Pada tahun 1971-1974 kita dipaparkan dengan dua tahap pengaruh dalam
PBMUM. Pada tahap pertama PBMUM telah dikawal oleh PKPIM dan ABIM
melalui pengaruh Anwar Ibrahim dan Noordin Razak. Pada tahap ini, PBMUM
berimejkan Nasionalis-Islamis lebih banyak bersama PKPIM dan ABIM. Mereka
bersama-sama telah memperjuangkan Isu Penindasan Orang Pathani oleh
kerajaan Thai. Pada tahap kedua, proksi Anwar Ibrahim telah tumpas kepada
Mahadzir Khir yang bersifat nasionalis yang cuba merapati kerajaan dan
universiti.
Tim PBMUM nasionalis pro universiti ini telah menunjuk taring apabila
mengagalkan rampasan kuasa universiti oleh PMUM setelah peristiwa Tasek
Utara. PBMUM di bawah pimpinan Aziz Shamsuddin mewujudkan Majlis
Tindakan Negara (MTN) mengagalkan usaha Majlis Tindakan Sementara (MTS)
yang didokongi oleh PMUM. MTN bersama kerajaan dan penguasa varsiti telah
membantai MTS (PMUM) dibawah pimpinan Kamarazaman Yaacob dan
Hishamuddin Rais.
Perbalahan ini cukup hebat kerana ia melibatkan ‘peperangan’ ideologi
Nasionalis-Melayu vs Sosialis. Kolej yang dikuasai oleh juak sosialis seperti Kolej
Kelima telah menghalang lawatan juak MTN dan hampir mencetus pengaduhan.
Kekuatan PBMUM ketika ini cukup hebat kerana berjaya menghindari pengaruh
Anwariyyun dan menentang golongan popular universiti, Kelab Sosialis Universiti
Malaya yang menguasai PMUM.
Pada tahun 1974-1980, PBMUM tampak lesu seperti persatuan lain ekoran
dimandulkan oleh Akta Universiti dan Kolej (AUKU) 1975. Imej nasionalis
berkurangan dan aktiviti PBMUM lebih kepada kemasyarakatan dan diskusi
ilmiah. Idealisme gerakan mahasiswa yang asal terkenal dengan keras dan
melawan kelihatan luntur.
Pada tahap 1980-1990, PBMUM mula melakukan respon terhadap isu semasa.
Unsur Islamis kembali kelihatan dalam PBMUM, contoh Husam Musa selaku
Setiausaha Agung PBMUM telah membidas kenyataan bertulis seorang ahli
parlimen UMNO yang meremeh ajaran Islam.
Selepas kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO, pengaruh PKPIM dan ABIM
berjaya ditumbang dalam saf pimpinan PMIUM oleh team PMIUM revolusi Iran
101
yang Pro PAS. Sebagai alternatif anasir-anasir PKPIM dan ABIM cuba menyusupi
PBMUM setelah lama mendominasi PMIUM dan berjaya mengawal keseluruhan
PBM pada tahun 1990-2000. Tahap ini muncullah Saifuddin Abdullah, Fuad
Zakarshi (tokoh UMNO Johor) dan Fakrulrazi.
Pada tahun 1990-2000, pada awal dan pertengahan 1990an, PBMUM telah
menjadi sarang PKPIM-UM di Universiti Malaya. Imej PBMUM lebih Islamis ala
ABIM-PKPIM. Sokongan PBMUM hampir seimbang dengan PMIUM dan pada satu
masa wakil PMIUM (Nadi) dan PBMUM (melalui BMB) saling tumbang-
menumbang dalam pilihan raya kampus. PBMUM pro universiti ekoran hero
mereka iaitu Anwar Ibrahim bersama kerajaan.
Perjuangan PBMUM [proksi PKPIM-UM] kembali bersifat oposisi apabila Anwar
Ibrahim dipecat daripada kerajaan. PBMUM bersama Gagasan Mahasiswa
Universiti Malaya (GMUM) telah mengalahkan calon-calon pro Hal Ehwal Pelajar
(HEP) – Majlis Gerakan Mahasiswa Universiti Malaya (MGMUM).
Walau bagaimanapun, taring PBMUM semakin tumpul pada akhir 1990an.
Ketiadaan pelapis dalam barisan kepimpinan menghilang suara PBMUM dalam
perjuangan isu kampus dan nasional. Anasir PKPIM-UM juga semakin pudar
warnanya dalam mempengaruhi PBMUM dan PKPIM-UM sendiri gagal membekal
benih-benih pimpinan yang berkualiti secara berterusan untuk PBMUM. Kini, arah
idealisme PBMUM perlu diberikan nafas baru oleh pimpinan PBMUM agar terus
relevan di UM.
Isu Bahasa Melayu (BM).
PBMUM dan BM bagai isi dengan kuku. Nama PBMUM pasti tersemat dalam
perjuangan mendaulatkan BM di bumi Malaysia ini. PBMUM telah mencela
kenyataan Tunku Abdul Rahman dan Khir Johari kerana mengatakan BI akan
dijadikan bahasa rasmi disamping BM. PBMUM memberi amaran ‘jika hendak
mengelak pertumpahan darah, soal BM sebagai bahasa kedua tidak harus
ditimbulkan.’
Isu Penduduk Luar Bandar.
102
Pada tahun 1967, PBMUM mengadakan Simposium Penduduk Luar bandar bagi
mengkaji masalah masyarakat luar bandar. PBMUM pada masa ini dibawah
pimpinan Sanusi Osman yang berfahaman sosialis (ahli Kelab sosialis Universiti
Malaya). Hasil daripada simposium ini telah menyedarkan mahasiswa tentang
keadaan masyarakat luar bandar. Respon utama adalah peristiwa Teluk Gong.
Jelas, PBMUM dulunya sebuah gerakan mahasiswa radikal telah berevolusi
menjadi gerakan mahasiswa ‘biasa’ (baca: lembek). Semangat zaman telah
meluruskan perubahan agar PBMUM bersama-sama arus perdana. Perkataan
lawan dan kritik kerajaan oleh gerakan mahasiswa dianggap pro pembangkang
dan menentang universiti. Inilah kedangkalan pemikiran orang kita walaupun
berderet-deret kepingan ijazah. Kini, keunggulan PBMUM menjadi sejarah,
sejarah bisu yang menjadi agenda telah melahirkan ramai lagenda..
Isu Tanah di Teluk Gong.
Dalam bulan September 1967, PBMUM telah mengadakan Simposium ‘Masalah
Penduduk Luar Bandar’ bertujuan membincangkan dan mengkaji masalah yang
dihadapi oleh penduduk luar bandar. Permasalahan yang dibincang mencakupi
persoalan pendidikan, nasib wanita, kemudahan dan ekonomi orang Melayu di
luar bandar. PBMUM telah menggunakan platform simposium ini bagi
menyuarakan pembelaan yang harus dilakukan ke atas rakyat miskin dan terbiar
di desa.
Perjuangan PBMUM dibawah pimpinan Sanusi Osman dipandang negatif kerana
PBMUM didakwa terpengaruh dengan cita-cita fahaman Sosialis. Impak
simposium ini, PBMUM bersama dengan PMUM telah memperjuangkan isu Teluk
Gong.
Kisahnya pada 10 Ogos 1967, Wira Tanah Rakyat, Hamid Tuah bersama
pengikutnya telah membuka tanah haram untuk petempatan dan pertanian di
Teluk Gong.
Pada 21 Ogos 1967, seramai 530 petani telah menanam sayur-sayuran dan
membina penempatan di atas tanah 1000 ekar. Pada bulan September 1967,
103
kerajaan memberi amaran supaya tanah tersebut dikosongkan dalam tempoh
seminggu. Kerajaan telah bertindak menangkap Hamid Tuah dan pengikutnya
enggan menurut perintah dan memusnahkan petempatan haram tersebut.
Pada 14 Oktober 1967, pelajar mengadakan sudut pidato membidas pihak
kerajaan Selangor dan mendesak agar Hamid Tuah dan rakan-rakannya
dibebaskan. Mereka juga telah berarak dan berpiket di depan Pejabat Setiausaha
Kerajaan Negeri Selangor. Perarakan itu dapat disurai setelah pihak PMUM
melalui Syed Hamid Ali (SUA PMUM), Syed Alwi al Joned, Khong Kim Hoong, Ravi
dan Rohani Zainal berjaya menghantar memorandum.
Pada 15 Oktober 1967, sudut pidato diadakan lagi dengan luahan isteri Hamid
Tuah, Syarifah Aini dan Dam Huri (anak beliau) di hadapan kira-kira 200 orang
pelajar. Pelajar telah mengutip derma sebanyak RM500, pakaian dan susu untuk
diagihkan kepada pengikut Hamid Tuah.
Penglibatan Mahasiswa Dalam Pilihanraya 1969.
Gerakan pelajar mengalami tranformasi secara radikal dalam politik apabila
melibatkan diri dalam pilihanraya Umum 1969. Pada bulan April dan Mei, PMUM
telah bersedia dengan membuat persiapan bagi menyertai kempen pilihan raya.
PMUM cuba memberi gambaran sebenar tentang politik nasional dengan
menggunakan pendekatan non racial. Pada 19 April 1969, PMUM telah
mengeluarkan satu manifesto yang dikenali Manifesto Mahasiswa sebagai asas
perjuangan dalam Pilihanraya 1969.
PMUM telah menyediakan Manifesto Mahasiswa yang bebas daripada sifat
perkauman yang diamalkan dalam politik nasional. Pembebasan daripada unsur
perkauman dalam manifesto diakui oleh Jawatankuasa MAGERAN Mengkaji
Kehidupan Penuntut-penuntut Di Kampus Universiti Malaya.
PMUM dalam manifestonya memperjuangkan isu-isu masyarakat seperti hak-hak
demokrasi, perpaduan nasional, reformasi pelajaran, kesihatan, gaji minimun,
reformasi pertanian dan dasar luar. Gerakan mahasiswa ingin melahirkan
104
masyarakat yang adil dan seimbang dimana penindasan manusia ke atas manusia
lain tidak kedapatan.
PMUM telah turun padang dalam kempen pilihanraya 1969 dengan mengadakan
rapat umum secara besar-besaran di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur,
Klang, Ipoh dan Petaling Jaya. Rapat umum mempamerkan bakat politik dari segi
idealis dan karismatik pimpinan mahasiswa seperti Syed Hamid Ali, Khong Kim
Hoong dan Yoong Suan.
Sebanyak 13 rapat umum diadakan dengan kehadiran 100,000 orang rakyat
menunjukkan betapa besar pengaruh gerakan pelajar di kalangan rakyat sehingga
pimpinan PMUM tidak dibenarkan ke negeri Pantai Timur.
Dalam Pilihanraya tahun 1969, Perikatan mengalami kekalahan besar di negeri-
negeri Pantai Barat. Perikatan kehilangan 25.85 peratus daripada kerusi yang
dipegangnya. Di Perak dan Selangor, Perikatan hampir kehilangan kerajaan tetapi
bernasib baik apabila parti GERAKAN tidak mahu menyertai sebarang
pencampuran dengan parti pembangkang yang lain. Pilihanraya 1969, MCA dan
MIC telah kehilangan pengaruh dalam masyarakat Cina dan India antara faktor
utama penyebab kekalahan Perikatan di banyak tempat.
Pandangan Sarwajagat Islam: Islam Sebagai Penyelesaian
Sesetengah pihak berpendapat permasalahan sekarang berpunca daripada
masalah ekonomi bukannya masalah agama. Ada juga berpendapat kita hanya
melihat liberalisme (ideologi) dalam konteks agama bukannya konteks ekonomi
dan ideologi itu sendiri.
Jika kita teliti dengan lebih halus, pandangan berasaskan ideologi yang dikatakan
pandangan ekonomi itu bukan setakat pandangan ekonomi tetapi mempengaruhi
pandangan politik dan sosial. Contohnya, Komunisme ia mencakupi ekonomi,
sosial dan politik. Maknanya, ideologi ini memandu cara hidup kita mencakupi
keseluruhan cara hidup kita.
Siapa sebenarnya manusia?. Manusia hidup bergantung kepada pandangan
sarwajagat atau worldview mereka. Justeru, pandangan sarwajagat perlu diislah
105
dan dibersihkan daripada elemen-elemen faham humanisme dan faham sekular.
Keherotan pemikiran ini boleh dibaiki dengan mengambil pandangan sarwajagat
Islam sebagai panduan.
Apa pandangan sarwajagat (worldview) Islam?.
Pertama, tauhid sebagai paksi worldview Islam (Surah al Baqarah: 163, dan Surah
Ali ‘Imran: 19). Konsep Ubudiyyah (kehambaan mutlak hanya kepada Allah)
menjadi tonggak kehidupan seorang Manusia Islam dan Manusia Baik.
Kedua, kita perlu kembali kepada pendefinisian Islam. Islam bukan sekadar
berdefinisikan ‘agama’ tetapi addin, satu cara hidup. Din juga membawa maksud
keadaan berhutang. Keberhutangan makhluk kepada Allah memerlukan manusia
membayar hutang melalui proses pengabdian diri (Surah al Zariyat: 56) kepada
kepada Allah dan ‘melayan’ (beribadah) Allah SWT melalui cara yang benar
seperti kemahuanNya.
Ketiga, peranan manusia sebagai homo Islamicus atau manusia Islam. Atau dalam
bahasa al Quran dikenali sebagai khalifah (Surah al Baqarah: 30) yang melakukan
tugas khalifah; pemberi penerangan tentang kebenaran dan kesesatan (Surah al
Baqarah: 143).
Keempat, kehidupan ini; solatku; ibadatku; hidupku dan matiku (Riwayat Muslim:
No 771) adalah ibadat, dan ibadat perlu mencapai kesempurnaan (surah al Mulk:
2).
Kelima, etika, nilai dan akhlak yang mulia dan mantap (Surah al Qalam: 4).
Kesempurnaan akidah itu disempurnakan dan dilengkapkan oleh akhlak yang
mulia dan mantap – “Aku telah dihantar untuk menyempurnakan akhlak yang
mulia” (hadith Rasulullah SAW).
Keenam, kefahaman yang benar dan betul (Surah Yusuf: 108). Kefahaman ialah
kesedaran yang membawa manusia yang baik kepada kebenaran melalui jalan
yang benar dan sahih.
106
Ketujuh, mengislah diri (Surah an Nisa: 114, Surah al Baqarah: 182 &220, Surah
Hud: 8) dan masyarakat (Surah an Nisa: 16 & 35) untuk memahami Islam dan
mengamalkan Islam dengan yang betul.
Kelapan, ilmu yang benar dan sahih menjadi panduan dalam pengamalan dan
tindakan. Ilmu yang benar dan sahih perlu dijalinkan dengan pendekatan
berhikmah.
Kesembilan, persaudaraan Islam berlandaskan aqidah. Setiap orang-orang
mukmin itu bersaudara (Surah Al-Hujurat: 10 dan Surah al Baqarah:137).
Kesepuluh, nilai kemanusiaan melalui rahmat Islam untuk sekalian alam.
Kita sebagai manusia memang ditakdirkan apa yang berlaku di dunia tetapi kita
diberi ruang dan peluang oleh Allah untuk memilih apa yang kita ingini di akhirat
kelak.
Peringatan Allah SWT (Surah Taha: 124) dalam al Quran mesti dipatuhi dan
dijadikan garis panduan dalam kehidupan manusia. Malang sungguh jika kita
manusia yang mengutamakan hujah dan ilmu dalam bertindak tetapi kabur
dengan pandangan sarwajagat Islam yang berhujahkan al Quran.
Jangan sampai hati kita tertutup (Surah al Baqarah: 7) dengan sifat tuli, bisu dan
buta (Surah al Baqarah:18) sehingga mencacatkan pandangan sarwajagat kita.
Jangan kita mengikuti kebanyakan manusia (Surah al An’am :116) yang tidak tahu
dan tidak mahu mengikuti ajaran Islam.
Maka, pandangan sarwajagat kita perlu dibina dan dibentuk berdasarkan 10
perkara penting tadi. Segala pandangan atau ideologi serta pandangan akal kita
mesti tunduk kepada kehendak wahyu Allah tanpa kompromi.
Mahasiswa Sebagai Insan Adabi
Pada hari ini, gerakan mahasiswa terbahagi dua iaitu bersifat arus perdana
berasaskan kepentingan politik kepartian, dan gerakan mahasiswa indie
107
berasaskan bawaan idea mereka sebagai siapa-apa; ideologi; dunia penulisan:
forum ilmu; dapur jalanan; buku jalanan dan lain-lain.
Paling jelas, gerakan mahasiswa dilihat sebagai gerakan politik. Gerakan
mahasiswa sebagai gerakan politik lebih bersifat mencari populariti, mahu
mengukir nama dalam sejarah, ‘keldai’politik kepartian dan bergantung kepada
isu popular. Kepalsuan jelas kelihatan selepas mereka menamatkan pengajian
bahkan ada kalangan mereka menjauhi diri daripada gerakan mahasiswa setelah
zaman mereka ‘tamat’ dan tidak beristiqamah seperti pendirian mereka semasa
di kampus selepas keluar universiti.
Gerakan mahasiswa perlu melakukan anjakan paradiqma agar diri mereka bebas
daripada belenggu politik kepartian. Bukan tidak boleh mendekati politik tetapi
jauhi daripada menjadi ‘budak’ politik kepartian.
Maka, tunjang intelektualisme, berkebajikan dan aktivisme perlu dibebaskan
daripada agenda politik kepartian.
Gerakan mahasiswa memerlukan tindakan yang ada pedoman dirangka
berdasarkan kerangka pemikiran dan pandangan sarwajagat yang baik dan benar.
Tiga asas dalam kerangka pemikiran tersebut ialah Faham Islam, Faham Keadilan
dan Nilai Kemanusiaan.
Faham Islam memerlukan kita memahami bahawa Islam bukanlah agama dalam
definisi Barat. Islam adalah addin, cara hidup (Surah Ali Imran: 19). Sifat Faham
Islam ialah Islam sebagai addin yang sempurna untuk manusia (Surah al Maidah:
3). Islam perlu diterima secara holistik dalam kehidupan; jasmani dan rohani;
zahir dan batin; pemikiran dan emosi; badani dan insani.
Islam adalah keadilan (Surah al Nisa’: 58, Surah al Hujurat:9). Sifat Faham
Keadilan Islam berbeza dengan Kebudayaan Barat. Faham Keadilan Islam diawali
dengan keadilan berpunca daripada diri sendiri iaitu manusia perlu adil kepada
diri sendiri dahulu melalui hujah al Quran (Surah a’raf: 172 dan 23). Manakala
Kebudayaan Barat, keadilan bagi mereka dalam rangka dua pihak melibatkan
unsur hakikat jasmani, kebendaan dan keduniaan.
108
Pokok pangkal kemanusiaan itu adalah pengabdian diri kepada Tuhan Yang Hak
melalui jalan yang benar iaitu bertaqwa kerana orang paling mulia di sisi Allah
adalah orang yang paling bertaqwa. Tiada guna kita lakoni ketaqwaan kerana
Allah sendiri Maha Mengetahui dan Maha Mengenal siapa orang bertaqwa yang
benar dan tulen (Surah al Hujurat: 13).
Islam menetapkan nilai kemanusiaan sebagai prinsip yang tinggi – al Karamah al-
Insaniah (kemuliaan manusia). Walaupun tidak menganuti agama Islam, hak
kemuliaan sebagai manusia dijamin oleh Islam kerana Allah memuliakan anak-
anak Adam (Surah al-Isra; 70). Selagi tidak melanggar syariat Allah, perkara
keduniaan boleh dilakukan dengan bebas.
Kerangka Pemikiran dan Pandangan Sarwajagat Islam penting untuk memandu
tindakan kita agar setiap tindakan mempunyai hujah-hujah yang benar
(bersumber al Quran dan al Sunnah) dan dilakukan untuk kebaikan Islam dan
manusia lain. Kita tidak mahu perbuatan kita bersikap pragmatik dan
melanggarkan hak Allah. Intelektualisme perlu dibatasi dengan kerangka
pemikiran dan pandangan sarwajagat Islam.
Mahasiswa Insan Adabi perlu meneruskan gerak-upaya berkebajikan mereka
seperti dapur jalanan, kelas bahasa untuk rakyat marhaen, buku jalanan, kempen
kesihatan, dan membersihkan penempatan rakyat. Perjuangan mahasiswa bukan
untuk mendapat populariti tetapi menegakkan keadilan sosial dan berkebajikan
dalam masyarakat. Usaha dilakukan berterusan dengan purata sekali seminggu.
Gerakan mahasiswa termasuk GAMIS dan Jemaah Islam Kampus (JIK) perlu
mengunakan pendekatan berkebajikan yang membentuk kuasa rakyat dimana
rakyat melakukan gerak upaya untuk rakyat; dari rakyat untuk rakyat oleh rakyat
dalam konteks bukan politik iaitu sebagai gerakan masyarakat madani (sivil).
Minta sumbangan dan agih sumbangan. Ilmu dan masa yang ada digunakan untuk
mendidik rakyat terutamanya orang gelandangan.
Aktivisme, perjuangan berdasarkan isu sama ada ekonomi, politik dan sosial.
Perjuangan ini berdasarkan ilmu-hujah dibuat secara budiman. Forum dan
seminar boleh dianjurkan. Penulisan dihantar ke media massa elektronik dan
cetak. Kita boleh menyertai demonstrasi aman untuk menunjuk perasaan kita
109
bukannya bertindak mengikut emosi dan diluar kawalan. Dan demonstrasi
hanyalah kaedah paling akhir.
Dalam politik kampus, mahasiswa tidak perlu lagi membentuk front-front politik
tetapi bertanding secara individu tanpa parti/front. Mahasiswa Insan Adabi boleh
menyertai pasukan HEPA untuk bertanding atau mengambil calon sebagai
individu. Mahasiswa Insan Adabi mengamalkan politik merentasi parti dan
ideologi. Lebih menumpukan kepada penambahan pengalaman dan kemahiran
dalam kepimpinan-pengurusan, membina jaringan pengaruh-persahabatan dan
membina intelektualisme yang benar.
Mahasiswa Insan Adabi ialah mahasiswa yang sedar-insaf akan tanggungjawabnya
kepada Allah SWT sebagai Tuhan yang Sebenarnya disembah; yang memahami
dan melaksanakan tanggungjawabnya kepada diri sendiri dan kepada masyarakat
dengan adil. Dan senantiasa membaiki setiap aspek dirinya ke tahap lebih
sempurna. Mahasiswa Insan Adabi turun ke lapangan rakyat dengan khidmat
masyarakat. Berkhilaf dengan beradab dan menonjolkan kecantikkan akhlak.
Fiqh Dakwah Maulana Abul Hasan Ali An Nadwi
Dasar kefahaman dakwah Maulana Abul Hasan an Nadwi bersifat ‘tegas pada
prinsip, anjal dalam pelaksanaan’.
1. Mengukuhkan iman dalam menghadapi cabaran kebendaan
2. Mengutamakan wahyu daripada akal
3. Memantapkan hubungan dengan al Quran
4. Mengukuhkan hubungan dengan as Sunnah dan Sirah rasulullah SAW
5. Meniupkan semangat kerohanian atau Rabbaniyyah Ijaabiyah (Kedekatan
kepada Allah yang membawa kesan positif dalam jiwa)
6. Membina buka meruntuh, menyatu-padu bukan memecah belah.
7. Menghidupkan semangat jihad Fi Sabilillah
8. Mengambil pelajaran dar sejarah Islam dan menjelmakan kepahlwanan
Islam.
9. Mengkritik pemikiran Barat dan Kebudayaan Barat
10.Mengkritik fahaman perkauman yang sempit dan taksub jahiliah
110
11.Memantapkan aqidah bahawa sudah tidak ada nabi setelah Nabi
Muhammad SAW dan memerangi kumpulan Qadiani
12.Memerangi ‘Riddah Fikriyyah’ (pemikiran liar yang terpesong dari landasan
Islam)
13.Mengingati peranan ummat di sepanjang sejarah dan berusaha
meneruskannya untuk masa yang akan datang.
14.Mengakui kelebihan para sahabat dan kedudukan mereka dalam agama.
15.Mengambil peduli dengan masalh Palestin dan berusaha membebaskannya.
16.Menyusun Tarbiah Islam yang tulen.
17.Memberi perhatian khusus kepada pendidikan anak
18.Membina para ulama dan dai yang mempunyai kerohanian yang tinggi dan
pengetahuan
19.membetulkan haluan kebangkitan dan gerakan Islam.
20.Mendakwah orang bukan Islam.
30 Gagasan dan Prinsip Wasatiyyah dan Pembaharuan Islam
Sheikh Dr Yusuf al Qaradhawi
“Ketidakbolehan berbahasa Arab, Inggeris dan sebagainya bukan
alasan untuk tidak berilmu – Siddiq Fadzil
1. Ilmu yang mendalam dan kefahaman yang menyeluruh serta seimbang
tentang Islam; sekira-kira jelas dua aspek utama: Pertama: Menyeluruh
dan melengkapi. Atas dasar Islam merupakan Akidah & Syariah, Ilmu &
Amal, Ibadah & Muamalat, Tsaqafah & Akhlak, Hak & Kekuatan, Dakwah
& Negara, Agama & Dunia, Tamadun & Umat. Aspek kedua: Gandingan
yang seimbang antara dua perkara yang tampak bertentangan tapi
menjadi keperluan, seperti Rohani & Material, Ketuhanan &
Kemanusiaan, Pemikiran dan Perasaan, Idealistik & Realistik, dan antara
Individualisma & Sosialisme.
2. Keimanan bahawa Al-Quran Al-Karim dan Sunnah Nabi yang sahih sebagai
rujukan tertinggi dalam pensyariatan undang-undang dan membimbing
halatuju kehidupan secara Islamik; dengan mengambil kira kepentingan
memahami nas-nas Al-Quran dan Sunnah yang terperinci ataupun bersifat
juz’iy dalam kerangka maqasid atau objektif syari’at yang yang bersifat
111
kully.
3. Mengasaskan aqidah di atas keimanan kepada Allah serta Hari Akhirat,
juga di atas Tauhid yang suci lagi tulen: tauhid Rububiyyah, Ilahiyyah,
Hakimiyyah. Maka dengan itu manusia bebas daripada perhambaan
sesama manusia dan perhambaan terhadap apa saja selain Allah. Ini juga
menuntut keimanan bahawa Muhammad sebagai utusan Allah yang
diutus dengan membawa risalah terakhir sedunia yang berkekalan dan
dengannya Allah mengakhiri rantaian para Nabi-Nya.
4. Mendekatkan diri hanya kepada Allah semata-mata dengan ibadat yang
Dia syariatkan. Memberikan penumpuan terhadap ibadat kepada Allah
kerana ia merupakan matlamat penciptaan manusia. Ibadat ini
merangkumi ibadat utama yang menjadi syiar agama iaitu Solat, Puasa,
Zakat dan Haji seterusnya lagi seperti zikir, doa, istighfar. Selain itu
hendaklah memberi penekanan terhadap Ibadat batin seperti niat yang
jujur, ikhlas kepada Allah, takutkan Allah dan sebagainya. Ia merupakan
asas kepada tasawuf hakiki yang berdiri di atas konsep ‘Jujur dengan
Allah, Berakhlak dengan makhluk’.
5. Penyucian jiwa dan melawan hawa nafsu supaya ia dihias dengan budi
pekerti dan akhlak yang mulia yang diambil berat oleh Islam, sama ada
akhlak individu ataupun bersifat masyarakat. Ini difahami dengan
menolak pendirian mereka yang menganggap ibadat-ibadat syiar dan
amalan ritual ialah segalanya, dan menolak juga pendirian mereka yang
mengirakan akhlak dan dalaman merupakan segalanya tanpa perlu ibadat
anggota luaran.
6. Penegasan kewajiban berdakwah dan seruan kepada Allah, amar ma’ruf
nahy munkar, nasihat-menasihati dalam agama, berpesan-pesanan dan
saling mengingatkan akan kebenaran dan kesabaran.
7. Meneguhkan nilai-nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan; seperti:
Keadilan, Syura, Kebebasan, Kemuliaan dan Hak Asasi Manusia.
112
8. Menghormati akal disamping wahyu. Menyeru kepada penggunaan akal
untuk meneliti dan berfikir. Membentuk minda akademik. Memerangi
jumud dan ikutan membabi buta terhadap warisan nenek moyang, tuan,
orang besar atau orang awam. Menafikan percanggahan antara wahyu
yang benar dengan akal yang jelas.
9. Memperbaharui agama dari dalam. Ini dengan memperbaharui
kefahaman terhadap agama, memperbaharui keimanan terhadapnya,
memperbaharui amal dengannya, memperbaharui seruan kepadanya.
Tidak dapat tidak mestilah dengan menghidupkan semula konsep ijtihad
yang merupakan nyawa kepada Syariah, dengan syarat ijtihad hendaklah
daripada ahlinya dan pada tempatnya.
10.Seruan kepada Fiqh yang baharu: kefahaman terhadap alam semesta dan
kefahaman dalam agama. Ini merangkumi beberapa jenis Fiqh yang
dikehendaki: Fiqh Sunnah Alam, Fiqh Maqasid Syariat, Fiqh Ma’alat, Fiqh
Muwazanat, Fiqh Aulawiyyat, Fiqh Ikhtilaf, Fiqh Tamadun, Fiqh
Perubahan, Fiqh Realiti.
11.Menginsafi wanita dan bertindak adil terhadap mereka, memuliakan
mereka, menjaga fitrah mereka, melalui penegasan terhadap ajaran Islam
seperti memberikan wanita hak-hak, kedudukan dan nilai mereka. Ia juga
direalisasikan dengan membebaskan mereka daripada dogma-dogma
zaman gelap/mundur Islam dan juga keserakahan serangan tamadun
barat yang mengeluarkan wanita daripada fitrah mereka serta tidak pula
meraikan kewanitaan.
12.Menitikberatkan hal kekeluargaan sebagai unit asas masyarakat dan tiang
seri kepada masyarakat sejahtera dengan menjaga hak-hak setiap
pasangan suami isteri. Tidak menggalakkan perceraian kecuali dalam
keadaan sudah pasti tidak dapat hidup bersama. Keharusan poligami
dengan syarat-syarat dan etika-etikanya, tanpa meluaskan mahupun
meniadakan. Meluaskan lingkungan keluarga agar merangkumi ‘Asobah
dan kerabat dekat.
13.Membentuk masyarakat yang baik dan saling bantu-membantu.
Masyarakat yang berdiri di atas persaudaraan, konsep bantu-membantu,
113
berkasih sayang antara anggotanya. Orang kaya membantu orang miskin,
orang kuat membantu orang lemah. Masing-masing saling menghulurkan
sumbangan, memangkin sesama mereka.
14.Percaya dengan kewujudan Umat Islam, mesejnya, keabadiaannya hingga
Hari Kiamat. Memberi kesetiaan kepada Umat Islam. Beriman pula
dengan kewajiban kesatuan Umat berdasarkan persaudaraan iman antara
individunya walaupun berbeza aliran dan mazhab. Mengirakan golongan
yang berlainan dan pelbagai semuanya termasuk di dalam Umat yang satu
selagi mana mereka Solat mengadap Kiblat, beriman dengan Al-Quran dan
Sunnah Nabi.
15.Membina negara yang adil pembawa dakwah Islam. Negara yang
menggerakkan Umat kepada kebenaran dan kebaikan, menegakkan
keadilan Allah di atas muka bumi, berpegang kepada hukum yang
diturunkan Allah daripada Al-Kitab dan Al-Mizan, menghormati hak rakyat
dalam memilih pemerintah, tanpa pemalsuan/penipuan kehendak rakyat,
ataupun memaksakan pemimpin ke atas mereka sekalipun mereka tidak
suka. Rakyat boleh menyoal dan muhasabah pemerintah. Rakyat boleh
mengenepikan mereka dengan aman sekiranya perlu.
16.Menghindari tafsiq, takfir/mengkafirkan muslim seboleh mungkin, apatah
lagi yang disebabkan takwilan tersendiri. Berbaik sangka dengan setiap
mereka yang mengucap dua kalimah syahadah, solat mengadap Kiblat
dan tidak terbit daripadanya apa yang membatalkan Islam dengan yakin.
Asasnya seorang muslim dilihat baik sebolehnya.
17.Menguatkan ekonomi Umat berdasarkan ilmu dan pengalaman, iman dan
akhlak serta berusaha supaya ia saling melengkapi antara sendiri.
Ekonomi ini dibina atas Fiqh Syariah dan Objektifnya(maqasid). Usaha
secara praktikal bagi mengasaskan sistem Ekonomi Islam yang tersendiri,
berlainan dengan ekonomi kapitalis dan komunis.
18.Percaya dengan mesti dan pastinya kepelbagaian, taaruf dan toleransi
antara bangsa dan masyarakat. Yakin bahawa kemanusian adalah satu
keluarga besar. Pentingnya saling hidup bersama dan hubungan antara
114
tamadun, percantuman pengetahuan, interaksi antara satu sama lain,
adaptasi daripada antara semuanya, tanpa segan mengerdil dan sombong
bongkak.
19.Membina tamadun ilmu dan iman. Tamadun yang bertemakan ketuhanan
dan kemanusiaan, terbina di atas akhlak, dan bersifat universal.
Menghimpunkan antara ilmu dan iman, rohani dan fizikal,
menseimbangkan antara akal dan hati, menyambungkan bumi dengan
langit. Membina keseimbangan dan keadilan antara individu dan
masyarakat. Meninggikan kebenaran ke atas kekuatan.
20.Menaik taraf seni-seni dan menggunakannya bagi tujuan risalah Islam;
Ruh seni ialah menjiwai keindahan dan meluahkannya dengan cara yang
indah. Islam menyuburkan perasaan ini di dalam jiwa muslim. Seorang
Muslim diajar supaya meneliti keindahan alam semesta serta diri manusia
sendiri; atas perkiraan bahawa ia merupakan ciptaan Allah yang halus
rekaannya dan amat teliti. Islam mengalu-alukan seni yang tinggi nilainya
sama ada seni berasaskan pendengaran, penglihatan dan buatan. Seni ini
digarap oleh Islam untuk tujuan kebenaran dan kebaikan, dijauhkan
daripada menjadi alat membangkitkan nafsu shahwat yang murahan.
21. Memakmurkan bumi; dengan merealisasikan pembangunan dan menjaga
persekiran. Saling membantu dalam setiap perkara yang memudahkan
manusia dan perkara yang menyebarkan keindahan dalam kehidupan.
Semua ini dianggap sebagai ibadah dan jihad di jalan Allah.
22.Berdamai dengan mereka yang mahukan perdamaian dan jihad berperang
dengan mereka yang melampau dan menindas. Menyedarkan umat
bahawa Jihad difardhukan ke atasnya secara kewajipan fardhu ain bagi
membebaskan tanahnya daripada penguasa asing yang mencengkam.
Berusaha menghimpunkan segenap kekuatan umat, semua kelompok dan
gerakan yang beramal ke arah memenangkan Islam, membangkitkan
umatnya dalam satu barisan dan berdepan matlamat yang satu.
23.Mengambil berat tentang minoriti Islam seluruh dunia atas perkiraan
bahawa mereka juga merupakan sebahagian daripada umat Islam. Umat
seluruhnya hendaklah membantu mereka hidup dengan Islam dalam
115
kelompok masyarakat-masyarakat mereka sebagai unsur positif dan aktif.
Hendaklah disediakan bagi mereka praktikal Fiqh yang khusus. Syiar
mereka hendaklah: Istiqamah beragama tanpa tertutup, harmoni
bermasyarakat tanpa larut.
24.Mengambil berat terhadap minoriti agama lain di dalam masyarakat
Islam. Berinteraksi dengan mereka sebagaimana diwajibkan oleh Islam
bagi hak-hak mereka seperti kebebasan kepercayaan dan mengamalkan
agama. Memastikan hak warganegara sebagai “ahli Negara Islam”.
Mengikut prinsip ini, mereka merupakan warganegara sebagaimana kita,
bagi mereka hak seperti kita, dan atas mereka kewajipan seperti atas kita,
kecuali apa yang berkaitan tuntutan perbezaan keagamaan.
25.Menggunakan manhaj [taisir/takhfif] memudahkan dan memberi
keringanan dalam fatwa, dan [tabsyir] membawa unsur menarik dalam
dakwah. Jikalau mahukan kemestian ketat dalam fiqh dan fatwa maka
hendak ia pada perkara teras atau prinsip bukan pada persoalan cabang
dan ranting. Peringanan dan kemudahan yang dituntut di sini bukanlah
bermaksud: mewajarkan situasi yang berlaku atau mewajarkan meniru
barat atau menurut kehendak pemerintah. Begitu juga dalam dakwah,
hendaklah secara tabsyir menggunakan unsur penarik, bukannya
menakutkan dan menghambat orang menyebabkan mereka lari menjauh.
Dakwah menyeru orang Islam secara hikmah dan nasihat yang baik.
Menyeru mereka yang kontra menggunakan dialog dengan jalan yang
terbaik. Ini semua dibuat dengan meraikan ruh zaman moden dan kaedah
semasa.
26.Meraikan sunnah berperingkat dan segala sunnah Allah. Berperingkat
secara hikmah di dalam dakwah, pendidikan, fatwa, perubahan. Tidak
tergesa-gesa berbuat sesuatu sebelum waktunya, memetik buah sebelum
masak. Beserta kewajipan meraikan sunnah Allah dalam alam dan
masyarakat. Sesiapa yang meraikan sunnah alam maka dia akan diraikan,
sesiapa yang tidak mengikut sunnah alam maka dia akan tersia.
27.Mengimbang antara perkara statik dalam syariat dan aspek semasa yang
berubah-ubah; [tsawabit vs mutaghaiyyirat] dengan mengambil kira
116
kepentingan statik dalam tujuan dan matlamat, prinsip dan kaedah
umum, dan pentingnya dinamik, anjal dan fleksibel sekaligus maju di
dalam wasilah dan mekanisma, perkara-perkara cabang dan juzuk kecil.
Mengelakkan bahaya merubah-ubah perkara statik dan menjumudkan
perkara yang boleh berubah-ubah.
28.Meletakkan tuntutan-tuntutan syara’ *taklif+ pada peringkat-peringkatnya
dan martabatnya yang betul. Bermula dengan kefahaman jelas terhadap
tuntutan-tuntutan tersebut secara seimbang dan menempatkan setiap
tuntutan sesuai kedudukannya mengikut apa yang dibawakan oleh nas-
nas yang muhkam, dan maqasid yang umum. Maka tidak boleh diawalkan
apa yang sepatutnya diakhirkan atau dikemudiankan dan begitulah
sebaliknya. Inilah yang kita namakan “Fiqh Aulawiyat”.
29. Pentingnya reformasi menyeluruh dan perubahan yang mengakar umbi.
Pembaikan yang tidak sekadar kosmetik, tidak pula hanya setakat luaran
tanpa perubahan dalaman. Tidak menjadi Islah sebenar kecuali dengan
kehendak kita sendiri dan tangan-tangan kita sendiri bukan yang
dipaksakan orang lain ke atas kita. Permulaan segala islah dengan
reformasi sistem-sistem politik diktator. Asas segala perubahan ialah
merubah manusia dari dalamannya.
30. Memanfaatkan warisan ‘turats” kita yang cukup kaya yang termasuk
segala bidang ilmu, seni-seni dan sastera-sastera. Dengan menekankan
bahawa warisan ‘turats” ini tidak lari dari kesilapan dan cacat cela. Ia
tidaklah maksum. Masih boleh dikritik dan disemak semula, dibincangkan
untuk ditapis; diambil atau diketepikan. Akan tetapi umat secara
keseluruhannya tidak akan bersepakat atas kesesatan atau kebatilan.
Selain itu wajib bagi kita menghidupkan semula warisan “turats” ini dan
menjaganya dengan teknik dan mekanisma moden. Kita hendaklah juga
memilih perkara yang bagus dan sesuai untuk disebarumumkan kepada
khalayak umat sementara unsur-unsur yang sebaliknya dibiarkan kepada
para pakar mengkajinya.
(dirujuk dari blog Ustaz Fawwaz Fadzil dan diolah-diedit dengan kesesuaian)
117
Kesimpulan
Hampir setiap zaman, gerakan mahasiswa sangat bergantung kepada kepimpinan
yang berani, pandai berpidato dan bijak dalam akademik. Kebelakangan ini,
gerakan mahasiswa sukar mencari pemimpin yang berkualiti.
Para mahasiswa mesti berhati-hati dan teliti tentang penularan aliran pemikiran
dan pengaruh organisasi tertentu atas nama keterbukaan, wasatiyyah, toleransi,
dialog peradaban, maqasid syariah dan sebagainya.
Dalam menghadapi serangan pemikiran ini, para mahasiswa perlu membentengi
diri mereka dengan ilmu tauhid yakni ilmu mengenal Allah. Mengakui
keWUJUDan Allah jika difahami dengan cara yang betul dan benar, seseorang
mahasiswa boleh menepis pelbagai ideologi yang cuba mempengaruhi pemikiran
mahasiswa.
Menerima Allah sebagai Tuhan Yang Hak menghendaki kita menerima kerasulan
Nabi Muhammad sebagai rasul dan menerima al Quran dan al Sunnah sebagai
panduan dan rujukan kehidupan kita di dunia dan pada setiap masa.
Dalam melayari kehidupan ini, penulis cuba menukilkan nasihat Tuan Guru Haji
Salleh Musa, Sik seperti di bawah:
1. Menjaga agama. Yakni jangan murtad dan keluar daripada Islam.
2. Menjaga akal. Yakni menjaga akal daripada bahan atau perkara yang haram dan
maksiat.
3. Menjaga harta. Wajib mengelakkan mendapat harta yang haram.
4. Menjaga nyawa.
5. Menjaga muruah yakni kehormatan diri. Jika kita seorang Islam, muruah kita
adalah Islam, maka pemikiran dan gaya hidup kita perlu mengambarkan diri kita
seorang Islam yang syumul pengamalannya. Kita perlu lebih tawaduk dan warak
dalam meningkatkan kehormatan diri.
Siap disusun pada 19/5/2016 pada jam 12.12 tengah malam.
118