The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by naza4509, 2022-04-13 22:53:32

13 KISAH WORDS WITH ISBN

13 KISAH WORDS WITH ISBN

1

2

TERBITAN APRIL 2022
DR NAZA SANI AGUS

HAK CIPTA TERPELIHARA
Tiada bahagian daripada terbitan ini boleh diterbitkan
semula, disimpan, difotokopi untuk pengeluaran atau
ditukar dalam apa-apa bentuk atau dengan apa jua alat
sekali pun kecuali setelah mendapat kebenaran dari

penerbit.

NAZARIYAH BINTI SANI, 1964
13 KISAH MENAKJUBKAN/ (DR. NAZA SANI AGUS.

2022)
ISBN 978-629-96635

DITERBITKAN OLEH
NAZARIYAH BINTI SANI
NO 42 JALAN SURADA 13, DESA SURADA SEKSYEN

8,
43650 BANDAR BARU BANGI

SELANGOR

3

ISI KANDUNGAN

PRAKATA
BALIK

BURUNG KUBURAN
BALIKLAH

PENANGGAH
TAK REPUT
RAMBUTNYA PANJANG
ATUK BAWAH KERUSI
DIA CUBIT AKU
POKOK DUKU SAKAT
GUGUSAN KUNCI
DIA MENGEMBEK

GEBUK

4

PRAKATA

KOMPILASI 13 Kisah Menakjubkan ini saya
sajikan daripada hati dan budi sebagai buah tangan
untuk bahan bacaan yang diharapkan dapat
mencerdikkan bangsa. Pembaca mungkin ikut larut
dalam 13 jalinan lautan cerita berlainan lokasi dan
persepsi, yang akan memberikan pengalaman
menakjubkan selama proses membaca.

13 Kisah Menakjubkan ini digarap seperti pelbagai
jenis genre misteri lain. Semuanya memang kisah
benar, tidak ada yang tidak benar melainkan benar
belaka. Cuma ada beberapa perkara yang tidak
ditonjolkan demi etika. Semoga anda bersiap sedia
untuk berasa takjub akan fenomena kejadian Allah
di muka bumi ini. Dalam kebanyakan kisah, penulis
adalah pelakon utama walaupun kisah-kisah yang
dialami berbeza-beza.

Selain untuk mencari pengalaman baharu,
membaca kompilasi 13 Kisah ini dapat memberikan
pengalaman lain yang tidak kalah menarik, sehingga
memacu adrenalin ke tahap maksimum.

Semoga tidak ada yang terkeliru atau terasa
menyesal setelah membaca 13 Kisah ini. Semoga
kisah-kisah seram dalam kompilasi ini tidak terus

5

menghantui hidup anda sehingga anda tidak gentar
menceritakannya kepada rakan taulan, saudara-
mara, atau mungkin kepada sesiapa saja yang
bertembung dengan anda. Saya berharap anda
dapat menangguk sisi positif daripada 13 kisah yang
dikongsi.

Kisah menakjubkan ini diharapkan tidak pernah
gagal dalam memuaskan hasrat para peminat kisah
luar biasa yang jarang-jarang dikongsi. Suatu hari
nanti saya pasti akan kembali kepada pencipta
kecuali karya ini. Maka saya ingin menitipkan
sesuatu yang akan membawa kesejahteraan
kepada khalayak pembaca di dunia dan akhirat.

Ikan cencaru ikan kerisi,
Seluas lautan berkejar-kejaran;

Mari hayati kisah kompilasi,
Sangat menakjubkan jadi pengajaran.

6

7

BALIK

(Syukur Mengundang Nikmat dan Rahmat Allah,
Kufur dan Takabbur Mengundang Lebur)

HARI itu badanku rasa kurang sihat. Meriang kata
orang-orang tua. Rasa seram sejuk badanku di
dalam. Mungkin semalam terkena hujan yang
tidaklah begitu lebat waktu pulang dari pejabat
menjelang senja. Entah kenapa, sejak akhir-akhir ini
Aku memang alergik hujan. Faktor penuaan
agaknya. Katanya hujan sekarang bukan macam
hujan zaman dulu. Hujan sekarang dipenuhi asid.
Terkenang kehidupan semasa Aku kecil. Bebas
bercanda ria mandi hujan dan berkubang dalam
lopak air di kampung. Tak demam pula.

Selepas solat Zohor tadi, suamiku memberitahuku

beliau ingin keluar sebentar. Beliau menunggang

motorsikal kapcainya. Alasannya hendak

membelikan Aku paracetamol apabila melihat Aku

hanya terbaring lemah di atas katil sahaja sepanjang

hari.

“Papa pergi farmasi kejap. Belikan Mama
paracetamol. Biar kembali sihat,” doanya sambil

mencapai kunci motor kapcainya. Aku cuma

menggangguk.

Memasak pun tidak terdaya hari itu. Aku tiada selera
dan tidak bermaya. Kepalaku rasa pening. Ayam
goreng Kentucky kesukaanku yang dipesannya

8

melalui Grab Food pun tergeletak sahaja di atas
meja. Tidak minat Aku menjamahnya. Sekadar
memandang sahaja.

Aku hanya bergolek di atas katil. Rasa memang
tidak selesa. Hari mulai petang. Namun suamiku
masih belum pulang. Cuaca mulai agak mendung
petanda hujan akan turun. Tiba-tiba loceng rumahku
berbunyi. Irama lagu Twinkle Twinkle Little Star
yang diset pada loceng berkumandang. Lagu itu
kegemaran cucuku. Bukan suami yang ditunggu-
tunggu pulang tetapi anak bujangku rupanya. Dia
datang menjengukku apabila mendengar Aku
kurang sihat. Katanya dia dari MAEPS Serdang.
Waktu itu ada pesta makanan di MAEPS.

Dia masuk ke dalam bilikku. Bertanya khabar sambil
memicit-micit kakiku penuh kasih sayang.
Tangannya diletakkan di dahiku. “Dedar” katanya
lembut.

“Papa mana Mama? tanyanya ingin tahu sambil
memanjangkan leher meninjau ke garaj mengintai
motorsikal Papanya di luar jendela bilikku.

“Papa keluar beli paracetamol dari jam 2 petang tadi.
Sampai la ni tak balik-balik lagi. Buat paracetamol la
kot.” Ada nada rajuk dalam emosiku terserlah
menerusi lontaran vokalku.

9

“Jap lagi baliklah tu” pujuk anak bujangku sambil
sekali lagi memanjangkan leher mengintai keluar
menerusi jeriji tingkap bilikku.

Di luar guruh mulai berdentum petanda hujan akan
turun. Teringat Aku ajaran guru bahasa Melayu
waktu di sekolah menengah tentang topik
peribahasa “kalau mendengar guruh di langit, air
tempayan jangan curahkan”. Setiap terdengar
guruh, aku pasti teringat akan maksud peribahasa
tersebut. Namun begitu, zaman sekarang manalah
ada tempayan ya. Pasti tidak ada air yang akan
dicurahkan. Aku tersenyum sendiri.

Anak bujangku bangun menutup tingkap bilikku
kerana tiupan angin mulai kencang. Langsir corak
geometri berwarna kuning yang Aku beli di Pekan
Tangkak berbuai-buai ditiup angin petang. Suasana
mulai suram kerana awan mendung pasti telah
menutupi langit Bangi.

Cahaya kilat kelihatan dari celah jendela. Aku tiba-
tiba teringat dalam satu ceramah yang Aku ikuti di
surau, penceramah ada menyebut bahawa jin itu
takut akan kilat dan hujan. Apabila hari hujan, cepat-
cepat tutup tingkap dan pintu kata penceramah itu.
Mengapa? Kerana jin akan masuk ke dalam rumah
kita untuk tumpang berlindung daripada panahan
petir, kilat dan hujan. Bukan sekadar menumpang
sahaja, jin tersebut akan turut menyakat dan
menyakiti orang yang ada di dalam rumah.

10

Terutama orang-orang tua yang lemah, orang yang
sedang sakit dan anak-anak yang masih kecil.
Dahlah menumpang masuk tanpa izin, menyakat
pulak tu. Lebih teruk daripada Belanda yang diberi
tanah.

“Haaa….tu Papa kamu dah balik,’’ seruku gembira
apabila melihat kelibat suamiku melintasi pintu
bilikku. Beliau terus menuju ke belakang dengan
laju. Tanpa menoleh atau memberi salam pada
kami yang sedang berada dalam bilik seperti selalu.
Pelik juga rasa di hatiku.

Posisi katilku memang menghadap pintu bilik. Jadi
Aku nampak orang yang melintas depan pintu
dengan jelas. Sementara anak bujangku
membelakangi pintu kerana dia duduk menghadap
Aku.

Selesai menutup tingkap dan mengikat semula tali
langsir, anakku keluar dari bilikku untuk mencari
Papanya yang baru balik. Tidak lama kemudian, dia
masuk balik ke dalam bilikku. Wajahnya penuh
tanda tanya.

“Mana ada Papa? Tak ada sesiapapun kat dapur,”
katanya dengan wajah hairan.

“Ada tu…tengok dalam bilik air, Papa mesti basuh
kaki tu..,”. Amalan yang dipesan Ibuku. Kalau balik
petang-petang ke rumah, mesti basuh kaki dulu.
Bezanya orang dulu-dulu basuh kaki di anak tangga

11

sebelum naik ke rumah. Zaman sekarang terpaksa
masuk rumah dahulu barulah basuh kaki di bilik air.

“Papaaaa….oo Paa…,” Aku mendengar anakku
menjerit manja memanggil Papanya.

Aku terdengar tapak kaki anak bujangku lagi. Dia

kembali padaku. Cuma menggoyangkan

tangannya isyarat Papanya tiada di bilik air juga.

“Mungkin Papa dah naik tingkat atas tu…nak cepat-
cepat solat kot. Pergi naik atas tengok” kataku.

Dadaku mulai berdebar. Ada satu rasa luar biasa

mulai melingkari pintu hatiku.

“Mama, Abang dah naik atas, dah check kat dalam
semua bilik di atas, confirm Papa tak de” lapor

anakku. Ada getar dalam nada suaranya.

“Mesti Papa main nyorok-nyorok tu, cer tengok di
balik pintu” Suamiku memang suka bergurau.

Menyorok balik pintulah. Sembunyi bawah

tanggalah. Duduk tepi kolam ikanlah.

Anakku mencapai kayu golf yang terdiri di sudut
pintu bilikku. Dia keluar sambil bertakbir. “Allahu
akbar” takbirnya. Hujan mulai menggila di luar. Bau

tanah yang dibasahi hujan menimbulkan aroma

yang tidak selesa di hidungku pada petang itu.

“Keluar…..keluarr…keluarrrr, Aku dengar dia
menjerit.” Tentu arahan itu sudah bukan untuk

Papanya lagi. Sudah tidak manja lagi suaranya. Dia

12

kembali lagi kepadaku dengan wajah kecewa dan
termengah-mengah kepenatan turun naik tangga
dan membuka pintu bilik serta menjengah setiap
celah mencari Papanya

“Abang pergi wudhu dan azan sekarang juga.”
Arahku dalam rasa yang tidak menentu. Debaran di
dada bertambah laju.

“Allahu akbar Allahu akbar,” Merdu dan sayu alunan
azan itu di telingaku. Di sekolah dulu dia memang
juara pertandingan azan. Selesai azan, dia kembali
ke katilku.

Dia terus duduk di hujung kakiku. Lampu di seluruh
rumah Aku minta dinyalakan. Pintu bilik lain semua
Aku minta dia tutup. Di luar terdengar pintu pagar
sliding digeser. Hujan mulai reda walaupun belum
berhenti. Bunyi enjin motosikal kapcai masuk dan
diparkir di garaj sebelah tingkap bilikku. Kami
berpandangan. Allah sahaja yang tahu perasaan
kami ketika itu.

“Assalamualaikum wrt,” Itu suara yang kukenali
puluhan tahun. Suara suamiku. Memang beliau
tidak akan pernah lupa memberi salam.

Anakku bangun dan berdiri di pintu bilikku.

“Waalaikumsalam. Papaaa….baru balik ke?
sapanya. Cuba bersuara ceria. Tapi sempat
kukesan getar dalam suara itu.

13

“Yaaa…hujan lebatt, jalan jem…tersangkut tadi.
Basah kuyup Papa. Tak sempat pakai baju hujan.”

Aku terus mengalun ayat Qursi perlahan-lahan. Aku
nampak tangan suamiku menghulur bungkusan
paracetamol kepada anakku yang berdiri di pintu
bilik. Bungkusan paracetamol beralih tangan.
Bungkusan plastik bertulis nama klinik As Salam
itu kelihatan basah.

Baju T coklat hadiah ulang tahunnya yang dipakai
pun basah. Baju yang sama dipakai oleh “orang”
yang melintas depan pintu bilikku petang tadi. Mana
mungkin aku lupa baju itu kerana Aku yang
menghadiahi sempena ulang tahunnya.

Kali ini betul-betul Papa masuk ke bilik air. Basuh
kaki. Kemudian dia capai tuala. Masuk bilik air lagi
dan mandi. Kami solat Maghrib berjemaah. Aku
gagahi diri bangun solat berjemaah merebut 27
ganda pahala. Setelah solat, Aku masih berfikir
tentang siapakah makhluk yang melintas di depan
pintu bilikku petang tadi yang persis suamiku?
Walau bagaimanapun malam itu lenaku tidak
terganggu kerana Aku telan paracetamol dua biji,
minum segelas air suam dan tidur ditemani suami
dan anak bujangku.

Esok pagi Aku rasa segar. Cuba melupakan
peristiwa semalam. Tetap ke pejabat kerana
tanggungjawab menanti. Aku lawan rasa tidak
selesa di hati. Kupateri erat di sudut memori. Aku

14

belum sempat bertanya mahupun bercerita kepada
suamiku tentang apa yang kami dua beranak alami
pada petang bersejarah itu. Nanti-nantilah apabila
ada ruang dan lapang akan Aku dendangkan kisah
yang mengkagumkan itu kerana jarang-jarang
berlaku. Syukur alhamdulillah, apabila di pejabat
Aku lupa segala yang berlaku di rumah semalam.
Fokus benar pada kerjaku. Memang hebat dan
mengkagumkan. Bravo.

15

16

BURUNG KUBURAN

(Keluarlah Seperti Burung Yang Terbang Bebas
Demi Rezeki)

MENJENGUK sahaja kepala daripada tingkap
bilikku di tingkat 6 kuarters hospital ini, Aku dapat
melihat sebuah tanah perkuburan Islam. Saujana
mata memandang. Nisan-nisan putih yang
berceracak menginsafkan Aku sebagai hambaNya
yang lemah. Di sanalah persemadian kita yang
abadi kelak. Mereka telah mendahului kami. Kami
akan menyusul. Dunia yang fana ini hanya tempat
persinggahan. Alam kubur tempat persemadian
sementara. Semoga mereka tenang di sana.

Sebagai tempat persemadian, tanah perkuburan itu
bersih, dijaga rapi. Aku nampak ramai pekerja yang
bertugas di situ. Teringat akan sajak popular nukilan
Usman Awang bertajuk “Kami Mengunjungi Pusara
Bonda” yang dipelajari di alam persekolahan. Tiba-
tiba ada rasa rindu yang membara pada almarhum
dan almarhumah ayah dan bondaku. Masih harum
kasih-sayang mereka pada kami. Tidak luntur
ditelan zaman.

Zaman era Pandemik Covid-19 kini diwarnai
kelajuan teknologi. Semua serba pantas. Tempat
persemadian ini pun terpalit kepantasan teknologi.
Sebaik disemadikan, dalam masa tidak sampai

17

sebulan banyak kubur yang telah siap diberi kepuk.
Ada kepuk yang berwarna putih. Ada yang hijau
warnanya. Ada yang hitam. Menimbulkan
pemandangan yang sendu dan pilu di sudut hati ini.

Kepiluan itu berulang apabila setiap hari pasti ada
sahaja jenazah yang dikebumikan. Sangat laju
proses kematian era Pandemik Covid-19 ini. Kalau
mangsa Covid yang dikebumikan hanya enam orang
teletubbies berpakaian serba putih yang terlibat.
Ahli keluarga beberapa kerat sahaja yang kelihatan
ikut serta mengiringi jenazah. Itu pun sekadar dapat
melihat sahaja dari jauh.

Kalau jenazah biasa, bukan mangsa Covid Aku lihat
ramai waris yang boleh merapat. Berderet-deret
kereta yang mengiringi van jenazah. Ramai juga
waris yang berdiri rapat di tepi tanah perkuburan.

Setiap kali ada upacara pengebumian Aku berdiri di
gigi tingkap bilikku sambil memandang pilu. Aku
dapat melihat dengan jelas bagaimana jenazah
berbungkus kafan putih diturunkan dari van jenazah
beralas papan usungan. Papan ususngan
diletakkan di atas tanah. Jenazah akan dibuka
bahagian kepala. Ahli keluarga dapat menatap buat
kali terakhir. Kemudian jenazah diusung masuk ke
dalam liang lahad yang tersedia awal.

Paling pilu tatkala Aku lihat tanah merah yang
meninggi sedikit setelah dikambus oleh jengkaut.
Kemudian tanah kubur iitu sepi ditinggal pulang oleh

18

ahli keluarga satu demi satu. Kadang-kala dari
tingkat 6 ini, Aku nampak yang tinggal hanya taburan
bunga merah kuning berbuai-buai dan terbang ditiup
angin. Mulutku tidak berhenti-henti berdoa agar
jenazah yang baru dikebumikan dan semua jenazah
yang menghuni tanah perkuburan itu dipermudah
urusan di alam sana.

Kadang-kala pada waktu malam pun ada proses
pengebumian. Tidak kira waktu. Kalau Maghrib
sahaja Aku nampak ada spot light dinyalakan, Aku
pasti menanti. Pasti ada jenazah yang akan
dikebumikan sama ada sebelum Isya atau
selepasnya.

Aku membayangkan bagaimana andai jenazah itu
ialah Aku. Dibungkus kain putih, ditinggalkan
berseorangan dalam lahad. Semua keluarga akan
meninggalkan Aku. Tidak ada yang menemani
kecuali amal soleh. Menggigil rasa tubuhku.
Mengingat itu semua cepat-cepat Aku baca surah al
Mulk. Kata ustaz berlandaskan hadis soheh, surah
al Mulk akan menemani kita di alam Barzah. Al Mulk
akan membantu kita daripada siksa kubur. Al Mulk
akan bertindak sebagai peguam bela kita kelak.

Pada satu pagi, menjelang waktu Subuh aku berasa
aneh. Mengapakah? Pagi itu hening sekali. Tidak
banyak bunyi kenderaan. Sayup-sayup Aku dapat
mendengar bunyi burung yang tidak pernah
kudengar di luar bilikku. Bertalu-talu bunyinya.

19

Seolah-olah ingin memberitahu Aku yang memang
selalu bangun awal itu sesuatu. Aku memberanikan
diri menjenguk keluar tingkap untuk melihat burung
apakah itu. Cuaca masih gelap. Fajar belum
kelihatan.

Aku tidak nampak kelibat burung itu. Tetapi Aku
tahu burung itu berada di atas pokok rendang di
depan bilikku. Burung itu mengeluarkan bunyi wit
wit wit wiiiiit yang aneh tidak berhenti-henti. Dalam
rasa ingin tahu, ada rasa pilu di hatiku apabila
kulayangkan pandanganku ke arah batu nesan yang
berceracak dalam remang pagi. Dalam suram
menjelang pagi, fenomena tanah perkuburan itu
amat memilukan. Kadang-kadang Aku rasa macam
ada lembaga yang turut berada di tanah perkuburan
itu. Cepat-cepat Aku istighfar. Kubuang jauh-jauh
perasaan itu.

Dalam sibuk melayan rasa tidak menentu mencari
kelibat burung terdengar pula bunyi siren ambulans
dan siren kereta polis. Bunyi yang saling bertingkah
daripada jalan di hadapan pintu utama hospital itu
menambah rawan hatiku awal pagi itu. Kalau begitu
bunyinya bermakna ada banduan yang dibawa ke
hospital kata anakku.

Apabila terbit matahari pagi itu, Aku tidak sabar-
sabar meninjau keluar tingkap mencari burung yang
mengeluarkan bunyi aneh tersebut. Mataku
kulayangkan sejauh yang boleh. Tidak pula

20

kelihatan walau seekor burung pun di atas pokok
rendang itu. Aku meneruskan rutin pagi itu dengan
menunaikan solat Sunat Isyra’ setelah menunggu 12
minit selepas masuk waktu Syuruk. Selesai solat
Aku tidak lupa berdoa untuk kesejahteraan dan
kegembiraan kami sekeluarga dan para ahli yang
menghuni kuburan sana.

Matahari terbit indah pagi itu. Seindah doa yang aku
baca. Aku merenung keluar jendela melihat awan
pagi berarak mesra. Tiba-tiba ada segerombolan
burung-burung terbang laju melintasi tingkap bilikku.
Agak kuat bunyinya memecah hening pagi mencuit
konsentrasiku. Gerombolan burung-burung itu
melakukan formasi udara yang sangat pelik
berulang-ulang dengan bunyi yang sangat
mendayu-dayu seperti yang kudengar awal pagi
tadi.

Mengikut congakanku ada dalam 100 ekor burung
dalam gerombolan tersebut. Riuh rendah bunyinya.
Aku tidak pasti burung apakah itu? Kerana asyik
menyaksikan fenomena yang menakjubkan
tersebut, Aku terlepas peluang merakam aksi
gerombolan burung-burung aneh itu.

Dari tingkap bilikku burung-burung itu membuat
formasi yang aneh. Kemudian, gerombolan burung
itu terbang pantas menuju ke tanah perkuburan.
Sampai di tanah perkuburan gerombolan itu
mendarat sebentar di atas tanah kosong antara

21

kubur-kubur itu di bahagian tengah. Kemudian
dengan pantas pula gerombolan itu terbang ke
udara dan berpatah balik ke arahku.

Fenomena itu berulang-ulang selama lebih kurang
tiga minit. Mataku terpaku menyaksikan aksi aneh
yang belum pernah Aku saksikan sebelumnya.
Gerombolan itu akhirnya hinggap di atas pokok
rendang berhampiran tanah perkuburan tersebut
sambil berkicau-kicau nyaring. Daun-daun kering
banyak yang berguguran kerana banyaknya burung
yang hinggap di atas pokok tersebut.

Berita apakah yang dibawa gerombolan burung
aneh tersebut? Sukar aku mengertikan. Apakah
firasat yang ada di sebalik formasi yang ditunjukkan
oleh burung-burung tersebut. Tidak mampu tercapai
dek akalku. Mungkin burung-burung itu sedang
mengadakan latihan untuk hari kebesaran puak
mereka seperti yang dilakukan oleh Tentera Udara
Diraja Malaysia (TUDM) tatkala menyambut hari
kemerdekaan negara. Tidak mampu akal kita
menjangkau perkara-perkara begitu. Hanya Allah
yang lebih tahu segalanya. Sebagai makhluknya
Aku hanya husnul zon dan terus berdoa moga
sentiasa berada dalam reda Allah SWT, diampuni
segala dosa semua muslimin di dunia dan di alam
barzah.

22

23

BALIKLAH

(Tenaga Fizikal Sangat Diperlukan, Kekuatan
Akliah Dimanfaatkan)

SELALUNYA Aku menjadi penghuni terakhir yang
akan pulang dari bilik pejabat jabatanku di tingkat
empat bangunan pentadbiran itu. Maklumlah tugas
sebagai Ketua Jabatan menuntut komitmen yang
agak tinggi. Kerja memang tidak pernah habis.
Kadang-kadang menjelang Maghrib baru Aku
pulang ke rumah. Tambahan lagi waktu ada
tugasan yang diminta oleh pihak atasan dan perlu
disiapkan segera. Kami gelar itu tugasan yang turun
dari langit. Pasti Aku balik lambat. Sendirian. Itu
perkara biasa padaku. Kami yang menurut perintah.

Biasanya teman-teman setanggungjawab, sebagai
ketua jabatan yang lain, ramai yang balik lewat juga.
Jadi sebenarnya Aku tidaklah sendirian di bangunan
itu. Ada teman dalam diam. Cuma lokasi lain-lain.
Ada lah rakan ketua jabatan yang agak rapat dan
prihatin tu sms. “Saya masih belum balik juga.” Sms
Suy Ketua Jabatan sebelah. Jadi tenanglah kami
buat kerja di bilik masing-masing. Di saat rakan-
rakan sejabatan telah berada dalam pangkuan
keluarga kami Ketua Jabatan masih gigih
bersengkang mata di pejabat menyelesaikan apa
yang penting.

24

Sehinggalah peristiwa petang itu. Di luar hujan
gerimis namun masih ada sinar matahari. Aku
sedang asyik menaip tugasan di komputer ribaku.
Aku duduk membelakangi tingkap di bilikku.
Memang aku atur landskap bilik kerjaku begitu. Aku
tidak minat memandang arah tingkap. Nanti
terganggu fokus kerjaku. Sebelah luar tingkap ialah
koridor laluan para pensyarah dan pelajar untuk ke
kelas. Tingkap bilikku sentiasa bertutup kerana
mengelakkan mesyuarat tingkap.

Waktu Aku selak langsir jendela bilikku petang itu,
kelihatan pelangi indah melingkari langit petang.
“Patutlah,” detik hatiku. Hujan panas. Terkenang
lagu kegemaranku. Lagu Pelangi Petang nyanyian
almarhum Sudirman. Aku kembali duduk
menghadap komputer riba sambil menyanyikan lirik
lagu Pelangi Petang perlahan-lahan kerana ingat-
ingat lupa. Ha, ha…

Tiba-tiba aku mendengar bunyi tapak kaki di luar
tingkap menghampiri bilikku. Aku agak mesti pelajar
dari kelas sebelah atau jabatan di sudut hujung
bangunan. Tetapi sampai di tepi bilikku bunyi tapak
kaki itu semakin perlahan dan berhenti. Derapnya
tidak kedengaran lagi. Aku menunggu. Siapakah
gerangan pemilik tapak kaki itu?

Kemudian dia bersuara “Nazaaaa, baliklaaahh…dah
lahhhh tuuu.” Aku senyum sendiri. Nyanyianku
terhenti. Mesti temanku Suy Ketua Jabatan sebelah

25

tu yang mengusik aku. Sengaja agaknya dia
leretkan suaranya seperti itu, desis hatiku. Dan
walau dileret macam manapun, Aku kenal sangat
suaranya sebab kami memang selalu bersembang.
Sembang hal yang baik-baik sahaja. Itupun waktu
makan di kafe. Bukan di tingkap bilikku.

Aku pun bangun dari kerusi. Langsir aku kuak. Aku
intai sambil senyum. Tak nampak sesiapa pula.
Tingkap sliding aku tolak untuk membuka. Agak
ketat tingkap itu sebab jarang dibuka. Apabila
berjaya, aku jengukkan kepala intai ke luar. Tiada
sesiapa juga. Hatiku teruja. Mesti rakanku Suy
bergurau denganku. Mesti dia menyorok di pintu
depan pejabatku.

Aku pun santai melenggang keluar dari bilikku
sambil meregangkan badan yang penat setelah
seharian bekerja. Aku buka pula pintu luar
jabatanku. Menjengukkan kepala mengintai ke
belakang pintu. Tiada orang. Aku hala pandangan
ke arah tangga mencari pemilik suara nakal yang
ingin bercanda petang-petang begitu. Tetapi aku
terlambat agaknya. Tiada bayangan sesiapa pun di
sana. Sepi sahaja suasana. Gerimis sudah
berhenti. Bau tanah selepas gerimis kurang
menyenangkan.

Aku menutup pintu dan kembali ke bilikku. Hatiku
berkata-kata. “Mesti budak Suy itu berjalan pantas
menuruni tangga tadi agar aku tidak sempat melihat

26

dia”. Aku sambung menyanyikan lagu Pelangi
Petang. Sampai pada lirik…engkau tibaaa bagaikan
pelangiiii…, Aku terhenti.

Tiba-tiba angin dingin menderu masuk daripada
tingkap bilikku yang terbuka. Tadi Aku lupa tutup
kerana bergegas keluar mengejar Suy. Cepat Aku
tutup daun kaca tingkap sliding itu. Mengah juga
sebab agak ketat daun tingkap itu. Langsir itu aku
tarik rapat kembali. Entah kenapa bulu romaku
meremang bila Aku memandang ke luar tingkap.
Suasana di luar seolah-olah telah malam. Pelangi
petang yang indah telah tiada. Angin dingin itu pula
membawa aroma yang kurang kusenangi.
Waah…ini sudah luar biasa, cetus hati kecilku.

Aku tinggalkan semua kerja. Sambar tas tangan.
Matikan semua punca elektrik. Kunci pintu, sarung
kasut dan turun tangga perlahan-lahan. Kerana
kakiku yang baru patah jemarinya tidak
memungkinkan Aku melompat turun tangga.
Ikutkan hati memang Aku ingin melompat turun terus
ke lobi. Mulutku kumat kamit membaca ayat Qursi
hinggalah Aku punch card dan menapak masuk ke
kereta. Di tempat letak kereta, Aku jeling ke arah
ruangan parkir Suy di sebelah hujung. Memang
kosong.

Sambil memandu Aku buka surah al Baqaroh.
Merdu alunan suara Mishary. Perasaanku tidak
menentu. Sesampai di rumah, Aku membersihkan

27

diri dan mendirikan solat Maghrib. Selepas mengaji
sementara menunggu Isya, Aku capai telefon dan
sms rakanku Suy ketua jabatan sebelah.

“Salam Suy. Tadi petang dalam jam 6.30 kau lalu
sebelah bilik Aku kan? Pas tu kau usik Aku. Kau
suruh Aku balik. Kau kata…dah lah Nazaa. Lepas
tu kau cepat-cepat menyorok dan turun tangga
kan?”

Tidak lama kemudian Suy membalas smsku

“Waalaikum salam. Eh…taklah Naza….Hari ni
sebenarnya aku tak berapa nak sihat. Aku balik
cepat tadi. Kul 4.30 tadi aku terus balik. Tapi tadi tak
lalupun kat bilikmu. Aku lalu ikut sebelah pejabat”

“Habissss tuuu….siapa yang panggil nama Akuuu?
Kemudian suruhhh aku balikkkkk cepattt tu???
Balasku cemas.

“Sumpah Nazaaa…bukan akuuuu,” smsnya lagi.

Allahu…siapakah gerangan yang lalu di koridor tepi
bilik pejabatku dan bercanda menyuruh Aku balik?
Subhanallah. Hanya Allah yang maha mengetahui.

28

29

PENANGGAH

(Dalam Setiap Penciptaan Makhluk, Ada Tiga
Perkara Yang Diformulasikan, Iaitu Penuh

Dengan Falsafah, Kaya Adab Dan Sarat Rahsia)

Majlis perkahwinan Kak Long dan pasangan pilihan
hatinya selesai sudah. Meriah sungguh suasana
dan penuh kegembiraan bagi kami sekeluarga
terutama Emak dan Bak. Al maklum majlis
perkahwinan anak sulung. Anak perempuan pula tu.
Baru pertama kali mengadakan majlis perkahwinan.
Menganyam pengalaman baharu menerima
kehadiran orang luar dalam keluarga. Pasti ayah
bonda teruja kerana bertambah saudara-mara dek
ikatan pernikahan ini. Selesai sudah tanggungjawab
pertama sebagai orang tua. Terbayang kepuasan
pada wajah kedua-dua mereka walaupun penat
mental dan fizikal. Persediaan berbulan-bulan kini
bernoktah sudah.

Cuaca elok sepanjang majlis siang tadi seolah-olah
merestui pasangan pengantin baharu. Malam
selepas hari langsung itu kami sibuk berkemas-
kemas di penanggah. Penanggah ini Mak dan Bak
bina sendiri daripada batang kelapa, beruti dan
papan terbuang sebulan sebelum majlis
perkahwinan lagi. Dua hari sebelum hari langsung,
daun kelapa yang diambil dari pokok kelapa yang
ditebang, diikat dan dijadikan dinding penanggah.
Indah sungguh budaya di kampung waktu itu.

30

Malam itu, sepupu dan teman-teman
sepermainanku tidak ketinggalan turut datang
membantu. Begitulah adat hidup masyarakat
kampung zaman dulu-dulu. Saling menolong bagai
aur dengan tebing. Majlis perkahwinan merupakan
tempat bertemu dan mengeratkan silaturrahim.
Tanpa ada upah. Semuanya datang dengan
sukarela penuh keikhlasan dan keceriaan. Boleh
dikatakan satu kampung akan datang merewang
dari pagi sampai ke petang.

Aku asyik mengelap pinggan-mangkuk dan
menyusunnya secara telungkup agar cepat kering di
atas helaian suratkhabar lama yang dibawa oleh
jiran-jiran. Penanggah hanya diterangi lampu
suram. Tetapi situasai agak terang kerana bulan
mengambang. Sepupu-sepupuku sebelah Emak
turut membantu.

Kami berkemas-kemas sambil bercerita, bergurau
senda. Gelak ketawa. Tidak terasa penat. Cerita
tentang tetamu yang datang. Kisah tentang secret
admirer handsome yang hadir majlis siang tadi.
Tentang mak cik Juriah jiran Emak yang melatah.
Kesian dia. Jadi bahan usikan semasa majlis.
Tetapi amat menggembirakan. Tiada yang berkecil
hati.

Tiba-tiba suasana sepi. Kedengaran bunyi benda
jatuh dari atas pokok kelapa yang daunnya Mak
ambil buat dinding penanggah. Apa tu? tanya Mak.

31

“Entah…kelapa komeng jatuh agaknya,” sahut Bak
tak acuh.

Kami di penanggah tidak terganggu langsung.
Meneruskan aktiviti kami. Sangat rapat hubungan
kami saudara-mara dan jiran tetangga waktu itu. Adi
sepupuku menyanyikan lagu P.Ramlee…”di waktu
malam, bulan mengambang….ada kelapa
komengggg jatuuhh…” sambil menari-nari
mengusik-usik kami.

Azi anak Mak Tehku pula berpura-pura menjadi
Pontianak. Dia mengilai-ngilai sambil melambai-
lambai tangannya dari dalam telekung buruk yang
dijumpainya dalam plastik kain buruk pengelap
pinggan mangkuk kenduri itu. Suasana sangat
ceria. Emak dan Bak memerhati gelagat kami di
penanggah dengan bahagia.

Menjelang jam 12 tengah malam tinggal Aku dan
adikku sahaja yang masih berada di penanggah.
Yang lain sudah kepenatan dan pulang ke rumah
masing-masing. Emak dan Bak juga dah lama
masuk ke dalam rumah.

Mungkin embun mulai menitik. Aku dan adikku
masih setia di penanggah. Kami masih bercerita.
Cerita remaja. Aku duduk menghadap ke arah pintu
tengah rumah Emak. Adikku menghadap ke arah
jalan menuju rumah Tok Pah jiranku. Aku asyik
mengira telur rebus yang ada lebih. Esok boleh
dibuat lauk sarapan bersama-sama nasi minyak

32

goreng. Nasi minyak masih banyak lebihan. Kurma
ayam pun masih ada. Dipanaskan di atas dapur
kayu. Harum baunya.

Tiba-tiba adikku mencuit Aku. Aku lihat berubah
pucat mukanya. Dengan suara gementar dia ajak
Aku masuk ke dalam rumah. Kenapa? tanyaku. Dia
tidak menjawab. Hatiku mulai rasa tidak sedap. Aku
menoleh ke belakang. Tak nampak apa pun. Gelap
sahaja kerana purnama telah dilindungi awan.
Adikkku telahpun bangun untuk meninggalkan
penanggah itu. Selipar pun dia tak sempat pakai.
Laju je dia menapak menuju ke pintu rumah.
Hampir berlari-lari anak.

Kenapaa? Jeritku. Dia tidak menghiraukan aku.
Tetapi kakiku turut mengikut menapak masuk ke
dalam rumah. Bulu romaku dah pun berdiri. Tunggu
apa lagi. Cepat-cepat Aku menutup daun pintu dan
tingkap yang masih terbuka. Sempat lagi Aku
memandang ke arah penanggah. Tiada yang ganjil.
Daun kelapa yang dijadikan dinding penanggah
sahaja yang terbuai-buai dek angin malam. Cuma
terdengar bunyi katak memanggil hujan sahaja.
Namun ada bau yang kurang enak mulai menusuk
hidungku waktu itu. Seperti bau kapur barus dan
bau kucing mati.

Adikku telah hilang ditelan biliknya. Mau tidak mau
Aku pun masuk ke bilikku. Mataku sukar lelap
walaupun penat. Macam-macam yang datang

33

dalam fikiranku. Macam-macam bunyi pula yang
Aku dengar di luar rumah. Macam-macam bau pula
yang menusuk hidungku. Aku pejam mataku rapat-
rapat. Akhirnya aku terlena juga.

Kokokan si Jalak dari atas pohon rambutan dan

azan Subuh dari masjid membangunkan aku. Aku

tunaikan solat Subuh berjemaah. Bak selalu

ingatkan kami agar merebut 27 tingkat pahala

berjemaah. Adikku tidak ikut berjemaah pagi itu.

Apabila aku jenguk ke dalam biliknya dia masih tidur.

Aku gerakkan kakinya. Dia kata uzur.
Oh…faham…kataku.

Pagi itu Mak bising memberitahu adikku demam.
Mungkin penat kata Bak. Tetapi Aku pasti ada cerita
lain di sebalik demam adikku itu. Bukan sekadar
penat sahaja. Tetapi Aku diamkan dulu. Pagi itu
Aku menjenguk ke penanggah. Tiada yang ganjil.
Keadaan sama seperti yang Aku tinggalkan malam
tadi.

Aku menggoreng nasi minyak pagi itu. Seperti
rancangan semalam. Jiran-jiran dan sepupuku
datang menikmati nasi minyak goreng dan telur
rebus. Semua bertanya tentang adikku. Aku kata
mungkin adik penat. Berehat. Sebenarnya ada rasa
tidak enak di benakku. Badanku pun mulai meriang.
Kurang rehat dan tidur agaknya sebab menerima
abang ipar.

34

Selepas sarapan Aku membawa nasi minyak goreng
dan telur rebus ke bilik adikku. Dia makan dua tiga
suap dan menolak piring itu ke tepi. Tak selera
katanya.

“Adik kenapa? tanyaku penuh kasih. Dia cuma
memandang ke arahku dengan mata yang layu.
Mata itu tidak bersinar seperti selalu. Wajahnya
agak pucat. Hilang sudah cerianya. Bibirnya kering
mengelupas.

Aku mengambil segelas air zam zam. Kubacakan al
Fatihah, kutiupkan pada air tersebut sambil berdoa.
Kemudian gelas air itu kusua ke mulut adik. Lebihan
air itu kusapu di muka adik. Adik nampak lebih
tenang.

“Semalam Adik nampak Azi memakai telekung putih
di belakang Akak. Dia cuba mencekik Akak dari
belakang. Apabila Adik pandang dia lari ke arah
rumah Tok Pah sambil melompat-lompat dan
mengilai-ngilai. Akak tak dengar ke?”

Astaghfigrullah! Berdiri bulu romaku. Patutlah. Tapi
Aku tidak mendengar apapun malam tadi sewaktu di
penanggah. Betul ke apa yang Adikku ceritakan itu?
Atau imaginasinya sahaja kerana terlalu penat.
Hanya Allah yang maha mengetahui. Yang pasti
selepas itu Aku pula demam. Tergugat juga daya
tahanku.

35

Mak dan Bak memanggil ustaz datang melihat kami
yang terlantar. Ustaz kata ada makhluk yang
mendiami atas pokok kelapa tersebut. Pokok itu
telah ditebang sempena kenduri perkahwinan Kak
Long. Umbut dimasak, daun dan batangnya dibuat
dinding penanggah dan buahnya digunakan untuk
santan masakan kenduri kahwin itu.

Makhluk itu sakit hati kerana tempat tinggalnya
ditebang. Malam itu dia baling buah kelapa komeng
ke arah kami yang sedang mengemas dari pokok
kelapa di sebelah penanggah. Dia juga yang
mengilai dan melompat-lompat lalu lari ke arah
rumah Tok Pah kerana marah. Apabila pokok
kelapa ditebang dia mungkin mencari tempat tinggal
yang baharu setelah menampakkan dirinya pada
adik sebagai membalas dendam sehingga adik
demam.

Allahu Akbar.

36

(Kita Ambil Dunia Untuk Bekal Akhirat)
TAK REPUT

SEMUA waris telah diberitahu untuk hadir tepat
pada tarikh yang diberikan oleh Jabatan Agama
melalui surat rasmi. Waris diminta hadir awal untuk
mendengar taklimat pegawai bertugas tentang
operasi pemindahan tanah kubur tersebut.
Kerjasama waris sangat penting demi kelancaran
usaha pemindahan ini. Tanah kubur itu terlibat
dengan projek ekspressway Tangkak Segamat.

37

Pada hari kejadian Ila sampai awal pagi. Dia
memandu dari Kuala Lumpur selepas Subuh untuk
hadir acara itu bersama-sama anak lelakinya.
Suaminya tidak dapat hadir menemani kerana sibuk
bertugas. Sepanjang perjalanan dada Ila berdebar-
debar walaupun hatinya teruja.

Malam tadi lenanya terganggu. Beliau bermimpi
bertemu almarhum ayahnya dalam mimpi. Mungkin
itu mainan tidur kerana terlalu memikirkan acara
yang agak luar biasa hari itu. Sambil memandu
beliau terus memasang cd alunan ayat-ayat suci al-
Quran untuk mendapatkan ketenangan. Sebelum
bertolak Ila solat Hajat memohon agar lancar dan
selamat sepanjang perjalanan seterusnya selamat
sampai ke destinasi.

Waktu Ila sampai di tanah perkuburan itu dalam jam
9.30 pagi para waris telah ramai berkumpul.
Petugas dari pejabat agama pun telah bersedia
dengan peralatan. Dada Ila berdebar-debar. Ila
mendengar taklimat dengan teliti. Giliran
pemindahan kubur almarhum ayah Ila ialah sebelah
petang.

Petugas membuat kerja penggalian kubur secara
manual menggunakan cangkul. Mereka sangat
profesional. Ritual itu sangat simple dan sistematik.
Dimulakan dengan membaca al Fatihan, doa dan
mereka terus memulakan kerja menggali. Tidak ada
rentangan kain putih. Kenderaan yang lalu-lalang

38

memperlahankan kenderaan masing-masing sambil
mencuri pandang senario yang jarang dapat
disaksikan itu.

Ila melayangkan pandangan ke arah keliling tanah
perkuburan itu dengan sendu. Masih terbayang
proses pengebumian almarhum ayahanda Ila pada
tahun 2005. Masa itu Ila baru berusia 21 tahun.
Sedang belajar dalam tahun dua di universiti. Ibarat
patah sebelah tangan apabila ditinggal almarhum
ayahanda dalam usia muda sedangkan almarhum
Ibu Ila cuma seorang suri rumah tangga. Tidak
sedar air matanya mengalir.

Di sebelah tanah perkuburan itu terdapat sebuah
surau lama yang usang tetapi masih berfungsi. Ila
memandang surau bercat putih tersebut. Papan
dinding surau itu telah lapuk. Catnya bertompok-
tompok putih dan hitam kerana tempias hujan.
Mungkin kurang diselenggara. Dengarnya surau itu
juga bakal dirobohkan. Ila teringat masa kecil
almarhum ayahnya pernah membawa beliau ke
surau tersebut terutama semasa ada majlis
sambutan Maulidurrasul. Mereka akan balik lewat
malam kerana menunggu pembahagian bunga telur.

Ila mengajak anaknya mencari warung untuk
sarapan bagi membuang rasa sendu dan pilu.
Mereka menikmati mi kari dan roti canai di warung
tepi jalan di Kg. Lubuk Batu yang ada sejarah
tentang Bendahara Tepok. Mereka melewati

39

makam Bendahara Tepok di Kg. Lubuk Batu.
Kemudian mereka kembali ke tanah perkuburan. Ila
mencari tempat redup untuk berteduh. Dalam hati
tidak putus-putus dia berdoa agar urusan
pemindahan ini lancar dan mereka selamat daripada
segala perkara yang tidak baik.

Ila terkejut apabila mendengar bunyi bising-bising
seperti orang bergaduh. Apabila diamati, rupanya
ada sebilangan waris bergaduh sesama sendiri
kerana berebut giliran tanah kubur digali.
“Astaghfirullah,” desis lisan Ila. Dalam situasi
macam tu pun masih ingin bergaduh lagi. Tidakkah
ada keinsafan dalam hati masing-masing tentang
alam barzah kelak? Tidakkah para waris berfikir
tentang tempias perbuatan mereka kepada roh para
arwah. Situasi tegang itu kendur setelah campur
tangan petugas jabatan agama.

Akhirnya giliran pemindahan kubur ayah Ila tiba.
Matahari sudah meninggi waktu itu kira-kira jam 12
tengah hari. Setelah minta izin, dengan nama Allah
pegawai yang bertanggungjawab mulai
membenamkan mata cangkul pertama di atas
pusara almarhum ayah Ila. Bunyi mata cangkul
yang membenam atas tanah seperti merobek dada
Ila. Mata Ila tidak berkedip. Mulutnya kumat-kamit
berdoa.

Ada debar di hati Ila. Pelbagai rasa terpancul di
jiwa. Terbayang wajah almarhum Ayah. Almarhum

40

Ayah sangat tegas dan mementingkan Pendidikan
mereka tujuh beradik. Sesuai dengan jawatan beliau
sebagai seorang gurubesar lulusan zaman Jepun.
Almarhum Ayah Ila besar, tinggi orangnya berambut
ikal mayang. Kulitnya putih gebu dan Ila mewarisi
keindahan warna kulit almarhum itu.

Bagaimanakah keadaan dalam kubur tersebut
setelah puluhan tahun jasad beliau disemadikan.
Persoalan itulah yang mengundang debaran dalam
dada Ila. Almarhum Ayah Ila disemadikan pada
tahun 1985. Kini sudah tahun 2012. Bermakna
sudah 27 tahun beliau meninggalkan kami.
Semakin dalam petugas menggali, semakin kuat
debaran di hati Ila. Anaknya bujangnya tekun
menemani Ila. Dia mengamati setiap kerja petugas
sambil membuat rakaman video dan mengambil
gambar menggunakan telefon bimbitnya.

Tiba-tiba riuh bunyi di sebelah kanan kubur
almarhum ayah Ila. Ila memanjangkan leher ingin
tahu apakah gerangan yang menyebabkan keriuhan
tersebut. Subhanallah, mayat yang telah dibumikan
lebih 40 tahun yang lalu dikeluarkan dalam keadaan
utuh. Tidak reput. Wajahnya tenang, tubuh badan
masih utuh dan bersih seperti baru dikebumikan.
Hanya kain kafannya kekuningan akibat kena tanah.
Allahu akbar…masing-masing bertakbir. Ahli
keluarga jenazah ada yang menangis. Masing-
masing terpegun dan bertambah yakin akan janji
Allah. Jenazah yang tidak reput itu masih saudara

41

Ila. Almarhumah merupakan seorang guru ngaji di
kampung yang mengajar anak-anak mengaji
dengan percuma. Allahu akbar.

Keriuhan berulang lagi di kubur sebelah selatan
pula. Jenazah yang lain pula. Baru dibumikan lebih
kurang 10 tahun. Tidak reput juga. Katanya
almarhum ini orangnya baik. Suka menolong orang
dan tidak pernah mengata orang. Subhanallah.
Masih saudara Ila sebelah almarhum ayahnya.
Takbir dan sedu-sedan waris kedengaran
melahirkan suasana pilu di lokasi tersebut. Ila turut
mengalirkan air mata. Anaknya cuba menenangkan
Ila.

Fokus Ila kembali pada kubur almarhum ayahnya.
Agak dalam juga sudah digali. Tetapi petugas belum
berjumpa apa-apa pun. Petugas kelihatan
profesional. Beliau terus menggali. Peluh
membasahi dahi dan baju beliau. Sekali-sekala
beliau memanggung kepala ke arah Ila dan
anaknya. Ila tidak putus-putus berdoa. Kepala
petugas telah hampir tidak kelihatan kerana
kedalaman menggali.

Tiba-tiba mata cangkul petugas terkena sesuatu
benda keras. Dada Ila kembali berdebar. Air
matanya bercucuran tanpa disedari. Hentakan mata
cangkul semakin diperlahankan. Petugas semakin
berhati-hati.

42

Beliau mengeluarkan tulang yang agak panjang
seperti tulang paha. Tulang itu berwarna putih
kekuningan. Tetapi cuma satu itu sahaja tulang
yang panjang. Yang lain semua tulang-tulang kecil.
Tulang-tulang itu dikumpulkan dalam bekas yang
disediakan. Setelah yakin tiada lagi tulang yang
bakal ditemui, petugas itu memanjat naik ke atas.
Beliau menyusun tulang-tulang tersebut dalam kain
putih bersih yang dibawa bersama. Seperti bentuk
jenazah sewaktu dikebumikan dahulu cuma kali ini
agak pendek. Bungkusan kain putih itu diletakkan
pula dalam van jenazah yang disediakan untuk
dipindahkan ke tanah perkuburan baharu. Semoga
almarhum ayah Ila tenang di sana.

43

RAMBUTNYA PANJANG
(Fitnah Itu Lebih Tajam Daripada Mata Pedang)
Doktor Amir baru sahaja posting ke sebuah hospital
legenda di selatan tanah air. Sebagai Medical
Officer (MO) beliau layak menduduki kuarters yang
disediakan kerajaan menerusi Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM). Beliau mendapat lot
kuarters di tingkat 6 Blok Z. Minggu seterusnya
beliau bercadang untuk membawa isterinya datang
tinggal bersama-sama. Sebagai langkah awal

44

beliau datang seorang diri dahulu untuk berkemas-
kemas.

Malam itu Dr. Amir ingin tidur awal sebab penat
berkemas. Apa tah lagi esok pagi beliau sudah mula
bertugas di Jabatan Onkologi hospital tersebut.
Baru sahaja beliau ingin melelapkan mata,
terdengar bunyi loceng di pintu hadapan. Siapa pula
yang datang malam-malam begini, fikir Dr. Amir.
Namun begitu, beliau bingkas bangun, menyarung
baju T dan kain pelikat sahaja.

Beliau bergegas membuka pintu dengan seribu rasa
ingin tahu. Di hadapan pintu dalam jarak dua meter
kelihatan bahagian belakang seorang perempuan
berambut panjang melebihi paras punggong
memakai kebaya putih. Tetapi perempuan itu sudah
menapak dua tiga langkah ke hadapan. Betul-betul
sampai di hadapan tangga untuk naik ke tingkat
tujuh kuarters tersebut.

“Ya puan…cari siapa?” Dr. Amir menguatkan suara
bertanya. Namun perempuan itu tidak pula
menoleh. Dr. Amir berasa hairan. Rasanya tidaklah
lambat sangat beliau bertindak membuka pintu.
Sebaik mendengar bunyi loceng, beliau ambil masa
lebih kurang10 saat sahaja untuk sarung baju dan
terus membuka pintu. Dah dibukakan pintu,
perempuan itu tidak menoleh pula dan beransur
pergi.

45

Perempuan itu menapak naik tangga tersebut.
Derap kakinya agak kuat. Bagai dihentak-hentak.
Seperti pakai terompah. Dr. Amir tidak nampak
kakinya kerana kain yang dipakai agak labuh.
Rambutnya yang panjang mayang mengurai macam
jejak ke anak mata tangga tersebut. Dr. Amir
semakin hairan. Setahu beliau tingkat atas kuarters
tersebut tiada berpenghuni kerana sedang dalam
proses renovasi.

Untuk menyedapkan hatinya, Dr. Amir beranggapan
perempuan itu juga seperti beliau. Baru berpindah
agaknya. Mungkin dia ingin meminjam barang yang
penting. Tetapi mengapa pula perempuan itu tidak
berpaling apabila ditanya. Barang apa yang penting
tengah-tengah malam begini. Isyyy… pening juga
kepala Dr. Amir. Namun begitu, beliau kembali
menutup pintu setelah memastikan memang
perempuan itu telah naik ke tingkat atas. Deru angin
malam membuatkan Dr. Amir terasa dingin.
“Merajukkah dia?” monolog Dr. Amir sambil berjalan
menuju bilik beliau.

Baru sahaja Dr. Amir meletakkan kepala di atas
bantal, “dummmmm” ada bunyi dentuman kuat di
tingkat atas. Seperti pintu ditutup dengan kuat.
“Allahu, dia marah kat Aku ke” kata hati Dr. Amir. Dr.
Amir risau benar. Dia duduk di birai katil dan
menunggu kalau-kalau ada lagi bunyi lain. Setelah
10 minit berlalu, suasana sepi sahaja. Sekali sahaja
bunyi dentuman kuat itu.

46

Dr. Amir kembali tenang dan membaringkan dirinya
di atas katil. Kali ini dia mengiring menghadap
tingkap biliknya. Di hadapan tingkap bilik beliau
ialah Tanah Perkuburan Islam kariah tersebut. Dr.
Amir belum sempat memasang langsir tingkap
biliknya. Cadangnya esok barulah beliau akan
memasang langsir tersebut. Dari kaca tingkap
beliau nampak purnama mengambang di langit.

Dr. Amir mengucap kalimah syahadah. Ingin
menyambung tidur yang terganggu tadi. Tiba-tiba
hening malam pecah oleh bunyi bising seperti
pinggan berlaga. Bunyi pinggan seperti dihempas-
hempas dan air mencurah kuat pun ada. Macam
seorang isteri yang mencuci pinggan itu dalam
keadaan yang marah pada suaminya. Siapa pula
yang basuh pinggan malam-malam buta ni. Jam
sudah menunjukkan angka 12 malam. Kalau ya pun
nak basuh pinggan, basuhlah perlahan-lahan. Desis
hati Dr. Amir. Ada rasa kesal di hati beliau kerana
jiran tidak menjaga etika kejiranan. Lama-lama
bunyi itu tidak kedengaran lagi. Mungkin dah selesai
agaknya proses mencuci pinggan itu. Dr. Amir
kembali tenang.

Beliau ingin menyambung tidur. Namun begitu agak
sukar matanya untuk lelap. Beliau memikirkan
kejadian yang baru berlaku. Siapakah agaknya
yang berdiri depan pintu tadi, berambut panjang,
menekan loceng dan kemudian naik tangga tanpa
menoleh padanya? Gerangan apakah yang

47

berdentum kuat itu tadi? Kemudian siapakah
agaknya yang membasuh pinggan malam-malam
buta begitu dengan bunyi air yang mencurah-curah?

Kusut minda Dr. Amir untuk melerai kejadian
tersebut. Menambah kusut lagi fikiran beliau apabila
beliau menoleh ke tingkap bilik dan nampak ada dua
biji mata berwarna merah sedang mengintai ke
dalam bilik beliau. “Allahu akbar,” Dr. Amir bertakbir
dengan kuat sambil membaling telefon bimbitnya ke
arah tingkap. Serta-merta mata merah itu hilang.
Dr. Amir tidak sedar apa yang berlaku selepas itu.
Sedar-sedar beliau sudah berada dalam wad di
hospital. Isteri beliau menangis teresak-esak sambil
memegang tangan beliau.

“Syukur Abang dah sedar,” kata Ani sambil cuba
tersenyum walaupun hambar.

“Apa yang terjadi Sayang,” tanya Dr. Amir.

“Abang dijumpai tidak sedarkan diri di bilik kuarters
oleh pengawal keselamatan yang meronda,” kata
Ani isteri yang dikahwini tiga tahun lalu. Suaranya
mendatar.

Dr. Amir cuba mengingat kembali kejadian malam
itu. Namun fikirannya kabur. Dia memicit-micit
dahinya.

“Macam mana pengawal keselamatan tahu Abang
tidak sedarkan diri di dalam bilik?” tiba-tiba Dr. Amir
melontarkan pertanyaan.

48

“Kata pengawal keselamatan tu, ada seorang
perempuan datang memberitahunya bahawa Abang
pengsan di dalam bilik,” ada nada tidak indah dalam
suara Ani.

“Hah…perempuan mana pula?” dengus Dr. Amir.

Ani memandang tajam ke arah Dr. Amir. Suami
yang dikasihinya. Baru tiga hari mereka berjauhan
kerana tuntutan tugas.

“Perempuan berkebaya putih, kata pengawal itu,”
sambung Ani dengan resah.

“Macam mana pengawal boleh masuk ke bilik
Abang?” tanya Dr. Amir lagi bingung

“Perempuan berkebaya putih itu tolong bukakan
pintu,” tambah Ani diiringi deraian air mata. Dr. Amir
faham apa yang tersirat dalam hati isterinya.

Berdenyut kembali kepala Dr. Amir. Beliau berada
dalam situasi yang paling sukar. Bagaimanakah
beliau dapat menerangkan apa yang berlaku kepada
Ani isteri tercinta. Bolehkah Ani mempercayai cerita
beliau kelak? Mereka berdua sangat terpelajar.
Adakah masih wujud cerita-cerita seperti ini dalam
era Pandemik Covid-19 ini? Jika tidak kena gaya
bercerita pasti menimbulkan fitnah dalam rumah
tangga beliau.

Dalam diam Dr. Amir berdoa semoga Allah
membantunya. Beliau yakin selagi beliau berada

49
dalam landasan yang benar, semuanya pasti
menyebelahi beliau. Beliau memandang wajah Ani
dengan mesra sambil memegang erat jemarinya.
Ani menarik tangannya dan membuang pandang ke
luar tingkap wad tersebut. Makin gusar Dr. Amir.

(Cintakan Hikmah Merupakan Usaha Berterusan
Untuk Mencari Kebenaran Secara Meneroka
Rahsia Diri, Persekitaran Dan Alam)

50

ATUK BAWAH KERUSI

KALAU datang ke rumahku Ady cucuku pasti terus
mendaki tangga ke tingkat atas. Pantas sahaja
kakinya yang comel itu melompat-lompat mata
tangga tersebut. Kerana ada lubuk mainannya di
tingkat atas. Hall tingkat atas rumahku memang
khusus buat tempat Ady bermain dengan bebas. Itu
tujuanku membina rumah besar. Rumah ini syurga
anak cucu. Untuk anak cucu agar bebas dan selesa
bermain tanpa halangan. Apalah gunanya rumah
besar kalau sekadar hiasan. Bukan begitu hasratku.
Biarlah dia bebas di rumahku. Rumahku ialah
rumah Ady. Di situlah kebahagiaanku.

Selain mainan, ada televisyen khusus untuk Ady
bermain game mengikut masa yang diizinkan oleh
Ayah dan Ibunya. Maklumlah Ady baru berusia tujuh
tahun, bukan sepanjang masa main game. Ada
masa-masa tertentu sahaja boleh bermain game.
Ady anak baik yang patuh pada arahan dan teguran
ayah dan ibunya. Pada masa yang sama dia amat
sayang kepadaku nendanya.

Dalam leka bermain, tiba-tiba Ady datang kepadaku
bertanya. Siapakah yang duduk di bawah kerusi
merah di tepi telefon? Siapa? tanyaku kembali.
“Ada Atok duduk situ, dia pandang Ady, tambah Ady
lagi.” Berderau darahku. Meremang bulu romaku.
“Di mana?” tanyaku. “Di bawah kerusi merah kat
tepi tangga tu,” jawab Ady petah dan yakin tanpa


Click to View FlipBook Version