Prakata Salam sejahtera dan salam perpaduan kepada semua tenaga pengajar Program Teknologi Pembinaan (DVM). Modul ini dibangunkan bertujuan untuk membantu semua tenaga pengajar dalam melaksanakan PdPC. Malah, tujuan modul ini juga untuk membantu dalam penyelarasan dan penyeragaman PdPC. Pembangunan modul ini adalah berpandukan kandungan kursus course outline yang telah dibangunkan oleh Jurulatih Utama Program Teknologi Pembinaan. Untuk makluman, modul-modul yang dibangunkan telah disemak oleh Jurulatih Utama Program Teknologi Pembinaan dan Penyelaras Item untuk tujuan kesahan, kebolehpercayaan serta ketekalan. Kandungan modul adalah seperti berikut iaitu; pengenalan, objektif, nota serta isi berkaitan (ringkas mengikut kompetensi), kesimpulan, latihan/penilaian dan jawapan. Bagi pihak pembangun modul, saya ingin merakamkan setinggisetinggi penghargaan kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam pembangunan modul ini. Sebarang kekurangan dan kelemahan harap dapat diatasi dari masa ke masa. Semoga modul-modul yang dibangunkan ini dapat dimanfaatkan serta membantu semua tenaga pengajar. Sekian, terima kasih Siva Rabindarang. Penyelaras Panel Pembangun Modul Program Teknologi Pembinaan Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia
Penghargaan Salam sejahtera dan salam perpaduan kepada semua tenaga pengajar Program Teknologi Pembinaan (DVM). Terima kasih kepada pihak BPLTV untuk memberikan kepercayaan dan sokongan dalam pembangunan modul ini. Pembangunan modul ini dilaksanakan merujuk Tatacara Pembangunan Modul Vokasional yang telah dibangunkan. Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pembangun modul daripada Kolej Vokasional seluruh Malaysia. KURSUS KOD NAMA PENSYARAH Soil Mechanics DCA 1143 Nurul Qayuum Farahin Binti Saidi (K) Rini Firda Hidayati Binti Syaiful Nor Angsiza Binti Mohd Fitriani Binti Abdul Hamid Construction Safety and Health DCA 1022 Mohd Shahir Bin Zahari (K) Nurazilla Binti Ahmad Bohari Wan Nuursufila Binti Salleh Computer Aided Drawing (CAD) DCA 1233 Siti Nabilah Binti Mohd Sarlan (K) Rozianah Binti Hinnasir Hafizah Binti Khosran Alwani Binti Adnan Construction Survey DCA 1153 Sapiah Binti Rahman (K) Aida Norlela Binti Mohamad Siva Rabindarang Building Materials Technology DCA 1013 Mohd Fairus Bin Johari (K) Atikah Binti Nasaha Noor Fazlina Binti Abdul Aziz Setinggi penghargaan juga kepada Ketua JU Puan Alwani binti Adnan serta panel yang menyemak modul untuk tujuan kesahan serta ketekalan modul yang dibangunkan iaitu Pn. Norashikin binti Daud, Pn. Sharinah binti Che Amdan dan En. Adnan Mat Abu. Usaha murni dan sokongan semua pembangun serta penyemak modul amat dihargai. Terima kasih.
Perancangan Kursus
KOMPETENSI 1: PERATURAN KESELAMATAN 1.1 PENGENALAN Keselamatan di tapak pembinaan bukan sahaja penting untuk mengelakkan kemalangan malah ianya dapat memainkan peranan penting dalam usaha melipatgandakan keuntungan dan menjimatkan kos pembinaan. Sehubungan itu semua pihak yang terlibat dengan setiap projek pembinaan haruslah merancang dan melaksanakan satu program keselamatan yang efektif sebagai langkah untuk mengelak dan meminimumkan kemalangan di tapak pembinaan. Justeru, semua pihak haruslah mematuhi setiap peraturan yang disediakan dengan mendapat kerjasama yang menyeluruh daripada pengurusan sehingga pekerja bawahan supaya ianya berjaya mencapai matlamat program serta berjaya menerap nilai-nilai keselamatan di dalam setiap pekerja yang terlibat dengan projek pembinaan. 1.2 OBJEKTIF • Pelajar dapat mengetahui peraturan keselamatan dan kesihatan dalam kerjakerja pembinaan bangunan. • Pelajar dapat menerangkan amalan peraturan keselamatan semasa peringkat pembinaan. • Pelajar dapat mematuhi peraturan keselamatan dan kesihatan di tapak pembinaan. 1.3 DEFINISI KESELAMATAN Faktor keselamatan adalah sesuatu perkara yang sentiasa diambil berat. Ini adalah untuk mengelakkan daripada berlakunya kecederaan samada kepada pekerja di tapak binaan atau orang yang terlibat. Dengan adanya penjagaan ini, perkara yang tidak diingini dapat dielakkan. Keselamatan di tapak boleh di definisikan sebagai penjagaan di tapak bina dari segi perkara bahaya.
Peraturan keselamatan diadakan untuk memastikan suasana kerja dalam persekitaran serta suasana di tapak pembinaan teratur dan selamat tanpa berlakunya kemalangan ataupun kecederaan. Ini bermaksud dengan mengadakan keadaan persekitaran tapak bina yang selamat dan selesa kepada mereka yang terlibat. Peraturan keselamatan di tapak pembinaan boleh dibahagikan kepada tiga (3) bahagian iaitu: a) Peraturan Keselamatan Am b) Peraturan Keselamatan Diri c) Peraturan Amalan Kesihatan 1.3.1 PERATURAN KESELAMATAN AM (i) Mematuhi undang-undang atau peraturan keselamatan di tapak bina. (ii) Mengikut arahan penyelia tapak ( site supervisor ) yang telah dilantik. (iii) Sekiranya timbul sebrang masalah, segera rujuk kepada penyelia projek. (iv) Hendaklah memakai pakaian yang sesuai dan menggunakan alatan yang bersesuaian dengan kaedah penggunaaan yang betul. (v) Memakai pakaian keselamatan yang telah dibekalkan oleh pihak syarikat. (vi) Sentiasa memberi peringatan mengenai langkah keselamatan di tapak kepada pekerja. (vii) Hendaklah memastikan keadaan sekitar tapak bina adalah bersih, teratur dan selamat dari kemalangan. (viii) Pekerja haruslah memahami risiko terhadap bahan-bahan yang dikendalikan. (ix) Isyarat dan tanda amaran dipamerkan dengan terang pada tempat yang strategik di tapak bina. (x) Tanda amaran hendaklah dipaparkan secara jelas sekiranya alat atau jentera tersebut telah rosak. (xi) Kawasan pembinaan yang berbahaya hendaklan dipagar disekelilingnya untuk mencegah orang yang tidak sepatutnya dari masuk.
(xii) Sebarang kerosakan alat atau jentera hendaklah dimaklumkan segera untuk diperbaiki. (xiii) Pastikan alat pemadan api dan kotak pertolongan cemas terdapat di tapak bina. (xiv) Pastikan kawasan tapak bina dilengkapi dengan alat pemadam api 1.3.2 PERATURAN KESELAMATAN DIRI Objektif utama dalam urusan keselamatan ialah mencegah kecederaan dan kematian para pekerja. Oleh sebab itu, keselamatan diri sendiri amatlah penting dan patut diutamakan. Perkara-perkara yang harus diambil berat untuk menjaga keselamatan diri sendiri adalah seperti berikut :- Menjaga kesihatan diri sendiri Kesihatan merupakan faktor yang penting dalam menguruskan kerja dengan selamat. Jika seseorang pekerja kurang sihat atau uzur, dia tidak dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya dalam apa jua yang dilakukan. Kesihatan dari segi fizikal ialah tubuh badan pekerja. Disiplin semasa kerja Disiplin adalah salah satu perkara yang sangat penting semasa bekerja. Arahan dan peraturan yang telah ditetapkan haruslah dipatuhi dan selalu berwaspada. Jangan sesekali melakukan sesuatu yang boleh membahayakan diri sendiri atau orang lain, seperti menyimpan alatan tajam dalam saku, membiarkan paku yang telah digunakan berselerak, membuang sampah merata-rata tempat dan sebagainya. Pengetahuan Sebelum melakukan sesuatu kerja, pekerja haruslah memahami bahan-bahan yang dikerjakan dan alat mesin yang digunakan. Tindak balas bahan-bahan terutamanya bahan-bahan kimia boleh mendatangkan kemalangan yang teruk begitu juga alat-alat teknologi tinggi.
Pakaian Pakaian yang sesuai hendaklah dipakai semasa bekerja. Pakaian yang koyak dan serebeh adalah punca kemalangan. Kasut dan but keselamatan mengandungi kepingan logam dan keluli di bahagian hadapannya adalah sesuai bagi menggelakkan sebarang kecederaan pada kaki. Capal dan sandal tidak seharusnya dipakai semasa bekerja di tapak pembinaan. Perlindungan Mata Apabila membuat kerja yang mungkin menyebabkan kecederaan kepada mata seperti mengimpal atau mencanai, cermin mata keselamatan atau pelindung mata dan muka hendaklah dipakai bagi menggelakkan serpihan objek daripada memasuki mata. Pelindung Kepala Topi keselamatan atau “Safety helmet” hendaklah dipakai apabila berada di kawasan pembinaan bangunan yang bertingkat-tingkat kerana objek-objek dari tingkat atas sering terjatuh ke bawah dan dikhuatiri terkena kepala. Dengan memakai topi keledar keselamatan kecederaan dapat dielakkan. Pelindung Tangan Sarung tangan dapat melindungi tangan daripada sebarang kecederaan, lebam, terbakar oleh bahan kimia dan sebagainya. Apabila membuat kerja-kerja seperti membentuk batang keluli, memindahkan bata dan sebagainya hendaklah memakai sarung tangan. Akan tetapi jangan guna sarung tangan apabila melakukan kerja dengan mesin bergerak seperti mesin canai dan mesin pelarik kerana sarung tangan mungkin tersangkut pada mesin dan mengakibatkan kecederaan pada tangan. Tali Pinggang Keledar Apabila bekerja di tempat yang tinggi, seseorang pekerja itu hendaklah memakai tali pinggang keledar supaya dapat menggelakkan diri daripada terjatuh. Kaedah ini sangat mustahak kerana mengikut statistik kebanyakan kemalangan yang berlaku di tapak pembinaan adalah pekerja jatuh dari tempat yang tinggi.
Memasang Jaring Bagi pembinaan bangunan yang tinggi, jarring perlu dipasang di bahagian bawah, biasanya atas tingkat pertama, tingkat kedua, di sekeliling bangunan untuk menahan bahan-bahan yang terjatuh dari tingkat atas. 1.3.3 PERATURAN AMALAN KESELAMATAN Pelaksanaan dan amalan keselamatan di tapak bina perlu berlandaskan kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang dan Jentera 1967. Akta Keselamatan Pekerja Akta Kilang dan Jentera 1967 (FMA 1967) Akta Kilang dan Jentera 1967 (Akta 139) dikuatkuasakan mulai 1 Februari 1970 untuk mengawal perkara yang berkaitan dengan keselamatan, kesihatan dan kebajikan individu yang terlibat dalam operasi kilang [takrif “kilang” termasuklah kerja pembinaan – seksyen 2(1) Akta] serta pendaftaran dan pemeriksaan jentera dan hal-hal lain yang berkaitan. Akta ini telah dipinda pada tahun 1973 (melalui Akta A199) dan pada tahun 1978 (melalui Akta A424). Akta ini secara keseluruhannya mengandungi peruntukan tentang keselamatan, kesihatan dan kebajikan bagi menjamin pekerja tidak diabaikan dalam aspek-aspek tersebut. Bahagian II akta ini menekankan langkah atau aktiviti keselamatan pekerja yang perlu diambil perhatian oleh semua pihak dalam industri, terutamanya majikan. Berkaitan dengan penggunaan dan pemakaian alat keselamatan pula, PeraturanPeraturan Kilang dan Jentera (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan) 1970, yakni peraturan yang di bawah kuat kuasa Akta Kilang dan Jentera 1967, menyenaraikan alat keselamatan yang perlu dipakai sewaktu menjalankan kerja yang berkaitan di tempat kerja. Antara alat yang relevan dengan pekerja binaan ialah: i. Alat pelindung muka dan mata (gogal) yang sesuai bagi kerja yang memerlukan pemakaiannya, misalnya kerja pemeterian ii. Penutup telinga (pendengaran) iii. Alat keselamatan lain, seperti baju, seluar, topi dan sarung tangan.
Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 diwartakan dan mula berkuat kuasa pada 25 Februari 1994 berikutan ketidakcukupan liputan Akta Kilang dan Jentera 1967 yang berfungsi melindungi keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat kerja. Akta ini sebenarnya menjurus kepada keperluan mewujudkan budaya kerja yang selamat. Pematuhan Akta menuntut usaha dan inisiatif yang bermula daripada pihak yang terlibat secara langsung dengan aktiviti di tempat kerja, iaitu pihak majikan dan pekerja. Bilangan kes kemalangan yang semakin meningkat menyedarkan pihak kerajaan bahawa aspek keselamatan penting ditekankan dan diamalkan di tempat kerja. Dengan itu, Kementerian Sumber Manusia telah menguatkuasakan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang diwartakan secara rasmi pada 25 Februari 1994 untuk melindungi semua lapisan pekerja dalam semua industri di negara ini. Di bawah akta ini, aspek keselamatan diberikan penekanan bagi menjamin keselamatan pekerja sewaktu menjalankan kerja yang berkaitan di tempat kerja. Menurut Buletin Keselamatan dan Industri (2003), akta ini bertujuan untuk melindungi pekerja yang menjadi mangsa dalam isu keselamatan pekerja yang semakin meningkat. Di bawah Seksyen 15 akta ini, setiap majikan bertanggungjawab memastikan seberapa yang boleh, hal yang berkaitan dengan keselamatan pekerja termasuklah sistem dan prosedur kerja selamat, alat selamat (digunakan atau atas kewujudannya di situ) dan tempat serta suasana kerja selamat. Secara khususnya, Seksyen 15(1) akta ini menyatakan bahawa tugas menjaga keselamatan pekerja, termasuk pekerja di tapak bina, merangkumi: i. Penyediaan dan penyenggaraan mesin, jentera dan alat serta sistem kerja yang selamat dan tidak memberikan risiko kesihatan ii. Pewujudan dan pemastian pengoperasian serta penggunaan jentera dan alat yang selamat iii. Pemberian maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan yang sesuai kepada pekerja berkaitan dengan keselamatan mereka semasa bekerja iv. Penyenggaraan tempat kerja dan keadaan kerja supaya sentiasa selamat
v. Pemastian keseluruhan suasana kerja selamat kepada pekerja Menurut Seksyen 24 akta ini, pekerja juga dikehendaki: i. Mengambil langkah yang munasabah dalam menjaga keselamatan mereka (iaitu berhati-hati semasa bekerja). ii. Memberikan kerjasama kepada majikan dalam melaksanakan Seksyen 15(1) yang dinyatakan sebelum ini iii. Sentiasa memakai atau menggunakan alat perlindungan diri atau alat keselamatan yang disediakan oleh majikan semasa bekerja iv. Mematuhi sebarang arahan atau langkah keselamatan yang dikeluarkan oleh majikan. Secara terperinci, berikut merupakan antara amalan ataupun langkah-langkah keselamatan yang perlu diamalkan di tapak bina: i. Pakai peralatan perlindungan diri sebelum memulakan kerja ii. Pekerja dikehendaki memakai topi keselamatan dan berkasut iii. Patuhi tanda amaran dan tanda keselamatan di tapak bina iv. Periksa dahulu jentera/mesin sebelum memulakan kerja v. Pastikan alat pengangkat sempurna sebelum digunakan vi. Pastikan tiada orang di bawah semasa membuang bahan/sampah vii. Amalkan sistem pembuangan sampah yang sihat viii. Membuka “formwork” dengan keadaan penyeliaan ix. Berhati-hati ketika menggunakan bahan kimia x. Pasang penghadang Kawasan pembinaan bagi menjamin keselamatan awam xi. Kunci cangkuk dan ikat dengan sempurna sebelum mengangkat barang dengan menggunakan kren atau backhoe. xii. Jangan bekerja dalam lubang bawah tanah tanpa penyeliaan. xiii. Pastikan laluan kerja tiada halangan. xiv. Jangan longgokkan bahan binaan di tepian tempat tinggi. xv. Laporkan segera sekiranya berlaku kemalangan. xvi. Jauhi dari jentera bergerak & jangan menumpang dalam “bucket backhoe
Peraturan Keselamatan Alat Dan Mesin Alat-alat dan mesin-mesin hendaklah dijaga supaya sentiasa dalam keadaan baik dan boleh digunakan. Alat-alat yang rosak bukan sahaja mengganggu kerja, bahkan berbahaya kepada pekerja yang menggunakannya. Oleh sebab itu, perkara-perkara yang berikut haruslah diambil berhatian :- i. Alatan yang hendak digunakan haruslah dibersihkan terlebih dahulu sebelum disimpan supaya tidak mudah rosak atau berkarat. ii. Alatan hendaklah disimpan pada tempatnya selepas digunakan. Jangan biarkan alatan berselerak di atas lantai. iii. Apabila menghulurkan alatan tajam kepada orang lain, halakan pemegangnya dan bukannya bahagian hujung yang tajam. iv. Tukul besi yang pemegangnya longgar hendaklah dibaiki terlebih dahulu sebelum digunakan. v. Untuk memotong bata, gunakan alatan yang sesuai seperti tukul bata dan tukul besi. vi. Pastikan semua alatan elektrik dibumikan sewajarnya dan apabila menggunakan mesin, pastikan peraturan keselamatan bagi mesin tersebut dipatuhi. vii. Tutupkan suis penyambung elektrik apabila mesin tidak digunakan. viii.Jangan berbual-bual atau bergurau senda semasa membuat kerja dengan menggunakan mesin atau jentera. ix. Pastikan kawasan kerja yang mencukupi bagi kerja yang menggunakan mesin. x. Gunakan alat pelindung mata, hidung, mulut dan lain-lain apabila pekerjaan itu mengeluarkan habuk, debu dan sebagainya. xi. Pekerja-pekerja mestilah mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum menggunakan mesin.
1.4 KESIMPULAN Secara keseluruhannya, dalam menjamin keselamatan pekerja, penekanan terhadap penyediaan alat keselamatan oleh majikan dan pematuhan penggunaannya oleh pekerja penting diberikan perhatian. Hal ini adalah supaya pekerja dapat menjalankan kerja dengan lebih selamat dan sekali gus dapat mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja, termasuk tapak bina. Segala peruntukan baharu dalam peraturan dan amalan yang telah diluluskan perlu dirumuskan bagi mengekalkan atau memperbaik piawaian yang diwujudkan oleh undang-undang sedia ada. Hal ini bukan sahaja untuk merasionalkan dan mengemaskini undang-undang, bahkan turut meningkatkan piawai perlindungan yang diberikan kepada orang yang sedang bekerja dan orang awam. 1.5 PENILAIAN KENDIRI 1) Apakah kewajipan pekerja terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja? (i) Mengambil perhatian yang munasabah bagi keselamatan dan kesihatan. (ii) Bekerjasama dengan majikan untuk mematuhi akta dan peraturannya. (iii) Menggunakan perlatan perlindungan yang disediakan oleh majikan. (iv)Mematuhi arahan majikan terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan. A. i, ii dan iii C. ii, iii dan iv B. i, ii dan iv D. i, ii, iii dan iv 2) Nyatakan tiga bahagian utama peraturan keselamatan di tapak pembinaan. 3) Mengapakan peraturan keselamatan penting dan perlu dititikberatkan di tapak pembinaan? 4) Nyatakan empat contoh perlindungan keselamatan yang perlu dipakai di tapak pembinaan. 5) Senaraikan 4 tanggungjawab majikan dalam menjaga keselamatan pekerja.
1.6 JAWAPAN 1) D 2) a) Peraturan Keselamatan Am b) Peraturan Keselamatan Diri c) Peraturan Amalan Kesihatan 3) Peraturan keselamatan perlu dititikberatkan untuk memastikan suasana kerja dalam persekitaran serta suasana di tapak pembinaan teratur dan selamat tanpa berlakunya kemalangan ataupun kecederaan. 4) i) Jaket keselamatan ii) Kasut keselamatan iii) Topi keselamatan iv) Pelindung muka dan mata (gogal) v) Sarung tangan vi) Penutup telinga (pendengaran) vii) Tali pinggang keledar 5) a) Penyediaan dan penyenggaraan mesin, jentera dan alat serta sistem kerja yang selamat dan tidak memberikan risiko kesihatan b) Pewujudan dan pemastian pengoperasian serta penggunaan jentera dan alat yang selamat c) Pemberian maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan yang sesuai kepada pekerja berkaitan dengan keselamatan mereka semasa bekerja d) Penyenggaraan tempat kerja dan keadaan kerja supaya sentiasa selamat e) Pemastian keseluruhan suasana kerja selamat kepada pekerja
KOMPETENSI 2: KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN 2.1 PENGENALAN Keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) merupakan satu bidang yang bertujuan melindungi keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja. Keselamatan tempat kerja merupakan suatu aspek penting di dalam sesebuah organisasi syarikat. Ia merupakan salah satu tanggungjawab majikan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 Malaysia untuk mengambil berat tentang keselamatan dan kesihatan para pekerja ketika bekerja di dalam sesebuah syarikat. Akta ini dikawalselia oleh Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan dari Kementerian Sumber Manusia. Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) ini telah diwartakan pada 24 Februari 1994. Ianya menyediakan rangka perundangan untuk memupuk, meransang dan menggalakkan mutu KKP yang tinggi semasa kerja. Tujuan utamanya adalah untuk memupuk sikap prihatin terhadap keselamatan dan kesihatan. Dengan wujudnya akta ini dalam organisasi, Langkah-langkah yang berkesan boleh diambil melalui skim-skim penaturan kendiri yang disesuaikan dengan industru atau organisasi yang berkaitan. 2.2 OBJEKTIF Di akhir kompetensi ini, pelajar dapat: a. Menjelaskan tujuan dan fungsi Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP) diwujudkan b. Menyenaraikan organisasi yang terlibat dan tujuan penubuhan organisasi dalam memastikan kesihatan dan keselamatan pekerja c. Mengenaplasti prinsip perangkaan Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan 1994. 2.3 KESIHATAN DAN KESELAMATAN PEKERJAAN (KKP) Dalam mengharungi cabaran dalam sektor pembinaan yang begitu kompetitif hari ini, aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) tidak sepatutnya diambil ringan. Pihak yang terlibat harus sedar akan realiti ini kerana ia boleh memberikan impak
yang besar ke atas mereka, secara tidak langsung ianya turut mengganggu serta menggugat perjalanan atau kemajuan sesebuah projek, baik dari segi kos, masa dan kualiti. Aspek KKP pada ketika ini menjadi semakin penting berikutan kesedaran pihak-pihak berkuasa akan kewujudan undang-undang yang berkait rapat dengan keselamatan dan kesihatan. Antara organisasi yang terlibat dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan ialah: I. Jabatan Keselamatan dan Pekerjaan (JKKP) - http://www.dosh.gov.my II. Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) - http://www.cidb.gov.my III. Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) - http://www.niosh.com.my IV. Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) - http://www.perkeso.gov.my I. Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Objektif penubuhan JKKP: i. Untuk membantu dan memberi khidmat kepakaran dalam kegiatan, latihan. galakkan, penyebaran maklumat dan juga penyelidikan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan ii. Untuk menggubal dan mengkaji dari semasa ke semasa berkaitan dasar, undang-undang, garis panduan dan etika yang berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia JKKP ditubuhkan dan bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan orang yang sedang bekerja, dan melindungi orang lain daripada bahaya-bahaya keselamatan dan kesihatan yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan pelbagai sektor antaranya: i. Pengilangan ii. Perlombongan dan Pengkuarian iii. Pembinaan iv. Hotel dan Restoran v. Pertanian, Perhutanan dan Perikanan vi. Pengangkutan, Penyimpanan dan Komunikasi vii. Perkhidmatan Awam dan Pihak Berkuasa Berkanun viii. Kemudahan - Gas, Elektrik, Air dan Perkhidmatan Kebersihan
JKKP merupakan agensi kerajaan yang diberi tanggungjawab untuk mentadbir dan menguatkuasakan perundangan mengenai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di negara ini dengan wawasan menjadi sebuah organisasi yang menerajui negara dalam membentuk budaya kerja selamat dan sihat ke arah mempertingkatkan kualiti hidup semasa bekerja. II. Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) ditubuhkan menerusi Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan 1994 (Akta 520) untuk mengawal selia, membangun dan memudahkan industri pembinaan menuju ke arah mencapai daya saing global. Objektif penubuhan CIDB: Untuk membina kapasiti dan kapabiliti industri pembinaan melalui peningkatan kualiti dan produktiviti dengan memberi penekanan kepada profesionalisme, inovasi dan pengetahuan ke arah kehidupan yang berkualiti. Antara aktiviti yang dilakasanakan oleh pihak CIDB: i. Kekurangan tenaga pekerja dan buruh ii. Pemasaalahan sumber dan pembekalan bahan iii. Produktiviti yang rendah iv. Peningkatan kadar kemalangan ditapak baru v. Kelemahan pengurusan dan pelaksanaan projek vi. Kekurangan muklumat penting dan data dalam pembinaan atau projek III. Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) merupakan jabatan yang bertanggungjawab dalam menyediakan Latihan, perundingan dan perkhidmatan penyebaran maklumat kepada industri. NIOSH turut menjalankan aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang akan membantu dalam pembangunan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara.
Objektif penubuhan NIOSH: i. Memastikan persekitaran bekerja yang sihat dan selamat kepada semua pekerja, peseta kursus, kontraktor dan pelawat. ii. Membangunkan budaya keselamatan dan kesihatan serta mengadakan Latihan kepada pekerja. iii. Memastikan setiap pengurusan dipertanggungjawabkan ke atas keselamatan dan kesihatan yang didirikan. IV. Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah ditubuhkan sebagai sebuah Jabatan Kerajaan di bawah Kementerian Sumber Manusia bagi mentadbir, melaksana dan menguatkuasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969 dan Peraturan-Peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971. PERKESO memberi perlindungan kepada para pekerja terhadap sebarang kejadian luar jangka yang terjadi kepada pekerja seperti kemalangan, bencana dan juga kematian dalam tempoh masa bekerja. Objektif penubuhan PERKESO: i. Memberi perkhidmatan yang Berkualiti, Adil, Tepat, Cepat dan Ekonomik kepada pelanggannya. ii. Meningkatkan kemahiran serta kepakaran kakitangan PERKESO disamping penggunaan teknologi canggih bagi meningkatkan perkhidmatannya. iii. Memelihara serta menguatkan kumpulan wang di bawah tanggungjawab PERKESO supaya menjadi lebih teguh. iv. Menghayati nilai-nilai murni di kalangan kakitangan PERKESO. v. Bekerjasama dengan semua pihak yang terlibat dengan keselamatan sosial. 2.4 AKTA KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN 1994 (OSH Act 1994) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) ini telah diwartakan pada 24 Februari 1994. Ianya menyediakan rangka perundangan untuk memupuk, zmeransang dan menggalakkan mutu KKP yang tinggi semasa kerja. Tujuan utamanya adalah untuk memupuk sikap prihatin terhadap keselamatan dan kesihatan
Dengan wujudnya akta ini dalam organisasi, Langkah-langkah yang berkesan boleh diambil melalui skim-skim pengaturan kendiri yang disesuaikan dengan industri atau organisasi yang berkaitan. Tujuan Akta OSH 1994 a. Untuk memberi kesedaran dan menjamin keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di tempat kerja b. Untuk melindungi orang lain di tempat kerja c. Untuk mewujudkan organisasi yang mengamalkan budaya kerja yang selamat dan sihat di kalangan semua majikan dan pekerja d. Untuk menggalakkan persekitaran kerja yang bersesuaian dengan keprluan fisiologi dan psikologi pekerja e. Untuk menyediakan sistem perundangan berdasarkan peraturan dan kod amalan industri dengan peruntukan akta yang ditetapkan. Adalah menjadi tanggungjawab majikan dan pekerja dalam sesebuah organisasi dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat kerja terpelihara serta mewujudkan budaya kerja yang selamat dan sihat di kalanagn majikan dan pekerja. Antara tanggungjawab majikan dan pekerja adalah: a) Tanggungjawab Majikan Adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan para pekerja semasa bekerja: i. Pengadaan dan penyelenggaraan loji dan sistem kerja yang, setakat praktik, ii. selamat dan tanpa risiko kepada kesihatan. iii. Pembuatan perkiraan bagi menjamin, setakat yang praktik, keselamatan dan ketiadaan risiko. iv. Pengadaan, maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan sebagaimana yang perlu untuk memastikan setakat yang praktik, keselamatan dan kesihatan pekerjanya yang sedang bekerja. b) Tanggungjawab Pekerja Adalah menjadi kewajipan tiap-tiap pekerja yang sedang bekerja :
i. Untuk memberi perhatian yang munasabah bagi keselamatan dan kesihatan dirinya dan orang lain yang mungkin terjejas oleh tindakan atau peninggalannya semasa bekerja. ii. Untuk bekerjasama dengan majikannya atau mana-mana orang lain dalam menunaikan apa-apa kewajipan atau kehendak yang dikenakan ke atas majikan atau orang lain itu melalui Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya. iii. Untuk memakai atau menggunakan pada sepanjang masa apa-apa kelengkapan atau pakaian perlindungan yang diadakan oleh majikan bagi maksud mencegah apa-apa risiko kepada keselamatan dan kesihatnnya 2.4.1 Prinsip Perangkaan Akta Kesihatan Dan Keselamatan Pekerjaan 1994 Keenam-enam prinsip ini merupakan asas di dalam pembinaan dan perangkaan Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan 1994. Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan 1994 dirangka berdasarkan enam prinsip iaitu : a. Pencegahan kemalangan adalah sebahagian daripada aspek penting pengurusan dan kemahiran yang baik b. Pihak pengurusan dan pekerja mestilah bekerjasama dalam memastikan tempat kerja bebas daripada sebarang kemalangan c. Penglibatan pihak atasan adalah diutamakan dalam memimpin perlaksanaan keselamatan di tempat kerja d. Dasar keselamatan dan kesihatan pekerjaan hendaklah dirangka dan diketahui oleh semua pekerja di tempat kerja e. Organisasi dan sumber yang perlu hendaklah dibangun dan disediakan bagi menyokong ke arah kesihatan dan keselamatan pekerjaan f. Pengetahuan dan kaedah tersedia yang terbaik digunakan 2.5 KESIMPULAN Secara keseluruhannya, kompetensi ini akan membincangkan beberapa perkara yang berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam sektor pembinaan di Malaysia. Sektor pembinaan merupakan sektor yang terdedah kepada bahaya dan risiko, Oleh itu Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ditubuhkan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja terpelihara dan dilindungi dengan sebaikknya.
Kerjasama diantara majikan dan pekerja amat penting bagi memastikan persekitaran kerja selamat dari sebarang kemalangan dan seterusnya memastikan kesihatan dan kebajikan pekerja turut diutamakan oleh majikan. Antara kesan yang terjadi jika tidak mematuhi Akta Keselamatan dan Kesihatan 1994 tidak dipatuhi, persekitaran tempat kerja tidak selamat iaitu mudah berlakunya kemalangan, kesihatan pekerja tidak dititikberatkan dan kebajikan pekerja tidak terbela. 2.6 PENILAIAN KENDIRI 1. Nyatakan dua (2) tujuan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ditubuhkan. 2. Senaraikan organisasi yang terlibat dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia 3. Nyatakan tanggungjawab Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP). 4. Tanggungjawab pekerja dalam sesebuah organisasi ialah A. Memastikan memakai dan menggunakan alat perlindungan diri yang betul B. Menyediakan Latihan dan seminar keselamatan dan kesihatan C. Memastikan persekitaran tempat kerja selamat D. Membuat kawasan rehat dan makan 5. Senaraikan tiga (3) prinsip yang dijadikan asas dalam Perangkaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. 2.6 JAWAPAN 1. Tujuan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 a. Untuk memberi kesedaran dan menjamin keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di tempat kerja b. Untuk melindungi orang lain di tempat kerja c. Untuk mewujudkan organisasi yang mengamalkan budaya kerja yang selamat dan sihat di kalangan semua majikan dan pekerja d. Untuk menggalakkan persekitaran kerja yang bersesuaian dengan keprluan fisiologi dan psikologi pekerja
e. Untuk menyediakan sistem perundangan berdasarkan peraturan dan kod amalan industri dengan peruntukan akta yang ditetapkan. 2. Organisasi yang terlibat dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan a. Jabatan Keselamatan dan Pekerjaan (JKKP) b. Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) c. Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) d. Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) 3. Tanggungjawab Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia JKKP ditubuhkan dan bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan orang yang sedang bekerja, dan melindungi orang lain daripada bahaya-bahaya keselamatan dan kesihatan yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan 4. A. Memastikan memakai dan menggunkan alat perlindungan diri yang betul 5. Prinsip Perangkaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan a. Pencegahan kemalangan adalah sebahagian daripada aspek penting pengurusan dan kemahiran yang baik b. Pihak pengurusan dan pekerja mestilah bekerjasama dalam memastikan tempat kerja bebas daripada sebarang kemalangan c. Penglibatan pihak atasan adalah diutamakan dalam memimpin perlaksanaan keselamatan di tempat kerja d. Dasar keselamatan dan kesihatan pekerjaan hendaklah dirangka dan diketahui oleh semua pekerja di tempat kerja e. Organisasi dan sumber yang perlu hendaklah dibangun dan disediakan bagi menyokong ke arah kesihatan dan keselamatan pekerjaan f. Pengetahuan dan kaedah tersedia yang terbaik digunakan
KOMPETENSI 3: HIRARC (HAZARD IDENTIFICATION RISK ASSESSMENT AND RISK CONTROL) 3.1 PENGENALAN Setiap persekitaran sentiasa berhadapan dengan risiko, tidak kira di rumah mahupun di tempat kerja malah ianya turut berada di persekitaran yang kita ada. Sekiranya kita gagal untuk menguruskan risiko dengan baik, ianya mengundang kesan yang buruk. Risiko di tempat seringkali dikaitkan dengan aktiviti berhubung dengan pekerjaan yang dilakukan menyebabkan kemudaratan terhadap seseorang pekerja. Apabila risiko ini tidak dikawal, ianya akan mencetuskan kemalangan di tempat kerja. Bagi mengelakkan kemalangan ini berlaku, langkah kawalan dan pencegahan perlu diamalkan di tempat kerja. Adalah menjadi tanggungjawab setiap pekerja dan majikan memastikan persekitaran tempat kerja selamat dan sihat untuk menjana hasil yang lebih produktif. Apabila seseorang memperkatakan tentang risiko keselamatan dan kesihatan ditempat kerja, dia memperkatakan tentang kebarangkalian kecederaan berlaku dan impaknya kepada pekerja akibat hazard yang terdapat di tempat beliau bekerja. Kebarangkalian adalah pengukuran frekuensi berlakunya kemalangan. Oleh kerana kebarangkalian berlakunya kemalangan dan impak kemalangan boleh dikawal, maka risiko boleh diurus sehingga ia boleh diminimumkan dan diterima. 3.2 OBJEKTIF Di akhir kompetensi ini pelatih dapat: ✓ Mengenalpasti semua faktor yang mungkin boleh mendatangkan kemalangan dimana berpotensi memudaratkan pekerja samada dari segi keselamatan atau kesihatan. ✓ Menetapkan langkah kawalan dalam pengurusan risiko di tempat kerja bagi mengelakkan berlakunya kebarangkalian kemalangan. ✓ Mengkaji keseluruhan mengenai proses menjalankan aktiviti HIRARC untuk memastikan risiko dikawal secukupnya sepanjang masa.
3.3 PENGENALPASTIAN HAZARD, PENAKSIRAN RISIKO DAN KAWALAN RISIKO Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC) telah menjadi amat penting dalam amalan untuk merancang, mengurus dan melaksanakan sesuatu operasi sesebuah organisasi sebagai perkara asas kepada pengurusan risiko. Organisasi yang telah melaksanakan penaksiran risiko di tempat kerja telah mendapati beberapa perubahan positif dalam amalan kerja mereka. Organisasi ini dapat mengenal pasti tindakan dan keadaan kerja yang substandard semasa ia membangunkan dan mengambil tindakan pembetulan yang perlu. Perundangan menghendaki agar proses ini bersistem dan direkodkan supaya keputusan yang dicapai adalah kukuh dan analisisnya lengkap. Proses penaksiran risiko hendaklah dilaksanakan secara berterusan dan tidak boleh dianggap sebagai kerja yang hanya dilakukan sekali sahaja. 3.3.1 Jenis Kemalangan Di Tempat Kerja Kemalangan ditakrifkan sebagai kejadian yang tidak dijangkakan atau tidak dirancang yang berlaku disebabkan oleh pelbagai punca yang memberi kesan ke atas tubuh badan (kecederaan atau penyakit) seseorang, kerosakan atau kemusnahan harta benda, kerosakan alam sekitar, kemalangan nyaris atau gabungan kesan-kesan tersebut. Kemalangan merujuk kepada turutan kejadian yang berlaku secara tidak sengaja dan tidak dirancang, sering kali tanpa sengaja atau diperlukan. Ia biasanya berlaku melalui gabungan beberapa sebab (perbuatan tidak selamat atau keadaan tidak selamat) dan mengakibatkan kesan buruk seperti kecederaan fizikal kepada individu, kerosakan harta benda, kejadian nyaris dan kerugian, yang mungkin dapat dielakkan sekiranya keadaan yang membawa kepada kemalangan tersebut dapat dikenal pasti dan diambil tindakan, sebelum ia berlaku. Sebagai contoh kemalangan jalan raya, kemalangan tercucuk benda tajam dan sebagainya. Terdapat beberapa jenis kemalangan yang sering berlaku di tempat kerja. Antaranya:
i. Terjatuh dari tempat tinggi ii. Terkena kejutan elektrik iii. Dilanggar objek iv. Tertimbus& tanah runtuh v. Kebakaran dan letupan vi. Tersepit vii. Terhidu gas beracun viii. Termakan/tertelan bendasing ix. Tertusuk benda tajam Kesemua jenis kemalangan di atas berpunca daripada beberapa sebab iaitu: a) Sikap manusia kecuaian untuk mengikuti langkah-langkah keselamatan yang telah ditetapkan. Contoh: Tidak memakai Personel Protective Equipment (PPE) b) Faktor Teknikal Penggunaan mesin perlu mengikut prosedur penggunaan dan langkahlangkah keselamatan yang telah ditetapkan. Contoh: Menggunakan peralatan / jentera tang masih dalam selenggaraan serta tidak mengikut prosedur yang ditetapkan. c) Faktor Persekitaran Persekitaran tempat kerja yang tidak selesa seperti terdedah kepada bahaya pencemaran asap kilang, susun atur operasi pengeluaran yang tidak dirancang serta pemantauan yang gagal di lakukan menjadi punca mengapa persekitaran boleh menyebabkan kemalangan. d) Faktor Penyimpanan Kaedah penyimpanan bahan yang tidak teratur boleh menyebabkan berlakunya kemalangan. Penyimpanan bahan yang mudah terbakar haruslah diletakkan di tempat yang selamat. Contoh: Berlakunya letupan atau kebakaran akibat dari kaedah penyimpanan yang tidak selamat.
e) Faktor Penyeliaan Kegagalan mematuhi prosedur, arahan yang disampaikan tidak sempurna serta kegagalan menguatkuasakan peraturan. Contoh: Penyelia tidak memaklumkan kepada pekerja tentang kerosakan mesin. f) Faktor Pengurusan Pihak pengurusan hendaklah mengkaji dengan lebih mendalam sesuatu prosedur yang hendak diguna pakai supaya tidak mengundang kemalangan semasa kerja dilaksanakan. Contoh: Memastikan laluan keluar masuk ke tapak pembinaan lebih teratur. 3.3.2 Jenis Hazard di Tempat Kerja Hazard bermakna sesuatu punca atau sesuatu keadaan yang mempunyai potensi dimana boleh mendatangkan mudarat dalam bentuk kecederaan atau kesihatan yang buruk kepada manusia, kerosakan harta, kerosakan alam sekitar atau gabungan daripada mana-mana mudarat tersebut. Bahan kimia, sinaran, elektrik, biohazard, sistem kerja tidak selamat adalah beberapa contoh-contoh hazard. Hazard boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan utama iaitu hazard kesihatan, hazard keselamatan, dan hazard alam sekitar. a) Hazard kesihatan Hazard kesihatan pekerjaan ialah apa-apa agen yang boleh mendatangkan penyakit kepada individu. Hazard kesihatan boleh menyebabkan kesan yang serius dan serta-merta (akut), atau boleh menyebabkan masalah jangka panjang (kronik). Seluruh atau bahagian tertentu badan boleh terjejas. Seseorang yang mengalami penyakit pekerjaan mungkin tidak menyedari akan gejalanya dengan serta-merta. Sebagai contoh, hilang pendengaran akibat hingar sering kali sukar dikesan oleh individu yang terjejas sehinggalah penyakit itu sudah melarat. Hazard kesihatan termasuk bahan kimia (seperti asid bateri dan pelarut), hazard biologi (seperti bakteria, virus, debu dan kulapuk), agen izik (punca tenaga yang cukup kuat untuk memudaratkan badan, seperti arus elektrik, haba, cahaya, getaran, hingar dan sinaran) dan hazard reka bentuk kerja (ergonomik).
b) Hazard keselamatan Hazard keselamatan ialah apa-apa daya yang cukup kuat yang mengakibatkan kecederaan, atau kerosakan kepada harta. Kecederaan yang disebabkan oleh hazard keselamatan biasanya ketara. Sebagai contoh, pekerja mungkin luka teruk. Hazard keselamatan mendatangkan mudarat apabila kawalan tempat kerja tidak mencukupi. Beberapa contoh hazard keselamatan termasuk, tetapi tidak terhad kepada: i. tergelincir/tersandung (seperti wayar yang terentang di lantai); ii. kebakaran (daripada bahan mudah bakar); iii. bahagian jentera, alatan dan kelengkapan yang bergerak (seperti penjepit dan mata sepit); iv. kerja di tempat tinggi (seperti kerja yang dilakukan di atas perancah); v. lentingan bahan (seperti daripada pengacuan); vi sistem tekanan (seperti dandang dan paip stim); vii. kenderaan (seperti forklif dan trak); viii. operasi mengangkat dan pengendalian lain secara manual; dan ix. bekerja sendirian c) Hazard alam sekitar Hazard alam sekitar ialah pelepasan ke alam sekitar yang boleh menyebabkan mudarat atau kesan yang merosakkan. Pelepasan ke alam sekitar mungkin tidak ketara. Sebagai contoh, pekerja yang menyalirkan sistem glikol dan melepaskan cecair tersebut ke dalam pembetung ribut mungkin tidak sedar akan kesannya kepada alam sekitar. Hazard alam sekitar mendatangkan mudarat apabila kawalan dan prosedur kerja tidak dipatuhi. 3.3.3 Pencegahan Kemalangan di Tempat Kerja Kemalangan adalah sesuatu yang kompleks dan berlaku tanpa dirancang, namun ia boleh dicegah. Kemalangan boleh diakibatkan oleh dua sebab utama: a) Tindakan yang tidak selamat (Unsafe act) b) Keadaan kerja tidak selamat (Unsafe condition)
Berikut adalah langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi penyebab-penyebab faktor penyumbang kemalangan. Rajah di bawah menerangkan faktor-faktor yang menyumbang kepada kemalangan dengan lebih terperinci. Rajah 1: Konsep Pencegahan Kemalangan Kaedah pengurusan risiko yang betul boleh dilakukan dengan memahami konsep pencegahan kemalangan (seperti Rajah 1). Dengan memastikan perilaku selamat dan keadaan kerja yang selamat, risiko yang dihadapi dapat dikawal dan dikurangkan. Antara langkah kawalan yang boleh dilakukan adalah melakukan kawalan melalui hirarki (seperti Rajah 2).
Rajah 2: Kawalan Risiko a. Penyingkiran (Elimination) Menyingkirkan hazard dari tempat atau proses kerja (misalnya tidak lagi menggunakan asbestos kerana ia boleh menyebabkan penyakit barah paruparu seperti asbestosis). b. Penggantian Menggantikan hazard yang ada dengan sesuatu yang kurang berisiko (misalnya pemotong berkuasa pneumatik digunakan dalam kerja memotong yang melibatkan bahan bakar bagi menggantikan pemotong yang menghasilkan percikan api). c. Kawalan Kejuruteraan Memasukkan ciri-ciri keselamatan ke dalam peralatan, mesin atau kelengkapan pekerjaan (misalnya memasang penghadang kepada bahagian mesin yang berputar). d. Kawalan Pentadbiran
e. Aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan diurus oleh pihak pengurusan dan pekerja (misalnya melaksanakan tugas secara bergilir bagi tempoh yang dibenarkan untuk mengurangkan pendedahan kepada hazard). f. Kelengkapan atau Pakaian Perlindungan Peribadi (Personal Protective Equipment, PPE) Memakai kelengkapan diri yang memberikan perlindungan tambahan kepada pemakai selepas semua kaedah kawalan di atas telah diambil kira dan dilaksanakan. 3.3.4 Mendokumentasikan HIRARC Pengurusan hazard yang betul dan yang ada kalanya dikenal pasti di tempat kerja boleh dilaksanakan melalui proses yang berkesan. Pada dasarnya, individu atau pasukan yang mengenal pasti hazard mestilah memastikan penerangan yang betul tentang sesuatu hazard diberikan kepada pihak yang berkuasa tempat kerja (pengurus, ketua jabatan, atau orang yang dilantik). Setiap HIRARC mestilah didokumentasikan sepenuhnya. Borang HIRARC mestilah dilengkapkan oleh pasukan HIRARC dan ditandatangani oleh kakitangan yang bertanggungjawab dalam bidang tersebut. Bahagian yang bertanggungjawab terhadap hazard tersebut dan pengawalannya dikehendaki menyimpan semua laporan penaksiran selama sekurang-kurangnya tiga tahun. Pihak yang berkuasa di bahagian berkenaan bertanggungjawab untuk memastikan kawalan yang efektif dan tepat pada masanya diguna pakai terhadap hazard dan menyampaikan keputusan tersebut kepada kakitangan yang mengemukakan laporan. Pihak pengurusan atau majikan hendaklah mengesahkan dan meluluskan keputusan HIRARC. Majikan hendaklah menerangkan seluruh HIRARC kepada kakitangan, memantau tindakan susulan dan menyimpan semua rekod. Borang HIRARC (lihat LAMPIRAN 3.3) merupakan contoh untuk mendokumenkan proses HIRARC. Panduan kepada ketua pasukan dan orang yang menjalankan HIRARC:
a. Lengkapkan borang HIRARC. Disarankan untuk menggunakan satu borang bagi setiap proses kerja. b. Rekodkan nama dan jawatan anggota pasukan HIRARC; c. Kenal pasti aliran proses kerja dan nyatakan dalam borang di bawah lajur ‘proses/lokasi’; d. Senaraikan semua aktiviti (rutin dan bukan rutin) bagi setiap proses kerja di bawah lajur “Aktiviti Kerja”; e. Kenal pasti hazard yang berkaitan dengan setiap aktiviti dan rekodkan dalam lajur “Hazard”; f. Tentukan kesan setiap hazard yang dikenal pasti dan rekodkan di dalam lajur “Kesan”; g. Rekodkan apa-apa langkah kawalan hazard sedia ada; h. Tentukan kemungkinan (L) dari Jadual A dan keterukan (S) dari Jadual B bagi setiap hazard. Berikan kadar (L) dan (S) di dalam lajur yang berkaitan. Langkah kawalan sedia ada hendaklah diambil kira semasa menentukan (L) dan (S); i. Dengan menggunakan Matriks Risiko (Jadual C dan D), tetapkan satu risiko dan rekodkan di dalam lajur “Risiko”; j. Berdasarkan risiko yang ditetapkan, sarankan langkah kawalan risiko yang sesuai (lihat Jadual D); k. Tetapkan orang yang sesuai untuk melaksanakan kawalan risiko yang disarankan dan nyatakan tarikh dan status tindakan susulan; l. Ulang HIRARC bagi aktiviti dan proses lain; m. Laksanakan satu lagi pusingan HIRARC selepas langkah kawalan dilaksanakan; dan n. Semak HIRARC setiap tiga tahun atau apabila terdapat perubahan dalam proses atau aktiviti.
3.4 KESIMPULAN Secara Keseluruhannya, kompetensi ini akan membincangkan beberapa perkara yang berkaitan dengan pengenalpastian hazard, penaksiran risiko dan kawalan risiko di tempat kerja. Sektor perindustrian dan pembinaan memainkan peranan penting dalam memajukan dan meningkatkan pembangunan negara. Pekerjapekerja dalam sektor berkenaan perlu dilindungi dengan perlindungan yang sewajarnya. Terlalu banyak kes kemalangan berlaku di dalam kedua-dua sektor ini menyebabkan berlakunya pelbagai campurtangan dalam usaha menangani masalah ini. Namun begitu, ada sesetengah pihak tidak mengendahkan dengan tidak menitikberatkan perihal keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Lantaran itu, kerjasama dari semua pihak majikan, pekerja, kerajaan dan bukan kerajaan amatlah diperlukan dalam memastikan pengurangan hazard, kawalan risiko dan kesihatan di tempat kerja. Setiap kemalangan yang berlaku telah meninggalkan kesan kepada keadaan sekeliling dan pihak organisasi. Antara kesan yang terpaksa dihadapi oleh setiap organisasi adalah kerugian pada barang-barang dan alatan yang sedia ada. Disebabkan berlakunya kemalangan, pihak pengurusan terpaksa membeli barangan baru bagi menggantikan alat yang rosak.
3.5 PENILAIAN KENDIRI 1. Apakah yang dimaksudkan dengan HAZARD? a. Sesuatu punca atau keadaan yang mempunyai potensi mendatangkan kecederaan kepada manusia, kerosakan harta benda dan alam sekitar. b. Sesuatu punca atau keadaan yang menyebabkan badan tidak selesa selepas atau semasa menjalankan kerja c. Sesuatu punca atau keadaan yang berpotensi untuk mengganggu sistem pengoperasian sesebuah syarikat d. Sesuatu punca atau keadaan yang akan menyebabkan produktiviti di sesuatu organisasi tersebut tidak stabil dan boleh menambah kos operasi syarikat 2. HIRARC dalam perkataan penuh adalah? a. Hazard Implementation Risk Arrangement and Risk Coordination b. Hazard Implementation Risk Arrangement and Risk Control c. Hazard Identification Risk Assessment and Risk Control d. Hazard Identification Risk Amendment and Risk Coordination 3. Tujuan HIRARC dibuat adalah untuk yang berikut kecuali? a. Mengenal pasti semua faktor yang mungkin boleh mendatangkan mudarat kepada pekerja dan orang lain b. Memudahkan jawatankuasa KKP menentukan hala tuju misi dan visi syarikat c. Mempertimbangkan kemungkinan mudarat tersebut menimpa sesiapa dalam keadaan tertentu dan keterukan yang timbul daripadanya d. Membolehkan majikan merancang dan memantau langkah pencegahan untuk memastikan risiko tersebut dikawal sentiasa 4. Susunan Hierarki kawalan hazard adalah a. Penggantian, penyingkiran, kawalan kejuruteraan, pengasingan, kawalan pentadbiran, PPE b. Pengasingan, penyingkiran, penggantian, kawalan kejuruteraan, kawalan pentadbiran, PPE
c. Penggantian, penyingkiran, kawalan pentadbiran, kawalan kejuruteraan, pengasingan, PPE d. Penyingkiran, penggantian, pengasingan, kawalan kejuruteraan, kawalan pentadbiran, PPE. 5. Yang manakah antara berikut bukan Kelengkapan Pelindungan Diri (PPE) a. Kasut keselamatan b. Seluar Panjang c. Body Harness d. Safety Google 3.6 JAWAPAN 1. a. Sesuatu punca atau keadaan yang mempunyai potensi mendatangkan kecederaan kepada manusia, kerosakan harta benda dan alam sekitar. 2. c. Hazard Identification Risk Assessment and Risk Control 3. b. Memudahkan jawatankuasa KKP menentukan hala tuju misi dan visi syarikat 4. d. Penyingkiran, penggantian, pengasingan, kawalan kejuruteraan, kawalan pentadbiran, PPE 5. b. Seluar Panjang
LAMPIRAN 3.1
LAMPIRAN 3.1
LAMPIRAN 3.1
LAMPIRAN 3.2
LAMPIRAN 3.3
KOMPETENSI 4: KESELAMATAN PADA PERINGKAT PRA-PEMBINAAN 4.1 PENGENALAN Aspek keselamatan dan kesihatan di tapak pembinaan bukan sahaja perlu dititikberatkan semasa proses pembinaan bahkan turut juga perlu diberi perhatian semasa proses pra pembinaan. Perancangan yang betul harus menjadi bahagian penting dalam menjalankan operasi pembinaan yang cekap. Ia bukan sahaja untuk tujuan penyediaan dan belanjawan keseluruhan tetapi juga sebagai langkah proaktif untuk mengendalikan dan menguruskan hal-hal keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi kerja-kerja yang akan dijalankan. 4.2 OBJEKTIF • Pelajar dapat mengenalpasti keperluan keselamatan dan kesihatan pekerjaan semasa peringkat pra pembinaan • Pelajar dapat membuat pengaturan yang diperlukan semasa peringkat prapembinaan 4.3 KESELAMATAN PADA PERINGKAT PRA-PEMBINAAN 4.3.1 PENILAIAN AWAL • Meneliti dokumen kontrak, spesifikasi dan lukisan – untuk mengenalpasti dan mengatasi sebarang kekangan yang mungkin boleh menjejaskan susun atur tapak atau kaedah pembinaan • Mengenalpasti kedudukan tapak, factor persekitaran dan keadaan tapak • Menentukan urutan kerja yang logik dan mengenalpasti sebarang operasi berisiko tinggi dan sebagainya (cth: pembersihan tapak, kerja perobohan, operasi pembinaan) • Menentukan jenis dan kapasiti pelan serta keperluan operator kompeten (peralatan akses, kenderaan tapak, keperluan kerja, peralatan mengangkat, peralatan mudah alih, bekalan elektrik dll)
• Menentukan keperluan penempatan sementara (pejabat tapak, kantin, rumah pekerja, kemudahan kebajikan & pertolongan cemas dll) • Menentukan keperluan stor penyimpanan bahan (cth: besi, kotak bentuk, simen, pre-cast units, perancah, bata, blok, pasir, elemen struktur, cecair dll) • Menentukan kawasan untuk: a) akses ke loji, bahan dan perkhidmatan kecemasan b) loji tetap seperti menara kren, loji pengelompokan konkrit, lenturan besi dan bengkel c) loji mudah alih seperti kren, dumpers, forklifts, lori konkrit, pam dan lain-lain d) tempat penginapan sementara e) stor penyimpanan bahan • Menentukan langkah-langkah keselamatan tapak dan perlindungan orang ramai, terutamanya kanak-kanak • Menentukan perkiraan untuk perhubungan dengan kejiranan 4.3.2 MEMBANGUNKAN PELAN KESELAMATAN Pelan Keselamatan dan Kesihatan adalah merupakan dokumen bertulis yang menggambarkan proses untuk mengenalpasti bahaya fizikal dan kesihatan yang boleh menjejaskan pekerja, prosedur untuk mengelakkan kemalangan dan langkahlangkah yang perlu diambil apabila berlaku kemalangan. Pelan ini mengambil kira faktor Hazard Identification, Risk Assessment and Risk Control (HIRARC), Emergency Response Plan (ERP), kawalan dan pemantauan OSH serta risiko OSH terhadap pekerja dan lain-lain. Ia perlu melibatkan polisi dan objektif OSH, penugasan tanggungjawab OSH, kaedah untuk menilai HIRARC, Job Safety Analysis (JSA), siasatan dan laporan kemalangan, ERP di tapak binaan, komunikasi di tapak binaan, program audit keselamatan dan penyelarasan aktiviti perdagangan/perniagaan di tapak binaan. Ciri-ciri pelan keselamatan dan kesihatan yang lain hendaklah termasuk: i. Huraian kerja individu yang mempunyai kandungan keselamatan ii. Butiran tanggungjawab keselamatan khusus
iii. Peranan dan fungsi jawatankuasa keselamatan iv. Peranan dan fungsi Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (Safety Health Officer, SHO) dan Penyelia Keselamatan Tapak (Site Safety Supervisor, SSS) v. Carta organisasi beserta tanggungjawab dan akauntabiliti Rajah 1: Contoh carta organisasi
Rajah 2: Contoh tanggungjawab & akauntabiliti ahli jawatankuasa keselamatan Melalui pelan keselamatan dan kesihatan ini, dasar-dasar keselamatan akan dilaksanakan dengan merangkumi: i. Induksi keselamatan tapak ii. Pengurusan risiko iii. Prosedur kerja selamat iv. Pemeriksaan tempat kerja v. Perundingan dan komunikasi vi. Persediaan kecemasan vii. Penyiasatan dan pelaporan kemalangan viii. Pengaturan kesihatan pekerjaan ix. Pemantauan prestasi x. Ketidakpatuhan dan sebagainya
4.3.3 PERANCANGAN / PELAKSANAAN TAPAK Mesyuarat Perancangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Mesyuarat perlu bermula serta merta terutamanya dikalangan ahli-ahli jawatankuasa induk yang terpilih selepas dianugerahkan kontrak dan sebelum projek bermula. Mesyuarat ini perlu digunakan untuk membincangkan program keselamatan dan kesihatan pekerjaan secara menyeluruh serta menentukan tugas dan tanggungjawab. Perancangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan perlu didokumenkan terutamanya berkaitan dasar keselamatan dan kesihatan pekerjaan, strategi pengurusan dan peraturan/tatacara. Pengurusan dokumen, data dan rekod yang sempurna diperlukan semasa dan selepas mesyuarat ini dijalankan. Antara agenda yang biasa dibincangkan ialah strategi pengurusan, kawalan suasana berbahaya, keperluan subkontraktor, analisa kerja yang melibatkan suasana berbahaya dan pembelian. Kawalan Suasana Berbahaya Kawalan suasana berbahaya adalah bergantung kepada skop projek dan jenis aktiviti pembinaan yang dijalankan. Antara perkara yang melibatkan kawalan suasana berbahaya ialah: • Letupan • Pemampatan udara • Kerja-kerja konkrit • Ruangan terhad • Kren • Elektrik & mekanikal • Pelan kecemasan dan bencana alam • Excavation / Trenching / Shoring • Perlindungan daripada jatuh • Pencegahan / perlindungan kebakaran • Pertolongan cemas • Komunikasi • Sisa lebihan bahaya / toksik
• Jentera berat • Kebersihan / tangga • Lampu • Lock out / Tag out • Penstoran dan pengendalian bahan • Kebisingan • Perlatan perlindungan diri • Alat pernafasan • Keperluan sanitari • Perancah (Scaffolding) • Penggunaan dan penyelenggaraan peralatan • Kaawalan trafik • Papan tanda Amaran, Isyarat dan Barricade • Kimpalan dan pemotongan Walaupun senarai perkara ini tidaklah lengkap, tetapi ianya boleh digunakan sebagai panduan am bagi membantu pengamal OSH untuk menentukan mana-mana keperluan tambahan yang relevan dengan projek pembinaan. Analisa Kerja yang Melibatkan Suasana Berbahaya Satu lagi amalan yang baik ialah mengenalpasti terlebih dahulu apa-apa peralatan keselamatan atau kaedah mengendalikan suasana berbahaya bagi memastikan keberkesanan kerja dalam konteks keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Pertimbangan teliti perlu diberikan ke atas suasana berbahaya yang berkaitan dengan ergonomik seperti pergerakan berulang, getaran, suhu yang terlalu tinggi atau terlalu rendah dan pengubahsuaian / penyesuaian peralatan. Dengan merancang terlebih dahulu secara proaktif, penangguhan kerja atau pemberhentian mengejut dapat diminimakan. Analisa kerja yang melibatkan suasana berbahaya (job hazard analysis) adalah proses mengenalpasti suasana berbahaya yang berkaitan dengan kerja atau fasa sesuatu kerja. Pembangunan analisa ini akan membantu menyelesai atau meminimakan suasana berbahaya yang berkaitan dengan aktiviti kerja-kerja tertentu. Pilihan ke atas aktiviti kerja-kerja tertentu yang diketahui tahap bahayanya perlu dilakukan.
Kaedah penyediaan analisa ini biasanya melibatkan: • Pemilihan kerja untuk dianalisa • Memecahkan tugas kepada komponen individua atau aktiviti • Mengenalpasti suasana berbahaya • Membangunkan prosedur keselamatan • Mengaplikasikannya terhadap kerja yang berkaitan Analisa ini boleh digunakan bagi menerangkan nilai-nilai murni dan sikap mengamalkan kerja yang selamat. Ianya juga boleh menjadi panduan latihan bagi pekerja baru dan mengenalpasti punca kemalangan sekiranya ianya berlaku. Setiap analisa perlu disemak dalam tempoh tertentu untuk ditambahbaik secara berterusan. 4.3.4 PELANTIKAN PERSONEL KESELAMATAN Pelantikan Pegawai • Menteri hendaklah melantik seorang pegawai awam menjadi Ketua Pengarah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ini disebut “Ketua Pengarah”, bagi maksud menjalankan kuasa-kuasa, melaksanakan fungsi-fungsi dan menunaikan kewajipan-kewajipan yang diberikan kepadanya di bawah Akta ini. • Menteri boleh melantik, daripada kalangan pegawai awam, sekian bilangan Timbalan Ketua Pengarah, Pengarah, Timbalan Pengarah, Penolong Pengarah dan pegawai-pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan lain sebagaimana yang perlu bagi maksud-maksud Akta ini. • Jika atas apa-apa sebab Ketua Pengarah tidak dapat menjalankan kuasakuasa atau menunaikan kewajipan-kewajipan jawatannya, kuasa-kuasa itu hendaklah ada pada dan bolehlah dijalankan dan kewajipan-kewajipan itu hendaklah ditunaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah. • Tertakluk kepada apa-apa pembatasan yang ditetapkan melalui peraturan yang dibuat di bawah Bahagian XIV Akta ini, seorang pegawai yang dilantik di bawah subseksyen (2) hendaklah melaksanakan kesemua kewajipan yang dikenakan ke atas, dan boleh menjalankan kesemua kuasa yang diberikan
kepada Ketua Pengarah di bawah Akta ini, dan tiap-tiap kewajipan yang dilaksanakan dan dijalankan dengan sewajarnya bagi maksud-maksud Akta ini. a. Penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 adalah dilaksanakan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di bawah Kementerian Sumber Manusia. b. Tujuan melantik pegawai awam adalah untuk memastikan semua kuasa, fungsi dan kewajipan di bawah Akta boleh dilaksanakan. Pelantikan Badan Pemeriksaan Bebas • Ketua Pengarah boleh, sebagaimana yang difikirkannya patut, melantik seseorang atau sesuatu badan pemeriksaan bebas daripada mana-mana industri untuk menasihati atau membantunya dalam menjalankan tujuan-tujuan dan maksud-maksud Akta ini. a. Di bawah Akta ini, Ketua Pengarah telah diberikan kuasa untuk melantik dan membayar seseorang atau badan pemeriksaan bebas dari sebarang industri untuk menjadi penasihat bagi menjalankan tujuan Akta. Sebagai contoh, beliau boleh melantik satu badan bebas untuk menyiasat kemalangan besar dan memberikan pandangan pakar atau melakukan pengawasan perubatan. • Seseorang atau sesuatu badan pemeriksaan bebas yang dilantik di bawah subseksyen (1) hendaklah dibayar apa-apa elaun, fee atau bayaran ganti yang ditentukan oleh Menteri. • Seseorang pegawai yang dilantik di bawah subseksyen 5(2) dan seseorang atau sesuatu badan pemeriksaan bebas yang dilantik di bawah subseksyen (1) hendaklah tertakluk kepada kawalan, arahan dan pengawasan Ketua Pengarah. • Ketua Pengarah dan semua pegawai yang dilantik di bawah subseksyen 5(2), dan seseorang atau sesuatu badan pemeriksaan bebas yang dilantik di bawah subseksyen (1), hendaklah disifatkan sebagai pegawai awam mengikut pengertian Kanun Keseksaan.
4.3.5 PELANTIKAN ORGANISASI KESELAMATAN ORGANISASI KESELAMATAN DAN KESIHATAN Dasar Keselamatan dan Kesihatan Setiap majikan hendaklah menyediakan dan seberapa kerap yang sesuai mengkaji semula pernyataan bertulis dasar amnya berkenaan keselamatan dan kesihatan pekerja-pekerjanya semasa bekerja dan organisasi dan perkiraan yang sedang berkuat kuasa bagi menjalankan dasar itu, dan membawa pernyataan dan apa-apa kajian semulanya kepada perhatian kesemua pekerjanya. Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Kontraktor utama di tapak kerja yang mana empat puluh orang atau lebih sedang digajikan (sama ada oleh kontraktor utama atau kontraktor-kontraktor lain yang digajikan oleh kontraktor utama atau oleh pelanggan) hendaklah menubuhkan jawatankuasa keselamatan dan kesihatan (yang mana kedua-dua pihak pekerja dan pihak majikan diwakili) bagi maksud mengkaji semula keadaan di tapak kerja yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesihatan orang-orang yang bekerja di dalamnya dan juga orang awam. Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Setiap majikan hendaklah menubuhkan, melaksanakan dan menyelenggarakan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan hendaklah mematuhi keperluan Piawaian Malaysia yang berkaitan atau apa-apa sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan lain yang setara yang diluluskan oleh Ketua Pengarah. Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Setiap kontraktor bagi kendalian bangunan dan kerja-kerja binaan kejuruteraan hendaklah menggaji seorang pegawai keselamatan dan kesihatan jika jumlah harga kontrak bagi projek melebihi RM20 juta. Penyelia Keselamatan Tapak Kontraktor utama di sesuatu tapak bina kerja hendaklah melantik seorang penyelia keselamatan tapak bina separuh masa yang menghabiskan masanya sekurang-