PENGURUSAN PERNIAGAAN : 2.1.1 PERINGKAT PENGURUSAN
2.2.1 PERINGKAT PENGURUSAN
Tiga tahap utama pengurusan mengikut pembahagian kuasa dan tanggungjawab ialah:
Pengurusan Atasan
Pengurusan atasan adalah pihak yang bertanggungjawab untuk membuat keputusan ke atas organisasi secara menyeluruh. Mereka membangunkan matlamat dan perancangan yang akan memberi kesan ke atas keseluruhan organisasi.
Dari segi perancangan, pengurusan atasan memberi tumpuan kepada perancangan jangka panjang yang dikenali sebagai perancangan strategik. Mereka menetap dan menggariskan visi, misi, dasar, polisi dan matlamat organisasi serta membimbing organisasi agar interaksinya dengan persekitaran adalah baik.
Contoh jawatan-jawatan pengurusan atasan adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Presiden, Naib Presiden dan sebagainya.
ii. Pengurusan Pertengahan
Pengurusan pertengahan merupakan pengurusan yang berada di antara pengurusan atasan dan pengurusan bawahan serta menyelia pengurusan bawahan. Pengurusan pertengahan bertanggungjawab untuk melaksanakan segala keputusan yang dibuat oleh pengurusan atasan.
Pengurus peringkat ini membuat perancangan dan merangka keputusan jangka sederhana ataupun perancangan taktikal berpandukan matlamat yang ditetapkan oleh pengurusan atasan (perancangan strategik). Mereka membuat pelaporan kepada pengurusan atasan.
Contoh jawatan-jawatan pengurusan pertengahan adalah Ketua Jabatan Pembangunan Produk, Pengurus Jabatan Sumber Manusia dan sebagainya.
Pengurusan Bawahan
Pengurusan bawahan adalah pengurusan barisan pertama (first line manager) dan bertanggungjawab ke atas pekerja organisasi yang tidak terlibat dalam pengurusan. Mereka bertanggungjawab secara langsung ke atas pengeluaran produk dan perkhidmatan serta membuat pelaporan kepada pengurusan pertengahan.
Pengurusan bawahan memberi tumpuan kepada perancangan jangka pendek atau dikenali juga perancangan operasian. Mereka memberi penekanan terhadap tugas penyeliaan ke atas kerja-kerja operasi dan memastikan pekerja bawahan melaksanakan tugas harian agar mencapai matlamat organisasi.
Contoh jawatan-jawatan pengurusan bawahan adalah Penyelia Tapak, Ketua Kerani, Penyelia Jualan, Penyelia Pengeluaran dan sebagainya.
-
Follow
-
1
-
Embed
-
Share
-
Upload