The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by naza4509, 2022-04-13 22:53:32

13 KISAH WORDS WITH ISBN

13 KISAH WORDS WITH ISBN

51

sebarang perasaan sambil tangannya menunjuk ke
arah tangga.

Aku memeluk Ady. Membawanya ke sinki.
Membasuh mukanya sambil membaca ayat Kursi.
Aku pura-pura tidak serius dengan cerita Ady. Aku
buka pintu peti ais dan ajak Ady makan ais krim
kesukaannya sambil bercerita. Dan sehingga
petang apabila dijemput ayahnya, Ady telah akan
lupa hal Atok di bawah kerusi merah tersebut.

Apabila Ady pulang, Aku intai kerusi merah di tepi
telefon berhampiran tangga. Tiada sesiapa di situ.
Aku anggap itu cuma gurauan Ady kerana terlalu
taksub dengan toysnya agaknya. Namun begitu,
ada getar di hatiku. Dengan membaca ta’awuz dan
Ummul kitab, Aku alihkan kerusi tersebut. Ada
debar dan perasaan yang sukar dimengertikan
dalam dadaku. Aku letak stand al Quran di situ.
Senja itu Aku dan suami solat berjemaah menghala
stand al Quran itu.

Malam itu Aku tidur awal. Dalam lena, Aku bermimpi
didatangi dan dimarahi oleh seorang lelaki tua yang
hodoh parasnya. Dia hanya memakai kain putih
yang berlumuran darah menutupi pusat ke bawah.
Wajahnya berjanggut, lidahnya panjang dan
bercabang, berbulu dada dan kukunya panjang. Dia
tuduh Aku ganggu biliknya.

“Bila masa Aku ganggu bilik engkau? Engkau yang
pandai-pandai masuk ke rumahku tanpa izinku,”

52

tempikku penuh emosi. Dia tidak berani masuk ke
biliknya lagi sebab Aku letak al Quran di situ. Dia
pandang Aku dengan matanya yang tajam dan
bengis. Marah dengan kata-kataku agaknya.

Baunya hanyir dan memualkan. Lidahnya terjelir-
jelir bagai lidah biawak. Setiap kali dia menjelirkan
lidah bercabang itu, ada banyak labah-labah hitam
kecil yang keluar daripada hujung lidah itu. Tetapi
dia akan memakan labah-labah hitam itu kembali
seperti seekor cicak memakan mangsa.

Apabila dia menghulurkan tangannya yang berkuku
panjang ke mataku, sambil menjelir-jelirkan lidahnya
yang bercabang itu, labah-labah hitam yang banyak
itu seperti telah merayap sangat hampir dengan
mataku. Terasa bulu-bulu kakinya yang halus
merayap-rayap di pipiku.

Allahu akbar…..jeritku. Aku menjerit dan terjaga.
Peluh dingin membasahi leherku. Di luar rumah
hujan lebat. Aku menggigil. Suamiku tiada di
sebelahku kerana pergi memancing. Aku raba
pipiku namun tiada labah-labah hitam di situ. Petir
sabung menyabung. Aku membaca ayat Kursi
berulang kali. Aku mencari kunci bilikku yang
kuletakkan di tempat biasa. Namun kunci itu tiada
pula di situ. Aku yakin tadi sebelum tidur kunci itu
ada kuletakkan di situ.

Aku melupakan soal kunci dan terus ke bilik air untuk
mandi, berwudhu dan mendirikan solat Tahajjud. Air

53

terasa dingin sekali menambah ketar di tubuhku.
Lampu rumah Aku nyalakan. Jam dinding
menunjukkan pukul 4 pagi.

Aku pasang audio al Quran dengan kuat. Aku lawan
perasaan tidak selesa dengan membayangkan
bahawa makhluk itu sebenarnya lemah. Kita ialah
manusia yang lebih kuat daripada mereka. Kalau
kita berani sebenarnya mereka tidak dapat berbuat
apa-apa kepada kita. Kelebihan kita ialah kita lebih
mulia daripada mereka kerana dikurniakan akal
fikiran. Dengan akal fikiran itu menjadikan manusia
semulia-mulia kejadian. Keberanian kita sebagai
manusia kerana kita ada senjata. Senjata kita
adalah ayat-ayat suci al Quran. Dia berani datang
dalam mimpiku kerana Aku terlalu memikirkan hal itu
sebelum tidur tadi. Aku beristighfar.

Sedang Aku menyarung baju, Aku mendengar
ketukan di pintu rumahku. Siapa pulak yang datang
pagi-pagi begini. Kalau suamiku yang pulang
biasanya beliau tidak akan ketuk pintu kerana ada
membawa kunci sendiri. Aku diamkan diri. Ketukan
itu telah berhenti. Tidak ada pula suamiku masuk ke
rumah. Mungkinkah jiran-jiranku nampak lampu
rumahku menyala, maka mereka datang melawat
Aku kerana mendengar Aku menjerit.

Tiba-tiba hening pagi itu pecah lagi oleh gegaran di
tingkap bilikku pula. Gegaran itu meresap hingga ke
kepalaku seperti ada orang sedang buat kerja drill.

54

Bingit sekali. Bunyi itu datang dari arah tingkap
bilikku yang menghala ke rumah Mary jiranku.
Apabila Aku berpaling ke arah tingkap, kelihatan
seekor labah-labah hitam yang besar dan berbulu
sedang merayap di tingkap cermin bilikku. Macam
ketam kelapa pun ada rupanya.
“Astagfigrullah…dugaan apa pula ini? desis hatiku.
Aku tidak henti-henti membaca ayat Qursi.

Ada air lendir berwarna kuning menitis daripada
lapan kaki labah-labah hitam yang besar itu seperti
air paip. Bulu labah-labah itu lengket diselaputi
lendir kuning itu. Amat menjijikkan. Dinding tingkap
bilikku turut basah dengan lendir berwarna kuning
seperti tepung kastard. Lebih menakjubkan lagi,
kunci bilikku tergantung di hujung salah satu kaki
labah-labah hitam yang besar itu. Terpana Aku akan
senario itu.

Aku memang alergik akan labah-labah. Aku sentap
langsir jendela rapat-rapat. Jantungku rasa hampir
nak tercabut. Aku membatukan diri di tepi katil.
Telekung yang inginku sarung untuk menunaikan
solat tergeletak di atas lantai kerana sangat terkejut.

Dalam hening pagi itu, Aku dengar seperti bunyi
kaca retak di belakang langsir tingkap yang baru
saja kusentap tadi. Aku beranikan diri menyelak
langsir tingkap perlahan-lahan. Ya..Allah….retak
seribu kaca jendela itu seperti kaca cermin keretaku
yang retak waktu terkena batu daripada tayar lori di

55

lebuhraya pada malam gelap sebelumnya. Aku
memejamkan mataku dek ketakutan yang amat.

“Kreeeeek…kreeeekk.” Bunyi apa pula tu. Apabila
kutoleh, se pasang kaki labah-labah hitam itu sudah
mulai menembusi kaca dan langsir tingkap bilikku
seperti jarum kuning besar yang berbulu hitam.
Pada satu kaki itu masih tergantung kunci bilikku.

Ya Allah…..Tolongggggg….itu ayat terakhir yang
Aku ingat. Selepas itu Aku tidak ingat apa-apa lagi.
Tumpas juga Aku. Sebaik sedar Aku sudah berada
di dalam wad hospital. Suamiku sedang membaca
surah Yasin di tepi katilku. Sudah matikah Aku?

Aku meraba tepi pahaku. Ingin memastikan apakah
yang kupakai itu kain kafan ataupun bajuku.

56

(Pancaindera Sejahtera, Akal Sihat, Bermakna
Dan Berdaya Cipta)
DIA CUBIT AKU

MALAM itu Emak kelihatan letih sangat. Maklumlah
lepas selesai kenduri doa selamat kerana kami akan
menduduki peperiksaan dan sekaligus kenduri tahlil
arwah nenek. Semuanya diurus dan juadah
dimasak sendiri oleh Emak dengan pertolongan adik
beradik emak. Ayah memang jarang membantu.
Emak masih sibuk mengemas pinggan di dapur.
Dapur terletak di bahagian bawah. Untuk ke dapur
kami perlu menuruni lima mata tangga. Malam telah
larut. Jiran tetangga dan saudara-mara sudah
pulang. Jam menunjukkan pukul 12 tengah malam.
Waktu itu usiaku baru 11 tahun. Aku sedang
bersekolah dalam darjah lima. Masih di sekolah
rendah.
Peristiwa yang berlaku masih segar dalam
ingatanku. Walaupun masih kecil, Aku jenis yang

57

suka membantu Emak di dapur. Kalau Emak lambat
tidur, Aku pun sama. Berkali-kali Emak suruh Aku
tidur. Mak kata esok nak kena pergi sekolah. Mesti
tidur awal. Aku cakap belum mengantuk lagi. Mak
amat sayang padaku. Dia biarkan Aku
menemaninya.

Sisa-sisa makanan kenduri tu Emak ingin habiskan.
Tak baik membazir kata Emak. Dulu mana ada peti
ais untuk simpan makanan lebih. Aku ikut duduk
bersimpuh bersama-sama Emak menghabiskan
nasi minyak dan ayam kurma lebihan kenduri.

Di luar rumah kedengaran macam bunyi ribut. Aku
pasti hujan akan turun. Daun pokok rambutan yang
menjulur atas atap zink dapur itu bergeser-geser
ditiup angin menimbulkan bunyi yang agak
menyeramkan di malam hari seperti bunyi ular sawa
berdesir. Aku memandang Emak. Emak sedang
asyik menghadap hidangan. Macam tidak
terganggu akan bunyi desiran itu.

Kemudian Aku mendengar sayup-sayup bunyi
lolongan anjing. Kata Emak anjing akan melolong
malam-malam kerana ternampak syaitan. Sekali
lagi Aku pandang ke arah Emak. Macam Emak tidak
mendengar apa-apa pun. Masih asyik menyuap nasi
berlauk ayam ke mulut dengan berselera seperti
orang yang lapar sangat. Mungkin tadi sibuk sangat
mengurus kenduri lalu Emak lupa untuk menikmati
makanan.

58

Tiba-tiba Emak tersedak. Emak buat isyarat minta
air minum padaku. Aku bangun dengan pantas
untuk ambil gelas minuman dan menghulur kepada
Emak. Semasa Aku menuang air minuman
daripada cerek di atas dapur, Aku nampak pintu
belakang dapur terbuka. Di jenang pintu itu aku
nampak ada dua biji bola merah menyala seperti
mata sedang memerhatikan Aku. Masa itu Aku
ingatkan itu tanglung merah yang dibawa oleh jiran
Emak berbangsa Cina sebagai buah tangan masa
kenduri siang tadi. Jiran itu pemilik kebun getah
belakang rumah.

Aku kembali duduk bersimpuh menghadap
hidangan. Emak simpuhnya menghadap tingkap
belakang dapur. Aku membelakangi tingkap kerana
Aku duduk menghadap Emak. Ayah dan adik-
beradik dah lama masuk ke bilik masing-masing.
Aku asyik meratah lauk ayam kurma dengan selera
walaupun mulai ada rasa tidak enak menyelubungi
mindaku.

Tiba-tiba Emak bangun. Dia heret tangan Aku.
Terkejut Aku. Dia basuhkan tangan Aku. Mengheret
Aku naik tangga dengan pantas ke rumah bahagian
atas dengan cemas. Aku terpinga-pinga. Aku masih
ingin makan nasi minyak dan ayam kurma tu sampai
habis. Belum puas lagi.

“Dah…esok makan lagi, kata Emak tegas. Mukanya
masam sahaja.

59

Aku pun baring dengan rasa tidak puas hati. Mak
tidak bercakap banyak. Cuma tunjukkan muka
garang kepadaku. Aku hairan. Apa salahku?
Sebelum masuk tidur lagi, Aku intai ke dapur. Tak
nampak apa yang luar biasa. Aku ingin mengintai
pintu dapur yang terbuka dan bola merah tadi tetapi
terlindung oleh dinding pula. Di luar sepi, tiada lagi
lolongan anjing cuma burung hantu pula bersahut-
sahutan.

Esok pagi Aku dengar Emak bercerita sesuatu yang
aneh pada Bak sambil menunjukkan lengannya
yang lebam seperti kesan cubitan. Bak cuma
tersenyum.

“Lain kali tutup tingkap kalau hari dah malam,”
lembut kata Bak. Bak memang tidak banyak cakap.

Aku ingin tahu. Tapi tak berani menyampuk
percakapan orang tua. Takut kena penampar.
Memang kami dididik untuk menghormati orang tua.
Namun Aku dapat rasakan ada sesuatu yang tidak
kena malam tadi. Aku berhasrat mencari
jawapannya. Menunggu waktu yang sesuai untuk
mengorek rahsia daripada Emak.

Petang itu balik dari sekolah, Aku nampak Mak Usu
sedang berbual dengan Emak di dapur. Aku
mendengar Emak bercerita. Akhirnya rahsia
mengapa Emak menarik tanganku cepat-cepat
malam tadi terbongkar juga. Dari balik pintu Aku

60

mendengar cerita Emak yang menakjubkan pada
Mak Usuku.

“Akak nampak bola mata merah mengintai kat
tingkap tu,” kata Mak sambil menunjuk tingkap
dengan muncungnya.

“Allahu akbar, apa Akak buat lepas tu?” tanya Mak
Usu ingin tahu.

“Akak heret tangan Zu, ajak tidur. Tingkap tu cepat-
cepat Akak tutup sampai berlaga daun tingkap
papan tu,”.

“Syukurlah Akak dan Zu tak ada apa,” tukas Mak
Usu

“Dalam tidur Akak, bola mata merah itu datang.
Tubuhnya besar tinggi. Dia cubit lengan Akak. Dia
marah sebab kepalanya terhantuk daun tingkap
masa Akak tutup tingkap dengan laju sebab takut,”
tambah Emak.

Kemudian Aku lihat Mak menunjukkan lengannya
yang lebam teruk kerana dicubit. Mak Usu meraba-
raba kesan lebam itu sambil mulutnya kumat-kamit
membaca sesuatu.

Aku mengintai ke arah tingkap yang Emak ceritakan
itu. Tiada apa yang aneh di situ. Cuma langsir
merah saja berbuai-buai ditiup angin petang.
Namun Aku sudah mendapat jawapan pasti.

61

POKOK DUKU SAKAT
(Alam Perlu Diamati Secara Etika Dan Spiritual

Bagi Masyarakat Beragama)
KISAH ini kisah yang terpateri sekian lama. Kisah
sewaktu Aku kecil-kecil dulu dan masih bersekolah
rendah di kampung tercinta tanah kelahiranku.
Biasalah anak jati kampung. Kami sangat erat
berinteraksi dengan alam. Berkomunikasi dengan
unggas, memberi lembu dan kambing makan
rumput, mandi air telaga, berenang di sungai,

62

memancing ikan puyu di tali air, belajar disinari pelita
minyak tanah perkara biasa bagi kami anak
kampung. Dalam proses Aku membesar di
kampung, banyak kisah yang agak ganjil didengar
dan dialami di sekitar kampung. Kisah yang Aku
kongsi ini agak popular juga di kampungku waktu itu.
Kisahnya macam ni.

Ada sebatang pokok duku yang tumbuh di tepi jalan
kerikil yang berbukit menuju ke rumah kami. Pokok
duku itu tumbuh betul-betul di kaki bukit. Di sebelah
kanan pokok duku tersebut ada sebuah telaga.
Tidak tahulah pula siapa yang menanam pokok duku
dan menggali telaga tersebut. Cuma sewaktu cerita
Duku Sakat itu viral, seingat Aku pokok duku itu
memang telah besar panjang dan telaga itu memang
telah ada di situ.

Mungkin pokok duku itu hasil benih yang dibawa
haiwan liar atau burung. Pokok duku itu jarang
berbuah walaupun daunnya lebat dan pohonnya
besar serta tinggi. Pokok duku ini dikenali oleh ahli
kariah kampungku sebagai Duku Sakat. Cuma
sebatang sahaja pokok Duku Sakat itu yang tumbuh
anggun di tepi jalan di bawah bukit itu bersebelahan
pula dengan telaga.

Dalam 50 meter daripada lokasi pokok Duku Sakat
itu ada sebuah busut yang tinggi. Tinggi busut
tersebut dalam empat kaki dan panjangnya lebih
kurang 15 kaki. Atas busut itu bersemadi tiga buah

63

makam. Katanya makam itu milik orang-orang yang
membuka kampungku itu dahulu. Melintasi sahaja
makam itu sudah cukup mendirikan bulu romaku.
Apatah lagi apabila pokok Duku Sakat itu mengilai
menyakat Aku, entah apalah nasibku agaknya.

Menambah hebat cerita pokok duku ini lagi,
kononnya haiwan seperti ayam, tupai, burung-
burung pun tidak ada yang berani hinggap atau
mendekati pokok duku ini. Lembu dan kambing
yang dibela pun tidak mahu meragut rumput
berhampiran pokok Duku Sakat tersebut. Dahsyat
betul. Lebih dahsyat lagi kononnya air telaga itu
sahaja yang tidak pernah kering walaupun pada
musim kemarau.

Pada waktu malam yang gelap tanpa purnama
pokok Duku Sakat itu kelihatan seperti lembaga
yang besar tinggi dan hitam. Apabila angin bertiup,
daunnya melambai-lambai menambah seram. Kata
orang pokok duku itu suka menyakat orang yang
lalu-lalang di situ terutama waktu malam bulan
gelap.

Kesahihannya tidaklah Aku tahu kerana Aku tidak
pernah disakat. Ya lah…masih kecil waktu itu.
Takkan Aku berjalan-jalan pada malam hari pulak.
Nak menambah seram lagi kisah ini, katanya kalau
malam bulan purnama pula, makin galaklah pokok
duku ini menyakat orang yang lalu-lalang di situ.

64

Menyakat macam mana tu? Nak tahu? Macam ni,
sesiapa yang lalu di jalan itu pada malam hari akan
mendengar pokok duku itu ketawa dan mengilai.
Huh…pokok duku ketawa. Mana mungkin kata
hatiku? Tapi itulah realitinya. Menambah rencah
cerita itu lagi, kononnya pokok duku itu juga pandai
melempar orang dengan rantingnya. Bertangankah
pokok duku tersebut? Kalau benar pokok duku
boleh ketawa, mengilai dan pandai melempar
ranting, mahu pengsan Aku apabila menerima
lemparan itu.

Seisi kampung heboh dengan cerita pokok duku
ketawa, mengilai dan membaling kepala orang yang
lalu di hadapannya. Dengarnya anak Mak Cik
Saonah, Bariman tidak sedarkan diri selama tiga
hari akibat disakat pokok duku tersebut. Tok
Pawang Dolah dipanggil untuk merawat si Bariman.
Bariman teman sekolahku. Dia pendiam dan agak
misteri orangnya. Katanya malam itu bulan
mengambang. Dia pergi menjerat ruak-ruak
berseorangan kerana pada malam bulan purnama
banyak ruak-ruak keluar bermain-main dan mencari
makan. Tiada seekor pun ruak-ruak yang berjaya
dijeratnya sebaliknya dia didapati meracau-racau
dan tak sedarkan diri akibat disakat pokok duku itu.

Jauh di sudut hati kecilku ingin sekali mendengar
hilai-tawa pokok duku tersebut. Namun zaman dulu
manalah ada kemudahan rakaman. Kalau tidak
bolehlah kita minta dibuat rakaman audio peristiwa

65

pokok duku ketawa mengilai waktu menyakat orang
yang lalu-lalang di hadapannya itu.

Setiap kali akan menziarah ke rumah Datuk dan
Nenekku, Aku akan melalui jalan kerikil tanah merah
di hadapan pokok duku tersebut. Tiada pilihan.
Memang jalan itu sahaja yang ada. Kalau musim
panas, jalan itu berdebu kemerah-merahan. Pada
hari hujan pula, lecak.

Waktu siang tidak pula pokok duku itu menyakat
Aku. Terkenang peristiwa pada bulan Ramadhan
semasa Aku remaja. Menjelang petang Mak akan
suruh Aku dan adik pergi beli ais dan aiskrim
Malaysia di rumah Tok Pah sambil hantar juadah
berbuka kepada Datuk dan Nenekku di hujung
kampung. Aku pasti melalui jalan kerikil di hadapan
pokok Duku Sakat tersebut juga. Aku tidak berani
pergi seorang diri walaupun waktu siang hari. Tetapi
kami terselamat daripada disakat.

Kadang-kala pokok Duku Sakat tu jadi mercu tanda.
Kalau ada yang bertanya kat mana rumah si polan.
Aku dengar Mak akan cakap…”jalan depan sikit dari
pokok Duku Sakat tu….belok sebelah kiri tu je”.
Macam tak ada apa-apa pula yang ditakutkan
dengan pokok duku tersebut pula.

Kini kampungku sudah mengalami pembangunan.
Jalan kerikil merah itu sudah berganti tar hitam.
Rumah-rumah sudah banyak didirikan. Pokok Duku
Sakat sudah tiada lagi di situ. Aku pun tidak tahu

66
bilakah hayat pokok Duku Sakat itu berakhir. Namun
makam di atas busut masih setia di sana. Damailah
semua ahli kariah kampungku.

GUGUSAN KUNCI
(Kesederhanaan Harus Dijaga Agar Dapat Kunci

Kebahagiaan)
PANDEMIK Covid-19 membuatkan Zali, suami Dr.
Ayu lebih berhati-hati dalam setiap tindakan. Apatah
lagi Dr. Ayu pakar mata yang jelita itu kini telah hamil
enam bulan. Anak pertama mereka yang dinanti-
nanti bakal hadir menyerikan mahligai cinta yang
dibina mereka setelah bersabar hampir lima tahun.

67

Sekian lama berdoa dan berusaha barulah Allah
memberi rezeki. Alhamdulillah. Syukur tidak
terhingga. Bertambah semarak kasih sayang
mereka.

Petang itu lebih kurang jam 6 petang Dr. Ayu
ditemani Zali suaminya ke klinik tempat Dr. Ayu
bertugas di tingkat 3 hospital. Zali ingin memasang
partition di meja kerja Dr. Ayu isterinya untuk
memastikan ada penjarakan sosial antara Dr. Ayu
dan pesakitnya sewaktu menerima rawatan mata di
klinik tersebut. Sebagai seorang jurutera, kerja itu
mudah bagi Zali. Maklumlah era Pandemik Covid-
19. Perlu lebih berhati-hati. Dr. Ayu duduk di kerusi
membaca buku “Panduan Mudah Bersalin” sambil
menunggu suaminya.

Sedang sibuk Zali memasang partition, Dr. Ayu
terdengar bunyi seperti ada orang lain yang
menapak datang ke jabatan itu. Bunyi bising-bising
turut kedengaran seperti orang berjalan membawa
gugusan kunci dan kunci-kunci itu berlaga sesama
sendiri di koridor. Mula-mula Dr. Ayu tidak terkesan
kerana biasalah di hospital. Sentiasa sibuk. Tetapi
bunyi bising itu agak luar biasa. Semakin lama
semakin kuat. Kedengaran seperti orang bergaduh
pun ada, seperti pisau berlaga sesama sendiri pun
ada.

Situasi itu mengundang rasa ingin tahu Dr. Ayu. Dr.
Ayu membuka pintu biliknya perlahan-lahan. Beliau

68

merapatkan dirinya ke pintu sambil mengintai dari
celah pintu bilik kliniknya sahaja. Beliau enggan
keluar bimbang dianggap suka menyibuk. Dari
celah pintu, beliau nampak seperti kelibat kaki orang
berseluar putih berjalan memegang gugusan kunci.
Tak pasti pula kelibat itu lelaki ke perempuan sebab
yang kelihatan bahagian belakang lutut ke bawah
hingga buku lali. Kasut pun tidak pula kelihatan.

Dr. Ayu berpaling dan spontan merenung gugusan
kunci di atas mejanya yang diambil daripada kakak
pengawal keselamatan tadi. Masih ada di situ,
gugusan kunci itu. Suaminya Zali sedang asyik
dengan tugas memasang partition seperti tidak
terkesan oleh bunyi bising itu. Dia hanya
memandang perbuatan Dr. Ayu tanpa berkata apa-
apa. Sifatnya memang begitu. Apabila bekerja, dia
fokus.

Kemudian Dr. Ayu dengar bunyi orang cuba
membuka pintu bilik sebelahnya menggunakan
kunci. Bunyi lagaan anak kunci agak bising seperti
sukar orang itu untuk membuka pintu tersebut.
Macam dicucuk dan dicabut berulang-ulang kali dan
ditukar-tukar kunci. Dr. Ayu buat tidak kisah.
Mungkin ada doktor lain sepertinya yang datang di
luar waktu tugas untuk berbuat sesuatu. Namun
begitu, seingat Dr. Ayu, di sebelah biliknya ialah
pantri.

69

Setelah suaminya selesai memasang partition, Dr.
Ayu dan suaminya berjalan keluar. Di luar sepi.
Tiada sesiapa. Sambil lalu, Dr. Ayu sempat cuba
memulas tombol pintu untuk membuka pintu bilik
pantri sebelah kanan kliniknya. Namun pintu itu
berkunci pula. Apabila cubaan itu gagal, Dr. Ayu
melekapkan telinganya di daun pintu itu. Sepi
sahaja.

Dr. Ayu cuba pula membuka pintu klinik yang
sebelah kiri untuk bertegur sapa atau bertanya
melerai keraguan sekiranya ada penghuni di dalam.
Sama juga. Pintu bilik itu berkunci. Dr. Ayu dan
suami terus berjalan menuju pintu keluar utama
sambil berpegangan tangan. Suaminya hanya
melihat sahaja pelakuan Dr. Ayu.

Dr. Ayu serba salah untuk terus pulang
meninggalkan kliniknya. Dia memegang kunci pintu
masuk utama ke level 3 hospital itu. Andai dia kunci
pintu utama itu, bimbang pula orang yang membawa
gugusan kunci tadi terkunci di dalam dan tidak boleh
keluar sepanjang malam itu. Bimbang timbul pula
kisah bermalam di hospital. Selalunya viral kisah
bermalam di muzium. Itu perkara biasa. Dr. Ayu
sempat tersenyum sendiri. Tetapi di manakah orang
yang berseluar putih membawa gugusan kunci itu
tadi. Siapakah gerangannya?

70

Dalam kecelaruan, untuk kepastian, Dr. Ayu
bertanya kepada kakak pengawal keselamatan yang
setia bertugas di pintu masuk.

“Kak, ada sesiapa datang ambil kunci bilik klinik
tingkat 3 ke?’

“Tak de lah Doktor,” jawab kakak. “Doktor je yang
datang petang ni, kenapa Doktor?” tanyanya
kembali. Ada nada hairan dalam suaranya.
Matanya memandang tepat ke arah mata Dr. Ayu.
Dr. Ayu melarikan pandangan matanya.

Dr. Ayu dan suami berpandangan. Tidak dapat
mereka menjawab soalan kakak pengawal itu.
Siapakah yang berseluar putih menapak dan
membawa gugusan kunci, cuba membuka pintu
sebelah klinik Dr. Ayu itu tadi? Siapakah yang
membuat bunyi bising seperti pisau berlaga tadi?
Siapa pula yang mencucuk dan mencabut anak
kunci pada tombol seperti yang Dr. Ayu dengar tadi.
Makin erat Dr. Ayu menggenggam tangan
suaminya.

Sampai dalam kereta, Dr. Ayu bertanya suaminya.
“Tadi Abang dengar perkara yang sama seperti Ayu
dengar tak?

“Ya, Abang dengar,” jawab Zali.

“Abang dengar apa? Dr. Ayu masih mencungkil.

71

“Abang dengar orang berjalan bawa kunci, buka
pintu bilik sebelah kita, bising-bising dan bunyi orang
asah pisau. Meremang rasa bulu roma Dr. Ayu.

Namun ada rasa lega di hati Dr. Ayu. Jadi dia
tidaklah keseorangan mendengar apa yang berlaku
petang itu.

“Cuma Abang tak nampak apa yang Ayu nampak
waktu Ayu intai kat celah pintu tadi,”

“Ayu nampak apa,? tanya Zali.

“Orang berseluar putih berjalan bawa gugusan kunci
macam Ayu ambil pada kakak guard tu,” terang Ayu.

Zali terus memandu sambil beristighfar. Dr. Ayu
turut ikut beristighfar.

72

DIA MENGEMBEK
(Kewujudan Alam Sebagai Makhluk Mempunyai
Falsafahnya Tersendiri Yang Merujuk Kepada

Allah S.W.T Sebagai Pencipta)
RONA kegembiraan terserlah di wajah masing-
masing apabila flight selamat mendarat di Lapangan
Terbang Juanda Surabaya. “Ceria nau wajah
masing-masing” kata orang Melaka. Lebar
senyuman sampai ke telinga. Mana tak bersyukur
dan gembira. Pulang ke kampung ayahanda di luar
negara. Begitulah tuah nasib badan apabila berlaku
perkahwinan antara dua negara. Dapat peluang
bertandang ke negara jiran bertemu sanak saudara.
Masing-masing mengheret bagasi yang penuh ole-
ole dari Malaysia. Tak terasa penat pun.
Kami berlima disambut mesra oleh adik-adik ipar
yang setia menunggu di lapangan terbang atau
disebut bandara oleh mereka. Terus kami dibawa

73

ke hotel. Tidaklah hotel mewah. Sekadar hotel tiga
bintang sahaja, tetapi sudah cukup mewah buat
kami. Apabila selesai urusan di hotel, adik-adik
iparku pulang meninggalkan kami.

Kami pun berehat di bilik hotel menghilangkan
kepenatan. Agak selesa dan besar bilik tersebut.
Masing-masing dapat katil single. Aku memerhati
hiasan kamar hotel kami. Hiasan agak sederhana.
Di dinding bilik hotel itu ada frame gambar dua ekor
kambing berwarna putih. Kambing itu bertanduk
panjang berwarna kecoklatan seperti kambing
gurun. Cantik juga walaupun sederhana hiasan
dinding bilik hotel itu.

Malam itu kami semua sepakat tidur awal kerana
kepenatan. Setelah makan malam yang enak dan
menunaikan solat jamak Maghrib dan Isya’ kami
terus masuk tidur. Siaran televisyen Indonesia tidak
menarik minat kami. Sebelum tidur Aku membaca
menu hotel sambil memikirkan pilihan menu untuk
esok pagi.

Ada lamb chop. Ada ayam goreng Surabaya. Ada
macam-macam lagi. Sambil itu spontan mataku
memandang gambar kambing yang menjadi hiasan
pada frame di dinding. Tanduk dua ekor kambing
itu berlaga seolah-olah sedang bersiap-siap untuk
bertanding laga. Warna tanduk yang keemasan itu
seolah-olah bersinar. Namun begitu Aku tidaklah
minat daging kambing. Ada macam-macam lagi

74

pilihan menu. Terus Aku berangan-angan untuk

makan ayam goreng Surabaya yang enak esok pagi.

Mmmmm…pasti meleleh air liur. Dalam

mengelamun menikmati ayam goreng, Aku terlena

agaknya.

Sayup-sayur Aku mendengar suara kambing
mengembek. Suara itu makin lama makin kuat.
Tidak lama selepas itu, Aku dengar seperti ada objek
yang dilemparkan ke dinding. Aku membuka mata.
Suara itu hilang. Aku lihat suami dan anak-anak
lena tidur dibayangi lampu tidur yang suram. Aahhh,
mungkin Aku bermimpi. Aku memujuk hati. Aku
cuba mencari objek yang dilemparkan itu tadi. Tapi
tidak kelihatan apa-apa yang aneh kecuali bantal.

Aku berpaling ke arah dinding menukar kedudukan
tidur sambil memujuk mata untuk lena kembali
kerana esok kami akan meneruskan perjalanan
yang agak padat juga agendanya. Jadi Aku perlu
rehat agar lebih bertenaga esoknya. Surabaya kota
yang padat trafiknya. Macet kata mereka. Perlu
siap mental dan fizikal untuk mengharungi
perjalanan yang agak jauh juga ke kampung
suamiku. Di samping itu Aku tidak lupa membaca
ayat-ayat Qursi.

Tiba-tiba anak bongsuku bingkas bangun daripada
tidur lalu menangis sambil memelukku. Katanya ada
kambing yang menyondol-nyondol kepalanya
dengan tanduk yang tajam sambil mengembek.

75

Gementar tubuhku. Aku menggerakkan suamiku.
Kami menyalakan lampu bilik. Suasana kembali
terang.

Gambar hiasan dua ekor kambing di dinding masih
kekal di situ. Aku merenung gambar itu. Aku lihat
seolah-olah kambing itu membalas renunganku.
Aku mengalih pandangan ke muka suamiku. Kulihat
suamiku tenang sahaja. Dia mengambil segelas air.
Dibacakan surah al Fatihah. Disapukan ke muka
anak bongsu kami. Tangis anak kami sudah
berhenti namun isakannya masih bersisa. Aku
memeluknya erat sambil mengusap kepalanya.

“Tak lama lagi Subuh. Esok pagi-pagi kita keluar
dari hotel ni,” lembut suara suamiku memujuk.

Selepas Subuh kami berkemas-kemas dan “check
out”. Kami melupakan hasrat untuk bersarapan di
hotel tersebut. Sepanjang perjalanan menaiki
Kijang yang disewa khas ke kampung suami pagi itu,
semua berkongsi cerita yang sama. Kambing itu
mengembek. Semua mendengar embekan yang
sama sepanjang malam.

Cerita abang macam ni. Masa nak tidur, kepala
abang menghadap frame gambar kambing tu. Tiba-
tiba waktu hampir lena, abang nampak mata
kambing tu macam bercahaya. Abang ingat itu
biasan cahaya lampu tidur. Tapi waktu itu lampu
sudah dimatikan. Lampu tidur pun jauh dan suram.
Kemudian mata kambing itu berkelip-kelip dan

76

mulutnya seperti menyeringai memandang abang.
Abang rasa terganggu. Abang pandang keliling.

Abang tengok semua orang dah tidur. Jadi abang

pun ubah posisi tidur abang. Abang

membelakangkan frame gambar kambing tersebut.

Baru je abang nak lena, abang rasa seperti ada kaki

kambing berkuku tajam yang pijak rambut abang.

Abang bingkas duduk. Apabila abang intai di hujung

katil, tiada pula kambing di situ. Abang tepuk-tepuk

bantal, pusingkan dan tidur semula.

Kali ini belum pun lena, abang dengar dengusan
kambing di telinga diikuti dengan embekan yang
perlahan pada awalnya. Semakin abang tutup
telinga, semakin kuat pula bunyi mengembek itu.
Lepas tu abang terus ambil bantal dan baling frame
gambar kambing yang di dinding tu. Abang terus
tidur semula. Tiada gangguan lagi.

Allahu akbar.

“Patutlah Mama nampak ada bantal tergolek kat tepi
frame gambar tu. Rupanya abang yang baling,”
kami ketawa beramai-ramai mendengar cerita
abang.

Cerita kakak macam ni pula. “Hah…kakak pun ada
cerita ke? tanya Mama. “Mestilah ada,” kata kakak.
Kambing tu jantan kan? Dia pun ngurat kakak juga.”
Berderai lagi ketawa kami. Hilang sudah rasa takut
semua.

77

Masa tu kakak dah tidur. Kakak rasa kambing tu
datang baring sebelah kakak. Bulunya yang halus
tu terasa kat muka kakak. Dia sondol-sondol dagu
kakak. Kakak terus peluk dia kuat-kuat sampai dia
mengembek kuat.

“Betul ke kakak cerita ni?” tanya abang.

“Eh, betullah…,” jawab kakak dengan wajah serius.

“Berani betul adik abang ni. Apa bau kambing tu
kakak, kakak peluk tu?”

“Bau chanel,” balas kakak.

Berderai lagi ketawa kami. Peristiwa itu kami jadikan
teladan dan pengajaran untuk menghadapi hidup
seterusnya. Kata Ayah di sekeliling kita ada
pelbagai makhluk lain yang hidup bersama-sama.
Kita perlu sentiasa kuat agar mereka tidak
mengganggu kita. Sebagai contoh, sebelum tidur
kita kena baca surah al Mulk, tiga Qul sebagai
pendinding kita daripada gangguan. “Itu sebab
Ayah tidak diganggu, sebab Ayah baca ayat
pendinding,” kata Ayah bangga disambut derai tawa
kami dan jelingan manja Mama.

78

GEBUK
(Rezeki Kalau Lancar Terpancar, Kerja Kalau

Sempurna Mudah)
KATANYA Mala jatuh sakit sebab dibelit ular jadian
waktu mandi di telaga pada suatu petang yang
malang menjelang senja. Ada yang kata Mala kena
buatan orang. Mala tidak sedarkan diri beberapa
hari. Apabila sedar pun seperti orang hilang ingatan.
Kononnya ular jadian itu balas dendam kerana ayah
Mala pernah membunuh ular sebenar yang cuba
masuk ke dalam rumah. Ada juga yang kata orang
dengki pada ayah Mala lalu menghantar sihir ular.
Mala yang lemah menjadi sasaran. Seluruh isi
kampung tahu akan peristiwa itu. Masing-masing
menaruh simpati akan nasib yang menimpa Mala
dan keluarga.

79

Tok Pawang Bun yang memang terkenal di
kampung dipanggil untuk mengubati Mala. Maka
bermulalah ritual yang menakjubkan itu. Ibu Mala
perlu menyediakan air yang diisi ke dalam gebuk
daripada tujuh telaga dengan standard operation
prosedur (SOP) ketat untuk ritual itu. Air itu perlu
diceduk daripada telaga pada waktu matahari naik
sepenggalah iaitu pada waktu Dhuha. Kemudian
ada beberapa lagi pantang-larang yang perlu
dipatuhi. Ibu Mala tidak boleh bercakap, menjawab
sapaan sesiapa dalam perjalanan pergi dan pulang
untuk mengisi air ke dalam gebuk tersebut. Kalau
berpapasan dengan sesiapa, buat-buat tidak kenal
sahaja. Biarlah dianggap sombong tidak mengapa.
Demi anak, seorang ibu sanggup berkorban apa
saja.

Kasih ibu membawa ke syurga, begitulah kata
pujangga. Segala kehendak Tok Pawang Bun
mereka patuhi tanpa banyak soal agar derita
kehidupan Mala anak gadis kesayangan mereka
segera bernoktah. Zaman itu kepercayaan kepada
Tok Pawang masih tinggi. Golongan yang bergelar
pawang dihormati. Banyak juga kehendak Tok
Pawang. Kemenyan satu kemestian. Ayah Mala
akan ke bandar membeli kemenyan di kedai Guru
Nanak.

Mulai selepas waktu Asar, kemenyan sudah dibakar
di dalam bekas tembaga warisan nenek Mala.
Bahagian luar, dalam termasuk bawah rumah

80

diperasap kemenyan. Aromanya menusuk sekali.
Seluruh rumah seperti dipenuhi jerebu. Ibu dan
ayah Mala terbatuk-batuk. Namun ritual itu mereka
teruskan dengan sabar. Limau nipis tujuh biji yang
hijau segar menjadi kemestian. Daun sirih tujuh
helai yang bertemu urat perlu dipetik selepas waktu
Asar. Tujuh biji bawang merah dan lada hitam juga
antara resipi ritual tersebut. Keluarga Mala perlu
memastikan bahan itu sudah tersedia sebelum
kehadiran Tok Pawang. Sebilah pisau lipat diletak
di tepi gebuk untuk memudahkan proses Tok
Pawang memotong limau nipis dan sebagainya.

Hidangan istimewa perlu disediakan kerana apabila
selesai upacara, Tok Pawang akan dijamu makan
malam bersama-sama tuan rumah. Biasanya ayam
kampung peliharaan Ibu Mala akan menjadi korban
disembelih buat masak lemak cili api dicampur
nangka muda sebagai hidangan makan malam.
Nangka muda itu dijolok dari atas pokok di belakang
rumah. Pulangnya Tok Pawang diiringi dengan
buah tangan dan sampul putih sebagai pengeras.

Di hadapan tangga rumah pula dipasang untaian
daun kelapa yang diikat pada tali. Itu sebagai
petanda proses pengubatan Tok Pawang sedang
berlaku. Jiran-jiran tidak boleh sewenang-wenang
datang ke rumah yang ada dipasang daun kelapa
tersebut. Orang di dalam rumah juga tidak
dibenarkan menjawab salam orang yang datang di
luar rumah. Selagi daun kelapa ada di depan rumah,

81

itu dianggap simbol atau episode berpantang untuk
ritual itu.

Biasanya selepas waktu Isya Tok Pawang akan
datang menunggang basikal. Hanya salam Tok
Pawang daripada halaman sahaja yang boleh
dijawab kerana ritual baru bermula. Selepas ritual
ini, tetamu sudah tidak dibenarkan memberi salam
dari halaman rumah. Malam itu Tok Pawang datang
dengan seorang pembantu.

Mala yang terbaring lemah diusung dan dibaringkan
di ruang tamu beralas tikar dan bantal kekabu sahaja
sahaja. Ibu Mala setia duduk di sisi Mala
memandang penuh kasih terhadap anak
perempuannya. Pandangan ayah kepada Tok
Pawang penuh pengharapan agar Mala dapat
dibantu pulih kembali seperti sediakala. Agar ujian
ini tidak menjadi titik hitam yang membekas dalam
diri Mala anak gadis mereka.

Waktu upacara berlangsung, saudara-mara dan
jiran-jiran rapat dibenarkan hadir. Tok Pawang
memulakan upacara dengan mantera yang sukar
difahami. Gebuk berisi air tujuh telaga diletak di
hadapan lutut Tok Pawang. Semua yang hadir
diam. Suasana sunyi. Bahana sekian banyak
kemenyan dibakar, baunya menusuk hidung. Tok
Pawang mengintai ke dalam gebuk air. Tangannya
memotong limau nipis dengan pisau yang

82

disediakan. Air limau dititiskan ke dalam gebuk
tersebut.

Dua tiga kali Tok Pawang mengintai ke dalam gebuk
dengan dahi berkerut. Hadirin ingin sangat tahu apa
yang diintai Tok Pawang. Tetapi mereka tidak
berani mengintai sama. Takut derhaka kepada Tok
Pawang. Semua penduduk kampung merupakan
pelanggan setia Tok Pawang. Tok Pawang pula
tidak bersuara melulu. Macam meniti kapsul masa.

Tiba-tiba Tok Pawang mencuit ayah Mala. Beliau
mengajak Hj. Man untuk mengintai sama ke dalam
gebuk. Katanya ular itu sudah tegar membelit tubuh
Mala daripada leher sampai ke hujung kaki. Belitan
ular itu perlu dirungkai sedikit demi sedikit dan
memerlukan masa yang panjang. Ertinya berulang-
ulang. “Kita cuba ya,” kata Tok Pawang. Ayah dan
ibu Mala mengangguk-anggukkan kepala mereka.
Ibu Mala mulai menitiskan air mata sambil
memandang Mala yang terbaring. Mereka berharap
agar Tok Pawang menggunakan neraca ilmu yang
dimiliki dengan adil untuk membezakan takzim
dengan taasub.

Tok Pawang meneruskan ritual dengan menggamit
pembantu beliau yang dipanggil Mat. “Kita akan
memasukkan roh dalam tubuh Mat. Mat akan tidak
sedar. Masa itu semua orang boleh bertanya pada
Mat tentang apa yang berlaku pada Mala,” hujah Tok
Pawang sambil matanya memandang sekeliling.

83

Suasana sepi. Ibarat jarum jatuh pun pasti
kedengaran. Kemenyan ditambah dalam bara.
Asapnya dihala ke arah Mat. Tiba-tiba Mat yang
sedang duduk tumbang dan terbaring. Dalam dua
minit, Mat bangun dan badannya seperti orang kena
sawan. Terkejang-kejang dan matanya meliar lagi
menakutkan.

“Roh dah masuk dalam tubuh Mat, boleh mula tanya
soalan sekarang,” kata Tok Pawang.

Semua diam. Ibu Mala semakin teresak. Ayah Mala
diam sambil merenung Mat.

“Hai cucu-cicit Adam, tolong ceritakan apa
sebenarnya yang berlaku pada Mala?” Tok Pawang
yang bertanya apabila yang lain senyap sahaja.

“Ha ha ha, ular yang kau bunuh itu telah kembali
membalas dendammmm,” suara Mat berubah garau
dan menyeramkan sambil matanya memandang
ayah Mala. Hj. Man terkedu diterjah sebegitu.

“Kau nak minta apa sebagai tebusan?” tanya Tok
Pawang tak kurang garau juga suaranya. Yang lain
semua membatu.

“Sediakan ayam jantan berbulu putih tiga ekorrrrr…,
pulut kuning satu mangkuk dan telur ayam kampung
10 biji…,” tambah pembantu Tok Pawang.

84

“Mana ada ayam jantan dan semua tu malam-
malam buta ni,?” kata Tok Pawang dengan nada
agak kasar.

Pembantu itu hanya diam sahaja. Badannnya masih
terkejang-kejang. Matanya meliar dan menakutkan.
Mulutnya menyembur-nyemburkan air liur. Suasana
sepi itu pecah oleh suara Tok Pawang.

“Boleh ke barang yang kau minta tu diganti dengan
duit?” tanya Tok Pawang. Semua mata mengarah
kepada Tok Pawang. Pembantunya hanya
mengangguk-anggukkan kepalanya sahaja. Tok
Pawang berbisik sesuatu kepada ayah Mala. Ayah
Mala memandang ke arah isterinya. Dia nampak
sendu dalam mata isterinya. “Memang sangat
menderita isteriku sepanjang Mala terlantar sakit,”
desis hati Hj. Man.

Hj. Man bangun dan masuk ke dalam bilik. Ibu Mala
mengikut langkah suaminya dengan pandangan
mata. Apabila Hj. Man keluar, sampul putih dihulur
kepada Tok Pawang. Tok Pawang mengambil
sampul tersebut sambil berkata perlahan

“Nanti dalam perjalanan balik, aku bayar duit engkau
ni,” kata Tok Pawang kepada entah siapa sambil
memasukkan sampul putih dalam kocek baju
kemejanya yang lusuh.

Begitulah berulang ritual pengubatan itu sehingga
11 kali. Pada kali yang ke-11 barulah Mala boleh

85

bangun. Kononnya belitan ular itu semua telah
berjaya dibuka oleh Tok Pawang. Wallahu a’lam.

86


Click to View FlipBook Version