Muhammad Haji Salleh meminati penyair-penyair Chairil, Subagio Sastrowardojo
(Indonesia) dan pada satu ketika juga meminati T.S. Eliot dan Pablo Neruda. Beliau
meminati sastera dari Barat bukan sahaja kerana terdapatnya keragaman tetapi juga
kerana di Barat sastera kerana terdapatnya keragaman tetapi juga kerana di Barat
sastera sudah menjadi sebahagian daripada ilmu tentang manusia dengan falsafah,
psikologi dan sebagainya. Yang lebih menarik minat beliau ialah sastera Barat itu
mengandungi eksperimen-eksperimen yang pelbagai yang cuba mencari stail yang
sempurna untuk ekspresi yang tepat. Itulah antara unsur-unsur Barat yang
diperhatikannya.
KERJAYA
Muhammad telah menerbitkan lapan buah kumpulan puisi perseorangan di samping
puisi yang terbit dalam kumpulan bersama. Kumpulan puisi beliau, Sajak-sajak
Pendatang bukan saja sejumlah puisi yang dicipta sewaktu beliau mengembara di
luar tanah air malah ia merupakan satu kumpulan puisi yang kukuh, berbeza daripada
puisi-puisi yang dicipta oleh penyair yang sebelum dan sezaman dengan
beliau. Panel Hakim Karya Sastera telah memilih Buku Perjalanan Si Tenggang
II sebagai kumpulan puisi Muhammad yang terbaik bagi tahun 1975. Kumpulan ini
dikatakan dengan jelas memperlihatkan bukan saja stail dan peribadi penyair, bahkan
konsep puisi yang secara tegas mengelak daripada ungkapan romantik dengan
menggunakan kata-kata secara tepat, fungsional dan berkesan.
Sebagai penyair yang menulis dalam bahasa Melayu dan Inggeris, Muhammad
mempunyai kekuatan bahasa yang dapat dan mampu menterjemahkan puisi-puisi
Melayu ke dalam bahasa Inggeris. Beliau adalah salah seorang penterjemah
kesusasteraan yang penting yang telah banyak menterjemah puisi Melayu ke dalam
bahasa Inggeris. Malah beliau pernah menjadi Presiden Persatuan Penterjemah
Malaysia dari tahun 1978 hingga tahun 1982. Dan kerana kegiatan kreatif dan
ilmunya dalam kajian kesusasteraan, beliau pernah menjadi sidang editor jurnal
Tenggara, anggota Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, dan anggota
Panel Anugerah Sastera Negara.
Demikianlah Muhammad Haji Salleh sebagai sasterawan yang juga ahli
akademik yang dihormati telah memainkan peranan penting dalam dunia
kesusasteraan Melayu. Dalam banyak pertemuan penulis yang dihadirinya dan
kertas-kertas kerja yang dibentangkannya, Muhammad banyak sekali memberikan
perhatian tentang teori-teori sastera dalam hubungannya dengan kesusasteraan
Melayu. Bercakap tentang puisi-puisi yang dihasilkannya, puisi-puisinya selalu
dihubungkan dengan intelektualisme, idea dan pemikiran yang cukup
serius. Muhammad melihat kehidupan dengan sikap intelektual seorang pencari dan
pemikir. Sebagai seorang penyair yang rajin bereksperimen dan mencari
bentuk-bentuk baru yang lebih kuat, Muhammad sejak akhir-akhir ini banyak
menghasilkan puisi yang didasarkan daripada buku Sejarah Melayu. Puisi-puisi
tersebut dapat diikuti dalam bukunya Sajak-sajak dari Sejarah Melayu yang telah
diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1981. Muhammad telah
terpilih menjadi Sasterawan Negara dalam tahun 1991; dan menerima anugerah
S.E.A. Write Awards di Bangkok dalam tahun 1997. Kini Muhammad penulis
sepenuh masa.
KARYA
Pencari dan Pemikir Aksara Usia
Sajak-sajak Melayu Hikayat Hang Tuah