8. Ayat 96 menceritakan kisah pecahnya benteng yang mengurung yakjuj dan makjuj apabila dunia hampir mendekati kiamat. Lalu mereka keluar dan membuat kerosakan serta bermaharajalela di segenap penjuru dunia. Pada bahagian akhir Surah AlAnbiya’, ALLAH SWT mengatakan bahawa NABI SAW diutuskan sebagai rahmat dan kasih sayang-NYA untuk sekalian alam (Ayat 107). 9. ALLAH SWT memberitahu di awal Surah Al-Hajj bahawa Hari Kebangkitan boleh berlaku kerana ALLAH SWT jualah yang mencipta manusia secara berperingkat dan melalui fasa yang kompleks, takkanlah DIA tidak mampu untuk membangkitkan kembali manusia (Ayat 5). Ayat ini juga secara tidak langsung menyentuh perihal ilmu embriologi. 10. Semua makhluq sujud dan tunduk patuh kepada ALLAH SWT dalam sistem alam termasuk termasuklah pokok-pokok, gunung-ganang, binatang dan sebagainya (Ayat 18) manakala ayat 19 pula menceritakan tentang dua pihak yang bertelagah tentang tuhan mereka. Ayat 19 ini diturunkan sebelum bermulanya Perang Badar yang mana sebelum peperangan bermula, adanya Perang Tanding yang setiap pihak menghantar 3 wakil untuk berlawan. Inilah yang dimaksudkan dengan ayat 19 Surah Al-Hajj. 11. Ayat 26-37 menceritakan tentang Haji dengan bermulanya kisah Nabi Ibrahim A.S. diberikan tempat oleh ALLAH SWT untuk membina Kaabah. Ayat 27 adalah seruan yang dibuat oleh Baginda A.S. yang memanggil manusia dari segenap penjuru untuk menunaikan haji. 12. Prinsip utama di dalam berpolitik dinyatakan di dalam ayat 41 Surah Al-Hajj yang mana apabila seseorang diberikan kuasa, dia perlulah melakukan 4 perkara, i) Mendirikan solat, ii) Menunaikan zakat, iii) Menyuruh kepada kebaikan, iv) Mencegah kemungkaran. Bagi sesiapa yang terlibat di dalam politik, jadikanlah empat perkara ini sebagai matlamat utama. 13. ALLAH SWT menceritakan logik kenapa berhala tidak boleh disembah (Ayat 73). Berhala itu tidak mampu untuk mencipta walaupun seekor lalat sekalipun mereka bergabung. Namun jika lalat tersebut memudaratkan berhala, ianya tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Jadi tersangat lemah lah orang yang meminta (penyembah berhala) dan dipinta (berhala). 14. Ini adalah kiasan ALLAH SWT yang sangat menarik untuk diperhatikan. Oleh kerana berhala tidak mampu untuk berbuat apa-apa kepada lalat, lebih baik mereka menyembah lalat yang sudah pastinya mereka menolaknya keran beranggapan bahawa lalat adalah seekor binatang yang lemah. Jadi, selemah-lemah lalat pun berhala tidak mampu untuk memberi kesan, alangkah ruginya mereka. Allahu a’lam.
JUZUK 18 1. Juzuk ini mengandungi tiga surah iaitu Surah Al-Mukminun (Orang Beriman), Surah AnNur (Cahaya) dan bahagian awal Surah Al-Furqan (Pembeza). 2. Ayat 1-11 Surah Al-Mukminun menceritakan berkenaan sifat orang beriman dan kesudahan akhir mereka yang mendapat Syurga Firdaus. Berdasarkan ayat-ayat ini, dapat difahami bahawa beriman adalah syarat minimum untuk ke syurga. 3. Ayat 13-16 adalah kisah mengenai keadaan manusia yang bermula dari persenyawaan di dalam rahim seorang ibu, memasuki alam dunia sehinggalah dibangkitkan semula di alam barzakh nanti manakala ayat 14 sama seperti ayat di dalam Surah Al-Hajj iaitu berkenaan ilmu embriologi (Peringkat Kejadian Manusia). 4. Kisah para Nabi juga disebut di dalam Surah Al-Mukminun (Ayat 23-53), yang bermula dengan kisah Nabi Nuh A.S. Nabi Hud A.S. dan sebagainya. Ayat 53 mengatakan bahawa semua orang dari semua agama merasakan dirinya berada di pihak yang benar. Sebagai seorang pendakwah, perkara ini perlu difahami sebaiknya dan menjaga sensitiviti semua orang. Sampaikan lah ISLAM dengan cara yang paling baik, logik dan tidak menyerang secara semberono. 5. ALLAH SWT memberitahu berkenaan sifat ahli syurga (Ayat 57-61). Di dalam ayat 60 dinyatakan bahawa salah satu sifat ahli syurga adalah hatinya merasa bimbang, tidak selesa dan resah tentang amalannya diterima ALLAH SWT atau tidak. Ayat 71 pula menyatakan tentang bahayanya nafsu manusia. Jika kebenaran perlu mengikut nafsu manusia, sudah pasti akan musnah lah alam semesta. 6. Ayat 91 menegaskan bahawa alam ini tidak boleh mempunyai lebih dari satu tuhan kerana setiap tuhan akan membawa cara masing-masing dan pastinya alam semesta ini akan hancur binasa manakala ayat 96-98 adalah berkenaan cara untuk menghindari gangguan dan kehadiran syaitan manusia serta syaitan jin. 7. Di dalam ayat 99-100 jelas menyatakan bahawa manusia yang telah mati tidak akan kembali ke dunia. Ayat ini menceritakan tentang rayuan mereka yang telah mati untuk dikembalikan ke dunia tetapi ditolak oleh ALLAH SWT kerana masa mereka telah pun tamat. 8. Ayat 115-118 adalah antara ayat yang popular digunakan untuk merawat orang yang terkena sihir jin. Melalui satu riwayat, diceritakan bahawa Abdullah bin Mas’ud membacakan ayat ini untuk menyembuhkan penyakit sihir seorang lelaki. Lalu kisah ini sampai kepada RASULULLAH SAW dan Baginda bertanya kepada Ibnu Mas’ud ayat apakah yang dibaca. Setelah menceritakan perihal tersebut, Baginda SAW bersabda dengan mafhumnya apabila ayat Al-Quran dibacakan oleh orang beriman dengan penuh keyakinan kepada gunung, nescaya gunung pun akan hancur berkecai.
9. Terdapat di dalam satu riwayat yang menukilkan kata-kata Umar AlKhattab,”Ajarkanlah perempuan dalam kalangan kamu Surah An-Nur” kerana sangat berkaitan dengan mereka. Ayat 1-10 surah ini menceritakan tentang hukum hudud seperti zina dan li’an (menuduh orang berzina tanpa saksi) manakala ayat 11-26 adalah berkenaan kisah ‘Aisyah R.A. difitnah. Antara pengajaran dari kisah ‘Aisyah R.A. adalah sentiasa mendahulukan bersangka baik apabila mendengar berita yang tidak baik (Ayat 12) dan bijak dalam mengurus berita dan serta memberikan komen terhadap sesuatu isu yang berlaku (Ayat 16). Sikap-sikap seperti ini adalah perangkap syaitan untuk menipu manusia. 10. Ayat 22 menceritakan tentang kelebihan Abu Bakar As-Siddiq R.A. kerana beliau seringkali membantu sepupunya yang bernama Mistoh bin Uthathah yang miskin sejak berada di Mekah lagi. Namun, apabila beliau mendapat tahu Mistoh terlibat dalam menyebarkan fitnah ke atas ‘Aisyah R.A., beliau menghentikan bantuan ke atas Mistoh. Lalu ALLAH SWT meminta Abu Bakar R.A. memaafkan Mistoh dan memberi jaminan pengampunan. Lalu Abu Bakar R.A. kembali menyambung bantuan dan silaturrahim dengan Mistoh. 11. Adab untuk memasuki rumah orang diceritakan di dalam ayat 27-29 yang mana perlu mendapatkan keizinan tuan rumah terlebih dahulu manakala ayat 30-31 berkaitan dengan menjaga mata, menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Ayat 31 khusus menceritakan berkaitan aurat seorang perempuan. 12. Di antara kesilapan yang biasa dilakukan oleh kaum perempuan adalah memakai tudung dengan tidak menutup bahagian dada kerana jelas di dalam ayat ini mengatakan bahawa tudung kepala mesti menutup dada. Pada bahagian akhir ayat ini adalah berkenaan larangan menghentakkan kaki untuk membunyikan gelang kaki. Ini menjadi prinsip asas ke atas sebarang tindakan perempuan yang boleh mengundang fitnah. 13. Ayat 58 pula menceritakan tentang adab untuk memasuki bilik suami isteri. Keizinan perlulah diminta terlebih dahulu terutamanya pada 3 waktu, i) Sebelum subuh, ii) Pada waktu tengahari dan, iii) Selepas Isya’, ini kerana ketiga-tiga waktu ini adalah waktu berehat dan aurat terdedah. Menariknya, ALLAH SWT menyebut tiga waktu yang diiktiraf sebagai waktu untuk manusia berehat dan tidur. 14. Ayat 62-63 menceritakan berkenaan adab dengan RASULULLAH SAW seperti tidak dibenarkan memanggil NABI dengan panggilan biasa. 15. Ayat 14 Surah Al-Furqan menceritakan tentang ahli neraka yang menjerit dan meminta agar dicepatkan kematian apabila diazab di neraka. Lalu ALLAH SWT mengatakan bahawa minta mati sekali, bahkan minta lah agar dimatikan beberapa kali kerana dahsyatnya azab neraka.
JUZUK 19 1. Juzuk ini mengandungi tiga surah iaitu bahagian kedua Surah Al-Furqan (Pembeza antara Kebenaran & Kebatilan), Surah As-Syu’ara’ (Para Penyair) secara lengkap dan bahagian awal Surah An-Naml (Semut). 2. Ayat 27-29 Surah Al-Furqan menceritakan tentang penyesalan ahli neraka kerana tersilap memilih teman. Kisah di sebalik ayat ini adalah berkenaan dengan seorang lelaki bernama Uqbah Bin Abi Mu’aid yang awalnya memeluk Islam tetapi kemudiannya meninggalkan Islam kerana ingin menjaga hubungan dengan kawannya. 3. Ayat 45-46 pula menceritakan tentang fungsi bayang matahari di mana ALLAH SWT menjadikan matahari itu sebagai petunjuk iaitu petunjuk kepada waktu solat dan sebagainya. 4. ALLAH SWT juga menceritakan tentang sifat hamba-NYA yang dipuji (Ayat 63-77), seperti tidak melayan kerenah si jahil, berbelanja secara sederhana, berdoa agar dikurniakan isteri dan zuriat yang menjadi penyejuk mata dan penenang hati dan sebagainya. 5. Kisah para Nabi banyak diceritakan di dalam Surah As-Syu’ara’ seperti kisah Nabi Musa A.S. dan Firaun serta Nabi Ibrahim A.S. dan kaumnya. Ayat 80 mengisahkan perihal Nabi Ibrahim A.S. ketika menentang kaumnya yang mana Baginda mengisytiharkan bahawa ALLAH itu adalah Tuhannya dan antara fungsi ALLAH SWT adalah sebagai Tuhan yang menyembuhkan penyakit. 6. Antara kisah lain yang disebut adalah kisah Nabi Nuh dan kaumnya (Ayat 105-122) dan Nabi Hud A.S. (Ayat 123-140). Pada ayat 130 diceritakan mengenai kejahatan Kaum A’ad yang suka memukul tawanan mereka. Terdapat sesetengah masyarakat yang menjadikan ayat ini sebagai penyembuh untuk sakit pinggang, sakit urat dan sebagainya. 7. Antara mukjizat Al-Quran adalah sebagai penyembuh penyakit, namun kita perlulah memahami Al-Quran mengikut konteks yang dikehendaki oleh ALLAH SWT kerana ia adalah adab yang perlu dijaga. Mesej sebenar yang ingin disampaikan di dalam ayat 130 Surah As-Syu’ara’ ini adalah apabila kita diberikan kekuatan, maka janganlah kekuatan itu digunakan pada jalan yang salah seperti membuli orang dan sebagainya. 8. Ayat 214 merupakan antara ayat terawal diturunkan kepada NABI SAW yang mana diarahkan kepada Baginda untuk berdakwah kepada kaum keluarga yang terdekat. Selepas ayat ini diturunkan, RASULULLAH SAW naik ke Bukit Sofa dan Baginda SAW memanggil semua ahli keluarganya dan bertanya jika dibelakang Baginda itu ada sekumpulan tentera yang ingin menyerang kota Mekah, adakah mereka akan percaya? Mereka mengatakan bahawa mereka tahu RASULULLAH SAW tidak pernah menipu.
9. Dinamakan sebagai Surah An-Naml yang membawa maksud semut kerana Nabi Sulaiman A.S. mendengar kata-kata Ratu Semut yang sedang memberi arahan kepada rakyatnya supaya masuk ke dalam sarang mereka agar tidak dipijak oleh Nabi Sulaiman dan tentera Baginda A.S. (Ayat 18). 10. Mengikut kebiasaan, apabila Nabi Sulaiman A.S. keluar mengembara bersama para tentera Baginda A.S., antara keperluan asasi yang perlu dipenuhi adalah bekalan air. Hal ini berkaitan dengan ayat 20 di mana Baginda mencari Burung Hudhud. 11. Berdasarkan tafsiran ulama’, persoalan berkaitan kenapa Nabi Sulaiman A.S. mencari Burung Hudhud adalah kerana Hudhud merupakan sejenis haiwan yang mempunyai kelebihan yang boleh mengesan lokasi air di dalam bumi. Tafsiran ini diambil berdasarkan ayat 25. Burung Hudhud menjelaskan bahawa kelewatannya adalah kerana ia singgah di sebuah tempat (Saba’) yang mana penduduknya menyembah matahari (Ayat 23-24). 12. Ayat 40 menceritakan kisah seorang lelaki yang diberikan ilmu pengetahuan yang mampu membawa istana Balqis dengan sekelip mata sahaja dan dikatakan bahawa lelaki ini adalah seorang wali ALLAH SWT. Berdasarkan ayat ini, wali ALLAH SWT mestilah menjadi seorang yang berilmu pengetahuan. Jika kita berjumpa dengan orang yang mempunyai kelebihan tetapi dia adalah seorang yang jahil dan tidak mengamalkan Sunnah NABI SAW, janganlah kita tersalah anggap bahawa itu adalah wali ALLAH SWT. Ini kerana jelas berdasarkan ayat ini, wali ALLAH SWT mestilah berilmu pengetahuan. Allahu a’lam.
JUZUK 20 1. Juzuk ini mengandungi tiga surah iaitu bahagian kedua Surah An-Naml (Semut), Surah Al-Qasas (Kisah) secara lengkap dan bahagian awal Surah Al-‘Ankabut (Labah-labah). 2. Ayat 65 Surah An-Naml menjadi prinsip utama dalam ISLAM yang mana semua perkara ghaib mestilah berdasarkan dalil jelas dari Al-Quran dan As-Sunnah. Jika ada orang menceritakan perihal perkara ghaib tanpa mendatangkan dalil dan hujah yang nyata dari Al-Quran dan Hadith, maka tolaklah ia. Di dalam ayat 82 pula menceritakan kisah akan keluarnya sejenis binatang dari perut bumi yang boleh bercakap apabila dunia sudah menghampiri Kiamat. 3. Ayat 88 mengisahkan tentang gunung-ganang yang bergerak. Ramai saintis mengatakan bahawa ayat ini bertepatan dengan Teori Pergerakan Plat Tektonik di dalam Ilmu Geologi. Namun begitu, ‘pergerakan’ di dalam ayat ini sebenarnya bermaksud pergerakan ketika berlakunya kiamat nanti yang mana gunung-ganang ini akan bergerak seperti kapas (Ayat 5 Surah Al-Qari’ah). Jadi sangat tidak tepat menjadikan ayat ini sebagai sokongan kepada Teori Pergerakan Plat Tektonik. 4. Surah Al-Qasas banyak menceritakan tentang kisah Nabi Musa A.S. dan Firaun yang bermula dari ayat 4 sehingga ayat 48. Antara kisah di dalam surah ini adalah kisah bagaimana Nabi Musa A.S. tertumbuk orang tanpa sengaja sehingga menyebabkan kematian, lalu Baginda diburu dan lantas melarikan diri sehingga ke Madyan yang mana di sana Baginda terus menghulurkan bantuan kepada dua orang perempuan yang memerlukan pertolongan pada ketika itu (Ayat 15-23). Sikap itsar (mendahulukan orang lain) ini adalah akhlaq mulia yang ditunjukkan oleh Baginda biarpun masih dalam keletihan. 5. ALLAH SWT merakamkan doa Nabi Musa A.S. di dalam ayat 24 ketika mana Baginda merasa berada di dalam kesulitan. Doa ini sangat baik untuk diamalkan dan ia membawa maksud, “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat memerlukan kebaikan-kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku”. Selepas Baginda berdoa, ALLAH SWT menghantar bantuan kepada Nabi Musa satu persatu. Antaranya ialah Baginda dipanggil oleh bapa kepada dua perempuan yang dibantu tadi, kemudian diberikan kerja dan dijodohkan dengan salah seorang perempuan tersebut (Ayat 25-27). 6. Ayat 26 memberitahu bahawa benarnya firasat isteri Nabi Musa A.S. yang meminta ayahnya mengambil Baginda untuk bekerja kerana melihat dua karakter yang baik pada diri Baginda iaitu seorang yang kuat dan bertanggungjawab. Abdullah bin Mas’ud R.A. ketika menghuraikan ayat ini mengatakan jika ingin melihat firasat yang betul, maka lihatlah pada ayat 26 Surah Al-Qasas.
7. Ayat 29-35 pula menceritakan kisah Nabi Musa A.S. yang pulang semula ke Mesir dan ketika di dalam perjalanannya, Baginda melihat terdapat cahaya api yang jauh di padang pasir yang sejuk. Di dalam ayat 29, Nabi Musa A.S. menunjukkan akhlaq budiman yang menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan meminta keluarganya menunggu di situ dan beliau pergi melihat api tersebut secara lebih dekat. 8. Di situlah Nabi Musa A.S. diberikan wahyu oleh ALLAH SWT yang didahului dengan pelbagai suruhan dari ALLAH SWT seperti mencampakkan tongkat dan menyeluk tangan sehingga keluar cahaya (Ayat 32). Sebagai manusia biasa, Baginda akan ketakutan menghadapi situasi ini. Lantas di dalam ayat ini ALLAH SWT mengajar Baginda agar memekap tangan ke dada untuk menghilangkan ketakutan tersebut. 9. ALLAH SWT memuji Ahli Kitab di dalam ayat 52-55 yang mana mereka beriman dengan Nabi Musa A.S. dan Nabi Isa A.S. Kemudian para Ahli Kitab ini menyambung keimanan mereka kepada Kenabian RASULULLAH SAW lalu diberikan kepada mereka dengan ganjaran pahala sebanyak dua kali ganda (Ayat 54) manakala di dalam ayat 56 memberitahu bahawa hidayah itu secara mutlaknya adalah milik ALLAH SWT. Dikatakan oleh para ulama’ tafsir bahawa ayat ini ditujukan kepada RASULULLAH SAW kerana Baginda SAW sangat berharap ayah saudara Baginda, Abu Talib memeluk ISLAM dan meninggal dunia dalam keadaan beriman. 10. Ayat 71-73 menceritakan nikmat yang jarang disyukuri iaitu nikmat siang dan malam. ALLAH SWT memberikan dua Persoalan; i) Apakah akan terjadi sekiranya malam berterusan sehingga Kiamat dan siapakah yang mampu membawa cahaya? ii) Apa akan terjadi sekiranya siang berterusan sehingga Kiamat dan siapa yang mampu membawa malam untuk berehat? Semoga dengan persoalan ini mampu menerbitkan rasa syukur kepada ALLAH SWT di atas dua nikmat ini. 11. Kisah Qarun dan keangkuhannya diceritakan di dalam ayat 76-82. ALLAH SWT memberikan mesej bahawa pentingnya menjadi orang berilmu kerana tatkala orang awam sangat kagum dan mengharapkan agar memiliki kekayaan seperti Qarun, orang berilmu melihat perkara itu hanya perkara yang kecil jika dibandingkan dengan Akhirat. Ayat 82 menceritakan penyesalan dan kesedaran orang jahil tentang apa yang dikatakan oleh orang berilmu selepas kematian Qarun. Jelas berdasarkan ayat ini bahawa orang berilmu akan sentiasa melihat sesuatu itu beberapa langkah ke hadapan. Maka, berusahalah kita agar menjadi orang yang berilmu. 12. Ayat 85 pula merupakan motivasi dan janji yang diberikan kepada RASULULLAH SAW ketika mana Baginda berhijrah keluar dari Mekah dan menyebabkan timbul rasa rindu yang teramat kepada tanah kelahiran Baginda SAW.
13. Dinamakan Surah Al-‘Ankabut kerana di dalamnya ALLAH SWT memberi perumpamaan pegangan (Aqidah) orang yang menyembah selain-NYA sangat rapuh seperti rapuhnya sarang labah-labah. Surah ini juga dikenali sebagai Surah Ujian kerana di dalamnya terdapat dua kisah Nabi yang menerima ujian yang lebih berat berbanding ujian terhadap RASULULLAH SAW. 14. Ayat 2-4 Surah Al-‘Ankabut memberitahu bahawa ujian itu pasti akan dirasai oleh setiap dari kita semua. Kisah pertama adalah ujian yang dihadapi oleh Nabi Nuh A.S. yang dihantar untuk bersama kaumnya selama 950 tahun (Ayat 14). Ini sangat banyak jumlahnya jika dibandingkan dengan 23 tahun NABI SAW diuji untuk menyempurnakan tugasan Baginda SAW. Kisah kedua adalah ujian yang menimpa Nabi Ibrahim A.S. yang dibakar lalu diselamatkan oleh ALLAH SWT (Ayat 24). 15. Ayat 45 merupakan suruhan ALLAH SWT supaya kita membaca Al-Quran dan mendirikan solat. Dua perkara ini perlulah bergerak seiring kerana solat itu mencegah perkara yang keji dan mungkar. Jika kita menjaga solat kita, insyaALLAH ia akan menjaga diri kita dari perbuatan mungkar. Allahu a’lam.
JUZUK 21 1. Juzuk ini mengandungi lima surah iaitu bahagian kedua Surah Al-‘Ankabut, Surah AlRum, Surah Luqman, Surah As-Sajdah dan bahagian awal Surah Al-Ahzab. 2. Ayat 46 Surah Al-‘Ankabut menceritakan adab-adab berinteraksi dengan ahli kitab manakala ayat 48 ALLAH SWT membuktikan bahawa NABI SAW tidak mencipta AlQuran, tidak pernah membaca mana-mana kitab dan tidak menulis dengan tangan kanannya. Daripada ayat 48 ini, boleh juga difahami bahawa NABI SAW sentiasa mengutamakan yang kanan berbanding kiri. Begitu juga yang diamalkan oleh NabiNabi yang lain seperti Nabi Musa A.S., Nabi Ibrahim A.S. dan sebagainya. 3. ALLAH SWT menceritakan di dalam Surah Ar-Rum berkenaan Pasukan Rom yang pada awalnya tewas kepada Parsi tetapi selepas beberapa tahun Rom akan kembali menang menewaskan Parsi. Kisah di sebalik surah ini, sewaktu NABI SAW berada di Mekah, Parsi telah mengalahkan Rom dan kekalahan Rom itu menyebabkan umat Islam bersedih manakala musyrikin Quraisy bergembira kerana Parsi merupakan sekutu mereka manakala Rom pula memiliki Aqidah seakan-akan sama seperti umat Islam iaitu aqidah Tauhid yang bersandarkan kitab dari langit. 4. Perkataan “beberapa tahun” di dalam ayat 4 bermaksud antara 3-9 tahun. Diceritakan bahawa ketika Abu Bakar As-Siddiq mendengar ayat ini, beliau bertaruh dengan seorang lelaki Quraisy, iaitu Ubai Bin Khalaf bahawa Rom akan kembali menang selepas beberapa tahun. Ternyata selepas 7 tahun, Rom benar-benar berjaya mengalahkan Parsi dan ini membuktikan kebenaran Al-Quran. 5. Ayat 20-23 menceritakan tentang kuasa ALLAH SWT pada alam, manusia, dan semua makhluq di alam dunia ini. ALLAH SWT memberitahu bahawa perbezaan bahasa, bangsa dan warna kulit juga adalah di antara tanda-tanda kekuasaan ALLAH SWT (Ayat 22). Ayat 41 pula menceritakan bahawa alam ini musnah disebabkan oleh tangantangan manusia manakala tahap kejadian manusia diceritakan di dalam ayat 54, yang mana manusia diciptakan pada awalnya bersifat lemah, kemudian menjadi kuat, dan kembali menjadi lemah kembali dan beruban. Itulah fitrah kejadian manusia. 6. Di dalam Surah Luqman terdapat dua perkara utama. Pertamanya, pada ayat 12-15 adalah nasihat Luqman kepada anaknya yang mengandungi aspek Aqidah, Akhlaq dan sosial. Keduanya, pada ayat terakhir surah ini, terdapat lima perkara ghaib yang tiada siapa pun boleh mengetahuinya (Ayat 34) iaitu i) Pengetahuan yang tepat tentang Hari Kiamat, ii) Bila diturunkan hujan, iii) Apa yang terjadi di dalam Rahim ibu yang mengandung, iv) Apakah hari esok kita akan melakukan perkara baik atau buruk, v) Di manakah kita akan mati.
7. Seterusnya, Surah As-Sajdah dinamakan begitu kerana terdapat satu ayat di dalam surah ini yang menceritakan tentang orang beriman bilamana mendengar ayat-ayat Tuhan, mereka akan sujud kepada ALLAH SWT (Ayat 15) manakala di dalam ayat 17 pula ALLAH SWT menceritakan sifat Syurga sebagai balasan bagi mereka yang mengerjakan amal soleh. 8. Ayat 23 memberitahu NABI SAW agar tidak timbul keraguan di dalam hati Baginda kerana Baginda akan diberikan Al-Kitab (Al-Quran) sama seperti yang diberikan kepada Nabi Musa A.S. (Taurat) sebagai petunjuk dan panduan. 9. Surah Al-Ahzab bermaksud Pasukan Bersekutu. Surah ini menceritakan tentang Perang Ahzab yang mana Baginda SAW berhadapan dengan saat genting. Tentera Islam dikepung oleh musyrikin Quraisy dan pengkhianat dari Yahudi Bani Quraizah. 10. Ayat 4-5 surah ini menceritakan perihal anak angkat yang mana diharamkan bagi anak angkat untuk ber’bin’kan dengan nama ayah angkat kerana itu adalah hak nasab yang ALLAH SWT peruntukkan untuk ibu bapa mereka. Di dalam ayat 4, ALLAH SWT memberitahu bahawa DIA tidak menjadikan lelaki mempunyai dua jantung. Ini sebagai sindiran kepada seorang lelaki yang sangat bijak di Mekah yang mengaku kebijakannya adalah kerana mempunyai dua jantung. Persoalan lain yang timbul, kenapa hanya disebut lelaki di dalam ayat ini? Hal ini kerana kaum lelaki tidak akan pernah mengandung. Kaum perempuan akan mempunyai lebih dari satu jantung apabila mereka mengandung. Subhanallah, inilah mukjizat kehebatan Al-Quran. 11. Kisah Perang Ahzab diceritakan di dalam ayat 9-25. Menariknya, di dalam lingkungan ayat ini, terdapat satu ayat yang memberitahu bahawa diri RASULULLAH SAW itu contoh teladan yang baik (Ayat 21). Ayat ini turun semasa di dalam peperangan yang mana Baginda SAW pada ketika itu bersikap tenang dan mampu menghadapi situasi tekanan yang kuat dari pihak musuh. 12. Ayat 26-27 menceritakan tentang Perang Yahudi Bani Quraizah. Selepas tentera bersekutu Ahzab lari pulang ke Mekah kerana dipukul ribut, ALLAH SWT mengarahkan NABI SAW memerangi Yahudi Bani Quraizah kerana mengkhianati perjanjian dengan Baginda SAW dan bergabung dengan tentera musyrikin Quraisy. Allahu a’lam.
JUZUK 22 1. Juzuk ini mengandungi empat surah iaitu bahagian kedua Surah Al-Ahzab, Surah Saba’, Surah Faathir dan permulaan awal Surah Yasin. 2. Bahagian kedua Surah Al-Ahzab menceritakan perihal rumahtangga NABI SAW. Pada ayat 31-34, ALLAH SWT memberi teguran dan peringatan kepada para isteri Baginda SAW seperti tidak dibenarkan keluar rumah tanpa sebab, tidak dibenarkan berhias berlebih-lebihan dan sebagainya. 3. Ayat 37 menceritakan mengenai perkahwinan Zaid Bin Harithah dengan Zainab Binti Jahsh. Apabila tiada sekufu di antara keduanya, Zainab telah diceraikan oleh Zaid dan ALLAH SWT mengarahkan Baginda SAW berkahwin dengan Zainab Binti Jahsh. Terdapat dua keistimewaan pada ayat ini. Pertama, apabila turunnya ayat ini, ALLAH SWT sendiri yang mengahwinkan Zainab dengan NABI SAW setelah habisnya tempoh ‘iddah Zainab (Bahagian kedua ayat 37). Keduanya ialah nama Zaid merupakan satusatunya nama sahabat yang disebut di dalam Al-Quran. 4. Antara sebab ALLAH memasukkan nama Zaid Bin Harithah adalah kerana sebelum itu, beliau telah diambil menjadi anak angkat NABI SAW dan dinamakan sebagai Zaid Bin Muhammad. Lalu turunnya awal Surah Al-Ahzab yang melarang menamakan anak angkat dengan nama bapa angkat tetapi mesti memanggilnya dengan nama ayah mereka sendiri (Ayat 5). Dikatakan oleh ulama’ tafsir, bagi menggantikan kesedihan Zaid yang perlu ditukar namanya dari bernasabkan NABI SAW kepada nasab yang asal, ALLAH SWT meletakkan nama beliau di dalam Surah Al-Ahzab. Ini adalah keistimewaan Zaid R.A. yang tiada pada sahabat lain. 5. Pada ayat 50 diceritakan mengenai empat jenis wanita yang boleh dikahwini oleh NABI SAW iaitu; i) dikahwinkan secara normal seperti mempunyai mahar, wali dan sebagainya, ii) bekas hamba, iii) sepupu-sepupu Baginda SAW, tetapi dengan syarat mereka mesti berhijrah dan iv) wanita yang datang menyerah diri kepada NABI SAW. Ini hanya dikhususkan untuk NABI SAW sahaja. Walaupun begitu, daripada empat jenis wanita yang disebut, NABI SAW hanya menggunakan dua sahaja iaitu perkahwinan secara normal dan hamba abdi seperti Sofiyyah Binti Huyay dan Maryatul Qibtiyah. 6. Ayat 51 memberitahu bahawa NABI SAW tidak terikat dengan keadilan dalam rumahtangga poligami. Ini bermaksud Baginda SAW boleh memilih dengan siapapun baginda nak tinggal dan bermalam tanpa perlu ada giliran. Namun begitu, walaupun mempunyai kelebihan ini, Baginda SAW tidak menggunakannya malah berlaku adil terhadap isteri-isteri Baginda SAW.
7. ALLAH SWT melarang NABI SAW menambah isteri yang lain setelah turunnya ayat 52 manakala ayat 53 menceritakan tentang adab-adab apabila dijemput ke rumah NABI SAW setelah Baginda SAW membuat sedikit kenduri di atas perkahwinan dengan Zainab Al-Jahsh. Ayat 56 pula adalah arahan agar kita berselawat kepada NABI MUHAMMAD SAW. 8. Dinamakan dengan Surah Saba’ kerana ALLAH SWT menceritakan mengenai sebuah empayar di selatan Tanah Arab yang dikenali sebagai Empayar Saba’ yang mana pernah muncul sebagai empayar dunia tetapi dimusnahkan oleh ALLAH SWT dek kerana kedegilan mereka sendiri. 9. Ayat 10-14 menceritakan tentang kisah Nabi Sulaiman dan Nabi Daud A.S. yang mana mereka mempunyai mukjizat yang tidak diberikan kepada orang lain. Antara kehebatan Nabi Sulaiman yang tidak disebut pada surah lain ialah Baginda A.S. meninggal dunia ketika sedang memerhatikan para jin yang sedang bekerja (Ayat 14). Ayat ini juga boleh dijadikan dalil bahawa jin pun tidak tahu tentang perkara ghaib. Jadi manusia yang bertanya kepada jin mengenai alam ghaib adalah orang bodoh yang diperbodohkan oleh jin. Ayat 31-33 Surah Saba’ pula adalah dialog di antara pengikut dan pemimpin di dalam Neraka di akhirat kelak. 10. Surah Faathir membawa maksud ‘Pencipta Tanpa Contoh’ di mana ALLAH SWT mencipta alam semesta tanpa ada sesiapa pun yang pernah menciptanya sebelum ini. Surah ini juga dinamakan sebagai Surah Al-Malaikat kerana pada ayat pertama surah ini, ALLAH SWT menceritakan sifat malaikat yang bersayap dua, tiga dan empat. DIA juga boleh menambah pada ciptaan-NYA apa yang dikehendaki-NYA samada membuat sayap malaikat, menjadikan manusia mempunyai akal yang tinggi dan rendah, fizikal yang berbeza dan sebagainya. Ayat 2 pula menceritakan tentang kuasa mutlak ALLAH SWT yang memberi manfaat dan mudarat hanya pada DIA sahaja. Apa sahaja rahmat yang dibuka oleh ALLAH SWT, tiada sesiapa pun boleh menghalangnya manakala apa sahaja yang ditahan-NYA, tiada sesiapa pun boleh melepaskan halangan tersebut. 11. Ayat 6 Surah Faathir merupakan suruhan ALLAH SWT supaya kita berperang dengan syaitan dan iblis. Kita juga tidak boleh menganggap syaitan dan iblis sebagai kawan malah mesti melawan mereka. ALLAH SWT menceritakan mengenai biji kurma pada ayat 13 yang mana ALLAH SWT mengatakan orang-orang yang menyembah selain ALLAH tidak ada kuasa sedikit pun walaupun sekadar selaput putih pada biji kurma yang disebut sebagai qitmir.
12. Pada ayat ke 18, ALLAH SWT menyebut seseorang itu tidak akan menanggung dosa orang lain manakala ALLAH menceritakan pada ayat 36-37 bagaimana Ahli Neraka diseksa tanpa mati. Di akhirat nanti, kematian tidak lagi wujud kerana ianya sudah dimatikan oleh ALLAH. Apabila diseksa tanpa mati, Ahli Neraka meraung-raung dan mengharapkan agar dapat kembali semula ke dunia. Lalu ALLAH SWT menempelak mereka kerana tidak menggunakan umur yang diberikan di dunia untuk mengambil peringatan yang disampaikan oleh pemberi peringatan (para Nabi, Ulama’, uban di kepala dan sebagainya). 13. Ayat terakhir Surah Faathir menceritakan jika ALLAH SWT ingin menghukum manusia di atas segala kejahatan yang dilakukan mereka, sudah pasti DIA akan menghancurkan alam yang tidak akan ada satu pun makhluk yang boleh hidup lagi. Ayat ini menunjukkan betapa luasnya rahmat ALLAH SWT berbanding dengan azab-NYA (Ayat 45). 14. Ayat 13-27 Surah Yasin menceritakan tentang sebuah negeri di mana telah diutuskan kepada penduduk negeri ini tiga Rasul dan mereka tidak menerimanya. Kemudian mereka didatangi seorang lelaki lain yang diberi gelaran Habibunnajar (Ayat 20) yang menyokong tiga Rasul tersebut, lalu beliau dibunuh dan dikira sebagai syahid. Selepas beliau syahid, ALLAH memerintahkan beliau agar masuk ke dalam syurga (Ayat 26-27). 15. Menurut tafsiran beberapa ulama’, Habibunnajar adalah seorang yang sangat bagus kerana beliau menasihati kaumnya ketika hidup (Ayat 21-25) dan selepas beliau meninggal dunia (Ayat 26-27). Itulah yang dilakukan oleh para ulama’ yang mana ketika mereka hidup dan selepas mereka meninggal dunia, masih tetap menasihati manusia dengan meninggalkan legasi keilmuan mereka melalui karya dan tulisan mereka. Oleh sebab itu, kita harus membina legasi ilmu supaya kita boleh menasihati umat Islam ketika masih hidup dan juga selepas mati. Allahu a’lam.
JUZUK 23 1. Juzuk ini mengandungi empat surah iaitu bahagian kedua Surah Yaasin, Surah AsSaffat, Surah Sodd dan Surah Az-Zumar. 2. Ayat 28-31 Surah Yaasin menceritakan tentang kesudahan penduduk sebuah negeri (dikatakan sebagai Antoqiah, Turki) yang mengingkari arahan Rasul yang diutus kepada mereka lalu mereka dimusnahkan oleh ALLAH SWT dengan satu jeritan kuat oleh Jibril A.S. Di dalam surah ini juga ALLAH SWT menceritakan tentang kuasa-NYA pada bumi, tanaman, kapal di lautan dan sebagainya. 3. Ayat 51-54 ALLAH SWT menceritakan mengenai peristiwa Akhirat seperti berlakunya tiupan sangkakala lalu manusia terkejut dan mereka mempersoalkan siapa yang mengejutkan mereka daripada tidur yang lama (Ayat 52). Ayat 55-58 pula adalah mengenai dialog Ahli Syurga yang menyatakan kegembiraan mereka berada di dalam syurga kerana mendapat buah-buahan dan semua hajat yang mereka kehendaki. Dan ALLAH SWT juga mengatakan ucapan kesejahteraan daripada Tuhan Yang Maha Pengasih. Ini berlaku ketika para Ahli Syurga sedang menikmati pelbagai nikmat di Syurga, lalu ALLAH SWT datang kepada mereka dengan memperlihatkan wajah-NYA kepada mereka. Sesungguhnya ini adalah nikmat yang paling tingggi di dalam Syurga. 4. Di akhir Surah Yaasin ini ALLAH SWT menceritakan tentang seorang lelaki biadap pada zaman NABI SAW (dikatakan namanya adalah Ubai Bin Khalaf) yang membawa tulang hancur berjumpa dengan NABI SAW. Baginda ditanyakan siapa yang mampu menghidupkan tulang tersebut sedangkan ianya sudah hancur berkecai di dalam tanah lalu ALLAH SWT menjawab bahawa jika ALLAH SWT mampu mencipta tulang yang pada asalnya tiada, maka tidak mustahil bagi-NYA untuk menghidupkan kembali tulang yang sudah hancur itu (Ayat 77-83). 5. Dinamakan dengan Surah As-Saffat sebagai merujuk kepada para malaikat yang berada di dalam sof yang teratur kerana melaksanakan arahan ALLAH SWT. Ayat 1- 10 menceritakan mengenai sifat para malaikat dan langit yang dekat dihiasi dengan bintang-bintang sebagai perhiasan langit kepada manusia. Ia juga menjadi penjaga daripada pencerobohan jin dan syaitan. Disebabkan itulah kebanyakan orang yang mempelajari Ruqyah membaca 10 ayat ini kerana disebut di dalamnya bagaimana jin dan syaitan yang cuba mencuri khabar dari langit akan dikejar tahi bintang.
6. Pada ayat 11-74 diceritakan mengenai peristiwa Akhirat di mana para Ahli Neraka saling menyalahi antara satu sama lain manakala diceritakan juga mengenai nikmat Ahli Syurga. Perkara yang menarik di dalam ayat ini adalah bagaimana ahli syurga bersosial sesama mereka dan mereka cuba mencari teman mereka yang dahulu sewaktu di dunia kufur kepada ALLAH SWT. Lalu ALLAH menawarkan kepada mereka untuk mencari teman-teman mereka yang berada di tengah-tengah neraka Jahannam (Ayat 54). 7. Bermula ayat ke 76 hingga akhir surah ini diceritakan mengenai kisah para Nabi seperti Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Ishak, Nabi Ilyas dan sebagainya. Ayat 79 merupakan pujian kepada Nabi Nuh A.S. oleh semua makhluk di alam semesta kerana Baginda merupakan bapa kedua manusia yang bertanggungjawab menyelamatkan zuriat manusia. 8. Ada yang menggunakan ayat ini untuk mengelakkan bahaya dari binatang berbisa seperti ular dan kala jengking. Namun, di sana terdapat doa yang lebih sahih daripada NABI SAW yang terlebih dahulu sepatutnya diamalkan untuk mengelakkan diri dari bahaya makhluq jahat termasuk binatang berbisa. 9. Ayat 83 menceritakan mengenai Nabi Ibrahim A.S. yang memusnahkan berhala, kemudian Baginda dibakar oleh musuh dan diselamatkan ALLAH SWT. Lalu Baginda lari menyelamatkan diri dan berdoa agar dikurniakan zuriat yang soleh (Ayat 100). Kemudian, Nabi Ibrahim A.S. diberikan arahan untuk menyembelih anaknya sendiri yang akhirnya digantikan dengan sembelihan yang lain (Ayat 102-107). 10. Ayat 139-148 adalah cerita berkenaan Nabi Yunus A.S. yang mana terdapat dua perkara menarik di dalam kisah ini; i) ALLAH SWT memberitahu kenapa doa Nabi Yunus A.S. ketika berada di dalam perut ikan dimakbulkan (Ayat 143). Ayat ini bermaksud sejauh mana ALLAH SWT akan memakbulkan doa ketika di dalam kesusahan adalah bergantung sebanyak mana ingatnya kita kepada ALLAH SWT ketika di dalam kesenangan. ii) Selepas Nabi Yunus A.S. dimuntahkan oleh ikan, Baginda jatuh sakit, kemudian ditumbuhkan sejenis pokok untuk melindungi Baginda (Ayat 145-146). Timbul persoalan di sini kenapa ALLAH SWT menurunkan dua ayat tersebut secara berturutan. 11. DI dalam Surah Sodd juga terdapat kisah para Nabi, antaranya Nabi Daud A.S. yang menyelesaikan pertikaian antara dua pihak yang bertelagah (Ayat 21-26). Nasihat Nabi Daud A.S. pada ayat 24 relevan sehingga sekarang terutama sebagai peringatan kepada mereka yang membuat perkongsian perniagaan yang boleh melakukan kezaliman sesama mereka kecuali orang yang beriman dan saling menjaga amanah.
12. Kisah Nabi Sulaiman A.S. juga disebut di dalam surah ini, bagaimana Baginda diuji dan Baginda berdoa agar diberikan kerajaan dan kelebihan yang tidak akan diberikan kepada mana-mana manusia lain selepasnya (Ayat 35). Ketika menafsirkan ayat ini, para ulama’ mengaitkannya dengan kisah di mana NABI SAW diganggu oleh iblis (dikatakan Jin Ifrit), lalu Baginda menangkapnya dengan izin ALLAH SWT dan bercadang untuk mengikatnya pada tiang Masjid Nabawi agar semua manusia boleh mengenali bagaimanakah rupa iblis. Namun Baginda SAW bersabda, kalau bukan kerana doa Nabi Sulaiman pada ayat 35 Surah Sodd ini, pastinya manusia boleh mengenali rupa jin dan syaitan. 13. Surah Az-Zumar yang bermaksud rombongan-rombongan merujuk kepada Ahli Syurga dan Ahli Neraka yang berada di dalam rombongan masing-masing untuk ke destinasi mereka (disebut di akhir surah ini). Ayat 17-18 surah ini menceritakan bagaimana ALLAH SWT memberikan khabar gembira kepada mereka yang mendengar percakapan manusia, lalu memilih apa yang terbaik darinya. Mereka ini adalah golongan yang mendapat hidayah ALLAH SWT dan diberikan akal yang bijak. Berdasarkan ayat ini, kita mesti menjadi orang yang pandai memilih yang terbaik dan ayat ini boleh dijadikan doa untuk kita semua amalkan. Allahu a’lam.
JUZUK 24 1. Juzuk ini mengandungi tiga surah iaitu bahagian akhir Surah Az-Zumar, Surah Ghafir (Allah Maha Pengampun) dan Surah Fussilat (Dijelaskan Segala-galanya). 2. Ayat 42 Surah Az-Zumar adalah mengenai keajaiban jiwa dan roh manusia. ALLAH SWT memberitahu bahawa DIA yang memegang jiwa manusia ketika manusia tidur dan mati. Oleh sebab itu, NABI SAW mengajar kita doa sebelum tidur dan selepas bangun dari tidur ada kaitannya dengan hidup dan mati. Ayat ini juga sangat luas perbincangannya terutama berkaitan dengan roh dan otak manusia. 3. Ayat 53-55 memberitahu kita supaya tidak berputus asa dengan rahmat ALLAH SWT. Ayat 53 merupakan ayat yang mempunyai harapan paling tinggi kerana padanya terdapat panggilan ALLAH SWT terhadap hamba-hamba yang melampaui batas supaya tidak berputus asa dengan rahmat-NYA. Ayat ini boleh digunakan sebagai memberi harapan kepada hamba yang melakukan dosa dan kesalahan agar kembali bertaubat kerana pintu taubat sentiasa terbuka. 4. Kisah berkenaan Ahli Neraka dan Ahli Syurga yang dikumpulkan bersama rombongan masing-masing diceritakan pada bahagian akhir Surah Az-Zumar (Ayat 71-75). Rombongan Syurga mendapat penghormatan daripada malaikat dan dibawa ke Syurga manakala rombongan Neraka menerima penghinaan dan dibawa ke Neraka. 5. Surah Ghafir mempunyai dua maksud iaitu; i) Maha Pengampun (Ayat 3), ii) Dikenali juga sebagai Surah Mukmin kerana padanya terdapat kisah orang beriman yang menyembunyikan imannya (Ayat 28). 6. Ayat 7-9 menceritakan tentang Malaikat Pemikul ‘Arash yang sentiasa bertasbih kepada ALLAH SWT dan mendoakan keampunan bagi orang beriman. Antara doa para malaikat adalah kita dimasukkan ke dalam Syurga bersama ahli keluarga kita yang soleh dan dijauhkan dari azab Neraka. Inilah kelebihan orang beriman yang sentiasa didoakan oleh para malaikat walaupun ketika tidur. Semoga kita semua tergolong di dalamnya. 7. Ayat 23-46 pula adalah berkenaan kisah Nabi Musa A.S. dan Firaun. Menariknya, di dalam kisah ini, terdapat cerita mengenai seorang lelaki beriman yang menyembunyikan imannya dalam kalangan bangsa Firaun, yang cuba mempertahankan Nabi Musa A.S. daripada dibunuh (Ayat 28). Namun, nyawa beliau juga turut terancam dan ALLAH SWT menyelamatkannya dari kejahatan bangsa Firaun (Ayat 45).
8. Namun, keberanian Abu Bakar As-Siddiq lebih hebat dari lelaki ini. Pada suatu ketika, Ali R.A. pernah menceritakan bahawa NABI SAW diganggu ketika berada di Kaabah. Tiada siapa yang berani mempertahankan NABI SAW pada waktu itu melainkan Abu Bakar As-Siddiq. Beliau mendekati NABI SAW dan melindungi Baginda SAW daripada dipukul oleh kaum musyrikin Quraisy. Abu Bakar As-Siddiq menggunakan dialog sama yang digunakan oleh lelaki beriman di dalam ayat 28 Surah Ghafir, “Patutkah kamu membunuh lelaki ini semata-mata kerana dia mengatakan Tuhannya adalah ALLAH?” Namun, Abu Bakar As-Siddiq lebih berani dari lelaki beriman tersebut kerana Abu Bakar As-Siddiq mengisytiharkan imannya manakala lelaki tersebut menyembunyikan imannya. 9. Ayat 47-52 menceritakan tentang peristiwa Akhirat yang mana ahli keluarga Firaun dipertontonkan dengan azab pagi dan petang. 10. Dinamakan sebagai Surah Fussilat kerana di dalam Al-Quran dijelaskan semua perkara sebagai panduan kepada umat manusia. Pada ayat 9-12 diceritakan mengenai peringkat penciptaan alam semesta seperti diciptakan bumi dalam tempoh dua masa, diciptakan gunung padanya dan diberikan keberkatan, diciptakan langit sebanyak tujuh lapisan dalam tempoh dua masa yang lain dan sebagainya. 11. Ayat 13-18 menceritakan tentang kisah dua umat manusia yang pernah wujud di dunia iaitu kaum ‘Aad dan kaum Tsamud manakala ayat 30 adalah mengenai kelebihan orang yang Istiqamah dan konsisten dalam keimanannya. Mereka mendapat khabar gembira dalam beberapa ketika iaitu; i) ketika meninggal dunia, ii) ketika berada di Alam Barzakh, iii) ketika berada di Akhirat. 12. ALLAH SWT mengajar kita tentang cara menghindari kejahatan syaitan manusia yang sentiasa ingin melakukan kejahatan (Ayat 34-35). Caranya adalah dengan membalas kejahatan tersebut dengan kebaikan walaupun sukar untuk dilakukan, namun ianya amat berkesan. Kejahatan untuk menghindari kejahatan syaitan jin adalah dengan meminta perlindungan dari ALLAH SWT (Ayat 36). 13. Pada ayat 37 terdapat prinsip saintifik yang perlu jelas pada diri orang beriman, iaitu walaupun terdapat kehebatan pada penciptaan malam, siang, langit dan bumi, ALLAH SWT jualah yang selayaknya disembah. Janganlah kita terlalu kagum pada kanvas alam ini yang menakjubkan, kerana ALLAH SWT adalah pelukis dan penciptannya. Allahu a’lam.
JUZUK 25 1. Juzuk ini mengandungi lima surah iaitu muka surat terakhir Surah Fussilat, Surah AsSyura (Mesyuarat), Surah Az-Zukhruf (Perhiasan), Surah Ad-Dukhan (Asap) dan Surah Al-Jatsiah (Oang yang berlutut). 2. Ayat 53 Surah Fussilat menceritakan tentang tanda-tanda kebesaran ALLAH SWT yang akan didedahkan sedikit demi sedikit pada tubuh badan manusia dan di ufuk alam maya (gelombang, wifi dsb) bersesuaian dengan perkembangan ilmu manusia. Ayat ini memberikan galakan untuk membuat kajian-kajian ilmiah yang boleh memberikan manfaat kepada manusia dan membuktikan kebesaran ALLAH SWT. 3. Dinamakan As-Syura bersempena dengan ayat 38 surah ini yang menyatakan bahawa antara sifat orang beriman adalah sentiasa melakukan syura (mesyuarat) untuk mencari keputusan yang terbaik. Pada bahagian hujung ayat 11, ALLAH SWT menyatakan bahawa tiada suatu pun yang boleh menyerupai ALLAH SWT. Justeru itu, kita sangat dilarang untuk menyamakan ALLAH SWT dengan apa jua makhluk yang ada di alam ini. 4. Ayat 21 Surah As-Syura menyatakan larangan mencipta syariat baru di dalam agama. Orang yang mencipta syariat baru ini sedang mencabar kuasa ALLAH SWT kerana seolah-olah DIA telah mewahyukan kepada orang tersebut untuk mencipta sebarang syariat baru. Di dalam ayat 23, kita disuruh supaya berlaku baik kepada Ahlil Bait RASULULLAH SAW manakala di dalam ayat 27-28 diceritakan mengenai rahsia rezeki yang mana ada manusia yang dilapangkan rezeki dan ada yang disempitkan rezeki. Kesemua itu berlaku dengan hikmahnya yang tersendiri. Ayat ini juga merupakan dalil jelas yang memberitahu bahawa hujan adalah rahmat dari ALLAH SWT (Ayat 28). Di atas sebab itu jugalah, antara doa yang mustajab adalah ketika turunnya hujan. 5. Ayat 29 menceritakan tentang adanya makhluq yang melata di langit dan bumi. Prof. Dr. Wahbah Zuhaili mengatakan bahawa terdapat makhluq selain manusia manakala malaikat tidak termasuk di dalam kategori ini kerana ALLAH menggunakan perkataan ‘Ad-Dabbah’ yang mana ianya merupakan spiesis seperti manusia dan haiwan. Justeru, ia menjadi persoalan kepada kita untuk membuat kajian selanjutnya yang lebih mendalam, adakah terdapat makhluq lain (yang kita namakan sebagai makhluq asing), di planet selain Bumi? Allahu a’lam. 6. ALLAH SWT memberitahu bahawa segala musibah yang menimpa diri manusia itu adalah disebabkan kesalahan manusia itu sendiri seperti masalah kesihatan yang berpunca dari kelalaian kita yang tidak menjaganya dengan baik. Namun begitu, menurut seorang Tabiin yang bernama Adhaq, seorang penghafaz Quran ditimpa musibah melupai Al-Quran disebabkan oleh diri sendiri yang tidak mengulangkaji hafazan yang telah dihafaz (Ayat 30).
7. Di dalam ayat 49-50 dinyatakan mengenai ujian ALLAH SWT kepada hamba-NYA. Ada yang diberikan anak yang berbeza jantina seperti yang diinginkan dan ALLAH lah yang menentukan jantina tersebut mengikut kehendak-NYA. Ada yang sudah ditentukan oleh ALLAH SWT tentang jodohnya dan ada yang dijadikan mandul seperti Nabi Zakaria A.S. pada awalnya sehinggalah Baginda dikurniakan anak. 8. Ayat 51 Surah As-Syura menceritakan tentang sifat manusia yang tidak boleh melihat ALLAH SWT dan hanya boleh bercakap dengan-NYA melalui wahyu. Ketika peristiwa Mikraj yang mana NABI SAW naik ke langit, sesetengah sahabat R.A. mengatakan Baginda SAW melihat ALLAH SWT, namun Aisyah R.A. menafikan perkara tersebut dengan membawakan beberapa dalil dari Al-Quran, antaranya ialah ayat 51 surah ini dan ayat 103 Surah Al-An’am. Di dalam ayat 52 pula menyatakan bahawa NABI SAW tidak pernah menyangka Baginda akan diberikan wahyu oleh ALLAH SWT. 9. ALLAH SWT menceritakan tentang pemberian nikmat-NYA yang pelbagai kepada manusia seperti kenderaan yang disebut di dalam ayat 12-14 Surah Az-Zukhruf. Pada ayat 13-14 terdapatnya doa yang sesuai diamalkan sebelum menaiki kenderaan. Ayat 18-19 pula adalah tempelak ALLAH SWT kepada kaum musyrikin yang mengatakan bahawa malaikat itu adalah anak perempuan ALLAH SWT. Berdasarkan ayat ini, para ulama’ tafsir mengatakan bahawa anak perempuan dibolehkan untuk memakai perhiasan, tidak pada anak lelaki. 10. Kisah Nabi Ibrahim A.S. diceritakan pada ayat 26-32 yang mana menceritakan bagaimana Baginda A.S. meletakkan kalimah Tauhid sebagai kalimah yang kekal untuk zuriat keturunan Baginda (Ayat 28) manakala diceritakan juga mengenai kisah Nabi Musa A.S. dan Firaun pada ayat 46-56. 11. Ayat 57 Surah Az-Zukhruf boleh disalah tafsir jika tidak difahami dan dibaca bersama ayat 98 Surah Al-Anbiya’. Ketika NABI SAW membacakan ayat 98 Surah Al-Anbiya’ kepada kaum musyrikin, mereka berasa gementar dan berdiam diri. Namun, datang seorang penyair, Ibnu Ziba’ri mencabar NABI SAW dengan mengatakan bahawa Nabi Isa A.S. juga termasuk sembahan selain ALLAH yang disembah oleh orang Nasrani, adakah Nabi Isa A.S. juga akan dimasukkan ke neraka jika berdasarkan ayat 98 tersebut? Apabila kaum musyrikin mendengar hujah ini, lalu mereka pun bersorak gembira (seperti yang dinyatakan di dalam ayat 57 Surah Az-Zukhruf). 12. Hujah tersebut adalah hujah yang sangat rapuh kerana perkataan “wa ma” di dalam ayat 98 Surah Al-Anbiya’ adalah merujuk kepada sesuatu yang tidak berakal seperti berhala, patung dsb sedangkan Nabi Isa A.S. itu adalah seorang manusia.
13. Ayat 67 menceritakan tentang teman rapat kita di dunia ini akan menjadi musuh di Akhirat kelak melainkan orang yang bertaqwa kerana persahabatan orang bertaqwa adalah persahabatan sejati yang kekal sehingga ke Akhirat. Di dalam ayat 71 pula diceritakan tentang nikmat syurga yang akan diberikan kepada orang yang beriman. Menariknya, apabila Al-Quran menceritakan tentang nikmat syurga kepada kaum lelaki, biasanya disebut perihal bidadari syurga, namun ayat 71 memberitahu nikmat syurga secara umum yang diberikan kepada kaum perempuan. Mengapa? Ini kerana kehendak lelaki lebih tertumpu kepada wanita manakala kehendak wanita adalah lebih luas skopnya seperti suka kepada emas, perak, kain dan sebagainya. Ini bermakna ALLAH SWT sangat adil dalam meraikan fitrah manusia yang pelbagai. Subhanallah!! 14. Asap yang diceritakan di dalam Surah Ad-Dukhan bukanlah asap akhir zaman, tetapi ia merujuk kepada asap disebabkan oleh kemarau panjang yang menimpa musyrikin di Mekah sebagai bala ALLAH SWT kepada mereka. Ayat 12 surah ini adalah merupakan doa kaum musyrikin agar dihindarkan azab tersebut barulah mereka akan beriman kepada ALLAH dan Rasul-NYA. Kisah kematian Firaun yang tidak diterima dan ditangisi pun oleh langit, bumi serta penduduknya diceritakan pada ayat 29. Hal ini berbeza dengan orang beriman yang akan ditangisi kematiannya oleh langit dan bumi. 15. Dinamakan sebagai Surah Al-Jatsiah bersempena dengan kisah manusia yang dikumpulkan di Mahsyar kelak, mereka berada dalam keadaan ketakutan yang teramat sangat tatkala melihat azab ALLAH SWT. Lalu mereka jatuh berlutut di atas lutut mereka dan tidak mampu lagi berdiri dek kerana terlampaunya rasa takut yang menimpa diri mereka. Mesej utama surah ini adalah pada ayat 23 yang mengatakan bahawa nafsu boleh menjadi tuhan sembahan manusia yang gila. Nafsu hanyalah sebagai pelengkap di dalam kehidupan manusia. Tanpa nafsu, manusia mungkin tidak akan berkembang, namun keterlaluan mengikut nafsu menjadikan manusia lebih teruk berbanding haiwan. Allahu a’lam.
JUZUK 26 1. Juzuk ini mengandungi enam surah iaitu Surah Al-Ahqaf (Bukit Pasir), Surah Muhammad, Surah Al-Fath, Surah Al-Hujurat, Surah Qaf & Surah Adz-Dzariyat. 2. Surah Al-Ahqaf bermaksud bukit pasir. Ia adalah tempat tinggal Kaum ‘Aad, bertempat di Yaman yang diutuskan kepada mereka Nabi Hud A.S. Ayat 4 surah ini mempunyai satu perkataan yang perlu dibaca dengan cara yang unik dan tidak mengikut kaedah yang biasa (يِونُتْائ .(Ayat 9 pula adalah penegasan NABI SAW bahawa Baginda tidak mengetahui perkara ghaib manakala ayat 15 adalah perbincangan tentang tanggungjawab seorang anak untuk berlaku baik terhadap ibu bapa. 3. Ayat 15 ini menekankan untuk berbakti kepada ibu dek kerana tempoh kandungan dan susuannya adalah selama 30 bulan. Di dalam ayat 223 Surah Al-Baqarah dinyatakan bahawa tempoh penyusuan lengkap selama 2 tahun lengkap. Jadi, tempoh minimum mengandung adalah selama 6 bulan. Berdasarkan fakta inilah, para ulama’ berfatwa, kandungan yang berusia 6 bulan dan ke atas dikira sebagai anak sah taraf. Ayat ini juga membincangkan umur dewasa bagi seorang lelaki adalah 40 tahun. Jadi, dinasihatkan kepada mereka yang telah mencapai umur ini agar segera bermuhasabah tentang diri sendiri dan mentaati ALLAH SWT. 4. Ayat 20 pula ALLAH menyatakan tentang hari di mana orang kafir didedahkan dengan azab neraka, lalu hilanglah semua kenikmatan yang mereka rasai ketika di dunia dulu. Para sahabat sangat bimbang perkara ini berlaku ke atas mereka ketika membaca ayat ini. Menariknya, pada ayat 29-32, terdapat kisah mengenai sekumpulan jin yang dihadapkan oleh ALLAH SWT kepada RASULULLAH SAW untuk diperdengarkan bacaan Al-Quran. Lalu para jin ini pulang dan berdakwah kepada bangsa mereka. Adab supaya fokus dan diam apabila mendengar Al-Quran dibacakan disebut di dalam ayat 29 Surah Al-Ahqaf ini sama seperti ayat 204 Surah Al-A’raf. 5. Dinamakan Surah Muhammad bersempena dengan nama NABI SAW kerana di awal surah ini disebut mengenai Baginda SAW. Ayat 4 surah ini menceritakan tentang apa yang perlu dilakukan semasa dan selepas peperangan. Ayat ini sering disalah fahami oleh sesetengah golongan ekstrem yang mengatakan bahawa Islam memberi kebenaran untuk umatnya memenggal kepala orang kafir. Walhal, ayat 4 ini perlu difahami di dalam konteks peperangan. 6. Ayat 15 Surah Muhammad menceritakan tentang empat batang sungai yang ajaib di dalam Syurga iaitu; i) Sungai dari air bersih yang tidak berubah warna dan rasa, ii) Sungai dari susu yang tidak berubah warna dan rasa, iii) Sungai dari arak yang boleh diminum dan iv) Sungai dari madu yang bersih. 7. Di dalam ayat 19 pula, NABI SAW diminta agar berdoa untuk keampunan di atas dosa yang dilakukan dan memohon keampunan untuk seluruh orang beriman. Dua perkara
menarik di dalam ayat ini; 1) ALLAH SWT mengajar NABI SAW supaya bersikap rendah diri, walaupun Baginda adalah seorang yang maksum (dilindungi dari melakukan dosa), Baginda SAW pun digalakkan untuk berdoa, ii) Selitkan bersama doa memohon keampunan untuk seluruh orang beriman, lelaki dan perempuan di dalam doa. 8. Ayat 37-38 adalah nasihat ALLAH SWT kepada umat Islam supaya bersedekah. Sesungguhnya sedekah yang diminta itu cumalah sedikit kerana ianya boleh menyebabkan kamu menjadi bakhil dan menimbulkan kemarahan, dengki dan sebagainya. Inilah hikmah pengeluaran zakat yang mana ianya dapat membersihkan jiwa dan hati manusia dari sifat buruk. 9. Surah Al-Fath bermaksud Pembukaan atau Kemenangan. Secara umumnya surah ini adalah kisah mengenai kemenangan Umat Islam selepas Perjanjian Hudaibiyah dan surah ini sangat menggembirakan hati RASULULLAH SAW. Pada ayat 27, ALLAH SWT membenarkan mimpi yang dilihat oleh NABI SAW yang mana Baginda bermimpi menunaikan umrah bersama-sama dengan para sahabat R.A. Berikutan mimpi tersebut, NABI SAW keluar menuju ke Mekah untuk menunaikan umrah pada tahun ke-6 Hijri. Namun, Baginda SAW dihalang dan termeterai lah Perjajian Hudaibiyah. 10. Surah Al-Fath turun sekembalinya NABI SAW dari Hudaibiyah. ALLAH SWT memberikan jaminan kemenangan dan kejayaan untuk umat Islam seluruhnya. Para ulama’ mentafsirkan, jika tidak terjadinya Perjanjian Hudaibiyah dan umat Islam tidak dihalang, sudah tentu kemenangan Islam dalam menakluki semula Mekah pada tahun ke-8 Hijrah tidak akan berlaku. 11. Surah Al-Hujurat yang bermaksud bilik-bilik, membincangkan tentang adab-adab bersosial. Surah ini sangat sesuai untuk difahami dan dihayati pada era penggunaan media sosial yang tiada sempadan seperti hari ini. Berita disebar tanpa disemak kesahihannya, ejek-mengejek sesama manusia, sindir-menyindir berlaku, berburuk sangka, mengumpat secara besar-besaran dan sebagainya. Semua adab dan sikap yang sepatutnya diamalkan ketika bersosial sesama manusia, diajar dan diberitahu di dalam Surah Al-Hujurat. Ianya juga boleh menjadi benteng penghalang dari terlibat di dalam dosa-dosa sosial yang berlaku tanpa kita sedari. 12. Surah Qaf yang merupakan Surah Makkiyyah (diturunkan di Mekah) menceritakan perihal Akhirat. Di dalam ayat 18 surah ini, ALLAH SWT menyatakan bahawa setiap perkataan yang kita sebut akan dicatat oleh malaikat samada yang baik mahupun yang buruk. Pada zaman media sosial yang berleluasa, segala tulisan yang ditulis oleh tangan juga akan dicatat dan dipertanggungjawabkan di Akhirat kelak. 13. Ayat 22 pula menceritakan perihal Hari Kebangkitan di mana manusia dibangkitkan semula dan diperlihatkan suasana Akhirat yang dahulunya mereka tidak percaya dan beriman dengannya. Allahu a’lam.
JUZUK 27 1. Juzuk ini mengandungi tujuh surah bermula dari surah ke-51 iaitu Surah Adz-Dzariyat sehingga Surah Al-Hadid. 2. Adz-Dzariyat bermaksud angin yang bertiup. Ayat 56 surah ini membincangkan tentang tujuan utama jin dan manusia diciptakan iaitu untuk beribadat kepada ALLAH SWT. Ayat ini perlu difahami sebaiknya dengan menghayati ayat-ayat seterusnya di mana ALLAH mengatakan bahawa DIA tidak sekali pun memerlukan makhluq, bahkan makhluq lah yang memerlukan ALLAH SWT kerana DIA yang Maha Pemberi Rezeki dan Maha Kukuh kekuasaan-NYA (Ayat 57-58). Berdasarkan tiga ayat ini, para ulama’ menafsirkan bahawa ALLAH SWT sangat marah pada hamba-NYA yang sibuk mencari rezeki sehingga lupa menunaikan solat kerana ianya seolah-olah menjadikan majikannya sebagai tuhan yang memberi rezeki. 3. Dinamakan dengan nama At-Tur kerana di awal surah ini ALLAH SWT bersumpah dengan Gunung Tursinai. ALLAH SWT juga bersumpah dengan beberapa perkara lain di dalam surah ini selain Gunung Tursinai, iaitu seperti bersumpah dengan Kaabah di Mekah dan lautan yang mempunyai api di dalamnya. 4. Di dalam Surah At-Tur juga diceritakan tentang balasan bagi orang yang menentang ALLAH SWT dan ganjaran bagi mereka yang beriman dengan-NYA. Menariknya, ALLAH SWT berjanji bahawa orang beriman akan dikumpulkan bersama dengan zuriat keturunan mereka di Syurga kelak, dengan syarat mereka semua beriman kepada ALLAH SWT (Ayat 21). Ayat 25-28 adalah perkumpulan semula (reunion) ahli Syurga yang mana mereka saling berkata tentang amalan mereka di dunia yang menyebabkan mereka diberikan ganjaran syurga. 5. Peristiwa menarik di dalam Surah An-Najm (Bintang) adalah berkaitan dengan kisah NABI SAW naik ke langit di dalam peristiwa perjalanan Isra’ dan Mikraj. Bukti NABI SAW Isra’ (bergerak dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa) berada pada ayat pertama Surah Al-Isra’ manakala Mikraj NABI SAW (naik ke langit) diceritakan di dalam Surah An-Najm bermula ayat pertama sehingga ayat 18 yang mana berkaitan dengan apa yang telah disaksikan oleh Baginda SAW di langit. 6. Ayat 32 Surah An-Najm adalah teguran ALLAH SWT kepada manusia supaya tidak memuji diri sendiri kerana bersih dari segala dosa kerana hanya DIA yang tahu siapakah yang bertaqwa dalam kalangan hamba-NYA. Larangan ini bermaksud kita tidak boleh beranggapan bahawa diri kita lebih baik dan lebih suci dari dosa berbanding orang lain. Menariknya, sekali lagi prinsip di dalam Islam diceritakan pada ayat 38-39 yang mana tiada sesiapa yang akan menanggung dosa orang lain melainkan dosanya sendiri. ALLAH SWT memberitahu ketawa dan menangis itu adalah bukti kekuasaan-NYA (Ayat 43). Namun begitu, kita tidak dibenarkan untuk ketawa secara
berlebihan kerana ianya boleh menyebabkan hati kita mati dan memudharatkan kesihatan rohani. 7. Surah Al-Qamar (Bulan) menceritakan tentang kisah-kisah Nabi A.S. seperti Nabi Nuh, Nabi Hud, Nabi Soleh, Nabi Lut dan sebagainya. Di awal surah ini, diceritakan tentang NABI SAW yang diberikan mukjizat membelah bulan (Ayat 1-2). Ayat 44-45 diturunkan di Mekah dan Aisyah R.A. pada ketika itu masih lagi seorang kanak-kanak. Namun kedua-dua ayat ini dibaca semula oleh NABI SAW di dalam Perang Badar selepas Baginda SAW berdoa. Ini menunjukkan bukti kekuasaan ALLAH SWT yang mengetahui apa yang akan berlaku pada masa hadapan kerana ayat ini diturunkan sebelum berlakunya peristiwa tersebut. 8. Surah Ar-Rahman bermaksud ALLAH SWT yang Maha Pemurah dan kemuncak sifat Pemurah ALLAH SWT disebut di dalam ayat 1-2 yang mana surah ini dimulakan dengan menyebut AL-Quran. Ini menunjukkan bahawa Al-Quran adalah bukti ALLAH SWT Maha Pemurah. Dengan adanya Al-Quran, semua perkara wujud. Di dalam surah ini diulang sebanyak 31 kali ayat sama yang menyoal sekalian manusia dan jin, apakah nikmat ALLAH SWT yang hendak didustakan? 9. Di dalam Surah Ar-Rahman ini juga terdapat kisah ahli Neraka (Ayat 35-45) dan ahli Syurga (46-78). Terdapat dua jenis syurga diceritakan di dalam surah ini iaitu Syurga Kelas Tinggi dan Syurga Kelas Rendah. 10. Sebahagian ulama’ tafsir membuat empat pecahan pada 31 ayat sama yang diulangulang dalam surah ini, iaitu (8-7-8-8); i) Lapan pengulangan yang pertama adalah berkenaan pelbagai nikmat ALLAH SWT berikan, nikmat yang manakah manusia dan jin akan beriman? ii) Tujuh pengulangan yang berikutnya diulang kepada ahli Neraka, kerana pada Neraka itu terdapat tujuh pintu, iii) Lapan pengulangan yang berikutnya apabila menceritakan tentang nikmat Syurga Kelas Tinggi dan, iv) Lapan pengulangan yang terakhir apabila diceritakan tentang nikmat Syurga Kelas Rendah. Lapan kali pengulangan ini kerana pada Syurga itu terdapat lapan pintu. 11. Pecahan ini juga bermaksud, sesiapa yang beriman dengan lapan nikmat yang pertama, akan dihindarkan dari tujuh yang kedua (iaitu Neraka) dan akan dimasukkan pada salah satu lapan yang ketiga (Syurga Kelas Tinggi) atau lapan yang keempat (Syurga Kelas Rendah). Ini antara contoh keajaiban Surah Ar-Rahman. 12. Surah Al-Waqi’ah menceritakan perihal peristiwa Kiamat. Jadi, kurang tepat untuk mengatakan bahawa sesiapa yang membaca surah ini akan dimurahkan rezeki kerana tiada dalil yang sahih mengatakan begitu. Isi kandungan sebenar surah ini menceritakan tentang tiga kumpulan yang terbentuk apabila berlakunya kiamat. Kumpulan Pertama adalah golongan yang mempunyai keimanan yang tinggi terhadap ALLAH SWT dan Rasul-NYA (Ahli VIP Syurga). Kumpulan Kedua adalah golongan yang menerima buku amalan dengan tangan kanan (Ahli Syurga) manakala Kumpulan
Ketiga (Ahli Neraka) adalah golongan yang menerima buku amalan dengan tangan kiri. Apabila membaca surah ini, berdoalah supaya dimasukkan bersama Kumpulan Pertama dan Kedua dan dihindarkan dari menjadi Golongan Ketiga. 13. Pada awal Surah Al-Hadid (Besi) diceritakan tentang kelebihan bersedekah (Ayat 7), yang mana ALLAH SWT mengatakan harta yang ada di sisi kita adalah milik ALLAH SWT dan kita hanyalah pemegang amanah sahaja. Ayat 10 menceritakan tentang perbezaan ganjaran yang diterima oleh para sahabat yang bergantung pada ketika mana mereka beriman samada sebelum atau selepas Pembukaan Kota Mekah. Ayat 22-23 menceritakan tentang segala yang berlaku di bumi tidak terjadi dengan kebetulan melainkan ianya telah berada di dalam pengetahuan ALLAH SWT. Ayat 25 mnceritakan tentang asal-usul kejadian besi yang mana asalnya adalah daripada langit. 14. Dalam ayat 25, diturunkan dua perkara kepada Rasul yang diutuskan oleh ALLAH SWT, iaitu Kitab yang mempunyai neraca timbangan ilmu dan besi. Ulama’ berpendapat bahawa kedua-dua perkara itu (Kitab dan Besi) adalah bagaimana Islam yang akan dibawa oleh para Rasul dan ianya adalah kiasan yang membawa maksud; i) Kitab sebagai hujah dan, ii) Besi itu adalah Peperangan yang berlaku untuk mempertahankan diri dan mesti diikuti bersama dengannya Adab Berperang. 15. Dalam pendapat lain pula, ALLAH SWT menggunakan perkataan (Kami Turunkan) untuk kedua-dua perkara tersebut untuk menjaga keaslian dan kehebatan Bahasa AlQuran. Kemudian hujah ini dikuatkan dengan mengatakan bahawa segala perkara yang ada di bumi adalah sebenarnya berasal dari langit seperti air dan juga besi (di dalam ayat ini) dan ianya berlaku ketika fasa awal penciptaan alam semesta. Allahu a’lam.
JUZUK 28 1. Juzuk ini dimulakan dengan kisah utama di dalam Surah Al-Mujadalah, iaitu berkenaan seorang wanita yang telah diziharkan oleh suaminya lalu beliau mengadu kepada NABI SAW. Aisyah R.A. mengatakan bahawa ALLAH SWT memang Maha Mendengar dan Maha Melihat kerana ketika wanita tersebut mengadu kepada NABI SAW dalam keadaan berbisik, Aisyah R.A. hanya mendengar secara sayup-sayup sahaja. Selepas itu, turun beberapa ayat awal surah ini menceritakan perihal zihar dan hukum berkaitannya (Ayat 1-4). 2. Ayat 10 menceritakan tentang bisikan yang umumnya mengandungi elemen negatif seperti mengumpat, membuat perancangan jahat dan sebagainya. Ianya adalah hasil daripada hasutan syaitan. Ayat 11 pula menceritakan tentang adab di dalam majlis seperti melapangkan tempat di dalam sesuatu majlis supaya lebih ramai boleh masuk, memenuhi ruang kosong dan sebagainya. Adab ini adalah seruan untuk orang-orang beriman. 3. Surah AL-Hashr (Pengusiran) adalah kisah berkaitan dengan pengusiran kaum Yahudi Bani Nadhir dari Madinah kerana mereka cuba untuk membunuh NABI SAW (Ayat 2- 7). Di dalam surah ini juga diceritakan berkenaan kualiti beberapa kategori sahabat NABI SAW R.A. seperti golongan Ansar yang disebut oleh ALLAH SWT di dalam ayat 9 kerana mempunyai sifat terpuji iaitu itsar (mengutamakan orang lain melebihi diri sendiri). Bulan Ramadhan mengajar kita untuk menanam sifat ini di dalam diri. Ayat 11-16 adalah mengenai persekutuan yang wujud antara Yahudi di Madinah dan golongan munafiq. 4. Ayat 21-24 menceritakan tentang bagaimana bukit akan hancur jika diturunkan AlQuran padanya kerana takutkan ALLAH SWT dan kalam-NYA (Al-Quran). Di dalam ayatayat ini juga disebut beberapa nama ALLAH SWT yang menggambarkan sifat-NYA dan sangat bagus untuk kita masukkan di dalam doa kita. 5. Surah Al-Mumtahanah (Wanita yang Diuji) turun selepas Perjanjian Hudaibiyah yang ditandatangani pada tahun ke-6 Hijrah. Di antara isi Perjanjian tersebut adalah orang Mekah yang lari ke Madinah, hendaklah dihantar pulang manakala orang Madinah yang murtad dan pergi ke Mekah tidak perlu dihantar semula. Ada seorang wanita Muslim yang lari ke Madinah dari suaminya yang kafir di Mekah dan mengikut perjanjian ini, wanita tersebut perlu dihantar pulang. Namun, ALLAH SWT menurunkan ayat 10-11 surah ini, memberikan pengecualian kepada wanita itu kerana perjanjian yang disebut di atas hanya tertakluk kepada kaum lelaki. Bagi kes wanita tersebut, orang Madinah perlu membayar mahar perkahwinan kepada bekas suaminya yang kafir. 6. Kisah menarik di dalam Surah Al-Mumtahanah adalah berkenaan Hatib bin Abi Balta’ah, seorang sahabat NABI SAW dan merupakan Ahli Badar. Apabila RASULULLAH
SAW membuat perancangan untuk menggempur Kota Mekah pada tahun ke-8 Hijrah, Hatib secara senyap-senyap mengirim surat kepada keluarganya di Mekah supaya bersiap sedia. Lalu ALLAH SWT menyampaikan berita tersebut kepada NABI SAW melalui Malaikat Jibril A.S. dan kemudiannya Baginda SAW menghantar 3 orang sahabat untuk menyekat pembawa surat dan mengambil surat tersebut. 7. Apabila sampai surat itu kepada RASULULLAH SAW, Baginda bertanya kepada Hatib mengapa bertindak demikian. Lalu Hatib menjawab, beliau tidak berniat untuk membocorkan rahsia perancangan RASULULLAH SAW, namun beliau bimbang akan keselamatan keluarganya kerana tiada penjaga. Walaupun Umar Al-Khattab ingin membunuh Hatib dek kerana tindakannya yang boleh memusnahkan rancangan RASULULLAH SAW, Baginda menghalang Umar kerana Ahli Badar mempunyai kedudukan istimewa di sisi ALLAH SWT. 8. ALLAH SWT menurunkan ayat 1-3 Surah AL-Mumtahanah sebagai teguran kepada orang beriman agar tidak mengambil musuh yang memusuhi Islam sebagai teman rapat. Di dalam ayat 8-9 diceritakan berkenaan dua kategori orang kafir, iaitu yang tidak memusuhi Islam (Kafir Zimmi) dan yang memusuhi Islam (Kafir Harbi). 9. Surah As-Soff (Bersaf-saf) menceritakan bagaimana ALLAH SWT sangat menyukai orang yang ingin berjuang di jalan ALLAH dalam saf-saf tertentu yang diumpamakan dengan sebuah binaan yang kukuh (Ayat 4). Terdapat juga kisah Nabi Musa A.S. yang disakiti oleh Bani Israil (Ayat 5) dan Nabi Isa A.S. yang memberi khabar gembira akan datang seorang Nabi selepasnya yang bernama Ahmad (Ayat 6). Ini adalah petanda yang disebut di dalam Kitab Taurat dan Injil tentang kelahiran Nabi akhir zaman iaitu RASULULLAH SAW. 10. Diceritakan tentang teguran ALLAH SWT kepada Yahudi Madinah di dalam Surah AlJumu’ah kerana merasakan mereka adalah wali (ayat 6). Diceritakan juga tentang kepentingan Solat Jumaat dan suruhan ALLAH SWT agar keluar mencari rezeki (Ayat 9-11). 11. Surah Al-Munafiqun pula kisah mengenai orang munafiq. Apa yang menarik adalah pada ayat 10 yang menceritakan perkara yang akan kita kesali selepas kita mati, iaitu sedekah kerana tidak sempat melakukannya ketika hidup di dunia. ALLAH SWT menyuruh kita bersedekah daripada apa yang telah direzekikan kepada kita. Maka bersedekah lah pada waktu sekarang, bukan mengharap ketika ajal datang. 12. Surah At-Taghabun menceritakan tentang Hari Kiamat sebagai hari penyesalan. Ayat 14 adalah peringatan bahawa isteri dan anak-anak boleh menjadi musuh kepada diri kita yang menghalang dari melakukan kebaikan. Kisah di sebalik ayat ini adalah berkenaan beberapa orang Muslim yang memeluk Islam di tangan NABI SAW ketika di Mekah. Apabila diberikan arahan agar berhijrah ke Madinah, golongan ini enggan
berhijrah kerana sayangkan anak dan isteri mereka, lalu ALLAH SWT menurunkan ayat ini sebagai teguran kepada mereka. 13. Surah At-Talaq mengisahkan perihal cerai, tempoh iddah, hak wanita dan sebagainya. Ayat yang paling popular dalam kalangan masyarakat Melayu terdapat pada bahagian akhir ayat 2 dan keseluruhan ayat 3, yang dikenali sebagai Ayat Seribu Dinar. Secara konteksnya, di awal ayat kedua, ALLAH menceritakan apabila telah habis tempoh iddah seorang isteri, maka suami mempunyai dua pilihan samada bercerai ataupun merujuk kembali isterinya. Kemudian ALLAH SWT memberikan jaminan bahawa jika kita bertaqwa kepada-NYA, maka akan ditunjukkan pilihan yang terbaik kepada kita. Secara umumnya, berdasarkan ayat ini, jika kita bertaqwa kepada ALLAH SWT, maka ALLAH akan memudahkan rezeki kita. 14. Surah At-Tahrim (Pengharaman) menceritakan teguran ALLAH SWT kepada NABI SAW yang bersumpah untuk mengharamkan apa yang dihalalkan oleh ALLAH demi menjaga hati isteri-isteri Baginda SAW (Ayat 1). ALLAH SWT juga memberi amaran kepada isteriisteri Baginda bahawa mereka boleh diceraikan atas arahan ALLAH SWT dan menggantikan mereka dengan wanita yang lebih baik (Ayat 4-5). ALLAH SWT memerintahkan ketua keluarga agar menjaga isteri dan anak-anak dari diazab di Akhirat kelak (Ayat 6). 15. ALLAH SWT juga memberikan suruhan agar kita bertaubat dengan taubat yang sungguh-sungguh (Taubat Nasuha) kerana taubat ini akan memasukkan kita ke dalam Syurga ALLAH SWT (Ayat 8). Ayat 10 menceritakan tentang isteri yang berada di bawah dua orang soleh (Nabi Nuh dan Nabi Lut), namun keduanya mengkhianati suami mereka, lalu mereka dihumban ke dalam neraka. Ini menjadi salah satu dalil bahawa suami tidak akan menanggung dosa isteri melainkan akan hanya menanggung dosa kerana tidak mendidik isteri. Allahu a’lam.
JUZUK 29 1. Juzuk ini mengandungi 11 surah yang bermula dengan Surah Al-Mulk dan berakhir dengan Surah Al-Mursalat . 2. Di awal Surah Al-Mulk (Kerajaan), diceritakan tentang kekuasaan ALLAH SWT (Ayat 1). ALLAH meminta kita ulang pandang ke langit untuk mencari kecacatan ciptaan Tuhan (Ayat 3-4) yang mana sudah pastinya kita tidak akan menemuinya. Sesetengah ulama’ berpandangan perkataan ‘ulang pandang’ pada ayat ini bersamaan dengan prinsip kajian ilmiah sesuatu perkara yang bermula dengan persoalan dan akhirnya menemui jawapan yang meyakinkan. 3. Pada ayat 6-7 Surah Al-Mulk, ALLAH menceritakan bagaimana Neraka menjerit kerana marah terhadap ahli Neraka yang dicampakkan ke dalamnya. Terdapat ahli Neraka yang menyesal tidak mendengar dan berfikir tentang peringatan yang diberikan kepada mereka ketika hidup di dunia (Ayat 10). ALLAH SWT juga menceritakan tentang kuasa-NYA yang boleh menarik kembali air yang telah diberikan kepada manusia (Ayat 30). Maka bersyukurlah dengan kurniaan air yang telah ALLAH berikan kepada kita. 4. Dinamakan dengan Surah Al-Qalam (Pena) kerana ALLAH SWT telah bersumpah dengannya di awal surah ini (Ayat 1). Qalam adalah antara makhluq awal yang diciptakan dan diperintah kepadanya untuk menulis taqdir yang akan berlaku di dunia. Ayat 16 adalah kisah mengenai lelaki Quraish yang dicela oleh ALLAH SWT (dikatakan namanya adalah Al-Walid bin Mughirah). Di dalam ayat ini ALLAH SWT berkata akan meletakkan tanda di atas hidungnya. Buktinya, ketika mayatnya ditemui selepas Perang Badar, hidungnya telah terputus akibat dipotong oleh tentera Islam. 5. Di dalam surah ini juga terdapat kisah beberapa pemilik kebun yang mengelak dari mengutip hasil kebun pada waktu biasa bagi mengelakkan dari bertemu dengan orang miskin yang menunggu untuk meminta sedekah, lalu ALLAH memusnahkan kebun mereka dan mereka menyesal (Ayat 17-27). 6. Surah Al-Haqqah adalah nama lain bagi Kiamat, iaitu hari yang pasti akan terjadi. Di dalam surah ini diceritakan peristiwa Kiamat seperti adanya golongan yang diberikan kitab amalan dengan tangan kanan, ada yang terima dengan tangan kiri dan sebagainya (Ayat 19 & 25). ALLAH SWT juga menegaskan bahawa NABI SAW tidak sekali-kali mencipta Al-Quran, bahkan DIA memberi amaran kepada NABI SAW agar tidak mereka-reka sesuatu atas nama ALLAH, kerana balasannya akan dipotong urat jantung Baginda SAW (Ayat 44-47). Sehingga Baginda SAW wafat, Baginda tidak pernah dipotong urat jantung dan ini membuktikan kebenaran NABI SAW dan ajarannya. 7. Surah Al-Ma’arij (Tempat Naik) menceritakan tentang amalan manusia yang dibawa oleh malaikat naik ke langit pada setiap hari (Ayat 4). Diceritakan juga di dalam surah
ini tentang sifat manusia yang keluh-kesah kerana kesusahan dan bersikap kedekut, lalu ALLAH SWT memberitahu cara mengubati sifat ini adalah dengan menunaikan solat, membayar zakat, beriman dengan Hari Akhirat dan sebagainya (19-34). 8. Surah Nuh adalah kisah berkenaan Nabi Nuh A.S. dari awal sehingga ke akhir surah. Di hujung surah ini, Nabi Nuh A.S. mendoakan agar kaumnya dimusnahkan kerana sudah tiada harapan lagi untuk mereka beriman kepada ALLAH SWT. 9. Surah Al-Jin diturunkan secara lengkap menceritakan perihal jin. Dunia jin adalah salah satu perkara ghaib yang tidak kita ketahui melainkan dengan panduan dari Al-Quran dan Hadis NABI SAW. Para jin mula beriman dengan RASULULLAH SAW setelah kumpulan pertama jin mendengar bacaan Al-Quran Baginda SAW (Ayat 1-3). Sebelum kebangkitan NABI SAW, para jin ini biasanya akan naik ke langit dan mencuri dengar berita langit. Namun selepas Baginda SAW dilantik menjadi Nabi, mereka tidak lagi mampu mengetahui berita langit kerana dijaga oleh ALLAH SWT (Ayat 8-10). 10. Ayat 11 menceritakan terdapatnya golongan soleh dan sebaliknya dalam kalangan jin. Pada bahagian akhir ayat ini dikatakan para jin mempunyai jalan yang berbeza-beza. Ulama’ mentafsirkan ayat ini bahawa di dalam dunia jin juga wujudnya pelbagai agama, mazhab, tahap keimanan, budaya dan sebagainya. ALLAH SWT juga menegaskan bahawa hanya DIA yang mengetahui perihal ghaib dan perkara itu tidak akan didedahkan kepada sesiapa melainkan orang tertentu (Para Nabi dan Rasul). 11. Surah Al-Muzzammil (Orang Berselimut) adalah di antara surah awal yang diturunkan kepada NABI SAW yang mana Baginda dikejutkan oleh ALLAH SWT untuk bangun menunaikan solat malam (Qiamullail). Kelebihan malam adalah kerana pada waktu itu suasana lebih tenang dan lebih fokus untuk beribadat kepada ALLAH SWT (Ayat 6). Surah ini juga memberitahu kepentingan untuk membaca Al-Quran secara tartil dan bertajwid bersama dengan penghayatan terhadap ayat-ayat Al-Quran (Ayat 2). 12. Surah Al-Muddattsir juga bermaksud Orang Berselimut. Apa yang berbeza adalah di dalam Al-Muzzammil, RASULULLAH SAW dikejut untuk menunaikan solat malam manakala di dalam Surah Al-Muddattsir, Baginda SAW dikejut untuk bangun memberikan peringatan. Baginda dilantik sebagai Nabi dengan turunnya Surah Al- ‘Alaq (Ayat 1-5) manakala Baginda SAW dilantik sebagai Rasul apabila turunnya Surah Al-Muddattsir (Ayat 1-2). 13. Antara kisah lain di dalam surah ini adalah bilangan Malaikat yang berada di dalam Neraka sebanyak 19 Malaikat (Ayat 30). Angka yang unik ini menjadi persoalan yang membingungkan kaum musyrikin Mekah, namun ia menjadi penyebab berimannya para Ahli Kitab kerana bilangan yang sama diceritakan di dalam Kitab Taurat. 14. Surah Al-Qiyamah banyak menceritakan peristiwa di Hari Akhirat kelak. Antaranya, wajah Ahli Syurga yang berseri-seri kerana melihat wajah Tuhan mereka (Ayat 22-23).
Ini adalah nikmat yang paling tinggi yang akan kita perolehi apabila dimasukkan ke Syurga nanti. Insya-ALLAH. Surah Al-Insaan juga menceritakan peristiwa Hari Akhirat yang mana ia banyak membincangkan tentang nikmat yang akan dinikmati oleh Ahli Syurga seperti pakaian yang diperbuat dari sutera, dihiasi dengan perhiasan dan diberikan minuman yang suci (Ayat 21). 15. Surah terakhir di dalam juzuk ini iaitu Surah Al-Mursalat (Angin yang bertiup secara berterusan) juga membincangkan peristiwa Hari Akhirat yang mana manusia nanti akan dibahagikan kepada dua; Ahli Syurga dan Ahli Neraka. Di dalam ayat 25-26, ALLAH SWT menceritakan fungsi Bumi iaitu tempat simpanan orang hidup (di atas Bumi) dan yang mati (di dalam Bumi). Berdasarkan ayat ini, ulama’ bersepakat menyatakan hukum di atas Bumi adalah sama dengan hukum di dalamnya. Contohnya, jika seseorang itu disabitkan dengan kesalahan mencuri, akan dipotong tangannya (berdasarkan ayat Hudud) manakala hukum yang sama terpakai kepada pencuri kain kafan yang mencurinya daripada mayat-mayat yang ditanam di dalam Bumi. Allahu a’lam.
113 113 113 113 113 113 113 113 113 113 113 113 113 113 113 113 113 113 113 113 113 113 113 113 113 113 113
JUZUK 30 1. Juzuk terakhir ini mengandungi 37 surah bermula dari Surah An-Naba’ sehingga surah terakhir iaitu Surah An-Naas. 2. Kebanyakan surah di dalam juzuk ini menceritakan berkenaan Kiamat seperti Surah An-Naba, An-Nazi’at, Surah ‘Abasa, Surah At-Takwir, Al-Infitor, Al-Insyiqaq, Surah AlGhashiyah dan sebagainya. 3. Terdapat sedikit kisah berkenaan Nabi Musa dan Firaun di dalam Surah An-Nazi’at yang mana Firaun mengaku dirinya sebagai tuhan pada ayat 15-26 manakala pada bahagian awal Surah ‘Abasa adalah teguran ALLAH SWT kepada NABI SAW kerana Baginda berpaling dan tidak melayan soalan seorang sahabat yang buta, iaitu Abdullah bin Umi Maktum (Ayat 1-12). 4. Ayat 8-9 Surah At-Takwir adalah berkenaan bayi yang ditanam hidup-hidup. Sebahagian dari kita akan mengaitkan ayat ini dengan kisah Umar Al-Khattab sebelum beliau memeluk Islam yang mana popular di kalangan kita, beliau membunuh anaknya hidup-hidup. Tiada riwayat yang sahih untuk kisah tersebut dan ianya adalah tidak benar serta merupakan fitnah terbesar ke atas diri sahabat NABI SAW tersebut. Isteri NABI SAW yang bernama Hafsah adalah anak sulung Umar Al-Khattab, jadi anak yang manakah dibunuh oleh beliau? 5. Diceritakan berkenaan orang yang menipu di dalam Surah Al-Mutoffifin yang mana mereka diancam dengan azab yang amat berat di Akhirat kelak. Bermula ayat 7 sehingga akhir surah adalah kisah berkenaan kitab amalan dan tempat akhir bagi Ahli Syurga dan Ahli Neraka. Menariknya, pada ayat 29 surah ini, ALLAH SWT menempelak kembali orang musyrikin yang dahulunya mentertawakan orang beriman, dan di Akhirat kelak, mereka akan ditertawakan oleh orang beriman yang telah mendapat nikmat Syurga. 6. Di dalam Surah Al-Buruj, terdapat kisah berkenaan parit yang dipenuhi dengan api yang besar. Ianya dibuat oleh seorang raja di satu negeri yang taksub dengan agamanya sendiri dan membakar rakyat negerinya yang beriman kepada ALLAH SWT (Ayat 4-10). Kisah ini diceritakan secara panjang lebar di dalam Hadis NABI SAW dan terkenal dengan tajuk ‘Ghulam Dakwah’ (Kanak-kanak yang Berdakwah). 7. Surah At-Toriq menceritakan tentang Kiamat dan kejadian manusia manakala Surah Al-A’la adalah berkenaan ALLAH yang Maha Tinggi dan suruhan supaya bertasbih kepada-NYA. Surah Al-Fajr menceritakan tentang bagaimana manusia diuji dengan kesenangan dan kesusahan. Manusia yang buta mata hatinya beranggapan bahawa ujian kesusahan itu sebagai satu penghinaan manakala ujian kesenangan itu adalah satu kemuliaan, sedangkan ianya terpesong dari maksud sebenar yang disampaikan di dalam surah ini (Ayat 15-16). Di hujung Surah Al-Fajr diceritakan tentang panggilan
ALLAH SWT kepada orang beriman dan mempunyai hati yang tenang untuk kembali kepada Tuhan dalam keadaan yang berbahagia (Ayat 27-30). 8. Surah Al-Balad menceritakan sifat manusia dan bumi Mekah. ALLAH SWT menekankan bahawa manusia diberikan dua mata, dua bibir dan satu lidah untuk mereka menunaikan tanggungjawab agama yang tertentu (Ayat 8-10). Surah As-Syams dan AlLail adalah berkenaan sumpah ALLAH SWT kepada beberapa makhluknya seperti matahari, bulan, waktu malam dan sebagainya. Di dalam Surah As-Syams juga diceritakan tentang kepentingan menjaga nafsu dari merosakkan diri manusia (Ayat 7- 10). 9. Surah Al-‘Alaq adalah surah pertama yang diturunkan kepada NABI SAW. Di dalam surah ini terdapat celaan kepada Abu Jahal apabila dia mengganggu NABI SAW menunaikan solat dan ALLAH SWT menyuruh Baginda SAW untuk tetap menunaikan solat secara sempurna tanpa mempedulikannya (Ayat 9-17). Ayat terakhir surah ini (Ayat 19) adalah salah satu dalil yang mengatakan bahawa sujud adalah waktu yang paling hampir dengan ALLAH SWT dan pada ketika ini jugalah adalah waktu dimakbulkan doa kita. 10. Kemuncak Islam berada pada Surah Al-Ikhlas kerana keseluruhan surah ini adalah berkenaan Tauhid dan ia menyamai 1/3 AL-Quran. Mesej dan tema utama Al-Quran terbahagi kepada tiga, iaitu; i) Aqidah kepada ALLAH SWT, ii) Kisah para Nabi dan umat terdahulu sebagai pengajaran dan, iii) Hukum-hakam di dalam Islam. Allahu a’lam. 11. Sebagai penutup kepada Tadabbur Ringkas 30 Juzuk Al-Quran, kita mestilah berinteraksi dengan Al-Quran melalui 2 kaedah iaitu; i) KUANTITI: Bacalah Al-Quran sebanyak mungkin dan jadikan ia sebagai aktiviti seharian kerana satu huruf Al-Quran yang dibaca bersamaan dengan 10 ganjaran pahala, ii) KUALITI: Tadabbur dan memahami ayat Al-Quran secara lebih mendalam dan berperingkat-peringkat.