50
49. Dialog Kepentingan Menyertai Kegiatan Kokurikulum
Ketika aku mengesat keringat yang membasahi wajahku, bahuku ditepuk.
Rupa-rupanya Ashraf, sahabat setamanku yang telah berpindah ke Ipoh, turut
sama menyertai temasya sukan olahraga peringkat negeri ini. Semasa
berbual-bual, kami sempat berbicara tentang kepentingan murid menyertai
kegiatan kokurikulum.
Ashraf : Assalamualaikum, Zainal. Tak sangka kita berjumpa di sini.
Zainal : Waalaikumussalam. Wah, lama sungguh kita terpisah ya.
Nampaknya sekali lagi aktiviti ini mempertemukan kita.
Ashraf : Sebenarnya inilah antara faktor penting mengapa murid perlu
menyertai kegiatan kokurikulum. Aktiviti ini dapat mengeratkan
hubungan silaturahim dan menambahkan kenalan kerana “Sukan
Pemangkin Perpaduan Negara”. Pelibatan dalam aktiviti
kokurikulum juga membolehkan kita memperluas ilmu serta
memperoleh pengalaman baharu tentang rahsia keolahragaan.
Malah, selain membina fizikal yang cergas, keaktifan dalam kegiatan
kokurikulum juga akan menjana minda yang cerdas.
Zainal : Betul kata kamu! Di samping mengisi masa senggang, keaktifan
dalam kegiatan ini juga mengajar kita untuk berdikari. Kejayaan
dalam sesuatu pertandingan bukan sahaja akan melonjakkan nama
kita, memeriahkan imej sekolah.
Ashraf : Memang betul! Malahan, penerimaan kemasukan kita ke sekolah
berasrama penuh juga mewajibkan kita memiliki sijil kecemerlangan
dalam aktiviti kokurikulum.
Zainal : Bukan itu sahaja. Apabila kita melibatkan diri dalam persatuan, kita
sebenarnya melatih diri untuk bekerja secara berpasukan. Hasilnya,
nilai-nilai murni dalam pergaulan akan dapat kita semai.
Ashraf : Wah, banyak juga faedah yang akan kita peroleh daripada aktiviti
kokurikulum ini!
Zainal : Sudah tentu! Alamak, wajah jurulatih saya dah mencuka tu! Saya
minta diri dulu. Semoga kita akan bersua kembali.
Ashraf : Insya-Allah. Nampaknya dua orang jaguh dari daerah yang berbeza
akan “bertemu buku dengan ruas” sebentar lagi.
Kami kemudiannya bersalaman dan bergegas ke trek balapan 4 x 100
meter. Dua sahabat terpaksa menjadi seteru untuk seketika!
NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP
51
50. Pengalaman Tinggal di Wad
Isnin,19 Mac 2020
Tepat pada pukul 01:30 tengah hari, loceng dibunyikan. Aku bergegas
mendapatkan basikal di bangsal lalu terus mengayuh dengan lajunya untuk
pulang ke rumah. Pepatah “biar lambat asalkan selamat” kuabaikan sama
sekali. Jalan raya agak sesak dengan kenderaan kerana situasi sekarang ini
ialah waktu puncak. Cuaca pula agak terik.
Ternyata, “malang tak berbau”. Semasa aku menghampiri satu selekoh,
tiba-tiba, sebuah kereta melanggarku dari belakang. Aku jatuh terpelanting
dan terperosok ke dalam parit. Kepala dan tangan kiriku berdarah. Pada masa
yang sama, sebuah kereta peronda polis melalui kawasan tersebut. Setelah
mengumpulkan maklumat kemalangan daripada pemandu kereta dan saksi
kemalangan, aku segera dikejarkan ke hospital.
Setelah hampir sejam dimasukkan ke wad, ibu bapaku muncul. Menurut
ibu, pihak polis telah menghubunginya dan memaklumi mereka tentang
kemalangan yang menimpaku. Kehadiran mereka berdua ini pastinya
meringankan beban kesakitanku.
Selasa, 20 Mac 2020
Selepas bersarapan, aku menerima rawatan susulan. Menurut doktor,
kecederaan tanganku agak teruk. Buat masa ini, aku hanya perlu makan ubat
penahan sakit. Tinggal di hopital memang menjemukan. Ibu membelikan aku
alat permainan video untuk melayan kebosanan.
Rabu, 21 Mac 2020
Menjalani pemeriksaan X-ray. Aku terpaksa dibedah segera. Keresahan
menguasai diri. Mujurlah ibu memberikan banyak keyakinan dan sokongan.
Aku dibawa ke dewan bedah. Syukur kepada-Nya kerana pembedahan itu
berjalan dengan lancarnya.
Khamis, 22 Mac 2020
Masih menjalani rawatan dan dinasihati agar mematuhi jadual pengambilan
ubat. Rentetan senaman ringan kulakukan untuk mengembalikan kekuatan
tangan. Biarpun agak sakit pada mulanya namun berkat usaha bergandaku,
semuanya menjadi ringan, bak kata orang tua-tua, “alah bisa tegal biasa”.
Walau bagaimanapun, aku tetap bersyukur kerana aku dapat
menggunakan tanganku seperti biasa kemudiannya. Pada petangnya, aku
dibenarkan pulang. Alangkah seronoknya apabila dapat berada di rumah
kembali untuk menikmati saat-saat indah bersama-sama dengan keluarga
tercinta.
NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP