The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by nikamal37, 2021-08-01 02:54:57

Malay Language A

Malay Language A

BAHAGIAN
KEDUA

BAB I

KESUSASTERAAN MELAYU

A. DEFINISI KESUSASTERAAN

Kesusasteraan terbentuk daripada akar katanya ‘SUSASTERA’ yang berasal
daripada Bahasa Sanskrit. SU bermaksud indah, baik, lebih berfaedah manakala
SASTERA pula bermaksud huruf atau buku.

KESUSASTERAAN adalah suatu pengucapan seni fikiran (rasional) dan
perasaan (intuisi) manusia dalam memberi respons atau tindak balas terhadap situasi
kehidupan disekelilingnya, dengan menggunakan bahasa sebagai media pengungkapan
atau pengucapannya.

Melalui bahasa :
• Kesusasteraan dapat disampai dan disebarkan
• Pembaca dapat merasakan keindahan yang ada pada
kesusasteraan
• Segala isi dan tujuan yang mahu disampaikan melalui
kesusasteraan dapat diikuti oleh pembaca dengan berkesan.
• Pembaca akan turut menghayati pengalaman dan perasaan yang
terpapar dalam kesusasteraan yang tergambar dalam bentuk
bahasa yang jelas dan indah.

B. BENTUK KESUSASTERAAN

• Kesusasteraan Lisan
Sastera lisan ialah kesusasteraan yang disampaikan melalui pertuturan
dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Sastera lisan juga dikenali
sebagai sastera rakyat.
Contoh : Cerita Asal-Usul, Cerita Jenaka, Cerita Binatang, dan
Penglipur Lara.

• Kesusasteraan Tulisan
Sastera tulisan ialah kesusasteraan yang disampaikan secara
bertulis.
Contoh : Novel, Cerpen, Drama, Sajak, Esei, Hikayat, dan
Kritikan

1

C. GENRE

GENRE KESUSASTERAAN

PROSA PUISI

TRADISIONAL MODEN TRADISIONAL MODEN
* Cerita jenaka * Cerpen * Pantun * Sajak
* Penglipur lara * Drama * Syair
* Cerita mitos * Novel * Gurindam
* Cerita Binatang * Seloka

D. CIRI-CIRI KESUSASTERAAN YANG BAIK

Intelek - dapat menggalakkan pembaca berfikir dan menggunakan akal
fikiran mereka untuk menghayati sastera tersebut.

Emosi - dapat membentuk perasaan pembaca supaya turut merasakan
perasaan watak dan perwatakan mahupun jalan cerita teks sastera.

Imaginasi - dapat menggerakkan minda pembaca untuk membayangkan plot
cerita, perwatakan, latar dan sebagainya.

Teknik - dapat membiasakan pembaca dengan pelbagi cara dan media
penulisan ataupun genre kesusasteraan.

Didaktik - dapat memberikan pengajaran atau nilai moral kepada pembaca

Hiburan - dapat menghiburkan pembaca disamping menyenang dan
mententeramkan hati pembaca.

2

E. KENAPA KITA BELAJAR SASTERA?
Terdapat beberapa faktor mengapa kita perlu belajar Sastera:

I. Mengenal 3K – kebenaran, kemanusiaan dan keindahan
II. Sastera sebagai alat menghibur dan mendidik:

• Memberi ketenangan atau kerehatan fikiran
• Memberikan kepuasan intelektual
• Memaparkan kebenaran
• Mengungkapkan kebaikan manusia
• Merakamkan keindahan alam dan peribadi manusia
III. Sastera dan seni mengandungi; masa, bangsa dan lingkungan
IV. Dalam karya sastera / seni mengandungi bahasa
V. Karya sastera /seni mampu memperkayakan lagi pengalaman
Apresiasi atau penghayatan (penjiwaan) sastera akan lebih bermanfaat kepada kita
sekiranya khalayak pembaca melihat daya kemampuan apresiasi itu melalui teknik
pembelajaran audio (pendengaran), visual (penglihatan) dan kinestetik (gerak laku /
psiko-motor / mascular movement). Antara aktiviti yang dicadangkan ialah:

• Penyampaian dalam bentuk lakonan / sketsa / teater (Dramatic
presentation)

• Perbincangan / Diskusi Berstruktur (structured Discussions)
• Main peranan ( Role Play)

3

BAB II

PROSA MELAYU TRADISIONAL

A. APA ITU PROSA?

• Prosa ialah karya-karya yang menggunakan bahasa biasa, bukan bahasa yang
berangkap.

• Semua bentuk penulisan atau pengucapan yang tidak mempunyai corak atau
irama yang tertentu. (Glosari Istilah Kesusasteraan : 260)

• Prosa terbahagi kepada prosa tradisional dan prosa moden.

B. PROSA MELAYU TRADISIONAL

Dalam konteks kesusasteraan Melayu, prosa Melayu tradisional bermakna seluruh
hasil karya termasuk lisan dan tulisan yang panjang, menggunakan bahasa Melayu
sebagai mediumnya; iaitu bahasa Melayu yang tidak dibatasi oleh wilayah fizikal,
geografi, dan politik. Bentuk prosa ini juga termasuklah karya-karya yang menggunakan
dialek Melayu oleh masyarakat pendukungnya di Malaysia, Indonesia, Brunei,
Singapura, Pattani, Sri Lanka, dan Kemboja. Secara umumnya prosa Melayu tradisional
diwarisi daripada dua tradisi iaitu lisan dan tulisan. Daripada tradisi lisan lahirlah karya-
karya yang dikenal sebagai kesusasteraan rakyat, yang mengandungi tiga genre terbesar
berbentuk cerita, iaitu cerita mitos, lagenda dan dongeng rakyat.

Berdasarkan tradisi tulisan pula, prosa Melayu tradisional ini dapat digolongkan
kepada sembilan genre berbentuk cerita dan bukan cerita. Bentuk cerita merangkumi
kesusasteraan hikayat, epik, panji, sejarah (historiografi), dan agama. Bentuk bukan cerita
pula meliputi karya-karya dalam genre kesusasteraan undang-undang, ketatanegaraan,
kitab, dan kepustakaan ilmu tradisional (karya yang memaparkan ilmu orang Melayu
seperti ilmu alam, ilmu astrologi, ilmu membuat senjata dan bedil dan sebagainya.

1. Kesusasteraan Rakyat

Kesusasteraan rakyat ialah terjemahan daripada istilah Inggeris, folk
literature. Menurut Richard M. Dorson (1973), folk literature juga dikenali sebagai
oral literature (kesusasteraan lisan) atau verbal art (seni ujaran atau tuturan) atau
expressive literature (kesusasteraan ekspresif), sama ada dalam bentuk cerita atau
bukan cerita yang berlegar di sekitar masyarakat menerusi lisan, dan diwarisi oleh
satu generasi daripada generasi terdahulu tanpa diketahui siapa penciptanya.

Genre ini dinamakan kesusasteraan rakyat kerana hasil karyanya dianggap
kepunyaan bersama (kolektif) oleh masyarakat penciptanya. Pada masa
kesusasteraan ini dicipta, masyarakat Melayu masih berada di tahap pratulisan lagi
atau dengan kata lain, pada masa itu mereka masih buta huruf. Pencipta hasil

4

kesusasteraan ini pula terdiri daripada golongan rakyat biasa, sesuai dengan tahap
pemikiran mereka yang sederhana dalam menyesuaikan diri dengan alam sekeliling.
Antara genre kesusasteraan rakyat ialah:-

• Cerita Mitos

Cerita mitos ialah cerita yang bersifat kekudusan. Cerita ini juga ialah
cerita yang dikaitkan dengan keparcayaan masyarakat pemiliknya. Ia bukan
sekadar cerita dongengan semata-mata tetapi sesuatu yang mempuyai makna
dan pengertian tertentu kepada masyarakat pendukungnya. Cerita mitos lahir
dan tercipta ketika masyarakat berada di tahap primitif. Cerita sebegini
dipercayai dan diyakini oleh masyarakat penciptanya. Ia timbul daripada
sikap dan naluri ingin tahu manusia untuk menjawab segala keraguan tentang
apa-apa yang dilihat dan dialami di sekeliling mereka.

Pada umumnya, cerita mitos mengisahkan asal mulanya terjadi sesuatu
yang dikaitkan dengan ketuhanan iaitu ‘pencipta’, ‘makhluk yang maha
berkuasa’, serta dewa dan dewa-dewi, bagaimana terjadinya alam semester,
dunia, manusia pertama, asal-usul kejadian makhluk-makhluk yang mendiami
dunia termasuklah makhluk halus (ghaib), kejadian bintang dan tumbuhan,
topografi dunia seperti tasik, gunung-ganang dan pulau. Contoh cerita mitos
ialah cerita Asal-usul Kejadian Dunia.

• Cerita Lagenda

Cerita lagenda merupakan huraian atau pernyataan bercorak cerita yang
berlatarkan masa atau sejarah yang masih boleh diingati dan lebih bersifat
tempatan. Berbanding dengan cerita mitos, cerita lagenda tidak dianggap suci
atau kudus oleh masyarakat pemiliknya. Walau bagaimanapun, cerita ini
dipercayai benar-benar berlaku oleh masyarakat penciptanya dengan
menyandarkan tanda-tanda alam sebagai bukti kebenarannya. Tokoh-tokoh
yang diperkatakan dalam cerita lagenda selalunya memiliki keistimewaan,
kehebatan, kehandalan dan sifat-sifat yang luar biasa. Sungguhpun begitu
sifat-sifat sedemikian tetap tidak dapat menjamin seseorang tokoh tersebut
mengatasi hukum alam semulajadi. Cerita lagenda dapat dibahagikan kepada
lagenda tokoh (pemimpin, pahlawan, pendosa), lagenda nama tempat,
lagenda keagamaan (keramat) lagenda memorat iaitu tentang pengalaman
peribadi terhadap hantu. Contoh cerita lagenda ialah lagenda Mahsuri dan
Puteri Sa’dong.

• Cerita Binatang

Cerita binatang merupakan kumpulan cerita-cerita yang menjadikan binatang
sebagai watak-wataknya. Sungguhpun begitu, kadang-kala terdapat juga
watak manusia yang diselitkan didalamnya, tetapi bukan sebagai watak
utama. Antara watak manusia yang sering wujud dalam cerita-cerita ini ialah

5

watak nabi Sulaiman. Walau bagaimanapun watak ini cuma hadir pada
namanya sahaja. Watak-watak binatang ini diberikan sifat-sifat boleh
bercakap, berfikir dan bertindak seperti manusia biasa (Shaiful Bahari Md.
Radzi, 2000). Cerita-cerita ini sarat dengan unsur moral dan merupakan
kiasan kepada tingkah laku manusia. Selain menghibur, kanak-kanak yang
menjadi sasaran utama cerita ini didedahkan dengan nilai-nilai murni yang
terkandung didalamnya. Dalam perbendaharaan warisan sastera rakyat
Melayu sang kancil atau pelanduk merupakan watak binatang yang sangat
popular. Contoh cerita binatang ialah Katak Membunuh Gergasi.

• Cerita Jenaka

Cerita jenaka mengandungi unsur kelucuan yang dapat menimbulkan gelak
ketawa di kalangan pendengarnya. Hampir keseluruhan cerita jenaka
menggambarkan kebodohan watak utama. Sifat bodoh akibat daripada
membuat sesuatu tafsiran yang salah menyebabkan watak jenaka itu
melakukan aksi-aksi yang menimbulkan kelucuan. Selain bodoh, terdapat
juga watak pintar dan watak yang selalu mengalami nasib malang. Terdapat
lima watak jenaka Melayu yang terkenal iaitu Pak Pandir, Pak Kaduk, Pak
Belalang, Si Luncai dan Lebai Malang. Watak asli jenaka Melayu ialah Pak
Pandir, Pak Kaduk dan Lebai Malang. Selainnya adalah pinjaman dari luar
sama ada dari India mahupun Arab-Parsi seperti Pak Belalang, Si Luncai,
Mat Jenin, Abu Nawas dan Awang Kenit. Pada umumnya, cerita-cerita ini
berfungsi sebagai alat kritik sosial kepada masyarakat. Sifat negatif seperti
bodoh, tamak, mementingkan diri, menipu untuk melepaskan diri dan
sebagainya dikritik menerusi cerita-cerita ini.

• Cerita Lipur Lara

Cerita lipur lara merupakan cerita yang sangat popular. Cerita ini
menggambarkan pengembaraan putera puteri raja sama ada di bumi mahupun
di kayangan. Selalunya, pengembaraan ini berlaku untuk mencari pasangan
masing-masing. Oleh itu, cerita ini melibatkan unsur keajaiban, kesakitan,
percintaan, peperangan, pendamai, perkahwinan, dan penyamaran. Putera raja
digambarkan sebagai orang yang begitu kacak, tampan, handal, dan penuh
dengan kesaktian. Putera raja yang menjadi wira sesuatu cerita ini selalunya
digambarkan sebagai tokoh yang istimewa sejak lahir lagi. Kelahirannya
diiringi dengan suasana alam yang amat dahsyat dan dibekalkan objek
tertentu seperti parang dan geliga. Puteri raja juga digambarkan sebagai
seorang yang cantik jelita sehingga menjadi rebutan putera-putera raja
termasuk wira cerita itu. Antara cerita lipur lara melayu yang terkenal ialah
seperti Hikayat Anggun Cik Tunggal, Hikayat Raja Muda, Hikayat
Malim Deman, Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Si Gembang, dan
Selindung Bulan Kedah Tua (Jamilah Haji ahmad, 1993).

6

• Cerita Teladan

Cerita teladan mengisahkan tentang golongan rakyat biasa dan berlatarkan
alam nyata. Unsur kesakitan dan keajaiban amat berkurangan jika
dibandingkan dengan cerita lipur lara. Walau bagaimanapun, unsur kebetulan
memainkan peranan penting dalam cerita ini,terutama sebagai titik perubahan
watak utama. Cerita ini mengetengahkan gagasan bahawa watak yang baik itu
akhirnya akan mendapat pembelaan, sebaliknya yang jahat akan menerima
pembalasan setimpal dengan perbuatan yang dilakukan oleh mereka. Cerita
teladan penuh dengan unsur didaktik dan pendidikan moral, yang diterapkan
melalui nilai-nilai murni. Sasaran pengajaran atau pendidikan yang ingin
disampaikan ini lebih tertumpu kepada kanak-kanak, terutamanya dalam
aspek peraturan sosial dan ajaran agama. Watak utama dalam cerita teladan
selalunya menanggung penderitaan, kekejaman, nasib malang, dan
penindasan di awal cerita sebelum berlkau perubahan nasib. Anatar cerita
teladan yang terkenal ialah Bawang Putih Bawang Merah, Batu Belah
Batu Bertangkup, dan Si Tanggang.

2. Kesusasteraan Hikayat.

Perkataan ‘hikayat’ berasal dariapada bahasa Arab, hikaya. Makna asal
yang didukung oleh perkataan arab ini ialah “pelbagai sejarah” tetapi menerusi
peredaran zaman maksudnya berubah menjadi cerita rekaan yang berunsur naratif
dengan kecenderungan menghibur yang ketara. Karya kesusasteraan hikayat
banyak membawakan cerita ajaib yang berunsurkan hiburan hasil daripada
imaginasi pengarangnya. Kesusasteraan hikayatdapat dibahagikan kepada tiga
kelompok iaitu kesusasteraan hikayat berunsur Hindu (contoh: Hikayat Pandawa
Lima, Hikayat Seri Rama yang berteraskan epik Ramayana dan Mahabrata),
kesusasteraan hikayat berunsur Hindu-Islam (contoh: Hikayat Jaya Langkara,
Hikayat Gul Bakawali, Hikayat Si Miskin, dan Hikayat Ahmad Muhammad)
dan kesusasteraan hikayat berunsur Islam (contoh : Hikayat 1001 Malam,
Hikayat Darmata’siah, Hikayat Qamar al-Zaman dan Hikayat Hassan
Damsyik ).

3. Kesusasteraan Panji

Kesusasteraan panji berasal dari Kepulauan Jawa dan dicipta semasa
keagungan empayar Majapahit. Oleh sebab popularitinya, karya kesusasteraan
panji telah tersebar ke Tanah Melayu, Thailand dan Kemboja. Wadah bahasanya
bermula dari bahasa Jawa dan kemudiannya tersebar ke bahasa Melayu, Thai dan
Khmer. Kesusasteraan panji merupakan sekumpulan karya yang mengisahkan
pengembaraan wiranya iaitu Raden Inu Kartapati atau gelarannya Panji, putera
Kuripan dalam mencari kekasihnya Raden Galuh, puteri Daha. Kisah ini penuh

7

dengan percintaan, penyamaran, pengembaraan dan peperangn. Karya ini dicipta
dalam dua bentuk iaitu prosa dan puisi. Antara karya kesusasteraan panji yang
ternal dalam bentuk prosa ialah Hikayat Panji Semirang, Hikayat Cekel
Waneng Pati, Hikayat Carang Kulima dan Hikayat Misa Taman Jayeng
Kusuma.

4. Kesusasteraan Epik

Kesusasteraan epik juga dikenali sebagai kesusasteraan kepahlawanan.
Genre ini menceritakan wira dan kepahlawanan sesuatu bangsa. Dengan kata lain,
watak yang dikisahkan ialah wira bangsa dan lambang keagungan budaya bangsa
sehingga menjadi sanjungan dan sumber inspirasi masyarakat khalayaknya.
Watak wira dilukiskan dengan sifat yang begitu unggul sama ada dari segi
keperibadian, ketokohan, kepintaran,kegagahan, mahupun ketangkasan. Sifat
yang dilukiskan ini dilebih-lebihkan sehingga menjadikan watak berkenaan begitu
sempurna. Kadangkala watak wira itu dikatakan tidak mati dan dipercayai masih
hidup hingga kini.

Kesusasteraan epik ditulis dalam bentuk puisi yang panjang. Sebaliknya,
dalam konteks kesusasteraan Melayu tradisional, genre ini ditulis dalam bentuk
prosa. Kesusasteraan epik Melayu dapat diklasifikasikan kepada epik kebangsaan
dan epik bersumberkan Islam (Ismail Hamid, 1993). Epik kebangsaan Melayu
diwakili oleh Hikayat Hang Tuah. Dalam hikayat ini dituliskan kehebatan dan
kehandalan tokohn Hang uah sejak zaman kecilnya hinggalah ia “ghaib”. Beliau
dibantu oleh empat orang sahabatnya iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir,
dan Hang Lekiu. Zaman keagungannya Hang Tuah melambangkan keagungan
empayar Melayu Melaka.

5. Kesusasteraan Undang-undang

Kesusasteraan undang-undang merupakan sekumpulan karya yang
memaparkan peraturan sesabuah kelompok masyarakat. Karya-karya ini
memperlihatkan adanya kuasa pemerintah yang menggariskan larangan-larangan,
peraturan-peraturan, dan hukum-hakam yang perlu dipatuhi oleh setiap individu
dalam masyarakat tersebut supaya wujud kemakmuran dan ketenteraman awam.
Dalam kebanyakan karya, undang-undang yang digariskan itu mempunyai
campur aduk antara hukum adat tempatan, Hindu-Buddha dan
Islam.Kesusasteraan undang-undang ini dapat digolongkan kepada dua kumpulan
iaitu Adat Temenggung dan Adat Perpatih. Antara undang-undang Adat
Temenggung ialah Hukum Kanun Melaka, Undang-undang Laut Melaka,
Undang-undang Johor, Undang-undang Kedah, Undang-undang Pelabuhan
Kedah, dan Undang-undang Palembang. Undang-undang Adat Pepatih pula
ialah Undang-undang Sungai Ujong dan Undang-undang Adat dari Rembau.

8

6. Kesusasteraan Agama

Secara umumnya, cerita ini berlatar belakang sejarah Islam sebenar.
Walau bagaimanapun, gambaran tentang perwatakan baginda serta latar masa dan
tempat yang dilukiskan adalah berdasarkan peristiwa sejarah sebenar tetepi telah
diolah kembali dengan memasukkan unsure mitos dan lagenda. Hal ini
menjadikan cerita-cerita tersebut agak meragukan, dan secara langsung
bertentangan dengan ajaran Islam. Menurut agama Islam segala gambaran
mengenai para nabi seharusnya berdasarkan kepada fakta-fakta yang benar seperti
yang terkandung dalam al-Quran, as-Sunnah, dan sumber-sumber sejarah yang
muktabar. Cerita-cerita Nabi Muhammad s.a.w. ini telah dijadikan alat
pendakwahan Islam pada suatu masa dahulu. Antara lain cerita-cerita mengenai
Nabi Muhammad s.a.w. memperlihatkan kehebatan,ketokohan,keagungan,dan
mukjizat yang dimiliki oleh baginda dalam menyebarkan agama Islam. Kumpulan
cerita ini merangkumi Hikayat Nur Muhammad, Hikayat Bulan Berbelah,
Hikayat Nabi Bercukur, dan Hikayat Nabi Wafat (Ismail Hamid, 1993).

7. Kesusasteraan Kitab

Kesusasteraan kitab ini merujuk kepada kitab-kitab yang memperkatakan
tentang persoalan keagamaan yang tulen dalam bahasa Melayu. Ruang lingkup
yang diperkatakan antara lain termasuklah tentang ilmu fikah, ilmu tauhid,
tasawuf, tafsir, hadis, tajwid dan mantik. Penulisan sastera kitab berkembang
dengan lebih giat apabila beberapa kerajaan Melyu-Islam di alam Melayu terdiri.
Antara kerajaan ini termasuk Pasai, Melaka, Acheh, Palembang, Banjarmasin dan
Riau. Kegiatan penulisan sastera kitab ini selalunya mendapat naugan golongan
istana dan ditulis atas permintaan raja-raja Melyu. Antara ilmuan ini termasuklah
Hamzah Fansuri, Abdul Rauf Singkel, Nuruddin al-Raniri, Abdul Samad al-
Palembangi, Syihabuddin bin Abdullah Muhammad, dan Raja Ali Haji. Sebagai
contoh, Kitab Hadiqat al-Azhar wa al-Rayahin dikarang oleh Syeikh Ahmad bin
Muhammad Zain bin Mustafa (1271-1315 H / 1856-1908). Hadiqat al-Azhar wa
al- Rayahin bermaksud “Taman Bunga dan Bauan”. Kitab sastera ini
menceritakan orang yang salih seperti imam empat mazhab, tentang tokaoh sufi,
wali, dan sultan. Di samping itu, kitab ini juga membicarakan soal ibadat, akidah,
ubat-ubat, permainan, bahasa. dan politik.

8. Kesusasteraan Ketatanegaraan

Kesusasteraan ketatanegaraan dikenali juga sebagai sastera adab. Genre
ini menjelaskan tentang pentujuk, panduan, amalan, dan peratuaran bagi golongan
pentanbir termasuk raja dan pegawai istana lain seperti menteri, wazir, utusan,
penulis surat, hulubalang, dan ulama dalam urusan dan pentanbiran sesebuah
negara. Unsur sejarah terdapat dalam karya ini tetapi tidak menjadi teras
perbincangan yang dititikberatkan. Dalam karya seperti ini terdapat penerangan
secara naratif cara mentadbir sesebuah negeri dengan berdasarkan contih raja-raja
zaman dahulu, khususnya raja-raja Timur Tengah sama ada beragama Islam
mahupun yang bukan beragama Islam.

9

Selain naratif tentang raja-raja, terdapat juga naratif tentang Khalifah al-
Rasyidin terutama tentang Umar ai-Khattab. Kesemua karya ketatanegaraan
Melayu tradisional berteraskan Islam. Antara karya ketatanegaraan dalam
perbendaharaan warisan kesusasteraan Melayu tradisional ialah Taj al-Salatin,
Bustam al-Salatin, Thamarat al-Muhimmah, dan Kitab Nasihat Segala Raja-
raja (Abu Hassan Sham, 1993). Kesusasteraan ketatanegaran Melayu yang dapat
dianggap terbesar ialah Bustam al-Salatin. Karya ini ditulis oleh seorang ulama
bernama Nuruddin al-Raniri di Aceh antara tahun 1637 hingga 1641 Masihi.
Beliau berasal dari Ranir, India dan menetap di Aceh setelah mendapat naugan
Sultan Iskandar Thani. Karya ini mengandungi tujuh bab, dan setiap bab dibahagi
kepada pecahan lagi yang dikenali sebagai fasal.

10

BAB III
PROSA MELAYU MODEN

Terdapat 3 genre dalam prosa Melayu Moden:

1. Cerpen • Jumlah perkataan antara 500-2000 patah perkataan
2. Novel • Latar terbatas
3. Drama • Mempunyai watak yang terbatas

• Ceritanya panjang dan lebih kompleks
• Latar tempat luas dan latar masa lebih panjang
• Melebihi 10,000 patah perkataan
• Watak lebih ramai

• Cerminan kehidupan masyarakat yang dilakonkan.
• Berbentuk skrip dan dipersembahkan dalam bentuk dialog dan aksi
• Tidak terdapat sudut pandangan kerana dituturkan oleh watak

1. CERPEN

A. DEFINISI

Cerpen ialah suatu bentuk cerita pendek yang membawakan persoalan tertentu yang
indah. Cerpen memusatkan pada satu watak dalam satu situasi di suatu tempat dan ketika.

B. CIRI-CIRI CERPEN

1. Cerpen adalah sebuah kisah atau cerita berbentuk prosa.
2. Cerpen yang baik mengandungi 1500 – 5000 patah perkataan.
3. Cerpen mengemukakan satu kejadian atau satu peristiwa.
4. kejadian atau peristiwa dikembangkan dalam jarak masa yang terhad.
5. Mempunyai watak yang terbatas.
6. Hanya memberatkan identifikasi dan perkembangan watak protagonis.
7. Plot dalam cerpen harus satu dan dikembangkan penuh rapi dan teliti tidak

menggunakan jarak waktu yang panjang seperti yang terdapat dalam sebuah
novel.
8. Cerpen memperlihatkan adanya unsur dramatik.
9. Cerpen mengisahkan dengan agak terperinci suatu peristiwa atau suasana.
10.Cerpen mesti menonjolkan hanya satu kesan.

11

C. SEJARAH CERPEN

1. Cerpen ialah singkatan daripada perkataan cerita pendek, iaitu cerita rekaan atau
cereka dalam bentuk prosa yang relatif pendek.

2. C erpen Melayu yang terawal ialah “Kecelakaan Pemalas” oleh Nor Bin Ibrahim
(Madrisi) yang terbit dalam majalah Pengasuh, 4 Februari 1920.

3. Faktor-faktor kelahiran cerpen Melayu:
(a) Berkait rapat dengan pengeluaran akhbar dan majalah – cerpen dianggap
“sastera persuratkhabaran”.
(b) Cerpen merupakan suatu alternatif untuk rencana kerana cerpen juga
mencerminkan pergolakan masyarakat semasa.
(c) Di samping itu, timbul pelbagai kritikan terhadap cerpen
(d) Terdapat banyak akhbar atau majalah yang menampung penerbitan cerpen
seperti majalah Guru, Majlis, Warta Ahad, Warta Jenaka, Utusan Zaman,
Mastika malah ada majalah khas iaitu Majalah Cerita.
(e) Faktor akhbar dan penerbitnya : oleh sebab ruangan akhbar yang terbatas,
penerbit merasakan lebih beruntung menyiarkan cerpen secara bersiri
kerana pembaca akan terus melanggani penerbitan mereka untuk
mengikuti akhiran cerita
(f) Perkembangan pesat yang berlaku dalam tahun 1930-an kerana kemuncak
bagi kebangkitan akhbar dan majalah di Tanah Melayu (82 akhbar dan
majalah diterbitkan). Jadi, bertambah ruangan penampungan cerpen,
sekali gus menambahkan bilangan penulis cerpen
(g) Antara penulis cerpen yang aktif ialah Abdul Rahim Kajai, Ishak Haji
Muhammad, Harun Aminurrashid dan A. Bakar Ali.

4. Dari segi bentuk, cerpen seolah-olah menolak lapangan baru – tidak terikat atau
dipengaruhi oleh bentuk-bentuk tradisi.

5. Oleh sebab sifat cerpen ketika itu tidak jelas, baik dari segi erti mahupun
bentuknya, ia lebih mengutamakan cerita-cerita yang mengandungi pengajaran.

6. Kebanyakan cerpen disiarkan secara bersiri – panjang pendek sesebuah cerpen
tidak menjadi ukuran. Cerpen bersiri menjadi suatu tradisi penulisan ketika itu.

Cerpen Melayu pada Zaman Sebelum Perang Dunia Kedua

1. Cerpen Melayu mula disiarkan dalam Majalah Guru pada tahun 1925, kemudian
terbit dalam akhbar mingguan Warta Jenaka dan Warta Ahad.

2. Abdul Rahim Kajai merupakan pelopor perkembangan cerpen Melayu melalui
akhbar yang tersebut di atas serta melalui Utusan Zaman.

3. Cerpen menjadi saluran untuk menyampaikan nasihat atau ajaran tertentu.
4. Abdul Rahim Kajai menghasilkan lebih daripada 36 buah cerpan dalam akhbar-

akhbar pimpinannya sementara Ishak Hj Muhammad menghasilkan lebih 20
cerpan dalam warta jenaka, Warta Ahad dan Utusan Zaman.

12

5. Cerpen – cerpen yang terhasil kebanyakan berupa saduran dari timur tengah dan
Eropah.

6. Majalah Guru tahun 1925 – 1941 menjadi pelopor perkembangan cerpen Melayu
sebelum Perang.

7. Pengarang – pengarang yang Prolifik pada zaman ini ialah Abdul Rahim Kajai,
Ishak Haji Muhammad dan Shamsuddin Salleh.

8. Penilaian terhadap cerpen Sebelum Perang Dunia Kedua:
(a) Cerpen kurang bermutu kerana pengarangnya bukan orang yang
profesional dalam bidang itu.
(b) Pengarang bersifat idealistik dan bersimpati kepada watak-wataknya dan
bersifat didaktik.
(c) Isi dan latar belakang cerpen berkisar pada masyarakat Melayu ketika itu
tentang soal cinta lelaki perempuan atau teruna dan dara.
(d) Watak-watak kurang hidup kerana pengarang lebih mementingkan amanat
yang hendak disampaikan, bukan dialog antara watak.
(e) Pengolahan plot kurang dipentingkan sehingga cerpen tidak natural atau
realistik.

Cerpen Melayu pada Zaman Pendudukan Jepun

1. Kedatangan Jepun ke Tanah Melayu benar-benar memberikan kesan yang
mendalam kepada corak pemikiran dan mentaliti masyarakat Melayu.

2. Usaha pemerintah Jepun mengawal media massa dan penggeraknya telah
mempengaruhi kesusasteraan Melayu dan tidak terlepas daripada membicarakan
keadaan zaman pemerintahan Jepun.

3. Dalam bidang cerpen media yang menjadi alat penampungannya ialah majalah
Semangat Asia, Fajar Asia, Cermin Hidup, Sinaran Matahari dan matahari
Memancar.

4. Tokoh – tokoh penulis cerpen zaman ialah Ishak Hj Muhammad, A. Samad
Ismail, Abdullah Sidek dan Nadzri Zainuddin.
Tema-tema cerpen zaman ini:
(a) Nasionalisme :
Semangat juang menentang penjajah seperti “Hujan Emas di Negeri
Orang”, “Sesat di Hujung Balik ke Pangkal”, dan “Kenapa Takut Jika
Berbuat Baik” karya Ishak Haji Muhammad;
(b) Percintaan :
“Dari Taiping ke Syonan-to” oleh Abdullah Sidek; dan
(c) Patriotisme :
“Menebus Dosa” oleh A. Kamel.

13

Cerpen Melayu Selepas Perang Dunia Kedua

1. Selepas Jepun berundur dari Tanah Melayu, bidang percetakan dan penerbitan
telah mengalami pertumbuhan yang amat pesat.

2. Tahun – tahun 1950-an telah meletakkan asas yang kukuh kepada perkembangan
kesusasteraan Melayu khususnya cerpen dan sajak.

3. Dua peristiwa sejarah yang penting yang mempengaruhi pemikiran penulis dan
pertumbuhan kesusasteraan Melayu ialah ura-ura kerajaan Inggeris hendak
menubuhkan Malayan Union dan peristiwa Darurat yang meninggalkan kesan
yang mendalam terhadap kehidupan orang Melayu.

4. Cerpen – cerpen pada zaman ini membawa pelbagai tema – soal hubungan dan
pergolakan dalam rumah tangga dan keluarga, masalah moral, khususnya tentang
muda mudi juga masalah kemiskinan masyarakat desa dan kota.

5. Dari segi tema banyak cerpen yang mengulas mendedahkan resah gelisah dan
penderitaan rakyat jelata malahan menentang ketidakadilan dalam masyarakat,
soal –soal politik dan kesedaran kebangsaan juga dibincangkan seperti cerpen
Hamzah yang bertajuk Pengkhianat Bangsa.

6. Diungkapkan juga tema patriotik seperti dalam cerpen – cerpen A. Samad Ismail
yang bertajuk “Di Antara Dua Kekasih” dan Keris Mas dengan cerpen “Insaf“
dan “Darah dan Air Mata“.

7. Tema darurat terdapat dalam cerpen – cerpen Keris Mas, iaitu yang bertajuk
“Kejadian Dalam Estet“ dan “Kedai Sederet di Kampung Kami“. Tongkat
Warrant turut menghasilkan cerpen – cerpen ”Kami yang Terlibat” dan
”Kenangan Jauh”.

Kesimpulannya, pada tahap ini cerpen-cerpen yang tersiar dalam pelbagai
media telah menjadi saluran utama para penulis Melayu menyuarakan segala
bentuk perubahan yang berlaku dalam kehidupan mereka.

Perkembangan Cerpen Melayu pada Tahun-tahun 1955-1959

1. Setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Kuala Lumpur mengambil
alih peranan Singapura sebagai pusat perkembangan kesusasteraan Melayu.

2. A.Samad Said merupakan perintis golongan baru mencari pembaharuan
dalam dunia penulisan cerpen.

3. Terdapat usaha untuk meningkatkan mutu penulisan cerpen di samping
usaha-usaha mencungkil bakat penulis seperti langkah Utusan Melayu
mengadakan peraduan mengarang cerpen melalui majalah Mastika pada tahun
(1952), Dewan Bahasa dan Pustaka (1957) dan Berita Harian
(1959 ).

4. A. Samad Said dianggap sebagai pengarang sindiran yang berjaya
melalui cerpen – cerpen ” Ahmad Zago ” dan ”M.P.Gudo – Gudo”.

5. Kassim Ahmad melalui cerpen ”Surat Antara Dua Sahabat” dan ”Pengarang”
dalam antologi ”Kemarau di Lembah” jelas menguasai teknik dalam penulisan
seperti teknik imbas kembali di samping penguasaan bahasa yang baik.

14

Perkembangan Cerpen Melayu pada Tahun –tahun 1960-an

1. Dalam tahun-tahun 1960-an, perkembangan cerpen Melayu terus mendapat
perhatian yang serius yang memberikan tenaga baru dalam sastera Melayu.
Pertumbuhan cerpen diperteguh lagi dengan bertambahnya media penampungan
akhbar-akhbar Utusan Zaman, Berita Harian, Berita Minggu, Utusan Pemuda dan
Mingguan Malaysia serta majalah-majalah Mastika, Dewan Bahasa, Dewan
Masyarakat, Wanita dan Pemimpin.

2. Beberapa buah penerbit turut terlibat dalam penerbitan antologi cerpen, iaitu
Penerbitan Federal Sdn Bhd, Qalam, Dewan Bahasa dan Pustaka, Pustaka Antara
dan banyak lagi.

3. Antara antologi cerpen yang diterbitkan dalam tahun-tahun 1960an termasuklah
Patah Tumboh (1963), Degup Jantung (1963), Debar Pertama (1964) dan lain –
lain.

4. Tema yang digarap dalam cerpen-cerpen tahun 1960-an ialah:
( a ) Kepincangan masyarakat seperti cerpen “Gajinya Seribu”
karya Alias Ali, “Borang G. 147” karya Shahnon Ahmad, dan
“Keluarga Wak Daeng” karya Arena Wati.
(b) Keruntuhan Moral seperti cerpen “ Malam Begitu Indah” oleh
Shahnon Ahmad, “ Dara yang Hilang” oleh Kala Dewata, dan Dunia
Pelaut” oleh Arenawati.
(c) Sindiran dan kelucuan yang terkandung dalam cerpen – cerpen
Shahnon Ahmad yang berjudul Pak Utih.

Kesimpulannya, pada tahun 1960-an memperlihatkan peranan cerpen sebagai alat media
yang berkesan untuk menyampaikan konsep, falsafah dan sikap para penulis. Di samping
terdapat beberapa gaya dan teknik penyampaian baru dalam penulisan cerpen dan tema
dan persoalan ternyata lebih luas dan dalam ruang lingkupnya.

Perkembangan Cerpen Melayu pada Tahun-tahun 1970-an

1. Dalam dekad 1970-an, terdapat kecenderungan beberapa orang penulis
melakukan pelbagai bentuk eksperimen dengan pelbagai teknik penulisan,
menerapkan pelbagai aliran baru dan menyimpang daripada tradisi penulisan
cerpen sebelumnya.

2. Perkembangan cerpen dekad 1970-an cenderung ke arah penghapusan aksi
bercorak fizikal dan mengarah kepada bercorak mental atau emosi. Watak –
watak didalamnya mengalami pergerakan secara batiniah atau fikiran dalaman
semata-mata.

3. Kesetiaan kepada keluarga dan kekuatan ikatan kekeluargaan dapat dilihat
melalui cerpen ”Kalau Ibu Sampai Takah Tiga” karya Shahnon Ahmad.

4. Tema pertentangan antara nilai-nilai hidup lama dengan yang baru terdapat dalam
cerpen ”Penunggu” Karya Ali Majod. Noorjaya atau kisah manusia yang terpencil
di desa dalam cerpen ”Angin dari Gunung” karya Mohd Affandi Hassan.

15

5. Penulis-penulis Melayu yang sudah established dan berpengalaman turut terlibat
secara aktif dalam penulisan cerpen sepanjang dekad 1970-an seperti S. Othman
Kelantan Shahnon Ahmad, Azizi Hj Abdullah, Aziz Jahpin, dan lain-lain.

6. Shahnon telah berubah cara penulisan cerpennya daripada perlukisan yang
deskriptif lahiriah kepada pelukisan dalaman yang lebih kompleks. Jiwa dan
watak-wataknya yang dikesani.

7. Azizi Hj Abdullah dan S. Othman Kelantan ialah dua orang penulis prolifik yang
berjaya menguasai bidang penulisan cerpen. Azizi menghasilkan sejumlah cerpen
yang lebih banyak daripada penulis-penulis lain walau pun masih berlegar
temanya sekitar masyarakat tani seperti ”Jerat Sudah Mengena” atau tema
keagamaan seperti ”Latifah Rabbaniah”.

8. Abdullah Hussain mencuba menimbulkan tema yang agak unik, penuh dengan
konflik watak-wataknya dengan beberapa penyelesaian yang menarik. Unsur
imbas kembali ( flasback ) menjiwai sepenuhnya dalam cerpen-cerpen tersebut.

9. Kegiatan bereksprimen dilakukan oleh penulis-penulis muda. Anwar Ridhwan
menggarap psikologi protagonis dengan menggunakan simbol dan bahasa puitis
seperti dalam cerpen ”Dunia Adalah Sebuah Apartment” dan kumpulan cerpen
”Parasi”t.

10. Dekad 1970-an juga menampakkan penerokaan tema berunsurkan Islam sejajar
dengan perkembangan kebangkitan Islam dan Dakwah di Malaysia. Hal ini
dimanfaatkan oleh Shahnon Ahmad melalui cerpen ”Riak” ( 1976 ), ”Kemelut”
(1977).

Kesimpulannya, penguasaan teknik yang beragam oleh para penulis cerpen menjadi
faktor yang mendorong minat mereka melakukan perubahan atau pembaharuan dalam
penulisan cerpen dekad 1970-an.

16

2. NOVEL

A. DEFINISI

Menurut Kamus Teras Sastera, novel bermaksud “karya kreatif berbentuk
fiksyen moden yang relatif panjang. Di dalamnya ada unsur-unsur fiksyen seperti
watak, plot, latar, dan sebagainya.

Bentuk konvensionalnya ada konflik, percubaan menyelesaikan konflik, puncak
dan peleraian.

B. SEJARAH PERKEMBANGAN NOVEL DI MALAYSIA.

a) Terdapat 3 zaman perkembangan novel di Malaysia:

i) Zaman Sebelum Perang Dunia Kedua
Tahun 1920-an-1929
Tahun 1930-an-1941

ii) Zaman Sebelum Merdeka
Ramai novelis lahir untuk mewarnai dunia penulisan novel tanahair.
Nama-nama seperti Keris Mas, Usman Awang, Ahmad Lutfi, Jimy
Asmara, Abdullah Hussain, A. Samad Said dan Abu Yazid Abidin adalah
antara yang terkenal pada era tersebut.
Contoh-contoh novel: Pahlawan Rimba Malaya & Korban Kesucian
(Keris Mas), 1374 Hari Berjuang, Balik Dari Medan Perjuangan, Sisa
Neraka (Ahmad Lutfi), Darah Kedayan, Cinta Gadis Rimba (Harun
Muhammad Amin).

Ciri-ciri Novel Sebelum Merdeka (1945-1957)

• Bentuk-bentuk Tema

- Penderitaan hidup zaman pemerintahan Jepun;
- Moral
- Sejarah
- kemasyarakatan

• Teknik

- Tidak memperlihatkan adanya pembaharuan dalam teknik
penceritaan.

- Pengarang lama: Masih kekalkan teknik sebelum perang
- Pengarang Muda: Lebih menumpukan kepada penulisan

cerpen.

17

• Latar

- Latar tempat keseluruhannya menggambarkan latar Tanah
Melayu seperti Kinabalu, Melaka, Borneo.
Contoh novel: Dewa Lombong Minyak, darah Kendayan,
Dayangku Fatimah, Jong Batu, Cinta Gadis Rimba, dll.

iii) Zaman Selepas Merdeka

a) Perkembangan Tahun 1957-1970-an

Lanjutan daripada tahun 1950-an. Pengarang yang terkenal seperti
Abdullah Hussain, A. Samad Said, Salmi Manja. Dewan Bahasa & Pustaka
telah ditubuhkan dan berpenanan penting dalam mengembangkan novel
dengan menganjurkan peraduan pada tahun 1958.
Contoh novel: Musafir (Hassan Ali), Salina (A. Samad Said), Lingkaran
(Arenawati), Desa Pingitan (Ibrahim Omar), Layang-layang Putus Tali.

- Ciri-ciri Novel Selepas Merdeka (1957-1970-an)

• Bentuk-bentuk Tema
i) Keadaan masyarakat dan kehidupan di sebuah negara
yang mencapai kemerdekaan.
Contoh novel: Rentong & Ranjau Sepanang Jalan (Shahnon
Ahmad),

ii) Emansipasi wanita

Contoh novel: Dari Mana Punai Melayang, Hendak

Hujan Hujan Sekali, Hari Mana Bulan Mana (Salmi

Manja), Sebelum Berhujungnya Musim Bunga (Zaharah

Nawawi), Seroja Masih Di Kolam (Adibah Amin), Badai

Semalam (Khadijah Hashim).

iii) Krisis politik di Malaysia
Contoh novel: Krisis (Alias Ali), Garis Hitam Membelah
Langit (Ruhi Hayat), Retak (M. Balfas), Kail Panjang
Sejengkal (A. Samad Ismail), Tikus Rahmat (Hassan
Ibrahim).

iv) Penderitaan dan kesengsaraan hidup semasa zaman
penjajahan Jepun serta kesan dari zaman Jepun.
Contoh novel: Di Bawah Alunan Ombak (Abdul Rashid
Ngah), Embukarya Tidak Lagi dan Tanah, Sungai
Mengalir Lesu, Salina (A. Samad Said).

18

v) Pembangunan masyarakat luar Bandar
Contoh novel: Desa Pingitan (Ibrahim Omar), Subuh (Atan
Long), SAGA (Abdul Talib Hassan).

vi) Hubungan antara kaum
Contoh novel: Subuh (Atan Long), Biru Warna (Awang
Had Salleh).

• Teknik Penceritaan

Banyak pembaharuan telah dilakukan. Novel-novel period
ini berjaya menyeimbangkan teknik penceritaan dengan
tema dan persoalannya. Terdapat sesetengah novel yang
dihasilkan zaman ini mendapat pengiktirafan peringkat
antarabangsa. Kebanyakan karya tidak lagi menggunakan
plot bersifat garis lurus. Banyak teknik digunakan untuk
kembangkan plot. Contohnya flashback, interior monolog,
monolog, suspens dan sebagainya.
Contoh novel: Ranjau Sepanjang Jalan (Shahnon Ahmad),
Pulanglah Perantau (Aziz Jahpin).

• Watak & Perwatakan

Watak-wataknya hidup dan bukan lagi boneka penulis atau
alat untuk penulis berkhutbah. Watak bukan hanya
mempunyai sifat stereotaip golongannya, tetapi juga
gambaran individualistik dirinya sendiri.
Contoh novel: Ranjau Sepanjang Jalan (Shahnon Ahmad),
Gelora (Arenawati), Tikus Rahmat (Hassan Ibrahim).

• Latar

Berfokus di kawasan kampung, Bandar dan pinggir Bandar.
Contoh novel: Salina karya A. Samad Said latar tempatnya
di Kampung Kambing, Singapura dan bilik-bilik pelacuran
di Bandar. Karya Shahnon Ahmad, kebanyakannya
berlatarbelakangkan masyarakat tempatan di Kedah.

b) Perkembangan Tahun 1970-an–1980-an

Pada era ini, kegiatan penulisan menjadi semakin rancak. Lahir lebih ramai
penulis-penulis baru dan sehingga kini mereka masih giat menulis dan

19

antara yang cukup prolifik. Contoh: Fatimah Busu, Shaari Isa, Anwar
Ridhwan, Azizi Hj. Abdullah, A. Talib Hassan, Shahnon Ahmad dan lain-
lain.
- Ciri-ciri novel Selepas Merdeka (1970 – 1980-an)

• Wujud unsur-unsur keragaman dalam bentuk penulisan
novel.
Contoh novel: Sandera (Arenawati), Interlok (Abdullah
Hussein), Pulanglah Perantau (Aziz Jahpin), Meniti Buih
(Alias Harun). Kebanyakannya menyuarakan satu
persoalan, iaitu persoalan pembangunan serta perpaduan
kaum.

• Berupa pengucapan masyarakat “agrasis” (teori tentang
fungsi sastera agrasis diperkenalkan oleh Prof. Ismail
Hussein) yang terdiri daripada golongan bawahan seperti
petani, nelayan, buruh.

• Penulis Shahnon Ahmad pula lebih gemar mengemukakan
persoalan serta isu semasa baik dalam sosiopolitik
mahupun kesusasteraan.
Contoh novel: Rentong dan Menteri.

Kesimpulan, dapatlah dikatakan bahawa novel-novel tahun 1970-an hingga kini adalah
novel-novel yang bermutu. Terbukti dengan lahirnya novel-novel yang memenangi
Hadiah Novel GAPENA.
Contoh novel: Bulan Merah di Tiga Kuala (Zahari Affandi), SAGA (A. Talib Hassan),
Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (Anwar Ridhwan) dan novel Jejak Pulang
(Dharmala N.S.).

20

3. DRAMA

A. DEFINISI

Menurut Glosari Istilah Kesusasteraan (DBP) istilah drama berasal daripada
perkataan Greek iaitu ‘dran’ yang bermaksud “melakukan”, “melakonkan” atau
“mencapai”.

Bagi Aristotle pula, drama sebagai “aksi manusia yang ditiru”. Menurut Kamus
Dewan (1991), maksud drama ialah cerita tentang kehidupan yang dilakonkan untuk
tontonan ramai dan disampaikan melalui dialog dan aksi atau gerak laku watak.

B. SEJARAH PERKEMBANGAN DRAMA DI MALAYSIA

1. Drama Melayu pertama yang diterbitkan ialah Drama Megat Terawis (1951).
2. Terdapat tiga zaman perkembangan Drama Melayu Moden:

a) Zaman Sandiwara (1950)
Drama zaman ini bercorak sejarah dan purbawan. Cerita berkisah raja-raja
atau pahlawan-pahlawan Melayu lama. Tokoh-tokoh dramatis seperti:
Shaharom Hussein (Drama Si Bongkok Tanjung Puteri) ,
Syed Alwi Al Hadi (Drama Hang Tuah Pahlawan Melayu)
Kalam Hamidy (Drama Anak Nazar Tujuh Keramat)

b). Zaman Realisme (1960-an)
Mengisahkan drama masyarakat yang realistik yang menggarap persoalan
seperti pertentangan nilai kota dan desa, rasuah, agama, politik,
keruntuhan akhlak dan pengaruh budaya kuning Dipelopori oleh Kala
Dewata (Drama Atap Genting Atap Rumbia), Antara tokoh lain ialah:
Awang Had Salleh (Drama Buat Menyapu Si Air Mata)
Usman Awang (Tetamu Di Bukit Kenny)

c). Zaman Kontemporari ( kini)
Merujuk kepada dekad 1970-an, 80-an dan seterusnya. Dekad 1970-an
merupakan dominasi drama bercorak “absurdisme”. Zaman 1980-an dan
seterusnya lebih kepada pelbagai corak dan aliran umumnya merupakan
penerusan kepada zaman-zaman sebelumnya.

21

C. CIRI-CIRI DRAMA

Apabila memperkatakan tentang drama, dua perkara penting yang perlu diutamakan:

a) Skrip atau naskhah lakon.
Perbezaan yang ketara antara drama dengan bentuk cereka yang lain ialah dari
segi pembahagian cerita. Dalam drama, cerita dibahagikan kepada babak dan
biasanya babak dipecahkan pula kepada bahagian yang lebih kecil disebut
“adegan”.

b) Pementasan Drama
Sememangnya tujuan asal drama adalah untuk pementasan. Pemahaman tentang
drama tidak mungkin tercapai dengan hanya pembacaan skrip sahaja. Pementasan
drama dapat dinikmati oleh audien secara langsung dan tanpa henti.

D. BENTUK DAN JENIS-JENIS DRAMA

a) Tragedi
Biasanya mengaitkan perkataan tragedi dengan kesedihan, darah dan air mata.
Watak-watak diperlihatkan berjuang melawan nasib buruk yang tidak berhenti-
henti. Drama tragedi menekankan tentang tragedi masyarakat, perjuangan kaum
dan sebagainya.Namu begitu, tragedi bukan hanya berakhir dengan air mata atau
pembunuhan tetapi juga dengan kegembiraan yang menyisipkan unsur
tragedisme. Contoh drama tragedi seperti Drama Hang Jebat Menderhaka oleh Ali
Aziz dan Drama Tragedi Tun Hamzah oleh Hassan Ibrahim.

b) Komedi
Membawakan cerita tentang hidup sehari-hari dengan berbagai-bagai kisah atau
peristiwa lucu yang boleh mentertawakan penonton. Biasanya digunakan oleh
pengarang untuk menyindir secara halus tentang sesuatu kejadian atau seseorang
tokoh yang terkemuka. Penceritaan dilebih-lebihkan sehingga dapat menimbulkan
rasa gelihati. Contohnya Drama Di Balik Tabir Harapan oleh Kala Dewata.

c) Tragi-komedi
Mempunyai kedua-dua cirri tragedi dan komedi. Ceritanya bukan sahaja
mengandungi unsur-unsur kesedihan dan kemalangan tetapi juga kelucuan dan
kesenangan. Sebagai contohnya Drama Ayam Jantan Ayam Betina dan Anak
Kerbau Mati Emak oleh Bidin Subari.

d) Bangsawan
Bercorak tradisional Melayu. Amat popular dalam kalangan masyarakat Melayu
pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua. Terdapat selingan lagu tetapi nyanyian

22

hanya merupakan selingan kerana dialog dan aksi lebih diutamakan. Contohnya
Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Hikayat Bistamam dan Dandan Setia.

e) Muzikal/Opera
Mengemukakan cerita bersama muzik. Lakonannya dinyanyikan. Tujuan utama
yang hendak ditimbulkan ialah muzik dan nyanyian, lakonan hanya sebagai alat.
Contoh Jula-Juli Bintang Tujuh dan Gul Bakawali.

f) Pantomim
Tidak menggunakan dialog. Lakonan dipersembahkan hanya melalui pergerakan
badan dan memek muka yang berlebihan untuk menyatakan aksi dan juga
perasaan watak. Contohnya Pantomim Sambutan Ma’al HIjrah, dan Sambutan
Hari Kemerdekaan.

E. ALIRAN DRAMA

a) Aliran Realisme
Aliran kesusasteraan yang bermula di Eropah pada abad ke-19. Realisme
bermaksud kehampiran kepada kenyataan atau kehampiran kepada hal-hal nyata.
Penulis lebih menekankan kepada gambaran atau pemaparan kehidupan yang
sebenarnya iaitu yang berlaku sehari-hari. Contoh Drama Atap Genting Atap
Rumbia karya Kala Dewata

b) Aliran Naturalisme
Karya-karya beraliran Naturalisme dalam kesusasteraan lebih cenderung
memberikan gambaran-gambaran daripada peristiwa atau keadaan manusia
(individu) dan manusia sejagat dengan tidak mengubah dan tidak juga menambah
akan perihal keadaan yang sebenarnya. Aliran ini seperti sambungan gaya dan
konsep yang dibawa oleh Realisme. Bezanya aliran Naturalisme menggambarkan
kehidupan dengan lebih tepat dan terperinci. Contohnya Drama Gendang Kosong
oleh Usman Awang.

c) Aliran Romantisisme
Aliran ini lahir daripada golongan yang berasa tidak senang dengan aliran
NaturalismeAliran ini menghasilkan stail drama yang menggambarkan keadaan
hidup yang penuh dengan fantasi, menekankan kepada yang ganjil-ganjil, penuh
pergolakan, keinginan-keinginan yang tidak diketahui dan tidak mungkin dicapai
dalam kehidupan realiti. Aliran ini juga amat jelas mengutamakan kebebasan
individu dengan gelombang-gelombang khayali dan mistik. Sebagai contoh
Drama Uda Dan Dara karya Usman Awang.

23

d) Aliran Surrealisme
Karya-karya seni yang menekankan ekspresi daripada imaginasi yang wujud
dalam mimpi dan dinyatakan dalam pengucapan di luar daya sedar. Contohnya
Drama Tok Perak oleh Syed Alwi.

e) Aliran Ekspresionisme
Aliran falsafah dalam bidang kesusasteraan ini adalah aliran yang cuba
menjadikan pengalaman dalaman manusia sebagai bahan penulisan. Selalunya
karya aliran ini membayangkan dunia pemikiran manusia moden yang dibelenggu
oleh rasa kegelisahan dalam kehidupan masyarakat industri dan teknologi yang
terumbang- ambing menuju kehancuran.

f) Aliran Absurdisme
Istilah absurd berasal daripada perkataan dalam bahasa Latin, “absurdum”.
Perkataan ini membawa maksud sesuatu yang bertentang atau selari. Makna
literalnya tidak harmoni. Contohnya Drama Jangan Bunuh Rama-Rama oleh
Noordin Hassan.

24

BAB IV

KAJIAN STRUKTURAL

1. TEMA (theme)

A. DEFINISI TEMA
• Idea atau persoalan pokok atau idea yang mengawal sesebuah karya -
Glosari Istilah Kesusasteraan
• Persoalan utama dalam karya yang terungkap secara tidak langsung
(implisit) atau secara langsung (eksplisit) – Kamus Teras Sastera
• Gagasan penyatuan pendapat atau idea pengarang
• Sesuatu fikiran / persoalan bagi pengarang yang menjadi dasar dalam
ceritanya.

B. CARA TEMA DIPERKENALKAN
• Tema Tersurat (eksplisit) – dinyatakan secara terus terang daripada
komen, huraian dan pandangan pengarang sendiri. Mudah dikesan.
• Tema Tersirat (implisit) – tidak dipaparkan, watak dalam cerita yang
mendedahkan temanya. Pembaca perlu berfikir panjang, teliti situasi
dan peristiwa serta membuat tafsiran sendiri.

C. JENIS-JENIS TEMA
• Tema Perwatakan
• Tema Psikologi
• Tema Adat resam
• Tema Sejarah
• Tema Sosial
• Tema Politik
• Tema Alam
• Tema Agama

D. CARA MENGESAN TEMA
• Kesan daripada perwatakan watak-watak – percakapan, tingkah laku,
konflik dalaman, pendapat dan pandangan;
• Kesan daripada peristiwa-peristiwa, kisah-kisah, suasana, nilai
kemanusiaan, kemasyarakatan dan sebagainya;
• Kesan daripada perkara-perkara yang paling menonjol dalam cerita;

25

• Kesan persoalan-persoalan dan pokok persoalan keseluruhannya; dan
• Kesan daripada plot cerita – elemen, susunan, urutan plot.

Mencari tema sesebuah karya sastera, samalah seperti mencari sebuah titik dalam
sebuah garisan panjang, adakalanya mudah dan adakalanya hingga sampai ke tahap
membingungkan. Namun tema tetap ada dan para pengkaji atau pengkritik pasti mampu
menemuinya.

Contoh: Drama Uda dan Dara karya Sasterawan Negara Allahyarham Datuk
Dr. Usman Awang
Perkara: Percintaan
Tema: Cinta Tidak Mengenal Darjat

Dalam drama Uda dan Dara, isu yang diketengahkan adalah tentang percintaan iaitu
antara Uda yang miskin dengan Dara yang kaya. Temanya pula ialah pandangan yang
mendalam tentang percintaan mereka itu, iaitu cinta yang tidak mengenal kaya atau
miskin. Tema memerlukan kita melihat bukan sahaja kepada apa yang tersurat tetapi juga
kepada apa yang tersirat.

• Yang tersurat – percintaan pasangan muda-mudi yang tidak direstui
• Yang tersirat – masyarakat masih menilai individu dari segi kedudukan

kewangan sebagai jaminan kebahagiaan dalam berumahtangga.

2. LATAR (setting)

A. DEFINISI LATAR
Latar (setting) atau latar belakang cerita – tempat peristiwa berlaku dalam
sesuatu ruang dan pada sesuatu masa tertentu. Selalunya latar diperkenalkan di
permulaan cerita.

B. JENIS-JENIS LATAR

Latar Tempat – di mana cerita / peristiwa berlaku.

Latar Masa – masa atau zaman sesuatu cerita itu berlaku

Latar Masyarakat – gambaran keadaan masyarakat di tempat
kejadian itu berlaku yang merangkumi cara
hidup, cara berfikir, cara bekerja dan sebagainya.

C. FUNGSI UTAMA LATAR itu pula

• Menghidupkan watak dan perbuatannya.
• Dapat melahirkan satu-satu keadaan suasana tertentu – suasana

dapat memberi gambaran pada watak

26

• Dapat menunjukkan tema dan makna sesebuah cerita – keadaan / suasana
tempat yang terbiar dan kotor dapat memancarkan tema kemiskinan

• Untuk menunjukkan bentuk jalan cerita / plot
• Untuk memperjelaskan dan menguatkan tema, plot dan suasana cerita

3. WATAK DAN PERWATAKAN (character and characterization)

A. DEFINISI WATAK
• Watak ialah manusia atau bukan manusia yang berfungsi sebagai pelakon
dalam sesebuah karya.

B. DEFINISI PERWATAKAN
• Merupakan pelaku yang dapat menghidupkan jalan cerita di samping
menjadi perantaraan bagi diri penulis sendiri.

C. JENIS-JENIS WATAK

i) Watak Bulat / Utama
• Digambarkan tidak sepenuhnya jahat dan tidak pula sepenuhnya baik.

Watak ini selalunya penuh bertenaga dan sentiasa mengalami perubahan
mengikut cerita. Watak bulat berkembang sepenuhnya.
• Contoh : Rahmat (SAGA)

Kae dan Otsugi (IHS)

ii) Watak Pipih / Sampingan
• Watak ini tidak dibangunkan secara keseluruhan tetapi diperkanalkan

melalui sesuatu aspek peribadinya oleh pengarang. Watak pipih tidak
berkembang sepenuhnya.
• Contoh : Koriku / Okatsu (IHS)

Shamsiah (AGAR)

iii) Watak Kodi
• Watak kaku / tempelan sebagai pelengkap cerita. Digunakan oleh

pengarang untuk menyalurkan idea atau pendapatnya.
• Contoh : Mafutsu (IHS)

Zainab (AGAR)

iv) Watak Dinamis
• Watak yang mengalami banyak perubahan dalam cerita
• Contoh : Mazni (Badai Semalam)

Jalil (SAGA)

v) Watak Statis
• Watak beku yang tiada perubahan

27

• Contoh : Ibu Anita (Menjelang Takbir)
Charlotte (Lagak Wasangka)

vi) Watak Protagonis
• Watak utama ( watak dasar atau watak pusat ) dalam sesebuah karya

fiksyen.

vii) Watak Antogonis
• Pihak atau watak dalam cereka yang terlalu kuat menentang tokoh utama

sehingga menerbitkan konflik.

Contoh Gabungan Jenis Watak:

Bulat, Statis : Jeha (Ranjau Sepanjang Jalan)
Charles Bovary (Madam Bovary)

Bulat, Dinamis : Karim (Badai Semalam)
Nobutoshi (Meniti Senja)

Pipih, Statis : Pak Utih Rahman (SAGA)
Bapa Dr. Ali (Degup Jantungnya)

Pipih, Dinamis : Pn. Rohana (Badai Semalam)
Jalil (SAGA)

D. CIRI-CIRI WATAK YANG BERKESAN

• Watak dihidupkan melalui perbuatannya. Pembaca mengenalinya
melalui percakapan, fikiran, gerak laku, anggapan orang lain
terhadapnya dan bagaimana reaksi orang lain tentangnya.

• Watak-watak itu mestilah sejajar; gerak laku dan perkataannya dapat
diterima sebagai benar.

• Watak yang menarik mempunyai motivasi, iaitu setiap
perbuatannya itu ada sebabnya.

• Watak-watak tersebut meyakinkan; realistik, hidup dan boleh
dipercayai

• Watak yang berkesan boleh menimbulkan reaksi daripada pembaca,
sama ada yang bersifat positif mahupun negatif.

28

E. CARA-CARA MENGESAN WATAK
( Contoh Watak Usu dalam Cerpen Kunang-kunang)
• Melalui perlukisan pengarang
Contoh : Usu cantik orangnya, mukanya bujur telur, putih kuning kulitnya.
• Melalui tindak tanduk dan aksinya
Contoh : Tiba-tiba Usu melarikan mukanya dan cepat-cepat menyapu air
mata dengan hujung lengan bajunya.
• Pendapat, pandangan dan tindakan orang lain terhadapnya
Contoh : “Budak tak sedar diri, kau peduli apa, yang kau mengendap aku
buat apa? Budak tak sedar diri!” Ibu terus memarahi Usu.
• Percakapan dan apa yang diucapkannya (dialog watak)
Contoh : “Jangan gitu sayang, tak baik, derhaka namanya.”
• Dikesan melalui tabiat, tingkah laku, fiil perangai semula jadi serta
pandangan orang lain terhadap watak.
Contoh : Aku tahu abah sayangkan Usu. Setiap kali abah pulang dari luar
negara ada saja hadiah yang dibawa untuk Usu.

29

LATIHAN
Berdasarkan cerpen ‘______” cuba anda kenal pasti perwatakan watak utamanya

dengan berpandukan ‘Cara Mengesan Watak’ yang diberikan.

Cara mengesan watak WATAK: Contoh / bukti.
1. Melalui perlukisan Perwatakan
pengarang

2. Melalui tindak tanduk
dan aksinya

3. Pendapat, pandangan dan
tindakan orang lain

4. Percakapan dan apa yang
diucapkannya

5. Melalui tabiat, tingkah
laku, fiil perangai semula
jadi serta pandangan orang
lain terhadap watak.

30

BAB IV

PUISI MELAYU

A. PENGENALAN

Puisi ialah bidang kesenian yang tergolong dalam genre kesusasteraan.
Pelbagai definisi puisi telah diberikan oleh peneliti, pengkritik dan penyair dari
pelbagai bidang kesusasteraan dan budaya. Secara etimologi, istilah puisi berasal
daripda bahasa Yunani poeima yang bererti pembuatan. Puisi diertikan sebagai
“membuat” dan “pembuatan” kerana puisi itu pada dasarnya merupakan suatu
dunia tersendiri yang dicipta oleh pengarangnya bagi menggambarkan sesuatu
pemikiran atau gagasan penciptanya. Puisi juga merupakan salah satu cabang
sastera yang menggunakan kata-kata sebagai wahana penyampaian bagi
membuahkan ilusi dan imaginasi dalam menggambarkan gagasan pengarangnya.

B. DEFINISI PUISI

• Zainal Abidin Ahmad (1962:218) - Puisi ialah sebuah karangan berangkap
khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah
dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa. Maka dengan gambaran
yang cantik ini, perkara yang dikatakan bertambah menarik kepada hati orang
yang mendengarnya. Seterusnya, beliau telah menyatakan struktur puisi atau
apa yang disebutnya sebagai karangan berangkap itu sebagai:

…karangan yang disusun dengan bahagian yang berkerat-kerat,
dan antara sekerat dengan sekerat itu biasanya berjodoh
bunyinya atau rentaknya atau isinya, serta kebanyakannya
memakai timbangan atau sukatan yang tertentu…

• Anis (1973: 2-3) – Puisi ialah cabang kesenian yang disebut sastera yang
bererti bahasa indah, berirama dan mempunyai bentuk tertentu. Puisi biasanya
lebih singkat dan dikongkong oleh bentuk, dan dalam setiap hal lebih padat,
lebih ringkas dan lebih berkesan daripada prosa.

• Situmorang (1974:7) – Puisi ialah penghayatan kehidupan manusia totalitas
yang dipantulkan oleh Penciptanya dari segi peribadinya, fikirannya,
perasaannya, kemahuannya dan lain-lain.

• Hashim (1984:55) – Puisi ialah karangan berangkap yang ditulis dengan cara
susunan kata-kata yang mementingkan irama, bunyi dan kiasan. Puisi juga
merupakan alat pengucapan fikiran yang terindah dan paling berkesan. Beliau

31

turut menjelaskan bahawa puisi mempunyai empat ciri utama, iaitu tema
(maksud), perasaan (emosi), nada dan tujuan.

• Muhammad Hj. Salleh (1984:2) - Puisi ialah suatu genre sastera atau bentuk
sastera yang kental dengan muzik bahasa serta banyak menggunakan unsur
bahasa seperti rima, irama, metafora dan seumpamanya.

• Samuel Taylor Coleridge - Puisi sebagai perkataan terbaik dalam susunan
terbaik (the best words in the best order).

C. JENIS- JENIS PUISI

1. Puisi Tradisional

Puisi Melayu tradisional ialah tradisi lisan yang sudah tetap bentuk dan
kalimatnya. Biasanya, puisi tradisional terbentuk daripada beberapa baris kalimat,
berangkap atau tidak berangkap; ada berasaskan matra, jumlah perkataan dan suku
kata dalam sebaris, persamaan dan pertentangan rima dan ritma antara baris. Puisi
Melayu tradisional bukan sekadar untuk hiburan, pengajaran, dan alat komunikasi
secara umum, malah diserapkan ke dalam kegiatan-kegiatan hidup bermasyrakat,
dalam ritual dan upacara, dalam adat dan perundangan, juga dalam kegiatan yang
berunsur keagamaan (Harun Mat Piah, 1987:307).

Dalam kesusasteraan Melayu tradisional, beberapa jenis puisi telah dikenal
pasti lahir sebagai hasil kreativiti masyarakat Melayu sendiri di samping yang
disadur daripada tradisi luar terutama tradisi Arab-Parsi yang telah dibawa oleh
Islam. Terdapat juga puisi yang didakwa sebagai serpihan tinggalan budaya Hindu,
namun telah diiktiraf sebagai hasil Melayu asli kerana telah berlaku perubahan dan
penyesuaian sehingga berbeza daripada bentuk asalnya, seperti gurindam dan seloka.

Harun Mat Piah (1989) mencadangkan supaya genre puisi Melayu tradisional
ditentukan berdasarkan kepada tiga aspek iaitu struktur atau bentuk binaannya, tema,
isi dan persoalan, dan fungsi puisi tersebut dalam masyarakat khalayak. Antara genre
puisi Melayu tradisional ialah:-

• Pantun

Harun Mat Piah (1989), telah memberikan definisi pantun berdasarkan aspek
dalaman dan luaran atau struktur visualnya. Aspek dalaman pantun meliputi
unsur estetik dan isi (tema dan persoalan). Unsur estetik pantun dapat
dilihat berdasarkan dua aspek. Pertama, yang berkaitan dengan penggunaan
lambang-lambang tertentu yang terdapat dalam pantun mengikut tanggapan

32

dan pandnagan dunia masyarakat Melayu. Kedua, berdasarkan hubungan
makna antara pasangan pembayang dengan pasangan maksud sama ada
secara konkrit atau abstrak.

Berdasarkan aspek luarannya, ciri pantun dapat dilihat daripada aspek
strukturnya atau ciri-ciri visualnya iaitu:-

i. Pantun mempunyai rangkap-rangkap yang berasingan. Setiap
rangkap terbina daripada baris-baris yang sejajar dan berpasangan
seperti 2, 4, 6, sehingga 16. Namun terdapat juga pantun berkait
yang biasanya dalam bentuk empat kerat.

ii. Setiap baris mengandungi kata dasar antara empat hingga lima
patah perkataan, dengan jumlah suku kata antara lapan hingga dua
belas.

iii. Setiap stanza atau rangkap pantun mempunyai dua unit (kuplet)
iaitu unit (kuplet) pembayang atau sampiran (separuh jumlah
baris bahagian pertama) dan unit (kuplet) maksud (separuh
jumlah baris bahagian kedua).

iv. Pantun mempunyai skema rima hujung yang tetap iaitu a-b,a-b
dengan sedikit variasi a-a, a-a; a-b, a-a; a-b, b-a dan sebagainya.
Tetapi yang lumrah ialah a-b, a-b.

Dalam masyarakat Melayu, fungsi pantun ialah seperti berikut:-
i. Digunakan dalam aktiviti masyrakat seperti dalam kegiatan seni
keagamaan, dan adat istiadat.
ii. Sebagai alat komunikasi untuk menyampaikan isi hati dan hajat,
seperti sanjungan, pemujaan dan ucapan selamat kepada seseorang
dalam sesuatu upacara atau majlis.
iii. Sebagai alat hiburan dan bahan jenaka serta gurau senda,
terutamanya pantun jenaka dan pantun usik-mengusik serta pantun
dalam permainan.
iv. Sebagai alat pendidikan sama ada secara menyindir, kiasan atau
berterus-terang.
v. Sebagai alat menguji ketajaman akal dan kehalusan perasaan
seperti pantun teka-teki, pantun peribahasa dan pantun yang
terdapat dalam puisi adat atau teromba.
vi. Sebagai alat untuk mendapat gambaran masyarakat, terutamanya
Melayu, pandangan hidup, harapan, cita-cita, daya estetik dan
perspektif mereka seluruhnya. Oleh itu, banyak sarjana
berpendapat bahawa untuk mengenal bangsa Melayu, kenalilah
pantun mereka.

Menurut Zainal Abidin Bakar (1991), pantun juga boleh diklasifikasikan
kepada sebelas tema iaitu:-

i. Pantun adat dan resam manusia
Menanam kelapa di Pulau Bukom,

33

Tinggi sedepa sudah berbuah;
Adat bermula dengan hukum,

Hukum bersandar kitabullah.

ii. Pantun agama dan kepercayaan
Asam rumbia dibelah – belah,
Buah separah di dalam raga;
Dunia ikut firman Allah,
Akhirat juga mendapat syurga.

iii. Pantun budi
Bunga Cina di atas batu,
Jatuh daunnya ke dalam ruang;
Adat dunia memang begitu,
Sebab emas budi terbuang.

iv. Pantun jenaka dan permainan
Apa guna berkain batik,
Kalau tidak memakai capal;
Apalah guna beristeri cantik,
Kalau tak guna menumbuk sambal.

v. Pantun teka-teki
Tarik pukat dari pangkalan,
Gula Melaka dibuat inti;
Bila diikat dia berjalan,
Bila dibuka ia berhenti.

vi. Pantun kepahlawanan
Angkut – angkut terbang ke langit,
Mati disambar anak merbah;
Tertangkup bumi dengan langit,
Setia tidak akan berubah.

vii. Pantun nasihat dan pendidikan
Bukan rusa sebarang rusa,
Rusa larangan raja Melayu;
Jangan biasa membuang masa,
Masa berjalan lepas selalu.

viii. Pantun peribahasa dan perbilangan
Anak todak di dalam buyung,
Ditangkap orang di Laut China;
Kalau tidak dipecah ruyung,
Manakan dapat sagunya.

34

ix. Pantun kias dan ibarat
Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.

x. Pantun kembara dan perantauan
Cendrawasih si raja burung,
Turun ditaman Indra Mambang;
Perahu siap belayar belum,
Nanti angin dari belakang.

xi. Pantun percintaan
Layanglayang terbang melayang,
Jatuh ke laut disambar jerung;
Siapa kata abang tak sayang,
Jikalau bunga rasa nak gendong.

• Syair

Istilah syair berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud puisi secara
umum. Namun syair Melayu tidak beracuankan syair daripada tradisi Arab
atau mana-mana puisi Arab-Parsi tetapi dalam bentuk dan acuan asli
masyarakat Melayu. Orang Melayu berkenalan dengan syair sejak zaman
awal bertapaknya Islam di alam Melayu melalui pengkajian kitab yang
terdapatnya bentuk syair seperti Al-Luma’, Fusus al-Hikam, Al-Insan al-
Kamil yang dibawa oleh pengembang agama Islam ke Melaka. Syair
berbahasa Melayu yang pertama ditemui di batu bersurat atau prasasti Minye
Tujuh (1380M).

Bentuk konvensional syair Melayu mengandungi empat baris serangkap
dengan rima a/a/a/a. Bentuk inilah yang paling dominan dalam masyarakat
Melayu walaupun terdapat juga variasi bentuk-bentuk yang lain. Walau
bagaimanapun, variasi ini hanyalah kepada bentuk visualnya sahaja
khususnya daripada rima akhirnya. Menurut Harun Mat Piah (1989:242),
berdasarkan isi dan tema, syair Melayu mempunyai tujuh jenis tema yang
berbentuk cerita (naratif) dan bukan cerita (bukan naratif), iaitu:

Syair yang berupa cerita:
i. Syair Romantis
ii. Syair Sejarah
iii. Syair Keagamaan
iv. Syair Kiasan (alegoris)

Syair bukan cerita:

35

i. Syair Agama
ii. Syair Nasihat
iii. Tema-tema lain yang berasingan.

Syair Nasihat
Syair Kelebihan Ilmu: Ilmu Itu Bekalan Hidup

Berkata ilmu akulah sultan,
Kerajaan aku darat dan lautan,
Jahil berseru akulah syaitan,
Ikutlah aku merata hutan.

Ilmu itu gemala sakti,
Sinarnya cerah cahaya sejati,
Asal puncanya lamun didapati,
Sukar bercerai sehingga mati.

Harganya tidak dapat ternilaikan,
Sebuah dunia belinya bukan,
Kuasanya bersukat digunakan,
Di laut, di darat, di rimba dan pecan.

Jasa seorang ialah taulan,
Teman berbeka suluh berjalan,
Jasa berhimpun ialah pengenalan,
Hiasan penyata polan si polan.

Bagi yang duka ia penghibur,
Ia penerang bagi yang kabur,
Ialah kandil di dalam kubur,
Lamun dengannya beramal subur.

Ialah penerang ke jalan syurga,
Ia pemuas tekak dan dahaga,
Ialah sungai ialah telaga,
Laut yang luas ialah juga.

Ialah alat sangat berguna,
Idaman orang yang bijaksana,
Hampirnya luas pandang sejuta,
Tepinya ajal sempadannya fana.

36

Sumber: Dituturkan oleh Haji abd. Rahim Shafie, Langkawi, Kedah kepada
Wahyunah Haji Abd Ghani dan Mohamd Shahidan (peny.), 2000 dalam Puisi
Melayu Lama Berunsur Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

• Gurindam

Menurut Ismail Hamid (1989), istilah gurindam berasal daripada bahasa
Sanskrit. Manakala menurut Raja Ali Haji;

“ adapun gurindam itu, iaitu perkataan yang bersajak
akhir pasangannya, tetapi sempurna perkataannya
dengan satu pasangannya sahaja, jadilah seperti sajak
yang pertama itu syarat dan sajak yang kedua itu jadi
seperti jawab”.

Berdasarkan definisi yang diberikan oleh Raja Ali Haji, Sutan Takdir
Alisjahbana (1954) menjelaskan pembentukan gurindam biasanya terjadi
daripada sebuah kalimat majmuk, yang dibahagi menjadi dua baris bersajak.
Tiap-tiap baris itu ialah sebuah kalimat, dan perhubungan antara anak
kallimat dengan induk kalimat. Jumlah suku kata tiap-tiap baris itu tidak
ditentukan. Rimanya juga tidak tetap. Fungsi gurindam pula ialah sebagai
hiburan dan pendidikan selain berfungsi untuk mendokumentasikan
gambaran masyarakat Melayu lama.

Gurindam Dua Belas
Oleh Raja Ali Haji

Ini Gurindam Fasal yang Keenam

Cahari olehmu akan sahabat,
Yang boleh dijadikan ubat.

Cahari olehmu akan guru,
Yang beleh tahukan tiap seteru.

Cahari olehmu akan isteri,
Yang boleh menyerahkan diri.

Cahari olehmu akan kawan,
Pilih segala orang setiawan.

Cahari olehmu akan abdi,
Yang ada baik sedikit budi.

37

• Dikir / Zikir

Menurut Harun Mat Piah (1989), dikir berasal daripada perkataan Arab, zikir
yang bermakna puji-pujian terhadap Allah s.w.t dan rasul-Nya Nabi
Muhammad s.a.w. Dalam perkembangan puisi Melayu Tradisional, puisi
dikir/zikir bermakna puisi puji-pujian. Dikir/zikir juga merupakan puisi yang
mengandungi isi tentang unsur-unsur agama, sama ada tentang ibadat, puji-
pujian, pengajaran atau tentang Nabi Muhammad s.a.w. dan ajaran-
ajarannya.

Dikir Dabus
Allah hee Allah huu ya Allah,
Baddal hee ya maula,
Allah hee Allah huu ya Allah,
Hudal le ma ti habur sere ya Allah.

Allah humma salli Allah,
Allah he salli dona Allah,
Allah Muhammadun sahu ya Allah,
Hee Allah Allah wabiza aalihi.

Pada kasih penghulu kita Muhammad,
Cahaya bulan empat belas petunjuk yang sempurna,
Hati rindu kepada Nabi Muhammad,
Sentiasalah didapat daripada yang sempurna.

Allah hee Allah huu ya Allah,
Baddal hema hee ya maula,
Allah hee Allah huu ya Allah,
Baddal hema habur sere ya Allah.

Tiada aku kasih selain nabi Muhammad,
Sebaik-baik rasul yang didatangkan wahyu yang mulia,
Kasih sangat kepada Muhammad,
Walau wafat tetap ingat Muhammad.

Allah huma salli Allah,
Allah he salli dona,
Allah Muhammadun sahu ya Allah,
Hee Allah Allah wabiza aalihi.

Perhimpunan Mahsyar kita dapat neraka jahanam,
Terlepas daripada kesengsaraan neraka jahanam,

38

Dilahirkan penghulu kita Nabi Muhammad,
Pusat pemerintahan Negara yang mulia.

• Rubai

Rubai berasal daripada sastera Parsi dan merupakan puisi tertua dalam bahasa
tersebut. Apabila Parsi menerima Islam, puisi tersebut menjadi sebahagian
daripada puisi warisan Islam. Tokoh yang identik dengan rubai ialah Omar
Khayyam (1132). Puisi rubai diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh Edward
Fitzgerald (1809-1883) dan ini menjadikan rubai Omar Khayyam begitu
terkenal. Rubai dalam bahasa Melayu pertama kali diperkanalkan oleh
Bukhari al-Jauhari dalam teks Taj al-Salatin. Rubai karya Omar Khayyam
pula telah diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh tokoh bahasa dari Johor iaitu
Mejar Dato’ Haji Muhammad Said bin Haji Sulaiman (1868-1955)
berdasarkan versi Inggeris yang diterjemahkan oleh Edward Fitzgerald.

Para sarjana mengatakan rubai berbentuk sajak yang terdiri daripada empat
baris (sajak a-a-a-a) yang selalunya bertujuan falsafah atau tasawuf serta
berbentuk epigram. Dariapada segi cirinya, pola rima a-a-b-a atau a-a-a-a
(sedikit); jumlah barisnya terdiri daripada empat baris serangkap; manakala
suku katanya ialah antara lapan hingga dua belas suku kata. Isinya pula
lengkap dalam satu rangkap, dan temanya membawa persoalan yang bersifat
falsafah, agama, nasihat, dan sejarah.

Kemuliaan Insan
Peri permulaan keadaan insan,
Itulah ingatan dirimu yang berirfan,
Supaya mengetahui perinya ini,
Dengan takdir lagi dengan ihsan.

Manusia
Subhanallah apa hal manusia,
Yang jadi tanah dalam tanah itu yang hina,
Jadikan akhir tubuh ia yang ada,
Yang pada ia termulia.

Dunia
Dunia itu yang indah terindah pun ia,
Hina juga ia lagi termulia,
Bahawa yang tiada mengenal dunia,
Bahaea hidupnya itu adalah sia-sia

39

• Nazam

Bentuk puisi ini biasanya digubah oleh ulama menurut kaedah dan timbangan
puisi Arab. Temanya selalu berhubung dengan keagamaan, pendidikan, dan
keilmuan. Antara ciri-ciri khasnya ialah: pertama, terdiri daripada dua baris
serangkap dengan jumlah perkataan dan suku kata di dalam sebaris tidak
tetap. Kedua,skema rimanya ialah a-a atau a-b, c-b, d-b dan seterusnya; dan
kadang-kadang a-a,b-b, c-c dan seterusnya. Isinya pula menyentuhtentang
hal-hal agama. Selalunya isi nazam tidak sempurna dalam dua baris; dan puisi
ini boleh dibawa secara berlagu seperti nasyid dan qasidah.

Tema dalam puisi nazam selalunya berhubung dengan persoalan keagamaan,
pendidikan, dan keilmuan. Ada juga yang bertemakan nasihat, akhlak dan
sebagainya. Mesej yang terkandung dalam nazam menggambarkan fungsinya
yang tersendiri. Antaranya;-

i. Menyampaikan peristiwa sejarah
ii. Menyampaikan pengajaran agama seperti ilmu tauhid
iii. Menyampaikan nasihat dan pendidikan.

Nazam Ajal
Kalau sungguh kamu yakin akan mati,
Jangan kamu lalai pada nafsu hati.

Benar tidak bila ada amal kamu,
Puas hati tidak sesalkan dirimu.

Ingat-ingat hai saudara masa itu,
Nyawa sampai batang leher baru tentu.

Kita ini akan matilah sudahnya,
Tidak tahu bila sampaikan ajalnya.

Pahit mati itu bukan macam jadam,
Bukan pula macam api boleh padam.

Oleh itu mari kita sama-sama,
Buat amal jangan leka jangan lena.

Pada Tuhan kita datanglah asalnya,
Pada Tuhan kita kembalilah sudahnya.

40

• Ghazal

Ghazal bermaksud puisi bersifat cinta. Puisi yang berasal dari Paris ini
merupakan sejenis nyayian di kalangan orang muda yang dalam percintaan.
Sajak puisi ini terdapat pada kata yang di belakang, misalnya:

Kekasihku seperti nyawa pun adalah terkasih dan mulia juga,Dan
nyawaku pun, mana daripada nyawa itu jatuh ia juga, Jika seribu tahun
lamanya pun hidup ada sia-sia juga.

Bagaimanapun, secara umumnya puisi ini berpolarimakan a-a, yang diulang-
ulang. Perulangan juga secara a-b, b-c, c-d dan seterusnya, baris-barisnya
terdiri daripada ayat yang panjang panjang. Perkataannya tidak disukat
banyaknya, dan terdiri daripada 20 hingga 22 suku kata. Panjangnya dalam
lingkungan belasan baris. Pada bahagian akhir, penggubahnya menyelitkan
namanya sebagai peleraian (takhallus). Tema ghazal berkaitan dengan
persoalan cinta, sama ada cinta sesama manusia ataupun cinta manusia
terhadap Tuhan. Pada umumnya, puisi ghazal berperanan sebagai alat
komunikasi yang menyatakan cinta dan kasih sayang.

Kekasih

Kekasih aku seperti nyawa mulia juga,
Kekasih ia juga dengan bawa pun ia juga,
Dijauh daripada nyawa itu barang siapa,
Jika seribu tahun hidup sia-sia juga,
Yang ada serta ia bahawa itu sentiasa,
Sekeliannya kesukaan ia sedia-sedia juga,
Nyawa itu ia menghidupkan segala hati hidupan nyawa dan

hati manusia juga membawa suka,
Hati yang menghilang halar kekasihku itulah yang setia juga,
Kekasihku itu yang menyukakan hati hidayat itu adanya,
Lagi hidayat itu juga bukhari itu adanya,
Serta nyawa itu ia juga,
Beruntung lagi berbahagia jua.

• Berzanji

Berzanji terdapat dalam dua bentuk iaitu berzanji nathar (bentuk prosa
berirama) dan bentuk puisi.Sebagai puisi tumpang, berzanji menggunakan
bentuk nazam dan syair yang dilagukan. Rima akhir sesuatu rangkap atau
rawi dalam bacaan berzanji ini adalah a, a, a, a sama ada dalam ejaan asalnya
(Jawi) mahupun dalam terjemahan bahasa Melayu. Berzanji bertemakan
keagungan Allah dan puji-pujian terhadap Nabi Muhammad. Berzanji

41

biasanya dilagukan untuk majlis-majlis seperti sambutan Maulidur Rasul,
majlis perkahwinan (Ucapan untuk pasangan pengantin), majlis bercukur
rambut dan majlis Khatam al-Quran.

Barzanji Kelahiran Junjungan
Ketika genap dua bulan Nabi dalam kandungan ibunya,
Ayahandanya, Abdullah wafat di Madinah, negeri yang mulia,
Abdullah berziarah ke sana ke tempat bapa saudaranya,

golongan Bani ‘Adi, Qabilah Najjah ternama,
Tinggal di sana selama sepurnama, sakit derita membawa

kepada kewqafatannya.

Ketika genap kandunggan Aminah Sembilan bulan lamanya,
Zaman gelap bertukar terang gemilang cahaya,
Pada malam kelahiran, ibu baginda didatangi oleh Asiah dan
Mariyam bersama-sama sekumpulan bidadari syurga,
Sampai masanya Aminah pun melahirkan junjungan yang mulia.

Wahai Nabi, ucap salam untukmu,
Wahai Rasul, ucap salam untukmu,
Wahai kekasih, ucap salam untukmu,
Selawat daripada Allah untukmu.
………

• Qit’ah

Qit’ah mula diperkenalkan dalam bahasa Melayu melalui Tajus Salatin.
Qit’ah bererti potongan, keratin atau sebahagian. Bentuknya ringkas dengan
jumlah minimum dua hingga sepuluh baris. Pola rimanya hamper seperti
syair dengan jumlah baris yang tidak tetap dan tidak seimbang.

Ehwal Insan

Jika kulihat dalam tanah itu pada ehwal segala yang insan,
Tiadalah dapat kubezakan,
Pada antara hamba dan sultan,
Fana juga sekalian yang adanya,
Dengarkan olehmu Kulluman ‘alaihi fan.

• Endoi

42

Endoi berasal daripada kata ‘endul’ yang bermaksud buaian (Harun Mat Piah,
1989). Endoi merupakan tradisi lisan berbentuk perbuatan yang disambut
oleh masyarakat Melayu dalam majlis keramaian seperti kenduri kahwin
untuk memeriahkan suasana. Endoi berbentuk puisi tumpang, menggunakan
bentuk syair, nazam dan juga pantun sebagai wadah penyampaiannya. Antara
persoalan yang disampaikan dalam puisi endoi ialah:

a. Menceritakan salasilah dan riwayat hidup Rasulullah s.a.w
b. Menceritakan kisah nabi-nabi
c. Menyampaikan nasihat kepada anak-anak agar berbuat baik,

berbudi dan menghormati ibu bapa.
d. Memperkatakan tentang pengajaran Islam seperti rukun Islam dan

kitab suci al-Quran.
Secara khususnya, endoi berfungsi untuk menyatakan rasa kesyukuran ibu
bapa atas kelahiran anak sulung yang diadakan ketika upacara bercukur
rambut anak yang berusia tujuh hari. Selain itu, puisi ini juga bertujuan untuk
memberikan panduan dan pengajaran kepada masyarakat khalayak.

Ucapan Mencukur Rambut Budak Kecil

Bismillahirrahmanirrahim
Lailahaillallah, Muhammadar Rasulullah

Bismillah itu permulaan nama,
Keadaan zatnya bersama-sama,
Zahirkan sifat menyatakan isma,
Kadim dan taat setia lama.

Hai segala anaknya Adam,
Asalnya wahi nur-ul-khatam,
Dipecahnya empat nazir Adam,
Dipecahnya pula sekian alam.

Rahim bapamu turun ke ibumu,
Empat puluh hari nutfah namamu,
Delapan puluh hari alqah namamu,
Seratus dua puluh hari alamah namamu.
………

• Rejang

Istilah rejang mengikut Wilkinson ada kaitannya dengan ramalan bintang atau
astrologi (dalam Mohd Yusof Md. Nor dan Abd Rahman Kaeh, 1985).
Biasanya masyarakat di nusantara ini mempunyai cara-cara yang tertentu
untuk meramalkan hari-hari yang baik dalam sebulan. Hal ini dapat dilihat
apabila puisi rejang seperti Ketika Rejang yang dikatakan ada hubungannya
dengan ramalan waktu manakala Rejang Ketika dikaitkan pula dengan raksi

43

(nasib baik atau buruk mengikut perkiraan waktu). Pengisian dalam rejang
biasanya membicarakan hal-hal yang berhubungan dengan agama, nasihat,
teladan dan pengajaran. Rejang menumpang bentuk syair atau pantun. Oleh
itu, genre ini hampir menyerupai bentuk pantun dan syair, cuma berbeza
pada rima akhir yang tidak tetap, sedangkan pantun atau syair memiliki rima
yang tetap. Berikut ialah ciri-ciri rejang:-

a. Terdapat daripada empat baris serangkap, dua baris pertama
merupakan pembayang dan dua baris berikutnya merupakan
maksud. Bentuk rejang hampir sama dengan pantun berkait.

b. Dua baris pertama tidak berhubungan langsung, tetapi ada pula
yang berhubungan seperti syair.

Rejang hari bulan
Tujuh hari bulan rejangnya tikus,
Tikus jantan masuk penjara,
Kalau terkenang sifat yang bagus,
Hilanglah akal lenyap bicara.

Tikus jantan masuk penjara,
Penjara besar besi kursani,
Hilanglah akal lenyap bicara,
Dendam oi apa selaku ini.

Penjara besar besi kursani,
Perbuatan Maharaja Jaya Dewata,
Dendam oi apa selaku ini,
Tidur berendam airnya mata.

Perbuatan Maharaja Jaya Dewata,
Asalnya dewa terkena serapah,
Tidur berendam airnya mata,
Bilakah mana gerangannya berjumpa.
………

• Teromba

Teromba merupakan susunan adat yang disampaikan dalam bentuk puisi.
Puisi ini dikenali juga sebagai puisi adat. Teromba dikatakan berasal daripada
masyarakat Melayu Minangkabau. Isinya mengandungi adat dan peraturan
serta norma-norma hidup masyarakat khususnya tentang undang-undang adat
yang diamalkan dalam kehidupan sosial masyarakat yang melahirkan dan
mengamalkannya. Berdasarkan struktur visualnya, teromaba tergolong
sebagai puisi tidak terikat kepada pembilangan adat atau kata perbilangan.
Teromba ini ada yang berangkap dan ada yang tidak. Jumlah perkataan dan
suku katanya dalam sebaris tidak tentu. Demikian juga rima dan jedanya,

44

juga tidak tentu. Teromba kadang-kala menggunakan juga puisi Melayu
tradisional yang lain seperti pantun, syair, rubai, talibun, dan ungkapan
tradisional (peribahasa berangkap). Antara fungsi teromba ialah:-

a. Memberi panduan dan pendidikan tentang cara hidup atau sistem
hidup bermasyarakat yang baik dan harmoni melalui adat,
peraturan dan undang-undang yang dibentuk.

b. Mengenalkan norma yang tertentu dalam masyarakat yang telah
dipersetujui oleh masyarakat sejak turun-temurun.

c. Menggambarkan corak pemikiran masyarakat yang
mengamalkannya, kerana pembentukan teromba jelas berdasarkan
kebijaksanaan dan pemikiran yang dalam dan tinggi tentang
falsafah hidup masyarakatnya.

Adat Tonggak Nilai
Tatkala
Kampung sudah bersudut,
Sawah sudah berjenjang,
Pucuk sudah meliuk,
Pinang sudah berjejer,
Adat dengan pusaka diadakan, iaitu
Alam beraja,
Luak berpenghulu,
Suku bertua,
Anak buah beribu buapak,
Orang semenda bertempat bersemenda,
Kunci anak buah ibu buapak,
Kunci luak penghulu,
Kunci alam raja… …

• Talibun

Mohd Taib Osman (1979) menamakan talibun ini sebagai “ikatan puisi
bebas”. Puisi ini menurut beliau merupakan puisi yang memakai kata-kata
uang menimbulkan gambaran mata kerana kata-kata yang digunakan dapat
menimbulkan pemikiran dan pendengaran tentang imej yang lantang dan
bermakna. Baris-barisnya memberi dua gambaran iaitu gambaran bunyi yang
seolah kita mendengarnya, dan gambaran objek-objek dalam situasinya
masing-masing. Kedua-dua gambaran ini berlatarkan alam Melayu. Talibun
berfungsi untuk memerikan secara terperinci tentang sesuatu gambaran
seperti suasana, benda dan sifat manusia dalam bentuk yang ringkas, teliti dan
menyeluruh. Umumnya, talibun merupakan gambaran pemikiran masyarakat
khalayak yang mementingkan perincian tentang sesuatu, tetapi disusun dan
dibentuk dengan keindahan terutamanya dalam penggunaan gaya bahasa.

Tepung Tawar

45

Pertama alat Tepung Tawar.
Daun setawar penawar bisa,
Bisa laut bisa bumi,
Bisa terbang dibuat orang,
Bisa racun dengan santau.

Daun sedingin penyejuk hati.
Kalau marah mulai marak,
Dapat diteduh disapunya,
Dapat membuang hati dengki,
Dapat membuang umpat puji,
Dapat menyabar-nyabar hati.

Daun ati-ati tanda bijak.
Bijak bercakap bijak berunding,
Bijak mengambil kata putus,
Bijak duduk di orang ramai.

Daun gandarusa daun penangkal.
Menangkal musuh dari luar,
Menangkal musuh dari dalam,
Menangkal sihir dengan serapah.


• Mantera

Mantera dikenali sebagai jampi, serapah, tawar, sembur, cuca, puja, seru, dan
tangkal. Genre ini merupakan antara puisi Melayu tradisional yang popular di
kalangan masyarakat Melayu selain pantun dan syair, walaupun
penggunaannya lebih eksklusif, kerana mantera hanya dipunyai dan
dituturkan oleh orang tertentu sahaja seperti pawang dan bomoh. Apabila
dituturkan, mantera dipercayai dapat menimbulkan kuasa ghaib atau konotasi
magis untuk tujuan perubatan seperti untuk menyembuhkan penyakit.

Dari segi bentuk, mantera merupakan jenis puisi bebas yang tidak terikat
sama ada daripada aspek rangkap, baris, dan jumlah perkataan dalam baris
atau urutan rimanya. Dari segi penggunaan bahasa, mantera digubah dengan
bahasa yang khusus dan sukar difahami oleh kebanyakan orang. Malahan
pawang atau bomoh sendiri pun, jika ditanya makna bahasa tersebut tidak
dapat menerangkannya. Ini adalah kerana mantera merupakan puisi yang
diwarisi daripada zaman purba yang sangat bergantung hidup dengan unsur
alam. Namun setelah kedatangan Islam, pengaruh Islam telah diserapkan ke
dalam bentuk mantera dengan menambahkan nama-nama atau istilah-istilah
yang ada kaitan dengan Islam. Terdapat empat jenis matera berdasarkan

46

tujuan mantera tersebut diucapkan, iaitu perubatan, pakaian diri, pekerjaan
dan adat istiadat.

Mantera Pagar Rumah

Assalamualaikum,
Hei! Babun tunggal Si Awang Hitam,
Aku tidur engkau berjaga,
Aku duduk engkau berdiri,
Aku berdiri engkau berjalan,
Dulu setapak dari angin,
Aku suruh pergi, engkau pergi,
Aku panggil datang, engkau datang,
Kau tidak boleh meningkah kata aku,
Seperti menongkah kata Allah,
Kau tidak boleh menongkah kata aku,
Seperti menongkah kata Muhammad.


• Seloka

Dari segi istilah, seloka berasal daripada perkataan Sanskrit, seloka iaitu
sejenis puisi yang terdiri daripada dua baris atau dua kerat, yang setiap
satunya mengandungi 16 suku kata, yang disusun dalam empat unit. Dalam
kesusasteraan Melayu tradisional, seloka merupakan sejenis puisi bebas dari
segi rangkap (sama ada berangkap atau tidak berangkap). Jika berangkap,
tidak tentu barisnya dalam serangkap dan tidak tentu jumlah perkataannya
dalam sebaris. Seloka juga boleh jadi mempunyai rima atau tidak. Seloka
biasanya memerlukan beberapa baris atau rangkap untuk melengkapkan
keseluruhan idea (Harun Mat Piah,1989).

Dari segi bentuk, seloka sama sahaja seperti puisi bebas yang lain seperti
gurindam, talibun atau teromba. Walaupun begitu, jika dilihat dari aspek isi,
puisi ini berbeza antara satu sama lain. Dari segi isi, seloka biasanya
mengutarakan isinya secara mengejek, sindiran atau dalam nada jenaka, dan
kadang-kadang mengadungi nada atau perasaan asyik dan khayal. Oleh
sebab seloka biasanya digunkan untuk menyindir atau berkias, tidaklah
menghairankan mengapa seloka mengandungi banyak peribahasa yang
selalunya disusun dengan cara yang senada atau mempunyai irama, sehingga
kadang-kadang seloka sama dengan peribahasa berirama.

Seloka biasanya mengandungi bahasa yang penceritaannya meleret-leret dan
lanjut, sindir giatnya selalu tajam dan bias seperti mengejek, menyindir dan
menempelak, dan mengandungi perasaan yang hiba dan rawan. Fungsi seloka
amat terbatas. Secara umum, seloka dapat mengambarkan masyarakat yang

47

melahirkannya iaitu masyarakat yang amat mementingkan keharmonian dan
ketatasusilaan. Bersesuaian dengan sifat halus orang Melayu, puisi seloka
digunakan untuk mengkritik sebarang perlakuan negatif anggota masyarakat
tanpa menyinggung perasaan individu sasaran. Puisi seloka tidak digunakan
secara meluas sebagaimana peribahasa atau teromba. Fungsinya amat
bergantung kepada isinya iaitu:

a. Untuk menyindir seseorang.
b. Untuk mengejek seseorang.
c. Untuk menempelak seseorang.
d. Untuk melahirkan rasa benci terhadap sesuatu kelakuan manusia.
e. Untuk member pengajaran dan panduan kepada seseorang.
f. Sebagai alat kawalan sosial/protes sosial.

Seloka Si Luncai
Sikap Si Luncai, biarkan, biarkan…
Ada rumah tiada dijaga,
Ada anak tidak dilatih,
Ada ternakan tidak dibela,
Ada kebun tidak ditanam,
Ada cerdik tidak selidik,
Ada belajar kepalang ajar,
Ada mengaji tiada mengkaji,
Ada masa tiada kuasa,
Ada kuat tiada buat,
Biarkan, biarkan…!
Si Luncai pun terjun dengan labu-labunya.

B. Puisi Melayu Moden
(rujuk bab V)

48


Click to View FlipBook Version