gurunya. Jelaslah, sikap saya yang sentiasa beradab apabila
berhadapan dengan mereka merupakan cara saya menghormati
guru.
Seterusnya, cara yang saya praktikkan untuk menunjukkan
rasa hormat kepada seseorang guru adalah melalui permohonan
maaf. Perkara ini merujuk kepada lakuan maaf yang dilafazkan
dengan niat yang ikhlas, disertai keinsafan dan berakhir dengan
penambahbaikan akan membuatkan guru berasa senang hati
dan dihargai. Impak daripada permohonan maaf saya kepada
guru bukan sahaja dapat melangsaikan kesalahan yang saya
lakukan malah perbuatan itu dianggap sebagai satu perlakuan
yang sopan mengikut budaya masyarakat kita. Sebagai
contohnya, saya akan melafazkan permohonan maaf sekiranya
tidak dapat menyiapkan tugasan yang diberi kerana kekangan
tertentu dan tidak perlu berdolak dalih memberikan pelbagai
alasan. Memetik mutiara kata pujangga bahawa berani mengakui
kesalahan sekaligus berani meminta maaf merupakan jiwa
seorang pendekar sejati. Ternyata permohonan maaf merupakan
satu daripada cara saya menzahirkan rasa hormat kepada
seseorang guru.
Sebagai kesimpulannya, terdapat pelbagai lakuan yang
saya pamerkan sebagai tanda menghormati guru sebagai mana
yang dikupas di atas. Saya mencadangkan ibu bapa perlu lebih
memainkan peranan mendidik anak-anak beradab dan
menghormati guru. Selain itu, saya turut menyarankan masyarakat
menterjemahkan sokongan dan pengorbanan mereka dalam
menghargai sumbangan guru. Dengan demikian, hasrat untuk
melahirkan generasi berilmu dan beradab akan dapat diselarikan
dalam usaha meraih keberkatan berpanjangan daripada ilmu
yang disampaikan oleh seseorang guru. Akhir kata, suka saya
memetik baris puisi Usman Awang iaitu jika hari ini siapa sahaja
menjadi dewasa; sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa,
dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca.
(799 patah perkataan)
101
Domain Awam
Semangat patriotisme seharusnya tidak disemarakkan
hanya pada bulan kemerdekaan sahaja. Lagu-lagu
patriotik perlu dikumandangkan setiap hari oleh media
elektronik. Maka, setiap hari rakyat Malaysia akan
menghayati dengan perasaan mereka semangat
cintakan negara.
Sumber: Berita Harian Online, 30 Ogos 2019.
Petikan akhbar di atas menunjukkan bahawa semangat
patriotik harus dipupuk secara berterusan dalam kalangan
masyarakat bagi menjamin negara yang sejahtera. Pelbagai
usaha perlu dilakukan untuk memastikan semangat patriotik
sentiasa subur dan membara dalam diri rakyat.
Tulis sebuah rencana tentang langkah-langkah untuk
memupuk semangat patriotik dalam kalangan masyarakat
majmuk di negara ini.
Analisis Soalan
1 Tema Semangat patriotik
2 Kehendak Menulis tentang langkah-langkah untuk
Tugasan memupuk semangat patriotik dalam
kalangan masyarakat majmuk di negara ini.
3 Format Tiada
102
Semangat patriotik dalam kalangan pelbagai etnik di
sesebuah negara amat penting untuk menjamin kestabilan politik,
ekonomi dan sosial negara berkenaan. Secara khususnya,
semangat patriotik menjadi tulang belakang jatuh bangunnya
sesebuah kerajaan. Semangat patriotik generasi pascamerdeka di
negara ini perlu dibangkitkan dari semasa ke semasa. Semangat
patriotik boleh ditakrifkan sebagai perasaan cinta yang kuat
terhadap tanah air. Memetik kata-kata sasterawan negara Usman
Awang bahawa kemerdekaan selalu dihubungkan dengan cinta
kepada tanah air justeru setiap bangsa perlu mendidik anak-
anaknya mengenal dan mencintai tanah air dan pahlawan-
pahlawannya. Terdapat langkah-langkah untuk memupuk
semangat patriotik dalam kalangan masyarakat majmuk di negara
ini.
Langkah utama untuk memupuk semangat patriotik dalam
kalangan masyarakat majmuk di negara ini adalah melalui
peranan yang dimainkan oleh para ibu bapa. Para ibu bapa boleh
mengambil pendekatan mudah dengan menggunakan teknik
penceritaan berkaitan tokoh-tokoh pahlawan tanah air. Impak
daripada ibu bapa yang sering mendendangkan kisah wira
negara akan memberikan gambaran yang jelas kepada anak-
anak bahawa keamanan dan kesejahteraan negara yang mereka
kecapi hari ini bukan datang secara percuma, malah perlu
dibayar dengan harga yang mahal melalui peluh keringat, titisan
darah serta nyawa pejuang negara. Sebagai contohnya, ibu bapa
boleh menceritakan kisah Penghulu Dol Said menentang
kemaraan British di Naning mahupun perjuangan mengembalikan
hak dan kedaulatan tanah air oleh Dato Bahaman, Tok Gajah dan
Mat Kilau di Pahang. Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah
menegaskan bahawa sesungguhnya segala kejayaan yang kita
kecapi pada hari ini, ditunjangi usaha dan perjuangan pahlawan
yang terdahulu. Tegasnya pendidikan awal di rumah yang
dimainkan oleh ibu bapa menjadi teras utama memupuk
semangat patriotik dalam jiwa masyarakat majmuk di negara ini.
103
Selain itu, bagi menggilap semangat patriotik dalam
kalangan masyarakat pelbagai etnik, peranan institusi pendidikan
tidak kurang pentingnya. Institusi pendidikan sebagai tempat
masyarakat pelbagai peringkat usia mendapatkan pendidikan
formal termasuklah prasekolah, sekolah rendah, sekolah
menengah dan institusi pengajian tinggi bertanggungjawab
menterjemahkan kurikulum yang mengandungi unsur semangat
patriotik sama ada secara langsung mahupun secara tersirat.
Impak daripada peranan institusi pendidikan yang diterjemahkan
melalui melalui aktiviti pengajaran guru yang menarik dan
berkesan ini akan menjadi rujukan kepada generasi kini dalam
membuat keputusan bagi mengelakkan kepentingan nasional
negara sekali lagi diceroboh, tetapi sebaliknya memastikan
kejayaan negara terus dicapai. Sebagai buktinya, penerapan nilai
semangat patriotik di institusi pendidikan boleh berlaku semasa
murid-murid membuat rasionalisasi mengenai sesuatu peristiwa
sejarah yang dipelajari serta melalui kegiatan kokurikulum yang
disertai. Keris Mas pernah mengutarakan untuk mencapai sesuatu
kita berjuang dan kita perlu berjuang untuk mengekalkan barang
yang tercapai itu. Jelaslah, institusi pendidikan memainkan
peranan untuk memupuk semangat patriotik di negara ini.
Pendekatan seterusnya dalam menyemarakkan semangat
cinta akan negara ini perlu dimainkan oleh pihak media massa.
Media massa merujuk kepada media elektronik, media cetak dan
media siber yang berfungsi sebagai wahana komunikasi antara
kerajaan dengan rakyat. Impak daripada peranan media massa
ini, idealogi serta mesej tentang kepentingan semangat patriotik
dapat disebarkan secara cepat dan tepat kepada orang ramai.
Sebagai contohnya, media massa boleh menyiarkan dokumentari
pejuang kemerdekaan negara, seperti filem pendek Bapa
Merdeka, memutarkan lagu-lagu patriotik seperti lagu Warisan
yang dinyanyikan oleh Sudirman Arsyad atau lagu Gemuruh
dendangan Faisal Tahir mahupun memanipulasi filem-filem yang
boleh membangkitkan semangat kecintaan yang menebal
terhadap tanah air seperti Paskal, Bukit Kepong, Ola Bola dan
Leftenan Adnan. Persis sebuah gong, media massa akan berbunyi
mengikut irama yang dipalu pemainnya, iaitu pengamal media
104
perlu memainkan peranan penting dalam meningkatkan
pemahaman mengenai konsep kecintaan tidak berbelah bahagi
kepada negara dan rela berkorban demi bangsa dan ranah
tercinta. Sudah terang lagi bersuluh, pihak media massa dapat
memainkan peranan dalam menyuburkan semangat patriotik
dengan mempersembahkan bahan-bahan yang lebih segar,
dinamik dan bersesuaian dengan keperluan semasa.
Usaha terakhir menyemai semangat patriotik dapat
diterjemahkan melalui pemimpin negara dan pemimpin
masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana pemimpin negara
dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan
fahaman politik perlu menunjukkan teladan agar dicontohi rakyat.
Impak daripada golongan ini yang tidak bersengketa sesama
sendiri sambil mencanangkan perpaduan dan semangat patriotik
akan membina rakyat yang patriotik lagi demokratik seiring
Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Misalnya mereka
seharusnya tidak menyentuh perkara-perkara sensitif yang boleh
menyinggung perasaan rakyat ketika berceramah ataupun
berkempen semasa pilihan raya untuk mendapatkan undi kerana
keghairahan membangkitkan isu-isu sensitif atau perkara-perkara
yang telah dirunding antara kaum dan mendapat konsensus boleh
melunturkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat. Memetik
mutiara kata seorang sasterawan negara bahawa apalah erti
yang dapat diberi oleh kemerdekaan kalau pemimpin-pemimpin
tiada mempunyai kekuatan dalam diri mereka untuk
membangkitkan kesedaran dan memberi kesempatan pada
rakyat yang dipimpinnya. Ternyata untuk memupuk semangat
patriotik dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini para
pemimpin negara dan pemimpin masyarakat perlu matang dalam
meraih sokongan politik.
Sebagai konklusinya, terdapat pelbagai langkah untuk
memupuk semangat patriotik dalam kalangan masyarakat
majmuk di negara ini sebagai mana yang dikupas di atas. Penulis
mencadangkan agar pihak kerajaan berterusan mengadakan
kempen kesedaran sepanjang tahun dan tidak hanya tertumpu
pada bulan kemerdekaan sahaja sebagai usaha menyemarakkan
105
semangat patriotik dalam diri rakyat. Di samping itu, ibu bapa
disarankan membawa anak-anak meraikan sambutan Hari
Kebangsaan yang diadakan saban tahun kerana dengan
menyaksikan perarakan anggota beruniform dipercayai akan
meninggalkan kesan mendalam semangat patriotik dalam jiwa
anak-anak. Oleh hal yang demikian, hasrat untuk melahirkan
generasi dengan paradigma baharu semangat patriotik yang
menebal dalam diri akan menjadi kenyataan. Sesungguhnya
biarpun kita berbeza warna kulit tetapi demi agama, bangsa dan
ranah tercinta ini, kita perlu teguh berdiri di atas bumi tumpah
darah yang sama kerana di sinilah lahirnya sebuah cinta!
(889 patah perkataan)
106