The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

NURUL HANI NABIHAH BINTI ASIHATULIZARI
(F2J)

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by NURUL HANI NABIHAH, 2022-03-26 10:51:59

TUGASAN 1 BMMB1104

NURUL HANI NABIHAH BINTI ASIHATULIZARI
(F2J)

BMMB1104

KESUSASTERAAN DAN
KEBUDAYAAN MELAYU

DISEDIAKAN OLEH :
NURUL HANI NABIHAH BINTI ASIHATULIZARI



NAMA PENSYARAH :
PUAN HAJAH NORMI BINTI MOHD DALI

KONSEP :

Kesusasteraan merupakan satu bentuk karya seni
yang disampaikan melalui bahasa. Menurut Siti
Hajar Abdul Aziz (2011) dalam bukunya Bahasa
Melayu I edisi kedua, perkataan kesusasteraan
terhasil daripada perkataan Sanskrit yang
bermaksud susastera iaitu huruf atau buku indah
dan dari segi makna yang umum, sastera
bermaksud bahasa yang digunakan dalam kitab-
kitab. Menurut kamus, kesusasteraan bermaksud
karya tulisan atau hasil seni yang berbentuk prosa
atau puisi yang mempunyai ciri-ciri keistimewaan
tertentu. Manakala seni kesusasteraan pula
merupakan seni karang-mengarang bahan-bahan
sastera yang berbentuk puisi dan prosa. Selain itu,
kesusasteraan dalam bahasa Melayu juga membawa
maksud yang sama dengan literature dalam Bahasa
Inggeris. Perkataan literature itu sendiri berasal
daripada perkataan literate yang mempunyai makna
huruf atau abjad. Perkataan literature ini juga
digunakan untuk tatabahasa dan puisi dalam bentuk
asalnya.

. Menurut Hashim Awang (1987), istilah kesusasteraan
berasal daripada perkataan Sanskrit iaitu sastra. Kata
dasar sas- membawa maksud mengajar,
mengarahkan atau memberi petunjuk manakala -tra
pula merujuk kepada alat. Oleh itu, sastra merupakan
alat untuk mengajar. Seterusnya, awalan su- pula
bererti indah atau baik manakala imbuhan ke dan -an
bermaksud segala yang tertulis, bernilai seni dan
estetika dengan makna untuk memberikan panduan,
petunjuk serta pengajaran. Kesusasteraan Melayu
dalam konteks pendidikan pula merupakan karya asal
yang ditulis dalam bahasa Melayu yang mempunyai
unsur-unsur keindahan dan kehalusan dalam pelbagai
bentuk seperti novel, drama, cerpen, sajak, prosa
tradisional atau puisi tradisional untuk mengimbangi
rohani, emosi, jasmani dan intelek selain
menunjukkan nilai kemanusiaan dan nilai-nilai
masyarakat. Perkara yang dapat disimpulkan
daripada definisi-definisi di atas ialah kesusasteraan
Melayu merupakan hasil karya seni masyarakat
Melayu yang mengandungi kata-kata indah,
menyampaikan mesej serta menggambarkan suatu
keadaan dan perasaan yang tertentu sama ada
berkaitan diri sendiri atau sekelompok masyarakat.

BENTUK DAN JENIS :

Kesusasteraan Melayu mempunyai jenis dan bentuk
yang pelbagai kerana memiliki unsur-unsur khusus
untuk setiapnya yang membentuk pola secara berbeza
bagi tujuan tertentu. Kesusteraan Melayu ini dapat
dibahagikan kepada empat jenis dan bentuk iaitu prosa
tradisional, prosa moden, puisi tradisional dan puisi
moden. Prosa tradisional ialah salah satu daripada
elemen kebudayaan melayu yang terhasil dalam bentuk
bahan sastera dan bahan bukan sastera. Prosa ini
merujuk kepada kolektif milik bersama dan hasil prosa
tersebut kebanyakannya tidak mempunyai nama
pemiliknya kerana ia merupakan milik masyarakat sejak
zaman ke zaman. Oleh hal yang demikian, untuk
mengetahui identiti penulis sebenar bagi setiap jenis
prosa tradisional yang ada dalam kalangan masyarakat
adalah begitu sukar. Dalam pada itu, kesusasteraan
Melayu Tradisional mempunyai bentuk dan ciri yang
begitu berbeza daripada kesusasteraan moden.

Menurut Zalila Sharif & Jamilah Haji Ahmad (1993),
bentuk dan ciri tersebut meliputi makna struktur, gaya
dan teknik, plot serta konvensi lain sastera yang
dicirikan oleh bahasa, fungsi, persembahan dan faktor-
faktor luaran yang lain.

Prosa tradisional ini terbahagi kepada dua iaitu naratif
dan bukan naratif. Naratif bermaksud cerita yang ingin
disampaikan kepada masyarakat secara lisan. Naratif ini
pula dapat dibahagikan kepada dua iaitu naratif lisan
dan tulisan. Naratif lisan merupakan hasil karya naratif
dalam kesusasteraan Melayu tradisional yang menjadi
milik masyarakat kerana mempunyai bentuk
penyampaian melalui lisan iaitu dari mulut ke mulut.
Naratif lisan boleh dibahagikan kepada tiga iaitu mitos,
lagenda, dan cerita rakyat. Sementara itu, naratif tulisan
pula merujuk kepada cerita atau pengalaman yang
telah dihasilkan dalam bentuk tulisan. Naratif ini
terbentuk setelah masyarakat mampu dan boleh
membaca atau menulis. Penulisan naratif ini bergerak
dan berkembang seiring dengan kemajuan percetakan
bagi membukukan penulisan yang dilahirkan dalam
pelbagai bentuk bahasa. Naratif tulisan ini mempunyai
lima kategori iaitu sastera sejarah, sastera hikayat,
sastera panji, sastera kepahlawanan atau juga dikenali
sebagai epik dan sastera agama. Manakala prosa
tradisional bukan naratif pula merupakan hasil
kesusasteraan yang tidak mempunyai plot yang khusus.
Prosa ini berbentuk peraturan atau fakta untuk bagi
menunjukkan panduan yang khusus kepada
masyarakat. Prosa tradisional bukan naratif mempunyai
tiga bahagian iaitu sastera undang-undang, sastera
kitab, dan sastera ketatanegaraan.

Seterusnya, prosa moden mempunyai dua bahagian
iaitu cerpen dan novel. Cerpen atau cerita pendek
merupakan kisah rekaan yang ringkas dan panjang
ceritanya adalah antara 500 hingga 15000 patah
perkataan. Namun, cerpen dan novel mempunyai
perbezaan yang begitu jelas dari segi cara penyampaian
teksnya serta dari segi cerita yang memberi fokus
kepada sesuatu watak yang menggambarkan satu
peristiwa yang terbatas. Cerpen juga mempunyai
kesatuan yang perlu dicapai terutamanya melalui plot
selain daripada unsur lain seperti tema, watak, latar,
gaya, dan sebagainya. Semetara itu, novel pula merujuk
kepada kisah rekaan yang begitu panjang dalam bentuk
prosa. Secara khususnya, novel merupakan satu
bentuk cereka yang mengisahkan peristiwa yang betul-
betul terjadi atau hanya imaginatif dengan mempunyai
watak-watak yang digarap menurut pola-pola yang
tertentu. Selain itu, latar dan peristiwa yang terdapat
dalam novel tidak mempunyai had dengan mengambil
jangka masa yang panjang. Tambahan lagi, pertalian
cerita dalam novel lebih kompleks daripada cerpen.

Pantun mempunyai lima ciri berdasarkan strukturnya.
Ciri yang pertama ialah pantun mempunyai rangkap-
rangkap yang berasingan. Setiap rangkap terdiri
daripada baris-baris yang berpasangan serta sejajar
seperti 2,4,6 hingga 16. Seterusnya, pantun juga
mempunyai antara lapan hingga dua belas suku kata
dalam setiap baris iaitu mengandungi antara empat
hingga lima patah perkataan kata dasar. Walaupun
begitu, pantun pada kebiasaannya mengandungi antara
lapan hingga sepuluh suku kata. Selain itu, pada setiap
rangkap pantun mempunyai dua bahagian iaitu
bahagian pembayang dan maksud. Contohnya, dalam
satu quatrain terdapat dua unit iaitu unit pembayang
unit maksud. Ciri yang seterusnya ialah pantun
mempunyai rima hujung yang tetap iaitu a-b-a-b. Walau
bagaimanapun, terdapat juga jenis pada rima hujung
pantun iaitu a-a-a-a, a-a, a-b, b-a, dan
sebagainya.Kebiasaannya, pantun akan menggunakan
rima akhir yang utama iaitu a-b-a-b. Dalam pada itu, ciri
yang terakhir pula ialah pantun mempunyai kesatuan
fikiran yang lengkap dan sempurna hanya pada satu
rangkap sahaja. Dalam erti kata lain, satu rangkap
pantun sudah dapat memberikan makna yang hendak
disampaikan secara keseluruhannya.

Puisi tradisional yang seterusnya ialah syair. Syair ini
dikatakan berasal dari Arab. Walaupun begitu, didapati
bahawa bentuk syair dalam kesusasteraan
Melayumem[unyao perbezaan dengan bentuk syair
yang terdapat dalam kesusasteraan Arab. Menurut
Muhd. Mansur Abdullah (1991), ditegaskan dalam puisi
Melayu tradisional, walaupun syair bukan hak mutlak
atau kepunyaan bangsa Melayu, namun ia sudah
berakar umbi di alam Melayu sejak sekian lama dan
sudah diterima dan dianggap oleh orang Melayu
sebagai puisi tradisi mereka. Syair juga mempunyai
beberapa ciri-cirinya yang tersendiri. Syair terdapat
susunan baris yang terikat iaitu hanya mempunyai
empat baris sahaja bagi setiap rangkap. Selain itu, syair
hanya mempunyai satu rima yang sama sahaja pada
setiap hujung baris. Rima akhir tersebut adalah a-a-a-a.
Namun, syair juga mempunyai jenis-jenis yang
bergantung pada bentuk rima iaitu dua baris serangkap
dengan rima a-b, tiga baris serangkap dengan rima a-a-
b, empat baris serangkap dengan rima a-b-a-b, empat
baris serangkap dengan rima a-b-b-b, empat baris
serangkap dengan rima a-a-a-b, c-c-c-d, d-d-d-d, empat
baris seirama dan yang terakhir empat baris berbait.

Ciri syair yang terakhir ialah satu rangkap syair merujuk
kepada kesatuan idea. Setiap unit dari rangkap syair
tidak boleh berdiri sendiri untuk menyampaikan
maksud. Namun begitu, setiap unit rangkap syair akan
mempunyai kesinambungan dan menjadi kesatuan
yang sistematik dan berkembang.

Gurindam tergolong dalam golongan puisi bebas dan
mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri. Jumlah baris,
perkataan, dan suku kata dalam setiap baris tidak
ditetapkan. Walaupun begitu, pada kebiasaannya
gurindam hanya mempunyai dua baris dalam setiap
rangkap sebagai contoh Gurindam Dua Belas hasil
karya Raja Ali Haji. walau bagaimanapun, jumlah baris
dan bentuk rima dalam gurindam tersebut tetap
bersifat bebas. Selain itu, gurindam juga mengandungi
ciri-ciri puisi lama. Ciri-ciri puisi lama yang dimaksudkan
ialah terdapat unsur-unsur asonansi dan aliterasi dalam
baris gurindam. Tambahan lagi, entuk-bentuk puisi lain
seperti pantun dan syair juga dapat dilihat pada awal,
tengah, mahupun akhir pada sesetengah gurindam.
Kebiasaannya, gurindam menyampaikan maksud yang
begitu serius terutamanya apabila disampaikan bagi
tujuan untuk memberikan pengajaran kerana gurindam
berperanan dan lebih memfokuskan kepada
pendidikan yang mempunyai moral yang baik.

Sementara itu, Menurut Harun Mat Piah, et al (2000),
perkataan seloka itu sendiri berasal dari kata shloka
dalam bahasa Sanskrit yang bermaksud puisi yang
terdiri daripada dua baris. Terdapat beberapa ciri
seloka antaranya ialah C.Hooykaas (1992) menyatakan
bahawa seloka merupakan suatu puisi yang terkandung
di dalamnya empat baris dalam setiap rangkap. Setiap
baris seloka pula terdapat dalam lingkungan lapan
hingga sebelas suku kata. Seterusnya menurut Harun
Mat Piah (2000), seloka merupakan karangan yang
berangkap iaitu menggunakan rima akhir berbentuk
bebas. Selain itu, dasar seloka adalah bertujuan
sebagai suatu jenaka atau sindiran. Kata-kata yang
berbentuk ejekan ataupun sindiran akan disampaikan
dalam bentuk rangkap-rangkap seloka. Namun, isi
seloka kebiasaannya lebih berunsurkan jenaka dan
gurauan serta ia juga menggunakan bahasa yang
meleret-leret dalam penceritaan selain mempunyai
sindiran yang tajam.

Di samping itu, puisi Melayu moden merupakan
sebuah seni penulisan yang mengarang sesuatu kata
dengan susunan yang indah bagi menyampaikan
makna-makna yang tertentu. Puisi Melayu moden
mempunyai perbezaan yang ketara dari puisi Melayu
tradisional dari segi bentuk, susunan baris, rankap, dan
rima akhirnya juga tidak terikat dengan bentuk
tradisional seperti pantun dan syair.

Manakala dari segi isi pula, pada ketika ia ditulis, puisi
moden membincangkan tentang isu-isu semasa. Puisi
Melayu moden juga dikenali sebagai sajak iaitu yang
berasal dari perkataan Arab saja' yang membawa
maksud persamaan bunyi.

CIRI-CIRI :

Kesusasteraan mempunyai perbezaan dengan

ciptaan seni yang lain kerana ciptaan sastera ini

menggunakan bahasa sebagai medium

penyampaiannya. Kesusasteraan Melayu tidak akan

memberi makna seandainya tidak mempunyai

matlamat dan tidak ditujukan kepada seseorang dan

sekumpulan masyarakat atau pembaca. Oleh hal yang

demikian, kesusasteraan perlulah mempunyai sifat

positif serta ciri-ciri yang tertentu bagi menggambarkan

keunikannya. Antara ciri-cirinya ialah keindahan,

mencerminkan pengalaman, karya seni dan

pengalaman seni.

Keindahan merupakan lenggok dan gaya bahasa yang
digunakan dalam karya sastera dapat menunjukkan
keindahan sesebuah hasil karya tersebut. Keindahan
hasil karya sastera bergantung kepada kesatuan unsur
yang menghasilkan suatu struktur atau susunan karya
sehingga menjadi sesuatu yang bulat dan utuh.
Sesebuah karya seni akan menjadi indah dan menarik
sekiranya unsur-unsur yang terdapat di dalamnya
mengandungi keselarasan, keseimbangan dan
penekanan terhadap sesuatu unsur. Unsur-unsur
tersebut mempunyai cara tersendiri dalam
menghasilkan kesatuan yang utuh bagi menunjukkan
keutuhan sesebuah karya. Contohnya, bentuk
penulisan novel mempunyai perbezaan dengan
penghasilan puisi kerana karya-karya tersebut
mempunyai unsur-unsur yang berbeza.

Dalam konteks mencerminkan pengalaman pula, ia
digambarkan secara realiti merujuk kepada tindak balas
yang utuh daripada jiwa seseorang. Perkataan utuh
tersebut menunjukkan fikiran, perasaan dan imaginasi
manakala perkataan realiti pula menunjukkan sesuatu
yang boleh memberi kesedaran kepada manusia.
Pengalaman diceritakan melalui bahasa dalam sastera.
Bahasa adalah peranti yang boleh menimbulkan fikiran,
perasaan serta imaginasi pengkarya agar pembaca
dapat menghayat, merasakan serta memikirkan
maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh
pengkarya.

Seterusnya, karya seni terbahagi kepada dua kategori
iaitu karya sastera dan bukan sastera. Terdapat tiga
perkara yang boleh membezakan antara kedua-dua
karya ini iaitu mempunyai nilai-nilai estetik dan gaya
bahasa yang khusus serta bersifat fiksyen. Nilai-nilai
estetik dapat membantu pengkarya meluahkan isi hati
dengan jelas serta mendalam. Dalam pada itu,
terdapat perbezaan penggunaan bahasa dalam karya
sastera dan karya bukan sastera. Bahasa yang
digunakan dalam karya sastera lebih puitis dan
kompleks supaya dapat menarik perhatian pembaca
untuk membaca dan menghayatinya. Pengkarya
menghasilkan karya sasteranya melalui imaginasinya
berdasarkan tindak balas atau pengalamannya
terhadap alam realiti. Penghasilan sesebuah karya
fiksyen memerukan daya imaginasi kerana pembaca
dapat menghayati kenyataan dan masalah sesebuah
karya melalui dunia khayalan ke dalam bentuk yang
konkrit. Melalui peristiwa yang dialami, pembaca akan
dapat memahami sesuatu hasil karya. Demikian juga
sebaliknya iaitu seseorang pengkarya akan dapat
merasai kepuasan oleh kerana pembaca dapat merasai
dan memahami perasaan pengkarya serta menerima
hasil karyanya. Walau bagaimanapun, pembaca harus
mempunyai kesedaran bahawa merasai dan
memahami fikiran sahaja tidak memadai kerana
pembaca juga harus mempunyai kesedaran tentang
nilai-nilai yang terdapat dalam hasil sastera tersebut.

FUNGSI :
Sastera merupakan hasil karya kreatif dan imaginatif

yang berfungsi dan mempunyai tujuan penghasilan
yang tertentu. Dalam pada itu, beberapa sarjana
tempatan telah menggariskan pelbagai panduan
melalui kajian dan tulisan mereka berhubung dengan
fungsi sastera.Oleh hal yang demikian, peranan dan
fungsi sastera merangkumi kedua-dua aspek sama ada
aspek luaran dan dalaman yang dapat dikesan melalui
genre sastera tradisional atau genre moden. terdapat
empat fungsi sastera iaitu sebagai kritikan sosial,
hiburan, pendidikan dan dakwah.

KRITIKAN SOSIAL :
Perkataan kritik berasal daripada perkataan Yunani

Kuno iaitu ‘Krites’ yang membawa maksud hakim.
Menurut (Hashim Awang, Ramli Isin, Othaman Puteh
menyatakan fungsi sastera sebagai medium kritik sosial
dan menjadi dokumentasi tentang kehidupan dalam
masyarakat sekeliling. Manakala menurut Adi Pranajaya
(1993), karya sastera menjadi menjadi perantara
sebagai ruang untuk menegur dan menyampaikan
mesej kepada masyarakat. Karya sastera yang
dihasilkan hendaklah mempunyai tujuan yang tentunya
mempunyai fungsi dalam masyarakat serta memberi
gambaran realiti keadaan masyarakat dalam karya
tersebut.

Penggunaan karya sastera dalam menyampaikan mesej
dan kritikan tentang sesuatu isu boleh diketengahkan
seterusnya membuatkan masyarakat terkesan dengan
karya sastera tersebut. Sebagai contoh Othman Puteh
(2008) pernah menyatakan penggunaan cerpen ini
berfungsi sebagai cerminan penyalur dan penyambung
tentang pemikiran penulis terhadap sesuatu isu dalam
kelompok masyarakat atau kepada khalayak.

HIBURAN :
Karya sastera terhasil daripada susunan indah
perkataan yang akan melahirkan irama, rentak yang
tersusun indah akan mendatangkan keseronokan yang
mempunyai unsur yang menghiburkan. Karya yang
dihasilkan hendaklah mampu untuk menyentuh hati
emosi si pembaca dan pendengar supaya idea yang
ingin dapat disampaikan oleh penulis dapat difahami
dan dihayati dengan lebih mendalam dan terperinci.
Juga, kepentingan sastera yang mempunyai unsur
hiburan ini menjadikan karya tersebut sangat rapat
dengan pembaca dan dapat diterima dalam
masyarakat. Masyarakat zaman dahulu tidak
mempunyai media hiburan yang banyak untuk samada
untuk individu atau masyarakat. Oleh itu, pelbagai jenis
karya sastera yang dicipta untuk menjadi hiburan pada
masa itu. Kebanyakan hasil-hasil sastera ini diseltkan
dengan unsur-unsur yang melucukan dan aras bahasa
yang tidak begitu tinggi memudahkan pembaca
memahami karya tersebut.

Secara tidak langsung, pembaca yang terdiri daripada
pelbagai lapisan umur dari yang tua hingga kepada
peringkat kanak-kanak dapat menikmati sesi
pembacaan dengan minda yang terhibur dan tenang.
Manakala karya sastera pada peringkat remaja, unsur-
unsur romantis dan percintaan kerana pada umur
tersebut pertumbuhan hormon menyebabkan
perubahan emosi yang menunjukkan remaja
memerlukan kasih sayang dan perhatian daripada
seseorang itu.

PENDIDIKAN :

Karya sastera juga digunakan dalam menyampaikan

ilmu pengetahuan dalam masyarakat pelbagai lapis dan

umur. Unsur-unsur pendidikan dalam karya sastera

seperti pantun, syair, sajak dan seloka memberi

pengajaran kepada pembaca dan pendengar. Karya

sastera yang dikarang mempunyai idea utama yang

hendak disampaikan. Unsur-unsur nasihat dan

teguran pada masa yang sama diselitkan sebagai

pendidikan awal yang menekankan kepentingan untuk

menjadi seorang insan yang mempunyai akhlak yang

mulia dan terpuji. Selain itu, karya mencetuskan impak

yang besar dalam pendidikan. Contohnya, apabila

individu membaca karya tersebut, pelbagai pengajaran

yang berguna dapat diperolehi. Pembelajaran secara

melalui medium iini boleh diaplikasikan dalam

kehidupan seharian dan diteruskan kepada generasi-

generasi yang akan datang.

Di samping itu, rasa kasih sayang dan cinta terhadap
bahasa Melayu yang merupakan bahasa ibunda dapat
diterapkan dalam kalangan masyarakat disebabkan
perasaan minat yang timbul dalam diri pembaca hasil
daripada karya-karya sastera yang didengari mahupun
dibaca. Contohnya, hal ini dapat dijelaskan dalam sajak
‘Dirgahayu Bahasaku’, yang menekankan kepentingan
berbahasa Melayu walaupun bahasa Melayu ditelan
zaman disebabkan arus modenisasi. Sajak ‘Dirgahayu
Bahasaku’ mampu melahirkan perasaan bangga dalam
diri pembaca dan pendengar dan menyedarkan
kedudukan, kehebatan dan kemegahan bagi mereka
yang bertutur dalam bahasa Melayu.

DAKWAH :
Menurut Badlihisam (2012) memberi definisi

mengenai Islam dan dakwah merupakan pelengkap
antara satu sama lain dan menuju ke destinasi yang
sama. Difahamkan bahawa Islam dan dakwah tidak
dapat dipisahkan. Orang terdahulu menggunakan
medium sastera sebagai cara untuk menyebarkan
agama Islam. Sebagai contoh, serangkap pantun yang
menunjukkan keindahan bersaudara dalam agama
Islam.

Jalan-jalan ke Saudi Arabia
Tidak lupa membeli Kurma
Kita sesama muslim adalah saudara
Maka jangan terpecah hanya kerana ego semata

Melalui pantun ini, dapat difahami bahawa agama
Islam amat menekankan aspek kesaudaraan dalam
agama dan mengalakkan untuk sentiasa merendahkan
diri dalam hidup bermasyarakat. Selain itu, fungsi
bahasa kesusasteraan dalam dakwah ialah cara dakwah
itu dapat disampaikan dengan lebih baik dan difahami
dengan lebih jelas dan dakwah. Disebabkan bahasa
dan aras bahasa yang digunakan itu membolehkan
masyarakat dapat memahaminya dengan lebih baik.

MANIFESTASI AKAL BUDI :
Akal budi merujuk kepada perbuatan, pemikiran dan

sikap seseorang individu yang mendukung kehalusan
jiwa, kebijaksanaan serta keindahan. Ketiga-tiga aspek
ini diterjemahkan dalam pelbagai rupa. Walaupun
begitu, yang paling lazim ialah dalam bentuk karya seni
terutamanya dalam bentuk seni sastera dan seni
tampak. Selain tu, akal budi juga membawa maksud
bijaksana dalam menyampaikan pemikiran dan idea.

AKAL BUDI DALAM PANTUN :
Ungku Aziz (2011) menyatakan bahawa pantun tidak

wujud dalam vakum atau kekosongan dan merupakan
manifestasi yang terbaik seni sastera orang Melayu.
Oleh hal yang demikian, perkara yang dapat dikaji
menerusi pantun ialah struktur sosial bangsa Melayu
lama, sikap, pemikiran, akal budi, aktiviti kehidupan
serta falsafah hidup yang mereka anuti. Fungsi pantun
adalah untuk menyampaikan pemikiran dan perasaan
dan ia juga merupakan kaedah rangkapan yang tertua
dan kepunyaan asalnya adalah masyarakat Melayu.
Pencipataannya terkandung dalam pelbagai rangkap
dan pantun berkait. Tambahan agi, pantun juga
merupakan pengungkapan yang mengandungi
pembayang maksud dan maksud dalam apa juga
bentuk fizikalnya.

Contoh pantun :
Kalau bertanak dengan menggulai,
Mengacau gulai pecah isinya;
Kalau gelak nak jangan mengilai,
Kalau mengilai rendah budinya.

Contoh pantun di atas menunjukkan mengenai adab
dan tingkah laku seseorang supaya tidak ketawa
dengan kuat sehingga mengilai dan ia memberi
gambaran tentang adab yang tidak sopan dan perlu
dihindari. Ketinggian akal budi dalam pantun ini jelas
menunjukkan cara nasihat yang ingin disampaikan agar
masyarakat lebih memandang tinggi tentang nilai adab
dan budi. Ia bersesuaian dengan agama Islam yang
mengajar kita supaya menjauhi sifat riak, sombong dan
takbur. Sikap masyarakat yang suka ketawa dengan
sekuat hati dan mengilai yang digambarkan dalam
pantun di atas akan menyebabkan seseorang itu
terdorong untuk mudah menjadi seorang yang
sombong dan riak sehingga harga dirinya menjadi
rendah pada mata masyarakat di sekelilingnya.

AKAL BUDI DALAM SYAIR :
Za’ba berpendapat syair berasal daripada bahasa Arab
syir yang membawa maksud perasaan dan pengenalan
dengan pancaindera kerana karangan syair selalu
membangkitkan perasaan dan pengalaman yang hanya
terasa menerusi gambaran yang indah. Za’ba sendiri
banyak menulis syair dan antara syairnya yang terkenal
iaitu syair Kelebihan Ilmu. Di dalam syair ini, kita dapat
melihat sebuah pemikiran Melayu yang meletakkan
kepentingan ilmu pengetahuan.

Menurut Za’ba (2002), syair berasal daripada perkataan
Arab iaitu syir yang bermaksud pengenalan dan
perasaan dengan pancaindera kerana karangan syair
sentiasa membangkitkan kedua-dua aspek tersebut
yang hanya boleh dirasai menerusi gambaran yang
indah. Tokoh bahasa seperti Za’ba sendiri juga banyak
menulis syair dan antara syairnya yang terkenal ialah
Kelebihan Ilmu. terdapat sebuah pemikiran Melayu
yang dapat dilihat dalam syair ini iaitu mengenai
kepentingan dan kelebihan ilmu pengetahuan.

Contoh Syair Kelebihan Ilmu :
Ilmu itulah gemala sakti,
Sinarnya cerah cahaya sejati;
Asal puncanya lamun didapati,
Sukar bercerai sehingga mati.

Harganya tidak dapat ternilaikan,
Sebuah dunia belinya bukan;
Kuasanya besar sukat digunakan,
Di laut di darat di rimba di pecan.

Syair di atas menunjukkan gambaran dan pemikiran

Za’ba yang menjadi wakil bangsa Melayu tentang

kelebihan seseorang yang berilmu pengetahuan.

Terdapat banyak pengulangan tentang ilmu sangat

berguna kerana dengan adanya ilmu pengetahuan, ia

boleh dijadikan panduan sekali gus dapat menerangi

kehidupan. Tambahan pula, seseorang yang

memperoleh ilmu sudah pasti akan memanfaatkan ilmu

tersebut sepanjang hayat. Seterusnya, dalam rangkap

kedua syair di atas telah meletakkan ketinggian ilmu

yang tidak terhingga nilainya. Za’ba juga telah membuat

perbandingan iaitu nilai ilmu tidak boleh diganti

walaupun dengan sebuah dunia. Dalam pada itu,

pemikiran yang cuba disampaikan oleh beliau ialah

mengenai faedah atau manfaat bagi orang yang

berilmu tidak terikat dengan had dan dapat digunakan

di mana-mana sahaja.

Selanjutnya, kita boleh melihat sifat ilmu yang menjadi
penghias diri seseorang serta menjadi sahabat yang
memberikan panduan semasa mengembara, dan dengan
ilmu jugalah masyarakat boleh membezakan diri
seseorang dengan seseorang yang lain.

AKAL BUDI DALAM SELOKA :
Seloka adalah karya sastera puisi tradisional Melayu yang
penuh dengan pengajaran, nasihat dan teguran kepada
seseorang. Pengungkapan seloka digunakan secara turun
temurun iaitu daripada generasi yang menurunkannya
sehingga sampai kepada generasi yang menerimanya
sebagai manfaat untuk kehidupan. Nordiana (2019)
mengungkapkan watak dalam Seloka Melayu sebagai ikon
teladan yang memberikan imej baik kepada masyarakat
dengan meneliti siri kajian seloka yang terdiri daripada
seloka Pak Pandir, Pak Kaduk, Si Luncai dan Mat Jenin.
Contoh daripada keratan seloka Pandai Pak Pandir :

Anak dipijak dagang dijunjung
Kucing dibunuh, tikus dibela.

Seloka di atas adalah bertujuan untuk berjenaka dan
berhibur dengan menyelitkan unsur sindiran. Sikap Pak
Pandir dalam seloka tersebut menunjukkan sikap
sebahagian masyarakat Melayu yang mempunyai sifat-
sifat negatif dalam diri mereka dan seterusnya sikap
negatif itu dijadikan bahan sindiran dan senda gurau
dalam seloka.

Tambahan lagi, dikatakan juga bahawa Pak Pandir
mempunyai nasib yang sering kurang baik dalam
hidupnya. Manifestasi akal budi masyarakat Melayu yang
terdapat seloka di atas ialah sindiran terhadap individu
yang mempunyai sikap mengutamakan orang lain
berbanding dirinya sendiri. Sikap yang seperti ini
sepatutnya perlu ditinggalkan kerana ia akan merugikan
diri sendiri dan ahli keluarga terdekat. Perkara yang
sewajarnya dilakukan adalah mengutamakan diri sendiri
serta ahli keluarga dan bukannya orang luar yang hanya
memikirkan dan mementingkan diri sendiri oleh kerana
tiada pertalian darah. Sebagai bukti, Pak Pandi bukan
sahaja mengabaikan anaknya sendiri malah Pak Pandir
juga menyakiti anaknya itu seperti yang dinyatakan dalam
frasa pada baris pertama iaitu ‘anak dipijak’.
Sebagaimana dalam frasa ‘dagang dijinjing’, Pak Pakdir
lebih mengutamakan dan memberi layanan baik kepada
orang yang tidak mempunyai kaitan dan pertalian darah
dengannya.

AKAL BUDI DALAM GURINDAM :
Gurindam merupakan puisi yang terdiri daripada dua
baris dan berisi dengan pelbagai pengajaran. Manakala
menurut Za’ba (1965), gurindam adalah sejenis syair
melarat yang mempunyai sukatan atau rangkap yang
tetap dan isinya juga mempunyai fikiran yang bernas
dengan bahasa yang riang serta boleh dinyanyikan.

Dalam Gurindam Dua Belas, pengarang telah
melontarkan pemikiran tentang akhlak dan etika perlu
diamalkan oleh setiap manusia yang beragama Islam.
Raja Haji Ali iaitu pengarang bagi gurindam di atad teleh
memberi kesedaran kepada masyarakat tentang perlunya
seseorang manusia yang beragama mengikut panduan
agama dalam menjalani kehidupan sehariannya.

Tambahan lagi, mempunyai akhlak yang mulia serta
berbuat kebaikan dan mempunyai kesungguhan dalam
melakukan sesuatu pekerjaan adalah digalakkan bagi
semua golongan masyarakat.

Apabila dengki sudah bertanah,
Datanglah daripadanya beberapa anak panah.
Mengumpat dan memuji hendaklah pikir,
Di situlah banyak orang tergelincir.
Pekerjaan marah jangan dibela,
Nanti hilang akal di kepala.
Jika sedikitpun berbuat bohong,
Boleh diumpamakan mulutnya itu pekung.

Pengertian dalam fasal keempat ini, Raja Ali Haji
melontarkan pemikirannya tentang pentingnya menjaga
hati daripada mempunyai sifat-sifat yang tercela seperti
zalim,dengki, marah, bakhil, dan sebagainya. Hal ini dapat
dilihat dalam contoh di atas, apabila sifat dengki sudah
menguasai diri seseorang, mereka akan muka melakukan
perkara-perkara yang boleh merosakkan akhlak.

Bukan itu sahaja, pengarang juga menasihati bahawa
apabila ingin mengucapkan suatu pujian atau kritikan
kepada seseorang hendaklah berfikir panjang terlebih
dahulu supaya tidak akan berlakunya pergaduhan atau
perbalahan dalam kalangan masyarakat. Seterusnya,
pada rangkap keenam sebagaimana yang terdapat dalam
contoh di atas, pengarang juga menasihati supaya
seseorang itu hendaklah mengawal perasaan marah dan
tidak hanya mengikut perasaan agar dapat mengawal
kewarasan akal. Tambahan lagi, masyarakat juga
dinasihatkan supaya tidak belajar berbohong dalam
kehidupan seharian kerana perbuatan tersebut
menyebabkan mereka akan kehilangan kepercayaan
daripada masyarakat di sekelilingnya.

KESIMPULAN :
Kesimpulannya, kesusasteraan merujuk kepada hasil

karya yang mempunyai mesej dan pemikiran yang
tertentu. Sesebuah hasil karya merupakan pancaran dari
kehidupan masyarakat. Dalam pada itu, karya sastera
juga telah dikategorikan mengikut genre tersendiri. Setiap
genre itu mengandungi ciri-cirinya yang khusus.
Tambahan lagi, setiap hasil karya sastera mempunyai
fungsi dan mesej bagi mendidik serta membina
keperibadian setiap anggota masyarakat. Setiap
bahagian bermula daripada unsur dan fungsi di dalamnya
mempunyai makna dalam teks karya di samping
berfungsi dalam kehidupan masyarakat.

RUJUKAN :
Abdul Halim Ali. (2006). Mendekati puisi Melayu

tradisional. Penerbitan Profesional Baharu.

Azman Rahmat, Mohd Nazri Zainuddin, Shamsuddin Abu
Bakar, Abdul Rani Hassan & Hasnah Awang. (2022).
Kesusasteraan Dan Kebudayaan Melayu. Pustaka Al-
Ehsan.

Badlihisham Mohd Nasir. (2012). Islam dan Dakwah
Dalam Zaman Kebangkitan Awal Islam dan Era
Penjajahan Barat di Tanah Melayu. Jurnal
Islamiyyat.34: 5-12.

Harun Mat Piah et al,. (2000). Puisi Melayu tradisional.
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Yusof Md. Nor, Abd. Rahman Kaeh. (1985). Puisi
Melayu tradisi. Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Mohd. Rosli Saludin. (2007). Puisi Melayu tradisional. Goal
Intelligent Publishing Sdn. Bhd.

Noriah Mohamed. (2006). Sentuhan rasa dan fikir dalam
puisi Melayu tradisional. Penerbit Universiti Kebangsaan
Malaysia.

Zainal Abidin Ahmad. (2002). Ilmu Mengarang Melayu.
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zalila Sharif, Jamilah Haji Ahmad. (1993). Dewan Bahasa
dan Pustaka.


Click to View FlipBook Version