MODUL ADAB DALAM PENDIDIKAN Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD), UiTM Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.
Cetakan Pertama 2022 ©Hakcipta Terpelihara – Tidak dibenarkan mengeluar ulang mana-mana bahagian data, artikel, ilustrasi, audio, video dan isi kandungan portal ini dalam apa juga bentuk dan dengan cara apa jua sama ada secara elektronik, duplikasi, mekanik, rakaman atau cara lain sebelum mendapat izin bertulis daripada pemilik hak cipta terlebih dahulu. ISBN Diterbitkan oleh: Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD), UiTM Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.
Modul Adab Dalam Pendidikan 3 MAKLUMAT PENYEDIAAN MODUL Project Director Dr. Norhapizah Mohd Burhan Module Writers Prof. Madya Dr. Abdul Halim Ramli, Dr. Norhapizah Mohd Burhan, Dr. Mahfuzah Mohammed Zabidi, Dr. Rasyad Afif Ibrahim, Dr. Nurul Badriyah Ali, Cik Norzie Diana Baharum & Dr. Mohd Rilizam Rosli Module Editors Dr. Mahfuzah binti Mohammed Zabidi, Dr. Nurul Badriyah binti Ali, Prof. Madya Dr. Abdul Halim bin Ramli, Dr. Norhapizah Mohd Burhan Secretariat Encik Mohd Shahrul Azman Ahmad, Cik Nurul Syairah Mohd Isa Developed by Collaborative Group ADAB In Education, Centre for Innovative Delivery and Learning Developments, Office of Deputy Vice Chancellor (Academic and International) Printed by Centre For Academic Leadership, University Technology MARA
Modul Adab Dalam Pendidikan 4 ISI KANDUNGAN PERKARA Bahagian 1: (Pelaksanaan Adab Dalam Pendidikan) MUKA SURAT Maklumat Penyediaan Modul Kandungan Modul Prakata Maklumat Modul 3 4 5 6 9 14 19 33 45 49 Bab 1: Profesionalisme Pensyarah Berasas Nilai Bab 2: Nilai-Nilai Utama Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Bab 3: Kajian Kes - Isu-Isu Semasa Berkaitan (Pelajar) Lampiran Rujukan Biodata Penulis
Modul Adab Dalam Pendidikan 5 Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya, modul Adab dalam Pendidikan Siri 2 ini berjaya dihasilkan. Penghasilan modul ini adalah untuk membantu para pensyarah mempersiapkan diri bagi menjalankan tugas mereka yang semakin mencabar dalam berhadapan dengan era revolusi industri, lebih-lebih lagi ketika maklumat dapat dicapai dengan mudah di hujung jari. Para pensyarah perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran penyampaian pengajaran agar dapat melengkapkan mahasiswa dengan ilmu bidang dan ilmu bimbingan akhlak yang sepatutnya. Modul ini mengandungi dua bahagian dalam bentuk teoritikal dan praktikal, terdiri daripada siri 1, 2 dan 3. Modul Siri 2 ini menjurus kepada teori atau konsep tentang pelaksanaan adab dalam pendidikan khusus kepada nilai dalam pendidikan. Antara topik yang dibincangkan dalam siri ini ialah profesionalisme pensyarah berasaskan nilai, nilainilai utama dalam pengajaran dan pembelajaran dan kajian kes berkaitan isu semasa dari sudut pelajar. Ilmu berbentuk kognitif semata-mata tidak dapat membenteng mahasiswa daripada anasir pelbagai yang dialami oleh mahahsiswa di dalam persekitaran digital pada masa kini. Justeru, para pensyarah perlu melengkapkan diri dengan ilmu keinsanan sebagai persiapan diri untuk membimbing mahasiswa menjadi insan adabi. Isi kandungan modul ini diharapkan dapat menyediakan pensyarah yang dapat menjalankan peranan secara komprehensif ke arah melahirkan graduan yang holistik seperti yang dihasratkan di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2015-2025). PRAKATA
Modul Adab Dalam Pendidikan 6 MAKLUMAT MODUL MODUL ADAB DALAM PENDIDIKAN Module Name Code Credit Hours Student Learning Time (SLT) Mode Module Description Transferable Skills Teaching Methodologies Learning Outcomes MODUL ADAB DALAM PENDIDIKAN MAP 01 - - BERSEMUKA DAN DALAM TALIAN Modul ini dihasilkan bagi kegunaan pensyarah untuk mendapat input yang jelas berkaitan dengan konsep adab dan model A.D.A.B serta aspek-aspek yang mempunyai hubungkait antara kedua-duanya sebagai panduan dalam penyampaian pengajaran. Syarahan, Latihan Dalam Kumpulan, Kajian Kes, Demonstrasi dan Pembentangan Kemahiran Interpersonal, Kemahiran Komunikasi & Etika Profesionalisme Menjelaskan kepada pensyarah tentang nilai dan adab secara inovatif dan relevan dengan keperluan semasa LO1 Menyediakan garis panduan pengintegrasian Model A.D.A.B dalam penyampaian pengajaran LO2 Melatih pensyarah menjadi role model dalam pembangunan holistik pelajar LO3 Melengkapkan pensyarah dengan pedagogi akal dan hati dalam penyampaian pengajaran LO4
Modul Adab Dalam Pendidikan 7 MAKLUMAT MODUL MODUL ADAB DALAM PENDIDIKAN Pre-requisite (if any) Topics - Bahagian 1 & Bahagian 2 Assessment Pembentangan Dalam Kumpulan & Kuiz Recommended Text Bahagian 1 Pelaksanaan Adab Dalam Pendidikan TOPIK 1 Konsep Insan TOPIK 2 Konsep Ilmu TOPIK 3 Penghayatan dan Penerapan Adab TOPIK 4 Falsafah dan peranan pensyarah Bahagian 2 Pelaksanaan Model A.D.A.B Dalam Pendidikan TOPIK 1 Falsafah Asas Model A.D.A.B TOPIK 2 Integrasi Model A.D.A.B TOPIK 3 Peranan dan Fungsi Refleksi TOPIK 4 Isu-isu Semasa Adab TOPIK 5 Profesionalisme pensyarah berasas nilai TOPIK 6 Nilai-nilai utama dalam pengajaran dan pembelajaran TOPIK 7 Kajian kes -Isu-isu semasa berkaitan (Pelajar) TOPIK 5 Kajian Kes – Isu-isu semasa berkaitan (Pensyarah) Syed Muhammad Naquib al-Attas (2019). Risalah untuk Kaum Muslimin, Kuala Lumpur: Ta’dib International. 1
Modul Adab Dalam Pendidikan 8 MAKLUMAT MODUL MODUL ADAB DALAM PENDIDIKAN Reading List Dzulkifli Abdul Razak & Rosnani Hashim (pnyt.) 2020. Penafsiran Baharu Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Pelaksanaannya Pasca 2020. Gombak: IIUM Press. 2 Sayyid Muhammad Amir bin Idrus (2016). Kitab Adab Mencakup 50 Adab dalam 50 Keadaan. Indonesia: Pustaka Sheikh Abu Bakar bin Salim. 3 Mohd Kamal Hassan. 2021. The Malay Concept of Sejahtera from an Islamic Perspective. Gombak: IIUM Press. 4 Al-Attas, S.M. Naquib. 1991. The Concept of Education in Islam: A Framework for an Islamic Philosophy of Education. Kuala Lumpur: ISTAC. 5 Imam Nawawi (2017). Adab Pembaca Al-Quran, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd. 1 Other materials (links, etc) https://cidl.uitm.edu.my/CG-ADAB.php Haron Din (2010). Manusia dan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 2
Modul Adab Dalam Pendidikan 9 BAB 1 PROFESIONALISME PENSYARAH BERASASKAN NILAI 1.1 Pengenalan Pembinaan sebuah negara bangsa yang bertamadun dan berilmu sudah pastinya dimulai dengan suatu sistem pendidikan yang berkualiti dan bermutu. Perhatian utama dalam menghasilkan sistem pendidikan berkualiti ini adalah usaha berterusan dalam peningkatan tahap profesionalisme pensyarah yang berasaskan nilai. Suatu usaha yang dinamik, strategik dan komprehensif perlu digerakkan dalam memastikan hasrat murni ini tercapai. Peringkat kualiti tertinggi dan kecemerlangan dalam kalangan tenaga pendidik di institusi pendidikan tinggi akan memberikan impak langsung kepada para pelajar. Bab ini menjelaskan keperluan pembangunan profesionalisme pensyarah berasaskan nilai bagi membentuk insan dan warganegara yang baik. 1.2 Komponen Utama Peningkatan Profesionalisme Berasaskan Nilai Takrifan profesionalisme di dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga (1994) merujuk kepada kemampuan, kemahiran, cara pelaksanaan sesuatu perkara dan apa-apa yang sewajarnya pada seseorang profesional. Ia sangat berkait rapat dengan fungsi dan peranan pekerjaan seseorang bagi mencapai kecekapan, produktiviti, keberkesanan dan penyempurnaan tanggung jawab. Istilah nilai bermaksud suatu garis panduan umum terhadap tingkah laku suatu kelompok yang mempengaruhi pemilihan ragam, maksud dan segala tindakan sama ada secara tersurat mahupun tersirat. Nilai baik merujuk kepada sifat-sifat yang mencerminkan kejujuran, kesopanan, kepuasan hati, ketenangan, kesederhanaan dan kasih sayang. Selaras dengan perubahan ekonomi dan sosial dunia yang kian berkembang pesat, tahap profesionalisme para pensyarah ditingkatkan seiring dengan perkembangan dan keperluan arus globalisasi yang tidak dapat dielakkan. Apabila aspek profesionalisme pendidik tidak diambil perhatian serius, pelajar-pelajar yang bakal keluar dari sistem pendidikan akan terpinggir sama ada dari sudut akademiknya mahupun kompetensi kemahirannya. Justeru itu, setiap pensyarah perlu meningkatkan ilmu dan kemahiran agar mampu membangunkan potensi individu pelajar melalui pendidikan yang berkualiti. Komponen utama dalam peningkatan tahap profesionalisme berasaskan nilai seseorang pensyarah ialah karakter penyampai ilmu yang ikhlas dan ihsan, penjiwaan jiwa mendidik dalam diri pendidik, keupayaan mengaplikasikan ilmu pengetahuan, kemampuan membangunkan rohani, emosi dan intelektual para pelajar, gaya pengajaran pakar menerusi penggabungan kompetensi ilmu dan kemahiran serta pengamalan disiplin diri yang tinggi melalui penerapan etika pensyarah dan penjawat awam. 1.2.1 Karakter Penyampai Ilmu Ikhlas Dan Ihsan Tugas menyampaikan ilmu merupakan suatu tugas yang dipandang tinggi oleh masyarakat dan agama. Proses pembinaan insan sepanjang hayat dimulai dengan peranan yang dimainkan oleh Bab 1: Profesionalisme Pensyarah Berasaskan Nilai
Modul Adab Dalam Pendidikan 10 Bab 1: Profesionalisme Pensyarah Berasaskan Nilai golongan pendidik sepertimana yang telah dibuktikan dalam sejarah kehidupan manusia. Antara nilai diri unggul yang wujud dalam sanubari pendidik ialah sifat ikhlas. Semakin tinggi keikhlasan seorang dalam menyampaikan ilmu maka semakin tinggi kesan yang akan dapat dilihat pada diri para penuntutnya. Meskipun tidak mudah, setiap pendidik harus berusaha menjaga hati dan niatnya agar ikhlas dalam menyampaikan ilmu dan mendidik pelajar. Ikhlas merupakan amalan hati yang tidak dapat diketahui hakikat sebenarnya oleh orang lain. Hanya Tuhan yang dapat mengadili nilai ikhlas dalam hati seseorang insan. Namun begitu, tidak bermakna manusia tidak perlu mengambil kisah tentang keikhlasan diri masing-masing semasa melaksanakan tugas mendidik dan melakukannya secara ala kadar sahaja. Sikap yang menitikberatkan keikhlasan agar setiap amalan diterima oleh Allah SWT mendorong seseorang melakukan sesuatu pekerjaan pada tahap terbaik dan paling berkualiti sedaya mungkin. Di samping itu, sifat ikhlas menghindari rasa putus asa apabila berdepan dengan dugaan dan cabaran dalam melakukan tugas. Rasa putus asa ini akan mudah berlaku kepada mereka yang melaksanakan tugas semata-mata untuk mendapatkan perhatian dan pujian daripada orang lain termasuk para penuntutnya. Fokus semasa melakukan tugas yang tertumpu kepada mendapatkan keredhaan Tuhan dan kebaikan dari sisi-Nya menjadikan para pendidik bersifat terbuka dan positif serta menganggap rintangan dan halangan merupakan resam yang perlu dilalui oleh para pendidik. Kisah para nabi dan rasul yang menghadapi tentangan daripada kaum mereka memberi ibrah dan pengajaran bahawa tentangan dan ujian merupakan lumrah kehidupan. Justeru, sifat ikhlas dan ketaatan sepenuh jiwa hanya kepada Allah SWT wajar dijadikan bekal untuk terus melaksanakan tugas sebaiknya. Natijah atau buah yang terhasil daripada sifat mulia ini adalah ihsan. Ihsan melibatkan keyakinan bahawa setiap amalan dilihat oleh Allah SWT meskipun tidak dilihat oleh orang lain. Pendidik yang mempunyai nilai ihsan meyakini setiap usahanya dalam menyampaikan ilmu secara ikhlas dan bersungguh-sungguh pasti akan dihitung sebagai suatu kebajikan meskipun tidak dilihat oleh orang lain. Peringkat tertinggi ini boleh dicapai dengan niat yang benar dan usaha bersungguh-sungguh yang berterusan seawal penglibatan seseorang dalam bidang pendidikan ini. Dunia pendidikan yang penuh cabaran sememangnya menuntut seseorang pendidik mengorbankan banyak perkara termasuk kepentingan dirinya bagi memastikan ilmu dapat disampaikan dan mampu diaplikasikan oleh para pelajar pada masa akan datang. 1.2.2 Penjiwaan Jiwa Mendidik Pusat pengajian tinggi berperanan sebagai pusat kecemerlangan modal insan yang inovatif, kreatif dan memiliki peribadi unggul bagi menjamin kelestarian pembangunan dan kemajuan sesebuah negara. Jaminan ini digalas oleh warga pendidik yang menjadi penggerak dan pemacu utama dalam memastikan hasrat tersebut benar-benar berjaya direalisasikan. Sentuhan dari mereka yang bergelar pensyarah ini bukan sahaja dari sudut pemindahan maklumat, ilmu dan kemahiran kepada para pelajar bahkan jauh dari itu adalah membentuk jatidiri yang mampu menongkah pelbagai unsur negatif yang kian berkembang biak tanpa noktahnya. Oleh yang demikian, warga akademik di institusi pengajian tinggi perlu memiliki jiwa seorang pendidik yang tertanam di dalam diri mereka. Kefahaman berkaitan matlamat utama pendidikan adalah bagi mengubah tingkah laku manusia mesti jelas pada setiap pensyarah. Kejayaan akademik bukan hanya diukur kepada kecemerlangan pada subjek-subjek yang dihadiri menerusi siri kuliah dan penyelidikan di makmal-makmal bahkan sifat-sifat mulia sebagai seorang insan juga perlu turut mampu diterjemahkan di akhir setiap semester dan berterusan sehingga ke alam pekerjaan para pelajar itu kelak. Tenaga pengajar akademik yang memiliki jiwa pendidik akan cuba dari masa ke semasa menyentuh
Modul Adab Dalam Pendidikan 11 hati dan akal fikiran para pelajar pada setiap isi pengajaran yang disampaikan. Usaha tersebut bertujuan memberi kesan kepada para pelajar dan seterusnya menjadi amalan dalam kehidupan mereka sehari-hari. Keseimbangan perkembangan potensi diri para pelajar dari sudut jasmani, emosi, rohani dan intelek akan mudah dapat dicapai sekiranya mendapat bimbingan langsung daripada pensyarah mereka. Hal yang demikian kerana tempoh masa keberadaan mereka di kampus lebih lama berbanding daripada di persekitaran yang lain. Peluang yang terbuka luas ini sewajarnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pensyarah. Karisma seorang warga pendidik yang memiliki jiwa pendidik akan lebih terserlah lagi apabila mereka mampu menjadi rujukan utama dalam hal akademik dan sahsiah diri para pelajar. Meskipun perkara itu tidak dinyatakan langsung dalam objektif sesuatu pelajaran di dalam manual akademik yang disediakan oleh pihak pengajian tinggi, namun bagi pensyarah yang dapat benar-benar menyelami tanggungjawab dan amanah yang sedang digalas pasti akan menyedari keperluan penerapan nilai yang baik kepada para pelajarnya. 1.2.3 Keupayaan Mengaplikasikan Ilmu Pengetahuan Sistem pendidikan di negara ini diiktiraf sebagai antara yang terbaik dalam kalangan negara dunia ketiga pada masa ini. Sasaran seterusnya adalah melahirkan masyarakat yang saintifik, dinamik dan progresif menerusi penggunaaan teknologi dan kemajuan terkini. Pendokong utama kepada sasaran ini pastinya adalah modal insan yang bakal dilahirkan daripada institusi pengajian tinggi yang dibimbing oleh para pendidik yang memiliki kemampuan dan keupayaan mengaplikasikan ilmu pengetahuan. Warga pendidik yang memiliki kebolehan mengaplikasikan ilmu pengetahuan mampu membawa dan membentuk para pelajar untuk berfikir secara kreatif dan kritis. Latar belakang pelajar yang pelbagai dan tahap kebolehan berfikir serta menaakul yang berbeza seharusnya dipandu secara menyeluruh bagi memastikan tiada yang ketinggalan dari arus perdana pada masa kini. Corak pemikiran yang kurang kreatif dan kritis akan membawa para pelajar kepada kelemahan dalam menguji kebenaran sesuatu masalah yang akhirnya membawa kepada kesilapan dalam membuat kesimpulan dan keputusan. Para pensyarah perlu terus menggalakkan para pelajar untuk berfikir menerusi pelbagai pendekatan dan startegi bagi memastikan mereka tidak hanya menunggu diberikan isi pelajaran yang terkandung di dalam sukatan pelajaran asal tanpa berusaha lebih sedikit untuk berfikir secara kreatif dan kritis. Seterusnya, kebolehan mengaplikasikan ilmu pengetahuan dalam kalangan pensyarah institusi pengajian tinggi turut mampu mendorong para pelajar meneroka idea-idea yang baru. Manfaat ini terhasil menerusi kaedah memanipulasi pengalaman sebenar mereka dilapangan dan isi pelajaran yang disampaikan oleh pensyarah. Idea-idea baru ni juga bakal membantu mereka membentuk konsep baharu yang mungkin belum ditemui sebelum daripada ini. Kemungkinan cetusan fikiran ini belum dibuktikan lagi kebolehgunaannya pada masa hadapan namun idea tersebut sangat bernilai dalam meransang daya keintelektualan dan pemikiran mereka. Dengan itu, pelajar mampu mencipta dan tidak hanya menjadi pengguna kepada ciptaan-ciptaan yang telah direka dan seterusnya memberikan manfaat tersebut kepada masyarakat dan dunia. 1.2.4 Kemampuan Membangunkan Rohani, Emosi Dan Intelektual Sepertimana yang telah dimaklumi sebelum ini, amanah seorang pesyarah bukan sekadar menyampaikan isi kandungan pelajaran menerusi sesi pengkuliahan, penyelidikan, jaringan industri dan inovasi, malah pensyarah turut menggalas peranan membentuk dan membangunkan rohani dalaman para pelajar, emosi dan juga intelektual mereka. Pembangunan unsur yang terunik dan tidak Bab 1: Profesionalisme Pensyarah Berasaskan Nilai
Modul Adab Dalam Pendidikan 12 mampu dilihat menerusi pancaindera ini merupakan antara perkara yang sukar untuk dilaksanakan kerana melibatkan jiwa, mental, hati dan fikiran para pelajar. Konsistensi daripada para pensyarah adalah perkara terpenting dalam usaha pembangunan ini kerana ia sesuatu yang berlawanan dengan unsur jasmani yang boleh diukur dengan mudah. Sahsiah diri yang dilengkapi dengan sifat-sifat terpuji seperti jujur, benar, kesopanan, ikhlas dan seumpamanya akan berjaya dilahirkan dari rohani yang baik. Para pensyarah perlu menerapkan ke dalam diri pelajar kesedaran kewujudan Pencipta yang senantiasa memerhatikan tingkah laku mereka. Pensyarah juga berperanan memberikan kesedaran mengenai kepentingan mensyukuri dan menghargai setiap pemberian yang dikurniakan Pencipta dan memupuk rasa keinsafan yang mendalam tentang pentingnya menghiasi diri dengan akhlak mulia. Dari sudut kesihatan dan kecerdasan emosi pula, pensyarah perlu memastikan para pelajar mampu menstabilkan diri ketika berhadapan dengan pelbagai situasi yang mencabar. Aspek keseimbangan emosi sama pentingnya dengan kecerdasan intelektual para pelajar. Justeru para pensyarah perlu mempertingkatkan tahap profesionalisme dengan menguasai kaedah dan teknik pembangunan emosi para pelajar bagi memandu pelajar mencapai emosi yang sejahtera 1.2.5 Penggabungan Kompetensi Ilmu Dan Kemahiran Antara perkara asas yang perlu disedari oleh warga pendidik di peringkat pengajian tinggi adalah mereka menyampaikan ilmu kepada suatu kelompok orang dewasa yang berbeza dengan muridmurid di peringkat sekolah kerana mereka telah mencapai usia 18 tahun dan ke atas. Meskipun tahap kematangan belum sempurna seperti orang dewasa yang berusia daripada mereka namun mereka sudah mampu untuk membuat keputusan di dalam sesuatu perkara dan lebih terarah kepada kendiri (self-directed). Oleh yang demikian corak dan gaya pembelajaran sewajarnya berbeza daripada pendekatan yang telah diguna pakai diperingkat sekolah menengah mahupun rendah. Gaya pengajaran dan pendekatan yang digunakan oleh seseorang pensyarah memberi impak yang besar kepada para pelajar. Terutama pada zaman digital, media sosial dan teknologi yang kian berkembang pada masa kini. Penguasaan kepada teknik-teknik pengajaran yang terkini perlu senantiasa menjadi perhatian utama para pensyarah bagi memastikan pelajar dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran secara lebih efisien. Kaedah pasif yang hanya menggunakan teknik syarahan daripada permulaan hingga akhir kuliah perlu dihindari. Para pelajar perlulah dilibatkan sama menerusi simulasi, tugasan berkumpulan, pembentangan dan mengetuai perbincangan dalam penyelesaian sesuatu masalah. Kepelbagaian gaya pembelajaran ini akan memberikan pengalaman yang pelbagai bagi memudahkan mereka mencerap isi kandungan pengajaran yang cuba disampaikan oleh pesyarah mereka. Meskipun tiada satu pun model gaya pengajaran yang boleh diiktiraf sebagai yang terbaik namun sebahagian besar darinya adalah menggunakan strategi penggabungan kompetensi ilmu dan kemahiran. Penggabungan ini berupaya memudahkan para pelajar mengadaptasi maklumat-maklumat baru yang diterima daripada para pensyarah. Kaedah ini turut boleh diterapkan dari sudut penyelidikan mahupun penyeliaan kepada para pelajar. Kebolehan para ahli akademik dalam menyampaikan ilmu secara lebih berkesan dan menyeronokkan amat diharapkan dalam usaha peningkatan tahap profesionalisme warga pendidik di institusi pengajian tinggi. Bab 1: Profesionalisme Pensyarah Berasaskan Nilai
Modul Adab Dalam Pendidikan 13 1.3 Penutup Bab ini menjelaskan profesionalisme pensyarah yang berteraskan nilai. Selaku pendidik di peringkat pengajian tinggi, nilai ikhlas, ihsan dan berilmu perlu bersebati dalam diri pensyarah sebagai satu usaha menjayakan proses pendidikan. Pelajar memperoleh nilai dalam diri dengan melihat contoh yang ditunjukkan oleh para pensyarah. Selain mempertajamkan ilmu dan kemahiran dalam bidang, pensyarah juga memerlukan kompetensi dalam penghayatan nilai dan kemahiran menerapkannya dalam diri pelajar. Dalam masa yang sama, atas nilai tanggungjawab dan ingin berbakti kepada umat, pensyarah juga perlu sentiasa memperbaharui ilmu dan pendekatan pengajaran sesuai dengan keperluan semasa bagi meningkatkan profesionalisme dari masa ke masa. Dengan penghayatan nilai, kerjaya sebagai pensyarah bukan sahaja menjadi satu bidang profesional tetapi juga menjadi wadah memperolehi keberkatan dalam hidup dan pahala berterusan di akhirat. Bab 1: Profesionalisme Pensyarah Berasaskan Nilai
Modul Adab Dalam Pendidikan 14 Bab 2: Nilai-Nilai Utama Dalam Pengajaran BAB 2 NILAI-NILAI UTAMA DALAM PENGAJARAN 2.1 Pengenalan Berdasarkan rukun negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, terdapat 16 nilai murni yang digariskan iaitu baik hati, berdikari, berhemah tinggi, hormat-menghormati, berkasih sayang, keadilan, kebebasan, keberanian, kebersihan fizikal dan mental, kejujuran, kerajinan, kerjasama, kesederhanaan, kesyukuran, rasional dan semangat bermasyarakat. Nilai murni yang digariskan merangkumi hubungan dengan Tuhan, diri, masyarakat dan alam. Dalam perlaksanaan model A.D.A.B. di UiTM, tiga nilai utama yang menjadi fokus ialah nilai bertuhan, nilai beragama dan nilai berbuat kebaikan ataupun berbakti. Ketiga-tiga nilai ini merangkumi hubungan seseorang manusia dengan Tuhan, dirinya sendiri serta masyarakat dan alam sekitar. Pembentukan warganegara yang berilmu, harmonis dan seimbang serta berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri dan menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara seperti yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dapat terealisasi apabila tiga nilai ini, diberi penekanan. Penerapannya secara bertujuan dan sedar sangat penting dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Penerapan tiga nilai ini turut boleh dilakukan secara merentas kurikulum dan merentas bidang. 2.2 Nilai Bertuhan Nilai bertuhan merupakan asas pembentukan nilai-nilai murni yang lain. Keyakinan kepada Tuhan menyuluh manusia tentang asal usul diri, peranan yang perlu dilaksanakan di muka bumi serta matlamat akhir yang ingin dicapai dalam kehidupan selepas mati. Dalam menjelaskan kandungan kursus dan melaksanakan aktiviti pengajaran bersama pelajar, pensyarah perlu menyemai ataupun mengukuhkan lagi keyakinan pelajar tentang kewujudan dan kekuasaan Tuhan yang menciptakan manusia dan seluruh alam. Berdasarkan keyakinan setiap ilmu adalah bersumberkan Tuhan Yang Maha Mengetahui, maka, setiap ilmu juga dapat menyingkap bukti kewujudan dan kebesaran-Nya. Pensyarah boleh membantu membina keyakinan tersebut dengan merangsang pemikiran pelajar untuk merenung hikmah setiap kejadian alam yang ditemui dalam bidang pengajaran masing-masing (Malik Badri, 1999, Mohd Zaidi, 2019). Kesedaran mengenai kebesaran dan keagongan Tuhan ini mengukuhkan lagi keyakinan mengenai kasih sayang Tuhan kepada diri, manusia dan seluruh alam. Keyakinan tersebut membawa kepada ketundukan dan ketaatan menjalankan segala suruhan-Nya dengan penuh sedar dan sukarela. Nilai bertuhan memberi kesedaran mengenai hakikat hidup di dunia sebagai amanah dan anugerah daripada Tuhan untuk mengenali keagongan-Nya dan menyebarkan kasih sayang kepada sesama makhluk. Kesedaran mengenai keagongan Tuhan dan kasih sayang-Nya ini membangkitkan rasa syukur dalam diri (Mohd Kamal, 2021). Rasa syukur pula dapat membangkitkan semangat untuk melaksanakan amanah dengan lebih bersungguh-
Modul Adab Dalam Pendidikan Bab 2: Nilai-Nilai Utama Dalam Pengajaran 15 sungguh agar kebaikan dan kesejahteraan dapat dinikmati oleh orang lain juga. Apabila berlaku ujianujian hidup yang berbentuk kesusahan, kesedihan mahupun kesempitan, individu yang mempunyai nilai bertuhan tidak mudah bersikap negatif atau berputus asa. Keyakinan kepada Tuhan Yang Maha Penyayang dan Maha Mendengar membina sifat sabar dan bertahan dalam menghadapi ujian. Nilai bertuhan juga berperanan untuk mengekang kecenderungan buruk dalam diri manusia seperti menipu, marah, tamak, hasad dan sombong (Amilah, 2014). Penghayatan nilai bertuhan dalam diri bukan sahaja mendorong nilainilai murni yang lain seperti syukur, gigih menuntut ilmu, sabar dan toleransi tetapi juga dapat memastikan rohani dan emosi yang sihat. 2.3 Beragama Nilai beragama merupakan lanjutan dari nilai bertuhan. Keyakinan kepada Tuhan yang terletak di hati, memerlukan pembuktian dalam tingkah laku dan amalan seharian. Agama memberi asas dan panduan yang kukuh mengenai etika dalam menjalani kehidupan. Nilai baik dan buruk dapat dibezakan dengan jelas apabila setiap individu dalam masyarakat memegang nilai beragama secara bersungguh-sungguh. Meskipun ajaran dan prinsip beragama berbeza tentang konsep ketuhanan dan aspek kepercayaan, namun secara umumnya, setiap agama mempunyai asas penentuan nilai baik dan buruk yang boleh diterima secara universal. Sikap terbuka, saling menghormati, berlemah lembut, menghormati ibubapa dan guru merupakan antara nilai yang diajar dalam semua agama. Penghayatan nilai beragama menjadikan perbezaan kepercayaan, nilai dan budaya sesama anggota masyarakat majmuk pendorong kepada semangat muhibah dan perpaduan. Dalam kata lain, perbezaan beragama bukan alasan untuk membiarkan perpecahan dan kebencian sesama anggota masyarakat berlaku (Zaharah et al., 2017). Nilai beragama mendorong sikap menghargai diri, masyarakat dan alam. Sikap berbuat zalim kepada diri mahupun orang lain dan alam ditegah oleh agama kerana mendatangkan kemudaratan tersebut akan berbalik kepada kepada diri sendiri. Secara asasnya, agama berperanan memberi garis panduan agar seseorang itu memahami makna kewujudan dirinya serta hidup saling bekerjasama dan harmoni antara satu sama lain (Dzulkifli, 2021). Dalam masa yang sama, nilai beragama dapat memagari individu dari pengaruh nilai Barat yang membawa kepada kebebasan tanpa batas, pengagungan terhadap material yang keterlaluan dan sikap individualistik. Nilai Barat yang meminggirkan agama dan aspek ketuhanan masuk bersekali dengan ilmu sains dan teknologi serta jaringan internet menjadi satu cabaran pembentukan nilai generasi hari ini. Pengaruh nilai Barat pasca-modenisme membawa arus yang bertentangan dengan nilai budaya dan tradisi masyarakat Malaysia yang menghargai nilai kerohanian, kesopanan, kelembutan, kemanusiaan, kepelbagaian dan keharmonian. Justeru, para pensyarah perlu sentiasa mengingatkan pelajar mengenai identiti rakyat Malaysia yang dipacu oleh nilai bertuhan dan beragama agar nilai Barat yang memudaratkan dapat disaring dalam sistem kehidupan individu dan masyarakat Malaysia (Noor Hisham, 2015, Dzulkifli, 2021). Nilai beragama yang dimaksudkan di sini juga tidak terhad kepada aspek ritual dalam agama. Sebaliknya nilai agama ini menyemarakkan penghayatan semua nilai baik dalam setiap aspek kehidupan. Bekerja mencari nafkah, melakukan tugas dalam kerjaya, bersukan, terlibat dalam kegiatan kesukarelawanan atau apa sahaja aktiviti yang bermanfaat dan selari dengan panduan agama dikira sebagai satu amalan mulia di sisi Tuhan. 2.4 Nilai Berbakti Ilmu yang dipelajari menjadi bermanfaat apabila ilmu tersebut diamalkan dan digunakan untuk kesejahteraan masyarakat. Keyakinan terhadap Tuhan dan ketaatan beragama membawa manusia untuk
Modul Adab Dalam Pendidikan 16 turut meyakini bahawa dunia ini ialah tempat untuk berbakti. Peranan manusia sebagai khalifah adalah untuk memakmurkan alam. Manusia bertanggung jawab berusaha membawa keamanan dan kesejahteraan kepada semua penghuni bumi sama ada manusia, haiwan atau tumbuhan. Hubungan simbiosis antara manusia dan alam menunjukkan hubungan saling bergantung dari sudut manusia sebagai pengurus alam dan alam pula diciptakan oleh Tuhan sebagai sumber kehidupan untuk manusia (Mohd Kamal, 2021). Sebarang kebaikan yang diberikan kepada orang lain dan alam akan berbalik kepada diri sendiri memandangkan manusia merupakan makhluk sosial yang saling terhubung. Begitu juga sebaliknya. Oleh demikian, nilai berbakti menggesa semua individu untuk mengenali kekuatan diri dan memanfaatkan minat dalam bidang yang diceburi untuk menyebarkan kasih sayang dan kebaikan kepada sesama manusia, tanpa mengira warna kulit, bangsa, agama dan budaya (Dzulkiflim 2021).. Berbakti dan menyebarkan kebaikan kepada makhluk Tuhan merupakan salah satu cara bersyukur kepada-Nya. Kesyukuran membawa kerahmatan dan keberkatan kepada diri sendiri, masyarakat, negara dan dunia secara amnya. Nilai berbakti yang ditunjangi dengan nilai bertuhan dan beragama ini meluruskan cara pandang seseorang tentang ukuran kejayaan. Kejayaan sebenar yang dikehendaki terletak pada manfaat dan kebaikan yang diberikan pada manusia dan alam. Harta dan kedudukan menjadi bermanfaat apabila kedua-duanya digunakan untuk berbakti kepada orang lain mengikut jalan yang dibenarkan oleh Tuhan dan agama. Berteraskan nilai berbakti ini lahir nilai murni yang lain seperti empati, tolong-menolong, rajin, bekerjasama, bertoleransi dan bertolak ansur (Ahmad Munawar & Kamarul Azmi, 2016). Dengan penghayatan nilainilai ini, keharmonian antara masyarakat dapat dicapai dan dinikmati bersama. 2.5 Budaya Pembelajaran Saling Menghormati Tiga nilai yang dijelaskan dipilih menjadi teras untuk membentuk budaya pembelajaran saling menghormati (respective learning culture) di UiTM. Budaya pembelajaran yang bersifat saling menghormati membuka kepada ruang percambahan ilmu dan idea dengan lebih berkesan lagi. Persekitaran yang mendorong perkongsian sesama pelajar dan pensyarah bukan sahaja menjadi satu bentuk budaya ilmu yang wajar didokong oleh warga universiti, tetapi juga merangsang perkembangan intelektual dan kreativiti setiap ahli dalam kelompok tersebut. Kesannya, penemuan baru yang lebih baik akan sentiasa dapat dijana bagi menyelesaikan isu atau permasalahan yang berlaku dalam masyarakat. Dalam berurusan dengan ilmu, sama ada di sisi pensyarah mahupun pelajar, terdapat adab-adab yang perlu dijaga oleh kedua-dua belah pihak. Antara adab yang paling mustahak untuk diamalkan ialah adab dengan Tuhan, diri sendiri, ilmu dan guru. Selaku hamba Tuhan yang dijadikan dalam keadaan tidak mengetahui apapun, manusia perlu merendah diri dan memohon ilmu daripada Tuhan. Tuhan adalah sumber Ilmu yang paling tinggi. Malah, setiap kebenaran adalah daripada Tuhan kerana Dialah Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Setiap ilmu merupakan bukti kekuasaan-Nya untuk manusia mengenali dan mencintai-Nya. Hakikat ini membawa manusia untuk sentiasa meluruskan niat dan ikhlas menuntut ilmu bagi mendapatkan restu dan keredhaan Tuhan. Niat yang baik akan melorongkan segala usaha menuntut ilmu secara konsisten meskipun berdepan dengan kesukaran dan kepayahan. Sikap tidak berputus asa dalam menuntut ilmu juga merupakan satu bentuk kesyukuran kerana izin-Nya yang memberi nikmat akal yang sihat dan peluang untuk melanjutkan pengajian (Mohd Zaidi, 2019). Selain itu, dalam berurusan dengan diri sendiri yang mempunyai unsur roh dan jasad, penuntut dan pengajar ilmu perlu menyedari bahawa tempat letak ilmu adalah di roh. Setiap manusia memiliki kapasiti roh dan jasad yang berbeza-beza. Perbezaan ini dijadikan oleh Tuhan agar manusia saling mengenali dan melihat kebesaran Tuhan Yang Maha Berkuasa. Justeru, sebagai salah satu adab dengan diri, seseorang individu perlu menerima dirinya sepenuh hati. Setiap kekuatan diri sama ada dalam bentuk ilmu, kemahiran dan Bab 2: Nilai-Nilai Utama Dalam Pengajaran
Modul Adab Dalam Pendidikan 17 sikap positif diri perlu diperkukuhkan agar dapat digunakan sebaiknya semasa menjalankan peranan dan tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah Tuhan. Segala kelemahan diri pula harus diperbaiki dari masa ke masa dengan terus melakukan muhasabah, menuntut ilmu dan bergaul dengan orang yang lebih baik agar dapat mencontohi mereka. Amalan tersebut menjadi satu bentuk usaha untuk mencintai dan menghayati ilmu lantaran ilmu ialah asas setiap kebaikan (Muhammad Hasanul Arifin, 2019). Dengan ilmu juga, seseorang dapat menetapkan matlamat diri dan makna hidup dengan lebih tepat. Perkara ini dapat mengatasi nilai neo-liberalisme yang menyebabkan fokus menuntut ilmu hanya pada mendapatkan pekerjaan yang menawarkan gaji tinggi. Ukuran kejayaan pula bersandar kepada jumlah keuntungan atau perolehan dari sudut material. Matlamat hidup yang tepat menjadikan usaha yang dilaksanakan bukan sahaja untuk memenuhi keperluan diri di dunia tetapi juga di akhirat. Kebaikan dan manfaat dari ilmu yang dipelajari juga dapat disebarkan kepada masyarakat dan dunia (Mohd Kamal, 2021). Memandangkan jentera yang paling utama dalam menuntut ilmu dan menggapai kebenaran ialah akal dan hati, setiap penuntut ilmu wajar menjaga dirinya dari perkara yang mengotorkan lagi memudaratkan kesejahteraan akal dan hati. Segala tutur kata dan perilaku yang tidak baik serta emosi negatif dijauhi supaya tidak menjadi penghalang mendapatkan ilham yang baik dan ilmu yang benar. Dalam masa yang sama, hak jasad untuk mendapatkan makanan yang baik, rehat yang mencukupi dan yang paling penting pelaksanaan ibadah yang mempunyai kesan positif dalam jiwa dan badan ditunaikan dengan sebaik mungkin (Dzulkifli, 2021). Selanjutnya, dalam mengamalkan adab dengan ilmu, setiap penuntut ilmu tidak wajar meremehkan manamana ilmu. Meskipun setiap bidang ilmu mempunyai hierarki tersendiri, yakni ilmu fardhu ain yang lebih tinggi daripada ilmu fardhu kifayah, namun setiap ilmu mempunyai kepentingan dan fungsinya yang tersendiri. Selagi mana ilmu tersebut dituntut dengan niat yang ikhlas serta dipandu dengan ilmu fardhu ain, maka setiap ilmu adalah bermanfaat dan harus dihormati. Kedudukan ilmu yang mulia sebagai bukti kepada kewujudan dan kebijaksanaan Tuhan menghindarkan setiap penuntut ilmu dari berasa malas dan sebarang perkara yang memberi kesan negatif kepada ilmu (Mohd Zaidi, 2019). Selanjutnya, antara adab dengan ilmu juga ialah bertindak sesuai dengan ilmu. Ilmu dan amal perlu diusahakan agar selari. Sikap bersungguh-sungguh mendalami ilmu dan memberi fokus sebaik mungkin terhadap keperluan pelajaran adalah sesuatu yang perlu diamalkan dalam kehidupan seseorang pelajar. Secara ringkasnya penuntut ilmu harus menjaga kebersihan dan kesihatan rohani, jiwa, mental dan fizikal (Muhammad Hasanul Arifin, 2019). . Dalam menjelaskan adab dengan guru, kedudukan guru yang mulia diterima dalam tradisi masyarakat yang bertamadun. Guru berjasa menghilangkan kejahilan dan membentuk peribadi yang sempurna. Justeru, mentaati guru dengan ikhlas merupakan salah satu adab yang wajar dijaga oleh setiap pelajar. Sekiranya wujud perbezaan pandangan dengan guru, pandangan perlu dinyatakan dengan hormat dan penuh hemah. Ketaatan pada guru tidak juga bermaksud mendorong sikap mengikut tanpa berfikir (taqlid). Perbincangan secara kritis terhadap idea atau kandungan pelajaran diperlukan untuk menajamkan pemikiran dan menjernihkan kefahaman. Namun perbezaan tersebut harus dipasakkan kepada sikap jujur mencari kebenaran dan bukan untuk menunjukkan sikap degil atau rasa lebih baik daripada guru (Mohd Zaidi, 2019). Segala kelemahan dan kekurangan guru perlu dihadapi dengan sabar kerana guru juga merupakan manusia biasa. Tindak tanduk guru yang kurang difahami perlu diamati dengan fikiran yang bersangka baik atau meminta penjelasan dengan cara terbaik. Ketinggian kedudukan ilmu yang diberikan oleh Tuhan kepada para guru menjadikan guru sebagai pihak yang layak dihormati demi mencapai keredhaan dan keberkatan ilmu daripada Tuhan. Dengan mendoakan guru dan menghargai jasa mereka, pintu-pintu kebaikan akan dibuka kepada penuntut ilmu. Di samping itu, apabila diminta memberikan maklum balas, pelajar perlu Bab 2: Nilai-Nilai Utama Dalam Pengajaran
Modul Adab Dalam Pendidikan 18 melakukannya dengan berhemah agar tidak menyakiti guru dan mengundang ketidakselesaan kepada pelajar lain (Muhammad Hasanul Arifin, 2019). 2.6 Penutup Penghayatan dan pengamalan nilai-nilai utama yang dinyatakan di atas memberi kesan dalam pembinaan diri sebagai ilmuwan yang beradab. Ilmuwan beradab yang memiliki nilai bertuhan, beragama dan berbuat kebaikan merupakan manusia yang berpegang kepada kebenaran, menggunakan ilmu dengan cara yang betul dan dapat menjadi contoh teladan kepada masyarakat. Kehadiran ilmuwan beradab dalam masyarakat membuka ruang kebaikan yang berterusan dalam masyarakat tersebut. Semakin ramai ilmuwan yang beradab maka akan semakin bersemaraklah kasih sayang, kemajuan dan kesejahteraan dalam kalangan penduduk bumi. Bab 2: Nilai-Nilai Utama Dalam Pengajaran
Modul Adab Dalam Pendidikan Bab 3: Kajian Kes: Isu-Isu Semasa Berkaitan Pelajar 19 BAB 3 KAJIAN KES: ISU-ISU SEMASA BERKAITAN PELAJAR 3.1 Pengenalan Bab tiga mengandungi kompilasi penulisan berkaitan isu adab dalam kalangan pelajar di Malaysia. Kesemua penulisan ini membuktikan wujudnya permasalahan “loss of adab” seperti yang pernah dirungkai oleh Profesor Naquib al-Attas dalam penulisan-penulisan beliau yang lepas. Penulisan ini akan digunakan dalam aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) seperti yang telah disediakan dibawah. 3.2 Latihan Dalam Kumpulan (LDK) 3.2.1 LDK: Kajian Kes 1 Melalui sesi LDK ini, • Peserta dapat mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan sikap berpandukan aktiviti kajian kes. • Peserta dapat mengenalpasti isu dan kaedah penyelesaian berkaitan adab berdasarkan aktiviti seperti di bawah: (i) Analisa satu kajian kes yang menerangkan tentang isu kehilangan adab. (ii) Tulis nota ringkas tentang isu yang dibincangkan daripada setiap kajian kes. (iii) Bincangkan cara untuk menyelesaikan isu di dalam setiap kajian kes. (iv) Bentang hasil kajian daripada kajian kes yang dibincangkan Pengarang: Hanneeyzah Bariah Baharin Tarikh Terbit: Oktober 15, 2019 Alamat URL: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/10/617960/mahasiswa-kena- beradab Mahasiswa Kena Beradab KUALA TERENGGANU: Tindakan seorang graduan Universiti Malaya (UM) menggesa pengunduran Naib Canselornya di pentas konvokesyen adalah biadap terhadap guru. Menyifatkan perbuatan itu memalukan semua pihak, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh, berkata mahasiswa yang berilmu perlu mempamerkan adab. Malah, ia adalah gambaran pemahaman salah terhadap konsep pemerkasaan pelajar dalam era Malaysia Baharu. “Sedarlah, adab adalah tonggak mahasiswa cemerlang dan pemerkasaan pelajar tidak akan bermakna
Modul Adab Dalam Pendidikan 20 Bab 3: Kajian Kes: Isu-Isu Semasa Berkaitan Pelajar kepada mana-mana pihak dengan kelakuan pelajar yang biadap, sombong, jelek dan tiada harga diri. “Mahasiswa yang hebat akan sentiasa menzahirkan adab dan akhlak terpuji. Mahasiswa harus sentiasa belajar untuk menanam dan mempamerkan semua adab yang baik dalam diri masingmasing. “Mana mungkin mahasiswa yang mengatakan mereka adalah cemerlang, sebaliknya bersikap sombong dengan orang lain lebih-lebih lagi kepada guru atau semua pihak yang membantu mengasah bakat dan keupayaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. Jelas Mohd Afandi, adalah tidak munasabah mahasiswa yang hebat mengajak kepada perkara keburukan dan permusuhan. “Sikap tercela ini perlu dijauhi dan mahasiswa perlu berlumba-lumba melakukan kebaikan supaya tertanam dalam diri sifat terpuji dan dikagumi masyarakat,” katanya. Semalam, seorang graduan kejuruteraan awam mengeluar dan menayangkan plakad tertera frasa ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ sambil melaungkan perkataan itu serta menjerit ‘Ini Tanah Malaysia’ sejurus menerima skrol ijazahnya pada Istiadat Konvokesyen UM Kali Ke-59. Susulan insiden itu yang tular di laman sosial, UM membuat laporan polis terhadap seorang graduannya yang dikatakan berkelakuan biadap dan tidak dapat diterima sama sekali, ketika menerima ijazah di pentas sidang konvokesyen berkenaan. Mohd Afandi berkata, Falsafah Pendidikan Negara adalah satu usaha berterusan dari sekolah rendah hingga ke universiti ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu. “Ia untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. “Universiti adalah sebuah institusi yang berfungsi untuk melahirkan insan cemerlang. Mahasiswa yang memiliki intelektual cemerlang perlu memiliki sifat insani hebat supaya dapat memberi manfaat untuk diri sendiri dan orang lain. “Selain itu, mahasiswa yang cemerlang perlu memiliki ilmu, berketerampilan sebagai orang berilmu, beradab dan berakhlak, serta sentiasa bertanggungjawab atas ilmunya untuk diri dan orang lain.
Modul Adab Dalam Pendidikan 21 3.2.2 LDK: Kajian Kes 2 Melalui sesi LDK ini, • Peserta dapat mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan sikap berpandukan aktiviti kajian kes. • Peserta dapat mengenalpasti isu dan kaedah penyelesaian berkaitan adab berdasarkan aktiviti seperti di bawah: (i) Analisa satu kajian kes yang menerangkan tentang isu kehilangan adab. (ii) Tulis nota ringkas tentang isu yang dibincangkan daripada setiap kajian kes. (iii) Bincangkan cara untuk menyelesaikan isu di dalam setiap kajian kes. (iv) Bentang hasil kajian daripada kajian kes yang dibincangkan Pengarang: Nurulisyazila Othaman Tarikh Terbit: Mei 17, 2020 Alamat URL: https://news.uthm.edu.my/ms/2020/05/adab-dengan-guru-yang-semakin-dilupakan/ Adab dengan Guru yang Semakin Dilupakan Guru umpama lilin yang membakar diri demi menerangi orang lain. Maksud peribahasa ini adalah seorang guru sanggup berkorban masa dan tenaga demi memastikan anak didiknya berjaya dalam kehidupan. Namun seringkali kita melihat kisah-kisah duka seperti pelajar melawan cakap gurunya, guru dikhianati pelajar dek kerana dendam dan masalah akhlak yang agak merunsingkan di dada-dada akhbar dan media sosial. Ramai orang berilmu tetapi mereka tidak mementingkan adab sebagai penuntut ilmu. Walaupun begitu, jarang sekali guru berputus asa dalam memberi didikan terbaik kepada anak bangsa. Islam mengajar kita supaya menghormati guru sepertimana kita menghormati ibu bapa kerana guru umpama pengganti kedua orang tua kita ketika di sekolah ataupun di tempat-tempat menuntut ilmu. Ini kerana ilmu yang dituntut dengan adab yang dipelihara adalah ilmu yang di dalamnya penuh dengan keberkatan. Pesan Imam Malik RA: “pelajarilah adab sebelum mempelajari sesuatu ilmu” jelas menunjukkan bahawa bukan sahaja ilmu penting dalam kehidupan manusia, tetapi adab juga penting dalam proses menuntut ilmu. Ilmu bersama adab pastinya akan memberi lebih keberkatan dalam hidup seseorang. Antara adab terhadap guru yang boleh kita amalkan adalah dengan budaya yang paling mudah iaitu memberi salam. Selain dapat mewujudkan sikap hormat menghormati antara murid dengan guru, salam juga adalah sunnah baginda Rasulullah SAW untuk merapatkan lagi hubungan persaudaraan. Selain itu, ketika guru sedang menyampaikan ilmu di hadapan kelas, sebagai pelajar kita perlu memberi perhatian sepenuhnya. Elakkan berbual-bual tentang perkara yang tidak berkaitan dengan rakan di sebelah mahupun leka melayari media sosial atau permainan pada telefon pintar. Sikap ini menyebabkan kita mungkin tidak dapat memahami atau tertinggal isi-isi penting yang sedang disampaikan oleh guru kita. Elakkan membantah teguran dan nasihat yang diberikan oleh guru. Sikap ini seolah-olah melawan kata-kata ibu bapa kita. Pastinya setiap teguran dan nasihat itu membawa kebaikan kepada kita semua. Namun begitu, guru juga insan biasa yang tidak sempurna. Jika ada yang perlu ditegur Bab 3: Kajian Kes: Isu-Isu Semasa Berkaitan Pelajar
Modul Adab Dalam Pendidikan 22 dalam proses sesi pengajarannya untuk penambahbaikan di masa akan datang, pelajar-pelajar boleh menyalurkannya dengan menggunakan medium yang betul. Kerana itu juga, kita dapati kebanyakkan tempat-tempat pengajian ilmu menyediakan satu medium atau platform khas untuk cadangan dan penambahbaikan sesi pengajaran dan pembelajaran. Elakkan menggunakan media sosial sebagai tempat untuk menulis bagi menghina dan mengecam guru-guru sekiranya tidak bersetuju dengan caranya kerana ia bukan sahaja tidak memberi sebarang faedah dan kebaikan, namun dianggap seperti mengumpat, mengaibkan dan memburukkan guru-guru kita. Sudah pasti keberkatan dalam menuntut ilmu itu akan hilang. Mungkin juga keberkatan itu tidak kita sedari pada ketika ini, namun kesannya akan dirasai pada masa akan datang. Selain itu, kita juga digalakkan untuk mendoakan guru-guru kita dengan doa-doa yang baik. Sesungguhnya setiap doa yang baik akan kembali kepada pendoanya. Tidak rugi jika kita mendoakan orang lain kerana doa juga merupakan hadiah terbaik buat semua orang termasuk guru-guru kita. Tanggal 16 Mei merupakan tarikh yang memberi banyak makna kepada semua para pendidik tidak kira di mana jua mereka berada dan siapa yang mereka didik. Sambutan ini tidak terbatas kepada guru di sekolah tetapi kepada semua yang bergelar pendidik termasuk jurulatih, pengajar dan pensyarah. Mereka ibu bapa kedua bagi setiap pelajar ketika di sekolah, universiti atau setiap pusatpusat latihan. Hari ini, setiap pendidik merupakan tulang belakang para pelajar dalam menghadapi cabaran dunia semakin mencabar. Penulis ingin mengajak semua untuk bersama-sama mendoakan agar guru-guru kita sentiasa dilimpahi rahmah dan kesejahteraan selalu. Peliharalah adab antara pelajar dan guru dalam mencari keberkatan ketika menuntut ilmu. Bagi guru-guru pula, jangan berhenti untuk terus mendoakan kejayaan pelajar-pelajar. Terima kasih guru. 3.2.3 Kajian Kes 3 Melalui sesi LDK ini, • Peserta dapat mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan sikap berpandukan aktiviti kajian kes. • Peserta dapat mengenalpasti isu dan kaedah penyelesaian berkaitan adab berdasarkan aktiviti seperti di bawah: (i) Analisa satu kajian kes yang menerangkan tentang isu kehilangan adab. (ii) Tulis nota ringkas tentang isu yang dibincangkan daripada setiap kajian kes. (iii) Bincangkan cara untuk menyelesaikan isu di dalam setiap kajian kes. (iv) Bentang hasil kajian daripada kajian kes yang dibincangkan Pengarang: Mohd Hafiz Yusoff Tarikh Terbit: Oktober 15, 2019 Alamat URL: https://malaysiadateline.com/adab-asas-pemerkasaan-pelajar/ Adab Asas Pemerkasaan Pelajar Kejadian ‘kurang ajar’ oleh seorang pelajar semasa hari konvokesyen di Universiti Malaya barubaru ini amat memalukan semua pihak. Ia adalah paparan sifat biadap dan pemahaman salah tentang pemerkasaan pelajar (student empowerment) yang diharapkan oleh Malaysia Baharu. Falsafah Pendidikan Negara adalah suatu usaha berterusan dari sekolah rendah hingga ke universiti ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh, dan bersepadu untuk mewujudkan Bab 3: Kajian Kes: Isu-Isu Semasa Berkaitan Pelajar
Modul Adab Dalam Pendidikan 23 insan yang seimbang dan harmonis, dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Universiti merupakan sebuah institusi yang berfungsi untuk melahirkan insan cemerlang. Mahasiswa yang memiliki intelektual yang cemerlang perlu memiliki sifat-sifat insani hebat agar dapat memberi manfaat untuk diri sendiri dan juga orang lain. Selain itu, mahasiswa yang cemerlang perlu memiliki ilmu, berketerampilan sebagai orang berilmu, beradab dan berakhlak, serta sentiasa bertanggungjawab atas ilmunya untuk diri dan orang lain. Insan berilmu tidak boleh dipisahkan dengan adab yang tinggi yang natijahnya ialah akhlak yang mulia. Semakin tinggi ilmu yang ada dalam diri, maka semestinya semakin tinggi budi pekerti yang dizahirkan dalam kehidupannya. Dengan gandingan ilmu dan adab inilah martabat golongan ilmu ditinggikan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “… Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan (daripada kalangan kamu) beberapa darjat…” (Surah al-Mujadalah, ayat 11). Rasulullah SAW turut menjelaskan perihal orang yang beradab dan berakhlak menerusi sabdanya bermaksud: “Orang Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi). Justeru, mahasiswa yang menimba ilmu dalam bidang masing-masing, perlu mempamerkan adab yang baik dalam diri. Di mana ia memanifestasikan kesopanan, kemesraan dan kehalusan budi pekerti pelajar. Hakikatnya, mahasiswa yang hebat akan sentiasa menzahirkan adab dan akhlak yang terpuji. Mahasiswa di harus perlu sentiasa belajar untuk menanam dan mempamerkan semua adab yang baik dalam diri masing-masing. Mana mungkin mahasiswa yang mengatakan mereka adalah cemerlang, tapi bersikap sombong dengan orang lain lebih-lebih lagi kepada guru atau semua pihak yang membantu mengasah bakat dan keupayaan mereka. Malah, adalah tidak munasabah mahasiswa yang hebat, mengajak kepada perkara keburukan dan permusuhan. Sifat dan sikap tercela ini perlu dijauhi, dan mahasiswa perlu berlumba-lumba melakukan kebaikan agar tertanam dalam diri sifat-sifat yang terpuji dan dikagumi oleh semua pihak terutamanya masyarakat. Sedarlah, Adab adalah tonggak Mahasiswa Cemerlang dan Pemerkasaan Pelajar tidak akan bermakna kepada mana-mana pihak dengan kelakuan pelajar yang biadap, sombong, jelek dan tiada harga diri. 3.2.4 LDK: Kajian Kes 4 Melalui sesi LDK ini, • Peserta dapat mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan sikap berpandukan aktiviti kajian kes. • Peserta dapat mengenalpasti isu dan kaedah penyelesaian berkaitan adab berdasarkan aktiviti seperti di bawah: (i) Analisa satu kajian kes yang menerangkan tentang isu kehilangan adab. (ii) Tulis nota ringkas tentang isu yang dibincangkan daripada setiap kajian kes. (iii) Bincangkan cara untuk menyelesaikan isu di dalam setiap kajian kes. (iv) Bentang hasil kajian daripada kajian kes yang dibincangkan Bab 3: Kajian Kes: Isu-Isu Semasa Berkaitan Pelajar
Modul Adab Dalam Pendidikan 24 Pengarang: Muhammad Azwan Sulaiman Tarikh Terbit: Disember 10, 2020 Alamat URL: https://www.sinarharian.com.my/article/114196/KHAS/Pendapat/Pembelajaran- jarak-jauh-Pelajar-perlu-bijak-berkomunikasi Pembelajaran Jarak Jauh: Pelajar Perlu Bijak Berkomunikasi KOMUNIKASI merupakan proses memberi makna dan mampu mempengaruhi seseorang untuk mempercayai dan melakukan sesuatu. Kemahiran berkomunikasi turut menjadi salah satu aspek utama yang boleh mempengaruhi pencapaian pelajar dalam proses pembelajaran. Komunikasi pelajar ini melibatkan proses interaksi samada secara bersemuka atau maya bagi tujuan menerima sesuatu ilmu disamping membantu pelajar menjalankan tanggungjawab dan membina keyakinan diri. Namun, Pandemik covid -19 ini telah mengubah norma lama dalam proses pembelajaran. segalasegalanya perlu dilakukan secara maya dan jarak jauh. Para pelajar perlu berkomunikasi secara maya antara pihak pensyarah, pentadbir universiti, dan rakan kuliah samada secara langsung atau tidak langsung. Berdasarkan perkembangan semasa, masih samar sampai bila para pelajar boleh kembali ke kampus untuk menjalankan proses pembelajaran secara bersemuka. Walaupun terpaksa berkomunikasi secara maya, dengan perkembangan teknologi seperti Whatsapp, Telegram, Facebook, e-mel dan lain-lain kemudahan tele-mesyuarat yang telah memudahkan proses komunikasi dan interaksi untuk berlangsung secara maya. Generasi muda masa kini sudah pasti tidak mempunyai sebarang masalah untuk berhadapan dan menguruskan teknologi sebegini. Etika dan Adab Namun demikian, wujud rungutan dikalangan para pensyarah tentang cara para pelajar berkomunikasi. Sebagai masyarakat yang kaya dengan adab dan nilai budaya Bahasa yang tinggi, para pelajar sepatutnya menyemai etika dan adab yang sopan ketika berkomunikasi. Cara komunikasi boleh memberi gambaran dan cerminan kepada akhlak seseorang pelajar. Para pelajar tidak seharusnya menggunakan cara berkomunikasi seperti dalam sosial media yang lain dan perlu bijak dalam menggunakan dan Menyusun ayat jelas dan tepat. Para pelajar perlu mengelakkan daripada menggunakan “short form” yang boleh membawa double meaning dan lucah ketika berkomunikasi melalui Emel, WhatApps dan sebagainya. Para pelajar perlu menyedari bahawa para pensyarah bukanlah rakan-rakan sebaya yang memahami gaya penulisan dari generasi yang berbeza Ketika memerlukan perbincangan secara langsung bersama pensyarah melalui panggilan telefon, para pelajar perlu memastikan waktu yang sesuai untuk pensyarah dihubungi. Waktu yang sesuai ialah pada waktu pejabat. Elakkan berhubung diluar waktu pejabat seperti waktu rehat tengah hari, dan selepas waktu pejabat. Namun, sekiranya memerlukan suatu perbincangan diluar waktu tersebut, pelajar boleh terlebih dahulu memaklumkan bagi memastikan pensyarah mempunyai kelapangan. Di sini, wujud keperluan para pensyarah memberi pertimbangan yang wajar kepada setiap permasalahan yang dihadapi oleh pelajar. Ini kerana mungkin wujud keperluan yang mendesak dikalangan pelajar untuk mendapat maklum balas para pensyarah. Di samping itu, para pelajar perlu mengelak menyentuh hal peribadi dan dalam keadaan beremosi ketika berhubung dengan pensyarah. Pelajar perlu fokus kepada topik perbincangan yang perlu sahaja. Dalam keadaan pandemik Covid-19, sudah pasti keadaan tekanan emosi kedua-dua pihak Bab 3: Kajian Kes: Isu-Isu Semasa Berkaitan Pelajar
Modul Adab Dalam Pendidikan 25 mungkin wujud dan boleh menjadi sukar dikawal kesan daripada proses pembelajaran jarak jauh. Hal ini boleh menimbulkan salah faham yang akhirnya boleh menyebabkan wujud isu lain yang tidak sepatutnya berlaku. Dalam proses pembelajaran secara maya, ditambah dengan kekangan bekerja dari rumah (BDR), para pensyarah dan pelajar harus saling menghargai antara satu sama lain bagi setiap usaha keras masing-masing. Masih lagi wujud laporan dikalangan para pensyarah mengatakan pelajar langsung tidak memberi respon dan begitu juga sebaliknya. Justeru, biasakan diri dengan sekurang-kurangnya mengucapkan terima kasih pada setiap usaha yang dilakukan. Pembentukan sahsiah merupakan satu proses yang berterusan yang perlu dimainkan bersama oleh semua pihak termasuk ibu bapa dan pensyarah. Manakala para pelajar perlu sentiasa mengasah dan memperbaiki cara berkomunikasi dengan lebih baik bukan hanya untuk pembelajaran, tetapi juga sebagai persediaan untuk memasuki alam pekerjaan yang pasti lebih memerlukan kemahiran komunikasi dengan lebih baik. 3.2.5 LDK: Kajian Kes 5 Melalui sesi LDK ini, • Peserta dapat mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan sikap berpandukan aktiviti kajian kes. • Peserta dapat mengenalpasti isu dan kaedah penyelesaian berkaitan adab berdasarkan aktiviti seperti di bawah: (i) Analisa satu kajian kes yang menerangkan tentang isu kehilangan adab. (ii) Tulis nota ringkas tentang isu yang dibincangkan daripada setiap kajian kes. (iii) Bincangkan cara untuk menyelesaikan isu di dalam setiap kajian kes. (iv) Bentang hasil kajian daripada kajian kes yang dibincangkan Pengarang: Saifullah Ahmad Tarikh Terbit: Oktober 19, 2019 Alamat URL: https://www.sinarharian.com.my/article/52869/BERITA/Nasional/Pelajar-Oxford- pun-ikut-saluran Pelajar Oxford pun Ikut Saluran KUALA KANGSAR - Mahasiswa di negara ini perlu lebih beradab dalam menyuarakan pandangan mereka menggunakan saluran yang betul. Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Datuk Dr Afifi al-Akiti berkata, sebarangan nasihat atau pandangan yang mahu diberikan haruslah beradab. Menurutnya, sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang perlu diambil tindakan dan pelaku harus menerima hukuman di atas perbuatannya. “Kita ada tempat untuk berikan nasihat, sebagai orang Islam terutamanya, kita ada adab bukan boleh terus mencemuh seseorang, itu bukan cara kita. “Itu budaya tak sihat yang tak patut ada di negara kita. Kita perlu cakap dengan cara lembut. Janganlah biadab. Bab 3: Kajian Kes: Isu-Isu Semasa Berkaitan Pelajar
Modul Adab Dalam Pendidikan 26 “Di Oxford sendiri mereka menyuarakan pandangan mengikut saluran tertentu. Mereka ada jawatankuasa yang boleh terus berhubung dengan senat untuk memberikan pandangan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan bertajuk Oxford dan Islam pada majlis Nadwah Jumaat Perdana di Auditorium Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini semalam. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan biadab seorang graduan kejuruteraan awam Universiti Malaya yang mengangkat plakad tertulis ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ di hadapan tetamu dan pentadbir tertinggi UM semasa sidang kelima Istiadat Konvokesyen UM Kali ke-59, Isnin lalu. Hadir sama pada majlis itu, Naib Canselor USAS, Tan Sri Nordin Kardi dan Setiausaha Kerajaan Perak, Zainal Azman Abu Seman. Afifi berkata, budaya di Universiti Oxford sangat menghormati tradisi dan seharusnya menjadi contoh kepada institusi pendidikan di negara ini. Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa kebebasan bersuara perlu ada had selaras dengan pandangan dalam Islam. 3.2.6 LDK: Kajian Kes 6 Melalui sesi LDK ini, • Peserta dapat mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan sikap berpandukan aktiviti kajian kes. • Peserta dapat mengenalpasti isu dan kaedah penyelesaian berkaitan adab berdasarkan aktiviti seperti di bawah: (i) Analisa satu kajian kes yang menerangkan tentang isu kehilangan adab. (ii) Tulis nota ringkas tentang isu yang dibincangkan daripada setiap kajian kes. (iii) Bincangkan cara untuk menyelesaikan isu di dalam setiap kajian kes. (iv) Bentang hasil kajian daripada kajian kes yang dibincangkan Pengarang: Hariyati Ariffin Tarikh Terbit: November 18, 2019 Alamat URL: https://www.sinarharian.com.my/article/57798/KHAS/Pendapat/Bahasa-kurang- sopan-ubah-cara-komunikasi-remaja-masa-kini Bahasa Kurang Sopan Ubah Cara Komunikasi Remaja Masa Kini BILA sebut bahasa kurang sopan, tergambar perkataan kotor, mencarut dan ayat-ayat maki hamun yang keluar daripada percakapan seseorang atau tulisan mereka di media sosial. Bagi mereka yang diajar sejak kecil mengamalkan bahasa yang baik dan beradab, mungkin kurang senang jika ada yang berkomunikasi dengan bahasa yang kurang sopan dan tidak beradab. Namun sejak akhir-akhir ini ramai yang seakan selesa berkomunikasi menggunakan bahasa yang kurang sopan dan tidak berhemah di tempat awam, dan di media sosial. Ia seolah-olah trend komunikasi masa kini. Penggunaan ayat-ayat dan perkataan yang kurang sopan dan tidak berhemah ini semakin berleluasa Bab 3: Kajian Kes: Isu-Isu Semasa Berkaitan Pelajar
Modul Adab Dalam Pendidikan 27 menjadi perbualan santai dalam kalangan masyarakat khususnya remaja. Ia seakan diterima pakai dalam masyarakat bila perkataan yang kurang sopan itu menjadi biasa dalam perbualan harian atau ketika bergurau. Umpamanya di kedai kedai makan dan di tempat awam kita biasa mendengar mereka bergurau sesama rakan sebaya dengan mengucapkan perkataan, seperti bodoh, sial, babi, mampus, anjing, sundal dan sebagainya tanpa menghiraukan orang lain yang mendengarnya. Lebih menghairankan ramai dalam kalangan remaja beranggapan perkataan perkataan itu adalah satu bentuk komunikasi yang dilafazkan pada kawan kawan rapat sahaja dan ianya sekadar bergurau dan sebagai satu bentuk “mesra rakan”. Ia bukan bertujuan menjatuhkan maruah atau menghina. Gurauan dan komunikasi santai yang menggunakan bahasa tidak sopan dan mencarut ini boleh diterima oleh rakan-rakan mereka selain ianya sebagai satu cara komunikasi menjalin persahabatan yang lebih akrab. Tidak dinafikan adakalanya ayat-ayat yang disebut sangat memalukan khususnya di tempat awam, namun remaja masa kini seolah-olah sudah tebal dan kebal perasaan malu mereka. Tanpa memikirkan perasaan orang sekeliling yang pelbagai kelompok umur mereka sewenangwenangnya bergurau menggunakan bahasa yang sukar diterima halwa telinga. Jika zaman penulis dulu memang sudah dicili mulut mereka atau merasa penampar sulung. Selain itu di media sosial juga berlaku perkara yang sama. Mengutuk dan menjatuhkan maruah orang yang tidak dikenali dengan perkataan kasar dan memalukan seakan budaya baharu masyarakat kita. Lebih banyak perkataan mencarut dan lucah yang ditulisnya, lebih ramai yang komen dan memberi respons. Ianya seperti memeriahkan komunikasi di maya. Sebagai orang lama yang sangat kagum pada kehalusan budi dan tutur cara berkomunikasi masyarakat dulu yang sentiasa berlapik dan berhati-hati bila bercakap, perkembangan budaya bahasa kasar dan kurang sopan ini amat terkesan dalam jiwa penulis. Sejujurnya penulis tidak dapat menerima budaya bahasa kurang sopan dan mencarut yang semakin berleluasa dipertuturkan dan ditulis dalam media sosial. Penulis membuat kajian rambang mengenai isu ini dan seramai 30 remaja dalam lingkungan umur 17 hingga 22 tahun ditemuduga untuk mendapatkan pandangan mereka. Dapatan kajian merumuskan mereka bersetuju penggunaan bahasa kasar dan tak beradab sesuatu yang tidak baik untuk dipraktikkan, namun mereka berpendapat perkataan sedemikian tidak ada motif lain, ianya hanya digunakan dalam kalangan kawan-kawan dan sebagai satu bentuk gurauan dan merapatkan hubungan persahabatan antara mereka. Sebahagiannya juga memberitahu mereka hanya guna bahasa kasar dan kurang sopan dalam Bab 3: Kajian Kes: Isu-Isu Semasa Berkaitan Pelajar
Modul Adab Dalam Pendidikan 28 kalangan rakan-rakan sebaya yang rapat sahaja. Mereka tidak akan gunakan bahasa tidak bersopan pada ahli keluarga dan guru-guru mahu pun orang yang lebih tua dari mereka. Kebanyakannya tahu kepentingan berbahasa dengan berhemah, kerana mereka diajar oleh ibu bapa, guru dan pendidik yang lain. Namun bila berjumpa rakan-rakan sebaya mereka terikut trend berbahasa zaman ini yang banyak dilihat dan ditiru daripada media sosial dan televisyen. Ada juga remaja yang berpendapat mereka tidak faham mengapa orang tua ada lesen besar untuk mencarut dan memaki hamun sedangkan orang muda perlu lebih banyak berhemah dalam perbualan dan komunikasi mereka. Bagi mereka orang tua perlu beri contoh baik untuk mereka ikut dan bukan menyalahkan mereka yang muda. Dalam kajian yang sama pula golongan dewasa berpendapat bahasa dan gaya pertuturan remaja masa kini adalah berdasarkan pengaruh keluarga mereka dan persekitaran mereka membesar. Ada ibu bapa yang menunjukkan contoh yang kurang baik dengan mencarut dan bercakap perkaraperkara yang tidak sopan di depan anak-anak. Berdasarkan konsep kepimpinan melalui teladan, contoh yang diberi ibu bapa adakalanya membuatkan anak-anak ini merasa selesa untuk mencarut bila ibu bapa mereka begitu ringan mulut memaki hamun dan mencarut. Ibu bapa yang terlalu sibuk mencari rezeki dan nafkah hidup adakalanya tidak sempat mengajar nilai murni pada anak-anak mereka. Disebabkan itu anak-anak tidak mendapat didikan yang betul tentang berbahasa dan berkomunikasi. Adakalanya anak-anak seawal umur enam atau tujuh tahun sudah pandai mencarut dan memaki hamun rakan-rakan sekolah dengan perkataan yang hanya biasa diucapkan oleh orang dewasa. Selain itu konsep kejiranan juga semakin longgar. Untuk menegur anak-anak jiran seperti anak-anak sendiri juga sudah tidak dipraktikkan lagi zaman ini. Silap tegur pasti buruk padahnya. Sikap individualistik juga semakin tinggi. Jiran sebelah rumah pun kadang tidak bertegur sapa. Mendidik anak-anak diberikan pada pihak sekolah yang terlalu banyak tanggungjawab lain. Akhirnya anak-anak ini membesar dengan cara mereka sendiri. Mereka tidak harus dipersalahkan seratus peratus, mereka perlu dibimbing. Selain itu pengaruh besar media sosial dalam kehidupan remaja juga menjadi punca bahasa kurang sopan ini dipraktikkan tanpa rasa bersalah. Bila media setiap hari memomokkan bahasa kurang sopan dalam rancangan TV di youtube dan media sosial yang lain, para remaja beranggapan ianya sesuatu yang biasa dan diterima masyarakat. Bab 3: Kajian Kes: Isu-Isu Semasa Berkaitan Pelajar
Modul Adab Dalam Pendidikan 29 Mereka terikut perkembangan berbahasa masa kini yang sudah tidak mementingkan kesantunan bahasa. Kesimpulannya, trend bercakap kurang sopan dan mencarut dalam kalangan remaja harus diberi perhatian yang lebih serius oleh ibu bapa, masyarakat, pendidik dan pihak berkuasa. Peranan ibu bapa harus digandakan dan mereka adalah role model terbaik untuk dicontohi oleh anak-anak. Pihak sekolah perlu lebih banyak memberi peluang kepada pelajar mempelajari adab dalam berkomunikasi di sekolah dan memberi panduan yang betul untuk mengamalkan komunikasi berhemah. Jiran-jiran dan masyarakat sekeliling perlu lebih peka terhadap masalah ini dan membantu remaja supaya mereka boleh mengamalkan bahasa yang baik dan bersopan. Sayangi anak-anak jiran seperti kita sayangi anak-anak kita sendiri. Sudah tiba masanya masyarakat kita memperkasakan kesantunan bahasa dalam kehidupan. Masyarakat Melayu memang kaya dengan budi bahasa dan nilai-nilai murni yang sentiasa menjadi pegangan masyarakat sejak dulu. Jika dibiarkan budaya mencarut dan bahasa kurang sopan menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita ia bakal menjadi barah yang merosakkan keharmonian komunikasi dalam masyarakat kita. Pepatah mengatakan “bahasa menunjukkan bangsa” jelas memperlihatkan kaitan bahasa yang baik dengan ketamadunan bangsa. Justeru bila zaman berubah manusia juga perlu berubah sejajar perkembangan peradaban manusia. Namun nilai nilai murni tidak seharusnya hilang dan lenyap ditelan kepesatan teknologi. Apa pun tepuk dada tanya akal boleh kah kita menjadi generasi maju bila sesuatu yang baik seperti kesantunan bahasa dan nilai kemanusiaan digadaikan. 3.2.7 LDK: Kajian Kes 7 Melalui sesi LDK ini, • Peserta dapat mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan sikap berpandukan aktiviti kajian kes. • Peserta dapat mengenalpasti isu dan kaedah penyelesaian berkaitan adab berdasarkan aktiviti seperti di bawah: (i) Analisa satu kajian kes yang menerangkan tentang isu kehilangan adab. (ii) Tulis nota ringkas tentang isu yang dibincangkan daripada setiap kajian kes. (iii) Bincangkan cara untuk menyelesaikan isu di dalam setiap kajian kes. (iv) Bentang hasil kajian daripada kajian kes yang dibincangkan Bab 3: Kajian Kes: Isu-Isu Semasa Berkaitan Pelajar
Modul Adab Dalam Pendidikan 30 Pengarang: Syuhada Choo Abdullah Tarikh Terbit: Julai 13, 2019 Alamat URL: https://www.bharian.com.my/kolumnis/2019/07/584376/budaya-biadab-resapi- anak-muda Budaya Biadab Resapi Anak Muda Penulis berkesempatan mengunjungi seorang rakan lama, baru-baru ini dan kami berbual santai di bangku luar rumah. Tidak berapa jauh, sekumpulan budak dalam lingkungan umur 13 hingga 15 tahun sedang ligat bermain. Perasaan kami agak terganggu, bukan kerana keriuhan remaja terbabit menunjukkan kehebatan beraksi dengan basikal masing-masing, tetapi kekasaran bahasa mereka yang baru umur setahun jagung itu. Sambil bergelak tawa, mereka tidak lekang memanggil ‘bodoh’ dan melemparkan perkataan carut antara satu sama lain, seolah-olah penggunaan bahasa kesat walaupun dalam khalayak terbuka, bukan lagi hal luar biasa atau memalukan. Pada usia mentah, remaja berkenaan mungkin berilusi bahawa keberanian untuk celupar adalah lebih bergaya, menampakkan keyakinan diri dan simbol kemesraan sesama mereka, manakala amalan tutur kata sopan hanya bagi golongan ‘nerd’ serta membosankan. Lebih menghairankan, beberapa ibu bapa yang turut bersantai-santai di situ, kelihatan seperti tidak terkesan dengan budi bahasa miskin ditonjolkan walaupun anak dipanggil ‘bodoh’ dan dicarut berkali-kali oleh kawan tanpa segan di hadapan orang tua sendiri. Tidak dapat dipastikan sama ada ibu bapa berkenaan memang ‘merestui’ dan hanya memandang remeh perilaku tanpa adab itu sekadar trend biasa dalam pergaulan budak sekarang, justeru tiada apa yang perlu dicemaskan. Namun, juga tidak mustahil jika mereka sebenarnya takut untuk menegur kerana bukan sedikit anak remaja sekarang yang agak terlambat dilentur sehingga biasa bersikap kurang ajar terhadap ibu bapa dan orang lebih berusia. Pada masa sama, tidak dinafikan semakin ramai ibu bapa kini yang ‘terlebih sporting’ melayan anak sekalipun membabitkan perkara jelas salah. Mereka lebih mementingkan perasaan dan kehendak anak, selain tidak mahu dilabel sebagai orang tua kolot kerana tidak seiring dengan aliran sosial generasi muda. Malangnya, mereka juga akan melenting dan tidak dapat menerima apabila ada orang luar cuba tolong mendidik atau ‘ajarkan’ anak mereka, malah sebaliknya menyalahkan tindakan yang diambil. Apabila anak terus dibiarkan bebas berperilaku biadab dalam keluarga dan pergaulan harian dengan rakan, antara yang paling menerima tempias kesannya ialah guru mereka di sekolah. Guru bukan saja memikul beban tugas penyampaian ilmu semakin mencabar, tetapi juga terpaksa menangani pelbagai kerenah ratusan pelajar, termasuk mereka yang terbawa-bawa dengan kebiasaan sikap tidak beradab. Mahu tidak mahu, kesabaran guru kini diuji sebilangan pelajar yang semakin berani melawan dan Bab 3: Kajian Kes: Isu-Isu Semasa Berkaitan Pelajar
Modul Adab Dalam Pendidikan 31 kurang ajar dengan mereka, malah secara berdepan atau bersemuka. Perkembangan mutakhir itu memang menyedihkan, namun bukan lagi mengejutkan. Baru-baru ini, tular satu lagi episod krisis hubungan pelajar-guru. Seorang ibu tidak berpuas hati sehingga membuat laporan polis terhadap guru anak perempuannya di sebuah sekolah menengah di Johor. Wanita itu mempertikaikan tindakan guru lelaki berkenaan merotan anaknya yang dilaporkan bersikap kurang ajar melemparkan perkataan biadab terhadap beliau secara bersemuka. Ibu terbabit kemudian menarik balik laporan polis itu sehari selepas ia dibuat dan mereka juga sudah saling memohon maaf pada pertemuan diaturkan di Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru. Namun hakikatnya, kejadian seumpama itu bukanlah yang pertama dan dilihat besar kemungkinan juga bukan yang terakhir. Setiap kali tular isu sebegini, ada suara netizen menyarankan guru ‘play safe’ dengan memadai menjalankan tugas mengajar dan tidak perlu mengambil risiko atau bersusah payah mendidik anak orang sehingga membawa masalah kepada diri sendiri. Penulis pasti ada ibu bapa cemas dengan usul sebegitu kerana masih ramai memiliki kesedaran tinggi bahawa guru tempat mereka bergantung untuk membantu mendidik anak menjadi insan berakhlak tinggi seiring kecemerlangan akademik. Keterbatasan masa bersama anak dalam kehidupan harian yang sibuk, menuntut keprihatinan guru sebagai ‘ibu bapa kedua’ untuk membentuk keinsanan pelajar. Justeru, ‘loceng penggera’ sudah lama berbunyi untuk semua pihak berkaitan sama-sama berbincang dan melihat semula langkah yang benar-benar dapat melindungi kepentingan guru dalam berdepan cabaran tugas di sekolah. Kebajikan guru bukan hanya terhad kepada aspek tangga gaji dan perjawatan tetapi juga ketenangan jiwa serta ruang untuk mereka melaksanakan tanggungjawab mengajar dan mendidik dengan yakin. Martabat mulia seorang guru yang menjalankan amanah tugasnya dengan sepenuh integriti, harus dihormati tanpa kompromi. Juga sudah tiba masanya untuk keseluruhan guru diberi lebih banyak pendedahan menangani disiplin pelajar secara berkesan mengikut aliran semasa, bukan hanya menumpukan latihan dari segi kemahiran pedagogi. Kebijaksanaan mengendalikan disiplin pelajar kini dengan strategi dan pendekatan baharu yang lebih ‘licik’, amat diperlukan semua guru. Realiti dunia sekarang tidak lagi memungkinkan peranan kritikal itu hanya diserahkan kepada guru disiplin, warden dan kaunselor, demi memastikan bumi bertuah ini terus terpelihara dalam tangan generasi pewaris yang terdidik dengan jati diri sebenar. Bab 3: Kajian Kes: Isu-Isu Semasa Berkaitan Pelajar
Modul Adab Dalam Pendidikan 32 3.3 Penutup Bab ini memaparkan contoh-contoh kes sebenar yang merangsang pemikiran para pelajar untuk melihat setiap isu dengan adil dan berhikmah. Gejala kehilangan adab tidak hanya terhad kepada isu yang dimuatkan dalam penulisan ini. Terdapat banyak lagi contoh kes yang boleh dibincangkan dan menjadi bahan fikir serta rangsangan untuk pelajar melakukan refleksi. Perbincangan kes yang dinyatakan diharapkan dapat mendorong semua pihak termasuk pensyarah dan pelajar untuk menghayati nilai adab dalam pendidikan. Bab 3: Kajian Kes: Isu-Isu Semasa Berkaitan Pelajar
LAMPIRAN
Modul Adab Dalam Pendidikan 34
Modul Adab Dalam Pendidikan 35
Modul Adab Dalam Pendidikan 36
Modul Adab Dalam Pendidikan 37
Modul Adab Dalam Pendidikan 38
Modul Adab Dalam Pendidikan 39
Modul Adab Dalam Pendidikan 40
Modul Adab Dalam Pendidikan 41
Modul Adab Dalam Pendidikan 42
Modul Adab Dalam Pendidikan 43
Modul Adab Dalam Pendidikan 44
Modul Adab Dalam Pendidikan 45 Rujukan Abbas, S. & Jalaluddin, M. (2016). Ethics and Morality in Islam and Hinduism. INSANCITA: Journal of Islamic Studies in Indonesia and Southeast Asia, Vol.1(1), February, pp.37-42. Bandung, Indonesia: Minda Masagi Press, ISSN 2443-1776. Abd Halim Ramli. 2002. Pemikir Islam Prof.Ismail Raqi al-Faruqi. Segamat: Qubah Publisher. Abd Rahman, Abd Majeed. 2005. Penawar Gelisah & Murung. Kuala Lumpur: Darul Nu’man. Abdul Halim Ramli. 2009. Hubungan Kaum di Malaysia: Sejarah dan Asas Perpaduan. Shah Alam: UPENA. Ahmad Munawar Ismail & Kamarul Azmi Jasmi. 2016. Akidah dan Akhlak dalam Pendidikan Islam. Johor Bahru: Penerbit UTM. Ahmad Zaki Hj. Abd Latiff. 2020. Adab Sopan Penuntut Ilmu. Shah Alam: UNISEL Press. Akhmad Hasan. 2020. Permasalahan Bangsa dalam Perspektif Adab Syed Muhammad Naquib al-Attas, Jurnal Aqidah: Jurnal Ilmu aqidah Filsafat, Volume 12. Edisi 1. Jun 2020. Al-Attas, S.M. Naquib. 1979. Aim and Objectives of Islamic Education. Jeddah: King Abdul Aziz University. Al-Attas, S.M. Naquib. 1991. The Concept of Education in Islam: A Framework for an Islamic Philosophy of Education. Kuala Lumpur: ISTAC. Al-Attas, S.M. Naquib. 2007. Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia. Al-Bukhari, Muhammad Bin Ismail Abu Abdillah Al-Bukhari Al-Ju’fi. Al-Jami’ Al-Musnad AsSahih Al-Mukhtasar min Umur Rasulillah Sallallahu alaihi wasallam wa sunanihi wa ayyamihi, alma’ruf bi Sahih Al-Bukhari, Tahqiq: Muhammad Zuhayr bin Nasir An-Nasir, 1st ed. Beirut: Dar Tauq An-Najat, 1422H. Al-Faruqi, Ismail Raqi. 1982. Islamization of Knowledge: General Principles and Workplan. Virginia: International Institute of Islamic Thought. Al-Harran, Saad. (2004). For Today‟s Social Ills Islam Is The Solution. Kuala Lumpur. A.S. Noordeen Amilah Awang. 2014. Moral and Ethical Concepts in Islam. Dl. Fatimah Abdullah (pnyt.). Islamic Ethics and Character Building. hlm. 68-95. Gombak: IIUM Press Aziz, A.B., (2004) Nilai Dan Etika Pengurusan: Analisa Dari Perspektif Agama-agama Di Malaysia Seminar Nilai dalam Komuniti (SIVIC) anjuran Jabatan Pengajian Umum, Universiti Utara Malaysia pada 4 dan 5 September 2004.
Modul Adab Dalam Pendidikan 46 Bennabi, Malik. 1994. Membangun Dunia Baru Islam. Afif Muhammad (terj.). Bandung: Penerbit Mizan. Bennabi, Malik. 2005. Krisis Intelektual Muslim. Zulkarnain Mohamed & Farid Mat Zain (terj.). Shah Alam: Karisma Publications Sdn. Bhd. Bennabi, Malik. 2009. Asal Usul Masyarakat Manusia: Rangkaian Hubungan Sosial. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia. Cowan, J. 2006. On Becoming an Innovative University Teacher Reflection in Action (2nd Edition). England: Open University Press. Dzulkifli Abdul Razak. 2021. Essay on Sejahtera Concept, Principle and Practice. Gombak: IIUM Press. Ghazali, A.S, 1997. Manusia dan alam sekitar: Hubungannya daripada perspektif Islam. Jurnal Usuluddin, Vol. 5. Hamka. 2007. Lembaga Hidup. Shah Alam: Pustaka Dini Hussin, S. (2010). Kesejahteraan dan kedamaian melalui pembangunan modal insan: Kajian teks hidayah al-salikin. Ibnu Jama’ah, Muhammad bin Ibrahim bin Sa’dillah ibnu Jama’ah Al-Kinani Ash-Shafie. Tazkirat as-Sami’ wa al-Mutakallim fi adab al-Alim wa al-Mutaallim, 3rd ed. Beirut: Dar Al-Basha’ir Al-Islamiyyah, 2012. Ismail, Hamidi and Syed Hussain, Tuan Pah Rokiah and Ayob, Wahida (2004) Sumbangan teori sistem dalam pemantapan pengurusan alam sekitar holistik. In: Persidangan Kebangsaan Geografi & Alam Sekitar , 3-4 Julai 2004, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Izuli Dzulkifli, Abdul Rahman Abd Ghani. 2011. Keperluan Bertalaqqi Dan Bermusyafahah Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Ilmu Al-Qur`An: Satu Tuntutan. In. Seminar Qiraat Peringkat Kebangsaan 2011, UIAM. 19-20 November 2011. UIAM Gombak. P. 1-15. Kassim, M.K., Harith, Z. & Yusof A. (2010) Pembangunan Modal Insan Dan Tamadun Islam Dari Perspektif Pendidikan Guru, Proceedings of The 4th International Conference on Teacher Education; Join Conference UPI & UPSI Bandung, Indonesia, 8-10 November 2010, Malik Badri. 2000. Contemplation An Islamic Psychospiritual Study. Kuala Lumpur: Medeena Books. Masitah Idris, M., Zakaria, W.F., Long A.S. & Salleh, N. (2019) Pembangunan Modal Insan (PMI) Dari Perspektif Islam, Journal Of Management And Operation Research (JoMOR), Vol. 1 (2), 1-12.
Modul Adab Dalam Pendidikan 47 Mawer, M. (1995). The effective teaching of physical education. London: Longman Md. Nawi N.H., (2019). Konsep Insan Moral Menurut Acuan Malaysia, Jurnal Perspektif Jil. 2 Bil. 1, 108-125. Mohamed, R. & Bakar S.A. (2010) Pembangunan Masyarakat Ke Arah Kesejahteraan Berteraskan Pembangunan Insan. Mohammad Hannan, Hassan. 2012. Perjalanan Mencari Maᶜna dalam Pendidikan, Dlm Adab dan Peradaban Karya Pengiktirafan untuk Syed Muhammad Naquib al-Attas. Petaling Jaya: MPH Mohd Kamal Hassan. 2021. The Malay Concept of Sejahtera from an Islamic Perspective. Gombak: IIUM Press. Mohd Zaidi, Ismail. (2009). Faham Ilmu Dalam Islam: Pengamatan Terhadap Tiga Takrifan Utama Ilmu. Afkar-Jurnal Akidah & Pemikiran Islam, 10(1), 39–60. Mohd Zaidi Ismail. 2019. Aqal, Ilmu dan Pendidikan: Kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kuala Lumpur: Penerbit IKIM. Moon, J. A. 1999. Reflection in Learning and Professional Development Theory and Practice. London: Kogan Page. Muhammad Hasanul Arifin Zawawi. 2019. Al-Ghazali and Academic Excellence The Art of SoulBased Learning. Kuala Lumpur: Pertubuhan Pendidikan Futuwwah. Muyaldi. 2019. “Konsep Manusia dan Pendidikan Islam Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas.” Al-Ikhtibar: Jurnal Ilmu Pendidikan 6(1): 612–39. Norasid M. A. (2016). Konsep modal insan Rabbani menurut al-Quran: Analisis pemikiran Sa’id Hawwa dalam Al-Asas Fi Al-Tafsir. Norhisham bin Muhamad, Azmil bin Hashim, Wahyu bin Abdullah, Muhammad Akramin bin Kamarul Zaman, Fatin Ardani binti Zamri. 2019. Kaedah Talaqqi Musyafahah dalam Pengajaran al-Quran wa al-Hifz Kurikulum Dini SABK di Perak. International Journal of Education, Psychology and Counseling (IJEPC). 32(4): 273-283. Noor Hisham Md Nawi. 2015. Perjuangan Pendidikan dari Kesepaduan ke Islamisasi. Kota Bharu: Penerbit Universiti Malaysia Kelantan. Radwani, S., 2018. “Peranan Pensyarah: Pendidik, Penyelidik atau Khidmat. Masyarakat” Universiti Kebangsaan Malaysia. Rahmadi, (2016) Konsep Guru Dan Murid Menurut Ulama Abad Pertengahan (Komparasi Antara Al-
Modul Adab Dalam Pendidikan 48 Mawardi Dan Al-Ghazali), Khazanah: Jurnal Studi Islam dan Humaniora, Vol. 14. No.2 Desember 2016, Page 37-58. Rahman K.A, Ismail, I., Omar, M.N., (2014). Manusia Dalam Wacana Pemikiran Moden Di Barat, International Research Management and Innovation Conference 2014 (IRMIC2014) KL, 17 – 18 November 2014. Rosli, S., Mahmud, S.F., Azni, M.E. (2022). Mengintegrasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) Dalam Membangunkan Modal Insan Bersepadu. Jurnal Dunia Pendidikan. Vol. 4, No. 1,86-103, 2022. Sardar, Ziauddin. 1985. Masa depan Islam (trj.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Wan Mohd Nor Wan Daud. 2018. Falsafah dan Amalan Pendidikan Islam Syed M.Naquib al-Attas Satu Huraian Konsep asli Islamisasi. Kuala Lumpur. Penerbit Universiti Malaya. Zaharah Hussin, Ahmad Arifin Sapar & Ab Halim Tamuri. 2017. Pendidikan Akhlak Analisis dan Reka Bentuk Kurikulum. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya Zuraidah Othman. 2013. Pembentukan Ilmuwan Beradab Melalui Penerapan Konsep Ta’dib dalam Pendidikan: Suatu Analisa, International Conference on Islamic Education (ICIEd) 2013. 6-7 April 2013 di EPF Institute (ESSET), Kajang, Selangor, anjuran Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Modul Adab Dalam Pendidikan 49 Biodata Penulis ABDUL HALIM RAMLI, PhD, Prof. Madya di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban. Mula berkhidmat di UiTM pada tahun 1990. Beliau berkelulusan Sarjana Muda dalam bidang Pengajian Islam, UKM (1989). Mendapat Ijzah Sarjana dalam bidang Usuluddin dan Falsafah, UKM (1998). Memperolehi ijazah PhD dalam bidang Sejarah/Hubungan Etnik dari Universiti Malaya (2013). Pernah menjawat jawatan sebagai sebagai Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik UiTM Cawangan Negeri Sembilan (2014-2020). Aktif dalam bidang penulisan. Telah menghasilkan beberapa buah buku, antaranya Pemikir Islam Prof. Ismail Raqi al-Faruqi (2002), Tamadun Asia (2005), Islam Hadhari: Pengukuhan Institusi Baitulmal dan Wakaf di Malaysia (2005), Memahami Islamisasi Ilmu (2007), Wakaf: Pengurusan dan Sumbangannya Terhadap Pendidikan Islam di Malaysia (Penulis bersama)(2008), Hubungan Kaum: Sejarah dan Asas Perpaduan (2009), Perlembagaan Malaysia: Isu dan Persoalan Perhubungan Kaum (2015). Turut menulis beberapa artikel dan bab dalam buku yang diterbitkan dalam pelbagai Majalah, Jurnal, Akhbar dan lain-lain. Beliau boleh dihubungi melalui emel [email protected] ABDUL HALIM RAMLI PENULIS 1