The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Bahan bacaan BMMB3103 Penulisan Kreatif Sastera Kanak-kanak

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by BADRUL HISHAM BIN GHAZALI IPG-Pensyarah, 2024-01-06 01:57:07

PENULISAN KREATIF SASTERA KANAK-KANAK

Bahan bacaan BMMB3103 Penulisan Kreatif Sastera Kanak-kanak

Perkembangan Sastera Kanak-kanak Sastera kanak-kanak ialah sastera berkaitan genre kanak-kanak. Pengisian dalam sastera ini berfokuskan pelbagai mesej untuk disampaikan kepada kanakkanak. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan, khususnya melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). DBP telah melaksanakan beberapa program untuk memperkembangkan dan mengangkat sastera kanak-kanak ini di samping menarik minat anak-anak remaja untuk membaca hasil sastera kanak-kanak. Justeru, pihak penerbitan DBP telah mengeluarkan majalah Sastera Remaja khusus untuk golongan kanak-kanak dan remaja. DBP turut menerbitkan pelbagai buku kanak-kanak untuk memeriahkan lagi sastera kanak-kanak di Malaysia. Karya yang dihasilkan oleh penulis sastera kanak-kanak ialah karya yang dikhususkan kepada kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah. 1.1 Konsep Sastera Kanak-kanak Sastera kanak-kanak ialah sastera yang dihasilkan untuk kanak-kanak. Penulisan sastera kanak-kanak berbentuk karya yang mendatangkan keseronokan kepada mereka. Penulisan sastera kanak-kanak yang menepati cita rasa kanak-kanak ialah penulisan yang mengandungi cerita dan diikuti dengan ilustrasi menarik kerana fitrah semula jadi kanak-kanak yang menyukai gambar-gambar menarik dan berwarna-warni. Tulisan yang digunakan merupakan tulisan yang mudah difahami, manakala saiz tulisan yang diguna pakai merupakan saiz tulisan yang memudahkan pembacaan kanak-kanak. Oleh itu, sastera awal kanakkanak menjadi salah satu elemen yang dapat membantu memperkembangkan


2 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak tahap pemikiran seseorang kanak-kanak. Sastera awal kanak-kanak perlu menitikberatkan hasil yang memberikan keseronokan dan mampu merangsang imaginasi kanak-kanak ke arah mengenal dan memahami diri sendiri. Menurut Atan Long (1977), sastera kreatif termasuk sastera kanak-kanak biasanya digunakan sebagai bahan hiburan serta bahan pengajaran untuk mengenal diri dan masyarakat dalam sesuatu bangsa. Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), Kementerian Pelajaran Malaysia (2003) juga merangka pendidikan untuk kanak-kanak membina konsep kendiri yang positif serta meningkatkan kemahiran sosial apabila berhubung dengan rakan-rakan, orang yang lebih berusia, dan masyarakat sekeliling. Oleh itu, sastera kanak-kanak memerlukan penulisan yang berimaginasi tinggi dan berkreativiti menarik sebagai sumber bacaan untuk hiburan. Penulisan bahan fiksyen dan bahan bukan fiksyen untuk sastera kanak-kanak memerlukan pemikiran yang kreatif dan berinovatif. Penghasilan sesuatu bahan fiksyen memerlukan pelaksanaan eksperimen lebih dahulu sebelum diterbitkan sebagai sastera kanak-kanak agar bahan tersebut mudah dibaca dan bermanfaat untuk kanak-kanak. Bahan bukan fiksyen yang berunsurkan saintifik dan khayalan turut menjadi pilihan kanak-kanak kerana lumrah semula jadi kanak-kanak yang menginginkan kelainan daripada perkara yang dialami dan dilihat oleh mereka setiap hari. Sastera kanak-kanak dihasilkan berasaskan keperluan dan keinginan spiritual kanak-kanak. Kebanyakan penulis menghasilkan penulisan untuk memberikan kepuasan dan hiburan kepada kanak-kanak di samping melahirkan sokongan moral dari aspek keperluan emosi daripada bacaan mereka. Oleh itu, penulisan sastera kreatif kanak-kanak perlu berasaskan imaginasi seterusnya dijadikan sebagai sandaran utama kepada penulis untuk menghasilkan bahan bacaan kanak-kanak. Menurut S. Molina S. Nijhar dalam artikel bertajuk “Apakah Sastera Kanak-kanak – Khasnya Buku Bergambar” dalam Sekitar Sastera Kanak-kanak dan Remaja (Othman Puteh dan Abdul Ahmad, 1984: 3), penulisan sastera kanak-kanak dihasilkan untuk memberikan hiburan serta penilaian kepada kanak-kanak dan kesusasteraan meliputi bacaan yang merangkumi bidang fiksyen dan bukan fiksyen. Glazer (2000) juga menyatakan bahawa buku kanak-kanak ditulis dalam bentuk bahan fiksyen dan bahan bukan fiksyen. Oleh itu, penulisan sastera kanak-kanak perlu ditumpukan dalam


1. Perkembangan Sastera Kanak-kanak 3 kedua-dua bidang sama ada bidang fiksyen atau bukan fiksyen bersandarkan karya yang berimaginasi tinggi dan mampu membina penaakulan. Penulisan sastera kreatif kanak-kanak terdiri daripada pelbagai genre seperti drama, cerpen, sajak, syair, novel, dan sebagainya. Peringkat bacaan awal kanak-kanak memerlukan bahan bacaan bergambar dan berwarna-warni untuk menarik minat mereka. Ketajaman deria penglihatan menerusi aktiviti bacaan kanak-kanak banyak bergantung pada bahan yang digunakan oleh penulis. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya penulisan karya sastera kanakkanak banyak mengandungi ilustrasi bergambar dan berwarna-warni yang dapat menarik minat kanak-kanak serta mudah diterjemahkan menerusi visual penglihatan mereka. Penulisan sastera kreatif kanak-kanak dihasilkan untuk memberikan didikan dari aspek pemikiran dan keperibadian kanak-kanak. Menerusi aktiviti bacaan, setiap cerita yang ditulis oleh pengarang mengandungi pelbagai pemikiran yang dapat mempengaruhi kanak-kanak dalam pembentukan peribadi mereka. Penulis sangat berpengaruh untuk menanamkan pelbagai ideologi kepada kanak-kanak menerusi pembacaan sastera kanak-kanak. Oleh sebab pemikiran kanak-kanak masih tidak dicemari dengan pelbagai isu dalam kehidupan sekeliling mereka, maka setiap pembacaan dapat mempengaruhi mereka dengan mudah. Oleh itu, pengarang yang menulis bahan-bahan untuk sastera kanak-kanak perlu menjadikan karya mereka sebagai wadah penyaluran ilmu yang membentuk nilai-nilai murni dan sahsiah kanak-kanak secara tidak langsung. Konsep penulisan sastera kreatif kanak-kanak perlu bersifat didaktik dan menghiburkan. Penulisan yang bercirikan didaktik mampu mengasuh dan mempengaruhi kanak-kanak supaya menjadi insan yang lebih baik. Aspek hiburan dan keseronokan menjadi daya tarikan utama kerana kanak-kanak menyukai hiburan dalam bentuk bacaan dan permainan. Di samping itu, karyakarya yang dihasilkan juga perlu menggunakan bahasa yang bersesuaian dan mudah difahami. Penggunaan bahasa yang relatif dengan usia kanak-kanak amat penting untuk melatih mereka menjana idea di samping mengajarkan ilmuilmu lain secara tidak langsung kepada mereka. Corak penulisan juga perlu relevan dengan perkembangan dan pertumbuhan psikososial kanak-kanak bagi merangsang minat dan mengasah pemikiran yang baik.


4 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak 1.2 Fungsi dan Peranan Sastera Kanak-kanak Peranan dan fungsi merupakan perkara yang menitikberatkan kepentingan kanak-kanak. Penulisan sastera kanak-kanak yang bermutu mampu memberikan fungsi pembelajaran secara tidak langsung kepada kanak-kanak. Sastera kanak-kanak mempunyai fungsi dan peranan yang sangat besar untuk melatih kanak-kanak ke arah peningkatan yang lebih baik dalam bidang sosial dan budaya hidup. Jika penulisan sastera kanak-kanak dilihat secara luaran, maka masyarakat akan menganggap bahawa sastera kanak-kanak hanya bertindak sebagai hiburan semata-mata. Hakikatnya, peranan sastera kanakkanak bukan setakat itu sahaja. Hal ini demikian kerana penulisan sastera kreatif kanak-kanak dapat membangunkan aspek pemikiran dan sahsiah kanak-kanak. Selain itu, pembacaan sastera kanak-kanak dapat membantu kanak-kanak untuk membangunkan emosi dan pemikiran mereka. Menurut Misran Rokimin (2001), sastera kanak-kanak memainkan peranan sebagai ejen pembangunan yang menjurus kepada pembangunan diri seseorang manusia sama ada dari segi emosi, pemikiran atau kebahasaan. Ketiga-tiga aspek ini akan terus berkembang. Hal ini bermaksud bahawa semakin banyak karya sastera yang dibaca, semakin bertambah perkembangan yang berlaku dalam diri kanak-kanak. Menerusi pembacaan sastera kanak-kanak, perasaan dan fikiran yang dilahirkan dengan menggunakan bahasa yang sesuai menjadikan seni sastera kanak-kanak sebagai satu hasil yang menggambarkan kehidupan kanak-kanak yang sebenar. Menurut Othman Puteh (1988: 21), sastera remaja merupakan bahan bacaan sastera kreatif yang tercetus daripada pengamatan, pengalaman, dan kreativiti pengarang yang relevan dengan pertumbuhan dan perkembangan psikologi remaja berusia 12 hingga 20 tahun. Penghasilan pelbagai genre dalam sastera kanak-kanak mampu meningkatkan ilmu menerusi pembacaan seterusnya memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak. Kanakkanak juga lebih bijak untuk membuat pilihan terhadap bahan bacaan apabila mereka mampu membuat penilaian hasil daripada pembacaan pelbagai genre dalam sastera kanak-kanak. Sastera kanak-kanak dapat memberikan jaminan terhadap peningkatan ilmu dalam diri kanak-kanak. Bahan pembacaan ini dikatakan sebagai ejen


1. Perkembangan Sastera Kanak-kanak 5 pembangunan diri seseorang manusia pada peringkat awal kanak-kanak. Semakin banyak karya yang dibaca, maka semakin banyak perkembangan yang berlaku dalam diri kanak-kanak seterusnya mempercepat perkembangan psikologi remaja. Kanak-kanak yang banyak membaca mampu membuat pertimbangan dan lebih matang berbanding dengan kanak-kanak yang kurang membaca. Penulisan kreatif sastera kanak-kanak mempunyai fungsi dan peranan yang tersendiri. (a) Medium hiburan Penulisan sastera kreatif kanak-kanak berperanan memberikan hiburan kepada kanak-kanak yang membacanya. Bahan-bahan bacaan tersebut mampu memberikan hiburan semasa kerana bahan tersebut mempunyai pelbagai isu yang dapat menarik perhatian kanak-kanak. Contoh kandungan penulisan dalam sastera kanak-kanak yang memberikan hiburan kepada mereka ialah cerita haiwan yang sering membuatkan mereka tidak berganjak apabila melihat gambar-gambar haiwan yang berwarna-warni. Di samping itu, penulisan tersebut juga mengandungi pelbagai kisah haiwan yang seterusnya menjadi perbualan mereka. Ceritacerita berbentuk hiburan yang lain adalah seperti cerita jenaka yang mampu memberikan keceriaan kepada kanak-kanak sehingga mereka terus mengikuti cerita daripada siri yang pertama hingga siri yang terakhir sekiranya cerita tersebut merupakan cerita bersiri. Semua cerita ini memberikan hiburan dan keceriaan kepada kanak-kanak. (b) Medium pengajaran Cerita kanak-kanak banyak juga memberikan pengajaran langsung dan tidak langsung kepada kanak-kanak. Oleh sebab setiap cerita kanak-kanak mempunyai mesej yang tersendiri, maka banyak unsur pengajaran yang diperoleh untuk mengasah perkembangan minda kanak-kanak. Cerita kanak-kanak yang baik dan berkesan akan memberikan pengajaran kepada mereka dan mereka seterusnya mencontoh perbuatan baik yang dilakukan oleh watak-watak yang terlibat. Menerusi pembacaan karya sastera kanakkanak, mereka akan melihat pengajaran yang disampaikan walaupun kadangkala terdapat unsur khayalan dalam cerita yang dibaca. Meskipun wujud unsur-unsur khayalan, namun cerita tersebut dilihat sebagai cerita yang memberikan pengajaran secara tidak langsung kepada mereka.


6 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak Contohnya, mereka akan menganggap bahawa setiap perbuatan yang baik akan tetap dibalas baik. (c) Meningkatkan daya pemikiran kognitif Sastera kreatif kanak-kanak mampu melatih dan meningkatkan daya serta tahap pemikiran kanak-kanak. Pemikiran kognitif merangkumi perilaku mental yang melibatkan pemahaman, pemerhatian, pertimbangan, pengolahan, dan penyelesaian masalah. Piaget menjelaskan bahawa pemikiran kognitif menunjukkan cara kanak-kanak mengadaptasi dan menginterpretasi perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Mereka juga belajar tentang cara untuk mengelompokkan perkara yang dilihat serta melakukan perbandingan bagi membuat sebarang keputusan. Rangsangan pemikiran pada kanak-kanak berlaku apabila mereka sentiasa mengikuti plot-plot cerita hasil daripada pembacaan bahan sastera. Pelbagai bentuk penceritaan seperti nyanyian, lakonan, pantun, seloka, dan sebagainya dapat melatih pemikiran mereka untuk membuat ekspresi diri sekali gus mencungkil bakat semula jadi dalam diri mereka. Oleh itu, pembacaan bahan sastera kreatif dapat mengasah pemikiran kanak-kanak supaya membuat penilaian serta perbandingan terhadap setiap bahan bacaan yang diteliti. Kanak-kanak yang memiliki pemikiran cerdik dan matang dapat membuat pelbagai interpretasi yang akan mempengaruhi keputusan dan tindakan yang dilakukan oleh mereka. (d) Medium pendidikan Medium pendidikan dapat dicapai menerusi pembacaan buku-buku akademik dan buku-buku bukan akademik. Menerusi pembacaan bahan sastera kreatif kanak-kanak, kanak-kanak mempelajari sesuatu menerusi perlakuan watak-watak yang akan membina perlakuan mereka. Cara ini juga dapat melatih kanak-kanak untuk bersosialisasi dengan masyarakat sekeliling. Apabila watak yang ada dinilai dan dipertimbangkan, maka kanak-kanak dapat membuat generalisasi terhadap sesuatu perkara yang sepatutnya ditangani dan diselesaikan dengan cepat. Pembacaan bahan bacaan yang kerap dan bermutu dapat memberikan didikan secara tidak langsung kepada kanak-kanak. Watak-watak dan model-model yang baik dapat dijadikan contoh dan teladan untuk menyusun strategi kehidupan mereka sendiri. Hal ini secara tidak langsung dapat melatih mereka menangani pelbagai isu dalam masyarakat. Justeru, penulisan sastera kreatif


1. Perkembangan Sastera Kanak-kanak 7 kanak-kanak menjadi medium untuk mendidik mereka dalam kehidupan seharian sekiranya bahan sastera tersebut dibaca secara berterusan. (e) Mendidik emosi Bahan sastera kreatif kanak-kanak juga mampu mendidik emosi kanakkanak menjadi lebih baik. Terdapat kanak-kanak yang menjadi lebih matang daripada usia sebenar apabila banyak membaca buku. Kanakkanak yang tidak mendapat perhatian daripada ibu bapa sering kali menjadikan buku sebagai teman baik mereka. Aktiviti bacaan tersebut dapat memberikan kepuasan kepada kanak-kanak meskipun ibu bapa mereka tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk melayan kerenah mereka. Perkembangan emosi menjadi salah satu domain yang amat penting kepada kanak-kanak dan keberkesanan intelek bergantung kepada sejauh mana emosi kanak-kanak dapat diurus dengan baik. Kecerdasan emosi menjadikan kanak-kanak lebih berkeyakinan dan mempercayai diri sendiri. Kanak-kanak memerlukan perkembangan emosi yang sihat kerana perkembangan emosi yang sihat akan mengiringi perkembangan kognitif mereka. Oleh itu, bahan penulisan sastera kreatif kanak-kanak yang bermutu mampu mendidik emosi kanak-kanak seterusnya memandu mereka untuk membuat pelbagai pertimbangan. Kecerdasan emosi yang baik menghasilkan perilaku positif yang membawa kepada pembentukan personaliti terpuji. (f) Medium menambahkan pengalaman baharu Pengalaman baharu secara tidak langsung mematangkan seseorang individu. Bacaan sastera kreatif ini sedikit sebanyak menjadi medium untuk menambahkan pengalaman baharu. Otak manusia sentiasa bekerja bersama-sama dengan pengalaman. Seseorang yang berhenti daripada membaca atau belajar menyebabkan pengalaman mereka menjadi lebih cetek dan otak tidak dapat berhubung antara satu dengan yang lain. Oleh itu, pembacaan sastera kreatif kanak-kanak amat penting untuk memberikan pengalaman baharu kepada kanak-kanak. (g) Mengasah bakat menerusi pembacaan Bakat yang ada pada kanak-kanak wujud secara semula jadi. Bakat juga timbul melalui pemupukan. Menerusi pembacaan yang banyak, kanak-


8 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak kanak yang mempunyai bakat semula jadi mudah untuk merangsang minat masing-masing berdasarkan mesej yang diterima. Jika bahan bacaan sastera kreatif kanak-kanak tersebut mempunyai mesej yang baik, hal ini memberikan laluan yang lebih mudah kepada kanak-kanak untuk mengasah bakat mereka. Bagi kanak-kanak yang sememangnya cenderung dalam bidang penulisan, pembacaan bahan sastera kreatif kanak-kanak akan memberikan dorongan kepada mereka untuk menulis sama ada secara suka-suka mahupun bertujuan memasuki pertandingan mengarang yang dianjurkan oleh mana-mana pihak. Terdapat juga dalam kalangan kanak-kanak yang menjadikan bidang penulisan sebagai hobi tetapi lama-kelamaan mereka lebih serius untuk menjadi penulis sepenuh masa lebih-lebih lagi apabila bakat ini terus dipupuk. Hal ini terbukti apabila banyak penulis di Malaysia yang mula menulis sekadar suka-suka sejak zaman kanak-kanak tetapi akhirnya menjadi penulis profesional serta diiktiraf oleh kerajaan dan masyarakat. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa bahan penulisan sastera kanakkanak memberikan laluan dan mengasah minat mereka untuk menceburi bidang penulisan dengan lebih serius. (h) Melahirkan minat membaca Banyak program yang telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk melahirkan minat membaca dalam kalangan kanak-kanak seperti program NILAM dan Kempen Gerakan Membaca. Bacaan bahan sastera di sekolah menerusi KOMSAS merupakan salah satu langkah untuk memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak remaja. Pengalaman pembacaan yang menarik daripada bahan-bahan bacaan tersebut akan melatih mereka berfikir dengan lebih kreatif dan kritis. Pengalaman menikmati karya sastera yang bermutu tinggi menjadikan tabiat membaca lebih baik daripada sebelumnya. (i) Melahirkan minat menulis Minat membaca dapat dipupuk dari semasa ke semasa dan bahan bacaan yang menarik, seronok serta bermutu tinggi mampu menarik minat kanak-kanak untuk membaca. Bahan bacaan yang interaktif dan menarik memberikan kesan berpanjangan kepada mereka. Bagi melahirkan minat menulis dalam diri kanak-kanak, pelbagai program boleh diadakan


1. Perkembangan Sastera Kanak-kanak 9 seperti mengadakan perkampungan penulis muda, menyertai sayembara, kempen menulis karya-karya sastera, dan sebagainya. Menerusi programprogram seperti ini, kanak-kanak boleh memupuk kreativiti dalam diri mereka di samping dapat melahirkan idea yang tersendiri. Mereka boleh menonjolkan bakat menulis sedia ada atau bakat menulis yang dipupuk dari semasa ke semasa oleh guru-guru atau ibu bapa. Ibu bapa yang prihatin akan memberikan ruang dan peluang kepada anak-anak mereka untuk mengikuti sebarang kursus penulisan yang dianjurkan. Minat menulis yang dipupuk dari kecil mampu menjadikan mereka insan yang bijak menyusun kata-kata seterusnya dapat menghasilkan karya yang bermutu. Oleh itu, penulisan sastera kreatif kanak-kanak boleh dipupuk bagi mewujudkan minat menulis dalam kalangan kanak-kanak. (j) Meningkatkan penggunaan bahasa dan komunikasi Bahasa merupakan alat komunikasi yang penting bagi manusia. Tanpa bahasa, manusia sukar untuk berhubung dan berkomunikasi antara satu dengan yang lain. Mesej yang disampaikan oleh individu sukar dikesan sekiranya bahasa yang digunakan tidak difahami oleh penerima. Melalui bahasa, individu boleh mendapatkan sesuatu informasi di samping dapat menyampaikan gagasan yang ada dalam pemikiran mereka. Penggunaan bahasa yang baik akan menghasilkan proses pembacaan yang lebih lancar kerana pembacaan merupakan proses memahami keseluruhan bahan bacaan yang seterusnya dirumuskan menjadi suatu pemikiran, ilham atau idea yang lebih kreatif. Oleh itu, bahan bacaan sastera kreatif kanakkanak juga memberikan suatu pengalaman bacaan yang berfaedah untuk meningkatkan penggunaan bahasa dan komunikasi. Kefahaman kedua-dua belah pihak yang terlibat dalam sesuatu komunikasi membolehkan bentuk interaksi dijalankan dan memungkinkan kelahiran idea yang lebih kreatif. (k) Membentuk personaliti kanak-kanak Personaliti kanak-kanak yang baik datang daripada pelbagai sumber. Contohnya, personaliti terpuji kanak-kanak wujud hasil daripada bahan bacaan yang bermutu. Penulisan sastera kreatif kanak-kanak mampu mendidik personaliti kanak-kanak sekiranya mereka dapat mendisiplinkan diri untuk membaca bahan-bahan yang bermutu tinggi dari semasa ke semasa. Memandangkan proses pembacaan bahan-bahan sastera kreatif


10 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak merupakan suatu proses pemahaman idea yang diperoleh, maka tidak hairanlah sekiranya kanak-kanak mendapat faedah daripada pembacaan yang berulang-ulang. Proses sedemikian merupakan proses pembelajaran yang berlaku secara tidak langsung. Kanak-kanak yang bijak memilih bahan bacaan akan menjadi lebih berkeyakinan apabila berurusan dan berkomunikasi dengan orang sekeliling. Proses pembelajaran sedemikian berlaku sepanjang hari dan sepanjang masa bergantung pada motivasi diri masing-masing. Tahap personaliti baik yang diperoleh menerusi pembacaan akan turut dibantu oleh faktor-faktor lain seperti faktor galakan ibu bapa, guru-guru, dan rakan-rakan sekeliling. Oleh itu, pembacaan bahan sastera kreatif kanak-kanak mampu mewujudkan personaliti yang terpuji bagi seseorang kanak-kanak. (l) Membentuk kerohanian dan moral Kanak-kanak sering kali melihat sesuatu perkara dari satu sudut sahaja tanpa mengambil kira sama ada perkara tersebut baik atau sebaliknya. Mereka mengadili sesuatu perbuatan berdasarkan kesan dan bukannya niat terhadap sesuatu perbuatan tersebut. Kanak-kanak juga sering kali melihat sesuatu daripada perspektif yang lain. Mereka tidak dapat melihat sesuatu dalam keadaan yang tersirat. Oleh itu, mereka melakukan sesuatu berdasarkan keinginan untuk mendapatkan perkara yang dihajati. Begitu juga halnya dengan pembentukan kerohanian dan moral kanakkanak. Kanak-kanak akan menerima norma-norma yang telah ditetapkan oleh masyarakat. Melalui proses pembacaan bahan-bahan yang bermutu tinggi, kanak-kanak mudah mengikuti dan menghayati pembentukan kerohanian dan moral. Mereka mempercayai bahawa segala perbuatan baik akan dibalas dengan kebaikan. Kepercayaan ini memperkukuh konsep keadilan dalam masyarakat. Maka, tidak hairanlah sekiranya kerohanian dan moral dapat diterapkan dalam diri kanak-kanak kerana mereka masih belum diresapi dengan pelbagai masalah kehidupan. (m) Perkembangan sosial Kebiasaannya, kanak-kanak memperoleh kemahiran daripada proses pemerhatian dan peniruan. Pada peringkat awal kanak-kanak, pengaruh perasaan egosentrik dalam diri mereka masih kuat. Namun, lama-kelamaan


1. Perkembangan Sastera Kanak-kanak 11 sifat ini akan berkurangan. Hal ini bergantung kepada sejauh mana mereka mendapat input daripada sekeliling mereka. Contohnya, mereka mendapat input menerusi pembacaan karya-karya yang baik dan berkesan. Watakwatak baik yang dicipta dalam karya memberikan idea dan kekuatan kepada mereka untuk meniru proses perhubungan yang berlaku. Oleh itu, setiap watak protagonis akan menjadi ikutan seterusnya mewujudkan tahap perkembangan sosial yang lebih baik daripada yang sebelumnya dalam diri mereka. Tingkah laku prososial seperti memohon maaf, meminta izin, bertolak ansur, dan menerima sesuatu dengan hati terbuka menunjukkan bahawa kanakkanak banyak meniru dan memerhatikan perlakuan di sekeliling mereka. Justeru, penulisan sastera kreatif kanak-kanak yang mengandungi cerita bermoral tinggi dan bernilai baik mampu membentuk sosial kanak-kanak seterusnya mewujudkan perkembangan sosial yang positif kepada mereka. (n) Perkembangan kreativiti dan estetika Penulisan sastera kreatif kanak-kanak juga dapat memperkembangkan kreativiti dan estetika kanak-kanak. Ilustrasi dalam cerita kanak-kanak yang berwarna-warni memberikan rangsangan kepada kanak-kanak untuk meningkatkan tahap kreativiti mereka. Bukan itu sahaja, gambar yang berwarna-warni tersebut mampu melahirkan nilai estetika kepada diri kanak-kanak. Kekerapan melihat gambar yang berwarna-warni dan mengandungi pelbagai aksi yang dapat dibaca dan dilihat di sekeliling mendorong mereka membuat perbandingan terhadap perkara-perkara yang dilalui. Hal ini sekali gus dapat membina kreativiti dan estetika kanakkanak tersebut. Penulisan sastera kreatif kanak-kanak mengandungi cerita-cerita haiwan, cerita-cerita jenaka, cerita-cerita teladan, cerita-cerita khayalan, dan sebagainya. Cerita-cerita tersebut menjadi wadah yang membawa kanakkanak ke dunia sastera. Watak-watak yang digunakan seperti watak haiwan, ahli sihir, ibu bapa, hantu, dan sebagainya amat bersesuaian dengan kanak-kanak yang menyukai hiburan. Watak haiwan sering kali mendominasi cerita kanak-kanak kerana kanak-kanak secara semula jadi amat menyukai haiwan. Begitu juga halnya dengan watak-watak lain yang


12 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak dekat dengan kehendak dan keinginan kanak-kanak. Mereka akan berasa gembira apabila melihat atau membaca cerita-cerita tentang haiwan atau cerita-cerita lain yang menyentuh perasaan. Kanak-kanak tidak boleh diberikan bahan bacaan yang berat kerana mereka tidak mampu lagi untuk berfikir tentang perkara yang berada di luar tahap kemampuan berfikir mereka. Meskipun banyak penulisan sastera kanak-kanak yang berada di luar daripada kenyataan kehidupan seharian, namun banyak juga bahan bacaan sastera kanak-kanak yang menceritakan isu-isu dalam kehidupan yang sebenar. Aspek-aspek sosial, ekonomi, sejarah, agama, falsafah, dan politik turut menjadi isu pilihan kepada pengarang untuk mendedahkan realiti kehidupan masyarakat. Penulisan sastera kreatif kanak-kanak sebegini mampu memberikan pengalaman kepada kanak-kanak supaya mereka dapat melihat realiti dan belajar menerusi pemikiran konstruktif masing-masing. Konstruktivisme merupakan suatu pendekatan yang menceritakan pengalaman sedia ada yang digarapkan dalam bentuk penulisan menerusi realiti seterusnya diadaptasi dalam kehidupan. Pembacaan penulisan sebegini memberikan pengalaman secara langsung kepada kanak-kanak. Selain itu, sastera kanak-kanak juga dapat meningkatkan daya imaginasi, daya pemikiran, dan kreativiti kanak-kanak. Karya sastera kanak-kanak yang diterjemahkan dalam bentuk lakonan, drama, nyanyian, dan genregenre lain dapat mengekspresikan diri mereka. Bukan itu sahaja, karya sastera kanak-kanak yang baik dapat menimbulkan minat kepada kanakkanak untuk melibatkan diri dalam aktiviti pementasan, drama, lakonan, sajak, pantun, dan syair. Kebelakangan ini, syarikat-syarikat komunikasi seperti televisyen banyak menyiarkan program berkaitan kanak-kanak. Contoh-contoh program berkaitan kanak-kanak yang mengambil genre sastera untuk dijadikan program televisyen adalah seperti “Tom Tom Bak” dan “Pondok-pondok” yang memberikan peluang kepada kanak-kanak untuk menonjolkan bakat dan kreativiti dalam bidang kesusasteraan. Ada juga pihak-pihak tertentu yang mengadakan kursus penulisan kreatif untuk kanak-kanak. Salah satu program penulisan kreatif yang dilaksanakan oleh kerajaan ialah Minggu Penulis Remaja (MPR) yang dianjurkan oleh Dewan


1. Perkembangan Sastera Kanak-kanak 13 Bahasa dan Pustaka. Terdapat peserta daripada program ini yang sudah berjaya dan menjadi penulis sepenuh masa seperti Nisah Haron. Kini, Nisah Haron menjadi salah seorang penulis yang aktif memberikan ceramah penulisan kepada kanak-kanak remaja dan kanak-kanak sekolah. Sastera tradisional disampaikan secara lisan dari satu generasi ke generasi yang lain. Kini, keadaan telah berubah kerana pelbagai media telah digunakan untuk menyebarkan pelbagai genre sastera kanak-kanak kepada masyarakat. Cerita kanak-kanak disampaikan secara lisan pada waktu dahulu. Namun kini, cerita tersebut boleh disampaikan dalam pelbagai bentuk sama ada diterbitkan secara elektronik atau cetakan. Meskipun sastera kanak-kanak disampaikan melalui lisan atau teknologi terkini, namun fungsi penulisan ini masih sama, iaitu memberikan pengajaran dan nasihat kepada kanak-kanak. Walaupun pelbagai kaedah digunakan, namun pengisian moral masih menjadi keutamaan kepada penulis kerana tujuan penulisan sastera kreatif kanak-kanak adalah untuk menyampaikan nilai-nilai murni dalam setiap cerita yang ditulis. Nilai-nilai murni yang sering dijadikan bahan sajian pengarang dalam hasil sastera kanak-kanak adalah seperti nilai bekerjasama, berkasih sayang, bergotong-royong, bertoleransi, saling bermaafan, tolong-menolong, sentiasa berterima kasih, berani mencuba, dan pelbagai lagi. Kesedaran terhadap penyerapan nilai-nilai murni ini perlu ditanam sejak peringkat awal kanak-kanak lagi untuk memastikan mereka membesar dalam suasana yang kondusif dan mengikut norma kehidupan yang beretika. Secara keseluruhannya, penulisan sastera kanak-kanak sangat berguna untuk membantu perkembangan kanak-kanak. Kanak-kanak bukan sahaja mempunyai minat membaca yang mendalam serta kemahiran membaca yang tinggi dan baik, malah perkembangan aspek kognitif mereka turut berkembang. Perkara ini sekali gus dapat membina sahsiah yang baik dalam diri kanak-kanak. Penulisan sastera kreatif kanak-kanak bukan berperanan untuk hiburan sematamata, bahkan turut mengajar kanak-kanak untuk menerima realiti kehidupan sebenar. Oleh itu, penulisan sastera kreatif kanak-kanak perlu menitikberatkan aspek kualiti dalam penulisan untuk menghasilkan bahan bacaan yang bermutu tinggi kerana tahap kecerdasan pemikiran pengarang turut mempengaruhi tahap keintelektualan kanak-kanak.


Genre Sastera Kanak-kanak 2.1 Tokoh Tokoh-tokoh dalam dunia penulisan sastera kreatif kanak-kanak menyedari bahawa buku kanak-kanak yang dihasilkan merupakan gambaran dan cerita yang berlaku dalam masyarakat. Pemasaran buku kanak-kanak sentiasa mendapat tempat di hati pembaca tanpa menjejaskan penjualan buku bagi kategori yang lain. Oleh itu, banyak penulis sastera kanak-kanak mengambil peluang ini untuk mengetengahkan pelbagai genre penulisan untuk kanak-kanak. Penulis mendapati bahawa kategori penulisan buku kanak-kanak memerlukan ilustrasi dan gambar yang menarik. Penulisan buku kanak-kanak juga perlu disajikan menggunakan tulisan yang bersesuaian dengan visual kanak-kanak. Hal ini bermaksud bahawa saiz tulisan yang digunakan tidak terlalu kecil dan tidak terlalu besar. Tokoh-tokoh penulis sastera kreatif kanak-kanak di Malaysia yang terkenal suatu ketika dahulu ialah Ghazali Ngah Azia, Othman Puteh, Khairuddin Ayip, Mohd Ismail Sarbini, Amin Minhad, Hizairi Othman, dan Ahmad Kamal Abdullah. Penulis lain yang sering menulis cerita kanak-kanak tetapi tidak memberikan fokus secara serius dalam bidang ini ialah A. Samad Said. A. Samad Said pernah menulis cerita kanak-kanak dalam beberapa siri, iaitu cerita yang mengisahkan penyiasatan dalam lima buah novel yang dihasilkan secara berperingkat dari tahun 1968 hingga tahun 1970. Sasterawan Negara ini juga pernah menerima anugerah dalam usaha memperkenalkan penulisan novel kanak-kanak secara bersiri (Hadijah Rahmat, 2006: 23 – 24). Yahya Mohammad juga merupakan salah seorang penulis sastera kreatif kanak-kanak yang pernah terkenal dan aktif


2. Genre Sastera Kanak-kanak 15 menulis pada tahun 1960-an dengan mengemukakan sebahagian besar watak kanak-kanak dalam ceritanya. Beliau juga gemar menggunakan cerita bersiri berbentuk penyiasatan. Contoh cerita penyiasatan kanak-kanak yang pernah dihasilkan oleh Yahya Mohammad ialah novel bertajuk Pancharan Lampu. Penerima Anugerah Sastera Negara ke-11, Ahmad Kamal Abdullah juga terkenal sebagai seorang penulis sastera kanak-kanak. Pengalamannya sebagai guru dan pernah bekerja dengan Dewan Bahasa dan Pustaka telah memberikan ruang dan peluang kepada beliau untuk mengasah bakat dalam bidang penulisan sastera kreatif kanak-kanak. Ahmad Kamal Abdullah lebih dikenal sebagai “Kemala” atau “Akmal Jiwa”. Beliau telah berjaya menghasilkan tiga buah buku cerita kanak-kanak di samping turut menghasilkan 11 buah buku kumpulan puisi, 25 antologi puisi, 10 buah buku kajian sastera, empat buah buku yang memuatkan pelbagai tajuk cerpen, dan lapan buah antologi cerpen. Kemala juga giat menulis tentang drama, aktif membentangkan kertas kerja sastera, dan mengkritik hasil-hasil karya sastera tanah air. Nisah Haron juga merupakan salah seorang penulis cerita kanak-kanak. Beliau banyak menggunakan pengalaman membesarkan anak-anak beliau untuk mencari idea menulis cerita kanak-kanak. Nisah Haron pernah menulis buku cerita kanak-kanak bertajuk Kawan Baru Hanani yang mengandungi beberapa buah cerita. Buku ini juga dialihbahasakan kepada bahasa Jepun dan telah menembusi pameran buku di Pesta Buku Antarabangsa pada tahun 2014. Usaha penterjemahan buku ini telah diusahakan dengan kerjasama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM). Usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak ITBM ini bertujuan meningkatkan mutu penulisan sastera kreatif di Malaysia. Selain Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang menjadi agensi penting kerajaan dalam meningkatkan mutu penulisan di Malaysia, ITBM juga berperanan memberikan peluang kepada penulis-penulis untuk menambahkan koleksi bahan penulisan kreatif mereka. Walaupun Nisah Haron tidak diiktiraf secara rasmi sebagai seorang penulis sastera kanak-kanak, namun karya beliau memberikan manfaat kepada kanakkanak yang membaca hasil karyanya. Karya-karya beliau juga sesuai untuk dijadikan sebagai bahan bacaan kepada kanak-kanak remaja. Sebagai seorang


16 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak ibu, jiwa keibuan Nisah Haron turut mempengaruhi beliau untuk menulis cerita kanak-kanak kerana mempunyai pengalaman dalam membesarkan anak-anaknya. Di samping menulis buku kanak-kanak, Nisah Haron juga aktif menulis hasil karya lain, khususnya novel-novel remaja dan umum. Beliau sering memenangi pelbagai anugerah dalam pelbagai kategori bidang penulisan genre lain. Di samping itu, terdapat beberapa orang penulis sastera kanak-kanak yang lain yang aktif menyumbangkan idea mereka untuk mengembangkan sastera penulisan kreatif kanak-kanak di Malaysia seperti Khadijah Hashim, Shamsuddin Othman, Faisal Tehrani, dan Mahaya Mohd Yassin. Banyak penulis sastera kanak-kanak di Malaysia yang aktif secara konsisten, namun ada juga antara mereka yang menulis dalam masa yang singkat kerana kekangan pekerjaan hakiki dan rintangan semasa yang mengehadkan proses kreatif mereka. Bagi penulis yang tekal dan komited dengan dunia kepengarangan, keadaan ini membolehkan mereka meneroka pelbagai isu kanak-kanak untuk dijadikan bahan cerita. Mereka akan mencuba menyelami perasaan kanak-kanak dan melihat gelagat kanak-kanak di persekitaran mereka untuk melahirkan pelbagai genre sama ada berbentuk buku cerita atau puisi untuk kanak-kanak. Bagi penulis yang tidak komited dan mempunyai masa yang terbatas untuk meneruskan proses kepengarangan, mereka tidak dapat menjiwai penulisan tentang kanak-kanak. Kekangan semasa menjadikan minat dan kehendak mereka terpaksa ditangguhkan dan proses penghasilan karya sudah tentu akan tergendala. Namun, kekangan tersebut bukan alasan utama kerana mungkin ada beberapa faktor lain yang turut membatasi proses kepengarangan penulis. 2.2 Tema Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak Tema penulisan sastera kreatif atau penulisan buku sastera kanak-kanak adalah tentang cerita dan persekitaran kanak-kanak. Tema-tema penulisan sastera kanakkanak yang menjadi kegemaran ialah pengembaraan, nyanyian, penyiasatan, dan cerita berbentuk permainan. Tema-tema lain adalah seperti menyelongkar dunia misteri, hiburan, pendidikan, dan bertemakan agen pembangunan untuk meningkatkan tahap kematangan kanak-kanak. Tema penulisan sastera kanakkanak yang pelbagai ini memberikan laluan kepada kanak-kanak untuk memilih saluran bacaan mengikut kegemaran masing-masing. Keadaan ini sekali gus meningkatkan tahap pemikiran kognitif mereka.


2. Genre Sastera Kanak-kanak 17 Menurut Lynch-Brown (1999), perkembangan kognitif dapat diterapkan kepada kanak-kanak dengan memberikan pengetahuan baharu dan mempertingkatkan kefahaman kanak-kanak terhadap pengetahuan sedia ada di samping menggalakkan mereka untuk mencari maklumat sendiri. Usaha mencari maklumat secara individu menyebabkan mereka mampu menjana pemikiran ke arah yang lebih baik. Hal sebegini mampu juga meningkatkan kreativiti kanak-kanak. Kementerian Pendidikan Malaysia amat mementingkan peningkatan kreativiti dan estetika dalam pembelajaran kanak-kanak. Pelbagai buku aktiviti telah dibekalkan oleh kementerian untuk diberikan kepada murid bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti ke arah merangsang pemikiran kreatif dan estetika mereka. Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia (2003), komponen kreativiti dan estetika memberikan fokus kepada perkembangan sifat kreatif dan ekspresif melalui imaginasi dan pemikiran kanak-kanak. Oleh itu, guru-guru harus menggerakkan minat dan memupuk kecenderungan kanak-kanak untuk mengembangkan potensi kreativiti dengan memberikan peluang kepada mereka untuk mengambil bahagian dalam aktiviti kesenian yang menggunakan daya imaginasi (Glaser, 2000). Tema hiburan dan penyelongkaran dunia misteri sangat digemari oleh kanakkanak. Perkara ini memberikan idea kepada pengarang untuk menghasilkan kelainan dalam penulisan sastera kanak-kanak. Buku-buku yang bertemakan hiburan dan cerita-cerita misteri sama ada novel atau cerita ringkas sering mendapat perhatian kanak-kanak. Hal ini demikian kerana perkembangan pemikiran kanak-kanak masih belum meluas dan mereka hanya memikirkan hiburan serta keseronokan menerusi bahan-bahan bacaan. Mereka juga sering memikirkan kelainan dan perkara-perkara yang luar biasa. Orang dewasa sukar untuk menembusi pemikiran kanak-kanak yang pelbagai dan penuh dengan daya pemikiran di luar kotak pemikiran biasa. Oleh itu, penulis sastera kanakkanak sering membawa isu-isu dan cerita yang berlainan bagi menarik perhatian kanak-kanak untuk membaca dan menghayati bahan-bahan penulisan mereka. Tema pengembaraan juga menjadi sebahagian daripada kegemaran kanakkanak apabila mereka memilih bacaan tambahan untuk dibaca. Pengembaraan ini memberikan suatu perasaan yang luar biasa seterusnya mencabar kebolehan


18 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak mereka untuk berfikir dengan lebih mendalam. Kanak-kanak juga sering memasuki dunia khayalan mereka yang tersendiri apabila membaca bahanbahan bacaan sedemikian. Tindakan ini membolehkan mereka mengasah pemikiran dengan lebih jauh di samping merangsang kreativiti mereka untuk mencari penyelesaian bagi setiap permasalahan. Kanak-kanak yang mampu menilai dan menyelesaikan masalah mereka menerusi pembacaan yang pelbagai membolehkan mereka berkeupayaan menyelesaikan sebarang masalah yang timbul sama ada dalam pembelajaran atau kehidupan seharian mereka. Walaupun wujud pelbagai tema dalam penulisan sastera kanak-kanak, namun perkara yang paling penting ialah bahan kesusasteraan ini dapat meningkatkan minat kanak-kanak untuk mengenal dunia sastera kanak-kanak. Buku-buku cerita yang bertemakan pelbagai isu dapat membantu kanak-kanak untuk mencari nilai diri dan menentukan tindakan yang bakal diambil. Penulisan yang berkesan dapat membina sahsiah dan mencorakkan nilai yang lebih baik dalam diri kanak-kanak. Penulisan buku kanak-kanak ini bertujuan memberikan peluang kepada kanak-kanak untuk mengenal erti kehidupan, mengetahui dan memahami bahawa permukaan bercetak mempunyai makna serta memberikan kesedaran bahawa aktiviti yang melibatkan buku amat penting dalam kehidupan manusia yang bertamadun (Mahzan Arshad, 2006). 2.3 Ciri-ciri dan Nilai Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak Kurikulum pendidikan awal prasekolah (PPK, 2000) menggariskan bahawa prinsip utama pengajaran bahasa adalah untuk menyepadukan empat kemahiran bahasa, iaitu mendengar, bertutur, membaca, dan menulis dalam bahasa yang dipelajari oleh kanak-kanak. Empat kemahiran ini dapat dimantapkan lagi menerusi penciptaan karya kreatif penulisan sastera kanak-kanak mengikut keupayaan umur kanak-kanak. Oleh itu, penulisan sastera kreatif kanak-kanak ini dapat digunakan untuk membantu perkembangan bahasa dan komunikasi kanak-kanak menerusi pelbagai kaedah atau corak pengajaran sastera kanakkanak. Contohnya, aktiviti membaca cerita kanak-kanak menggunakan suara yang kuat boleh diaplikasikan di dalam bilik darjah. Melalui aktiviti bacaan secara kuat ini, kanak-kanak berpeluang mendengar sebutan yang betul,


2. Genre Sastera Kanak-kanak 19 menyatakan idea atau pendapat melalui perbincangan, dan menceritakan semula, menulis atau melukis cerita yang telah didengar atau dibaca (Allor & Mc Cathreen, 2003). Menerusi aktiviti ini, kanak-kanak didedahkan dengan fungsi literasi secara tidak langsung seterusnya dapat menarik perhatian mereka dengan lebih mudah. Di samping itu, kaedah tersebut juga dapat memperkaya perbendaharaan kata kanak-kanak. Bagi pembaca baharu pula, pembacaan buku dengan menggunakan suara yang kuat dapat memperkenalkan cara penggunaan serta fungsi buku kepada mereka (Allor & Mc Cathreen, 2003). Menurut Tan, et. al. (2003), Kohlberg membahagikan perkembangan moral kepada enam peringkat yang memfokuskan keupayaan kanak-kanak dalam mengadili sesuatu dan cara mereka menyelesaikan dilema berkaitan moral. Pada peringkat pertama, kanak-kanak didedahkan kepada orientasi ke arah hukuman dan ketaatan, iaitu mereka akan sentiasa mengikut peraturan agar tidak dikenakan hukuman. Pada peringkat kedua pula, kanak-kanak melakukan sesuatu berdasarkan keinginan atau kemahuan untuk mendapatkan sesuatu balasan. Apabila semakin matang, mereka berubah ke peringkat ketiga, iaitu melakukan perkara baik yang dilakukan oleh budak baik. Pada tahap ini, kanakkanak telah menerima norma yang telah ditetapkan oleh masyarakat. Menurut Glazer (2000), kanak-kanak akan mendapat pengajaran tentang sebab dan akibat daripada sesuatu perlakuan melalui cerita kanak-kanak. Seperti yang dinyatakan oleh Kohlberg, pada awalnya kanak-kanak mengikut peraturan kerana takut akan hukuman dan ingin mendapatkan balasan yang baik. Bagi orientasi seperti ini, cerita yang menggambarkan perbuatan baik akan dibalas baik dan perbuatan jahat akan mendapat balasan buruk dapat memberikan pengajaran kepada kanakkanak. Oleh itu, cerita-cerita yang berbentuk teladan amat sesuai pada peringkat usia kanak-kanak ketika ini. Melalui cerita kanak-kanak juga, mereka akan mendapat contoh-contoh perwatakan yang dikatakan baik seterusnya menjadi idola yang ingin diikuti oleh mereka seperti konsep seseorang budak yang baik. Kanak-kanak yang memiliki pemikiran bijak dapat dilihat apabila mereka mampu menilai orang lain yang berada di persekitaran mereka. Selain itu, mereka juga sentiasa bertolak-ansur dalam apa-apa juga keadaan sekiranya mereka bersetuju dengan perkara yang dikehendaki. Cerita sastera kanak-kanak banyak dipenuhi dengan kisah-kisah pengajaran bertujuan menyemai semangat kerohanian dalam jiwa kanak-kanak. Watak-watak yang digunakan mengambil contoh daripada


20 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak watak sebenar sebagai panduan kepada kanak-kanak untuk meniru perlakuan baik yang dilakukan oleh watak-watak dalam cerita kanak-kanak tersebut. Menurut pensyarah akademik dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, iaitu Profesor Madya Dr. Sohaimi Abdul Aziz dan Rohaya Md Ali ketika memperkatakan perihal “Pengajian Sastera Kanak-kanak di Malaysia: Sejarah dan Perkembangannya”, sastera kanak-kanak di Malaysia berkembang dengan pesat berdasarkan jumlah judul buku yang diterbitkan sejak tahun 1970- an. Namun, mereka berpendapat bahawa sastera kanak-kanak di Malaysia merupakan satu bidang pengajian atau disiplin akademik yang masih belum bercambah. Tinjauan pada peringkat institusi pengajian tinggi mendapati bahawa hanya tiga buah universiti yang menawarkan kursus sastera kanakkanak, manakala bidang penyelidikan yang paling popular ialah analisis isi dan idea cerita seperti tema, plot, watak, unsur pengajaran serta nilai murni dalam karya sastera pilihan. Perkembangan bahan bacaan kanak-kanak tidak boleh diperkaya tanpa kajian dan penyelidikan untuk meningkatkan mutu pengeluarannya. Kajian tentang sastera kanak-kanak dari pelbagai aspek secara tidak langsung dapat mengatasi kekurangan dalam penyelidikan sastera kanakkanak di Malaysia. Pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang, Mohd Haidi Mohd Kasran pula yakin bahawa penggunaan bahan sastera dalam pengajaran bahasa dapat meningkatkan keupayaan pelajar dari segi penggunaan bahasa kerana karya sastera mengandungi perbendaharaan kata yang indah, tinggi, dan mewah. Beliau turut menyatakan bahawa karya sastera sama ada untuk kanakkanak, remaja atau dewasa bermatlamat mendidik dan membangunkan diri manusia dari segi personaliti, pemikiran atau kebahasaan. Hal ini diperkatakan oleh beliau ketika membincangkan “Kurikulum dalam Pembelajaran Sastera untuk Kanak-kanak” menerusi pelaksanaan Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Rendah. Kurikulum ini bukan sahaja mampu meningkatkan keupayaan pembelajaran bahasa kanak-kanak, malah kaedah ini turut memberikan rangsangan dan minat yang tinggi kepada kanak-kanak untuk terus mendalami dunia sastera. Langkah tersebut juga melatih kanak-kanak untuk mendedahkan diri mereka kepada dunia sastera kanak-kanak sekali gus mendorong mereka untuk menjadi penulis sastera kanak-kanak dengan lebih serius.


2. Genre Sastera Kanak-kanak 21 Penulisan sastera kreatif kanak-kanak ini tidak lari daripada cerita-cerita tentang haiwan, jenaka, dan sebagainya. Cerita-cerita haiwan seperti Kancil dengan Buaya, Monyet yang Tamak, Ular dengan Singa, Raja Rimba, Kerbau dengan Buaya, Si Biring, Monyet yang Bodoh, dan sebagainya menjadi cerita kegemaran kanak-kanak di samping berfungsi sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran guru-guru di dalam bilik darjah. Cerita-cerita ini juga menjadi bualan masyarakat dari satu generasi ke generasi yang seterusnya. Cerita-cerita haiwan ini telah wujud sejak zaman tradisional lagi dan diperturunkan secara lisan. Cerita-cerita ini menjadi terkenal kerana mengandungi pelbagai nilai dan pengajaran yang boleh dijadikan teladan kepada kanak-kanak. Cerita-cerita haiwan merupakan cerita yang dapat menarik perhatian, sentiasa segar, dan tidak jemu didengar walaupun diceritakan berulang-ulang kali. Terdapat ibu bapa yang menjadikan cerita haiwan ini sebagai salah satu kaedah untuk mendidik anak-anak secara tidak langsung sebelum menidurkan mereka. Apabila anak-anak leka mendengar cerita haiwan dan tertidur, mereka sering kali menjadi watak-watak tertentu dalam mimpi seterusnya memberikan kesan yang mendalam dalam diri mereka. Hal ini berlaku sekiranya mereka sering melihat cerita-cerita tersebut menerusi televisyen atau membaca buku-buku cerita. Persoalan yang timbul dalam kepala anak-anak sebelum tidur dan selepas mereka bangun daripada tidur akan membangkitkan perasaan ingin tahu yang mendalam. Hal ini menyebabkan anak-anak bertanya kepada ibu bapa masingmasing atau guru yang mengajar di sekolah. Keadaan ini dapat melatih mereka untuk berfikir dan membuat perkaitan cerita dengan perkara yang berlaku pada setiap hari. Cerita-cerita haiwan juga berkait rapat dengan cerita jenaka yang sentiasa disebut-sebut oleh guru dalam sesi pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran bahasa di sekolah. Bukan itu sahaja, ibu bapa turut memainkan peranan dengan menjadikan cerita-cerita tersebut sebagai daya tarikan kepada anak-anak supaya anak-anak tidak ketinggalan daripada menguasai folklore masyarakat menerusi cerita-cerita tersebut. Cerita jenaka merupakan sejenis cerita rakyat yang disampaikan secara lisan. Cerita ini dikategorikan dalam sastera rakyat yang mengandungi unsur-unsur humor. Cerita-cerita yang mengandungi aspek lelucon ini bertujuan memberikan hiburan secara langsung dan mendidik


22 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak anak-anak untuk menilai kebaikan yang terkandung dalam cerita secara tidak langsung. Cerita jenaka banyak memperlihatkan aksi lucu dan mengandungi unsur-unsur humor yang mendidik. Unsur-unsur lucu yang dibawa menerusi watak-watak manusia atau binatang bertujuan memberikan perasaan gembira kepada kanak-kanak. Pelbagai aksi boleh menimbulkan kelucuan sekali gus mendidik kanak-kanak dalam pelbagai aspek kehidupan. Cerita jenaka terbahagi kepada dua versi, iaitu cerita jenaka tempatan dan cerita jenaka yang sudah dicampuradukkan dengan versi luar. Cerita jenaka yang sudah dicampuradukkan dengan versi luar bermaksud cerita tersebut menerima pengaruh asing seperti pengaruh Arab dan Parsi. Contoh cerita jenaka versi tempatan adalah seperti cerita Pak Pandir, Lebai Malang, Pak Belalang, Si Luncai dengan Labu-labunya, Pak Kaduk, Bawang Putih Bawang Merah, dan sebagainya. Contoh cerita jenaka yang bercampur dengan pengaruh asing pula adalah seperti cerita Mat Jenin yang menerima pengaruh Hindu serta cerita Abu Nawas dan Musang Berjanggut yang menerima pengaruh Islam. Pengaruhpengaruh ini terjadi kerana berlakunya dakwah dalam bidang agama masingmasing. Kedatangan Islam turut mencorakkan ciri-ciri jenaka ke arah cerita yang memberikan pengajaran menerusi perwatakan, corak berpakaian, dan tingkah laku watak-watak yang terlibat. Cerita-cerita tersebut bertujuan memberikan mesej yang positif dan menerapkan nilai-nilai murni kepada anak-anak. Cerita jenaka juga berfungsi sebagai hiburan dan alat kritikan sosial kepada masyarakat. Masyarakat tradisional yang tidak banyak mempunyai hiburan bergantung kepada penglipur lara untuk menghiburkan hati mereka. Kebiasaannya, cerita-cerita jenaka disampaikan oleh penglipur lara setelah orang kampung selesai melaksanakan sesuatu kerja seperti selesai musim menuai atau memenuhi masa ketika musim tengkujuh bagi orang yang mencari sumber pendapatan di sungai. Mereka akan duduk berkumpul bersama-sama dan mendengar cerita daripada penglipur lara. Cerita jenaka ini akan membuatkan mereka terhibur dan melupakan seketika kesusahan hidup yang dialami. Meskipun cerita tersebut tidak dapat meleraikan masalah mereka, sekurang-kurangnya cerita tersebut dapat menghiburkan hati mereka yang dilanda kesedihan. Cerita-cerita yang diperdengarkan juga mempunyai mesej untuk mengkritik sesetengah golongan masyarakat terutamanya golongan pemerintah yang


2. Genre Sastera Kanak-kanak 23 mementingkan diri dan keluarga masing-masing. Walaupun cerita jenaka ini disampaikan dalam bentuk gurauan, namun mesej yang terkandung memberikan pengajaran dan membuatkan orang kampung berfikir tentang keadaan yang berlaku di sekeliling mereka. Mereka juga sering melihat dan membuat perbandingan antara cerita-cerita jenaka yang diperdengarkan dengan situasi sebenar yang berlaku. Meskipun mereka tidak mampu bertindak untuk melawan ketidakadilan sosial, namun cerita jenaka tersebut mampu mengkritik sesetengah golongan yang tidak meletakkan kepentingan kepada masyarakat. Ada juga cerita yang menyindir masyarakat tentang perilaku dan perangai masing-masing yang malas berikhtiar serta berusaha untuk mencari kesenangan hidup. Walaupun cerita kanak-kanak ini direka dan diceritakan tanpa asas yang kukuh dari aspek penceritaan, namun kanak-kanak masih lagi percaya terhadap perkara yang didengari dan diceritakan kepada mereka. Kepercayaan mereka dikuatkan lagi apabila cerita yang disampaikan tersebut disampaikan oleh orang dewasa. Meskipun seperti tidak masuk akal, namun cerita tersebut mampu menarik perhatian mereka apabila disampaikan dengan penuh kesungguhan dan emosi oleh sang pencerita. Cerita kanak-kanak yang mempunyai unsur pelik dan ajaib menyebabkan kanak-kanak sangat mudah untuk mempercayainya. Cerita sedemikian sering menghantui mereka dan menyebabkan mereka percaya serta yakin bahawa cerita tersebut boleh mendatangkan sesuatu kebaikan atau keburukan. Cerita yang mengandungi kebaikan akan membuatkan kanakkanak tersebut berazam dan berusaha untuk mencapai sesuatu impian ekoran daripada cerita tersebut. Namun, cerita-cerita yang membawa keburukan sering membuatkan kanak-kanak terbawa-bawa perasaan takut atau sebagainya sehingga membataskan pergerakan dan semangat mereka. Sifat semula jadi kanak-kanak yang menyukai sesuatu yang baharu dan cerita yang menarik perhatian menjadikan cerita dongeng sebagai salah satu cerita yang dapat menarik kepercayaan mereka jika disampaikan menggunakan kaedah yang berkesan. Cerita dongeng yang menarik seperti Sang Kancil dan Sang Gajah, Serigala dan 7 Ekor Anak Kambing, Tukang Kasut, dan Orang Bunian menjadi cerita dongeng yang terkenal di Malaysia. Cerita dongeng Serigala dan 7 Ekor Anak Kambing pernah dijadikan sebagai bahan sitcom Upin dan Ipin dalam program televisyen yang menjadi kegilaan dan sangat diminati oleh kanak-kanak di Malaysia. Cerita dongeng kanak-kanak ini memberikan


24 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak pengaruh besar kepada kehidupan mereka. Ada juga dalam kalangan kanakkanak yang mempercayai bahawa cerita dongeng ini akan menjadi benar sekiranya sifat-sifat buruk watak diamalkan dalam kehidupan seharian. Walaupun cerita dongeng tidak benar dan hanya rekaan semata-mata, namun ciri-cirinya yang menarik dan memberikan nilai-nilai positif menerusi pembawaan watak-watak tertentu berjaya meletakkan cerita dongeng ini menjadi sebahagian daripada cerita kanak-kanak yang terkenal di Malaysia. Cerita-cerita dongeng ini boleh dirujuk menerusi pakar cerita kanak-kanak. Sebahagian daripada cerita-cerita dongeng ini telah dibukukan dalam penulisan sastera kreatif kanak-kanak untuk menambahkan lagi koleksi cerita kanak-kanak di Malaysia. Langkah ini juga perlu diambil untuk mengelakkan kepupusan khazanah penulisan sastera kreatif kanak-kanak akibat cerita yang dibawa oleh pengaruh dan kemodenan teknologi komunikasi kini yang cepat berkembang. Koleksi cerita dongeng ini boleh juga dirujuk menerusi Koleksi Cerita Dongeng Termasyhur yang diterjemahkan oleh Aniza Anis Sallihudin. Selain cerita haiwan, cerita jenaka, dan cerita dongeng, cerita-cerita rakyat legenda juga menjadi kegemaran dan pilihan kanak-kanak. Banyak cerita legenda yang masih dipercayai dan diperkatakan oleh masyarakat sehingga menjadi salah satu daya tarikan kepada kanak-kanak untuk mencontohi amalan mulia dan menolak amalan jahat yang ada pada watak-watak dalam ceritacerita tersebut. Contoh cerita-cerita rakyat legenda adalah seperti cerita Batu Belah Batu Bertangkup, Badang, Si Tanggang Anak Derhaka, Anak Buloh Betung, Puteri Gunung Ledang, dan Malim Kundang. Cerita Si Tanggang Anak Derhaka menjadi senario yang sangat disukai dan dipercayai oleh kanak-kanak sehingga cerita ini mempengaruhi minda mereka untuk tidak menderhaka kepada ibu. Sekiranya mereka menderhaka kepada ibu mereka, maka mereka akan disumpah menjadi batu dan dimurkai oleh Tuhan. Begitu juga dengan cerita Batu Belah Batu Bertangkup yang sangat tragis. Cerita ini sering dipersembahkan dalam pertandingan bercerita untuk kanak-kanak. Penyampaian cerita yang menarik mampu membuatkan anak-anak terpegun dan turut menangis terhadap insiden yang berlaku kepada ibu Melor dan Pekan (watak dalam cerita ini). Cerita ini secara tidak langsung mengajar kanak-kanak untuk menghormati ibu.


2. Genre Sastera Kanak-kanak 25 Cerita lain yang sering diperkatakan oleh kanak-kanak ialah cerita Pemotong Kayu yang Jujur, Belalang dan Semut, Semut dan Lalat serta Anak Itik yang Hodoh. Cerita-cerita ini juga dikategorikan sebagai cerita dongeng kanak-kanak untuk menarik minat kanak-kanak dan meniru perlakuan baik yang ditonjolkan oleh watak-watak dalam cerita tersebut. Cerita Pemotong Kayu yang Jujur mengisahkan pasangan suami isteri yang sentiasa bersama-sama mencari rezeki dengan menebang pokok untuk mendapatkan kayu. Pada suatu hari, kapak yang digunakan oleh lelaki itu telah terjatuh ke dalam sungai. Lelaki itu amat sedih, namun muncul pari-pari membantunya. Oleh sebab kejujurannya, lelaki itu telah mendapat kapaknya kembali bersama-sama dengan kapak emas dan kapak gangsa yang dihadiahkan oleh pari-pari. Cerita Belalang dan Semut pula mengisahkan dua haiwan yang mempunyai tabiat berbeza. Belalang mewakili haiwan yang malas untuk bekerja, manakala semut pula merupakan haiwan yang rajin bekerja. Pada musim panas, semut berusaha mengumpulkan makanan sebagai bekalan sebelum menjelang musim sejuk. Manakala, belalang hanya sibuk berfoya-foya dengan mencipta lagu. Apabila tiba musim sejuk, belalang meminta makanan daripada semut, namun tidak dihiraukan oleh semut. Cerita ini memberikan pengajaran bahawa orang yang berusaha dan berikhtiar akan mendapat kesenangan berbanding dengan orang yang malas berusaha. Cerita Semut dan Lalat pula mengisahkan seekor lalat yang hanya memikirkan keseronokan tanpa memikirkan akibat yang akan diterima kelak. Semut pula hanya melihat kelakuan lalat. Semasa semut memerhatikan lalat yang keletihan untuk melepaskan diri dari sebuah rumah yang besar, semut tersebut membuat andaian bahawa lalat tidak sepatutnya memikirkan kepentingan diri sematamata kerana perkara tersebut akan memudaratkan dirinya sendiri. Pengajaran yang diperoleh kanak-kanak melalui cerita ini ialah setiap individu tidak boleh mementingkan diri sendiri dan melupakan rakan-rakan. Cerita Anak Itik yang Hodoh mengisahkan anak itik yang menetas dari telur bersama-sama adik-beradiknya yang lain. Namun, lima adik-beradiknya dilahirkan dengan bulu yang cantik tetapi anak itik itu menetas sebagai anak itik yang memiliki bulu yang tidak cantik. Setelah dipulaukan oleh adikberadiknya, anak itik yang hodoh tersebut telah membawa diri. Setelah penat


26 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak berjalan jauh, akhirnya anak itik tersebut telah tertidur. Apabila terjaga, anak itik tersebut mendapati dirinya telah bertukar menjadi angsa yang berbulu cantik. Pengajaran cerita ini ialah setiap orang tidak boleh menghina orang lain kerana segala yang dijadikan oleh Tuhan mempunyai kelebihan masingmasing. Cerita-cerita haiwan tersebut memberikan pelbagai pengajaran kepada kanak-kanak seterusnya menambahkan lagi koleksi penulisan sastera kreatif kanak-kanak. Cerita-cerita sedemikian menjadi wadah atau saluran maklumat untuk kanakkanak membina serta membentuk pemikiran yang baharu. Pemikiran tersebut dapat membantu kanak-kanak menanam sistem nilai dan kepercayaan dalam diri mereka sendiri. Perkara ini secara tidak langsung meningkatkan tahap kepercayaan dan keyakinan kanak-kanak terhadap diri sendiri seterusnya memperlihatkan kematangan yang berbeza berbanding dengan kanak-kanak yang kurang membaca bahan-bahan penulisan kreatif. Malah, apabila berkomunikasi dengan rakan sebaya, kanak-kanak yang banyak membaca kelihatan lebih cepat bertindak dan tidak malu untuk mengemukakan sesuatu pendapat di samping mudah mesra dengan suasana persekitaran walaupun mereka berada dalam kalangan rakan-rakan yang baharu. Bahan-bahan penulisan kreatif sastera kanak-kanak ini boleh juga dijadikan sebagai medium untuk membimbing anak-anak berhubung dengan alam sebenar kerana anak-anak pada zaman teknologi terkini banyak terasing daripada rakan-rakan sebaya. Dunia yang penuh dengan teknologi banyak menjadikan kanak-kanak bersikap pasif, terasing, dan hidup dalam dunia ciptaan mereka sendiri. Oleh itu, bahan penulisan sastera kanak-kanak ini mampu membawa anak-anak kepada proses komunikasi tradisional yang akan membawa mereka mengamalkan kaedah perhubungan secara tradisional. Umumnya, cerita kanak-kanak banyak memberikan pengajaran. Cerita kanakkanak pada mulanya disampaikan secara lisan daripada satu generasi kepada generasi yang seterusnya dan terdapat cerita kanak-kanak yang telah dibukukan juga. Dalam dunia teknologi kini, ada juga cerita kanak-kanak yang dijadikan cereka atau filem oleh pengusaha filem tempatan. Hal ini demikian kerana cereka atau filem dapat meninggalkan kesan ingatan yang berpanjangan kepada kanak-kanak. Kebanyakan cerita kanak-kanak mengandungi mesej dan


2. Genre Sastera Kanak-kanak 27 pengajaran yang memberikan semangat dan dorongan kepada kanak-kanak untuk mengamalkan perlakuan-perlakuan yang baik. Perlakuan-perlakuan tersebut menjadi pendorong kepada mereka untuk mencapai kemajuan diri tanpa sebarang paksaan. Ironinya, watak-watak protagonis sentiasa dijadikan contoh dan idola kepada kanak-kanak, manakala watak-watak antagonis yang sentiasa menentang watak utama menjadi pedoman kepada kanak-kanak supaya tidak meniru perbuatan yang dilakukan oleh watak antagonis tersebut dalam kehidupan seharian. Penulisan kreatif sastera kanak-kanak ini juga banyak mengetengahkan pengajaran dan moral yang baik untuk dicontohi oleh kanak-kanak. Hal ini demikian kerana cerita-cerita tersebut banyak memuatkan kejadian sebenar berasaskan zaman untuk proses pembelajaran kanak-kanak. Cerita kanak-kanak juga mendedahkan kanak-kanak tentang kaedah menyelesaikan atau menangani sesuatu masalah dengan sendiri tanpa bantuan orang dewasa. Usaha untuk mengajar kanak-kanak menerusi penulisan kreatif sastera kanak-kanak bertujuan memenuhi keperluan dan cita-cita di samping mendidik mereka supaya bijak membuat pertimbangan bagi mencapai keseimbangan diri dan pandai menilai sesuatu perkara sama ada baik atau sebaliknya. 2.4 Jenis-jenis Penulisan Kreatif Sastera Kanak-kanak 2.4.1 Penulisan Cerita Rakyat Cerita rakyat semakin dilupakan oleh ahli masyarakat. Hal ini demikian kerana lambakan teknologi yang wujud kini menyebabkan masyarakat semakin leka dan mula melupakan cerita rakyat dari pelbagai pelusuk tanah air. Cerita rakyat yang ditulis perlu mengambil kira daerah atau kawasan sesuatu tempat cerita tersebut ditulis. Tokoh-tokoh yang diambil dalam karakter cerita rakyat kebiasaannya diambil daripada orang-orang yang terkenal di kawasan tersebut. Untuk menulis semula cerita rakyat, penulis perlu meneliti dahulu cerita tersebut agar mempunyai kaitan langsung dengan kawasan yang dipilih. Sebelum menulis, penulis perlu memastikan bahawa setiap perkara berkaitan cerita seperti sinopsis dan sebagainya diteliti lebih dahulu serta diedit dengan baik agar tidak berlaku salah fakta atau salah maklumat. Oleh itu, penulisan cerita rakyat perlu


28 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak diberi nafas baharu untuk mengembalikan semula cerita-cerita lama dan kanakkanak boleh mengambil pelbagai pengajaran daripada cerita tersebut. 2.4.2 Penulisan Cerita Pendek (Cerpen) Sebahagian cerita pendek atau cerpen diambil daripada cerita rakyat. Perbezaan antara cerita pendek biasa dengan cerita pendek yang diambil daripada cerita rakyat ialah cerita pendek biasa mempunyai versi terkini mengikut situasi masa, manakala cerita pendek daripada cerita rakyat ialah cerita yang telah termaktub dan diketahui oleh masyarakat. Cerita pendek kanak-kanak banyak berkisahkan cerita haiwan dan cerita-cerita moral. Cerpen kanak-kanak ialah himpunan cerita pendek yang mengandungi pelbagai mesej dan pengajaran untuk kanak-kanak. Cerita pendek ini akan menjadi lebih menarik sekiranya ditulis mengikut keperluan dan selari dengan fitrah kanak-kanak. 2.4.3 Penulisan Novel Penghasilan novel dalam penulisan sastera kreatif kanak-kanak memerlukan masa yang agak panjang berbanding dengan penulisan cerita pendek. Pengalaman yang dilalui oleh penulis perlu ditulis, disusun, dan diadun untuk menjadikan kerja penulisan lebih mudah. Proses-proses penulisan seperti mengumpul, menyusun, menilai, dan menulis semula perlu dilaksanakan oleh penulis untuk memastikan novel yang dihasilkan menepati selera dan kehendak kanak-kanak. Bagi penulis yang mempunyai anak, perkara ini memudahkan mereka untuk mengarang. Pengalaman membesarkan anak memberikan salah satu laluan mudah kepada mereka berbanding dengan individu yang belum mempunyai anak. Hal ini demikian kerana individu yang belum mempunyai anak terpaksa melihat pengalaman rakan-rakan dan orang lain ketika membesarkan anak-anak. Penulis yang memiliki bakat penulisan lebih mudah menulis dan menyusun cerita secara sistematik seterusnya memudahkan proses penghasilan novel untuk kanak-kanak. 2.4.4 Penulisan Drama Penulisan drama memerlukan orang yang mahir dari segi penghasilan skrip. Sebelum skrip dihasilkan, cerita yang akan ditulis perlu disusun mengikut tema kanak-kanak untuk memastikan watak-watak yang terlibat dalam drama


2. Genre Sastera Kanak-kanak 29 tersebut dapat diikuti dengan mudah. Untuk menjayakan penulisan skrip drama kanak-kanak, penulis perlu menghadiri bengkel penulisan. Bengkel ini bertujuan melahirkan penulis yang komited dan berpotensi untuk menghasilkan skrip drama yang berkualiti. Penghasilan skrip drama perlu mengikut situasi pementasan. Contohnya, persembahan drama untuk radio berbeza dengan drama televisyen. Penulisan skrip drama pentas untuk kanak-kanak juga berbeza. Oleh itu, penulisan skrip drama untuk dipentaskan kepada kanak-kanak bergantung kepada persembahan yang akan dilakukan. 2.4.5 Penulisan Puisi Penulisan puisi terbahagi kepada dua bahagian, iaitu puisi moden dan puisi tradisional. Puisi moden adalah seperti penulisan sajak, manakala puisi tradisional adalah seperti syair, pantun, gurindam, nazam, dan sebagainya. Bagi penulisan puisi kanak-kanak, penulis perlu menguasai keperluan dan kehendak kanak-kanak lebih dahulu sebelum menghasilkan karya berbentuk puisi. Oleh sebab puisi merupakan suatu bahan penulisan yang agak sukar untuk dihasilkan, maka penulis perlu memastikan bahawa setiap perkara yang ditulis betul-betul difahami oleh kanak-kanak. Bahasa yang digunakan dalam penulisan puisi kanak-kanak perlu mengikut tahap dan kebolehan mereka. Oleh sebab kata-kata yang digunakan dalam sesebuah puisi bersifat abstrak, maka kata-kata tersebut perlu mengikut keperluan dan kefahaman kanak-kanak berdasarkan umur mereka. Anak-anak yang masih di bawah umur cenderung menyukai kata-kata yang pendek, singkat, dan mempunyai irama yang menarik untuk dibaca dan dideklamasikan. Puisi tersebut perlu dinyanyikan mengikut lenggok dan bahasa badan yang bersesuaian dengan kehendak kanak-kanak. Puisi yang menceritakan pengalaman sehari-hari akan memberikan pengalaman langsung kepada kanak-kanak untuk belajar berfikir dengan kaedah dan cara yang berbeza-beza mengikut kesukaan dan kegemaran masing-masing. 2.4.6 Penulisan Biografi Penulisan biografi merupakan suatu bentuk penulisan tentang riwayat atau kisah hidup seseorang. Individu yang menjadi fokus bagi penulisan biografi ialah individu yang disegani, dikenal dalam masyarakat, dan banyak membuat


30 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak jasa kepada agama, bangsa, dan negara. Penulisan biografi ini memberikan penghargaan kepada seseorang yang telah berjasa supaya jasa-jasa mereka dikenang. Biografi ini akan menjadi bahan arkib yang berfungsi sebagai bahan bacaan kepada generasi akan datang. Setiap peristiwa dan perjalanan hidup individu tersebut akan menjadi sasaran. Biografi yang menarik ialah biografi yang menceritakan perjalanan hidup seseorang, iaitu sejak individu itu lahir sehinggalah beliau meninggal dunia. Untuk memberikan kelainan dan membolehkan buku biografi tersebut dibaca dengan penuh minat, gambargambar berkaitan tokoh yang diceritakan perlu dimasukkan sebagai fakta tambahan kepada penulisan biografi tersebut. Fakta-fakta yang digunakan dalam penulisan biografi merupakan maklumat sebenar dan sahih yang diambil daripada orang paling dekat dengan tokoh tersebut. Maklumat tersebut menjadi maklumat first hand tentang tokoh tersebut. Peristiwa-peristiwa yang dilalui oleh tokoh tersebut juga merupakan peristiwa sebenar yang mewarnai perjalanan kehidupan mereka. Perkaraperkara lain yang dimasukkan dalam penulisan biografi ialah peranan dan sumbangan tokoh-tokoh kepada bangsa dan negara. Sesuatu peristiwa menjadi lebih bernilai sekiranya mempunyai nilai sejarah yang tinggi sebagai tatapan dan bacaan generasi pada masa hadapan. Jika penulisan biografi tersebut menceritakan tokoh akademik, maka fakta yang digunakan perlu memuatkan pelbagai cerita dan sumbangan dalam bidang pendidikan. Sekiranya tokoh tersebut terdiri daripada golongan diraja, maka salasilah keturunan dan cerita berkaitan istana serta kehidupan beraja tokoh tersebut perlu diberikan perhatian yang lebih berbanding dengan cerita-cerita yang lain. Ciri yang paling penting dalam sesebuah penulisan ialah pengarang atau penulis yang menghasilkan penulisan biografi tersebut perlu dikenal pasti dengan jelas walaupun penulis mungkin menggunakan perkhidmatan orang lain ketika membuat penyelidikan atau mengupah seorang ghost writer. Walau bagaimanapun, penulis tersebut tetap dianggap sebagai individu yang menulis buku tersebut. Contohnya, seorang putera sultan berhajat untuk menulis biografi ayahandanya. Baginda mengupah beberapa orang untuk menjalankan kerja-kerja menyelidik dan menulis. Namun, hanya nama baginda sahaja yang diletakkan sebagai penulis. Oleh itu, baginda


2. Genre Sastera Kanak-kanak 31 dianggap sebagai penulis biografi tersebut dan dipertanggungjawabkan untuk mengesahkan kebenaran dan kesahihan bagi segala perkara yang diceritakan. 2.4.7 Penulisan Cerita Sejarah Penulisan cerita sejarah merupakan suatu bentuk penulisan yang bersandarkan penulisan sebenar. Penyelidikan perlu dilakukan lebih dahulu sebelum sesuatu cerita sejarah dijadikan sebagai bahan penulisan. Penulisan cerita sejarah boleh diwujudkan dalam dua bentuk, iaitu cerita sejarah sebenar yang dijadikan prosa kreatif dan cerita sejarah bertunjangkan peristiwa sebenar sejarah yang ditulis dari awal cerita sehingga cerita tersebut mencapai klimaksnya. Penulisan cerita sejarah menunjukkan peristiwa masa lalu yang memberikan pengaruh kepada kehidupan masyarakat kini dan akan datang. Penulisan cerita sejarah mesti berdasarkan cerita sebenar yang mempunyai sumber. Fakta dan masa bagi sesuatu peristiwa sejarah yang berlaku perlu disertakan bagi membuktikan bahawa cerita sejarah tersebut benar-benar terjadi suatu masa dahulu. Pendapat yang disertakan oleh penulis tidak boleh bersandarkan pendapat peribadi semata-mata. Bukti yang kukuh amat diperlukan dan peristiwa sejarah tersebut perlu ditulis mengikut rentetan masa kejadian dari awal sehingga selesai. Penulisan sejarah tersebut juga perlu diperakui kebenarannya oleh pihak-pihak tertentu agar tidak menimbulkan salah faham kepada pembaca. Dua perkara penting yang perlu dipertimbangkan apabila menulis cerita sejarah ialah heuristik dan historiografi. Heuristik merupakan bentuk pencarian data yang bersesuaian dengan cerita sejarah yang akan ditulis. Kanak-kanak yang menulis cerita sejarah perlu mempraktikkan kaedah heuristik. Kaedah ini memberikan peluang kepada mereka untuk membuat pencarian sendiri, membuat penilaian, dan menyusun maklumat yang diperoleh. Historiografi pula merupakan kaedah yang sesuai untuk menulis cerita sejarah. Apabila kaedah ini diaplikasikan, tahap penyaringan data yang diperoleh pada peringkat awal dapat disusun mengikut kepentingan masa dan peristiwa yang berlaku. Penulis pula perlu menginterpretasi perkara yang dibaca dan diperoleh.


Kreativiti Kreativiti merupakan suatu kelebihan dan kebolehan seseorang dalam setiap bidang yang diceburi. Insan yang dianugerahkan dengan kreativiti ialah insan yang diberikan kelebihan untuk mencari dan mencipta sesuatu yang unik. Kreativiti ini dapat mendatangkan manfaat kepada diri sendiri dan masyarakat sekeliling. Dalam bidang pendidikan, kreativiti amat dititikberatkan dan digalakkan kepada pelajar agar mereka dapat berfikir di luar daripada kebiasaan atau berfikir di luar kotak. Kreativiti ini menjadi fenomena jika sesuatu yang dihasilkan dapat menarik perhatian dan memberikan kesan langsung kepada orang ramai. Kebolehan semula jadi yang dianugerahkan ini merupakan kebolehan kreatif yang mampu membawa seseorang kepada pencapaian yang lebih baik seterusnya membezakan mereka dengan kebanyakan individu di sekeliling mereka. Menurut Leonard M. S. Yong (1993: 9), kreativiti ialah kebolehan kreatif secara semula jadi yang membawa perasaan istimewa dan eksklusif kepada diri individu tersebut. Menurut beliau lagi, kualiti inilah yang membezakan individu tersebut daripada kumpulan manusia yang kurang kreatif. Menurut Hizairi Othman (2000: 3), manusia yang mempunyai kebolehan kreatif telah direkodkan sebagai manusia yang berbakat semula jadi yang dapat meletakkan manusia pada suatu tahap yang berbeza daripada manusia lain. Apa-apa sahaja bahan daripada proses kreatif yang terhasil dikatakan sebagai kreativiti. Definisi kreativiti merujuk kepada kesanggupan mencipta atau kemampuan untuk mewujudkan suatu kombinasi baharu.


3. Kreativiti 33 Berdasarkan Kamus Dewan (1993: 659), kreativiti bermaksud kemampuan (kebolehan) mencipta daya kreatif. Kreativiti juga merujuk kepada proses kreatif yang dilalui oleh individu kreatif untuk memperlihatkan sesuatu yang berlainan daripada manusia biasa. Hal ini tidak bermaksud bahawa mereka mencuba melakukan sesuatu perkara yang luar biasa kerana mereka juga manusia biasa. Dalam hal ini, individu yang kreatif mempunyai cara tersendiri untuk memaparkan sesuatu yang dirasakan perlu dikongsi bersama-sama dengan orang lain. Walaupun insan kreatif mampu melahirkan pelbagai kreativiti, namun mereka masih lagi berpegang kepada langkah-langkah tertentu yang perlu dilalui. Proses tersebut perlu diikuti lantaran adanya sifat peka dan prihatin terhadap sesuatu yang mempengaruhi diri mereka. Kepekaan dan keprihatinan dalam diri individu kreatif ini didorong oleh sikap mereka yang ingin menyampaikan sesuatu yang bersesuaian dan relevan untuk dikongsi dengan orang lain. 3.1 Konsep Kreativiti 3.1.1 Peribadi Kreatif Setiap manusia akan melalui beberapa proses kreatif ketika menghasilkan karya masing-masing. Tanpa proses kreatif, hasil yang dicerna mungkin kurang bermutu kerana kekurangan bahan yang mantap. Untuk menghasilkan sesuatu bahan sama ada bahan penulisan atau bahan kreativiti yang lain, setiap manusia mempunyai pegangan, aliran, dan ideologi tersendiri bermula daripada proses pengumpulan bahan sehingga selesai sesuatu kreativiti yang dihasilkan tersebut. Proses kreatif yang dilalui oleh individu kreatif menggambarkan corak pemikiran masing-masing. Idea yang ada disalurkan dalam bentuk dan gaya tersendiri berasaskan tuntutan dan desakan dalam diri masing-masing. Individu yang kreatif mungkin mengambil masa yang singkat atau sebaliknya dalam proses penghasilan sesuatu bahan. Hal ini bergantung kepada kesediaan dan kesungguhan yang ada pada diri mereka. Kadangkala idea-idea yang hadir dalam pemikiran individu kreatif tidak disedari dan dilahirkan secara spontan. Pemikiran yang datang secara tiba-tiba ini adalah perkara biasa yang dialami oleh individu kreatif. Untuk memantapkan lagi bahan-bahan yang dihasilkan, mereka akan membuat penelitian dan


34 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak mengkaji sesuatu isu yang hadir dalam pemikiran mereka. Langkah seperti ini memberikan kepuasan kepada mereka seterusnya mampu menghasilkan bahan yang bermutu tinggi. Walaupun individu kreatif sering dianggap sebagai manusia yang mempunyai daya atau darjah pemikiran yang berlainan, namun mereka masih lagi berpegang kepada langkah-langkah tertentu. Meskipun banyak tanggapan yang dilontarkan kepada insan kreatif tetapi mereka tetap dengan cara yang tersendiri dalam menyuarakan dan mengetengahkan sesuatu isu terutama dalam bidang penulisan kreatif menerusi karya-karya seperti cerpen, drama, novel, sajak, dan sebagainya. Insan-insan kreatif melahirkan idea dalam pelbagai gaya dan terdapat juga dalam kalangan mereka yang menulis untuk meluahkan perasaan geram kepada individu lain. Namun, setiap idea yang disusun dan ditulis dianalisis lebih dahulu agar idea tersebut benar-benar memberikan manfaat kepada semua orang. Walau apa-apa jua proses yang dilalui oleh individu kreatif, namun mereka mempunyai ciri-ciri tersendiri yang mendorong dan menggerakkan mereka untuk berkarya dengan lebih serius. 3.1.2 Ciri-ciri Peribadi Kreatif Individu yang kreatif mempunyai personaliti istimewa berbanding dengan orang biasa. Setiap perkara yang dilakukan oleh mereka akan mendapat perhatian daripada orang ramai. Individu yang kreatif akan mencipta sesuatu produk yang baharu dan unik. Setiap produk yang dihasilkan bertujuan menyelesaikan sesuatu masalah. Dalam bidang penulisan kreatif, idea yang muncul membolehkan individu kreatif mencipta sesuatu seperti menulis cerita, sajak, cerpen, dan puisi yang mampu meninggalkan kesan mendalam kepada manusia yang menikmatinya. Individu kreatif boleh juga dilihat berdasarkan kelainan yang ada pada dirinya. Namun, mereka sering kali tidak menyedari tentang kebolehan kreatif yang ada dalam diri mereka. Ada juga dalam kalangan mereka menganggap bahawa kelebihan kreatif tersebut lahir tanpa disedari atau tidak disengajakan. Pakar-pakar menyatakan bahawa individu kreatif dapat diketahui menerusi kaedah menanggapi sesuatu dan memperlihatkan persepsi yang berbeza terhadap sesuatu yang dilakukannya.


3. Kreativiti 35 Insan yang kreatif tidak mudah menerima kekurangan yang ada dalam dirinya. Mereka juga sering kali tidak berasa puas terhadap pencapaian yang telah diperoleh. Oleh itu, mereka akan sentiasa berusaha untuk mencapai kemuncak kepuasan di samping berusaha menemukan jalan terbaik untuk kepuasannya. Individu kreatif tidak akan gentar untuk menghadapi sebarang kemungkinan sama ada gagal atau sebaliknya. Sekiranya gagal, mereka akan berusaha mencari pelbagai alternatif untuk mengatasi dan menjayakan sesuatu yang telah dimulakannya. Mereka tidak akan sekali-kali mengalah atau menyerahkannya kepada takdir semata-mata. Sikap positif sedemikian membolehkan mereka berjaya dalam bidang yang diceburi. 3.2 Proses Kreatif Proses kreatif bermaksud seseorang individu dapat atau berkemampuan mencipta atau menghasilkan sesuatu (Kamus Dewan, 1993: 659). Hal ini bermaksud bahawa setiap manusia yang kreatif mampu atau berkebolehan mencipta apa-apa sahaja yang dirasakannya sama ada daripada dalaman atau luaran. Hasil kreatif yang dimanifestasikan itu mencerminkan usaha seseorang dalam penciptaan sesuatu sama ada hasil sastera atau hasil bukan sastera. Dalam proses kreatif, kebiasaannya manusia bersifat egosentris, iaitu sifat untuk memenuhi naluri dan memperjelas pendiriannya. Perkara ini bermakna bahawa proses kreatif akan mengalami perkembangan meditasi untuk mencari realiti kemanusiaan. Dalam penciptaan sesuatu, kekreatifan seseorang sentiasa merujuk kepada proses kreatif yang dialaminya. Proses kreatif bagi setiap individu adalah berbezabeza mengikut pengalaman yang dilalui oleh setiap individu tersebut. Menurut Darmanto, setiap orang adalah berbeza-beza. Beliau mengatakan bahawa: “Setiap orang telah diciptakan berbeda-beda. Terdapat pepatah yang menyatakan bahawa “tidak ada orang yang sama.” Ahli-ahli ethologi melihat perbedaan-perbedaan ini bukan sekadar perbedaan keturunan antarspesies dalam proses evolusi yang panjang, namun sampai ke masing-masing anggota spesies. Dalam pengamatan para ahli perilaku alami ini, maka secara alamipun tidaklah dimungkinkan lahirnya karyakarya seni yang sama.” (Darmanto, 1985: 112)


36 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak Terdapat individu yang melakukan proses kreatifnya dalam jangka masa yang pendek dan ada juga antara mereka yang memerlukan masa yang sangat panjang. Kebiasaannya, tempoh laluan proses kreatif ini membolehkan seseorang memanifestasikan sesuatu dengan lebih baik bermula dari awal sehingga berakhirnya proses tersebut. Hal ini menjelaskan bahawa proses kreatif dilalui oleh insan dengan penuh sedar terhadap aspek-aspek yang bersangkutan dengan dirinya. Segala yang dialami, dinikmati, dirasai, dan dihayati serta dimanipulasikan dalam keadaan yang masih waras seterusnya diadunkan bersama-sama untuk menghasilkan sesuatu produk sastera seperti penulisan sastera kreatif. Proses kreatif sudah pasti berperanan untuk membentuk dan menyampaikan sesuatu yang bermanfaat kepada manusia. Proses kreatif melalui penulisan memerlukan komitmen dan kesungguhan yang tinggi untuk memberikan manfaat dan melahirkan kelangsungan peranan penulis kepada pembaca. Pembacaan ini membantu memberikan ilham dan mematangkan seseorang untuk menghasilkan karya yang lebih bermutu. Peranan yang ditampilkan oleh proses kreatif ini dapat diteliti menerusi pembacaan mendalam terhadap karya-karya yang dihasilkan lebih awal. Peranan proses kreatif pula terbahagi kepada dua bahagian, iaitu peranan secara intrinsik (dalaman) dan peranan secara ekstrinsik (luaran). 3.2.1 Proses Dalaman (Intrinsik) Peranan proses kreatif secara intrinsik melibatkan sesuatu yang tersirat dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Perkara yang tersirat tersebut hanya dapat diketahui sekiranya karya-karya yang terhasil diteliti dengan mendalam. Peranan yang sering disebut-sebut oleh setiap penulis adalah untuk menghasilkan karya yang bermutu atau berkualiti. Apabila seseorang pengarang melalui proses kreatif yang sempurna, maka karya yang dihasilkan dapat membentuk pemikiran bernas dan berkualiti. Penghasilan karya yang berkualiti merupakan suatu proses yang memakan masa panjang kerana terdapat beberapa langkah yang perlu diikuti dan dipatuhi. Disiplin ini menjanjikan sesebuah karya dapat dihasilkan dalam masa yang singkat atau sebaliknya. Mereka mesti mengikuti disiplin-disiplin secara dalaman yang tidak dapat diteliti dengan jelas untuk menghasilkan karya yang bermutu. Bentuk dalaman ini bersifat peribadi dan melibatkan perasaan pengarang.


3. Kreativiti 37 Perkara ini selari dengan pendapat yang dikemukakan oleh Dharmawijaya (1987: 22). Dharmawijaya menyatakan bahawa bentuk dalaman sebenarnya membawa kepada sifat yang lebih abstrak, iaitu cara persembahan fikiran dan emosi atau perasaan. Oleh itu, bentuk bahagian ini boleh juga diertikan sebagai struktur puisi. Setiap binaan dalam sesebuah karya menggambarkan kesan fikiran serta perasaan. Binaan-binaan tersebut termasuk susunan baris dan rangkap yang terhasil daripada pemakaian bahasa. Bentuk dalaman yang abstrak ini menunjukkan bahawa pengarang sudah melalui beberapa peringkat pemikiran sebelum menyusun idea untuk mempersembahkan emosi mereka. Peringkat-peringkat pemikiran yang panjang membolehkan mereka membuat susunan perkataan dan ayat sehingga melahirkan satu persembahan fikiran yang tersusun. Dari segi pengalaman pula, proses kreatif yang sempurna mampu membawa masyarakat meneroka zaman sejarah. Perkara ini pasti dapat menyedarkan mereka tentang segala yang terjadi ketika karya itu dihasilkan. Oleh sebab pengarang meneliti setiap fakta dan peristiwa sejarah, maka mereka juga terpaksa meneliti proses kreatif untuk disesuaikan dengan karya mereka. Hal ini bermaksud bahawa proses kreatif berperanan untuk menceritakan masa lampau. Apabila penulis dapat menceritakan masa lampau dengan baik dalam karyanya, maka proses kreatif yang dilalui akan dirasai sepenuhnya dan dapat menaikkan semangat nasionalisme masyarakat. Semangat ini juga penting untuk menyedarkan masyarakat tentang keadaan pada masa lampau itu. Menerusi pengumpulan cerita-cerita sejarah, maka pengarang dapat merasai dan mengalami sendiri perasaan dan situasi yang berlaku dalam peristiwa masa lampau itu. Contohnya, pengumpulan cerita-cerita berkaitan peperangan yang telah terjadi pada masa lampau menyebabkan pengarang dapat merasai suasana peperangan tersebut. Apabila cerita-cerita telah dikumpulkan, susunan mengikut kronologi dilakukan untuk mendatangkan kesan cerita yang lebih baik dan menarik. Selepas proses pengumpulan berlaku, penulis akan melalui proses pengeraman sebelum melahirkan sesuatu karya. Karya yang dihasilkan pasti dapat dimantapkan kerana penulis telah melalui beberapa pertimbangan untuk menghasilkan karya.


38 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak Proses kreatif yang dilalui juga akan mempertontonkan pengalaman pengarang secara langsung atau simbolik. Pengarang mungkin akan menceritakan secara langsung tentang segala yang dialami setelah merasai, merenung, dan menghayati sesuatu peristiwa sejarah. Pengalaman yang dipamerkan menerusi karya tersebut juga mungkin sekadar simbolik daripada perkara-perkara yang dilihat dalam persekitaran mereka. Walau bagaimanapun, pengalaman pengarang yang dipamerkan secara simbolik boleh juga menimbulkan keindahan kepada pendengar kerana pengarang telah melalui beberapa langkah daripada proses kreatif. Karya yang berkualiti dan menarik akan terhasil melalui proses pemeraman, penapisan, dan penilaian semula. Karya yang berkualiti penting untuk menjelaskan mesej yang disampaikan dengan cara yang lebih bijak dan sistematik. Di samping itu, karya yang berkualiti turut memberikan impak positif kepada pengarang untuk menyerlahkan lagi bakat yang ada dalam dirinya. Bakat yang ada menjadi lebih baik sekiranya seseorang pengarang memberikan perhatian dan peka dengan perkara yang ingin disampaikan dan ditulis. Kepekaan dan keprihatinan penulis menjadikan mereka lebih berhati-hati. Oleh itu, setiap isu yang diperkatakan akan dipertimbangkan dan diteliti dengan mendalam. Sikap pengarang yang sentiasa peka terhadap sebarang fenomena sekeliling dapat memperkukuh dan memantapkan lagi persembahan mereka. Pengarang juga akan menjadi seseorang yang lebih teliti dalam melihat sesuatu persoalan menerusi proses kreatif yang panjang. Ketajaman dan kehalusan perasaan pula timbul daripada karya kerana berlakunya proses pengeraman yang lama terhadap sesuatu isu. Perkara ini memperlihatkan betapa halusnya corak penyampaian puisi tersebut kerana proses yang dilalui penuh dengan ketelitian. 3.2.2 Proses Luaran (Ekstrinsik) Proses kreatif yang dilalui dalam proses luaran melibatkan perkara-perkara yang berlaku di luar dan di sekeliling pengarang. Peranan proses kreatif secara luaran ialah peranan yang melibatkan sesuatu yang tersurat dan dapat dilihat jelas dengan mata kasar. Apabila pengarang melalui proses kreatif, hal ini secara tidak langsung dapat meningkatkan penguasaan kemahiran menulis seseorang.


3. Kreativiti 39 Proses luaran yang dilalui melibatkan pertimbangan yang dilakukan dalam pelbagai aspek termasuk penggunaan aspek bahasa. Penggunaan perkataan yang menarik dan bersesuaian membantu memperlihatkan proses kreatif yang matang dan mengikut kaedah serta gaya penulisan yang sebenar. Oleh sebab pengarang juga merupakan manusia biasa yang memiliki perasaan seperti orang lain, maka mereka mencuba menyampaikan hasil karya dengan menggunakan perkataan yang paling bijak dan mempunyai daya tarikan. Pengarang dan bahasa merupakan dua perkara yang berkait rapat. Kedua-dua perkara ini memainkan peranan penting dalam penghasilan karya yang bermutu. Menurut Ahmad Kamal Abdullah (1990: 2), pada dasarnya manusia yang menjadi pengarang ialah manusia yang kaya dengan perasaan dan perkataan. Istilah kaya dengan perasaan tentu sahaja dihubungkan dengan emosi seseorang. Apabila pengarang-pengarang melalui tahap penelitian, penilaian, dan pengukuran yang tinggi, maka mereka akan mencuba menonjolkan kelainan terhadap persembahan bahan penulisan kreatif mereka. Mereka akan mencari dan meneliti simbol-simbol yang bersesuaian untuk disepadukan dengan perkataan-perkataan yang terdapat dalam karya mereka. Simbol-simbol tersebut timbul dalam dua keadaan sama ada simbol daripada perkataan itu sendiri yang digunakan untuk melambangkan sesuatu atau simbol yang sengaja diadakan berdasarkan peribadi. Menurut Dharmawijaya (1987), simbol-simbol tersebut terbahagi kepada dua bahagian. Simbol yang pertama ialah simbol yang konvensional. Dengan perkataan lain, simbol yang konvensional merupakan simbol yang sudah biasa digunakan dan dapat dikenal pasti dengan mudah oleh masyarakat. Simbol yang kedua pula ialah simbol yang dibentuk atau dicipta berdasarkan perasaan serta pengalaman pengarang sendiri. Penelitian yang diberi dalam pemilihan simbol ini dapat menjelaskan kepada pembaca tentang mesej yang bakal dikemukakan. Sesuatu tafsiran menunjukkan bahawa proses kreatif yang dilalui oleh seseorang penulis kreatif dapat menggambarkan kesatuan pemikiran yang diucapkan kepada pembaca. Proses kreatif berperanan besar untuk memperlihatkan mutu dan kualiti sesuatu bahan penulisan. Tanpa proses kreatif, agak sukar bagi seseorang individu untuk melahirkan idea yang bermutu dan diiktiraf oleh penggemar sastera tanah air.


40 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak Proses kreatif berperanan melahirkan pengarang yang berwibawa dan berkeyakinan untuk menyuarakan sesuatu isu dalam masyarakat kerana perkara yang terpancar dalam penulisan sastera kreatif merupakan gambaran batin pengarang. Proses kreatif juga menyebabkan pengarang mampu mencipta karya yang bercirikan sesuatu pembaharuan. Setelah melalui proses kreatif yang tersusun, penguasaan bahasa Melayu secara tidak langsung dapat dipertingkatkan. Selain itu, martabat penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan penulis dan penggunaan bahasa Melayu di Malaysia turut meningkat. Penggunaan bahasa Melayu standard dan halus juga menunjukkan bahawa penulis sangat prihatin dan mengambil berat tentang penggunaan bahasa Melayu sebagai medan komunikasi mereka dengan pembaca. Penggunaan bahasa yang sesuai dan mudah difahami memainkan peranan penting untuk memudahkan proses komunikasi menerusi bahan pembacaan. Proses kreatif ini juga membolehkan karya dihasilkan dalam pelbagai variasi. Karya yang dihasilkan juga bukan karya yang mimesis daripada karya-karya terdahulu. Karya dapat dihasilkan dalam pelbagai variasi kerana pengarang telah melakukan penilaian dan menguji idea mereka sejak daripada proses memilih bahan lagi. Perbuatan ini menunjukkan bahawa pengarang telah melalui proses verifikasi. Apabila pengarang melalui proses ini, variasi yang ditonjolkan menjadikan pengarang lebih puas dan lebih yakin dengan perkara yang dipersembahkan kepada pembaca. Pembaca juga sudah tentu akan menyaksikan kelainan seterusnya merangsang minat mereka untuk terus menikmati karya tersebut. Setelah melalui tahap-tahap pemikiran dalam proses kreatif, pengarang dapat meneliti, menilai, dan membandingkan karya yang sedia ada dengan karya yang bakal dihasilkan. Keadaan ini memberikan ukuran kepada mereka untuk mencorakkan karya yang berbeza dengan karya yang sedia ada. Pengarang juga mungkin akan mencari teknik tersendiri untuk menyiapkan bahan karya mereka. Sekiranya pengarang menggunakan teknik yang lain daripada yang lain, hal ini memperlihatkan bahawa pengarang tersebut mempunyai bakat dan kebolehan untuk mengarang. Maka, jelaslah bahawa proses kreatif ini dapat melahirkan karya yang terkini dan berlainan dengan karya yang sedia ada. Kewujudan karya yang berlainan akan memberikan penilaian yang baik


3. Kreativiti 41 kepada pembaca kerana sifat semula jadi manusia yang suka akan sesuatu yang berlainan dan menyentuh emosi mereka. Kesimpulannya, proses kreatif yang dilalui oleh pengarang berperanan untuk mempersembahkan mutu penulisan yang baik dan berkualiti. Perkara ini juga menggambarkan seorang pengarang yang bertanggungjawab dalam menyampaikan dan menyempurnakan idea kerana mereka bukan sekadar menulis secara sesuka hati. Proses kreatif yang baik menyebabkan pengarang mudah melahirkan idea yang bermutu dan diiktiraf oleh penggemar sastera tanah air dan peminat tegar bagi semua jenis penulisan sastera atau genre sastera. Proses kreatif juga menunjukkan berlakunya tingkat-tingkat susunan idea yang dibicarakan oleh seseorang pengarang dalam karya mereka. Gagasan yang timbul memerlukan mereka merenung, menilai, menentukan, dan membuat keputusan sebelum menghasilkan sesebuah karya yang baik dan menarik. Gagasan itu juga menjadikan mereka lebih berkeyakinan dan berdaya cipta untuk menghasilkan karya masing-masing. Hal ini memudahkan mereka melalui langkah-langkah dalam proses kreatif. Langkah dan proses yang dilalui oleh kebanyakan pengarang adalah hampir sama. Namun, perkara yang berbeza ialah tempoh dan jarak waktu yang dilalui. Proses ini sering kali menimbulkan ketegangan kepada pengarang akibat kesukaran yang dihadapi dalam usaha menyiapkan karya mereka. Walau bagaimanapun, setiap pengarang yang ingin menghasilkan karya yang berkualiti dan bermutu tinggi perlu membuat perancangan tersendiri dan gigih menghadapi rintangan-rintangan semasa yang menguji ketahanan mental mereka.


Penghasilan Puisi Tradisional Puisi tradisional merujuk kepada perkataan atau ayat yang disusun dalam bentuk karangan berangkap. Puisi tradisional juga berbentuk pengucapan atau ujaran dalam susunan yang istimewa berbanding dengan pengucapan biasa. Selain itu, puisi tradisional memiliki keupayaan bahasa yang mementingkan kekuatan daya intelektual dan logika di samping mengekalkan imej estetika bahasa. Imej estetika amat penting untuk memperlihatkan keindahan semula jadi puisi tradisional agar keaslian puisi tradisional tidak terjejas. Bentuk lahiriah, pemikiran, dan fungsi puisi Melayu tradisional masih dikekalkan oleh masyarakat seperti kedudukan asal penciptaannya demi memastikan keasliannya terpelihara. Masyarakat Melayu sudah sebati dan sinonim dengan bentuk dan ciri-ciri puisi tradisional. Oleh itu, keaslian puisi tradisional perlu dipelihara supaya adat dan budaya seni masyarakat Melayu dalam bidang puisi tradisional ini tidak tercemar. Puisi tradisional yang masih mendapat tempat istimewa dalam kalangan ahli masyarakat, khususnya di Malaysia ialah pantun, syair, gurindam, dan nazam. 4.1 Penciptaan Karya Untuk mencipta puisi Melayu tradisional, ciri-ciri dan bentuk luaran bagi jenis puisi yang berkenaan perlu diketahui lebih dahulu. Hal ini demikian kerana puisi Melayu tradisional mempunyai bentuk yang tersendiri dan terikat. Bahasa yang digunakan dalam puisi Melayu sangat ekonomik dan mengandungi peraturan serta undang-undang tersendiri yang perlu dipatuhi. Peraturan dan undang-


4. Penghasilan Puisi Tradisional 43 undang ini bertujuan memastikan ciri-ciri puisi Melayu yang asal dipatuhi dan diikuti oleh pengkarya seterusnya memberikan keharmonian kepada pembaca karya-karya tersebut. 4.1.1 Pantun Pantun merupakan salah satu jenis puisi tradisional yang digunakan untuk menyampaikan hajat dan isi hati seseorang. Individu yang ingin mencipta pantun perlu mengikuti ciri-ciri pantun sedia ada di samping menyusun pantun mengikut rima tersendiri bergantung kepada jenis pantun yang ingin dicipta. Hal ini bermaksud bahawa individu yang mahu mencipta pantun perlu mengetahui struktur luaran dan perkara-perkara berkaitan pantun tersebut lebih dahulu. Antara perkara yang perlu diberi perhatian ketika ingin mencipta pantun adalah seperti yang berikut: (a) Susunan luaran pantun yang merangkumi jumlah suku kata, perkataan, baris, skema rima di akhir baris, dan keseimbangan rima di bahagian tengah pantun. (b) Susunan dalaman pantun seperti perkaitan antara pembayang dan maksud pantun. (c) Memilih unsur-unsur alam sebagai pembayang dengan memberikan penekanan terhadap aspek logika dan memberikan pemerhatian terhadap subjek yang berada di persekitaran. (d) Memilih perkataan yang memiliki keharmonian dan keindahan. (e) Memastikan wujud pemikiran dan mesej sama ada dalam pembayang maksud atau maksud yang biasanya mengandungi unsur tersirat. Perhatikan kesempurnaan yang terdapat dalam pantun yang menjadi warisan kebanggaan masyarakat Melayu. Contoh pantun yang biasa digunakan dalam masyarakat Melayu tradisional adalah seperti yang berikut: Pisang emas dibawa belayar, Masak sebiji di atas peti; Hutang emas boleh dibayar, Hutang budi dibawa mati.


44 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak Dua rangkap permulaan dalam pantun tersebut menceritakan pisang emas yang dibawa belayar. Situasi ini bermaksud bahawa terdapat segolongan masyarakat Melayu pada satu ketika dahulu yang menceburi bidang perdagangan melalui jalan laut. Banyak orang mengetahui bahawa pisang emas mempunyai sejenis bahan yang boleh menghilangkan loya atau mabuk laut. Oleh hal yang demikian, pisang emas perlu sentiasa dibawa dalam pelayaran sebagai penawar mabuk laut. Walau bagaimanapun, terdapat persoalan, iaitu “Mengapakah pisang emas tersebut masak sebiji sahaja dan mengapakah pisang emas itu berada di atas peti?” Berdasarkan ketajaman pemerhatian masyarakat Melayu pada zaman dahulu, pisang emas akan masak sebiji demi sebiji dan bukannya masak sekali gus. Di samping itu, peti yang dimaksudkan bukan peti dalam erti kata yang sebenar-benarnya, sebaliknya merupakan bekas berisi pakaian berbentuk peti yang digunakan oleh orang-orang Melayu pada zaman dahulu. Bilangan suku kata, perkataan di dalam setiap baris serta keseimbangan rima tengah dan rima akhir perlu diberi perhatian. Semua perkara ini mempunyai sukatan tertentu yang perlu disusun kemas. Maksud sesuatu pantun juga menggambarkan pemikiran masyarakat Melayu yang sangat mementingkan ketinggian dan kemuliaan budi melebihi nilai kekayaan. Hal ini demikian kerana kemuliaan budi akan dikenang sehingga akhir hayat seseorang. Selain itu, aspek logika dalam pantun juga mesti diberikan perhatian khusus. Seseorang tidak boleh mencipta pantun yang boleh dipersoalkan kelogikannya. Sebagai contoh, tidak masuk akal sekiranya seseorang menulis pembayang pantun seperti yang berikut: Dari Temerloh pergi ke Sabah, Naik basikal beroda tiga; Kebiasaannya, seseorang yang mahu mencipta pantun mestilah menulis dua rangkap maksudnya lebih dahulu. Kemudian, barulah dua rangkap pembayang maksud (jika pantun empat kerat) ditulis. Lazimnya, menulis maksud lebih dahulu akan memudahkan seseorang untuk mencari pembayang pantun yang bersesuaian. Penggunaan perkataan-perkataan pinjaman dalam bahasa Inggeris, khususnya perkataan yang boleh merosakkan keindahan bahasa pantun perlu dielakkan. Di samping itu, rima akhir yang berakhir dengan rima a, a, a, a masih boleh diterima tetapi termasuk dalam kategori hasil ciptaan yang lemah.


4. Penghasilan Puisi Tradisional 45 Oleh itu, individu yang ingin mencipta pantun digalakkan untuk mencipta pantun yang berakhir dengan rima a, b, a, b. 4.1.2 Syair Syair juga merupakan sebahagian daripada puisi tradisional yang menjadi pilihan masyarakat. Penciptaan syair mesti melibatkan perkara-perkara yang berikut: (a) Struktur luaran syair melibatkan jumlah perkataan dalam baris dan rima akhir syair berakhir dengan rima yang sama (a, a, a, a). (b) Merangka penceritaan yang akan diceritakan dalam rangkap-rangkap syair. Hal ini demikian kerana setiap rangkap syair tidak dapat berdiri dengan sendiri, sebaliknya saling berkaitan antara satu rangkap dengan rangkap yang lain. (c) Memastikan perkataan-perkataan yang ditulis mengandungi nasihat dan pengajaran yang bersesuaian dengan fungsi syair, iaitu menghibur di samping memberikan nasihat kepada pembaca atau pendengar. (d) Syair tidak memiliki pembayang. Kesemua baris dalam rangkap merupakan maksud. Adakalanya maksud tersebut mudah difahami secara tersurat dan adakalanya maksud tersebut mempunyai maksud tersirat. Contoh syair adalah seperti yang berikut: Syair Pesanan Ibu Dengarlah anak ibu berpesan, lengkapkan diri dengan pelajaran, hanyalah itu jadi bekalan, untuk hidup di masa depan. Ilmu itu pelindung diri, seperti kebun berpagar duri, seperti sinar intan baiduri, itulah tanda orang jauhari. Hidupmu kini di masa remaja, bagaikan permata amat berharga, jangan jatuh ke lembah hina, nanti menyesal tidak berguna.


46 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak Kalau hidup terasa susah, senang berhadapan dengan masalah, hadapi dengan hati yang tabah, jangan cepat resah gelisah. Syaitan menggoda bertambah gundah, jangan mengambil jalan yang mudah, jangan sekali mencuba dadah, kalau terjerat sesal tak sudah. Jika masa sudah terbuang, perginya tidak akan berulang, di hati tua sesal mendatang, mengingatkan waktu yang telah hilang. Orang tua sudah berpesan, dunia bagai lautan dalam, oleh kerana kurang pedoman, ramailah insan yang telah karam. 4.1.3 Gurindam Gurindam merupakan salah satu bentuk puisi tradisional yang masih popular dalam kalangan masyarakat Melayu. Dalam penciptaan gurindam, aturan dan tatacara penulisan perlu dipatuhi dan diikuti untuk memastikan gurindam masih lagi dipelihara dari aspek bentuk dan ciri-cirinya. Untuk mencipta gurindam, terdapat beberapa aspek yang perlu diikuti, iaitu: (a) Struktur luaran gurindam terdiri daripada dua baris. Baris pertama merupakan isyarat dan baris yang kedua merupakan akibat. Contoh gurindam boleh dilihat daripada sebahagian gurindam yang ditulis oleh Raja Ali Haji (Gurindam Dua Belas), iaitu: Apabila terpelihara kuping, Khabar yang jahat tiadalah damping. (b) Gurindam perlu berakhir dengan rima yang sama (a, a). (c) Keseluruhan isi gurindam merupakan nasihat kepada audiens yang disasarkan sama ada golongan murid, remaja, anak-anak atau masyarakat keseluruhannya.


4. Penghasilan Puisi Tradisional 47 4.1.4 Nazam Walaupun nazam semakin tidak popular dalam masyarakat kini, namun keasliannya perlu dipelihara untuk memastikan bentuk nazam masih kekal dan tidak menyimpang daripada bentuk yang asal. Oleh itu, penciptaan nazam melibatkan aspek-aspek seperti yang berikut: (a) Nazam terdiri daripada dua rangkap. Kedua-duanya merupakan maksud. (b) Lazimnya, tiap-tiap baris nazam terdiri daripada lima atau enam perkataan menjadikan suku kata antara sepuluh hingga dua belas. Namun, ada juga baris-baris nazam yang terdiri lebih daripada enam perkataan dan mempunyai hingga 20 suku kata. (c) Puji-pujian terhadap Allah SWT ditulis di permulaan nazam. (d) Nazam juga mempunyai rima akhir yang sama. (e) Perbezaan nazam dengan gurindam ialah nazam tidak dapat berdiri sendiri. Hal ini demikian kerana setiap rangkap nazam memiliki kesinambungan cerita. (f) Nazam dicipta untuk memuji kebesaran Allah, mengingatkan manusia tentang syurga dan neraka, amal ibadat, dan hal-hal lain berkaitan agama. Contoh nazam adalah seperti yang berikut: Aku mula nazam ini dengan nama, Allah yang memberi fahaman agama, Puji itu bagi Allah yang mulia, Lahir kekal ia lagi yang ada. 4.2 Penyuntingan dan Pemurnian Karya 4.2.1 Pantun Penyuntingan dan pemurnian pantun yang dicipta mesti dilakukan dengan teliti. Antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah seperti yang berikut (penekanan diberi kepada pantun empat kerat): (a) Semak semula cara penulisan pantun Baris pertama dan baris ketiga dalam pantun mesti ditulis di bahagian tepi. Baris kedua dan baris keempat pula perlu ditulis ke dalam sedikit dalam


48 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak kiraan lima (jika menaip menggunakan komputer). Baris pertama diakhiri dengan koma, baris kedua diakhiri dengan koma bertindih, baris ketiga diakhiri dengan koma, dan baris keempat diakhiri dengan noktah. (b) Semak semula pemilihan perkataan dalam pembayang maksud dan maksud Semak pemilihan perkataan dalam pantun untuk memastikan perkataan tersebut bersesuaian dan membentuk rima yang betul. Jika masih ada kejanggalan dari segi rima dan logika, susun semula perkataan-perkataan tersebut. Lakukan semakan beberapa kali. (c) Pengeditan ejaan Rujuk kamus jika ragu-ragu tentang ejaan terkini. Hal ini demikian kerana sistem ejaan bahasa Melayu sentiasa berubah dari semasa ke semasa. 4.2.2 Syair Cara untuk menyunting dan memurnikan syair adalah seperti yang berikut: (a) Memastikan perkataan yang digunakan sesuai dan menepati maksud syair tersebut di samping memastikan rima di hujung setiap baris syair adalah sama. (b) Menyemak ejaan dan tatabahasa dengan merujuk kamus. (c) Menyemak bilangan suku kata dan perkataan dengan cara melagukan syair untuk mendapatkan imbangan nada yang selari dengan jumlah perkataan atau suku kata. (d) Menyemak dan menggantikan perkataan pinjaman yang boleh merosakkan keindahan dan nilai estetika bahasa syair. 4.2.3 Gurindam Beberapa aspek perlu diberikan perhatian dalam penyuntingan gurindam, iaitu: (a) Semak pemilihan perkataan yang bersesuaian dan mempunyai rima akhir yang sama. (b) Menyemak ejaan terkini dengan merujuk kamus. (c) Memastikan baris pertama gurindam merupakan syarat dan baris kedua gurindam merupakan akibat.


4. Penghasilan Puisi Tradisional 49 (d) Menggantikan perkataan pinjaman, khususnya perkataan bahasa Inggeris kepada perkataan bahasa Melayu yang lebih indah dan sesuai. 4.2.4 Nazam Penyuntingan dan pemurnian nazam yang perlu diberi perhatian adalah seperti yang berikut: (a) Menyemak sama ada permulaan nazam mengandungi puji-pujian terhadap Pencipta atau sebaliknya. (b) Menyunting perkataan-perkataan yang kurang sesuai dan menggantikannya dengan perkataan yang lebih sesuai dan mempunyai unsur estetika. (c) Menyemak ejaan dengan merujuk kamus. (d) Menyemak kesinambungan kisah antara rangkap. (e) Menyemak keseimbangan suku kata dan perkataan dengan cara melagukan nazam.


Penghasilan Puisi Moden Sajak merupakan puisi moden yang dicipta hasil daripada himpunan kata yang sangat ekonomik; memiliki campuran tafsiran dan perasaan terhadap sesuatu subjek melalui hasil pengamatan, penyaringan, dan pemberian makna; serta menggambarkan perlakuan manusia dan alam sekeliling dalam bentuk kreatif serta imaginatif. Penyair menggunakan perkataan yang disaring dengan teliti daripada puluhan kata asas bagi menzahirkan makna yang tersirat. Seorang penyair yang memiliki kekayaan diksi lebih mudah untuk membina sebuah sajak yang bermutu. Seseorang tidak boleh menyatakan bahawa penciptaan sajak merupakan sesuatu yang mudah. Kadangkala, terdapat individu yang menganggap bahawa segala tulisan berangkap merupakan sajak. Namun, tidak semua penulisan berangkap boleh dianggap sebagai sajak kerana penulisan sesebuah sajak bukanlah sesuatu yang mudah. Penulisan puisi kanakkanak berbeza sedikit daripada penulisan puisi dewasa. Apakah perbezaan penciptaan puisi tersebut? Apakah pula perkara-perkara asas yang mendasari penciptaannya? 5.1 Penciptaan Karya Penciptaan karya seperti sajak memerlukan kreativiti dan pemikiran yang luar biasa kerana penciptaannya memerlukan penggunaan perkataan yang luas. Setiap perkataan yang digunakan dalam sajak membawa maksud dan interpretasi yang berbeza kepada orang yang membaca dan menghayati sajak tersebut. Oleh itu, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian khusus


Click to View FlipBook Version