JUZUK 1 1. Dinamakan Surah Al-Fatihah kerana menjadi pembuka kepada Al-Quran dan merupakan teras kepada 113 Surah selepasnya. 2. Terdapat 2 bahagian iaitu: Pujian kepada ALLAH, dan pengakuan seorang hamba yang lemah yang perlu bergantung kepada ALLAH. 3. Dinamakan Surah Al-Baqarah kerana di dalam surah ini berkait dengan kerenah Bani Israil yang tidak mahu beriman dan taat kepada Nabi Musa A.S. 4. ALLAH S.W.T menceritakan sifat orang beriman di dalam 5 ayat pertama Surah AlBaqarah, kemudian sifat orang kafir (6-7) dan orang munafiq (ayat 8 dan seterusnya). 5. Dalam Juz 1 ini juga ALLAH S.W.T menceritakan tentang pertembungan di antara 2 golongan yang disebut di dalam surah Al-Fatihah (Golongan yang diberi Nikmat vs Golongan yang dimurkai) 6. Pertembungan berlaku dalam 2 bentuk; Individu (Nabi Adam vs Iblis), Generasi (Nabi Musa vs Bani Israil) dan hampir keseluruhan Juz 1, ALLAH S.W.T menceritakan tentang jenayah orang-orang Yahudi yang bermula dari ayat 40 sehingga ayat 120. 7. Antara yang menarik adalah kisah permusuhan orang Yahudi dengan Malaikat Jibril A.S. Mereka menolak untuk menerima ISLAM kerana mereka beranggapan RASULULLAH SAW dibimbing oleh Jibril A.S. dan mereka menganggap Jibril sebagai musuh. 8. Pada ayat 102 surah ini diceritakan tentang asal usul sihir yang mana orang Yahudi beranggapan bahawa Nabi Sulaiman A.S. berkuasa kerana adanya sihir, bukan kerana Mukjizat yang dikurniakan kepada Baginda. Dalam ayat ini ALLAH S.W.T memberitahu bahawa sihir berasal dari Harut & Marut, 2 Malaikat yang dihantar ke Babil (Babylon), bukan berasal dari Nabi Sulaiman A.S. 9. Di bahagian akhir Juz 1 ini ALLAH S.W.T menceritakan bagaimana Nabi Ibrahim A.S. diuji dengan pelbagai ujian dan akhirnya baginda berjaya melepasi kesemua ujian tersebut. Di sana juga ada kisah pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim A.S. bersama dengan anaknya, Nabi Ismail A.S. 10. Di bahagian akhir Juz 1 juga diceritakan tentang wasiat Nabi Yaakub A.S. kepada anakanak Baginda, iaitu supaya berTUHANkan ALLAH SWT.
JUZUK 2 1. Antara isu yang disentuh di dalam Juzuk 2 adalah berkaitan peralihan Kiblat dari Baitul Maqdis ke arah Kaabah di Mekah (Ayat 142-150). 2. Ini bagi membuka mata orang kafir Quraisy bahawa ISLAM tidak menafikan kehebatan & kemuliaan Mekah. 3. Ia juga membina cara fikir baru kerana masyarakat Mekah memandang tinggi terhadap orang Yahudi sehingga menjadikan mereka tempat rujukan. Dan pertukaran kiblat ini memalingkan fokus mereka dari Bani Yahudi kepada Bani Ismail. 4. Antara perkara lain yang popular dalam Juzuk ini adalah ayat berkenaan kepentingan Solat, Sabar dan Lafaz Istirja’ (Ayat 153-157). 5. Juzuk 2 banyak menceritakan tentang hukum-hakam. Antaranya berkenaan dengan hukum Qisas dan kepentingan wasiat (Ayat 178-182), kepentingan berpuasa dan hukum berkaitannya (Ayat 183-187), hukum hakam berkaitan Haji (Ayat 196-203), dan antara isu besar yang dibincangkan adalah berkaitan nikah, cerai, Iddah wanita yang bercerai dan kematian suami, adab-adab meminang wanita yang kematian suami, tidak boleh secara terang, tetapi mesti bersyarat atau menggunakan bahasa kiasan (Ayat 221-242). 6. Di dalam ayat 201, ALLAH S.W.T memberitahu tentang doa yang terbaik untuk diamalkan dan dibaca, iaitu doa yang bukan sahaja meminta kebaikan di dunia, bahkan kebaikan di akhirat. 7. Bahagian akhir Juzuk 2 adalah berkaitan kisah selepas zaman Nabi Musa A.S. yang mana Bani Israil ditindas oleh seorang raja (Jalut). Lalu Bani Israil meminta pertolongan seorang Nabi untuk membantu mereka. 8. Disebut oleh para Ulama’ tafsir bahawa Nabi itu adalah Nabi Samuel yang mendapat petunjuk dari ALLAH S.W.T untuk memilih orang yang selayaknya (berilmu pengetahuan dan gagah perkasa) menjadi pemimpin dan raja iaitu Talut, walaupun pada awalnya beliau ditolak oleh kaumnya kerana tidak memiliki harta dan kuasa. 9. Maka Talut memimpin Bani Israil untuk mengalahkan Raja Jalut. Dan pada waktu inilah munculnya watak Nabi Daud A.S. yang berjaya membunuh Raja Jalut, dan kemenangan berpihak kepada Bani Israil. 10. Mesej utama di dalam kisah terakhir pada Juzuk 2 ini menekankan bahawa ISLAM lebih mementingkan kualiti berbanding kuantiti.
JUZUK 3 1. Mengandungi 2 Surah, iaitu bahagian akhir Surah Al-Baqarah dan bahagian awal Surah Ali-Imran. Ayat Kursi yang selalu dibaca berada di dalam Juzuk ini (Ayat 255). Ayat ini diiktiraf sebagai ayat yang paling agung di dalam Al-Quran kerana di dalam ayat ini sahaja, mengandungi 17 kali pengulangan nama ALLAH SWT. 2. Di dalam Juzuk ini terdapat 2 kisah berkenaan orang yang mati dan dihidupkan semula iaitu; i) seorang lelaki yang tidur selama 100 tahun (Ayat 259), ii) Eksperimen yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim untuk diyakini bahawa ALLAH mampu menghidupkan kembali makhluk yang dah mati. 3. Juzuk 3 juga menceritakan berkenaan Sedekah (Ayat 261-274). Antaranya ialah satu sedekah digandakan pahalanya sehingga 700 kali ganda, siapa yang selayaknya menerima sedekah dan sedekah perlu diberikan dalam keadaan terbaik. 4. Seterusnya, hukum berkaitan riba dan hutang dibincangkan pada Ayat 275-282. Yang menariknya, mengikut kebanyakan ulama’ Tafsir, ayat 281 merupakan ayat yang terakhir diturunkan manakala ayat 282 adalah ayat yang terpanjang di dalam Quran yang menceritakan perihal hutang dan bagaimana mendokumentasinya (Perjanjian, Saksi dsb). 5. Di dalam Surah Ali-Imran banyak diceritakan tentang keluarga dan makhluq pilihan ALLAH S.W.T seperti keluarga Imran, Maryam, Nabi Isa, Nabi Zakaria dan Nabi Yahya (Ayat 35-55) manakala ALLAH S.W.T mengajar doa bagi pasangan berkahwin yang masih belum dikurniakan cahaya mata untuk mengamalkan doa Nabi Zakaria (Ayat 38). 6. Pada Ayat 55 dinyatakan dalil yang mengatakan bahawa Nabi Isa A.S. diangkat oleh ALLAH SWT ke langit. 7. Terdapat juga kisah berkenaan Mubahalah di antara NABI SAW dengan kaum Nasrani dari Najran (Ayat 61-62). Mubahalah adalah perdebatan di antara 2 pihak yang masing-masing mendakwa benar, dan masing-masing berdoa kepada ALLAH untuk tunjukkan mana yang benar dan mana yang salah. Tetapi Mubahalah ini tak jadi kerana pihak Nasrani menarik diri kerana hakikatnya mereka tahu RASULULLAH SAW berada di pihak yang benar. 8. Ayat 63 mengisahkan perintah ALLAH SWT kepada NABI SAW untuk mengajak Ahli Kitab agar bersatu dengan kalimah Tauhid yang sama iaitu menyembah ALLAH yang SATU manakala pada Ayat 69-79 diberitahu tentang sifat Ahli Kitab, ada yang positif dan banyak yang negatif. Mesej utama di dalam kisah ini adalah orang yang diberikan agama (ISLAM), sepatutnya menjadi orang yang Rabbani (Orang yang paling berakhlaq dan menjadi pendidik untuk diri, keluarga dan masyarakat).
JUZUK 4 1. Juzuk 4 mengandungi sebahagian besar bahagian kedua Surah Ali-Imran dan bahagian awal Surah An-Nisa’. 2. Ayat 92 ALLAH S.W.T menceritakan tentang sedekah yang paling baik iaitu sedekah sesuatu yang paling kita sukai. Antara kisah di sebalik ayat ini adalah kisah sedekah kebun kurma oleh Abu Talhah R.A. yang mana kebun ini adalah kebun yang paling disayangi dan kebun ini adalah antara kebun yang paling mahal nilainya yang ada di Madinah pada ketika itu. 3. Dalam Ayat 93 ALLAH S.W.T menceritakan tentang asal-usul makanan haram bagi Bani Israil, bagaimana pengharaman daging unta bagi mereka disebabkan Nazar yang dibuat oleh Nabi Yaakub A.S. 4. Ayat 96-97 adalah mengenai rumah ibadat yang pertama dibina dalam sejarah peradaban manusia, iaitu Kaabah dan ayat ini juga berkenaan dengan pensyariatan Haji. 5. Ayat 103 pula ALLAH S.W.T memberitahu kepentingan berpegang dengan tali ALLAH (Agama ALLAH S.W.T) manakala di dalam ayat 110 umat ISLAM dinobatkan sebagai Umat Terbaik dengan syarat mestilah melaksanakan Amar Makruf Nahi Munkar dan beriman kepada ALLAH SWT. 6. Menariknya, Perang Uhud diceritakan secara terperinci di dalam Juzuk ini (Ayat 121- 158). Antaranya berkenaan punca kekalahan, post-mortem Perang Uhud, teguran ALLAH S.W.T kepada Umat ISLAM dsb. 7. Apa yang paling menarik adalah berkenaan ayat 144 yang turun ketika Perang Uhud, memberitahu bahawa RASULULLAH SAW adalah manusia biasa yang pasti akan menemui ajalnya pada suatu hari nanti. Ayat ini juga dibaca oleh Khalifah Abu Bakar As-Siddiq ketika kewafatan NABI SAW sebagai teguran kepada para sahabat yang pada waktu itu tidak dapat menerima hakikat tersebut. 8. Di dalam ayat 154 dibincangkan bagaimana ALLAH S.W.T menghantar rasa mengantuk kepada tentera ISLAM sebagai satu ketenangan apabila mereka kalah di dalam Perang Uhud dan ketika rasa mengantuk itu hilang, semangat mereka kembali pulih. 9. ALLAH S.W.T juga menceritakan mengenai kelebihan orang yang mati syahid, di mana mereka sebenarnya kekal hidup di sisi ALLAH (Ayat 169-171).
10. Kisah di sebalik ayat 173 adalah berkenaan Perang Hamraul Asad, yang mana tentera ISLAM terus menyusuri tentera Abu Sufyan setelah Peperangan Uhud. Ketika Abu Sufyan melihat tentera ISLAM masih mampu menyusuri mereka walaupun setelah luka parah, beliau mengupah satu rombongan yang sedang lalu di kawasan itu untuk menakutkan tentera ISLAM, namun Tentera ISLAM tetap nekad untuk menggempur musuh dengan lafaz “Cukuplah bagi kami, ALLAH sebagai pembantu”. 11. ALLAH S.W.T menekankan perihal kepentingan berfikir (Ayat 190-194) yang mana setiap penciptaan ALLAH di alam semesta ini mempunyai sebab dan musabbab tersendiri. 12. Di dalam Ayat 199, ALLAH S.W.T memuji sebahagian Ahli Kitab yang beriman kepada ALLAH S.W.T. Kisah di sebalik ayat ini adalah berkenaan berita kemangkatan Raja Habsyah (An-Najashi) yang beriman kepada ALLAH, lalu NABI SAW terus melakukan Solat Jenazah Ghaib. Dan inilah Solat Ghaib pertama yang dilakukan dalam sejarah umat ISLAM. 13. Di dalam ayat pertama Surah An-Nisa’ diceritakan asal-usul manusia yang berasal dari Nabi Adam A.S. dan juga Hawwa’, kemudian berkembang sehingga hari ini. 14. Bermula ayat 2 sehingga 23 diceritakan berkenaan anak yatim, poligami, pembahagian Faraidh dan juga mahram perkahwinan (Orang yang diharamkan berkahwin). 15. Ayat berkenaan Mahram Perkahwinan disebut secara khusus di dalam Ayat 22-23. Ia boleh dibahagikan kepada 3 kategori iaitu; i) Haram kerana hubungan darah, ii) Haram kerana susuan, iii) Haram kerana perkahwinan.
JUZUK 5 1. ALLAH SWT melarang memakan harta orang lain secara salah (Ayat 29) manakala di dalam ayat 31-32 diceritakan tentang kelebihan meninggalkan dosa besar, antaranya ialah diampunkan segala dosa kecil dan larangan untuk kita berhasad dengki dengan kelebihan yang diberikan kepada orang lain, bahkan ALLAH S.W.T menggalakkan kita meminta dari NYA agar dikurniakan kelebihan tersebut. 2. Ayat 34-35 membincangkan tentang lelaki sebagai pemimpin di dalam rumahtangga. Dan ALLAH S.W.T memberi panduan kehidupan berumahtangga dan cara mendamaikan pasangan yang berkelahi. 3. Ayat 43 pula adalah fasa kedua pengharaman arak sebelum ianya diharamkan secara mutlak dalam fasa ketiga. Tambahan pula, di dalam ayat ini juga diceritakan tentang hukum berkaitan tayammum. 4. Apa yang menarik di dalam ayat 56 adalah ALLAH S.W.T menceritakan tentang fungsi kulit yang padanya terdapat elemen yang menyebabkan kita boleh merasa kesakitan bila mana diberitakan tentang balasan neraka bagi orang kafir dan ganjaran syurga bagi orang beriman (Ayat 56-57). 5. Ayat 58 berkaitan amanah yang mesti diserahkan kepada ahlinya. Ayat ini diturunkan di dalam Kaabah ketika NABI SAW ingin memasuki Kaabah pada Hari Pembukaan Kota Mekah. Kunci Kaabah dipegang oleh Uthman bin Talhah dari Bani Syaibah. Dan NABI SAW meminta kunci daripada beliau, lantas ALLAH S.W.T menurunkan ayat ini supaya diserahkan kembali kunci Kaabah kepada beliau. Sehingga ke hari ini. Kunci Kaabah dipegang oleh Bani Syaibah. 6. ALLAH SWT mengajar kita agar sentiasa kembali kepada ALLAH S.W.T dan RASULULLAH S.A.W dalam apa jua perselisihan yang berlaku dalam kalangan kita (Ayat 59) manakala pada ayat 69 dikisahkan tentang kelebihan orang yang mentaati ALLAH S.W.T dan RASUL-NYA akan ditempatkan di Akhirat nanti bersama para Nabi, orang yang benar, para syuhada dan orang soleh, yang mana tempatnya adalah yang tertinggi di Alam Barzakh (Rafiqul A’la). Dan ayat 69 merupakan ayat yang terakhir dibaca oleh NABI SAW sebelum baginda wafat. 7. Ayat 74-78 adalah berkenaan dengan jihad dan kenapa perlu berjihad. ALLAH SWT menegur segelintir kaum muslimin di dalam ayat 77 kerana mereka dahulunya bersungguh melawan kafir ketika ditindas di Mekah, tetapi menjadi pengecut selepas berada di zon selesa di Madinah. 8. ALLAH SWT mengajar cara yang sebaiknya untuk menjawab salam dan membalas penghormatan yang diberikan kepada kita (Ayat 86). Sama ada kita membalas dengan cara yang lebih baik atau yang setara dengannya.
9. Ayat 95-96 menceritakan perbezaan di antara orang mukmin yang keluar berjihad dan yang tidak keluar berjihad tanpa keuzuran yang dibenarkan (keuzuran ini ditujukan pada orang seperti Abdullah Bin Ummi Maktum, yang buta matanya). 10. Ayat 97-100 mengisahkan berkenaan hijrah, menceritakan tentang segelintir Umat ISLAM di Mekah yang tidak mahu keluar berhijrah walaupun mereka mampu, dan akhirnya mereka mati terbunuh kerana dipaksa untuk berada di pihak musyrikin di dalam Perang Badar. Kelak mereka akan dihumban ke neraka. 11. Dalam juzuk ini diceritakan berkenaan solat Qasar yang asalnya dibenarkan ketika perang (Ayat 101) dan Solat Khouf (Solat ketika berasa takut dan gentar) yang dibuat secara berjemaah ketika perang (Ayat 102). Berdasarkan ayat ini, para ulama’ meletakkan kewajipan solat berjemaah ketika aman. 12. Terdapat 3 bisikan yang dibenarkan di dalam ISLAM kerana secara umumnya bisikan itu negatif (Ayat 114) manakala diceritakan juga berkenaan peranan syaitan dan bentuk godaannya seperti menghasut manusia untuk mengubah ciptaan ALLAH S.W.T (Ayat 116-121). 13. Ayat 128 menceritakan tentang nusyuz si suami ketika mana dilihat seorang suami itu semakin tidak menyukai isterinya, si isteri dibolehkan meminta untuk mengurangkan haknya di dalam rumahtangga seperti gilirannya dilepaskan (bagi yang berpoligami) dan sebagainya. 14. Ayat 129 pula memberitahu tentang sukarnya seorang suami untuk berlaku adil apabila berpoligami kerana ianya di luar kawalan manusia. Adil di sini merujuk kepada hati & perasaan, bukan fizikal kerana secara fizikalnya, suami wajib berlaku adil. 15. Akhir sekali, diceritakan tentang celaan ALLAH SWT kepada orang munafiq. Kerana Munafiq juga cuba untuk menipu ALLAH S.W.T dan ALLAH S.W.T akan membalas tipu daya mereka di Akhirat kelak (Ayat 137-147).
JUZUK 6 1. Juzuk ini mengandungi bahagian hujung Surah An-Nisa’ dan sebahagian besar Surah Al-Maidah. 2. Pada ayat pertama Juzuk ini, ALLAH SWT tidak menyukai apabila kita bercerita mengenai orang lain secara terang-terangan melainkan apabila kita dizalimi untuk mendapatkan keadilan (Ayat 148). 3. Pada ayat terakhir Surah An-Nisa’ dibincangkan berkenaan Hukum Faraidh bagi AlKalalah (iaitu Faraidh bagi orang yang tiada ibu bapa dan anak-anak), jadi ke mana hartanya akan pergi (Ayat 176). 4. Dinamakan Surah Al-Maidah yang bermaksud Hidangan Makanan kerana ini adalah mukjizat yang diberikan oleh ALLAH SWT kepada Nabi Isa A.S. Hidangan diturunkan dari langit untuk Bani Israil selepas mereka memintanya dari Baginda. 5. Khalifah Umar Al-Khattab ada mengatakan, ‘Ajarkanlah lelaki di kalanganmu Surah Al-Maidah dan perempuan di kalanganmu Surah An-Nur’. Ini kerana terdapat banyak hukum yang relevan dengan orang lelaki di dalam Surah Al-Maidah seperti menyempurnakan sumpah dengan berjanji, tidak menganiaya orang lain dan sebagainya (Ayat 1-2). 6. Ayat 3 menjadi kebanggaan kita sebagai umat ISLAM. Di awal ayat disebut tentang makanan haram bagi umat ISLAM manakala di bahagian akhir ayat ini adalah berkenaan penyempurnaan pensyariatan agama ISLAM. Ayat ini diturunkan ketika NABI SAW berada di Padang Arafah tahun ke 10 Hijri. Dengan turunnya ayat ini, maka ISLAM telah sempurna. Tidak boleh dikurangkan atau ditokok tambah isi kandungannya. 7. Ayat 8 Surah Al-Maidah seiring dengan Ayat 135 Surah An-Nisa’ yang mana ALLAH SWT mengajar kita supaya berlaku adil dan jangan disebabkan kebencian kita kepada sesuatu pihak menyebabkan kita tidak berlaku adil. 8. Kisah berkaitan Bani Israil dan Nabi Musa A.S. banyak diceritakan pada ayat 12-26. Contohnya kisah Nabi Musa A.S. melantik 12 orang dalam kalangan mereka sebagai Naqib bagi memudahkan urusan Baginda (Ayat 12). 9. Kisah sedih Nabi Musa A.S. diceritakan pada ayat 20-26 ketika mana Baginda mengarahkan Bani Israil memasuki Palestin, tetapi 10 kaum dalam kalangan mereka mengingkarinya. Bukan itu sahaja, bahkan mereka bersikap biadap terhadap Baginda dengan melemparkan kata-kata penghinaan (Ayat 24).
10. Kisah pembunuhan pertama dalam sejarah manusia (Ayat 27-31) iaitu melibatkan 2 anak Nabi Adam A.S. Pada ayat ini tidak disebutkan nama anak Baginda. 11. ALLAH SWT menggalakkan kita bertawasul (menggunakan sesuatu sebagai perantara) dengan amal ibadat kita yang baik (Ayat 35). 12. Ayat 41-50 diceritakan berkenaan Bani Israil, bagaimana mereka diberikan Kitab Taurat. Dan padanya diulang sebanyak 3 kali dengan 3 akibat bagi sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum ALLAH SWT. Akibatnya adalah termasuk dalam golongan yang kafir (Ayat 44), golongan zalim (Ayat 45) dan golongan yang fasiq (Ayat 47). 13. ALLAH SWT menceritakan berkenaan dengan segolongan umat ISLAM yang murtad, dan akan digantikan oleh ALLAH SWT dengan kumpulan lain yang mempunyai 6 kriteria (Ayat 54). 14. ALLAH SWT mengarahkan NABI SAW menyampaikan ISLAM dan Baginda tidak boleh menyembunyikannya (Ayat 67). 15. Ayat 72-81 adalah berkenaan celaan ALLAH SWT kepada Ahli Kitab terutamanya Nasrani. Contohnya Bani Israil dicela oleh Nabi Isa A.S. dan Nabi Daud A.S. kerana mereka tidak mencegah perkara mungkar yang berlaku dalam kalangan mereka.
JUZUK 7 1. Juzuk ini mengandungi bahagian hujung Surah Al-Maidah dan sebahagian besarnya adalah Surah Al-An’am. 2. ALLAH SWT menceritakan tentang perbezaan Nasrani, Yahudi dan Musyrikin di awal Juzuk ini (Ayat 82-85) yang mana Yahudi dan Musyrikin sangat kuat permusuhannya dengan umat ISLAM manakala Nasrani lebih erat hubungannya. Antara sebab turunnya ayat ini adalah ketika mana para pendeta dan An-Najasyi mendengar ayat Quran yang dibacakan oleh Ja’far bin Abi Talib lalu mereka menangis terharu kerana dapat merasakan kebenaran pada ayat Al-Quran. 3. Ayat 87-88 adalah teguran kepada umat ISLAM supaya tidak mengharamkan apa yang dihalalkan oleh ALLAH SWT. Kisah di sebalik ayat ini adalah berkenaan 3 orang sahabat yang ingin melakukan sesuatu yang di luar normal manusia iaitu tidak berkahwin, tidak tidur dan berpuasa tanpa berbuka. 4. Kaffarah (denda) bagi orang yang melanggar sumpah disebut di dalam ayat 89 manakala ayat 90-91 adalah merupakan fasa akhir yang mengharamkan arak dan judi secara mutlak. Disebut juga bahawa syaitan sangat menyukai perkara yang ALLAH S.W.T haramkan berdasarkan ayat ini. 5. Mukjizat Nabi Isa A.S. diceritakan di dalam ayat 110-120 surah Al-Maidah. Di sini juga terdapat kisah golongan Hawariyyun meminta Nabi Isa A.S. berdoa agar diturunkan makanan daripada langit lalu doa tersebut dimakbulkan. 6. Dinamakan Surah Al-An’am (Binatang Ternak) kerana di dalam surah ini diceritakan mengenai 4 jenis binatang ternak dan zakat berkaitan dengannya. Dikatakan surah yang mempunyai 165 ayat ini diturunkan sekaligus kepada NABI SAW di Mekah. 7. Ayat 19 menceritakan tentang persaksian yang paling besar iaitu persaksian ALLAH SWT terhadap kebenaran RASULULLAH SAW manakala di dalam ayat 20 diceritakan bahawa ahli kitab mengenali Baginda melalui kitab mereka melebihi mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. 8. Ayat 27-30 adalah kisah Akhirat mengenai ahli Neraka yang meminta agar mereka dikembalikan ke dunia dan sudah pasti ianya ditolak oleh ALLAH SWT kerana tempoh mereka telah pun tamat. Ini juga boleh dijadikan dalil bahawa roh manusia tidak boleh kembali ke dunia pada bila-bila masa sekalipun samada bulan Ramadhan, malam Jumaat dan sebagainya.
9. Apa yang menarik, ayat 38 berkaitan dengan ilmu zoologi (Alam Haiwan) di mana para haiwan turut mempunyai kelompok-kelompok struktur sosial, kehidupan, bahasa dan budaya seperti manusia tetapi dicipta bersesuaian dengan alam haiwan. Bahkan kesemua haiwan juga akan dibangkitkan di Mahsyar nanti untuk mendapatkan keadilan, cumanya tiada pengakhiran samada di Syurga ataupun Neraka kerana di akhirnya mereka akan menjadi tanah. 10. Di dalam surah ini juga dibincangkan berkenaan larangan meminggirkan orang miskin (Ayat 52-54). Kisah di sebalik ayat ini adalah ketika mana musyrikin Mekah meletakkan syarat kepada RASULULLAH SAW, untuk mereka beriman, Baginda mestilah meminggirkan para sahabat yang miskin kerana mereka tidak tahan dengan situasi para sahabat yang miskin. 11. Ayat 59 menceritakan tentang ilmu pengetahuan ALLAH SWT yang sangat luar biasa. Hanya DIA yang memegang kunci kepada 5 perkara ghaib yang disebut di akhir Surah Luqman. Betapa hebatnya ilmu ALLAH SWT apabila diumpamakan tiada sehelai daun yang gugur di bumi melainkan kesemuanya di dalam pengetahuan-NYA. 12. Larangan untuk bersama dengan mereka yang mempersendakan Al-Quran dibincangkan di dalam ayat 68. 13. Kisah dakwah Nabi Ibrahim A.S. juga diceritakan di dalam surah ini (Ayat 74-87) seperti bagaimana Baginda berdakwah kepada ayah sendiri dan kepada kaum Baginda yang menyembah bulan, bintang dan matahari. Antara keistimewaan Nabi Ibrahim A.S. adalah mempunyai keturunan yang terdiri dari para Anbiya’ (Ayat 84-87). 14. ALLAH SWT mencela orang-orang seperti Musailamah Al-Kazzab yang berdusta di atas nama ALLAH dan NABI (Ayat 93). Ini termasuk mereka yang suka menyebarkan sesuatu di atas nama ALLAH dan RASULNYA tanpa disemak kesahihannya terlebih dahulu. 15. ALLAH SWT juga melarang kita menimbulkan provokasi agama (Ayat 108) kerana mereka yang diprovok akan bertindak balas dan mencela ALLAH SWT sedangkan mereka tidak mengenali siapakah ALLAH SWT. Kita sebagai umat ISLAM perlulah berdakwah secara tenang dan ilmiah.
JUZUK 8 1. Di dalam ayat 112 Surah Al-An'am, ALLAH SWT menceritakan tentang musuh para Nabi terdiri daripada Syaitan Manusia & Jin. Mereka bersatu untuk menipu dengan cara halus iaitu membisikkan kata-kata yang indah dengan tujuan menipu dan menghasut untuk melakukan perkara terlarang. 2. ALLAH SWT memberitahu bahawa memakan binatang sembelihan yang disembelih secara sah adalah sebahagian daripada iman (Ayat 118-120). 3. Pada ayat 122, ALLAH SWT menceritakan berkenaan 2 keadaan manusia iaitu orang yang mati jiwanya kemudian dihidupkan dengan ISLAM dan orang yang berkekalan dalam kesesatan. Para ulama’ tafsir mengatakan bahawa ayat ini mengisahkan tentang Khalifah Umar Al-Khattab R.A. Di dalam ayat 125 pula ALLAH SWT menceritakan tentang 2 keadaan lain iaitu orang yang dilapangkan dada untuk menerima ISLAM dan orang yang sempit dadanya serta menolak ISLAM. Menariknya, teori Altitude bertepatan dengan ayat ini. 4. ALLAH SWT mengatakan bahawa manusia diutuskan Rasul dalam kalangan mereka untuk memberikan peringatan. Sementelah itu, dalam kalangan jin terdapat pendakwah yang melakukan kerja amar makruf nahi mungkar (Ayat 130). Perincian kisah ini boleh didapati di dalam Surah Al-Ahqaf dan Surah Al-Jin. 5. Ayat 138-140 menceritakan tentang amalan rekaan yang ditambah dan diada-adakan oleh masyarakat Arab Jahiliah manakala ALLAH SWT menceritakan tentang makanan yang haram dimakan oleh umat ISLAM (Ayat 145) dan Ahli Kitab, khusus kepada orang Yahudi (Ayat 146). 6. ALLAH SWT menyatakan tentang 5 suruhan dan 5 larangan di dalam ayat 151-152 dan para ulama’ tafsir berpandangan inilah Ten Commitments yang dinyatakan di dalam Kitab Taurat. 7. Ayat 160 memberitahu berkenaan satu kebajikan yang dibalas dengan 10 kali ganda pahala, manakala pengisytiharan tauhid terdapat pada ayat 162-163. Inilah yang kita selalu baca di dalam Doa Iftitah pada setiap rakaat pertama Solat Fardhu. 8. Al-A’raf bermaksud Tempat Yang Tertinggi yang mana ALLAH SWT meletakkan sementara orang beriman yang mempunyai timbangan amal baik dan buruk yang sama berat. Kemudian takdir mereka akan ditentukan oleh ALLAH selepas itu. 9. Kisah Nabi Adam A.S. ditipu oleh syaitan diceritakan di dalam permulaan surah ini (Ayat 11-25). ALLAH SWT mengajar doa yang dibaca oleh Nabi Adam A.S. dan Hawwa’ setelah mereka melakukan kesilapan (Ayat 23).
10. ALLAH SWT memuliakan kita dengan 3 bentuk pakaian yang mana kita perlulah memenuhi ketiga-tiganya (Ayat 26). Pakaian pertama adalah pakaian yang menutup aurat. Kedua, adalah tidak salah memakai pakaian yang cantik asalkan berpada-pada dan ketiganya adalah yang paling penting dan paling baik, iaitu pakaian Taqwa (Akhlaq). 11. ALLAH SWT memberi peringatan agar kita tidak tertipu dengan hasutan syaitan dan iblis lagi dan DIA memberitahu bahawa syaitan dan kaumnya boleh melihat manusia manakala manusia tidak boleh melihat mereka (Ayat 27). Ini adalah dalil yang jelas bahawa manusia yang sihat tidak akan mampu melihat jin dan syaitan dalam rupa yang zahir manakala jika ada seseorang mendakwa boleh melihat makhluq ini, terdapat 3 andaian padanya; i) Dia mengalami gangguan jin, ii) Dia mengalami sakit yang memerlukan rawatan dan, iii) Dia berbohong. Maka rujuklah Al-Quran dan Sunnah. 12. Ayat 31 adalah pesanan ALLAH SWT supaya kita tidak berlebihan dalam makanan dan minuman kita manakala ayat 38-39 menceritakan tentang pergaduhan di dalam Neraka di antara para pengikut dan ketua mereka. 13. ALLAH SWT memberikan perumpamaan kepada orang yang berdusta dan sombong dengan ayat-ayat ALLAH SWT yang mana pintu langit tidak akan dibuka untuk amal kebaikan mereka dan mereka tidak akan dimasukkan ke dalam Syurga sehinggalah unta dapat memasuki jarum, yang mana ianya adalah mustahil untuk berlaku (Ayat 40). 14. Ayat 43 menceritakan tentang dendam sesama ahli Syurga yang dicabut dan betapa bersyukurnya mereka diberikan hidayah oleh ALLAH SWT manakala pada ayat 44-50 menceritakan berkenaan dialog di antara ahli Syurga dan ahli Neraka. Ia juga menceritakan tentang dialog penghuni Al-A’raf yang dapat melihat nikmat Syurga dan balasan neraka lalu timbul di hati mereka perasaan rindu untuk ke Syurga dan takut dihumban ke Neraka. 15. Bermula ayat 59 sehingga ke akhir Juzuk, diceritakan berkenaan kisah-kisah Nabi A.S. bersama dengan kaum mereka.
JUZUK 9 1. Sebahagian besar Juzuk ini adalah Surah Al-A’raf manakala bahagian kedua adalah permulaan Surah Al-Anfal (Harta Rampasan Perang). 2. Kisah para Nabi A.S. diceritakan di permulaan Juzuk ini (Ayat 88-169) dan sebahagian besarnya adalah kisah Nabi Musa A.S. Apa yang menarik, ALLAH SWT mengatakan bahawa jika penduduk di sesuatu negeri beriman dengan ALLAH SWT, nescaya akan dibuka pada negeri tersebut rezeki yang melimpah-ruah dan keberkatan pada langit serta buminya (Ayat 96). Jadi bagi memastikan kita mempunyai ekonomi yang kuat, pertamanya adalah menjaga hubungan dengan Sang Pencipta. 3. Pada ayat 138-145 diceritakan berkenaan kisah Bani Israil. Kisah ini berlaku selepas mereka selamat menyeberangi lautan dan Firaun. Lalu mereka menemui satu kaum yang sedang menyembah berhala. Jadi Bani Israil menampakkan kedegilan mereka apabila meminta Nabi Musa A.S. mencipta satu tuhan seperti kaum tersebut. Ternyata permintaan ini telah menimbulkan kemarahan Baginda. 4. Nabi Musa A.S. dipanggil oleh ALLAH SWT untuk bermunajat dan mengambil Kitab Taurat (Ayat 142-143). Pada mulanya Baginda berpuasa selama 30 malam, kemudian ditambah lagi 10 malam. Ketika bermunajat dan berdialog dengan ALLAH SWT, Nabi Musa A.S. memohon untuk melihat ALLAH SWT, lalu ALLAH SWT menjawab kamu tidak akan mampu melihat-KU ketika di dunia. ALLAH SWT menunjukkan kebesaranNYA pada gunung yang berdekatan dengan Bukit Tursina, tempat Baginda bermunajat, lalu gunung tersebut hancur berkecai kerana gentarkan kekuasaan ALLAH SWT. Setelah itu, Nabi Musa A.S. pengsan. 5. Sepeninggalan Nabi Musa A.S. untuk bermunajat, Bani Israil telah menyembah berhala, iaitu patung anak lembu. Apabila Baginda mengetahui akan hal ini, lantas Baginda turun dengan perasaan yang marah dan mengambil tindakan ke atas mereka. Perincian kisah ini akan diulas pada Juzuk 16 nanti. 6. Pada ayat 160, diceritakan bahawa Bani Israil berpecah kepada 12 kumpulan. Diceritakan juga kisah berkenaan penduduk di sebuah perkampungan nelayan yang melanggar arahan ALLAH SWT untuk beribadat pada hari Sabtu (Ayat 163-166). Lalu mereka disumpah bertukar menjadi kera. 7. Ayat 172 Surah Al-A’raf adalah merupakan perjanjian awal kita dengan ALLAH SWT yang mana kesemua anak Adam A.S. pernah dikumpulkan di Alam Roh dan bersaksi bahawa ALLAH adalah satu-satunya TUHAN. Ayat ini selari dengan Hadis NABI SAW yang mengatakan setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah (ISLAM).
8. ALLAH SWT menyuruh kita berdoa dengan nama-namaNYA (Ayat 180). Kita boleh bertawasul dan menggunakan nama ALLAH sebagai perantaraan untuk memohon hajat pada-NYA manakala ALLAH SWT menyuruh NABI SAW bertegas mengatakan bahawa Baginda tidak mengetahui apa pun berkaitan Alam Ghaib (Ayat 188). Hanya ALLAH SWT yang tahu berkenaan Alam Ghaib dan DIA akan mendedahkannya hanya kepada Malaikat dan para Nabi untuk tujuan tertentu melalui wahyu. Justeru itu, tiada manusia yang boleh mengetahuinya. 9. Ayat 204 menceritakan tentang adab kita dengan Al-Quran. Apabila mendengar AlQuran dibacakan, kita diajar supaya dengar dengan penuh perhatian dan senyap. Kesilapan yang sering berlaku dalam masyarakat adalah bilamana Al-Quran di pasang di restoran dan premis perniagaan untuk tujuan tarikan. Ini bercanggah dengan Adab dengan Al-Quran yang diajar di dalam ayat ini. 10. Keseluruhan Surah Al-Anfal di dalam Juzuk ini menceritakan tentang Perang Badar. Menariknya, ALLAH SWT seolah-olah ‘memakbulkan’ doa Abu Jahal (Ayat 19). Sebelum keluar berperang, beliau berdoa di hadapan Kaabah supaya ALLAH SWT memenangkan pihak yang benar. Ternyata, RASULULLAH SAW dan tentera ISLAM yang mencapai kemenangan. 11. Ayat 24 adalah berkaitan panggilan untuk orang beriman untuk menyahut seruan ALLAH SWT dan Rasul-NYA, bila mana keduanya memanggil ke arah sesuatu yang menghidupkan. Ayat ini menjadi moto utama kepada penulisan kitab Tafsir Al-Munir karangan Profesor Wahbah Zuhaili. 12. Tambahan kepada ayat ini, ALLAH SWT yang membatasi dan merupakan pemilik hati manusia biarpun ianya berada di dalam tubuh badan manusia. 13. Ayat 32-33 menceritakan kebiadaban musyrikin Mekah yang mendoakan supaya RASULULLAH SAW ditimpakan bala jika Baginda membawa kebenaran. Lantas ALLAH SWT menjawab, bala tidak akan diturunkan di sesuatu tempat jika padanya terdapat salah satu dari 2 perkara; i) Padanya ada RASULULLAH SAW, ii) Terdapat orang yang sentiasa beristighfar memohon keampunan ALLAH.
JUZUK 10 1. Juzuk ini mengandungi bahagian akhir Surah Al-Anfal dan sebahagian besarnya adalah Surah At-Taubah. 2. Ayat 41 adalah kisah mengenai ghanimah dan khumus. Khumus adalah 1/5 harta rampasan perang yang dikhususkan untuk RASULULLAH SAW. Di dalam ayat ini juga terdapat kisah Al-Quran diturunkan ketika berlakunya Perang Badar, iaitu bersamaan 17 Ramadhan. Walaupun begitu, terdapat juga beberapa pandangan lain berkaitan hal ini. Pada ayat 42-43 pula diceritakan berkenaan mimpi RASULULLAH SAW pada malam sebelum berlakunya Perang Badar. 3. Ayat 47-48 adalah berkenaan hasutan iblis kepada orang Mekah. Iblis menjelma dalam bentuk seorang lelaki bernama Suraqah bin Malik, yang turut bersama membakar semangat musyrikin Mekah untuk melawan Baginda SAW. Namun, ketika Perang Badar berlaku, iblis melarikan diri. Ramai ulama’ menjadikan ayat ini sebagai dalil bahawa jin, syaitan dan iblis boleh menjelma di dalam bentuk manusia jika diizinkan ALLAH SWT. 4. ALLAH SWT menyuruh kita supaya sentiasa mempunyai persiapan ketenteraan yang baik dan mengikut kemampuan kita (Ayat 60). Ayat ini sangat relevan dengan kekuatan ketenteraan dari dulu sehingga sekarang. Di dalam ayat 67-69 adalah teguran ALLAH SWT kepada RASULULLAH SAW disebabkan Baginda SAW bersikap lemah lembut terhadap musuh dan menerima cadangan Abu Bakar As-Siddiq R.A. supaya tawanan Perang Badar diambil sebagai tebusan, sedangkan Umar Al-Khattab mencadangkan supaya kesemua tawanan tersebut dibunuh. 5. Dinamakan sebagai Surah At-Taubah kerana ALLAH SWT menerima taubat sekumpulan sahabat NABI SAW yang tidak menghadirkan diri di dalam Perang Tabuk. Terdapat 2 isu besar yang dibincangkan di dalam surah ini iaitu, i) pekung orang munafiq yang dibuka oleh ALLAH SWT satu persatu dan, ii) kisah berkenaan Perang Tabuk yang berlaku pada 9 Hijri. 6. Perang Tabuk berlaku ketika mana NABI SAW mengerahkan umat ISLAM sekitar Madinah untuk pergi ke sempadan Tabuk kerana Baginda SAW mendapat berita bahawa Tentera Rom ingin menyerang Kota Madinah. Peperangan ini sangat mencabar kerana ia berlaku pada musim panas dan ramai orang ISLAM yang berkemampuan cuba memberi alasan untuk tidak hadir, terutamanya golongan munafiq.
7. Sekembalinya RASULULLAH SAW dari Tabuk, Baginda SAW berhasrat untuk menunaikan Haji tetapi terhalang. Tujuannya adalah kerana masih ramai masyarakat Arab Jahiliah menunaikan Haji selepas Pembukaan Kota Mekah pada tahun ke-8 Hijri. Lalu Baginda SAW menghantar satu rombongan Haji diketuai oleh Abu Bakar As-Siddiq untuk membacakan Surah At-Taubah kepada orang Arab Jahiliah dan melarang mereka yang masih belum memeluk ISLAM untuk memasuki Masjidil Haram. 8. Haji Akbar (Besar) diceritakan di dalam ayat ke-3. Terdapat banyak pandangan berkenaan hal ini. Pendapat yang paling tepat adalah Haji Akbar adalah Haji manakala Haji Asghar (Kecil) adalah Umrah. Ada juga pendapat yang mengatakan dinamakan Haji Akbar kerana rombongan Haji yang dihantar oleh NABI SAW dipimpin oleh sahabat yang agung. Adapun pandangan bahawa Haji Akbar adalah Haji yang Hari Wuqufnya jatuh pada Hari Jumaat adalah pandangan yang paling lemah. 9. Ayat 18 menceritakan tentang orang beriman adalah orang selayaknya mengimarahkan masjid manakala ayat 23-24 ALLAH SWT melarang kita mengambil saudara-mara yang jelas menentang ISLAM sebagai teman dan sekutu. Di dalam ayat 25-26 pula adalah berkenaan kisah Perang Hunain di mana umat ISLAM terpedaya dengan jumlah mereka yang besar, lalu mereka telah diserang hendap. 10. Menariknya, kisah Hijrah RASULULLAH SAW ketika bersembunyi di Gua Tsur diceritakan di dalam ayat 40 surah ini. Di dalam ayat ini lah terdapatnya kata-kata yang hebat, “Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya ALLAH bersama kita”. Ayat 46-47 adalah kisah berkenaan orang munafiq yang berdolak dalih dan merasa berat hati untuk bersama NABI SAW menyertai Perang Tabuk manakala ayat 60 menyebut secara khusus berkenaan 8 golongan asnaf yang layak menerima zakat, dan ianya adalah ketetapan yang ditentukan oleh ALLAH SWT. 11. Ayat 75-77 adalah berkenaan orang munafiq yang mungkir janji seperti berjanji akan bersedekah jika diberikan harta yang banyak. Malangnya, dalam kebanyakan tafsir dimasukkan kisah Sa’labah yang dikatakan menjadi Munafiq selepas diberikan kekayaan. Kisah ini adalah kisah yang tidak benar sama sekali. Ianya sangat bercanggah dengan fakta sejarah kerana Sa’labah telah syahid di medan Uhud manakala di dalam kisah tidak sahih tersebut adalah sehingga zaman Khalifah Uthman bin ‘Affan. 12. Ayat 80-93 surah ini menceritakan berkenaan orang munafiq, seperti; i) hasutan mereka terhadap umat ISLAM supaya tidak keluar ke Perang Badar (Ayat 81) dan, ii) kisah kematian Ketua Munafiq iaitu Abdullah bin Ubay. ALLAH SWT melarang Baginda SAW menunaikan Solat Jenazah di atas kematiannya (Ayat 84). ALLAH SWT juga memberi peringatan kepada kita semua agar memperbanyakkan menangis dan mengurangkan ketawa kerana banyak ketawa boleh mematikan hati (Ayat 82).
13. ALLAH SWT menceritakan tentang kualiti para sahabat (Ayat 91-92) yang mana mereka tidak dapat menyertai RASULULLAH SAW di dalam Perang Tabuk kerana kemiskinan mereka, lalu mereka menangis teresak-esak. Mereka (dikatakan 7 orang) digelar sebagai Al-Bakka’ kerana menangis tidak dapat menyumbang untuk ISLAM. Namun mereka dipuji oleh ALLAH SWT di dalam ayat ini.
JUZUK 11 1. Juzuk ini mengandungi bahagian akhir Surah At-Taubah, keseluruhan Surah Yunus dan awal Surah Hud. Ayat 107-110 Surah AT-Taubah adalah berkaitan peristiwa Masjid Dhirar yang mana ianya dibina oleh orang munafiq untuk tujuan memecah-belahkan umat ISLAM. Mereka meminta NABI SAW solat di sana sebagai upacara perasmian, lalu ALLAH SWT memberitahu Baginda SAW bahawa masjid itu asasnya adalah munafiq. Kemudian NABI SAW mengarahkan para sahabat untuk membakar masjid tersebut. 2. ALLAH SWT melarang orang beriman untuk mendoakan pengampunan bagi mereka yang telah mati dalam keadaan kafir (Ayat 113-114). Dikatakan ayat 113 diturunkan untuk menegur NABI SAW yang mendoakan ayah saudara Baginda SAW, Abu Talib yang mati dalam keadaan kafir. 3. Di akhir surah ini disebut mengenai kisah penerimaan taubat segolongan sahabat NABI SAW yang gagal menyertai Perang Tabuk. Peperangan ini sangat menguji minda dan fizikal yang mana Baginda SAW telah mengerahkan para sahabat dan penduduk Madinah untuk keluar berjalan kaki sejauh 960 km ke sempadan Tabuk untuk menghalang kemaraan tentera Rom. Di dalam kesibukan ini, terdapat sekumpulan sahabat yang terlepas dari menyertai peperangan walaupun mereka berkemampuan. Lalu mereka bertaubat dan ALLAH SWT menerima taubat mereka (Ayat 117-118). 4. Dinamakan Surah Yunus kerana di akhir surah ini diceritakan berkenaan kisah Nabi Yunus A.S. Ayat 57-58 menerangkan tentang intipati utama penurunan Al-Quran. ALLAH SWT menggunakan frasa wahai manusia di awal ayat ini bagi merujuk kepada keseluruhan manusia tanpa mengira agama. Tiga tujuan Al-Quran diturunkan adalah sebagai peringatan dari Tuhan, ubat kepada hati dan menjadi petunjuk serta rahmat bagi orang beriman. 5. Ayat 62-63 menceritakan tentang wali ALLAH SWT. Berdasarkan ayat ini, sesiapa sahaja boleh menjadi Wali ALLAH SWT, asalkan memenuhi 2 karakter, iaitu i) orang yang beriman dan, ii) sentiasa bertaqwa. Janganlah kita menyempitkan makna wali itu hanya kepada orang yang diberikan karamah dan kelebihan luar biasa oleh ALLAH SWT.
6. ALLAH SWT merakamkan doa Nabi Musa A.S. agar dihancurkan firaun dan sekutunya (Ayat 88). Doa tersebut dimakbulkan ALLAH SWT (Ayat 90). Di dalam ayat ini juga diceritakan bagaimana Firaun telah bertaubat sebanyak 3 kali apabila ditimpakan azab kepadanya (ditenggelamkan air di tengah lautan), namun ALLAH SWT tidak menerima taubat tersebut kerana ketika itu Firaun baru hendak bertaubat sedangkan sebelumnya dia adalah orang yang membuat kerosakan (Ayat 91) manakala ayat 92 pula ALLAH SWT menceritakan bagaimana jasad Firaun diselamatkan-NYA sebagai pengajaran kepada kita semua. Sehingga ke hari ni jasad tersebut masih disimpan di sebuah muzium di Mesir. Allahu a’lam.
JUZUK 12 1. Juzuk ini mengandungi keseluruhan Surah Hud dan bahagian awal Surah Yusuf. Dinamakan sebagai Surah Hud kerana di dalamnya terdapat banyak kisah para Nabi A.S. termasuk kisah Nabi Hud A.S. 2. Pada ayat 13, ALLAH SWT mencabar para penentang RASULULLAH SAW untuk mencipta 10 surah yang setaraf dengan surah di dalam AL-Quran. Pada mulanya ALLAH SWT mencabar mereka mencipta satu Al-Quran (Ayat 88 Surah Al-Isra’) dan mereka gagal. 3. Lalu ALLAH SWT menurunkan tahap cabaran menjadi 10 surah seperti di dalam ayat ini, tetapi mereka tetap gagal. Kemudian ALLAH menurunkan cabaran agar mereka mencipta hanya satu surah (Surah Al-Baqarah & Yunus), tetapi mereka masih gagal. Ini adalah bukti bahawa Al-Quran benar-benar datang dari ALLAH SWT, bukan rekaan NABI SAW. 4. Kisah Nabi Nuh A.S. dirakam di dalam surah ini (Ayat 25-49). Nabi Nuh A.S. menyatakan bahawa Baginda tidak memiliki kekayaan ALLAH SWT dan tidak mengetahui perkara ghaib (Ayat 31). Ini adalah petunjuk mudah bagi kita, para Nabi pun tidak mengetahui kisah ghaib, apatah lagi kita. Manakala ayat 41-43 mengisahkan bagaimana Nabi Nuh A.S. mula naik ke atas bahtera dan anak Baginda enggan mengikutinya, lalu mati lemas. 5. Ayat 50-60 adalah berkenaan Kisah Nabi Hud A.S. Diceritakan juga berkenaan kepentingan istighfar dan taubat di mana ianya boleh membuka pintu langit, hujan dan memurahkan rezeki (Ayat 52). 6. Kisah Nabi Soleh A.S. diceritakan di dalam ayat 61-68 manakala ayat 69-76 adalah kisah Nabi Ibrahim A.S. yang didatangi sekumpulan malaikat yang membawa 2 berita gembira iaitu; i) Nabi Ibrahim A.S. akan dikurniakan anak bernama Ishak, ii) Malaikat akan berjumpa dengan Nabi Lut A.S. dan mengarahkan Baginda A.S. untuk keluar dari Negeri Sadom kerana penduduk di situ akan dimusnahkan ALLAH SWT kerana mengamalkan seks songsang. 7. Ayat 84-95 menceritakan kisah Nabi Syuaib A.S. dan kaumnya yang suka menipu di dalam urusan perniagaan manakala kisah Nabi Musa A.S. dan firaun diceritakan pada ayat 96-99. 8. Penurunan ayat 112 Surah Hud telah menyebabkan RASULULLAH SAW beruban rambutnya kerana beratnya suruhan ALLAH SWT pada ayat tersebut iaitu untuk terus ISTIQAMAH di dalam suruhan ALLAH SWT dan tidak melampau.
9. Ayat 118-119 menceritakan bagaimana manusia dicipta mempunyai perbezaan pendapat. Ayat inilah menjadi asas di dalam perbincangan perbezaan mazhab. Ianya adalah fitrah manusia. 10. Surah Yusuf secara ringkasnya menceritakan bagaimana Nabi Yusuf A.S. diuji dengan hasad dengki 10 saudara Baginda, kemudian dibuang di dalam perigi dan dijual di Mesir. Baginda A.S. juga digoda oleh isteri Al-Aziz (Pembesar) yang akhirnya menyebabkan Baginda dimasukkan ke dalam penjara. 11. Pengajaran pertama dari kisah Nabi Yusuf A.S. yang digoda oleh isteri Al-Aziz, Baginda diberi 2 pilihan samada dimasukkan ke dalam penjara atau melakukan perkara tak baik bersama perempuan tersebut. Sudah tentu Baginda memilih untuk dimasukkan ke dalam penjara. 12. Ayat ini difahami oleh para ulama’, bahawa musibah terdiri daripada 2 jenis,i) Musibah dunia (mendapat kesusahan seperti dipenjarakan), ii) Musibah agama (agama kita rosak kerana melanggar perintah ALLAH SWT). Di dalam kisah ini, Nabi Yusuf A.S. memilih untuk menjaga agamanya walaupun ditimpa musibah dunia. 13. Pengajaran kedua adalah kisah Nabi Yusuf A.S. bersama dua orang teman sepenjara yang mana Baginda menafsirkan mimpi salah seorang dari keduanya akan dibebaskan. Nabi Yusuf A.S. meminta agar beliau menceritakan kisah Baginda yang dianiaya kepada Raja supaya Baginda dibebaskan. 14. Setelah dibebaskan, kawan tersebut dilupakan ALLAH SWT untuk menceritakan perihal tersebut, lalu Baginda kekal berada di penjara selama beberapa tahun. Ulama’ menafsirkan bahawa ALLAH SWT menegur Baginda kerana bergantung kepada pertolongan manusia kerana sebelum ini ALLAH SWT yang menyelematkan Baginda dari bahaya perigi dan terjebak dengan zina dsb. 15. Pengajaran terakhir adalah berkaitan kisah tafsiran mimpi Raja oleh Nabi Yusuf A.S. untuk bercucuk tanam selama 7 tahun dan tidak diasingkan hasil tanaman dari tangkainya untuk digunakan pada 7 tahun berikutnya. Ini adalah berkaitan dengan kitaran ekonomi yang mempunyai pasang surutnya.
JUZUK 13 1. Juzuk ini mengandungi tiga surah iaitu bahagian akhir Surah Yusuf, Surah Ar-Ra’d (Guruh) dan Surah Ibrahim. 2. Juzuk 13 Surah Yusuf adalah Fasa Bahagia Nabi Yusuf A.S. yang mana Baginda dikeluarkan dari penjara dan menjadi Menteri Kewangan Mesir. ALLAH SWT mengajar kita doa yang baik untuk diamalkan (Ayat 64). Ketika kemarau berlaku, Nabi Yusuf A.S. didatangi oleh 10 saudara Baginda yang pernah membuang Baginda ke dalam perigi. Nabi Yusuf A.S. mengatur strategi dengan meletakkan syarat bahawa kedatangan mereka kali kedua mestilah dengan membawa bersama adik mereka iaitu Bunyamin. Apabila disampaikan perkara ini kepada ayah mereka iaitu Nabi Yaakub A.S., Baginda terus teringat akan nasib anaknya Nabi Yusuf, lalu Baginda menyerahkan segalanya kepada ALLAH SWT. Bahagian akhir ayat ini boleh dijadikan doa, “Maka ALLAH adalah sebaik-baik penjaga, dan DIA lah yang Pengasih antara yang pengasih”. 3. Sebelum mereka bertolak untuk bertemu dengan Menteri Kewangan Mesir dan membawa bersama Bunyamin, Nabi Yaakub A.S. meminta mereka bersumpah dan memberi pesanan supaya mereka tidak memasuki Mesir melalui satu pintu, bahkan masuklah melalui beberapa pintu (Ayat 67). Sesetengah ulama’ menafsirkan perkara ini agar anak-anak Baginda tidak terkena penyakit ‘ain (panahan mata yang jahat yang boleh menyebabkan sakit). Ini kerana kesemua saudara Nabi Yusuf memiliki rupa paras yang menarik dan sedikit berlainan dengan wajah orang Mesir. 4. Ayat 88-89 menceritakan tentang perjumpaan kali ketiga saudara-saudara Nabi Yusuf A.S. dan rayuan mereka agar menyerahkan Bunyamin yang diarahkan untuk ditinggal ketika perjumpaan kedua, lalu pada ketika inilah Baginda mendedahkan identiti Baginda iaitu adik kepada mereka semua. Mereka terkejut lantas memohon kemaafan berkaitan perbuatan mereka suatu ketika dahulu. 5. Di dalam ayat 92 pula menunjukkan bagaimana Nabi Yusuf A.S. mengajar kita agar memberi kemaafan walaupun ketika mampu membalasnya. Baginda A.S. memaafkan mereka semua di atas apa yang telah mereka lakukan. Ayat ini juga dibacakan oleh RASULULLAH SAW kepada penduduk Mekah ketika Pembukaan Kota Mekah. NABI SAW mencontohi akhlaq mulia Nabi Yusuf A.S. 6. Apabila pulang ke rumah, saudara-saudara Nabi Yusuf A.S. menceritakan kisah yang berlaku kepada ayahanda mereka dan memohon kemaafan di atas kesalahan mereka pada suatu ketika dahulu (Ayat 97). Mereka juga meminta Nabi Yaakub A.S. memohon agar ALLAH SWT mengampunkan dosa mereka. Baginda menangguhkan doa tersebut sehingga pada waktu sahur (Ayat 98). Ini antara dalil bahawa waktu Sahur adalah waktu ketuhanan di mana banyaknya rahmat ALLAH SWT pada masa ini.
7. Ayat 11 Surah Ar-Ra’d menceritakan tentang Malaikat yang menjaga manusia di depan dan belakang. Pada manusia itu terdapat 4 malaikat iaitu kanan dan kiri sebagai pencatat amalan manakala yang menjaga manusia secara berganti-ganti berada di depan dan belakang. Malaikat yang berganti ini bertukar waktu ketika 2 waktu solat iaitu Solat Subuh dan Asar. 8. Pada ayat 11 ini juga terdapat ayat yang sentiasa dibaca ketika program motivasi agar peserta program tersebut mengubah keadaan diri mereka ke arah yang lebih baik. Ini adalah tafsiran yang tidak tepat untuk ayat ini. Tafsiran sebenarnya adalah ALLAH SWT tidak akan mengubah kejayaan, kecemerlangan dan kehebatan sesuatu kaum yang berpegang teguh dengan ISLAM, sehinggalah mereka memilih ideologi selain ISLAM, lalu mereka jatuh merudum selepas meninggalkan ISLAM. Ini bermakna ayat ini menceritakan perubahan dari yang baik kepada yang buruk. 9. Contoh mudah ayat 11 ini adalah kisah Perang Uhud di mana ketika para pemanah mendengar arahan NABI SAW agar terus berada di atas bukit, mereka mencapai kemenangan. Lalu ketika mana harta ghanimah menjadi tumpuan mereka dan mengingkari arahan NABI SAW, mereka tewas di dalam perang tersebut. 10. Di dalam surah Ibrahim, ALLAH SWT menggambarkan situasi di Akhirat. Ayat 21 surah ini menceritakan tentang para pengikut yang memarahi pemimpin mereka kerana diazab di dalam Neraka. Lalu para pemimpin itu menempelak kembali pengikut mereka dengan berkata, kenapa dahulunya kalian mengikut kami? 11. Kemudian para pengikut ini berjumpa dan menyalahkan syaitan yang menyebabkan mereka dimasukkan ke Neraka (Ayat 22). Lalu syaitan membalas, ALLAH SWT dahulu telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar. Aku juga berjanji tetapi aku tidak akan tunaikan janjiku. Aku juga tidak berkuasa ke atas kalian melainkan aku hanya mengajak kalian dengan seruanku, lantas kalian mengikutiku. Jadi, jangan salahkan aku tetapi salahkan dirimu sendiri. 12. Berdasarkan ayat 22 ini, sebenarnya tipu daya hasutan syaitan adalah lemah. Jika kita tidak melawan hasutan tersebut, maka kita akan terjerumus ke dalamnya. Ayat ini juga ditafsirkan oleh ulama’ bahawa jin dan syaitan sebenarnya tidak boleh merasuk tubuh dan akal manusia. Mereka sekadar boleh membisikkan hasutan-hasutan jahat. Namun terdapat juga pendapat lain berkenaan hal ini. 13. Ayat 35-41 menceritakan kisah Nabi Ibrahim A.S. selepas pembinaan Kaabah. Baginda berdoa dengan beberapa doa. Antara mukjizat yang kekal sehingga hari ini adalah doa pada ayat 37. Doa ini dibacakan ketika Baginda diarahkan ALLAH SWT meninggalkan Hajar dan Nabi Ismail A.S. yang masih kecil di Mekah. Di dalam doa ini terdapat ayat “Jadikanlah hati SEBAHAGIAN manusia cenderung ke Mekah”. Ibnu Abbas menafsirkan ‘sebahagian’ di sini bermaksud orang ISLAM.
14. Jika tiada perkataan ini di dalam doa Baginda A.S., nescaya Mekah & Kaabah akan menjadi rebutan kesemua manusia. Dan kerana itulah umat ISLAM yang telah pergi ke Mekah akan berasa untuk ke sana lagi dek kerana makbulnya doa Nabi Ibrahim A.S. yang menjadikan hati orang ISLAM cenderung ke arah sana. Allahu a’lam
JUZUK 14 1. Juzuk ini mengandungi dua surah secara keseluruhan iaitu Surah Al-Hijr (Kawasan Berbatu tempat tinggal Nabi Soleh A.S. di utara Madinah) dan Surah An-Nahl (Lebah). 2. Ayat 9 Surah Al-Hijr adalah merupakan jaminan ALLAH SWT untuk menjaga Al-Quran. Ini merupakan bukti mukjizat dan kehebatan Al-Quran yang masih mengekalkan keasliannya walaupun sudah 1400 tahun diturunkan. Hujung ayat ini merujuk kepada para penghafaz Al-Quran serta para ulama’ yang berterusan mengkaji Al-Quran yang mana ianya adalah salah satu cara ALLAH SWT menjaganya. 3. Kedegilan kaum musyrikin Quraisy untuk menerima ISLAM diceritakan di dalam ayat 14, yang mana jika dibuka pintu langit untuk ditunjukkan kebenaran sekalipun, mereka tetap akan ingkar kepada seruan NABI SAW. Prof. Wahbah Zuhaili mengatakan kemungkinan teori black hole ada kaitan dengan ayat ini bila mana ALLAH SWT menyebut berkenaan Pintu Langit. Allahu a’lam. 4. ALLAH SWT menceritakan pelbagai nikmat yang diberikan, antaranya tentang fungsi angin pada ayat 22 yang mana disebut bahawa angin itu sebagai ejen pembawa hujan, debunga awan dan sebagainya. 5. Ayat 26-42 adalah kisah berkenaan permusuhan Iblis dengan Nabi Adam A.S., sama seperti kisah di dalam Surah Al-Baqarah. Pada ayat 51-75 pula adalah kisah berkenaan Malaikat yang datang sebagai tetamu Nabi Ibrahim A.S. yang membawa 2 misi, i) Nabi Ibrahim A.S. akan mendapat anak bernama Ishak, ii) Mengarahkan Nabi Lut A.S. meninggalkan negeri Baginda kerana ianya akan dimusnahkan akibat maksiat yang dilakukan oleh kaum Baginda. 6. ALLAH SWT menyebut perihal firasat di dalam ayat 75. Ini bermakna ilmu firasat ada disebut di dalam Al-Quran dan kisah firasat yang benar ada diceritakan di dalam Surah Al-Qasas (Juzuk 20). Selain itu, Surah Al-Hijr juga ada menceritakan tentang Surah AlFatihah (Ayat 87) manakala ALLAH SWT mengajar NABI SAW untuk menunaikan solat bagi mengatasi keresahan jiwa apabila berhadapan dengan kaum musyrikin (Ayat 97- 99). Perkataan ‘Al-Yaqin’ pada ayat 99 adalah kematian, bukan ‘keyakinan’ seperti yang difahami oleh sesetengah orang. 7. Surah An-Nahl ada menceritakan berkenaan ilham secara fitrah diberikan kepada lebah dalam mencari makanan. Surah ini juga digelar sebagai Surah An-Ni’am (Nikmat yang banyak) kerana di dalamnya banyak diceritakan tentang nikmat-nikmat NYA yang dianggap kecil, tetapi disebut secara terperinci.
8. Ayat 43 menceritakan tentang lantikan sebagai utusan ALLAH SWT kepada laki-laki yang diberikan wahyu. Bahagian kedua ayat ini mengatakan bahawa ‘Tanyalah orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui’. Orang yang berpengetahuan dalam konteks ayat ini merujuk kepada ahli kitab yahudi dan nasrani di Madinah. Ini kerana pertikaian yang sering ditimbulkan oleh musyrikin Mekah adalah NABI SAW itu manusia biasa, bukan malaikat. Sedangkan di dalam kitab para ahli kitab tersebut dinyatakan kesemua Rasul yang diutuskan sebelum ini adalah dari kalangan manusia. 9. Faedah asas berkaitan Hukum Istihalah boleh didapati melalui ayat 66. Istihalah ialah perubahan sifat pada sesuatu perkara yang boleh membawa kepada perubahan hukum. Ayat 68-69 pula menceritakan tentang bagaimana ALLAH SWT memberi ilham kepada lebah untuk mengumpul madu. Tambahan pula, disebut di dalam ayat ini, madu tersebut menjadi ubat kepada manusia. 10. Ayat yang paling lengkap menceritakan tentang suruhan dan larangan ALLAH SWT di dalam Al-Quran berada pada ayat 90. Dikatakan juga ayat ini menceritakan secara lengkap isi tentang ISLAM manakala ALLAH SWT mengajar kita agar sentiasa mematuhi janji di dalam ayat 91-92. 11. Suruhan agar memulakan bacaan Al-Quran dengan Lafaz Isti’azah disebut di dalam ayat 98 manakala ayat 106 menceritakan kepentingan menjaga nyawa apabila berada di dalam keadaan terpaksa. Kisah di sebalik ayat 106 ini adalah berkenaan Ammar bin Yasir yang dibunuh seluruh keluarganya dan beliau diseksa serta dipaksa untuk murtad. Lalu Ammar mengisytiharkannya. Kemudian beliau berjumpa NABI SAW dalam keadaan menangis dan Baginda SAW mengatakan bahawa menjaga nyawa pada ketika itu lebih utama. 12. Ayat 125 menceritakan tentang kepentingan berdakwah yang diajar melalui 3 kaedah; i) Dengan bijaksana, ii) Peringatan yang baik, iii) jika perlu berdebat, berdebat dengan cara yang terbaik (menjaga akhlaq, tidak beremosi dan tidak menyerang peribadi pihak lawan). ALLAH SWT mengingatkan pada bahagian akhir ayat tersebut bahawa hanya DIA yang mengetahui siapakah yang sesat dan mendapat petunjuk. Allahu a’lam.
JUZUK 15 1. Juzuk ini mengandungi dua surah iaitu Surah Al-Isra’ dan Surah Al-Kahfi. Kedua-dua surah ini saling berkait antara satu sama lain. Musyrikin Mekah berjumpa dengan Yahudi Madinah untuk memberitahu tentang NABI SAW dan bertanyakan padanya tentang soalan yang tidak akan diketahui jawapannya oleh Baginda SAW. 2. Yahudi tersebut memberitahu tiga soalan; i) Pertanyaan tentang roh, ii) Siapakah lelaki penakluk dunia, iii) Kisah pemuda yang tidur lama di dalam gua. Apabila ditanyakan hal ini kepada NABI SAW, Baginda memberitahu akan menjawabnya pada keesokan hari tanpa mengucapkan ‘InsyaALLAH’. Kemudian wahyu terputus selama beberapa hari dan ALLAH SWT akhirnya memberi jawapan kepada Baginda SAW berkenaan tiga soalan tersebut. 3. Ayat pertama Surah Al-Isra’ adalah berkenaan kisah perjalanan malam Baginda SAW (Isra’) dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa di Palestin manakala ayat 13-15 menceritakan peristiwa Akhirat yang mana akaun amalan kita semua akan diaudit dan kita sendiri yang akan membacanya. Ayat 15 menerangkan secara jelas tiada orang yang akan menanggung dosa orang lain seperti suami tidak menanggung dosa isteri dan sebagainya. 4. Ayat 23-37 adalah merupakan beberapa contoh akhlaq mulia dan suruhan serta larangan yang diberikan oleh ALLAH SWT secara jelas seperti doa yang terbaik untuk ibu bapa (Ayat 24). Di dalam ayat 44 pula mengatakan bahawa semua makhluk di alam ini bertasbih memuji ALLAH SWT mengikut bahasa masing-masing. 5. Ayat 53 penting untuk kita fahami bagi menjaga hubungan sesama manusia. Antaranya bercakap dengan kata-kata yang terbaik sama ada pada lidah yang bercakap ataupun tangan yang menulis. Sekali lagi diceritakan berkenaan peristiwa pertama permusuhan di antara Nabi Adam A.S. dan iblis (Ayat 60-65) manakala beberapa arahan ALLAH SWT kepada NABI SAW diceritakan di dalam ayat 78-84 seperti suruhan solat dan sebagainya. Solat Subuh yang disebut di dalam ayat 78 adalah sangat istimewa kerana ia disaksikan oleh para malaikat. 6. Al-Quran diturunkan sebagai ubat dan penyembuh kepada orang beriman (Ayat 82). Penyakit yang dirujuk di dalam ayat ini adalah penyakit batin yang ada di dalam hati dan jiwa manusia. 7. Ayat 85 adalah jawapan kepada soalan pertama musyrikin Mekah. Roh adalah urusan ALLAH SWT dan kita tidak boleh mengatakan selain apa yang disampaikan oleh ALLAH SWT. Roh yang sudah memasuki Alam Barzakh tidak akan kembali lagi ke dunia.
8. Ayat 111 adalah merupakan ayat yang sering dibaca oleh imam seusai memberikan salam di dalam Solat Fardhu. Ayat ini adalah Ayat Keagungan yang menceritakan tentang keagungan ALLAH SWT. Ibnu Katsir mengatakan bahawa NABI SAW mengajar ayat ini kepada kanak-kanak Bani Hasyim yang baru boleh bercakap agar mereka dibiasakan dengan kalimah Tauhid. 9. Terdapat 4 kisah yang diceritakan di dalam Surah Al-Kahfi. Pertama, kisah pemuda yang tertidur di dalam gua selama 309 tahun (Ayat 9-26). Ayat 22-23 adalah teguran ALLAH SWT kepada NABI SAW kerana Baginda tidak menyebut Insya-ALLAH dan menyebabkan wahyu terputus selama beberapa hari. Jadi kita perlu menjiwai sebutan Insya-ALLAH ini kerana ia banyak digunakan oleh para Nabi di dalam kisah mereka. Bukan menggunakan perkataan ini sebagai alasan untuk tak buat apa yang kita janjikan. 10. Keduanya adalah kisah 2 orang lelaki, iaitu seorang kafir yang sombong dan kaya dan seorang lelaki soleh dan merupakan wali ALLAH SWT (Ayat 32-44). Si kaya berbangga dengan harta kepunyaannya dan beranggapan ianya adalah hasil titik peluhnya sendiri. Lalu lelaki soleh itu menegurnya supaya beliau banyak memuji ALLAH SWT kerana semuanya hanya berlaku dengan izin-NYA (Ayat 39). 11. Ayat 50 adalah merupakan kisah permusuhan di antara Iblis dan Nabi Adam A.S. buat kesekian kalinya. Dua perkara yang disebut di dalam ayat ini ialah; i) Iblis yang tidak sujud adalah termasuk dalam kalangan jin, ii) Iblis juga mempunyai zuriat keturunan. 12. Kisah ketiga adalah kisah pengembaraan Nabi Musa A.S. dan muridnya mencari seorang lelaki (Ayat 60-74). Di dalam Al-Quran tidak disebut siapakah nama lelaki tersebut, tetapi nama Nabi Khidir disebut di dalam Hadis Sohih Bukhari. Matlamat utama kisah pengembaraan ini adalah bertujuan untuk mengajar kita tentang adab menuntut ilmu dan ujian bagi penuntut ilmu. Allahu a’lam.
JUZUK 16 1. Juzuk ini mengandungi tiga surah iaitu bahagian akhir Surah Al-Kahfi, Surah Maryam dan Surah Toha. 2. Sambungan dari kisah ketiga Surah Al-Kahfi, sebelum berpisah, Nabi Khidir memberitahu Nabi Musa hikmah di sebalik tiga tindakannya yang menimbulkan persoalan pada hemat Nabi Musa. 3. Menariknya, pada ayat 82 Nabi Khidir menceritakan sebab Baginda menegakkan dinding yang runtuh adalah kerana ianya milik anak yatim yang di bawahnya terdapat harta peninggalan bapa mereka yang soleh. Ulama’ menafsirkan bahawa ALLAH SWT menghantar Nabi Khidir dan Nabi Musa A.S. untuk menyelamatkan harta anak yatim tersebut kerana solehnya bapa mereka. Ini menjadi bukti, kesolehan kita akan memberikan manfaat kepada anak, cucu, cicit dan generasi kita pada masa akan datang. 4. Kisah terakhir di dalam Surah Al-Kahfi adalah berkenaan Zulqarnain dan pengembaraan beliau. Secara umumnya, ALLAH SWT menyampaikan mesej bahawa empat ujian besar akan dihadapi oleh umat ISLAM di akhir zaman iaitu i) Ujian Kepercayaan (Aqidah), ii) Ujian Harta, iii) Ujian Ilmu dan iv) Ujian Kekuasaan. 5. Bermula ayat pertama sehingga ayat 58 Surah Maryam menceritakan kisah-kisah para Nabi A.S. Ia dimulakan dengan kisah Nabi Zakaria A.S.dengan doanya, Nabi Yahya A.S., Maryam yang melahirkan Nabi Isa A.S., Nabi Isa A.S. yang boleh bercakap ketika bayi dan Nabi Ibrahim A.S. bersama ayahnya. Menariknya, ayat 31 menceritakan bagaimana Nabi Isa A.S. diperintahkan untuk solat. Ini membuktikan bahawa para Nabi pun diwajibkan untuk solat, apatah lagi kita semua. 6. Bahagian akhir Surah Maryam menceritakan perihal peristiwa Akhirat dan penegasan bahawa ALLAH SWT tidak mempunyai anak. 7. Ayat 1-5 Surah Toha menceritakan bahawa Al-Quran diturunkan untuk memberi manfaat kepada manusia dan bukan untuk menyusahkan. Dikatakan juga bahawa Umar Al-Khattab menjadi lembut hatinya setelah adiknya, Fatimah membacakan ayat 1-5 surah ini. Namun, terdapat banyak perbincangan mengenai riwayat kisah ini. 8. Bermula ayat 9-98 menceritakan kisah Nabi Musa A.S. Baginda diperintahkan untuk membuka selipar ketika berada di Lembah Suci Tuwa (Ayat 12). Para ulama’ membahaskan kenapa arahan tersebut diberikan, antaranya kerana selipar Baginda A.S. pada ketika itu diperbuat daripada kulit yang mempunyai najis. Lalu diperintahkan Nabi Musa A.S. untuk membukanya bagi menjaga kesucian Lembah Tuwa.
9. Ayat 17 merupakan soalan ALLAH SWT kepada Nabi Musa A.S. iaitu “apakah yang berada di tanganmu wahai Musa?” dan Baginda A.S. memberikan jawapan yang panjang (Ayat 18). Terdapat dua hikmah di sini iaitu, i) Ini menunjukkan bahawa Nabi Musa A.S. sentiasa bertangan kanan dan ia merupakan Sunnah para Nabi, ii) Nabi Musa A.S. memberikan jawapan yang panjang kerana Baginda ingin memanjangkan tempoh bersama ALLAH SWT. 10. Nabi Musa A.S. diarahkan untuk bertemu dengan Firaun, seorang maharaja dunia yang kejam (Ayat 24), lalu timbul rasa takut di hati Baginda. Berkat doa Baginda A.S. (Ayat 25-28), Nabi Musa dapat menjalankan tugas ALLAH SWT dengan jayanya. Tambahan pula, ketika Baginda dan Nabi Harun A.S. diperintahkan untuk bertemu Firaun, mereka juga diarahkan untuk menggunakan bahasa yang baik (Ayat 42-44). Ini menunjukkan bahawa penggunaan bahasa yang kasar dan sentap walaupun kepada musuh adalah kurang manfaatnya kerana bahasa yang lembut lebih membekas pada jiwa manusia. 11. Ayat 83-98 adalah kisah Bani Israil yang disesatkan oleh Samiri ketika Nabi Musa bermunajat di Bukit Tursina dan diserahkan urusan pemerintahan kepada Nabi Harun A.S. Namun Nabi Harun tidak mampu mengawal lagi Bani Israil yang dihasut oleh Samiri. Samiri membuat patung anak lembu dari emas yang dicuri dan dicairkan, lalu diletakkan di dalam mulut patung tersebut segenggam tanah dari tapak kaki kuda Jibril A.S (Ayat 96). Lalu patung tersebut mengeluarkan bunyi seperti lembu. Dikatakan bahawa Nabi Jibril muncul sebagai lelaki berkuda ketika Nabi Musa A.S. membelah lautan dalam misi menyelamatkan diri dan Bani Israil dari cengkaman Firaun. 12. Seterusnya, ayat 115-123 menceritakan kisah Nabi Adam A.S. DI dalam Syurga, Baginda diarahkan untuk menjauhi sebatang pokok. ALLAH SWT tidak pernah menamakan pokok tersebut sebagai pokok khuldi (Kekal), namun ianya adalah nama yang dicipta oleh iblis untuk menipu Baginda A.S., bahawa dengan memakannya, Baginda akan kekal di dalam Syurga dan menjadi malaikat. Kita boleh lihat bagaimana iblis menghasut manusia untuk mencipta produk palsu untuk menyesatkan manusia yang lain. 13. Bahagian akhir Surah Toha adalah berkenaan suruhan ALLAH SWT kepada NABI SAW agar menyuruh keluarga Baginda SAW menunaikan solat dan sabar menunaikannya (Ayat 132). ALLAH SWT menegaskan pada sambungan ayat ini bahawa DIA tidak perlu pun kepada solat kita, bahkan kita yang memerlukan ALLAH kerana DIA yang memberi rezeki. 14. Melalui ayat 132 ini, ulama menafsirkan bahawa dikira sebagai dosa besar pada orang yang sibuk bekerja sehingga lupa menunaikan solat kerana orang tersebut menjadikan majikan dan dunia ini sebagai tuhan. Allahu a’lam.
JUZUK 17 1. Ayat 7 Surah Al-Anbiya’ adalah pemberitahuan oleh ALLAH SWT bahawa sekalian Rasul adalah terdiri dalam kalangan manusia, bukan malaikat. Kisah di sebalik ayat ini apabila timbulnya ketidakpuasan hati musyrikin Mekah ketika mana mengetahui NABI SAW dilantik menjadi Rasul. Apa yang mereka mahukan adalah Rasul itu daripada malaikat. Lantas ALLAH menyuruh mereka bertanyakan kepada ahli kitab di Madinah (Ahlaz Zikri) adakah ada Rasul sebelum ini dari kalangan malaikat? Sudah tentu tiada. 2. Ayat 30 pula menceritakan perihal kejadian langit dan bumi yang asalnya adalah satu, kemudian dipisahkannya dan terjadilah alam semesta. Menariknya, teori Big Bang sangat berkaitan dengan ayat ini. 3. Pihak musyrikin Mekah tidak berpuas hati dengan perkembangan dakwah RASULULLAH SAW, lalu mereka mengharapkan agar Baginda SAW dimatikan secepatnya agar dakwah ISLAM terhenti. Lalu ALLAH SWT memberikan respon bahawa tiada manusia yang akan hidup kekal, dan jika NABI SAW wafat, takkanlah musyrikin itu akan kekal? (Ayat 34). 4. Ayat 50-91 adalah kisah para Nabi yang bermula dengan kisah Nabi Ibrahim A.S. bersama kaumnya sehingga Baginda dihukum untuk dibakar. Lalu ALLAH SWT memerintahkan api tersebut menjadi sejuk, selamat dan nyaman untuk Baginda A.S. (Ayat 69). 5. Seterusnya adalah kisah pergaduhan di antara pemilik kebun dengan pengembala biribiri yang mana hasil tanaman kebun dirosakkan oleh biri-biri (Ayat 78-79). Kemudian mereka meminta Nabi Daud A.S. agar mengadili kes mereka, lalu Nabi Daud A.S. memutuskan bahawa biri-biri pengembala dirampas dan diberikan kepada pemilik kebun sebagai ganti rugi. 6. Namun begitu, Nabi Sulaiman A.S. menegur keputusan tersebut dan mencadangkan agar ditukar hak milik secara sementara. i) Baginda mencadangkan agar hasil tanaman yang rosak diganti dengan hasil ternakan biri-biri dan, ii) Pengembala perlu menanam semula tanaman yang baru dan bila ianya sempurna, ditukar kembali hak milik. Hikmah di sebalik kisah ini adalah berkaitan dengan konsep pemindahan teknologi. Di akhirnya, pengembala tahu cara untuk bercucuk tanam dan pemilik kebun sedar banyak sumber rezeki datang dari binatang ternak. 7. Ayat 83 adalah doa Nabi Ayub A.S. yang baik untuk diamalkan ketika kita ditimpa kesakitan manakala ayat 87-88 adalah merupakan tasbih Nabi Yunus A.S. ketika berada di dalam kesusahan. Seterusnya adalah doa Nabi Zakaria A.S. agar dikurniakan zuriat (Ayat 89-90). Sedikit kekeliruan dalam kalangan masyarakat apabila menjadikan doa Nabi Zakaria ini untuk mencari jodoh. Ianya kurang tepat berdasarkan konteks ayat tersebut.