan seperti
Persatuan Penulis Kelantan (PPK) dari tahun 1972-1976, Persatuan Penulis Nasional,

Penasihat PPK dan Penasihat Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA).
Karyawan ulung ini telah meninggal dunia pada 31 Julai 2008 dan dikebumikan di
Bangi.
Antara novel S. Othman Kelantan

Ustaz (1991)

Perjudian (1973)

Juara (1976)

ABDULLAH HUSSAIN

LATAR BELAKANG ABDULLAH HUSSAIN
Datuk Abdullah Hussain yang dilahirkan pada 25 Mac 1920 dan meninggal dunia
pada 31 Disember 2014 ialah seorang penulis novel dan penulis. Beliau menerima
Anugerah Sasterawan Negara pada tahun 1996 yang menjadikan beliau Sasterawan
Negara kelapan. Beliau dilahirkan di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah Darul Aman,
Malaysia. Abdullah terkenal memiliki banyak pengalaman dan menguasai beberapa
bahasa asing.

PENDIDIKAN
Pada tahun 1926–1931, beliau bersekolah di Sekolah Melayu Yan dan Sekolah
Menengah St. Michael, Alor Star, Kedah (1932–1933). Pada tahun 1935, beliau
belajar di Anglo Chinese School, Alor Star, Kedah, hingga lulus darjah VII. Semasa
pendudukan Jepun 1943, beliau belajar di Syonan Koa Kunrenzo (Sekolah Latihan
Pegawai-Pegawai Tinggi) di Singapura selama tiga bulan.

KERJAYA
Pelbagai kerja yang dilakukan beliau demi meneruskan hidup. Kebanyakan
kerjayanya berkait dengan penulisan, percetakan dan penulisan. Beliau pernah
menjadi Penolong Penjaga Stor lombong bijih di Pahang (1939); Bahagian
Penerbitan, syarikat suratkhabar Sahabat, Pulau Pinang (1939); Pembantu
pengarang surat khabar Saudara (1940); Kerani dan tukang dobi di Kem Tentera
Sungai Petani, Kedah sehingga kedatangan tentera Jepun; Wartawan surat

khabar Merdeka, Berita Indonesia dan Majalah Merdeka, Singapura (1951);
Pengarang Majalah Bintang, Majalah Filem dan akhbar Semenanjung.

Seterusnya, beliau bekerja sebagai pembantu pengarang di Franklin Book
Programme dan Oxford University Press (1965 – 1968); Editor majalah Angkatan
Baru (1965 – 1968); Pegawai Penyelidik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) (1968 –
1978); Ketua Unit Bahasa dan Sastera, DBP cawangan Sabah (1978 – 1979); Ahli
Cipta Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (1979 – 1981);
Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera DBP Brunei (1982) dan
Pegawai Bahasa Kanan DBP Brunei. Akhirnya, beliau menjadi Karyawan
Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka

HASIL PENULISAN
Karya pertama beliau terbit pada 1939, sebelum pendudukan Jepun iaitu cerita lucu
yang disiarkan dalam majalah Tanah Melayu. Pelbagai genre dihasilkan
seperti cerpen, novel, biografi/autobiografi, terjemahan dan esei sastera.
Lebih 25 buah novel, tiga buah kumpulan cerpen, sembilan buah terjemahan, sebuah
autobiografi dan enam buah biografi telah dihasilkan. Nama pena beliau ialah
Zamroed, Roslani Shikin, A.A, Adiwijaya, A.H, Andijaya, Asly, Bintang Kecil, Iskandar
Muda dan Suryakanta.

PINGAT DAN ANUGERAH
Beliau telah dianugerahkan S.E.A Write Award di Bangkok (1981) (pemenang
pertama hadiah Sayembara Novel Nasional – mengenang Pak Sako); Hadiah
Pertama Novel Nasional anjuran Syarikat Utusan Malaysia dan Public Bank pada
tahun 1992/94 menerusi novel Imam; Pingat Jasa Hukom Ngon Adat Lembaga Adat
Kebudayaan Aceh pada tahun 1995; Anugerah Sasterawan Negara pada tahun
1996; Dato' Setia DiRaja Kedah (D.S.D.K) (1996) yang membawa gelaran
Dato'. Darjah Kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) (1996) yang membawa
gelaran Datuk.

ISU DAN KONTROVERSI
Novel Interlok tulisannya pada 1971 terpilih sebagai novel Komsas untuk pelajar
Tingkatan 5, Sekolah Menengah di Semenanjung Malaysia. Masyarakat India dijuarai
oleh parti MIC, Uthaya Sankar dan lain-lain mempertikaikan kesesuaian novel itu

kerana mengandungi unsur-unsur tidak tepat, mengelirukan dan menghina kaum
India Malaysia yang berhijrah dari Tamil Nadu. Novel tersebut dipinda dan dibuang
istilah yang tidak berkenan di kalangan masyarakat India. Akhirnya novel tersebut
dibatalkan terus oleh Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana
mendapat bantahan berterusan.

KARYA ABDULLAH HUSSAIN

Kota ke Kota (2011) Imam (1995)

Peristiwa Kemerdekaan di Aceh (1990) Interlok (1971)

A. SAMAD SAID

LATAR BELAKANG A.SAMAD SAID
Sasterawan Negara (SN) Datuk A.Samad Said atau nama sebenarnya Abdul Samad
Muhammad Said merupakan seorang sasterawan tanah air yang banyak terlibat
dalam bidang penulisan kreatif. Kerajinannya menghasilkan karya dan ketekunannya
membaca karya-karya orang lain menjadi titik penentu A.Samad Said ditabalkan
sebagai Sasterawan Negara yang versatil. Beliau berpendapat bahawa untuk
melahirkan karya,karyawan tidak hanya bergantung pada bahan dan bakat serta
kekuatan fikiran sahaja,tetapi yang penting ialah pembacaan dan pengalaman yang
luas.

SN Datuk A.Samad Said dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing
Dalam, Durian Tunggal, Melaka. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu
Kota Raja, Singapura dari tahun 1940-1946. Beliau kemudian telah melanjutkan
pelajarannya di Victoria Institution sehingga memperoleh sijil Senior Cambridge pada
tahun 1956.

Sejak di bangku sekolah menengah lagi, Samad sudah mulai berkenalan dengan
kesusasteraan di dalam dan luar negeri. Malah, pengarang-pengarang penting di
Singapura seperti Asraf, Usman Awang, dan Han Suyin telah ditemuinya. Sajak dan
cerpennya mula tersiar sewaktu beliau masih di bangku sekolah. Sebelum terbitnya
novel Salina yang mengharumkan namanya, Samad membaca karya-karya Ajip
Rosidi, Rendra, Pramoedya, Achdiat, Hamzah dan Wijaya Mala. Beliau juga
membaca novel-novel Barat seperti Oliver Twist, Wuthering Height dan Almayer’s
Folly. Beliau menggunting cerpen-cerpen daripada akhbar tempatan dan
mengkajinya sebelum menghasilkan cerpennya.

Kegiatan menterjemah beberapa karya sastera asing juga secara tidak langsung
memperkuat minatnya terhadap kesusasteraan. Segalanya ini membulatkan tekad

dan fikirannya untuk berkecimpung dalam bidang penulisan, dan hasilnya, Samad
berupaya menghasilkan pelbagai genre: sajak, novel, drama, esei/kritikan dan
terjemahan. Kecenderungannya terhadap dunia sastera telah berakar dan
berkembang dalam dirinya sejak kecil lagi apabila beliau selalu mendengar
cerita-cerita daripada ibunya.

KERJAYA

Pengalaman kerjaya SN A.Samad Said bermula sebagai kerani. Kemudian beliau
menjadi wartawan di akhbar Fikiran Rakyat, Utusan Melayu dan Berita Harian.
Jawatan terakhir beliau ialah sebagai ketua pengembangan sastera dalam kumpulan
Akhbar The New Strait Times. Kini beliau menjadi penulis sepenuh masa yang aktif
berkarya.Sepanjang karier penulisan, beliau telah mendapat pengiktirafan daripada
Kerajaan Malaysia. Antara anugerah yang diterima ialah Anugerah Pejuang Satera
(1976), SEAWrite Award (1979), Anugerah Sastera Negara (1985) dan Anugerah
Sasterawan Nusantara (1999). Anugerah lain yang diterima ialah Anugerah Ijazah
Kehormat Doktor Pendidikan Kesusasteraan UPSI pada tahun 2003. Selain
pengiktirafan dalam bidang sastera, A.Samad Said juga telah dianugerahkan darjah
kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk dalam tahun 1997 oleh
Yang DiPertua Negeri Melaka. Bukan itu sahaja A. Samad Said turut dilantik sebagai
sasterawan UPSI mulai Februari 2019.

Dalam usia awal 70an, Datuk A.Samad Said masih cergas memenuhi undangan
majlis sastera. Beliau sanggup mengembara sehingga ke kawasan pedalaman di
Sarawak dan juga Sabah untuk menunaikan jemputan di samping membantu
perkembangan sastera tanah air. Datuk A.Samad Said memiliki keistimewaan yang
jarang dimiliki oleh semua penulis. Beliau menguasai semua genre sastera. Sehingga
kini A.Samad Said tidak jemu menghasilkan puluhan karya dalam genre novel, puisi,
drama, cerpen, dan esei.

KARYA BELIAU

Antara karya besar yang dihasilkan ialah Salina, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan

Pulau, Langit Petang, Hujan Pagi, Lantai T.Pinkie, Benih Semalu, Benih Harapan,

Warkah Eropah, Al-Amin, Rindu Ibu dan lain-lain lagi. Karya beliau Salina telah

diterjemahkan ke dalam lain-lain bahasa seperti bahasa Inggeris dan bahasa

Perancis. Beberapa karya beliau juga telah diadaptasi menjadi teater atau drama

pentas seperti Salina, Sungai Mengalir Lesu, Lantai T.Pinkie dan Memori di Hadapan

Pulau. Keunikan, keistimewaan dan keikhlasan SN Datuk A.Samad Said berkarya

sewajarnya menjadi model dan sumber inspirasi berkarya bagi generasi penulis muda

masa kini.

Hujan Pagi (1992) Salina (1961)

Langit Petang (1980) Di Hadapan Pulau (1978)

Adik Datang (1980) Cinta Fansuri (1994)

ANWAR RIDHWAN

LATAR BELAKANG ANWAR RIDHWAN
Anwar Ridhwan adalah seorang sasterawan yang terkemuka dari Malaysia. Nama
sebenarnya Dato' Dr. Anuar bin Haji Rethwan dilahirkan di Sabak Bernam, Selangor
pada 5 Ogos 1949. Lulusan Sarjana Muda Sastera (1973)dari Universiti Malaya,
beliau kemudiannya memperolehi ijazah Sarjana Sastera (1983) dan Ijazah Doktor
Falsafah (Ph.D)(1998) kesemuanya dari Universiti Malaya. Beliau menumpukan
kerjayanya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sehinggalah bersara pada tahun
2005 dengan jawatan terakhirnya Pengarah Penerbitan DBP.Beliau yang dikenali
sebagai Anwar Ridhwan mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan
Doktor Falsafah dari Universiti Malaya (UM) dan telah menghasilkan beberapa buku
serta artikel penyelidikan dalam bidang sastera Melayu moden seperti novel, puisi,
cerpen dan drama. Beliau juga pernah bekerjasama dengan Prof. Dr. E. U. Kratz dari
SOAS University of London dalam membuat kajian dan membukukan pantun-pantun

Melayu sebelum 1914 Koleksi Hans Overbeck.

DUNIA PENULISAN
Dalam dunia penulisan beliau terkenal sebagai seorang novelis dan penulis cerpen.
Novelnya yang pertama ialah Hari-hari Terakhir Seorang Seniman yang memenangi
Hadiah Novel Gapena-Yayasan Sabah, 1979. Sebuah lagi novelnya Arus (1985)
memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985.Antara cerpen karyanya ialah
Perjalanan Terakhir (1971), Dunia adalah Sebuah Apartmen (1973), Sesudah Perang
(1976)dan Dari Kiev ke Moskova (1992). Karya beliau yang diilhamkan dan disiapkan
di Jepun pada tahun 2001 berjudul Naratif Ogonshoto memenangi Hadiah Sastera
Perdana Malaysia 2000/2001. Novel itu dengan judul "Bili i Nebili Ostrovov Ogonsoto"
diterbitkan dalam bahasa Rusia (penterjemah Victor Pogadaev) pada tahun 2006 di
Sanct-Petersburg (penerbit Paideia).

PENCAPAIAN
Karya-karya beliau telah diterbitkan di Indonesia dan diterjemahkan karya terbabit
lebih 16 bahasa dunia. Beliau juga telah menghasilkan beberapa buah buku
berbentuk kajian dan ilmiah. Pada tahun 2002, beliau telah menerima anugerah SEA
Write Award di Bangkok dan Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara. Beliau turut
menerima anugerah Sastera Negara daripada Seri Paduka Baginda yang di-Pertuan
Agong sebagai Sasterawan Negara ke-10 pada 20 Oktober 2009. Beliau juga pernah
mengikuti kursus pengurusan dan penerbitan buku di New York University pada
tahun 1982 dan International Writing Program pada tahun 1986 di University of Lowa,
Amerika Syarikat. Beliau juga pernah berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP) Malaysia selama lebih 30 tahun.

Selama tiga tahun beliau bertugas sebagai Profesor Pelawat di Tokyo University
of Foreign Studies, Jepun dari bulan April 1997 hingga Mac 2000. Antara karya
penulisan beliau yang terbaharu dan terpilih adalah Pengantar dalam Perempuan dari
Setchuan: Sebuah Teater Alinasi, terbitan City Reprographic Services pada tahun
2010, Samak dalam Truth Globalize terbitan Bangkok: ThaiMalaysian Literary
Relations pada tahun 2011, Wajah Timur Lidah Barat: Permasalahan Imperialisme
Linguistik di Malaysia terbitan Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2012, Potpuri: Budaya, Sastera dan Seni (3
Jilid) terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) pada tahun 2016,
Budaya dan Rakyat terbitan AR Matrix pada tahun 2016, Bangsawan: Helah Behena
terbitan Pekan Ilmu Publication pada tahun 2018, dan Cerita Saya: Memoir Sehingga
Tahun Tragedi 13 Mei 1969 terbitan ITBM pada tahun 2018. Kini, beliau menjadi
Pensyarah di Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem, dan Pusat Pengajian Pasca
Siswazah di ASWARA.

KARYA BELIAU

Pencari Kesempurnaan (2013) Arus (1985)

Parasit dan Sesudah Perang (2009) Dunia Adalah Sebuah Apartmen
(1973)

RAHMAN SHAARI

LATAR BELAKANG RAHMAN SHAARI
Rahman Shaari ialah seorang sasterawan, penulis bebas dan ahli akademik warga
Malaysia. Nama penuhnya Abdul Rahman bin Shaari dilahirkan pada 5 September
1949 di Kampung Utan Lembah, Oran, Perlis.

PENDIDIKAN
Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Guar Nangka pada tahun
1956 sehinga Darjah Lima dan menyambung Darjah Enam di Sekolah Kebangsaan
Oran. Beliau kemudiannya menyambung pelajaran di peringkat menengah di
Sekolah Menengah Derma sehingga Tingkatan Tiga. Mendapat keputusan
cemerlang dalam peperiksaan, beliau terpilih untuk mengikuti aliran sains di Sekolah
Alam Shah, Cheras, Kuala Lumpur sehingga Tingkatan Lima. Kemudiannya beliau
mengikuti aliran sastera untuk Tingkatan Enam di sekolah yang sama. Pada tahun
1970 beliau telah mengikuti latihan perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris (kini
dikenali sebagai UPSI) dan pada tahun 1973 beliau telah menjadi guru.

Beliau kemudiannya menyambung pelajarannya di Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM) dengan mengikuti kursus di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan
Kebudayaan Melayu. Beliau lulus Ijazah Sarjana Muda Persuratan pada tahun 1977
dan kembali menjadi guru. Beliau kembali ke negeri kelahirannya iaitu Perlis dan
mengajar di Sekolah Menengah Syed Sirajuddin, Jejawi, Perlis dari tahun 1977
hingga 1979.

KERJAYA
Tiga tahun kemudian, beliau kembali ke UKM dan menjadi tutor di Institut Bahasa,
Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu. Rahman Shaari lebih khusus kepada
genre puisi dan sajak, namun aktif juga dalam genre sastera yang lain seperti cerpen,
esei, novel dan drama. Sewaktu menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI),
beliau pernah bergiat dalam bidang drama di bawah bimbingan saudara Noordin
Hassan (kini Sasterawan Negara). Beliau juga menjadi penolong pengarah untuk
drama Bukan Lalang Ditiup Angin yang diarahkan oleh Noordin Hassan. Puisi
pertama tulisan Rahman Shaari berjudul Buka Bicara yang disiarkan dalam majalah
Dewan Sastera keluaran April 1971 ditulis sewaktu beliau masih menuntut di MPSI.

KARYA BELIAU
Antara karya-karya lain Rahman Shaari ialah seperti Di Sekitar Sastera dan
Kritikan (1981), Kuntum Pertiwi (bersama Anwar Ridhwan,
1982), Gangguan (1988), Melati dan Bahang (1994) dan Suluh Peraba (1996). Kini
beliau menjadi kolumnis undangan untuk akhbar Sinar Harian. Rahman Shaari
dianugerahi Darjah Dato’ Panglima Sirajuddin Jamalullail (DPSJ) oleh DYMM Raja
Perlis sempena ulang tahun keputeraan Baginda ke-70, pada 17 Mei 2013.

Air Mata Gembira Di Penjara Matamu

Jenaka Bagus

KEMALA

LATAR BELAKANG KEMALA
KEMALA atau yang dikenali juga sebagai Akmal Jiwa merupakan nama pena kepada
Dato’ Dr. Haji Ahmad Kamal bin Abdullah. Beliau dilahirkan di sebuah kampung di
Gombak, Selangor. Beliau merupakan anak ketiga daripada sepasang suami isteri,
iaitu Abdullah bin Daud (meninggal pada tahun 1945) dengan Rukiyah binti Amir.
Sebelum menikahi Rukiyah, Abdullah telah beristeri dengan seorang perempuan
bernama Siti Hawa yang menetap di Rawang, Selangor. Daripada perkahwinan itu,
mereka telah mendapat seorang puteri. Ahmad Kamal mempunyai empat orang adik
beradik seibu sebapa. Abangnya yang sulung bernama Kamaruzzaman, meninggal
dunia semasa kecil. Selepas itu beliau mendapat seorang kakak perempuan bernama
Narimah yang lahir pada tahun 1939. Pada 30 Januari 1941 lahir pula putera yang
diberi nama Ahmad Kamal. Adik Kemala, Taufik meninggal semasa kecil.

Ahmad Kamal bin Abdullah lahir dalam keluarga terdidik pada masa itu. Ayahnya
merupakan lulusan Junior Cambridge dari Malay College Kuala Kangsar, Perak, iaitu
sebuah sekolah elit yang khusus didirikan oleh penjajah Inggeris untuk mendidik anak
raja-raja dan elit baru Melayu. Datuknya Haji Daud bin Baginda Muda berasal dari
Pariaman, Rao Minagkabau membawa diri ke Kolang dan terus menetap di Ketari,
Bentong, Pahang dan menikahi Naimah iaitu anak perempuan kepada penghulu
Setapak, bernama Khatib Koyan. Nama moyang Ahmad Kamal ini diabadikan pada
nama sebatang Jalan di Kampung Baru, Kuala Lumpur iaitu Jalan Katib Koyan.

Rukiyah binti Amir (meninggal pada 15 Jun 1957), merupakan ibu yang
penyayang dan sering bercerita serta membacakan syair-syair kepada si kecil
Ahmad Kamal sebelum tidur. Kelembutan ibu dan dendangan syair serta cerita-cerita
ini membekas dalam jiwa Ahmad Kamal. Lanjutan daripada itu, sejak Darjah 5
di Sekolah Melayu Kampung Batu, Kuala Lumpur lagi Ahmad Kamal sudah mula
memupuk cita rasa seninya dengan membaca buku yang terdapat di perpustakaan
sekolah tersebut. Pada masa itu beliau sudah terdedah dengan Sejarah Melayu,
Hikayat Hang Tuah, Hamlet dan banyak lagi karya yang terdapat dalam
perpustakaan kecil di sekolah tersebut. Apabila dia berpindah ke Sekolah Melayu
Prince’s Road, Jalan Raja Muda, Kampung Baru, Kuala Lumpur, Maaruf Mahmud,
Guru Besar sekolah tersebut yang terkenal sebagai pengarang sastera kanak-kanak,
telah melantiknya menjadi Setiausaha Taman Bacaan iaitu perpustakaan sekolah
tersebut. Apabila Ahmad Kamal mula bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka pada
tahun 1968 beliau bertugas dalam satu pejabat dengan Maaruf.

PENDIDIKAN
Pada tahun 1956, Ahmad Kamal terpilih menjadi guru Pelatih, mengajar di Sekolah
Melayu Jeram, Kuala Selangor. Dia berulang alik setiap hari Sabtu menghadiri kelas
Guru Pelatih di Sekolah Melayu Kampung Baru dan kemudian kelas itu berpindah
pula ke Sekolah Melayu Tanjong Karang, Selangor berdekatan dengan tempat beliau
bertugas. Pada tahun 1958 beliau terpilih melanjutkan pelajaran ke Maktab
Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak, dalam kelas A, iaitu kelas bagi guru
pelatih yang terpandai yang mendapat markah tertinggi untuk memasuki maktab
tersebut. Di sini dia terdidik dalam bidang akademik bagi membolehkan dia
mengambil peperiksaan LCE Type, iaitu Sijil Rendah Pelajaran dalam Bahasa
Melayu yang khas untuk pelajar –pelajar MPSI dan MWTC bagi membolehkan
mereka mengikuti kursus Perguruan di maktab-maktab tersebut.

Ketika ini MPSI sudah mula mengambil pelajar-pelajar daripada sekolah
menengah Inggeris. Kelompok pelajar seangkatan dengan Kemala, dan kelompok
pelajar setahun sebelumnya, terpaksa belajar lima tahun, tiga tahun untuk persediaan
akademik dan dua tahun lagi untuk ilmu perguruan. Ahmad Kamal berjaya
memperoleh sijil tersebut dan seterusnya mengikuti kursus perguruan dan tamat
pada tahun 1963 dengan dianugerahkan Sijil Perguruan Sekolah
Rendah Kementerian Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu dengan ditauliahkan

mengajar dua bahasa, iaitu Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan Bahasa
Inggeris sebagai bahasa kedua.

Pendidikan akademik beliau berikutnya, bersifat auto didik, iaitu belajar sambil
bekerja, melalui pos dan pengajian luar kampus. Dengan cara ini beliau berjaya
memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (1963), Sijil Tinggi Persekolahan (1974),
Ijazah Sarjana Muda Sastera Kepujian (Universiti Sains Malaysia, 1980), Sarjana
Sastera (Universiti Sains Malaysia,1985) dan Doktor Falsafah (Universiti Kebangsaan
Malaysia, 2000). Di celah-celah kesibukan bekerja dan belajar sambil bekerja itu,
beliau sempat pula berkursus BMP, di Makati, Filipina (1990) dan
menyertai International Writing Program, Universiti Iowa, Iowa City, U.S.A. (1993),
sebuah institusi akademik dan penulisan yang tersohor di dunia, di bawah pimpinan
profesor dan penyair Amerika yang terkenal iaitu Dr. Paul Engle.

KERJAYA
Ahmad Kamal bin Abdullah telah memulakan kerjaya penulisannya sejak tahun 1954
lagi, iaitu sejak di bangku sekolah Melayu. Sehingga kini, selama 57 tahun, dia terus
menerus berkarya tanpa mengenal jemu. Bakatnya diserlahkan semasa beliau
belajar di Maktab Perguruan Sultan Idris. Sewaktu itu karya-karyanya telah
menjengah di dada-dada akhbar dan majalah tanah air, antaranya Utusan
Pamuda, Waktu, Hiburan, Mutiara, Mastika, Bulanan Malaya, Utusan
Zaman, dan Berita Minggu. Beliau juga mementaskan dramanya berjudul
“Lembayung Senja” di Dewan Suluh Budiman, di MPSI.

Seterusnya, beliau tidak jemu-jemu menulis hatta apabila beliau ditukarkan
mengajar di daerah pedalaman di Selangor pada masa itu, seperti di Sekolah Melayu
Tiram Buruk, Tanjong Karang (1963-1967) dan di Sekolah Teluk Gong, Kelang (1968).
Di situ beliau bergaul bersama petani dan mereka yang kelaparan tanah. Jerit derita,
dan sumsum sengsara para petani dan para marhaen Tanjong Karang dan Teluk
Gong itu terungkap tajam dalam sajak-sajak yang sebahagiannya termuat
dalam kumpulan puisinya Timbang Terima (1970). Korpus karya Kemala terdiri
daripada genre puisi, sedikit dalam genre cerpen, drama dan cerita kanak-kanak,
tetapi banyak dalam penulisan esei dan buku ilmiah. Bakatnya merendang dan
namanya menjulang, apabila beliau bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka sejak
1968, bermula sebagai penolong penyunting, menjadi editor majalah-majalah sastera
dan berbagai lagi, akhirnya bersara pada tahun 1996 sebagai Ketua Bahagian
Kesusasteraan Bandingan.

ZURINAH HASSAN

LATAR BELAKANG ZURINAH HASSAN
Zurinah Hassan dilahirkan pada 13 Jun 1949 di Bakar Bata, Alor Setar, Kedah. Beliau
dibesarkan di Tikam Batu, Kedah, dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu
Tikam Batu (1956-1960) dan kemudiannya di Sekolah Inggeris Sungai Layar, iaitu
melalui Special Malay Class (1961-1963). Zurinah Hassan meneruskan pelajaran
peringkat menegah di Sekolah Convent Sungai Petani (1964-1966) dan Sekolah
Menengah Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah (1967-1970). Pada tahun 1971,
Zurinah Hassan melanjutkan pelajaran ke Universiti Pulau Pinang (sekarang
Universiti Sains Malaysia) dalam jurusan Ilmu Kemanusiaan dan mendapat Ijazah
Sarjana Muda Sastera pada tahun 1974. Setelah bersara secara pilihan daripada
perkhidmatan kerajaan,beliau melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana di Universiti
Putra Malaysia pada tahun 1998-2001. Seterusnya, beliau menyambung pelajaran ke
peringkat kedoktoran di Akademi Pengajian Melayu,Universiti Malaya pada tahun
2003 dan berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah pada tahun 2008.

KERJAYA
Zurinah Hassan pernah bertugas sebagai Pegawai Penerangan di Jabatan
Penerangan, Kementerian Penerangan Malaysia. Di jabatan ini, Zurinah Hassan
memikul tugas sebagai penyunting buku-buku penerbitan kerajaan dan majalah Sinar
Zaman. Selain itu, Zurinah Hassan juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Cawangan
Pengurusan Maklumat, Kementerian Penerangan Malaysia. Beliau juga pernah
menjadi Karyawan Tamu di institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti
Kebangsaan Malaysia pada tahun 1997/1998. Pada tahun 2011, Zurinah Hassan

dilantik sebagai Pakar Perunding dan Felow Penyelidik di Akademi pengajian Melayu,
Universiti Malaya sehingga menamatkan perkhidmatannya pada bulan Oktober 2015.

Zurinah Hassan mula menceburi bidang penulisan pada tahun 1963, iaitu sejak
zaman persekolahannya. Penulisan yang bermula pada dekad 1960-an ini
merupakan usaha gigih beliau yang berterusan sehingga kini. Dalam karya kreatifnya,
dijalin pula kajian-kajian akademik dan muzik, yang penting dalam pertumbuhannya
sebagai seorang penyair. Di samping itu, bidang akademik ini juga membantu
memperluas dunia pengalamannya yang turut menyumbang kebaharuan,
kerencaman dan warna asli kepada penulisannya.

Kerjaya Zurinah Hassan sebagai penyair ditandai oleh penerima Anugerah
Penulisan Asia Tenggara (S.E.A Write Award, 2004), Anugerah Sunthorn Phu
(Hadiah Puisi Negara-negara ASEAN,2013), dan anugerah Puisi Putera, 1984
(Hadiah Utama). Hingga kini, Zurinah Hassan telah menghasilkan enam kumpulan
puisi. Beberapa buah puisinya telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia,
Hadiah Sastera dan sebagainya. Kejayaan dan sumbangan diiktiraf oleh beberapa
orang pengkritik dan sarjana kesusasteraan terkemuka. Antaranya termasuklah
Usman Awang, Shahnon Ahmad, Muhammad Haji Salleh, Ahmad Khamal Abdullah
dan Anuar Rethwan.

Mereka bukan sahaja meletakkan Zurinah Hassan sebagai penyair wanita yang
penting tetapi juga membariskannya antara penyair utama Malaysia. Usman Awang
menganggap Zurinah Hassan sebagai penyair wanita berbakat besar yang menulis
selepas Anis Sabirin. Hal ini dipersetujui oleh Shahnon Ahmad yang mengulas buku
pertama Zurinah Hassan, Sesayup Jalan, “Zurinah Hassan adalah penyair wanita
yang besar bakatnya. Nada Zurinah Hassan dan irama puisi-puisi Zurinah amat
lembut dan manis terutama puisi-puisi sepinya” (SHanon Ahmad, 1993. Sastera
sebagai Seismograf kehidupan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm.
226). Zurinah Hassan juga hampir bersendirian, dengan penuh ghairah telah
memberikan ruang khusus kepada genre lama seperti gurindam, pantun, syair dan
seloka serta berusaha memberikan suara unik lagi merdu kepada bentuk-bentuk lisan
yang pernah menjadi lagu bangsa Melayu sepanjang zaman.

GENRE PILIHAN

Zurinah Hassan menulis puisi, cerpen, novel dan karya ilmiah – suatu julat penulisan
yang cukup rencam. Beliau turut menghasilkan sebuah memoir yang menurunkan
sudut pandangan, khususnya tentang pelbagai sudut dan pengalaman hidup. Di
samping itu, pembaca diberikan juga gambaran proses kreatifnya. Dalam karya-karya
ini kita dapat pula mengesan falsafah sasteranya. Namun begitu, sangat jelas
bahawa kekuatan dan pencapaian sastera beliau terletak ada genre puisi.

Salmi Manja dan beberapa penulis wanita lain mendahului Zurinah Hassan
sebagai penyair – mereka berjuang terus dalam dunia sastera yang dikuasai lelaki
dan telah membawa beberapa pembaharuan. Namun begitu, akhirnya nilai dan
kehendak masyarakat lebih banyak menuntut dan wanita sering menyerah supaya
dapat melahirkan manusia yang halus, dengan suara yang lemah lembut serta
bahasa rentak yang gemalai. Dalam hal ini, Zurinah Hassan mungkin didahului Anis
Sabirin, “yang juga lebih berminat untuk melukiskan wajah wanita yang merenung
dan berfikir, dan tidak saja yang merasa cinta atau sengsara”.

Permulaan penulisan Zurinah Hassan berlaku agak awal, iaitu semasa beliau
berusia belasan tahun di sekolah menengah. Sebagai penuntut di Universiti Sains
Malaysia pula beliau suda pun mempunyai sebuah manuskrip untuk diterbitkan.
Karya ini juga merupakan karya kreatif pertama penerbit universiti itu. Dalam buku
pertamanya, Sesayup Jalan, telah terbayang peribadi dan gaya bahasanya.
Terbayang sudah suatu pendekatan dan cara menyusun fikiran yang unik.

KARYA BELIAU

Hatimu Aisyah Menunggu Pesawat

Menjelang Pemilihan Meneruskan Perjalanan

Sesayup Jalan Pujangga Tidak Bernama

SITI ZAINON ISMAIL

LATAR BELAKANG SITI ZAINON ISMAIL
Siti Zainon Ismail dilahirkan di Gombak pada 18 Disember 1949, penyair tanah air
yang mempunyai riwayat yang panjang dalam bidang penulisan seni sastera, budaya
dan akademik. Beliau merupakan lulusan Sekolah Menengah Aminuddin Baki
(1964-1968). Di samping meminati penulisan, Siti Zainon Ismail berbakat sebagai
pelukis dan pernah dididik oleh Idris Salam dan Naz Achnas. Oleh sebab cita-citanya
membumbung tinggi, dalam usia 20 tahun, selepas Sijil Tinggi Pelajaran, beliau
meneruskan pengajiannya di Yogyakarta, mengambil jurusan Seni Lukis di Akademi
Seni Rupa Indonesia (ASRI). Beliau pernah berdampingan dengan pelukis terkenal
Indonesia seperti Affandi dan lain-lain.

Siti Zainol Ismail mengarifi ABC seni lakon, seni tari dan seni lukis. Pedagogi dan
filsafat seni juga ditekuni. Apabila beliau kembali ke tanah air, beliau meneruskan
tingkat Sarjana Sastera (pengkhususan Reka Bentuk Tradisional Melayu) di Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM) dan seterusnya Ijazah Doktor Falsafahnya (Busana
Melayu) di Universiti Malaya (UM) melalui asuhan Profesor Mohamad Taib Osman
dan Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh.
PENDIDIKAN
Siti Zainon mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Setapak, Kuala Lumpur
dan Sekolah Rendah Langgar, Kota Bharu (1956, 1957-1961) dan seterusnya
ke Sekolah Menengah Aminudin Baki (SAB), Kuala Lumpur (1962-1968). Beliau
mula belajar mencolek kain batik di Kota Bharu. Di SAB beliau dilatih oleh guru seni
lukis Idris Haji Salam sehingga ia bergabung pula dengan Angkatan Pelukis
Semenanjung (APS, 1964-1968). Oleh minatnya kepada seni lukis beliau melanjut ke

pendidikan seni di Institut Seni Indonesia (ASRI) jurusan Seni Lukis (1970-1973).
Beliau merupakan pelajar seni lukis yang kerap memenangi Anugerah Sketsa Kartini
(1970-1973). Selama di ASRI turut bergabung dengan Sanggar Dewata dan turut
pameran keliling Jawa.

Pada bulan Februari 1974 pulang ke tanah air bertugas sebagai Jurulatih seni
lukis di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (1974-1976). Seterusnya sebagai
tutor di Universiti Kebangsaan Malaysia (1976) dan lulus Sarjana Sastera (UKM.
1980). Ph.D (UM. 1992). Beliau pernah mengajar di Pusat Bahasa. Kesusasteraan
dan Kebudayaan Melayu dalam bidang kepakarannya Seni Budaya Warisan (kursus
Kesenian Melayu Tradisional. Pemerian Budaya Benda, Tekstil dan Busana Melayu,
Sejarah dan Teori Penghayatan Seni, Penulisan Kreatif). Beliau turut pernah menjadi
Felow Penyelidik ATMA (1995-1996), Pengarah Kebudayaan UKM (1996-1999),
Profesor di UKM dan juga Profesor di UMS (2014-2016).

KARYA BELIAU

Bunga-bunga Bulan Nyanyian Malam

Pakaian Cara Melayu Alam Puisi

BAHA ZAIN

LATAR BELAKANG BAHA ZAIN
Baha Zain dilahirkan di Batu 15, Hutan Melintang, Perak pada 22 Mei 1939. Beliau
mendapat pendidikan awalnya di Sabak Bernam, Selangor hingga tamat darjah IV
pada tahun 1949. Ketika berumur 11 tahun, anak bongsu ini meninggalkan
kampungnya untuk memasuki Anglo Chinese School, Teluk Anson (sekarang Teluk
Intan) hingga tahun 1957 dan lulus peperiksaan Sijil Persekolahan. Kemudian, beliau
belajar di Sekolah Anderson, Ipoh dalam Tingkatan Enam. Seterusnya beliau
memasuki Universiti Malaya pada tahun 1960 dan lulus Sarjana Muda Sastera pada
tahun 1963.

KERJAYA
Setelah menamatkan pengajian, Baha Zain bertugas di Bahagian Penyelidikan,
Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Penolong Pegawai Penyelidik mulai Julai
1963. Sebelum itu, beliau pernah bekerja sementara di Dewan Bahasa dan Pustaka
sewaktu cuti panjang universitinya. Kemudian pada tahun 1966, beliau berpindah ke
Bahagian Perkamusan sebagai Penolong Ketua Bahagian bagi membantu
penyusunanKamus Dewan. Setelah itu, beliau mendapat cuti untuk belajar di
Fakultas Sastera, Universitas Indonesia, Jakarta, untuk mengikuti pendidikan khusus
mengenai masyarakat dan kebudayaan Indonesia dalam satu program studi
peringkat sarjana. Tumpuan minatnya sewaktu di fakulti ini adalah dalam bidang
kesusasteraan moden dan tesisnya membicarakan novel-novel Indonesia yang
terbaharu di bawah bimbingan H.B. Jassin.

Sekembalinya ke Dewan Bahasa dan Pustaka, Baha Zain bertugas sebagai
Ketua Cawangan Kajian di Bahagian Pengembangan Sastera. Sebagai Ketua
Bahagian, Baha Zain juga menjadi Ketua Pengarang pada majalah Dewan
Sastera dan Dewan Budaya, anggota sidang pengarang jurnal Tenggara, dan pernah
menjadi Ketua Pengarang Dewan Bahasa. Mulai tahun 1982, Baha Zain dilantik
menjadi Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada tahun 1984
beliau meletakkan jawatan untuk berkecimpung dalam dunia perniagaan. Pada
tahun 1985, beliau menerbitkan majalah berita mingguan Era di Subang Jaya,
Selangor. Mulai tahun 1994, Baha Zain menjadi Pengerusi Eksekutif Dasar Padu (M)
Sdn. Bhd., sebuah syarikat penerbitan di samping mengendalikan Pustaka Cipta,
syarikat penerbitannya sendiri sejak tahun 1985.

Kepakaran dan pemikiran Baha Zain yang cemerlang sentiasa diperlukan oleh
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pihak kerajaan. Baha Zain dilantik sebagai
ahli Lembaga Amanah, Yayasan Penataran Ilmu sejak tahun 1986. Sebagai seorang
yang berpengalaman luas dalam bidang penerbitan buku, Baha Zain pernah dipilih
sebagai Presiden, Ikatan Penerbit Buku Bumiputera Nasional (1989-1994). Beliau
juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia
pada beberapa tahun (1985-1991) dan Ahli Lembaga Pengarah Institut Terjemahan
Negara Malaysia (1993-2009). Selain itu Baha Zain pernah menjadi anggota Majlis
Perkembangan Buku Kebangsaan (1986-1994), juga pernah menganggotai Lembaga
Amanah, Balai Seni Lukis Kebangsaan, Malaysia (1984-1997). Baha Zain juga
pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengelola DBP (1989-1992, 2002-2005 dan
2005-2008).

Ketokohan Baha Zain telah melayakkan beliau dilantik sebagai salah seorang
anggota Panel Hadiah Karya Sastera dari tahun 1974 hingga tahun 1976. Baha Zain
juga pernah menjadi Anggota Panel Anugerah Sastera Negara dari tahun 1985
hingga tahun 1996. Di samping itu, beliau dilantik sebagai Panel S.E.A. Write Award
peringkat Malaysia dari tahun 2002 hingga tahun 2005. Selain bergerak pada
peringkat kebangsaan, Baha Zain turut terlibat dalam pertemuan-pertemuan sastera,
bahasa dan budaya pada peringkat antarabangsa, justeru beliau berpeluang
berkenalan dengan pengarang luar negara. Pada tahun 1972, beliau menghadiri
Persidangan Bahasa Kebangsaan Negara-negara Asia di Manila,
Filipina. Kemudian pada tahun 1974, beliau menyertai Kongres Puisi Dunia kedua di
Taipei dan beberapa pertemuan lain di Jepun dan Korea. Ketika Persidangan

Penulis-penulis ASEAN yang pertama diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 1977,
Baha Zain menjadi Pengarah Persidangan tersebut.

Baha Zain juga pernah menghadiri Seminar Penulisan Antarabangsa, Singapura
pada tahun 1986, Kongres Puisi Sedunia, Bangkok, 1988, Seminar Penulisan
Antarabangsa, Tokyo, 1996 serta menerima undangan sebagai penulis dan wartawan
budaya dari Goethe Institute, Frankfurt International Book Fair pada tahun 2005.
Pada tahun 2009, beliau menghadiri Malam Penyair ASEAN yang diadakan di Korea
Selatan dan Festival Penulis Singapura di Singapura. Kecemerlangan, ketokohan
dan sumbangannya terhadap kesusasteraan Melayu, bahasa dan budaya diktiraf
melalui pelbagai anugerah dari dalam dan luar negara. Pada tahun 1967,
buku Hikayat Cekel Waneng Pati yang disusun semula oleh belaiu telah diberi
hadiah oleh UNESCO sebagai bahan bacaan tambahan yang baik untuk pelajar di
sekolah menengah. Pada tahun 1971, Baha Zain memenangi Hadiah Karya Sastera
untuk puisi-puisinya yang berjudul “Dalam Lingkaran”, “Topeng-topeng” dan
cerpennya, “Malam yang Melemparkan”. Pada tahun 1973, beliau sekali lagi
memenangi Hadiah Karya Sastera untuk genre puisi dan esei/kritik. Baha Zain telah
dipilih menerima Anugerah S.E.A. Write daripada Kerajaan Thailand pada tahun
1980.

Puisi-puisi beliau banyak memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia Kategori
Eceran. Puisinya yang berjudul “Pernahkah Engkau Mentafsir Kedamaian”
memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2002/2003 manakala puisi “Apabila
Menulis Puisi” memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009. Pada tahun
2012, dua buah puisi Baha Zain memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia
2010/2011, iaitu “Permainan Mimpi” dan Dalam Persekitaran Kata-kata”
Selain itu, Baha Zain turut menerima Anugerah Penyair Gapena (1988), Anugerah
Tokoh Pejuang Bahasa daripada Persatuan Linguistik Malaysia (2004), Anugerah
Budayawan Gapena (2008), dan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada USM
(2010), dan Anugerah Tokoh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (2011).
Baha Zain dikurniakan Darjah Kesateria Mangku Negara (KMN) daripada Yang
di-Pertuan Agong (1982), Darjah Cura Simanja Kani (PCM) daripada DYMM Sultan
Perak (1986), Darjah Paduka Mahkota Perak (DPMP) daripada DYMM Sultan Perak
(1998).

KARYA BELIAU

Siang Tak Pernah Mungkir Esei dan Puisi
Dan Kau Akan Dewasa

Berguru Pada Binatang Perempuan dan
Bayang-bayang

ARENA WATI

LATAR BELAKANG ARENA WATI
Muhammad Bin Abdul Biang @ Andi Muhammad Dahlan bin Andi Buyung atau nama
penanya Arena Wati, Duta Muda dan Patria dilahirkan pada 30 Julai 1925 di
Kalumpang Kabupatan, Jeneponto, Makassar, Indonesia. Beliau mendapat
pendidikan awal di Hollands Indische School (HIS), iaitu sebuah sekolah Belanda di
Makasar, kemudian di Meer Uigebreid Lager Onderwijs (MULO) dan Hoogere Burger
School (HBS) yang diteruskan semasa beliau menjadi pelaut. Beliau dapat
menamatkan pengajiannya di Sekolah Menengah Atas, Makasar pada tahun 1953
selepas terhenti semasa perang meletus. Kehidupan beliau sebagai pelaut bermula
pada tahun 1945 di bawah pimpinan Kapten Muhammad, Kapten Affandi dan Kapten
Mukmin. Arena Wati meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia
pada 25 Januari 2009.

KERJAYA
Pengalaman kerjaya Arena Wati bermula sebagai kelasi kapal, sidang penerbitan
majalah dan akhbar di Harmy dan Royal Press di Singapura, Penerbitan Melayu Ltd.
Johor Bahru, Percetakan Light di Brunei, Pustaka Antara Kuala Lumpur, pegawai
penyelidik di Yayasan Sabah, Karyawan Tamu di Universiti Kebangsaan Malaysia
(1985-1989) dan di Dewan Bahasa dan Pustaka (1989-1990), fellow di pelbagai
universiti antarabangsa seperti di Universiti Cornell, Amerika Syarikat (1983-1984), di
Universiti Leiden (Februari – Jun 1984), dan di Universiti Kyoto, Jepun (Julai 1984 –
Januari 1985).

Arena Wati menelusur dunia penulisan dengan menghasilkan novel, cerpen, puisi
dan wacana yang mencakupi pelbagai ilmu tentang kehidupan. Beliau melontarkan
idea, menyuarakan pandangan dan membangkitkan kelesuan berasaskan pena di
tangan dan lembaran kertas. Ketika itu lahirlah karya beliau berjudul Kisah Tiga
Pelayaran yang diterbitkan di Singapura pada Tahun 1959.

Kerjaya awalnya dalam bidang penerbitan bermula apabila bertugas sebagai
editor (Oktober 1954-Oktober 1957) bagi majalah-majalah terbitan Royal Press
seperti Hiboran dan Hiboran Filem dan Harmy di Singapura. Kemudian Arena Wati
menjawat jawatan Timbalan Pengurus Percetakan Penerbit Melayu Limited
(November 1957-Julai 1961) di Johor Bahru dan seterusnya bertugas sebagai editor
di Pustaka Antara Kuala Lumpur selama 12 tahun (Oktober 1962-Januari 1974).

Pengalamannya yang luar biasa sebagai pelaut banyak memberinya ilham dalam
berkarya dan meningkatkan lagi kemampuan beliau dalam bidang penulisan khasnya
untuk menghasilkan novel dan cerpen yang baik. Kerjaya beliau di laut lepas bermula
sebagai kerani muatan dan kewangan perahu penisi (Mei 1942-April 1943) yang
berpangkalan di Singapura seterusnya menjadi nakhoda (Mei 1943-Ogos 1945).
Kemudian beliau bertugas sebagai taikong kapal kayu (Januari 1946-Mei 1948),
jurumudi (Jun 1948-April 1950) dan nakhoda panisi di sekitar perairan
Sulawesi-Makasar yang berpangkalan di Makasar. Kerjaya terakhir beliau di lautan
ialah sebagai Pegawai Perancang Harian Dinas Angkutan Angkatan Darat Teritorium
VII (Januari 1952-Jun 1954) di Makasar yang mengelola pengiriman pasukan dan
logistik dari Makasar ke seluruh Sulawesi, Bali, Kalimantan Timur, Nusa Tenggara,
Maluku Selatan dan Maluku Utara.

Pada 1974, Arena Wati yang telah pun menjadi rakyat Malaysia, ditawarkan
pekerjaan sebagai Pegawai Penyelidik, merangkap Ketua Jabatan Perancangan dan
Penyelidikan di Yayasan Sabah. Jawatan ini disandangnya selama 12 tahun. Di
Yayasan Sabah, beliau telah membangunkan sebuah perpustakaan yang kini boleh
dianggap sebagai sebuah perpustakaan umum yang cukup baik di Sabah. Ketika
bekerja di Yayasan Sabah ini, beliau telah diberikan fellowship untuk menjalankan
penyelidikan di Amerika Syarikat, Holland dan Jepun antara Ogos 1983 hingga
Januari 1984. Dalam rangka menjalankan penyelidikannya ini, beliau telah dilantik
menjadi Felo oleh Universiti Cornell di Amerika Syarikat, Universiti Leiden di Holland,
dan Universiti Kyoto di Jepun. Peluang tersebut dimanfaatkan sepenuhnya, dan

pandangan dunianya menjadi lebih terbuka sehingga menjadikannya seorang
sasterawan Melayu yang mempunyai sudut pandangan global dan universal. Hasil
daripada pengalamannya di Universiti Cornell, Leiden dan Kyoto ini telah lahir tiga
buah novel yang memaparkan pandangan seorang Melayu dari dunia Timur terhadap
pelbagai peristiwa di Amerika Syarikat, Holland dan Jepun. Setelah menamatkan
perkhidmatannya di Yayasan Sabah, beliau dilantik menjadi Karyawan Tamu dan
pensyarah di Fakulti Sains Pembangunan, Universiti Kebangsaan Malaysia,
cawangan Sabah, antara Mac 1986 hingga April 1988. Setelah itu beliau dilantik pula
sebagai Karyawan Tamu di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu,
Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi, hingga April 1990.

PENULISAN

Arena Wati menumpukan penulisan kreatifnya dalam genre novel, cerita pendek
(cerpen), kajian sastera, esei dan puisi. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan
sebanyak 24 buah novel, 87 buah cerita pendek, 6 buah antologi cerpen, 23 esei dan
kritikan sastera, 9 buah buku kajian sastera, 12 buah puisi dan sebuah autobiografi.
Jika dijumlahkan bilangan halaman kertas hasil tulisannya yang telah diterbitkan,
jumlahnya ialah kira-kira 18,000 halaman. Cerpen pertamanya yang bertajuk
“Impian dan Kenyataan” diterbitkan oleh majalah Pedoman Rakyat pada tahun
1952. Sebahagian besar daripada cerpennya telah diterbitkan dalam enam buah
antologi. Beberapa buah cerpen Arena Wati juga telah memenangi hadiah tertentu.
Dalam bidang penulisan esei, kritikan dan kajian sastera, Arena Wati terlibat dalam
wacana akademik secara serius. Penulisan beliau memperlihatkan daya kesarjanaan
dan intelek yang tinggi kerana keupayaannya mengupas pelbagai isu kesusasteraan
Melayu dan antarabangsa secara teoritis dan berparadigma tertentu.

Sebagai seorang sasterawan dan pengkaji sastera Melayu yang serius, hasil
usaha Arena Wati diiktiraf di peringkat antarabangsa. Ketika menjadi felo di Universiti
Cornell, beliau diterima dengan penuh hormat oleh para ilmuan Amerika Syarikat
yang mempunyai kepakaran dalam kajian Melayu dan Nusantara. Dalam
novelnya Bunga Dari Kuburan (1987), yang mengisahkan pengalamannya di Amerika
Syarikat, Arena Wati turut menukilkan perwatakan beberapa orang profesor Barat
yang dikenalinya ketika itu. Dalam novel ini, jalan pemikiran dan sikap para
cendekiawan Barat tersebut, dan pemikiran para pelajar siswazah dari Asia Tenggara
yang berada di Universiti Cornell ketika itu, diadun ke dalam satu naratif fiksyen
pasca kolonial dan pascamoden yang cukup baik. Dalam novelnya Kuntum Tulip

Biru (1987), Arena Wati membawa pembacanya ke dalam kehidupan dan pemikiran
beberapa orang intelektual Eropah yang bertugas di universiti Leiden. Menerusi novel
ini, naratif pasca kolonialnya cukup mendalam, dengan menyingkap kembali sejarah
penjajahan Belanda terhadap Indonesia. Dalam novelnya Sakura Mengorak
Kelopak (1987), Arena Wati menyingkap beberapa aspek sistem nilai masyarakat
Jepun. Turut dinaratifkannya ialah perubahan yang berlaku dalam sistem nilai
masyarakat tersebut yang membawa kepada terjadinya emansipasi wanita Jepun.

Menerusi novelnya Sukma Angin (1999), Arena Wati membawakan naratif
pascamoden, iaitu satu kondisi sosiobudaya pelbagai kumpulan etnik dan ras yang
terdapat di kalangan komuniti pelaut di Nusantara, pada zaman akan terjadinya
Perang Dunia Kedua. Menerusi kisah kehidupan sebuah kapal dagang milik orang
Melayu yang bernama Sukma Angin ini, Arena Wati menobatkan prinsip hidup saling
bantu-membantu dalam kondisi budaya Nusantara yang plural ketika itu. Menerusi
nukilannya ini, kita dapat mengesan tanggapan teoritis Arena Wati bahawa
kepelbagaian etnik, ras dan budaya adalah asas yang melahirkan kondisi
pascamoden, dahulu dan sekarang. Ini adalah tanggapan pascamoden yang lebih
realistik daripada sudut pandangan budaya Melayu Nusantara.

ANUGERAH

Pada tahun 1975 beliau telah dianugerahi pingat Ahli Mangku Negara oleh Yang
Dipertuan Agung, bagi pihak Kerajaan Malaysia. Pada 1985 beliau menerima
Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) oleh Paduka Raja Thai, di
Bangkok, Thailand. Pada tahun 1988 beliau dikurniakan Anugerah Sasterawan
Negara oleh Kerajaan Malaysia. Pada awal tahun 2003 ini, Sasterawan Negara
Arena Wati telah dipilih sebagai pemenang Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia
Tenggara (Hadiah MASTERA).

Beliau banyak memenangi hadiah sayembara sastera. Antaranya ialah hadiah
sagu hati Peraduan Mengarang Novel anjuran DBP (1962) menerusi
novelnya Lingkaran, pemenang tempat ketiga menerusi Sandera dalam Peraduan
Mengarang Novel sempena 10 Tahun Merdeka. Novelnya Panrita pula dipilih sebagai
pemenang Hadiah Karya Sastera Malaysia 1992/1993, dan novelnya yang
terbaharu Sukma Angin memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1998/99.
Manakala cerpen beliau “Wisata” terpilih memenangi Hadiah Karya Sastera 1971,

“Bukan Satu Jalan ke Mekah” dan “Alun Menggulung Perlahan” memenangi Hadiah
karya Sastera 1972.

Hasil kerja keras dan penulisannya yang tidak pernah jemu, Arena Wati telah
menerima beberapa anugerah seperti SEA Write Award, Thailand (1985); Anugerah
Sasterawan Negara, Malaysia (1987); Anugerah MASTERA 1, Brunei (2003); dan
Anugerah Doktor Persuratan, Universiti Kebangsaan Malaysia (2003). Beliau juga
pernah menjadi Karyawan Tamu di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan
Melayu (IBBKM), Universiti Kebangsaan Malaysia (Februari 1986-Mei 1990).
Sebelum itu, beliau pernah menjadi felo di University of Cornell, Amerika Syarikat
(Julai 1983-Januari 1984); University of Leiden, Holland (Februari-Jun 1984); dan
University of Kyoto, Jepun (Julai 1984-Januari 1985).

KARYA BELIAU

Kisah 3 Pelayaran (1959) Lingkaran (1962)

Sandera (1971) Rontok (1980)

Bunga dari Kuburan (1987) Kuntum Tulip Biru (1987)

NOORDIN HASSAN

LATAR BELAKANG NOORDIN HASSAN
Noordin Hassan dilahirkan pada 18 Januari 1929 di Jalan Hatin, Pulau Pinang.
Noordin Hassan memulakan persekolahan di Sekolah Menengah Perak Road, Pulau
Pinang. Setelah itu, beliau melanjutkan pelajaran di Sekolah Inggeris Francis Light,
Pulau Pinang. Setelah kekalahan Jepun, beliau melanjutkan pelajaran di Penang
Free School. Pada tahun 1952, Noordin Hassan dihantar ke Kirkby College, Liverpool
untuk persiapan menjadi guru terlatih. Semasa di Kirkby, beliau mendalami
Kesusasteraan Inggeris dan Barat, terutamanya melalui karya Shakespeare,
Sheridan, Goldsmith dan Moliere. Pada tahun 1962, beliau melanjutkan pengajian di
Universiti London dalam bidang Pengajian Bahasa dan Sastera Inggeris. Pada akhir
tahun 1976, beliau mengikuti kursus Drama dan Pembelajaran di Universiti of
Newcastle.

PEKERJAAN
Pada tahun 1952 beliau mengikuti Kursus Perguruan di Teachers’ Training College,
Kirkby, United Kingdom. Di sana beliau menuntut ilmu perguruan sebagai persiapan
menjadi seorang guru terlatih. Selain bidang perguruan, beliau turut mendalami
bidang drama moden. Sekembalinya dari United Kingdom, belia ditugaskan mengajar
di Sekolah Menengah Kampung Baru, Alor Setar, Kedah. Berdasarkan pengalaman
langsung yang diperolehi di sana yang sememangnya terkenal dengan
perkembangan pesat bidang drama dan teater, beliau mula berjinak-jinak dalam
bidang drama dan teater. Sumbangannya dalam bidang drama pun bermula dengan

persembahan drama pertamanya yang berjudul “Tak Kunjung Kembali”, yang telah
dipentaskan oleh para pelajarnya.

Pada tahun 1953 juga beliau telah diamanahkan untuk mengajar di Sekolah
Sultanah Asma, Alor Setar dan Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar sehingga tahun
1958. Dalam tempoh tersebut, beliau menghasilkan dua karya lagiiaitu “Surai Cambai”
(1954) dan tarian “Puteri Melayu” (1955). Kedua-duanya dijayakan oleh para pelajar
Sekolah Menengah Sultanah Asma. Pada tahun 1959 -1967 beliau ditugaskan
sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Harian, Alor Setar. Selama di maktab
tersebut beliau menghasilkan beberapa karya lagi iaitu tarian “Bengawan Solo”
(1960), tarian “Cinta Sayang” (1961) dan taridra “Hujan Panas di Bumi Melaka” (1962).
Pada tahun 1963 beliau mengikuti kursus pengajaran bahasa dan sastera di
Universiti London dan sekembalinya dari London beliau menghasilkan karya yang
berjudul “Pucuk Pisang, Bunga Tanjung” (1964), tarian “Mas Merah” (1965), “Celutan”
(1965) dan tarian “Panji Semirang” (1967). Kesemuanya telah dijayakan oleh
guru-guru pelatih Maktab Perguruan Harian, Alor Setar.

Pada tahun 1968-1975 beliau ditugaskan di Maktab Perguruan Sultan Idris,
Tanjung Malim. Di sinilah beliau mula menghasilkan drama-drama yang penting dan
bermutu tinggi, yang menyebabkan beliau dianggap sebagai pelopor teater moden di
Malaysia. Drama beliau yang mencetuskan kejutan dalam bidang drama moden ialah
“Bukan Lalang Ditiup Angin” pada tahun 1970, yang terhasil sesudah peristiwa
tragedi 13 Mei 1969. Drama ini berjaya membina khalayak yang ramai sehingga
pementasan drama kali yang kedua telah dipindahkan ke Balai Budaya, Dewan
Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Pementasan kali pertama ialah di di Maktab
Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim. Pada tahun yang sama teater ini dipentaskan
sekali lagi oleh Kompleks Budaya Negara dan disiarkan oleh RTM. Kemudian skrip
teater ini telah terbitkan dalam majalah Dewan Sastera. Drama ini telah dikatakan
membuka dimensi baru genre ini, dengan menerima kritikan yang mendalam serta
sanjungan yang tinggi. Tidak syak lagi drama ini telah menjadi titik tolak yang bererti
dalam kehidupan Noordin Hassan sebagai seorang sasterawan dan seniman, di
samping memberi erti kepada pertumbuhan teater moden tanah air.

KARYA
Bagi Noordin Hassan, menulis adalah untuk menegakkan maruah, suatu pengabdian
kepada bangsa dan mendapatkan keredaan Allah. Darah seni pentas yang mengalir
dari dalam diri Noordin diwarisi daripada ibu dan bapanya. Sepanjang penglibatannya
sebagai penulis dan pengarah drama sejak tahun 1953, beliau telah menghasilkan
lebih 30 puluh buah drama dan koreografi tari. Penglibatan beliau dalam bidang
kesusasteraan tertumpu dalam bidang drama dan teater. Noordin Hassan terkenal
dengan gelaran „Datuk Drama dan Cikgu Drama‟. Antara pembaharuan yang
dilakukan oleh beliau ini adalah seperti mengetengahkan konsep teater fitrah serta
sering bereksperimen dengan bentuk drama baru berlandaskan tradisi budaya
Melayu. Noordin Hassan ialah seorang penulis drama yang menggunakan pemikiran
intelektualnya. Karya-karya Noordin sering mencuit minda pembaca dan penonton
dan melepaskan mereka di situ untuk mencari jawapan seterusnya. Antara karya
Noordin Hassan yang ternama ialah Bukan Lalang Ditiup Angin, Peran, 1400, Jangan
Bunuh Rama-rama, Cindai, Sirih Bertepuk Pinang Menari, Demi Zaiton dan Sarah.
Teater-teater Noordin Hassan ini banyak dipentaskan oleh Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Noordin Hassan mempunyai beberapa kumpulan drama yang dibukukan seperti
buku Kumpulan Drama Bukan Lalang Ditiup Angin 1972 yang memuatkan dramanya
Tiang Seri Tegak Berlima dan Pintu. Sebuah lagi kumpulan dramanya dinamakn
Anak Tanjung : Children of This Land (1999). Drama-drama beliau telah diterbitkan
oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Kesemua drama Noordin menyentuh pelbagai
aspek kehidupan social di Malaysia, sejarah, spiritual dan kewujudan dari sudut fizikal
dan mistikal. Hanya sebuah drama sahaja yang mengisahkan kehidupan seorang
individu, iaitu J.M. Aziz. Noordin Hassan juga memilih satu bentuk drama yang bukan
sahaja memaparkan persoalan dan pergolakan sosial, malah boleh pula
memanifestasikan segala kekayaan kebudayaan Melayu.

Salah satu ciri drama-drama Noordin Hassan yang boleh dikenal pasti ialah
struktur persembahannya yang menggabungkan pergerakan (tarian), muzik, lakonan
dan unsur teater tradisional, terutamanya bangsawan boria dan dikirbarat. Beliau
kerap menggunakan teknik play within a play seperti yang terdapat dalam “Peran”,
“Cindai”, “Anak Tanjung”, dan “Sirih Bertepuk Pinang Menari”. Noordin sendiri
menyifatkan persembahan drama beliau sebagai “satu percubaan yang digubah
secara elektik” (“Bukan Lalang Ditiup Angin”), malah elektisme juga menjadi metode
yang mendasari persembahan drama Noordin. Beliau juga mencirikan dramanya

sebagai “cetera irama” (“Tiang Seri Tegak Berlima”). Noordin berteater sambil
beriadah. Noordin mengakui bahawa bakat yang ada pada beliau harus digunakan
untuk kebaikan demi menyatupadukan ummah dan rakyat Malaysia. Malah beliau
menggelarkan teaternya sebagai “teater fitrah”.

ANUGERAH
Antara anugerah yang pernah digondol oleh Noordin Hassan ialah Hadiah Sastera
1972 dengan drama Bukan Lalang Ditiup Angin, bintang Ahli Mangku Negara oleh
Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1979, Anugerah Penulis S.E.A pada tahun 1987
dan Anugerah Sasterawan Negara pada tahun 1993 manakala pada tahun 1994
Noordin Hassan dianugerahkan Pingat Darjat Setia Pangkuan Negeri (DSPN)
daripada kerajaan Pulau Pinang yang membawa beliau gelaran Datuk.

HASIL KARYA

Anak Tanjung Pejuang Seni Anak Tanjung

Jalan Panjang Teater Fitrah Bukan Lalang Ditiup Angin

MUHAMMAD HAJI SALLEH

LATAR BELAKANG MUHAMMAD HAJI SALLEH
Muhammad dilahirkan pada 26 Mac 1942 di Taiping, Perak Darul Ridzuan. Beliau
mendapat pendidikan awal di High School Bukit Mertajam dan Maktab Melayu Kuala
Kangsar. Kemudian melanjutkan pelajarannya ke Malayan Teachers College,
Brinsford Lodge, England. Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera di
Universiti Malaya (Singapura), ijazah Sarjana Sastera dari Universiti Malaya dalam
tahun 1970 dan ijazah Ph.D. dari Universiti Michigan, Amerika Syarikat dalam tahun
1973. Dalam tahun 1977, beliau pernah dilantik sebagai Profesor Tamu di bawah
rancangan Fulbright-Hays dan mengajar di North Carolina State University, Raleigh,
Amerika Syarikat.

Muhammad Haji Salleh pernah bertugas sebagai pensyarah di Jabatan
Persuratan Melayu dan pernah menjadi Timbalan Dekan Fakulti Sains
Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pengarah
Institut Bahasa, Kebudayaan Kesusasteraan Melayu. Pada tahun 1978, beliau
dilantik menjadi Profesor Kesusasteraan sewaktu berusia 36 tahun. Pada tahun
1977 – 1978, Muhammad menjadi Profesor Pelawat, di North Carolina State
University, Raleigh, North Carolina, Amerika Syarikat; menjadi “Asian Scholar in
Residence” di University Michigan. Dalam tahun 1992-1993, beliau dipilih
menjadi Fullbright Visiting Reseacher, di University of California, Berkeley, dan

seterusnya menyandang Kerusi Pengajian Melayu di Universiti Leiden, Netherlands,
dari tahun 1993-1994.

Ketokohan Muhammad dalam dunia penulisan puisi Melayu moden begitu
dirasakan oleh para peminat sastera tanah air apabila karya-karyanya, terutamanya
puisi, mendapat perhatian bukan sahaja oleh Panel Hadiah Karya Sastera tanah air
bahkan setelah beliau memenangi “Hadiah Sastera Asean” di Jakarta. Sejak tahun
1971, beberapa buah puisinya telah memenangi Hadiah Karya Sastera dan
kemudiannya dalam tahun 1977, Muhammad menerima Hadiah Sastera Asean
bahagian puisi dengan kumpulan puisi beliau Perjalanan Si Tenggang II.

Bagi Muhammad, puisi adalah suatu bentuk sastera yang kental dengan muzik
bahasa dan kebijaksanaan penyair dan tradisinya. Sebuah puisi atau pantun adalah
susunan muzik bahasa yang mengindahkan bahasa itu serta juga pembacaan oleh
pendengaran. Beliau bersetuju dengan definisi Robert Frost, seorang penyair
Amerika, bahawa puisi ialah sesuatu yang setelah kita membacanya kita menjadi
lebih bijaksana. Para penyair menolong menyedarkan kita kepada masalah kita
bersama malah mendefinisikan masalah penting supaya kita benar-benar dapat
menyelesaikannya.

Amat jelas bahawa tema puisi Muhammad pada umumnya lebih banyak
memaparkan masalah-masalah bersama, masalah eksistensi individu yang
berhadapan dengan kehidupan kekotaan. Bangunan-bangunan tinggi, teknologi
moden, motokar, lampu neon bukan menjadi teman tetapi merupakan objek yang
ditentang dan diperhitungkan melalui sesuatu moral-judgement (kemelayuan atau
kemanusiaan sejagat). Kehidupan kekotaan yang bobrok dan persekitaran yang
seperti ini ditentang oleh otak, akal dan pegangan. Demikian puisi-puisi beliau lebih
menekankan pemikiran daripada perasaan. Sikap dan fikiran beliau tercermin
kepada bentuk puisi yang padat dan kata-kata yang kurang mengandungi emosi.

Beliau secara sedar berusaha menggunakan bahasa yang tidak biasa dipakai
oleh penyair lain. Kerana itu terdapat pembentukan ungkapan-ungkapan baru untuk
memberikan ketepatan dan ketajaman makna dalam puisi-puisi beliau. Namun
dalam ungkapan yang baru dan asli itu, kadang-kadang terasa terlalu asing pula
pengucapannya, dan hal ini mungkin juga akibat pengaruh kesusasteraan dunia yang
pernah menjadi kajian dan pengalaman beliau selama ini.


Click to View FlipBook Version