The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

UPSR - 50 KOLEKSI KARANGAN EKSKLUSIF BAHASA MELAYU DAN RAMALAN UPSR 2020 OLEH SIFU AZIZI MUNSYI DEWAN DBP EDISI 2020

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by zanamohdharon, 2020-04-25 19:21:46

UPSR - 50 KOLEKSI KARANGAN EKSKLUSIF BAHASA MELAYU DAN RAMALAN UPSR 2020 OLEH SIFU AZIZI MUNSYI DEWAN DBP EDISI 2020

UPSR - 50 KOLEKSI KARANGAN EKSKLUSIF BAHASA MELAYU DAN RAMALAN UPSR 2020 OLEH SIFU AZIZI MUNSYI DEWAN DBP EDISI 2020

1

KOLEKSI KARANGAN EKSKLUSIF BM UPSR
SIFU AZIZI

(Munsyi Dewan DBP)

EDISI PERTAMA 2020

~ Hasil penulisan Sifu Azizi (Munsyi Dewan DBP)
~ Format penulisan yang menepati piawai LPM
~ Karangan yang berasaskan penskoran Soalan Bahagian C
~ Paparan isi yang mantap dan menepati tajuk karangan
~ Pertautan idea dengan penjelasan yang mantap
~ Penggunaan laras bahasa yang gramatis
~ Kosa kata yang berkualiti
~ Ungkapan yang menarik dan sesuai
~ Memuatkan karangan ramalan 2020

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

2

01. Amalan Gaya Hidup Sihat

Gaya hidup sihat perlu kita praktikkan untuk menjaga kesihatan diri. Amalan
ini akan membolehkan kita hidup dengan penuh ceria. Dalam kehidupan pada
era moden yang penuh dengan tekanan ini, gaya hidup sihat menjadi satu
agenda penting untuk diamalkan. Pelbagai amalan dapat kita lakukan untuk
mencapai matlamat ini.

Pengambilan makanan seimbang merupakan antara cara untuk
menjana gaya hidup sihat. Amalan ini akan membekalkan khasiat dan vitamin
yang akan mengelakkan penyakit bahaya seperti penyakit jantung koronari,
tekanan darah tinggi dan diabetis.

Agenda gaya hidup sihat juga dapat dicapai dengan aktiviti bersukan
atau beriadah. Amalan ini akan melancarkan perjalanan darah manakala
tubuh yang berpeluh akan mengenyahkan toksin. Jika badan kita sihat dan
bertenaga, slogan “Badan Cergas, Minda Cerdas” akan mewarisi identiti kita.

Pemeriksaan kesihatan secara berkala juga adalah antara proses
ke arah gaya hidup sihat. Pemeriksaan keberkesanan fungsi organ dalaman
seperti jantung, hati, buah pinggang, dan pankreas akan berupaya mengesan
penyakit jantung koronari, diabetis, tekanan darah tinggi atau obesiti lebih
awal. Sebagai ekorannya, langkah pemulihan dan rawatan yang kita susun
akan dapat mengelakkan situasi “sudah terhantuk baru tengadah”.

Penjagaan kebersihan rumah dan persekitaran tempat tinggal juga
akan memnuhi kehendak dan keperluan gaya hidup sihat. Risiko jangkitan
penyakit yang dibawa oleh nyamuk, lalat, tikus atau lipas dapat dikawal
apabila rumah dan persekitaran terpelihara kebersihannya. Persekitaran yang
bersih akan membekalkan udara yang segar dan nyaman.

Prinsip menjauhi budaya hidup negatif seperti pengambilan alkohol,
rokok, dadah, pil perangsang atau amalan seks rambang juga ialah kriteria
untuk memastikan gaya hidup sihat mencapai matlamatnya. Elakkan diri
daripada mengamalkan perlakuan yang tidak bermoral “sebelum kudis
menjadi tokak”.

Ternyata, terdapat pelbagai inisiatif yang dapat kita lakukan untuk
menjayakan budaya gaya hidup sihat. Oleh sebab itu, hasrat untuk
melahirkan rakyat yang sihat dan cergas akan menjadi realiti jika semua
pihak saling bekerjasama ibarat “yang berat sama dipikul, yang ringan sama
dijinjing”. Kempen “Rakyat Sihat Negara Maju” perlu dipertingkatkan agar
Negara dapat melahirkan rakyat yang sihat dan produktif untuk
memperkasakan pembangunan dan pemodenan Negara.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

3

02. Faedah Membaca

Kajian entrim oleh Perpustakaan Negara Malaysia pada tahun 2014 mendapati
bahawa tabiat membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia secara puratanya
telah meningkat kepada 15 buku setahun. Peningkatan mendadak sebanyak
750% berbanding dengan kajian yang dilakukan pada tahun 2005. Ternyata,
rakyat negara ini semakin peka tentang keperluan membaca.

Kita sewajarnya memupuk minat membaca dalam kalangan anak-anak sejak
kecil untuk mengembangkan ilmu mereka, bak kata bidalan, “melentur buluh
biarlah dari rebungnya”. Bahan bacaan yang sesuai dijadikan pilihan
termasuklah perkongsian ilmu daripada Internet, akhbar, majalah, buku cerita,
pamflet, komik dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, belakangan ini, banyak
perpustakaan mini diwujudkan di pusat beli belah untuk kemudahan penggemar
buku menghiburkan hati dan merawat kelesuan setelah letih menapak
sebelumnya.

Amalan membaca sesungguhnya merupakan satu budaya yang amat
manfaat. Pembacaan akan meningkatkan pengetahuan yang sedia ada kerana
“Membaca Jambatan Ilmu”. Sekiranya kita menjadi “ulat buku”, kita akan dapat
menambahkan pengetahuan yang merangkumi pelbagai disiplin ilmu.

Selain dapat meredakan tension, sikap gemar membaca juga akan
mematangkan minda. Dengan membaca, kita dapat mengenal pasti kebaikan
atau keburukan sesuatu perkara. Sebagai impaknya, kita akan mampu untuk
berfikir secara lebih matang dan kreatif dalam membuat penilaian terhadap
sesuatu perkara.

Apabila kita rajin membaca, kita akan dapat mengetahui pelbagai info
mutakhir dan fenomena peristiwa semasa yang terjadi di persekitaran kita.
Paparan sejarah, transformasi perubatan, isu kegawatan ekonomi, kejadian
bencana alam dan malapetaka dunia dapat kita ketahui melalui aktiviti
pembacaan. Malahan, perkembangan dalam prospek perniagaan, pendidikan,
teknologi maklumat, sukan, serta konflik politik terkini juga dapat kita selami.
Hasilnya, peribahasa personaliti "seperti katak di bawah tempurung" tidak
mungkin kita warisi.

Amalan membaca juga adalah antara kriteria positif dalam agenda mengisi
masa lapang. Minat membaca ini akan menghindari kita daripada melakukan
aktiviti yang tidak menguntungkan seperti melepak, berbual kosong, melayari
laman sesawang negatif di Internet, bergaduh, vandalisme, bermain permainan
video, melayan basikal lajak dan sebagainya.

Sesungguhnya banyak kebaikan atau faedah yang akan kita peroleh dengan
amalan membaca. Oleh sebab itu, membacalah kerana “Buku Jendela Dunia”.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

4

03. Faedah Menyertai Kegiatan Kokurikulum

Tidak dapat kita nafikan bahawa penyertaan dalam kegiatan kokurikulum
menawarkan faedah yang banyak. Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)
menetapkan bahawa semua murid perlu dididik secara seimbang dan harmonis
dalam aspek jasmani, rohani, emosi, dan intelek. Bagi merealisasikan hasrat ini,
komponen dalam pendidikan nasional telah memberikan penekanan dalam dua
aspek yang utama, iaitu kurikulum dan kokurikulum.

Aspek kurikulum bermatlamat membangunkan ummah yang berminda kelas
pertama manakala bidang kokurikulum pula berfungsi sebagai pelengkap
kepada keterampilan fizikal, emosi dan sahsiah murid.

Kokurikulum ialah aktiviti luar darjah yang amat bermanfaat dan begitu
berkesan untuk membentuk murid yang kreatif, progresif, dinamis, berdaya
saing, dan berwawasan. Aktiviti yang merangkumi persatuan, unit uniform serta
sukan dan permainan ini diadakan selama dua jam seminggu.

Aktiviti kokurikulum menekankan amalan bekerja secara berpasukan.
Hasilnya, setiap agenda yang diusahakan akan menjimatkan masa, tenaga dan
material, persis kata mutiara, “muafakat membawa berkat”.

Ditinjau daripada aspek pembentukan sahsiah, selain membolehkan murid
memartabatkan ilmu dan mendominasikan kemahiran mekanikal, keaktifan
dalam kegiatan kokurikulum juga akan melahirkan individu yang tegas, beretika
dan cekal dalam menangani kemelut kehidupan seharian.

Pelibatan dalam aktiviti ini juga membolehkan masa kita terisi dengan
tugasan yang memanfaatkan, lantas menghindarkan kita daripada melakukan
sebarang aktiviti negatif yang merugikan diri sendiri.

Pada masa yang sama, kegiatan kokurikulum juga berpaksikan semangat
berdikari dan jati diri, yang memungkinkan seseorang murid bertindak secara
sendirian.

Selain menjana idea dan kemahiran kreatif, pelibatan dalam aktiviti
kokurikulum sesunguhnya akan membentuk keterampilan personaliti dan
sahsiah diri setiap murid bagi mengharungi pelbagai aral terkedepan. Senario ini
persis peribahasa Melayu, yakni “ada padi, semua kerja jadi’.

Dasar Sukan Negara yang menekankan slogan “Majulah Sukan untuk
Negara” mewajibkan semua murid menyertai aktiviti kokurikulum kerana
kegiatan ini akan membentuk individu yang berakhlak mulia, berjati diri,
menepati masa, saling membantu, bertanggungjawab dan amanah dalam
melakukan sesuatu tugasan. Aktiviti kokurikulum sewajarnya diperluas skopnya
bagi memberikan faedah yang maksimum kepada murid-murid.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

5

04. Kelebihan Belajar Secara Kumpulan

Pada era teknologi maklumat ini, pelbagai agenda dapat kita lakukan untuk
menguasai pelbagai disiplin ilmu. Selain menumpukan perhatian di dalam
kelas, sentiasa bertanya, mengulang kaji pelajaran, melayari Internet, dan
menghadiri kelas ekstra, aktiviti belajar secara berkumpulan juga merupakan
antara kaedah terbaik untuk memaksimumkan cakupan ilmu.

Belajar secara kumpulan memberikan suasana belajar yang ceria,
santai dan menyeronokkan. Kita dapat belajar atau membuat ulang kaji tanpa
sebarang tekanan kerana rakan-rakan yang kita pilih itu merupakan mereka
yang memahami cita rasa anggota kumpulan, jadi mudahlah bagi kita untuk
mengulas dan mengupas sesuatu kemusykilan.

Diskusi dalam kumpulan juga lebih terbuka sifatnya. Anggota kumpulan
akan berinteraksi tanpa rasa segan silu kerana berpegang pada konsep
“malu berkayuh, perahu hanyut”. Semasa berbincang, mereka berpeluang
untuk bersoal jawab, bertukar-tukar nota, mengulas pendapat dan pandangan
kawan-kawan, berhujah, dan seterusnya mengenal pasti kaedah atau teknik
yang sesuai untuk menjawab soalan tertentu.

Belajar secara kumpulan juga membolehkan anggota kumpulan
mengasah minda, mengukuhkan ingatan, dan mempertajam kemahiran yang
diperoleh melalui perbincangan. Mereka yang belajar secara kumpulan jauh
terbukti lebih “tajam akal” daripada mereka yang belajar secara sendirian.
Perbezaan antara kedua-dua personel ini “umpama bumi dengan langit”.

Amalan belajar secara kumpulan juga dapat memupuk semangat
kerjasama dan toleransi yang akan memborong kejayaan berganda kerana
“muafakat membawa berkat”. Sebarang tugasan juga dapat disempurnakan
dengan kadar segera dengan adanya perbincangan dua hala. Sebagai
contohnya, karangan yang lebih mantap akan terhasil dengan adanya
bantuan perkongsian maklumat dan percambahan idea yang lebih relevan
daripada anggota kumpulan.

Sebagai kesimpulannya, belajar secara kumpulan ialah suatu inisiatif
yang bijak untuk menjaring kecemerlangan dalam pelajaran. Sebagai bakal
“Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara”, lengkapkanlah diri dengan
memanfaatkan amalan belajar secara kumpulan untuk menyumbangkan
khidmat bakti kepada negara nanti.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

6

05. Cara Menghormati Ibu Bapa

Ibu bapa ialah insan yang sangat penting dalam kehidupan kita. Pengaruh
mereka dalam mencorakkan kehidupan anak-anaknya menepati peribahasa
“tangan yang mengayun buaian itu boleh menggoncang dunia”. Tanpa mereka,
kita tidak akan berpeluang melihat panorama alam atau menikmati kehidupan di
muka bumi ini. Justeru, sebagai seorang anak, perlulah kita sentiasa
menghormati dan menghargai mereka.

Terdapat pelbagai cara yang dapat kita lakukan untuk menghormati ibu
bapa. Antaranya adalah dengan belajar dengan sungguh-sungguh untuk
menjaring kejayaan dalam pelajaran. Kejayaan kita pastinya akan membuatkan
ibu bapa kita berasa bangga dan gembira. Penat lelah “memerah keringat”
melahirkan, membesarkan, menyara dan memberikan pendidikan formal kepada
kita akan terubat dengan kejayaan yang kita raih.

Antaranya adalah dengan sentiasa mematuhi dan mentaati nasihat
mereka. Penghargaan juga dapat diukur berdasarkan cara kita menunjukkan
rasa hormat kepada mereka. Selain mendengar nasihat, kita wajib menerima
setiap teguran dengan hati yang terbuka. Nasihat dan teguran yang diberikan
bertujuan untuk memberi bimbingan dan panduan demi manfaat anaknya.

Budaya memelihara tatasusila apabila berinteraksi dengan ibu bapa juga
merupakan antara cara menghormati mereka. Sentiasalah bertutur dengan nada
yang lembut, sopan dan dengan mimik wajah yang manis. Elakkan daripada
melakukan perkara-perkara yang tidak disenangi oleh ibu bapa.

Sebagai insan biasa, kita tidak mungkin lari daripada “silap langkah”
ataupun melakukan kekhilafan kerana “bumi mana yang tiada kena hujan”.
Bersabarlah apabila dimarahi dan jangan sekali-kali melawan mereka. Kita
sewajarnya sentiasa mohon maaf atas sebarang kekasaran kata, keterlanjuran
bahasa dan kelancangan tingkah laku kita agar mereka tidak “kecil hati”.

Amalan membantu ibu bapa melakukan kerja-kerja rumah yang
bersesuaian dan berpatutan juga mewakili cara menunjukkan rasa hormat dan
kasih sayang terhadap mereka. Selain meringankan beban tugas, bantuan kita
akan memberikan mereka laluan istirahat untuk merawat kelesuan.

Cara menghargai ibu bapa juga boleh kita tunjukkan dengan kesediaan
mengorbankan masa, tenaga dan material untuk mereka. Di samping sedia
menjaga mereka ketika sakit, pastikan kita sentiasa menutup atau merahsiakan
kelemahan mereka.

Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat pelbagai amalan yang dapat kita
lakukan untuk menghormati ibu bapa. Selain menjadi tuntutan agama, amalan ini
juga merupakan satu amanah dan tanggungjawab setiap anak terhadap orang
tuanya. Hormati dan sayangilah ibu bapa sementara mereka masih ada.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

7

Cara-cara Mengisi Masa Lapang

06. Cara Mengisi Masa lapang

Apakah yang dimaksudkan dengan frasa "Masa itu Emas"? Ternyata, masa
amat penting kepada kehidupan seharian. Masa yang berlalu tidak dapat
diganti. "Masa ialah Kehidupan" yang tidak dapat kita undurkan. "Masa ialah
Kehidupan" yang tidak dapat kita undurkan. Oleh sebab itu, kita harus bijak
mengemudikan masa supaya masa yang ada tidak terbuang begitu sahaja.
Jadi, manfaatkanlah masa dengan amalan atau aktiviti yang berfaedah dan
jangan sekali-kali membudayakan “ikan di hulu, tuba di hilir”.

Amalan membaca merupakan aktiviti yang paling bermanfaat untuk
mengisi masa lapang. Bahan bacaan seperti buku, majalah, akhbar, novel,
buletin atau jurnal berlambak di pasaran. Sekiranya kita menggunakan masa
terluang dengan aktiviti membaca, pelbagai disilpin ilmu dan beraneka
sumber maklumat dapat kita ketahui kerana “Buku Jendela Dunia”. Selain
melatih otak untuk lebih fokus terhadap sesuatu perkara, aktiviti membaca ini
juga mampu memberikan hiburan dan merehatkan minda seseorang.

Masa senggang juga dapat digunakan dengan sebaik-baiknya jika kita
mengamalkan hobi yang berfaedah seperti bersukan, melancong, berekreasi,
menonton filem, menonton televisyen, mendengar radio, menghayati muzik,
memasak dan sebagainya. Penggunaan masa terluang dengan hobi yang
bermanfaat ini juga akan memberikan kepuasan kepada kita.

Budaya menziarahi teman-teman, jiran, dan kerabat juga boleh kita
lakukan untuk mengisi masa lapang. Selain dapat bersiar-siar dan menikmati
juadah yang dihidangkan, pertemuan tersebut juga membolehkan kita untuk
lebih mengenali mereka, kerana “tak kenal maka tak cinta”. Perjumpaan ini
pastinya akan dapat memeterai persahabatan dan mengeratkan hubungan
silaturahim dengan mereka.

Masa yang terluang juga boleh kita isi dengan membantu urusan
seharian orang tua di rumah. Kepenatan mereka menguruskan keluarga pada
saban hari tidak dapat kita nafikan. Jadi apalah salahnya kita bersikap
“ringan tulang” untuk meringankan kerja-kerja mereka. Kata pepatah, “yang
ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul”. Antara rutin pekerjaan ini
termasuklah kerja-kerja mengemas rumah, memasak, membasuh dan
menyidai pakaian, membersihkan halaman persekitaran, menyiram pokok
bunga dan menjaga adik-adik yang masih kecil. Pada masa yang sama,
interaksi social ini akan dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Sebagai kesimpulannya, belajarlah mendisiplinkan diri untuk
menggunakan masa lapang dengan penuh istiqamah supaya masa yang ada
tidak terbazir begitu sahaja.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

8

07. Cara-Cara Menjaga Keselamatan Diri di Sekolah

Isu keselamatan di sekolah sering menjadi topik hangat dalam dialog para guru,
sembang bual ibu bapa atau catatan dalam Mesyuarat Agung Persatuan Ibu
Bapa dan Guru (PIBG). Secara rasionalnya, jumlah bilangan guru di sesebuah
sekolah terbukti tidak mampu untuk mengawal pergerakan setiap murid di
sekolah berkenaan. Sebagai natijahnya, banyaklah terjadi kemalangan di
kawasan sekolah biarpun poster tentang peraturan di sekolah ditampal di semua
tempat. Oleh hal yang demikian, murid-murid hendaklah peka dengan isu
keselamatan kerana mereka masih “anak ikan” dan “malang tidak berbau”.

Antara cara menjaga keselamatan diri di sekolah adalah dengan amalan
peri laku positif. Misalnyanya, semasa ketiadaan guru di dalam bilik darjah,
elakkan perbuatan berlari-lari, bermain-main, bertolak-tolakan atau bergaduh
kerana keadaan mungkin menjadi tidak terkawal dan mengundang padah. Jauhi
diri daripada bermain barangan yang membahayakan seperti barangan atau
suis elektrik, perabot yang rosak, kabinet kaca, cermin tingkap dan sebagainya.

Apabila berada di bilik khas seperti di makmal sains, di bilik kemahiran
hidup atau di stor sukan pula, sentiasalah mematuhi arahan guru sebelum
menggunakan alatan atau radas tertentu yang mungkin berat, tajam, atau panas
kerana sekiranya berlaku sesuatu kejadian yang tidak diingini, “nasi sudah jadi
bubur”.

Semasa berada kantin pula, kita hendaklah menjaga keselamatn diri
dengan sering waspada dalam setiap perlakuan. Perbuatan bersenda gurau atau
berlari-lari di kawasan yang dipenuhi kerusi meja amatlah bahaya. Kita mungkin
akan terjatuh akibat lantai yang licin oleh tumpahan makanan berminyak atau air
minuman. Kerenah berebut-rebut di kaunter kantin juga akan mengundang
padah jika kita ditersiram olah makanan atau minuman yang masih panas.

Hindarilah diri daripada berada di kawasan larangan seperti kawasan
pembinaan, stor penyimpanan perabot lama, tangki air atau bilik-bilik kosong.
Tempat-tempat ini sangat bahaya kerana dipenuhi kerusi meja rosak, licin, lantai
yang berlopak, berlumut. Bilik yang jarang digunakan juga biasanya didiami
haiwan bisa seperti ular, kala jengking atau lipan.

Ketika bersukan pula, kita hendaklah mematuhi peraturan keselamatan
di padang, sebagai contohnya gunakanlah pakaian sukan yang sesuai dengan
jenis sukan atau permainan yang kita sertai. Penggunaan peralatan sukan yang
membahayakan seperti peluru, cakera, kayu pemukul, kayu hoki dan sebagainya
memerlukan kehadiran guru sebagai pemantau atau pemudah cara.

Sebagai kesimpulannya, kemalangan di sekolah dapat kita elakkan
seandainya kita sentiasa berawas dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan
oleh pihak sekolah. Ingatlah, “sesal dahalu pendapatan, sesal kemudian tiada
berguna”.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

9

08. Cara Menjaga Keselamatan Diri

Sedasarwasa ini isu kehilangan kanak-kanak dan remaja menjadi “buah mulut”
khalayak dan menjuduli topik hangat di media massa dan media soasial. Kes ini
tidak boleh dipandang enteng. Setiap individu haruslah menjaga keselamatan diri
masing-masing, terutamanya murid sekolah dan para remaja yang masih mentah
kerana mereka ini kita ibaratkan seperti “hendak terbang tiada bersayap”.

Antara cara untuk menjaga keselamatan diri adalah dengan sentiasa
bergerak bersama-sama dengan teman walau ke mana-mana pun kita pergi.
Apabila kita bergerak dalam kumpulan, mereka yang berniat jahat tidak akan
berani untuk mengambil kesempatan terhadap kita.

Kita juga jangan terlalu mudah mengikuti seseorang yang tidak kita kenali.
Jika kita terpaksa menumpang kenderaan atau membonceng motosikal
seseorang untuk pulang dari sekolah misalnya, pastikan orang itu betul-betul kita
kenal pasti latar belakangnya, kerana manusia ini “rambut sama hitam, hati
lain-lain”.

Seandainya kita terpaksa menaiki teksi, gunakan telefon untuk berselfie
dengan pemandu. Kemudian, telefonlah anggota keluarga untuk memberikan
maklumat tentang pergerakan kita, meliputi destinasi tujuan, nama pemandu,
nombor plat, dan warna kereta. Pastikan perbualan ini kita dialogkan dengan nada
suara yang tinggi dan didengari oleh pemandu teksi tersebut. Perbuatan ini akan
memastikan keselamatan kita terjamin kerana jika pemandu itu berniat serong,
pastinya dia tidak akan berani untuk mengapa-apakan kita kerana semua
maklumat tentang dirinya telah kita tularkan.

Selain menjauhi persekitaran yang sunyi, jadikanlah wisel sebagai teman
sejati. Penggunaan wisel akan menjamin keselamatan kita. Jika berhadapan
dengan sebarang risiko gangguan keselamatan, tiuplah wisel dengan
sekuat-kuatnya. Bunyi nyaring dari wisel ini akan menarik perhatian khalayak dan
memaksa penjenayah meninggalkan kawasan tersebut.

Keselamatan di rumah juga perlu kita jaga. Elakkan bermain dengan
peralatan tajam yang mungkin boleh membawa kecederaan. Sumber api jangan
kita jadikan mainan kerana “kecil api menjadi kawan, besar ia menjadi lawan”.
Kelalaian dalam menggunakan api akan mengakibatkan kebakaran. Bilik air juga
perlu berada dalam dalam keadaan yang kering sentiasa. Cuci bilik air dan tandas
seminggu sekali untuk memastikan lantai tidak licin. Banyak kes kematian di bilik
air yang berpunca daripada lantai yang licin. Perbuatan berlari-lari atau
kejar-mengejar di dalam rumah juga boleh mengakibatkan kecederaan apabila
terjatuh keras ke lantai atau terhantuk ke bucu meja.

Akhirulkalam, seandainya tip penjagaan keselamatan diri ini dapat kita
jadikan budaya bagi menjamin keselamatan diri, pastinya tidak akan berlaku
fenomena “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya”.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

10

09. Cara untuk Memelihara Alam Sekitar

Alam sekitar merupakan satu anugerah dan kurniaan percuma daripada Tuhan
yang tidak ternilai harganya. Kehidupan manusia bergantung sepenuhnya
kepada alam, sama ada sebagai tempat penginapan atau tempat untuk menagih
rezeki bagi meneruskan kelangsungan hidup. Kendatipun begitu, personaliti
alam sekitar kini amat tenat keadaannya ekoran pencemaran berganda oleh
pelbagai amalan rakus manusia yang berlumba-lumba dan bersaing mengejar
arus pembangunan dan konsep pemodenan. Mengapakah kita perlu memelihara
alam sekitar? Sesungguhnya, “Kebersihan Alam Sekitar; Tanggungjawab
Bersama”.

Sirian langkah pencegahan perlu kita ambil untuk memelihara alam
sekitar. Usaha perdana yang perlu dilakukan ialah pelibatan secara menyeluruh
agensi kerajaan dalam usaha menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekitar 1974
dengan mengenakan denda, kompaun, penjara dan hukuman lain yang
sewajarnya kepada mana-mana individu atau syarikat yang mencemari alam
sekitar.

Penjagaan alam sekitar juga dapat dilakukan melalui pelaksanaan program
kempen kesedaran “Cintailah Alam Sekitar”. Kempen yang menjurus kepada
kesedaran dan kefahaman tentang keperluan memelihara alam sekitar ini boleh
dilaksanakan melalui lawatan mengejut ke premis pelaku jenayah alam sekitar,
mengedarkan pamflet, mengadakan ceramah dan forum serta menularkan iklan
melalui media massa dan media cetak.

Penanaman semula pokok untuk menggantikan pokok yang telah ditebang
juga berperanan untuk memelihara alam sekitar. Selain membekalkan oksigen
dan mengembalikan keseimbangan alam sekitar, tindakan ini juga akan
mengelakkan tragedi tanah runtuh dan banjir lumpur. Projek ini perlu dilakukan
secara berkala dan bukan sekadar “melepaskan batuk di tangga”.

Komitment dan kerjasama setiap penduduk yang menjiwai peribahasa
“seikat bagai sirih, serumpun bagai serai” untuk menjaga kebersihan kawasan
persekitaran juga membantu memastikan alam sekitar kekal terpelihara
kebersihannya. Program gotong-royong untuk meneuteralkan kebersihan
kawasan perumahan akan mengelakkan jangkitan penyakit seperti kolera,
malaria, batuk, sakit tekak, demam kepialu, hepatitis A dan keracunan makanan.
Budaya menjaga alam sekitar juga akan mengelakkan kehadiran haiwan yang
bisa dan bahaya seperti ular, tikus, kala jengking, lipan dan sebagainya.

Pada masa yang sama, aktiviti pembersihan aliran air longkang, parit, tali
air dan sungai perlu dijalankan secara lebih kerap. Bekalan sumber air yang
bersih dan bebas daripada sampah sarap, baja kimia serta racun ini amat ditagih
oleh manusia dan hidupan akuatik.

Jika setiap anggota masyarakat berganding bahu ibarat “ke bukit sama
didaki, ke lurah sama dituruni” untuk memelihara alam sekitar, pastinya kes
pencemaran bukan lagi menjadi agenda dalam isu-isu hangat di pasaran.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

11

10. Cara untuk Mewujudkan Keceriaan di Bilik Darjah

Setiap murid ingin memiliki kelas yang yang bersih, kemas dan ceria.
Bilik darjah yang eksklusif bukan sahaja menjanjikan keselesaan namun
membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung dalam
situasi yang menyeronokkan.

Pelbagai inisiatif perlu digembleng untuk merealisasikan kelas
impian ini. Panel khas sewajarnya ditubuhkan untuk menyelaraskan
aktiviti keceriaan ini. Jawatankuasa yang dipertanggungjawabkan untuk
menyediakan kumpulan tenaga kerja dan pengagihan tugasan harian ini
perlu memastikan setiap murid akan memainkan peranan seperti yang
direkodkan. Setiap murid perlu menjalankan amanah yang
dipertanggungjawabkan dan janganlah sekali-kali mengamalkan budaya
“bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”.

Antara pengisian dalam slot jadual tugas harian ini termasuklah
tanggungjawab untuk menyapu lantai, mengelap dan membersihkan
tingkap serta mengenyahkan habuk dan sawang pada kipas, lampu dan
dinding.

Bagi menonjolkan kelainan dan keunikan wajah hiasan dalaman,
kedudukan susun atur perabot seperti almari, kabinet dan kerusi meja
juga mestilah dalam penampilan malar ceria. Fenomena ini dikatakan
umpama “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”.

Budaya tampalan carta, gambar rajah atau poster tertentu yang
sarat dengan info ilmu mutakhir pada dinding juga akan menambahkan
keindahan panorama kelas. Penyediaan sudut bacaan yang dilengkapi
dengan pelbagai sumber teks dan grafik pastinya akan menambahkan
kemeriahan personaliti bilik darjah. Malah, kelas juga akan menjadi
lebih versatil sekiranya setiap jendela dihiasi dengan langsir yang
menepati trend fesyen terkini.

Ternyata, seandainya tatacara mewujudkan keceriaan bilik darjah
sentiasa diamalkan semaksimum mungkin, maka sudah pasti suasana
di bilik darjah akan sentiasa menjadi lebih bersih, ceria, kemas dan
selesa. Pada masa yang sama, kelebihan ini akan menjadikan semua
murid lebih fokus semasa proses penimbaan ilmu berlangsung dan
hasilnya ilmu yang diperturunkan oleh guru akan tersemat kukuh di hati
dan minda mereka.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

12

11. Cara Menjadi Murid Cemerlang

Jaringan 6 A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)
menjadi impian setiap murid tahun enam. Keputusan yang cemerlang pasti akan
membuka laluan untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah yang
bertaraf langit seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sekolah menengah
sains, Sekolah Kluster kecemerlangan (SKK) dan Sekolah Berprestasi Tinggi
(SBP). Pelbagai usaha dapat kita lakukan untuk menjadi seorang murid yang
cemerlang. Sikap sabar dan tabah dalam menimba ilmu perlu dihayati untuk
menjaring kejayaan kerana “genggam bara api biar jadi arang”.

Pertama-tamanya, kita wajar menumpukan penuh konsentrasi terhadap
pengajaran guru di dalam kelas, kerana kita akan menjadi “seperti garam jatuh
di air”. Budaya sering bertanya kepada guru dan rakan pula ternyata amat perlu
agar setiap kemusykilan kita terbebas lepas. Jangan sekali-kali kita berasa
“rendah diri” kerana “malu bertanya sesat jalan”.

Ketika berada di rumah, kita hendaklah sentiasa menyiapkan setiap latihan
yang diberikan oleh guru. Aktifkan diri untuk melakukan ulang kaji agar setiap
ilmu yang telah kita peroleh akan kekal terakam dalam minda dan dapat dipakai
guna berdasarkan keperluan semasa.

Dalam pada itu, kita perlulah menyediakan jadual belajar yang sistematik
untuk mengimbangi masa bermain dengan masa menelaah. Slot jadual
pembelajaran harian ini amat penting untuk kita patuhi agar masa kita akan terisi
dengan manfaatnya.

Di samping itu, amalan belajar secara kumpulan juga akan menjadikan kita
seorang murid yang cemerlang dalam pelbagai aspek. Selain memperoleh ilmu
tambahan dan mengeratkan silaturahim, sikap kerjasama serta toleransi akan
terbentuk hasil kesepakatan dalam majlis menimba ilmu secara berjemaah ini.

Kriteria murid cemerlang juga dapat kita capai dengan amalan
mendampingi pusat sumber sekolah untuk membaca dan melayari Internet
untuk membuat rujukan tertentu. Pada masa yang sama, budaya bertukar-tukar
nota dan kertas soalan peperiksaan dengan rakan dari sekolah, daerah atau
negeri yang lain juga banyak membantu untuk melahirkan murid yang
cemerlang pada abad ke-21 ini.

Selain memberikan komitmen yang jitu dengan menghadiri kelas-kelas
bimbingan di sekolah dan kelas tuisyen, budaya mengikuti program-program
motivasi juga banyak membantu seseorang untuk menjadi murid cemerlang.

Akhir sekali, selain kerajinan dan kecekalan yang bertunjangkan “Usaha
Tangga Kejayaan”, amalan tawakal juga perlu kita jiwai untuk menjana impian
dalam usaha menjadi murid cemerlang.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

13

12. Faedah Melibatkan Diri dalam Bidang Sukan

Tidak dapat kita nafikan bahawa aktiviti sukan penting dalam rutin hidup
seharian. Jika kita kurang bersukan, tubuh akan menjadi tidak bermaya dan
akan terdedah kepada jangkitan virus. Aktiviti bersukan juga akan
menyihatkan tubuh dan menjana perkembangan otak, kerana sesungguhnya,
“Fizikal Cergas, Minda Cerdas”. Pelbagai faedah dapat kita peroleh dengan
amalan bersukan.

Tubuh yang cergas ialah pemangkin kepada minda yang cerdas. Jika kita
kurang bersukan, tubuh akan menjadi tidak bermaya dan akan terdedah
kepada jangkitan virus. Minda kita akan lemah dan situasi ini akan
menjadikan daya fikir kita kurang aktif.

Amalan bermain bola sepak, badminton, tenis, joging, berenang,
beraerobik atau bersukan juga akan mengistirahatkan benak.

Apabila kita berpeluh, badan kita akan mengeluarkan toksin. Kesannya,
badan kita menjadi sihat dan cergas serta tidak berasa lesu. Proses
pembakaran lemak yang terjadi pula akan bertindak mengawal masalah
obesiti.

Amalan beriadah di taman permainan juga akan mengeratkan hubungan
silaturahim dan menambah kenalan. Kita dapat berkenalan dengan sesiapa
sahaja tidak mengira umur, bangsa mahupun agama. Kebiasaannya, ketika
kita berjoging di taman-taman, kita akan bertegur sapa dengan individu yang
berada di kawasan itu. Hal ini akan mengeratkan hubungan dan perpaduan
antara kaum dapat dipupuk.

Nilai-nilai kesabaran, kerjasama, hormat-menghormati, toleransi dan
muhibah yang lahir semasa bersukan juga akan mewujudkan suasana ceria
dan harmoni dalam kalangan masyarakat.

Selain mengisi masa senggang, keaktifan dalam bidang sukan juga akan
menghindari kita daripada terjebak dalam budaya negatif seperti mencuri,
melepak, menagih dadah, memeras ugut, membuli , menjadi “kutu embun”
dan sebagainya.

Malahan, apabila kita mewakili sekolah dalam sesuatu permainan, status
kita sebagai “ayam tambatan” ini akan membantu melonjakkan imej dan
personaliti diri serta mengharumkan nama sekolah. Kejayaan dalam sukan
juga membolehkan kita meraih pelbagai imbuhan dan ganjaran.

Ternyata, amalan riadah ini dapat membentuk barisan generasi yang
proaktif, intelek, beretika dan berwawasan untuk menjadi pemimpin pelapis
pada masa-masa terkedepan.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

14

13. Faedah Amalan Jimat Cermat

Tidak dapat kita nafikan bahawa ungkapan “sehari selembar benang,
lama-lama menjadi kain” merupakan ungkapan yang begitu sinonim
dengan amalan jimat cermat yang menjadi tangkal atau tonik bagi
mereka yang dahagakan kesenangan dan kemewahan pada hari muka.
Amalan jimat cermat ialah amalan yang terpuji dan banyak faedahnya.

Amalan berjimat penting kerana setiap program yang kita
rencanakan ternyata memerlukan persiapan yang rapi dan teliti, bak
kata peribahasa, “sediakan payung sebelum hujan”. Amalan hemat
dalam berbelanja akan menjadikan kita insan berwawasan yang mampu
merencanakan kelangsungan hidup yang kita idamkan.

Budaya jimat cermat juga dituntut oleh agama manakala sikap
membazir itu pula ialah budaya syaitan. Praktisan menabung juga
memungkinkan perancangan masa depan kita dapat kita rencanakan
dengan sebaik-baiknya. Simpanan yang ada dapat mengurangkan
perbelanjaan harian kita. Sekiranya kita berjimat cermat sudah tentu
perbelanjaan harian kita dapat dikurangkan dan kita mempunyai lebihan
wang. Lebihan wang ini boleh kita simpan untuk keperluan pada masa
darurat.

Selain membantu kita pada masa darurat, keprihatinan dalam
berbelanja juga akan menjadikan kita seseorang yang mampu
menangani kegawatan ekonomi, individu yang beretika dalam
berbelanja dan insan yang bertanggungjawab dalam meneladani
kewangan seharian. Peribahasa “ingat sebelum kena, jimat sebelum
habis” ternyata dapat mencerminkan situasi yang telah kita perkatakan
ini.

Dalam pada itu, tabungan di bank pula akan menambahkan
simpanan kita kerana deposit kita akan diberikan faedah. Prosedur bank
ini akan memperkasakan ekonomi kita dan berperanan pula
menstabilkan pendapatan kasar negara.

Ternyata, amalan jimat cermat ini mampu menyediakan skim
pelaburan jangka panjang, bak kata pepatah, “berakit-rakit ke hulu,
berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang
kemudian.”

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

15

14. Kelebihan Memiliki Seorang Sahabat Karib

Pada era serba canggih ini, setiap individu memerlukan sahabat ataupun
rakan dalam kehidupan mereka. Biarpun sahabat ini amat diperlukan
dalam hidup seharian namun kita perlu bijak dalam memilih seseorang
untuk menjadi rakan kita. Kesilapan memilih rakan akan merosakkan masa
depan kita.

Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, ternyata
bahawa tanpa sahabat yang setia di sisi, hidup kita “ibarat pohon yang
tidak berbuah.” Kita memerlukan seorang sahabat yang sejati untuk
melengkapkan perjalanan hidup berkomuniti. Kehadiran sahabat yang
akrab pastinya akan melengkapkan kembara kita secara total.

Seandainya kita memiliki sahabat yang prihatin, kita akan terasa
seolah-olah seperti sentiasa ditemani dan dilindungi. Teman yang rapat
dapat kita jadikan rakan untuk berbincang, belajar, bermain, beriadah atau
berhibur.

Teman akrab yang berkarisma dan beretika pula dapat kita jadikan
ikon dalam meniti kehidupan seharian. Selain dapat dijadikan model yang
perlu diteladani, keterampilannya dalam pelbagai aspek juga boleh kita
jadikan sebagai sumber inspirasi untuk menyaingi kejayaannya.

Sahabat yang intim juga mampu menjadi penawar duka atau
kaunselor yang baik. Sahabat yang baik akan cuba untuk berkongi
masalah yang kita hadapi. Persis kata peribahasa Melayu “kawan ketawa
senang dicari, kawan menangis sukar dicari”. Sahabat yang prihatin akan
sentiasa berada di sisi kita untuk menjadi pendengar setia kepada setiap
aduan masalah dan curahan perasaan kita. Mereka akan menjadi penasihat
yang dapat meringankan tension lantas pada masa yang sama, mampu
pula mengembalikan semangat kita yang keterawangan.

Rakan yang sejati juga biasanya sering mengambil berat tentang
kebajikan kita dan sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan pada
ketika kita memerlukannya.

Sesungguhnya, teman yang akrab amat penting dalam kehidupan kita
seharian. Tanpa sahabat karib, “Siapalah kita!”

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

16

15. Kelebihan Belajar di Pusat Tuisyen

Era Pendidikan Bestari kini menyaksikan perkembangan pusat tuisyen
yang muncul umpama “cendawan tumbuh selepas hujan.” Intitusi

pendidikan swasta ini makin mencuit tumpuan murid untuk memperoleh

input intensif bagi memartabatkan ilmu mereka. Pendedahan dalam

pelbagai aspek yang dikongsikan di pusat tuisyen akan menghindari
pelanggannya daripada menjadi “seperti katak di bawah tempurung”.

Selain lokasi pusat tuisyen yang strategik, kemudahan bilik kuliah
yang canggih, selesa dan berhawa dingin membantu kelas di pusat
tuisyen menjadi sesak dengan kehadiran calon peperiksaan. Proses
penimbaan ilmu juga terbukti berlangsung dalam senario yang ceria,
santai, dan hening tanpa gangguan anasir luaran.

Pengagihan murid kepada kumpulan yang kecil di kelas tuisyen pula
membantu murid memperoleh bimbingan secara lebih personal. Malah,
pengelompokan murid dari pelbagai sekolah di dalam kelas yang sama
pula berupaya mewujudkan proses interaksi positif dalam kalangan
mereka. Budaya pertukaran nota, perkongsian idea, diskusi spontan dan
perdebatan minda yang diamalkan di pusat tuisyen terbukti telah
melonjakkan kecemerlangan akademik pelanggan mereka.

Selain kehadiran tenaga pengajar yang mesra murid, pengecualian
pemakaian uniform, ketiadaan hukuman atau dendaan, dan kehadiran
yang berlenggang tanpa beban beg juga membantu kelangsungan proses
pembelajaran.

Kupasan di pusat tuisyen yang berorientasikan peperiksaan lebih
berfokus kepada skop pilihan. Aktiviti latih tubi pula dilakukan dengan
lebih acap. Malahan, bekalan nota eksklusif dan kekerapan sesi soal jawab
juga telah memperkukuh pemahaman murid.

Kepentingan mengikuti kelas tuisyen dalam era pendidikan globalisasi

menyebabkan institusi ini kini menjadi medan singgah bagi mereka yang

berhasrat menjaring keputusan maksimum dalam peperiksaan yang bakal

diduduki. Bagi mereka yang lebih selesa belajar di rumah, ada baiknya

mencuba mengikuti kelas di pusat tuisyen dan keluar dari kepompong
kalian kerana peribahasa melayu ada mengatakan, “jauh perjalanan, luas
pemandangan”.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

17

16. Kelebihan Membawa Bekal ke Sekolah

“ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.” Ungkapan ini amat sinonim
dengan amalan jimat cermat. Antara konsep yang menepati saranan
peribahasa ini ialah budaya membawa bekal ke sekolah. Pada realitinya,
memang tidak dapat kita pertikaikan akan kelebihan amalan membawa
bekal ke sekolah ini.

Pada hakikatnya, sikap hemat ini dituntut oleh agama manakala
sikap membazir pula ialah warisan akhlak syaitan. Keprihatinan dalam
berbelanja juga menjadikan kita individu yang beretika dan lebih
bertanggungjawab.

Amalan pembawaan bekal ke sekolah juga dapat menghindari kita
daripada kes keracunan. Makanan yang disediakan dari rumah lebih
lengkap pengisian ramuannya, bersih dan bebas daripada jangkitan
bakteria manakala makanan yang dibeli dari kantin sekolah mungkin
agak berisiko kerana melalui proses penyediaan yang kurang sempurna
kerana terperangkap dalam kesuntukan dan kekelamkabutan untuk
mengejar masa. Malahan, ada juga makanan yang tercemar kerana
menjadi mangsa singgahan lalat apabila terpaksa dipamer dedah
kepada pelanggan.

Murid yang membawa bekal ke sekolah juga akan menjimatkan kos
perbelanjaan hariannya. Wang saku yang diberi oleh ibu bapa dapat
disimpan untuk kegunaan pada waktu-waktu darurat. Persis kata
peribahasa Melayu, “sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit”.

Sekiranya wang simpanan ini ditabung di bank, deposit yang telah
menjangkau tempoh matang akan diberi faedah oleh pihak bank.
Prosedur bank ini akan memperkasakan ekonomi peribadi dan
berperanan pula menstabilkan pendapatan kasar negara.

Sebagai kesimpulannya, amalan membawa bekal ini amat baik
untuk dipraktikkan oleh setiap murid. Selain menjimatkan wang, budaya
ini juga memastikan kesihatan kita sentiasa terjamin. Kita perlu
memastikan badan kita sihat dan bertenaga kerana ada hadis yang
berbunyi, “Jagalah masa sihat kamu sebelum datang masa sakit”.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

18

17. Cara untuk Menjaga Kesihatan Diri

Kesihatan ialah anugerah Tuhan yang tidak ternilai. Setiap individu inginkan
tahap kesihatan yang terbaik untuk mengharungi kehidupan yang ceria.
Kesihatan akan menghasilkan kekuatan dan kekuatan akan menghasilkan
tenaga yang mampu menyempurnakan tugasan yang mencabar. Terdapat
beraneka cara yang dapat kita lakukan untuk menjaga kesihatan diri supaya
“Fizikal Cergas, Minda Cerdas”.

Pertamanya, kita mestilah sentiasa mengamalkan kebersihan diri. Selain
mandi tiga kali sehari dengan menggunakan sabun dan jangan sekali-kali
“mandi kerbau”. Kebersihan rambut dan kuku juga perlu diberikan perhatian
khusus untuk mengelakkan jangkitan penyakit.

Kita juga perlu mengamalkan pemakanan seimbang. Makanan seimbang
meliputi kabohidrat untuk tenaga, protein untuk pembesaran, vitamin untuk
mengelakkan penyakit, pelbagai jenis mineral dan garam galian yang
berfungsi untuk mengaktifkan reaksi enzim di dalam tubuh. Pada masa yang
sama, kurangkanlah makanan yang membahayakan tubuh seperti makanan
segera, makanan berlemak, makanan bergula dan minuman berkarbonat
dalam usaha untuk menjauhi tekanan darah tinggi dan penyakit jantung. Air
juga mesti diminum dengan banyaknya untuk meneutralkan asid yang
terkandung di dalam badan.

Aktiviti bersenam perlu dilakukan dengan konsisten kerana apabila kita
berpeluh, badan kita akan mengeluarkan toksin dan proses pembakaran
lemak yang terjadi pula akan bertindak mengawal masalah obesiti.
Di samping dapat menyihatkan tubuh, aktiviti bersenam juga akan
meningkatkan tahap kecergasan fizikal.

Kesihatan diri juga bergantung pada kuantiti rehat dan tidur yang cukup
kerana tanpa rehat yang mencukupi, tubuh akan menjadi lesu dan
memungkinkan semua aktiviti harian yang dirancang akan terbantut.
Kesihatan diri juga dapat diperoleh dengan mengamalkan aktiviti riadah yang
santai seperti bermain, berkelah dan berhibur.

Berdasarkan fakta yang tersenarai, maka terbuktilah bahawa amalan
menjaga kesihatan diri akan menjanjikan kehidupan yang aktif. Bertindaklah
dari sekarang agar kita sentiasa sihat dan bertenaga untuk menelusuri hidup
dalam alam yang penuh berisiko ini. Sesungguhnya, “Mencegah Lebih Baik
daripada Merawat”.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

19

18. Kebaikan Amalan Gotong-Royong

Gotong-royong membawa maksud amalan tolong-menolong atau saling
bekerjasama dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Budaya ini menepati kehendak
perumpamaan “bagai aur dengan tebing”. Apakah sebenaarnya faedah atau
manfaat daripada aktivit gotong-royong?

Amalan gotong-royong banyak faedahnya. Amalan ini mewujudkan sikap
muafakat antara komuniti yang terlibat dalam sesuatu tugasan. Kerja-kerja yang kita
lakukan akan menjadi lebih mudah kerana menjiwai budaya “sepakat Membawa
Berkat”. Aktiviti secara kolaboratif ini akan memudahkan kerja-kerja yang kita
lakukan kerana adanya agihan tugasan yang disediakan dan menepati pepatah
“berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.

Pelaksanaan untuk menjayakan majlis-majlis yang besar, yang memerlukan
sentuhan ramai seperti kenduri-kendara, hari keluarga, aktiviti sukan, atau majlis
kebudayaan tertentu akan menjadi lebih ringan dengan adanya agenda gotong-
royong yang mendasari peribahasa “ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni”.
Amalan ini juga dapat menjimatkan masa, tenaga dan kos kerana tempoh
pelaksanaan sesuatu progam atau projek akan menjadi lebih cepat daripada
perencanaan awalnya.

Aktiviti gotong-royong juga berupaya menerapkan pelbagai nilai murni dalam
kalangan anggota masyarakat setempat, bak kata peribahasa “sambil menyelam,
minum air”. Amalan nilai murni seperti bekerjasama, hormat-menghormati,
toleransi, keadilan, kebebasan, kebersihan fizikai dan mental, kesyukuran, rasional
serta semangat bermasyarakat ini amat penting dalam mewujudkan anggota
masyarakat yang bertanggungjawab. Semua nilai ini akan terpupuk dengan
sendirinya melalui keterlibatan dalam aktiviti gotong-royong.

Aktiviti gotong-royong juga dapat mewujudkan perpaduan. Perpaduan kaum
amat penting dalam kalangan masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai
kaum, adat, budaya dan agama. Sebarang program yang dirancang perlu melibatkan
kerjasama daripada semua etnik untuk mengelakkan fenomena “rambut sama
hitam, hati lain-lain”. Sebagai contohnya, setiap agenda tersebut perlulah adil
dengan menfokus kepada minat, kebolehan atau kepakaran semua kaum, barulah
jumlah penyertaan dalam sesuatu progam itu akan lebih memberangsangkan.

"Jiran Sepakat Membawa Berkat". Aktiviti gotong-royong juga dapat
menyemarakkan semangat kejiranan kerana berlakunya interaksi sosial yang positif
semasa bekerja. Selain mengeratkan hubungan siraturahim, sesi bualan juga akan
membolehkan kita menambah kenalan.

Sebagai kesimpulannya, aktiviti gotong-royong terbukti menawarkan pelbagai
manfaat kepada individu, masyarakat dan negara. Persis kata peribahasa Melayu,
‘Muafakat Membawa Berkat’. Peranan semua pihak dalam menjayakan keterlibatan
individu dalam sesuatu agenda gotong-royong akan berjaya memasyarakatkan
rakyat dalam usaha menggapai matlamat “Rakyat Maju, Negara Makmur”.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

20

19. Surat kepada Guru Besar

Kelab Sukan, Riadah dan Rekreasi,
Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu,
34300 Bagan Serai,
Perak Darul Ridzuan.

Guru Besar, 7 JULAI 2020.
Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu,
34300 BAGAN SERAI.

Tuan,

Mohon Mengadakan Lawatan sambil Belajar ke Bandar Taiping

Sukacita saya maklumkan bahawa perkara di atas saya rujuk.

2. Untuk pengetahuan tuan, Kelab Sukan, Riadah dan Rekreasi ingin mengadakan lawatan
sambil belajar ke bandar Taiping, antara bandar yang mempunyai pelbagai warisan sejarah
yang menarik di negeri Perak.

3. Berikut ialah butiran mengenai lawatan tersebut:

Tarikh Lawatan : 19 OGOS 2020

Hari : SABTU

Masa : 08:00 - 08:00 malam

Anggota Rombongan : 48 orang (3 orang guru penasihat dan 45 orang murid)

4. Beberapa lokasi lawatan telah kami pilih iaitu Muzium Perak, Zoo Taiping, Taman Tasik
Taiping, Hutan Kayu Bakau Matang, dan Bukit Larut. Bersama-sama ini juga, saya
lampirkan sesalinan atur acara lawatan berkenaan untuk rujukan dan penilaian tuan.

5. Selain menambahkan pengetahuan dan pengalaman murid tentang fakta sejarah, lawatan

ini juga diharapkan dapat memberikan pendedahan kepada anggota rombongan tentang

keunikan spesies flora dan fauna yang menghiasi belantara Malaysia. Bak kata
cendekiawan, “jauh perjalanan, luas pemandangan”.

Saya berharap agar permohonan ini mendapat pertimbangan dan perhatian yang
sewajarnya. Besarlah harapan saya supaya tuan dapat memberikan maklum balas sebelum
15 Julai 2020 bagi memudahkan kami melakukan urusan yang sepatutnya.

Sekian. Terima kasih.

Saya yang menjalankan amanah,

Isyraqhakim

(ISYRAQHAKIM BIN NOR AZIZI)
Setiausaha,
Kelab Sukan, Riadah dan Rekreasi,
Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu,
Bagan Serai.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

21

20. Surat kepada Guru Kelas

16, Jalan D’Melia,
Taman Bandar Senawang,
70450 Seremban,
Negeri Sembilan.

Guru Tahun Lima Arif, 11 MAC 2020.
Sekolah Kebangsaan Nyatoh,
Km 4, Jalan Kuala Sawah,
71200 Rantau,
Negeri Sembilan Darul Khusus.

Cikgu,

Tidak Hadir ke Sekolah

Sukacita saya maklumkan bahawa perkara di atas saya rujuk.

2. Untuk makluman cikgu, saya tidak dapat hadir ke sekolah pada sepanjang
minggu ini kerana sesuatu sebab yang tidak dapat saya elakkan.

3. Kelmarin, ayah saya telah dimasukkan ke di wad 3B, Hospital Seremban
kerana menghidap penyakit demam denggi. Oleh sebab keadaan ayah tersangat
lemah dan lesu “seperti ayam berak kapur”, ibu mengambil keputusan untuk
menemani dan menjaga ayah di wad.

4. Oleh sebab saya ialah “anak sulung”, saya telah diamanahkan dan
pertanggungjawabkan untuk mengurusi adik-adik yang masih kecil. Segala urusan
yang melibatkan aktivit persekolahan, kelas tuisyen, kelas fardu ain, kelas
tambahan dan kegiatan lain mereka terpaksa saya uruskan.

5. Walaupun saya tidak hadir ke sekolah, saya berjanji akan memastikan semua
kerja sekolah pada sepanjang minggu tersebut akan saya sempurnakan. Saya akan
menghubungi teman-teman sekelas untuk mendapatkan mana-mana tugasan yang
perlu saya beresi.

Saya berharap agar pemohonan ini mendapat perhatian dan pertimbangan
yang sewajarnya daripada cikgu. Segala kesulitan yang timbul amatlah saya
kesalkan.

Sekian, terima kasih.

Saya yang benar,

khadijah

(KHADIJAH BINTI YUSUF)

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

22

21. Surat kepada Penerbit Buku

Ainun binti Che Omar,
17, Jalan Putra 3/2,
Bandar IOI,
85030 Segamat,
Johor.
___________________________________________________________________________

Tuan Pengurus, 22 FEBRUARI 2020.
Syarikat Penerbitan Maju,
3 Jalan Wawasan 3,
33300 KUALA LUMPUR.

Tuan,

Pesanan Buku Rujukan UPSR

Sukacita saya maklumkan, perkara tersebut saya rujuk.

2. Saya, seperti nama dan alamat di atas ingin membeli beberapa buah buku rujukan
Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang telah syarikat tuan terbitkan.

3. Buku-buku yang saya maksudkan itu ialah:- - RM 4.60
a) 1 buah buku “Jelajah Pemahaman UPSR” - RM 7.20
b) 1 buah buku “123 Esei Eksklusif Munsyi Azizi” - RM 9.00
c) 5 buah buku “Gempur Topikal Sains 2020” (RM1.80 X 5)
- RM 20.80
Jumlah

4. Oleh sebab Peperiksaan UPSR akan diadakan pada awal September, saya berharap
agar pihak tuan dapat menyegerakan penghantaran buku tersebut kepada saya.
Seandainya buku-buku ini diposkan lebih cepat, pastinya bahan bacaan dan rujukan ini
akan membolehkan saya melakukan persediaan yang lebih awal untuk menghadapi
peperiksaan UPSR. Bak kata peribahasa, “sediakan payung sebelum hujan”.

5. Bersama-sama ini, saya sertakan Wang Kiriman Pos bernombor A 836672 yang
berjumlah RM30.80 (Ringgit Malaysia: Tiga puluh dan sen lapan puluh sahaja) sebagai
bayaran bagi buku-buku berkenaan berserta dengan kos penghantarannya.

Besarlah harapan saya agar permohonan ini mendapat perhatian yang segera dan
kerjasama yang sewajarnya daripada tuan.

Sekian. Terima kasih.

“BUKU JENDELA DUNIA”

Saya yang benar,

Ainun

(AINUN CHE OMAR)

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

23

22. Surat kepada Guru Besar

Tahun Empat Bestari,
Sekolah Kebangsaan Laksamana,
34650 Kuala Sepetang.

Guru Besar, 1 MAC 2020.
Sekolah Kebangsaan Laksamana,
34650 KUALA SEPETANG.

Cikgu,

Kerosakan Kipas dan Lampu di Bilik Darjah Empat Bestari

Sukacita saya maklumkan bahawa perkara di atas saya rujuk.

2. Untuk pengetahuan cikgu, kipas dan lampu di bilik darjah Empat Bestari telah rosak
dan tidak berfungsi sejak seminggu yang lalu. Menurut guru kelas kami, Cikgu Hafaz,
kerosakan ini mungkin berpunca daripada kecederaan pada dawai elektrik yang telah
terlalu usang.

3. Kerosakan kipas dan lampu telah mengakibatkan kami tidak dapat menumpukan
sepenuh perhatian pada proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung.
Pengajaran guru “bagai menghitung bulu kambing” sahaja. Kerosakan ketiga-tiga kipas
ini telah menyebabkan suasana bilik menjadi panas. Apatah lagi, sekolah ini terletak
berhampiran dengan laut dan hawa panasnya kekal menyelubungi kawasan
persekitaran. Ada sesetengah daripada teman sekelas yang lencun bajunya kerana
dibasahi peluh. Bagaimanakah kami mampu belajar, jika keadaan begini berterusan?
Kami bagaikan “itik diajar berenang”.

4. Keenam-enam lampu yang disediakan pada siling juga tidak berfungsi sama sekali.
Kami terpaksa belajar dalam keadaan yang agak gelap terutama pada waktu sidang
awal sebelum rehat. Kedudukan kelas Tahun Empat Bestari yang terletak di belakang
bangunan utama juga menyebabkan bilik darjah kami dinaungi bayang bangunan.

5. Besarlah harapan saya agar masalah ini dapat cikgu atasi dengan segera agar kami
dapat belajar dengan situasi yang lebih selesa untuk menjana kejayaan maksimum
dalam pelajaran.

Saya berharap agar pemohonan ini mendapat perhatian dan pertimbangan yang
sewajarnya daripada cikgu. Segala kesulitan yang timbul amatlah saya kesalkan.

Sekian. Terima Kasih

Saya yang benar,

IsyraqhakimAzyzie

(ISYRAQHAKIM BIN NOR AZIZI)
Ketua Kelas Tahun 4 Bestari

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

24

23. Surat kepada Nenda

Hapsah binti Hussain,
123, Jalan Cenderawasih 4,

Taman Cempaka Sari,
56789 Kuala Lumpur.

13 September 2020.

Menemui nenda kesayangan cucunda, dengan iringan himpunan doa semoga
nenda berdua berada dalam keadaan sihat sejahtera. Cucunda sefamili di sini
sentiasa afiat dikurniakan-Nya.

Nenda,
Rasa-rasanya sudah lama kita tidak saling menghubungi. Tujuan cucunda

mengutusi nenda pada kali ini adalah untuk menceritakan serba sedikit
perkembangan cucunda dan keluarga di sini.

Kami semuanya alhamdullilah sihat, terutama bonda yang kian tembam
tubuhnya. Jadi, pada saban pagi, beliau asyik berzumba menghadap televisyen.
Malangnya, selepas bersenam setengah mati, dia akan kelesuan dan minum
dengan banyaknya. Agak-agak, dapat kuruskah macam ni?

Ayahanda kini telah dinaikkan pangkat sebagai Guru Besar. Kesibukannya
di sekolah menyebabkan beliau jarang pulang untuk merarau. Cucunda pula,
sering kepetangan kerana memang pergi ke sekolah dengan menaiki kereta
ayahanda.

Nenda jantung hati cucunda,
Adinda Khairuddin kini sudah mula bertatih. Banyaklah perhiasan di ruang

tamu yang telah menjadi mangsa jangkauannya. Semua “isi rumah” kini
terpaksa memantau pergerakannya.

Pada bulan September nanti, cucunda akan menduduki UPSR. Pelbagai
persediaan telah cucunda lakukan, seperti belajar secara sistematik,
menghadiri kelas bimbingan dan kelas tuisyen, menyertai program motivasi,
berdiskusi, dan sesekali melayari Internet untuk memperoleh info mutakhir. Bagi
cucunda, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.

Nampaknya hingga di sini dahulu pada kesempatan ini. Sehingga bersua
kembali, sambutlah salam hormat daripada cucunda untuk nenda berdua.

Wassalam.

Cucunda yang jauh,

hapsah

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

25

24. Surat kepada Sahabat

Mat Ariffin bin Ismail,
11 A, jalan Damar 3,
Taman Rasa Indah,
44200 Rasa,
Selangor.

5 Ogos 2020.

Ke pangkuan Saudari Isni yang saya ingati, dengan iringan himpunan doa semoga
saudari sekeluarga berada dalam keadaan sihat. Saya sefamili di sini sentiasa afiat
dikurniakan-Nya.

Rasanya sudah lama kita tidak berutusan. Tujuan saya menghubungi saudari
adalah untuk menceritakan pengalaman bercuti bersama-sama dengan keluarga kepada
saudari. Untuk pengetahuan saudara, semasa cuti semester baru-baru ini, saya
sekeluarga telah pulang ke kampung kami di Batu Kurau, Perak.

Kami bergerak ke Taiping dengan menaiki kereta api. Pengalaman menaiki kereta
api memberikan saya kesempatan untuk menyaksikan keindahan alam ciptaan Tuhan.
Pada sepanjang perjalanan, saya dapat menikmati pemandangan sawah yang
menguning, bukit-bukau yang membiru, tasik yang luas terbentang dan suasana desa
yang menggamit kedamaian. Betullah kata pepatah, “jauh perjalanan, luas
pemandangan”.

Semasa di kampung, saya telah mengikuti datuk ke dusun buah-buahan. Selain
membantu datuk mengumpul buah durian, saya berpeluang mengait langsat, rambutan,
manggis dan rambai. Kawasan dusun juga kami bersihkan untuk memudahkan
kerja-kerja mengutip buah-buahan.

Sesekali, saya menemani datuk menjual buah-buahan di gerainya. Selain
mengetahui tip tentang selok-belok perniagaan buah-buahan, saya juga diberi upah
harian oleh datuk. Kata orang, “mara jangan dipukat, rezeki jangan ditolak”.

Saya juga berpeluang mengikuti datuk memburu haiwan perosak seperti babi
hutan, kelawar, monyet dan tupai. Banyak juga kelawar, tupai dan monyet yang telah
ditembak oleh datuk. Selepas itu, kami akan melepaskan penat lelah di sebatang anak
sungai yang berhampiran.

Saudari Isni,
Pelbagai keseronokan telah saya lalui semasa bercuti di kampung. Kalau ada

kisah yang menarik, bolehlah saudara ceritakan kepada saya pula nanti.

Sampai di sini dahulu untuk kesempatan ini. Sehingga bersua kembali, sambutlah
salam hormat daripada saya untuk saudara sekeluarga.

Wassalam.

Saudaramu,

matariffin

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

26

25. Surat kepada Sahabat

Robbia Jarup,
474, Taman Sri Jaya,

Jalan Hollis,
95000 Sri Aman,

Sarawak.

14 Januari 2020.

Menemui Saudara Azizi, semoga saudara sekeluarga dalam situasi sejahtera dan
ceria berpanjangan. Saya sefamili di sini, alhamdullilah, afiat dikurniakan-Nya.

Warkah saudara telah selamat saya terima tadi. Nampaknya beria-ria benar
saudara hendak mengetahui persediaan saya untuk menghadapi UPSR.

Saudara Azizi,
Untuk pengetahuan saudara, pelbagai usaha telah saya lakukan untuk

menjaring keputusan cemerlang dalam UPSR 2020. Kata hikmat ada menyatakan
bahawa, “Usaha Tangga Kejayaan”. Selain menumpukan penuh konsentrasi
terhadap pengajaran guru, saya juga sering bertanya kepada guru dan rakan,
menyiapkan setiap latihan yang diberi dan berlatih menjawab soalan dalam jangka
masa yang ditetapkan.

Malah, di samping menyediakan jadual belajar yang sistematik untuk

mengimbangi masa bermain dengan waktu menelaah, saya juga belajar secara
berkumpulan kerana amalan melakukan sesuatu pekerjaan “bagai aur dengan
tebing” ini pastinya menjanjikan kejayaan berganda.

Saya juga mendampingi pusat sumber dan melayari Internet untuk membuat
rujukan. Pada masa yang sama, saya bertukar-tukar nota dan kertas peperiksaan
dengan rakan dari sekolah lain.

Komitmen jitu saya dalam kelas-kelas bimbingan di sekolah, kelas tuisyen dan
program-program motivasi juga banyak membantu saya memperoleh info mutakhir
tentang teknik menguasai A dalam UPSR.

Saudara Azizi yang saya ingati,

Selain kecekalan, amalan tawakal juga perlu kita jiwai untuk merealisasikan
impian untuk menjadi murid cemerlang. Bagi saya, “yang bulat tidak datang
bergolek, yang pipih tidak datang melayang”. Bagaimanakah pula dengan persiapan

saudara?

Sampai di sini dahulu bagi kesempatan ini. Akhirul kalam, sambutlah salam
hormat daripada saya yang jauh.

Wassalam.

Calon 6A UPSR 2020,

Robbia

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

27

26. Surat kepada Sahabat

Norazizah binti Haji Mohamad Yusop,
7B-00-06,

Kondo Tiara Intan,
68000 Ampang.

31 Mac 2020.

Ke pangkuan Saudara Faris yang saya ingati, dengan iringan himpunan doa semoga
saudara sekeluarga berada dalam keadaan sihat. Saya sefamili di sini sentiasa afiat
dikurniakan-Nya.

Rasanya sudah lama kita tidak berutusan. Untuk pengetahuan saudara, semasa
cuti semester baru-baru ini, saya sekeluarga telah bercuti ke Taiping, sebuah bandar
yang paling tinggi taburan hujan tahunannya di Malaysia. Taiping lebih dikenali sebagai
Bandar Warisan kerana kepelbagaian faktor sejarah yang dimilikinya.

Untuk pengetahuan saudara, bandar ini menerima pengiktirafan antarabangasa
apabila tersenarai sebagai Bandar Ketiga Terbaik Dunia pada tahun 2018.

Semasa berada di Taiping, kami telah mengunjungi banyak tempat menarik yang
terdapat di bandar bersejarah ini. Selain dapat menikmati keindahan alam semula jadi
yang begitu menarik di bandar ini dan menyaksikan kepelbagaian spesies haiwan
di Zoo Taiping, kami juga berpeluang menghayati keunikan bahan sejarah yang
terpamer di Muzium Perak.

Di bandar ini, kami melihat deretan tinggalan sejarah yang tertua di Malaysia, yang
“tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”. Bangunan ini dibina semasa penjajahan
Inggeris dahulu seperti bangunan pejabat kerajaan, sekolah, masjid, Penjara Taiping,
Jam Besar, Pasar Besar, muzium, stesen kereta api dan sebagainya. Terbukti, bandar
Taiping amat memukau dan bukanlah sekadar “indah khabar dari rupa”.

Saudara Faris,
Bandar Taiping menjadi pilihan kami kerana bandar ini dipenuhi dengan pelbagai

prasarana yang diperlukan oleh pelancong seperti hotel, restoran dan warung, stesen
bas, lapangan terbang, pusat beli-belah, air terjun, sungai, tasik, taman bunga, dan juga
lokasi riadah dan rekreasi. Sekiranya saudara ingin melancong, rasanya tidak rugi kalau
bandar Taiping ini saudara jadikan menjadi destinasi impian.

Sampai di sini dahulu untuk kesempatan ini. Sehingga bersua kembali, sambutlah
salam hormat daripada saya untuk saudara sekeluarga. Pastikan hubungan kita ini
“hilang di mata, di hati jangan”.

Wassalam.

Saudaramu,

norazizah

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

28

27. Surat kepada Sahabat

Mohd. Zikrilhakim bin Nor Azizi,
41, Lorong 10A,

Taman Saujana Jaya,
34000 Taiping.

1 Mac 2020.

Ke pangkuan Saudara Iqmalhakim yang saya ingati, dengan iringan himpunan doa
semoga saudara sekeluarga berada dalam keadaan sihat. Saya sefamili di sini
sentiasa afiat dikurniakan-Nya.

Saudara Iqmalhakim,
Bagaimanakah dengan perkembangan saudara sekarang? Saya kini sibuk

mengulang kaji pelajaran sebagai persediaan untuk menghadapi Ujian Pencapaian
Sekolah Rendah (UPSR). Surat saudara telah saya terima seminggu yang lalu.
Terima kasih saya ucapkan atas ingatan tersebut.

Pelbagai usaha telah saya lakukan untuk memartabatkan ilmu kendiri kerana
bagi saya, “jika tidak dipecah ruyung di mana boleh mendapat sagu”. Sekiranya kita
asyik “berpeluk tubuh”, maka kita akan ketinggalan dalam arus ketamadunan. Pada

minggu lepas, saya telah mengikuti program Motivasi Kecemerlangan Akademik

anjuran Pejabat Pendidikan Taiping. Program ini telah diadakan di Pusat Latihan

Amanah Ikhtiar, Taiping.

Peserta yang terpilih untuk menyertai program ini terdiri daripada calon UPSR
dari sekolah-sekolah di sekitar Taiping. Hanya murid-murid yang berpotensi meraih
6A terpilih untuk menyertai program yang dilaksanakan bagi memberikan kesedaran
dan motivasi kepada calon-calon UPSR ini.

Saudara Iqmal,

Selain daripada sesi ceramah yang disampaikan oleh pakar-pakar motivasi,
kami juga didedahkan dengan slot teknik jawab soalan, kupasan soalan “maut”, tip

peperiksan dan teori pengurusan masa. Melalui program ini, saya mendapat banyak

pengetahuan dan pengalaman yang berguna. Semua kelebihan ini menjadikan kami
memiliki “daya fikir” yang tinggi.

Saya pasti bahawa saudara juga ada mengikuti program seperti ini. Saya
berharap semoga kita akan meraih keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan
UPSR nanti.

Nampaknya sampai di sini dahulu pada kesempatan ini. Sehingga bersua
kembali, sambutlah salam hormat daripada saya untuk saudara sekeluarga.

Wassalam.

Taulan setiamu,

zikrilhakim

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

29

28. Surat kepada Sahabat

Azhar bin Salleh,
40, Jalan Perjiranan 10/21,

Bandar Dato’ Onn,
81100 Johor Bahru.

21 April 2020.

Menemui Saudara Nizar Parman yang berada di Batu Pahat. Apa khabar saudara
di samping keluarga tercinta? Saya di sini sihat-sihat sahaja. Saya mohon maaf
kerana sudah lama tidak menjengah talian. Tujuan saya menghubungi saudara pada
kali ini adalah untuk menceritakan tentang sambutan hari usahawan di sekolah
saya.

Untuk makluman saudara, baru-baru ini, sekolah saya telah mengadakan hari
kantin. Seperti pada tahun-tahun lepas, saya dan rakan sekelas telah diberi peluang
untuk mencuba nasib dalam perniagaan. Untuk memeriahkan program hari
usahawan, setiap kelas tahap dua disediakan kios bagi menjalankan perniagaan
masing-masing.

Kami telah membuat keputusan untuk mengusahakan gerai burger. Saya pula
telah dilantik menjadi ketua. Sebelum memulakan perniagaan, kami telah
mengadakan perbincangan untuk mengagihkan tugas masing-masing.
Perbincangan ini penting sekali kerana kami khuatir kalau-kalau ada antara kami
yang “belum duduk sudah berlunjur”.

Semasa hari usahawan, sesi perniagaan yang kami jalankan amat
memberangsangkan. Hal ini demikian adalah kerana kedudukan gerai kami yang
begitu strategik, iaitu berhampiran dengan khemah perasmian. Dalam pada itu, rasa
burger dan hot dog kami juga lebih perisa kerana kami tidak mengamalkan sikap
“tangkai jering” dalam mempelbagaikan ramuan untuk diisikan ke dalam roti yang
kami jual. Oleh sebab sambutan daripada pelanggan amat menggalakkan, kami
terpaksa memesan bekalan roti, sosej dan daging burger tambahan.

Untuk pengetahuan saudara, keuntungan yang kami peroleh dalam tempoh
tujuh jam berniaga ialah sebanyak RM166.00. Wang keuntungan ini akan kami
gunakan untuk membiayai aktiviti tahunan kelas yang telah kami rancangkan pada
sepanjang tahun ini.

Sesungguhnya, banyak ilmu yang kami peroleh daripada pengalaman berniaga
ini. Bagaimanakah dengan saudara, adakah sesuatu yang hendak saudara ceritakan
kepada saya? Saya sentiasa sedia menerima perkhabaran daripada saudara. Kita
perlu saling menghubungi agar hubungan kita “bagai hempedu lekat di hati”.

Sekian. Sesehingga bersua lagi pada kesempatan lain, sambutlah salam kasih
sayang daripada saya yang jauh.

Taulan setiamu,

Azhar

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

30

29. Ucapan Persaraan Guru Besar

Salam pertemuan saya wariskan untuk yang kita raikan, Guru Besar,
Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail 1, Kuala Lumpur, Puan Ramnah
binti Darus, guru-guru penolong kanan, barisan guru kesayangan dan
seterusnya teman seperjuangan sekalian.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Saya berasa amat bertuah kerana saya telah dipilih untuk

menyampaikan ucapan bagi mewakili semua murid Sekolah Kebangsaan

Bestari dalam majlis yang kita adakan untuk mengucapkan selamat bersara
kepada Guru Besar kita ini. Pemilihan ini saya tamsilkan sebagai “kecil
tapak tangan, nyiru saya tadahkan”.

Hadirin sekalian,
Sesungguhnya, persaraan Cikgu Ramnah merupakan satu kehilangan

kerana beliau ialah tunggak kejayaan kita selama ini. Kita seolah-olah
“seperti si buta kehilangan tongkat” apabila cikgu tidak ada lagi di sisi
kami. Banyak jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkannya untuk
memartabatkan prestasi sekolah ini. Biarpun Cikgu Ramnah peramah dan
penyayang, namun beliau begitu tegas dan komited dalam menjalankan
tugasnya.

Berkat kepemimpinan beliau, pelbagai kejayaan besar telah kita capai.
Antaranya termasuklah anugerah Sekolah Harapan Negara 2018, Sekolah
Berprestasi Tinggi, Sekolah Prestasi Gemilang dan Johan Keceriaan Negeri
Selangor tiga tahun berturut-turut,.

Puan Ramnah kesayangan kami,
Terima kasih atas segala-galanya. Kami berharap agar nostalgia

di sekolah ini akan sentiasa menghiasi hari-hari muka cikgu. Semoga cikgu
akan gembira beristirahat bersama-sama keluarga. Curi-curilah masa untuk
menjenguk kami nanti.

Akhir kata, sebagai penutup bicara, kami menyusun sepuluh jari,
mohon ampun maaf atas segala kekasaran kata, keterlanjuran bahasa dan
kelancangan tingkah laku kami lakukan selama ini.

Kalau ada sumur di ladang,
Bolehlah kita menumpang mandi;

Kalau ada umur yang panjang,
Bolehlah kita berjumpa lagi.

Sekian, terima kasih.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

31

30. Ucapan Faktor-faktor yang Mengakibatkan Kemalangan Jalan Raya

Yang saya muliai, Encik Abdul Aziz bin Ahmad, Guru Besar, Sekolah
Kebangsaan King Edward VII(2), Taiping, barisan guru penolong
kanan, guru-guru tersayang dan seterusnya teman seperjuangan yang
saya kasihi. Salam sejahtera untuk kalian.

Ungkapan “malang tidak berbau” sering diujar apabila kemalangan
ungkapan “Biar Lambat Asal Selamat” diabaikan. Sesungguhnya, sesuatu
tragedi itu pasti ada punca kejadiannya. Inilah hakikat yang akan saya
perjelaskan dalam ucapan ini, iaitu “Faktor-faktor yang Mengakibatkan
Kemalangan Jalan Raya.” Tiada ubat yang tiada penawarnya, maka
langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik harus dijalankan
secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi hingga ke akar umbi.

Hadirin sekalian,
Sesungguhnya, kemalangan jalan raya ini berpunca daripada sikap

manusia sendiri yang terlalu individualistik, egois atau alpa. Sesetengah
pemandu pula ada yang memandu dalam keadaan mengantuk, lesu
atau mabuk.

Selain itu, keadaan kenderaan yang tidak diselia dengan sempurna
juga menjadi punca terjadinya nahas. Malah, ketidakberkesanan sistem
lampu isyarat, cermin sisi, lampu, tayar, brek, hon atau pengelap
cermin kerap kali dikaitkan dengan berlakunya musibah di laluan utama.

Di samping faktor cuaca, masalah teknikal juga menjadi pemangkin
kepada kecelakaan. Keadaan jalan raya yang berlopak, berlikuan atau
terlalu lurus yang sering mengundang padah. Malah, kerja-kerja
penaiktarafan jalan raya, kepincangan fungsi lampu isyarat, kedudukan
plaza tol atau kedudukan papan tanda yang tidak strategik juga
membantu meningkatkan kes kemalangan.

Saudara dan saudari,
Seandainya tiada kesepakatan dan keseragaman usaha daripada

semua, fenomena maut ini akan terus menghantui kita.

Yang pasti, hanya kewaspadaan akan menyelamatkan situasi.
Sentiasalah berhemah di jalan raya kerana “Pandu Cermat, Jiwa Selamat”.
Usaha ini pasti akan membuahkan hasil kalau pelbagai langkah yang
efektif dan drastik dilakukan segera untuk mengatasi masalah yang sudah
bersarang lama di negara kita ini.

Sekian. Terima kasih.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

32

31. Ucapan Perpisahan Guru Kesayangan

Salam pertemuan saya warisi untuk yang saya muliai, Tuan Haji Mohd.
Kamal bin Ahmad, Guru Besar, Sekolah Kebangsaan Tebing Tinggi,
yang kita raikan, Yang Mulia Cikgu Raja Laina Kariesa binti Raja Yusof
Izuddin Shah, barisan guru tersayang dan seterusnya teman
seperjuangan sekalian.

Assalamualaikum dan salam sejahtera semuanya.

Hadirin yang saya hormati,
Pertama-tamanya, saya merakamkan untaian terima kasih kepada

pihak majlis atas kesudian memberi saya kesempatan untuk berucap
bagi mewakili murid SK Tebing Tinggi ini. Seperti yang kita sedia
maklum, majlis ini kita adakan untuk meraikan Cikgu Laina yang akan
melanjutkan pengajiannya pada peringkat sarjana di Universiti Putra
Malaysia, Serdang. Personaliti “jiwa besar” yang dimiliki oleh Cikgu
Laina ini sewajarnya kita warisi.

Sesungguhnya, penghijrahan Cikgu Laina merupakan satu
kerugian dan tamparan kerana beliau ialah tunggak kejayaan kita.
Cikgu Laina juga seorang guru yang dedikasi, bertanggungjawab dan
begitu prihatin terhadap masalah muridnya. Kendatipun beliau tegas,
namun kekarismaan etika yang dimilikinya menyebabkan kita sering
tertunggu-tunggu akan kehadirannya ke kelas. Saya berharap agar kita
tidak “tenggelam punca” dengan ketidakberadaan Cikgu laina
di samping kita nanti.

Cikgu Laina yang kami kasihi,
Kami panjatkan doa semoga cikgu menempa kejayaan di UPM.

Kalau kelapangan, jenguk-jenguklah kami di sini. Biarpun cikgu tiada
di sisi untuk memantaui kami, kami berikrar akan melipatgandakan
usaha untuk menjaring kecemerlangan dalam peperiksaan UPSR nanti.

Akhir kata, sebagai penutup bicara, saya, mewakili semua sekolah
ini menyusun sepuluh jari, mohon ampun maaf atas kekasaran kata,
keterlanjuran bahasa dan kelancangan tingkah laku kami selama ini.

Malam raya meriam dibedil,
Riuh rendah tanpa amaran;

Guru ibarat pelita kerdil,
Penyuntik cahaya dalam kesamaran.

Sekian. Terima kasih.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

33

32. Ucapan Perpisahan Tahun Enam

Bismillahhirrahmanirrahim. Salam pertemuan di barisan ini saya wariskan
untuk Puan Hapsah binti Hussain, Guru Besar, Sekolah Kebangsaan
Taman Saujana Jaya, yang berusaha guru-guru penolong kanan,
guru-guru tersayang dan seterusnya teman seperjuangan. Salam
sejahtera untuk kalian.

Pertama-tamanya, marilah kita panjatkan syukur ke hadrat Ilahi
kerana atas limpah perkenan dan kurnia-Nya, maka majlis ini dapat kita

sempurnakan. Jutaan penghargaan juga saya rakamkan kepada pihak
majlis kerana memilih saya untuk menyampaikan ucapan bagi mewakili
murid tahun enam sekolah ini. Saya amat “besar hati” dengan
penghargaan ini.

Hadirin sekalian,

Nampaknya minggu ini ialah minggu terakhir bagi kami untuk berada

di sekolah ini. Sesungguhnya, kami akan meninggalkan sekolah ini

dengan himpunan kesedihan. Sesungguhnya, amat berat hati kami untuk
melangkah keluar dari halaman sekolah ini. Bak kata peribahasa “tempat
jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain”.

Jadi, pada kesempatan ini, kami mengucapkan tinggian terima kasih

atas jasa dan sumbangan semua guru dalam usaha mencanai kami

menjadi insan yang kamil. Selama belajar di sini, kami telah dididik,

diasuh dan dibimbing oleh para guru tanpa mengambil kira erti jemu.
Jasa bakti dan sumbangan kalian ibarat “mahal dibeli sukar dicari”.

Barisan guru tersayang,
Kami berharap agar cikgu akan kekal telus untuk memartabatkan

imej dan prestasi murid-murid sekolah ini. Semoga institusi ini akan terus
cemerlang, gemilang dan terbilang dalam segala aspek.

Sebagai penutup bicara, kami pohon ampun maaf atas sebarang
kekasaran kata, keterlanjuran bahasa dan kelancangan tingkah laku kami
selama ini. Doakanlah kejayaan kami di sekolah menengah nanti dan
semoga keberkatan ilmu yang cikgu-cikgu ajarkan akan membawa kami
ke menara gading.

Kalau ada sumur di ladang,
Izinkan kami menumpang mandi,

Kalau ada usia yang panjang,
Pasti kita ketemu kembali.

Sekian. Terima kasih.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

34

33. Syarahan “Hidup Sepakat Membawa Berkat”

Terima kasih saya ucapkan kepada Saudari Pengerusi Majlis.

Air jernih menghias lata,
Sayang merbah di pohon cemara;
Salam pertemuan pemula kata,
Mohon saya membuka bicara.

Salam perpaduan dan salam sejahtera untuk yang saya hormati, panel hakim
yang arif dan sentiasa menegakkan paksi kebenaran, warga pendidik yang budiman,
teman seperjuangan seterusnya hadirin yang saya kasihi.

“Masyarakat Sepakat Membawa Berkat” merupakan tajuk syarahan saya pada
hari ini. Kamus Dewan Edisi Keempat, mendefinisikan “hidup sepakat” sebagai hidup

saling bekerjasama manakala “membawa berkat” pula bermaksud mendatangkan

kebaikan atau faedah. Dalam dunia yang serba sofistikated ini, semua pihak wajib

saling berinteraksi positif untuk menjana kesepakatan, barulah kita dapat menikmati

hala tuju kehidupan yang lebih sempurna. Kesimpulannya di sini, budaya hidup

sepakat terbukti mendatangkan banyak manfaat kepada anggota masyarakat.

Sidang dewan yang budiman,

Kemajuan dan kesejahteraan yang di Malaysia kini ialah hasil daripada

permuafakatan antara pelbagai kaum. Tanpa sikap kerjasama dan toleransi, pergeseran

dan perbalahan kaum mudah terjadi. Budaya saling menghargai jasa dan pengorbanan
orang lain ibarat menjiwai pepatah “orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita
merasa”. Semangat kerjasama ini juga perlu dipupuk sejak awal kerana “melentur
buluh, biarlah dari rebungnya”.

Dalam konsep kejiranan, kita perlu melahirkan anggota masyarakat yang saling
prihatin tanpa mengira faktor adat, agama, budaya, kaum atau status. “yang buta
dipimpin, yang sakit diziarahi”. Kehadiran dan keberadaan dalam sesuatu majlis atau

program seperti gotong-royong, rumah terbuka, kenduri-kendara, hari keluarga, sukan,

darmawisata atau kempen tertentu akan mendorong anggota masyarakat untuk saling

mengenali dan bekerjasama. Sikap saling berinteraksi ini akan membawa pelbagai
keberuntungan dan amalan “bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-
masing” perlu kita pinggirkan sama sekali. Justeru, marilah kita mengutamakan isu

kekeluargaan dan kemasyarakatan yang mendasari semangat kejiranan.

Hadirin sekalian,
Amalan sepakat dalam melakukan sesuatu pekerjaan juga akan menghasilkan

faedah berganda. Berkat sikap kerjasama, muafakat dan semangat patriotik yang
dimiliki oleh pejuang berbilang kaum telah berjaya membebaskan negara daripada
belenggu penjajah. Hasilnya, kita telah mencapai kemerdekaan dan menjalani hidup
dalam kondisi aman dan sejahtera. Ternyatalah, “Rakyat Makmur, Negara Maju”.

Akhir kata, marilah kita mengamalkan budaya “Hidup Sepakat Membawa Berkat”
agar perpaduan dalam kalangan rakyat akan kekal terpelihara dan seterusnya
menjamin keselamatan dan kedaulatan Negara.

Sekian, terima kasih.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

35

34. LAPORAN HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN SK CONVENT KAJANG (M) 2020

Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan 2020 Sekolah Kluster Kecemerlangan,
Sekolah Kebangsaan Convent Kajang (M), telah diadakan pada hari Sabtu,
10 Oktober, 2020. Majlis Hari Anugerah dimulakan pada pukul 08:30 pagi ini telah
dilangsungkan di dewan sekolah.

Guru Besar, Hajah Roslina binti Haji Hashim, dalam ucapan beliau
memaklumkan bahawa majlis ini berperanan untuk memberikan penghargaan
kepada murid-murid yang telah mencapai prestasi yang cemerlang dalam bidang
akademik, kokurikulum dan kesahsiahan diri pada tahun 2020.

Ibu bapa tidak melepaskan peluang untuk hadir menyaksikan anak mereka
tampil ke pentas untuk menerima pengiktirafan. Ketibaan dif kehormat, Pegawai
Pendidikan Daerah, PPD Hulu Langat, Tuan Haji Arbain bin Pinni, telah disambut
dengan paluan berseni oleh pasukan kompang sekolah.

Dalam ucaptamanya, Pegawai Pendidikan Daerah telah merakamkan
ucapan tahniah kepada penerima anugerah dalam bidang akademik,
kokurikulum dan sahsiah pada tahun 2020. Beliau menasihati semua murid
supaya belajar dengan lebih giatnya untuk menjadi pewaris negara yang
berwawasan, Persis kata mutiara, “Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang
Negara”.

Beberapa agenda selingan seperti nyanyian, tarian, lakonan, dan sketsa
juga dipersembahkan sebagai “halwa telinga” untuk memeriahkan majlis
sambutan hari anugerah.

Selepas menyaksikan pameran reka cipta yang diadakan di bilik darjah
bersebelahan, semua tamu menghadiri jamuan ringan di Pusat Sumber Sekolah.

Sambutan Majlis Hari Anugerah Keemerlangan 2020, Sekolah Kebangsaan
Convent Kajang telah berjalan dengan lancar hasil kerjasama daripada semua
pihak.

Majlis gilang-gemilang ini diharapkan dapat memberikan motivasi kepada
murid lain agar terus berusaha untuk menggapai kecemerlangan dalam setiap
aspek yang diceburi oleh mereka.

Laporan disediakan oleh, 7 OKTOBER 2020.

zainita

ZAINITA BINTI HUSSAIN
Setiausaha,
Persatuan Bahasa dan Budaya,
Sekolah Kebangsaan Convent (M) Kajang.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

36

35. Laporan Sambutan Hari Kebangsaan SK King George V, Seremban

Sambutan Hari Kebangsaan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), Sekolah
Kebangsaan King George V, Ampangan, Seremban, telah diadakan pada hari
Khamis, 29 Ogos, 2020, bertempat di padang KGV. Majlis ini diadakan bagi
memperingati ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-63.

Majlis ini dimulakan seawal pukul 08:00 pagi. Atur acara pembuka tirai
majlis menyajikan nyanyian lagu “Negaraku”, “Lagu Kebesaran Negeri
Sembilan”, lagu sekolah, lagu “Jalur Gemilang”, ucapan sempena hari
kebangsaan, dan pembacaan perutusan khas Hari Kebangsaan.

Acara pendeklamasian sajak patriotik, persembahan lagu-lagu yang
bertemakan nasionalisme oleh orkestra sekolah dan laungan “Merdeka!”
sebanyak tujuh kali kemudiannya menyusuli acara berikutnya.

Semua murid kemudiannya berbasikal mengelilingi pekan Ampangan
sambil menyanyikan lagu-lagu patriotik dan mengibarkan bendera Malaysia.
Laungan kemerdekaan juga dilakukan pada sepanjang perjalanan tersebut.

Setelah selesai menjelajahi persekitaran yang ditetapkan, kami kembali
ke sekolah. Pihak sekolah menyediakan jamuan ringan untuk semua warga
sekolah. Selepas menikmati juadah, semua murid memenuhi dewan untuk
menyertai pertandingan mewarna “Jalur Gemilang” dan melukis logo Hari
Kebangsaan. Agenda majlis sambutan ini menemukan penghujungnya pada
pukul 12:30 tengah hari.

Pada keseluruhannya, majlis sambutan ulang tahun hari kebangsaan ini
berlangsung dalam suasana yang meriah. Usaha pihak sekolah untuk
menanamkan nasionalisme dalam kalangan murid ternyata telah membuahkan
hasil. Sesungguhnya, ungkapan pepatah “bersatu kita teguh, bercerai kita
roboh” telah membuktikan pernyataannya.

Laporan disediakan oleh, 6 SEPTEMBER 2020.

Wannorshahirah

WAN NOR SHAHIRAH BINTI WAN SUHAIMI
Setiausaha II,
Sambutan Hari Kebangsaan,
Sekolah Kebangsaan King George V, Seremban.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

37

36. LAPORAN DARMAWISATA KE PULAU LANGKAWI

Pada hari Sabtu, 10 Ogos 2020, Kelab Sukan, Kebajikan dan Rekreasi, Sekolah
Kebangsaan Kampung Jambu, Taiping telah mengadakan darmawisata selama
dua hari ke pulau legenda, Langkawi. Empat orang guru penasihat dan 44 orang
anggota kelab yang menyertai lawatan ini bergerak meninggalkan kawasan
sekolah dengan menaiki bas persiaran kira-kira pada pukul 08:15 pagi.

Perjalanan ke Pulau Mutiara mengambil masa lebih kurang dua jam. Tepat
pada pukul 11:30 pagi, kami berlepas pula dari Lapangan Terbang Bayan Lepas
ke Pulau Langkawi dengan pesawat Boeing B737-800 MAS. Pengalaman menaiki
kapal terbang ternyata menjelmakan nostalgia. Setengah jam kemudian,
sampailah kami ke destinasi impian.

Dari Lapangan Terbang Langkawi, bas yang kami tempah membawa kami
ke “Underwater World”. Setelah meneroka dan menghayati alam akuatik, kami
singgah untuk menjamu selera di Restoran Changloon. Kemudian, kami
berangkat pula ke Taman Buaya, Pondok Upih. Pada petangnya, kami mendaftar
masuk ke Hotel Langkasuka untuk merawat kelesuan.

Pada keesokan harinya, kami melawat beberapa lokasi bersejarah
di Pulau Langkawi yang “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas” seperti
Makam Mahsuri, Padang Mat Sirat, Telaga Tujuh, Telaga Air Hangat, dan Tasik
Dayang Bunting. Pengalaman menaiki kereta kabel di Gunung Mat Cincang pula
ternyata sungguh menakjubkan.

Pada sebelah petangnya pula, kami bersantai di Pantai Chenang. Selepas
sesi merarau, kami mengunjungi Galeria Perdana dan Pusat Perusahaan Gamat
Asli, ROJAM. Kemudian, kami menjelajah kedai bebas cukai di Pekan Kuah.
Kami menaiki feri ke Kuala Perlis pada pukul 06:00 petang. Dari sana, kami
menaiki bas ke Taiping. Kami singgah di Kawasan Rehat dan Rawat Gurun untuk
makan malam. Setelah menempuh perjalanan yang panjang, iaitu kira-kira tiga
jam, kami tiba di pekarangan sekolah pada pukul 10:20 malam.

Ternyata, selain memberikan pendedahan tentang tempat bersejarah dan
menarik di Pulau Langkawi, program ini juga telah berjaya meningkatkan
pengetahuan anggota persatuan kerana “jauh perjalanan, luas pemandangan”.

Laporan disediakan oleh, 20 OGOS 2020.

Daryankaafiy

(RAJA DARYAN KAAFIY)

Setiausaha,

Kelab Sukan, Kebajikan dan Rekreasi,

SK Kampung Jambu, Taiping.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

38

37. Laporan Tahunan Kelab Bahasa dan Budaya, SK Padang Rengas, Perak

Kelab Kelab Bahasa dan Budaya, SK Padang Rengas, Perak telah ditubuhkan
dengan rasminya pada 10 Januari 2020. Sebanyak 178 orang murid telah diterima
untuk menganggotai kelab yang lebih memberikan tumpuan kepada pengetahuan
tentang aspek bahasa dan seni budaya ini.

Pada 17 Januari 2020, Kelab Bahasa dan Budaya mengadakan Mesyuarat Kali
yang Pertama. Mesyuarat yang julung-julung kali diadakan ini telah dihadiri oleh
kira-kira 150 orang anggota kelab.

Pada 8 Februari 2020, kelab ini mengadakan majlis suai kenal dalam usaha
untuk mengeratakan hubungan siraturahim dalam kalangan anggotanya. Dalam
majlis yang serba ringkas ini, anggota kelab sempat bertemu mesra sesama mereka
untuk mengatur aktiviti bagi memanfaatkan ilmu bahasa dan aspek budaya yang
perlu diberikan perhatian khusus oleh kelab kerana kalimat “bahasa jiwa bangsa”
memerlukan usaha tanpa sempadan.

Pada 18 April 2020, “Program Motivasi Buka Minda” telah dijalankan untuk
memantapkan ketahanan fizikal dan mental anggota kelab agar mampu meneladani
cabaran dan pancaroba dunia pada hari ini. Program ini terbukti telah melahirkan
murid yang berupaya menangani sirian masalah yang melanda. Berkat melalui
pengalaman berganda, mereka berjaya mengatasi semua masalah, umpama kata
pepatah, “alah bisa, tegal biasa”.

Pada cuti pertengahan semester kedua persekolahan, kelab telah
mengadakan pertandingan reka cipta bagi mencungkil bakat dan kreativiti anggota
kelab. Beberapa kuiz bahasa yang mencabar juga telah diadakan dengan pelibatan
murid dari sekolah-sekolah jiran yang berhampiran.

Kelab Bahasa dan Budaya juga telah mengadakan aktiviti untuk
menghasilkan buku skrap Bahasa dan Budaya yang kemudiannya telah dipamerkan
sempena hari Hari Kokurikulum. Aktiviti terakhir yang dijalankan oleh kelab ialah
darmawisata ke Pusat Bahasa dan Budaya Negara dan ke Akuria Petronas, di KLCC,
Kuala Lumpur.

Berkat kerjasama “bagai aur dengan tebing” dalam kalangan anggota kelab,
semua aktiviti yang dirancang pada tahun 2020 telah dijayakan dengan
cemerlangnya.

Disediakan oleh, 26 OKTOBER 2020.

Noor Hayati

Noor Hayati binti Mohd. Isa

Setiausaha Kelab Bahasa dan Budaya,

Sekolah Kebangsaan Padang Rengas, Perak.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

39

38. Suasana di Pasar Malam

Pasar malam yang dibuka pada pukul 5:00 petang biasanya diadakan
seminggu sekali. Laluan yang dijadikan lokasi pasar malam akan
ditutup lebih awal untuk memudahkan para peniaga menyusun
barangan jualan mereka.

Selepas maghrib, lampu dari gerai-gerai mula bergemerlapan lantas
menerangi medan beli-belah ini. Apabila pasar malam mulai sesak
dengan pengunjung, suasana akan menjadi riuh-rendah dengan aktiviti
tawar-menawar antara penjual dengan bakal pembeli dan suara peniaga
yang berebut-rebut mencuri kesempatan untuk mempromosikan
barangan jualan mereka. Pada kebiasaannya, “bahasa pasar” akan
menguasai komunikasi jual beli yang berlangsung.

Pelbagai produk dijual di pasar malam, seperti bahan mentah,
makanan segera, perkakas dapur, pakaian baharu, pakaian terpakai,
aksesori wanita, alat mainan kanak-kanak, buku serta majalah, bahan
audio, barangan terpakai dan sebagainya.

Kendatipun begitu, bukan semua pengunjung yang datang ke pasar
malam berhasrat untuk berbelanja. Ada pengunjung yang hanya hadir
untuk “jamu mata”, ada yang “ambil angin” dengan mundar-mandir
sambil memperagakan penampilan, dan ada juga yang menjadikan
pasar malam sebagai medan pertemuan peribadi.

Gerai yang sering memonopoli kunjungan ialah gerai peniaga yang
menggunakan kemudahan audio untuk mencanangkan barangan jualan
mereka. Ada peniaga yang menggunakan pembesar suara untuk melobi
pengunjung dengan propaganda jualan lelong, keunikan khasiat
ubat-ubatan, keterampilan koleksi bahan bacaan dan kepelbagaian Dvd
terkini yang sedang “panas” di pasaran.

Pasar malam lazimnya akan beransur-ansur lengang selepas pukul
10:00 malam. Selepas waktu ini, para pengunjung semakin berkurang
dan para peniaga pula akan mulai berkemas. Suasana mulai agak sunyi
dan hanya bunyi generator milik para peniaga yang masih bertingkah.

Peniaga yang bertanggungjawab akan membersihkan tapak gerai
masing-masing sebelum pulang. Semua peniaga berharap agar rezeki
mereka akan bertambah dengan usaha yang gigih pada minggu
berikutnya kerana ternyata bahawa “secupak tak akan jadi segantang”.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

40

39. Menangani Kecemasan

Matahari yang mencacak menjadikan suasana perhimpunan semakin
panas. Deretan ucapan juga menyebabkan kami kelesuan dan
tension. Keringat mulai membasahi tubuh. Wajah beberapa orang
murid kelihatan agak pucat kerana tidak betah menangani terik
matahari.

Sirian ucapan daripada Guru Besar, barisan penolong kanan dan

guru bertugas agak panjang kerana hari ini ialah minggu pertama
bagi sesi persekolahan 2020. Ketika semua murid “pasang telinga”,
tidak semena-mena, Aiman yang berdiri di sisiku terhuyung-hayang.

Aku sempat menyambarnya sebelum dia terlentang ke dataran kejat.

Suasana menjadi panik apabila murid lain mulai berkerumun.

Sebagai anggota Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), kes
sebegini memang “kacang” bagiku. “darah gemuruh” bukan identiti

anggota unit uniform. Dengan bantuan Kayyis, Aiman aku usung
ke kantin bagi mengelakkan gangguan lain. Kami saling “memerah
keringat” untuk mengembalikan Aiman ke dunia nayata. Aku

menyeru-nyeru namanya dan menampar-nampar pipi Aiman untuk

memastikan tahap kesedarannya.

Setelah terbukti Aiman benar-benar pengsan, Maniam kuarahkan
mencari minyak angin dan setimba air. Aku menanggalkan baju
Aiman dan menggunakannya sebagai pengibas. Tali pinggang Aiman
juga kulucutkan untuk melancarkan perjalanan darahnya.

Maniam kemudiannya muncul kembali. Aku membasahkan
kepala Aiman dan menyeka air ke wajahnya, manakala Maniam
kuminta menyapukan minyak pada sendi-sendi tertentu pada tubuh
Aiman untuk mengembalikan kesedarannya.

Usaha ini nampaknya berhasil kerana Aiman tiba-tiba
mencelikkan mata dan menggerak-gerakkan tubuhnya. Selepas
berjaya menenangkannya, Aiman kami iringi ke bilik rawatan untuk
beristirahat sementara menunggu rawatan susulan.

Syukur kepada Tuhan kerana pada hari ini, satu lagi disiplin nilai
telah kurealisasikan untuk menjadikan aku suri teladan semasa.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

41

40. Pengalaman Manis Bersama-sama dengan Keluarga Tercinta

Apabila ayah memberitahu bahawa beliau akan membawa kami bercuti ke negeri
Terengganu, makluman tersebut bagi kami “bagai bulan jatuh ke riba”.

Pada hari yang dijanjikan, kami bertolak dari rumah. Oleh sebab kami akan
singgah untuk berkelah di Air Terjun Sekayu, kami membawa barangan keperluan
untuk perkhemahan seperti khemah, barang makanan, lampu suluh, lilin kiub untuk
menyalakan api, sulfur, lampu tidur, dan pakaian.

Cuaca pada hari itu begitu cerah dan langit kelihatan kebiru-biruan. Suasana
perjalanan ke destinasi tersebut amat menyeronokkan, apatah lagi dengan menaiki
kerta Honda HRV baharu yang baru dimiliki oleh ayah. Ibu mengingatkan ayah
supaya sentiasa berwaspada semasa memandu. Persis kata orang tua-tua,
“biar lambat asalkan selamat”. Kami tiba ke kawasan tersebut dua jam kemudian.

Lokasi Air Terjun Sekayu yang mudah diakses dengan kenderaan melalui
persekitaran desa menjadikan lokasi pelancongan ini sentiasa dikunjungi pelawat.
Lokasinya ternyata mengetengahkan pengalaman yang menarik dengan interaksi
nada siulan pelbagai unggas dan bunyi aliran air terjun yang melahirkan kombinasi
muzik alam yang enak serta menemteramkan jiwa dan minda. Kawasan perkelahan
ini juga dipenuhi oleh banyak pengunjung. Suasana di air terjun ini sungguh amat
meriah.

Setibanya di destinasi, kami menurunkan barang-barang dari but kereta.
Sementara ibu menyediakan juadah merarau, saya, abang dan kakak turun ke air.
Airnya amat sejuk sehingga menusuk tulang. Kami mandi dengan
sepuas-puasnya. Kami melihat pelbagai jenis ikan kecil yang berwarna-warni
berenang bebas di dalam air. Gembiranya kami “bagaikan itik mendapat air”.

Selepas solat zuhur, kami menikmati masakan ibu. Aktiviti lasak sebelumnya
menjadikan kami begitu lapar. Habis licin-licau juadah yang disajikan oleh ibu kami
kerjakan. Selepas ibu mengemaskan tempat makan, kami duduk berbual untuk
mengetahui perkembangan diri masing-masing. Dialog kami berkisar tentang
pelajaran, bakat, minat, kebolehan, kemampuan, cita rasa dan perancangan masa
depan. Oleh sebab kami jarang berbual di rumah akibat kekangan masa masing-
masing, sesi bicara di wilayah asing ini amat mengesankan.

Selepas berkemas, kami kemudiannya meneruskan perjalanan ke bandar
Kuala terengganu dan ayah mendaftar masuk di Hotel Midtown. Pada sebelah
petangnya, sempat lagi kami adik-beradik mandi di kolam hotel. Selepas bersarapan
di hotel, ayah membawa kami melawat tempat-tempat menarik di Kuala terengganu
seperti Kedai Payang, Kilang Batik Noor Arfa, Taman tamadun Islam, Masjid Kristal
dan Pantai batu Buruk. Keberadaan di lokasi yang menarik dan pengalaman
membeli-belah tanpa gangguan ternyata menjelmakan satu memori indah.

Keesokannya, selepas mendaftar keluar dari hotel, kami bergerak pulang
dengan seribu kenangan manis yang tidak mungkin terpinggir daripada ingatan.
Betullah kata peribahasa, “elok lenggang di tempat datar”.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

42

41. Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan All Saints’,
Kamunting

Pada 9 November 2020, Sekolah Kebangsaan All Saints’, Kamunting, Perak
telah mengelolakan Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Kali yang Ke-49.
Majlis pada tahun 2020 ini agak unik kerana upacaranya telah diadakan
di Astaka Perdana, Majlis Perbandaran Taiping (MPT), yang terletak di Taman
Tasik Taiping. Majlis Konvokesyen Prasekolah SK All Saints’ Kali Pertama
juga turut mengisi atur acara majlis hari anugerah ini.

Majlis ini bertujuan bagi memberikan penghargaan dan pengiktirafan
kepada murid yang telah bekerja untuk menggapai kecemerlangan dalam
bidang kurikulum, kokurikulum, dan sahsiah pada sepanjang Tahun 2020.
Usaha gigih mereka ini membuktikan bahawa “Yang bulat tidak datang
menggolek, yang pipih tidak datang melayang”. Majlis ini juga menjurus
kepada inisiatif untuk menjana keakraban antara ibu bapa dengan pihak
sekolah supaya budaya “bagai dakwat dengan kertas” dapat diwujudkan.

Upacara perasmian pembukaan majlis telah disempurnakan oleh Yang
Dipertua, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Kebangsaan All
Saints’, Encik Megat Mat Akhir bin Megat Mohamad. Dalam teks ucapannya,
beliau berharap agar SKAS akan muncul sebagai sekolah yang terbaik dalam
semua lapangan pada suatu hari nanti.

Selain sesi penganugerahan Hadirin juga turut dihiburkan dengan
pertunjukan pentas seperti persembahan nyanyian solo, nyanyian kumpulan,
koir, deklamasian sajak, sketsa dan tarian oleh murid-murid terpilih.

Pelbagai kategori hadiah disampaikan kepada murid-murid pada hari
yang gilang-gemilang tersebut. Perasmi majlis penutupan, Tuan Syed Nasir
bin Sayed Mahadi, selaku Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat pendidikan
Daerah Larut Matang dan Selama turut mengucapkan tahniah kepada pihak
sekolah dan PIBG atas ikhtiar intensif yang dijalin padu untuk meraih
kecemerlangan keputusan UPSR pada tahun 2020. Berkat usaha semua
pihak, Sekolah Kebangsaan All Saints’, Kamunting telah menjadi sekolah
yang memperoleh keputusan terbaik dalam UPSR 2020 bagi Kategori Sekolah
Luar Bandar.

Secara keseluruhannya, Majlis Anugerah Kecemerlangan tahun ini telah
berjaya dilaksanakan dengan lancar. Komitmen daripada semua pihak telah
menyebabkan majlis gah ini berlangsung dengan jayanya. Senario ini persis
peribahasa Melayu, yakni, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.
Tahniah kepada semua pemenang anugerah dan penerima hadiah. Kepada
mereka yang kurang bernasib baik, jadikan ketewasan pada tahun ini sebagai
cabaran untuk menempa sejarah gemilang pada tahun depan.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

43

42. Kesiangan

Sergahan dan cubitan mengejutkan lenaku. Wajah ibu mencuka.
Terkebil-kebil aku dibuatnya. Alamak, jam mempamerkan pukul 07:05
pagi! Kesiangan kiranya aku. Musibah apakah yang menafikan tugas
penggera jam locengku? Bateri agaknya. Sempatkah aku ke sekolah?

Aku melompat dari katil dan bingkas mencapai tuala. Ibu

mengomel keterkilanan kerana kelewatanku mengerjakan solat

subuh. Dalam kekalutan, aku menerpa ke kamar mandi. Oleh sebab
“masa itu emas” dan dan begitu suntuk, aku hanya “mandi kerbau”.

Selepas mengenakan uniform sekolah, aku menjengkau dua
keping sandwic yang terhidang di atas meja. Ibu yang sedari tadi
asyik memperhatikan gelagatku, menggeleng-gelengkan kepala
apabila aku mendekatinya. Selepas memperoleh restu beliau, aku
menghambur keluar. Basikal yang setia tersandar di dinding garaj
lantas kusambar.

Aku mengayuh dengan pantasnya. Lajunya kayuhanku seperti
“lipas kudung” rasa-rasanya mampu membunuh kucing yang

melintas. Berpeluh-peluh juga aku semasa tiba di sekolah. Pada hari

ini, terekodlah namaku dalam kes murid hadir lewat.

Aku meluru ke kelas. Selepas membaca doa pelembut hati, aku
mengetuk pintu. Sebaik-baik sahaja Puan Ana memberikan isyarat,
aku menapak masuk. Setelah ucap salamku bersahut, aku terus
mohon maaf atas kelewatanku. Sambil mengangguk, beliau
menasihatiku agar tidak mengulangi kesilapan tersebut.

Aku amat bersyukur kerana proses pembelajaran dan pengajaran
belum dimulakan. Semua murid masuk ke kelas agak lewat sedikit
kerana banyak pengisian yang telah diperturunkan oleh barisan
pentadbir semasa sesi perhimpunan tadi.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

44

43. Suasana di Wad

Aku membuntuti ibu dan ayah untuk menziarahi Zulfakar, anak jiran
yang dirawat di wad D3, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar ekoran
terlibat dalam kemalangan basikal lajak. Wajahnya kelihatan ceria
apabila melihat kelibat kami. Apatah lagi, kami membawakannya “buah
tangan” segugus anggur, pencuci mulut kegemarannya.

Ketika ayah dan ibu berborak dengan Zulfakar, aku berdiri di birai
katil. Aku memperhatikan senario di persekitaran wad yang kelihatan
begitu bersih, kemas dan tersusun atur perabot dan peralatannya.
Selain dilengkapi dengan sistem pendingin hawa, wad ini juga diserikan
oleh “halwa telinga” alunan muzik sentimental yang mampu
meringankan kesakitan dan keresahan pesakit.

Kaunter wad terletak berhadapan dengan bilik Unit Rawatan
Intensif. Ketua Jururawat kelihatan sedang asyik meneliti rekod pesakit
manakala seorang jururawat lelaki sedang menyediakan pakej ubat
untuk dimanfaatkan oleh para pesakit.

Apabila melihat senario wad, pelbagai kerenah pesakit kulihat.
Pemerhatianku menepati bak kata pepatah “Tak tumbuh tak melata, tak
sungguh orang tak kata”. Ada pesakit yang sedang mengerang
kesakitan, ada yang mengaduh untuk mengumpan perhatian jururawat,
ada yang sedang mengelamun, ada yang membaca, ada yang leka
menonton televisyen, ada yang rancak berbual dengan penziarahnya,
dan ada juga yang “tidur mati”. Ada juga pesakit yang kulihat asyik
berulang ke tandas. Cirit-birit agaknya.

Di suatu sudut, beberapa orang pelawat kulihat mengelilingi
seorang pesakit yang sedang nazak sambil membaca surah Yasin.
Wajah mereka begitu kusam kerana dibelenggu kesedihan yang
teramat.

Pada kira-kira pukul 06:30 petang, hidangan makan malam
diagihkan. Menu makanan biasanya bergantung kepada status pesakit
dan kategori penyakit yang dihidapnya.

Kami meninggalkan wad pada pukul 07:00 malam apabila loceng
dibunyikan oleh pengawal keselamatan untuk memberikan maklum
bahawa tempoh masa lawatan sudah berakhir.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

45

44. Usaha Tangga Kejayaan

Dia masih ingat bahawa dia meminati komputer sejak belajar di sekolah
rendah. Pada saban hari, dia akan menghadap komputer untuk menyiapkan
tugasan tertentu. Di sekolah, dia menyertai Kelab Teknologi Maklumat dan
Komunikasi (Kelab ICT). Dia sering bertanya kepada guru penasihat kelabnya
jika dia tidak arif tentang sesuatu perisian yang ingin dimanfaatkannya
kerana baginya, “malu bertanya, sesat jalan”.

Tatkala cuti semester pula, dia mengambil kesempatan untuk mengikuti
kelas komputer di bandar bagi memperlengkap pengetahuan dan
kemahirannya dalam bidang perkomputeran.

Walau bagaimanapun, dia tetap tidak alpa akan tugas dan
tanggungjawabnya sebagai seorang murid. Dia sentiasa berusaha gigih untuk
memartabatkan ilmunya, kerana baginya, “di mana ada kemahuan, di situ ada
jalan”.

Dia sentiasa tekun mengulang kaji pelajaran bagi memastikan
pemilihannya sebagai calon Murid 6A UPSR 1996 tidak dipertikaikan. Berkat
kesungguhan, kegigihan dan ketabahannya, dia dikelompokkan dalam
kategori sepuluh murid terbaik Sekolah Kebangsaan Sungai Kepar (SKSK),
Kerian, Perak. Dia juga dinobatkan sebagai modal insan SK Sungai Kepar.
Karismanya yang penuh disiplin juga membolehkan dia dilantik sebagai
Ketua Pengawas SKSK pada tahun yang sama.

Kecemerlangannya dalam bidang kokurikulum juga tidak terkecuali.
Berkat kesungguhannya melakukan latihan intensif, dia dipilih untuk mewakili
daerah Kerian dalam permainan bola sepak, sepak takraw, badminton dan
beberapa acara dalam sukan olahraga. Dalam lapangan koakademik pula,
kepetahannya dalam berhujah dan melontarkan pandangan bernas dalam
Pertandingan Pidato Piala Diraja pada peringkat negeri membolehkan dia
diangkat sebagai Pemidato Terbaik Negeri Perak bagi tahun 1996.

Dia begitu teruja apabila mengimbas kegigihannya semasa menjelajah
ilmu dan meneroka kemahiran pada zaman persekolahan. Benarlah seperti
kata ibunya, Puan Rahemah, “yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih
tidak datang melayang”.

Faisal tersenyum sendirian. Matanya masih terpaku pada wajahnya
yang menjadi penghias muka hadapan majalah bulanan NIAGA JAYA
terbaharu, “Faisal Hj. Mohd. Hanafiah - Antara Peguam dengan Pejuang”.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

46

45. Temasya Sukan Olahraga SK Seafield III

Kejohanan Sukan Olahraga Sekolah Kebangsaan Seafield III, Subang Jaya,
Selangor, telah diadakan pada hari Sabtu, 11 April 2020, bertempat di padang
sekolah. Temasya sukan ini telah dimulakan seawal pukul 08:30 pagi.

Pada hari tersebut, padang sekolah telah dihias dengan
cantiknya. Gegantung yang tertera “Selamat Datang ke Sukan Olahraga SK
Seafield 3, Subang Jaya” dan “Majulah Sukan untuk Negara” menyambut
kedatangan tetamu. Merawal yang berwarna-warni telah digantung
di sekeliling padang. Beberapa buah khemah juga didirikan di tepi padang
untuk menempatkan atlet rumah sukan. Khemah paracut bagi peralatan
olahraga pula ditempatkan di tengah-tengah padang untuk memudahkan urus
setia peralatan menjalankan tugas mereka.

Perbarisan lintas hormat dan ucapan oleh wakil pegawai pendidikan
daerah kemudiannya mengisi agenda perasmian temasya sukan. Selepas
upacara pembukaan, sedas tembakan dilepaskan ke udara sebagai tanda
terasminya Kejohanan Sukan Tahunan Kali Ke-45 ini.

Acara sukan yang dijalankan ialah acara balapan dan padang, sukaneka,
acara pegawai sukan, acara PIBG dan acara bekas murid. Acara klimaksnya
ialah acara tarik tali akhir, yang dijalankan sebelum upacara penutup.

Keadaan iklim yang mendung dan kehadiran sebilangan besar ibu bapa
yang memberikan sokongan moral telah membantu melicinkan kelangsungan
temasya sukan ini.

Persembahan Silat Seni Gayung oleh murid-murid tahap dua
kemudiannya menghiasi slot jeda kejohanan. Kelincahan pesilat yang
mempamerkan aksi tempur tanpa senjata di hadapan pentas tetamu telah
berjaya “curi hati” audiens. Semua pengunjung memberikan sorakan dan
tepukan gemuruh kepada kumpulan pesilat yang mengisi slot rehat.

Johan rumah sukan ialah Rumah Temenggung. Rumah Bendahara pula
menduduki tempat kedua, manakala tempat ketiga dan keempat ialah Rumah
Laksamana dan Rumah Syahbandar. Gelaran olahragawan dan olahragawati
pula diraih oleh Daryan Kaafiy dan Raja Laina Kariesa, masing-masing dari
Rumah Temenggung.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pegawai
Pendidikan Daerah Petaling Perdana, Encik Abu Mansor bin Sathri, Guru
Besar, Encik Norkhaidzir bin Mohamad Nor, dan Guru Penolong kanan
Kokurikulum, Encik Lee Chin Weng. Kejohanan Sukan Olahraga SK Seafield
III, Subang Jaya menemukan noktahnya pada pukul 12:30 tengah hari.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

47

46. Sedikit-sedikit, Lama-lama Jadi Bukit

Ungkapan “sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit” seolah-olah sudah
menjadi lumrah dan sebati dalam kehidupan seharian kita. Peribahasa
ini membawa maksud, sikap sabar dan gigih dalam melakukan sesuatu
akhirnya akan memberikan hasil yang memuaskan.

Sebaris ayat yang bermakna adalah ilhaman daripada sepatah
perkataan. Sekiranya kita sering berjimat, kita akan memiliki simpanan
yang banyak. Hasil jalinan kerja yang berterusan, biarpun makan
masa, biasanya dapat disudahkan dengan sempurna, bak kata pepatah,
“sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain.”

Sebeban apa-apa pun kerja yang dipertanggungjawabkan kepada
kita, akan mampu kita sempurnakan sekiranya kita melakukannya
secara tekun dan beransur-ansur.

Dalam kehidupan seharian, murid-murid memang digalakkan
berjimat kerana “ingat sebelum kena, jimat sebelum habis”. Baki wang
saku yang disimpan, walaupun sedikit demi sedikit, lama-kelaman akan
terkumpul. Ilmu juga, sekiranya kita pelajari pada setiap ketika, kita
akan menjadi seorang yang jauhari.

Budaya menabung secara berterusan juga akan memantapkan
sumber kewangan seseorang. Simpanan yang dikumpulkan secara
beransur-ansur ini juga dapat digunakan semula semasa darurat dan
pada masa yang sama akan mampu membantu meringankan beban
kewangan ibu bapa.

Jutawan yang berjaya kebanyakannya memulakan peniagaannya
secara kecil-kecilan. Hasil timbunan pengalaman dan himpunan
simpanannya, beliau akan merangkak memperkemas selok-belok
perniagaan yang diharungi sebelumnya. Segala pengalaman pahit
manis itulah yang menjadi pemangkin kepada kejayaannya kerana “alah
bisa, tegal biasa”.

Sebagai intihanya, Tenyata budaya “sedikit-sedikit, lama-lama jadi
bukit” perlu kita jiwai untuk menjadikan kita seorang rakyat yang
berwawasan dan mampu menguruskan kehidupan seharian dengan
lebih wibawanya.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

48

47. Berakit-rakit ke Hulu, Berenang-renang ke Tepian

Tidak ada jalan yang singkat dalam usaha untuk mencapai kejayaan. Sesuatu
kemenangan biasanya dicapai hasil daripada kesungguhan dan kesabaran
dalam melakukan sesuatu. Kejayaan itu pula memerlukan pengorbanan yang
jitu dan mengambil masa yang panjang. Betullah kata pegangan orang
tua-tua dahulu, iaitu “berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian,
bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.” Peribahasa ini
membawa maksud menempuh kesukaran atau kesusahan terlebih dahulu
sebelum memperoleh kesenangan atau kebahagiaan.

Kita sedia maklum bahawa untuk memenangi sesuatu, semestinya
berpaksikan usaha. Mahatma Gandhi pernah berkata, "Kepuasan terletak
pada usaha, bukan pada hasil. Berusaha dengan keras merupakan satu
kemenangan yang hakiki". Setiap individu mengimpikan kejayaan dalam
kehidupan mereka. Namun hanya yang berusaha sahaja yang akan menempa
kejayan, kerana "yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak
akan datang melayang".

Seseorang murid yang tinggal di kawasan pedalaman yang terhimpit
dengan kekurangan kemudahan pendidikan tidak semestinya akan gagal
dalam kehidupannya dalam proses penimbaan ilmu. Sekiranya dia tekun
berusaha dan sentiasa belajar daripada kesilapannya, maka sudah pasti
kejayaan akan menjadi miliknya kerana “jika tidak dipecah ruyung di mana
boleh mendapat sagu”.

Bagi seseorang petani pula, mungkin pada peringkat awal hasil
pertaniannya tidak menjadi. Namun, setelah belajar daripada pengalaman,
berbekalkan kepayahan dan kegetiran semasa menangani masalah
penanamannya, penambahbaikan yang dilakukannya pasti akan menjanjikan
pulangan yang lumayan dan memberangsangkan.

Pekerja yang berpangkat rendah sekalipun mampu menjawati
kedudukan yang paling tinggi jika bekerja sungguh-sungguh dan menjadikan
segala pengalaman sebagai satu iktibar. Kepayahan demi kepayahan yang
dialami dan dirawat akan mengilhamkan jalinan kemudahan, kerana “Alah
bisa tegal biasa”.

Jelaslah bahawa kejayaan memang tidak akan datang menggolek. Demi
merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, marilah kita bersama-sama
menjadikan impian itu satu realiti. Jadikanlah peribahasa “di mana ada
kemahuan, di situ ada jalan” sebagai pegangan untuk meniti arus kehidupan
terkedepan.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP

49

48. Aku Seutas Jam Tangan Pintar

Pelbagai gajet baharu telah dicipta untuk kemudahan manusia dalam
menangani tugas seharian. Aku adalah antara keperluan manusia
bertamadun kerana sebagai jam tangan pintar, aku memiliki banyak
kelebihan.

Aku dikenali sebagai “Fossil”, satu jenama jam masyarakat elit. Aku
dihasilkan di sebuah kilang di bandar Texas, Amerika Syarikat. Wajahku kalis
calar manakala fizikalku berasaskan logam titanium. Penampilanku agak
unik, mempunyai warna yang bersepadu, dan berkulit kuning keemasan.

Setelah seluruh komponen tubuhku diperlengkap, aku dan teman-teman
dieksport ke Malaysia. Suasana yang gelap bertukar ceria apabila kami
dikeluarkan dari kotak dan ditempatkan di dalam sebuah kabinet kaca.
Di sinilah aku berkenalan dengan rakan-rakan baharu daripada pelbagai
jenama, bentuk, dan standard.

Pada suatu hari, seorang eksekutif wanita mengunjungi toko tersebut.
Setelah membelek-belek dan berpuas hati dengan penampilanku, aku dibeli
dengan harga RM260.00. Anak gadisnya, Nor Hidayah yang begitu gembira
apabila menerimaku sebagai hadiah hari ulang tahun tarikh kelahirannya
yang ke-12, berulang kali mengucapkan terima kasih kepada ibunya itu.

Hidayah begitu gembira apabila memilikiku. Selain bertindak sebagai

penunjuk masa, aku juga digunakan untuk menelefon, menghantar mesej,
dan merakam gambar. Aku dijaga dengan rapi “bagai menatang minyak yang
penuh”.

Aku sering dipuji oleh rakan-rakannya kerana kecantikanku yang
tersendiri. Sejak aku menjadi miliknya, kami tidak pernah berpisah. Aku akan
dibawa ke mana-mana sahaja; ke sekolah, ke padang, bersiaran, malah tidak
pernah aku ditanggalkannya, walaupun ketika dia mandi.

Keberkesanan sistem penggeraku yang sering mengejutkan Nor Hidayah
pada setiap awal pagi juga menambahkan kepercayaannya kepadaku.
Sesungguhnya, ketahanan, kelasakan, ketepatan dan keterampilanku amat
menggembirakan hatinya.

Masa begitu pantas. Kini, telah hampir tiga tahun kami bersama-sama.
Benarlah kata pepatah, “sekali air bah, sekali pantai berubah”.

Memandangkan tubuhku mulai lusuh, aku dibawa oleh Nor Hidayah ke kedai
untuk diperbaharu. Wajah, tangan dan jantungku ditukar ganti. Transformasi

ini menjadikan aku bertambah segak, stail dan bertenaga. Semoga aku akan
terus dapat bertahan dan berbakti kepadanya.

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP


Click to View FlipBook Version