The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by kayiwong0125, 2021-09-30 02:04:53

Buku Skrap Karangan

Buku Skrap Karangan

< Jan Feb Mar Apr May Jun Jul Aug Sep Oct Nov Dec >

Buku Skrap
Karangan

Disediakan Oleh : Choo En Tong 4S1
Lim Yee Min 4S1
Tan Tai Tao 4S1
Tan Yi Teng 4S1
Wong Ka Yi 4S1

< Jan Feb Mar Apr May Jun Jul Aug Sep Oct Nov Dec >

Karangan 1

Faedah-faedah mempelajari
seni mempertahankan diri

dalam kalangan masyarakat

< Jan Feb Mar Apr May Jun Jul Aug Sep Oct Nov Dec >

Choo En Tong

Pada masa kini, kanak-kanak belajar seni pertahan diri dengan
berbagai-bagai aktiviti seperti taekwondo, tang soo do dan karate.
Dengan ini, aktiviti-aktiviti tersebut mendatangkan faedah kepada
masyarakat.

Huraikan faedah-faedah mempelajari seni mempertahankan diri dalam kalangan
masyarakat.

< Jan Feb Mar Apr May Jun Jul Aug Sep Oct Nov Dec >
Seni mempertahankan diri adalah satu bentuk gerak badan secara fizikal yang digunakan

untuk melindungi diri daripada musuh tanpa senjata. Ia telah wujud sejak bertahun lama dan
berbeza mengikut rantau dan elemen budaya serta tradisi masing-masing. Sebagai contoh, di
rantau Asia Tenggara terdapat seni silat dan muay thai manakala di rantau Asia Timur
terdapat seni taekwondo dan judo. Namun, ledakan teknologi hari ini telah menyebabkan seni
ini semakin dilupakan dan tenggelam dek ditelan zaman. Walau bagaimanapun, kadar
jenayah yang semakin meningkat dari tahun ke tahun telah membuatkan sebahagian daripada
masyarakat kita sedar dan mula menghantar anak-anak untuk menyertai kelas seni
mempertahankan diri. Oleh itu, wajar untuk kita bincangkan faedah-faedah yang mampu
diperoleh sekiranya kita mempelajari seni mempertahankan diri.

Faedah utama yang diperoleh apabila kita mempelajari seni mempertahankan diri adalah dapat melindungi diri
daripada sebarang ancaman fizikal. Sejak kebelakangan ini, kes-kes jenayah seperti kes penculikan, ragut dan gangguan
seksual semakin berleluasa serta menjadi tajuk utama di siaran berita dan dada akhbar. Senario ini telah membuatkan rasa
kurang senang masyarakat kerana ancaman jenayah boleh berlaku kepada sesiapa sahaja pada bila-bila masa. Maka, dengan
mempelajari seni mempertahankan diri, kita dapat mengetahui apakah langkah yang perlu dilakukan sekiranya berlaku
ancaman terhadap kita. Mentaliti kita juga akan lebih bersedia untuk membuat keputusan yang betul dan bertindak secara
efisien kerana situasi ini hanya dapat dipelajari sekiranya kita mempunyai pengetahuan tentang seni mempertahankan diri.
Peribahasa Melayu ada berkata, malang tidak berbau. Justeru, berbekalkan ilmu seni mempertahankan diri, kita mampu
menjamin keselamatan diri dan juga orang di sekeliling kita.

Selain itu, seni mempertahankan diri dapat memberikan kecergasan fizikal kepada kita. Hal ini dikatakan
demikian kerana, segala latihan dan pembelajaran melibatkan aktiviti fizikal di mana kekuatan kita akan ditumpukan kepada
pergerakan yang mampu menewaskan musuh atau ancaman. Tambahan pula, ia dapat membantu membina ketangkasan
koordinasi mata dan tangan terutamanya dalam golongan kanak-kanak menerusi pelbagai pergerakan yang dipelajari. Kita
juga akan melakukan aktiviti yang melibatkan kardiovaskular seperti berlari dan berjoging kerana ia merupakan asas dalam
kelas seni bela diri. Ia juga dapat memberikan kesihatan fizikal yang baik serta memberikan postur serta berat badan yang
ideal sekiranya kita mempraktikkan atau melakukan latihan secara konsisten. Dengan pelbagai masalah kesihatan yang
membelenggu masyarakat hari ini, wajar untuk kita mempertimbangkan seni ini sebagai satu wadah untuk mengelakkan
diri kita daripada terkena sebarang penyakit kerana mencegah adalah lebih baik daripada merawat.

Pada masa yang sama, seni mempertahankan diri dapat membantu kita untuk meningkatkan disiplin diri.
Kita boleh memperhatikan di mana setiap seni bela diri mementingkan kawalan emosi diri sebelum melakukan apa-apa
tindakan. Seperti dalam kehidupan, kita tidak boleh membuat keputusan yang melibatkan emosi kerana ia tidak stabil.
Sebaliknya, kita perlu sentiasa bersikap rasional dan realistik dalam membuat apa-apa keputusan atau tindakan. Nilai ini
adalah sangat penting dan mustahak untuk diajar kepada kanak-kanak di mana apabila mereka dewasa, mereka akan
lebih bersikap matang dan mampu memberikan hasil yang terbaik. Malahan, seni mempertahankan diri membantu kita
untuk menepati masa dengan lebih baik. Situasi ini secara langsung dapat membentuk jati diri seseorang dengan nilai-
nilai yang positif dan berguna. Walaupun pada mulanya sukar untuk sesetengah di antara kita berubah tetapi dengan
semangat yang kuat, kita mampu mengubah diri kita supaya menjadi lebih baik daripada semalam. Persis kata
peribahasa, alah bisa tegal biasa.

Di samping itu, seni mempertahankan diri mampu menjadi profesional di mana sebilangan besar di
antaranya telah diiktiraf sebagai sukan. Malahan, seni mempertahankan diri seperti taekwondo, judo dan karate
dipertandingkan di peringkat sukan tertinggi dunia iaitu Sukan Olimpik. Peribahasa Melayu berkata, kalau tidak
dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Oleh itu, ibu dan bapa digalakkan untuk menghantar anak-anak
yang mungkin berpotensi dan mempunyai bakat terpendam dalam seni mempertahankan diri. Jika diasah dan
dilatih dengan betul, mereka mampu menjadi atlet dan bertanding di peringkat dunia seterusnya mengharumkan
nama keluarga dan negara. Sebagai contoh, kita telah pun mempunyai seorang atlet yang bertanding di peringkat
dunia dalam seni pencak silat iaitu Jufferi Jamari. Beliau juga berjaya mendapatkan pingat emas dalam kategori
pencak silat pada Sukan SEA 2017 yang berlangsung di Kuala Lumpur. Kita dapat melihat bahawa seni
mempertahankan diri berpotensi menjadi karier seseorang dan membawa nama negara ke persada
antarabangsa.

Kesimpulannya, terdapat banyak faedah yang akan diperoleh sekiranya kita mempelajari seni
mempertahankan diri. Masyarakat konvensional harus meluaskan horizon pemikiran dan mula menghargai
seni mempertahanan diri terutamanya yang berasal dari negara kita. Ia merupakan warisan dan
tradisi yang tidak ada di tempat lain dan kita merupakan insan yang bertanggungjawab untuk memelihara
dan memperkasa seni mempertahankan diri yang lahir daripada nenek dan moyang kita. Ahli masyarakat
tidak seharusnya beranggapan bahawa seni tersebut tidak lagi sesuai dengan arus pembangunan masa kini
dan mengabaikannya. Sebaliknya, setiap pihak khususnya pihak kerajaan dan sekolah wajar memperkasa
seni mempertahankan diri dalam kalangan masyarakat hari ini demi mendapat maslahat dan menjadikan
negara Malaysia aman, selamat dan sejahtera.

Karangan 2

Kepentingan Mempraktikkan Nilai
Disiplin Diri Dalam Kalangan Remaja

Amalan membaca dalam kalangan masyarakat akan menentukan
maju atau mundurnya sesebuah negara. Negara yang maju dan
bertamadun tinggi adalah negara yang didiami oleh anggota
masyarakat yang berpengetahuan dan sentiasa meneroka pelbagai
ilmu. Dengan ilmu, manusia akan menemui sesuatu yang baru
dinamakan sebagai pembaharuan atau kemajuan. Sebaliknya, bangsa
yang tidak membaca atau tidak meneroka ilmu akan menjadi
terbelakang dan mundur.

Petikan di atas menerangkan bahawa baik atau buruknya tingkah laku seseorang boleh dipengaruhi oleh

beberapa aspek dalam kehidupan. Keperibadian mulia juga boleh dibentuk dalam diri kita menerusi

penerapan nilai-nilai murni dalam kehidupan harian.

Huraikan kepentingan mempraktikkan nilai disiplin diri dalam kalangan pelajar.

Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pemeratan
pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh
pelbagai permasalahan sosial yang membelenggu masyarakat hari ini. Jika ditelusuri, golongan yang terjebak
dalam perkara ini mempunyai masalah untuk bersikap disiplin sama ada di sekolah mahupun di rumah. Menurut
kamus dewan, disiplin adalah latihan pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri dan patuh pada
tatatertib. Murid-murid mungkin tidak sedar bahawa dengan berdisiplin, pelbagai manfaat dan kepentingan yang
akan diperolehi oleh mereka secara langsung dan tidak langsung. Persoalannya, apakah kepentingan sekiranya
seseorang murid itu mengamalkan disiplin diri yang tinggi dalam kehidupan mereka ?

Antara kepentingan disiplin diri dalam kalangan murid-murid adalah ia dapat membentuk tingkah
laku yang baik. Peraturan-peraturan yang direncana bagi memudahkan pengurusan murid-murid di sekolah
adalah garis panduan yang menentukan tahap disiplin mereka. Pihak sekolah pasti memberikan salinan buku
peraturan kepada setiap murid tetapi lazimnya tidak diambil endah oleh mereka. Buku peraturan merupakan
bimbingan dan panduan yang wajar dipatuhi oleh murid-murid seperti Al-Quran yang menjadi panduan hidup bagi
umat Islam. Justeru, sekiranya murid-murid mematuhi setiap peraturan di sekolah masalah disiplin akan
berkurangan dan sahsiah diri akan menjadi lebih baik. Orang yang bersabar pasti akan dikurniakan dengan
anugerah yang baik sama seperti disiplin diri yang mencabar kemampuan mental kita untuk kekal melakukan
sesuatu tugas secara istiqamah sebelum berjaya mendapatkan hasil yang dikehendaki.

Selain itu, disiplin diri adalah penting bagi murid-murid untuk mengelakkan diri daripada terjebak
dengan perkara negatif. Pengaruh media massa dan media sosial hari ini telah membuatkan segelintir golongan
muda terpengaruh dengan kehidupan maya yang tidak boleh dibezakan sama ada kaca atau gelas. Kebanyakan
golongan muda hari ini gemar bermain permainan video dan menonton penstriman video sebagai hiburan. Namun,
terdapat di antara murid-murid yang leka dan lalai berhibur sehingga tidak tidur pada waktu malam dan mengganggu
perhatian mereka semasa berada di dalam kelas. Perkara ini perlu dibendung dengan cara memberikan jadual waktu
atau jangka masa kepada mereka untuk berhibur. Misalnya, ibu dan bapa boleh memastikan anak-anak mengulang
kaji pelajaran dahulu selama dua hingga tiga jam dan memberikan masa dalam tempoh 30 minit hingga satu jam
untuk mereka berehat atau berhibur. Penetapan masa ini adalah disiplin diri yang asas dan mampu menjadi nilai
yang berguna kepada murid-murid apabila menjelang dewasa kelak.

Di samping itu, disiplin diri amat mustahak dalam kalangan murid-murid bagi menentukan tahap kejayaan
mereka sama ada dari segi akademik, kokurikulum atau kedua-duanya. Kita sering kali dikaitkan apabila pelajar yang
cemerlang dalam akademik pasti mempunyai disiplin diri yang tinggi. Tidak dinafikan bahawa usaha yang digarap
oleh pelajar cemerlang didorong dengan disiplin dan komitmen yang tinggi. Pada hemat saya, pelajar yang cemerlang
dalam bidang kokurikulum seperti sukan juga adalah hasil daripada disiplin yang tinggi. Hal ini dikatakan demikian
kerana, aktiviti sukan memerlukan tahap disiplin yang tinggi ketika berlatih dan apabila menyertai pertandingan.
Malahan bukan sahaja kekuatan fizikal digunakan tetapi kecerdikan mental juga diguna pakai dalam membuat
keputusan yang betul seterusnya dapat memberikan kemenangan dalam sukan yang disertai. Intihanya, disiplin
adalah kunci kejayaan seseorang terutamanya dalam kalangan murid-murid hari ini yang perlu bersaing demi
mendapatkan masa depan yang lebih baik.

Pada masa yang sama, disiplin diri merupakan elemen penting dalam diri murid-murid supaya nilai-nilai murni
yang lain dapat dipupuk. Disiplin oleh diimajinasikan sebagai akar yang menyokong pokok untuk tegak berdiri
walau dibadai angin dan ribut ketika waktu hujan melanda. Apabila seseorang murid itu kekal berdisiplin, secara
tidak langsung mereka akan mengamalkan nilai-nilai murni yang lain. Contohnya tindakan seperti menepati masa,
bersopan santun dan melaksanakan tugas dengan baik adalah disiplin diri yang cemerlang dan seharusnya
dipraktikkan oleh murid-murid. Tambahan pula, nilai seperti rajin dan tidak berputus asa akan menjadi sesuatu
perkara yang biasa kedewasaan nanti. Oleh itu, disiplin diri adalah mustahak terutamanya kepada murid-murid di
sekolah supaya kelak menjelang dewasa, mereka bersedia memikul tanggungjawab dan amanah yang lebih berat.
Persis kata peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Kesimpulannya, banyak kepentingan yang akan diperoleh sekiranya murid-murid mengamalkan disiplin diri
yang tinggi. Pujangga arab ada berkatakan bahawa masa itu ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, dia akan
memotong kamu. Senario ini jelas menyatakan bahawa setia perkara yang baik perlu dilaksanakan dengan segera
kerana apabila dewasa nanti sudah menjadi kesukaran untuk kita mendidik atau membentuk pemikiran seseorang.
Kanak-kanak alaf baharu memerlukan bimbangan dan panduan sedikit berbeza dengan didikan yang diperoleh
daripada ibu dan bapa. Semoga setiap pihak sedar dan mempelajari mekanisme terbaik dalam membentuk disiplin
murid-murid bukan sahaja di sekolah tetapi di luar sekolah juga agar generasi yang berwawasan dapat dilahirkan dan
bakal memacu negara ke arah kejayaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Karangan 3

Kepentingan-kepentingan
Mempelajari

Mata Pelajaran Sejarah

Lim Yee Min

Pada masa ini, mata pelajaran Sejarah bukanlah satu mata pelajaran yang
asing kepada murid-murid. Sejak sekolah rendah, murid sudah mula
berkenalan dengan mata pelajaran Sejarah. Menyedari kepentingan mata
pelajaran Sejarah kepada generasi muda, maka mata pelajaran tersebut
dijadikan mata pelajaran wajib lulus bagi semua calon Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) mulai tahun 2013.

Petikan di atas menyatakan maklumat yang berkaitan dengan mata pelajaran Sejarah
dan kepentingan mempelajarinya.
Bincangkan kepentingan-kepentingan mempelajari mata pelajaran Sejarah.

Sejarah merujuk kepada peristiwa yang telah berlaku pada masa lalu dan dapat
diketahui melalui peninggalan pada masa peristiwa terjadi. Sejarah boleh diumpamakan sebagai
harta negara kerana sejarah merupakan satu laluan berkomunikasi antara generasi pada masa
lalu dengan generasi muda pada masa kini sahaja. Namun begitu, dalam meniti arus kemodenan
yang berteraskan sains dan teknologi maklumat ini, generasi muda semakin mengabaikan
kepentingan mempelajari sejarah. Isu ini perlu diberikan perhatian yang sepenuhnya kerana ia
boleh menjadikan generasi muda mengulangi kesilapan yang telah dilakukan pada zaman dahulu.
Persoalannya, apakah kepentingan mempelajari mata pelajaran Sejarah?

Antara kepentingan mempelajari mata pelajaran Sejarah termasuklah kita dapat
memperoleh banyak pengetahuan. Hal ini boleh diibaratkan dengan kata peribahasa sedikit-dikit,
lama-lama menjadi bukit. Daripada pengetahuan itu, kita akan berupaya membuat penilaian,
mengetahui kepentingan sesuatu peristiwa, sebab dan juga akibatnya. Hal ini akan membuka jalan
kepada kita agar sentiasa berwaspada ketika membuat sesuatu keputusan dan menguruskan
masalah. Intihanya, jelaslah bahawa sejarah dapat melahirkan generasi muda yang lebih matang
dan berfikiran waras serta dapat bersedia untuk menerajui pembangunan negara pada bila-bila
masa sahaja.

Dari perspektif yang lain, sejarah memberikan iktibar kepada kita supaya tidak
mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan oleh generasi pada masa lalu. Tamsilnya, peristiwa
kegagalan pihak British mengembalikan keamanan negara kita selepas pendudukan Jepun
memberikan pengajaran kepada generasi muda agar tidak terlalu mudah mempercayai orang
asing. Sebaliknya, iktibar yang dapat diperolehi daripada peristiwa-peristiwa tersebut boleh
dijadikan panduan yang penting dalam kehidupan generasi muda semasa menangani cabaran
dan kesukaran hidup. Tegasnya, sebelum nasi sudah menjadi bubur, generasi muda seharusnya
memperbaiki kesilapan masa lalu dan belajar daripada kejayaan yang pernah dicapai oleh bangsa
dan negara kita agar tidak merugikan diri, keluarga, masyarakat serta negara.

Selain itu, sejarah memainkan peranan yang penting dalam memupuk semangat
patriotisme dalam jati diri generasi muda. Hal ini dikatakan demikian kerana sejarah merangkumi
pelbagai jenis peristiwa perjuangan tokoh-tokoh negara yang sanggup mengorbankan diri demi
mempertahankan kepentingan dan maruah negara. Misalnya, peristiwa seorang tokoh pejuang
Kelantan iaitu Tok Janggut yang bersemangat jihad menentang pengenalan cukai oleh British sehingga
menyebabkan beliau terkorban dalam suatu pertempuran dengan British. Maka, generasi muda dapat
sentiasa menghayati dan bersyukur terhadap jasa serta pengorbanan pejuang tanah air sama ada
pada masa lalu atau masa kini.

Dari kaca mata yang berbeza, mata pelajaran Sejarah mampu menyemai semangat
perpaduan dalam kalangan masyarakat. Kestabilan sesebuah negara bergantung kepada perpaduan
masyarakat. Masyarakat yang saling menghormati antara satu sama lain akan sentiasa bersama-sama
menggembleng tenaga untuk memastikan keamanan dan kemajuan negara dipelihara kerana bersatu kita
teguh, bercerai kita roboh. Tuntasnya, Sejarah dapat melahirkan masyarakat yang bersatu padu bak kata
pepatah bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Sudah terang lagi bersuluh, terdapat banyak kepentingan yang diperoleh sekiranya
generasi muda mempelajari mata pelajaran Sejarah domestik mahupun antarabangsa. Generasi
muda yang bakal memimpin negara ke arah kemajuan dan kecanggihan tidak sepatutnya
menganggap sejarah adalah sesuatu yang sudah lapuk dan membazirkan masa. Tanpa pengetahuan
sejarah, maka lahirlah warganegara yang tidak bersyukur dan menghargai jasa dan pengorbanan
pejuang negara. Keadaan ini akan menjadikan usaha pejuang negara kita menjadi sia-sia seperti
hujan jatuh ke pasir. Semoga dengan mempelajari sejarah, generasi muda dapat memahami latar
belakang pembentukan negara kita dan pada masa yang sama berusaha memacu negara kita yang
tercinta ke tahap kemajuan yang lebih tinggi agar negara kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama
tinggi dengan negara-negara maju yang lain.

Karangan 4

Usaha-usaha Yang Seharusnya Dilakukan
Untuk Menarik Minat Generasi Muda

Menceburkan Diri Dalam Bidang Pertanian.

Perkembangan pesat sektor pertanian di Malaysia boleh dikaitkan
dengan alam semula jadi, iaitu mempunyai tanah yang kaya dengan
mineral, corak taburan hujan yang baik dan bekalan air yang mencukupi
untuk pertumbuhan tanaman. Kini produk pertanian Malaysia tidak terhad
kepada hasil ladang seperti sawit, getah dan koko yang menjadi komoditi
besar negara.

Petikan akhbar menerangkan bahawa Malaysia merupakan negara yang sesuai untuk
aktiviti pertanian. Walaupun sektor ini boleh menjamin masa depan akan tetapi kerjaya
dalam sektor pertanian dikatakan kurang diminati oleh generasi muda.

Huraikan usaha-usaha yang seharusnya dilakukan untuk menarik minat generasi muda
menceburkan diri dalam bidang pertanian.

Dalam meniti arus kemodenan yang berteraskan sains dan teknologi maklumat ini, setiap
negara di seluruh dunia sedang rancak menggerakkan usaha pengembangan teknologi dan
kemahiran bagi menjayakan Revolusi Perindustrian 4.0. Hal ini menyebabkan perkembangan
sektor pertanian semakin merosot dari masa ke masa termasuklah di negara kita. Isu ini tidak
harus dipandang enteng kerana sektor pertanian penting untuk diperkembangkan di negara kita
dengan ciri-ciri yang sedia ada seperti tanah yang kaya dengan mineral, corak taburan hujan
yang baik dan sebagainya demi memajukan sektor ekonomi negara. Persoalannya, apakah
usaha-usaha yang seharusnya dilakukan untuk menarik minat generasi muda menceburkan diri
dalam bidang pertanian?

Antara usaha yang seharusnya dilakukan untuk menarik minat generasi muda
menceburkan diri dalam bidang pertanian termasuklah ibu bapa harus memainkan peranan dalam
mendedahkan generasi muda dengan ilmu pengetahuan berkaitan sektor pertanian sejak mereka
kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Misalnya, ibu bapa boleh menunjukkan
cara bercucuk tanam, menyiram pokok bunga, membaja dan sebagainya. Semangat cinta akan
pertanian juga boleh disemai dalam kalangan anak sehingga menyebabkan mereka berazam untuk
menceburkan diri dalam kerjaya bidang pertanian apabila mereka dewasa kelak. Tuntasnya, ibu
bapa harus mendorong generasi muda agar melibatkan diri dalam aktiviti pertanian.

Lebih-lebih lagi, bantuan modal yang diberikan oleh pihak kerajaan mahupun swasta
kepada petani muda amat penting agar mereka tidak berputus asa dan meneruskan usaha
mereka dalam memajukan sektor pertanian. Hal ini dikatakan demikian kerana modal yang
terhad boleh menjadi batu penghalang kepada generasi muda untuk meneruskan usaha
pertanian mereka. Justeru, sumber modal tersebut dapat menyelesaikan masalah yang
dihadapi oleh petani muda iaitu masalah kekurangan modal. Tegasnya, sokongan daripada
agensi kerajaan dan swasta amat diperlukan dalam usaha mendorong generasi muda
menceburkan diri dalam bidang pertanian.

Dalam nada yang lain, pihak sekolah turut boleh menawarkan subjek Sains pertanian di
sekolah. Tawaran subjek Sains pertanian di sekolah dapat mewujudkan peluang kepada
generasi muda untuk melibatkan diri dalam kegiatan pertanian sejak di bangku sekolah lagi.
Usaha ini boleh dilaksanakan melalui penyediaan tapak pertanian di kawasan sekolah. Hal ini
bukan sahaja dapat menceriakan kawasan sekolah, malah juga dapat menarik minat
generasi muda menceburkan diri dalam bidang pertanian kerana peribahasa Melayu ada
menyatakan bahawa tak kenal maka tak cinta.

Sementelahan itu, pelbagai maklumat dan info yang berguna berkaitan sektor pertanian
boleh dipaparkan oleh pihak kerajaan dalam media sosial seperti Facebook, Instagram,
Twitter dan sebagainya. Hal ini boleh mengubah persepsi generasi mudah terhadap kerjaya
sektor pertanian dan mereka dapat mengetahui potensi-potensi yang tersembunyi di sebalik
sektor pertanian. Tamsilnya, generasi muda jurusan sains boleh melibatkan diri dalam
bidang bioteknologi, iaitu bidang pertanian moden. Mereka berpeluang mengaplikasikan ilmu
pengetahuan mereka dalam menjayakan penciptaan teknologi moden pertanian. Hal ini
boleh memajukan lagi sektor pertanian di negara kita. Intihanya, maklumat-maklumat
tersebut amat berguna untuk menarik minat generasi muda menceburkan diri dalam bidang
pertanian.

Secara kesimpulannya, memang tidak dapat dinafikan bahawa penglibatan generasi
muda dalam bidang pertanian amat penting untuk pembangunan sektor pertanian yang amat
berpotensi ini di negara kita. Perkembangan pesat dalam sektor pertanian di negara kita boleh
mendatangkan sumber pendapatan yang lumayan bukan sahaja kepada diri dan keluarga,
malah juga dapat menjana ekonomi negara. Semoga dengan menarik minat generasi muda
menceburkan diri dalam bidang pertanian, negara kita dapat berkembang maju sehingga
mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.

Karangan 5

Faktor-faktor Kewujudan Masalah Disiplin
Dalam Kalangan Pelajar.

Tan Yi Teng

Disiplin merupakan peraturan atau undang-undang yang
bertujuan untuk membentuk para pelajar selari dengan
kehendak agama, norma-norma masyarakat dan undang-
undang sesebuah negara. Namun begitu sesuatu yang mulia
tidak diterima oleh golongan remaja. Disiplin yang semakin
merosot dalam kalangan pelajar sekolah berpunca daripada
sikap ibu bapa yang kurang memberikan perhatian kepada
anak-anak.

Bincangkan kenyataan ini.

Pada era globalisasi ini,isu disiplin yang semakin merosot dalam kalangan pelajar
sekolah telah menjadi gamit-gamitan masyarakat. Berita yang berkenaan isu ini telah
disebarkan secara meluas dalam media sosial sama ada Facebook atau Twitter dan isu ini telah
dikenali oleh orang ramai. Walaupun begitu, isu ini masih tidak dipandang serius dalam
kalangan masyarakat terutamanya dalam kalangan ibu bapa dan masalah ini akan
menyebabkan masalah disiplin di sekolah semakin meningkat bagai cendawan tumbuh selepas
hujan. Sebenarnya, sikap ibu bapa merupakan punca utama yang menyebabkan pelajar
terjebak dalam masalah disiplin kerana bak kata mutiara “kalau tiada angin bertiup takkan
pokok bergoyang.”

Dalam meniti arus kemodenan ini, sikap ibu bapa yang tidak memberikan kasih sayang
yang secukupnya kepada pelajar merupakan faktor utama dalam mewujudkan masalah disiplin
dalam kalangan pelajar sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa dasawarsa ini
berusaha bekerja untuk memberikan kehidupan yang terbaik kepada pelajar tetapi mereka terabai
perasaan pelajar. Ibu bapa yang pulang dari kerja akan letih dan ingin berehat. Jika pelajar
membuat bising, mereka akan naik angin dan memarahi pelajar dengan nada yang kuat. Pelajar
bukan sahaja akan berasa sedih, tetapi juga akan belajar memarahi orang lain. Bak kata mutiara,
“bagaimana acuan begitulah kuihnya”, pelajar akan bercakap kuat dengan guru setelah dimarahi
oleh guru walaupun pelajar itu membuat kesilapan.

Selain itu, sikap ibu bapa yang sentiasa sibuk bekerja di luar juga merupakan punca yang
menyebabkan masalah disiplin. Ibu bapa yang sering bekerja di luar tidak mempunyai banyak masa
untuk menemani dan mengawasi perlakuan pelajar. Pemikiran ibu bapa yang beranggapan bahawa
mencari duit yang banyak dapat memenuhi segala yang diminta oleh pelajar adalah salah. Pelajar
akan berbuat apa sahaja yang mereka berasa iritasi kerana ibu bapa tiada berada di sisi mereka untuk
mengelola mereka. Tegasnya, sikap ibu bapa yang sering bekerja di luar akan mendatangkan
masalah tidak mempunyai masa untuk mengawasi pelajar dan memberikan peluang kepada pelajar
untuk terlibat dalam gejala sosial.

Di samping itu, sikap ibu bapa yang sering bergaduh dalam sesebuah keluarga juga akan
mendatangkan masalah disiplin dalam kalangan pelajar. Ibu bapa yang sering bergaduh akan sentiasa
bertindak keras dan menyebabkan pelajar sentiasa berada dalam keadaan kemurungan lalu
menyebabkan masalah psikologi. Oleh itu, pelajar mungkin melepaskan tekanan mereka melalui
perlakuan yang tidak senonoh. Bak kata pepatah, “bapa borek anak rintik”, pelajar akan bercakap kasar
apabila menghadapi masalah ataupun diganggu oleh pelajar lain seperti yang dilakukan oleh ibu
bapanya. Jelaslah bahawa sikap ibu bapa dapat menentukan kelakuan pelajar. Oleh itu, ibu bapa
haruslah menjaga tingkah laku di hadapan pelajar sebagai teladan.

Akhir sekali, sikap ibu bapa yang kurang memberikan perhatian kepada kehidupan pelajar
juga mewujudkan masalah disiplin. Ibu bapa yang sibuk dengan kerja menyebabkan mereka tidak
dapat meluangkan masa untuk mengawasi pelajar terutamanya dalam bidang akademik. Oleh itu,
pelajar akan diabaikan dan kurang minat dalam pelajaran. Bukan itu sahaja, pelajar akan
berbuat apa sahaja tanpa mengira perlakuan itu sama ada berfaedah kepada diri atau tidak.
Misalnya, ibu bapa yang kurang memberikan perhatian tidak akan mempedulikan pelajar berkawan
dengan siapa dan berada di dalam atau di luar rumah. Kesannya, pelajar mudah terjebak dalam
masalah gejala sosial seperti mencuri, merokok ataupun ketagihan dadah.

Intihanya, masalah disiplin dalam kalangan pelajar sekolah wajarlah ditangani secepat
mungkin persis kata cendekiawan “ cegah sebelum parah.” Pelajar boleh dikaitkan dengan
peribahasa “pemuda harapan bangsa pemudi tiang negara”,ini dapat dilihat bahawa disiplin
seseorang pelajar sangat penting dalam memimpin sesebuah negara ke taraf yang lebih tinggi
dan dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara asing pada masa hadapan.
Oleh itu, semua pihak terutamanya kalangan ibu bapa haruslah berusaha untuk menangani
masalah disiplin dalam kalangan pelajar sekolah.

Karangan 6

Langkah-langkah Yang Harus
Diambil Supaya Semangat
Kejiranan Dalam Kalangan
Penduduk Dapat Ditingkatkan

Bak kata pepatah,“jiran sepakat membawa
berkat,”ini telah menunjukkan bahawa semangat
kejiranan sangat penting dalam kehidupan seharian
kita. Namun, semangat kejiranan dalam kalangan
rakyat di negara kita semakin longgar.

Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang harus
diambil supaya semangat kejiranan dalam kalangan
penduduk dapat ditingkatkan?

Jiran ialah orang yang tinggal berdekatan dengan rumah atau tinggal setempat sama ada
tinggal di kiri, kanan, hadapan atau belakang, atas dan bawah bagi rumah flat atau
kondominium. Jiran memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan seharian kita
kerana mereka merupakan sahabat yang boleh dipercayai dan jiran sentiasa bersedia
menghulurkan tangan untuk membantu kita yang dalam kesusahan. Bak kata pepatah,”‘jiran
sepakat membawa berkat.” Namun begitu, semangat kejiranan dalam kalangan rakyat di
negara tercinta kita yakni Malaysia, semakin longgar pada era globalisasi ini. Persoalannya,
apakah
langkah-langkah yang harus diambil supaya semangat kejiranan dalam kalangan penduduk
dapat ditingkatkan?

Antara langkah yang harus diambil ialah mengadakan aktiviti gotong-royong di sekitar
kawasan perumahan. Melalui aktiviti ini, jiran tetangga akan duduk bersama untuk membahagikan
tugas-tugasan supaya aktiviti gotong-royong dapat berjalan lancar. Bak kata mutiara, “ tak kenal
maka tak cinta.” Melalui perbualan antara satu sama lain, mereka akan saling berkenalan dan
mengeratkan hubungan dalam kalangan jiran tetangga. Misalnya, jiran tetangga boleh berganding
bahu untuk membersihkan longkang yang tersumbat, menyapu daun yang telah gugur manakala
kaum wanita boleh menghidangkan pencuci mulut untuk dimakan semasa berehat. Melalui gotong-
royong, hubungan antara jiran tetangga bukan sahaja dapat dieratkan, tetapi juga menjamin
keceriaan kawasan perumahan.

Selain itu, rakyat boleh mengadakan Hari Keluarga di padang yang berhampiran dengan
kawasan perumahan. Hari Keluarga dapat merapatkan hubungan sesebuah keluarga dengan
keluarga yang lain dan saling memahami budaya antara satu sama lain terutamanya dalam jiran
tetangga yang berbilang kaum. Hal ini dikatakan demikian kerana semua ahli keluarga akan
melibatkan diri dalam permainan seperti dua orang berkaki tiga dan berkayak. Permainan yang
bertanding antara beberapa buah keluarga dapat menjalinkan hubungan mereka bukan sahaja
dalam kalangan ibu bapa tetapi juga dalam kalangan anak-anak. Apabila jiran tetangga telah
menghadapi masalah, keluarga lain akan menggembleng tenaga untuk membantu keluarga
tersebut menyelesaikan masalah tanpa mengharapkan balasan.

Di samping itu, rumah terbuka boleh diadakan semasa hari perayaan misalnya Tahun Baharu Cina
dan Hari Raya Aidilfitri. Aktiviti tersebut wajarlah menjemput semua jiran tanpa mengira kaum dan budaya.
Hal ini disangkut-paut dengan tindakan ini dapat mengeratkan hubungan pelbagai kaum kerana jiran
tetangga yang berbilang kaum berkumpul untuk menghadiri sesuatu aktiviti dan bersembang antara satu
sama lain. Jiran dapat saling bertanya khabar dan mengongsikan perkara-perkara yang menarik antara
satu sama lain. Bukan itu sahaja, mereka juga dapat berkawan dengan jiran tetangga yang mempunyai
cita atau topik yang sama dalam kehidupan seharian dan memupuk hubungan bagai kertas dengan
dakwat.

Akhir sekali, rakyat wajarlah memupuk sikap kunjung-mengunjungi di kawasan kediaman.
Sikap ini digalakkan dalam hidup bermasyarakat kerana mereka dapat mengetahui kesusahan dan
masalah jiran dalam masa yang singkat. Rakyat juga haruslah menziarahi jiran yang berada di hospital
akibat sakit atau kemalangan dengan membawa bakul buah sebagai tegur sapa. Persis kata
cendekiawan,” berat mata memandang, berat lagi bahu memikul”, rakyat haruslah sentiasa bersedia
untuk membantu jiran yang berada dalam kesusahan untuk meringankan bebanan mereka tanpa
mengharapkan balasan daripada mereka kerana membantu orang lain ialah asas kebahagiaan.

Intihanya, semangat kejiranan haruslah dipupuk dalam kalangan masyarakat sejak
akhir-akhir ini. Persis kata mutiara,”bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.” Oleh itu, semua
pihak haruslah berusaha untuk memupuk semangat kejiranan terutamanya dalam kalangan
ibu bapa. Ibu bapa haruslah menasihati anak-anak untuk menanam semangat kejiranan
sejak kecil lagi bak kata orang tua-tua ”melentur buluh biarlah dari rebungnya” supaya
negara tercinta kita, Malaysia, sentiasa berada dalam keadaan harmoni.

Karangan 7

Punca-punca Berlakunya
Kerosakan Harta Benda Awam

Di Negara Kita.


Click to View FlipBook Version