KOMUNIKASI DAN PENYIARAN ISLAM
Peraturan Penggunaan Bahasa
Menurut Asmah Hj. Omar, beliau telah merumuskan bahawa ada tiga jenis peraturan
penggunaan bahasa, iaitu:
Peraturan Peraturan Peraturan
Linguistik Penggunaan Pragmatik
Bahasa
Peraturan
Sosiolinguistik
Kepatuhan kepada ketiga-tiga peraturan itu secara bersepadu menjadi asas kesantunan bahasa.
Dengan perkataan lain, orang yang santun bahasanya ialah orang yang sedapat mungkin berbahasa
dengan menitikberatkan ketiga-tiga peraturan bahasa itu.
i) Peraturan Linguistik
Peraturan linguistik berkaitan dengan peraturan penggunaan bahasa yang menitikberatkan ketepatan
bentuk dan binaan bahasa. Aspek utama yang mewakili bentuk dan binaan sesuatu bahasa ialah
sebutan, intonasi, ejaan, kosa kata dan tatabahasa. Kepatuhan kepada peraturan linguistik lebih ketara
dan ditekankan dalam penggunaan bahasa yang berkaitan dengan urusan dan majlis rasmi,
berbanding dengan urusan tidak rasmi. Peraturan linguistik perlu diberi perhatian dalam urusan
tertentu ataupun majlis rasmi.
1. Menjaga kesempurnaan perjalanan urusan tertentu atau majlis yang bergantung pada
kejelasan mesej yang disampaikan.
2. Memastikan bahawa semua yang hadir atau terlibat dengan urusan tertentu atau majlis rasmi
itu dapat saling memahami pada tahap yang sebaik-baiknya dan tidak mengalami jurang
komunikasi disebabkan kelainan dialek atau ragam bahasa yang digunakan oleh sesuatu
pihak.
ii) Peraturan Sosiolinguistik
Peraturan sosiolinguistik pula berkaitan dengan penggunaan bahasa yang menitikberatkan
hubungan sosial antara orang yang bercakap dengan pendengar (dalam konteks komunikasi lisan)
dan antara penulis dengan pembaca (dalam konteks komunikasi tulisan). Contohnya ialah
penggunaan kata sapaan yang betul, sama ada kata ganti diri mahupun kata panggilan hormat,
yang ditentukan menurut sistem dalam masyarakat seperti tuan, cik, datuk, datin dan lain-lain.
Penggunaan bahasa perlu disesuaikan dengan konteks dalam masyarakat, baik disebabkan oleh
faktor hubungan, faktor suasana, faktor bidang dan faktor media (lisan atau tulisan).
101
KOMUNIKASI DAN PENYIARAN ISLAM
iii) Peraturan Pragmatik
Peraturan pragmatik menekankan penggunaan bahasa yang perlu disesuaikan dengan tujuan
komunikasi. Peraturan ini berkaitan dengan penggunaan bahasa yang sopan dan berkesan. Dalam
urusan perundingan, jual beli, ceramah, pengajaran, dialog dan sebagainya penguasaan
peraturan pragmatik amat diperlukan supaya tujuan atau hajat kita tercapai dan pada waktu yang
sama kesopanan bahasa terpelihara serta kita tidak menyakiti perasaan orang lain. Antara yang
penting termasuklah pemilihan kata dan ungkapan yang sesuai dengan tujuan orang yang
bercakap, latar belakang pendengar, bidang dan suasana seperti penceritaan, pemaparan,
penghujahan dan lain-lain.
Peranan Bahasa Dan Kepentingan Kesantunan Bahasa
Peranan bahasa dalam pembentukan kebudayaan dan tamadun manusia dapat diringkaskan seperti yang
berikut:
1. Bahasa menjadi alat pemerolehan dan pengembangan ilmu
Dalam Surah al-Baqarah, ayat 31, dijelaskan bagaimana Allah mengajar Nabi Adam a.s. tentang nama
sekalian ciptaan dan kejadian di alam, iaitu sebagai bukti bahawa pemerolehan dan pengembangan ilmu
memerlukan bahasa sebagai alatnya.
2. Bahasa menjadi alat pendidikan dan pemasyarakatan (sosialisasi)
Pembentukan sahsiah yang bermula dengan institusi keluarga, rakan sebaya, institusi pendidikan formal
(seperti sekolah), media massa dan masyarakat berlangsung dengan menggunakan bahasa sebagai alat
penyaluran sistem kepercayaan, sistem nilai, adat dan kebudayaan keseluruhannya.
3. Bahasa menjadi tali pengikat persefahaman dan perpaduan
Bahasa menjadi alat yang mampu membentuk persefahaman dan perpaduan manusia.
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan,
dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-
kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di
sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau
bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya
(akan keadaan dan amalan kamu).” (al-Hujurat: 13)
Oleh sebab demikian besarnya peranan bahasa dalam pembentukan kebudayaan dan tamadun
manusia, maka kesantunan bahasa menjadi perkara yang amat penting untuk difahami dan
diamalkan oleh setiap anggota masyarakat. Antara kepentingan kesantunan bahasa adalah:
102
KOMUNIKASI DAN PENYIARAN ISLAM
(1) Kesopanan seseorang pada umumnya dinilai melalui bahasanya yang santun,
(2) Bahasa yang santun akan lebih melancarkan penyampaian mesej dalam komunikasi
(3) Bahasa yang kurang santun sering menyakitkan perasaan-perasaan orang lain
sehingga menjadi sumber konflik,
(4) Masyarakat yang bersopan santun melahirkan generasi yang berbudi bahasa
Isu kesantunan Bahasa masa kini
Masa kini, kita dapat melihat fenomena kesantunan berbahasa dalam kalangan generasi muda kian dilupai
terutamanya bagi yang tinggal di kota. Antara isu yang menjadi fokus utama dalam kesantunan bahasa
masyarakat Malaysia ialah
1. Panggilan hormat bukan sahaja diberikan kepada orang yang lebih tua daripada kita, malah
terhadap rakan sebaya dan orang yang lebih muda daripada kita. Hari ini, jarang sekali kita
dengar panggilan pakcik, makcik, pak ngah dan sebagainya. Panggilan ayah juga telah berkurang
dan ada juga yang hanya memanggil orang tua mereka dengan nama. Hal ini disebabkan generasi
hari ini terlalu terdedah dengan drama-drama Inggeris atau tayangan di televisyen oleh
masyarakat barat di mana mereka memanggil orang tua mereka dengan nama bukannya dengan
panggilan ayah atau ibu. Mereka terlalu terikut dengan budaya ini dan menganggap budaya ini
sebagai budaya moden.
2. Generasi hari ini banyak menggunakan bahasa singkatan dalam komunikasi dengan sahabat-
sahabat atau teman-teman mereka. Bahasa singkat ini telah banyak mempengaruhi penulisan di
dalam esei atau karangan yang mereka tulis di sekolah. Mereka memendekkan ejaan seperti ‘aku’
ditulis sebagai ‘aq’, ‘sayang’ sebagai ‘cyg’ dan bermacam-macam lagi. Bermulanya isu ini
apabila negara kita terlibat di dalam arus globalisasi dan modenisasi di mana komunikasi tidak
lagi mempunyai batasan dan penggunaan laman sosial serta pesanan ringkas sebagai wahana
perbualan semakin berleluasa.
3. Filem-filem tempatan sekarang sudah banyak menggunakan bahasa yang agak kasar dan
lucah yang boleh menggugat kesantunan masyarakat yang sudah lama dibanggakan. Contohnya,
penggunaan kata ganti nama “awak” kepada “lu” dan saya kepada “gua” serta kata-kata kesat
yang menghina orang lain.
4. Penggunaan bahasa rojak pada masa kini semakin membimbangkan dan seterusnya memberi
impak yang besar terhadap nasib bahasa kebangsaan kita, Bahasa Malaysia. Penggunaan bahasa
rojak ini seringkali dilakukan oleh remaja kini. Ini kerana, mereka terdedah dengan persekitaran
yang terlampau memberi pengaruh bukan sahaja dari segi perlakuan, malah dari segi mereka
berbahasa. Contoh, penggunaan bahasa rojak ialah:
103
KOMUNIKASI DAN PENYIARAN ISLAM
i. “picture td colour biru nie oren lak mcm ner wat nie?”
ii. “best gak…coz penceramah datang khas dr mpc… dia perkenalkan new criteria for 5s.”
Langkah Mengatasi Isu Kesantunan Bahasa
1. Peranan institusi keluarga
• Mempraktikkan gaya pertuturan atau perbualan yang sopan dan teratur.
• Perlu tegas dalam mendidik anak-anak agar generasi muda terbiasa dengan disiplin dan
pertuturan bahasa yang sopan tidak kira di mana mereka berada terutamanya ketika menggunakan
laman sosial.
2. Peranan pihak sekolah
• Menggalakkan para pelajar menggunakan bahasa yang sopan dan beradab dalam pertuturan yang
diucapkan sesama mereka ketika berada di dalam dan luar sekolah.
• Menganjurkan kempen-kempen yang berkaitan dengan budi bahasa untuk diterapkan dalam
kalangan pelajar
• Menerapkan penggunaan bahasa yang santun dalam teknologi maklumat dan komunikasi.
3. Penganjuran Kempen
• Pihak berkuasa harus kerap mengadakan kempen menyedarkan para remaja tentang budaya
kesantunan bahasa yang perlu diamalkan dalam kehidupan seharian sama ada ketika dengan
rakan sebaya, orang yang lebih tua atau orang asing.
4. Peranan Media Massa
• Media massa perlu menggunakan bahasa yang sesuai dan bersopan dalam penyampaian serta
komunikasi yang disiarkan. Ini kerana ia mampu mempengaruhi penggunaan bahasa dalam
kalangan masyarakat
104
KOMUNIKASI DAN PENYIARAN ISLAM
TOPIK 19: UNSUR-UNSUR KHURAFAT DALAM FILEM
Oleh:
Roshadah Abu Bakar
Pengenalan
Filem adalah salah satu bahan hiburan masa kini yang sangat diminati oleh golongan remaja masa kini.
Filem yang mengandungi tema, jalan cerita, adegan atau dialog yang menyentuh hal-hal agama juga
dibenarkan. Walau bagaimanapun perkara-perkara tersebut perlu diberi perhatian dan diteliti secara
mendalam supaya tidak menimbulkan kontroversi dan keraguan dalam kalangan masyarakat. Di
antaranya ialah yang mengandungi unsur-unsur khurafat yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Takrif Khurafat dalam filem
Khurafat ditakrifkan sebagai kepercayaan dan perbuatan karut yang dianggap mempunyai hubungan
dengan agama Islam sedangkan pada hakikatnya bertentangan dengan konsep tauhid dan syariat dalam
Islam contohnya cerita-cerita rekaan khayalan, ajaran-ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan-
ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang bersifat karut atau dusta menyimpang daripada ajaran Islam.
Manakala menurut Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620) filem adalah bermaksud:
(i) Sesuatu filem sinematografi
(ii) Sesuatu pita video, disket, cakera laser, cakera padat, cakera keras dan rekod lain;
yang asal atau pendua bagi suatu urutan imej gambar tampak, yang merupakan suatu
rekod yang dapat digunakan sebagai suatu cara untuk menunjukkan urutan itu
sebagai suatu gambar bergerak, sama ada atau tidak diiringi dengan bunyi.
Hukum mempercayainya
Hukum mempercayai khurafat, tahyul dan kebudayaan karut adalah syirik, kerana menganggap kuasa lain
boleh mendatangkan manfaat, selain daripada kekuasaan Allah SWT.
Maksud firman Allah S.W.T. (Yunus: 106)”:
“Dan janganlah engkau menyembah atau memuja yang lain daripada Allah, yang tidak dapat
mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudharat kepadamu.
Sekiranya engkau mengerjakan yang demikian maka jadilah engkau orang-orang yang berlaku
zalim.”
Contoh perbuatan khurafat
105
KOMUNIKASI DAN PENYIARAN ISLAM
Contoh perbuatan khurafat yang masih diamalkan dalam kalangan masyarakat Malaysia adalah:
1. Mempercayai azimat dan kesaktian yang boleh menahan sesuatu bahaya kepada
seseorang
2. Mempercayai binatang seperti burung boleh membawa tuah atau sial
3. Mengunjungi kubur yang dianggap keramat
4. Mandi safar,
5. Melenggang perut,
6. Menanam uri atau tembuni bersama objek-objek tertentu.
Amalan memuja dan memohon pertolongan daripada makhluk lain selain Allah SWT seperti
yang selalu dilakukan oleh sesetengah bomoh dan dukun adalah syirik dan menyesatkan. Orang-orang
yang bersahabat menggunakan jin, tukang sihir, tukang tenung adalah tergolong dalam golongan orang
yang bodoh dan menzalimi diri sendiri.
Amalan penggunaan azimat atau tangkal sebagai pelindung diri seperti ilmu kebal, ilmu pengasih,
ilmu pelemah hati, ilmu penjauh jin dan sebagainya yang dicampuradukkan dengan sihir adalah
menyeleweng dari ajaran Islam.
Namun masyarakat masa kini sentiasa dipaparkan dengan penayangan filem-filem seram atau
hantu yang begitu banyak sejak akhir-akhir ini yang mana menimbulkan keresahan dan kebimbangan
khususnya dalam kalangan masyarakat Islam. Penghasilan filem-filem ini sangat memberi kesan dalam
kehidupan masyarakat kerana masyarakat akan terikut-ikut dengan perbuatan dan tingkah laku yang selalu
dipertontonkan.
Dalam akhbar Utusan Malaysia (2011), bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir
Mohamad telah menyelar filem-filem seram dan hantu yang banyak berunsurkan khurafat
telah meracuni pemikiran masyarakat. Generasi muda yang bakal memerintah negara akan
terikut-ikut menggunakan 'ramalan' dan pak nujum, ilmu penunduk dan ilmu penggerun
yang mampu merosakkan akidah umat Islam dan memperbodoh-bodohkan masyarakat
serta tidak mendidik masyarakat untuk menjadi lebih baik dan insaf atas kesilapan yang
telah dilakukan.
Faktor Penyebab Wujudnya unsur khurafat masa kini
Antara faktor penyebab wujudnya unsur khurafat dalam masyarakat masa kini ialah:-
1. Kurang iman kepada Allah
2. Kurang ilmu agama sehingga sukar membezakan amalan benar dan khurafat
3. Terpengaruh dengan tayangan filem-filem atau drama yang berunsurkan khurafat
4. Terpengaruh dengan golongan yang bebas mengamalkan perkara khurafat
106
KOMUNIKASI DAN PENYIARAN ISLAM
5. Ingin mencari jalan mudah untuk menjadi kaya dan terkenal
6. Perasaan ingin mencuba yang semakin tinggi
Contoh senarai filem, drama atau sebarang audio visual mengandungi unsur-unsur khurafat.
FILEM DRAMA
1.Jangan pandang belakang 1.Puaka Niyang Rapik
2.Rasukan ablasa 2.Anak Betong
3.Histeria 3.Bilik 13
4.Syaitan 4.Seram
5.Maut 5.Susuk
6.Akhirat 6.Kliwon
7.Zombi Kampung Pisang 7.Kekasihku seru
8.Congkak
9.Pontianak Harum Sundal Malam
10.Warisan
Filem-filem berkenaan lebih banyak mengajar dan memberi contoh kepada yang batil dan
menjadikan masyarakat lebih 'takut' terutama kepada kanak-kanak dan mereka yang tidak mempunyai
didikan agama yang kukuh akan terikut-ikut perbuatan tersebut. Kesan tayangan filem kepada kanak-
kanak telah lama dikenalpasti sama ada melalui kajian, penelitian, pengamalan dan pemerhatian sejak
tahun-tahun 1950-an lagi.
Isu filem berunsur khurafat masa kini
Di ntara isu-isu filem yang berunsur khurafat masa kini yang sangat membimbangkan masyarakat ialah:
1. Filem yang membawa kepada terpesong akidah umat Islam. Contohnya terdapat satu babak
dalam filem “Maut” yang memberi gambaran tentang kehidupan selepas kematian dan seksaan
yang akan berlaku. Ia dikhuatiri boleh memesongkan akidah kerana penonton akan menganggap
siksaan yang berlaku adalah benar-benar seperti yang digambarkan.
107
KOMUNIKASI DAN PENYIARAN ISLAM
2. Filem yang berbentuk sihir yang ditayangkan seperti pemujaan benda ghaib atau bacaan
yang tidak difahami merupakan adaptasi perlakuan syirik oleh penonton. Contohnya filem Jangan
Pandang Belakang yang memaparkan pemujaan dan kepercayaan yang bersifat karut kerana
ditakuti sedikit sebanyak masyarakat akan meniru perlakuan tersebut memandangkan ramai
masyarakat Malaysia yang kurang memahami dan mengamalkan konsep tauhid yang sebenar.
3. Filem yang mempertontonkan cerita-cerita rekaan khayalan, ajaran-ajaran, pantang larang,
adat istiadat, ramalan-ramalan dusta yang menyimpang daripada ajaran Islam contohnya
drama Susuk, Seram, Puaka Niyang Rapik dan lain-lain yang menganggap makhluk-makhluk
lain yang mempunyai kuasa luar biasa yang tiada tolok bandingnya seolah-olah menidakkan
kuasa yang Maha Besar Allah SWT. Masyarakat akan terpengaruh untuk pergi menemui kahin
(dukun) apabila ditimpa satu musibah rentetan daripada kebolehan luar biasa jin ini. Ini
menyebabkan masyarakat lebih takut kepada makhluk lain berbanding takutkan Allah SWT.
Dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu. Dari Nabi Sallahu alaihi wasallam bersabda
“Barangsiapa yang mendatangi kahin (dukun) dan membenarkan apa yang ia katakan,
sesungguhnya ia telah kafir terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad SAW”
(HR Abu Daud)
4. Filem yang mengandungi adegan dan dialog yang berunsur syirik dan menyentuh
akidah yang mengandungi ajaran anti-Tuhan, anti-agama, kepercayaan fanatik, mengkritik
atau mencela mana-mana agama contohnya filem congkak, histeria dan lain-lain.
Adegan memohon pertolongan guru atau orang lain atau benda-benda tertentu seperti
batu, cincin dan sebagainya sebagai wasilah untuk sampai kepada Tuhan.
5. Filem yang mengandungi adegan guru atau murid satu-satu ajaran atau amalan atau
tarikat membuat pengakuan menerima wahyu dan guru membuat pengakuan memegang
kunci pintu syurga.
6. Filem yang mengandungi adegan mengamal zikir dengan suara yang kuat, berzikir
dalam kelambu, tempat gelap yang melibatkan pergaulan bebas lelaki dan wanita dan
adegan yang mengaku gurunya sebagai bertaraf Nabi atau Malaikat.
7. Filem yang mengandungi adegan mempercayai penjelmaan semula roh orang yang
telah mati ke dalam jasad orang yang masih hidup dan meminta izin ketika melalui pokok
besar dan sebagainya. Contohnya filem Zombie Kampong Pisang mengisarkan cerita-
cerita ‘hantu’ yang karut dan penjelmaan roh yang boleh mensyirikkan Allah SWT.
108
KOMUNIKASI DAN PENYIARAN ISLAM
Kesan-kesan filem khurafat kepada masyarakat
1. Merosakkan akidah Islam dan memperbodohkan masyarakat
Islam tidak menerima apa juga perkara yang boleh memperbodohkan masyarakat termasuk
memvisualkan jin dan syaitan dalam bentuk drama atau filem. Momokan mitos yang
disiarkan tidak menyumbang kepada pembentukan jiwa masyarakat malah menjadikan
masyarakat berfikiran negatif dan kolot. Masyarakat juga akan memandang ringan kepada
perkara-perkara yang boleh membawa kepada perbuatan mensyirikkan Allah SWT yang
boleh merosakkan akidah umat Islam. Keadaan ini sangat bahaya sekiranya dibiarkan
berleluasa dalam masyarakat.
2. Membazir masa, tenaga dan harta dengan perkara sia-sia
Masyarakat menjadi lalai, suka membazir masa, tenaga dan harta dengan perkara yang sia-sia
yang tidak memberi manfaat kepada diri sendiri. Berlaku pembaziran tenaga dan wang ringgit
yang mana boleh diperuntukkan untuk perkara yang lebih mustahak lagi.
3. Cerita tahyul dijadikan hiburan bersuka ria
Cerita-cerita tahyul tidak memberi faedah kepada masyarakat kerana elemen rekaan yang
disampaikan terlalu sarat dengan perkara-perkara tahyul berbanding moral yang hendak
disampaikan. Ini menyebabkan manusia hidup hanya untuk bersuka ria dan mengikut
kehendak nafsu semata-mata.
4. Pengaruh kepada kanak-kanak dengan budaya negatif
Kanak-kanak belajar daripada pemerhatian. Televisyen merupakan pengaruh terbesar kepada
kanak-kanak yang mana mampu memberi kesan buruk dari aspek tingkahlaku, pemahaman
dan percakapan kanak-kanak. Selain itu mereka juga akan terikut-ikut dengan gaya
pemikiran yang berunsurkan tahyul dan sudah pasti memberi kesan yang buruk kepada masa
depan mereka.
5. Mengeksploitasi media sebagai sumber ilmu yang salah
Masyarakat Malaysia mudah terpengaruh dan mengambil jalan pintas dan menggunakan
medium yang salah untuk mencapai kemewahan. Filem dan drama yang berunsur khurafat
mampu mengajar masyarakat menggunakan ilmu yang salah (sihir) untuk tujuan tertentu
seperti santau, ilmu hitam dan bomoh yang berpunca daripada hasad dengki untuk
kepentingan diri sendiri.
109
KOMUNIKASI DAN PENYIARAN ISLAM
6. Masa yang dipertontonkan tidak sesuai
Pada malam jumaat umat Islam sentiasa dipenuhi dengan siri-siri diskusi ilmiah dan slot-slot
tazkirah yang penuh dengan ketenangan. Namun malam ini telah dimomokkan kononnya
malam yang seram lagi menakutkan dan penuh ‘misteri’ serta diisi dengan pengisian mitos
melalaikan.
Langkah Menangani Unsur Khurafat Dalam Filem
Cara menangani & membanteras perbuatan/ aktiviti khurafat dalam kalangan masyarakat Islam:
1. Memberi pemahaman yang sejelasnya kepada pengeluar filem tentang bahaya dan kesan
buruk filem yang mengandungai unsur khurafat kepada masyarakat.
2. Menggiatkan usaha-usaha dakwah dan majlis-majlis ilmu di semua lapisan masyarakat.
3. Mengenakan hukuman kepada mereka yang terlibat mempengaruhi orang
ramai melakukan perkara khurafat
4. Mengawasi tempat-tempat yang dianggap keramat oleh masyarakat
5. Mewarwarkan kepada umum tentang bahaya khurafat kepada masyarakat
6. Memberi kefahaman kepada umum tentang undang-undang penyiaran (akta 620)
Kesimpulannya, tindakan media mempopularisasikan alam mistik telah melanggar batasan yang
telah ditetapkan oleh syarak secara khususnya dan menyalahi secara amnya. Perkara ini jelas memberi
kesan negatif kepada masyarakat. Masyarakat Islam sepatutnya dididik dengan mengagungkan keesaan
Allah SWT agar dapat menambahkan lagi keimanan kepada Allah SWT. Firman Allah :
110
KOMUNIKASI DAN PENYIARAN ISLAM
Maksudnya :
“Wahai anak adam! Janganlah engkau diperdaya oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan
kedua ibubapamu dari syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk
memperlihatkan aurat merka kepada mereka (yang sebelum itu tertutup) Sesungguhnya syaitan
dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya kami
telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang yang tidak beriman”
(al-Quran, Surah Al-A’raaf: 27)
111
KOMUNIKASI DAN PENYIARAN ISLAM
RUJUKAN
Al-Quran
Ab. Aziz Mohd Zin. (1997). Pengantar dakwah Islamiah. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Ab. Aziz Mohd Zin. (2005). Metodologi Dakwah. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Abdul Ghani Samsudin, Ishak Sulaiman & Engku Ibrahim Ismail. (2001). Seni dalam Islam. Shah Alam:
Intel Multimedia and Publication.
Abdul Karim Zaidan. (1980). Dasar-Dasar Ilmu Dakwah. Terj. H.M Asywadi Syukur. Kuala Lumpur:
Dewan Pustaka Islam..
Ahmad Ghalwush. (1978). al-Daᶜwah al-Islamiyyah: Uṣūluha wa Wasāiluha. Kaherah: Dar al-Kitab al-
Misriy.
Asiah Sarji, Faridah Ibrahim & Mazni Buyung. (1996). Pola Pengamalan Profesionalisme dalam Industri
Filem Malaysia. Ulu Kelang: FINAS.
Bandura. A. (2001). Social Cognitive Theory of Mass Communications. Dlm. Bryant. J & Zillman. D
(pnyt.). Media Effects: Advances in Theory and Research (2nd edition), hlm. 121-153. Hillsdale,
NJ : Lawrence Erlbaum.
Marzuki Sepiaail, Rina Fakhrizan Mohd Sukri & Alias Mat Saad. (2016). Komunikasi dan Penyiaran
dalam Islam. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Maszlee Malik. (2014). Risalah Pemuda Muslim. Kuala Lumpur: Telaga Biru.
Naim Haji Ahmad. (2011). Filem Islam satu pembicaraan. Shah Alam: Uni-N Production Sdn. Bhd.
Nor Hizwani Ahmad Thohir & Nor Raudah Siren. (2015). Unsur Dakwah dalam Drama Matahari Terbit
Lagi. Dlm. Yusmini Md Yusoff, Nor Raudah Siren, Muhammed Yusof & Fakhrul Adabi Abdul
Kadir (pnyt.). Isu-isu Media dan Dakwah, hlm. 151-175. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Nur Hasniza Mokhtar, Nathrah Mohammed Said, Nrurulain Abd. Rahim, Fatin Aqilah Hanapiyah &
Rosmawati Mohamad Rasit. (2015). Analisis Filem Bermesej dalam Filem CEO (2014). Dlm.
Yusmini Md Yusoff, Nor Raudah Siren, Muhammed Yusof & Fakhrul Adabi Abdul Kadir
(pnyt.). Isu-isu Media dan Dakwah, hlm. 221-236. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Nurul Akma Osman. (2015). Unsur-unsur Dakwah dalam Filem Animasi: Kajian Terhadap Siri Pada
Zaman Dahulu. Dlm. Yusmini Md Yusoff, Nor Raudah Siren, Muhammed Yusof & Fakhrul
Adabi Abdul Kadir (pnyt.). Isu-isu Media dan Dakwah, hlm. 176-188. Kuala Lumpur: Universiti
Malaya.
al-Qarāḍawī, Yusof. (1978). Thaqafah al-Daᶜiyyah. Beirut: Muassasah al-Risālah.
al-Qarāḍawī, Yusof. (2005). Fiqhu al-lahwi wa al-tarwih. Kaherah: Maktabah Wahbah.
112
KOMUNIKASI DAN PENYIARAN ISLAM
Rosmawati Mohamad Rasit & Md. Rozalafri Johari. (2011). Analisis Penerapan Dakwah di Dalam Filem
Semerah Padi. Dlm. Muhamad Zaki Mustapa, Ainurliza Mat Rahim, Zainol Abidin Ahmad &
Noor Adzrah Ramle (pnyt.). Representasi Islam dalam Media, hlm. 195-206. Nilai : Universiti
Sains Islam Malaysia.
Salasiah Hanin Hamjah, Izzah Nur Aida Zur Raffar & Rosmawati Mohamad Rasit. (2014). Filem dan
Gaya Kepimpinan Keluarga Melayu: Analisis dari Perspektif Islam. Prosiding Seminar
Antarabangsa Dakwah & Etnik 2014, hlm. 1-18.
Saodah Wok, Narimah Ismail & Mohd. Yusof Hussain. (2005). Teori-Teori Komunikasi. Cetakan ke-2.
Kuala Lumpur : PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
Schirato, T. & Yell, S. (2000). Communication and Culture. an Introduction. London: Sage.
Siti Aisyah Yap Abdullah. (2015). Dakwah Melalui Filem Animasi: Kajian Terhadap Episod Erti al-
Fatihah dalam Siri Ummi, Ceritalah Pada Kami. Dlm. Yusmini Md Yusoff, Nor Raudah Siren,
Muhammed Yusof & Fakhrul Adabi Abdul Kadir (pnyt.). Isu-isu Media dan Dakwah, hlm. 107-
123. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Zaheril Zainuddin. (2006). Pengaruh dan kesan filem ke atas remaja. Dlm. Naim Hj. Ahmad, Siti Suriani
Hj. Othman & Noor Adzrah Ramle (pnyt.), Bicara Media 1, hlm. 33-39. Nilai: Penerbit Kolej
Universiti Islam Malaysia.
Zulkefli Aini & S. Salahudin Suyurno. (2016). Pengantar Komunikasi Dakwah. Bangi: Jabatan Pengajian
Dakwah dan Kepimpinan, FPI.
Zulkiple Abd. Ghani. (2014). Dakwah dalam Era Siber di Malaysia. Nilai : Universiti Sains Islam
Malaysia.
Zulkiple Abd. Ghani. (2003). Islam, Komunikasi dan Teknologi Maklumat. Kuala Lumpur: Utusan
Publications & Distributors Sdn. Bhd.
113
KOMUNIKASI DAN PENYIARAN ISLAM
KOMUNIKASI DAN PENYIARAN ISLAM
Buku ini dirumus khas untuk para pelajar dan tenaga pengajar di politeknik mengikut sukatan kursus
DUA 6022 Komunikasi dan Penyiaran Islam. Buku ini mengandungi tiga bab iaitu konsep komunikasi,
konsep penyiaran dan cabaran komunikasi & penyiaran dalam Islam. Disisipkan juga latihan pengukuhan
bagi menguji minda dan kefahaman para pelajar di dalam buku ini. Diharapkan penerbitan buku ini dapat
memberi pendedahan dan membimbing para pelajar untuk memahami konsep komunikasi dan penyiaran
dalam ruang lingkup Islam dan bertepatan dengan syariat.
114