The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Kertas kerja ini membincangkan tentang peranan pendidikan dalam membentuk perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat malaysia bermula pada zaman penajajahan hinggalah ke generasi hari ini.

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by ummuhanis80, 2018-03-22 02:49:04

PENDIDIKAN UNTUK PERPADUAN

Kertas kerja ini membincangkan tentang peranan pendidikan dalam membentuk perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat malaysia bermula pada zaman penajajahan hinggalah ke generasi hari ini.

Keywords: Pendidikan,Perpaduan

1

PENDIDIKAN UNTUK PERPADUAN
SITI AMINAH BINTI JAMALUDIN

PROJEK PENYELIDIKAN YANG DIKEMUKAKAN UNTUK MEMENUHI
SEBAHAGIAN DARIPADA SYARAT MEMPEROLEH IJAZAH
SARJANA PENDIDIKAN SOSIOLOGI

FAKULTI PENDIDIKAN
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

BANGI

2014

PENDIDIKAN UNTUK PERPADUAN
SITI AMINAH BINTI JAMALUDIN

i

PROJEK PENYELIDIKAN YANG DIKEMUKAKAN UNTUK MEMENUHI
SEBAHAGIAN DARIPADA SYARAT MEMPEROLEH IJAZAH
SARJANA PENDIDIKAN SOSIOLOGI

ii

PENGAKUAN

Saya akui karya ini adalah hasil kerja saya sendiri kecuali nukilan dan ringkasan yang tiap-tiap
satunya telah saya jelaskan sumbernya.

18 Januari 2014 SITI AMINAH BINTI JAMALUDIN
P 63716

iii

PENGHARGAAN

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi dengan izinNya, saya dapat menyiapkan projek
penyelidikan ini dengan jayanya. Sepanjang proses saya menyiapkan projek penyelidikan ini,
saya amat berterima kasih di atas segala bantuan dan kerjasama yang telah diberikan oleh
semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung dan tidak langsung.

Pertamanya, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada kedua-dua ibu bapa
saya dia atas sokongan dan doa yang tidak pernah putus di sepanjang perjalanan hidup ini.
Dengan doa restu ini, telah memungkinkan saya menyiapkan segala tugasan dan projek
penyelidikan dengan sebaiknya.

Keduanya, jutaan terima kasih di ucapkan kepada En.Anuar Ahmad iaitu penyelia
projek penyelidikan ini. Segala tunjuk ajar, teguran, bimbingan dan nasihat yang telah
diberikan sangat membantu saya untuk menyiapkan dan menghasilkan projek penyelidikan ini.

Akhir sekali, ribuan terima kasih juga saya ucapkan kepada pihak UKM, bekas-bekas
guru, guru-guru dan pelajar-pelajar Sek.Men.Keb Tunku Besar Tampin yang telah terlibat
dalam projek penyelidikan ini. Kerjasama dan bantuan anda telah banyak memudahkan saya
untuk menyiapkan projek penyelidikan ini mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan.
Hanya Allah S.W.T sahaja yang mampu membalas jasa baik anda semua. Wassalam.

iv

ABSTRAK

Kajian ini bertujuan untuk mengkaji tentang pendidikan sebagai alat untuk merealisasikan
perpaduan bangsa. Kajian ini berbentuk kualitatif dan menjadikan kajian terdahulu sebagai
rujukan utama. Kajian ini mendapati masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa masih lagi
tidak menunjukkan hubungan perpaduan yang kukuh. Sehingga kini, masyarakat Malaysia
masih terpisah melalui sistem persekolahan, iaitu sekolah kebangsaan, sekolah jenis
kebangsaan Cina, dan sekolah jenis kebangsaan Tamil. Walaupun rakyat Malaysia masih
belum mencapai tahap perpaduan menerusi acuan pendidikan yang telah dilaksanakan tetapi
rakyat Malaysia masih boleh hidup harmoni bersama di atas landasan kesepaduan sosial.
Namun pihak kerajaan masih perlu mengambil perhatian serius dalam memastikan isu-isu
pendidikan dikawal dengan sebaiknya. Hubungan masyarakat Malaysia sentiasa berada dalam
keadaan harmoni; atau negara akan menemui kegagalan sekiranya sistem pendidikan tidak
dilaksanakan dengan telus.

Kata Kunci : Pendidikan, perpaduan, sistem pendidikan dan masyarakat Malaysia.

v

ABSTRACT

The purpose of this research is to study on education as the medium for realization of multi-
racial unity. This is a qualitative study and previous studies were chosen as main resources of
reference. Based on this study, the unity of multi-racial relationship in Malaysia are still not
robust and can be improved. To date, Malaysian society are still separated because of ethnic-
based schooling system. This factor has caused division among Malay, Indian and Chinese
which every race has their own primary and secondary school. Even though, the unity of
Malaysian society is still not strong through education system, they are still live in harmony by
standing together on a social responsibility as a common ground. However, government should
take a serious action to assure the education system can be organized wisely. Relationship of
multi-racial society of Malaysia is united or it will face failure if the practice of education
system is continuously poorly managed.

Keywords: Education, Unity, Education System and Malaysian Society.

KANDUNGAN vi

BAB 1 PENDAHULUAN Halaman

1.0 Pengenalan 1
1.1 Objektif Kajian 3
1.2 Persoalan Kajian 3
1.3 Pernyataan Masalah 3
1.4 Kepentingan Kajian 6
1.5 Reka Bentuk Kualitatif dalam Kajian 7
1.6 Tatacara Pemerolehan Data 7
7
1.6.1 Kaedah Pemerhatian 8
1.6.2 Kaedah Temu Bual 9
1.7 Masyarakat Majmuk di Malaysia 12
1.8 Sejarah Sistem Pendidikan di Malaysia 17
1.9 Konsep Masyarakat Multietnik 17
1.10 Konsep Etnik 21
1.11 Konsep Pendidikan 22
1.8 Konsep Perpaduan
23
BAB II TINJAUAN LITERATUR 23
2.0 Pengenalan 25
2.1 Konsep Masyarakat dan Pendidikan Perspektif barat 30
2.2 Pembentukan Perpaduan dalam Pendidikan di Malaysia 32
2.3 Kajian-kajian Perpaduan dalam Pendidikan di Malaysia 33
2.4 Perspektif Teori dalam Pendidikan
2.5 Pendekatan Teori dalam Kajian 35
36
BAB III PENDIDIKAN SESUDAH MERDEKA

3.0 Perjuangan Masyarakat Melayu dalam Pendidikan
3.1 Perjuangan Masyarakat Cina dalam Pendidikan

3.2 Pendidikan Zaman Pasca Merdeka 1957-1969 vii
3.3 Pendidikan Zaman Dasar Ekonomi Baru 1970-1990
3.4 Pendidikan Zaman dasar Pembangunan Negara 1991-2000 38
3.5 Sistem Pendidikan di Malaysia : Ke Arah Perpaduan Nasional 41
43
BAB IV DAPATAN KAJIAN 44

4.0 Pendahuluan 48
4.1 Dapatan Pemerhatian
48
4.1.1 Perhimpunan Pagi 48
4.1.2 Pengajaran dan Pembelajaran Dalam Kelas 51
4.1.3 Waktu Rehat 52
4.1.4 Gerak Kerja Kokurikulum 53
4.2 Rumusan Pemerhatian 54
4.3 Dapatan Temu Bual 55
4.3.1 Persepsi Tentang Zaman Persekolahan Pasca Kemerdekaan 59
4.3.2 Perancangan Pendidikan Untuk Perpaduan 63
4.3.3 Kelayakan Tenaga Pengajar 65
4.3.4 Kemudahan yang disediakan di sekolah 65
4.3.5 Isu Pendidikan
70
BAB V RUMUSAN DAN CADANGAN 70
71
5.1 Pendahuluan 73
5.2 Rumusan Objektif Kajian 74
75
5.2.1 Pendidikan Pasca Kemerdekaan 76
5.2.2 Perancangan Pendidikan Untuk Perpaduan 77
5.3.3 Kelayakan Tenaga Pengajar 80
5.3.4 Kemudahan yang disediakan di sekolah 81
5.3.5 Isu Pendidikan
5.2 Rumusan Kajian
5.3 Kesimpulan dan Perbincangan
5.4 Implikasi Kajian

5.4.1 Implikasi kepada Para Pelajar viii
5.4.2 Implikasi kepada Guru-guru
5.4.3 Implikasi kepada Ibu Bapa 81
5.4.4 Implikasi kepada Kementerian 81
5.5 Cadangan Kajian Lanjutan 81
5.6 Penutup 82
82
RUJUKAN 82

LAMPIRAN

1

1

BAB 1

PENDAHULUAN

1.0 PENGENALAN

Sistem pendidikan merupakan cara terbaik untuk mewujudkan perpaduan (Mior Khairul Azrin
Mior Jamaludin, 2011). Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada rakyat yang
berbilang bangsa dan latar belakang sosio budaya yang berbeza. Justeru, setiap dasar yang
dilaksanakan perlulah selari dengan keperluan masyarakat. Dasar pendidikan yang
dilaksanakan bukan sahaja bertujuan untuk memberi pendidikan semata-mata, tetapi juga
sebagai alat untuk merealisasikan perpaduan dan memupuk integrasi kaum.

Kajian ini mengupas dan menyelidiki tentang pendidikan untuk perpaduan. Sejak
zaman British lagi isu pendidikan telah mula bergolak terutama tentang penggunaan bahasa
pengantar di sekolah. Bermula dengan Laporan Barnes (1951), laporan ini menyarankan
supaya sistem persekolahan rendah yang terpisah-pisah disatukan dengan menggunakan hanya
dua bahasa pengantar iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Mengikut Laporan Barnes,
sekolah kebangsaan yang sebegini akan menyatupadukan kanak-kanak daripada semua kaum.
Cadangan ini tidak dipersetujui oleh sesetengah kaum Cina. Mereka ingin mengekalkan
sekolah-sekolah rendah Cina dan bahasa Kuo-Yu (bahasa kebangsaan). Dengan itu pemerintah
British telah melantik Dr.Fenn dan Dr.Wu untuk membuat kajian tentang kedudukan sekolah
Cina. Laporan Fenn Wu (1951), telah mencadangkan supaya sistem sekolah Cina dikekalkan.
Kerajaan pemerintahan British tidak dapat mengambil apa-apa tindakan berdasarkan kepada
kedua-dua laporan ini kerana syor-syornya yang berlainan (Sufean Hussin, 1993). Akhirnya
sistem persekolahan rendah ini dikekalkan dan langkah-langkah hanya diambil untuk
memperbaiki kedudukan pendidikan di sekolah ini dari segi kemudahan, buku, guru dan
sebagainya. Sistem persekolahan rendah yang terpisah-pisah ini merupakan masalah besar
dalam usaha menyatupadukan kaum di negara ini. Akibat daripada rusuhan kaum pada 13 Mei
1969, pelaksanaan dasar pelajaran telah dikaji semula, diubah dan disesuaikan ke arah
penyatuan kaum (Sufean Hussin, 1993).

2

Dewasa ini, walaupun Dasar Pendidikan Negara telah dibentuk lebih daripada 55 tahun
yang berasaskan Penyata Razak (1956), Penyata Rahman Talib (1960), dan Laporan Kabinet
(1974), namun isu perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk ini terus menjadi
perbincangan. Menurut artikel Mior Khairul Azrin (2011), setelah 53 tahun mengecapi
kemerdekaan, masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa masih lagi tidak menunjukkan
hubungan perpaduan yang kukuh. Sehingga kini, masyarakat Malaysia masih terpisah melalui
sistem persekolahan iaitu, sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan sekolah
jenis kebangsaan Tamil. Perpaduan pula sering kali dikaitkan dengan pendidikan. Sistem
persekolahan bukan sahaja berperanan untuk memberi pelajaran kepada masyarakat semata-
mata, bahkan ia merupakan saluran untuk menyampaikan kepada rakyat berkenaan dengan
wadah perjuangan negara yang sangat mementingkan nilai-nilai murni dalam masyarakat yang
berbilang kaum demi mencapai perpaduan (Mior Khairul Azrin, 2011). Sebagai sebuah negara
majmuk, persoalan untuk membina satu bangsa Malaysia yang bersatu padu menjadi matlamat
utama. Contohnya, cabaran pertama dalam wawasan 2020 ialah “membina bangsa Malaysia
yang bersatu padu dalam menghadapi nasib yang sama”. Oleh sebab wujud dilema untuk
memilih di antara sentimen perkauman dengan sentimen nasionalis maka proses pembinaan
sebuah negara bangsa yang bersatu padu merupakan suatu permasalahan yang kompleks dan
cabaran utama negara ini.

Pendidikan diertikan sebagai satu proses sosialisasi atau permasyarakatan (Robiah
Sidin, 1994). Melalui proses pendidikan yang dilalui sama ada secara formal atau tidak formal,
perkembangan keseluruhan individu dan kumpulan-kumpulan individu dapat dibentuk.
Menurut Plato, pendidikan ialah suatu proses membentuk individu yang berakhlak mulia. Jean
Jacues Rousseau pula menyatakan bahawa pendidikan sebagai suatu proses yang berterusan
dan bermula dari masa kanak-kanak lagi.

Pendidikan melalui proses persekolahan merupakan satu bentuk interaksi dengan
individu lain atau interaksi antara individu dengan kumpulan-kumpulan sosial tertentu. Tujuan
interaksi ialah untuk perkembangan individu dan seterusnya perkembangan masyarakat dan
negara. Aspek interaksi dalam proses pendidikan boleh dikonsepsikan dengan melihat keadaan
saling bergantung antara murid dengan murid yang lain dalam proses pembelajaran. Di
Malaysia terdapat Sistem Pendidikan Kebangsaan dan salah satu matlamat keseluruhan ialah
perpaduan nasional.

3

1.1 OBJEKTIF KAJIAN

Kajian ingin mengenal pasti perpaduan berbentuk pola-pola interaksi etnik yang berlaku di
sekolah. Dalam perkataan lain kajian ini meneroka pola-pola etnisiti yang ditunjukkan oleh
tiap-tiap etnik ketika berinteraksi. Pemerhatian terhadap pola-pola etnisiti akan dapat
menunjukkan perkara-perkara yang dikatakan perpaduan yang wujud dalam pendidikan.

Kedua, kajian ini ingin meneroka sejauh manakah kejayaan sistem pendidikan
persekolahan melalui agen-agen pendidikan untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan
pelajar pelbagai etnik. Di sini ingin diketahui agen-agen pendidikan iaitu pendidikan pasca
kemerdekaan, perancangan pendidikan, kelayakan tenaga pengajar, kemudahan dan isu
pendidikan yang menstruktur kepada perpaduan dalam pendidikan.

1.2 PERSOALAN KAJIAN

1. Bagaimanakah interaksi antara etnik yang menunjukkan pola etnisiti di sekolah?

2. Bagaimanakah peranan agen-agen pendidikan menstruktur perpaduan dalam pendidikan?

1.3 PERNYATAAN MASALAH

Perpaduan dan integrasi nasional adalah cabaran besar dalam proses membentuk Negara
Bangsa. Dasar negara semenjak kemerdekaan negara sememangnya bertujuan untuk mencapai
perpaduan dalam kalangan pelbagai etnik. Perpaduan ini dipupuk misalnya melalui pewujudan
Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru, Rukun Tetangga dan lain-lain. Malahan sistem
pendidikan secara khusus telah digubal untuk mencapai matlamat perpaduan negara (EPRD
1993). Justeru hingga kini perpaduan telah diwarwarkan sebagai ciri utama masyarakat
Malaysia.

Di sekolah hubungan antara pelajar yang berbilang kaum terutama di sekolah-sekolah
kebangsaan adalah indah khabar dari rupa. Menurut kajian Najeemah (2006) dalam Mohamad
Amar dan rakan-rakan (2013), tentang Pola Interaksi Sosial antara kumpulan etnik yang
berlainan di sekolah menengah di Malaysia telah mendapati bahawa kumpulan etnik lebih suka
belajar atau berbincang dalam kumpulan etnik yang sama. Mereka jarang atau kadang-kadang

4

berbincang atau belajar dengan kumpulan etnik yang lain. Masing-masing kumpulan etnik ini
selalu menyebut rakan-rakan mereka daripada kumpulan etnik yang sama ketika mereka
memerlukan bantuan. Mereka jarang meminta bantuan daripada kumpulan etnik yang lain.
Penemuan kajian ini menunjukkan bahawa sikap asabiyah dalam kalangan murid sekolah
menengah ini masih menebal walaupun mereka belajar bersama-sama.

Sikap ini akan berterusan sehingga ke peringkat universiti. Menurut kajian Abdullah
Taib (1984) dalam Rusimah dan rakan-rakan (2004), di tiga buah universiti iaitu Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putera Malaysia (UPM), dan Universiti Malaya
(UM), berkenaan kadar interaksi dalam kalangan pelajar pelbagai kaum. Beliau mendapati
bahawa darjah interaksi antara etnik hanya wujud dalam kalangan sesama etnik (intra-ethnic)
jika dibandingkan dengan kadar interaksi antara etnik (inter-etnik). Keadaan ini terjadi
disebabkan para pelajar menziarahi rakan-rakan bertujuan untuk membuat perbincangan
pelajaran atau menyiapkan tugasan. Pelajar-pelajar bukan Melayu mengunjungi teman Melayu
adalah untuk memperbaiki esei ataupun catatan nota kuliah. Kajian ini juga menunjukkan para
pelajar kurang meminta nasihat atau pertolongan kerana ia melibatkan nilai emotif yang tinggi
dan sukar dibincangkan dengan etnik yang lain. Polarisasi etnik nyata wujud dalam kalangan
pelajar apabila didapati sebilangan besar pelajar Melayu tidak mengunjungi bilik kaum Cina
dan India. Mereka lebih suka mengunjungi bilik sesama etnik. Kecenderungan mereka terhadap
rakan sebangsa membuatkan ada pemisah dengan rakan bangsa yang lain dan menjadi satu
kesukaran kaum-kaum lain untuk berinteraksi bersama.

Dalam kajian Amir Hasan b. Dawi (2004), tentang hubungan etnik di institusi pengajian
tinggi telah mendapati bahawa berlakunya pola-pola tertentu dalam hubungan antara etnik.
Tiap-tiap etnik mempunyai alasan-alasan tertentu untuk lebih rapat dengan etnik sendiri dan
mereka lebih bersikap menjaga kepentingan kaum-kaum masing-masing. Istilah ‘geng’ diguna
bagi menggambarkan situasi yang akrab dengan etnik atau kaum sendiri. Latar belakang
sekolah rendah yang berbeza mengikut etnik telah dipersalahkan sebagai salah satu faktor
‘tidak geng’ dengan etnik lain di sekolah menengah.

Pada tahun 2001 telah timbul dakwaan-dakwaan yang serius berkaitan isu perpaduan
di sekolah (Amir hasan b. Dawi, 2004). Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan
(NUTP) telah mendakwa berlaku pengasingan pelajar mengikut ‘kaum’ di sepuluh peratus
sekolah-sekolah Malaysia. Selain daripada dakwaan pengasingan mengikut ‘kaum’, NUTP

5

juga telah mendakwa 60,000 orang pelajar Melayu telah memasuki Sekolah Jenis Kebangsaan
Cina yang diragui akan menjejaskan peranan sekolah kebangsaan sebagai agen perpaduan.
Dakwaan ini telah menimbulkan polemik, konflik dan tuduh-menuduh terutamanya antara
NUTP dan Kementerian Pendidikan. Pada tahun 2002, Kementerian Pendidikan telah
menubuhkan satu Jawatankuasa Bebas untuk melakukan penyiasatan terhadap dakwaan yang
telah dilakukan oleh pihak NUTP.

Berdasarkan perkara yang telah dijelaskan, nyata sekali bahawa perpaduan berkaitan
bidang pendidikan merupakan isu yang perlu diambil perhatian secara serius. Pelbagai cara
yang telah dibuat seperti memainkan lagu-lagu kebangsaan yang melambangkan perpaduan
antara kaum serta dasar-dasar Negara yang sering menyentuh perpaduan antara kaum dilihat
tidak meninggalkan kesan yang menyeluruh ke dalam setiap tindakan kaum yang berbilang
bangsa ini.

Justeru, pendidikan dapat membentuk perpaduan dalam kalangan pelajar pelbagai etnik
merupakan isu yang perlu diberikan perhatian yang mendalam. Adakah semangat ‘perkauman’
masih menebal dalam kalangan golongan muda? Mengapakah pelajar-pelajar tidak mahu
bergaul berlainan etnik? Adakah benar terdapat pihak-pihak yang mengamalkan ‘perkauman’
dalam sistem pendidikan? Persoalan-persoalan ini memerlukan kajian yang menumpukan
perhatian kepada pendidikan untuk perpaduan dalam interaksi etnik dalam kalangan generasi
muda di sekolah dan cuba melihat perkaitan terhadap punca-puncanya. Keseluruhannya kajian
ini cuba menilai semula isu-isu pendidikan yang boleh membawa perpaduan dalam kalangan
etnik di peringkat golongan muda iaitu menurut perspektif mereka yang sedang berada di
sekolah menengah.

6

1.4 KEPENTINGAN KAJIAN

1. Sebagai sebuah negara multietnik, isu perpaduan berdasarkan etnik akan terus menjadi
agenda penting pada masa hadapan. Oleh itu, adalah sangat mustahak untuk menerokai
bidang ini sebagaimana dilakukan oleh negara-negara multiras yang telah maju.

2. Kajian pendidikan untuk perpaduan ini akan memberi gambaran kepada semua pihak
berkenaan impak dasar-dasar perpaduan melalui pendidikan yang telah dijalankan
sebelum ini.

3. Sebagai sumber maklumat kepada pihak yang memerlukan tentang isu-isu pendidikan
untuk perpaduan. Pihak-pihak yang bertanggungjawab di peringkat perancangan dasar
misalnya boleh memanfaatkan hasil kajian dalam penggubalan dasar-dasar pendidikan
yang bersangkutan dengan perpaduan dengan mengambil kira aspek-aspek mikro dan
makro.

4. Secara keseluruhan kajian ini sangat penting dalam usaha mengenal pasti kesan
pendidikan dalam mewujudkan perpaduan dalam kalangan generasi muda pada hari
ini. Pengetahuan tentang pola-pola etnisiti di sekolah menengah akan membantu
menggariskan dasar-dasar interaksi dalam pendidikan.

7

1.5 REKA BENTUK KUALITATIF DALAM KAJIAN

Berdasarkan analisis kajian-kajian lepas, maka kajian ini memilih untuk menggunakan kaedah
kualitatif kajian kes etnografi dalam mengumpul data . Kajian kes etnografi dijalankan di satu
tempat dan berbilang kes untuk mengetahui fenomena perpaduan secara mendalam. Kajian
etnografi adalah suatu bentuk penyelidikan lapangan yang menggabungkan pelbagai sumber
data dan dikumpulkan dalam tempoh yang agak panjang hingga menghasilkan sesuatu
kecelikan baru tentang fenomena yang dikaji (Gillborn, 1995). Pemilihan kajian ini adalah
selari dengan perkembangan kajian kualitatif dan etnografi dalam pendidikan. Di samping itu,
kajian kes etnografi sesuai untuk melihat sesuatu isu. Kajian kualitatif seperti ini perlu untuk
mendapatkan data-data yang dianggap sensitif secara mendalam.

1.6 TATACARA PEMEROLEHAN DATA

Kaedah pengumpulan data dalam kajian ini melibatkan kaedah pemerhatian, kaedah temu bual,
dan analisis dokumen yang berkaitan. Penggunaan ketiga-tiga kaedah tersebut digalakkan
dalam penyelidikan kualitatif untuk meningkatkan kesahan dan kebolehpercayaan dalam
dapatan (Merriam, 2002).

1.6.1 Kaedah Pemerhatian

Kaedah pengumpulan data secara pemerhatian memberi peluang kepada pengkaji mendapat
maklumat secara langsung terhadap program, proses atau sesuatu perkara yang ingin dikaji
dalam situasi semula jadi (Merriam, 2002). Bagi mendapatkan gambaran yang menyeluruh,
pengkaji membuat pemerhatian tentang latar tempat atau konteks, peranan yang dimainkan
oleh peserta kajian, kegiatan dan interaksi guru dan murid, dan perkara-perkara lain yang
terjelma semasa pemerhatian (Merriam, 2002).

Dalam kajian ini, pemerhatian yang dijalankan adalah pemerhatian yang tidak turut
serta. Pengkaji telah menempatkan diri di sudut yang bersesuaian dan bertindak memisahkan
diri daripada perkara yang dikaji iaitu dengan menjalankan pemerhatian dari jauh. Pengkaji
bertindak dengan membuat pemerhatian iaitu memerhatikan perkara-perkara yang berlaku
secara global, mendeskripsi secara menyeluruh, tepat dan terperinci serta cuba memberi fokus

8

kepada perkara yang mampu memberi makna kepada kajian, dengan membuat catatan
lapangan (descriptive fielnotes) berdasarkan protokol pemerhatian.

Seperti yang disarankan oleh Bogden dan Biklen (2007), selain daripada membuat
catatan lapangan secara menyeluruh dan terperinci terhadap perkara-perkara yang
diperhatikan, pengkaji juga membuat catatan reflektif (reflective fieldnotes) dan diberi
perhatian semasa pemerhatian dijalankan. Memo tersebut merupakan refleksi peribadi terhadap
perkara-perkara yang berlaku di tapak kajian ataupun penelitian secara berterusan terhadap
perkara yang terjelma semasa kajian tersebut dijalankan. Kesemua catatan lapangan, catatan
reflektif dan memo diberikan kod tertentu dan tarikh perkara ini dicatat bagi tujuan pengurusan
data.

Pengkaji tidak menetapkan bilangan atau kekerapan yang diperlukan untuk
menjalankan pemerhatian sebaliknya pengkaji berada di tapak kajian pada hari aktiviti bersama
dijalankan seperti aktiviti kokurikulum untuk melihat sendiri proses perpaduan dalam kalangan
pelajar sekolah terbabit. Selepas setiap kali pemerhatian dijalankan, pengkaji melengkapkan
serta menghasilkan ringkasan catatan dan membuat transkripsi daripada pemerhatian. Data
analisis awal membantu dalam meningkatkan kepekaan pengkaji selain daripada menghasilkan
soalan untuk ditemu bual dengan informan kajian pada peringkat seterusnya.

1.6.2 Kaedah Temu Bual

Dalam kajian ini, kaedah temu bual merupakan sumber yang membolehkan pengkaji
mengetahui dan memahami serta mendapatkan pengesahan tentang fenomena yang dikaji
(Merriam, 2002). Kaedah tersebut merupakan perbualan bertujuan yang memerlukan pengkaji
sama ada secara bersemuka secara individu atau berkumpulan dengan informan kajian bagi
mendapatkan maklumat atau penjelasan tentang sesuatu perkara (Merriam, 2002).

Temu bual formal dan tidak formal dilaksanakan bersama pelajar dan guru-guru yang
telah bersara dalam bidang pendidikan. Arksey dan Knight (1999) menyatakan bahawa temu
bual tidak berstruktur dan separa struktur merupakan teknik yang digunakan untuk
mendapatkan data-data berkaitan pandangan, pendapat idea dan pengalaman seseorang. Teknik
ini juga selaras dengan perkara yang dimaksudkan oleh Brewer (2000) bahawa kajian kualitatif
etnografi sesuai menggunakan temu bual tidak berstruktur (dan separa struktur) atau temu bual

9

secara mendalam kerana ia membuka ruang untuk mendapatkan makna sebenar dan
menghasilkan data-data secara mendalam berasaskan bahasa yang digunakan seharian. Soalan-
soalan adalah direka untuk menjawab persoalan kajian.

Selain daripada pemerhatian dan temu bual, dokumen-dokumen dan maklumat-
maklumat seperti laporan media dan aktiviti akademik pelajar telah dianalisis. Bentuk data
yang asas merupakan catatan-catatan, nota-nota lapangan, borang-borang senarai semak dan
rakaman temu bual. Interpretasi data melibatkan proses menulis transkripsi, meringkaskan
data, pengekodan dan analisis. Pengekodan sangat penting dalam analisis data. Pengekodan
dipandu oleh soalan-soalan kajian dan boleh membuka ruang untuk soalan-soalan baru
(Neuman, 2003). Akhir sekali, laporan kajian dipersembahkan dalam bentuk teks, grafik jadual
dan rajah. Ini bersesuaian dengan pandangan Neuman (2003) yang menyatakan bahawa
terdapat bentuk pelaporan kualitatif yang bertujuan memberi penjelasan secara mendalam,
mengikut konteks dan berkeupayaan menunjukkan proses kehidupan sosial yang kompleks.

1.7 MASYARAKAT MAJMUK DI MALAYSIA

Malaysia pada asalnya merupakan Semenanjung Tanah Melayu yang telah lama didiami oleh
etnik Melayu. Sejarah memang mengakui bahawa orang-orang Melayu adalah penduduk asal
atau sons of the soil Malaysia. Kegemilangan etnik Melayu dalam pelbagai bidang terserlah
pada zaman Kesultanan Melayu Melaka yang menjadi empayar yang besar di Asia Tenggara
pada abad ke-15. Pada zaman kegemilangannya, Melaka telah menjadi pusat ekonomi, politik,
keagamaan dan kebudayaan yang agung di rantau ini. Kegemilangan kerajaan Melayu mulai
berakhir setelah kedatangan penjajah-penjajah Barat yang dimulai oleh Portugis, diikuti oleh
Belanda dan Inggeris (Amir Hassan Dawi, 2004).

Pengkaji-pengkaji mempersetujui bahawa zaman penjajahan Inggeris sebagai satu
tempoh proses pembentukan penduduk multietnik berlaku dengan pesat. Tujuan dan keperluan
ekonomi kapitalis Inggeris telah membawa masuk imigran-imigran asing, terutamanya orang-
orang India dan Cina ke Tanah Melayu pada pertengahan abad 19 dan awal abad ke 20.
Kumpulan imigran ini dibawa masuk ke Tanah Melayu untuk mengusahakan kegiatan ekonomi
bagi sektor bijih timah dan getah. Kedatangan kumpulan imigran ini juga telah mempengaruhi
pola penempatan penduduk Malaysia pada zaman sebelum merdeka. Pola kegiatan ekonomi
orang Melayu yang menjalankan aktiviti pertanian menyebabkan mereka tinggal di kawasan

10

luar bandar, orang India tinggal di ladang getah sebagai buruh ladang dan orang Cina tinggal
di kawasan bandar menjalankan aktiviti perdagangan (Syed Husin Ali, 1984).

Pola taburan penduduk berdasarkan lokasi dan kegiatan ekonomi berterusan sehingga
Malaysia mencapai kemerdekaan. Setelah merdeka ramai daripada kumpulan, dan anak-anak
imigran yang tinggal di Tanah Melayu mahu terus tinggal di Tanah Melayu sebagai penduduk
tetap (Mohd Suffian hashim, 1976; Marimuthu, 1984; Mohd Aris, 1988). Menjelang
kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957, etnik Melayu telah membentuk 49.8 peratus
daripada penduduk, etnik Cina 37.2 peratus dan etnik India 11.3 peratus (Hock, 1987). Baki
penduduk lain adalah daripada kalangan etnik-etnik Bajau, Iban, Orang Asli, Arab, Armenian,
Eurasian dan lain-lain. Ringkasnya, dalam jangka masa lebih satu ratus lima puluh tahun
pemerintahan kolonial British di Malaysia masyarakat homogenis Melayu Tanah Melayu telah
mengalami transformasi kepada masyarakat hetergonis Malaysia yang mengandungi etnik-
etnik Melayu, Cina dan India sebagai komponen utamanya (Amir Hasan Dawi, 2002).

Furnivall, merupakan orang yang pertama merintis kepada pengembangan teori
masyarakat majmuk berdasarkan kajiannya di Indonesia dan Burma. Melalui penulisannya
konsep masyarakat majmuk telah digunakan khusus kepada masyarakat tropikal kolonial yang
berada di bawah kuasa penjajah, di mana pada masa itu wujud fenomena konflik dan
perpecahan di antara kelompok yang berlainan. Furnivall (1956) menjelaskan masyarakat
majmuk didefinisikan sebagai masyarakat yang “bercampur tetapi tidak bersatu”, di mana tidak
wujud kehendak sosial yang sama yang boleh mengikat pelbagai etnik yang mempunyai latar
belakang yang berlainan. Sebaliknya, hubungan antara etnik dalam masyarakat majmuk dapat
diikat bersama dan dicapai melalui tekanan kuasa luar, iaitu kuasa penjajah dan kuasa ekonomi.

Pada keseluruhannya, terdapat empat ciri utama masyarakat majmuk yang ditekankan
dalam tulisan Furnivall. Pertama, masyarakat majmuk yang dimaksudkan ialah masyarakat
tropika di bawah kuasa penjajah yang terdapat perpecahan dan konflik di antara kumpulan-
kumpulan etnik yang berbeza. Kedua, masyarakat majmuk itu terdiri daripada berbilang etnik
yang mempunyai asas primodial yang telah wujudnya perpisahan. Ketiga, masyarakat majmuk
itu cenderung diancam ketegangan dan pergaduhan di antara kumpulan-kumpulan etnik kerana
tidak wujud unsur-unsur atau nilai yang boleh didukung bersama. Keempat, masyarakat yang
berpecah dan terpisah itu diikat bersama oleh tekanan kuasa luar iaitu kuasa penjajah.

11

Idea Furnivall tentang masyarakat majmuk telah dibincangkan oleh Smith, 1965,
Marimuthu, 1988 dan Smolicz, 1997. Smith seorang ahli sosiologi telah menjalankan kajian
dan satu analisis tentang masyarakat majmuk. Smith menyatakan masyarakat majmuk sebagai
masyarakat yang mempunyai kepelbagaian budaya, perpecahan sosial dan perselisihan. Dari
segi kuasa politik masyarakat majmuk dikuasai oleh kumpulan majoriti yang mempunyai latar
belakang dan kebudayaan yang tersendiri. Kebudayaan yang diamalkan oleh kumpulan
majoriti ini dianggap dominan yang akan menjadi teras kepada pembentukan budaya nasional.

Malaysia juga menghadapi masalah etnisiti, seperti yang dinyatakan oleh Furnivall dan
Smith, terutama bersabit dengan isu-isu kewarganegaraan, budaya, bahasa, pendidikan, politik
dan ekonomi yang menyebabkan wujud perselisihan dalam kalangan masyarakat pelbagai
etnik. Sepanjang proses pembentukan masyarakat berbilang etnik, etnik-etnik imigran secara
majoriti tidak mengasimilasikan cara hidup mereka dengan penduduk peribumi (Arasaratnam
1979). Ketiga-tiga etnik terbesar mempunyai kebudayaan dan kepercayaan yang berbeza antara
satu sama lain. Bagi menjamin ketenteraman, keperluan untuk pemupukan pola interaksi sosial
perlu diberi keutamaan bagi mengurangkan jurang perbezaan di antara etnik. Berbagai-bagai
dasar dan aktiviti sosial yang menjurus kepada integrasi antara kaum disediakan dengan
harapan pelbagai etnik lebih mengenal corak kehidupan dan budaya etnik Melayu, Cina dan
India. Menurut George Simmel (1976), oleh sebab pemahaman latar belakang dan kebudayaan
di antara kumpulan etnik adalah berlainan, perpaduan dan interaksi sosial dalam kalangan
masyarakat majmuk harus ditingkatkan bagi mengurangkan perbezaan sama ada dari segi
bangsa, budaya, agama dan bahasa.

Dengan itu jelaslah perpaduan dan interaksi sosial dalam kalangan masyarakat majmuk
harus diberi keutamaan bagi menjamin proses pembinaan kebangsaan dan pembangunan
negara dalam kalangan generasi muda terutama yang berada di bangku sekolah bermula pada
peringkat tadika, sekolah rendah hingga ke sekolah menengah.

12

1.8 SEJARAH SISTEM PENDIDIKAN DI MALAYSIA

Malaysia merupakan negara yang pernah dijajah oleh negara asing bermula dengan penjajahan
Portugis, Jepun dan Inggeris. Pada masa pemerintahan penjajahan Inggeris, mereka telah
memperkenalkan sistem pecah dan perintah. Sistem pecah dan perintah ini telah mengasingkan
kumpulan-kumpulan etnik berdasarkan latar pekerjaan dan tempat tinggal. Majoriti besar
orang-orang Melayu tinggal di luar bandar serta bekerja sebagai petani dan nelayan, etnik India
tinggal di ladang-ladang menjadi buruh dan orang-orang Cina di kawasan bandar ataupun
kawasan perlombongan sebagai peniaga dan pelombong. Penduduk mempunyai kepelbagaian
dalam cara kehidupan seharian, berbeza dari segi bahasa, agama dan budaya. Apa yang berlaku
dalam masyarakat makro keseluruhannya telah diulangi berlaku di sektor pendidikan. Setiap
kumpulan etnik mempunyai sistem pendidikan yang tersendiri. Polisi kolonial adalah
komplemen kepada identifikasi etnik. Secara mudah dapat dibezakan sistem pendidikan zaman
penjajahan berdasarkan bahasa-bahasa yang digunakan. Ia adalah sekolah aliran berbahasa
Melayu untuk pendidikan etnik Melayu, aliran berbahasa Cina untuk pendidikan orang Cina,
dan aliran berbahasa Tamil untuk Imigran India dan sekolah Inggeris yang dianggap terbuka
untuk pendidikan semua etnik.

Sebelum kedatangan pemerintahan kolonial sistem pendidikan di Tanah Melayu adalah
berbentuk bukan formal dan tidak memberatkan perkembangan kognitif pelajar-pelajar. Corak
pendidikan pada masa itu menekankan pengajaran Al-Quran, tingkah laku, dan akhlak yang
baik, pengetahuan kerohanian dan seni mempertahankan diri. Ini termasuklah pelajaran awal
dalam bidang kraf tangan serta perintis dalam bidang pertanian, perikanan dan perburuan. Pada
peringkat yang lebih teratur terdapat satu sistem pendidikan agama yang di sebut ‘sekolah
pondok’ yang ditubuhkan oleh ulama-ulama Islam yang terkenal. Pelajar-pelajar yang
menuntut di madrasah agama ini akan tinggal di pondok yang dibina di sekelilingnya. Guru-
guru terdiri daripada tokoh-tokoh agama atau ulama tempatan yang bergelar ‘ustaz’. Di
sekolah-sekolah ini murid-murid akan memahirkan hukum-hakam Islam. Setelah tamat
pelajaran agama di pondok-pondok, mereka akan kembali ke kampung halaman masing-
masing menjadi guru agama. Terdapat juga yang melanjutkan pelajaran ke negara-negara Islam
seperti Arab Saudi dan Mesir.

Peringkat kedua dalam perkembangan sistem pendidikan di Tanah Melayu berlaku
semasa zaman penjajahan Inggeris. Pada peringkat ini, pendidikan di Tanah Melayu telah

13

dikelola, dikendalikan, dikawal dan diletakkan di bawah kuasa penjajah Inggeris tanpa
mempunyai satu falsafah yang konkrit atau Dasar Pendidikan Kebangsaan. Pentadbiran
pendidikan di Tanah Melayu semasa ini adalah mengikut dasar “pecah dan perintah” serta dasar
terbuka dan tiada campur tangan tentang pendidikan vernakular. Matlamat utama sistem
pendidikan penjajah ialah semata-mata untuk memberi pendidikan kepada segolongan rakyat
bagi membolehkan sebahagian mereka memenuhi tenaga dan ekonomi. Malah sekolah-
sekolah Melayu yang diasaskan pada abad ke 19 dan awal abad ke 20 hanya membolehkan
anak-anak Melayu terus kekal di desa dan mewarisi kemiskinan keluarga. Sekolah-sekolah
Melayu ini hanya mengajar cara-cara untuk berkebun, bertukang, bertani atau menjadi
penangkap ikan. Pendidikan Melayu tidak dapat mengubah cara hidup orang Melayu atau
menyumbang kepada mobiliti menegak dalam kalangan masyarakat Melayu. Pendidikan untuk
pelajar Melayu pada masa itu hanya sekadar melepaskan batu di tangga sahaja oleh kerana
terdapatnya perjanjian di antara perjanjian pihak Inggeris dengan pembesar tempatan. “Adalah
benar sehingga agak terlewat tiada usaha gigih dilakukan oleh pentadbir British menyediakan
pendidikan yang memuaskan orang-orang Melayu” (The British Council 1974: 3). Pemerintah
Inggeris tidak menganggap pendidikan sebagai satu pelaburan sebaliknya mereka
mengendalikan pendidikan sebagai satu kebajikan. Objektif pemerintah kolonial adalah bukan
hendak mengubah atau memajukan struktur sosial tetapi sekadar menjadikan keadaan struktur
sosial yang sedia ada itu sedikit efisien sahaja. Sekolah-sekolah berkenaan pada umumnya
memang tidak mendapat sambutan daripada keseluruhan orang Melayu. Kebencian kepada
penjajah, konflik, perasaan syak wasangka terhadap tujuan Inggeris mengkristiankan ataupun
sekurang-kurangnya mensekularkan orang-orang Melayu menghalang sebahagian daripada
mereka memasuki sekolah berkenaan. Mereka lebih rela pergi ke sekolah agama ataupun
langsung tidak bersekolah. Penduduk desa lebih dipengaruhi oleh sekolah-sekolah agama yang
memfokuskan kepada kesedaran dan pengekalan identiti Melayu dan perpaduan menentang
kuasa kolonial. Ringkasnya pendidikan zaman kolonial ialah hanyalah untuk menjaga
kepentingan mereka sendiri. Orang-orang Melayu tidak digalakkan ke bandar dan mereka cuba
memisahkan orang Melayu daripada kemajuan perbandaran dan perindustrian.

Dasar terbuka dan tidak campur tangan Inggeris dalam hal ehwal sosial kaum
pendatang menyebabkan wujudnya sekolah-sekolah Cina dan Tamil. Sekolah-sekolah ini
dikendalikan oleh masyarakat masing-masing tanpa bantuan daripada Inggeris sehinggalah
pada tahun 1920-an. Selaras dengan tradisi mengutamakan pelajaran dan mengekalkan budaya
serta identiti, masyarakat Cina mula bergiat menubuhkan sekolah Cina sejak abad ke 19.

14

Pendidikan Cina dalam jangka waktu yang panjang berada di tangan komuniti Cina sendiri dan
berlatar belakangkan sejarah perkembangan pendidikan di Negeri China (Purcell 1948).
Mereka mengusahakan pendidikan untuk komuniti Cina di seluruh Malaya dan Borneo (Wong
& Ee 1975; Thomas 1983). Tujuan pendidikan yang dibiayai oleh pemodal-pemodal Cina
terutamanya adalah untuk menyediakan pekerja untuk perusahaan dan perniagaan mereka.
Sehingga tahun 1919 terdapat sebanyak 56 buah sekolah cina di Negeri-negeri Selat dan
Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Philip 1975). Dasar tidak campur tangan Inggeris dalam
pendidikan vernakular menyebabkan perkembangan politik dan ekonomi negeri Cina
mempengaruhi sistem pendidikan masyarakat Cina di semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan
Sarawak. Guru-guru dan buku-buku dibawa masuk daripada tanah besar China. Sekolah-
sekolah ini adalah bermodelkan dan berorientasikan China yang “sepenuhnya China dari segi
bentuk dan pengisian” (Phang 1973: 18) dan keseluruhannya bercorak kecinaan (Philip 1975).
Pihak Inggeris membiarkan perkembangan sekolah-sekolah persendirian Cina selagi ia tidak
mengganggu autoriti mereka. Dasar pentadbiran Inggeris ini secara langsung dan tidak
langsung mewujudkan jurang pendidikan di antara anak-anak Melayu dan Cina. Setelah
revolusi dan penubuhan Republik Rakyat China pada tahun 1911, sikap anti Inggeris semakin
berkembang di sekolah-sekolah Cina.

Etnik India yang datang ke Tanah Melayu atas dasar kepentingan ekonomi Inggeris
majoritinya terdiri daripada mereka yang tidak berpelajaran. Mereka datang ke sini untuk
bekerja sebagai buruh-buruh perladangan khususnya di ladang-ladang getah. Sekolah Tamil
juga didirikan dan dikelolakan oleh masyarakat India sendiri. Pihak kerajaan atau majikan
ladang getah tidak memberi bantuan sama ada dari segi fizikal, kewangan dan pedagogi. Oleh
itu, sekolah-sekolah Tamil yang didirikan di ladang-ladang getah menghadapi beberapa
kekurangan dari segi kandungan kurikulum, tenaga pengajar dan pedagogi. Sekolah ini adalah
tidak berfungsi dan sebahagian besar pelajarnya akan kekal di ladang getah menjadi buruh
kasar. Inggeris tidak mempunyai dasar untuk membantu pendidikan orang-orang India di
Tanah Melayu. Oleh itu, pada peringkat awal badan-badan sukarela seperti mubaligh
berperanan mendirikan sekolah-sekolah untuk etnik India. Pada tahun 1923, negeri-negeri
Melayu Bersekutu telah meluluskan satu rang undang-undang. Satu peruntukan telah
dimasukkan ke dalam ordinan iaitu majikan ladang getah diwajibkan membina sekolah bagi
anak-anak pekerja mereka. Oleh itu, kebanyakan sekolah-sekolah India yang awal telah
didirikan di kawasan-kawasan ladang. Hampir keseluruhan sekolah-sekolah etnik India
menggunakan bahasa Tamil dan berorientasikan India. Kerajaan Inggeris tidak pernah

15

mengambil berat berkaitan dengan sekolah-sekolah Tamil hinggalah Perang Dunia Kedua.
Keseluruhannya sebelum kemerdekaan terdapat empat jenis sekolah India yang dikelolakan
oleh kerajaan, majikan ladang-ladang, mubaligh- mubaligh dan komuniti penduduk-penduduk
tempatan (Arasaratnam 1979).

Pendidikan yang disediakan oleh sekolah-sekolah Tamil secara relatifnya mempunyai
nilai sosial dan ekonomi yang rendah (EPRD 1981). Sekolah Tamil di ladang-ladang adalah
ala kadar sahaja. Pada amnya sekolah-sekolah didirikan untuk menjamin Inggeris mendapat
cukup tenaga buruh yang tetap dan murah. Bangunan-bangunan sekolah yang tidak selesa
selalu terdapat di tengah-tengah kawasan ladang. Keadaan ini telah memisahkan kanak-kanak
India daripada masyarakat dan dunia luar. Guru-guru tidak terlatih terdiri daripada kalangan
kerani-kerani, penyelia, mandur dan pekerja ladang sendiri (Arasaratnam 1979). Kehadiran
murid-murid juga tidak tetap kerana mereka juga menjadi sumber buruh bekerja di ladang-
ladang. Masa depan murid-murid India terbatas kerana tiada sekolah menengah untuk
melanjutkan pelajaran. Justeru keseluruhannya kehidupan mereka berakhir dengan
meneruskan kerja-kerja di ladang getah. Dasar pemerintahan kolonial terhadap perkembangan
pembangunan sekolah Tamil terus menambahkan lagi jurang pendidikan di antara tiga kaum
utama di negara kita iaitu Melayu Cina dan India.

Pendidikan Inggeris mula diperkenalkan di Tanah Melayu apabila Penang Free School
ditubuhkan pada tahun 1816. Pada pertengahan abad ke-19, mubaligh Kristian membantu
menubuhkan beberapa buah sekolah Inggeris. Kebanyakan sekolah ini ditubuhkan di kawasan-
kawasan bandar dengan bantuan kerajaan Inggeris seperti Singapore Free School (1824) dan
Malacca Free School (1826). Mubaligh-mubaligh Kristian memainkan peranan utama dalam
mengembangkan sekolah Inggeris di semenanjung, Sabah dan Sarawak yang sebahagiannya
bertujuan untuk kepentingan penyebaran agama Kristian. Pendidikan di sekolah-sekolah
Inggeris di adakan pada peringkat rendah dan menengah. Kurikulumnya bercorak kurikulum
School of Great Britain dengan tujuan mengeluarkan pegawai-pegawai tadbir rendah bagi
memenuhi keperluan kuasa, metropolitan British.

Sungguhpun semua kaum boleh memasuki sekolah Inggeris, namun peratusan besar
muridnya adalah daripada keturunan Cina. Ini sebahagian besar fakta sekolah-sekolah
berkenaan pada kebiasaannya berada di kawasan bandar di mana menjadi tempat tinggal
sebahagian orang-orang Cina. Ini juga kerana dasar pendidikan Inggeris yang cuba mengelak

16

menggalakkan terlalu ramai orang Melayu mendapatkan pendidikan berbahasa Inggeris,
sebagaimana yang dimaksudkan oleh Frank Swettenham, “adalah tidak wajar memberikan
ilmu pengetahuan kepada anak-anak petani kerana dibimbangi ilmu pengetahuan akan
menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan mereka” (Sadka 1968: 292). Ia juga
kerana “pendidikan Inggeris sepatutnya tidak melanggar keseluruhan semangat dan tradisi
Melayu” (Tham 1977: 101). Inggeris hanya membuka peluang kepada segelintir etnik Melayu
memasuki sekolah-sekolah ‘elit’ Inggeris seperti Maktab Melayu Kuala Kangsar untuk
menyediakan pegawai-pegawai peringkat pertengahan dan rendah.

Pada keseluruhannya sistem pendidikan zaman penjajahan Inggeris menunjukkan
bahawa ketiga-tiga kumpulan etnik utama – Melayu, Cina dan India, tidak berinteraksi antara
satu sama lain. Dasar penjajahan Inggeris tidak memungkinkan berlaku pertemuan antara
budaya di sekolah. Kebanyakan etnik Melayu menerima pendidikan di sekolah-sekolah
vernakular Melayu dan sekolah-sekolah agama. Di samping itu terdapat sekelompok kecil
bangsawan Melayu yang menerima pendidikan di sekolah-sekolah aliran Inggeris. Bagi etnik
Cina, mereka mempunyai sistem pendidikan sendiri yang berasaskan kebudayaan China dan
bahan-bahan yang didatangkan daripada negeri China. Begitu juga etnik India yang
diorientasikan dengan kurikulum dan guru-guru latihan India. Justeru pendidikan kolonial
Inggeris tidak mempunyai matlamat menyatupadukan etnik-etnik yang berbeza. Sebelum
kemerdekaan, sekolah-sekolah Melayu, Cina dan Tamil berbeza dari segi kualiti, kurikulum
dan orientasi budaya. Sekolah-sekolah Melayu, Cina dan Tamil mensosialisasikan kanak-
kanak untuk menjadi sama ada Melayu, Cina ataupun India. Mereka memindahkan pandangan
dunia masing-masing untuk mengekalkan budaya setiap kumpulan.

Sikap pentadbiran Inggeris yang mementingkan ekonomi mereka telah membiarkan
etnik-etnik tempatan dan pendatang mengikut haluan dan budaya masing-masing. Inggeris
tidak berhasrat untuk memajukan sistem pendidikan untuk semua. Oleh itu, sistem pendidikan
zaman kolonial Inggeris tidak memungkinkan sosialisasi antara kumpulan-kumpulan etnik,
sebaliknya menebalkan sikap etnisiti orang-orang Melayu, Cina dan Indi

17

1.9 9 KONSEP MASYARAKAT MULTIETNIK

Masyarakat majmuk atau plural society didefinisikan sebagai, “a society in which several
ethnic grouping coexist, each living in communities or region largely separate from the others”
(Giddens 1993: 759), atau “any society in which there exists a formal division into distinct
racial, linguistic or religious groupings. Such distinction may be horizontal or vertical” (Jary

& Jary 1995: 495). Berdasarkan definisi-definisi yang berkenaan, unsur utama yang

mewujudkan masyarakat majmuk ialah kehadiran etnik-etnik atau ras-ras yang berlainan

sebagai komponen sesuatu masyarakat. Maka dua istilah yang sering menjadi persoalan pokok
ialah perkataan ‘etnik’ dan juga perkataan ‘ras’. Ras atau kaum didefinisikan sebagai
“difference in human physical stock regarded as categorizing large numbers of individuals
together” (Giddens 1993: 760). Kumpulan etnik pula didefinisikan sebagai “a group of people
sharing an identity which arises from a collective of distinct history” (Jary & Jary 1995: 205).

Dalam membincangkan perbezaan antara ras (kaum) dan etnik, konsep ras akan
memerihalkan manusia berdasarkan ciri-ciri fizikal termasuklah warna kulit, bentuk rambut,
bentuk hidung dan aspek-aspek fizikal yang lain. Etnik pula akan membezakan manusia
berasaskan ciri-ciri kebudayaan seperti sistem kepercayaan, ekonomi, adat dan lain-lain ciri
budaya. Berdasarkan kepada definisi-definisi yang digunakan serta latar belakang sejarah
perkembangan penduduk Malaysia, perbezaan antara kumpulan-kumpulan di negara ini adalah
berdasarkan ciri-ciri kebudayaan. Oleh itu, akan menggunakan masyarakat Malaysia sebagai
masyarakat yang terdiri daripada berbilang etnik atau masyarakat multietnik.

1.10 KONSEP ETNIK

Isu etnik telah dibahaskan sejak sekian lama. Tujuan bahagian ini akan membincangkan konsep
etnik yang menjadi punca kepada wujudnya perpaduan. Berdasarkan kepada Kamus Dewan
Bahasa dan Pustaka mendefinisikan etnik adalah berkaitan dengan bangsa atau kaum manusia
yang hidup dalam sistem politik yang sama dengan amalan kepercayaan dan unsur yang
berbeza. Manakala ras pula ditaksirkan sebagai keturunan. Menurut Shamsul (2007), etnik
boleh didefinisikan sebagai sekelompok manusia yang mengamalkan budaya yang hampir
seragam meliputi adat resam, pakaian, bahasa dan kegiatan ekonomi. Etnik juga mempunyai
perkaitan dengan konsep ras dan bangsa yang mempunyai maksud yang berlainan. Etnik
dikelaskan melalui perbezaan budaya yang dicirikan seperti adat resam, pola keluarga, pakaian,

18

nilai estetika, orientasi politik, kegiatan ekonomi dan hiburan. Justeru daripada pandangan
beliau ini bolehlah dikatakan etnik adalah suatu konsep mengkategorikan kelompok manusia
berasaskan kepada sistem kehidupan yang diamalkan oleh sesuatu kelompok manusia.

Mengikut Ting Chew Peh (1985), dalam kumpulan etnik akan wujud rasa kekitaan dan
sub-budaya yang jelas di mana anggota-anggotanya merasa disatupadukan dengan sejarah,
nilai, sikap, dan tingkah laku yang sama. Ini juga dikenali sebagai stereotyping. Perasaan
keetnikan selalunya timbul secara semula jadi dan disertai dengan identiti yang mesti
dikekalkan. Dalam teori politik, etnik merujuk kepada kumpulan manusia yang mempunyai
tahap kesatuan dan perpaduan, terdiri daripada rakyat yang sedar atau separuh sedar tentang
persamaan asal-usul dan kepentingan mereka. Oleh itu kumpulan etnik lebih merupakan
kumpulan individu yang menyedari kewujudan masyarakat mereka berhubung sesama sendiri
dengan latar belakang pengalaman dan sejarah yang hampir sama. Cyntia Enlo (1973)
mencirikan masyarakat Malaysia sebagai bersifat nationality ethnicity, yang identiti kaumnya
terdiri daripada kelompok yang biasa ditemui di negara lain seperti kaum Cina dan kaum India.
Kemajmukan ini pula lebih kompleks kerana wujudnya perbezaan bahasa, agama, budaya, dan
perasan primordial yang tinggi di kalangan masyarakat tersebut.

Konsep etnik membentuk konsep etnisiti dan etnosentrisme. Etnisiti merujuk kepada
ras kekitaan sesuatu kumpulan etnik tertentu. Wujud satu kebudayaan atau sub budaya yang
jelas dan dapat menyatukan anggotanya berasaskan satu sejarah, nilai, sikap dan tingkah laku
yang sama. Penyatuan aspek-aspek ini menyebabkan pola pemikiran dan penilaian terhadap
sesuatu menjadi suatu yang kolektif oleh mereka yang berada di luar kelompok itu.
Etnosentisme pula adalah satu sikap atau kepercayaan bahawa kebudayaan sendiri adalah lebih
baik dan lebih tinggi nilainya daripada kebudayaan kelompok lain. Ia membawa kepada
perspektif atau pandangan bahawa budaya yang diamalkan oleh etniknya lebih baik berbanding
etnik lain.

Menurut Shamsul dan Mohamad Abu Bakar (1984), etnisiti adalah berkaitan dengan
pengukuhan anggota dalam suatu etnik dan meluaskan perbezaan nilai etnik lain. Contohnya
penggunaan agama Islam yang menjadi wadah dalam menyatukan orang Melayu. Orang
Melayu pada satu masa dahulu mengamalkan pelbagai amalan kepercayaan dan budaya dapat
disatukan oleh Islam. Kini, Islam telah menjadi penanda aras dan rujukan dalam kehidupan
orang Melayu. Justeru ia menunjukkan kepada kita bahawa konsep atau inti pati kepada etnisiti

19

adalah persamaan atau uniti yang ada dalam anggota etnik bagi membolehkan mereka bersatu
dalam satu identiti yang padu. Prinsip yang ada dalam konsep etnisiti ini dimajukan atau
digunakan dalam membentuk perpaduan kebangsaan yang melibatkan pelbagai kumpulan
etnik yang berbeza.

Faktor etnik membentuk satu ikatan yang kuat dalam kalangan anggota bagi
membentuk satu kerjasama yang kukuh untuk kepentingan bersama. Ikatan dan kerjasama yang
ada akan bertambah kuat apabila wujud persaingan untuk mendapatkan peluang-peluang
ekonomi dan politik yang dibawa oleh perubahan dan pembangunan (Sanusi,1994). Maka
dapat difahami bahawa ikatan etnisiti bukan hanya terbatas kepada persamaan ciri-ciri budaya
sahaja tetapi ia menjangkau kepada aspek harapan dan cita-cita yang akan dinikmati oleh suatu
kelompok secara bersama hasil daripada perpaduan yang ada dalam kalangan mereka.
Persamaan dan peluang etnisiti ini digunakan sebagai alat untuk merebut peluang yang telah
diperoleh dan meluaskan penguasaan etnik dalam suatu bidang yang telah dikuasai.

Manakala Welyne (1999), menyatakan etnisiti adalah konsep yang digunakan dalam
disiplin ilmu antropologi untuk pengurusan dan mengidentiti suatu kelompok masyarakat yang
dikaitkan dengan nilai dan kebudayaan sesuatu kelompok masyarakat. Beliau menjelaskan
konsep etnik merujuk kepada sekumpulan manusia yang dilahirkan dalam suatu kelompok,
hidup bersama-sama berkongsi nilai, budaya, pemikiran dan perasaan. Etnisiti pula adalah
kesedaran kendiri tentang perasaan persamaan yang ada dalam suatu kelompok dan merasakan
ia berbeza dengan kelompok yang lain. Oleh itu, terdapat elemen yang mewujudkan persamaan
atau perbezaan antara kelompok itu.

Berdasarkan kepada penjelasan dan pendapat yang diberikan oleh para sarjana dalam
perenggan terdahulu tentang konsep etnik dan etnisiti ia telah memberikan gambaran yang jelas
untuk difahami. Kedua-dua konsep ini mempunyai ikatan yang rapat dan tidak dapat
dipisahkan dalam usaha menjelaskan salah satu konsep tersebut. Apabila kita membicarakan
konsep etnik, kita juga mesti membicarakan konsep etnisiti bersama-sama sebagai pelengkap
dan begitu sebaliknya.

Kesimpulannya, konsep etnisiti adalah perasaan kendiri yang lahir dari dalam diri
individu yang membentuk perasaan kekitaan, perasaan dalam kalangan kelompok akibat
daripada persamaan ciri-ciri budaya yang akhirnya membentuk suatu yang bersifat kolektif

20

kepada kelompok itu. Kunci utama bagi konsep etnisiti adalah unsur-unsur persamaan yang
wujud akibat daripada ciri-ciri budaya yang menerbitkan perasaan kekitaan, semangat
penyatuan dan pengukuhan secara kendiri dalam sesuatu kelompok etnik.

21

1.11 KONSEP PENDIDIKAN

Pendidikan pada hakikatnya adalah suatu proses pembentukan perilaku manusia secara
intelektual untuk menguasai ilmu pengetahuan, secara emosional menguasai diri dan secara
moral sebagai pendalaman dan penghayatan nilai-nilai budaya yang tumbuh dan berkembang
dalam masyarakat. Secara etimologi pendidikan berasal dari kata “educare” dalam bahasa latin
yang bermaksud melatih atau mengajarkan. Educare berasal dari kata ex dan ducare, yang
bererti memimpin. Jadi pendidikan adalah suatu proses latihan di mana terdapat dua subjek
yang saling berhubungan iaitu orang yang memimpin dan orang yang dipimpin. Pendidikan
adalah kegiatan kemanusiaan atau disebut sebagai kegiatan “memanusiakan manusia”. Sebagai
kegiatan manusiawi, pendidikan membuat manusia membuka diri terhadap dunia (Kesuma,
2011).

Pendidikan merupakan suatu proses humanisasi yang bermaksud manusia akan lebih
bermartabat, berkarakter, terampil dan memiliki tanggungjawab terhadap sistem sosial
sehingga akan lebih baik dan aman (Khan, 2011). Kemajuan suatu bangsa terletak pada
karakter kebangsaan dan kewargaan dari warga bangsa dan masyarakat negara kerana karakter
menggambarkan jati diri kebangsaan dan kewargaan, menjadi ciri dasar perilaku yang
bersendikan nilai-nilai luhur dari suatu bangsa.

Pendidikan, mengikut Plato ialah suatu proses membentuk individu yang berakhlak
mulia. Menurut Jean Jacues Rousseau pula, pendidikan sebagai suatu proses yang berterusan
dan bermula dari masa kanak-kanak lagi. Dalam proses ini segala kebolehan semula jadi lahir
dengan sendirinya mengikut kehendak dan peraturan semula jadi (Mok Soon Sang, 2000:xvi).
Masyarakat dan pendidikan adalah bergerak seiring kerana pendidikan adalah acuan
membentuk insan.

22

1.12 KONSEP PERPADUAN

Perpaduan ialah penyatuan. Darjah serta jenis penyatuan akan dipamerkan dalam sesebuah
masyarakat ataupun kumpulan dan jiran mereka. Perpaduan merujuk kepada semua
perhubungan sosial yang mengaitkan manusia. Ibnu Khaldun menggunakan perkataan
“asabiyah” bagi menggambarkan perpaduan antara manusia dalam kumpulan masyarakat.
Asabiyyah wujud pada tamadun setiap tahap, daripada masyarakat nomad hinggalah ke tahap
negara dan empayar. Assabiyah amat kuat dalam fasa nomad, dan berkurangan apabila
tamadun itu bertambah maju. Menurut Shamsul Amri (2007), perpaduan boleh diertikan
sebagai proses yang menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota
masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaaan cinta dan
banggakan tanah air. Menurut Sufean Hussein (1996) pula perpaduan bermaksud menyatukan
etnik-etnik atau kelompok-kelompok yang terasing pada asalnya kepada satu bentuk lain yang
tersendiri. Bagi Mohd Salleh Lebar (1998), perpaduan yang diterima atau yang biasa
dikehendaki ramai adalah satu proses yang cuba menyatupadukan masyarakat majmuk atau
pelbagai kaum dan mewujudkan pula pembentukan kebudayaan kebangsaan atau nasional yang
tersendiri dalam kalangan mereka. Perpaduan boleh diertikan sebagai penyatuan etnik yang
berbeza pendapat, budaya dan agama bersatu di antara satu sama lain. Ia bukanlah satu perkara
yang mudah untuk dilaksanakan namun bukan perkara yang mustahil untuk dicapai jika ada
usaha dan kerjasama dari semua pihak. Perpaduan ini boleh berlaku dalam pelbagai cara
seperti dalam bidang kebudayaan, agama atau pendidikan.

23

BAB II

TINJAUAN LITERATUR

2.0 PENGENALAN

Bab ini membuat tinjauan literatur berkenaan perpaduan dalam bidang pendidikan. Ia
dimulakan dengan diskusi konsep pendidikan untuk perpaduan perspektif barat. Kemudian
dibincangkan pembentukan perpaduan dalam pendidikan di Malaysia, kajian-kajian lepas
tentang pendidikan dan perpaduan dan aspek teori yang digunakan dalam kajian ini

2.1 KONSEP MASYARAKAT DAN PENDIDIKAN PERSPEKTIF BARAT

Pendidikan ialah interaksi antara individu dengan individu lain atau interaksi antara individu
dengan kumpulan-kumpulan sosial tertentu. Tujuan interaksi ialah untuk perkembangan
individu dan seterusnya perkembangan masyarakat dan negara. Dalam konteks ini, pendidikan
diertikan sebagai satu proses, ‘sosialisasi’ atau permasyarakatan dalam jargon atau istilah
sosiologi (Robiah Sidin, 1993). Menerusi proses ini, pendidikan yang diberikan, sama ada
secara terancang mahupun tidak, yang diatur secara formal mahupun informal, diharap dapat
membentuk perkembangan keseluruhan individu dan kumpulan-kumpulan individu.

Bagi konsep perpaduan pula boleh diertikan sebagai satu proses yang menyatupadukan
seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu
identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan tanah air (Shamsul Amri, 2007).
Perpaduan juga dikaitkan dengan tujuan politik sesebuah negara, iaitu cuba membentuk sebuah
negara yang aman damai, walaupun warganegaranya terdiri daripada pelbagai kaum. Usaha
untuk membentuk semangat cintakan negara, dan inginkan kedamaian dan kemakmuran untuk
semua ini perlu disemai dan dipupuk sejak dari keci lagi apabila kanak-kanak mula bersekolah.
Ini kerana pendidikan sebagai satu alat yang digunakan untuk mencapai satu hasrat kenegaraan.
Unesco (1973), menekankan bahawa matlamat pendidikan ialah untuk membawa kepada
tujuan akhir yang lebih luas iaitu ke arah perubahan dan transformasi sosial. Laporan Kabinet

24

(ibid:3), ada menyentuh tentang aspek ini iaitu tujuan pendidikan ialah untuk melahirkan
sebuah masyarakat yang berdisiplin dan matlamat ini adalah ke arah matlamat kenegaraan.

Durkheim (1956), melihat sejarah perkembangan pendidikan adalah berkait secara
langsung kepada perubahan-perubahan idea dan keperluan dalam masyarakat. Beliau percaya
bahawa kewujudan institusi pendidikan adalah untuk mempromosi dan mengekalkan ikatan
sosial dan perpaduan. Pendidikan bukanlah untuk membentuk potensi dan kebolehan individu
bagi dirinya tetapi adalah untuk kepentingan masyarakat. Masyarakatlah yang menentukan
baik atau buruk sesuatu perkara. Oleh itu, individu perlu mengikuti apa yang dikehendaki oleh
masyarakat. Pendidikan secara saintifik menjalankan fungsinya mengembangkan nilai-nilai
dan keupayaan intelektual yang diperlukan oleh kanak-kanak untuk menjalankan peranan-
peranan dalam masyarakat. Justeru, kandungan pendidikan mestilah disesuaikan dengan
kemahuan-kemahuan masyarakat. Dalam pendidikan intelektual, idea-idea tentang berbagai-
bagai-bagai konsep seperti sebab dan akibat, undang-undang, ruang, sistem nombor,
penghidupan dan sebagainya adalah disediakan oleh masyarakat. Ini bermakna bahawa
pendidikan akan memuaskan kehendak-kehendak masyarakat. Sekolah mesti memberikan
gambaran kepada kanak-kanak tentang masyarakat yang bakal disertainya. Sekolah mesti
mengamalkan cara hidup komuniti untuk menyediakan kanak-kanak kepada masyarakat yang
lebih besar. Murid-murid perlu didedahkan tentang kehendak-kehendak masyarakat mereka.
Menurut Durkheim (1956), pendidikan merupakan penerapan pengaruh generasi dewasa
kepada mereka yang memasuki era baru dalam kehidupan sosial. Mereka yang didik adalah
dikehendaki mempelajari dan mempraktikkan nilai-nilai dan keperluan-keperluan
sebagaimana yang dikehendaki oleh generasi yang lebih awal.

Karl Marx beranggapan bahawa ekonomi merupakan penentu utama dalam
pembentukan dan perkembangan struktur sosial. Asas atau struktur masyarakat ialah ekonomi
sementara hal-hal yang bukan ekonomi seperti agama, keluarga, pendidikan dan politik
merupakan superstruktur. Sebelum manusia dapat melaksanakan peranan atau fungsi
superstruktur, mereka perlulah terlebih dahulu memenuhi keperluan ekonomi. Justeru, menurut
Karl Max masyarakat akan berada dalam keadaan berubah-ubah, berkonflik dan sentiasa ingin
menguasai di antara satu sama lain serta ingin memperjuangkan kepentingan masing-masing.
Kumpulan yang kuat atau lebih berkuasa boleh memaksa kumpulan yang lemah untuk
menerima nilai-nilainya. Dalam dunia pendidikan Karl Marx melihat pendidikan sebagai alat
untuk membentuk susun lapis masyarakat mengikut orang yang berkuasa atau yang

25

mempunyai status yang tinggi. Oleh itu, fungsi pendidikan dalam pendekatan ini ialah memberi
keutamaan pengajaran kepada golongan atasan atau tertentu sahaja termasuk dalam dan luar
bilik darjah (Collins, 1971).

Herbert Spencer (1903), melihat masyarakat bukan sebagai satu kelompok individu
tetapi sebagai satu organisma yang hidup dan mempunyai keperluan hidup masing-masing.
Spencer juga turut menyatakan konflik dan perubahan adalah perlu dalam sesuatu proses
evolusi. Ini mungkin kerana setiap konflik yang berlaku harus ada jalan penyelesaiannya dan
dengan cara itu evolusi masyarakat akan sentiasa berterusan. Misalannya kerajaan tidak perlu
campur tangan membantu mana-mana kumpulan dalam proses perubahan semula jadi. Dengan
cara itu mereka yang tahan atau sesuai akan terus wujud dan mereka yang tidak tahan akan
pupus. Dalam konteks masyarakat Malaysia pula, etnik yang lemah dalam perniagaan tidak
perlu dibantu oleh kerajaan, biarkan mereka yang kuat terus berjaya sementara yang lemah
terus mundur.

John Dewey (1952), mentakrifkan pendidikan sebagai satu proses perkembangan
individu. Pendidikan juga merupakan satu bentuk usaha untuk mengatur ilmu pengetahuan
untuk menambahkan lagi pengetahuan semula jadi yang ada pada seseorang individu, supaya
dapat hidup dengan lebih berguna dan selamat. Menurut Dewey, pendidikan di sekolah adalah
merupakan sebahagian kehidupan harian murid. Maka, sekolah bukan sahaja tempat untuk
memperoleh ilmu pengetahuan, tetapi juga tempat untuk murid bekerja dan hidup secara
bermasyarakat. Sebagai masyarakat kecil, sekolah hendaklah berperanan untuk mendorong
kerjasama dalam kalangan anggota-anggotanya, di samping mengamalkan kepimpinan yang
demokratik dalam pengurusan dan pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

2.2 PEMBENTUKAN PERPADUAN DALAM PENDIDIKAN DI MALAYSIA

Usaha pertama ke arah menggalakkan perpaduan antara murid pelbagai etnik melalui
pendidikan dinyatakan dalam Laporan Barnes atau Barnes Report (1950). Laporan Barnes
telah menjadi penggerak perubahan kedudukan pendidikan orang Melayu kerana telah bangkit
kesedaran nasionalisme selepas tamat Perang Dunia II pada tahun 1946 (Shahril@ Charil
marzuki & Habib Mat Som, 1999). Laporan Barnes mencadangkan penubuhan dua sistem
persekolahan sahaja di peringkat sekolah rendah iaitu sekolah Inggeris dan bahasa Melayu
yang akan mencerminkan identiti kebangsaan. Bahasa Inggeris dan bahasa Melayu akan

26

digunakan sebagai bahasa pengantar. Sekolah-sekolah Inggeris akan dibiayai secara sepenuh
oleh kerajaan dan berikutnya dikenali dengan sekolah kebangsaan atau National Schools.
Sekolah Cina dan Tamil dicadangkan supaya dimansuhkan secara berperingkat-peringkat.
Bagaimanapun bahasa Cina dan bahasa Tamil dicadangkan supaya dimansuhkan secara
berperingkat-peringkat. Bagaimanapun bahasa Cina dan bahasa Tamil akan diajar sebagai satu
mata pelajaran di sekolah-sekolah kebangsaan.

Laporan Barnes adalah penting kerana buat pertama kalinya satu kenyataan telah dibuat
mengenai pendidikan yang patut memainkan peranannya bagi mengurangkan jurang perbezaan
kaum dan mengintegrasikan semua kaum ke arah satu negara yang bersatu padu. Laporan
Barnes yakin bahawa sekolah-sekolah Inggeris boleh digunakan untuk mencapai integrasi
sosial. Dalam laporan ini, Barnes mencadangkan sistem pendidikan kebangsaan sekolah rendah
mengikut sistem bilingual, iaitu menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, sementara
di sekolah menengah hanya menggunakan bahasa Inggeris. Minat untuk menjadikan bahasa
Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah menengah sebagaimana yang
dicadangkan oleh Laporan Barnes merupakan langkah kerajaan British mengurangkan
ketegangan dalam masalah pendidikan. Walaupun langkah kerajaan British adalah untuk
mengurangkan ketegangan tetapi sebaliknya penduduk Tanah Melayu terutama orang Melayu
tidak bersetuju dan menentang penggunaan bahasa Inggeris sebagai alat menyatupadukan
rakyat.

Laporan Barnes ternyata berusaha untuk mengurangkan sistem persekolahan pelbagai
kaum yang menghalang proses pola integrasi sosial antara murid pelbagai etnik dan perpaduan
dalam kalangan rakyat. Sungguhpun Jawatankuasa Barnes mempunyai rasionalnya apabila
mencadangkan penubuhan sekolah-sekolah kebangsaan dan dalam pemilihan bahasa Inggeris
dan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan sebagai bahasa yang sesuai bagi
mengintegrasikan semua kaum, cadangan ini mendapat tentangan hebat dari kaum Cina yang
melihat tindakan tersebut sebagai satu usaha sengaja untuk menghancurkan bahasa dan
kebudayaan Cina. Jelas menunjukkan usaha untuk mengintegrasikan etnik di Tanah Melayu
telah diusahakan sejak tahun 1950an lagi. Walau bagaimanapun usaha-usaha ini terhenti
sekerat jalan kerana ada bangkangan daripada golongan imigran lain yang mahu kekalkan
sekolah-sekolah etnik.

27

Sebagai satu jalan tolak ansur, pada Januari 1951, kerajaan telah membentuk satu lagi
Jawatankuasa yang diketuai oleh William Fenn, seorang pendidik Cina dan Wu Teh Yao
seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengkaji sistem persekolahan
vernakular Cina serta mendapat pandangan masyarakat orang Cina terhadap pendidikan Cina
di negara ini. Jawatankuasa Fenn-Wu menjelaskan bahawa masyarakat Cina mahu status
sekolah Cina dikekalkan dan murid-murid Cina sanggup belajar tiga bahasa iaitu bahasa Cina,
bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Laporan Barnes dan Fenn-Wu mempunyai falsafah yang berbeza membangkitkan
secara terbuka perbahasan jenis pendidikan yang sesuai bagi Tanah Melayu. Perbezaan yang
ternyata ialah cara-cara untuk mencapai matlamat sebuah negara Tanah Melayu. Laporan
Fenn-Wu misalnya, menyatakan jika Tanah Melayu bermatlamat politik dan semua rakyat
Tanah Melayu dapat dilibatkan secara logik, semua sekolah patut dinilai secara kritis
sumbangan-sumbangan ke arah kesatuan politik dalam kalangan penduduk pelbagai etnik.
Laporan Fenn-Wu bercanggah dengan Laporan Barnes yang mencadangkan penubuhan satu
corak sekolah kebangsaan yang merentasi ciri-ciri semua kaum. Laporan Fenn-Wu menyokong
supaya sistem persekolahan majmuk dikekalkan dan menekankan keperluan untuk memberi
pengiktirafan kepada bahasa Cina selain bahasa Melayu dan Inggeris. Kedua-dua laporan ini
dikaji semula oleh Jawatankuasa Penasihat Pusat Pelajaran yang kemudian telah menyerahkan
laporan ini kepada Jawatankuasa Khas untuk dipertimbangkan dan memperakukan kepada
kerajaan untuk perundangan yang sesuai. Hasil kesemua laporan yang telah dibincangkan ialah
Ordinan Pelajaran 1952.

Pada dasarnya, Ordinan Pelajaran 1952 berusaha untuk mengurangkan jurang
perbezaan yang terdapat dalam sistem persekolahan di Tanah Melayu dengan menjadikan
bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sahaja sebagai bahasa pengantar di sekolah. Laporan
Barnes telah mencadangkan dua jenis sekolah kebangsaan dan kanak-kanak dari semua
keturunan pelajaran percuma selama enam tahun dengan menggunakan bahasa-bahasa rasmi
iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Di samping itu, kemudahan akan disediakan untuk
murid-murid Cina dan India di sekolah-sekolah kebangsaan untuk mempelajari bahasa Cina
dan bahasa Tamil. Ordinan Pelajaran 1952 juga mendapat tentangan daripada orang Cina yang
mahu sistem persekolahan vernakular dikekalkan dengan bahasa-bahasa Inggeris, Melayu,
Cina dan India sebagai bahasa pengantar. Ordinan Pelajaran 1952 gagal dilaksanakan kerana
Laporan Barnes telah banyak mempengaruhi Ordinan berhubung dengan dasar bahasa di

28

sekolah-sekolah. Dasar bahasa telah menimbulkan tentangan yang hebat daripada masyarakat
Cina apabila mendapati tidak terdapat sebarang cadangan untuk meletakkan bahasa Cina ke
dalam sistem pendidikan yang hendak dibentuk. Dengan itu, usaha pertama untuk
mengintegrasi semua kaum di bawah satu sistem pendidikan di peringkat sekolah rendah telah
menghadapi pelbagai halangan dan tentangan. Memorandum tersebut meminta Kerajaan
Persekutuan supaya menarik balik Ordinan 1952 yang dianggap sebagai bertujuan untuk
menghapuskan semua sekolah Cina. Sebaliknya memorandum tersebut mencadangkan supaya
sistem persekolahan majmuk yang telah dibentuk dikekalkan dengan bahasa-bahasa Inggeris,
Tamil, cina dan Melayu dijadikan bahasa pengantar.

Tentangan orang-orang Melayu terhadap Ordinan Pelajaran 1952 telah dipelopori oleh
Kesatuan Persekutuan Guru-Guru Melayu Semenanjung. Pada asasnya kesatuan tersebut
meminta supaya taraf sekolah-sekolah Melayu ditingkatkan dengan menjadikan bahasa
Melayu sebagai bahasa rasmi dan taraf guru-guru sekolah Melayu ditingkatkan. Walau
bagaimanapun isu-isu berkaitan Ordinan Pelajaran 1952 dipendamkan dalam parti politik
masing-masing kerana pilihanraya Persekutuan akan diadakan dan Parti Perikatan merasakan
bahawa isu ini boleh menyebabkan perpecahan.

Pembentukan dasar pelajaran kebangsaan yang menekankan kepada pendidikan
sebagai instrumen untuk mencapai perpaduan negara, pembangunan ekonomi dan integrasi
sosial telah bermula melalui Penyata Razak 1956. Laporan Razak telah menjadi asas dalam
penggubalan Ordinan Pelajaran 1957. Laporan Razak mengisytiharkan kepentingan perpaduan
dalam kalangan rakyat berbilang etnik. Ini termaktub dalam Laporan Razak (1956:12) iaitu:

“Tujuan dasar pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud
hendak menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di
dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran
yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa
kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar, walaupun
perkara ini tiada dapat dilaksanakan dengan serta-merta
melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur”.

Kenyataan di atas menjelaskan matlamat Laporan Razak untuk mengintegrasikan semua
bangsa di Tanah Melayu melalui penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Di
samping itu, Laporan Razak juga mencadangkan kurikulum yang sama dan “bercorak Tanah
Melayu” bagi semua sekolah termasuk sekolah Cina dan Tamil. Bagaimanapun Laporan Razak

29

tidak menghalang kewujudan sekolah rendah Cina dan Tamil. Sekolah-sekolah rendah Cina
dan Tamil dibenarkan berterusan. Cadangan ini merupakan satu tolak ansur untuk
mengekalkan perpaduan semua kaum di negara ini memandangkan Tanah Melayu dalam
proses mendapat kemerdekaan. Selain itu, dalam Laporan Razak sekolah rendah masih
disegrigasikan mengikut aliran–aliran tertentu dengan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar
di sekolah-sekolah ini sehingga sekarang. Laporan Razak dengan jelas memberi penekanan
kepada perpaduan negara sebagai satu matlamat yang perlu dicapai. Ini bermakna bahawa
unsur-unsur dan nilai-nilai perpaduan dijadikan teras dasar pendidikan kebangsaan untuk
menjamin kesejahteraan dan kepentingan masyarakat Tanah Melayu yang terdiri daripada
pelbagai kumpulan etnik.

Semenjak Laporan Razak, penyata-penyata pendidikan selepasnya sentiasa mengambil
perhatian kepada langkah perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang etnik. Pada tahun 1960,
Penyata Razak telah dikaji semula oleh Penyata Rahman Talib. Hasil daripada semakan
Penyata Rahman Talib, kurikulum sekolah telah disesuaikan dengan keadaan dan keperluan
negara. Satu usaha yang bersungguh-sungguh telah dilakukan untuk menyemak dan
memperbaharui sukatan pelajaran supaya dapat membantu dan memupuk kepentingan
kerakyatan Malaysia. Di antaranya ialah mata pelajaran Tatarakyat. Mata pelajaran Tatarakyat
telah diwajibkan pengajarannya. Antara kandungan penting yang dititik beratkan dalam mata
pelajaran ini ialah memahami keadaan masyarakat dan pembentukan toleransi, kerjasama dan
kesefahaman bagi membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk.

Penyata Razak dan Penyata Rahman Talib telah menjadi asas kepada Akta Pendidikan
1961. Akta pendidikan 1961 telah menjadi landasan kepada sistem pendidikan kebangsaan
yang mempromosikan pembangunan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik. Dalam Akta
Pendidikan 1961, bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu telah dikukuhkan sebagai bahasa
pengantar di sekolah-sekolah sebagai alat mencapai perpaduan. Namun dalam masa yang sama
penggunaan bahasa Tamil dan Cina dibenarkan di sekolah-sekolah jenis kebangsaan. Pada
tahun1967 kerajaan telah meluluskan Akta Bahasa Kebangsaan yang mengesahkan Bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan dengan memberi jaminan kebenaran penggunaan bahasa-
bahasa yang lain. Ringkasnya setelah Laporan Razak sistem persekolahan selepas
kemerdekaan diseragamkan dari segi bahasa pengantar, kurikulum, buku-buku teks,
peperiksaan, latihan perguruan dan aktiviti-aktiviti kokurikulum. Ia merupakan usaha
membentuk sentrik Malaysia.

30

2.3 KAJIAN-KAJIAN PERPADUAN DALAM PENDIDIKAN DI MALAYSIA

Kajian-kajian perpaduan dalam konteks pendidikan yang pernah dilaksanakan di Malaysia
telah banyak dilakukan. Antaranya ialah kajian daripada Ahmad Fawzi Basri et al. (1987) yang
telah mengkaji secara mengumpul keratan-keratan akhbar awal 1980-an dan membukukannya
dengan diberi tajuk, “Perpaduan Nasional: Cabaran, Pencapaian dan Masa Depan”. Keratan-
keratan yang dikumpul oleh mereka adalah yang berkaitan persoalan-persoalan perpaduan dan
perpecahan rakyat seperti isu-isu perkauman, polarisasi, integrasi dan asimilasi.

Fakulti Pendidikan, UKM pula telah melaksanakan kajian bertajuk “The Process of
National Integration in the Educating Setting” (Faculty of Education 1989) yang bertujuan
untuk mengetahui sejauh manakah pelaksanaan dasar sistem pendidikan kebangsaan berjaya
membentuk sikap yang positif terhadap perpaduan kebangsaan dalam kalangan murid-murid
sekolah menengah di Malaysia. Kajian ini cuba melihat fungsi pembuat dan pelaksana dasar
dalam mengukuhkan atau sebaliknya dasar pendidikan itu. Kajian menyimpulkan bahawa
proses integrasi memang berlaku di sekolah namun ia berlaku secara perlahan. Kajian
menyatakan bahawa pelajar sekolah sanggup berinteraksi dengan etnik berlainan tetapi
memilih etnik sendiri sebagai sahabat karib.

Kajian Adnan @ Nan kamis (1992), telah menjalankan kajian tentang Latar Belakang
Sosial dan Hubungannya dengan Sikap Prasangka atau Toleransi Terhadap Integrasi Nasional
di Sekolah . Beliau merumuskan bahawa latar belakang sosial lebih memupuk sikap toleransi
mengatasi prasangka perkauman berdasarkan petunjuk-petunjuk tertentu. Kajian mendapati
memang terdapat hubungan yang positif antara latar belakang sosial dengan sikap toleransi
terhadap integrasi nasional.

Seterusnya, Isahak Haron (2001) telah mengkaji tentang perbezaan pencapaian pendidikan
antara pelajar-pelajar bumiputera dengan bukan bumiputera. Beliau telah merumuskan prestasi
pelajar-pelajar bukan bumiputera di peringkat sekolah sangat ketara lebih baik berbanding
dengan pelajar bumiputera dari segi kualiti dan kuantiti. Isahak Haron dalam laporannya juga
telah mengatakan pola pencapaian juga berlaku di peringkat universiti apabila pelajar bukan
bumiputera lebih tinggi gred pencapaian berbanding pelajar bumiputera.

31

Kajian oleh Jawatankuasa Bebas Siasatan Isu Pengasingan Pelajar Mengikut Kaum di
Sekolah, Kementerian Pendidikan (2002) juga telah dilaksanakan untuk menentukan sejauh
mana kebenaran dakwaan NUTP bahawa telah berlaku pembahagian bilik darjah mengikut
kaum di sekolah. Keseluruhan siasatan telah menafikan dakwaan-dakwaan NUTP. Laporan
juga telah menafikan adanya pertambahan mendadak pelajar-pelajar Melayu memasuki SRJK.
Mengikut laporan berkenaan, tujuan memupuk perpaduan kaum di Sekolah Kebangsaan adalah
sukar kerana bilangan pelajar Melayu yang terlalu kecil. Di Sekolah Menengah Kebangsaan
komposisi pelajar berbilang ‘kaum’ adalah lebih menggalakkan dan kelas-kelas monoethnic
kecil bilangannya. Sekolah sentiasa memberi perhatian terhadap perpaduan kaum dan
pengasingan pelajar adalah dilakukan berasaskan merit, kesesuaian jadual waktu dan untuk
keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Penganugerahan mengikut merit juga
dibuktikan dengan terdapatnya perlantikan ketua pengawas dan pengawas bukan Melayu
walaupun majoriti murid sekolah adalah Melayu. Namun laporan mengakui bahawa ia tidak
dapat menjawab tentang sikap perkauman guru-murid seperti adanya guru yang melarang
pelajar berkawan dengan kaum lain di mana laporan menganggap situasi berkenaan sebagai
prejudis individu.

32

2.4 PERSPEKTIF TEORI DALAM PENDIDIKAN

Jika ditinjau perspektif teori-teori sosiologi (Amir Hasan Dawi, 2002), teori fungsionalisme
melihat bahawa sistem pendidikan negara kita mempunyai fungsi-fungsi yang
mengharmonikan masyarakat. Dasar-dasar yang dirancangkan dikatakan adalah ke arah
masyarakat yang bersatu padu. Namun begitu terdapat isu bilamana dasar-dasar berkenaan
tidak mencapai sepenuhnya hasrat yang telah dimatlamatkan. Matlamat perpaduan tidak dapat
dicapai apabila masih diperkatakan wujud polarisasi dalam masyarakat. Untuk menghuraikan
polarisasi etnik, teori konflik pula selalu mengaitkannya kepada punca-punca ekonomi, status
dan kuasa. Dasar yang terlalu mementingkan ekonomi akan menyebabkan ketidakseimbangan
sosial. Penumpuan kepada kecemerlangan akademik misalnya akan menyebabkan pengabaian
perpaduan (Amir Hasan Dawi, 2004).

Sosiologi interaksionisme selalu menekankan kepentingan simbol dan makna sebagai
komponen asas dalam memahami bagaimana kehidupan sosial dibentuk dan berlangsung.
Perspektif interaksionisme melihat seorang individu akan mula mengalami proses sosialisasi
sebaik sahaja dilahirkan. Semenjak kecil kanak-kanak akan berinteraksi dengan agen
sosialisasi yang awal iaitu keluarga. Mereka dibentuk mengikut acuan keluarga masing-
masing. Dalam konteks penduduk multietnik di Malaysia setiap etnik mempunyai cara
tersendiri membesarkan anak-anak. Mengikut pandangan sosiologi interaksionisme, sosialisasi
yang diterima dalam keluarga akan membentuk konsep diri individu.

Kanak-kanak kemudiannya akan dihantar ke sekolah. Di peringkat sekolah rendah,
terdapat tiga aliran utama iaitu aliran Melayu, aliran Cina dan aliran Tamil. Apabila memasuki
sekolah menengah, majoriti murid-murid akan mengikuti aliran kebangsaan. Sebagaimana
yang dinyatakan, salah satu peranan penting sistem persekolahan ialah memupuk perpaduan
dalam kalangan etnik yang berlainan. Di sini guru berperanan sebagai agen sosialisasi untuk
mencapai hasrat sistem pendidikan. Namun mengikut teori konsensus mungkin tidak sentiasa
tercapai. Di sekolah menengah yang mempunyai pelbagai etnik, mungkin wujud konflik antara
pelajar-pelajar berlainan etnik. Begitu juga konflik etnik mungkin terus berlaku di peringkat
universiti (Amir Hasan Dawi, 2004).

33

2.5 PENDEKATAN TEORI DALAM KAJIAN

Kajian Pendidikan Untuk Perpaduan ini boleh dihuraikan melalui Teori Fungsionalisme.
Antara tokoh utama yang mendukung teori ini ialah Emile Durkheim, Talcott Parsons, Robert
Merton dan Jeffrey Alexander. Teori Fungsionalisme ini mengkaji perlakuan sosial atau
institusi dalam kegiatan-kegiatan yang menyumbang kepada penerusan masyarakat.
Masyarakat sebagai tubuh badan manusia yang mempunyai bahagian dan fungsinya yang
tersendiri. Ia boleh dihuraikan sebagai suatu organisasi sosial dan bagaimana organisasi itu
dikekalkan.

Menurut teori ini, struktur-struktur sosial akan menentukan kelancaran perjalanan atau
keharmonian masyarakat. Brinkerhoff dan White (1989), telah merumuskan bahawa terdapat
tiga andaian utama ahli-ahli fungsionalisme iaitu stabiliti, harmoni dan evolusi. Stabiliti akan
menentukan setakat mana sesuatu masyarakat itu dapat dipertahankan. Harmoni pula merujuk
kepada semangat kerjasama dalam masyarakat untuk mencapai sesuatu matlamat. Evolusi pula
digambarkan bagaimana perubahan berlaku terhadap masyarakat akibat daripada
pembaharuan. Sebagai rumusannya, teori ini menekankan kepentingan persefahaman anggota
masyarakat demi keharmonian dan kestabilan masyarakat berkenaan.

Teori Fungsionalisme turut menjelaskan bahawa ahli masyarakat dan institusi dalam
sesebuah komuniti itu saling bergantung antara satu sama lain. Dalam pendidikan misalnya,
pelajar akan bergantung pada guru untuk mendapatkan ilmu, guru bergantung pada kurikulum
yang akan mereka gunakan untuk mengajar dan kurikulum pula dibentuk oleh mereka yang
bertugas di Jabatan Kurikulum. Ia berfungsi untuk memastikan masyarakat bergerak.
Tujuannya adalah untuk mencapai keharmonian dalam masyarakat dan kestabilan negara.
Pendekatan fungsionalisme boleh disamakan seperti bahagian anggota badan yang mempunyai
peranan masing-masing dan setiap anggota itu bergantung di antara satu sama lain untuk
berfungsi. Teori ini juga turut mengandaikan segala yang dilakukan oleh sekolah dipersetujui
oleh semua pihak dalam masyarakat. Melalui persetujuan inilah wujud keadilan dan
keharmonian dalam sistem persekolahan, hubungan baik di antara murid dan guru, dan ibu
bapa dan sekolah. Semua pihak yang terlibat dengan pendidikan akan bekerjasama untuk
mencapai kestabilan dan keharmonian masyarakat.

Dalam pendidikan fungsi utama sekolah ialah untuk menyampaikan ilmu pengetahuan
dan tingkah laku yang dikehendaki untuk memastikan kesejahteraan ahli masyarakatnya.

34

Mengikut teori ini, tugas utama pendidikan ialah untuk mensosialisasikan kanak-kanak dengan
norma, nilai-nilai dan peraturan yang terdapat dalam sesebuah masyarakat. Durkheim (1961),
turut mengaitkan fungsi sekolah dan hubungannya dengan masyarakat. Menurut Durkheim
lagi, nilai moral merupakan asas peraturan sosial dan masyarakat yang disemai dalam kanak-
kanak melalui sistem pendidikannya. Setiap pihak dalam masyarakat perlu berganding bahu
menolong dan menyokong antara satu sama lain untuk memastikan fungsi dan peranan setiap
pihak berjalan dengan lancar. Ia penting supaya matlamat yang ditetapkan boleh tercapai
bersama.

Teori fungsionalisme seterusnya menekankan kepada aspek memilih dan melatih. Teori
ini menyatakan bahawa semua kanak-kanak akan mendapat peluang yang sama untuk
menyumbang kepada perkembangan masyarakatnya. Mereka yang berjaya akan mendapat
kedudukan yang paling tinggi dalam hierarki masyarakatnya. Selain itu, teori ini juga
menekankan kepada struktur dan fungsi organisasi. Misalnya, dalam sesebuah sekolah kita
dapat melihat bagaimana struktur sekolah dibentuk. Seterusnya kita dapat melihat bagaimana
setiap ahli dalam sekolah berfungsi untuk memastikan sekolah mencapai visi dan matlamat
yang telah ditetapkan.

Secara kesimpulannya, kajian ini akan menggunakan Teori Fungsionalisme sebagai
landasan kajian. Kajian akan melihat bagaimana struktur sosial dan fungsi masyarakat dalam
mengekalkan kelancaran dan keharmonian hidup dalam isu pendidikan untuk perpaduan.
Kajian yang dijalankan di lapangan sekolah akan melihat fungsionalisme murid-murid yang
berinteraksi dalam lapangan pendidikan yang seterusnya menentukan tahap perpaduan murid
pelbagai etnik.

35

BAB III

PENDIDIKAN SESUDAH MERDEKA

3.0 PERJUANGAN MASYARAKAT MELAYU DALAM PENDIDIKAN

Laporan Razak tetap mempunyai kelemahannya tertentu dalam memperjuangkan perpaduan
kaum. Tekanan yang wujud pada saat itu menjadikan Laporan Razak sebuah laporan yang
terlalu berhati-hati untuk menjaga sensitiviti kaum.

‘Laporan Razak adalah satu langkah ke belakang kalau dibandingkan
dengan kenyataan Barnes yang telah mencadangkan supaya hanya
diadakan sekolah nasional dalam Bahasa Inggeris dan Melayu….laporan
ini kurang berterus terang mencadangkan supaya dihapuskan sekolah–
sekolah lain seperti dibuat oleh kenyataan Barnes’ (Ibrahim Saad, 1977).

Guru-guru Melayu telah menentang Laporan Razak kerana tidak wujud ketegasan
dalam pelaksanaan untuk mengangkat bahasa kebangsaan dan mendirikan sekolah-sekolah
menengah Melayu. Laporan Razak yang ada masih mengamalkan sistem persekolahan
pelbagai bahasa. Kesatuan Persekutuan Guru-guru Melayu Semenanjung (KPGMS)
menentang Laporan Razak kerana berasa terhina apabila Laporan Razak ditulis dalam bahasa
Inggeris. Mohd Khir Johari Menteri Pelajaran Pertama pada tahun 1957 pada masa itu
menyatakan “guru-guru Melayu hanya mementingkan poket-poket mereka dari pelajaran yang
baik, sebab mereka berharap yang dengan penubuhan sekolah-sekolah menengah yang bahasa
pengantarnya Melayu dengan serta-merta akan menyebabkan kekurangan guru dan mereka
(guru Melayu di sekolah-sekolah rendah akan mendapat tugas-tugas ini dengan memperoleh
gaji yang lebih” (dalam Ibrahim Saad, 1977). Parti politik turut tidak berpuas hati dengan
Laporan Razak yang dikemukakan. Parti PAS misalnya menentang Laporan Razak kerana
tiada jaminan bahawa bahasa Melayu akan dijadikan bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi
dalam masa 10 tahun negara mencapai kemerdekaan. Parti PAS juga turut mempertikaikan
tentang penggunaan bahasa pengantar yang digunakan di sekolah vernakular iaitu bahasa
Inggeris secara langsung diiktiraf sebagai bahasa rasmi negara. Manakala Parti Rakyat yang

36

menubuhkan Socialist Front dengan Parti Buruh menyatakan “satu bahasa yang sama
bermakna perpaduan antara massa. Bahasa Melayu ialah Bahasa Kebangsaan Malaysia.
Bahasa Inggeris di atas nama rasmi digunakan dan disebarkan oleh kerajaan. Bahasa Inggeris
itu perlu tetapi perkembangan dan pengajaran bahasa Melayu adalah sangat mustahak. Itulah
satu-satunya cara kita mengembangkan sahsiah Melayu…satu negara satu bahasa. Bahasa
Inggeris sebagai bahasa rasmi mengancam bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Kerajaan perikatan telah belot kepada bahasa Melayu-bahasa rasmi kita….(dalam Ibrahim
Saad, 1977). Sebenarnya saranan-saranan dari parti pembangkang ini timbul semasa
menjelangnya pilihan raya 1959. Namun saranan-saranan ini adalah reaksi-raksi orang Melayu
terhadap kebimbangan mereka terhadap nasib mereka yang ingin memperjuangkan hak orang-
orang Melayu.

3.1 PERJUANGAN MASYARAKAT CINA DALAM PENDIDIKAN

Sebagaimana yang telah diketahui, antara Tahun 1942-1945, hampir seluruh rantau di Asia
Tenggara telah di duduki oleh tentera Jepun. Selepas kembalinya tentera British pada bulan
Ogos, 1945 salah satu usaha kerajaan ialah membina semula sistem pendidikan di Tanah
Melayu. Bermula pada saat inilah Tanah Melayu menyaksikan kronologi krisis pendidikan
Cina apabila berlakunya penstrukturan semula pendidikan dalam usaha menjadikannya
sebagai medium perpaduan. Penstrukturan semula pendidikan telah mengancam kedudukan
sekolah-sekolah vernakular yang sedia ada termasuklah sekolah aliran Cina. British yang
menyedari kewujudan satu sistem pendidikan yang bercorak kebangsaan perlu dalam usaha
mewujudkan satu negara yang bersatu.

Usaha ke arah itu bermula dalam Rancangan Cheesman disusuli dengan Penyata
Barnes. Laporan Barnes mencadangkan agar semua sekolah vernakular digantikan dengan
sekolah kebangsaan. Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar di semua
sekolah kebangsaan telah mendapat reaksi negatif komuniti cina dan menafikan peranan
sekolah Cina. Tentangan serta bantahan masyarakat Cina telah membawa kepada penubuhan
sebuah jawatankuasa khas iaitu Laporan Fenn-Wu yang mengkaji kedudukan sekolah Cina.
Laporan Fenn-Wu mengesyorkan sekolah berbentuk vernakular perlu dikekalkan termasuklah
sekolah Cina dengan beberapa penyesuaian dilakukan. Ia mencadangkan kurikulumnya
perlulah berorientasikan Tanah Melayu, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris perlu diajar di
semua sekolah.

37

Namun masyarakat Cina gagal mempertahankan kedudukan sekolah Cina apabila
Ordinan Pelajaran 1952 diumumkan. Pandangan dalam Laporan Fenn-Wu diketepikan
sebaliknya syor dalam Laporan Barnes telah diterima dalam Ordinan Pelajaran 1952. Sekolah
Cina dan Sekolah Tamil tidak diiktiraf sebagai sekolah kebangsaan dan akan diserap ke dalam
sekolah kebangsaan. Selain itu, bantuan kewangan terhadap sekolah vernakular yang gagal
berbuat demikian dihentikan. Ordinan Pelajaran 1952 telah mencetuskan bantahan besar-
besaran persatuan Cina dan aktivis pendidikan Cina. Surat bantahan dan petisyen telah dihantar
bagi mendesak British untuk mengkaji semula ordinan tersebut. Antara memorandum yang
dihantar termasuklah dari gabungan Persatuan Dewan Perniagaan Cina (ACCC) dan persatuan
guru Cina yang melahirkan kekecewaan serta bantahan mereka terhadap Laporan Barnes yang
menjadi asas kepada Ordinan Pelajaran 1952. Memorandum tersebut menolak Laporan Barnes
kerana berpendapat :

“The Barnes Committee propose that Chinese and Indians should
eventually abandon their own language and culture and accept instead
those of the English and Malays. Such action is considered to be
‘Malaysanisation’, without which there is no national unity. But true,
Malaysanisation…..is dominant in Malaya, namely, Western, Muslim,
Indian and Chinese and favour only two and ignore the others is
basically unjust, and will undoubtedly create a sense of fear and
suspicious in the minds of those thus neglected, which might easily cause
resentment and opposition” (Heng, 1999:193)

Kontroversi yang melanda pendidikan Cina menyebabkan Tan Cheng Lock, Presiden
MCA telah menubuhkan Jawatankuasa Pendidikan yang bertujuan menolak Ordinan Pelajaran
1952. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa peranan MCA bukan sekadar melindungi
kepentingan politik orang Cina tetapi turut merangkumi kepentingan ekonomi, kebudayaan,
dan pendidikan komuniti tersebut. Ia penting dalam memelihara jati diri etnik Cina dan
menepati prinsip perjuangan parti tersebut yang berusaha melahirkan orang Cina yang
berkualiti dan menegakkan kebudayaan serta kecemerlangan Cina di samping bekerjasama
dengan kaum lain (Heng, 1988). MCA juga yakin kewujudan sekolah Cina mampu
menyumbang ke arah proses pembentukan bangsa Malayan memandangkan ketamadunan

38

China telah berusia ribuan tahun bakal memperkayakan lagi kebudayaan negara (SP 3/B/75:
Memorandum of Chinese Education In The Federation Of Malaya).

Perkembangan pendidikan Cina terus bergolak walaupun Ordinan Pelajaran 1952 dikaji
semula selepas Pilihan Raya Umum 1955. Jawatankuasa Razak telah dibentuk dalam usaha
melahirkan satu aliran pendidikan bercorak kebangsaan. Ia bertujuan mengkaji semula dasar
pendidikan yang sedia ada dengan melakukan penambahbaikan ke atas dasar pendidikan
negara. Di samping itu, jawatankuasa itu juga bertujuan untuk memperkasakan kedudukan
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan pada masa yang sama memberi ruang yang
sewajarnya bagi bahasa ibunda yang lain digunakan serta dipelajari tanpa sebarang kekangan.
Laporan Razak yang dibentangkan pada tahun 1957 gagal memenuhi kehendak masyarakat
Cina kerana Laporan Razak telah menggariskan kewujudan dua jenis sekolah iaitu ‘sekolah
umum’ dan ‘sekolah jenis umum’. Walaupun kedudukan sekolah rendah jenis kebangsaan
Cina (SJKC) terjamin tetapi sekolah menengah jenis kebangsaan tidak nyatakan dengan jelas.
Lantaran itu, timbulnya andaian bahawa kerajaan cuba untuk menghapuskan sekolah Cina
secara beransur-ansur.

Ketetapan bahawa bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dijadikan mata pelajaran wajib
di semua aliran sekolah dalam usaha melahirkan negara yang disyorkan dalam Laporan Razak
turut tidak disenangi oleh masyarakat Cina. Ia dilihat sebagai satu bebanan kepada pelajar Cina
serta ia bakal mengurangkan penggunaan bahasa Cina serta menghapuskan secara beransur-
ansur (Siew, 2004). Kontroversi yang melanda pendidikan Cina, dilihat sebagai satu
pertembungan aliran kemajmukan budaya dan asimilasi budaya yang masing-masing diwakili
oleh multilingualisme dan monilingualisme (Thock, 2005). Ia jelas menjelang kemerdekaan
negara apabila para pemimpin Melayu mendesak supaya dasar satu bahasa dan satu
kebudayaan diterima oleh kerajaan persekutuan Tanah Melayu (Haris, 1990). Usaha tersebut
dijelmakan dalam Laporan Razak yang memperakukan ‘matlamat terakhir’ sistem pendidikan
Malaysia bertujuan untuk melahirkan dasar pelajaran kebangsaan melalui penggunaan bahasa
Melayu sebagai bahasa pengantar tunggal di semua sekolah.

3.2 PENDIDIKAN ZAMAN PASCA MERDEKA 1957-1969

Sebaik mencapai kemerdekaan, usaha ditumpukan untuk mewujudkan satu sistem pelajaran
kebangsaan. Sehubungan itu, Ordinan Pelajaran 1957 digubal berdasarkan perakuan

39

Laporan Razak(1956) yang mengutamakan perpaduan dan menjadi teras Dasar Pendidikan
Kebangsaan. Laporan Razak mengisytiharkan kepentingan perpaduan dalam kalangan semua
kumpulan etnik. Semenjak Laporan Razak, penyata-penyata pendidikan selepasnya sentiasa
mengambil perhatian kepada langkah perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang etnik.
Perakuan Laporan Razak dikaji semula oleh Jawatankuasa Rahman Talib pada tahun 1960.
Laporan jawatankuasa ini menjadi asas kepada penggubalan Akta Pelajaran 1961 yang telah
menjadi landasan kepada sistem pendidikan yang mempromosikan pembangunan kebudayaan,
sosial, ekonomi, dan politik. Dalam Akta Pelajaran 1961, bahasa kebangsaan iaitu Bahasa
Melayu telah dikukuhkan sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah sebagai alat mencapai
perpaduan. Namun, dalam masa yang sama penggunaan bahasa Tamil dan Cina dibenarkan di
sekolah-sekolah jenis kebangsaan.

Sistem pendidikan negara terus mengalami perubahan di sekitar tahun 1963 hingga
1975 selaras dengan pelaksanaan rancangan lima tahun Malaysia. Perkembangan sistem
pendidikan selepas pembentukan Malaysia ini boleh dibahagikan kepada tiga tahap iaitu Tahap
Pertama (1963-1965), Tahap Kedua (1966-1970) dan Tahap Ketiga (1971-1975) (Mok Soon
Sang, 2008). Tahap pertama merupakan tahap pelaksanaan rancangan sistem pendidikan yang
telah dikuatkuasakan dalam Akta Pelajaran 1961. Tahap kedua pula merupakan tahap
pelaksanaan rancangan sistem pendidikan di bawah Rancangan Malaysia Pertama. Ia digubal
dengan tujuan untuk menyelesaikan masalah ekonomi dan sosial yang timbul dalam tempoh
ini. Sistem pendidikan pada tahap ini bukan hanya berorientasikan kepada pembasmian buta
huruf tetapi mencapai matlamat ekonomi negara. Antara matlamat lain yang ingin dicapai ialah
memperkukuh sistem pendidikan kebangsaan bagi memupuk perpaduan sosial, kebudayaan
dan politik. Menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih bersistematik dan selesa kepada
para pelajar, meningkatkan taraf pendidikan di seluruh negara serta melaksanakan
pendemokrasian pendidikan tanpa mengira bangsa, kaum mahu pun agama. Pada tahap ini,
beberapa buah Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional telah disediakan bagi melatih pelajar
dalam bidang pertukangan, pertanian, sains rumah tangga dan perdagangan agar pelajar dapat
mengembangkan bakat mereka dalam bidang kemahiran yang telah disediakan. Perkembangan
sistem pendidikan dalam tahap ketiga pula ialah merupakan pengubahsuaian sistem pelajaran
dan latihan untuk memenuhi keperluan perkembangan ekonomi serta untuk menghasilkan lebih
ramai pekerja mahir bagi melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Sistem pendidikan pada
tahap ini dirancang supaya memberi sumbangan penting bagi menggalakkan perpaduan dalam
kalangan rakyat berbilang bangsa.

40

Pada tahun 1967 kerajaan telah meluluskan Akta Bahasa Kebangsaan yang
mengesahkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dengan memberi jaminan kebenaran
penggunaan bahasa-bahasa lain. Setelah Laporan Razak sistem persekolahan selepas
kemerdekaan diseragamkan dari segi bahasa pengantar, kurikulum, buku-buku teks,
peperiksaan, latihan perguruan dan aktiviti-aktiviti kokurikulum. Ia merupakan usaha
membentuk identiti Malaysia. Penetapan dasar melalui Laporan Razak, Laporan Rahman
Talib, Akta Pendidikan 1961 dan Akta Bahasa Kebangsaan tidak bermakna menyelesaikan
kontroversi dalam pendidikan. Etnik-etnik berkenaan, terutamanya etnik Cina terus
mempersoalkan isu bahasa yang dikemukakan oleh dasar pelajaran. Sememangnya ‘bahasa’
telah menjadi isu yang berpanjangan apabila tiap-tiap etnik memperjuangkan survival bahasa
ibunda masing-masing. Kumpulan etnik Cina yang diterajui oleh Kesatuan Guru-guru Sekolah
Cina dan akhbar-akhbar berbahasa Cina kerapkali menyuarakan tidak puas hati mereka
terhadap dasar bahasa dalam pendidikan. Begitu juga dengan Kesatuan Guru-guru Sekolah
India. Orang Cina pernah mengemukakan usul supaya ditubuhkan Universiti Merdeka yang
menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantarnya. Secara keseluruhan mereka bimbang
dasar bahasa Melayu akan melenyapkan dasar bahasa ibunda masing-masing dan menjejaskan
guru-guru Cina dan India.

Bagi orang-orang Melayu, mereka terus mencurigai sejauh manakah ‘keikhlasan’
pemerintah mendaulatkan bahasa Melayu bersaing dengan bahasa Inggeris. Mereka juga tidak
berpuas hati dengan dasar kompromi kerajaan dalam pelaksanaan Akta Bahasa Kebangsaan.
Orang-orang Melayu resah dan kecewa dengan pengekalan bahasa Inggeris di peringkat
pengajian tinggi kerana bagi mereka bahasa Melayu akan menjadi bahasa kelas kedua.
Ketegangan yang lahir daripada isu bahasa telah menjadi salah satu faktor berlakunya peristiwa
13 Mei 1969. “Kekecewaan masih wujud berhubungan dengan persoalan bahasa dan
pendidikan” (Haris Md.Jadi, 1990), telah menyebabkan kompromi parti-parti politik yang
berdasarkan etnik tergugat.

Kepentingan perpaduan negara semakin dirasakan setelah berlakunya rusuhan ‘kaum’
pada 13 Mei 1969. Rusuhan yang berlaku disebabkan oleh ketidakpuasan hati antara ‘kaum’
memerlukan perhatian yang serius diberikan terhadap dasar pendidikan. Selepas peristiwa
berkenaan, Menteri Pelajaran ketika itu iaitu Abdul Rahman Yaakub telah secara tegas
menguatkuasakan dasar-dasar pendidikan yang dirancangkan semenjak Laporan Razak. Beliau


Click to View FlipBook Version