The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Bahan bacaan BMMB3103 Penulisan Kreatif Sastera Kanak-kanak

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by BADRUL HISHAM BIN GHAZALI IPG-Pensyarah, 2024-01-06 01:57:07

PENULISAN KREATIF SASTERA KANAK-KANAK

Bahan bacaan BMMB3103 Penulisan Kreatif Sastera Kanak-kanak

5. Penghasilan Puisi Moden 51 untuk mencipta sebuah sajak. Perkara yang boleh dijadikan panduan untuk menghasilkan sajak yang baik dan bermutu adalah seperti yang berikut: 5.1.1 Ilham/Idea Individu yang mahu menulis sajak sudah pasti memerlukan ilham, gagasan, isu atau idea supaya dapat menghasilkan sebuah sajak yang bermakna. Ilham atau idea tidak diperoleh secara tiba-tiba. Sebahagian ilham atau idea diperoleh secara spontan tetapi ada juga ilham atau idea yang memerlukan masa panjang untuk disusun dan dijadikan bahan dalam penulisan sajak. Oleh itu, komitmen yang tinggi dan perhatian yang sewajarnya perlu diberi untuk menghasilkan sajak yang mampu membawa mesej berguna kepada masyarakat. Bagaimanakah cara untuk memperoleh ilham atau idea ini? Adakah individu itu perlu pergi ke pantai atau ke dalam hutan untuk menghasilkan sebuah sajak yang indah? Perlukah individu itu menyendiri dan melarikan diri daripada realiti di sekeliling untuk menulis sajak? Perlukah individu itu menolak segala yang ada di sekelilingnya untuk mencari ilham dalam pembinaan sajak? Perkara-perkara ini memberikan gambaran yang tidak betul untuk individu itu memulakan penulisan sajak. Alam dan pemandangan yang damai mampu mendorong seseorang untuk mencipta sajak, malah alam merupakan sumber penghasilan karya yang hebat. Alam juga menjadi sumber inspirasi kepada pengarang, namun alam tidak semestinya menjadi perkara utama yang perlu difikirkan semasa mencipta sajak. Sebenarnya, individu itu boleh mendapat ilham atau idea daripada perkara dan isu yang berada di sekelilingnya. Antara ilham atau idea yang boleh tercetus berdasarkan isu dan perkara di sekeliling manusia adalah seperti yang berikut: (a) Berita pembuangan bayi Berita tentang pembuangan bayi, contohnya pembuangan bayi di tempat pembuangan sampah yang dibaca dalam akhbar merupakan salah satu isu yang dapat memberikan ilham atau idea kepada seseorang untuk menulis sajak. Berita pahit sedemikian mungkin sudah biasa bagi kebanyakan orang disebabkan kebejatan sosial yang semakin berleluasa dewasa ini. Walau bagaimanapun, berita-berita seperti ini pasti memberikan bayangan masa


52 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak hadapan kepada penulis yang kaya dengan sifat humanis. Contoh sajak yang kaya dengan sifat humanis adalah seperti yang berikut: Anak Tanpa Rumah Dia tidak melihat pintu kerana rumah-rumah yang dilewati baginya hanya sebuah binaan yang penuh kebencian Dia terlalu banyak menoleh sehingga kaki kerap tersandung akar menjalar yang timbul di muka tanah tatkala tersungkur dia tidak memarahi kelalaian tetapi menuding jauh Tidak mengapa sebab masa dan deret peristiwa akan memaknakan hidup menjadikannya manusia yang lebih faham pencak silat dalam gelanggang Anak tanpa rumah masih ada yang menyintaimu Dia yang sentiasa dekat akan menukarkan kebencian lalu saat itulah akan kau ketemu pintu rumah-rumah yang sentiasa ternganga buatmu. (Ratna Laila Shahidin, Kumpulan Puisi Benarlah Katamu, halaman 11)


5. Penghasilan Puisi Moden 53 Gambar 5.1: Keratan akhbar tentang kes pembuangan bayi (b) Siaran televisyen Contohnya, siaran televisyen tentang serangan bertalu-talu puak Zionis terhadap negara Palestin, khususnya pada saat umat Islam sedang melaksanakan ibadah puasa dalam bulan Ramadan dapat dijadikan sebagai idea dalam penciptaan sajak. Perasaan empati terhadap penderitaan rakyat Palestin yang beragama Islam dan Kristian serta kemarahan terhadap kezaliman rejim Israel dapat dijadikan cetusan ilham bagi menghasilkan sebuah puisi kemanusiaan. Gambar 5.2: Bukti kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin


54 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak Tangisan Langit Gaza Di sini kita sibuk mengganti lapar dahaga seharian dengan hidangan melimpahi meja dan di sana saudara-saudara kita sedang mengunyah derita yang terhidang di hujung senjata Ramadan ini kembali mereka mengulangi pesta bedilan dan muntahan peluru yang meluru dan rakus mengoyak ribuan tubuh dan hati Yang gah bicara soal keadilan yang berapi-api menuntut hak kemanusiaan di manakah kalian memalingkan muka? Telah begitu lama dunia membutakan mata dan memekakkan telinga akan tangisan yang bersipongan di langitnya dan di bawah langit Gaza adalah para pejuang yang hanya mimpikan syurga Solidariti untuk saudara-saudara kita yang imannya gagah perkasa (Ratna Laila Shahidin, Kumpulan Puisi Benarlah Katamu, halaman 10) (c) Alam sekeliling Antara idea yang boleh diambil daripada alam sekeliling adalah seperti keadaan pokok-pokok yang hanya tinggal dahan dan ranting, khususnya ketika musim kemarau. Pokok yang hanya tinggal ranting tanpa daun itu memberikan gambaran kepada manusia bahawa mereka pasti melalui kitaran kehidupan seperti pohon itu juga. Selain pohon-pohon, manusia


5. Penghasilan Puisi Moden 55 juga menyatakan harapan-harapan mereka melalui usaha dan doa. Falsafah di sebalik pemandangan tersebut dapat disalurkan ke dalam bait-bait sajak seperti yang berikut: Doa Pohon Musim kering ini pohon pun menangis akarnya sudah kehabisan bekal dan upaya menyalur air Maka pohon pun berdoa “wahai Tuhan yang mendengar rayuan pujuklah hujan yang tidur berlingkar di awan putih turunkanlah air dari langit dan berikan kami angin yang bisa mendinginkan amarah matahari” Tuhan mendengar doa pohon yang merindui hujan dan angin. (Ratna Laila Shahidin, Kumpulan Puisi Benarlah Katamu, halaman 43) Gambar 5.3: Pohon-pohon yang kering akibat musim kemarau menggambarkan bahawa manusia akan mengalami situasi yang sama suatu ketika nanti


56 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak (d) Fenomena alam Fenomena alam seperti hujan lebat turut memberikan ilham atau idea kepada seseorang untuk menulis sebuah sajak. Air hujan yang menerjuni atap rumah menjadikan seseorang terpenjara di dalam rumah sendiri. Demikianlah juga realiti kehidupan manusia yang akan diakui kebenarannya apabila waktunya tiba. Benarlah Katamu (Dedikasi Buat Bonda Absah Shary) Terperangkap di jaring hujan dan ribut kehidupan aku terkenangkan katamu puluhan tahun dahulu “Setelah menjadi ibu kau akan tahu putih kasih mak sonder syarat dan sebab” Benarlah katamu kerana telah berkali-kali dulunya dalam gunungan sabar kau diam menampal hati yang ditusuk tajam tingkah dan kata sepanjang jalan kami menuju belantara dewasa Setelah menjadi ibu mengertilah aku akan benarnya katamu di mata ibu seperti terbentang layar dengan wajah anak


5. Penghasilan Puisi Moden 57 yang saling bergantian beraksi di kamar ingat dan marah seorang ibu hanya berakhir di mulut tidak pernah bertamu ke lantai kalbu Terperangkap di jaring hujan ingin sekali kurangkul rindu dan kukaut segumpal pesanan dihangat putih kasihmu (Ratna Laila Shahidin, Kumpulan Puisi Benarlah Katamu, halaman 20) Gambar 5.4: Hujan lebat menggambarkan manusia yang terperangkap dalam kehidupan (e) Tabiat manusia Manusia tidak pernah terlepas daripada terlupa tentang sesuatu perkara. Contohnya, seseorang terlupa akan tempat kunci keretanya diletakkan. Apakah maksud di sebalik keadaan itu? Mungkin individu yang ingin mencipta sajak boleh berimaginasi memasuki sebuah “Negeri Lupa”.


58 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak Memasuki Negeri Lupa Memasuki negeri lupa aku penat mencari ingat di lengkung langit dan rata tanahnya Memasuki negeri lupa dan menjadi warganya adalah petanda usia yang semakin memanjat tangga Banyak yang memberi tanda seperti memutih hitam rambut berulangan disapa perit sakit hati menjadi rapuh mudah patah dan jatuh pantang tersentuh Kita tidak mampu mengelak untuk memasuki negeri lupa maka basahkanlah lidah dengan zikrullah supaya perjalanan yang berbaki terus kekal di jalan Ilahi. (Ratna Laila Shahidin, Kumpulan Puisi Benarlah Katamu, halaman 2) Gambar 5.5: Lupa tentang keberadaan kunci kereta menggambarkan individu yang semakin meningkat usia


5. Penghasilan Puisi Moden 59 (f) Keadaan sesuatu benda Sebuah kerusi usang di dalam sebuah bangunan yang telah ditinggalkan orang dapat menimbulkan ilham atau idea. Kerusi yang kosong dan usang itu melambangkan kesunyian dan kesuraman hidup manusia. Jika Nanti Tiba Waktunya Melihat seorang demi seorang meninggalkan rumah bernama kehidupan aku kembali merenung bekalan terlalu banyak ruang di bagasi yang masih belum diisi Sebenarnya tiadalah yang lebih mengejutkan daripada kematian meskipun kematian itu adalah kebiasaan dan lawannya kehidupan setelah itu kita kembali terlupa sehingga dikejutkan lagi oleh sederetan kebiasaan sementara kita menanti giliran menuju ke akhir jalan Tuhan jika nanti tiba waktunya berikanlah aku tanda... (Ratna Laila Shahidin, Kumpulan Puisi Benarlah Katamu, halaman 54)


60 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak Gambar 5.6: Kerusi malas yang usang dan tidak lagi digunakan menggambarkan kehidupan manusia yang kesepian 5.1.2 Imaginasi dan Sensitiviti Individu yang ingin mencipta sajak perlu berimaginasi dan meningkatkan sensitiviti. Sesuatu subjek tidak boleh dilihat dalam bentuk tersurat sahaja. Makna tersirat di sebalik subjek yang dilihat perlu dicari. Contohnya, seseorang itu terlupa akan tempat dia meletakkan kunci kereta. Oleh itu, individu yang ingin mencipta sajak boleh berimaginasi dan mengaitkan tabiat tersebut dengan peningkatan usia. Selain itu, individu yang ingin menghasilkan sajak mungkin boleh berimaginasi berkaitan “memasuki negeri lupa” juga. Semua orang akan memasuki fasa tersebut tetapi situasi itu bukan bermakna bahawa setiap individu mesti berasa takut untuk menghadapinya. Cara untuk mengubati fenomena tersebut adalah dengan mengingati Pencipta dalam apa-apa jua keadaan. Hal itulah yang dinamakan imaginasi. Apakah perbezaan antara imaginasi dengan fantasi? Imaginasi berdasarkan realiti kehidupan yang berlaku, manakala fantasi merupakan sesuatu yang tidak wujud di alam nyata, mimpi atau bayangan yang bukan realiti. 5.1.3 Pemilihan Diksi Aspek paling penting dalam penciptaan sajak ialah pemilihan diksi yang puitis, indah, tepat, dan segar. Pemilihan diksi yang betul akan menerbitkan impak yang bermakna. Pemilihan diksi diperoleh melalui kekayaan perbendaharaan kata atau disifatkan sebagai penaklukan bahasa. Hal ini bermaksud bahawa individu yang ingin mencipta sajak harus banyak membaca dan mencatatkan perkataan-perkataan dalam sebuah buku nota atau mencatat dan menyimpan


5. Penghasilan Puisi Moden 61 perkataan-perkataan tersebut menggunakan kemudahan moden seperti telefon pintar. Individu yang ingin menulis sajak yang terbaik dan bermutu mesti rajin membaca. Di samping itu, diksi boleh juga dicari melalui kamus. Seseorang individu perlu mengelakkan penggunaan bahasa prosaik, iaitu bahasa yang bersifat prosa, bombastik, dan tidak ekonomik ketika menghasilkan sebuah sajak. Catatan-catatan yang telah dibuat oleh seseorang individu mungkin berguna ketika individu tersebut ingin menulis sajak. 5.2 Penyuntingan dan Pemurnian Karya Terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan untuk menyunting dan memurnikan penghasilan puisi moden ini, iaitu: (a) Semak sajak secara berulang kali semasa proses pemeraman. Proses pemeraman bermaksud jangka masa yang ada dalam proses menghasilkan sajak. Buang perkataan-perkataan yang boleh merosakkan keindahan sajak. Sajak merupakan “kata-kata terbaik dalam susunan terbaik”. Oleh hal yang demikian, sajak yang dihasilkan perlu disemak berulang kali kerana sajak merupakan bentuk karangan yang memiliki pilihan perkataan yang disusun dengan sempurna. (b) Ejaan perkataan yang digunakan dalam sajak perlu disemak dengan merujuk kamus. Hal ini demikian kerana penghayatan pembaca mungkin terganggu ekoran ejaan yang salah dan tidak mengikut sistem ejaan terkini. (c) Baca sajak berkali-kali supaya maknanya betul-betul sampai ke dalam minda pembaca. Selain itu, individu yang mencipta sajak boleh meminta pandangan rakannya bagi memastikan sama ada pembaca dapat memahami maksud tersirat yang terdapat dalam sajak yang dicipta atau sebaliknya. (d) Setiap baris sajak perlu bersih daripada sebarang kesilapan ejaan dan tatabahasa. (e) Unsur-unsur asas seperti personifikasi, metafora, simile, anafora, epifora, inversi, dan sebagainya perlu dimasukkan ke dalam sajak supaya sajak tersebut kelihatan menarik untuk dibaca.


Penghasilan Lirik Lagu Guru-guru perlu mengetahui cara yang mudah untuk menghasilkan lirik lagu. Kanak-kanak lebih cepat mempelajari sesuatu yang diajar jika guru menghasilkan bahan pengajaran yang menggunakan lagu atau irama. Untuk memastikan murid memahami sesuatu bahan pengajaran, lirik lagu yang ditulis mesti menggunakan perkataan yang mudah dan berulang-ulang. Elakkan penggunaan perkataan yang berimbuhan atau sukar. 6.1 Penulisan Lirik Lagu Bagaimanakah cara untuk menghasilkan lirik lagu untuk nyanyian kanakkanak? Pemerhatian boleh dibuat berkaitan perkara-perkara biasa yang berlaku dalam kehidupan seharian. 6.1.1 Lagu Rakyat Lagu rakyat merupakan warisan zaman-berzaman yang diturunkan daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Seseorang guru perlu mengenal pasti lagu yang disukai oleh kanak-kanak. Kebiasaannya, kanak-kanak meminati lagu yang mempunyai melodi yang mudah diingati seperti lagu “Kenekkeneklah Udang”. Guru boleh menggunakan melodi lagu tersebut tetapi perlu menukarkan seni kata kepada perkataan yang lebih mudah untuk diingati. Contohnya:


6. Penghasilan Lirik Lagu 63 Comel-comellah sayang, Mari baca buku...oh, Jika letihlah sayang, Ibu upah susu...oh. Berdasarkan lagu rakyat “Tepuk Amai-amai”, guru mungkin boleh mencipta lirik lain yang bersesuaian dengan melodi lagu tersebut. Lirik lagu “Tepuk Amai-amai” adalah seperti yang berikut: Tepuk Amai-amai Tepuk amai-amai, Belalang kupu-kupu, Tepuk ramai-ramai, Emak upah susu. Susu lemak manis, Santan kelapa muda, Adik jangan menangis, Emak buat kerja. 6.1.2 Lagu Kanak-kanak Lagu kanak-kanak memiliki melodi dan diksi yang mudah. Lirik lagu kanakkanak perlu mengandungi nasihat dan pengajaran yang dapat diteladani oleh kanak-kanak. Rangkap-rangkap yang mudah bukan sahaja dapat menghiburkan kanak-kanak, malah lagu-lagu ini dapat mendidik kanak-kanak untuk melakukan sesuatu yang diminta oleh guru atau ibu bapa. Bagi menarik minat murid untuk belajar, guru boleh menggunakan lagu kanak-kanak dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Guru perlu mencari melodi lagu kanak-kanak yang sesuai lebih dahulu, kemudian barulah mencipta lirik yang bersesuaian dengan melodi dilakukan. Contohnya lagu “Saya Ada Kucing”.


64 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak Saya Ada Kucing Saya ada kucing, Ekornya panjang, Bila saya panggil, Dia pun datang, Sangatlah comel, Saya pun sayang. Lirik lagu ini boleh diubah sedikit dengan menggantikan perkataan “kucing” kepada “adik”. Perkataan yang diganti ini secara tidak langsung boleh menyemai perasaan kasih sayang dalam kalangan adik-beradik. 6.1.3 Lagu Kontemporari Seiring dengan kemajuan teknologi, kanak-kanak biasa terdedah dengan lagu-lagu yang disiarkan melalui televisyen dan Internet serta lagu yang diperdengarkan di radio. Lagu-lagu ini mendapat tempat dalam hati kanakkanak kerana sering diulang sehingga mereka boleh menghafal lagu tersebut dengan mudah. Walau bagaimanapun, kebanyakan lirik lagu kontemporari tidak sesuai dengan perkembangan mental dan emosi kanak-kanak. Lirik-lirik yang memaparkan percintaan muda-mudi atau patah hati sudah pasti tidak bermanfaat seterusnya memberikan pengaruh negatif kepada kanak-kanak. Oleh sebab lagu-lagu ini menarik minat kanak-kanak, maka guru-guru boleh mengambil melodi lagu kontemporari tersebut seterusnya menggantikan lirik sedia ada dengan lirik yang lebih sesuai untuk kanak-kanak. Oleh sebab kanak-kanak sudah biasa menyanyikan lagu tersebut, maka mereka tetap dapat menyanyikan lagu tersebut dengan mudah walaupun liriknya telah ditukar. Antara lagu kontemporari yang menjadi kegemaran kanak-kanak dan remaja adalah seperti yang berikut: (a) Aku yang Dulu Bukanlah yang Sekarang Lagu ini dinyanyikan oleh Tegar yang merupakan penyanyi Indonesia. Komposer lagu ini ialah Iwan Jabrik dan Wawan Juniarso. Lirik lagu ini adalah seperti yang berikut:


6. Penghasilan Lirik Lagu 65 Aku yang Dulu Bukanlah yang Sekarang Aku yang dulu bukanlah yang sekarang Dulu ditendang sekarang kudisayang Dulu dulu dulu kumenderita Sekarang aku bahagia Cita-citaku menjadi orang kaya Dulu ku susah sekarang Alhamdulillah Bersyukurlah pada Yang Maha Kuasa Memberi jalan untukku semua Hidupku dulunya seorang pengamen Pulang malam selalu bawa wang recehan Mengejar cita-cita paling mulia Membantu keluarga di rumah Sekolah dulu ku gak punya biaya Terpaksa ku harus mencari nafkah Tetapi aku tak berputus asa Pasti yang Kuasa memberi jalannya Aku yang dulu bukanlah yang sekarang Dulu ditendang sekarang kudisayang Dulu dulu dulu kumenderita.. Sekarang aku bahagia Cita-citaku menjadi orang kaya Dulu ku susah sekarang Alhamdulillah Bersyukurlah pada Yang Maha Kuasa Memberi ohhh Memberi jalan untukku semua


66 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak (b) Hidup dalam Mati Lagu “Hidup dalam Mati” ini dinyanyikan oleh Syamel yang merupakan salah seorang peserta rancangan realiti, iaitu Akademi Fantasia pada tahun 2015. Beliau juga merupakan komposer bagi lagu ini. Lirik lagu ini boleh dilihat seperti yang berikut: Hidup dalam Mati Lakaran lukisan tak berwajah Meronta ku di dalam kesunyian Tak rela kumengejar cinta yang hampir kelam Sendiri ku di sini pilu Angin bawalah aku pergi Pergi dari kesakitan ini Tak mampu kumenahan peritnya perpisahan Tuhan hapuskan semua kenangan Tak kumenduga kau berlalu pergi Tinggalkan semua mimpi dan janji Terluka aku menangis Tersedar kau hilang di hati Jangan diucap sesalmu berkali Tiada erti hidup ini Kuterima suratan takdir Biarkan aku sendiri hidup dalam mati Hidup dalam mati (c) Sahabat Penyanyi bagi lagu “Sahabat” ialah Najwa Latif yang juga merupakan komposer lagu ini. Lirik lagu “Sahabat” adalah seperti yang berikut:


6. Penghasilan Lirik Lagu 67 Sahabat Kau ada di kala ku suka Di kala ku duka Setiap tangisan dan juga ketawa Kau ada di kala ku perlu Setia menemaniku Kau pegang erat tanganku Bila kujatuh Kaulah yang selalu Selalu menemaniku Mendengar kisah pahit manis hidupku Kaulah yang di situ Setia menungguku Kaulah yang satu menjadi sahabatku Kau ada di kala kujatuh Di setiap bangunku Terus menemaniku tanpa rasa jemu Kau ada di setiap tawa di kala bahagia kau menjadi sahabatku Selamanya Kaulah yang selalu Selalu menemaniku Mendengar kisah pahit manis hidupku Kaulah yang di situ setia menungguku Kaulah yang satu Menjadi sahabatku 6.2 Penyuntingan dan Pemurnian Lirik Lagu Proses penyuntingan dan pemurnian lirik lagu sama seperti proses yang dilakukan terhadap karya-karya kreatif lain. Namun, dalam penghasilan lirik


68 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak lagu, lirik yang dicipta akan dinyanyikan bersama-sama dengan melodi yang dipilih oleh guru bagi memastikan lirik tersebut selari dengan melodi. 6.2.1 Lagu Rakyat Setelah memilih lagu rakyat, guru akan menulis lirik yang baharu bagi menggantikan lirik sedia ada supaya lirik yang baharu tersebut bersesuaian dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Sebarang perkataan negatif atau perkara yang memberikan konotasi negatif kepada kanak-kanak perlu dielakkan oleh guru yang mencipta lirik. Perkataan-perkataan seperti jahat, kotor, benci, busuk, dan sebagainya perlu digantikan dengan perkataan yang membawa makna positif. Guru perlu sedaya upaya mencari perkataan lain agar minda kanak-kanak hanya mencerap perkara-perkara yang murni sahaja. Selain itu, lirik lagu yang dicipta perlu bersesuaian dengan lagu rakyat yang dipilih dari segi pembahagian suku kata dalam ayat. 6.2.2 Lagu Kanak-kanak Hal yang sama juga dilakukan terhadap lagu kanak-kanak. Guru boleh mencipta lagu sendiri dan menulis lirik berdasarkan lagu yang dihasilkan. Setelah selesai menulis, guru perlu memastikan tiada kesilapan ejaan dan tatabahasa. Selain itu, guru juga perlu memastikan bahawa mereka menggunakan perkataan yang mudah, iaitu kata-kata yang tiada imbuhan. Hal ini memudahkan kanakkanak untuk menghafal lirik lagu. Bagi memudahkan lagi kanak-kanak untuk menghafal, guru-guru perlu mengajarkan sebarang pergerakan berkaitan lirik lagu untuk diikuti oleh murid-murid semasa mereka menyanyikan lagu tersebut. 6.2.3 Lagu Kontemporari Pemurnian lagu kontemporari juga menitikberatkan pemilihan diksi yang bersesuaian dengan melodi. Penggunaan perkataan negatif serta perkataan yang mengandungi imbuhan atau diksi yang sukar perlu dielakkan. Lirik lagu tidak perlu ditulis dengan panjang berdasarkan kepanjangan masa lagu kontemporari. Ulangan rangkap yang sama memudahkan kanak-kanak menghafal dan melakukan pergerakan.


Penghasilan Prosa Moden Prosa moden terdiri daripada cerita pendek dan novel. Cerita pendek turut dikenal sebagai cerpen. Kebiasaannya, cerpen hanya mengandungi satu plot cerita dengan latar tempat dan masa yang terhad. Walaupun cerpen merupakan cerita rekaan tetapi cerita tersebut bukan khayalan semata-mata. Hal ini bermaksud bahawa cerpen tidak mengandungi seratus peratus fakta tetapi cerpen merupakan adunan antara fakta dengan imaginasi yang wujud dalam pemikiran penulis. Dalam penghasilan sesebuah cerpen, pengarang akan memasukkan dialog serta menggunakan gaya bahasa yang kreatif dan dapat menarik minat pembaca sehingga menyebabkan pembaca merasakan bahawa diri mereka merupakan sebahagian daripada watak dalam cerita tersebut. 7.1 Penulisan Karya Penulisan cerpen mesti berkisar tentang satu tema sahaja. Panjang sebuah cerpen kebiasaannya sekitar 1 700 hingga 2 000 patah perkataan. Walau bagaimanapun, jumlah perkataan untuk cerpen kanak-kanak tidak melebihi 1 000 patah perkataan. Selain itu, watak dalam cerpen juga adalah terhad. Adakalanya watak dalam cerpen hanya seorang dan adakalanya watak tersebut sebanyak tiga orang. Di samping itu, terdapat juga pengarang yang menggunakan watak bukan manusia tetapi diimaginasikan sebagai manusia.


70 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak 7.1.1 Cerpen Individu yang ingin menulis cerpen memerlukan idea, gagasan atau ilham. Bagaimanakah guru memperoleh ilham untuk menulis sebuah cerita yang mampu menjadi teladan? Ilham boleh didapati daripada keadaan persekitaran. Contohnya, guru melihat seorang muridnya berpakaian comot dan berwajah murung di dalam bilik darjah. Keadaan tersebut mungkin merupakan pemandangan biasa di dalam bilik darjah tetapi guru boleh mula berimaginasi tentang latar belakang murid berkenaan. Guru boleh mengandaikan bahawa murid tersebut merupakan anak yatim piatu dan hanya memiliki sepasang baju sekolah yang dipakainya setiap hari. Guru boleh juga menambah bumbu cerita dengan mengandaikan bahawa murid tersebut hidup dengan neneknya yang sudah uzur dan tidak berdaya. Neneknya sakit dan dia terpaksa menjaga makan dan minum neneknya pada usia yang sekecil itu. Seterusnya, guru boleh melarutkan imaginasi dengan hal-hal yang membangkitkan keinsafan kepada pembaca. Ilham atau idea mesti dicari. Penulis tidak boleh menjadi seperti pemancing yang memasang umpan dan melontarkannya ke dalam air tasik sambil menunggu ikan meragut umpan. Oleh itu, individu yang ingin menulis cerpen perlu berupaya mencari ilham atau idea dan tidak boleh hanya duduk dan menunggu idea itu hadir di hadapan muka. Di samping itu, ilham diperoleh melalui keratan akhbar, berita di televisyen, isi cerita rakan-rakan, perbualan di media sosial seperti Facebook, ketika menaiki komuter atau ketika melihat binatang-binatang di zoo. Contohnya, ketika berada di dalam gerabak, terdapat dua orang kanak-kanak yang berlarilarian dengan riang di dalam gerabak yang separuh kosong. Situasi ini mungkin menggambarkan bahawa ada sesuatu yang terjadi di sebalik kegembiraan kanakkanak tersebut yang sedikit mengganggu penumpang-penumpang lain. Gerabak Satu: Woooooooooooo...wooooooooooooo...wuuuuuuuuuuuu. Mereka berlarian di lorong tengah yang kosong. Seorang sekitar usia empat tahun dan seorang nampak sedikit tua daripada yang bertubuh kecil itu. Sesekali kedua-duanya bergumpalan di lantai. Sejak gerabak menelan mereka dari Stesen Tiroi, begitulah yang terjadi. (Ratna Laila Shahidin, Cerpen Gerabak Satu Tiga)


7. Penghasilan Prosa Moden 71 Ketika menulis cerpen, pandangan mata pengarang mesti tajam dan membuat catatan tentang segala perkara yang dilihat. Catatan-catatan ini sangat berguna untuk mengembalikan ingatan ketika pengarang mula menulis kelak. Saya menelan Nolvadex-D yang tidak sempat saya ambil sebentar tadi. Saya menghabiskan dua keping roti sementara menunggu tren tiba di Stesen Seremban tetapi tidak sempat mengambil ubat kerana tren sudah begitu dekat. Saya cuba untuk tidak menghiraukan kebisingan yang dicetuskan oleh budak berdua itu. Memandang-mandang ke dinding gerabak dan membaca tulisan di situ; Pembuat: CSR Zhuzhou Electric Locomotive Co. Ltd. Had laju maksimum: 140 km/j. Had laju operasi: 120 km/j. Kapasiti: 1118 duduk/berdiri. (Ratna Laila Shahidin, Cerpen Gerabak Satu Tiga) Contoh yang lain adalah seperti ketika negara mengalami musibah banjir dan kehilangan pesawat. Banyak cerita dan gambar yang terpapar di media yang boleh digarapkan menjadi sebuah cerpen yang menarik. Contohnya, banjir kuning yang melanda negeri-negeri Pantai Timur dan kehilangan pesawat dijadikan sebuah cerpen dengan tajuk “Kumulonimbus”. “Awan ini dipanggil awan menegak,” Rudin membaca info di halaman empat belas akhbar mingguan itu dengan kuat, “tinggi dan berwarna putih atau gelap...” “Perlahankan suara, Rudin. Adik kamu mahu tidur”, tegur ibunya. Maridah yang sudah hampir lena kembali merengek terkejut dengan suara abangnya yang kuat itu. Separuh berbisik, Rudin meneruskan bacaan, “namanya Kumulonimbus, sejenis awan paling besar dan berbahaya yang sering menjadi punca kemalangan udara disebabkan saiznya yang cukup besar dan keamatan hujan yang lebat boleh membawa pelbagai kebarangkalian berlaku termasuk ribut petir dan gegaran udara terhadap pesawat apabila melalui ruang udara sedemikian...” Nafasnya sedikit mencungap-cungap ketika dia menghabiskan bacaan yang panjang tanpa jeda itu. (Dewan Sastera, Oktober 2015)


72 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak Tema kasih sayang antara datuk dan cucu juga mampu menjentik perasaan pembaca. Semua orang mempunyai datuk dan pernah menjadi cucu. Adakalanya datuk tidak mempamerkan kasih sayang secara terang-terangan sehingga cucu merasakan bahawa dia tidak disayangi. Namun, peristiwa tragis yang menimpa datuk ketika mahu menggembirakan cucu pada sambutan hari lahir membenarkan ungkapan bahawa kasih sayang tidak semestinya dizahirkan melalui kata-kata. Contohnya seperti dalam petikan cerpen yang berikut: Pasti sahaja tokwan terjatuh semasa mencari bakul siput yang adik ambil. Pasti tokwan ingat bakul itu terjatuh dan tersangkut dalam jala yang dipasang di buluh ranjau. Pasti tiada sesiapa yang menolong semasa tokwan jatuh di buluh runcing yang terpacak di bawah air. Rupa-rupanya tokwan sayangkan adik. Tokwan mati kerana mencarikan hadiah istimewa untuk hari jadi adik. Adik duduk lama-lama di pusara tokwan. Adik membaca ayat-ayat suci untuk kesejahteraan tokwan yang baik hati. Esoknya, adik ambil bakul siput hitam. Adik berjalan ke arah kanan. Adik menuju ke sungai. Adik tuang bakul siput nyonyot yang berwarna hitam ke dalam sungai. Adik tidak mahu makan siput hitam lagi. Adik tidak mahu ke sungai lagi. Adik melihat kesan darah merah yang memanjang ke arah rumah opah. Apabila adik melihat semua itu, adik berazam diam-diam di hari lahirnya bahawa adik tidak akan menjamah siput hitam itu lagi. (Ratna Laila Shahidin, Adik Tak Mahu ke Sungai Lagi) 7.2 Penyuntingan dan Pemurnian Cerpen Cerpen yang ditulis akan melalui proses pemeraman. Dalam proses tersebut, guru boleh melakukan penyuntingan ejaan, ayat, dan tatabahasa. Penambahan dan pembuangan ayat-ayat yang tidak perlu boleh dilakukan untuk memantapkan cerita. Jika pembaca sasar bagi cerpen tersebut ialah kanak-kanak, pemilihan perkataan dan ayat perlu sesuai dengan tahap mereka. Elakkan tema yang terlalu berat. Plot juga perlu melalui aras biasa, iaitu permulaan, klimaks, dan penutup.


7. Penghasilan Prosa Moden 73 Pengarang perlu menulis dalam ruang lingkup kehidupan yang biasa dilalui oleh kanak-kanak. Pengarang boleh menulis cerita fantasi, namun isi cerita mesti tercapai oleh minda kanak-kanak. Perlu diingat bahawa imaginasi bermula daripada realiti atau pengalaman nyata. Fantasi pula lebih merupakan aktiviti psikologi untuk membayangkan sesuatu atau mengimpikan hal yang mustahil berlaku. Pengarang perlu mengelakkan diri daripada menulis hal-hal yang negatif seperti pembunuhan, perkauman, kebencian melampau atau peperangan. Jika terdapat hal-hal seperti ini, pengarang perlu memastikan isi kandungan cerpen itu diedit dan dimurnikan semula agar kanak-kanak tidak terpengaruh dengan cerita yang sedemikian. Cerita berkaitan binatang juga menarik minat murid. Jika cerpen itu berkisah tentang binatang, pengarang perlu memastikan bahawa cerpen tersebut disemak lebih dahulu supaya tidak memberikan perwatakan negatif yang keterlaluan terhadap spesies binatang tertentu. Perkara ini bertujuan supaya minda kanakkanak tidak dirosakkan dengan persepsi bahawa ada binatang yang jahat dan ada binatang yang baik. Bagi aspek pemilihan tajuk cerpen pula, adakalanya pengarang menulis isi cerpen dahulu dan kemudian barulah pengarang memberikan tajuk kepada cerpennya itu. Tajuk yang dipilih perlu mudah difahami oleh pembaca sasar, iaitu kanak-kanak. Pengarang tidak digalakkan memilih tajuk yang berat. Tajuk cerpen juga mesti menggambarkan sesuatu yang positif, contohnya “Sahabat Baik” atau “Monyet yang Berjasa”.


Penilaian Karya Penilaian karya bermaksud proses menilai dan mengukur penulisan seseorang. Penilaian ini dijalankan dalam dua bentuk, iaitu formal dan tidak formal. Tujuan asas penilaian karya dijalankan adalah untuk mengenal pasti karya yang berpotensi, mengetahui prestasi pencapaian karya yang dihasilkan, dan mengenal pasti hasil karya yang masih belum mencapai tahap penulisan yang memuaskan. Proses penilaian ini akan membantu meningkatkan hasil mutu karya bagi penulis yang berbakat dan ingin meneruskan pelibatan dalam bidang penulisan dengan lebih serius. Kebiasaannya, penilaian sastera dibuat berasaskan kajian struktur sesebuah karya terhadap tema, persoalan, watak dan perwatakan, gaya bahasa, plot, mesej atau pengajaran, latar, dan hal-hal dalaman karya itu sendiri. Perkara-perkara ini merupakan penilaian asas kepada perbincangan karya sastera yang menjadikan hal utama dalam membentuk karya sastera di samping menjadi elemen penting kepada nilai-nilai sesebuah karya sastera. Elemen-elemen ini merupakan elemen intrinsik dalam karya, iaitu hal-hal yang melibatkan perbincangan dalaman karya semata-mata. Perbincangan intrinsik ini tidak melibatkan perihal yang berlaku di luar perspektif karya sastera itu sendiri. Penilaian karya sastera juga dibuat oleh pengkritik berdasarkan elemen-elemen ekstrinsik, iaitu hal-hal berkaitan perkara-perkara yang berlaku di sekeliling, kejadian yang disaksikan oleh pengarang, peristiwa-peristiwa semasa yang berlaku, dan aspek psikologi yang ada pada pengarang itu sendiri. Aspek


8. Penilaian Karya 75 ekstrinsik ini juga dinilai dan dilihat sebagai elemen penting yang turut dibincangkan bersama-sama dengan elemen intrinsik. Elemen intrinsik dan ekstrinsik ini saling melengkapi antara satu dengan yang lain. Apabila penulis menilai sesebuah karya, kedua-dua elemen ini akan dibincangkan bersama-sama untuk memperlihatkan keseimbangan mutu penulisan sastera kanak-kanak yang dihasilkan. Penilaian elemen ekstrinsik ini meliputi latar belakang penciptaan karya sastera dan keadaan persekitaran masyarakat sewaktu karya tersebut dikarang. Keadaan masyarakat terhadap aspek ekonomi, sosial, politik, dan budaya menjadi perkara-perkara utama yang diberikan perhatian oleh pengarang. Di samping perkara-perkara tersebut, pandangan hidup atau latar belakang pengarang turut mempengaruhi hasil karya yang ditulis. Perbincangan kedua-dua elemen yang saling melengkapi ini memperlihatkan mutu penulisan yang bermutu dan memenuhi ciri-ciri penulisan karya kreatif yang baik. Karya sastera yang bermutu merupakan karya seni yang mempunyai tahap imaginatif yang tinggi dan menunjukkan penciptaan baharu. Penciptaan baharu tersebut bermaksud bahawa sesuatu karya tidak diambil daripada mana-mana karya terdahulu atau diciplak daripada pengarang-pengarang yang telah sedia mampan, sebaliknya karya yang dihasilkan bersandarkan kreativiti yang tidak bersumberkan mana-mana karya sedia ada. Pengarang yang baik ialah pengarang yang menggunakan idea sendiri tanpa menciplak hasil karya orang lain. Sastera asli yang dicipta sendiri akan menjadi lebih indah apabila nilai-nilai estetik tersebut dapat dilukiskan dalam bait-bait ayat yang mudah difahami dan dijiwai oleh kanak-kanak. Penulisan karya perlu dinilai secara teliti dengan mementingkan struktur, pemikiran yang tersembunyi dalam karya, lontaran idea, dan beberapa perkara lain. Penulisan kreatif untuk kanak-kanak mempunyai beberapa peraturan yang perlu dipatuhi, khususnya peraturan yang melibatkan aspek moral. Kanak-kanak yang mempunyai pemikiran bersih perlu disajikan dengan karya-karya yang mengandungi perkara-perkara yang positif. Hal ini demikian kerana perkaraperkara negatif boleh merosakkan pemikiran dan akhlak kanak-kanak.


76 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak 8.1 Struktur Karya Penulisan puisi tradisional perlu dilakukan dengan sangat teliti disebabkan peraturan semula jadi yang diwarisi daripada genre itu sendiri. Puisi Melayu tradisional sering disebut sebagai pancaran masyarakat Melayu lama, iaitu masyarakat yang terikat dengan adat dan peraturan yang perlu diterima serta dipatuhi secara bersama. Justeru, puisi yang lahir pada zaman tersebut turut mempamerkan bentuk dan struktur yang terikat kepada peraturan, syarat atau undang-undang tertentu. Malah, setiap peraturan dalam semua jenis puisi Melayu tradisional jelas membezakan ciri dan bentuk puisi sama ada pantun, syair, seloka atau gurindam. Contohnya, struktur pantun mesti diteliti dengan sebaik-baiknya. Pantun terdiri daripada pantun dua kerat, pantun empat kerat, pantun enam kerat sehingga pantun sepuluh kerat. Selain itu, terdapat juga jenis pantun yang berkait. Keistimewaan pantun terletak pada kepadatan dan kesederhanaannya. Kebiasaannya, guru akan mengajar murid untuk menulis pantun empat kerat yang terdiri daripada dua baris pembayang dan dua baris maksud. Pantun tersebut terbina daripada empat baris dengan empat atau lima patah perkataan dan lapan hingga 12 suku kata bagi setiap baris. Rima akhir pantun juga mesti berbentuk “a, b, a, b”. Syair mempunyai persamaan struktur dengan pantun empat kerat. Walau bagaimanapun, masih terdapat perbezaan yang ketara antara kedua-dua jenis puisi Melayu tradisional ini. Syair terdiri daripada empat baris ayat dalam satu rangkap. Setiap rangkap mempunyai kaitan atau kesinambungan cerita dengan rangkap berikutnya. Setiap baris syair mengandungi empat atau lima patah perkataan dengan lapan hingga 12 suku kata. Syair mesti diakhiri dengan rima “a, a, a, a”. Struktur gurindam pada dasarnya mengandungi dua kerat atau dua baris dalam satu bait. Baris-baris gurindam mengandungi rima akhir “a, a”. Baris satu dan baris dua saling melengkapi antara satu dengan yang lain dan boleh berdiri sendiri. Struktur nazam pula terdiri daripada dua baris. Setiap baris nazam terdiri daripada lima atau enam patah perkataan dan mempunyai 10 hingga 12 suku kata. Namun, ada juga baris nazam yang mengandungi lebih daripada enam patah perkataan dan mempunyai hingga 20 suku kata.


8. Penilaian Karya 77 Puisi moden, iaitu sajak mempunyai struktur yang lebih bebas dan terbuka. Tiada syarat yang melibatkan bilangan baris, perkataan, suku kata atau rima akhir. Walau bagaimanapun, perkara itu tidak bermakna bahawa seseorang boleh menulis sesebuah sajak dengan sesuka hati, sebaliknya individu tersebut masih perlu memikirkan bentuk yang bersesuaian dengan pembaca atau lontaran idea serta memberikan perhatian terhadap aspek penggunaan perkataan yang padu dan ketepatan diksi. Struktur penulisan lirik lagu juga tiada syarat dan peraturan tertentu. Bentuk lirik lagu terhasil daripada melodi yang dipilih sama ada melodi lagu rakyat yang diperdengarkan secara turun-temurun, lagu kanak-kanak yang memiliki unsur riang gembira atau melodi kontemporari yang menjadi kegilaan massa. Cerita rekaan atau cerita pendek merupakan suatu penulisan yang berbentuk prosa. Cerita tersebut memiliki syarat kepanjangan tertentu dan terhad. Jika cerita itu disasarkan kepada kanak-kanak, maka kepanjangan cerita tersebut disukat mengikut separuh daripada jumlah cerita untuk pembaca dewasa. Strukturnya mudah, iaitu pemilihan perkataan, tema, plot, dan binaan ayat yang dibangunkan selaras dengan aras pemikiran kanak-kanak. Kesimpulannya, terdapat genre-genre tertentu yang memiliki struktur binaan yang terikat dan perlu dipatuhi. Namun, terdapat juga genre kesusasteraan, khususnya bentuk penulisan moden yang bersifat lebih terbuka. 8.2 Pemikiran Penulis Setiap penulisan kreatif sama ada penulisan tradisional atau moden memiliki unsur pemikiran di dalamnya. Hal ini bermaksud bahawa penulisan kreatif bukan sekadar permainan emosi semata-mata tetapi turut menyimpan khazanah pemikiran yang dapat dijadikan teladan kepada pembacanya. Pantun, iaitu puisi asli dan tertua yang dimiliki oleh masyarakat Melayu menyajikan pemikiran yang sangat mendalam untuk dihayati. Seseorang dapat mengenal hati budi masyarakat Melayu zaman dahulu dengan meneliti pembayang dan maksud pantun. Pemikiran masyarakat jelas tergambar dalam pembayang yang berkisarkan alam sekeliling dengan segala keindahan dan akal budi. Contohnya adalah seperti pantun yang berikut:


78 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak Tumbuh lengkuas di rumpun paku, Padi benih dimakan tempua; Rimba luas jalan berliku, Sungai jernih dicari jua. Keindahan pantun ini dimulakan daripada pembayang yang menggerakkan emosi dan imaginasi pembaca. Pembaca dapat mengetahui tentang penanaman herba dalam kalangan masyarakat di samping kegiatan penanaman padi oleh masyarakat pendukungnya. Seiring dengan pengucapan yang serba indah itu, terangkum isi atau pemikiran tentang perjuangan manusia demi mencapai citacita. Pemikiran ini disampaikan secara halus tanpa berterus terang sesuai dengan ciri-ciri keperibadian masyarakat Melayu. Penulisan syair juga mengandungi pemikiran-pemikiran di sebalik bait-baitnya. Contoh pemikiran dapat dilihat dalam bait syair seperti yang berikut: Ilmu itu gemala sakti, Sinarnya cerah cahaya sejati, Asal puncanya lamun didapati, Sukar bercerai sehingga mati. Gambaran tentang kepentingan ilmu amat jelas diperkatakan dalam bait syair. Pemikiran yang ingin disampaikan oleh penulis adalah tentang kewajipan menuntut ilmu. Perkara ini dapat dilihat menerusi imej “gemala sakti” yang bersinar sepanjang hayat seseorang. Pemikiran dalam gurindam dan nazam pula berkisar tentang nilai akhlak, moral, pengajaran, dan teladan dalam masyarakat. Selaras dengan sifat masyarakat Melayu yang sentiasa berhati-hati dalam pengucapan, nasihat dan teguran disampaikan dengan cara yang berhemah, tidak terlalu berterus terang atau biadap serta disampaikan dengan aturan bahasa yang halus dan berlapik. Contohnya adalah seperti yang berikut: Mengumpat dan memuji hendaklah fikir, Di situlah banyak orang yang tergelincir. Dalam penulisan lirik lagu sama ada lagu rakyat, lagu kanak-kanak atau lagu kontemporari, pemikiran penulis mesti berkisarkan nilai-nilai murni yang dapat dimasukkan ke dalam penulisan lirik lagu. Antara pemikiran yang dapat


8. Penilaian Karya 79 dijelmakan melalui lirik lagu ialah kasih sayang, tolong-menolong, bersangka baik, rajin, bersopan santun serta hormat-menghormati. Contoh lirik lagu yang mengandungi nilai murni adalah seperti yang berikut: Hujung Minggu Adik Hujung minggu tiba adik riang-ria Ibu masak kari adik suka hati Ayah bercerita adik pun gembira Abang sudah pulang hati adik riang Kakak beri hadiah adik rasa bertuah Atuk tanam tebu adik rajin bantu Nenek ajar mengaji adik senang hati Pemikiran dalam penulisan puisi moden atau sajak juga tidak lari daripada halhal yang sedemikian. Seseorang penulis mesti memasukkan unsur-unsur positif ke dalam bait-bait sajak serta memilih tema yang menggambarkan pemikiran murni sesuai dengan pembacanya, iaitu kanak-kanak seperti contoh sajak yang berikut: Adab Makan Satu dan dua mari baca doa Tiga dan empat duduk rapat-rapat


80 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak Lima dan enam kita cuci tangan Tujuh dan lapan bercakap dengan sopan Sembilan dan sepuluh makan jangan gelojoh Melalui sajak ini, kanak-kanak boleh belajar mengira angka daripada angka satu hingga angka 10. Di samping itu, kanak-kanak juga dapat mempelajari perkara-perkara baik yang mesti dilakukan sebelum menikmati hidangan seperti membaca doa, duduk dengan tertib, mencuci tangan, berbicara dengan sopan serta makan dengan cermat dan bersih. Sesebuah cerita pendek sudah pasti mengandungi suntikan pemikiran oleh penulisnya. Cerpen bukanlah sebuah kisah yang direka-reka, sebaliknya cerpen memiliki idea dan gagasan yang boleh menjadi teladan kepada pembaca. Pemikiran yang boleh diselitkan oleh penulis mungkin berkisar tentang kebaikan sikap saling membantu dalam kalangan rakan sekelas, pengorbanan ibu bapa atau guru, berkasih sayang antara manusia dan binatang, pemeliharaan alam sekitar, dan sebagainya. Contoh petikan cerpen adalah seperti yang berikut: Atira mengusap tubuh Comel yang sudah kaku. Comel telah berjasa kepada Atira sekeluarga. Comel telah membalas jasa tuan yang mengutipnya dari longkang kotor. Seekor ular yang juga sudah kaku terbaring di hujung kaki Atira. Atira menyapu air mata yang deras mengalir. “Terima kasih Comel,” kata Atira. Sekiranya sesebuah penulisan tidak mengandungi sesuatu pemikiran, maka penulisan tersebut merupakan longgokan kata semata-mata. Hal ini demikian kerana pemikiran menjadi tunjang utama dan memberikan makna kepada sesebuah karya. Pemilihan diksi yang indah atau penulisan yang berjela-jela tetapi miskin dari segi pemikiran bukanlah suatu penulisan yang bermutu. Oleh hal yang demikian, penulis perlu memastikan sesuatu pemikiran dimasukkan dalam setiap bentuk penulisan sama ada puisi tradisional atau puisi moden serta prosa sebagai inti utamanya.


Click to View FlipBook Version