The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by CIKGU NOORAIDAH AHMAD, 2021-07-30 00:45:25

BONDA...CINTA LUAR BIASA

BONDA...CINTA LUAR BIASA

CATATAN TIGA

Tumpang

Menjadi pelajar universiti memang susah untuk
tidur awal. Jam 10 ke atas baru mata ini akan lelap.
Kadangkala sehingga lewat malam berjaga untuk
menyelesaikan tugasan yang diberikan pensyarah.
Tugasan pelajar universiti sama sekali berlainan dengan
kerja yang diberikan oleh guru semasa zaman sekolah.
Tugasan individu dan berkumpulan akan dinilai dan
markahnya termasuk dalam markah peperiksaan.
Sedang ralit menaip, tiba-tiba mesej masuk.

39

[Siapa mahu ikut pergi bengkel keusahawanan di
UITM, Puncak Alam?] Mesej daripada seorang pensyarah
dalam whatsApp jabatan.

“Menariknya” Hatiku berkenan. Lantas aku
mengisi namaku kemudian menyambung kerja.

Dua hari sebelum bengkel, aku mengubah
keputusan. Disebabkan tiada pengangkutan mahu ke
UITM, Puncak Alam, aku berhasrat mahu membatalkan
sahaja niat menyertai bengkel itu.

Pada sebelah malamnya, aku menerima mesej
daripada pensyarah yang mengajak ke bengkel tersebut.

[Fasehah, jadi ke nak pergi bengkel
keusahawanan tu? Kalau tak ada kenderaan boleh
tumpang rumah saya semalam. Nanti pagi-pagi terus
bertolak dari rumah saya] Pensyarah menawarkan
rumahnya untuk aku tumpang semalaman.

[Betul ke boleh tumpang? Kalau macam tu saya
jadi pergi] Aku teruja.

[Esok petang lepas saya habis kerja, saya ambil
Fasehah di kolej] Balas pensyarah.

[Ok]

40

“Alhamdulillah. Dapat pergi bengkel tu” Aku
bersyukur kerana diberi peluang untuk menyertai. Di
saat niat terpaksa dibatalkan, ada seorang pensyarah
yang sudi menghulur bantuan. Aku bersyukur sekali.

Pada petang keesokan harinya, aku mengikuti
pensyarahku pulang ke rumahnya. Sepanjang perjalanan
terpaksa menempuhi kesesakan jalan. Keadaan yang
biasa dilalui oleh warga kota, tetapi tidak untuk warga
desa. Pada waktu puncak sekitar jam 4:30 petang dan
seterusnya, warga di sekitar ibu kota harus bersiap sedia
meredah masa yang panjang untuk sampai ke rumah
dari tempat kerja.

“Fasehah orang mana?” keluar satu soalan dari
bibir seorang pensyarah.

“Saya orang Sekinchan, Sabak Bernam” Jawabku

“Saya pun orang Sabak bernam. Tapi kampung
saya di Batu 38. Fasehah dulu sekolah mana?”

“Saya sekolah di Sungai Besar. Sekolah Agama
Menengah Tengku Ampuan Jemaah” Beritahu aku.

“Oh! saya dulu di Sekolah Agama Menengah Batu
38”

41

“Saya pernah bersekolah di sana juga. Masa tu
saya ambil STAM sebelum masuk Nilampuri”

Sesi perkenalan aku dengan pensyarah yang
berada di sebelah berterusan sehingga memasuki
perkarangan rumahnya. Aku gembira sekali kerana
dapat berkenalan dengannya. Ternyata beliaulah
pensyarah yang berasal dari Sabak Bernam itu. Tidak
disangka sama sekali dapat berjumpa dengannya di UM,
di Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan. Jika
sebelum ini aku teruja membaca biodatanya, kini lebih
teruja apabila dapat berjumpa, bersua wajah dan
bersembang dengannya. Beliaulah Dr. Nor Raudah yang
mesra digelar bonda oleh kami semua, para pelajar
Jabatan dakwah dan Pembangunan Insan.

Seawal pagi kami bertolak ke UITM Puncak Alam.
Bersama-sama kami ialah anak kedua bonda yang
sebaya denganku dan kawan kepada anaknya. Rupanya
pengarah bengkel tersebut ialah anak sulung bonda yang
sedang menuntut di sana ketika itu. Bengkel yang
menarik dan bagus untuk orang yang berminat dalam
dunia keusahawanan. Satu persatu teknik untuk menjadi
seorang usahawan diterangkan oleh penyampai
jemputan. Kemudian, tugasan berkumpulan untuk para

42

peserta ialah membentangkan idea perniagaan. Aku,
bonda, anak lelakinya dan kawan kepada anaknya
berada dalam satu kumpulan. Kami berbincang tentang
apa yang perlu dibentangkan nanti. Kebanyakan idea-
idea perniagaan terbit daripada minda bonda. Kemas
sekali ideanya.

Bonda yang aku jumpa dan kenal sekarang bukan
sekadar seorang pensyarah, tetapi seorang wanita yang
berminda usahawan. Aku kagum.

43

CATATAN EMPAT

Kenal

Semester tiga pengajian bakal berakhir tidak
lama lagi. Pada semester ini, buat pertama kalinya aku
belajar dengan bonda iaitu untuk subjek Media Dakwah.
Subjek ini telah memperkenalkan kepada aku berkenaan
media dengan lebih luas. Jika selama ini, aku
menganggap media sebagai alat hiburan, media sebagai
penyebab keruntuhan akhlak remaja dan memberi
pengaruh negatif dalam kehidupan. Namun, tanggapan
aku itu ternyata salah. Media ialah alat untuk
menyampaikan mesej kepada khalayak. Media Dakwah

44

ialah alat untuk menyebarkan dakwah kepada
masyarakat.

Pada zaman moden ini, kita hidup dikelilingi oleh
media. Terdapat pelbagai jenis media seperti media
cetak, media elektronik, media komunikasi dan lain-lain.
Media telah berkembang seiring dengan perkembangan
dan kecanggihan teknologi. Kesan daripada media
sebenarnya ditentukan oleh penggunanya. Sekiranya
masyarakat memanfaatkannya untuk perkara kebaikan,
maka hasilnya akan baik. Tetapi jika media digunakan
untuk menyebarkan perkara yang buruk seperti fitnah,
maka kesannya akan membawa padah kepada
masyarakat.

Lawatan ke lokasi yang berkaitan dengan media
merupakan antara tugasan yang perlu kami lakukan.
Kami telah melawat ke pusat percetakan surat khabar
iaitu New Straits Times Press (NSTP) yang terletak di
Bukit Jelutong, Shah Alam. NSTP mencetak surat khabar
Metro dan Berita Harian. Di sana, kami diterangkan
tentang proses penghasilan surat khabar sebelum ianya
disebarkan ke seluruh negara. Ia satu pengalaman yang
berharga buat kami kerana dapat mengenali dan
mengetahui bagaimana proses penghasilan dan

45

percetakan surat khabar berlaku. Kemajuan teknologi
membantu proses tersebut.

Sebelum kelas terakhir bagi subjek Media
Dakwah melabuhkan tirainya, kami semua mengambil
gambar bersama-sama sebagai tanda kenang-kenangan.
Pelbagai gaya dan aksi ditampilkan oleh para pelajar.
Senyuman riang dan gembira terpamer pada wajah kami
semua. Namun, perjuangan belum berakhir. Kami harus
menempuh peperiksaan akhir yang akan menentukan
markah keseluruhan bagi subjek ini.

Selang beberapa hari, aku terlihat bonda menulis
di laman facebook beserta gambar kenangan kelas Media
Dakwah. Kemudian, aku membaca komen-komen warga
laman sosial terhadap status itu.

“Eh! Ustazah Rudziah kenal bonda?” Aku terkejut
apabila mendapati makcikku merupakan salah seorang
yang menulis komen. Aku membaca lagi komen-komen
seterusnya.

“Macam mana mereka boleh kenal” Aku tertanya-
tanya dalam hati.

Setelah bertanya kepada Ustazah Rudziah,
rupanya mereka saling mengenali kerana merupakan

46

kawan sekolah dahulu di Sekolah Agama Menengah
Tinggi Batu 38, Sabak Bernam. Sungguh aku terlupa
bahawa bonda berasal dari Sabak Bernam dan pernah
bersekolah di sekolah itu. Kecil sungguh dunia ini. Tidak
disangka, pensyarahku merupakan kawan makcikku. Ia
bukan kebetulan, tetapi sebenarnya takdir telah tertulis
untuk aku bertemunya.

47

CATATAN LIMA

Penulisan Dakwah

Subjek Kedua bersama bonda selepas Media
Dakwah ialah Penulisan Dakwah. Bonda yang memiliki
Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Penulisan, daripada
Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UM mempunyai
kepakaran dalam bidang penulisan dan melayakkannya
mengajar subjek ini. Pada waktu itu, hanya aku seorang
pelajar tahun 2 yang mengambil subjek Penulisan
Dakwah. Aku tidak kisah berseorangan asalkan aku
dapat belajar apa yang aku mahu. Aku suka menulis, rugi
sekiranya aku melepaskan peluang yang tersedia di

48

depan mata. mama juga menggalakkan aku mengambil
subjek tersebut.

Minat menulis aku barangkali mewarisi tangan
seni mama. Semasa zaman mudanya, mama aktif menulis
puisi. Karyanya banyak kali tersiar dalam radio, surat
khabar dan majalah. Namun, fail yang menyimpan puisi-
puisi tersebut telah hilang. Kini yang tinggal hanyalah
puisi bertajuk Catatan Seorang Kelana yang pernah
tersiar dalam majalah famili bertarikh 1 Disember 1988.
Keratan puisi tersebut masih elok tersimpan. Melalui
penulisan juga mama bertemu jodoh dengan abah.
Galakan daripada mama menyebabkan aku minat
terhadap penulisan.

Subjek Penulisan Dakwah telah menambahkan
lagi minat aku terhadap penulisan. Genre yang aku
gemari ialah puisi. Aku kurang pandai mengarang cerita.
Sebab itu aku lebih suka puisi kerana ayat-ayatnya lebih
pendek. Walaupun pendek, ia tidak semudah yang
disangka. Puisi yang ditulis mestilah boleh melahirkan
emosi kepada pembaca. Pemilihan perkataan yang
sesuai dan bermain dengan gaya bahasa seperti
asonansi, aliterasi, simile, hiperbola, personafikasi,
metafora dan lain-lain akan mengindahkan lagi puisi.

49

“Tugasan untuk kamu semua ialah menulis puisi.
Setiap orang mesti baca puisi yang ditulis semasa kelas
tutorial minggu depan” Pesan bonda.

Aku suka sekali dengan tugasan yang diberikan.
Menulis puisi seolah-olah meluahkan segala isi hati dan
emosi di atas helaian kertas. Rasa puas dan hilang segala
beban yang merunsingkan fikiran selepas menulisnya.

Puisi yang bertajuk ‘perca’ aku persembahkan.

Aku ingin memberitahu rakan-rakan bahawa
perca kain bukanlah untuk santapan tong sampah
semata-mata. Meskipun perca itu merupakan lebihan
kain selepas baju siap dijahit, bukan bermakna ianya
boleh dibuang begitu saja. Sebenarnya perca kain banyak
kegunaannya seperti boleh dijadikan lapik kaki. Sesiapa
yang kreatif, dia akan memandang perca kain dengan
nilai.

“Ok. Bagus. Orang tukang jahit ni memang asyik
fikir kain je. Saya pun anak tukang jahit, saya dapat
rasakan nilai perca kain tu” Puji bonda. Aku tersenyum.

“Sama. Bonda pun anak tukang jahit rupanya”
Hatiku berkata. Bermakna latar hidupku seakan bonda
juga.

50

Sepanjang satu semester belajar penulisan,
banyak ilmu baru yang aku belajar. Kami diajar teknik
menulis cerpen, artikel, rencana, puisi dan cara
menyelitkan unsur-unsur dakwah dalam penulisan.

“Untuk mahir menulis, setiap hari kita mesti
menulis” Pesanan bonda yang tak akan aku lupakan.

“Aku mesti rajin menulis” Bisik hatiku.
Hatiku merasakan bahawa aku dan bonda
mempunyai jiwa yang sama. Kami berasal dari daerah
yang sama. Bonda pula mengajar subjek yang memang
sesuai dengan jiwa aku. Bonda, aku senang sekali dekat
denganmu.
Aku lebih bersemangat untuk menulis.

51

CATATAN ENAM

Pertama Kali

Bersempena dengan program International
Da’wah Conference on Minority Group yang akan
dianjurkan oleh Jabatan Dakwah dan Pembangunan
Insan, bonda memintaku membuat banner bertujuan
untuk hebahan. Warna tema yang diberi ialah hitam dan
kuning keemasan.

Terkejut aku dengan tugasan yang diberikan. Ia
satu tugas dan cabaran baru buat diri ini. Aku tiada
pengalaman mereka bentuk banner.

52

“Alamak. Macam mana ni. Nak buat macam
mana?” Aku bertanya pada diriku sendiri.

Percubaan pertama aku hanyalah menggunakan
Microsoft Publisher kerana tiada Adobe Photoshop di
dalam laptop. Terasa kelakar jika diingat kembali
kenangan itu. Itu juga merupakan percubaan pertama
menggunakannya. Baru aku ketahui, mereka bentuk
banner bukanlah mudah. Bagi orang yang baru belajar
seperti aku, ia memakan masa lebih 24 jam untuk
menyiapkannya.

Perkara penting yang perlu diambil kira ialah
warna, jenis tulisan dan susun atur agar ia kelihatan
cantik, kemas dan mampu memberi tarikan kepada yang
melihatnya. Proses pemilihan corak latar belakang
banner sangat mencabar bagiku. Lama aku menghadap
laptop untuk memilih yang sesuai. Banyak kali
percubaan menyesuaikan latar belakang yang menarik.

“Betulkan ejaan” Pinta bonda. Aku menepuk dahi.
Nampak gayanya aku mesti menghadap laptop selagi
banner belum siap sepenuhnya dan memuaskan hati
semua.

Berpinar-pinar mata memandang skrin laptop.
Memandangnya dalam tempoh masa yang lama boleh
memeningkan kepala, mengantuk dan mengundang rasa

53

lapar. Hampir seminggu aku banyak bekerja di hadapan
laptop demi menyelesaikan tugasan yang diberikan.

“Banner dah siap print” Beritahu seorang kakak
senior.

“Betul ke?” Aku teruja sekali mendengar
perkhabaran itu.

Bahagia rasanya apabila melihat hasil kerja sudah
siap dicetak. Meskipun menyiapkannya mengambil masa
yang agak lama dan menguji ketahanan mental dan
fizikal, aku sangat berpuas hati. Jika dulu aku seorang
yang sangat lemah dalam soal IT, kini aku merasakan
satu keperluan untuk aku meneroka bidang ini dengan
lebih mendalam. Tiada ruginya untuk aku belajar
perkara baru.

“Seronoknya Musfirah dan Zulaika pandai
multimedia” Aku cemburu melihat kebolehan mereka
berdua. Sedangkan aku menggunakan Microsoft Power
Point pun mengambil masa yang lama, apatah lagi jika
menggunakan perisian yang lebih mencabar daripada
itu.

Musfirah dan Zulaika merupakan rakan sekelas
dalam majmuah lima semasa di Nilam Puri dulu. Mereka
seringkali menjadi ahli unit multimedia semasa di sana.

54

Kepintaran mereka dalam IT menyebabkan mereka
terpilih.

Cemburu itu sebenarnya aku pendam semenjak
dari Nilam Puri lagi. Namun bukanlah cemburu sehingga
ingin menjatuhkan mereka tetapi aku juga sebenarnya
berhasrat ingin sekali menjadi mahir seperti mereka
berdua.

Di sini, aku diberikan peluang untuk berjinak-
jinak dalam bidang ini. Bonda memberikan tugasan
multimedia yang pertama kepada aku. Melalui ini, aku
dapat belajar banyak perkara. Aku menjadi semakin
minat untuk terus belajar multimedia.

55

CATATAN TUJUH

Dakwah dan Retorik

Mendengar cerita daripada senior, aku berminat
untuk mengambil subjek Dakwah dan Retorik. Lebih-
lebih lagi apabila subjek ini diajar oleh bonda. Rupanya,
pengajian PhD bonda dalam bidang retorik. MasyaAllah
hebatnya.

Apa itu retorik?
Retorik sebenarnya mempunyai kaitan yang
sangat rapat dalam kehidupan manusia dalam aspek
pengucapan, penulisan, penampilan diri dan apa-apa

56

media yang mampu membantu dalam keberkesanan
mesej yang disampaikan kepada khalayak. Praktikal
retorik dalam kehidupan juga mampu mengubah
pemikiran dan tingkah laku.

Dalam dakwah, retorik sangat penting untuk
disertakan bersama. Retorik merupakan satu strategi
untuk mempengaruhi masyarakat agar boleh menerima
seruan kebaikan yang disampaikan.

Terdapat banyak pendapat tokoh terhadap
retorik. Plato mengatakan bahawa retorik ialah seni
berbicara. Quintilian pula berpendapat retorik ialah
sains pengucapan yang baik. Manakala Peter Dixon
berkata maksud retorik ialah komunikasi yang kompleks
dan menghubungkan antara penulis dengan khalayak.
Selain itu, Whatley menyatakan pendapatnya yang
tersendiri iaitu seni yang mengajar individu tentang
kaedah pemakaian bahasa yang efektif.

Jika diteliti maksud-maksud retorik yang
diterjemahkan oleh tokoh-tokoh tersebut, dapat
disimpulkan bahawa ianya sangat penting untuk
diaplikasikan dalam kehidupan setiap orang lebih-lebih
lagi kepada pendakwah. Penyampaian mesej yang
bermanfaat kepada masyarakat memerlukan

57

pendekatan yang sesuai mengikut latar belakang
masyarakat. oleh yang demikian, penggunaan retorik
sangat penting bagi memastikan segalanya berjalan
lancar.

Tugasan berkumpulan yang diberikan oleh bonda
ialah perdebatan dan forum dengan menggunakan
retorik yang dipelajari. Disebabkan aku meminati
perdebatan, aku memilih untuk berdebat bersama-sama
dengan lima orang rakan yang lain. Selebihnya, mereka
berforum.

Tajuk yang diberikan oleh bonda juga sangat
menarik dan mencabar iaitu ‘poligami menguntungkan
wanita’. Sebagai pembangkang, kumpulan aku sedaya
upaya mencipta hujah dan persoalan yang ingin
ditimbulkan. Kami cuba untuk menggunakan unsur-
unsur retorik agar perdebatan meriah.

Tugasan yang diberikan bonda sangat berbentuk
praktikal. Melalui debat dan forum, kami berpeluang
mempraktikkan apa yang dipelajari dalam kelas. Ianya
juga membantu kami mengasah bakat dan kemahiran
yang terpendam selama ini.

58

Selain itu, retorik juga boleh digunakan dalam
bidang penulisan. Penulisan juga memerlukan retorik
agar dapat menarik minat masyarakat membaca. Bonda
sendiri telah menulis buku yang bertajuk ‘ Retorik
Penulisan Dakwah’.

Bonda telah mengajar kami gaya bahasa yang
indah yang boleh digunakan dalam penulisan. Rupanya
apa yang kami belajar dalam subjek Bahasa Melayu di
sekolah menengah dulu sebahagiannya adalah retorik
seperti peribahasa, metafora, simile dan sebagainya.

Ilmu retorik sangat luas dan terasa seperti ingin
mendalaminya dengan lebih lagi.

59

CATATAN LAPAN

Media Cetak Dakwah

Subjek seterusnya bersama bonda. Kesemuanya
empat subjek bonda aku ambil iaitu Media Dakwah,
penulisan Dakwah, Dakwah dan Retorik dan Media Cetak
Dakwah. Subjek Media Cetak Dakwah ini sangat
praktikal tugasannya. Kami dikehendaki menjalankan
proses penerbitan buku. Antara yang perlu kami lakukan
adalah menyunting manuskrip, membuat rekaan kulit
buku, dan menghubungi penerbit untuk proses
percetakan.

60

“Seha tolong buat kulit buku ye” Salah seorang
rakan kumpulanku meminta.

Tugasan membuat perekaan kulit diserahkan
kepadaku. Berat hati mahu menolak. Aku gagahkan juga.
Kali ini, aku mesti menggunakan adobe. Inilah peluang
untuk aku meneroka bidang multimedia. Aku menonton
dan belajar melalui video youtube bersama-sama
seorang lagi rakan yang ditugaskan membuat kulit buku
iaitu Khairunnisa’.

Sukar.
Kali ini lebih mencabar berbanding membuat
rekaan banner. Perisian adobe lebih sukar berbanding
microsoft. Ilmu multimedia baru aku banyak belajar
melaluinya. Mahu menangis rasanya membuat perekaan
kulit buku. Memikirkan corak yang sesuai untuk kulit
buku sahaja sudah mengambil masa yang lama. Pertama
kali menggunakan adobe sungguh menguji mentalku.
Hilang!
Air mukaku berubah. Hampir saja air mata mahu
jatuh namun aku tahan. Jantungku bagai dicakar-cakar
sehingga meninggalkan kesan luka yang menyakitkan.
Aku membuka laptop untuk membuat pembetulan
terhadap rekaan yang dibuat sebelum ini. Namun tiada.

61

“Mesti aku lupa simpan. Padan muka kau” Aku
memarahi diri sendiri kerana leka dan lalai. Sepatutnya
setiap kerja yang dilakukan dalam laptop perlu disimpan
dahulu sebelum menutup laptop untuk kemudahan pada
waktu lain.

“Nampaknya, aku kena buat semula daripada
mula. Habislah masa aku” Aku redha dengan apa yang
telah terjadi. Sungguh ia mengajar aku untuk lebih
prihatin terhadap sesuatu perkara.

Dalam keadaan sedih, aku membuat semula
rekaan kulit buku daripada mula. Kali ini prosesnya lebih
cepat dan lancar berbanding yang dulu kerana aku sudah
mengetahui cara-caranya pada pengalaman lepas.

“Selesai pun. Alhamdulillah”
Rekaan itu dipersetujui oleh ahli kumpulan yang
lain. Proses penyuntingan selesai. Kulit buku selesai.
Menghubungi penerbit juga sudah. Langkah terakhir
yang perlu dilakukan adalah menghantar manuskrip
yang sudah siap disunting bersama rekaan kulit buku
kepada syarikat percetakan untuk proses percetakan.
“Buku dah siap dicetak” khabar gembira daripada
wakil ahli kumpulan.
Aku melihat gambar buku yang dihantar melalui
aplikasi whatsapp. Aku tersenyum lebar. Lama aku tatap

62

gambar tersebut. Aku bersyukur kerana hasil kerja kami
semua membuahkan hasil. Terhasillah sebuah buku yang
bermanfaat untuk semua dan tertulis nama kami semua
di ruangan hak cipta buku.

Kenangan manis Media Cetak Dakwah yang
pastinya tak sekali dilupakan. Subjek yang sangat
menarik isi kandungannya. Kami belajar amalan
penerbitan buku yang wajar diketahui oleh para
pendakwah untuk menyebarkan dakwah melalui
penulisan. Kini, teknologi media cetak telah berkembang
luas. Banyak buku-buku telah diterbitkan untuk bahan
bacaan masyarakat. Ilmu media cetak juga aku telah
belajar. Sampai masanya aku mesti mempraktikkan.

“Seronoknya kalau ada buku sendiri. Sebelum
bergraduasi, aku mesti menulis buku” Aku memasang
impian. Impian yang pastinya akan menggembirakan
jiwa kerana menulis minat aku.

“Aku mesti cuba”
Azam dan impian itu aku simpan dan pahat dalam
hati.
“Terima kasih bonda sebab mengajar subjek ini”

63

CATATAN SEMBILAN

Teman

Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan akan
mengadakan Kem Inspirasi Daie yang bertempat di
Kuala Selangor Cabin Camp (KSCC). Kem ini disertai oleh
para pelajar Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan.
Manakala para pensyarah dan alumni sebagai fasilitator.
Bonda sebagai penasihat untuk kem ini.

[ Siapa nak teman saya pergi KSCC?] Satu mesej
masuk daripada bonda dalam whatsapp jabatan.

Tiada siapa yang membalas pertanyaan itu.
Kebetulan aku tiada apa-apa aktiviti pada sebelah

64

petang, maka aku tertarik dan ingin menemani bonda ke
sana.

[Saya boleh] Aku membalas.
Aku dan bonda bertolak dari UM ke KSCC sekitar
jam 12:30 tengahari. Sebelum itu, bonda mengambil
anak kecilnya, Sumayyah di Tadika untuk dibawa
bersama ke KSCC.
“Rindunya pada Sumayyah” Hatiku berkata.
Wajahnya yang tembam dan comel membuatkan aku
geram.
Kali pertama aku mengenali Sumayyah ketika
bonda menumpangkan aku di rumahnya. Sumayyah
seorang kanak-kanak yang petah, suka bertanya dan
cerdik. Penat aku melayan soalan demi soalan daripada
bibir Sumyyah. Namun, demi meraikannya, aku
membalas juga. Sumayyah teman setia bonda. Bonda
seringkali membawa Sumayyah ke pejabat selepas habis
waktu persekolahannya di Tadika. Sumayyah dikenali
dalam kalangan pelajar-pelajar Jabatan Dakwah dan
Pembangunan Insan.
Sumayyah keletihan. Dia tertidur di dalam kereta.
Sepanjang perjalanan aku dan bonda bertukar-
tukar cerita. Kami bercerita tentang dunia penulisan.

65

“Saya lebih suka baca novel tulisan orang
Indonesia. Plot novel mereka tidak klise dan bahasa yang
digunakan berbunga-bunga” Aku meluahkan rasa hati.

Ya, memang aku suka hasil tulisan orang
Indonesia. Aku banyak membeli novel-novel mereka.
Antara yang termasuk dalam koleksi aku ialah novel
Jangan Biarkan Surau Ini Roboh, Hakikat Cinta,
Tasawwuf Cinta, Cinta di Hujung Sejadah, Atas Nama
Cinta, Titian Nabi, Mukjizat Cinta dan banyak lagi.
Perasaan yang berbeza aku rasakan setiap kali
membacanya. Disebalik tema cinta yang ditampilkan,
terdapat beberapa tema kecil disertakan bersama agar
pembaca mendapat mesej yang sarat dengan pengajaran.

“Orang Indonesia ni memang pandai bercerita”
Beritahu Bonda.

“Antara cerpen dan puisi, saya lebih suka baca
puisi sebab ayatnya pendek-pendek” Luah aku lagi.

“Kalau saya suka juga baca cepen. Sekali duduk
boleh habis baca” Kata bonda.

Banyak lagi yang kami sembangkan sepanjang
perjalanan. Melalui cerita bonda, aku banyak
mengetahui tentang pensyarahku yang sedang duduk di
sebelah. Kami banyak persamaan rupanya.

66

Setelah tersalah jalan, akhirnya kereta yang
dipandu bonda sudah berada di hadapan KSCC. Aku rasa
bertuah kerana dapat menjejakkan kaki ke sini lebih
awal daripada tarikh kem. Lokasi KSCC yang berada di
Kampung Bukit Hijau, Jeram sebenarnya sangat dekat
dengan rumah mak cik aku yang terletak di Kampung
Bukit Kuching. Saban tahun pada hari raya, Kami
sekeluarga akan datang ke Jeram untuk menziarahi mak
cik.

Tujuan kedatangan ke KSCC untuk berbincang
dengan pemiliknya berkenaan dengan kem yang akan
diadakan. Aku tidak dapat menemani bonda meninjau
Kawasan KSCC kerana menemani Sumayyah makan. Dia
kelaparan kerana tidak ikut serta bersama aku dan
bonda makan tengahari semasa dalam perjalanan tadi.
Sumayyah tidur ketika itu.

Selesai perbincangan, kami segera pulang ke
Kuala Lumpur. Perjalanan pulang tidak selancar
perjalanan pergi. Kami terpaksa menempuh kesesakan
jalan yang agak Panjang. Bonda menghantarku terus ke
rumah sewa. Tepat masuknya waktu maghrib, aku
sampai ke rumah. Manakala bonda meneruskan
perjalanan pulang ke rumahnya di Puchong.

67

“letihnya hari ni” Aku mengadu kepada diri sndiri.
Meskipun penat, aku gembira kerana dapat
bertukar cerita dengan bonda. Allah telah aturkan aku
menemani bonda ke KSCC supaya aku dapat berkenalan
dengan lebih lagi.
Pada tarikh yang dirancang, kem Inspirasi Daie
berjaya dilaksanakan. Melalui kem ini, kami semua dapat
mengenali para alumni yang telah berjaya dalam kerjaya
masing-masing. Selain itu, kami dapat mengeratkan
hubungan dengan para pensyarah dan rakan-rakan.
Inilah yang membuatkan aku terus jatuh cinta dengan
Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan.

68

CATATAN SEPULUH

4 Tahun Sekali

Bulan Februari sangat unik. Bilangan harinya
tidak sebanyak bulan-bulan yang lain. Bilangan 29 hari
dalam bulan Februari akan menjelma 4 tahun sekali.
Selainnya hanya 28 hari sahaja. Sesiapa yang lahir pada
29 Februari hanya akan menyambut ulangtahun
kelahiran 4 tahun sekali.

[Hari ni tarikh hari lahir bonda kan?] Mesej
masuk daripada Sollehin, salah seorang rakanku.

[Sebenarnya 29 Februari. Tapi tahun ni tak ada]
Aku membalas.

69

Sungguh aku terlupa. Pertanyaan Sollehin telah
mengingatkan aku serta merta pada tarikh istimewa itu.
Orang yang lahir pada tarikh itu juga istimewa. Bonda,
beliau lahir pada tarikh itu.

[korang, jom bagi ucapan] Sollehin memberi
cadangan.

Cadangan Sollehin dipersetujui oleh kawan-
kawan yang lain. Meskipun pada tahun ini tarikh hari
lahir bonda tiada dalam kalendar, tidak salah rasanya
untuk kami memberi ucapan juga. Aku pantas menulis
ucapan selamat hari lahir dan menghantarnya ke dalam
whatsapp jabatan. Kemudian diikuti oleh rakan-rakan
yang lain. Ucapan demi ucapan dan doa untuk bonda
semakin banyak.

Hatiku sebak tiba-tiba apabila membaca ucapan-
ucapan yang diberikan oleh kawan-kawan kepada
bonda. Tidak dapat ku tahan lagi. Air mata mengalir
deras jatuh ke pipi. Mujur aku membawa sapu tangan.
Basah sapu tangan dek air mata yang melimpah.

Aku yang tadinya sedang menaip kerja di laptop
terpaksa menangguhkannya seketika. Aku tidak dapat
memberikan fokus untuk meneruskannya. Laptop aku
tutup seketika. Aku teringat kisah-kisah aku mengenali
bonda. Bermula pada ketika aku terbaca biodatanya,

70

kemudian bonda menumpangkanku di rumahnya,
mengambil empat subjek bonda, aku bertukar cerita
dengan bonda, aku menemani bonda ke KSCC dan lain-
lain lagi membuatkan aku sebak. Entah. Aku sendiri tidak
mengerti mengapa sebak ini datang. Tiba-tiba sahaja
menjelma.

“Aku sayang sangat dengan bonda” Hatiku
membisik sesuatu.

“Bonda sangat istimewa bagi aku” Bisik hatiku
lagi.

“Kalau diizinkan, suatu hari nanti aku mahu
menduduki kerusi yang bonda duduk sekarang” Tiba-
tiba impian ini muncul dari hati tanpa sedar. Namun, jika
itu benar-benar berlaku pada masa akan datang dan
ditakdirkan buatku, apa salahnya. Aku akan lalui.
Setidaknya, kenangan bersama bonda akan kekal sampai
bila-bila dalam hatiku.

Air mata semakin laju mengalir. Aku menutup
muka dengan sapu tangan. Mataku merah. Bunyi esakan
kecil kedengaran. Nasib baik tiada siapa dalam bilik
mesyuarat jabatan. Hanya aku seorang di dalamnya. Aku
teruskan menangis. Tidak pernah aku menangis pada
hari lahir seseorang. Tangis ini bukan tangis sedih.
Tetapi tangis ini kerana aku mengagumi seorang wanita

71

yang aku panggil bonda di universiti. Wanita ini kuat dan
tabah. Wanita ini gagah dan gigih dalam setiap
tanggungjawabnya. Wanita ini dapat kurasakan cintanya
dalam setiap bicara hikmahnya.

“Bonda, saya sayang bonda. Semoga bonda
dipermudahkan urusan seharian” Doaku.

72

CATATAN SEBELAS

Puisi Cinta

Sempena majlis penutupan Minggu Media Islami,
aku menulis sebuah puisi untuk dibacakan sebagai
persembahan. Rangkap pertama puisi ditulis dengan
iringan air mata. Air mata yang tiba-tiba mengalir tanpa
sedar. Berkali-kali aku mengelapnya. Aku cuba menahan
air mata semasa menulis rangkap seterusnya. Puisi ini
aku tulis istimewa buat bonda. Aku tulis dengan setulus
hati ini. Selepas dua orang rakan membawa masuk kek,
puisi bertajuk Pelangi Jiwa dideklamasikan bersama

73

iringan muzik yang agak sedih. Sengaja memilih yang
sedih.

Hening langit hati
Di balik kilau cahaya ilmu
Di balik sinar cahaya nurani
Kami terlihat ada satu jiwa
Yang luar biasa
Dari jauh kami memerhati
Dari jauh kami mengenali
Insan istimewa ini
Ya, dia istimewa di hati
Dialah bonda kami.

Wahai bonda
Lembut belai jemarimu menenangkan
Kasih bicaramu menasihatkan
Sayangmu melindungi
Jiwa kami yang disinggah gerimis.

74

Kami di sini
Dengan kerenah dan ragam
Dengan watak yang bermacam
Namun
Bonda tetap setia
Mencurah hikmah dengan kata
Menabur bakti dan jasa
Tempat kami berteduh
Sebelum terbang jauh.

Wahai bonda kami
Sisimu rakan perjuangan yang hebat
Sisimu pendidik yang berjaya
Bonda dan mereka sama mulia
Di jiwa kami tetap bermakna.

75

Bonda

Kami anak-anak didikmu

Memeterai rindu yang dalam

Menuai cinta sejati

Demi hati ini

Tak sekali kami lupa

Kenangan bersama bonda.

Aku meminta tolong dua orang rakanku, Izzati
dan Sollehin untuk mendeklamasikannya. Kalau
diikutkan hati, mahu saja aku yang membacanya sendiri.
Namun aku risau sekiranya tidak dapat menahan sebak.
Semasa puisi sedang dibacakan, ku seka air mata
daripada terus mengalir.

“Bonda, inilah puisi cintaku buatmu” Bisik hati ini.

Pada subuh hari Sabtu nanti, bonda akan
berangkat ke tanah suci untuk menunaikan ibadah
umrah.

“Doakan kami anak-anak didikmu” Pintaku
kepada bonda.

76

BAHAGIAN TIGA

Perkenalan dengan bonda
Melahirkan rasa kasih di jiwa
Haruman cinta telah tersebar

Memenuhi ruang hati.

77

Apa kata mereka tentang bonda?

Sifat bonda yang bersungguh-sungguh dalam
kerja, dan dapat dilihat setiap kerjanya dilakukan dari
hati. Walaupun seorang pensyarah, beliau sangat
merendah diri.

Siti Nadhirah Binti Shaleh
Alumni

Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan

Seorang pensyarah yang berbakat.

Nur Izzaty Binti Mohd Shamsuddin
Pelajar

Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan

Dr. Raudah mempunyai sifat keibuan. Kalau
menceritakan masalah kepadanya, bonda akan
memandang masalah itu dengan kacamata seorang ibu.
Beliau sangat penyayang dan penyabar dengan anak-

78

anaknya. Bonda juga sangat melayan kerenah anak
muridnya dan mesra. Selain itu, bonda boleh
merendahkan dirinya seperti bukan seorang pensyarah,
tetapi seorang ibu. Jadi, memang sangat sesuai gelaran
bonda diberikan kepada Dr. Raudah.

Nur Amirah Binti Ali Hasymi
Pelajar

Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan

Seorang pensyarah yang sentiasa positif dan
berdedikasi.

Nurul Zafirah Binti Zahid Maulana
Pelajar

Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan

Sentiasa senyum, tidak pernah mengeluh dan
sabar melayan kerenah anak-anaknya. Beliau juga
seorang yang tegas dalam keadaan bersahaja.

Muhammad Adib At Tamimi Bin Muhammad Zahili
Pelajar

Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan

Seorang yang penyayang, sifat keibuannya
terserlah, pemurah dan baik hati.

Nurul Musfirah Binti Norazli
Pelajar

Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan

79

Seorang yang mempunyai sifat keibuan,
berpengalaman dan faham sosial.

Najihah Binti Ismail
Pelajar subjek Penulisan Dakwah
Jabatan al-Quran dan al-Hadith.

Seorang pemikir dan bersungguh-sungguh.

Muhammad Mirza Syahmi Bin Ab. Rahaman
Alumni

Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan

Bonda mempunyai personaliti keibuan, mesra
dengan anak didiknya, berjiwa seni seperti boleh
berpuisi dan bersajak.

Noor Diana Binti Abu Zih
Alumni

Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan

MasyaAllah. Semuanya menarik dan baik-baik
belaka. Ini salah satu bukti bahawa bonda berjaya
mendapat tempat di hati anak didiknya.

80

Pandangan jiwa

Memberi pandangan terhadap seseorang
bukanlah mudah sebenarnya. Sebelum memberi
pandangan terhadap seseorang, kita mestilah mengenali
seseorang itu. Semakin lama kita berkenalan, semakin
banyak yang kita tahu tentangnya.

Aku percaya setiap apa pandangan mereka
terhadap bonda ikhlas dari hati sepanjang mengenali.
MasyaAllah. Semuanya baik-baik belaka. Aku setuju
dengan apa yang mereka luahkan. Aku juga merasai
perkara itu. Tidak dapat dinafikan, anak-anak muridnya
semua dapat merasakan kasih sayang yang dicurahkan.
Cabaran mendidik pada era pembangunan dan
pemodenan teknologi ini sememangnya menguji
kesabaran. Kerenah, ragam dan perwatakan anak didik
yang bermacam telah menggugat sabar. Namun, tidak
pernah mendengar bonda melontarkan keluhan.

Pandangan mereka sepanjang mengenali bonda
dapat menggambarkan betapa bonda sangat disayangi
ramai. Bukan sahaja anak didiknya pada ketika ini, malah

81

alumni-alumni Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan
juga masih masih lagi merasai kehangatan kasih
sayangnya.

Harapan

Setiap manusia yang mempunyai matlamat hidup
yang jelas akan mengenali siapakah idola atau sumber
inspirasi yang boleh dijadikan contoh dalam hidup.
Contoh dan teladan seseorang mampu memberi
suntikan semangat dan galakan untuk mencari identiti
diri dan menceburi dunia kerjaya dengan kepuasan.

Seperti kebiasaan, setiap kali kemasukan pelajar
baru, Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan akan
mengadakan hari interaksi untuk saling mengenali
antara pelajar dengan pensyarah. Pada tahun 2017,
pengisian hari interaksi menampilkan kelainan apabila
merealisasikan idea bonda dengan adanya sesi
perkongsian dengan alumni.

82

Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan telah
melahirkan insan-insan yang berjaya dalam pelbagai
bidang. Hebat. Lebih mengagumkan ialah meskipun
sudah lama meninggalkan alam universiti, hubungan
mereka dengan para pensyarah masih terjalin erat.

Ternyata ia merupakan idea yang bernas dan
sangat bermanfaat. Kehadiran mereka untuk
menyampaikan sedikit perkongsian pengalaman
menyedarkan kami akan sesuatu yang membezakan
antara kami dan mereka. Mereka dahulu biarpun aktif
dengan persatuan dan kelab, mereka lebih menyayangi
jabatan. Mereka mengutamakan jabatan dan banyak
menghabiskan masa di jabatan.

Hasrat bonda sebenarnya ingin menjadikan
jabatan kembali meriah seperti yang berlaku pada
zaman-zaman alumni dahulu. Hasrat yang sungguh
mulia dari hati bonda. Ya, diakui berdasarkan apa yang
diceritakan oleh alumni, memang terlalu banyak
perbezaannya dengan zaman kami.

Jabatan kini tidaklah sesunyi pada waktu aku
tahun satu dahulu. Pelajar-pelajar sedikit demi sedikit
sudah mulai suka berkunjung ke jabatan pada waktu
lapang. Aku merasakan perubahan itu sedikit selepas

83

hari interaksi yang telah dijalankan. Biarpun belum
meriah seperti dulu, setidaknya pelajar tidak lagi segan
untuk naik ke tingkat empat yang tinggi.

Aku sangat berharap agar hasrat bonda sedikit
demi sedikit dapat direalisasikan oleh para pelajar
generasi seterusnya. Hasrat bonda itu sebenarnya untuk
menjadikan pelajar tidak melupakan tempat menadah
ilmu dan menjalinkan hubungan yang rapat dengan
pensyarah seperti mana alumni dahulu.

84

BAHAGIAN EMPAT

Cinta luar biasa
Menjulang jiwa ke puncak tinggi

Meraih bahagia
Mendamaikan kekosongan hati

Menyanyikan irama indah
Menghiburkan resah

85

Kelahiran Cinta

Setiap manusia yang dilahirkan akan mempunyai
rasa ingin disayangi. Itu normal. Tidak kiralah sama ada
kanak-kanak, remaja, dewasa ataupun warga emas,
perasaan ingin kasih sayang merupakan fitrah.

Sebanyak 76 kali Allah menyebut tentang cinta di
dalam al-Quran. MasyaAllah, banyaknya. Mengapa
sekerap itu cinta disebut? Sudah pasti kerana cinta itu
mempunyai nilai yang hebat. Tidak inginkah kita semua
memiliki cinta? Semestinya mahu.

Sesungguhnya, Allah merupakan pemilik hati bagi
setiap makhluk ciptaan-Nya. Apabila dia yang memiliki
hati kita, sudah tentu dia berhak melahirkan rasa cinta
kepada insan-insan yang terpilih. Dalam Surah Maryam
ayat 96, Allah telah berfirmah yang mafhumnya:

86

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman
dan beramal soleh, Kelak Allah Yang Maha
Pemurah akan menanamkan rasa kasih dan
sayang dalam hati mereka”

Berdasarkan ayat di atas, setiap orang berhak
mendapatkan cinta daripada-Nya. Cinta yang datang
daripada pencipta sememangnya cinta yang terbaik dan
terindah buat manusia.

Kemudian, dalam surah al-Baqarah ayat 165,
Allah berfirman yang mafhumnya:

“…….dan sedangkan orang yang beriman itu
lebih cintanya (taat) kepada Allah…..”

Oleh itu, jadilah insan yang beriman dan
beramal soleh untuk sama-sama meraih cinta sejati.

87

Bahagian Cinta

Cinta juga mempunyai peringkat bahagiannya.
Terdapat enam peringkat cinta dalam Islam menurut
Ibnu Qayyum, seorang ulama hebat pada abad ketujuh.

• Peringkat pertama
Cinta ini merupakan cinta yang paling agung dan

suci iaitu cinta kepada Yang Maha Pencipta. Dalam hal
ini, seseorang yang kuat cintanya kepada Allah akan
mengutamakan Allah dalam setiap perkara dalam hidup.

• Peringkat kedua
Pada peringkat ini ialah cinta kepada junjungan

besar Nabi Muhammad S.A.W. Seseorang yang mencintai
baginda akan sentiasa patuh dengan ajaran yang dibawa
dan berusaha untuk melaksanakan sunnahnya.

• Peringkat ketiga
Cinta seterusnya ialah cinta antara mukmin

dengan mukmin yang lain seperti antara pasangan suami
isteri dan ibu bapa dengan anak-anaknya. Cinta ini akan

88


Click to View FlipBook Version