Prakata
Salam sejahtera dan salam perpaduan kepada semua tenaga pengajar
Program Teknologi Pembinaan (DVM). Modul ini dibangunkan bertujuan untuk
membantu semua tenaga pengajar dalam melaksanakan PdPC. Malah, tujuan
modul ini juga untuk membantu dalam penyelarasan dan penyeragaman PdPC.
Pembangunan modul ini adalah berpandukan kandungan kursus course outline
yang telah dibangunkan oleh Jurulatih Utama Program Teknologi Pembinaan.
Untuk makluman, modul-modul yang dibangunkan telah disemak oleh Jurulatih
Utama Program Teknologi Pembinaan dan Penyelaras Item untuk tujuan
kesahan, kebolehpercayaan serta ketekalan.
Kandungan modul adalah seperti berikut iaitu; pengenalan, objektif, nota serta
isi berkaitan (ringkas mengikut kompetensi), kesimpulan, latihan/penilaian dan
jawapan. Bagi pihak pembangun modul, saya ingin merakamkan setinggi-
setinggi penghargaan kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak
langsung dalam pembangunan modul ini. Sebarang kekurangan dan
kelemahan harap dapat diatasi dari masa ke masa. Semoga modul-modul yang
dibangunkan ini dapat dimanfaatkan serta membantu semua tenaga pengajar.
Sekian, terima kasih
Siva Rabindarang.
Penyelaras Panel Pembangun Modul
Program Teknologi Pembinaan
Kolej Vokasional
Kementerian Pendidikan Malaysia
Penghargaan
Salam sejahtera dan salam perpaduan kepada semua tenaga pengajar
Program Teknologi Pembinaan (DVM). Terima kasih kepada pihak BPLTV
untuk memberikan kepercayaan dan sokongan dalam pembangunan modul ini.
Pembangunan modul ini dilaksanakan merujuk Tatacara Pembangunan Modul
Vokasional yang telah dibangunkan. Setinggi-tinggi penghargaan kepada
semua pembangun modul daripada Kolej Vokasional seluruh Malaysia.
KURSUS KOD NAMA PENSYARAH
Nurul Qayuum Farahin Binti Saidi (K)
Soil DCA 1143
Mechanics Rini Firda Hidayati Binti Syaiful
Nor Angsiza Binti Mohd
Construction DCA 1022 Fitriani Binti Abdul Hamid
Safety and
Mohd Shahir Bin Zahari (K)
Health Nurazilla Binti Ahmad Bohari
Wan Nuursufila Binti Salleh
Computer Siti Nabilah Binti Mohd Sarlan (K)
Aided Drawing DCA 1233
Rozianah Binti Hinnasir
(CAD) Hafizah Binti Khosran
Construction DCA 1153 Alwani Binti Adnan
Survey DCA 1013 Sapiah Binti Rahman (K)
Aida Norlela Binti Mohamad
Building
Materials Siva Rabindarang
Technology Mohd Fairus Bin Johari (K)
Atikah Binti Nasaha
Noor Fazlina Binti Abdul Aziz
Setinggi penghargaan juga kepada Ketua JU Puan Alwani binti Adnan serta
panel yang menyemak modul untuk tujuan kesahan serta ketekalan modul yang
dibangunkan iaitu Pn. Norashikin binti Daud, Pn. Sharinah binti Che Amdan dan
En. Adnan Mat Abu.
Usaha murni dan sokongan semua pembangun serta penyemak modul amat
dihargai.
Terima kasih.
Perancangan Kursus
KOMPETENSI 1: PERATURAN KESELAMATAN
1.1 PENGENALAN
Keselamatan di tapak pembinaan bukan sahaja penting untuk mengelakkan
kemalangan malah ianya dapat memainkan peranan penting dalam usaha melipat-
gandakan keuntungan dan menjimatkan kos pembinaan. Sehubungan itu semua
pihak yang terlibat dengan setiap projek pembinaan haruslah merancang dan
melaksanakan satu program keselamatan yang efektif sebagai langkah untuk
mengelak dan meminimumkan kemalangan di tapak pembinaan. Justeru, semua
pihak haruslah mematuhi setiap peraturan yang disediakan dengan mendapat
kerjasama yang menyeluruh daripada pengurusan sehingga pekerja bawahan supaya
ianya berjaya mencapai matlamat program serta berjaya menerap nilai-nilai
keselamatan di dalam setiap pekerja yang terlibat dengan projek pembinaan.
1.2 OBJEKTIF
• Pelajar dapat mengetahui peraturan keselamatan dan kesihatan dalam kerja-
kerja pembinaan bangunan.
• Pelajar dapat menerangkan amalan peraturan keselamatan semasa peringkat
pembinaan.
• Pelajar dapat mematuhi peraturan keselamatan dan kesihatan di tapak
pembinaan.
1.3 DEFINISI KESELAMATAN
Faktor keselamatan adalah sesuatu perkara yang sentiasa diambil berat. Ini adalah
untuk mengelakkan daripada berlakunya kecederaan samada kepada pekerja di
tapak binaan atau orang yang terlibat. Dengan adanya penjagaan ini, perkara yang
tidak diingini dapat dielakkan. Keselamatan di tapak boleh di definisikan sebagai
penjagaan di tapak bina dari segi perkara bahaya.
Peraturan keselamatan diadakan untuk memastikan suasana kerja dalam
persekitaran serta suasana di tapak pembinaan teratur dan selamat tanpa berlakunya
kemalangan ataupun kecederaan. Ini bermaksud dengan mengadakan keadaan
persekitaran tapak bina yang selamat dan selesa kepada mereka yang terlibat.
Peraturan keselamatan di tapak pembinaan boleh dibahagikan kepada tiga (3)
bahagian iaitu:
a) Peraturan Keselamatan Am
b) Peraturan Keselamatan Diri
c) Peraturan Amalan Kesihatan
1.3.1 PERATURAN KESELAMATAN AM
(i) Mematuhi undang-undang atau peraturan keselamatan di tapak bina.
(ii) Mengikut arahan penyelia tapak ( site supervisor ) yang telah dilantik.
(iii) Sekiranya timbul sebrang masalah, segera rujuk kepada penyelia
projek.
(iv) Hendaklah memakai pakaian yang sesuai dan menggunakan alatan
yang bersesuaian dengan kaedah penggunaaan yang betul.
(v) Memakai pakaian keselamatan yang telah dibekalkan oleh pihak
syarikat.
(vi) Sentiasa memberi peringatan mengenai langkah keselamatan di
tapak kepada pekerja.
(vii) Hendaklah memastikan keadaan sekitar tapak bina adalah bersih,
teratur dan selamat dari kemalangan.
(viii) Pekerja haruslah memahami risiko terhadap bahan-bahan yang
dikendalikan.
(ix) Isyarat dan tanda amaran dipamerkan dengan terang pada tempat
yang strategik di tapak bina.
(x) Tanda amaran hendaklah dipaparkan secara jelas sekiranya alat atau
jentera tersebut telah rosak.
(xi) Kawasan pembinaan yang berbahaya hendaklan dipagar
disekelilingnya untuk mencegah orang yang tidak sepatutnya dari
masuk.
(xii) Sebarang kerosakan alat atau jentera hendaklah dimaklumkan
segera untuk diperbaiki.
(xiii) Pastikan alat pemadan api dan kotak pertolongan cemas terdapat di
tapak bina.
(xiv) Pastikan kawasan tapak bina dilengkapi dengan alat pemadam api
1.3.2 PERATURAN KESELAMATAN DIRI
Objektif utama dalam urusan keselamatan ialah mencegah kecederaan dan
kematian para pekerja. Oleh sebab itu, keselamatan diri sendiri amatlah penting
dan patut diutamakan. Perkara-perkara yang harus diambil berat untuk menjaga
keselamatan diri sendiri adalah seperti berikut :-
Menjaga kesihatan diri sendiri
Kesihatan merupakan faktor yang penting dalam menguruskan kerja dengan
selamat. Jika seseorang pekerja kurang sihat atau uzur, dia tidak dapat
menumpukan perhatian yang sepenuhnya dalam apa jua yang dilakukan.
Kesihatan dari segi fizikal ialah tubuh badan pekerja.
Disiplin semasa kerja
Disiplin adalah salah satu perkara yang sangat penting semasa bekerja. Arahan
dan peraturan yang telah ditetapkan haruslah dipatuhi dan selalu berwaspada.
Jangan sesekali melakukan sesuatu yang boleh membahayakan diri sendiri atau
orang lain, seperti menyimpan alatan tajam dalam saku, membiarkan paku yang
telah digunakan berselerak, membuang sampah merata-rata tempat dan
sebagainya.
Pengetahuan
Sebelum melakukan sesuatu kerja, pekerja haruslah memahami bahan-bahan
yang dikerjakan dan alat mesin yang digunakan. Tindak balas bahan-bahan
terutamanya bahan-bahan kimia boleh mendatangkan kemalangan yang teruk
begitu juga alat-alat teknologi tinggi.
Pakaian
Pakaian yang sesuai hendaklah dipakai semasa bekerja. Pakaian yang koyak dan
serebeh adalah punca kemalangan. Kasut dan but keselamatan mengandungi
kepingan logam dan keluli di bahagian hadapannya adalah sesuai bagi
menggelakkan sebarang kecederaan pada kaki. Capal dan sandal tidak
seharusnya dipakai semasa bekerja di tapak pembinaan.
Perlindungan Mata
Apabila membuat kerja yang mungkin menyebabkan kecederaan kepada mata
seperti mengimpal atau mencanai, cermin mata keselamatan atau pelindung mata
dan muka hendaklah dipakai bagi menggelakkan serpihan objek daripada
memasuki mata.
Pelindung Kepala
Topi keselamatan atau “Safety helmet” hendaklah dipakai apabila berada di
kawasan pembinaan bangunan yang bertingkat-tingkat kerana objek-objek dari
tingkat atas sering terjatuh ke bawah dan dikhuatiri terkena kepala. Dengan
memakai topi keledar keselamatan kecederaan dapat dielakkan.
Pelindung Tangan
Sarung tangan dapat melindungi tangan daripada sebarang kecederaan, lebam,
terbakar oleh bahan kimia dan sebagainya. Apabila membuat kerja-kerja seperti
membentuk batang keluli, memindahkan bata dan sebagainya hendaklah memakai
sarung tangan. Akan tetapi jangan guna sarung tangan apabila melakukan kerja
dengan mesin bergerak seperti mesin canai dan mesin pelarik kerana sarung
tangan mungkin tersangkut pada mesin dan mengakibatkan kecederaan pada
tangan.
Tali Pinggang Keledar
Apabila bekerja di tempat yang tinggi, seseorang pekerja itu hendaklah memakai
tali pinggang keledar supaya dapat menggelakkan diri daripada terjatuh. Kaedah
ini sangat mustahak kerana mengikut statistik kebanyakan kemalangan yang
berlaku di tapak pembinaan adalah pekerja jatuh dari tempat yang tinggi.
Memasang Jaring
Bagi pembinaan bangunan yang tinggi, jarring perlu dipasang di bahagian bawah,
biasanya atas tingkat pertama, tingkat kedua, di sekeliling bangunan untuk
menahan bahan-bahan yang terjatuh dari tingkat atas.
1.3.3 PERATURAN AMALAN KESELAMATAN
Pelaksanaan dan amalan keselamatan di tapak bina perlu berlandaskan kepada
peraturan yang telah ditetapkan oleh Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
1994 dan Akta Kilang dan Jentera 1967.
Akta Keselamatan Pekerja
Akta Kilang dan Jentera 1967 (FMA 1967)
Akta Kilang dan Jentera 1967 (Akta 139) dikuatkuasakan mulai 1 Februari 1970 untuk
mengawal perkara yang berkaitan dengan keselamatan, kesihatan dan kebajikan
individu yang terlibat dalam operasi kilang [takrif “kilang” termasuklah kerja pembinaan
– seksyen 2(1) Akta] serta pendaftaran dan pemeriksaan jentera dan hal-hal lain yang
berkaitan. Akta ini telah dipinda pada tahun 1973 (melalui Akta A199) dan pada tahun
1978 (melalui Akta A424). Akta ini secara keseluruhannya mengandungi peruntukan
tentang keselamatan, kesihatan dan kebajikan bagi menjamin pekerja tidak diabaikan
dalam aspek-aspek tersebut. Bahagian II akta ini menekankan langkah atau aktiviti
keselamatan pekerja yang perlu diambil perhatian oleh semua pihak dalam industri,
terutamanya majikan.
Berkaitan dengan penggunaan dan pemakaian alat keselamatan pula, Peraturan-
Peraturan Kilang dan Jentera (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan) 1970, yakni
peraturan yang di bawah kuat kuasa Akta Kilang dan Jentera 1967, menyenaraikan
alat keselamatan yang perlu dipakai sewaktu menjalankan kerja yang berkaitan di
tempat kerja. Antara alat yang relevan dengan pekerja binaan ialah:
i. Alat pelindung muka dan mata (gogal) yang sesuai bagi kerja yang
memerlukan pemakaiannya, misalnya kerja pemeterian
ii. Penutup telinga (pendengaran)
iii. Alat keselamatan lain, seperti baju, seluar, topi dan sarung tangan.
Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994
Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 diwartakan dan mula berkuat kuasa
pada 25 Februari 1994 berikutan ketidakcukupan liputan Akta Kilang dan Jentera 1967
yang berfungsi melindungi keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat kerja. Akta
ini sebenarnya menjurus kepada keperluan mewujudkan budaya kerja yang selamat.
Pematuhan Akta menuntut usaha dan inisiatif yang bermula daripada pihak yang
terlibat secara langsung dengan aktiviti di tempat kerja, iaitu pihak majikan dan
pekerja.
Bilangan kes kemalangan yang semakin meningkat menyedarkan pihak kerajaan
bahawa aspek keselamatan penting ditekankan dan diamalkan di tempat kerja.
Dengan itu, Kementerian Sumber Manusia telah menguatkuasakan Akta
Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang diwartakan secara rasmi pada 25
Februari 1994 untuk melindungi semua lapisan pekerja dalam semua industri di
negara ini. Di bawah akta ini, aspek keselamatan diberikan penekanan bagi menjamin
keselamatan pekerja sewaktu menjalankan kerja yang berkaitan di tempat kerja.
Menurut Buletin Keselamatan dan Industri (2003), akta ini bertujuan untuk melindungi
pekerja yang menjadi mangsa dalam isu keselamatan pekerja yang semakin
meningkat.
Di bawah Seksyen 15 akta ini, setiap majikan bertanggungjawab memastikan
seberapa yang boleh, hal yang berkaitan dengan keselamatan pekerja termasuklah
sistem dan prosedur kerja selamat, alat selamat (digunakan atau atas kewujudannya
di situ) dan tempat serta suasana kerja selamat. Secara khususnya, Seksyen 15(1)
akta ini menyatakan bahawa tugas menjaga keselamatan pekerja, termasuk pekerja
di tapak bina, merangkumi:
i. Penyediaan dan penyenggaraan mesin, jentera dan alat serta sistem kerja
yang selamat dan tidak memberikan risiko kesihatan
ii. Pewujudan dan pemastian pengoperasian serta penggunaan jentera dan
alat yang selamat
iii. Pemberian maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan yang sesuai kepada
pekerja berkaitan dengan keselamatan mereka semasa bekerja
iv. Penyenggaraan tempat kerja dan keadaan kerja supaya sentiasa selamat
v. Pemastian keseluruhan suasana kerja selamat kepada pekerja
Menurut Seksyen 24 akta ini, pekerja juga dikehendaki:
i. Mengambil langkah yang munasabah dalam menjaga keselamatan mereka
(iaitu berhati-hati semasa bekerja).
ii. Memberikan kerjasama kepada majikan dalam melaksanakan Seksyen
15(1) yang dinyatakan sebelum ini
iii. Sentiasa memakai atau menggunakan alat perlindungan diri atau alat
keselamatan yang disediakan oleh majikan semasa bekerja
iv. Mematuhi sebarang arahan atau langkah keselamatan yang dikeluarkan
oleh majikan.
Secara terperinci, berikut merupakan antara amalan ataupun langkah-langkah
keselamatan yang perlu diamalkan di tapak bina:
i. Pakai peralatan perlindungan diri sebelum memulakan kerja
ii. Pekerja dikehendaki memakai topi keselamatan dan berkasut
iii. Patuhi tanda amaran dan tanda keselamatan di tapak bina
iv. Periksa dahulu jentera/mesin sebelum memulakan kerja
v. Pastikan alat pengangkat sempurna sebelum digunakan
vi. Pastikan tiada orang di bawah semasa membuang bahan/sampah
vii. Amalkan sistem pembuangan sampah yang sihat
viii. Membuka “formwork” dengan keadaan penyeliaan
ix. Berhati-hati ketika menggunakan bahan kimia
x. Pasang penghadang Kawasan pembinaan bagi menjamin keselamatan
awam
xi. Kunci cangkuk dan ikat dengan sempurna sebelum mengangkat barang
dengan menggunakan kren atau backhoe.
xii. Jangan bekerja dalam lubang bawah tanah tanpa penyeliaan.
xiii. Pastikan laluan kerja tiada halangan.
xiv. Jangan longgokkan bahan binaan di tepian tempat tinggi.
xv. Laporkan segera sekiranya berlaku kemalangan.
xvi. Jauhi dari jentera bergerak & jangan menumpang dalam “bucket backhoe
Peraturan Keselamatan Alat Dan Mesin
Alat-alat dan mesin-mesin hendaklah dijaga supaya sentiasa dalam keadaan baik dan
boleh digunakan. Alat-alat yang rosak bukan sahaja mengganggu kerja, bahkan
berbahaya kepada pekerja yang menggunakannya. Oleh sebab itu, perkara-perkara
yang berikut haruslah diambil berhatian :-
i. Alatan yang hendak digunakan haruslah dibersihkan terlebih dahulu
sebelum disimpan supaya tidak mudah rosak atau berkarat.
ii. Alatan hendaklah disimpan pada tempatnya selepas digunakan. Jangan
biarkan alatan berselerak di atas lantai.
iii. Apabila menghulurkan alatan tajam kepada orang lain, halakan
pemegangnya dan bukannya bahagian hujung yang tajam.
iv. Tukul besi yang pemegangnya longgar hendaklah dibaiki terlebih dahulu
sebelum digunakan.
v. Untuk memotong bata, gunakan alatan yang sesuai seperti tukul bata dan
tukul besi.
vi. Pastikan semua alatan elektrik dibumikan sewajarnya dan apabila
menggunakan mesin, pastikan peraturan keselamatan bagi mesin tersebut
dipatuhi.
vii. Tutupkan suis penyambung elektrik apabila mesin tidak digunakan.
viii.Jangan berbual-bual atau bergurau senda semasa membuat kerja dengan
menggunakan mesin atau jentera.
ix. Pastikan kawasan kerja yang mencukupi bagi kerja yang menggunakan
mesin.
x. Gunakan alat pelindung mata, hidung, mulut dan lain-lain apabila pekerjaan
itu mengeluarkan habuk, debu dan sebagainya.
xi. Pekerja-pekerja mestilah mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum
menggunakan mesin.
1.4 KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, dalam menjamin keselamatan pekerja, penekanan terhadap
penyediaan alat keselamatan oleh majikan dan pematuhan penggunaannya oleh
pekerja penting diberikan perhatian. Hal ini adalah supaya pekerja dapat menjalankan
kerja dengan lebih selamat dan sekali gus dapat mengurangkan kadar kemalangan di
tempat kerja, termasuk tapak bina. Segala peruntukan baharu dalam peraturan dan
amalan yang telah diluluskan perlu dirumuskan bagi mengekalkan atau memperbaik
piawaian yang diwujudkan oleh undang-undang sedia ada. Hal ini bukan sahaja untuk
merasionalkan dan mengemaskini undang-undang, bahkan turut meningkatkan
piawai perlindungan yang diberikan kepada orang yang sedang bekerja dan orang
awam.
1.5 PENILAIAN KENDIRI
1) Apakah kewajipan pekerja terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di
tempat kerja?
(i) Mengambil perhatian yang munasabah bagi keselamatan dan kesihatan.
(ii) Bekerjasama dengan majikan untuk mematuhi akta dan peraturannya.
(iii) Menggunakan perlatan perlindungan yang disediakan oleh majikan.
(iv) Mematuhi arahan majikan terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
A. i, ii dan iii C. ii, iii dan iv
B. i, ii dan iv D. i, ii, iii dan iv
2) Nyatakan tiga bahagian utama peraturan keselamatan di tapak pembinaan.
3) Mengapakan peraturan keselamatan penting dan perlu dititikberatkan di tapak
pembinaan?
4) Nyatakan empat contoh perlindungan keselamatan yang perlu dipakai di tapak
pembinaan.
5) Senaraikan 4 tanggungjawab majikan dalam menjaga keselamatan pekerja.
1.6 JAWAPAN
1) D
2) a) Peraturan Keselamatan Am
b) Peraturan Keselamatan Diri
c) Peraturan Amalan Kesihatan
3) Peraturan keselamatan perlu dititikberatkan untuk memastikan suasana kerja
dalam persekitaran serta suasana di tapak pembinaan teratur dan selamat tanpa
berlakunya kemalangan ataupun kecederaan.
4) i) Jaket keselamatan
ii) Kasut keselamatan
iii) Topi keselamatan
iv) Pelindung muka dan mata (gogal)
v) Sarung tangan
vi) Penutup telinga (pendengaran)
vii) Tali pinggang keledar
5) a) Penyediaan dan penyenggaraan mesin, jentera dan alat serta sistem kerja yang
selamat dan tidak memberikan risiko kesihatan
b) Pewujudan dan pemastian pengoperasian serta penggunaan jentera dan alat
yang selamat
c) Pemberian maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan yang sesuai kepada
pekerja berkaitan dengan keselamatan mereka semasa bekerja
d) Penyenggaraan tempat kerja dan keadaan kerja supaya sentiasa selamat
e) Pemastian keseluruhan suasana kerja selamat kepada pekerja
KOMPETENSI 2: KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN
2.1 PENGENALAN
Keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) merupakan satu bidang yang bertujuan
melindungi keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja. Keselamatan tempat kerja
merupakan suatu aspek penting di dalam sesebuah organisasi syarikat. Ia merupakan
salah satu tanggungjawab majikan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan
Pekerjaan 1994 Malaysia untuk mengambil berat tentang keselamatan dan kesihatan
para pekerja ketika bekerja di dalam sesebuah syarikat. Akta ini dikawalselia oleh
Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan dari Kementerian Sumber Manusia.
Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) ini telah diwartakan
pada 24 Februari 1994. Ianya menyediakan rangka perundangan untuk memupuk,
meransang dan menggalakkan mutu KKP yang tinggi semasa kerja. Tujuan utamanya
adalah untuk memupuk sikap prihatin terhadap keselamatan dan kesihatan. Dengan
wujudnya akta ini dalam organisasi, Langkah-langkah yang berkesan boleh diambil
melalui skim-skim penaturan kendiri yang disesuaikan dengan industru atau
organisasi yang berkaitan.
2.2 OBJEKTIF
Di akhir kompetensi ini, pelajar dapat:
a. Menjelaskan tujuan dan fungsi Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan
(JKKP) diwujudkan
b. Menyenaraikan organisasi yang terlibat dan tujuan penubuhan organisasi
dalam memastikan kesihatan dan keselamatan pekerja
c. Mengenaplasti prinsip perangkaan Akta Kesihatan dan Keselamatan
Pekerjaan 1994.
2.3 KESIHATAN DAN KESELAMATAN PEKERJAAN (KKP)
Dalam mengharungi cabaran dalam sektor pembinaan yang begitu kompetitif hari ini,
aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) tidak sepatutnya diambil ringan.
Pihak yang terlibat harus sedar akan realiti ini kerana ia boleh memberikan impak
yang besar ke atas mereka, secara tidak langsung ianya turut mengganggu serta
menggugat perjalanan atau kemajuan sesebuah projek, baik dari segi kos, masa dan
kualiti. Aspek KKP pada ketika ini menjadi semakin penting berikutan kesedaran
pihak-pihak berkuasa akan kewujudan undang-undang yang berkait rapat dengan
keselamatan dan kesihatan. Antara organisasi yang terlibat dalam memastikan
keselamatan dan kesihatan pekerjaan ialah:
I. Jabatan Keselamatan dan Pekerjaan (JKKP) - http://www.dosh.gov.my
II. Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) - http://www.cidb.gov.my
III. Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) -
http://www.niosh.com.my
IV. Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) - http://www.perkeso.gov.my
I. Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP)
Objektif penubuhan JKKP:
i. Untuk membantu dan memberi khidmat kepakaran dalam kegiatan, latihan.
galakkan, penyebaran maklumat dan juga penyelidikan berkaitan
keselamatan dan kesihatan pekerjaan
ii. Untuk menggubal dan mengkaji dari semasa ke semasa berkaitan dasar,
undang-undang, garis panduan dan etika yang berkaitan keselamatan dan
kesihatan pekerjaan.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia JKKP ditubuhkan dan
bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan orang
yang sedang bekerja, dan melindungi orang lain daripada bahaya-bahaya
keselamatan dan kesihatan yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan pelbagai sektor
antaranya:
i. Pengilangan
ii. Perlombongan dan Pengkuarian
iii. Pembinaan
iv. Hotel dan Restoran
v. Pertanian, Perhutanan dan Perikanan
vi. Pengangkutan, Penyimpanan dan Komunikasi
vii. Perkhidmatan Awam dan Pihak Berkuasa Berkanun
viii. Kemudahan - Gas, Elektrik, Air dan Perkhidmatan Kebersihan
JKKP merupakan agensi kerajaan yang diberi tanggungjawab untuk mentadbir dan
menguatkuasakan perundangan mengenai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
(KKP) di negara ini dengan wawasan menjadi sebuah organisasi yang menerajui
negara dalam membentuk budaya kerja selamat dan sihat ke arah mempertingkatkan
kualiti hidup semasa bekerja.
II. Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB)
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) ditubuhkan menerusi
Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan 1994 (Akta 520) untuk mengawal
selia, membangun dan memudahkan industri pembinaan menuju ke arah mencapai
daya saing global.
Objektif penubuhan CIDB:
Untuk membina kapasiti dan kapabiliti industri pembinaan melalui peningkatan kualiti
dan produktiviti dengan memberi penekanan kepada profesionalisme, inovasi dan
pengetahuan ke arah kehidupan yang berkualiti.
Antara aktiviti yang dilakasanakan oleh pihak CIDB:
i. Kekurangan tenaga pekerja dan buruh
ii. Pemasaalahan sumber dan pembekalan bahan
iii. Produktiviti yang rendah
iv. Peningkatan kadar kemalangan ditapak baru
v. Kelemahan pengurusan dan pelaksanaan projek
vi. Kekurangan muklumat penting dan data dalam pembinaan atau projek
III. Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH)
Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) merupakan jabatan
yang bertanggungjawab dalam menyediakan Latihan, perundingan dan perkhidmatan
penyebaran maklumat kepada industri. NIOSH turut menjalankan aktiviti-aktiviti
penyelidikan dan pembangunan yang akan membantu dalam pembangunan
keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara.
Objektif penubuhan NIOSH:
i. Memastikan persekitaran bekerja yang sihat dan selamat kepada semua
pekerja, peseta kursus, kontraktor dan pelawat.
ii. Membangunkan budaya keselamatan dan kesihatan serta mengadakan
Latihan kepada pekerja.
iii. Memastikan setiap pengurusan dipertanggungjawabkan ke atas keselamatan
dan kesihatan yang didirikan.
IV. Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah ditubuhkan sebagai sebuah
Jabatan Kerajaan di bawah Kementerian Sumber Manusia bagi mentadbir,
melaksana dan menguatkuasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969
dan Peraturan-Peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971. PERKESO
memberi perlindungan kepada para pekerja terhadap sebarang kejadian luar jangka
yang terjadi kepada pekerja seperti kemalangan, bencana dan juga kematian dalam
tempoh masa bekerja.
Objektif penubuhan PERKESO:
i. Memberi perkhidmatan yang Berkualiti, Adil, Tepat, Cepat dan Ekonomik
kepada pelanggannya.
ii. Meningkatkan kemahiran serta kepakaran kakitangan PERKESO disamping
penggunaan teknologi canggih bagi meningkatkan perkhidmatannya.
iii. Memelihara serta menguatkan kumpulan wang di bawah tanggungjawab
PERKESO supaya menjadi lebih teguh.
iv. Menghayati nilai-nilai murni di kalangan kakitangan PERKESO.
v. Bekerjasama dengan semua pihak yang terlibat dengan keselamatan sosial.
2.4 AKTA KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN 1994 (OSH Act 1994)
Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) ini telah diwartakan
pada 24 Februari 1994. Ianya menyediakan rangka perundangan untuk memupuk,
zmeransang dan menggalakkan mutu KKP yang tinggi semasa kerja. Tujuan
utamanya adalah untuk memupuk sikap prihatin terhadap keselamatan dan kesihatan
Dengan wujudnya akta ini dalam organisasi, Langkah-langkah yang berkesan boleh
diambil melalui skim-skim pengaturan kendiri yang disesuaikan dengan industri atau
organisasi yang berkaitan.
Tujuan Akta OSH 1994
a. Untuk memberi kesedaran dan menjamin keselamatan, kesihatan dan
kebajikan pekerja di tempat kerja
b. Untuk melindungi orang lain di tempat kerja
c. Untuk mewujudkan organisasi yang mengamalkan budaya kerja yang
selamat dan sihat di kalangan semua majikan dan pekerja
d. Untuk menggalakkan persekitaran kerja yang bersesuaian dengan keprluan
fisiologi dan psikologi pekerja
e. Untuk menyediakan sistem perundangan berdasarkan peraturan dan kod
amalan industri dengan peruntukan akta yang ditetapkan.
Adalah menjadi tanggungjawab majikan dan pekerja dalam sesebuah organisasi
dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat kerja terpelihara
serta mewujudkan budaya kerja yang selamat dan sihat di kalanagn majikan dan
pekerja. Antara tanggungjawab majikan dan pekerja adalah:
a) Tanggungjawab Majikan
Adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan
dan kebajikan para pekerja semasa bekerja:
i. Pengadaan dan penyelenggaraan loji dan sistem kerja yang, setakat praktik,
ii. selamat dan tanpa risiko kepada kesihatan.
iii. Pembuatan perkiraan bagi menjamin, setakat yang praktik, keselamatan dan
ketiadaan risiko.
iv. Pengadaan, maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan sebagaimana yang
perlu untuk memastikan setakat yang praktik, keselamatan dan kesihatan
pekerjanya yang sedang bekerja.
b) Tanggungjawab Pekerja
Adalah menjadi kewajipan tiap-tiap pekerja yang sedang bekerja :
i. Untuk memberi perhatian yang munasabah bagi keselamatan dan kesihatan
dirinya dan orang lain yang mungkin terjejas oleh tindakan atau
peninggalannya semasa bekerja.
ii. Untuk bekerjasama dengan majikannya atau mana-mana orang lain dalam
menunaikan apa-apa kewajipan atau kehendak yang dikenakan ke atas
majikan atau orang lain itu melalui Akta ini atau mana-mana peraturan yang
dibuat di bawahnya.
iii. Untuk memakai atau menggunakan pada sepanjang masa apa-apa
kelengkapan atau pakaian perlindungan yang diadakan oleh majikan bagi
maksud mencegah apa-apa risiko kepada keselamatan dan kesihatnnya
2.4.1 Prinsip Perangkaan Akta Kesihatan Dan Keselamatan Pekerjaan 1994
Keenam-enam prinsip ini merupakan asas di dalam pembinaan dan perangkaan Akta
Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan 1994. Akta Kesihatan dan Keselamatan
Pekerjaan 1994 dirangka berdasarkan enam prinsip iaitu :
a. Pencegahan kemalangan adalah sebahagian daripada aspek penting
pengurusan dan kemahiran yang baik
b. Pihak pengurusan dan pekerja mestilah bekerjasama dalam memastikan
tempat kerja bebas daripada sebarang kemalangan
c. Penglibatan pihak atasan adalah diutamakan dalam memimpin perlaksanaan
keselamatan di tempat kerja
d. Dasar keselamatan dan kesihatan pekerjaan hendaklah dirangka dan diketahui
oleh semua pekerja di tempat kerja
e. Organisasi dan sumber yang perlu hendaklah dibangun dan disediakan bagi
menyokong ke arah kesihatan dan keselamatan pekerjaan
f. Pengetahuan dan kaedah tersedia yang terbaik digunakan
2.5 KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, kompetensi ini akan membincangkan beberapa perkara yang
berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam sektor pembinaan di Malaysia.
Sektor pembinaan merupakan sektor yang terdedah kepada bahaya dan risiko, Oleh
itu Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ditubuhkan bagi memastikan
keselamatan dan kesihatan pekerja terpelihara dan dilindungi dengan sebaikknya.
Kerjasama diantara majikan dan pekerja amat penting bagi memastikan persekitaran
kerja selamat dari sebarang kemalangan dan seterusnya memastikan kesihatan dan
kebajikan pekerja turut diutamakan oleh majikan. Antara kesan yang terjadi jika tidak
mematuhi Akta Keselamatan dan Kesihatan 1994 tidak dipatuhi, persekitaran tempat
kerja tidak selamat iaitu mudah berlakunya kemalangan, kesihatan pekerja tidak
dititikberatkan dan kebajikan pekerja tidak terbela.
2.6 PENILAIAN KENDIRI
1. Nyatakan dua (2) tujuan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994
ditubuhkan.
2. Senaraikan organisasi yang terlibat dalam memastikan keselamatan dan
kesihatan pekerjaan di Malaysia
3. Nyatakan tanggungjawab Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
Malaysia (JKKP).
4. Tanggungjawab pekerja dalam sesebuah organisasi ialah
A. Memastikan memakai dan menggunakan alat perlindungan diri yang
betul
B. Menyediakan Latihan dan seminar keselamatan dan kesihatan
C. Memastikan persekitaran tempat kerja selamat
D. Membuat kawasan rehat dan makan
5. Senaraikan tiga (3) prinsip yang dijadikan asas dalam Perangkaan Akta
Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
2.6 JAWAPAN
1. Tujuan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994
a. Untuk memberi kesedaran dan menjamin keselamatan, kesihatan dan
kebajikan pekerja di tempat kerja
b. Untuk melindungi orang lain di tempat kerja
c. Untuk mewujudkan organisasi yang mengamalkan budaya kerja yang
selamat dan sihat di kalangan semua majikan dan pekerja
d. Untuk menggalakkan persekitaran kerja yang bersesuaian dengan
keprluan fisiologi dan psikologi pekerja
e. Untuk menyediakan sistem perundangan berdasarkan peraturan dan
kod amalan industri dengan peruntukan akta yang ditetapkan.
2. Organisasi yang terlibat dalam memastikan keselamatan dan kesihatan
pekerjaan
a. Jabatan Keselamatan dan Pekerjaan (JKKP)
b. Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB)
c. Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH)
d. Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
3. Tanggungjawab Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP)
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia JKKP ditubuhkan
dan bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan
kebajikan orang yang sedang bekerja, dan melindungi orang lain daripada
bahaya-bahaya keselamatan dan kesihatan yang berpunca daripada aktiviti
pekerjaan
4. A. Memastikan memakai dan menggunkan alat perlindungan diri yang betul
5. Prinsip Perangkaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
a. Pencegahan kemalangan adalah sebahagian daripada aspek penting
pengurusan dan kemahiran yang baik
b. Pihak pengurusan dan pekerja mestilah bekerjasama dalam
memastikan tempat kerja bebas daripada sebarang kemalangan
c. Penglibatan pihak atasan adalah diutamakan dalam memimpin
perlaksanaan keselamatan di tempat kerja
d. Dasar keselamatan dan kesihatan pekerjaan hendaklah dirangka dan
diketahui oleh semua pekerja di tempat kerja
e. Organisasi dan sumber yang perlu hendaklah dibangun dan disediakan
bagi menyokong ke arah kesihatan dan keselamatan pekerjaan
f. Pengetahuan dan kaedah tersedia yang terbaik digunakan
KOMPETENSI 3: HIRARC (HAZARD IDENTIFICATION RISK ASSESSMENT AND
RISK CONTROL)
3.1 PENGENALAN
Setiap persekitaran sentiasa berhadapan dengan risiko, tidak kira di rumah
mahupun di tempat kerja malah ianya turut berada di persekitaran yang kita ada.
Sekiranya kita gagal untuk menguruskan risiko dengan baik, ianya mengundang
kesan yang buruk. Risiko di tempat seringkali dikaitkan dengan aktiviti berhubung
dengan pekerjaan yang dilakukan menyebabkan kemudaratan terhadap
seseorang pekerja. Apabila risiko ini tidak dikawal, ianya akan mencetuskan
kemalangan di tempat kerja. Bagi mengelakkan kemalangan ini berlaku, langkah
kawalan dan pencegahan perlu diamalkan di tempat kerja. Adalah menjadi
tanggungjawab setiap pekerja dan majikan memastikan persekitaran tempat kerja
selamat dan sihat untuk menjana hasil yang lebih produktif. Apabila seseorang
memperkatakan tentang risiko keselamatan dan kesihatan ditempat kerja, dia
memperkatakan tentang kebarangkalian kecederaan berlaku dan impaknya
kepada pekerja akibat hazard yang terdapat di tempat beliau bekerja.
Kebarangkalian adalah pengukuran frekuensi berlakunya kemalangan. Oleh
kerana kebarangkalian berlakunya kemalangan dan impak kemalangan boleh
dikawal, maka risiko boleh diurus sehingga ia boleh diminimumkan dan diterima.
3.2 OBJEKTIF
Di akhir kompetensi ini pelatih dapat:
✓ Mengenalpasti semua faktor yang mungkin boleh mendatangkan
kemalangan dimana berpotensi memudaratkan pekerja samada dari segi
keselamatan atau kesihatan.
✓ Menetapkan langkah kawalan dalam pengurusan risiko di tempat kerja bagi
mengelakkan berlakunya kebarangkalian kemalangan.
✓ Mengkaji keseluruhan mengenai proses menjalankan aktiviti HIRARC
untuk memastikan risiko dikawal secukupnya sepanjang masa.
3.3 PENGENALPASTIAN HAZARD, PENAKSIRAN RISIKO DAN KAWALAN
RISIKO
Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC) telah
menjadi amat penting dalam amalan untuk merancang, mengurus dan
melaksanakan sesuatu operasi sesebuah organisasi sebagai perkara asas
kepada pengurusan risiko. Organisasi yang telah melaksanakan penaksiran risiko
di tempat kerja telah mendapati beberapa perubahan positif dalam amalan kerja
mereka. Organisasi ini dapat mengenal pasti tindakan dan keadaan kerja yang
substandard semasa ia membangunkan dan mengambil tindakan pembetulan
yang perlu. Perundangan menghendaki agar proses ini bersistem dan direkodkan
supaya keputusan yang dicapai adalah kukuh dan analisisnya lengkap. Proses
penaksiran risiko hendaklah dilaksanakan secara berterusan dan tidak boleh
dianggap sebagai kerja yang hanya dilakukan sekali sahaja.
3.3.1 Jenis Kemalangan Di Tempat Kerja
Kemalangan ditakrifkan sebagai kejadian yang tidak dijangkakan atau tidak
dirancang yang berlaku disebabkan oleh pelbagai punca yang memberi kesan
ke atas tubuh badan (kecederaan atau penyakit) seseorang, kerosakan atau
kemusnahan harta benda, kerosakan alam sekitar, kemalangan nyaris atau
gabungan kesan-kesan tersebut.
Kemalangan merujuk kepada turutan kejadian yang berlaku secara tidak
sengaja dan tidak dirancang, sering kali tanpa sengaja atau diperlukan. Ia
biasanya berlaku melalui gabungan beberapa sebab (perbuatan tidak selamat
atau keadaan tidak selamat) dan mengakibatkan kesan buruk seperti
kecederaan fizikal kepada individu, kerosakan harta benda, kejadian nyaris dan
kerugian, yang mungkin dapat dielakkan sekiranya keadaan yang membawa
kepada kemalangan tersebut dapat dikenal pasti dan diambil tindakan,
sebelum ia berlaku. Sebagai contoh kemalangan jalan raya, kemalangan
tercucuk benda tajam dan sebagainya.
Terdapat beberapa jenis kemalangan yang sering berlaku di tempat kerja.
Antaranya:
i. Terjatuh dari tempat tinggi
ii. Terkena kejutan elektrik
iii. Dilanggar objek
iv. Tertimbus& tanah runtuh
v. Kebakaran dan letupan
vi. Tersepit
vii. Terhidu gas beracun
viii. Termakan/tertelan bendasing
ix. Tertusuk benda tajam
Kesemua jenis kemalangan di atas berpunca daripada beberapa sebab iaitu:
a) Sikap manusia
kecuaian untuk mengikuti langkah-langkah keselamatan yang telah
ditetapkan. Contoh: Tidak memakai Personel Protective Equipment
(PPE)
b) Faktor Teknikal
Penggunaan mesin perlu mengikut prosedur penggunaan dan langkah-
langkah keselamatan yang telah ditetapkan. Contoh: Menggunakan
peralatan / jentera tang masih dalam selenggaraan serta tidak mengikut
prosedur yang ditetapkan.
c) Faktor Persekitaran
Persekitaran tempat kerja yang tidak selesa seperti terdedah kepada
bahaya pencemaran asap kilang, susun atur operasi pengeluaran yang
tidak dirancang serta pemantauan yang gagal di lakukan menjadi punca
mengapa persekitaran boleh menyebabkan kemalangan.
d) Faktor Penyimpanan
Kaedah penyimpanan bahan yang tidak teratur boleh menyebabkan
berlakunya kemalangan. Penyimpanan bahan yang mudah terbakar
haruslah diletakkan di tempat yang selamat. Contoh: Berlakunya letupan
atau kebakaran akibat dari kaedah penyimpanan yang tidak selamat.
e) Faktor Penyeliaan
Kegagalan mematuhi prosedur, arahan yang disampaikan tidak
sempurna serta kegagalan menguatkuasakan peraturan. Contoh:
Penyelia tidak memaklumkan kepada pekerja tentang kerosakan mesin.
f) Faktor Pengurusan
Pihak pengurusan hendaklah mengkaji dengan lebih mendalam sesuatu
prosedur yang hendak diguna pakai supaya tidak mengundang
kemalangan semasa kerja dilaksanakan. Contoh: Memastikan laluan
keluar masuk ke tapak pembinaan lebih teratur.
3.3.2 Jenis Hazard di Tempat Kerja
Hazard bermakna sesuatu punca atau sesuatu keadaan yang mempunyai
potensi dimana boleh mendatangkan mudarat dalam bentuk kecederaan atau
kesihatan yang buruk kepada manusia, kerosakan harta, kerosakan alam
sekitar atau gabungan daripada mana-mana mudarat tersebut. Bahan kimia,
sinaran, elektrik, biohazard, sistem kerja tidak selamat adalah beberapa
contoh-contoh hazard. Hazard boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan utama
iaitu hazard kesihatan, hazard keselamatan, dan hazard alam sekitar.
a) Hazard kesihatan
Hazard kesihatan pekerjaan ialah apa-apa agen yang boleh mendatangkan
penyakit kepada individu. Hazard kesihatan boleh menyebabkan kesan
yang serius dan serta-merta (akut), atau boleh menyebabkan masalah
jangka panjang (kronik). Seluruh atau bahagian tertentu badan boleh
terjejas. Seseorang yang mengalami penyakit pekerjaan mungkin tidak
menyedari akan gejalanya dengan serta-merta. Sebagai contoh, hilang
pendengaran akibat hingar sering kali sukar dikesan oleh individu yang
terjejas sehinggalah penyakit itu sudah melarat. Hazard kesihatan termasuk
bahan kimia (seperti asid bateri dan pelarut), hazard biologi (seperti
bakteria, virus, debu dan kulapuk), agen izik (punca tenaga yang cukup kuat
untuk memudaratkan badan, seperti arus elektrik, haba, cahaya, getaran,
hingar dan sinaran) dan hazard reka bentuk kerja (ergonomik).
b) Hazard keselamatan
Hazard keselamatan ialah apa-apa daya yang cukup kuat yang
mengakibatkan kecederaan, atau kerosakan kepada harta. Kecederaan
yang disebabkan oleh hazard keselamatan biasanya ketara. Sebagai
contoh, pekerja mungkin luka teruk. Hazard keselamatan mendatangkan
mudarat apabila kawalan tempat kerja tidak mencukupi. Beberapa contoh
hazard keselamatan termasuk, tetapi tidak terhad kepada:
i. tergelincir/tersandung (seperti wayar yang terentang di lantai);
ii. kebakaran (daripada bahan mudah bakar);
iii. bahagian jentera, alatan dan kelengkapan yang bergerak (seperti
penjepit dan mata sepit);
iv. kerja di tempat tinggi (seperti kerja yang dilakukan di atas perancah);
v. lentingan bahan (seperti daripada pengacuan);
vi sistem tekanan (seperti dandang dan paip stim);
vii. kenderaan (seperti forklif dan trak);
viii. operasi mengangkat dan pengendalian lain secara manual; dan
ix. bekerja sendirian
c) Hazard alam sekitar
Hazard alam sekitar ialah pelepasan ke alam sekitar yang boleh
menyebabkan mudarat atau kesan yang merosakkan. Pelepasan ke alam
sekitar mungkin tidak ketara. Sebagai contoh, pekerja yang menyalirkan
sistem glikol dan melepaskan cecair tersebut ke dalam pembetung ribut
mungkin tidak sedar akan kesannya kepada alam sekitar. Hazard alam
sekitar mendatangkan mudarat apabila kawalan dan prosedur kerja tidak
dipatuhi.
3.3.3 Pencegahan Kemalangan di Tempat Kerja
Kemalangan adalah sesuatu yang kompleks dan berlaku tanpa dirancang,
namun ia boleh dicegah. Kemalangan boleh diakibatkan oleh dua sebab
utama:
a) Tindakan yang tidak selamat (Unsafe act)
b) Keadaan kerja tidak selamat (Unsafe condition)
Berikut adalah langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi
penyebab-penyebab faktor penyumbang kemalangan. Rajah di bawah
menerangkan faktor-faktor yang menyumbang kepada kemalangan dengan
lebih terperinci.
Rajah 1: Konsep Pencegahan Kemalangan
Kaedah pengurusan risiko yang betul boleh dilakukan dengan memahami
konsep pencegahan kemalangan (seperti Rajah 1). Dengan memastikan
perilaku selamat dan keadaan kerja yang selamat, risiko yang dihadapi dapat
dikawal dan dikurangkan. Antara langkah kawalan yang boleh dilakukan adalah
melakukan kawalan melalui hirarki (seperti Rajah 2).
Rajah 2: Kawalan Risiko
a. Penyingkiran (Elimination)
Menyingkirkan hazard dari tempat atau proses kerja (misalnya tidak lagi
menggunakan asbestos kerana ia boleh menyebabkan penyakit barah paru-
paru seperti asbestosis).
b. Penggantian
Menggantikan hazard yang ada dengan sesuatu yang kurang berisiko
(misalnya pemotong berkuasa pneumatik digunakan dalam kerja memotong
yang melibatkan bahan bakar bagi menggantikan pemotong yang
menghasilkan percikan api).
c. Kawalan Kejuruteraan
Memasukkan ciri-ciri keselamatan ke dalam peralatan, mesin atau
kelengkapan pekerjaan (misalnya memasang penghadang kepada bahagian
mesin yang berputar).
d. Kawalan Pentadbiran
e. Aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan diurus oleh pihak pengurusan
dan pekerja (misalnya melaksanakan tugas secara bergilir bagi tempoh yang
dibenarkan untuk mengurangkan pendedahan kepada hazard).
f. Kelengkapan atau Pakaian Perlindungan Peribadi (Personal Protective
Equipment, PPE)
Memakai kelengkapan diri yang memberikan perlindungan tambahan kepada
pemakai selepas semua kaedah kawalan di atas telah diambil kira dan
dilaksanakan.
3.3.4 Mendokumentasikan HIRARC
Pengurusan hazard yang betul dan yang ada kalanya dikenal pasti di tempat
kerja boleh dilaksanakan melalui proses yang berkesan. Pada dasarnya,
individu atau pasukan yang mengenal pasti hazard mestilah memastikan
penerangan yang betul tentang sesuatu hazard diberikan kepada pihak yang
berkuasa tempat kerja (pengurus, ketua jabatan, atau orang yang dilantik).
Setiap HIRARC mestilah didokumentasikan sepenuhnya. Borang HIRARC
mestilah dilengkapkan oleh pasukan HIRARC dan ditandatangani oleh
kakitangan yang bertanggungjawab dalam bidang tersebut. Bahagian yang
bertanggungjawab terhadap hazard tersebut dan pengawalannya dikehendaki
menyimpan semua laporan penaksiran selama sekurang-kurangnya tiga tahun.
Pihak yang berkuasa di bahagian berkenaan bertanggungjawab untuk
memastikan kawalan yang efektif dan tepat pada masanya diguna pakai
terhadap hazard dan menyampaikan keputusan tersebut kepada kakitangan
yang mengemukakan laporan. Pihak pengurusan atau majikan hendaklah
mengesahkan dan meluluskan keputusan HIRARC. Majikan hendaklah
menerangkan seluruh HIRARC kepada kakitangan, memantau tindakan
susulan dan menyimpan semua rekod. Borang HIRARC (lihat LAMPIRAN 3.3)
merupakan contoh untuk mendokumenkan proses HIRARC.
Panduan kepada ketua pasukan dan orang yang menjalankan HIRARC:
a. Lengkapkan borang HIRARC. Disarankan untuk menggunakan satu borang
bagi setiap proses kerja.
b. Rekodkan nama dan jawatan anggota pasukan HIRARC;
c. Kenal pasti aliran proses kerja dan nyatakan dalam borang di bawah lajur
‘proses/lokasi’;
d. Senaraikan semua aktiviti (rutin dan bukan rutin) bagi setiap proses kerja di
bawah lajur “Aktiviti Kerja”;
e. Kenal pasti hazard yang berkaitan dengan setiap aktiviti dan rekodkan dalam
lajur “Hazard”;
f. Tentukan kesan setiap hazard yang dikenal pasti dan rekodkan di dalam lajur
“Kesan”;
g. Rekodkan apa-apa langkah kawalan hazard sedia ada;
h. Tentukan kemungkinan (L) dari Jadual A dan keterukan (S) dari Jadual B
bagi setiap hazard. Berikan kadar (L) dan (S) di dalam lajur yang berkaitan.
Langkah kawalan sedia ada hendaklah diambil kira semasa menentukan (L)
dan (S);
i. Dengan menggunakan Matriks Risiko (Jadual C dan D), tetapkan satu risiko
dan
rekodkan di dalam lajur “Risiko”;
j. Berdasarkan risiko yang ditetapkan, sarankan langkah kawalan risiko yang
sesuai (lihat Jadual D);
k. Tetapkan orang yang sesuai untuk melaksanakan kawalan risiko yang
disarankan dan nyatakan tarikh dan status tindakan susulan;
l. Ulang HIRARC bagi aktiviti dan proses lain;
m. Laksanakan satu lagi pusingan HIRARC selepas langkah kawalan
dilaksanakan; dan
n. Semak HIRARC setiap tiga tahun atau apabila terdapat perubahan dalam
proses atau aktiviti.
3.4 KESIMPULAN
Secara Keseluruhannya, kompetensi ini akan membincangkan beberapa perkara
yang berkaitan dengan pengenalpastian hazard, penaksiran risiko dan kawalan
risiko di tempat kerja. Sektor perindustrian dan pembinaan memainkan peranan
penting dalam memajukan dan meningkatkan pembangunan negara. Pekerja-
pekerja dalam sektor berkenaan perlu dilindungi dengan perlindungan yang
sewajarnya. Terlalu banyak kes kemalangan berlaku di dalam kedua-dua sektor
ini menyebabkan berlakunya pelbagai campurtangan dalam usaha menangani
masalah ini. Namun begitu, ada sesetengah pihak tidak mengendahkan dengan
tidak menitikberatkan perihal keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Lantaran itu, kerjasama dari semua pihak majikan, pekerja, kerajaan dan
bukan kerajaan amatlah diperlukan dalam memastikan pengurangan hazard,
kawalan risiko dan kesihatan di tempat kerja. Setiap kemalangan yang berlaku
telah meninggalkan kesan kepada keadaan sekeliling dan pihak organisasi.
Antara kesan yang terpaksa dihadapi oleh setiap organisasi adalah kerugian pada
barang-barang dan alatan yang sedia ada. Disebabkan berlakunya kemalangan,
pihak pengurusan terpaksa membeli barangan baru bagi menggantikan alat yang
rosak.
3.5 PENILAIAN KENDIRI
1. Apakah yang dimaksudkan dengan HAZARD?
a. Sesuatu punca atau keadaan yang mempunyai potensi mendatangkan
kecederaan kepada manusia, kerosakan harta benda dan alam sekitar.
b. Sesuatu punca atau keadaan yang menyebabkan badan tidak selesa
selepas atau semasa menjalankan kerja
c. Sesuatu punca atau keadaan yang berpotensi untuk mengganggu sistem
pengoperasian sesebuah syarikat
d. Sesuatu punca atau keadaan yang akan menyebabkan produktiviti di
sesuatu organisasi tersebut tidak stabil dan boleh menambah kos operasi
syarikat
2. HIRARC dalam perkataan penuh adalah?
a. Hazard Implementation Risk Arrangement and Risk Coordination
b. Hazard Implementation Risk Arrangement and Risk Control
c. Hazard Identification Risk Assessment and Risk Control
d. Hazard Identification Risk Amendment and Risk Coordination
3. Tujuan HIRARC dibuat adalah untuk yang berikut kecuali?
a. Mengenal pasti semua faktor yang mungkin boleh mendatangkan mudarat
kepada pekerja dan orang lain
b. Memudahkan jawatankuasa KKP menentukan hala tuju misi dan visi
syarikat
c. Mempertimbangkan kemungkinan mudarat tersebut menimpa sesiapa
dalam keadaan tertentu dan keterukan yang timbul daripadanya
d. Membolehkan majikan merancang dan memantau langkah pencegahan
untuk memastikan risiko tersebut dikawal sentiasa
4. Susunan Hierarki kawalan hazard adalah
a. Penggantian, penyingkiran, kawalan kejuruteraan, pengasingan, kawalan
pentadbiran, PPE
b. Pengasingan, penyingkiran, penggantian, kawalan kejuruteraan, kawalan
pentadbiran, PPE
c. Penggantian, penyingkiran, kawalan pentadbiran, kawalan kejuruteraan,
pengasingan, PPE
d. Penyingkiran, penggantian, pengasingan, kawalan kejuruteraan, kawalan
pentadbiran, PPE.
5. Yang manakah antara berikut bukan Kelengkapan Pelindungan Diri (PPE)
a. Kasut keselamatan
b. Seluar Panjang
c. Body Harness
d. Safety Google
3.6 JAWAPAN
1. a. Sesuatu punca atau keadaan yang mempunyai potensi mendatangkan
kecederaan kepada manusia, kerosakan harta benda dan alam sekitar.
2. c. Hazard Identification Risk Assessment and Risk Control
3. b. Memudahkan jawatankuasa KKP menentukan hala tuju misi dan visi
syarikat
4. d. Penyingkiran, penggantian, pengasingan, kawalan kejuruteraan, kawalan
pentadbiran, PPE
5. b. Seluar Panjang
LAMPIRAN 3.1
LAMPIRAN 3.1
LAMPIRAN 3.1
LAMPIRAN 3.2
LAMPIRAN 3.3
KOMPETENSI 4: KESELAMATAN PADA PERINGKAT PRA-PEMBINAAN
4.1 PENGENALAN
Aspek keselamatan dan kesihatan di tapak pembinaan bukan sahaja perlu
dititikberatkan semasa proses pembinaan bahkan turut juga perlu diberi perhatian
semasa proses pra pembinaan. Perancangan yang betul harus menjadi bahagian
penting dalam menjalankan operasi pembinaan yang cekap. Ia bukan sahaja untuk
tujuan penyediaan dan belanjawan keseluruhan tetapi juga sebagai langkah proaktif
untuk mengendalikan dan menguruskan hal-hal keselamatan dan kesihatan
pekerjaan bagi kerja-kerja yang akan dijalankan.
4.2 OBJEKTIF
• Pelajar dapat mengenalpasti keperluan keselamatan dan kesihatan pekerjaan
semasa peringkat pra pembinaan
• Pelajar dapat membuat pengaturan yang diperlukan semasa peringkat pra-
pembinaan
4.3 KESELAMATAN PADA PERINGKAT PRA-PEMBINAAN
4.3.1 PENILAIAN AWAL
• Meneliti dokumen kontrak, spesifikasi dan lukisan – untuk mengenalpasti dan
mengatasi sebarang kekangan yang mungkin boleh menjejaskan susun atur
tapak atau kaedah pembinaan
• Mengenalpasti kedudukan tapak, factor persekitaran dan keadaan tapak
• Menentukan urutan kerja yang logik dan mengenalpasti sebarang operasi
berisiko tinggi dan sebagainya (cth: pembersihan tapak, kerja perobohan,
operasi pembinaan)
• Menentukan jenis dan kapasiti pelan serta keperluan operator kompeten
(peralatan akses, kenderaan tapak, keperluan kerja, peralatan mengangkat,
peralatan mudah alih, bekalan elektrik dll)
• Menentukan keperluan penempatan sementara (pejabat tapak, kantin, rumah
pekerja, kemudahan kebajikan & pertolongan cemas dll)
• Menentukan keperluan stor penyimpanan bahan (cth: besi, kotak bentuk,
simen, pre-cast units, perancah, bata, blok, pasir, elemen struktur, cecair dll)
• Menentukan kawasan untuk:
a) akses ke loji, bahan dan perkhidmatan kecemasan
b) loji tetap seperti menara kren, loji pengelompokan konkrit, lenturan
besi dan bengkel
c) loji mudah alih seperti kren, dumpers, forklifts, lori konkrit, pam dan
lain-lain
d) tempat penginapan sementara
e) stor penyimpanan bahan
• Menentukan langkah-langkah keselamatan tapak dan perlindungan orang
ramai, terutamanya kanak-kanak
• Menentukan perkiraan untuk perhubungan dengan kejiranan
4.3.2 MEMBANGUNKAN PELAN KESELAMATAN
Pelan Keselamatan dan Kesihatan adalah merupakan dokumen bertulis yang
menggambarkan proses untuk mengenalpasti bahaya fizikal dan kesihatan yang
boleh menjejaskan pekerja, prosedur untuk mengelakkan kemalangan dan langkah-
langkah yang perlu diambil apabila berlaku kemalangan. Pelan ini mengambil kira
faktor Hazard Identification, Risk Assessment and Risk Control (HIRARC), Emergency
Response Plan (ERP), kawalan dan pemantauan OSH serta risiko OSH terhadap
pekerja dan lain-lain. Ia perlu melibatkan polisi dan objektif OSH, penugasan
tanggungjawab OSH, kaedah untuk menilai HIRARC, Job Safety Analysis (JSA),
siasatan dan laporan kemalangan, ERP di tapak binaan, komunikasi di tapak binaan,
program audit keselamatan dan penyelarasan aktiviti perdagangan/perniagaan di
tapak binaan.
Ciri-ciri pelan keselamatan dan kesihatan yang lain hendaklah termasuk:
i. Huraian kerja individu yang mempunyai kandungan keselamatan
ii. Butiran tanggungjawab keselamatan khusus
iii. Peranan dan fungsi jawatankuasa keselamatan
iv. Peranan dan fungsi Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (Safety Health
Officer, SHO) dan Penyelia Keselamatan Tapak (Site Safety Supervisor,
SSS)
v. Carta organisasi beserta tanggungjawab dan akauntabiliti
Rajah 1: Contoh carta organisasi
Rajah 2: Contoh tanggungjawab & akauntabiliti ahli jawatankuasa keselamatan
Melalui pelan keselamatan dan kesihatan ini, dasar-dasar keselamatan akan
dilaksanakan dengan merangkumi:
i. Induksi keselamatan tapak
ii. Pengurusan risiko
iii. Prosedur kerja selamat
iv. Pemeriksaan tempat kerja
v. Perundingan dan komunikasi
vi. Persediaan kecemasan
vii. Penyiasatan dan pelaporan kemalangan
viii. Pengaturan kesihatan pekerjaan
ix. Pemantauan prestasi
x. Ketidakpatuhan dan sebagainya
4.3.3 PERANCANGAN / PELAKSANAAN TAPAK
Mesyuarat Perancangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
Mesyuarat perlu bermula serta merta terutamanya dikalangan ahli-ahli jawatankuasa
induk yang terpilih selepas dianugerahkan kontrak dan sebelum projek bermula.
Mesyuarat ini perlu digunakan untuk membincangkan program keselamatan dan
kesihatan pekerjaan secara menyeluruh serta menentukan tugas dan tanggungjawab.
Perancangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan perlu didokumenkan
terutamanya berkaitan dasar keselamatan dan kesihatan pekerjaan, strategi
pengurusan dan peraturan/tatacara. Pengurusan dokumen, data dan rekod yang
sempurna diperlukan semasa dan selepas mesyuarat ini dijalankan. Antara agenda
yang biasa dibincangkan ialah strategi pengurusan, kawalan suasana berbahaya,
keperluan subkontraktor, analisa kerja yang melibatkan suasana berbahaya dan
pembelian.
Kawalan Suasana Berbahaya
Kawalan suasana berbahaya adalah bergantung kepada skop projek dan jenis aktiviti
pembinaan yang dijalankan. Antara perkara yang melibatkan kawalan suasana
berbahaya ialah:
• Letupan
• Pemampatan udara
• Kerja-kerja konkrit
• Ruangan terhad
• Kren
• Elektrik & mekanikal
• Pelan kecemasan dan bencana alam
• Excavation / Trenching / Shoring
• Perlindungan daripada jatuh
• Pencegahan / perlindungan kebakaran
• Pertolongan cemas
• Komunikasi
• Sisa lebihan bahaya / toksik
• Jentera berat
• Kebersihan / tangga
• Lampu
• Lock out / Tag out
• Penstoran dan pengendalian bahan
• Kebisingan
• Perlatan perlindungan diri
• Alat pernafasan
• Keperluan sanitari
• Perancah (Scaffolding)
• Penggunaan dan penyelenggaraan peralatan
• Kaawalan trafik
• Papan tanda Amaran, Isyarat dan Barricade
• Kimpalan dan pemotongan
Walaupun senarai perkara ini tidaklah lengkap, tetapi ianya boleh digunakan sebagai
panduan am bagi membantu pengamal OSH untuk menentukan mana-mana
keperluan tambahan yang relevan dengan projek pembinaan.
Analisa Kerja yang Melibatkan Suasana Berbahaya
Satu lagi amalan yang baik ialah mengenalpasti terlebih dahulu apa-apa peralatan
keselamatan atau kaedah mengendalikan suasana berbahaya bagi memastikan
keberkesanan kerja dalam konteks keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Pertimbangan teliti perlu diberikan ke atas suasana berbahaya yang berkaitan dengan
ergonomik seperti pergerakan berulang, getaran, suhu yang terlalu tinggi atau terlalu
rendah dan pengubahsuaian / penyesuaian peralatan. Dengan merancang terlebih
dahulu secara proaktif, penangguhan kerja atau pemberhentian mengejut dapat
diminimakan. Analisa kerja yang melibatkan suasana berbahaya (job hazard analysis)
adalah proses mengenalpasti suasana berbahaya yang berkaitan dengan kerja atau
fasa sesuatu kerja. Pembangunan analisa ini akan membantu menyelesai atau
meminimakan suasana berbahaya yang berkaitan dengan aktiviti kerja-kerja tertentu.
Pilihan ke atas aktiviti kerja-kerja tertentu yang diketahui tahap bahayanya perlu
dilakukan.
Kaedah penyediaan analisa ini biasanya melibatkan:
• Pemilihan kerja untuk dianalisa
• Memecahkan tugas kepada komponen individua atau aktiviti
• Mengenalpasti suasana berbahaya
• Membangunkan prosedur keselamatan
• Mengaplikasikannya terhadap kerja yang berkaitan
Analisa ini boleh digunakan bagi menerangkan nilai-nilai murni dan sikap
mengamalkan kerja yang selamat. Ianya juga boleh menjadi panduan latihan bagi
pekerja baru dan mengenalpasti punca kemalangan sekiranya ianya berlaku. Setiap
analisa perlu disemak dalam tempoh tertentu untuk ditambahbaik secara berterusan.
4.3.4 PELANTIKAN PERSONEL KESELAMATAN
Pelantikan Pegawai
• Menteri hendaklah melantik seorang pegawai awam menjadi Ketua Pengarah
Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, dalam Akta Keselamatan dan
Kesihatan Pekerjaan 1994 ini disebut “Ketua Pengarah”, bagi maksud
menjalankan kuasa-kuasa, melaksanakan fungsi-fungsi dan menunaikan
kewajipan-kewajipan yang diberikan kepadanya di bawah Akta ini.
• Menteri boleh melantik, daripada kalangan pegawai awam, sekian bilangan
Timbalan Ketua Pengarah, Pengarah, Timbalan Pengarah, Penolong
Pengarah dan pegawai-pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan lain
sebagaimana yang perlu bagi maksud-maksud Akta ini.
• Jika atas apa-apa sebab Ketua Pengarah tidak dapat menjalankan kuasa-
kuasa atau menunaikan kewajipan-kewajipan jawatannya, kuasa-kuasa itu
hendaklah ada pada dan bolehlah dijalankan dan kewajipan-kewajipan itu
hendaklah ditunaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah.
• Tertakluk kepada apa-apa pembatasan yang ditetapkan melalui peraturan
yang dibuat di bawah Bahagian XIV Akta ini, seorang pegawai yang dilantik di
bawah subseksyen (2) hendaklah melaksanakan kesemua kewajipan yang
dikenakan ke atas, dan boleh menjalankan kesemua kuasa yang diberikan
kepada Ketua Pengarah di bawah Akta ini, dan tiap-tiap kewajipan yang
dilaksanakan dan dijalankan dengan sewajarnya bagi maksud-maksud Akta ini.
a. Penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994
adalah dilaksanakan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan
Pekerjaan di bawah Kementerian Sumber Manusia.
b. Tujuan melantik pegawai awam adalah untuk memastikan semua
kuasa, fungsi dan kewajipan di bawah Akta boleh dilaksanakan.
Pelantikan Badan Pemeriksaan Bebas
• Ketua Pengarah boleh, sebagaimana yang difikirkannya patut, melantik
seseorang atau sesuatu badan pemeriksaan bebas daripada mana-mana
industri untuk menasihati atau membantunya dalam menjalankan tujuan-tujuan
dan maksud-maksud Akta ini.
a. Di bawah Akta ini, Ketua Pengarah telah diberikan kuasa untuk
melantik dan membayar seseorang atau badan pemeriksaan bebas
dari sebarang industri untuk menjadi penasihat bagi menjalankan
tujuan Akta. Sebagai contoh, beliau boleh melantik satu badan bebas
untuk menyiasat kemalangan besar dan memberikan pandangan
pakar atau melakukan pengawasan perubatan.
• Seseorang atau sesuatu badan pemeriksaan bebas yang dilantik di bawah
subseksyen (1) hendaklah dibayar apa-apa elaun, fee atau bayaran ganti yang
ditentukan oleh Menteri.
• Seseorang pegawai yang dilantik di bawah subseksyen 5(2) dan seseorang
atau sesuatu badan pemeriksaan bebas yang dilantik di bawah subseksyen (1)
hendaklah tertakluk kepada kawalan, arahan dan pengawasan Ketua
Pengarah.
• Ketua Pengarah dan semua pegawai yang dilantik di bawah subseksyen 5(2),
dan seseorang atau sesuatu badan pemeriksaan bebas yang dilantik di bawah
subseksyen (1), hendaklah disifatkan sebagai pegawai awam mengikut
pengertian Kanun Keseksaan.
4.3.5 PELANTIKAN ORGANISASI KESELAMATAN
ORGANISASI KESELAMATAN DAN KESIHATAN
Dasar Keselamatan dan Kesihatan
Setiap majikan hendaklah menyediakan dan seberapa kerap yang sesuai mengkaji
semula pernyataan bertulis dasar amnya berkenaan keselamatan dan kesihatan
pekerja-pekerjanya semasa bekerja dan organisasi dan perkiraan yang sedang
berkuat kuasa bagi menjalankan dasar itu, dan membawa pernyataan dan apa-apa
kajian semulanya kepada perhatian kesemua pekerjanya.
Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan
Kontraktor utama di tapak kerja yang mana empat puluh orang atau lebih sedang
digajikan (sama ada oleh kontraktor utama atau kontraktor-kontraktor lain yang
digajikan oleh kontraktor utama atau oleh pelanggan) hendaklah menubuhkan
jawatankuasa keselamatan dan kesihatan (yang mana kedua-dua pihak pekerja dan
pihak majikan diwakili) bagi maksud mengkaji semula keadaan di tapak kerja yang
boleh menjejaskan keselamatan dan kesihatan orang-orang yang bekerja di dalamnya
dan juga orang awam.
Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
Setiap majikan hendaklah menubuhkan, melaksanakan dan menyelenggarakan
sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan hendaklah mematuhi
keperluan Piawaian Malaysia yang berkaitan atau apa-apa sistem pengurusan
keselamatan dan kesihatan pekerjaan lain yang setara yang diluluskan oleh Ketua
Pengarah.
Pegawai Keselamatan dan Kesihatan
Setiap kontraktor bagi kendalian bangunan dan kerja-kerja binaan kejuruteraan
hendaklah menggaji seorang pegawai keselamatan dan kesihatan jika jumlah harga
kontrak bagi projek melebihi RM20 juta.
Penyelia Keselamatan Tapak
Kontraktor utama di sesuatu tapak bina kerja hendaklah melantik seorang penyelia
keselamatan tapak bina separuh masa yang menghabiskan masanya sekurang-